Tafsir Surah al-An’am Ayat 86 – 90

Ayat 86:

6:86
Sahih International

And Ishmael and Elisha and Jonah and Lot – and all [of them] We preferred over the worlds.

Malay

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).

وَإِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا

dan Ismail, Alyasa’, Yunus dan Luth.

Sekarang nama anak Nabi Ibrahim yang seorang lagi pula disebut, iaitu Nabi Ismail a.s. Nabi Luth a.s. adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Sepatutnya bukanlah keturunan kalau hendak dikirakan. Tapi dimasukkan juga dalam senarai ini. Tidaklah semestinya kalau dimasukkan dalam senarai, bermaksud termasuk dalam keturunannya. Seperti juga Iblis bukanlah malaikat, tapi dalam kisah penyembahan kepada Nabi Adam, Iblis dimasukkan dalam senarai malaikat. Tapi bukanlah dia termasuk dalam golongan malaikat pula. Dia adalah dari golongan jin.

وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ

Semuanya Kami lebihkan derajatnya di atas umat (di masanya),

Ditinggikan derjat mereka dengan diberikan pangkat kenabian kepada setiap mereka. Tidak ada derjat yang lebih tinggi bagi manusia daripada Nabi.

Apabila nama-nama Nabi ini disebut, puak Musyrikin Mekah tak tahu pun nama-nama Nabi itu. Tapi yang mengenali mereka adalah puak Yahudi. Tentulah mereka kehairanan bagaimana Nabi Muhammad boleh tahu. Kerana mereka tahu yang Nabi Muhammad itu dari bangsa Arab dan bangsa Arab tidak ada pengetahuan tentang Nabi-nabi terdahulu.

Jadi, ayat-ayat yang menyebut tentang senarai Nabi-nabi ini adalah ditujukan kepada bangsa Yahudi yang hidup di zaman Nabi Muhammad. Kerana mereka yang kenal Nabi-nabi ini kerana Nabi-nabi ini ada dalam senarai Nabi-nabi yang mereka kenali. Ini bermakna, puak Yahudi telah disentuh semasa Nabi masih lagi di Mekah. Ini adalah kerana sudah ada perhubungan antara puak Arab Mekah dan puak Yahudi di Madinah. Iaitu apabila puak Musyrikin Mekah telah kehabisan idea untuk menentang Nabi, mereka telah pergi bertanya kepada kaum Yahudi yang waktu itu sudah bermastautin di Madinah (dikenali dengan nama Yathrib waktu itu). Jadi Allah sudah mula sentuh mereka. Sudah ada ayat-ayat yang menyebabkan mereka tertanya-tanya.


 

Ayat 87:

6:87
Sahih International

And [some] among their fathers and their descendants and their brothers – and We chose them and We guided them to a straight path.

Malay

Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

وَمِنْ آبَائِهِمْ

Dan Kami lebihkan (pula) derajat sebahagian dari bapa-bapa mereka,

Merujuk kepada datuk-datuk Nabi-nabi yang telah disebut sebelum ini. Mereka telah diberikan dengan pangkat kenabian.

وَذُرِّيَّاتِهِمْ

dan keturunan mereka

Iaitu keturunan selepas mereka. Pun diberikan dengan derajat yang tinggi dengan dinaikkan menjadi Nabi.

وَإِخْوَانِهِمْ

dan saudara-saudara mereka.

Ayat ini merujuk kepada ayat sebelum ini yang bermaksud semua mereka itu ditinggikan derajat dengan diberikan pangkat kenabian.

وَاجْتَبَيْنَاهُمْ

Dan Kami telah memilih mereka (untuk menjadi nabi-nabi dan rasul-rasul)

Allah memilih mereka kerana Allah tahu kelebihan yang ada pada mereka. Perkataan ini adalah satu perkataan yang unik. Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu kelebihan diri kita. Tapi Allah tahu kelebihan diri kita lebih dari diri kita sendiri.

Untuk memahami maksud perkataan ini, kita ambil satu perumpamaan. Katakanlah kita ini seorang yang mempunyai ijazah dalam bidang media. Tapi kerana tidak ada kerja, kita sudah sanggup untuk kerja apa sahaja. Maka, kita nampak satu iklan menawarkan pekerjaan sebagai Graphic Designer. Kita memang tidak ada kelayakan, tapi kita tidak ada peluang lain lagi. Maka, kita pun pergilah ke proses temuduga itu.

Dalam temuduga itu, penemuduga telah menceritakan keperluan kerja sebagai seorang Graphic Designer. Dalam dia bercerita kerja-kerja yang perlu dilakukan, kita sudah mula rasa kita tidak sesuai. Kerana memang kita tidak layak pun, kerana bidang kita adalah bidang media. Di hujung temuramah itu, akhir sekali penemuduga telah menawarkan kerja Graphic Designer itu kepada kita. Tentulah kita kehairanan, kerana kita tahu kita tidak layak bukan?

Tapi penemuduga itu berkata: “Saya sudah lama menemuduga bakal pekerja. Walaupun anda rasa anda tidak sesuai, tapi dari pengalaman saya, saya tahu yang anda boleh buat kerja ini dan anda akan buat kerja ini dengan baik. Jangan takut, anda memang sesuai.”

Begitulah juga diri kita yang telah terpilih untuk membawa jalan sunnah ini. Kita pun tidak tahu bagaimana kita dipilih oleh Allah untuk menyebarkan dakwah ini. Tapi Allah telah pilih kita. Kalau kita fikirkan kekurangan diri kita, memang kita rasa tidak layak. Tapi Allah Maha Mengetahui hambaNya. Kalau Allah telah pilih kita, tentunya kita sesuai untuk menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah ini.

Jadi, balik semula kepada para Nabi itu. Mereka telah ditinggikan derajat menjadi Nabi. Bukan mereka sahaja, tapi ahli keluarga mereka juga. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi. Alangkah besarnya hati apabila keturunan dan waris mereka ramai yang dilantik menjadi Nabi dan sama-sama bekerja untuk agama.

Tapi ingatlah mereka asalnya mula berdakwah berseorangan. Macam kita juga. Bukan semua terus ada ilmu agama. Mula-mula seorang sahaja yang belajar. Kitalah seorang dalam keluarga kita yang mula belajar tafsir Quran dan mula menjalani kehidupan berdasarkan sunnah. Kemudian kita mula ajak orang lain. Lama kelamaan, semakin ramai yang kenal sunnah dan mula untuk mendalami agama seperti kita juga. Tapi, ianya dimulakan dengan diri kita dahulu.

وَهَدَيْنَاهُمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

dan Kami menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

Apakah jalan yang lurus? Jalan yang lurus adalah jalan yang menuju kepada syurga. Menuju ke Syurga adalah tuntutan setiap orang Muslim kerana di situlah tempatnya untuk kita bertemu dengan Allah. Kita sebagai seorang Muslim kena menyimpan niat untuk bertemu dengan Allah. Tapi Allah hanya mahu bertemu dengan hambaNya di dalam syurga. Jadi, untuk bertemu dengan Allah, maka kita hendaklah masuk ke dalam syurga dahulu. Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena lalui jalan yang lurus.

Apakah yang boleh dimaksudkan dengan jalan yang lurus? Seperti telah disebut di dalam ayat Yaasin:61:

وَأَنِ اعْبُدُونِي ۚ هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ
dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.

Dari ayat ini, fahamlah kita yang jalan yang lurus adalah dengan menyembah Allah sahaja. Dan hendaklah kita hanya beribadat dan hanya puja kepada Allah sahaja. Kalau kita sembah Allah, tetapi dalam masa yang sama kita sembah kepada entiti yang lain, itu bermaksud kita telah melakukan syirik kepada Allah.

Oleh itu, mereka yang sembah kepada sultan telah melakukan syirik; pesilat yang sembah guru mereka telah melakukan syirik.

Maksud ‘sembah’ juga perlu diperluaskan. Kita memang tidak sembah kepada entiti-entiti lain sepertimana orang Hindu sembah berhala mereka. Tapi ‘sembah’ itu bermaksud beribadat, sayang, cinta, puja, taat kepada sesuatu perkara atau benda. Jadi, kalau kita beribadat dengan sedekah Fatihah kepada Nabi Muhammad, itu juga dikira sebagai satu perbuatan yang syirik. Kerana baca Quran adalah satu ibadah dan apabila kita lakukan ibadah kepada sesuatu yang selain Allah, itu adalah salah.

Pemahaman ini penting, kerana kalau kita sempitkan pemahaman ‘sembah’ itu seperti sujud sahaja, maka itu adalah salah faham. Kerana salah faham inilah yang menyebabkan banyak masyarakat kita tidak rasa mereka telah buat salah. Apabila kita tegur mereka supaya jangan berdoa berdekatan dengan kubur untuk ambil ‘berkat’, mereka akan jawap: “Tapi kami tidak sembah kubur ini.” Memanglah mereka tidak sujud kepada kubur itu, tapi apabila mereka merasakan di kubur seseorang itu akan menyebabkan doa mereka termakbul, itu adalah salah sekali.

Pemujaan hanya boleh dilakukan kepada Allah Ta’ala saja. Maka kalau ada pemujaan selain kepada Allah, itu ada syirik. Sebagai contoh, ada kalangan masyarakat kita yang memuja keris. Mereka adakan amalan-amalan tertentu untuk perasap keris itu dan juga membersihkannya dengan bahan-bahan tertentu pada hari-hari tertentu. Jadi apa yang mereka lakukan adalah satu bentuk pemujaan yang mereka sendiri mungkin tidak sedar.

Ibadah juga hanya kepada Allah Ta’ala. Tidak boleh untuk beribadah kepada selain daripada Allah. Maka, jangan beri salam kepada makhluk yang ghaib dari pandangan kita, seperti jin, wali, Nabi dan malaikat.

Seru kepada selain dari Allah juga adalah kufur. Kita boleh seru mereka yang ada di hadapan kita, atau kita tahu mereka boleh dengar seruan kita – sebagai contoh, kita pakai telefon. Tapi kita tidak boleh seru yang ghaib selain dari Allah taala. Sebagai contoh, kita tidak boleh seru Nabi, wali dan malaikat. Kerana Nabi dan wali telah lama mati dan malaikat itu ghaib dengan kita. Malaikat tidak ada interaksi dengan kita. Malaikat hanya menurut perintah Allah. Berilah salam banyak mana pun, mereka tidak akan jawap salam dan tidak akan turut permintaan kita.

Begitu juga kalau kita lalu di kawasan hutan, jangan kita seru: “Datuk, tumpang lalu, anak cucu nak lalu…” Perbuatan syirik seperti ini masih lagi dilakukan sekarang. Perkataan seru itu ialah apabila sebutan itu menggunakan perkataan ‘ya’. Kalau kita kata “ya Allah” itu memang benar. Tetapi jika kita kata “ya Rasulullah”, itu adalah salah sama sekali.

Oleh itu seru kepada orang yang mati adalah satu perbuatan kufur. Termasuk juga sebagaimana yang terjadi hari ini apabila Tok imam-Tok imam membacakan talqin kepada si mati di kubur. Kerana semasa baca talqin itu, mereka menyeru orang dalam kubur sebenarnya. Perbuatan itu memang tidak pernah dibuat oleh Nabi dan para sahabat.

Ada orang yang marah bila kita kata sesuatu perbuatan itu adalah ‘kufur’. Mereka kata senang sangat kita tak mengkufurkan orang. Tidakkah mereka tahu bahawa bukannya susah untuk jadi kufur? Sebagaimana bukannya susah untuk menjadi seorang Islam, iaitu dengan kita sebut dua kalimah syahadah sahaja? Dan juga bukannya susah untuk jadi suami orang iaitu dengan kata ‘ya’ sahaja. Bukan perlu jawab penuh macam apa yang dilakukan oleh pengantin-pengantin baru sekarang. Orang kita saja yang tak puashati apabila jawab pendek, maka mereka telah tambah dengan lafaz-lafaz yang tidak perlu. Bukanlah kita kata salah apa yang dilakukan sekarang ini. Cuma kalau dia jawab ‘ya’ sahaja pun sudah sah nikah itu.

Jadi, kalau mudah untuk masuk Islam, jadi suami orang, maka ketahuilah, tidak susah untuk jatuh kufur.

Doa pun hanya kepada Allah Ta’ala sahaja, tidak boleh doa kepada makhluk yang lain. Sebab itulah apabila masyarakat kita menggunakan perantaraan dalam doa mereka, bermakna mereka telah melakukan satu perkara yang amat salah. Sama sahaja dengan penganut Hindu yang menggunakan sami mereka sebagai perantaraan kepada tuhan mereka. Perantaraan ini dinamakan tawasul.

Inilah masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita. Kefahaman mereka yang salah tentang makna ‘sembah’ dalam Islam itu telah menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara yang syirik. Kerana mereka sangka mereka tidak buat salah lagi. Kerana mereka sangka, ‘sembah’ itu kalau rukuk atau sujud sahaja kepada berhala. Jadi, apabila mereka tak buat benda-benda itu, mereka sangka mereka telah terselamat dari melakukan syirik.

Ramai yang tidak faham apakah maksud la ilaaha illallah. Mereka hanya sangka maksudnya adalah “aku tidak sembah melainkan Allah”. Tapi sebenarnya maksud itu lebih banyak lagi. Dia boleh bermaksud:
Aku tidak akan puja selain Allah.
Aku tidak akan seru selain Allah.
Aku tidak akan buat ibadat kepada selain Allah.
Aku tidak akan berdo’a kepada selain Allah.


 

Ayat 88:

6:88
Sahih International

That is the guidance of Allah by which He guides whomever He wills of His servants. But if they had associated others with Allah, then worthless for them would be whatever they were doing.

Malay

Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).

ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ

Itulah petunjuk Allah,

Beruntunglah mereka yang mendapat petunjuk dari Allah. Petunjuk itu telah diberikan kepada para Nabi dan Rasul yang telah disebut sebelum ini.

يَهْدِي بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ

yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya.

Bukan para Nabi dan Rasul itu sahaja yang diberikan dengan hidayah, tetapi ada lagi hamba-hambaNya yang diberikan hidayah. Semoga kita pun termasuk mereka yang diberikan hidayah itu.

وَلَوْ أَشْرَكُوا

Seandainya mereka mempersekutukan Allah,

Jika sekiranya para Nabi dan Rasul itu berbuat syirik. Tapi tidaklah mereka itu berbuat syirik. Tentulah tidak dapat dibayangkan bagaimana Nabi dan Rasul yang telah diberikan dengan hidayah oleh Allah itu akan melakukan syirik. Tetapi kenapa disebut dalam ayat ini ini? Kerana hendak menunjukkan betapa beratnya kesalahan syirik itu. Tidak kira siapa yang melakukannya, walaupun seorang Nabi, pun akan dilenyapkan segala amalan-amalan mereka. Segala pahala amal ibadat yang mereka telah lakukan akan dilenyapkan, sampai tinggal kosong. Tidak ada yang boleh dibuat timbangan lagi dah.

Kalau seorang Nabi melakukan syirik pun akan dilenyapkan segala pahala amalan mereka, apatah lagi kalau seorang manusia biasa? Ayat ini dibacakan pertama kalinya kepada Musyrikin Mekah yang telah diberikan dakwah oleh Nabi untuk meninggalkan syirik. Tetapi mereka masih lagi tidak mahu meninggalkan syirik.

Begitu juga dengan masyarakat kita yang tanpa mereka ketahui telah melakukan syirik. Mereka ambil mudah sahaja tentang hal syirik ni. Di kelas-kelas pengajian agama, tidak pun diajar tentang syirik. Maka, ramai dari masyarakat kita tak tahu apakah maksud syirik itu.

لَحَبِطَ عَنْهُم

niscaya lenyaplah dari mereka

Pahala amalan-amalan kebaikan yang telah mereka lakukan akan dikosongkan. Tidak berharga langsung.

Ini menjawab soalan mereka yang kata: “takkanlah orang kafir yang baik akan dimasukkan ke dalam neraka?” Ayat ini memberitahu kita bahawa walau apa sahaja perbuatan baik yang dilakukan oleh orang kafir itu, tapi kalau mereka buat syirik, sikit pun perbuatan baik mereka itu tidak akan diambil kira.

Maka bagaimana dengan amalan-amalan kita? Bagaimana dengan puasa, sedekah, umrah, haji dan sebagainya? Ingatlah bahawa kalau kita pun ada melakukan syirik, segala amal kebaikan yang kita buat itu tidak akan diambikira. Semuanya akan jadi kosong balik. Oleh itu, amatlah rugi segala perbuatan baik kita itu. Setelah bersusah payah kita buat amal kebaikan, tapi disebabkan satu syirik sahaja, semua pahala itu akan dilenyapkan.

مَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

amalan yang telah mereka kerjakan.

Begitulah teruknya kesalahan syirik yang sampai boleh melenyapkan segala amalan-amalan kebaikan yang telah dilakukan oleh manusia. Ayat yang sama juga ada dibacakan pada ayat Zumar:65. Maknanya, Allah mengulang-ngulang perkara ini sebagai peringatan kepada kita.


 

Ayat 89:

6:89
Sahih International

Those are the ones to whom We gave the Scripture and authority and prophethood. But if the disbelievers deny it, then We have entrusted it to a people who are not therein disbelievers.

Malay

Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kitab,

Nabi-nabi yang telah disebut itu semuanya telah diberikan Kitab. Seperti yang kita tahu, bukan semua Nabi-nabi diberikan dengan kitab. Walaupun mereka tidak diberikan dengan Kitab, tapi ada Kitab yang mereka kena ikut. Sebagai contoh, Nabi Harun tidak diberikan Kitab, tapi baginda kena ikut Kitab Taurat yang diberikan kepada Nabi Musa.

وَالْحُكْمَ

dan hikmat

Hikmah itu dari sebi bahasanya, bermaksud ‘meletakkan sesuatu pada tempatnya’.
Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud bukan sahaja mereka telah diberikan dengan kitab, tetapi mereka telah diberikan dengan ilmu bagaimana untuk mematuhi ajaran dalam kitab itu. Kerana kalau tidak diberikan dengan ilmu, kita tidak akan faham. Seperti juga kita dengan Quran ini, kalau kita tidak diajar pemahaman Quran dari Nabi, kita tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan sesuatu ayat itu.

Hikmah juga boleh bermaksud memiliki ilmu selain daripada ilmu yang ada di dalam kitab yang telah diberikan. Kerana seorang nabi dan rasul bukan hanya memerlukan ilmu yang ada di dalam kitab, tetapi juga memerlukan ilmu-ilmu lain. Jadi, hikmah juga bermaksud mempunyai ilmu pengetahuan selain ilmu agama yang bermanfaat. Sebagai contoh, dalam berdakwah kena tahu ilmu alam, bagaimana berinteraksi dengan manusia dan berbagai lagi. Oleh kerana seorang pendakwah itu kena pandai, maka dia memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi.

Hikmah juga bermaksud tahu hukum agama. Sebagaimana Nabi Muhammad selain daripada diberikan Qur’an baginda juga telah diberikan dengan ilmu Sunnah. Oleh kerana itu, ada yang berpendapat ‘hikmah’ itu bermaksud ‘hadis’.

وَالنُّبُوَّةَ

dan kenabian

Itulah tiga perkara yang telah diberikan kepada para Nabi-nabi itu:

1. Kitab

2. Hikmah

3. Pangkat kenabian

فَإِن يَكْفُرْ بِهَا هَٰؤُلَاءِ

Jika orang-orang (Quraisy) itu mengingkarinya,

Mereka yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah penduduk-penduduk Mekah. Kerana perkataan هَٰؤُلَاءِ bermaksud mereka yang dekat. Oleh itu, mereka yang dekat dengan Nabi adalah penduduk Mekah.

Dan ‘nya’ yang dimaksudkan adalah tiga perkara yang telah disebutkan tadi.

Ayat ini menceritakan apakah kesannya kalau orang-orang Quraish itu tidak mahu menerima Quran dan dakwah yang dibawakan oleh Nabi Muhammad. Mereka wajib beriman dengan Nabi Muhammad, tapi apa yang akan terjadi kalau mereka tidak mahu beriman?

فَقَدْ وَكَّلْنَا بِهَا قَوْمًا

maka sesungguhnya Kami telah menyerahkannya kepada kaum

Kalau mereka tidak mahu terima dakwah tauhid itu, Allah boleh sahaja berikan kepada kaum yang lain. Tidak ada masalah untuk Allah menggantikan dengan kaum yang lain. Kalau tidak mahu agama, Allah boleh berikan kepada orang lain. Lihatlah sendiri bagaimana Imam-imam hadith yang enam itu semuanya orang Khurasan iaitu orang Parsi. Bermakna mereka bukan orang Arab. Kerana mereka yang peduli tentang hadis. Lihat juga bagaimana kalau nak dapatkan sanad hadis, kena pergi ke India dan Pakistan untuk mendapatkannya, bukan ke Mekah atau Madinah, tempat asal hadis-hadis itu.

Yang dimaksudkan kaum yang lain itu adalah penduduk Madinah dari kalangan Ansar. Allah dah siapkan pun mereka yang akan mengambil dan menerima dakwah tauhid itu. Apabila pada penduduk Mekah tidak mahu menerima Qur’an dan juga dakwah yang diberikan oleh Nabi Muhammad, maka ianya telah diberikan kepada penduduk Madinah. Ingatlah bahawa surah al-An’am ini diturunkan di Makkah hujung-hujung masa baginda di Mekkah. Oleh itu, sudah ada isyarat dalam ayat ini yang Nabi Muhammad akan berhijrah ke Madinah sedikit masa lagi.

لَّيْسُوا بِهَا بِكَافِرِينَ

yang sekali-kali tidak akan mengingkarinya.

Allah tidak memerlukan masa untuk mengikut perintah. Kalau sesiapa yang diberikan perintah tetapi tidak mahu mengikutnya, Allah boleh saja memberikan perintah itu kepada umat yang lain. Kalau kita tidak ikut perintah Allah, Allah tak jadi apa-apa. Kita sahaja yang rugi. Tapi kalau kita mengikut perintah Allah, kebaikan untuk diri kita sebenarnya.

Dalam ayat ini, Allah telah memuji kaum Ansar. Mereka boleh beriman kepada ketiga-tiga perkara itu. Mereka beriman dengan Quran sepenuhnya walaupun mungkin ada ayat-ayat Quran yang mereka masih tidak faham. Mereka juga pecaya kepada hadis dari Nabi. Bukan macam sesetengah golongan masyarakat kita yang hanya beriman dengan Quran tetapi menolak Sunnah. Mereka ingat cukup sahaja dengan Quran tanpa pendoman dari Hadis. Mereka ingat mereka sudah pandai tapi mereka sebenarnya amat bodoh dan jahil sekali.


 

Ayat 90:

6:90
Sahih International

Those are the ones whom Allah has guided, so from their guidance take an example. Say, “I ask of you for this message no payment. It is not but a reminder for the worlds.”

Malay

Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ

Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah,

Merujuk kepada Nabi-Nabi dan Rasul-rasul yang telah disebut sebelum ini.

فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ

maka dengan petunjuk yang mereka dapat itu, maka ikutilah petunjuk itu.

Perkataan اقْتَدِهْ bermaksud ‘ikutilah petunjuk itu’. Perkataan إقتد bermaksud ‘ikutlah’ dan huruf ه itu adalah dhomir kepada ‘petunjuk itu’. Ataupun ه dalam perkataan ini adalah sebagai satu penekanan. Untuk suruh ikut dengan kuat. Perkataan إقتد itu dari perkataan ق د و yang asalnya bermaksud ‘sedap’. Iaitu sesuatu yang kita suka makan. Makanan selalunya sedap apabila semua ramuannya telah sebati dengan molek dan baunya pun sedap. Kalau kita makan dan rasa kicap kuat sangat, dah jadi tak sedap. Maknanya, bahan ramuan tidak dicampur dengan baik.

Dari perkataan itu, إقتد menjadi maksud ‘mengikuti seseorang sama dengan apa yang dilakukannya’. Apa sahaja yang telah dibuatnya, kita ikut dan tiru. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mengikut seseorang dalam hal agama, bukan semua hal. Iaitu kita melakukan sesuatu yang tidak berlawanan dengan apa yang mereka lakukan. Sebagaimana seorang makmum kena ikut apa sahaja yang dilakukan oleh imam dalam solat.

Oleh kerana mereka telah mendapat petunjuk, maka kita kena ikut mereka. Ini mengajar kita yang kita kena ikut orang yang dapat petunjuk. Kena belajar dengan orang yang telah belajar tafsir Quran dan hadis.

Kita disuruh ikut semua mereka yang telah disebut itu. Dalam ayat sebelum ini, telah disebut 18 nama Rasul. Tentulah kita tak boleh nak ikut semua sekali kerana syariat tidak sama antara satu nabi dan yang lain. Antaranya, kita solat lima waktu dan Nabi-nabi lain tidak disyariatkan untuk solat lima waktu. Oleh itu, yang kita ikut adalah akhlak mereka, akidah mereka. Kerana sama sahaja akhlak dan akidah mereka. Dari dulu sampai sekarang tidak bertukar pun. Dari Nabi Adam sampai Nabi Muhammad. Begitu juga, ada elemen yang sama dari dulu sampai sekarang. Iaitu antaranya, tentang syurga dan neraka. Sama sahaja perkara itu dari dulu sampai sekarang dan sampai bila-bila.

Ayat ini mengajar kita untuk ikut apa yang dilakukan oleh Nabi. Oleh itu kena tahu sunnah kalau nak ikut Nabi. Kerana tak tahu sunnah lah yang menyebabkan banyak sekali perbezaan pendapat dalam masyarakat kita. Ramai yang tak tahu apakah maksud dan kepentingan ‘sunnah’, maka mereka ikut sahaja apa yang orang lain buat. Mereka hanya ikut apa yang guru mereka ajar sahaja. Guru mereka telah ajar dan mereka ikut tanpa soal. Mereka sangka apa yang guru mereka buat itu adalah benar belaka. Tapi itu tidak semestinya. Kadang-kadang ustaz yang mengajar kita itu pun tak tahu sunnah dengan betul. Kita sahaja sangka mereka benar. Oleh itu, kena berhati-hati dalam memilih guru.

قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا

Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan (Al-Quran)”.

Nabi diajar untuk tidak mengharap balasan dari umatnya dalam dakwah dan mengajar Quran kepada mereka. Kerana balasan yang perlu diharapkan adalah hanya dari Allah. Dalam mengajar tidak boleh meminta upah. Malangnya sekarang, banyak guru kalau tak dapat upah, tak mahu mengajar. Ini adalah kerana mereka menjadikan agama ini sebagai punca pendapatan.

Perkataan أَجْرًا itu ada tanwin. Jadi ianya bermaksud apa-apa sahaja bentuk upah, bukan sahaja upah wang. Jangan mengharap apa-apa kelebihan dari murid yang diajar. Sebagai contoh, ada yang mengharap mereka mendapat sanjungan dari apa kedudukan mereka mengajar. Itu pun tidak boleh. Kita kena ikhlas dalam mengajar. Baru ada berkat dalam mengajar.

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَىٰ لِلْعَالَمِينَ

Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk seluruh ummat.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Quran ini hendaklah disampaikan kepada seluruh umat manusia. Ianya bukan eksklusif kepada umat Islam sahaja. Kerana mesej yang dibawa oleh Quran ini adalah mesej sejagat. Tapi bagaimana kita nak bawa Quran ini kepada mereka kalau kita sendiri tidak tahu?

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s