Tafsir Surah al-An’am Ayat 69 – 73

Ayat 69: Kesinambungan dari majlis bidaah dan syirik yang dibuat oleh mereka yang tidak berilmu. Dalam ayat sebelum ini, kita dilarang dari berada bersama-sama dengan mereka.

6:69
Sahih International

And those who fear Allah are not held accountable for the disbelievers at all, but [only for] a reminder – that perhaps they will fear Him.

Malay

Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.

وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ

Dan tidak atas orang-orang yang bertakwa

Orang yang bertaqwa adalah orang yang menjaga hukum Allah. Mereka tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah. Mereka akan berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Mereka tak campur dengan majlis-majlis yang syirik, bidaah dan yang memperolok-olokkan hukum Allah. Mereka akan tinggalkan majlis-majlis yang sebegitu.

مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

ada pertanggungjawaban sedikitpun terhadap dosa mereka;

Mereka tidak bertanggungjawab atas dosa mereka yang memperolokkan ayat Allah itu. Tapi mereka kena keluar dari majlis itu dan tidak boleh duduk bersama dengan mereka.

وَلَٰكِن ذِكْرَىٰ

akan tetapi (kewajiban mereka ialah) mengingatkan

Cuma, mereka yang bertaqwa itu kena beri peringatan kepada mereka yang telah berbuat salah dalam agama. Jadi, ada dua perkara yang perlu dilakukan oleh orang yang bertaqwa:

1. Tinggalkan majlis yang memperolokkan ayat Allah.

2. Beri peringatan dan tazkirah kepada mereka yang telah buat salah itu.

Tapi kena pandai untuk beri peringatan. Bukan dalam suasana mereka sedang bercakap-cakap sambil menentang ayat Allah itu. Sebagai contoh, katakanlah mereka sedang mempertikaikan ayat Quran dan hadis Nabi dalam satu majlis. Kita jangan terus beri peringatan kepada mereka di situ. Kerana waktu itu mungkin tidak sesuai. Dia mungkin ada kawan yang akan menyokongnya, orang pun ramai waktu itu dan kita pun tidak bersedia untuk memberikan hujah yang kemas waktu itu. Oleh itu, kena cari masa yang lain. Persiapkan apa yang kita hendak cakap dan kita cari dia untuk sampaikan peringatan dari kita.

Begitu juga kalau dengan majlis syirik dan majlis bidaah. Kalau kita tegur mereka waktu mereka sedang melakukan majlis itu, mungkin mereka tidak dapat terima. Tapi cari masa yang sesuai dan tabligh kepada mereka kenapa kita tinggalkan majlis itu dan kenapa kita tidak boleh bersama dengan mereka waktu itu.

Ayat ini memberitahu kepada kita, kita hanya tinggalkan mereka sekejap sahaja. Semasa mereka sedang melakukan kesalahan itu. Tapi selepas itu ada kewajipan kepada kita untuk memberi peringatan kepada mereka. Maknanya, bukan kita boikot terus mereka.

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

agar mereka bertakwa.

Semoga mereka mendengar apa yang kita nasihatkan kepada mereka dan sedar tentang kesalahan yang mereka telah lakukan itu dan menjadi orang yang bertaqwa.


 

Ayat 70:

6:70
Sahih International

And leave those who take their religion as amusement and diversion and whom the worldly life has deluded them. But remind with the Qur’an, lest a soul be given up to destruction for what it earned; it will have other than Allah no protector and no intercessor. And if it should offer every compensation, it would not be taken from it. Those are the ones who are given to destruction for what they have earned. For them will be a drink of scalding water and a painful punishment because they used to disbelieve.

Malay

Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).

وَذَرِ الَّذِينَ

Dan tinggalkanlah mereka

Kerana kalau kita tidak tinggalkan mereka, kita akan jadi macam mereka. Ada kemungkinan kita akan terpengaruh dengan perangai dan cara fikir mereka. Takut kita pula akan ambil mudah tentang agama. Kita akan rasa tak kisah kalau main-main dengan agama, buat lawak tentang agama. Kita akan jadi macam penceramah yang bercakap tentang agama, tapi buat cerita lawak dan jenaka. Padahal hal agama ini adalah hal yang serius, tentang syurga neraka, tentang syirik, dan semua itu bukan barang permainan dan senda gurau.

اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا

yang mengambil agama mereka sebagai main-main dan senda gurau,

Realitinya, ramai sangat ustaz-ustaz yang mengajar sekarang buat lawak sahaja tentang hal agama ini. Kalau berceramah, mereka akan selitkan kisah-kisah lawak. Alasannya adalah untuk menarik minat manusia. Itu belum masuk mereka yang menyanyi sambil berceramah. Dalam ayat ini, Allah suruh kita biarkanlah sahaja mereka.

Perkataan دِينَهُمْ bermaksud ‘agama mereka’. Kalau mereka agama kafir, seperti Kristian, Yahudi, Hindu, bermaksud mereka memang menjadikan agama mereka sebagai bahan jenaka. Tengoklah apa orang Kristian buat dengan agama mereka. Mereka boleh kutuk-kutuk paderi mereka, mereka boleh buat kartun pasal syurga, pasal neraka dan sebagainya.

Kalau دِينَهُمْ itu bermaksud agama mereka yang beragama Islam, itu pun ramai juga. Seperti kita telah sebut sebelum ini. Bagaimana sedihnya kita lihat sekarang bagaimana kalau berceramah sahaja, mesti nak kena ada lawak. Mereka nak kena buat lelucon. Sekarang sudah siap diadakan pertandingan penceramah dakwah macam Akademi Fantasia dah. Dalam rancangan itu, penceramah agama kena pandai buat lawak, kena pandai buat sajak, kena pandai menyanyi. Sedih sungguh kita melihat bagaimana agama Islam ini telah dimain-mainkan.

لَعِبًا merujuk kepada ‘permainan’ yang berbentuk fizikal. Mereka melakukan perkara yang mereka suka yang melibatkan perbuatan fizikal. Sebagai contoh, kalau Hari Raya, mereka akan bersungguh-sungguh pakai baju baru, makanan sedap-sedap dan sebagainya.
Ada yang pergi ke masjid hanya kalau ada majlis yang mereka suka: iaitu apabila ada makanan, nyanyian, permainan dan sebagainya.

وَلَهْوًا pula merujuk kepada permainan yang berbentuk hati. Yang melibatkan emosi. Sebagai contoh, mereka buat lawak apabila memperkatakan tentang agama.

Selain dari itu, kita boleh lihat bagaimana ramai sangat sekarang yang tak ambil serius tentang agama mereka. Mereka tak rasa ralat pun kalau tak tahu tentang agama. Bila ajak pergi kelas tafsir pun mereka tak mahu nak ikut. Kalau tengok wayang tiga jam pun tidak mengapa. Tapi kalau kelas setengah jam pun dah panas dah.

Allah beritahu kita supaya jangan campur sangat dengan orang yang sebegini. Kerana takut kita pula yang terpengaruh dengan mereka. Mereka hanya memikirkan dunia sahaja. Mereka hanya memikirkan kejayaan di dunia sahaja. Langsung tidak memikirkan tentang kejayaan di akhirat.

وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.

Ada ramai yang kata mereka suka dengar ceramah agama yang ada jenaka di dalamnya. Masalahnya, yang mari datang bukan nak belajar tapi nak dengar lawak jenaka. Dua jam mengajar, tapi lima minit sahaja ilmu yang disampaikan. Allah larang kita ambil peduli dengan mereka. Perkara agama ini adalah hal serius. Bukan boleh dibuat lawak jenaka.

Mereka ‘tertipu’ kerana ingat dengan buat lawak itu akan menarik budak-budak muda datang belajar. Begitu juga mereka buat konsert nyanyian untuk menarik minat anak-anak muda, sampai kadangnya mereka buat sekali nasyid dengan kumpulan rock. Itu dilakukan dengan tujuan amal dan kerana itu mereka ingat mereka buat perkara baik. Mereka tertipu sebenarnya. Mereka ingat anak-anak muda itu nak belajar agama, tapi sebenarnya mereka hendak bergembira sahaja.

Mereka juga tertipu dengan dunia. Kerana dunia ini begitu indah dan menarik kepada mereka yang lupa tentang agama dan tentang Hari Akhirat. Mereka ingat dunia ini tempat bergembira sahaja. Sampai dalam agama pun mereka ingat mudah sahaja. Mereka ingat  apa yang mereka belajar semasa di sekolah rendah itu boleh pakai sampai bila-bila. Mereka langsung tidak terfikir untuk belajar agama dengan lebih mendalam. Yang mereka sibuk adalah tentang hal-hal dunia. Hal bergembira, hal bekerja, hal keluarga dan sebagainya. Mereka suka banyak perkara, asalkan bukan hal agama. Kerana hal agama amat membosankan kepada mereka.

وَذَكِّرْ بِهِ

Peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu

Ayat ini memerlukan penerangan. Kerana dalam satu bahagian ayat, Allah suruh tinggalkan mereka. Dalam bahagian ini, Allah suruh kita ingatkan mereka pula. Bagaimana pula ada suruhan yang berbeza begini? Ini bermakna, walaupun kita disuruh tinggalkan mereka, tapi tidaklah sampai boikot mereka terus. Kalau kita tinggalkan mereka, mereka akan terus hanyut dengan dunia.

Maknanya, jangan sentiasa sahaja bersama mereka pagi dan petang. Sekali sekala boleh duduk dengan mereka. Dan bila kita ada peluang duduk bersama mereka, kita kena ingatkan mereka. Kalau kita tidak ingatkan mereka, mereka akan ditarik ke neraka.

Kena gunakan Quran untuk beri peringatan kepada mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan بِهِ dalam ayat ini. Usaha dakwah perlu dijalankan dengan Quran. Banyak sekali ayat-ayat Quran yang mengingatkan kita untuk memperingatkan manusia dengan Quran. Bukannya dengan nyanyian, sajak, lawak jenaka dan sebagainya.

أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ

agar masing-masing diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka,

تُبْسَلَ dari katadasar بسل yang bermaksud ‘menangkap seseorang dengan paksa’. Sebagai contoh, apabila seseorang ditangkap untuk dimasukkan ke dalam penjara. Tentunya orang yang dimasukkan itu tidak rela dimasukkan ke dalam penjara.

Ia juga bermaksud meletakkan seseorang sebagai tebusan. Sebagai contoh, meletakkan anak kita dengan seseorang apabila meminjam wang. Selagi kita tak bayar hutang kita, kita tak boleh ambil anak itu. Anak itu dijadikan seperti hamba sepanjang tempoh itu. Ini masih lagi diamalkan di sesetengah tempat lagi. Ada yang terpaksa menjadi hamba sampai mereka telah dewasa baru ibubapa mereka boleh kumpul wang untuk membayar tebusan itu.

Dalam ayat ini, kita diingatkan untuk memberi peringatan kepada manusia agar mereka tidak dimasukkan secara paksa ke dalam neraka. Tidak ada yang akan menebus mereka nanti kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka.

بِمَا كَسَبَتْ

karena perbuatannya sendiri.

Mereka dimasukkan ke dalam neraka kerana kesalahan mereka. Mereka akan kekal di dalamnya Selagimana dosa mereka tidak dibersihkan. Macam juga duduk dalam penjara. Sebagai contoh, ada yang kena penjara selama lima tahun. Selagi tidak cukup lima tahun, selagi itu banduan itu tidak dikeluarkan.

لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ وَلِيٌّ

Tidak akan ada baginya selain daripada Allah, sebarang pelindung

Apabila dah dimasukkan ke dalam neraka, tidak ada sesiapa yang dapat menolong. Wali adalah sesiapa yang dapat membuang kesusahan. Kalau dalam dunia, kita ada wali-wali yang boleh membantu kita. Kerana wali itu adalah orang yang rapat dengan kita. Sebagaimana juga seorang wali untuk wanita adalah bapanya, pakciknya, abangnya atau datuknya – iaitu orang yang rapat dengannya. Mereka itu kerana rapatnya dengan seseorang, akan menolong apabila ada masalah.

Tapi di akhirat kelak, tidak ada wali yang dapat menolong selain dari Allah taala.

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak pula pemberi syafa’at .

Pemberi syafaat adalah mereka yang menolong kita dengan meminta supaya dibuangkan kesusahan. Kalau wali, dia boleh buangkan kesusahan itu dengan tangannya sendiri. Tapi pemberi syafaat, dia kena meminta tolong orang lain. Sebagai contoh, kalau ada anak saudara kita yang kena masuk lokap, kita akan minta tolong kepada ketua balai polis untuk beri kelonggaran untuk mengeluarkannya.

Orang yang dah masuk neraka, tidak ada wali dan tidak ada pemberi syafaat.

وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ

Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun,

Jikalau dia beri tebusan pun tidak diterima. Walau dengan apa sahaja yang dia ada. Waktu di akhirat kelak, seseorang yang sudah hendak dimasukkan ke dalam neraka, tidak kisah berapa banyak mereka akan belanjakan untuk menebus diri mereka. Kalau mereka di dunia, mereka amat sayang kepada harta mereka, sampaikan nak beri sedekah pun liat – tapi di akhirat kelak, mereka sanggup berhabis kalau mereka ada, untuk menyelamatkan diri mereka.

Tapi tentunya di akhirat kelak tidak ada apa yang mereka boleh gunakan sebagai tebusan. Walaupun mereka ada apa-apa pun, ianya tidak akan diterima.

لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا

tidak akan diterima itu daripadanya.

Biarlah apa sahaja yang mereka hendak jadikan tebusan, tidak akan diterima. Oleh kerana mereka tidak ada harta di akhirat kelak, mereka akan jadikan orang-orang yang rapat dengan mereka sebagai tebusan. Seorang suami akan berikan isterinya sebagai tebusan, seorang bapa akan memberikan anaknya sebagai tebusan. Begitulah mereka sanggup beri apa sahaja sebagai tebusan, tapi tidak akan diterima.

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا

Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan dengan sebab perbuatan mereka

Mereka dijerumuskan ke dalam neraka itu adalah disebabkan kesalahan yang mereka buat. Antaranya buat lawak jenaka dalam hal agama, memperolokkan hal-hal agama, tidak belajar agama sampaikan mereka buat dosa amalan bidaah dan amalan syirik dan macam-macam lagi.

Maknanya, bukanlah Allah zalim untuk masukkan mereka ke dalam neraka tanpa salah apa-apa. Semuanya kerana bersebab.

لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ

Bagi mereka (disediakan) minuman dari air yang sedang mendidih

Mereka akan rasa amat dahaga. Penghuni neraka akan rasa dahaga yang amat sangat dari saat mereka masuk ke dalam neraka sampailah bila-bila, selagimana mereka berada dalam neraka. Dan apabila mereka meminta untuk minum, mereka akan diberikan dengan air yang mendidih. Air itu amat panas sampaikan akan merosakkan muka mereka. Mereka tidak mahu minum air itu, tapi akan dimasukkan secara paksa ke dalam mulut mereka. Apabila air itu turun ke perut mereka, perut mereka akan pecah kerana kepanasan air itu.

وَعَذَابٌ أَلِيمٌ

dan azab yang pedih

Dan bermacam-macam lagi azab yang mereka kena terima. Azab itu amat pedih. Apabila digunakan perkataan أَلِيمٌ, ianya bermaksud azab itu amat pedih sampai bila-bila. Sebagai contoh, kalau kita selalu kena pukul, lama kelamaan, kita tidak rasa sakit sangat sama seperti pertama kali kita kena pukul – sebab kita dah lali dah. Tapi, dalam neraka, kesakitan itu samada sahaja kita rasa dari kali pertama kita kena azab itu. Kesakitan itu tidak pernah berkurang sedikitpun.

بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ

disebabkan kekafiran mereka dahulu.

Mereka dikenakan dengan azab yang bermacam-macam itu adalah kerana mereka kufur.

Jangan kita ingat kufur ini hanya kena kepada orang yang kafir sahaja. Kerana kalau kita pun kufur dengan perintah Allah, walaupun kita mengaku Islam, kita pun dikira sebagai kafir juga di mata Allah. Kita pun boleh kena azab yang sama dikenakan kepada orang kafir yang tidak pernah mengaku Allah sebagai Tuhan mereka. Alangkah malangnya, kita mengaku Allah sebagai Tuhan, tapi kita tidak ikut peringatanNya, kita engkar perintahNya. Maka, kita pun sama macam orang-orang kafir juga.


 

Ayat 71:

6:71
Sahih International

Say, “Shall we invoke instead of Allah that which neither benefits us nor harms us and be turned back on our heels after Allah has guided us? [We would then be] like one whom the devils enticed [to wander] upon the earth confused, [while] he has companions inviting him to guidance, [calling], ‘Come to us.’ ” Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance; and we have been commanded to submit to the Lord of the worlds.

Malay

Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

قُلْ أَنَدْعُو مِن دُونِ اللَّهِ

Katakanlah: “Apakah kita akan menyeru selain daripada Allah,

Ramai yang menyeru selain dari Allah. Mereka seru kepada wali, kepada malaikat dan kepada Nabi-nabi. Sebagai contoh, puak-puak Habib buat majlis menyeru Nabi Muhammad. Mereka pun ajak kita juga. Ramai yang tertipu sampaikan penuh satu stadium memuja Nabi Muhammad yang dah wafat. Alasan mereka buat amalan syirik dan bidaah itu adalah untuk ‘mendekatkan diri dengan Allah’. Tapi cara mereka itu adalah menggunakan ‘perantaraan’ samada dengan Nabi, wali atau malaikat. Inilah yang dinamakan ‘tawasul‘. Amat ramai yang salah faham dengan tawasul ini. Banyak dibincangkan dalam blog ini. Harap boleh baca bahagian-bahagian tersebut.

مَا لَا يَنفَعُنَا

sesuatu yang tidak dapat mendatangkan apa-apa kemanfaatan kepada kita

Adakah dengan kita menyeru Nabi, wali atau malaikat itu akan memberi manfaat kepada kita? Tidak sama sekali. Kerana yang diseru itu tidak tahu pun mereka diseru. Kerana mereka sudah lama wafat dah. Dan malaikat yang diseru itu tidak melayan kita pun. Kerana mereka hanya menurut arahan dari Allah sahaja. Perbuatan menyeru selain dari Allah itu adalah perbuatan yang mungkar.

وَلَا يَضُرُّنَا

dan tidak (pula) mendatangkan kemudharatan kepada kita

Kalau buat tidak dapat apa, kalau tak buat pun tidak jadi apa. Jangan kita jadi puak musyrik yang sembah berhala. Mereka diajar kalau tidak disembah berhala-berhala itu, mudharat akan datang kepada mereka. Itulah ajaran syirik.

وَنُرَدُّ عَلَىٰ أَعْقَابِنَا

dan (apakah) kita akan kembali ke belakang,

Kembali ke belakang itu maksudnya menjadi kafir semula, apabila kita telah beriman.

بَعْدَ إِذْ هَدَانَا اللَّهُ

sesudah Allah memberi petunjuk kepada kita,

Takkan kita nak jadi murtad balik selepas kita telah mendapat iman? Alangkah rugi sekali.

كَالَّذِي اسْتَهْوَتْهُ الشَّيَاطِينُ فِي الْأَرْضِ

seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di dunia;

اسْتَهْوَتْهُ dari katadasar ه و ي (hawa) yang bermaksud ‘keinginan’. Atau kita selalu gunakan dengan perkataan hawa nafsu. Ianya apabila kita berfikir tidak menggunakan akal lagi, tapi menggunakan emosi kita, nafsu kita. Ianya juga bermaksud ‘jatuh daripada atas’. Apabila kita terjatuh dari atas, kita tak tahu ke mana kita akan jatuh lebih-lebih lagi jika kita jatuh dari kedudukan yang tinggi.

Jadi اسْتَهْوَتْهُ bermaksud perbuatan yang menyebabkan seseorang hilang arah setelah akalnya tidak berfungsi lagi. Akal tidak berfungsi setelah hawa nafsunya mengambil alih keputusan. Perkataan ini juga digunakan untuk menerangkan ‘orang gila’ kerana bangsa Arab percaya yang orang yang gila itu adalah mereka yang telah dirasuk oleh Jin. Dan memang dalam zaman moden ini pun ada mangsa yang hilang akal sampai jadi gila kerana dirasuk oleh jin.

Dalam ayat ini, orang yang melakukan syirik diibaratkan oleh Allah sebagai orang yang telah hilang akal sepenuhnya. Sampai begitu sekali mereka itu diibaratkan oleh Allah. Kalau akal ada, tapi tidak digunakan, orang jenis apa itu?

حَيْرَانَ

dalam keadaan bingung,

Perkataan ini berasal dari katadasar ح ي ر yang bermaksud ‘bingung tidak tahu ke mana hendak pergi’. Tidak ada tujuan. Bayangkan kalau kita berjumpa dengan orang gila yang berseorangan di pekan, bagaimanakah keadaannya? Tentulah dia dalam keadaan kebingungan dan kalau kita tanya dia apa-apa pun dia tidak tahu.

Begitu jugalah dengan orang yang tidak belajar tafsir Quran. Kalau kita beritahu kepada mereka bahawa tawasul itu tidak boleh, mereka kehairanan dan kebingungan. Kerana mereka telah diajar lama dah untuk buat macam tu. Mereka telah diajar oleh guru-guru yang sesat bahawa tawasul itu bagus, digalakkan. Apabila kita kata kepada mereka, bahawa kebanyakan amalan mereka selama hari ini adalah amalan bidaah, lagi terkejut mereka.

لَهُ أَصْحَابٌ يَدْعُونَهُ إِلَى الْهُدَى

dia mempunyai kawan-kawan yang memanggilnya kepada jalan yang lurus

Mereka masih ada lagi kawan-kawan macam kita untuk menyelamatkan mereka dari syirik. Kitalah yang kena nasihatkan kepada mereka untuk berhenti dari buat amalan-amalan syirik dan bidaah seperti solat hajat dan segala amalan bidaah lain.

Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan kawan-kawan kita walaupun mereka sudah lama tinggalkan agama. Walaupun sudah lama tidak kisah tentang agama. Kita kena cari mereka dan ingatkan mereka.

ائْتِنَا

(dengan mengatakan): “Marilah ikuti kami”.

Kita telah jumpa jalan yang benar, maka kita kena ajak mereka untuk ikut kita.

قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah (yang sebenarnya) petunjuk;

Allah boleh beri petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Semoga kita termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk oleh Allah.

Hidayah adalah hak Allah. Kita boleh nak beri dakwah, tapi samada dia terima atau tidak, bukan kuasa kita untuk menentukan. Kita hanya boleh dakwah dan doa untuk mereka.

وَأُمِرْنَا لِنُسْلِمَ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ

dan kita disuruh agar menyerahkan diri kepada Tuhan semesta alam,

Serah diri 100%. Kerana Dialah Tuhan sekalian alam. Serah diri itu bermakna, ikut segala arahan dan tinggalkan segala laranganNya. Yang paling penting kita mulakan adalah dengan belajar tafsir Quran kerana Quran ini mengandungai ajaran tentang akidah dan tauhid. Itulah sepenting-penting ilmu. Dengan belajar tafsir Quran, maka kita akan faham apakah kehendak Allah kerana Allah telah terangkan dalam Quran bagaimana menjadi seorang Muslim.


 

Ayat 72:

6:72
Sahih International

And to establish prayer and fear Him.” And it is He to whom you will be gathered.

Malay

Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).

وَأَنْ أَقِيمُوا الصَّلَاةَ

dan agar mendirikan sembahyang

Kenalah buat amalan ibadah selain dari cakap beriman juga. Kena dibuktikan iman kita dengan amalan. Dan amalan yang paling penting adalah ‘mendirikan’ solat. Maksud ‘mendirikan’ sembahyang bermaksud, solat itu bukan hanya perbuatan takbiratul ihram sampai kepada salam sahaja. Ianya mempunyai perbuatan yang lebih lagi dari itu. Iaitu kena dimulakan dari mandi junub dengan betul dan ambil wuduk dengan betul. Pakai pula pakaian yang bersih. Dan solat sepertimana yang Nabi ajar. Bukan setakat amalan solat itu sahaja. Bermakna, kita kena menjaga ‘institusi’ solat itu. Ada benda-benda lain lagi yang perlu dipenuhi.

‘Mendirikan’ juga bermaksud kita kena mementingkan solat itu dari segala perbuatan lain. Bayangkan kalau solat itu ‘tiang rumah’ kita. Kita pun selalu dengar yang solat itu adalah tiang agama. Kalau tiang rumah, ianya adalah perkara pertama yang perlu dibina di sesebuah rumah. Iaitu sebelum dimasukkan perabot dan benda lain lagi dalam rumah itu. Kalau kita beli perabot, kita kena susun perabot itu dengan mengambilkira tiang rumah itu. Kerana kita tidak boleh nak ubah tiang. Katakanlah kita nak letak kerusi di tengah rumah, tapi tiang dah ada di tengah rumah. Tak boleh kita nak ubah tiang itu, kerusi itu yang kena mengalah.

Maka, begitu juga dengan solat. Solat itu telah ditetapkan waktunya. Perkara lain dalam kehidupan kita yang kena mengalah dengan solat. Tidak boleh solat yang digenjak-genjak kerana nak jalankan keperluan hidup kita. Sebagai contoh, kerja, appointment, makan minum, bersukan dan sebagainya. Semua itu boleh dibuat, tapi solat mengambil keutamaan. Islam telah memberikan kelapangan dalam banyak hal berkenaan dengan waktu solat itu, maka hendaklah kita menggunakan kemudahan yang telah diberikan dalam agama itu.

وَاتَّقُوهُ

serta bertakwa kepada-Nya”.

Bertaqwa bermaksud menjaga hukum Allah. Jaga dari buat syirik. Dalam setiap pekerjaan kita, kita kena tahu, apakah hukum Allah dalam perkara itu. Supaya kita berhati-hati dan tidaklah kita menjalani kehidupan kita ikut suka kita sahaja. Kena fikirkan hukum agama dalam setiap hal.

وَهُوَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan Dialah Tuhan yang kepada-Nya-lah kamu akan dihimpunkan.

Sentiasa kita diingatkan dalam ayat-ayat Quran yang kita akan dihimpunkan dan akan dibicarakan di hadapan Allah nanti. Supaya kita sentiasa beringat yang kita akan mati dan kita akan melalui perbicaraan Mahsyar yang amat menggerunkan.


 

Ayat 73:

6:73
Sahih International

And it is He who created the heavens and earth in truth. And the day He says, “Be,” and it is, His word is the truth. And His is the dominion [on] the Day the Horn is blown. [He is] Knower of the unseen and the witnessed; and He is the Wise, the Acquainted.

Malay

Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ

Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar.

Allah mencipta alam ini untuk menzahirkan ‘kebenaran’. ‘Kebenaran’ itu bermaksud bahawa Allah lah yang mencipta semua sekali. Oleh itu, kenalah puja Dia sahaja. Ibadah kepada Dia sahaja. Doa kepada Dia sahaja.

وَيَوْمَ يَقُولُ كُن فَيَكُونُ

di hari Dia mengatakan: “Jadilah, lalu terjadilah”,

يَوْمَ ‘Hari’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hari kebangkitan’. Pada hari itu Allah akan memberi arahan kepada semua makhluk untuk bangun dan semuanya akan bangun. Dan dari waktu itu bermulalah hari kebangkitan.

قَوْلُهُ الْحَقُّ

benarlah perkataan-Nya

Bermaksud apabila Allah memberikan arahan untuk memulakan hari Kiamat, ianya akan pasti berlaku kerana perkataan Allah adalah perkataan yang haq. Tidak ada ragu-ragu lagi bahawa ianya pasti akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menolak arahan Allah itu.

وَلَهُ الْمُلْكُ

dan di tangan-Nya-lah segala kekuasaan

Segala kehendak Allah akan dipenuhi kerana Dialah yang memiliki segala kerajaan dan segala kekuasaan. al-Mulk bermaksud kerajaan. Dalam dunia, ada manusia yang menguasai kerajaan, satu-satu negara, negeri dan sebagainya. Tapi kekuasaan mereka itu tidaklah mutlak. Kekuasaan Allah lah yang mutlaq. Dan ianya akan terzahir di akhirat kelak. Waktu itu, semua makhluk akan mengakui kekuasaan Allah tanpa syak lagi.

يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ

di waktu sangkakala ditiup.

Bila hari kiamat telah berlaku, maka akan jelaslah bahawa kekuasaan hanya berada di tangan Allah sahaja. Kalau dalam dunia sekarang, ada manusia yang rasa mereka ada kuasa sedikit. Contohnya seorang raja atau pemimpin sangka mereka ada kuasa tetapi pada hari Kiamat kelak mereka akan tahu bahawa mereka langsung tidak ada kuasa pada waktu itu. Hanya Allah sahaja yang berkuasa pada hari itu.

Dari segi bahasa, potongan ayat يُنفَخُ فِي الصُّورِ ini bukanlah bermaksud ‘sangkakala ditiup’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘sesuatu akan ditiup ke dalam sangkakala’. Kita tidak tahu apakah yang akan ditiup itu. Tidak ada dalil yang sampai kepada kita untuk menceritakannya. Maka, kita terima dengan seadanya.

عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ

Dia mengetahui yang ghaib dan yang boleh dinampak.

الشَّهَادَةِ bermaksud sesuatu yang boleh digarap dengan pancaindera. Makhluk hanya boleh melihat yang zahir sahaja. Makhluk tidak boleh mengetahui yang ghaib melainkan diizinkan oleh Allah. Maka, kalau ada yang kata mereka boleh tahu perkara yang ghaib dengan kehendak mereka, maka itu adalah salah sama sekali.

وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

الْحَكِيمُ bermaksud terdapat hikmah dalam setiap perbuatan dan keputusan Allah termasuk di dalam keputusan Allah untuk menjadikan hari kebangkitan. Antara hikmahnya adalah setiap makhluk akan dibalas atas perbuatan mereka selama mereka berada di dunia. Segala keadilan akan diberikan pada hari itu.

الْخَبِيرُ Allah maha tahu tentang segala-galanya dan tentang setiap makhlukNya. Maka apabila Allah memberi keputusan kepada semua makhluk pada hari kiamat nanti, ianya adalah keputusan yang adil. Tidaklah Allah akan hukum makhluk atas perkara yang mereka tidak lakukan.

الْخَبِيرُ Bermaksud Allah bukan hanya tahu tentang perkara yang dizahirkan oleh makhlukNya tetapi apa-apa sahaja yang tidak dizahirkan oleh mereka. Perkara batin yang dalam hati pun Allah tahu juga.

Allahu a’lam.

Link kepada ayat yang seterusnya


 

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

2 Responses to Tafsir Surah al-An’am Ayat 69 – 73

  1. SURAYA SULAIMAN says:

    Subahanallah. ..alhamdulillah syukur ada blog yg sgt sgt bagus ini..boleh ke email dkt saya setiap taksiran yg anda buat…tkasih semoga Allah permudahkan urusan semuanya insyallah

    • tafsirsunnah says:

      Terima kasih saudari Sulya. alhamdulillah anda salah seorang yang beriman mendalami ayat=-ayat Allah. Anda boleh register untuk menerima makluman setiap kali ada post yang baru.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s