Tafsir Surah Al-An’am Ayat 53 – 59

Ayat 53:

6:53
Sahih International

And thus We have tried some of them through others that the disbelievers might say, “Is it these whom Allah has favored among us?” Is not Allah most knowing of those who are grateful?

Malay

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): “Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? ” (Allah berfirman): “Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

وَكَذَٰلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُم بِبَعْضٍ

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari manusia dengan sebahagian yang lain;

Sebahagian manusia menjadi ujian kepada sebahagian yang lain. Dalam ayat sebelum ini, orang Islam yang lemah dan miskin menjadi ujian kepada musyrikin yang kaya. Iaitu, kerana yang miskin telah beriman, menyebabkan musyrikin yang kaya tidak mahu duduk bersama Nabi. Mereka rasa kedudukan mereka tinggi sampai mereka tak layak duduk bersama orang-orang yang lemah dan miskin.

Kita sema diuji dengan orang lain. Kita juga akan menjadi ujian kepada orang lain juga. Mungkin keluarga kita, kawan kita, guru kita, bos kita di tempat kerja dan sebagainya. Kita juga diuji dengan orang-orang yang jahat. Kita juga diuji dengan orang-orang yang tidak berniat jahat pun dengan kita.

Ingatlah kalau kita sedang diuji dengan perbuatan manusia lain, maka kenalah kita ingat ayat ini. Sedarlah bahawa mereka itu adalah ujian dari Allah. Kita kena selesaikan ujian itu. Pertamanya, kita kena berikan hak mereka. Jangan buat tak tahu sahaja. Kalau kita tidak berikan hak mereka, bermakna kita yang menjadi ujian bagi mereka.

لِّيَقُولُوا أَهَٰؤُلَاءِ

lalu orang-orang yang kaya itu berkata: “Inikah orang-orangnya

Siapakah yang mereka maksudkan? Mereka maksudkan sahabat-sahabat yang miskin dan lemah kedudukan dalam masyarakat Arab waktu itu.

Dari ayat ini juga kita dapat tahu bahawa memang selalunya orang yang miskin dan lemah yang mengikut Nabi. Bukan Nabi Muhammad sahaja tapi Nabi-Nabi yang terdahulu pun. Pengikut mereka adalah orang-orang yang miskin-miskin belaka. Kerana yang kaya selalunya akan sibuk dengan harta mereka dan sombong dengan kedudukan mereka. Maka mereka tidak mahu merendah diri. Yang mula-mula mahu menerima iman selalunya adalah orang-orang yang lemah dan miskin.

مَنَّ اللَّهُ عَلَيْهِم مِّن بَيْنِنَا

yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami?

Mereka rasa mereka lebih layak untuk mendapat iman. Kerana mereka lebih pandai dan mereka lebih kaya. Mereka macam nak kata yang Allah silap beri rahmat pula kepada manusia.

Kenapa mereka tak puas hati? Kerana banyak dari sahabat-sahabat dah masuk Islam itu tidak pandai membaca dan menulis pun. Mereka juga miskin dan lemah kedudukan di sisi masyarakat. Jadi puak musyrik itu rasa mereka lebih layak untuk dapat kelebihan kalau ada pun. Mereka rasa kalau orang orang miskin itu sudah beriman, mereka tak mahu beriman sebab mereka tak mahu bercampur dengan mereka. Kalau sekarang mereka beriman, bermaksud mereka membenarkan apa yang telah diimani oleh mereka yang lemah itu. Tapi, kalau begitu, mereka rasa malu sebab macam mereka lambat dapat kebenaran. Mereka punyalah teruk fikiran, sampaikan mereka sanggup tidak beriman kerana takut mereka akan dikatakan begitu nanti.

Maka ayat ini, tahulah kita bahawa tidaklah semestinya orang-orang yang beriman itu daripada kalangan orang-orang kaya. Allah pilih sesiapa yang Dia hendak pilih. Tidak ada kelebihan samada kamu kaya atau berkuasa. Yang penting adalah iman.

أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِالشَّاكِرِينَ

“Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

Ayat ini bermaksud Allah lebih mengetahui siapakah yang lebih patut diberikan taufiq dan hidayah. Allah tak salah beri nikmat. Mereka yang telah beriman itu mungkin miskin, lemah dan tidak tahu membaca dan menulis, tapi mereka yang sebenarnya layak. Kerana mereka bersyukur. Kerana itu Allah berikan iman kepada mereka dan bukan kepada musyrikin yang kaya dan berkedudukan itu. Kita sebagai manusia tidak layak untuk mempersoalkan keputusan Allah. Adakah kita layak untuk mempersoalkan? Tentu tidak.

Mereka yang mempersoalkan keputusan Allah seperti yang dikatakan oleh musyrikin Mekah itu amatlah kurang ajar.

Siapakah orang yang bersyukur? Mereka itu adalah orang-orang yang tidak buat syirik kepada Allah. Mereka juga doa terus kepada Allah. Ibadah pula ikut cara ajaran Nabi. Bermakna, mereka mengikut semuanya arahan dan pedoman dari Allah dan Nabi. Selepas itu barulah mereka menyebut Alhamdulillah. Bukanlah hanya menyebut ‘Alhamdulillah’ berkali-kali, tapi perintah dan arahanNya tidak diikuti.


 

Ayat 54:

6:54
Sahih International

And when those come to you who believe in Our verses, say, “Peace be upon you. Your Lord has decreed upon Himself mercy: that any of you who does wrong out of ignorance and then repents after that and corrects himself – indeed, He is Forgiving and Merciful.”

Malay

Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

وَإِذَا جَاءَكَ

Dan apabila datang kepadamu

Siapa yang dimaksudkan datang kepada Nabi dalam ayat ini?

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِنَا

orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu

Mereka itulah orang-orang yang beriman. Yang kebanyakan mereka adalah orang-orang yang miskin dan lemah. Tapi mereka telah percaya kepada Quran dan kepada ajaran yang disampaikan oleh Nabi.

فَقُلْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ

maka katakanlah kepada mereka: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat!

Tidak kira siapa mereka dan apa kedudukan mereka, kalau mereka beriman, maka berikan salam kepada mereka.

Dalam ayat ini, Nabi yang disuruh memberi salam kepada mereka. Sepatutnya sahabat lah yang kena beri salam dulu. Tapi lihatlah Allah telah memuliakan mereka. Mereka layak dapat salam daripada Nabi sendiri. Nabi sendiri telah mengajar kepada sahabat bahawa mengikut protokol, mereka yang datang kena memberi salam kepada mereka yang sudah ada; mereka yang sikit memberi salam kepada yang ramai; mereka yang muda memberi salam kepada yang tua; Tapi mereka tidak berpeluang buat begitu, kerana Nabi Muhammad sendiri akan sentiasa terkehadapan dalam memberi salam – walaupun mereka yang hendak datang berjumpa Nabi, tapi belum sempat mereka memberi salam, Nabi dah beri salam dah.

Ayat ini mengajar kita, apabila kita berjumpa orang Islam, kita kena berikan salam. Selalunya kita hanya beri salam kepada orang yang kita kenal sahaja. Jangan buat begitu. Ayat ini suruh kita beri salam kepada orang Islam tidak kira siapa mereka.

كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَىٰ نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ

Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya sifat rahmat:

Kerana sifat rahmat Allah lah yang menerima sesiapa sahaja yang mahu beriman. Tidak kira apakah kesalahan yang mereka telah lakukan sebelum ini. Ini kerana Allah telah mewajibkan sifat rahmah kepada DiriNya.

Dalam kalangan kita pun ramai yang macam itu. Walaupun dari kecil sepatutnya dah Islam dah, tapi bila dah dewasa dan lanjut usia, baru nak masuk Islam dengan sebenarnya kerana baru nak mula beribadat, baru nak belajar tafsir Quran, baru nak masuk kelas agama. Tapi yang penting, dia dah ada kehendak. Kalau dulu, entah berapa banyak kesalahan yang dia telah lakukan, entah perbuatan syirik yang mana yang dia telah amalkan; Allah akan ampunkan segala dosanya kalau dia mahu bertaubat, kerana Allah telah menetapkan sifat rahmah kepada DiriNya.

Ayat ini juga mengajar kita untuk bersifat rahmah dengan orang lain. Mula-mula kita kena beri salam kepada mereka. Jangan buat tak kenal mereka. Ataupun kadang-kadang ada orang yang kita kenal tapi kita marah dengan mereka dan sebagainya, kita tak beri salam pun kepada mereka. Jangan begitu, hendaklah kita memulakan memberi salam.

Dalam ayat ini, Nabi disuruh memberitahu tentang sifat rahmah Allah kepada makhlukNya. Begitu juga kita dalam berdakwah. Memang kita kena beri amaran kepada manusia. Tapi janganlah hanya menakutkan mereka dengan azab neraka sahaja. Ingatkan juga sifat Rahman Allah yang mempunyai belas kasihan yang melimpah ruah. Ingatkan manusia, bahawa walau bagaimana banyak dosa yang telah mereka lakukan, Allah masih sanggup untuk mengampunkannya asalkan mereka mahu bertaubat dan memperbaiki diri mereka.

أَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنكُمْ سُوءًا بِجَهَالَةٍ

bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya,

Sebelum ini, kerana jahil tidak tahu agama, ramai yang tak tahu pun sebelum ini yang buat solat hajat berjemaah itu salah. Tak tahu ada syirik dalam amalan tawasul itu. Dan banyak lagi amalan-amalan syirik dan bidaah yang mereka ingatkan baik amalan itu.

Ataupun dia terlupa apa yang dia buat itu adalah satu kesalahan. Ataupun dia terlalu ikut emosi sampaikan dia lupa sekejap. Bermakna, dia lakukan sesuatu kerana emosi tak terkawal.

Mereka yang melakukan dosa adalah orang yang jahil walau bagaimana tinggi ilmu mereka. Tidak kira betapa pandai mereka, tidak penting berapa banyak ilmu yang manusia ada, tapi kalau mereka tidak mengamalkan apa yang mereka yang telah belajar, ianya tidak akan membantu mereka.

ثُمَّ تَابَ مِن بَعْدِهِ

kemudian ia bertaubat sesudah itu,

Selepas dia tahu segala kesalahan itu tidak benar, maka dia bertaubat. Dia menyesal dari perbuatan salahnya itu dan dia berazam untuk tidak melakukannya lagi.

وَأَصْلَحَ

dan berusaha memperbaiki (amalannya),

Dia berterusan memperbaiki amalannya. Dia pun dah mula cakap perkara yang benar kepada kepada orang lain – menyampaikan ajaran yang betul kepada orang lain. Dia beritahu kepada orang lain, kepada kawan-kawannya, kepada ahli keluarganya yang apa yang mereka lakukan itu adalah amalan syirik dan bidaah. Maknanya, tidaklah dia simpan seorang sahaja. Apabila dia telah tahu mana yang salah, dia beritahu juga kepada orang lain.

Dia pun telah tinggalkan amalan salah yang dilakukannya dahulu. Amalannya dulu tidak dikira lagi dah, akan diampunkan oleh Allah.

فَأَنَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Allah sanggup beri ampun kepadanya. Allah suka melihat kita meminta ampun kepadaNya.


 

Ayat 55:

6:55
Sahih International

And thus do We detail the verses, and [thus] the way of the criminals will become evident.

Malay

Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

وَكَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ

Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu

نُفَصِّلُ bermaksud menerangkan sesuatu sampai jelas. Ianya adalah dari katadasar فصل yang bermaksud ‘memisahkan’. Iaitu memecahkan subjek sesuatu perkara itu satu persatu dan dijelaskan dan diterangkan satu persatu supaya dapat kefahaman yang jelas. Apabila kita baca dan tadabbur Quran, macam-macam kita akan dapat faham. Akan jelas sesuatu perkara. Tapi kena belajar tafsir Quran dahulu, kerana kalau baca sendiri, tidak boleh faham. Jangan jadi segelintir yang baca terjemahan dan ingat mereka dah boleh faham Quran.

وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ

dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

Perkataan وَلِتَسْتَبِينَ dari katadasar ب ي ن yang bermakna ‘jelas nyata’. وَلِتَسْتَبِينَ bermaksud ‘memperjelaskan’.

Quran memberitahu kita manakah jalan yang salah, supaya kita boleh tinggalkan. Jalan orang sesat mudah nak kenal. Apabila kita belajar tafsir Quran, kita dah boleh tahu dah manakah amalan yang benar dan mana amalan yang salah. Kenapakah jalan-jalan orang yang berdosa perlu diperjelaskan? Supaya menjadi sempadan kepada kita. Supaya kita tak buat macam mereka. Apabila kita dah tahu apa yang salah, maka kita boleh elak dari melakukannya.

Itulah sebabnya penting kepada guru agama untuk menceritakan apakah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Tapi masalahnya, kebanyakan guru agama tak berani nak ajar begitu. Mereka cuma ajar apa yang perlu dilakukan oleh anak muridnya. Tapi kesalahan yang mereka sedang lakukan, tidak ditegur langsung. Sebab kalau tegur, takut anak murid akan terasa dan dah tak panggil mereka mengajar lagi. Kalau dah tak dipanggil mengajar, mereka akan kehilangan punca pendapatan. Kerana mereka ambil upah dengan mengajar agama. Itulah masalah yang jadi kalau kita minta bayaran atas apa yang diajar. Apabila kita minta upah, maka susah untuk guru agama mengajar benda yang tak suka didengar oleh umat.

Begitu juga, banyak guru agama amat memelihara kononnya ‘perpaduan’ masyarakat. Mereka tak berani nak tegur kumpulan itu, kumpulan ini salah. Kerana takut nanti mereka dikatakan memecah belahkan umat. Jadi, apabila datang puak tarekat di Malaysia, dengan buat perkara syirik, mereka tak tegur. Begitu juga apabila kumpulan Syiah datang dan sekarang kumpulan Habib datang, mereka tak tegur. Apabila tidak ditegur, maka masyarakat ingat kumpulan-kumpulan sesat itu tidak salah, jadi boleh ikutlah. Hasilnya, semakin terjerumus masyarakat kita dalam lembah kesesatan.

Kita kena tegur kerana telah jelas kesalahan yang mereka lakukan. Jelas kerana apa yang mereka lakukan itu bersalahan dengan ayat-ayat Quran dan amalan sunnah dari Nabi. Apabila sudah jelas salah, maka kewajiban kita untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa apa yang mereka buat itu salah. Kerana kalau tidak, masyarakat akan ikut.


 

Ayat 56:

6:56
Sahih International

Say, “Indeed, I have been forbidden to worship those you invoke besides Allah .” Say, “I will not follow your desires, for I would then have gone astray, and I would not be of the [rightly] guided.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah”. Katakanlah lagi: “Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”.

قُلْ

Katakanlah:

Apa yang hendak disampaikan ini adalah penting sampaikan Nabi disuruh secara spesifik untuk sampaikan kepada kita. Padahal, bukan ini sahaja yang Nabi perlu sampaikan, tapi seluruh ajaran agama. Tapi kerana pentingnya perkara ini, Nabi disuruh sampaikan secara spesifik.

إِنِّي نُهِيتُ

“Sesungguhnya aku dilarang

Kalau Nabi dilarang, bermakna kita juga dilarang.

أَنْ أَعْبُدَ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

Daripada menyeru tuhan-tuhan yang kamu seru selain Allah”.

Iaitu kita dilarang dari seru, memanggil, beri salam dan sebagainya kepada selain dari Allah. Samada yang diseru itu adalah tok wali, Nabi atau malaikat. Seru kepada yang ghaib bermaksud seru selain Allah. Kerana mereka tidak ada di hadapan kita. Begitulah juga kalau kita seru jin. Begitu juga kalau kita bercakap dengan ahli keluarga kita yang telah mati. Malah, banyak lagi contoh kesalahan menyeru yang dilakukan oleh masyarakat.

Perkataan تَدْعُونَ dari perkataan د ع و yang bermaksud ‘doa’. Doa itu ada dua macam. Yang pertama adalah apabila kita berdoa kepada Allah untuk meminta sesuatu. Yang kedua maksudnya adalah beribadat kerana doa adalah pati kepada ibadat.

Oleh itu, berhentilah dari seru selain dari Allah. Apa-apa sahaja seruan selain dari Allah adalah kufur – termasuklah kalau yang diseru itu adalah Nabi Muhammad sendiri.

قُل لَّا أَتَّبِعُ أَهْوَاءَكُمْ

Katakanlah: “Aku tidak akan mengikuti hawa nafsumu,

Hujah kamu yang tidak ada dalil ini aku tidak akan ikut. Antara hujah-hujah mereka adalah: “Takkanlah guru-guru dan tok nenek kita itu nak masuk neraka”. Itu adalah hujah-hujah batil.

Hujah yang bukan selain daripada dalil-dalil yang sah adalah dikira dalil-dalil dari hawa nafsu.

Kita juga tidak akan ada timbang tara dalam hal agama. Kalau salah, kita akan kata salah. Macam Nabi Muhammad yang tolak toleransi yang dicadangkan oleh musyrikin Mekah. Musyrikin Mekah ajak Nabi sembah berhala setahun dan tahun depan sembah Allah pula – bergilir-gilir – Nabi tolak terus kerana itu adalah timbangtara yang tidak dibenarnya. Agama bukan politik yang boleh ditimbang tara, boleh tolak ke sana ke sini.

قَدْ ضَلَلْتُ إِذًا

sungguh tersesatlah aku jika berbuat demikian

Jika aku ikut kamu, aku akan sesat. Musyrikin Mekah minta kepada Nabi kalau Nabi tidak percaya kepada Tuhan mereka pun, tapi sekurang-kurannya sentuhlah sikit berhala mereka. Dan katakan bahawa tidak ada masalah dengan tuhan mereka itu. Tapi Nabi disuruh dalam ayat ini supaya tidak ada kompromi langsung dengan perbuatan syirik yang mereka lakukan itu. Kerana kalau baginda buat macam itu, menujukkan bahawa Nabi telah hormat kepada berhala-berhala mereka. Ibadah bukan hanya sujud dan tunduk kepada sesuatu sahaja tapi dengan menunjukkan hormat pun sudah dikira sebagai ibadah.

Inilah perkara yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat Islam kita. Kerana ramai dari kalangan kita yang beribadat kepada Allah tetapi apabila perkara perkara doa, mereka akan minta kepada selain dari Allah. Mereka akan minta kepada kubur, kepada wali, pada malaikat, kepada nabi dan lain-lain lagi. Mereka menjadikan mereka-mereka itu sebagai perantaraan untuk menyampaikan doa kepada Allah. Itu adalah dilarang sama sekali kerana kita sebenarnya mesti berdoa terus kepada Allah. Kerana kalau berdoa menggunakan perantaraan pun sudah dikira berdo’a kepada selain dari Allah.

وَمَا أَنَا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

dan tidaklah aku termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Kalau aku ikut kamu dan hujah batil kamu itu, tentulah aku tidak akan mendapat petunjuk.

Ayat ini juga mengajar kepada kita bahawa tidak ada timbang tara dan tidak ada kompromi dalam perkara perkara agama. Kalau perbuatan yang salah kita langsung tidak boleh ikut.


 

Ayat 57: Dalam ayat sebelum ini Allah melarang menggunakan dalil dari hawa nafsu. Dalam ayat ini Allah menerangkan apakah dalil yang sahih.

 

6:57
Sahih International

Say, “Indeed, I am on clear evidence from my Lord, and you have denied it. I do not have that for which you are impatient. The decision is only for Allah. He relates the truth, and He is the best of deciders.”

Malay

Katakanlah: “Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Ia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan”.

قُلْ إِنِّي عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي

Katakanlah: “Sesungguhnya aku berada di atas hujjah yang nyata dari Tuhanku,

Hujah yang nyata jelas itu adalah hujah-hujah dari Quran. Apa yang diberitahu dalam Quran, kita akan ikut.

Definisi بَيِّنَةٍ nanti akan diberikan dalam surah al-Bayyinah. Ia mempunyai dua elemen: dalil yang nyata dan karektor yang sempurna.

وَكَذَّبْتُم بِهِ

sedang kamu mendustakannya.

‘nya’ dalam ayat ini sama ada merujuk kepada ‘dalil yang nyata’ ataupun ‘Allah’ sendiri. Apabila manusia menolak dalil dalil dari Quran dan hadis, bermakna mereka menolak Allah sebenarnya.

مَا عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Tidak ada padaku kuasa untuk menyegerakan kedatangannya.

Orang musyrikin selalu minta kepada Nabi untuk membawakan mukjizat, atau kalau betul mereka buat itu salah, segerakan datangnya azab itu. Itu dah ejek Nabi Muhammad dah tu. Nabi disuruh memberitahu kepada mereka bahawa baginda tidak ada kuasa untuk mempercepatkan datangnya azab itu. Nabi tidak ada mukjizat atau azab itu untuk diberikan kepada mereka. Kita manusia biasa memang tidak ada kuasa nak buat begitu.

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ

Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.

Keputusan untuk beri azab itu hanya ada pada Allah. Bagaimana, besar mana dan bilakah azab itu akan diberikan, terpulang kepada Allah.

يَقُصُّ الْحَقَّ

Dia menerangkan yang haq.

Apa sahaja maklumat yang disampaikan oleh Allah adalah kebenaran belaka. Maka jangan lah kita meraguinya.

Hanya Allah sahaja yang boleh menjelaskan kebenaran. Apakah ‘haq’ itu? Untuk menzahirkan kebenaran. Kebenaran apa? Iaitu Allah lah sahaja Tuhan yang menjadikan alam ini. Hanya Dia sahaja yang layak disembah, tidak ada yang lain.

وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ

dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik”.

Perkataan الْفَاصِلِينَ berasal dari perkataan ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Dalam konteks ayat ini الْفَاصِلِينَ bermaksud ‘pemberi keputusan’ kerana keputusan akan diberikan setelah yang haq dan batil akan dipisahkan. Allah juga akan pisahkan orang yang beriman dan kufur.


 

Ayat 58:

6:58
Sahih International

Say, “If I had that for which you are impatient, the matter would have been decided between me and you, but Allah is most knowing of the wrongdoers.”

Malay

Katakanlah: “Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”.

قُل لَّوْ أَنَّ عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Katakanlah: “Kalau sekiranya ada padaku kuasa untuk mempercepatkan apa yang kamu minta itu,

Kalaulah Nabi ada kuasa untuk mempercepatkan azab kepada mereka. Kerana mereka sentiasa meminta-minta azab diturunkan dengan segera kepada mereka sebagai ejekan kepada Nabi.

لَقُضِيَ الْأَمْرُ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ

tentu telah diselesaikan urusan antara aku dan kamu.

Kalau Nabi ada kuasa untuk beri azab kepada mereka, tentu dah lama dah mereka kena azab. Kerana Nabi Muhammad pun adalah manusia juga. Tentunya Nabi terkesan dan terasa dengan apa yang dilakukan oleh musyrikin Mekah itu. Tapi Allah itu al-Halil – Maha Lembut – bermaksud tidaklah Allah macam kita, cepat sahaja nak hukum orang yang buat salah dengan kita. Allah bersabar dengan hambaNya dan Allah boleh beri tangguh lagi.

Sama juga dengan kita. Kalau kita ada kuasa, dah lama kita akan kenakan sesuatu yang tak baik dengan orang yang menentang kita. Sebab kita manusia bukan boleh sabar. Mereka kata macam-macam tentang kita, tentulah kita marah kepada puak-puak syirik ini.

Jadi, dengan rahmat Allah lah, Allah tak beri kuasa mengazab kepada manusia. Kerana kalau kita ada kuasa, tidak ada manusia yang hidup sekarang. Semua dah kena azab.

وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِالظَّالِمِينَ

Dan Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang zalim.

‘Zalim’ dalam ayat ini adalah mereka yang buat syirik kepada Allah.

Ayat ini bermaksud bukan Allah tak tahu siapakah yang zalim dan melakukan kezaliman. Bukanlah Allah tak azab lagi mereka yang zalim itu kerana Allah tak tahu mereka dah melakukan kezaliman, tidak. Allah tak azab lagi kerana Allah nak beri peluang lagi kepada mereka untuk bertaubat. Ada hikmah kenapa Allah melambatkan azab itu. Berapa ramaikah musyrikin Mekah yang masuk Islam setelah sekian lama menentang Nabi? Sebagai contoh, Abu Sufyan. Kalau awal-awal lagi mereka diazab, tentu mereka tidak ada peluang untuk beriman.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah tahu segala perbuatan kita di dunia ini. Allah akan balas perbuatan kita sama ada yang baik ataupun yang buruk. Sepatutnya kita takut dengan balasan Allah itu kalau kita buat perkara yang salah. Tetapi kalau kita buat perkara yang salah kepada manusia, kita takut sangat kalau mereka tahu. Sebagai contoh, kalau kita sedang memandu dan tiba-tiba polis lalu, tentu kita rasa takut. Tapi dalam masa yang sama kita tidak takut pada Allah padahal Allah maha tahu segala yang kita lakukan.


 

Ayat 59:

6:59
Sahih International

And with Him are the keys of the unseen; none knows them except Him. And He knows what is on the land and in the sea. Not a leaf falls but that He knows it. And no grain is there within the darknesses of the earth and no moist or dry [thing] but that it is [written] in a clear record.

Malay

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ

Dan hanya pada sisi Allah-lah kunci-kunci khazanah ghaib;

Tidak ada sesiapa selain dari Allah yang ada kunci khazanah perkara ghaib. Jadi kalau nak tahu hal ghaib, kena dapat dari Allah lah. Bukanlah kena dapatkan dari guru sesat yang boleh tahu pula perkara ghaib. Antaranya mereka kata mereka boleh scan jin. Ada pula yang kata mereka boleh tahu apa yang akan terjadi. Ada pula yang kata mereka boleh tahu bilakah hari Kiamat akan berlaku – macam-macam kesesatan yang disampaikan oleh mereka yang kadang-kadang digelar ‘guru’.

لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia (Allah),

Hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib.

Antara masalah yang manusia hadapi adalah tentang jin. Maka ramailah manusia yang sangka ada orang yang boleh scan jin, nampak jin, kawal jin dan sebagainya. Padahal kalau kita baca dalam Surah Jin, Nabi sendiri pun tidak dapat tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Quran yang dibaca oleh baginda.

وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dan hanya Dia yang mengetahui apa yang di daratan dan di lautan,

Allah sahaja yang tahu segala-galanya yang terjadi dalam bumi ini, samada di daratan atau lautan. Maknanya, seluruh dunia. Dan itu hanya di dunia sahaja. Allah bukan hanya hal di dunia ini, tapi seluruh alam ini. Cuma ditekankan dalam ayat ini darat dan laut kerana kita tinggal di dunia ini dan kita boleh nampak daratan dan lautan setiap hari.

وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا

dan tiada sehelai daun (dan kelopak) pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya,

Allah tahu apa sahaja yang gugur, bilakah ia gugur, berapa lama masa yang diambil untuk ia gugur, di mana ia gugur dan lepas itu apa akan jadi kepada dedaunan dan kelopak bunga yang gurur itu dan segala-galanya tentangnya. Kalau benda yang sekecil itu pun Allah tahu, apatah lagi kalau benda lain. Maknanya, Allah tahu segala perkara.

وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ

dan tidak sebutir biji-pun dalam kegelapan bumi,

Ini termasuklah biji benih yang ditanam dalam tanah. Sudahlah bijian itu kecil, dalam kegelapan bumi pula lagi. Termasuk juga semua biji-bijian yang walaupun tidak tertanam dalam tanah. Tak kiralah samada terdedah, tersembunyi atau tidak. Semuanya Allah tahu. Tidak ada yang tersembunyi.

Lihatlah bagaimana Allah tidak malu menggunakan contoh-contoh benda yang kecil pun untuk mengingatkan kita kepadaNya. Sepatutnya kita dalam melihat kepada benda yang kecil pun boleh memikirkan tentang Allah.

وَلَا رَطْبٍ

dan tidak sesuatu yang basah

Perkataan رطب asalnya merujuk kepada buah tamar yang masih ranum, masih segar lagi. Semasa ianya masak, ianya dalam keadaan basah. Maka sebab itulah digunakan perkataan رَطْبٍ untuk merujuk kepada ‘sesuatu yang basah’. Contoh tamar digunakan kerana masyarakat Arab amat familiar dengan buah tamar dan mereka adalah penerima wahyu yang awal. Maka, contoh-contoh dalam Quran kebanyakannya akan menggunakan perkara-perkara yang mereka biasa dengannya.

وَلَا يَابِسٍ

atau yang kering,

Perkataan يبس adalah lawan kepada رطب. Jadi ia bermaksud sesuatu yang kering, kecut, dah layu.

Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan رطب merujuk kepada benda yang hidup seperti manusia dan binatang. Kerana semua yang bernyawa ada air didalamnya.
Dan perkataan يبس merujuk kepada benda yang tidak bernyawa seperti batu, plastik dan sebagainya.

رطب juga dikatakan bermaksud lidah yang ingat kepada Allah. Seperti sabda Nabi yang menyuruh kita membasahkan lidah dengan zikir kepada Allah. Oleh itu, يَابِسٍ bermaksud lidah yang tidak zikir kepada Allah. Ini hendak menunjukkan yang Allah tahu apa yang kita lakukan. Termasuk samada kita zikir atau tidak.

إِلَّا فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”

Semuanya Allah tahu. Dengan segala detail sekali. Apa sahaja yang wujud dan berlaku, ada pengetahuannya pada Allah.

Lompat ke ayat yang seterusnya

==================================

Ref: UR, NAK, TZ

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s