Tafsir Surah al-An’am Ayat 91 – 92

Ayat 91:

6:91
Sahih International

And they did not appraise Allah with true appraisal when they said, ” Allah did not reveal to a human being anything.” Say, “Who revealed the Scripture that Moses brought as light and guidance to the people? You [Jews] make it into pages, disclosing [some of] it and concealing much. And you were taught that which you knew not – neither you nor your fathers.” Say, ” Allah [revealed it].” Then leave them in their [empty] discourse, amusing themselves.

Malay

Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya ketika mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia”. Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): “Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?” Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ

Dan mereka tidak menghargai Allah dengan penghargaan yang sepatutnya,

Perkataan قَدَرُوا dari katadasar ق د ر yang bermaksud ‘menilai sesuatu benda’. Dalam bahasa kita pun kita guna perkataan ‘kadar’ kan? Jadi kita boleh agak-agak maknanya. Iaitu kita mencari kadar nilai sesuatu perkara. Dan kita hanya boleh menilai sesuatu perkara itu selepas kita mengkaji tentangnya. Selepas kita buat kajian dan kita telah mengenali sesuatu perkara itu barulah kita boleh menilai dan meletakkan kadarnya. Dan kita kena nilai sesuatu perkara itu dari berbagai-bagai sudut. Seperti tukang emas yang melihat kepada emas, dia akan melihat pada sudut kualiti emas itu. Dia akan menilai berapa berat emas itu, ukiran pada emas itu, kualiti warna emas itu dan sebagainya. Tetapi kita orang biasa ini mungkin tidak tahu menilai. Kita hanya sekali pandang sahaja dan kita lihat cantik atau tidak sahaja pada mata kita yang tidak tahu emas ini. Jadi mereka yang mengetahui sesuatu perkara itu akan tahu kadar nilainya. Seperti pepatah Melayu yang mengatakan: “Hanya Jauhari yang mengenal Maknikam”. Begitu juga lagi satu pepatah: “Tak kenal, maka tak cinta”.

Siapakah ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Ada yang kata ia merujuk kepada puak Musyrikin dan ada juga yang kata yang merujuk kepada orang Yahudi. Tetapi maksud ayat ini dalam bentuk umum, jadi ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kebanyakan manusia’. Oleh itu merangkumi puak musyrikin dan juga puak Yahudi dan keseluruhan manusia. Jangan kita hadkan maksudnya kepada manusia pada zaman itu sahaja, tapi kita luaskan maknanya kepada setiap zaman. Memang semasa ianya diturunkan, ianya tentang puak Musyrikin dan Yahudi, tapi mereka itu sebagai contoh sahaja. Kita kena bandingkan kepada diri kita, adakah kita pun sama macam mereka juga?

Ayat ini memberitahu kita bahawa manusia tidak mengenal Allah seperti mana sepatutnya Dia dikenali. Oleh kerana tidak kenal Allah, maka kita tidak menghargaiNya. Oleh itu juga, Allah tidak dihormati sebagaimana Dia patut dihormati. Manusia kebanyakannya tidak mengenali kehebatan dan kemuliaan Allah. Oleh itu, mereka tidak menghargai Allah.

Seperti yang telah disebut, ada yang mengatakan bahawa ‘mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Orang Yahudi memang tidak menghargai Allah, iaitu apabila Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad, mereka tidak mahu menerimanya. Kerana mereka sombong tidak dapat terima yang wahyu diturunkan kepada bangsa lain dari bangsa mereka. Sama juga dengan orang kita yang tidak mahu belajar tafsir Quran kerana yang mengajar tafsir itu bukan dari ‘puak’ mereka. Mereka buat tak kisah saja kepada ajaran tafsir Quran ini. Mereka bangga dengan apa yang mereka dah ada, seperti juga bangsa Yahudi yang bangga dengan apa yang mereka ada.

Ayat ini mengajar kita bahawa kita perlu mengenali, kita kena belajar tentang Allah dan kena kenal Allah. Dan untuk mengenal Allah ini kenalah kita belajar tafsir Quran kerana Allah lah yang boleh menceritakan tentang diriNya sendiri. Bukannya belajar Sifat 20 yang banyak dilakukan oleh orang kita. Sifat 20 itu adalah karangan dan susunan manusia, padahal, sifatNya telah disebut dalam Quran. Jadi, kita kena kenal SEMUA sifat Allah, bukan setakat 20 sahaja. Kita bukan hanya kenal Allah sebagai Tuhan sahaja tapi kita tetapi kita tahu dengan sifat-sifatNya sekali. Ini penting kerana ramai yang tahu Allah itu Tuhan dan Allah telah jadikan kita semua. Tapi setakat itu sahaja. Kalau yang belajar Sifat 20 pula, hanya tahu setakat 20 sifat sahaja. Itu pun akan susah nak faham kerana Sifat 20 itu disusun dalam bentuk falsafah yang memang sifatnya ilmu falfasah itu memeningkan manusia.

Tapi kita bukan hanya settakat tahu dan kenal Allah sahaja, tetapi hendaklah kita juga beramal. Iaitu kita kena mengikut perintahNya dan meninggalkan laranganNya. Iaitu setelah kita mengetahui kebesaranNya dan kemuliaanNya, maka kita kena ambil berat dengan arahan dan laranganNya. Itulah maksudnya menghargai Allah dengan sebenar-benar penghargaan. Dari itu tidaklah kita ambil ringan dengan arahan dan laranganNya. Jangan kata kita kenal Allah, tapi suruhanNya kita buat tidak tahu sahaja.

Dan apabila kita tahu sifatNya, maka kita tidak memberikan sifat yang sama kepada makhluk yang lain. Kerana memberikan sifat Allah kepada makhluk juga adalah syirik. Ini ramai yang tidak tahu. Mereka hanya sangka syirik itu kalau ‘menyembah’ selain dari Allah sahaja. Itulah kekeliruan masyarakat kita. Syirik ini adalah satu kesalahan yang amat-amat besar, maka oleh itu, kita janganlah melakukan syirik kepada Allah. Sebagai contoh, apabila kita kata Allah Maha Mendengar, kita tidak boleh kata yang ada orang yang boleh mendengar isi hati kita kalau kita tidak cakap. Kerana sifat mendengar yang sebegitu hanya ada pada Allah sahaja. Tapi malangnya, ada orang yang takut bercakap dan bersalam dengan ‘orang-orang alim’, kerana takut ‘orang-orang alim’ itu boleh dengar hati mereka. Itu adalah fahaman yang syirik kerana hanya Allah sahaja yang boleh tahu apa yang dalam hati kita.

Dengan mengenal Allah lah baru akan mencapai ma’rifah (kenal) Allah. Inilah ma’rifah yang sebenarnya, bukanlah seperti yang disebut sebut oleh kumpulan tarikat itu. Mereka kononnya hendak mencapai tahap ma’rifat dengan hanya berdzikir siang dan malam tetapi tidak pun belajar wahyu-wahyu Allah.

إِذْ قَالُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ عَلَىٰ بَشَرٍ مِّن شَيْءٍ

di kala mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatupun kepada manusia”.

Mereka sanggup kata bahawa Allah tidak menurunkan apa-apa wahyu kepada manusia. Dari bahasa yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan bahawa mereka menolak langsung bahawa Allah ada menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia.

Inilah yang dikatakan mereka tidak menghargai Allah dengan sebenar-benarnya. Kerana kalau mereka tahu dan kenal Allah dengan yang sepatutnya, tentulah mereka tahu bahawa Allah lah yang memberi hidayah yang mendidik manusia. Takkan Allah biarkan manusia begitu sahaja selepas Dia menciptakan mereka. Allah bersifat Rahman yang bermaksud Allah sangat sayang kepada hambaNya. Apabila Allah sayang makhlukNya, Allah beri pedoman bagaimana menjalani hidup yang boleh membawa ke syurga.

Sebenarnya, mereka tidak mahu terima bahawa Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad. Oleh kerana mereka nak tolak wahyu kepada Nabi, sampai sanggup mereka kata yang Allah tak pernah turunkan wahyu kepada sesiapa pun.

Orang kita pun begitu juga. Mereka memang terima bahawa Quran telah diturunkan kepada Nabi Muhammad. Tapi yang mereka tidak boleh terima adalah tafsir kepada ayat-ayat itu. Oleh itu, bila kita memberitahu mereka apakah maksud sesuatu ayat itu, mereka tidak dapat menerimanya. Iaitu apabila tafsir yang kita beritahu mereka itu berlawanan dengan pemahaman mereka. Mereka akan kata bukan begitu maksud ayat itu. Padahal mereka pun belum pernah belajar tafsir lagi.

Sebagai contoh, apabila kita katakan bahawa amalan membaca Talqin kepada simati tidak sesuai dengan ayat Fathir:22 yang mengatakan bahawa orang yang mati tidak dapat mendengar, mereka tidak dapat terima. Atau, apabila kita beritahu yang Allah telah sebut di dalam tujuh tempat dalam Quran bahawa Allah istiwa’ di Arash, mereka akan kata maksud ayat itu adalah Istawla, iaitu memerintah; mereka kata kita sahaja yang pandai-pandai tafsir ayat itu sebegitu.

قُلْ مَنْ أَنزَلَ الْكِتَابَ الَّذِي جَاءَ بِهِ مُوسَىٰ

Katakanlah: “Siapakah yang menurunkan kitab (Taurat) yang dibawa oleh Musa

Allah ajar Nabi untuk menghadapi kata-kata mereka itu. Allah suruh Nabi tanya mereka balik.

Ingatlah bahawa Surah al-An’am ini adalah surah Makkiah. Waktu itu, penerima dakwah yang pertama dalah bangsa Arab. Mereka tak kenal sangat Nabi Musa. Jadi kenapa disebut tentang Nabi Musa? Yang kenal sangat dengan Nabi Musa adalah kaum Yahudi yang waktu itu berada di Madinah. Kisah Nabi Musa disebut kerana Allah nak sentuh puak Yahudi. Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, puak Musyrikin Mekah sudah ada interaksi dengan Kaum Yahudi di Madinah. Merekalah yang memberikan soalan-soalan kepada Musyrikin Mekah untuk ditanya kepada Nabi Muhammad untuk menjatuhkan baginda.

Baik, kalau mereka kata Allah tidak pernah menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia, lalu bagaimana mereka boleh terima bahawa Nabi Musa telah menerima Kitab Taurat dari Allah? Kenapa mereka ada double standard? Kalau Nabi Musa terima wahyu dan kitab, mereka boleh terima tapi apabila Nabi Muhammad diberikan Quran, mereka tak boleh terima pula?

نُورًا وَهُدًى لِّلنَّاسِ

sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia,

Ini merujuk kepada kitab Taurat yang telah diberikan kepada Nabi Musa dan kaumnya. Memang kitab Taurat itu menjadi petunjuk dan pedoman kepada umat Nabi Musa dan bangsa Yahudi. Sebagaimana Quran adalah cahaya dan pertunjuk kepada kita juga.

Kitab Taurat mempunyai persamaan dengan Quran iaitu mengandungi ajaran tentang tauhid. Cuma berbeza daripada segi syariat yang disampaikan kerana syariat Nabi Musa dan Nabi Muhammad tidak sama.

تَجْعَلُونَهُ قَرَاطِيسَ

kamu jadikan kitab itu lembaran-lembaran kertas yang bercerai-berai,

Kitab Taurat tu asalnya diturunkan sudah siap tertulis dalam bentuk kitab dan diberikan kepada umat Nabi Musa. Ianya berlainan dengan Quran yang diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad yang mengambil masa hampir 23 tahun. Nabi Musa a.s. sebenarnya telah mendapat kitab Taurat itu dalam satu buku yang lengkap tetapi pendita–pendita itu kemudiannya telah memecah-mecahkannya. Mereka pecah-pecahkan jadi lembaran.

Kita kena faham bahawa penganut Yahudi yang biasa tidak dapat memegang pun kitab Taurat sepenuhnya. Ianya hanya ada pada pendita-pendita Yahudi. Mereka simpan dalam tempat arkib mereka seperti yang kita boleh bayangkan kerana kita selalu melihat filem-filem yang melibatkan rahib mereka. Mereka amat jaga supaya jangan jatuh ke tangan penganut umum. Tidaklah macam Quran kita ini, yang semua orang dengan senang sahaja boleh dapat tengok dan pegang. Apabila kitab Taurat itu tidak ada pada tangan penganut Yahudi yang biasa, maka senanglah para pendita nak kawal maklumat yang sampai kepada mereka. Apabila kitab Taurat itu telah dipecah-pecahkan, jadi ramai yang tidak dapat membaca keseluruhan kitab Taurat. Oleh itu mereka tidak dapat cerita yang penuh tentang agama. Maka senanglah pendita-pendita Yahudi itu untuk mereka-reka hal agama.

Itulah bahayanya apabila kitab Taurat itu dipecah pecahkan. Adakah ini terjadi kepada orang Islam? Tidakkah kita lihat bagaimana Quran itu telah dipecahkan, di mana ada pula buku kecil Surah Yasin? Dan ada pula Muqaddam yang hanya mengandungi ayat Quran dari juz 30 sahaja? Dan juga ada kitab kecil yang hanya mengandungi surah-surah Lazim sahaja? Apabila dipecah-pecahkan sebegitu, maka masyarakat kita yang jahil hanya tahu tentang surah Yassin sahaja ataupun surah-surah Lazim sahaja. Oleh itu, mereka jahil dari ayat-ayat lain. Mereka tidak tahu keseluruhan agama. Banyak sangat yang tidak diketahui oleh masyarakat kita. Oleh itu, marilah kita mengajar anak-anak kita dan ahli keluarga kita keseluruhan 30 juzuk Quran ini. Jangan pecah-pecahkan Quran itu. Jangan tumpukan kepada surah-surah tertentu sahaja. Bukan setakat baca sahaja, tapi marilah belajar tafsir ini supaya kita boleh faham kehendak Allah kepada kita.

Jangan kita pilih-pilih ayat mana yang kita suka untuk dibaca tapi bacalah keseluruhan Quran itu. Kalau kita memasak, tentu kita nak masukkan keseluruhan ramuan, tentu kita tidak memilih-milih ramuan mana yang kita suka dari resipi itu bukan? Tentu kita akan masukkan semua sekali ramuan yang ada kerana kita nak makanan itu jadi sedap seperti yang sepatutnya. Tapi malangnya ramai yang tidak kenal sepenuhnya dengan Quran ini. Masyarakat kita sudah semakin jauh dari Quran. Sebab itulah sekarang ini kita boleh lihat bagaimana ustaz-ustaz dan guru agama yang mengajar di sekolah, di madrasah, di surau dan juga di Masjid, mereka sendiri pun tidak mahir dengan Quran. Mereka pun tidak belajar Quran. Memang mereka tahu sedikit tentang Quran tapi hanyalah surah-surah yang lazim dibaca. Itu adalah kesan apabila kalam Allah dipecah-pecahkan. Jangan kita jadi seperti orang Yahudi.

Jadi pendita-pendita Yahudi telah mencerai-beraikan Kitab Taurat itu. Kenapa mereka nak pecah-pecahkan kitab Taurat itu? Supaya senang mereka nak tunjuk sedikit dan sorok sedikit dari pengikut mereka.

تُبْدُونَهَا

kamu perlihatkan (sebahagiannya)

Ada bahagian-bahagian daripada kitab Taurat itu yang pendita-pendita Yahudi rasa mereka boleh tunjukkan kepada pengikut-pengikut mereka.

Guru-guru agama kita pun ada perangai pendita Yahudi ini. Mereka pun hanya menceritakan sebahagian ayat-ayat Quran sahaja. Kalau dalam masyarakat kita sekarang, itulah ayat-ayat tentang feqah, tentang sejarah dahulu dan sebagainya. Iaitu ayat-ayat yang ‘selamat’. Tentang tauhid, tentang Jihad, tentang tawasul dan lain-lain lagi, mereka tak cerita. Mereka pun tak tahu nak cerita kerana mereka pun tidak belajar juga.

وَتُخْفُونَ كَثِيرًا

dan kamu sembunyikan sebahagian besarnya,

Tapi ada banyak bahagian lagi yang mereka sembunyikan daripada penganut Yahudi. Mereka simpan dalam arkib-arkib mereka. Orang tertentu sahaja yang boleh tengok. Kristian pun sampai sekarang buat macam itu. Entah apa yang ada di Vatican itu. Mereka sorok banyak maklumat dari penganut mereka.

Antara yang mereka sorokkan waktu itu adalah tentang kedatangan Nabi Muhammad. Dan tentang sifat-sifat dan tanda kedatangan baginda.

Begitulah juga yang dilakukan oleh ustaz-ustaz kita. Mereka banyak menceritakan tentang ibadat-ibadat dan hukum hakam yang perlu dilakukan oleh manusia. Tetapi tentang perkara penting seperti tauhid, mereka tidak sampaikan kepada masyarakat. Mereka cuma ajar perkara yang ‘perlu dibuat’, tapi mereka tidak mengajar perkara ‘yang perlu ditinggalkan’. Oleh sebab itulah masyarakat Islam di Malaysia ini amat jahil tentang perkara tauhid dan syirik.

Mereka tak berani nak cerita sebab mereka takut anak-anak murid mereka tidak dapat menerimanya. Dan apabila anak-anak murid tidak dapat terima, anak murid itu tidak akan panggil lagi mereka untuk datang mengajar. Apabila mereka tidak kena panggil untuk mengajar lagi, maka hilanglah punca pendapatan mereka kerana mereka memang mencari pendapatan dari kelas pengajian mereka itu. Maknanya, ini semua adalah kerana duit juga.

Ataupun ada kemungkinan mereka sendiri tak tahu yang perbuatan itu adalah kufur dan syirik. Kerana mereka sendiri pun mungkin tidak tahu kerana mereka sendiri tidak belajar.

Oleh sebab itulah walaupun kekufuran dan kesyirikan dilakukan secara berleluasa oleh masyarakat Islam di negara kita ini, tidak ada sesiapa pun yang tegur. Sampaikan apabila ada yang sembah kubur, sembah Sultan, sembah guru silat dan sebagainya, tidak ada sesiapa pun yang melarang. Semuanya yang tengok perbuatan itu macam biasa sahaja. Padahal ianya adalah perbuatan kufur dan syirik.

Dan apabila ada yang tegur, seperti kita yang hendak mengembalikan manusia kepada tauhid, kita pula yang nampak pelik. Sebab macam kita sahaja yang beriya-iya cakap perkara ini tapi orang lain, ustaz lain, guru lain buat senyap sahaja. Padahal, apa yang kita perkatakan ini adalah dari Quran, yang kita sentuh berkali-kali dalam tulisan ini.

وَعُلِّمْتُم مَّا لَمْ تَعْلَمُوا أَنتُمْ

telah diajarkan kepadamu apa yang kamu sendiri tidak tahu

Allah mengingatkan kepada mereka bahawa apa yang Taurat itu sampaikan adalah perkara-perkara yang mereka sendiri tidak tahu sebelum itu. Mereka telah diajar dengan ilmu yang ada dalam Taurat itu. Yang dulu mereka tiada pengetahuan tentangnya. Allah lah yang beritahu kepada mereka.

Ayat ini juga adalah tentang Quran dan ayat ini ditujukan kepada umat Nabi Muhammad. Ianya mengingatkan kepada kita bahawa Allah telah mengajar kita dengan Quran. Mengajar kita tentang perkara-perkara yang kalau Allah tak ajar, kita tidak akan dapat untuk mencapainya.

Ayat ini hendak mengingatkan kepada manusia bahawa di dalam Quran itu mengandungi banyak pengetahuan-pengetahuan yang berguna dan diperlukan oleh manusia. Yang dulunya kita tidak ada pun pengetahuan itu.

وَلَا آبَاؤُكُمْ

dan bapa-bapa kamu pun tidak mengetahui(nya)?”

Bukan mereka sahaja yang tidak tahu tetapi bapa-bapa mereka dan tok nenek mereka pun tidak tahu tentang ilmu agama sebelum diturunkan Quran atau Taurat itu kepada mereka.

Orang Yahudi memandang rendah bangsa Arab. Sebab mereka kata orang-orang Arab tidak pernah mendapat kitab dan tidak ada agama. Tetapi bagaimana pula dengan mereka? Bukankah mereka dulu sebelum mendapat kitab Taurat pun mereka tidak tahu apa-apa? Keturunan mereka dahulu pun tidak tahu apa-apa. Maknanya, semua manusia ini bermula daripada tidak tahu sehinggalah Allah telah memberikan sedikit dari ilmuNya kepada kita.

Oleh itu janganlah pandang rendah kepada mereka yang tidak tahu agama lagi, kerana dulu pun kita bermula dari tidak tahu. Kita yang baru belajar tafsir ini pun dulunya berasal dengan buat benda-benda syirik juga. Alhamdulillah, Allah telah memberi kita hidayat dan ditunjukkan kita dengan ilmu pengetahuan.

Allah menyebut sebelum ini tentang Musyrikin Mekah dan bangsa Yahudi yang sesat. Bagaimana pula dengan kita sekarang? Adakah kita telah faham Quran? Adakah kita telah selamat? Belum tentu lagi. Kalau kita tidak belajar tafsir Quran, samalah juga kita dengan mereka yang tidak pernah mengenal Quran.

قُلِ اللَّهُ

Katakanlah: “Allah-lah (yang menurunkannya)”,

Ayat ini adalah untuk menjawab soalan yang telah diberikan sebelum ini iaitu siapakah yang telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

Mungkin orang Yahudi yang dibacakan ayat Quran itu tidak mahu menjawab soalan itu, maka Allah telah menjawabnya.

ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ

kemudian biarkanlah mereka bermain-main dalam kesesatannya.

Dalam ayat ini perkataan ذَرْ digunakan untuk membawa maksud ‘tinggalkan’. Ada satu lagi perkataan ‘tinggalkan’ yang digunakan dalam Quran iaitu ترك. Apakah bezanya? ذَرْ digunakan apabila yang ditinggalkan itu adalah sesuatu yang hina. Yang tidak bernilai langsung.

Tinggalkan mereka dalam perbuatan mereka mencari-cari kesalahan Quran dan mencari-cari kelemahan Quran. Ayat ini adalah pengulangan kepada suruhan untuk meninggalkan mereka yang memperolok-olokkan Quran seperti dalam ayat yang telah disebut sebelum ini. Sila rujuk ayat 68-70 surah ini.


 

Ayat 92:

6:92
Sahih International

And this is a Book which We have sent down, blessed and confirming what was before it, that you may warn the Mother of Cities and those around it. Those who believe in the Hereafter believe in it, and they are maintaining their prayers.

Malay

Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.

وَهَٰذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ

Dan ini (Al Quran) adalah kitab yang telah Kami turunkan yang diberkahi;

Jarang Allah menggunakan perkataan هذا untuk merujuk kepada Quran. Selalunya kata tunjuk yang digunakan adalah perkataan  ذلك yang bermaksud ‘itulah’. Apabila perkataan هذا digunakan seperti dalam ayat ini, ia menunjukkan ‘dekat’. Dan apabila digunakan sebegini, Allah hendak menjelaskan bahawa ianya diturunkan dariNya. Iaitu Quran itu bukan dari sesiapa, tetapi dari Allah, Tuhan sekalian alam. Maka, jangan kita pandang ringan Quran ini. Ianya dari ALLAH! Jangan kita buat tak tahu sahaja. Jangan kita letak sahaja tanpa dibaca dan difahami!

مُبَارَكٌ bermaksud sesuatu yang penuh barakah didalamnya. ‘Barakah’ pula bermaksud sesuatu kebaikan yang semakin bertambah dan berkembang. Walaupun kuantitinya mungkin sedikit tetapi kebaikan yang dikeluarkan darinya begitu banyak sekali. Sebagai contoh, kadang-kadang segelas air tidak dapat menghilangkan haus kita. Tetapi kadang-kadang dengan seteguk dua sahaja telah dapat menghilangkan haus kita. Itulah bezanya kalau ada barakah atau pun tidak; atau tidakkah kita melihat bagaimana satu keluarga yang berpendapatan sedikit tapi cukup sahaja. Tapi ada yang gajinya tinggi tapi sentiasa sahaja tidak cukup. Itulah bezanya pendapatan yang ada barakah dan tidak.

Quran itu penuh dengan kebaikan. Quran itu mengandungi ajaran-ajaran yang tidak pun terdapat dalam kitab-kitab kalam Allah seperti Taurat dan Injil. Itu adalah kelebihan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad sebagai umat Islam terakhir dunia ini.

مُبَارَكٌ juga bermaksud sesuatu yang menjadi ‘sumber kebaikan’. Dengan mempelajarinya, kita akan mendapat banyak kebaikan. Kebaikan itu pula akan bertambah dan bertambah. Oleh itu, belajarlah Quran untuk mendapat keberkatan. Bukanlah keberkatan didapati dari kubur wali, dari ustaz itu dan dan ini, dari orang yang baru balik Haji dan sebagainya. Itu semua adalah salah faham yang amat sangat tentang ‘berkat’.

Oleh itu Quran bukan sahaja mengandungi kebaikan tetapi ia juga menjadi sumber kebaikan untuk kita semua, asalkan kita membuka minda kita untuk mempelajarinya. Bila kita belajar Quran dan memahami tafsir Qur’an dengan baik, maka kita akan mendapat banyak kebaikan didalamnya. Ianya akan mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.

مُّصَدِّقُ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ

membenarkan kitab-kitab yang (diturunkan) sebelumnya

Sekali lagi puak Yahudi disentuh dalam ayat ini. Merekalah yang telah mendapat Kitab dari Allah sebelum ini. Allah memberitahu kepada kita bahawa kitab-kitab sebelumnya seperti Taurat, Injil dan Zabur dan lain-lain lagi. Allah memberitahu kepada kita bahawa kitab-kitab itu adalah benar belaka.

Allah hendak memberitahu kepada orang Yahudi bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ini dan Qur’an yang diajarkan bukanlah membawa perkara yang baru tetapi meneruskan apa yang ada didalam kitab-kitab yang dahulu. Maka, janganlah lawan dengan Quran itu kerana ianya membenarkan apa yang mereka ada, bukan nak buat agama yang lain.

Begitulah juga apabila kita membawakan jalan Sunnah ini kepada masyarakat kita. Kita bukanlah membawa perkara baru dalam agama ini. Sebaliknya kita memegang ajaran yang dibawa oleh para Nabi. Tetapi ada masyarakat yang mengatakan bahawa kita ini membawa agama yang baru. Yang tidak pernah diperkatakan oleh tok nenek mereka. Mereka kata kita  ini yang sesat. Ini terjadi kerana masyarakat Islam di negara ini sudah lama jauh daripada ajaran Qur’an dan Sunnah. Jadi apabila kita mengajar mereka ajaran Sunnah yang asal, maka apa yang kita bawa ini pun jadi pelik kepada mereka. Pepatah Arab ada mengatakan: “manusia memusuhi apa yang mereka tidak ketahui”.

وَلِتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ

dan agar kamu memberi peringatan kepada (penduduk) Ummul Qura (Mekah)

أُمَّ dari segi bahasa bermaksud ‘ibu’. Ia juga bermaksud ‘asal’ kepada sesuatu.
الْقُرَىٰ pula bermaksud ‘pekan’ ataupun ‘bandar’. Jadi perkataan أُمَّ الْقُرَىٰ bermaksud ‘ibu kepada bandar’. Ia juga boleh bermaksud ‘asal’ kepada semua pekan dan bandar.

Yang dimaksudkan أُمَّ الْقُرَىٰ dalam ayat ini adalah Mekah. Kenapakah Mekah digelar Ummul Qura?

Pertamanya, Mekah itu adalah kiblat kepada semua pekan dan bandar. Walau di mana pun kita berada, kita akan mengadap kepada Mekah dalam solat kita.

Keduanya, kerana Mekah itu ialah tempat datangnya mereka yang hendak melakukan Tawaf dan Haji. Manusia datang dari merata tempat untuk melawat Kaabah.

Mekah adalah tempat yang mula-mula sekali mempunyai penduduk yang ramai dalam Semenanjung Arab. Kerana di situlah terletaknya Kaabah dari dulu lagi. Dan Allah telah memberitahu kita bahawa memang Kaabah adalah rumah ibadat yang pertama dalam dunia.

Dari sudut geografi juga, memang Mekah berada di tengah-tengah. Kalau kita lihat dalam peta dunia pun, kita akan nampak bagaimana memang Mekah berada di tengah-tengah dunia.

Ianya juga dikatakan sebagai Ummul Qura kerana ianya adalah tempat yang disayangi oleh semua orang. Seperti ibu dalam keluarga kita. Kalau dengan ahli keluarga kita pun, yang paling penting adalah ibu kita. Kalau adik beradik lain mungkin kita tidak lawat selalu, tapi kalau ibu kita, memang kita sentiasa melawatnya.

Mekah juga memang seperti ibu negara tanah Arab waktu itu. Ianya adalah tempat berkumpulnya semua berhala-berhala yang besar. Dari sini, Allah mengajar kita bagaimana cara mengembangkan Islam. Iaitu hendaklah kita ‘serang’ pusat kesyirikan. Kalau satu-satu tempat itu adalah tempat pengembangan syirik, maka disitulah dakwah perlu dijalankan. Kalau di Malaysia ini, di mana agaknya? Adakah Pulau Besar?

Banyak tempat berlakunya syirik pada zaman Nabi tetapi lihatlah bagaimana Allah telah menghantar Nabi Muhammad ke pusat kesyirikan paling besar pada zaman itu. Dan walaupun baginda telah berhijrah ke Madinah, baginda masih lagi selalu diingatkan dengan Mekah, sekurang-kurangnya apabila baginda mengadap kiblat dalam solat. Hanya apabila Fath Makkah (Pembukaan Mekah) barulah Pusat Syirik itu dihapuskan dan digantikan menjadi Pusat Islam.

وَمَنْ حَوْلَهَا

dan orang-orang yang di luar lingkungannya.

Nabi diingatkan untuk memberi peringatan bukan hanya kepada penduduk Mekah sahaja tetapi kawasan sekitarnya juga. Perkataan ‘sekitar’ ini bukan hanya bermaksud sekitar Semenanjung Arab sahaja tetapi bermaksud seluruh dunia. Dan memang Nabi buat begitu dan kemudian usaha baginda disambung oleh para sahabat. Macam sekarang, lihatlah bagaimana mesej Quran ini telah sampai ke seluruh dunia.

Oleh itu hendaklah kita tahu bahawa ada tugas dakwah yang perlu dijalankan untuk seluruh manusia dalam dunia ini. Mesej Quran kena disampaikan kepada semua orang. Sama ada mereka itu Islam ataupun belum masuk Islam lagi. Tetapi persoalannya, adakah kita sedang menyampaikan mesej Quran ini kepada semua orang yang kita jumpa? Bagaimana hendak kita sampaikan kalau kita sendiri belum mahir dengan tafsir Quran? Maka marilah belajar tafsir Quran ini. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Jangan belajar ayat-ayat yang lazim sahaja tapi keseluruhan Quran itu.

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ يُؤْمِنُونَ بِهِ

Dan orang-orang yang beriman kepada adanya kehidupan akhirat, tentu beriman kepadanya (Al Quran)

Kalau kita percaya kepada hari akhirat, maka sudah semestinya kita kena percaya dan beriman kepada Quran ini.

Dan maksud ‘beriman dengan Quran’ bukan hanya percaya bahawa Quran itu diturunkan oleh Allah. Itu semua orang Islam sudah percaya. Tetapi selain itu, hendaklah kita menerima isikandungnya dan mengamalkannya dalam kehidupan kita setiap hari. Tetapi kalau kita tidak belajar tafsir, bagaimana kita boleh tahu isi kandung Quran ini?

وَهُمْ عَلَىٰ صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

dan mereka selalu memelihara sembahyangnya.

Dan mereka yang beriman dengan hari akhirat juga, selain daripada beriman dengan Quran, mereka akan menjaga juga solat mereka.

Oleh kerana surah al-An’am ini diturunkan di hujung period di Makkah, maka kewajipan solat telah ada. Tapi waktu itu, kiblat solat adalah Masjidil Aqsa.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menjaga solat’? Ia merangkumi banyak perkara. Bukan hanya setakat solat yang bermula dengan takbir dan berakhir dengan salam.

Pertamanya, ia bermaksud menjaga syarat-syarat keperluan untuk solat seperti kebersihan tempat solat, mandi junub, wuduk, kebersihan pakaian kita dan sebagainya. Kerana kalau semua itu tidak dijaga, maka akan sia-sia sahaja solat itu kerana tidak diterima. Semua itu dapat diketahui apabila kita belajar hadis.

Keduanya, ia bermaksud menjaga cara-cara solat, iaitu mengerjakan solat dengan cara yang betul. Oleh itu seorang Muslim kenalah belajar cara-cara solat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi. Tapi malangnya, masyarakat kita tidak pernah belajar dengan betul cara-cara melakukan solat. Mereka hanya belajar solat sewaktu di sekolah rendah dulu dan ilmu itulah yang mereka pakai sampai ke tua. Pada hal, ada banyak kesalahan dengan cara solat yang diajar di sekolah dulu. Hasilnya, apabila kita berada di masjid, macam-macam jenis solat kita akan tengok. Dan apabila ada yang menggerak-gerakkan jarinya dalam tahiyat, ada yang pandang serong dengan orang itu. Amat menyedihkan sekali.

Kepada para sahabat, mereka mempunyai satu tanggungjawab yang lebih besar lagi. Mereka disuruh ‘menjaga solat’ mereka. Tetapi di dalam masa yang sama, semasa mereka di Madinah apabila kiblat sudah ditukar ke Mekah, mereka semua sedar bahawa mereka sedang mengadap kepada Ka’bah yang dipenuhi dengan berhala-berhala syirik. Jadi setiap kali mereka sedang solat, mereka sedar bahawa mereka juga dalam masa yang sama sedang mengadap kepada berhala-berhala itu. Oleh itu, kalau mereka hendak ‘menjaga solat’ mereka, maka mereka hendaklah membersihkan Kaabah daripada berhala-berhala itu. Jadi di dalam ayat ini sudah ada isyarat bahawa mereka perlu mengambil alih Mekah dan Kaabah. Mereka kena bebaskan Kaabah dari elemen syirik.

Allahu a’lam.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: NAK, TZ , NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s