Tafsir Surah al-An’am Ayat 74 – 81

Ayat 74: Ayat-ayat sebelum ini telah disebut tentang syirik. Sekarang kita masuk kepada kisah Nabi Ibrahim a.s. yang mengajak kaumnya kepada tauhid dan menentang syirik. Dalam ayat seterusnya ini, baginda telah berhujah kepada kaumnya bagaimana syirik itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

6:74
Sahih International

And [mention, O Muhammad], when Abraham said to his father Azar, “Do you take idols as deities? Indeed, I see you and your people to be in manifest error.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: “Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ

Dan (ingatlah) di waktu Ibrahim berkata kepada bapanya, Aazar,

Terdapat khilaf dikalangan ulama tafsir samada ‘Aazar’ adalah nama sebenar bapa Nabi Ibrahim atau hanya laqab (gelaran) sahaja. Kalau nama ‘Aazar’ adalah laqab sahaja, maka ada nama bapa Ibrahim yang lain. Tapi kita tidak tahu dengan pasti kerana tidak disebut lagi dalam ayat lain dalam Quran.

Terdapat juga khilaf samada Aazar itu adalah bapa Nabi Ibrahim, atau pakciknya atau datuknya. Ini kerana ada pendapat yang tidak mahu menerima bahawa bapa seorang Nabi adalah seorang yang jahat. Jadi kerana itulah ada pendapat yang mengatakan Aazar itu bukanlah bapa sebenar Nabi Ibrahim. Tapi kita terima apa yang Allah sebutkan dalam Quran sendiri, iaitu Aazar adalah nama ‘bapa’ Nabi Ibrahim. Kita tidak mempersoalkan. Oleh itu, jangan kita ubah-ubah melainkan kalau ada dalil yang sahih.

Selalunya Quran tidak menyebut nama seseorang melainkan ianya adalah satu maklumat yang penting. Dalam sejarah Bani Israil, mereka ada nama lain bagi bapa Nabi Ibrahim a.s. Jadi apabila Allah menyebut nama beliau dengan spesifik, ianya seperti Allah hendak memperbetulkan maklumat salah yang disampaikan oleh bangsa Yahudi yang memang terkenal suka mengubah Kitab Taurat. Perangai mereka amat teruk sekali sampaikan sejarah Nabi mereka pun mereka nak ubah.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim a.s. telah berdakwah kepada ayahnya. Ini mengajar kita bahawa dakwah dimulakan di rumah. Itulah yang mula-mula sekali yang kita kena lakukan. Ini adalah kerana kita amat sayang ahli keluarga kita dan kita tidak mahu mereka terjerumus ke dalam lembah kehinaan. Alangkah sedihnya, kalau kita berdakwah kepada orang lain, dapat memperbetulkan mereka, tapi ahli keluarga kita sendiri ada masalah. Begitu juga, kalau kita dapat sokongan keluarga, maka akan mudah buat kerja dakwah kepada masyarakat.

Oleh itu, mulakan dakwah dengan keluarga kita. Walaupun dengan bapa kita. Kerana walaupun mereka itu bapa kita, tapi tidak semestinya mereka itu betul. Kalau mereka salah, kita sebagai anak mereka hendaklah berusaha untuk memperbetulkan mereka.

Mengajar kepada bapa kita sendiri bukanlah mudah sepertimana yang kita boleh lihat dalam kisah Nabi Ibrahim dan bapanya ini. Begitu juga, Nabi Muhammad pun mempunyai masalah dengan keluarga baginda juga. Lihatlah bagaimana salah seorang penentang kuat baginda ada bapa saudara baginda sendiri, iaitu Abu Lahab.

أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً

“Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?

Hanya ayat ini sahaja dalam sepanjang Quran ini yang menyebut ‘berhala’. Dalam ayat-ayat lain, digunakan perkataan lain untuk patung-patung yang disembah oleh masyarakat. Perkataan أَصْنَامًا  bermaksud ‘berhala’ iaitu patung yang dijadikan sebagai tempat pemujaan. Oleh itu, perkataan ini bukanlah digunakan untuk semua jenis patung. أَصْنَامًا adalah berhala yang pemujanya ingat ianya ada kuasa. Penyembahnya merasakan bahawa ianya mampu untuk memberi kelebihan dan kemudharatan kepada mereka. Sebab itu mereka sembah kerana mereka hendakkan sesuatu dan mereka takut kalau mereka tidak sembah, mereka akan mendapat sial atau bala.

Pertanyaan Nabi Ibrahim kepada ayahnya itu adalah dalam bentuk kehairanan. Macam kita hairan kalau seseorang sedang buat sesuatu yang bodoh. Nabi Ibrahim hairan kenapa mereka bersungguh-sungguh menyembah berhala-berhala itu sedangkan berhala itu mereka sendiri yang buat? Mereka buat, kemudian mereka sembah. Ini tidak masuk akal langsung. Ini mengajar kita bahawa salah satu cara dakwah adalah dengan menggunakan soalan yang menyebabkan mereka berfikir. Nabi Ibrahim banyak menggunakan soalan dalam dakwahnya.

Kalau kita nak mulakan dakwah dan kalau kita tak tahu nak mula bagaimana, salah satu teknik yang digunakan adalah dengan memulakan dengan pertanyaan. Tanya apa pegangan agama mereka. Tanya kenapakah mereka buat solat Hajat, tanya kenapa mereka buat Majlis Tahlil dan macam-macam lagi perkara amal ibadah yang bidaah. Selalunya mereka pun tak tahu kenapa mereka buat begitu. Melainkan mereka akan kata bahawa mereka cuma ikut perbuatan orang ramai yang buat begitu.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menggunakan logik dalam dakwah. Bukanlah agama Islam ini lari dari logik akal. Agama Islam ini amat sesuai dengan akal manusia yang waras. Yang tidak waras sahaja yang tidak boleh terima agama Islam ini.

Dalam kes umat Nabi Ibrahim ini, mereka menyembah berhala itu sebagai ‘tuhan’, bukan sebagai perantaraan lagi. Tak sama dengan sembahan Hindu kepada patung mereka. Kerana kalau kita tanya kepada penganut Hindu, apakah patung itu tuhan mereka, mereka akan jawap tidak. Yang mereka sembah itu adalah patung dewa mereka, yang akan membawakan doa mereka kepada ‘tuhan yang satu’. Oleh itu, penganut Hindu hanya menjadikan patung mereka sebagai ‘perantaraan’ sahaja. Jadi lain dengan umat Nabi Ibrahim dalam ayat ini. Umat Nabi Ibrahim ini lagi teruk.

Kalau nak dibandingkan, umat Nabi Ibrahim itu macam penganut Kristian sekarang. Kerana sebagaimana mereka menyembah berhala sebagai tuhan, umat Kristian juga menyembah Nabi Isa sebagai tuhan juga. Asalnya, Nabi Isa itu adalah perantaraan sahaja kepada Tuhan. Iaitu mereka mengatakan yang baginda adalah ‘anak tuhan’. Tapi lama kelamaan, sampai ke zaman sekarang ini, mereka sudah menganggap Nabi Isa itu sendiri sebagai ‘tuhan’. Begitu juga dengan penganut Buddha yang mengatakan Buddha itu sendiri sebagai tuhan. Inilah bahayanya kalau kita membiarkan manusia menggunakan ‘perantaraan’ atau tawasul dalam ibadat mereka. Kerana lama kelamaan, mereka akan menjadikan ‘wasilah’ itu sebagai tuhan. Adakah anda tahu bahawa ada di kalangan masyarakat Islam kita ini amat bodoh sampaikan mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu adalah jelmaan Allah di bumi?

إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ

Sesungguhnya aku melihat ayah dan kaum ayah ini

Bukan bapa Nabi Ibrahim sahaja yang menyembah berhala, tapi kaumnya juga. Nabi Ibrahim hidup di dalam masyarakat yang mengamalkan syirik terang-terangan.

فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ

dalam kesesatan yang nyata”.

Mereka dalam kesesatan yang nyata. Ayat ini dibacakan kepada penduduk Mekah yang juga memuja dan menyembah berhala. Sudah 13 tahun mereka diberikan dakwah oleh Nabi. Sekarang kisah Nabi Ibrahim dibawakan kepada mereka sebagai satu contoh kebodohan yang dilakukan oleh masyarakat yang dahulu. Semoga mereka boleh mendapat pengajaran dari kaum itu.

Serba sedikit tentang Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim hidup 2 ribu tahun BC di satu bandar yang dikenali sebagai Urr. Ianya berada di kawasan Iraq sekarang. Ada banyak kasta yang ada waktu Nabi Ibrahim. Ada golongan yang elit. Dan Nabi Ibrahim termasuk dalam kumpulan ini. Dan seperti biasa, ada yang miskin dan lemah. Kaumnya waktu itu memuja banyak tuhan. Setiap pekan ada tuhannya sendiri. Di Urr pun ada berhalanya sendiri. Namanya Mannar. Diletakkan di tempat utama bandar itu. Selain dari berhala, mereka juga puja bulan, bintang dan lain-lain lagi.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim dengan jelas menyatakan bahawa ayahnya dan kaumnya itu dalam kesesatan yang nyata. Satu persoalan timbul dalam membaca ayat ini: Bolehkah kita kata sesetengah golongan sebagai sesat? Ada yang tak dapat terima kalau kita kata ada golongan yang sesat. Kerana mereka kata, kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Memang kita tidak tahu apa yang dalam hati manusia. Tapi, kalau apa yang mereka lakukan di hadapan mata kita memang satu perbuatan yang sesat, apakah salah kalau kita kata mereka sesat? Kerana kita hanya boleh kata berdasarkan apa yang mereka lakukan dan apa yang mereka kata. Sebagai contoh, kalau orang Hindu sembah berhala, tak boleh lagikah kita kata mereka sesat? Takkan kita tidak boleh kata mereka sesat dan buat syirik sedangkan apa yang mereka buat itu dengan jelas adalah sesuatu yang sesat?

Bagaimana pula dengan mereka yang dengan terang menolak ayat Quran? Memang kita tak tahu apa dalam hati mereka. Tapi kita boleh kata sesuatu, berdasarkan dari perbuatan dan kata-kata mereka. Kerana yang mereka lakukan dan kata itu kita boleh lihat dan kita boleh dengar. Maka, bolehlah kita menilainya.

Nabi Ibrahim nak beritahu kepada kaumnya bahawa mereka itu berada didalam kesesatan yang nyata. Kita juga kena ikut seperti apa yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Apabila kita melihat kesyirikan yang dilakukan oleh manusia, hendaklah kita menegur dan memberi tahu kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah perkara yang sesat. Tetapi bukan setakat kita kata mereka sesat sahaja. Kita juga kenalah mengikut cara Nabi Ibrahim yang memberi tahu kepada kaumnya ‘bagaimanakah’ mereka sesat itu. Kerana kalau kita kata manusia melakukan sesuatu yang sesat tanpa kita berikan hujah dan dalil, tentulah mereka akan marah kepada kita. Lihatlah bagaimana dalam ayat-ayat seterusnya, Nabi Ibrahim telah memberikan hujah-hujah baginda.


 

Ayat 75:

6:75
Sahih International

And thus did We show Abraham the realm of the heavens and the earth that he would be among the certain [in faith]

Malay

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

وَكَذَٰلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim

Apabila perkataan كَذَٰلِكَ digunakan dalam ayat ini, ia menunjukkan ada kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya. Ini hendak menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim telah ditunjukkan dengan kesalahan yang dilakukan oleh kaumnya. Dan selain dari itu, Nabi Ibrahim juga telah ditunjukkan dengan kehebatan Allah.

Perkataan نُرِي bermaksud Nabi Ibrahim telah ‘diperlihatkan’. Rukyah (penglihatan) ada dua jenis: Satu dengan mata dan satu lagi dengan ilmu. Sebagai contoh, ada barang yang kita boleh tunjukkan kepada orang lain. Dan kadang-kadang kita boleh berikan penerangan tentang sesuatu perkara sahaja dan orang lain boleh faham walaupun dia tidak melihat pun benda itu. Sebagai contoh, kita boleh tunjukkan kawan kita atau kita boleh ceritakan bagaimana rupa kawan kita kepada orang lain.

Apabila perkataan نُرِي digunakan, ianya bermaksud dua-dua jenis rukyah itu telah diberikan kepada Nabi Ibrahim. Ini bermakna, bukan sahaja Nabi Ibrahim telah ditunjukkan dengan kehebatan yang ada pada alam ini, tapi ia juga ‘diterangkan’ kepada baginda apakah maksud yang ada pada alam ini. Sampaikan baginda faham dengan amat jelas.

Sebagai contoh, kita ada satu mesin. Pada satu orang, kita tunjukkan sahaja mesin itu. Tapi kepada seorang yang lain, bukan sahaja kita tunjukkan mesin itu kepadanya, tapi kita tunjuk sekali apakah mesin itu boleh buat dan bagaimanakah cara untuk menggunakannya. Tentulah mereka yang ditunjukkan cara menggunakan mesin itu lebih faham daripada orang yang melihat sahaja.

Begitu juga dengan alam ini. Semua orang boleh nampak alam ini, bukan? Tapi bukan semua orang boleh faham apakah maksud alam ini. Ini adalah kerana mereka hanya melihat, tapi mereka tidak memikirkan tentang alam ini.

مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi

Perkataan مَلَكُوتَ diambil dari katadasar ملك yang bermaksud ‘kekuasaan’ dan ‘kerajaan’. Tapi apabila ditambah huruf و dan ت dalam perkataan itu, ia menunjukkan kepada isim mubalagah, iaitu ianya bukanlah kerajaan yang biasa. Iaitu ditunjukkan keseluruhan kerajaan Allah kepada Nabi Ibrahim. Dan perkataan مَلَكُوتَ ini hanya digunakan untuk Allah sahaja kerana kerajaan segalanya adalah hanya hak milik Allah. Tidak ada lain yang memilikinya.

Allah telah jadikan alam ini supaya kita melihatnya dan dapat pemahaman bahawa alam ini menunjukkan kepada kewujudan Allah.

Kalau dapat kepada puak tarekat, banyaklah mereka sebut sebut ‘Alam Malakut’, ‘Alam Jabbarut’ dan macam-macam lagi. Maka terngangalah anak-anak murid yang berguru dengan guru tarekat itu. Mereka tak tahu pun apakah Alam Malakut itu. Pandai sebut sahaja. Rupanya ianya adalah kekuasaan dan kerajaan Allah taala.

Ada masalah penafsiran kebanyakan orang tentang ayat ini. Ada yang kata bahawa ayat ini hendak menceritakan ‘Perjalanan Spiritual’ Nabi Ibrahim. Mereka kata yang inilah ayat yang menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim dipertunjukkan dengan bintang, bulan dan kemudian matahari. Apabila baginda melalui proses itu, mereka kata akhirnya Nabi Ibrahim berjaya menemui Tuhan. Itu adalah penafsiran yang salah. Jangan kita terpedaya dengan penafsiran yang sebegini. Nanti akan dibincangkan di dalam ayat-ayat yang seterusnya.

وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ

agar dia termasuk dari golongan orang-orang yang yaqin.

Ditunjukkan semua itu kepda baginda, supaya baginda yaqin bahawa entiti-entiti lain yang disembah oleh kaumnya itu adalah salah belaka.

Ini menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim telah ada iman, tapi ditunjukkan segala kerajaan itu supaya baginda jadi ‘yaqin’. Itu adalah tingkatan yang lebih tinggi dari ‘iman’. Sebagai contoh, ramai yang tahu bahawa Quran itu dari Allah. Tapi apabila seseorang itu belajar Quran, belajar tafsir, barulah dia mendapat ‘keyakinan’ yang tinggi pada kehebatan Quran itu. Kerana kebenaran yang ditulis dalam Quran itu semakin jelas dan semakin jelas apabila kita mempelajarinya. Kita boleh lihat bagaimana apa yang disebut dalam Quran itu terjadi di hadapan mata kita. Ini adalah proses yang berpanjangan. Apabila kita belajar tafsir Quran dan kira melihat bagaimana segala apa yang Allah beritahu kepada kita dalam Quran itu benar-benar terjadi di hadapan mata kita maka kita akan mendapat ‘yaqin’ yang bertambah dari masa ke semasa.

Yaqin itu datang selepas iman. Oleh itu, kena ada iman sebelum datangnya ‘yaqin’. Apabila kita melihat alam ini, maka kita akan sampai kepada satu pemahaman tauhid yang yaqin. Iaitu melihat dengan betul.

Kalau seorang Nabi pun melalui proses melihat dan memikirkan tentang alam, maka kita pun kena buat juga begitu. Supaya kita pun sampai kepada tahap yaqin itu.


 

Ayat 76:

6:76
Sahih International

So when the night covered him [with darkness], he saw a star. He said, “This is my lord.” But when it set, he said, “I like not those that disappear.”

Malay

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ

Ketika malam telah gelap ke atasnya,

Sebagaimana Allah telah menunjukkan alam ini dan pemahaman tentang alam itu kepada baginda, Nabi Ibrahim telah panggil kaumnya ramai-ramai. Baginda hendak menggunakan cara yang sama untuk berdakwah kepada kaumnya. Iaitu  dengan melihat kepada alam ini dan memikirkan apakah maksudnya. Baginda hendak menunjukkan kepada mereka bahawa apa yang mereka sembah itu salah. Bolehlah difahamkan bahawa mereka ramai-ramai duduk melihat langit bersama dengan Nabi Ibrahim.

Perkataan جَنَّ digunakan apabila sesuatu perkara itu ditutup dari segala pancaindera manusia. Iaitu tidak boleh nampak, dengar, hidu dan sebagainya. Nama jin juga diambil dari kata ini. Kerana jin itu tidak dapat dirasa dengan pancaindera kita. Janin yang di dalam perut ibu mengandung pun diambil dari perkataan ini kerana janin itu berada dalam perut ibu. Tak nampak dan tak dapat dirasa oleh pancaindera.

Apabila malam datang, segalanya tidak nampak lagi kepada Nabi Ibrahim dan kaumnya. Melainkan bintang dan bulan sahaja.

رَأَىٰ كَوْكَبًا

dia melihat sebuah bintang

Langit itu gelap, tapi dengan jelas bintang kelihatan. Perkataan كَوْكَبًا digunakan untuk bintang yang besar dan bersinar terang. Banyak perkataan digunakan untuk menyebut tentang bintang. Tapi ada jenis-jenis bintang. Ini adalah kerana orang Arab memang suka melihat bintang. Memang banyak bintang di langit tapi ada satu jenis bintang yang berbeza dengan yang lain. Itulah yang dinamakan bintang jenis كَوْكَبًا. Ia lain kerana ia jelas kelihatan lebih besar dari bintang-bintang yang lain dan bersinar terang.

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

(lalu) dia berkata: “Inilah Tuhanku”,

Nabi Ibrahim berkata kepada kaumnya bahawa ‘bintang itulah tuhannya’. Ini kena difahami dengan jelas. Kerana kalau tidak, kita akan salah faham.

Kita kena ingat yang ini adalah kata-kata helah dari Nabi Ibrahim. Bukanlah Nabi Ibrahim menerima yang bintang itu sebagai tuhan pula. Jangan kita fikir macam itu. Nabi Ibrahim hendak memberikan hujah kepada kaumnya bahawa apa yang mereka syirik kan itu adalah perbuatan yang bodoh. Tambahan pula, perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَالَ yang bermaksud ‘berkata’. Tidak digunakan perkataan ‘fikir’ kerana Nabi Ibrahim pun tak pernah terima yang bintang itu sebagai tuhan. Baginda cuma cakap di mulut sahaja dan tidak sampai ke hati baginda pun.

Jadi, ini adalah satu cara Nabi Ibrahim hendak mempersembahkan cara memahami sifat Tuhan kepada masyarakatnya. Maka, baginda nak tolak satu-persatu tuhan sembahan mereka kerana semuanya tidak memiliki sifat Tuhan. Baginda mulakan dengan bintang.

Banyak juga yang salah faham dengan ayat ini. Ini adalah kerana mereka tak belajar tafsir Quran. Mereka baca sendiri ayat Quran dan sampai kepada pemahaman yang amat salah. Itulah sebabnya bahaya kalau baca dan cuba faham sendiri ayat Quran. Mereka kata, ayat ini hendak menceritakan bagaimana proses pencarian Nabi Ibrahim untuk mencari Tuhan. Ma sha Allah! Itu adalah salah dan pemahaman yang sesat! Dalam ayat sebelum ini, bukankah telah disebut bagaimana Nabi Ibrahim telah ada iman kepada Allah dan telah sampai ke tahap yaqin?

Ada pula yang kata ayat-ayat ini menceritakan tentang Nabi Ibrahim semasa muda yang sedang mencari tuhan. Ini pun pandangan yang salah juga. Kerana dalam akidah kita, kita berpegang bahawa para Nabi sebelum menjadi Nabi pun tidak pernah melakukan syirik. Mereka terpelihara dari melakukan perkara syirik walaupun mereka belum menjadi Nabi dan belum kenal Islam pun lagi. Sebagai contoh, walapun Nabi Muhammad belum lagi diperkenalkan dengan agama Islam tetapi baginda tidak pernah menyembah berhala. Baginda memang tidak suka dengan berhala kerana telah ditanam dalam diri baginda oleh Allah untuk membenci syirik. Oleh itu, walaupun baginda suka dan selalu tawaf keliling Kaabah, tapi baginda tidak pernah menyentuh berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah.

فَلَمَّا أَفَلَ

tetapi tatkala bintang itu tenggelam

Perkataan أَفَلَ digunakan untuk menerangkan apabila planet, bulan, bintang dan matahari telah hilang dari pandangan.

Nabi Ibrahim adalah seorang yang dikatakan amat bijak. Cuba fikirkan: adalah perlu baginda tunggu sampai bintang itu hilang baru dia perasan yang bintang itu akan hilang? Tentulah tidak. Kita yang tak berapa pandai ini pun tahu yang bintang itu akan hilang juga malam itu. Jadi kita kena faham apakah maksud Nabi Ibrahim menjalankan proses melihat bintang dalam ayat ini. Dan kemudian nanti melihat bulan dan matahari. Itu semua adalah helah dan lakonan baginda sahaja untuk ditunjukkan kepada kaumnya.

قَالَ لَا أُحِبُّ الْآفِلِينَ

dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam”.

Takkan sifat Tuhan itu timbul dan tenggelam? Datang sekejap-sekejap sahaja? Nabi Ibrahim berhujah bahawa dia tidak suka tuhan yang timbul sekejap-sekejap sahaja. Tuhan itu hendaklah sentiasa ada untuk mendengar doa kita. Kalau sekejap ada dan sekejap hilang, itu bukanlah satu sifat yang bagus. Kalau kita ada kawan, kawan macam mana yang kita suka? Yang selalu ada dengan kita atau selalu hilang?

Oleh kerana bintang itu boleh hilang, maka Nabi Ibrahim kata yang dia tidak akan sembah bintang sebagai tuhan. Oleh itu, baginda dah tolak satu contoh sembahan kaumnya.


 

Ayat 77:

6:77
Sahih International

And when he saw the moon rising, he said, “This is my lord.” But when it set, he said, “Unless my Lord guides me, I will surely be among the people gone astray.”

Malay

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.

فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا

Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit

بَازِغًا digunakan untuk menerangkan apabila bulan dan matahari sedang mula nak keluar. Waktu itu adalah waktu bulan dan matahari amat jelas sekali.

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

dia berkata: “Inilah Tuhanku”.

Baginda berkata pula kepada kaumnya begini. Kata-kata Nabi Ibrahim ini adalah sebagai lakonan sahaja, seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Bukanlah benar-benar baginda mengatakan yang bulan itu adalah Tuhannya.

Boleh dikatakan bahawa kata baginda itu adalah satu cemuhan sahaja – أهَٰذَا رَبِّي – “adakah ini tuhanku?”

فَلَمَّا أَفَلَ

Tetapi setelah bulan itu terbenam,

Tentulah setelah sekian lama, bulan itu akan hilang sinarnya dan akan tenggelam.

قَالَ لَئِن لَّمْ يَهْدِنِي رَبِّي

dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku,

لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ

pastilah aku termasuk orang yang sesat”.

Nabi Ibrahim mengajar kaumnya bagaimana menggunakan akal dalam memilih Tuhan. Kalau Allah tak beri petunjuk, kita semua akan sesat. Maka, baginda juga menunjukkan kepada mereka bagaimana berdoa kepada Allah untuk mendapatkan hidayah. Kerana baginda telah membacakan doa itu di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah untuk memberikan hidayah kepada kita.

Doa itu bukan sahaja kepada orang yang Islam, tapi orang yang kafir pun boleh baca. Kalau tidak, bagaimanakah ramai orang yang asalnya lahir dalam kekafiran tapi telah mendapat jalan Islam? Itu adalah kerana mereka pernah memohon petunjuk kepada Tuhan untuk beri hidayah kepada mereka. Mereka tidak tahu manakah Tuhan yang sebenar, maka mereka telah baca doa mereka dengan harapan untuk mendapatkan kebenaran. Mereka boleh baca dalam bahasa mereka, dalam cara yang mereka senang. Allah maha mendengar apakah permintaan mereka. Tidak semestinya mereka bukan orang Islam, Allah tak dengar doa mereka.


 

Ayat 78: Tapi kaumnya masih lagi tidak mahu terima, maka baginda teruskan dengan cara yang lain. Kali ini baginda berhujah dengan menggunakan contoh matahari pula.

Ini mengajar kita cara berdakwah. Kalau satu cara tidak berjaya, kita sepatutnya mencuba cara yang lain. Gunakan teknik yang berbeza pula.

Ayat-ayat ini juga mengajar kita dalam berhujah kita menggunakan peningkatan dari segi contoh-contoh yang digunakan. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim mula-mula menggunakan contoh bintang, kemudian bulan dan kemudian baru digunakan contoh matahari.

6:78
Sahih International

And when he saw the sun rising, he said, “This is my lord; this is greater.” But when it set, he said, “O my people, indeed I am free from what you associate with Allah .

Malay

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً

Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit,

Ini adalah waktu awal pagi.

قَالَ هَٰذَا رَبِّي

dia berkata: “Inilah Tuhanku,

هَٰذَا أَكْبَرُ

ini yang lebih besar”.

Lagi besar dari bintang dan bulan. Lagi cerah.

Lihatlah penggunaan bahasa di dalam ayat ini. Digunakan kata هَٰذَا Walaupun sepatutnya digunakan perkataan هذه kerana matahari bersifat Feminin dalam bahasa Arab. Oleh itu boleh juga kita katakan bahawa yang dimaksudkan ‘Tuhan’ oleh Nabi Ibrahim dalam ayat ini bukanlah matahari itu tetapi Allah sendiri. Ini bermakna bahawa Nabi Ibrahim menggunakan helah dalam penggunaan perkataannya.

فَلَمَّا أَفَلَتْ

Maka tatkala matahari itu terbenam,

قَالَ يَا قَوْمِ

dia berkata: “Hai kaumku,

Ayat ini menunjukkan bahawa memang Nabi Ibrahim sedang bercakap-cakap dengan kaumnya. Iaitu mereka bermula dengan melihat bintang, kemudian bulan dan matahari.

Tidaklah Nabi Ibrahim meneruskan hujahnya dengan mencari pula makhluk makhluk yang lain. Ini menunjukkan bahawa Baginda hanya hendak tunjukkan beberapa contoh sahaja. Tujuan baginda adalah untuk menggerakkan kaumnya berfikir. Jadi bukanlah tujuan baginda hendak mencari Tuhan seperti yang dikatakan oleh sesetengah kumpulan. Kerana kalau baginda memang mencari Tuhan tentulah baginda akan teruskan dengan mencari bukit, pokok dan lain-lain.

إِنِّي بَرِيءٌ مِّمَّا تُشْرِكُونَ

sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu syirikkan.

Nabi Ibrahim beritahu kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah itu adalah amat salah sekali. Oleh itu, Baginda tidak mahu kena mengena dengan amalan sesat mereka. Baginda kata baginda nak sembah Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang kekal sentiasa ada.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita bahawa Nabi Ibrahim kemudiannya akan meninggalkan kaumnya, sepertimana juga Nabi Muhammad meninggalkan Mekah. Ini kita boleh faham dari ayat ‘berlepas diri’ itu.

Ayat ini juga mengajar kita untuk melihat alam ini dan memikirkan siapakah penciptanya. Kadang-kadang kita hanya melihat benda-benda yang besar sahaja dan kita lupa benda-benda yang kita biasa lihat seperti bulan, bintang dan juga matahari. Sebagai contoh, pertukaran siang dan malam pun ada tanda kekuasaan Allah. Begitu juga dengan semua benda-benda seperti semut yang kecil dan begitu juga dengan makanan yang kita makan setiap hari. Kalau kita fikirkan tentang alam, ianya akan memberikan kita satu pemahaman bahawa semuanya telah diberikan kepada kita dengan segala keindahan. Semuanya telah diberikan kepada kita sebagai nikmat dari Allah.

Ayat ini juga mengajar bahawa kita perlu meluangkan masa untuk memikirkan tentang alam ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim menunggu sehingga bintang tenggelam. Kemudian baginda menunggu sehingga bulan muncul dan kemudian menunggu pula sehingga matahari muncul dan terbenam. Bukanlah kita hanya luangkan masa yang sekejap sahaja dan kita ingat kita boleh terus faham tentang alam ini. Dalam surah al-Mulk, telah disebut bagaimana Allah mengajar kita untuk sentiasa melihat kepada alam. Dan kena buat berkali-kali.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa semua makhluk samada kecil atau besar, mereka semuanya akan hancur dan yang tinggal hanyalah Allah yang maha kuasa.


 

Ayat 79: Nabi Ibrahim ditanya jikalau baginda tidak menyembah bintang, bulan, matahari dan sebagainya, jadi apakah yang baginda sembah? Maka Nabi Ibrahim menjawab sebagaimana di dalam ayat ini.

6:79
Sahih International

Indeed, I have turned my face toward He who created the heavens and the earth, inclining toward truth, and I am not of those who associate others with Allah .”

Malay

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ

Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku

Kenapa digunakan perkataan ‘wajah’? Kerana pada wajah itu merangkumi semua pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, percakapan, minda dan juga hati. Oleh itu ia bermaksud untuk memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang kita hadapkan itu.

Kepada siapa Nabi Ibrahim a.s. hadapkan?

لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

kepada yang menciptakan langit dan bumi,

فَطَرَ bermaksud yang ‘mula-mula membuat’. Yang sebelum itu tidak dikenali lagi apa yang telah dibuat itu. Tidak ada benda yang sama yang ada sebelum itu. Sebelum Allah cipta langit dan bumi, tidak ada lagi makhluk seperti itu. Kalau dibandingkan dengan kita cipta kereta jenis baru, tidak boleh dikatakan sebagai فَطَرَ kerana telah ada kereta yang dicipta sebelum itu. Jadi, kita cuma tiru sahaja.

Ayat ini bermaksud Nabi Ibrahim memberikan sepenuh perhatian kepada Allah yang telah mencipta dan menjadikan alam ini.

حَنِيفًا

dengan keadaan lurus,

Bermaksud seseorang yang fokus pada tujuannya dan tidak dialihkan oleh benda-benda lain. Maknanya Nabi Ibrahim fokus kepada menyembah Allah sahaja.

Ini mengajar kita bahawa dalam kita melakukan sesuatu benda yang penting, maka hendaklah kita focus kepada apa yang kita lakukan. Jangan kita biar diri kita diganggu dengan perkara-perkara yang tidak penting. Macam juga kita kena focus kalau kita buat kerja. Kalau kita tidak fokus, maka kita akan banyak membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak penting. Sama juga apabila kita memandu kereta. Amat bahaya kalau kita tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa kita memandu.

Masalah yang kita hadapi dalam zaman moden ini adalah kita senang diganggu oleh banyak perkara-perkara yang boleh menghilangkan fokus kita. Bahan hiburan terlalu banyak. Dengan TV, radio, YouTube dan macam macam lagi. Ianya pula amat senang untuk dicari. Tak payah cari pun dah ada depan mata kita. Tidak sama dengan masyarakat zaman dulu yang tidak dicemari dengan bahan-bahan seperti itu. Oleh kerana dah banyak sangat bahan hiburan, banyak masa kita terbuang dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita kena pandai untuk menghilangkan gangguan-gangguan itu. Kita tidak akan mencapai kejayaan kalau kita tidak fokus di dalam tugas dan kerja.

Kadang-kadang pula, kita mahu melakukan berbagai-bagai perkara sampaikan kita tidak fokus kepada satu perkara dan sampaikan perkara yang penting itu tidak dapat dilakukan. Bila kita hendak melakukan banyak sangat perkara, maka satu perkara pun tidak dapat diselesaikan dengan baik.

Sebab itu kita disuruh untuk khusyuk di dalam solat. Ini mengajar kita setiap hari untuk fokus. Kita disuruh untuk tidak memikirkan kepada benda lain melainkan kepada Allah sahaja semasa kita dalam solat. Sampaikan kita disuruh untuk melihat kepada tempat sujud sahaja – supaya bukan sahaja hati kita, tapi mata kita pun fokus kepada satu tempat sahaja.

Kita diberitahu di dalam ayat ini bahawa salah satu sebab kejayaan Nabi Ibrahim ialah kerana baginda fokus dalam ibadahnya dan di dalam dakwahnya.

Fokus kepada Allah bermaksud kita ikhlas beribadat kepadaNya. Iaitu tidak ada perkara yang akan melencongkan kita daripada Allah.

وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah melakukan syirik. Ini adalah kerana penggunaan kata ما dalam ayat ini. Apabila ما digunakan, ia bukan sahaja bermaksud ‘tidak’ tetapi ia juga menidakkan kata-kata orang lain tentang sesuatu. Ini penting kerana ada agama-agama yang mengatakan Nabi Ibrahim pernah melakukan syirik. Sebagai contoh, dalam Injil, ada dikatakan yang Nabi Ibrahim telah melakukan syirik di hujung hayatnya. Jadi, Allah hendak membersihkan nama Nabi Ibrahim dalam ayat ini.

Ayat ini mengajar kepada kita bahawa kita perlu menjauhkan diri daripada mereka yang melakukan syirik dan amalan-amalan syirik. Tidak kisah sama ada yang melakukan syirik itu adalah kawan baik kita atau ahli keluarga kita pun. Kita jangan ikut amalan syirik mereka walaupun kita duduk satu rumah dengan mereka. Jangan kita bekerjasama dengan mereka dalam melakukan syirik itu.

Memang sekarang dalam masyarakat kita amat ramai yang melakukan syirik. Kadang-kadang kita sampai rasa hanya kita sahaja yang mengamalkan tauhid kepada Allah. Oleh itu bayangkan bagaimana Nabi Ibrahim yang berseorangan di dalam menentang kaumnya yang melakukan syirik itu. Walaupun seluruh kaumnya melakukan syirik, tetapi baginda tidak bersama dengan mereka.


 

Ayat 80:

6:80
Sahih International

And his people argued with him. He said, “Do you argue with me concerning Allah while He has guided me? And I fear not what you associate with Him [and I will not be harmed] unless my Lord should will something. My Lord encompasses all things in knowledge; then will you not remember?

Malay

Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?

وَحَاجَّهُ قَوْمُهُ

Dan dia dibantah oleh kaumnya.

Setelah diberikan hujah yang amat kuat, kaumnya masih lagi membantah baginda. Begitu degil mereka. Ini adalah jenis manusia yang tak mahu dengar cakap orang. Jenis yang tidak mahu menggunakan akal yang Allah telah kurniakan.

Mereka tidak boleh terima yang Nabi Ibrahim tidak boleh menerima agama mereka. Sama juga kalau kita tegur masyarakat Islam di negara ini. Kalau kita kata amalan-amalan mereka seperti nyanyian Qasidah, solat hajat berjemaah, majlis Tahlil, sambutan Maulid Nabi dan lain-lain amalan bidaah itu semuanya salah, mereka akan bantah kita. Mereka tidak akan puashati dengan kita. Mereka hendak juga berhujah bahawa apa yang mereka amalkan itu adalah betul dan disukai oleh Allah. Macam-macam hujah mereka akan beri. Tapi hujah mereka bukanlah dari dalil yang sahih. Malahan berlawanan dengan Quran dan Sunnah. Tapi kerana mereka tak belajar, mereka tak tahu pun bahawa apa yang mereka buat itu berlawanan dengan apa yang diajar oleh Allah dan Nabi.

Kaum Nabi Ibrahim juga menyatakan kepada baginda, jikalau baginda tidak beragama seperti mereka dan sembah sembahan mereka itu, baginda akan dikenakan dengan bala. Iaitu tuhan-tuhan itu akan buat sesuatu yang tak elok kepada baginda. Maknanya, mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim. Mereka nak kata bahawa berhala dan sembahan mereka itu ada kuasa untuk memberi mudharat.

Masyarakat kita yang sesat juga ada juga nak takutkan kita dengan perkara-perkara karut seperti itu. Katakanlah kita hendak robohkan tempat persembahan mereka seperti kubur yang ada di Pulau Besar sekarang, mereka akan mengatakan bahawa kita akan dikenakan dengan bala. Padahal memang kubur tempat sembahan masyarakat kita itu kena dirobohkan kerana selagi tidak dirobohkan, selagi itu masyarakat Islam di negara ini dan negara-negara lain akan datang nak buat syirik tak habis-habis. Dulu dijadikan tempat sembahan puak tarekat, sekarang nak dijadikan tempat sembahan puak-puak Habib pula.

قَالَ أَتُحَاجُّونِّي فِي اللَّهِ

Dia berkata: “Apakah kamu hendak membantah dengan aku tentang Allah,

Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim telah menyebut nama Allah, bukan digunakan perkataan ربّ dalam bentuk umum lagi. Ini menunjukkan bahawa baginda telah kenal Allah. Telah kenal nama Allah. Jadi, tidak betullah kalau ada yang kata bahawa Nabi Ibrahim lihat bintang, bulan dan matahari itu sebab nak cari Tuhan. Sebaliknya Nabi Ibrahim dah kenal dah Tuhan dan namaNya adalah Allah.

وَقَدْ هَدَانِ

sedangkan sesungguhnya Allah telah memberi petunjuk kepadaku”.

Ayat ini memberi isyarat kepada kita bahawa Allah telah memberi wahyu kepada baginda. Kerana Nabi Ibrahim menggunakan perkataan هَدَانِ (memberi hidayah kepadaku). Maknanya, Allah lah yang telah mengajar baginda cara-cara berdakwah seperti yang telah dilakukannya dalam beberapa ayat sebelum ini. Allah lah yang mengajar baginda bagaimana nak cakap dengan kaumnya itu.

Nabi Ibrahim berkata: Bagaimana kamu boleh lagi membantah aku tentang Allah sedangkan aku telah memberi hujah-hujah yang kukuh untuk membuktikan kebenaranNya?

Begitulah kaum Nabi Ibrahim. Dan begitu juga dengan puak-puak ahli bidaah di negara ini. Setelah diberi hujah yang kukuh, masih lagi nak bantah. Kerana hati mereka telah lama condong kepada kesyirikan.

وَلَا أَخَافُ مَا تُشْرِكُونَ بِهِ

Dan aku tidak takut kepada (malapetaka dari) sembahan-sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah,

Kaum Nabi Ibrahim telah ancam baginda. Mereka kata kalau baginda kutuk sembahan mereka, baginda akan ditimpa bala. Nabi Ibrahim tidak takut kepada ancaman mereka kerana tuhan-tuhan sembahan mereka itu tidak boleh mengenakan apa-apa langsung kepada diri baginda.

Begitu juga kita. Kalau ada tempat sembahan syirik di negara kita, kita sepatutnya kena musnahkan. Kerana penting untuk menjaga akidah umat Islam. Maka, kalau kita kena musnahkan, maka jangan takut kalau-kalau kita kena penyakit, jadi gila, busung perut dan sebagainya. Mereka yang ada perasaan takut seperti itu adalah mereka yang ada kepercayaan khurafat dalam diri mereka. Kita kena yakin yang tidak ada apa-apa entiti yang ada kuasa untuk beri mudharat kepada kita kalau Allah tak izinkan.

Orang beriman selalu ditakut-takutkan oleh mereka yang tidak beriman. Antaranya mereka kata, kalau kita hantar anak kita belajar sekolah agama, belajar Quran dan hadis, nanti apa mereka nak kerja nanti, mereka akan susah nak dapat kerja; kalau pakai tudung tutup aurat, susah nak dapat suami; kalau tak amalkan riba, susah kita nak beli rumah dan macam-macam lagi; jangan kita hiraukan dengan kata-kata mereka.

إِلَّا أَن يَشَاءَ رَبِّي شَيْئًا

kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu (dari malapetaka) itu.

Kecuali kalau Allah sendiri yang mahu mengenakan bala kepada kita, maka kita akan kena bala itu. Kerana tidak ada kuasa apa-apa pun selain daripada Allah Ta’ala yang boleh mengenakan bala kepada kita. Maka jangan kita percaya bahawa kalau kita menyatakan kesyirikan sembahan tuhan orang kafir itu, kita boleh kena bala. Hanya takut kepada Allah sahaja.

Kalau kita buat benda yang baik, tapi masih kena dugaan, kena bala, maka hendaklah kita terima itu sebagai ujian dari Allah. Kerana Allah memang dah beritahu kita yang Dia akan memberikan ujian kepada kita. Dan sesuatu perkara itu tidak akan terjadi tanpa kehendak Allah dan izin Allah. Maka Allah memang sudah tetapkan bahawa kita akan diuji. Memang itulah yang akan kita dapat dari masa ke semasa.

وَسِعَ رَبِّي كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا

Ilmu Tuhanku meliputi segala sesuatu.

Ilmu pengetahuan Allah meliputi segala sesuatu. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita, Allah tahu kerana Allah lah yang melakukannya. Jangan pula kita percaya daripada ayat ini yang Dzat Allah ‘meliputi alam’ ini. Kerana yang dimaksudkan ‘meliputi’ itu adalah ilmu Allah. Kerana salah faham, ada yang kata Allah ada di mana-mana. Itu dah hina Allah – kerana kalau Allah ada di mana-mana, tentu Allah ada dalam poket kita, dalam rumah kita, dalam tandas kita dan sebagainya. Tolaklah fahaman itu.

Apabila seseorang itu ada tauhid, beriman benar dengan Allah, maka dia akan jadi yakin. Dia tahu bahawa tidak ada benda yang boleh memudharatkan dirinya tanpa izin Allah. Maka dia tidak takut kepada hantu, kepada jin, kepada ancaman manusia dan sebagainya. Yang kita perlu takut hanyalah kepada Allah. Jin dan syaitan memang suka kalau kita takut kepada mereka, kepada hantu dan sebagainya. Apabila kita disuruh takut hanya kepada Allah, tapi kita lebih takut hantu dari Allah, maka ada masalah dalam akidah kita.

أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Maka kenapakah kamu tidak dapat mengingati?”

Untuk kita ingat sesuatu, mulanya hendaklah kita ada benda yang perlu diingat. Iaitu kita telah tahu sesuatu perkara itu, cuma perlu diingatkan sahaja, bukan? Jadi kenapa perkataan تَتَذَكَّرُونَ digunakan dalam ayat ini?

Ini adalah kerana manusia telah kenal Allah semasa dalam alam roh lagi. Fitrah kita sebagai manusia adalah kenal Allah. Cuma kita sahaja lupa setelah dilahirkan dalam dunia ini. Jadi, ajaran semua Nabi dan Rasul adalah untuk mengingatkan kembali kita kepada fitrah kita itu.


 

Ayat 81:

6:81
Sahih International

And how should I fear what you associate while you do not fear that you have associated with Allah that for which He has not sent down to you any authority? So which of the two parties has more right to security, if you should know?

Malay

“Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?”

وَكَيْفَ أَخَافُ مَا أَشْرَكْتُمْ

Bagaimana aku takut kepada sembahan-sembahan yang kamu persekutukan (dengan Allah),

Kenapa pula kita hendak takut kepada tuhan-tuhan sembahan mereka? Kita tidak boleh takut kepada selain daripada Allah. Kalau kita takut kepada selain daripada Allah, maka itu adalah syirik kerana kita percaya bahawa ada benda lain selain daripada Allah yang boleh memberi mudarat kepada kita.

وَلَا تَخَافُونَ

padahal kamu tidak takut

Takkan kita nak takut kepada sembahan syirik mereka tapi mereka tak takut pula dengan Allah yang Maha Kuasa? Tuhan mereka tak boleh buat apa-apa, tapi Allah memang mampu untuk buat segala-galanya.

أَنَّكُمْ أَشْرَكْتُم بِاللَّهِ

Sesungguhnya kamu mempersekutukan Allah

Sungguh menghairankan bagaimana mereka hendak menakutkan Nabi Ibrahim dengan sembahan mereka tapi mereka tak takut pun dengan perbuatan mereka mensyirikkan Allah.

Dalam ayat ini, Nabi Ibrahim dengan jelas memberitahu kepada kaumnya yang mereka itu telah melakukan syirik. Jadi kenapa kita takut nak cakap kepada masyarakat kita tentang amalan syirik mereka? Kita kena berani cakap kepada mereka. Kerana kalau kita tak cakap, mereka tak tahu. Apabila mereka tak tahu, mereka akan terus melakukan perbuatan syirik itu.

مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ عَلَيْكُمْ سُلْطَانًا

yang Allah sendiri tidak menurunkan hujjah kepadamu

Perkataan سُلْطَانًا bermaksud dalil. Apabila kita buat sesuatu amalan atau kefahaman, kenalah ada dalil yang sah. Tidak boleh kita memandai-mandai reka hal ugama. Tapi amat malang sekali, banyak masyarakat kita buat amalan tanpa dalil.

فَأَيُّ الْفَرِيقَيْنِ أَحَقُّ بِالْأَمْنِ

Maka manakah di antara dua golongan itu yang lebih berhak memperoleh keamanan

Dua golongan yang dimaksudkan itu adalah Nabi Ibrahim dan pihak Musyrikin dari kaumnya.

‘Aman’ bermaksud apabila kita rasa tenang dari sesuatu yang kita tidak nampak. Dari perkara-perkara ghaib. Bukankah kita selalu takut dengan perkara-perkara yang kita tidak nampak?

Dari dua golongan ini manakah yang lebih layak dapat keamanan dari murka Allah, dari azab Allah? Macam mana pihak musyrikin akan dapat rasa aman kalau mereka sentiasa takut dengan perkara yang tidak benar? Orang yang buat syirik tidak rasa tenang, tidak aman. Aman hanya datang dari iman. Mereka mungkin duduk senang dan selamat dalam rumah mereka, tapi hati mereka tidak aman.

إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

jika kamu mengetahui?

Tentulah yang di atas tauhid itu lebih aman. Mereka akan tenang sahaja walau apa yang terjadi kepada mereka.

Untuk mengetahui, kenalah belajar. Kenalah belajar agama sampai faham.

Lompat ke ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

4 Responses to Tafsir Surah al-An’am Ayat 74 – 81

  1. Allahu Rabbi.... says:

    Jangan membid’ah sana sini tanpa fahami ta’rif bid’ah sebenar. Para Nabi ma’sum dan mereka tidak pernah syirik daripada kecil. Nabi Ibrahim, Nabi Muhammad dan para Nabi yang lain alaihimus solati was salaam adalah nabi dan kemudian diangkat menjadi Rasul. Ramai yang kata ikut sunnah tapi mentafsir ikut hawa nafsu.

    Like

    • Allahu Rabbi.... says:

      macam mana ngajar tafsir nak kias kepada ajaran syirik dan kufir dengan perkara ni? …lihat apa yang tuan cakap dalam tafsir tu semasa mentafsir وحاجه قومه…
      Sama juga kalau kita tegur masyarakat Islam di negara ini. Kalau kita kata amalan-amalan mereka seperti nyanyian Qasidah, solat hajat berjemaah, majlis Tahlil, sambutan Maulid Nabi dan lain-lain amalan bidaah itu semuanya salah, mereka akan bantah kita. Mereka tidak akan puashati dengan kita. Mereka hendak juga berhujah bahawa apa yang mereka amalkan itu adalah betul dan disukai oleh Allah. Macam-macam hujah mereka akan beri. Tapi hujah mereka bukanlah dari dalil yang sahih. Malahan berlawanan dengan Quran dan Sunnah. Tapi kerana mereka tak belajar, mereka tak tahu pun bahawa apa yang mereka buat itu berlawanan dengan apa yang diajar oleh Allah dan Nabi…..
      Jauh benar qiyas tu… jatuh dosa ke qasidah, tahlil, solat hajat berjemaah dsb tu? jatuh syirik dan kufur ke? betul ke amalan tu salah macam tuan royak?….Tolong perbetul balik, kesian kat orang mendengar. Campur aduk, camba sekali. Allahu Rabbi..
      minta maaf, ambo harap betul semula tu..sian demo jugok.

      Like

      • tafsirsunnah says:

        Memang segala amalan yang tidak diajar oleh Allah adalah salah. Masyarakat kena faham tentang perkara ini. Kalau takut diberitahu, begitulah yang terjadi sekarang, orang tidak takut buat perkara bidaah kerana ianya telah dipermudahkan. Macam tidak salah sahaja mereka buat bidaah, padahal ianya adalah dosa dan ianya adalah syirik.

        Bagaimana syirik? Kerana amalan agama kena datang dari Allah dan Nabi, tapi sekarang ramai yang ambil dari ‘manusia’ – dari ustaz, dari guru, dari ulama. Itu sudah menyamakan kedudukan mereka dengan Allah. Patutnya amalan agama datang dari Allah, tapi mereka ambil dari makhluk.

        Marilah datang belajar supaya boleh bertanya terus.

        Like

    • tafsirsunnah says:

      Assalamualaikum,

      Saya faham maksud bidaah. Kerana saya belajar. Tapi saudara fahamkah? Bidaah adalah perkara baru dalam agama yang tidak pernah diajar oleh Nabi. Adakah takrif lain?

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s