Tafsir Surah al-An’am Ayat 82 – 85

Ayat 82: Ayat ini adalah jawapan kepada ayat sebelum ini tentang siapakah yang lebih layak mendapat aman daripada dua golongan? Allah jawap soalan itu dalam ayat ini.

6:82
Sahih International

They who believe and do not mix their belief with injustice – those will have security, and they are [rightly] guided.

Malay

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

الَّذِينَ آمَنُوا

Orang-orang yang beriman

Orang yang mendapat keamanan adalah orang yang beriman. Iaitu yang ‘beriman sempurna’. Mereka yang ‘beriman sempurna’ itu adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Ini penting kerana ada masyarakat yang memang beriman, iaitu mereka memang percaya kepada Allah, kepada Nabi dan sebagainya, tapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada perkara khurafat, tahyul dan sebagainya. Itu bukanlah jenis yang ‘beriman sempurna’. Sia-sia sahaja iman mereka. Kerana hakikatnya mereka sedang melakukan syirik kepada Allah.

وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ

dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik),

Makna perkataan ظلم adalah ‘tidak memberi hak kepada yang berhak’. Sebagai contoh, kalau kita sebagai suami tidak memberikan hak isteri kita, kita akan dikira zalim. Atau seorang pemimpin tidak memberikan hak rakyatnya, dia pun akan dikira sebagai zalim juga. Tapi apakah maksud yang hendak dibawa dalam ayat ini?

Kita tahu bahawa Allah lah sahaja yang berhak disembah. Tidak boleh kita sembah dan menghambakan diri kepada selain dari Allah. Tapi masih banyak lagi yang menyembah selain Allah. Itu bermakna, mereka tidak memberikan hak Allah. Maka apabila manusia tidak memberikan hak Allah, maka mereka sebenarnya telah melakukan ‘kezaliman’. Oleh itu, kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kesyirikan’. Itulah yang kita katakan sebelum ini, ramai yang beriman, tapi mereka tidak beriman sempurna. Kerana mereka mencampuradukkan iman mereka kepada Allah dengan iman mereka kepada selain dari Allah.

Perkataan يَلْبِسُوا dari katadasar لبس yang bermaksud ‘mencampur-adukkan’. Orang yang mencampur-adukkan itu percaya kepada Allah dan dalam masa yang sama percaya kepada selain dari Allah, maka mereka telah melakukan kezaliman dan kesyirikan. Mereka mencampuradukkan iman kepada Allah dan iman kepada selain Allah. Banyak contoh telah kita berikan dalam tulisan-tulisan kita sebelum ini. Sebagai contoh, ada yang percaya yang Nabi Muhammad yang telah mati itu boleh lagi mendengar seruan kita, maka ada kalangan masyarakat kita yang tidak segan silu telah meminta kepada syafaat baginda dan apa-apa lagi. Itu adalah satu bentuk ‘mencampur-adukkan’ iman mereka. Kerana sepatutnya mereka tahu bahawa hanya Allah sahaja entiti ghaib yang dapat mendengar kita. Jadi, kalau kita seru kepada selain dari Allah, maka kita telah menyamakan satu sifat Allah kepada makhluk. Itu juga adalah syirik. Lainlah kalau kita seru seseorang yang ada di hadapan kita, itu adalah normal. Jadi, ingatlah bahawa Nabi Muhammad tidak mendengar seruan kita.

Orang yang zalim dalam dunia ini tidak akan merasa aman di dunia dan juga di akhirat. Kalau dalam dunia ini mereka dikenakan dengan masalah-masalah kecil yang mereka tidak suka pun mereka akan rasa resah gelisah. Tapi kalau perkara yang sama terjadi kepada orang beriman, mereka akan rasa tenang sahaja. Mereka akan rasa aman sahaja. Sebagai contoh, sekarang kita sedang mengalami krisis harga barang naik dan subsidi petrol telah dikurangkan. Kalau orang tidak beriman, mereka akan melalak keliling kampung menceritakan tentang ketidakpuasan hati mereka. Tapi kepada mereka yang beriman, mereka sabar sahaja dan tenang sahaja.

Apabila kita ada iman dan aman, maka ianya akan menyebabkan aman di luar. Kita akan jadi ‘duta keamanan’ kepada orang lain juga. Iaitu kita akan bermuamalat dengan baik dengan orang lain, kita tak kacau orang lain, kita tak sakitkan hati orang lain dan sebagainya. Maka, keamanan akan dapat dicapai kalau semua orang beriman. Malangnya, tidak ramai yang mahu beriman.

Zalim yang paling besar adalah melakukan syirik kepada Allah. Tetapi, mereka yang melakukan kezaliman kepada makhluk lain pun akan rasa resah gelisah juga. Contohnya, mereka akan rasa takut sahaja kalau-kalau mereka akan dibalas dengan kezaliman yang telah mereka lakukan kepada orang lain itu. Allah tidak akan masukkan rasa aman dalam diri mereka.

Apabila ayat ini diturunkan kepada Nabi dan para sahabat, sahabat yang mendengarnya merasa amat risau sekali, kerana mereka tahu yang serba sedikit mereka pun ada juga melakukan kezaliman. Kalau tidak kezaliman kepada orang lain, tentu mereka ada melakukan kezaliman kepada diri sendiri. Maka Nabi memberitahu kepada mereka bahawa kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kezaliman kepada Allah iaitu melakukan syirik kepada Allah. Dan Nabi membacakan sepotong ayat dari Luqman:13

إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.

Kerana konteks ayat ini adalah tentang kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim. Oleh itu, ‘zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim kepada Allah, iaitu syirik.

Ramai yang tidak tahu bahawa zalim juga membawa maksud syirik. Termasuk juga para sahabat pada mulanya. Ini seperti yang disebut dalam satu hadis:

قَالَ الْبُخَارِيُّ حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ عَلْقَمَةَ ،عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} [الْأَنْعَامِ: 82] ، شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم، وَقَالُوا: أَيُّنَا لَمْ يَلْبس إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أنه لَيْسَ بِذَاكَ، أَلَا تَسْمَعَ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ: {يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ}
Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah, telah menceritakan kepada kami Jarir, dari Al-A’masy, dari Ibrahim, dari Alqamah, dari Abdullah yang menceritakan bahawa ketika diturunkan firman-Nya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik). (Al-An’am: 82) Hal itu terasa berat bagi para sahabat Nabi Saw. Kerana mereka berkata, “Siapakah di antara kita yang tidak mencampuri imannya dengan perbuatan zalim (dosa).” Maka Rasulullah Saw. bersabda, “Bukan demikian yang dimaksud dengan zalim. Tidakkah kamu mendengar ucapan Luqman: ‘Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’ (Luqman: 13)

أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ

mereka itulah yang mendapat keamanan

Mereka yang tidak mencampurkan iman dengan syirik akan merasa aman. Apa saja yang berlaku pada mereka yang beriman, mereka akan berasa aman. Walau apa sahaja yang terjadi kepada mereka dalam dunia ini. Samada dari segi kesusahan dan kesenangan, kekurangan dan kematian yang mereka sayangi dan macam-macam lagi.

Tidakkah kita mahukan keamanan dan ketenangan ini?

وَهُم مُّهْتَدُونَ

dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Mereka akan diberikan dengan taufiq dan hidayah. Dengan taufiq dan hidayah itu, mereka akan menjalani kehidupan yang terpimpin.

Mereka yang zalim tidak akan mendapat hidayah dan ini adalah sebesar-besar bala kepada mereka. Amalan dan fahaman mereka akan lebih menjerumuskan mereka ke dalam neraka. Mereka ingat mereka telah tahu tentang hal agama, tapi sebenarnya tidak. Mereka sangka mereka selamat, tapi tidak.


 

Ayat 83:

6:83
Sahih International

And that was Our [conclusive] argument which We gave Abraham against his people. We raise by degrees whom We will. Indeed, your Lord is Wise and Knowing.

Malay

Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

وَتِلْكَ حُجَّتُنَا

Dan itulah hujjah Kami

Hujah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, antaranya hujah yang baginda bawa tentang bintang, bulan dan matahari dan juga kehilangan mereka. Selain dari hujah itu, ada lagi hujah-hujah lain yang disampaikan oleh baginda dalam dakwah baginda kepada kaumnya. Itu semua adalah wahyu dari Allah kepada Nabi Ibrahim.

آتَيْنَاهَا إِبْرَاهِيمَ عَلَىٰ قَوْمِهِ

yang Kami berikan kepada Ibrahim ke atas kaumnya.

Ayat ini memberitahu kepada kita bawa hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim kepada kaum itu adalah wahyu daripada Allah kepada baginda. Dengan hujah-hujah itu Nabi Ibrahim membawa dalil kepada kaumnya tentang tauhid kepada Allah. Bukanlah Nabi Ibrahim dapat memikirkan sendiri hujah-hujah itu.

Kita memang memerlukan ‘ilham’ dari Allah semasa kita berdakwah. Ayat ini mengajar kita bahawa apabila kita berhujah dan berdakwah, sebenarnya cara-cara berhujah dan berdakwah itu diberikan oleh Allah. Dan apabila kita diberikan satu persoalan atau hujah dari pihak lawan kita, kadang-kadang kita tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Bukankah kita pernah melalui situasi begitu? Tetapi dalam kita kebingungan tidak tahu bercakap itu, tiba-tiba kita teringat sama ada ayat Quran, hadis Nabi ataupun logik akal yang boleh kita gunakan ke atas lawan kita. Itu semua datangnya dari Allah. Jangan ingat kita yang fikirkan sendiri. Jangan ingat kita dapat jawap dan beri dakwah itu kerana akal kita pandai, atau kita selalu hafal Quran dan hadis. Jangan kita lupa pertolongan Allah dalam keadaaan sebegitu.

نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَّن نَّشَاءُ

Kami tinggikan derajat sesiapa yang Kami kehendaki

Bagaimanakah Allah meninggikan darjat sesiapa yang dikehendakiNya? Allah meninggikan darjat mereka itu dengan memberikan ilmu dan hikmah kepada mereka. Sebagaimana Nabi Ibrahim dalam ayat-ayat ini telah diberikan dengan ilmu dan hikmah dari Allah Ta’ala.

Allah lah yang menentukan siapakah yang akan mendapat derajat. Bukan kita yang boleh menetapkannya. Kita pun tidak tahu siapakah yang dinaikkan derajatnya oleh Allah. Tapi kita boleh berharap dan berdoa supaya kita dinaikkan derajat oleh Allah.

إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui siapakah yang layak untuk diberikan dengan derajat yang tinggi.

Allah Maha Tahu apakah hujah yang kita perlukan.

Allah Maha Bijaksana. Sepandai manapun orang kafir atau ahli bidaah berhujah, kalau Allah yang berikan hujah melawan mereka, mereka tidak akan dapat melawan kita. In sha Allah.


 

Ayat 84: Ayat ini menceritakan tentang pemberian-pemberian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim setelah baginda berkorban dalam usaha dakwah baginda. Dalam ayat yang lalu, telah diceritakan bagaimana baginda terpaksa meninggalkan kaumnya yang tidak menerima tauhid itu. Terutama selepas baginda memecahkan berhala mereka (diceritakan dalam ayat yang lain). Baginda terpaksa meninggalkan negeri dan keluarga baginda. Itu adalah satu pengorbanan yang amat besar. Maka, atas pengorbanan baginda itu, Allah ganti pengorbanan baginda itu dengan sesuatu yang lebih baik.

6:84
Sahih International

And We gave to Abraham, Isaac and Jacob – all [of them] We guided. And Noah, We guided before; and among his descendants, David and Solomon and Job and Joseph and Moses and Aaron. Thus do We reward the doers of good.

Malay

Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunan Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.

وَوَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ

Dan Kami telah menganugerahkan Ishak dan Ya’qub kepadanya.

Perkataan وَوَهَبْنَا dari perkataan وهب yang bermaksud ‘memberikan sesuatu kepada seseorang tanpa mengharapkan balasan balik’. Seperti juga perkataan ‘Hibah’ yang bermaksud memberi derma kepada seseorang. Ini mengajar kita dalam kita menderma, kita tidak boleh mengharapkan balasan ataupun pujian daripada orang yang menerima derma itu. Kita kena ikhlas dalam derma kita.

Perkataan وهب selalu digunakan dalam Quran untuk bermaksud ‘pemberian anak’. Ini adalah kerana anak adalah satu anugerah yang amat besar. Mereka yang mempunyai anak akan faham perkara ini.

Pemberian Nabi Ishak kepada Nabi Ibrahim adalah amat besar lagi kerana baginda dianugerahkan Ishak pada usia baginda yang lanjut. Ini juga menunjukkan bahawa Ishak adalah adik kepada Nabi Ismail. Kerana dalam ayat lain, apabila Nabi Ibrahim disuruh menyembelih Nabi Ismail, baginda disebut ‘anak tunggal’. Sekarang, apabila disebut Nabi Ibrahim diberikan dengan Ishak, tentulah tidak boleh dikatakan Nabi Ishak sebagai anak yang tunggal kerana Nabi Ismail telah dikatakan sebagai anak tunggal.

Dan bukan sahaja baginda dapat melihat anaknya, tapi baginda diberikan peluang untuk melihat cucunya juga. Ini juga adalah pemberian yang amat besar. Kerana seorang ayah belum tentu dapat melihat cucunya sendiri. Ini bermakna, Nabi Ibrahim telah dilanjutkan usia sampai baginda dapat menimang cucunya Ya’qub.

Dua anugerah besar ini diberikan kepada baginda atas pengorbanan baginda.

كُلًّا هَدَيْنَا

Kepada semuanya, masing-masing telah Kami beri petunjuk;

Bukan sahaja dapat anak dan cucu, tapi mereka diberikan dengan pangkat kenabian yang tinggi dan mulia. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi kepada Nabi Ibrahim a.s. Kalau anak kita jadi anak yang baik, anak yang alim pun kita sudah gembira sangat. Bayangkan kalau anak kita seorang Nabi, tentu lebih lagi.

وَنُوحًا هَدَيْنَا مِن قَبْلُ

dan kepada Nuh sebelum itu (juga) telah Kami beri petunjuk,

Bukan sahaja Nabi Ibrahim menentang kesyirikan dalam kaumnya, sebelum baginda juga telah ada rasul-rasul yang melakukan demikian. Dalam ayat ini disebut Nabi Nuh a.s. Mereka berdua melakukan dakwah dalam masyarakat yang kuat melakukan syirik.

Ini mengingatkan kepada Nabi Muhammad dan para sahabat bagaimana mereka menentang kesyirikan yang berleluasa dalam masyarakat mereka.

Bagaimana pula dengan kita? Bukankah kesyirikan juga sedang banyak di negara ini? Yang diamalkan bukan sahaja oleh orang-orang kafir, tapi oleh masyarakat Islam juga? Kita hendaklah menentang kesyirikan itu sepertimana yang dilakukan oleh Nabi-nabi yang terdahulu.

وَمِن ذُرِّيَّتِهِ دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ وَأَيُّوبَ وَيُوسُفَ وَمُوسَىٰ وَهَارُونَ

dan kepada sebahagian dari keturunannya, yaitu Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuf, Musa dan Harun.

Perkataan ‘keturunannya’ boleh bermaksud keturunan Nabi Ibrahim ataupun keturunan Nabi Nuh. Dua-dua boleh pakai. Nabi Ibrahim pun dari keturunan Nabi Nuh. Nabi Sulaiman pula adalah anak Nabi Daud. Kedua-dua mereka itu telah dilantik menjadi raja. Nabi Ayyub, Nabi Yusuf dan Nabi Musa pula dikenali sebagai penyabar

وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Mereka semuanya diberikan dengan balasan yang baik. Nabi Ibrahim telah diberikan dengan berita gembira yang baginda akan mendapat anak. Diberitahu dulu sebelum dapat. Dan diberitahu terus yang anak dan cucunya akan dijadikan Nabi dan rasul. Ini adalah satu berita yang amat menggembirakan kerana waktu itu, Sarah dan baginda sudah tua. Sebab itulah, apabila malaikat datang memberitahu kepada mereka yang mereka akan dapat anak, mereka amat hairan. Kisah ini disebut dalam ayat yang lain.

Ini mengajar kita kalau kita terpaksa menderita kerana Allah, kerana menyebarkan agama Allah, maka kita akan mendapat balasan yang baik. Sebagai contoh, kadang-kadang kita ditinggalkan kawan kita kalau kita hendak menjaga agama, kerana kita pakai tudung, tinggalkan perkara dosa dan sebagainya, kita akan dibalas dengan kebaikan. Kena percaya dengan Allah tentang perkara ini. Percaya yang Allah akan balas dengan kebaikan. Mungkin kita hilang kawan sekarang, tapi in sha Allah kita akan dapat kawan yang lebih baik.

Allah akan membalas dengan baik sesiapa yang melakukan ihsan. Ihsan itu adalah mereka yang memperbaiki agama mereka.


 

Ayat 85:

6:85
Sahih International

And Zechariah and John and Jesus and Elias – and all were of the righteous.

Malay

Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh.

وَزَكَرِيَّا وَيَحْيَىٰ وَعِيسَىٰ وَإِلْيَاسَ

dan Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas.

Nabi Zakaria adalah pakcik kepada Maryam. Nabi Yahya pula adalah anak Nabi Zakaria. Nabi Isa pula adalah anak Maryam dan sepupu kepada Nabi Yahya. Ilyas pula adalah anak saudara Nabi Harun.

كُلٌّ مِّنَ الصَّالِحِينَ

Semuanya termasuk orang-orang yang shaleh.

Ini menunjukkan bagaimana Nabi Ibrahim telah diberikan keturunan yang baik dan mulia.

Lompat ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 November 2017


Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s