Tafsir Surah al An’am Ayat 93 – 94

Ayat 93:

6:93
Sahih International

And who is more unjust than one who invents a lie about Allah or says, “It has been inspired to me,” while nothing has been inspired to him, and one who says, “I will reveal [something] like what Allah revealed.” And if you could but see when the wrongdoers are in the overwhelming pangs of death while the angels extend their hands, [saying], “Discharge your souls! Today you will be awarded the punishment of [extreme] humiliation for what you used to say against Allah other than the truth and [that] you were, toward His verses, being arrogant.”

Malay

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyupunr kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”.

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kedustaan terhadap Allah

Maksud ayat ‘siapakah yang lebih zalim’ adalah: tidak ada orang lain lagi yang lebih zalim daripada mereka yang mencipta dusta terhadap Allah. Merekalah yang paling zalim. Ada tiga jenis kezaliman yang disebut dalam ayat ini. Yang pertama adalah: membuat kedustaan terhadap Allah. Kalau kita berdusta tentang seseorang, itu adalah fitnah. Kalau fitnah dengan manusia pun sudah dosa yang besar, apatah lagi kalau kita fitnah tentang Allah? Itulah sebab dikatakan mereka yang berdusta terhadap Allah adalah yang paling zalim.

Apakah dimaksudkan dengan pendustaan itu? Pendustaan terhadap Allah yang paling besar adalah mengatakan yang ada tuhan lain selain dari Allah. Ataupun dengan mengatakan bahawa Allah ada anak. Itu adalah suatu pernyataan yang syirik. Ini banyak dilakukan oleh agama-agama yang lain.

Ataupun bermaksud, mencipta sesuatu hal baru dalam hal agama, kemudian mengatakan yang ianya daripada Allah. Atau mengatakan yang Allah suka kalau dilakukan perbuatan itu. Padahal Allah sendiri tidak pernah berkata begitu. Oleh itu, mereka berdusta atas nama Allah. Ini adalah termasuk amalan-amalan bidaah yang direka oleh manusia. Iaitu amalan yang tidak pernah diajar oleh Nabi, tidak pernah diamalkan oleh sahabat, tapi mereka kata ianya baik dan molek. Amat banyak sekarang dalam masyarakat kita yang mengamalkan amalan bidaah yang tidak ada dari nas yang sahih. Antaranya, amalan talqin, Majlis Tahlil, Solat Hajat berjemaah dan macam-macam lagi. Itu semua adalah rekaan dari manusia tapi mereka yang mengamalkannya mengatakan ianya adalah baik. Bagaimana mereka boleh kata ianya baik, sedangkan Allah dan Nabi tidak pernah ajar untuk melakukannya. Sepatutnya yang tahu ianya baik atau tidak adalah Nabi Muhammad. Dan kita kena tengok apakah amalan para sahabat sebab mereka dididik sendiri oleh Nabi Muhammad. Mereka lebih tahu tentang apakah amalan yang baik. Sebagai contoh, adakah amalan Majlis Tahlil itu pernah dibuat oleh Nabi dan sahabat? Tentu tidak, kerana kalau ada, tentu ada hadis yang menyebut tentangnya.

Termasuk juga dalam berdusta ini adalah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Sebagai contoh, kalau ada yang kata, kalau minum arak tapi tak mabuk, tidak berdosa, sebab yang Allah tak larang adalah kalau kita jadi mabuk. Itu adalah pemusingan hukum Allah. Allah kata A, mereka pula kata B. Sekarang masih tidak terjadi lagi di negara ini, tapi hendaklah kita mengambil pengajaran bagaimana ianya telah terjadi di negara Islam yang lain. Ada di sesetengah negara Islam, kita dapat tahu bagaimana imam solat jemaah pun boleh minum arak sebab mereka kata selagi tidak mabuk, tidak mengapa.

Atau, mengharamkan manusia makan makanan yang halal dalam keadaan ‘tertentu’. Sebagai contoh, apabila bidan-bidan kita mengajar ibu-ibu yang baru bersalin untuk ‘pantang’ dari makan sesuatu. Makanan itu boleh dimakan, tapi apabila bidan kampung sudah suruh mereka pantang, maka mereka telah ‘mengharamkan’ makanan itu kepada diri mereka. Yang kata tak boleh makan itu adalah bidan sahaja, bukan ulama pun, tapi orang kita sudah beriya-iya pegang. Ingatlah bahawa sesuatu makanan itu halal dimakan kecuali kalau ada dalil yang mengatakan ianya haram dimakan. Atau, kalau doktor mengatakan seseorang itu tidak boleh makan sesuatu makanan kerana ianya akan memudharatkan kesihatan ibu yang baru bersalin itu. Oleh itu, kalau tiada dalil dan tiada sebab yang kukuh untuk menidakkan sesuatu makanan kepada manusia, maka kita tidak boleh menghalang sesiapa pun dari memakan makanan itu.

أَوْ قَالَ أُوحِيَ إِلَيَّ وَلَمْ يُوحَ إِلَيْهِ شَيْءٌ

atau yang berkata: “Telah diwahyukan kepada saya”, padahal tidak ada diwahyukan sesuatupun kepadanya,

Ini adalah sifat kedua mereka yang paling zalim.

Satu pendustaan yang besar juga adalah apabila seseorang mengaku sebagai Nabi. Itulah yang dimaksudkan dengan mereka mendapat wahyu. Dari zaman Nabi sampai zaman sekarang, masih ada lagi manusia sesat yang mengaku mereka itu Nabi yang dilantik oleh Allah. Pada zaman Nabi, ada seorang yang bernama Musailamah al Kazzab. Dalam sejarah, ada ramai manusia yang mengaku sebagai Nabi dan mengaku menerima wahyu, walaupun tidak berlaku sedemikian. Itu hanyalah kata-kata mereka untuk menipu manusia jahil sahaja.

Pada zaman sekarang, sudah tidak ramai yang mengaku menjadi Nabi walaupun masih ada lagi. Tetapi yang ramai adalah mereka yang ‘bersifat’ seperti Nabi. Iaitu mereka yang mereka-reka perkara baru dalam agama. Padahal hal agama sepatutnya hanya disampaikan oleh Nabi. Tetapi ramai ustaz-ustaz dan guru agama di Malaysia ini yang mengatakan sesuatu perkara itu baik dalam agama padahal Allah dan Nabi Muhammad tidak pernah mengatakan sedemikian. Maka, mereka telah ‘mengambil’ tugas Nabi walaupun mereka tidak mengaku jadi Nabi.

وَمَن قَالَ سَأُنزِلُ مِثْلَ مَا أَنزَلَ اللَّهُ

dan orang yang berkata: “Saya akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”.

Ini pula adalah sifat ketiga mereka yang paling zalim.

Ini adalah mereka yang berkata sebagaimana Allah menurunkan ayat Quran itu, mereka juga boleh membuat ayat-ayat seperti itu juga. Mereka ini menghina ayat-ayat Allah dengan berkata begitu. Dengan mengatakan yang mereka boleh membuat ayat Quran juga, mereka sebenarnya hendak mengatakan bahawa tidak ada apa apa kelebihan dengan Quran itu, sampai mereka sendiri pun boleh buat.

Sifat mereka ini ada juga disebut dalam Anfal:31

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا قَالُوا قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَاءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَٰذَا إِنْ هَٰذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengar (ayat-ayat yang seperti ini), kalau kami menghendaki niscaya kami dapat membacakan yang seperti ini, (Al Quran) ini tidak lain hanyalah dongeng-dongengan orang-orang purbakala”.

Tapi ayat Quran bukanlah ayat-ayat yang biasa kerana ianya adalah kalam dari Allah, bukan dari manusia. Bahasa yang digunakan adalah amat hebat sekali. Tidak mungkin manusia boleh melakukan sedemikian. Ini diakui oleh penentang-penentang Islam pun. Pada zaman Nabi, walaupun mereka tidak suka Islam, tapi mereka tidak dapat mengutuk ayat Quran kerana mereka sendiri sedar tentang kehebatan ayat-ayat Quran itu. Walaupun mereka tak suka, tapi mereka suka mendengar Quran dibacakan. Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnaz selalu mendengar Quran dibacakan oleh Nabi Muhammad secara rahsia. Walaupun mereka menentang Islam, tapi mereka suka mendengar Quran dibacakan.

Sebab itulah Allah telah mencabar sesiapa sahaja yang rasa boleh untuk buat seperti Quran  itu untuk membawakan surah atau ayat lain yang seperti itu. Cabaran itu Allah telah berikan pada zaman Nabi dan masih lagi cabaran hidup itu ada pada zaman ini.

Memang ada manusia yang telah cuba buat ayat seperti ayat Quran itu, tetapi tidak sama langsung ayat-ayat itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Manusia boleh cuba buat macam ayat Quran, tapi tidak mencapai tahap kehebatan Quran.

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الظَّالِمُونَ فِي غَمَرَاتِ الْمَوْتِ

Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakratul maut,

Saat-saat kematian mereka itu amat-amat menakutkan. Perkataan غَمَرَاتِ itu dari perkataan غمر yang bermaksud ‘banjir’. Ia merujuk kepada kesakitan yang amat sangat kerana mereka waktu itu seperti dalam kelemasan didalam banjir.
Ianya juga merujuk kepada maksud ditutupi oleh sesuatu – seperti air banjir yang banyak sampaikan menutupi segalanya. Iaitu apabila kita berada di dalam air yang dalam sampaikan kita tidak tahu betapa dalamnya air itu. Seperti mana yang terjadi ketika banjir kerana waktu itu kita tidak tahu berapa besar banjir itu.

غَمَرَاتِ الْمَوْتِ merujuk kepada kesakitan yang amat sangat yang dialami oleh mereka yang hampir mati ketika roh mula dicabut daripada badan. Ianya amat sakit sebagaimana yang dialami oleh Nabi Muhammad apabila baginda hampir wafat. Kesakitan itu dirasai oleh seluruh badan seperti mana juga banjir itu menyelimuti seluruh badan kita.

وَالْمَلَائِكَةُ بَاسِطُو أَيْدِيهِمْ

sedang para malaikat memanjangkan tangannya,

‘Panjangkan tangan’ bermaksud para malaikat itu memanjangkan tangan mereka untuk mencapai orang-orang zalim itu untuk mencabut roh mereka.

Dalam ayat Muhammad:27 pula ada menceritakan bagaimana-malaikat waktu itu memukul-mukulkan roh orang-orang zalim itu.

Sedangkan kepada orang-orang yang soleh akan dikatakan kepada mereka perkataan yang baik-baik.

أَخْرِجُوا أَنفُسَكُمُ

(sambil berkata): “Keluarkanlah nyawamu”

Ini bermakna malaikat yang mencabut nyawa orang-orang zalim itu, dalam mencabut nyawa mereka, tidaklah mencabut dengan lembut tetapi dengan amat kasar sekali. Sebab itulah orang-orang yang zalim itu amat merasa kesakitan maut itu.

الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ

Di hari ini kamu dibalas dengan siksa yang sangat menghinakan,

Semasa mereka hidup, mereka sombong untuk menerima ayat-ayat Allah, jadi sebagai balasannya mereka akan dihinakan di akhirat kelak.

Semasa nyawa mereka dicabut, mereka diberitahu apakah nasib mereka. Ini bermakna, kepada orang-orang zalim itu telah diberitahu kepada mereka tentang azab yang mereka akan dapat.

الْيَوْمَ  selalunya bermaksud ‘Hari Kiamat’. Bila mati sahaja seorang manusia, maka hari kiamat mereka telah bermula dan mereka akan mula dikenakan dengan azab-azab yang mereka akan dapat. Maknanya, bukan di neraka sahaja kena azab. Semasa nyawa mereka dicabut pun, sudah dikenakan dengan azab kepada mereka.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa apabila kita hampir mati, kita akan diberitahu dengan apa yang kita akan dibalas. Apabila mati sahaja, dah tahu dah ke mana kita akan pergi. Kalau kita orang soleh, kita akan diberitahu dengan kebaikan-kebaikan yang kita akan dapat. Dan kalau kita orang zalim, kita juga akan diberitahu dengan apa yang kita akan dapat. Waktu itu sudah terlambat dah untuk memperbaiki diri. Maka hendaklah kita memperbaiki diri kita semasa hayat kita ada lagi.

بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ غَيْرَ الْحَقِّ

karena kamu selalu mengatakan terhadap Allah (perkataan) yang tidak benar

Mereka semua akan dikenakan dengan azab yang menghinakan itu kerana mereka selalu memperkatakan tentang Allah dengan perkara yang tidak benar. Begitulah juga mereka yang memperkatakan tentang Allah tanpa ada dalil. Ingatlah bahawa agama ini kena ada dalil. Kalau tidak ada dalil, maka sesiapa pun boleh kata apa-apa sahaja dan akan rosaklah agama. Begitulah yang banyak terjadi dalam negara kita ini. Ada sahaja guru agama yang memperkatakan tentang agama tanpa membawakan dalil yang sahih. Mereka tidak menggunakan Quran dan hadis yang sahih sebagai dalil.

وَكُنتُمْ عَنْ آيَاتِهِ تَسْتَكْبِرُونَ

dan (kerana) kamu selalu menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya.

Mereka sombong kerana mereka kata bahawa mereka juga boleh membawa ayat-ayat seperti itu.

‘Sombong’ juga bermaksud tidak menghiraukan ayat-ayat Allah. Ini banyak dilakukan oleh masyarakat Islam kita. Mereka tidak baca ayat Allah untuk mendapatkan pedoman dan pengajaran. Dan bagaimana mereka boleh mendapat pengajaran kalau mereka tak faham dengan apa yang mereka baca? Kalau setakat baca sahaja tetapi tidak faham, maka kita tidak mendapat manfaat yang sepatutnya. Lihatlah bagaimana masyarakat kita hanya tahu membaca tapi tidak faham apa yang mereka baca. Mereka ajar anak mereka membaca Quran, tapi setakat itu sahaja. Mereka tidak belajar apa makna ayat-ayat yang mereka baca itu.

Orang Islam kita memang sayang dan hormat kepada Quran. Mereka memang sekali sekala baca Quran. Mungkin ada yang hari-hari akan baca Quran. Sekurang-kurangnya, dalam solat mereka. Tapi mereka sombong dengan Quran, kerana apabila kita ajak mereka belajar tafsir Quran, mereka tidak mahu. Mereka sombong kerana mereka ingat mereka telah selamat. Padahal apa yang mereka buat banyak yang salah. Mereka buat banyak yang salah kerana apa yang diajar dalam Quran itu mereka tidak tahu.


 

Ayat 94:

6:94
Sahih International

[It will be said to them], “And you have certainly come to Us alone as We created you the first time, and you have left whatever We bestowed upon you behind you. And We do not see with you your ‘intercessors’ which you claimed that they were among you associates [of Allah ]. It has [all] been severed between you, and lost from you is what you used to claim.”

Malay

Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ

Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri

Ini adalah sesuatu yang menakutkan. Iaitu, kita akan datang berjumpa Tuhan bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa pun lagi. Bayangkan kalau kita kena jumpa orang besar berseorangan pun sudah risau dan takut, ini apatah lagi Tuhan kita. Perkataan فُرَادَىٰ bermaksud ‘datang berseorangan tanpa membawa apa-apa pun’. Kalau kita bayangkan seorang budak yang menaiki kapal terbang berseorangan diri juga tetapi dalam masa yang sama, dia ada pasport dia ada dan barang-barang lain-lain. Dia juga mungkin ada duit ataupun ada kredit kad bersamanya. Tetapi فُرَادَىٰ bermaksud langsung tidak ada apa-apa bersamanya.

Maka, tidak ada harta lagi pada masa itu, kecualilah apa yang kita telah sedekahkan. Kerana apa sahaja yang kita ada di dunia dulu sudah ditinggalkan. Yang ada hanyalah harta kita yang kita sedekahkan kerana ianya akan menjadi pahala kepada kita. Itulah sebabnya harta yang sebenar harta kepada kita adalah harta yang kita telah sedekahkan.

Ayat ini sepatutnya mengingatkan kita: kalau kita tidak bawa harta kita, kenapa kita luangkan masa sangat dengan segala harta itu? Sebagai contoh, tidak perlulah kita beriya sangat nak pilih karpet di rumah kita, tapi ianya tidak penting langsung. Maka jangan kita berlebih sangat dengan cinta dan sayang kepada harta itu.

Kalau dalam dunia ini walaupun kita berseorangan, tetapi sekurang-kurangnya mungkin ada orang yang boleh membantu dan menyokong kita apabila kita perlukan. Mungkin ayah kita, keluarga kita atau kawan-kawan kita. Tetapi apabila di akhirat nanti tidak ada sesiapa yang boleh tolong dan sokong kita.

Tidak ada pertalian lagi pada hari itu. Seperti yang disebut dalam Mukminoon:101.

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءَلُونَ

Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.

Oleh itu ingatlah bahawa jikalau hubungan kita dengan Allah tidak baik, maka tidak ada sesiapa pun lagi yang boleh membantu kita pada waktu kita bertemu dengan Allah. Oleh itu tidaklah berguna kepada kita jikalau kita bersungguh-sungguh menggembirakan hati orang lain jikalau di dalam masa yang sama kita menentang arahan Allah.

Oleh itu, untuk mendapat hubungan yang baik dengan Allah, kenalah kita ikut arahanNya dan meninggalkan laranganNya.

كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ

sebagaimana kamu Kami ciptakan pada mulanya,

Semasa kita dulu lahir ke dunia ini kita dilahirkan seorang-seorang tanpa ada apa-apa pada diri kita. Iaitu, tidak ada harta pada kita dan tidak ada nilai langsung kita ini.

Sepertimana kita dilahirkan ke dunia ini tidak berkasut dan tidak berbaju, begitulah juga bila kita bertemu dengan Tuhan nanti. Semuanya akan berbogel nanti, duduk dalam saf-saf, bercampur lelaki dan perempuan. Apabila mengetahui perkara ini, maka Sayyidatina Aisyah kerisauan dan bertanya Nabi: Tidakkah lelaki dan perempuan akan melihat sesama sendiri? Nabi Muhammad menjawab bahawa keadaan pada waktu itu terlalu berat sampaikan mereka tidak akan melihat sesama sendiri. Semuanya nanti dalam keadaan risau.

وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ

dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu;

Perkataan خَوَّلْنَاكُمْ berasal dari perkataan خول yang bermaksud ‘menjaga sesuatu.’ Jadi perkataan ini bermaksud kita telah diberikan dengan sesuatu untuk kita menjaganya. Ini bermakna apa-apa sahaja yang Allah berikan kepada kita semasa kita di dunia ini hendaklah kita menjaganya.

Jadi apabila kita ada harta, maka kita akan menjaga dengan dengan baik dan kita berbangga dengan harta yang banyak dan segala pemberian-pemberian kita ada itu. Tetapi apabila kita mati nanti, semuanya kita kena tinggalkan.

Kalau kita ada harta yang banyak, sebenarnya kita lah yang kena jaga harta itu. Ianya akan menyusahkan kita sebenarnya. Tapi kalau kita ada ilmu, ilmu itulah nanti yang akan menjaga kita. Itulah bezanya harta dan ilmu. Harta akan berkurang, tapi ilmu tidak akan hilang, malahan akan bertambah dari masa ke semasa. Maka carilah ilmu sebanyak mungkin.

Maka janganlah hati kita tertarik sangat dengan dunia. Jangan sangkut kan hati kita dengan harta. Semuanya tidak ada makna nanti. Malangnya, kalau kita hilang harta kita, sangatlah kita terasa sangat sampaikan hilang semangat. Ingatlah bahawa harta itu pun pemberian dari Allah, dan apa yang Allah beri, Allah boleh tarik balik.

Perkataan خول juga bermaksud ‘selimut’. Iaitu segala kenikmatan yang kita ada di dunia ini adalah seperti selimut yang menyeliputi kita. Kita pun tak perasan nikmat itu sebagaimana kita tak perasan sangat selimut yang menyeliputi kita.

‘Selimut’ itu juga boleh merujuk kepada lapisan-lapisan yang menyeliputi roh kita. Pertamanya, roh kita diselimuti oleh tubuh badan kita, badan kita diselimuti oleh rumah kita, rumah kita diseluputi dengan dunia ini dan seterusnya. Apabila kita bertemu dengan Allah, segala selimut itu akan ditanggalkan dan ditinggalkan, dan roh kita yang akan bertemu dengan Allah.

وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ

dan Kami tiada melihat besertamu pemberi syafa’at

Ini adalah perli Allah kepada manusia yang menyembah sembahan-sembahan mereka yang mereka sangka boleh memberi pertolongan kepada mereka. Tetapi pada hari itu tidak ada langsung yang disembah itu yang datang untuk menolong mereka.

Ada juga Ulamak tafsir yang mengatakan bahawa kata ini disebut oleh malaikat-malaikat penjaga langit. Iaitu semasa orang-orang zalim itu melalui langit-langit, para malaikat itu kata mereka tak nampak pun pemberi-pemberi syafaat mereka itu.

الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ

yang kamu anggap bahwa mereka itu sekutu-sekutu Tuhan di antara kamu.

فِيكُمْ bermaksud, dulu semasa di dunia mereka kata sembahan itu layak disembah bersama dengan Allah.
Keduanya, dulu semasa mereka di dunia, mereka katakan sembahan itu juga mengurus hidup mereka sebagaimana Allah juga. Sebagai contoh, ada yang kata wali-wali tarekat mereka ada yang menurunkan hujan, menjaga masa dan sebagainya. Itulah kebodohan mereka yang mereka tunjukkan. Semua itu tidak ada dalil melainkan khayalan mereka sahaja.

لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ

Sungguh telah terputuslah (pertalian) antara kamu

Apa-apa sahaja hubungan antara mereka dan sembahan-sembahan syirik mereka itu akan terputus pada hari kiamat nanti.

وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

dan telah lenyap daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap (sebagai sekutu Allah).

Apa-apa sahaja fahaman mereka tentang hari kiamat dan tentang pemberian syafa’at pada hari itu akan hilang belaka. Dulu semasa di dunia, mereka yakin sangat yang mereka akan ditolong oleh wali-wali mereka, tapi apabila di akhirat kelak, barulah mereka nampak dan tahu yang itu semua tidak akan berlaku.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s