Tafsir Surah al-An’am Ayat 45 – 52

Ayat 45:

6:45
Sahih International

So the people that committed wrong were eliminated. And praise to Allah , Lord of the worlds.

Malay

Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.

فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ

Lalu dibinasakan sehingga terputus keturunannya.

Perkataan قُطِعَ bermaksud ‘dipotong’. Perkataan دَابِرُ bermaksud ‘lengan’. Asalnya ia bermaksud ‘hujung’ sesuatu. Dalam ayat ini bermaksud mereka telah dimusnahkan. Macam kita menarik lalang. Kalau kita hendak mematikannya, kita kena tarik sampai ke akarnya. Ini bermakna keturunan mereka semuanya telah dimusnahkan sampai tidak tinggal walau seorang pun. Siapakah mereka itu?

الَّذِينَ ظَلَمُوا

kaum yang zalim itu

Mereka dikenakan dengan kemusnahan itu kerana mereka telah melakukan kezaliman. Dan kezaliman yang paling besar adalah syirik.

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.

Setelah Allah menyebut yang Dia telah memusnahkan segala keturunan, Allah terus memuji DiriNya. Ini adalah kerana Allah musnahkan mereka itu bukannya kerana Allah zalim dan suka-suka nak buat, tapi Allah lakukan begitu kerana kezaliman yang mereka telah lakukan. Allah maha adil, kerana itulah Allah memuji DiriNya.

Allah juga dipuji kerana Allah telah menghancurkan mereka yang zalim. Maknanya, kita kena puji Allah bukan hanya kalau kita dapat sesuatu yang baik, tapi kita juga kena puji Allah kalau Allah telah memusnahkan sesuatu yang buruk dari kita. Sebagai contoh, kalau kita berjaya menyelesaikan hutang kita, kita juga mengucapkan alhamdulillah.

Segala puji juga bagi Allah yang menangguhkan azabNya kepada kita supaya kita sempat lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kerana rahmat Allah lah yang tidak memusnahkan masyarakat kita yang banyak buat syirik sekarang. Kalau Allah dah musnahkan kita semuanya, bagaimana? Tentu kita tidak ada peluang untuk bertaubat lagi.

Walaupun Allah musnahkan seluruh kaum, kehebatan Allah tidak berkurang. Allah tidak memerlukan umat manusia pun. Allah tidak ada masalah kalau Allah musnahkan seluruh makhluk pun.


 

Ayat 46:

6:46
Sahih International

Say, “Have you considered: if Allah should take away your hearing and your sight and set a seal upon your hearts, which deity other than Allah could bring them [back] to you?” Look how we diversify the verses; then they [still] turn away.

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?” Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling – ingkar.

قُلْ أَرَأَيْتُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu,

Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu mahu memikirkan?

إِنْ أَخَذَ اللَّهُ سَمْعَكُمْ وَأَبْصَارَكُمْ

jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu,

Allah boleh sahaja hilangkan pancaindera kita. Contohnya kalau kita dapat kemalangan. Hilang penglihatan kita. Mata ada, tapi tak boleh nampak. Atau telinga ada, tapi pendengaran tidak ada sebab dah pekak.

وَخَتَمَ عَلَىٰ قُلُوبِكُم

dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu?

Iaitu bermaksud kunci mati hati manusia sampai tidak langsung kenal Allah.

مَّنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُم بِهِ

Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?”

‘Tuhan’ mana lagi yang boleh bawa kembali pendengaran, penglihatan atau hati kita? Tentu tidak ada yang boleh kembalikan. Bagaimana dengan tuhan-tuhan sembahan manusia yang buat syirik itu? Bolehkah mereka mengembalikan pancaindera dan keupayaan hati manusia itu? Tentu tidak boleh.

Tidak ada sesiapa yang mempunyai kuasa untuk menyembuhkannya kembali. Nabi Isa yang boleh sembuh orang yang buta itu pun bukanlah dia boleh menyembuhkan dengan kuasanya, melainkan dengan kuasa Allah sahaja. Ini menunjukkan betapa kita bergantung betul-betul dengan Allah untuk segala-galanya.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah mengawal segala-galanya tentang kita. Allah boleh sahaja menghilangkan pancaindera kita. Kalau kita tidak beriman dan tidak taat kepada suruhan Allah, Allah boleh sahaja lakukan semua itu. Ini adalah ayat yang diturunkan sebagai amaran. Kerana Dia yang berikan kepada kita pancaindera itu, Dia boleh tarik balik. Kalau Allah tarik, tidak ada yang kita boleh buat apa-apa.

Ayat ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita. Bayangkan kalau Allah tak beri salah satu pancaindera itu kepada kita? Alangkah susahnya hidup kita, bukan? Kalau kita bersyukur dan sedar yang Allah telah berbudi dengan kita, sepatutnya kita kenalah taat kepada Allah. Bayangkan kalau kita duduk di sesuatu negara itu, kenalah kita ikut undang-undang negara itu bukan? Maka, apabila kita telah menerima rahmat dari Allah, duduk pula di alam yang Allah ciptakan, tentunya kita kena taat kepada ketetapan dan hukum yang Allah telah tetapkan.

Ini juga mengingatkan kita kalau kita kehilangan mana-mana pancaindera itu, Allah sahaja yang boleh mengembalikannya. Memang kalau kita sakit atau cedera, kita akan pergi jumpa doktor. Tapi dalam masa yang sama, kita kena berdoa sungguh-sungguh kepada Allah. Kerana kita tahu yang doktor itu tidak boleh berbuat apa-apa tanpa keizinan dari Allah.

انظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ

Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan dalil

Berkali-kali Allah telah memberikan dalil kepada kekuasaan Allah.
Perkataan نُصَرِّفُ dari kata dasar ص ر ف yang bermaksud ‘ambil sesuatu dan mempersembahkannya dalam bentuk yang lain’. Ayat-ayat Quran memberi peringatan kepada manusia dalam berbagai-bagai cara. Selalu ayat Quran memperkatakan perkara yang sama tapi dalam cara yang berlainan. Diulang-ulang peringatan yang sama untuk meneguhkan hati kita. Supaya iman kita makin mantap. Supaya iman bertambah dan ilmu kita juga bertambah kerana diulang perkara yang sama.

Ayat ini menegaskan kepada kita bahawa mengulang-ngulang ayat-ayat Quran untuk topik yang sama tapi dalam berbagai cara. Lalu apa lagi alasan manusia untuk kata mereka tidak faham atau tidak jumpa peringatan dari Allah lagi? Sebab dah banyak peringatan yang diberi dan dalam berbagai cara.

‘Ayat’ yang dimaksudkan boleh jadi dalam dua bentuk. Samada ayat ‘syar’i’, iaitu ayat-ayat dari Quran dan hadis; dan ayat ‘kawni’, iaitu tanda-tanda dalam alam ini. Tanda-tanda alam ini berulang-ulang akan dibawakan. Sebagai contoh, hari ini bulan dan matahari keluar dan hilang, begitu juga esoknya. Kita sebenarnya boleh juga mengambil banyak pengajaran dari tanda-tanda dalam alam ini.

Allah beri macam-macam cara dan tanda kerana manusia belajar berlainan cara. Ada yang begini dan ada yang begitu. Ada orang yang faham kalau dipersembahkan ayat dalam bentuk amaran dan ada yang lebih terkesan dengan ayat yang berbentuk motivasi. Maka, Allah telah berikan semua cara-cara itu.

ثُمَّ هُمْ يَصْدِفُونَ

Kemudian, mereka tetap juga berpaling.

Mereka tetap juga berpaling dari kebenaran. Mereka buat tak tahu sahaja. Walaupun telah diterangkan, masih lagi nak amalkan syirik. Macam guru yang masih jadi tukang baca doa kepada manusia dan ambil upah dari mereka dalam ibadat doa yang dilakukan. Masih lagi nak jadi imam solat hajat. Masih lagi nak buat tahlil, baca talqin dan sebagainya. Masih lagi mereka mengajar manusia untuk melakukan tawasul yang syirik di sisi Allah.


 

Ayat 47:

6:47
Sahih International

Say, “Have you considered: if the punishment of Allah should come to you unexpectedly or manifestly, will any be destroyed but the wrongdoing people?”

Malay

Katakanlah:” Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba, atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?”.

قُلْ أَرَأَيْتَكُمْ

Katakanlah:” Bagaimana fikiran kamu,

Allah hendak memberi amaran kepada mereka yang melakukan kezaliman. Allah suruh mereka yang melakukan kezaliman menggunakan fikiran mereka.

إِنْ أَتَاكُمْ عَذَابُ اللَّهِ بَغْتَةً

jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba,

Allah suruh Musyrikin Mekah itu memikirkan, kalau Dia berikan azab bala kepada mereka dengan tiba-tiba, bagaimana?

Contohnya, kemalangan yang datang dengan tiba-tiba. Tak sedar pun kita kemalangan. Celik-celik mata dah ada dalam kubur. Bagaimana keadaan waktu itu? Apa perasaan kamu? Kerana ini selalu berlaku dan ianya boleh sahaja berlaku kepada kamu. Ada orang yang dapat bala masa sedang tidur. Tiba-tiba rumah terbakar. Atau dia sedang tidur dalam kereta dan kena langgar tanpa sedar. Ada orang yang tidur tak bangun-bangun dah.

Ini mengingatkan kita bahawa kita sentiasa kena ingat bahawa kita boleh sahaja didatangkan dengan bala dengan tidak disangka-sangka. Kita ingat kita nak pergi ke tempat kerja macam biasa, tapi hari itu mungkin telah ditakdirkan bahawa kita kemalangan. Samada kita jatuh sakit sahaja atau kita boleh mati terus. Sesiapa yang selalu ingat mati, akan mudah dapat kebenaran. Sebab selalu sedar dengan apa yang kita lakukan kerana kita akan sentiasa memikirkan: “macam mana kalau aku mati hari ini”?

أَوْ جَهْرَةً

atau dengan terang-terangan

Ayat tadi berkenaan azab bala yang datang tanpa kita sedar. Bagaimana pula kalau kita sempat nampak azab itu mendekat kepada kita. Contohnya, sebelum kemalangan, kita boleh nampak kereta yang akan langgar kita. Tapi tak boleh nak buat apa-apa.

Walaupun ayat ini sebagai amaran kepada mereka yang berbuat zalim, tapi kita masih boleh mengambil pengajaran secara umum. Ayat ini mengajar kita supaya jangan leka dalam kehidupan kita. Kerana dalam keadaan apa sahaja, bala boleh kena kepada kita. Kita kena sentiasa bersedia untuk mati. Oleh itu, jangan rasa yang kita ada masa-masa tertentu boleh buat maksiat. Sebagai contoh, ada yang apabila rasa orang tak nampak, dia berzina. Contohnya, dia pergi ke Thailand. Kalau di Malaysia, dia takut nak berzina sebab ada kemungkinan ada orang kenal dia. Tapi bila di negara orang, dia rasa lega dan tanpa segan silu lagi buat benda tak elok. Jangan begitu, kerana Allah boleh berikan azab kepadanya bila-bila masa sahaja. Apa akan jadi kalau dia mati semasa dia berzina itu? Sempatkah dia nak minta ampun kepada Allah?

Maka, kita kenalah lakukan semua perkara seperti ianya adalah perbuatan kita yang terakhir. Takut-takut itulah kali terakhir kita hidup. Jangan hujung kehidupan kita diakhiri dengan perkara tak baik.

هَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الظَّالِمُونَ

siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?”.

Hanya mereka yang berbuat zalim sahaja yang akan diazab. Konteks ayat ini adalah tentang mereka yang berbuat kezaliman. Atas kezaliman yang mereka lakukan, mereka diberikan azab samada secara senyap atau secara jelas. Walaupun mereka dapat amaran, mereka akan kena juga azab itu. Kalau dapat amaran dan mereka cuba lari pun, mereka tidak dapat lari. Ke mana pun mereka lari, mereka akan dikenakan dengan azab itu.

Zalim itu bermaksud mereka yang buat syirik kepada Allah. Lihat ayat 82 surah ini juga. Tidak mungkin tercampur antara iman dan kezaliman.


 

Ayat 48:

6:48
Sahih International

And We send not the messengers except as bringers of good tidings and warners. So whoever believes and reforms – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

Malay

Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.

وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ

Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu

Tidaklah sia-sia sahaja Allan utuskan Rasul-rasul itu. Ada sebab yang penting yang Allah telah tetapkan. Apakah tujuan itu?

إِلَّا مُبَشِّرِينَ

melainkan sebagai pembawa berita gembira

Mereka ditugaskan untuk memberi berita gembira kepada sesiapa yang terima akidah tauhid dan berbuat kebaikan. Kepada mereka dijanjikan syurga yang kekal abadi. Kepada mereka dijanjikan kebahagiaan yang tiada penghujungnya. Berita gembira itu diberikan kepada umat manusia dan jin untuk memberi motivasi kepada mereka supaya beriman dan beramal soleh. Kerana apabila kita ada sesuatu yang boleh dicapai, ia akan memberi semangat kepada kita untuk berbuat sesuatu.

وَمُنذِرِينَ

dan pembawa amaran;

Selain daripada memberi berita gembira, Rasul juga diutuskan untuk memberi ancaman. Ancaman itu kepada mereka yang tidak terima tauhid dan buat syirik. Ada orang yang apabila diberikan motivasi, mereka tak gerak, mereka tak sedar. Kepada mereka yang seperti ini, peringatan dalam bentuk ancaman baru mereka terasa.

Inilah juga tujuan Quran: beri berita gembira dan beri ancaman. Sekarang kita tidak ada Rasul dah, tapi berita gembira dan ancaman itu ada dalam Quran. Oleh itu, inilah dua perkara yang guru kena ajar. Malang sekali banyak guru di Malaysia ni, cuma ajar ibadat sahaja. Pasal puasa, solat, zakat banyak sekali diajar. Tapi fasal akidah tak sentuh pun lagi. Apabila hal akidah tak disentuh, maka masyarakat tak faham akidah, ada yang buat syirik tanpa sedar. Apabila mereka buat syirik, segala amal ibadat mereka belum lagi Allah terima. Alangkah ruginya.

Allah menghantar rasul sebagai rahmat dariNya. Untuk memberitahu kita manakah yang boleh dilakukan dan mana yang tidak. Itu adalah ahkam atau hukum. Mana yang wajib, halal haram dan sebagainya. Tapi bukan setakat itu sahaja. Bersama dengan hukum, diberikan juga berita gembira dan berita yang menakutkan. Iaitu kalau buat baik akan dibalas baik dan kalau tak ikut hukum, akan diazab. Kerana kalau tidak ada peringatan itu, manusia tidak ada motivasi nak buat amal baik dan tidak takut untuk buat maksiat.

Para pendakwah pun kena ingatkan dua perkara ini juga.

فَمَنْ آمَنَ

sesiapa yang beriman

Ini adalah amalan hati iaitu beriman. Iaitu beriman yang sempurna, tidak melakukan syirik. Kerana ada orang yang beriman, tapi dalam yang sama, masih buat syirik lagi. Itu bermaksud mereka beriman yang tidak sempurna.

Sebagai contoh, Musyrikin Mekah beriman kepada Allah. Mereka tahu yang Allah itu ada. Mereka tahu yang Allah adalah Tuhan. Cuma dalam masa yang sama, mereka juga mengamalkan amalan syirik. Mereka sembah ‘tuhan-tuhan’ kecil untuk menyampaikan hajat mereka kepada Allah. Itu dinamakan tawasul.

Sama juga dengan kebanyakan masyarakat Islam kita. Mereka beriman kepada Allah, Nabi, malaikat, Quran dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama, mereka buat syirik kerana mereka tak sedar bahawa itu adalah perbuatan yang salah. Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Quran.

وَأَصْلَحَ

dan beramal soleh,

Ini pula adalah amalan perbuatan fizikal. Memperbaiki amalannya yang berbentuk ibadat.

Dua perbuatan disebut dalam ayat ini – iman dan amal soleh. Sebelum itu disebut dua tugas Nabi – pemberi berita gembira dan amaran. Jadi ada dua, dua elemen dalam ayat ini: Dua tugas Nabi, dan dua perbuatan baik yang manusia kena lakukan.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa iman dan amal soleh kena ada bersama-sama. Kalau hanya ada satu sahaja tidak cukup. Tidak cukup dengan berkata kita beriman tapi tidak melakukan amal soleh. Dan amal yang soleh tidak dikira jika tidak ada iman yang sempurna dalam hati.

فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

maka tidak ada kebimbangan

Mereka tidak ada rasa ketakutan masuk dalam neraka. Kerana mereka akan diselamatkan daripada azab neraka.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak akan berdukacita.

Tidak ada dukacita dalam diri mereka apabila mereka masuk ke syurga nanti. Termasuklah kalau ada kawan dan ahli keluarga mereka yang masuk neraka. Kerana Allah akan buang perasaan sedih dari hatinya. Allah akan lupakan mereka dari dalam diri ahli syurga. Kerana syurga adalah tempat bergembira, takkan sesuai kalau ada rasa sedih pula.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa, untuk mendapat kebahagiaan dalam dunia, kita hendaklah beriman dan menjaga hukum. Kerana kalau kita beriman pun tapi tidak jaga hukum-hukum yang Allah telah tetapkan, akan ada ketidakpuasan hati sesama manusia. Sebagai contoh, kalau kita tidak tunaikan hak isteri kita, tentunya isteri kita tidak puas hati dan ada rasa hati dengan kita. Kalau kita buat amal ibadat, tapi tak beri hak kepada ibubapa kita, mereka pun tidak redha dengan kita dan kita akan ada masalah dengan Allah nanti kerana tidak menunaikan hak ibubapa kita.


 

Ayat 49: Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang beriman dan beramal soleh. Ini pula adalah mereka yang berlawanan dengan sifat yang baik itu.

6:49
Sahih International

But those who deny Our verses – the punishment will touch them for their defiant disobedience.

Malay

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik.

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami,

Berdusta itu bermaksud mereka menolak. Ada kalangan orang Islam kita, apabila dibacakan ayat-ayat Quran sebagai hujah dan dalil, mereka akan kata: “Betul dah ayat Quran yang kamu baca itu, tapi…..”. Apabila ada perkataan ‘tapi’, dan mereka beri dalil-dalil selain dari dalil Quran dan Hadis, maka itu bermaksud mereka sebenarnya menolak ayat Quran yang dibacakan.

يَمَسُّهُمُ الْعَذَابُ

mereka akan dikenakan azab seksa

يَمَسُّهُمُ bermaksud mereka akan ‘disentuh’ dengan azab. Perkataan مَسُّ digunakan dalam ayat ini kerana ini adalah azab yang sedikit yang dikenakan semasa di dunia. Sebab itu digunakan perkataan ‘sentuh’ sahaja. Macam kalau kita kena ‘sentuh’ dengan kereta yang sedang bergerak, tidaklah teruk sangat. Tapi kalau dah dilanggar berhadapan, tentu kita akan teruk cedera atau mati. Jadi, mereka dikenakan azab yang sedikit sahaja di dunia. Azab di akhirat adalah azab yang jenis lain dan lebih teruk lagi.

Dalam ayat sebelum ini, Allah ada berfirman bahawa Dia boleh sahaja untuk memusnah seluruh kaum dan keturunannya sekali. Walaupun Allah musnah seluruh kaum, itupun masih dikira sikit lagi. Kerana azab di akhirat tidak dapat dibayangkan.

بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

dengan sebab mereka berlaku fasik.

Azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka telah melakukan fasik. ‘Fasik’ itu bermaksud mereka telah melampaui batas. Perkataan فسق bermaksud telah keluar dari sempadan. Telah tidak taat. Sentiasa tidak taat. Allah telah tetapkan hukum, mana yang boleh dibuat dan mana yang tidak, tapi mereka telah melepasi sempadan yang telah ditetapkan Allah itu.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa dengan sebab kefasikan yang kita lakukan, kita boleh mendapat azab. Oleh itu, dalam setiap perbuatan kita, hendaklah kita berhati-hati. Kenalah kita fikirkan samada ianya dibenarkan oleh Allah atau tidak.


 

Ayat 50: Dalil tidak boleh minta berkat dengan Nabi. Nabi tidak ada kuasa untuk memberi berkat kepada kita. Kalau Nabi sendiri tidak boleh beri berkat, apatah lagi manusia?

6:50
Sahih International

Say, [O Muhammad], “I do not tell you that I have the depositories [containing the provision] of Allah or that I know the unseen, nor do I tell you that I am an angel. I only follow what is revealed to me.” Say, “Is the blind equivalent to the seeing? Then will you not give thought?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”

قُل

Katakanlah (wahai Muhammad);

Dalam ayat ini, Allah mengarahkan Nabi Muhammad untuk memberi tahu kepada manusia. Tapi bukankah tugas Nabi itu adalah untuk memberitahu kepada manusia tentang semua hal agama? Jadi kenapa disuruh memberitahu lagi dalam ayat ini? Ini menunjukkan apa yang hendak disampaikan dalam ayat ini adalah amat penting sekali. Sampaikan Nabi Muhammad dengan spesifik disuruh memberitahu kepada manusia. Oleh itu, hendaklah kita mengambil perhatian dengan apakah yang hendak disampaikan.

Ada tiga perkara yang perlu disampaikan oleh Nabi.

لَّا أَقُولُ لَكُمْ

“Aku tidak mengatakan kepada kamu

Nabi disuruh untuk menidakkan pemahaman manusia tentang dirinya. Supaya jelas siapakah Nabi Muhammad itu. Ini penting kerana banyak salah faham dalam masyarakat sekarang yang merasakan Nabi Muhammad itu bukan manusia biasa. Mereka yang berkata demikian itu tidak boleh bawa dalil, tapi hanya sangkaan-sangkaan manusia sahaja. Mereka sebenarnya menolak dalil ayat Quran ini.

عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ

perbendaharaan Allah ada di sisiku,

Nabi disuruh untuk mengatakan bahawa baginda tidak mempunyai perbendaharaan Allah untuk diberikan kandungan perbendahaan itu sikit pun kepada manusia. Perbendaharaan itu bolehlah diandaikan sebagai satu tempat yang diletakkan rezeki di dalamnya. Nabi tidak ada perbendaharaan itu, Nabi juga tidak ada kunci kepada perbendaharaan itu. Baginda sama juga macam manusia biasa yang lain. Bukan tugas Nabi untuk memberi rezeki kepada manusia. Bahkan Nabi juga memerlukan rezeki daripada Allah. Sebab itu, kita pun ada dengar kisah bagaimana dapur Nabi berbulan-bulan tidak berasap. Baginda pun ada masanya kena mengikat perut kerana kelaparan. Kalau baginda ada pintu rezeki, tentulah Nabi tidak ada masalah kelaparan dan sebagainya. Jadi janganlah hairan kalau seorang nabi itu tidak mempunyai harta. Maka, kalau ada yang minta rezeki kepada Nabi, itu adalah perbuatan yang salah sama sekali.

Jadi kalau kita perlukan sesuatu bukan kita minta kepada Nabi kerana Nabi juga mengharap kepada Allah. Kalau semasa Nabi hidup, boleh lagi untuk para sahabat meminta kepada Nabi. Dan memang Nabi adalah seorang yang pemurah dan baginda akan beri selagimana baginda boleh memberi. Dan memang ada kisah bagaimana sahabat nampak baju yang dipakai Nabi cantik, maka dia telah meminta baju itu dari Nabi. Nabi terus sahaja beri baju itu kepada sahabat itu. Tetapi apabila Nabi telah mati, Nabi tidak langsung boleh memberi apa-apa lagi kerana baginda telah wafat. Bukanlah baginda boleh memberi rezeki kepada sesiapa pun. Maka syirik lah sesiapa yang meminta pertolongan kepada Nabi apabila baginda telah wafat.

وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ

dan aku tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib;

Nabi disuruh memberitahu kepada kita dengan jelas bahawa baginda tidak tahu hal-hal ghaib. Kalau nabi seorang manusia yang paling mulia pun tidak tahu tentang perkara ghaib,  lalu bagaimana dengan manusia biasa yang lebih rendah kedudukannya daripada Nabi? Tentulah mereka tidak tahu. Maka jangan kita bertanya tentang perkara ghaib daripada manusia. Kalau mereka kata mereka tahu perkara ghaib, maka itu adalah perkara yang amat salah. Sebagai contoh, ramai masyarakat kita kalau hilang barang, atau duit kena curi, mereka akan jumpa bomoh, jumpa ustaz (kerana sekarang bomoh pakai nama ustaz) untuk minta tolong tengokkan siapa yang curi duit itu atau di mana barangnya yang hilang itu. Tentunya mereka tidak tahu kerana mereka tidak tahu hal ghaib. Tapi kadang-kadang mereka dapat tahu di mana benda itu kerana apa? Kerana mereka tanya kepada jin! Jin boleh tengok benda itu di mana kerana mata mereka boleh melihat lebih dari manusia. Maknanya, mereka-mereka yang kononnya boleh tahu lebih dari manusia biasa itu adalah kerana mereka dapat pertolongan dari makhluk lain, iaitu jin.

Apakah yang dimaksudkan dengan ghaib?:
1, Berita masa depan; apa yang akan berlaku esok, lusa dan sebagainya. Kita memang tidak tahu langsung. Kita hanya boleh agak sahaja.

2. Cerita yang dah lepas. Jangan kata yang masa hadapan, yang telah lepas pun kita tidak tahu dengan pasti. Kalau kita tahu pun sesuatu yang berlaku dahulu, itu bukanlah tepat betul-betul berlaku.

3. Perkara ghaib alam roh, alam malaikat, syurga, neraka dan sebagainya;  Hanya Allah taala sahaja yang tahu dan boleh beritahu. Kalau perkara-perkara seperti syurga dan neraka itu, kita kena ada dalil baru kita boleh terima. Kita hanya dapat tahu hal-hal ghaib itu daripada Nabi kerana maklumat itu disampaikan kepada Nabi dan Nabi sampaikan kepada kita. Dan Nabi dah tiada sekarang. Jadi, kita tidak ada maklumat tambahan berkenaan perkara ghaib melainkan apa yang telah diberitahu kepada kita.

Antara perkara ghaib adalah jin. Jin itu ghaib dari pandangan mata kita. Kita memang tidak boleh nampak dengan mata kasar kita dalam keadaan biasa. Maka kalau ada kata boleh nampak, itu ada masalah. Jin ni boleh nampak kalau dia tunjukkan dirinya kepada manusia. Jadi kalau orang yang kata dia ada kebolehan scan jin, maknanya dia ada masalah tauhid. Dia boleh rasa kehadiran jin kerana dia telah lama berkawan dengan jin. Samada dia sedar atau tidak. Dia telah lama mengamalkan tawasul sampai jin telah berkawan dengannya. Itulah orang yang kita selalu dengar dikacau oleh hantu. Atau orang yang dipanggil masyarakat untuk mengubati orang yang dirasuk jin, kena tegur dengan jin, buang jin dan sebagainya. Mereka sangka itu adalah kelebihan yang ada pada mereka, tapi sebenarnya tidak. Mereka tidak tahu yang mereka dapat kelebihan itu kerana amal-amal salah yang mereka telah lakukan.

Kita selalu dengar bagaimana ramai sekali yang diganggu jin, hantu dan sebagainya. Sampai meracau dan sebagainya. Ini adalah satu masalah yang dihadapi oleh ramai dari kalangan masyarakat kita. Ketahuilah, kalau sudah belajar tauhid dan Sunnah, jin dah tak boleh datang dan kacau kita dah. Mereka yang boleh diganggu adalah mereka yang ada masalah tauhid.

Maka kalau ada kata boleh sakitkan hantu dan jin dengan kacang hijau lah, garam lah dan sebagainya, itu adalah mengarut kerana jin kita tak boleh nampak. Jadi macam mana kita boleh tahu yang jin-jin itu boleh sakit? Begitu juga kalau ada kononnya yang boleh tarik jin keluar dari badan pesakit – bagaimana mereka tahu yang jin itu telah keluar?

Oleh itu, kita jangan kata yang ada manusia yang tahu perkara ghaib. Kalau kita percaya ada manusia yang tahu ilmu ghaib pun sudah dikira syirik.

Kita selalu dengar bagaimana Nabi ada juga tahu perkara ghaib, bukan? Tapi hendaklah kita ingat bahawa Nabi hanya tahu perkara ghaib dari apa yang telah diberitahu kepada baginda oleh Allah. Bukannya Nabi tahu sendiri. Selalunya pemberitahuan itu melalui Jibrail. Sebab itu kadang-kadang kita jumpa hadis yang menceritakan bagaimana Nabi ada memberi tahu tentang perkara ghaib, apa yang akan terjadi di masa hadapan dan sebagainya. Itu bukan bermakna yang Nabi tahu perkara itu sendiri tapi Nabi telah diberitahu oleh Allah tentang sesuatu perkara itu dan Nabi hanya menyampaikan saja. Ini kena faham kerana ramai manusia yang keliru tentang perkara ini. Mereka sangka dengan Nabi memberitahu tentang apa yang terjadi tentang masa hadapan dan sebagainya, mereka sangka Nabi tahu perkara ghaib. Dan kerana itu mereka kata Nabi itu bukan manusia biasa. Sampaikan ada ajaran tarekat yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu adalah jelmaan Allah.

وَلَا أَقُولُ لَكُمْ

aku juga tidak mengatakan kepada kamu

Ini adalah perkara kedua yang Nabi disuruh tidakkan. Kerana ada salah faham di kalangan manusia tentang perkara ini.

إِنِّي مَلَكٌ

bahawasanya aku ini malaikat,

Nabi Muhammad disuruh memberitahu yang baginda tidak mempunyai sifat-sifat malaikat. Nabi adalah bersifat manusia. Tidak sama dengan malaikat kerana mereka mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Mereka boleh terbang, mereka boleh naik ke langit, mereka boleh nampak perkara-perkara yang lebih dari kita dan berbagai-bagai lagi beza dengan kita sebagai manusia. Mereka mempunyai sifat-sifat istimewa diberikan oleh Allah. Dalam ayat ini, Nabi Muhammad disuruh memberitahu kepada manusia bahawa baginda adalah seorang manusia dan hanya mempunyai sifat-sifat manusia sahaja.

Sifat Nabi Muhammad adalah sama dengan sifat manusia yang lain. Nabi ada nafsu, malaikat tidak ada nafsu. Kalau manusia ada sifat pelupa, Nabi juga ada sifat lupa, kalau manusia ada sifat lapar, Nabi juga lapar dan macam-macam lagi sifat manusia yang ada pada Nabi.

Musyrikin Mekah mengejek Nabi Muhammad kerana nabi sama sahaja macam manusia lain. Pada mereka, apa bezanya dan apa hebatnya kalau baginda sama sahaja dengan manusia yang lain? Tapi begitulah yang Allah telah tetapkan. Ada sebab kenapa Allah hendak jadikan rasul itu dari kalangan manusia. Kerana kalau Nabi dan Rasul itu bukan macam manusia biasa, maka tentulah ada alasan bagi manusia untuk tidak ikut mereka. Kerana mereka akan kata, tidak sama dugaan mereka dan Nabi dan para Rasul. Sebagai contoh, mereka akan kata mereka ada dugaan lapar, tapi Nabi tidak ada masalah itu. Mereka akan kata bolehlah kalau Nabi tidak berzina kerana Nabi tidak ada nafsu. Dan banyak lagi sebab-sebab yang boleh dijadikan alasan oleh mereka. Tapi apabila Nabi sama sahaja dengan manusia lain, mereka boleh dijadikan contoh tauladan yang boleh diikuti.

Jadi, dalam ayat ini, Allah suruh Nabi kata kepada umat bahawa baginda memang sama macam manusia lain.

إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ

aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”.

Ini adalah perkara ketiga yang perlu disampaikan oleh Nabi.

Beza Nabi dan kita adalah Nabi menerima wahyu terus dari Allah. Dan Nabi disuruh memberitahu dalam ayat ini bahawa baginda hanya mengikut apa sahaja yang diwahyukan kepada baginda. Tidak boleh untuk mereka-reka benda yang baru dalam agama, kerana agama Islam itu telah lengkap. Oleh itu jangan kita mengikut perkara-perkara bidaah yang diamalkan oleh manusia-manusia yang tidak berilmu.

Ini adalah dalil kepada kita untuk ikut Quran dan hadis sahaja. Kerana Nabi Muhammad pun disuruh cakap begitu. Kalau pendapat guru kita pun kita tak pakai kalau berlawanan dengan ayat Quran dan hadis Nabi. Kalau ada yang pakai pendapat guru dan tolak ayat Quran, itu adalah kufur. Tapi berapa banyak dari kalangan kita yang senang sahaja bertaqlid kepada pendapat guru mereka. Mereka tidak belajar pun tafsir Quran dan Hadis Nabi, dan kerana itu mereka tidak tahu bahawa pendapat guru mereka itu bersalahan dengan Quran dan Hadis.

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ

Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik?

Sebelum ini asyik disebut ‘adakah kamu lihat?’. Sekarang baru disebut bahawa mereka itu sebenarnya ‘buta’, tidak dapat melihat. Mata mereka nampak, tapi mereka tidak boleh melihat kebenaran walaupun di hadapan mata mereka.

Adakah sama orang yang tahu tentang ilmu Quran dan hadis kalau dibandingkan dengan mereka yang tak tahu? Tentulah tidak sama.

Tahu Quran itu bermaksud tahu tafsir Quran. Bukan setakat tahu membaca sahaja. Kena tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah dalam Quran itu. Jangan kita jadi macam orang Yahudi. Mereka itu terima Kitab Taurat. Dan mereka mengaku yang Taurat itu dari Allah. Tapi dalam kehidupan beragama, mereka tidak pakai kitab Taurat. Sebaliknya mereka memakai kitab karangan manusia. Sama sahaja dengan masyarakat kita. Masyarakat kita terima yang Quran itu dari Allah. Tapi mereka tak pakai pun kitab Quran kerana mereka tak belajar pun tafsir Quran. Yang mereka pakai adalah kitab karangan manusia. Kitab karangan manusia berkarung-karung mereka baca, tapi tafsir Quran belum belajar lagi pun.

أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ

Tidakkah kamu mahu berfikir?”

Tidakkah manusia mahu memikirkan betapa banyak kesalahan yang mereka telah lakukan tanpa mereka sedari?


 

Ayat 51:

6:51
Sahih International

And warn by the Qur’an those who fear that they will be gathered before their Lord – for them besides Him will be no protector and no intercessor – that they might become righteous.

Malay

Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.

وَأَنذِرْ بِهِ

Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu

Ayat yang menunjukkan bahawa kita perlu memberi peringatan kepada manusia dengan menggunakan Quran. Inilah metod dakwah yang paling utama. Kerana ianya bukan kalam manusia tapi kalam Allah.

Malangnya ramai manusia yang mereka-reka perkara dalam agama untuk memberi peringatan kepada manusia. Sebagai contoh, apabila mereka mengajar manusia supaya tidak membazir makanan, mereka akan kata bahawa makanan itu kalau dibazirkan akan menangis. Tujuannya baik tapi caranya salah. Kerana kalau mereka hendak melarang manusia dari melakukan pembaziran, telah ada hujahnya dalam Quran. Tapi, mereka mahu juga memakai peringatan dengan cara yang lain.

Sama juga dengan mereka yang menggunakan qasidah dan nasyid untuk memberi dakwah kepada manusia. Itu juga cara yang salah. Tidak pernah Nabi menggunakan nyanyian dalam dakwah baginda. Yang pakai nyanyian dalam dakwah mereka adalah Kristian. Oleh kerana sudah ramai tidak datang gereja, maka ketua agama mereka rasa untuk menarik minat manusia, mereka kena berikan hiburan di gereja. Sekarang persoalannya, adakah kita hendak ikut cara Islam, atau kita hendak ikut cara agama lain?

الَّذِينَ يَخَافُونَ

kepada orang-orang yang merasa takut

Kepada siapakah yang perlu diingatkan? Kepada orang-orang yang takut kepada Allah. Itulah orang-orang yang telah beriman. Tapi, kalau mereka telah beriman, kenapa perlu mereka diberi peringatan? Kerana peringatan itu akan memberi kebaikan kepada mereka. Kerana orang-orang yang takut lah yang akan mendapat peringatan ini.

Peringatan Quran diberikan kepada semua. Tapi yang mengambil peringatan adalah mereka yang takut kepada Allah sahaja. Yang tidak takut, mereka akan buat tak tahu sahaja apabila ayat-ayat ancaman diberikan kepada mereka. Kalau mereka tidak ada rasa takut untuk berdiri di hadapan Allah, mereka akan buat tak kisah sahaja kepada peringatan yang diberikan dalam Quran.

أَن يُحْشَرُوا إِلَىٰ رَبِّهِمْ

bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat),

Apakah yang mereka takutkan? Iaitu mereka akan bertemu dengan Allah dan mereka akan dihisab. Kerana mereka tahu bahawa keadaan itu adalah keadaan yang amat payah. Mereka tahu kerana mereka telah belajar tafsir Quran dan hadis-hadis yang menceritakan keadaan di Mahsyar kelak. Dan mereka tidak pasti samada mereka akan selamat atau tidak. Mereka sentiasa rasa mereka ada kekurangan dari amalan mereka. Mereka yang sebegini lah yang akan ikut ajaran Quran.

Kepada mereka yang tidak belajar, mereka ingat perhimpunan di Mahsyar itu biasa-biasa sahaja. Tak takut langsung. Macam kita, kalau kita tidak tahu seseorang itu garang, tentulah kita tidak takut nak berjumpa dengan dia. Kerana kita tidak ada pengetahuan tentang orang itu, bukan? Tapi kepada mereka yang sudah tahu kegarangannya, mereka akan takut, kerana mereka telah kenal dia. Begitu jugalah kita yang telah belajar tafsir Quran ini – kita telah tahu bahawa perhimpuan di Mahsyar itu adalah perkara yang menyeksakan sekali.

لَيْسَ لَهُم مِّن دُونِهِ وَلِيٌّ

tiadalah bagi mereka pelindung yang lain dari Allah,

Apa yang boleh diingatkan kepada manusia? Iaitu tidak ada penolong selain Allah. Pada hari akhirat tidak ada sesiapa pun yang boleh menolong sesiapa pun. Jadi, ayat ini mengingatkan kita untuk berharap pertolongan kepada Allah. Untuk mendapatkan pertolongan dari Allah, maka hendaklah kita mengikut suruhanNya.

وَلَا شَفِيعٌ

dan tidak juga pemberi syafaat

Ingatlah bahawa pada hari akhirat nanti, tidak  ada sesiapa pun yang boleh memberikan syafa’at ataupun memberi pertolongan kepada sesiapa pun. Oleh itu janganlah mengharap kepada sesiapa melainkan kepada Allah sahaja.

Ramai yang salah faham tentang syafaat ini. Ramai yang minta syafaat kepada Nabi Muhammad, padahal tidak boleh minta syafaat dengan Nabi. Walaupun ada hadis yang mengatakan Nabi akan beri syafaat di akhirat kelak. Memang Nabi ‘pemberi Syafaat’ tapi jangan salah faham.

Begini untuk faham: Memang Nabi akan beri syafaat. Tapi bukan baginda yang ‘menentukan’ siapa yang boleh dapat syafaat. Nabi Muhammad ‘tukang sampaikan’ sahaja. Macam kalau pelajar universiti hanya akan dapat sijil graduan kalau dia sudah melepasi ujian-ujian yang ditetapkan di universiti itu. Memang semasa Hari Graduasi, chancellor yang akan sampaikan skrol itu. Tapi bukanlah beliau yang menentukan siapakah yang akan dapat skrol itu. Yang menentukan seseorang pelajar itu layak dapat ijazah itu adalah bahagian lain yang bertanggungjawab menentukan berdasarkan dari keperluan yang telah dipenuhi oleh pelajar itu.

لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

supaya mereka bertaqwa.

Inilah tujuan manusia diingatkan dengan Quran – supaya manusia menjadi orang yang bertaqwa. Mereka yang mengambil peringatan akan mendapat Taqwa. Taqwa adalah meninggalkan dosa samada kecil atau besar. Mereka tidak merendahkan dosa-dosa kecil. Kerana mereka sedar bahawa dosa kecil yang banyak akan membawa kepada dosa besar akhirnya.

Dan mereka itu ibarat mereka yang berjalan di jalan yang penuh berduri. Apa yang akan dilakukan kalau jalan penuh berduri? Tentunya mereka akan berhati-hati supaya tidak kena duri itu. Oleh itu, kita kena hidup dalam dunia dengan penuh berhati-hati. Setiap perbuatan kita, kita kena fikirkan samada ianya dibenarkan oleh Allah atau tidak. Untuk tahu samada ianya dibolehkan atau tidak, kenalah seseorang itu berilmu.


 

Ayat 52:

6:52
Sahih International

And do not send away those who call upon their Lord morning and afternoon, seeking His countenance. Not upon you is anything of their account and not upon them is anything of your account. So were you to send them away, you would [then] be of the wrongdoers.

Malay

Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.

وَلَا تَطْرُدِ

Dan janganlah engkau usir

Nabi disuruh dalam ayat ini supaya jangan buat tak kisah kepada para sahabat-sahabat baginda. Jangan usir mereka dari sisi baginda. Perkataan تَطْرُدِ dari perkataan ط ر د yang bermaksud ‘membuang sesuatu yang kita rasa tak baik, hina dan tak elok.’

Mereka yang mula menerima Islam adalah mereka yang miskin dan lemah dalam masyarakat. Nabi berharap supaya ada kalangan mereka yang kaya dan berperangaruh dalam kalangan bangsa Arab yang akan masuk Islam dan akan menguatkan islam. Tapi mereka-mereka itu sangat sombong sampaikan mereka tidak mahu duduk bersama dengan Nabi kalau ada mereka yang lemah itu. Mereka minta Nabi halau dulu sahabat-sahabat yang telah beriman itu. Tapi Allah melarang Nabi, jangan halau dan tinggalkan mereka. Tapi jadikan mereka sebagai sahabat.

الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم

orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka

Maksudnya mereka sentiasa berdoa. Mereka meminta kepada Allah dalam segala keperluan mereka. Dan juga mereka banyak melakukan ibadat kerana doa itu adalah ibadah.

Ayat ini mengajar kita tentang kepentingan berada bersama orang-orang yang soleh. Allah menyuruh kita berkawan dengan orang yang baik-baik. Banyak kebaikan kalau kita berkawan dengan orang-orang yang baik.

Ianya juga adalah larangan untuk menghalau mereka yang soleh dan benar-benar hendak belajar agama.

بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ

pagi dan petang,

Mereka beribadat siang dan malam. Mereka sentiasa ingat kepada Allah.

Ini adalah satu konsep yang penting. Kita kena ingat bahawa dalam Mekah pada waktu itu, ada banyak jenis manusia. Ada yang elit, ada kelas hamba, ada pendatang dan sebagainya. Yang mula menerima Islam adalah yang susah dan lemah. Nabi mengharapkan ada muslim yang kuat dan berkuasa. Baginda ada juga berdakwah kepada yang kuat.

Itu adalah perbuatan yang baik juga, kerana kalau yang berkuasa masuk Islam, pengikut mereka pun akan masuk Islam juga. Tapi dalam masa yang sama, Allah mengingatkan Nabi supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah dan yang beribadat siang dan malam. Walaupun mendapatkan sokongan yang kuat adalah strategi yang bagus, tapi jangan lupa kepada yang lemah. Mereka itu beriman dan beribadat. Tidak kira mereka itu dari golongan mana pun. Mereka itu lebih penting. Mereka lebih tinggi kedudukan mereka. Kerana kedudukan di sisi Allah bukanlah berapa banyak harta dan berapa banyak pengikut kamu, tapi betapa tingginya taqwa kamu.

يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

mereka menghendaki WajahNya semata-mata.

Kenapa mereka berdoa dan beribadat siang dan malam? Mereka mencari wajah Allah. ‘Cari wajah Allah’ bermaksud ‘mencari redha Allah’. Juga bermaksud mereka hendak melihat wajah Allah di akhirat kelak. Kerana mereka yang beriman akan dapat melihat wajah Allah nanti di akhirat kelak.

Ada persamaan ayat ini dengan ayat Kahf:28.

مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَيْءٍ

Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka,

Kepada yang selain dari mereka yang beribadat itu, kamu tidak bertanggungjawab ke atas amalan dan pahala mereka. Mereka itulah orang musyrik. Kamu, wahai Muhammad tidak akan dipersalahkan kalau mereka tidak beriman.

Saad abi Waqas meriwayatkan hadis bahawa kejadian ini berlaku semasa beliau bersama Nabi dan lima orang sahabat yang lain. Musyrik Mekah datang dan berkata kepada Nabi, kalau Nabi hendak mereka bersama Nabi, maka hendaklah Nabi menghalau sahabat-sahabat yang sedang berada bersama Nabi itu. Kerana musyrikin Mekah memandang rendah sahabat-sahabat Nabi itu kerana mereka itu berkedudukan tinggi dan rasa tak layak duduk bersama orang-orang yang miskin dan hina itu.

Terdetik di hati Nabi yang mungkin baginda boleh menyuruh sahabat-sahabatnya itu untuk pergi supaya baginda boleh berdakwah kepada pemuka-pemuka Quraish itu. Bukan lama pun, sekejap sahaja. Mungkin itu memberi peluang untuk mereka mendengar baginda dan kalau mereka masuk Islam, maka ramailah nanti orang musyrik yang masuk Islam. Niat baginda adalah baik. Baginda hendak lebih ramai masuk Islam.

Nabi diingatkan bahawa apa yang baginda rasa itu adalah salah. Mereka itu rasa sombong sampai tidak mahu duduk bersama manusia yang mereka pandang hina. Maka, kalau mereka tidak mahu beriman, Nabi tidak akan dipersalahkan. Bukan salah Nabi mereka tidak mahu beriman. Jangan rasa bersalah kalau mereka tidak beriman. Setiap orang bertanggungjawab untuk dirinya sendiri.

Ayat ini mengajar kita, bahawa mereka yang meletakkan syarat untuk beriman, tidak akan beriman. Sebagai contoh, kalau ada yang kata kalau mereka sudah berjaya dapat satu projek, mereka akan mula masuk kelas tafsir, itu bukanlah iman yang sebenarnya. Mereka tidak akan datang walaupun mereka telah berjaya macam mana pun.

Mereka yang memandang rendah orang lain kerana kekurangan orang itu adalah orang yang tidak beriman. Orang beriman akan menyayangi sesiapa yang beriman juga tanpa mengira latar belakang mereka.

Yang penting adalah beriman. Oleh itu, apabila seorang wanita dipinang, atau seorang lelaki memilih pasangan hidup, hendaklah dia mencari seseorang yang beriman. Iman lah yang amat penting. Iman lah yang dipandang tinggi oleh Allah. Ianya adalah sifat yang paling disayangi. Maka jangan hanya melihat kedudukan dunia mereka.

وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِم مِّن شَيْءٍ

dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu.

Setiap orang hanya bertanggungjawab kepada amalan mereka sahaja. Oleh itu, kita tidak boleh nak sedekah atau hadiah pahala kepada sesiapa pun. Maka, amalan yang dilakukan oleh ramai masyarakat Islam kita, iaitu Majlis Tahlilan itu adalah perbuatan yang sia-sia sahaja. Kerana Majlis Tahlil itu bertujuan hendak memberi pahala kepada simati, tapi ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh sedekah atau transfer pahala kita kepada orang lain. Sudahlah perbuatan itu adalah satu perbuatan bidaah kerana tidak pernah dibuat Nabi. Tambahan pula. entah berapa banyak kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam majlis itu.

فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.

Tak boleh kita nak halang sesiapa yang hendak datang belajar. Kalau buat begitu, maka kita adalah zalim. Dosa zalim adalah amat besar sekali.

Musyrikin Mekah menghalang Nabi dari berdakwah kepada masyarakat Arab. Kalau kita belajar sirah Nabi, kita akan dapat tahu perkara ini. Mereka juga halang manusia dari rapat dan dengar kepada Nabi. Mereka tahu, kalau ada yang dengar bacaan Quran dari Nabi, hati mereka akan terkesan dan mereka akan masuk Islam.

Tidak ada sesiapa boleh beri rahmat melainkan Allah. Allah pemberi rahmat dan makhluk penerima rahmat. Salah satu rahmat itu adalah ‘berkat’. Masalahnya sekarang ni ramai yang ambil ‘berkat’ dari orang lain. Macam Kristian yang ambil berkat dari Nabi Isa.
Kalau ada yang kata manusia boleh beri berkat, hendaklah beri dalil. Sebagai contoh, majlis ilmu ada berkat, dan itu ada dalil. Tapi mana dalil dari sumber yang sahih mengatakan yang manusia boleh beri berkat kepada orang lain? Oleh itu, apabila manusia menggunakan berkat Nabi untuk menyempurnakan majlis bidaah mereka, itu adalah syirik.

Ini adalah ayat tentang kepimpinan. Itu adalah salah satu dari tanggungjawab Nabi Muhammad. Kita boleh mengambil pengajaran dari kejadian ini. Apabila pemimpin sedang memimpin, tentulah dia memandang dan mengharapkan kepada sokongan dari orang yang kuat. Allah ingatkan supaya jangan lupa kepada mereka yang lemah. Macam sekarang, kalau kita nak buat masjid, kita cari mereka yang kaya raya. Tapi kita lupa kepada mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh. Padahal mereka pun ada kelebihan juga. Mereka itulah nanti yang akan memakmurkan masjid itu, bukan mereka yang kaya raya itu.

Allah ingatkan Nabi untuk jangan memandang kepada kekayaan manusia.

 

Lompat ke ayat yang seterusnya

==========================================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s