Tafsir Surah al-An’am Ayat 36 – 44

Ayat 36:

6:36
Sahih International

Only those who hear will respond. But the dead – Allah will resurrect them; then to Him they will be returned.

Malay

Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati, Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.

إِنَّمَا يَسْتَجِيبُ

Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu

Orang-orang lain tak mahu nak dengar ajakan tauhid ini. Maka, siapakah sahaja yang mahu dengar?

الَّذِينَ يَسْمَعُونَ

ialah mereka yang mendengar

Hanya mereka yang mampu dengar sahaja boleh terima ajakan tauhid ini. Sebelum ini telah disebut tentang mereka-mereka yang dipasang dengan  وقرا. Jadi ini adalah tentang mereka yang Allah tidak letak pemberat pada pendengaran mereka. Itulah manusia yang mereka sendiri hendak belajar. Mereka yang ‘mampu’ dengar dan ‘hendak’ mendengar. Kerana kalau mampu dengar, tapi tak mahu nak dengar pun ada masalah juga. Itulah mereka-mereka yang mahukan kebenaran. Mungkin apabila mula-mula disampaikan kepada mereka, ajaran tauhid ini tidak sama dengan apa yang mereka biasa dengar. Tapi mereka ada keinginan untuk mendapat kebenaran. Oleh itu, mereka tadah telinga mereka untuk dengar. Dan apabila mereka dengar, mereka buka minda mereka dan barulah mereka nampak bahawa itulah kebenaran. Maka, mereka terima. Asalnya, kenalah dengar dahulu. Kerana kita belajar dengan telinga, dengan pendengaran.

Masalahnya, ada manusia, nak dengar pun tak mahu.

وَالْمَوْتَىٰ يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ

sedang orang-orang yang mati Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak),

Selepas Allah sebut mereka yang ‘mendengar’, Allah terus sebut tentang orang yang mati. Maknanya, orang yang mati tidak boleh dengar. Oleh itu, baca talqin kepada orang mati tidak ada. Kenapa nak ajar kepada orang yang mati yang sudah tidak boleh mendengar lagi? Kalau nak dakwah, hanya kepada orang yang masih boleh mendengar lagi. Masalahnya, masyarakat kita sekarang, bila dah mati, baru nak ajar akidah kepada orang yang mati itu. Sudah terlambat.

Begitu juga, kalau wali atau Nabi yang dah mati, mereka pun tidak dapat mendengar. Lalu bagaimana ada puak yang minta tolong kepada wali dan Nabi yang sudah mati? Itu adalah melawan ayat Quran. Kerana ayat Quran kata mereka tidak dapat mendengar. Jadi, kalau mereka dapat mendengar, kena beri dalil yang sahih yang mengatakan mereka boleh dengar. Kerana dalil Quran kena lawan dengan Quran. Kalau hanya manusia sahaja yang kata, tidak boleh diterima. Tidak kiralah kalau mereka itu ulama besar mana pun. Tidak kiralah kalau mereka itu guru tarekat yang beribu anak murid pun.

Dan satu lagi, ayat ini juga memberitahu kita, kalau orang yang hatinya ‘mati’, kita ajar macam mana pun mereka tidak akan beriman. Mereka macam orang mati sahaja. Mereka itu tunggu mati sahaja. Mereka tidak ada harapan untuk menerima hidayat.

Cuma kita sebagai manusia, tidak tahu siapakah mereka yang hatinya mati. Maka, kita kena terus berdakwah kepada mereka. Jangan kita pandai-pandai kata ada orang yang telah mati hatinya. Kita tidak ada pengetahuan itu. Kita bukan Allah. Maka, teruskan dakwah walaupun berkali-kali kita dakwah kepada mereka.

ثُمَّ إِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

kemudian mereka dikembalikan kepadaNya

Mereka akan dikembalikan untuk menerima balasan.

Samada kamu percaya atau tidak, amal tauhid atau amal syirik, kamu semua akan dikembalikan kepada Allah.

 


 

Ayat 37:

6:37
Sahih International

And they say, “Why has a sign not been sent down to him from his Lord?” Say, “Indeed, Allah is able to send down a sign, but most of them do not know.”

Malay

Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata: “Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat dari Tuhannya” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan mukjizat”, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman).

وَقَالُوا

Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata:

Mereka masih tak puas hati lagi. Macam-macam hujah yang musyrikin Mekah keluarkan. Macam puak bidaah zaman sekarang. Macam-macam dalil batil yang mereka keluarkan.

لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ آيَةٌ

“Kenapa tidak diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat

Macam-macam musyrikin Mekah minta keajaiban dari Nabi. Antaranya, mereka minta bumi Mekah yang kering kontang dan tandus itu jadi subur dan keluar sungai. Ini adalah salah satu dari mukjizat yang diminta. Mereka kata, kalau baginda itu Nabi, tentu boleh minta kepada Allah untuk buat begitu. Tujuan mereka minta itu adalah untuk melekehkan Nabi. Kalau Nabi bagi hari ni, esok mereka akan minta mukjizat yang lain pula.

Mereka tak puas dengan melihat mukjizat yang ada pada Quran itu. Padahal, kehebatan Quran itu sudah tidak ada tandingan lagi. Kalau mereka nak lawan Quran itu pun tidak boleh dah.

مِّن رَّبِّهِ

dari Tuhannya?”

Mereka tahu yang Nabi sendiri tidak boleh buat mukjizat itu kerana baginda adalah manusia. Mereka suruh Nabi minta sendiri kepada Allah untuk beri apa yang mereka hendak lihat itu.

قُلْ إِنَّ اللَّهَ قَادِرٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah berkuasa

Allah Maha Berkuasa.

عَلَىٰ أَن يُنَزِّلَ آيَةً

menurunkan mukjizat”,

Allah mampu hendak beri apa sahaja yang mereka minta itu malah lebih lagi pun.

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

Tidak mengetahui apa? Mereka tidak tahu apakah hikmahnya tidak ditunaikan permintaan mereka untuk melihat mukjizat yang mereka minta itu. Mereka tak tahu apakah balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman selepas ditunjukkan mukjizat itu.

Kalau mereka minta dan Allah beri dan kemudian dari itu mereka engkar, mereka akan diazab dengan teruk sekali. Azab yang boleh menghancurkan seluruh keturunan mereka. Allah tidak mahu buat begitu. Kerana Allah tahu kalau Allah beri pun, mereka tidak akan beriman. Allah rela lewatkan azab supaya mereka ada peluang untuk bertaubat.


 

Ayat 38: Dalil Allah boleh turunkan mukjizat.

6:38
Sahih International

And there is no creature on [or within] the earth or bird that flies with its wings except [that they are] communities like you. We have not neglected in the Register a thing. Then unto their Lord they will be gathered.

Malay

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi,

Apabila digunakan perkataan فِي الْأَرْضِ, ianya bermaksud ‘atas bumi’ dan ‘dalam bumi’ sekali. Termasuk dalam air sekali.

دَابَّةٍ dari katadasar د ب ب yang bermaksud ‘bergerak’. Jadi, دَابَّةٍ bermaksud ‘binatang yang bergerak’. Iaitu makhluk yang bergerak sendiri. Banyaklah makhluk yang termasuk dalam kategori ini: manusia, kucing, ayam, serangga, ikan, harimau etc. Semuanya masuk sekali.

وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ

dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya,

Tadi Allah sebutkan makhluk yang hidup di bumi, sekarang makhluk yang boleh terbang.

إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم

melainkan mereka umat-umat seperti kamu.

Perkataan أُمَمٌ adalah jamak kepada perkataan ummah – bermaksud kumpulan, komuniti dan selalunya digunakan untuk kehidupan. Maksudnya kehidupan di bumi dan yang terbang di angkasa itu pun adalah spesis sama macam kita juga. Mereka hidup dan mati, ada keperluan, memerlukan Allah dalam setiap perkara. Allah kawal kita sama macam Allah kawal hidupan yang lain juga.

Ini juga sebagai isyarat yang mereka ada kehidupan mereka sendiri dalam komuniti mereka. Mereka hidup dalam kerajaan mereka tersendiri yang mempunyai struktur sosial, tabiat hidup dan ‘bahasa’ mereka yang digunakan untuk berinteraksi sesama mereka.

Bezanya, selain manusia dan jin, makhluk-makhluk itu tiada taklif agama. Mereka tidak perlu melakukan ibadah.

Kenapa tiba-tiba disebutkan tentang hidupan di daratan dan langit pula? Ini adalah kerana musyrikin Mekah telah meminta mukjizat ditunjukkan kepada mereka. Mereka nak tengok dulu mukjizat, baru nak beriman kononnya. Maka Allah alihkan pandangan mereka untuk melihat alam ini. Kehidupan yang berbagai-bagai ini pun sebenarnya adalah keajaiban dah. Kenapa mereka tak nampak? Tengok yang sudah ada ini pun dah cukup ajaib dah sebenarnya.

Keduanya, kita disuruh lihatlah bagaimana binatang itu tahu apa yang mereka perlu buat. Mereka taat dengan Allah. Manusia pula macam mana? Adakah mereka taat?

مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ

Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab;

Semua perkara telah dimasukkan. Tidak ada yang ditinggalkan. Persoalannya, Kitab apakah yang dimaksudkan? Itulah Kitab di Lauh Mahfuz.

Atau, kalau ianya adalah bermaksud Quran, bermaksud Allah tidak tinggalkan apa-apa perkara pun berkenaan agama daripada dimasukkan dalam Quran itu. Apa yang perlu diberitahu tentang hidayah telah disampaikan dalam Quran. Bukanlah bermaksud semua benda Allah dah sebut dalam Quran. Allah tak sebut pun nuklear dan sebagainya kerana itu tidak berkenaan hal agama. Tapi kalau hal agama, semua dah diberitahu.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka

Setelah kita dan segala makhluk samada di bumi atau di langit mati, kita semua akan dikerah untuk dihimpunkan. Allah ingatkan bahawa kita semua akan mati. Sentiasa Allah mengingatkan bahawa kita semua ini ada penghujungnya, akan mati akhirnya. Jangan kita sedap sahaja hidup di dunia macam kita tidak akan mati dan tidak bertemu denganNya.


 

Ayat 39: Ancaman kepada yang menolak ayat-ayat Allah

6:39
Sahih International

But those who deny Our verses are deaf and dumb within darknesses. Whomever Allah wills – He leaves astray; and whomever He wills – He puts him on a straight path.

Malay

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami,

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mendustakan’? Tentulah kita tidak boleh mendustakan. Tapi, dalam ayat ini, mendustakan itu bermaksud menolak. Macam orang kita juga, apabila diberikan dalil dari ayat-ayat Quran, mereka ada yang kata: “Betul dah apa yang kamu baca tu, tapi….” Apabila ada perkataan ‘tapi’, itu bermaksud mereka menolak sebenarnya. Tapi menolak dengan cara yang lembut. Tapi tetap juga menolak namanya.

صُمٌّ

mereka adalah pekak

وَبُكْمٌ

dan bisu,

Maksudnya, apa yang mereka terima dari dakwah, mereka tak dapat manfaat darinya kerana mereka tak faham.

Selalunya ada sifat ketiga, iaitu عمي (buta), tapi tidak disebut dalam ayat ini. Ini adalah kerana sifat buta akan disebutkan dalam ayat yang lain nanti.

فِي الظُّلُمَاتِ

di dalam gelap-gelita.

Gelap gelita yang dimaksudkan bukan gelam gelita malam atau gelap dalam gua, tapi ianya bermaksud kegelapan syirik.

مَن يَشَإِ اللَّهُ

Sesiapa yang Allah kehendaki:

يُضْلِلْهُ

akan disesatkannya,

Mereka disesatkan oleh Allah kerana mereka itu asalnya degil. Mereka tak peduli dengan Quran yang telah diturunkan. Kalau kita ajak mereka belajar tafsir, mereka buat tak tahu sahaja. Macam ianya tidak penting. Tak peduli dengan Quran sahaja akan dihadiahkan dengan qarin dari kalangan jin yang akan membisikkan kepada mereka itu supaya melakukan dosa dan kesyirikan.

وَمَن يَشَأْ

dan sesiapa yang Ia kehendaki:

يَجْعَلْهُ عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.

Pengajarannya: hidayah adalah di tangan Allah. Allah yang tentukan siapakah yang akan mendapat hidayah. Bolehkah kita salahkan Allah? Tentulah kita tidak boleh nak salahkan Allah. Kerana Allah itu Tuhan dan kita hambaNya. Tambahan pula, Allah beri hidayah kepada mereka yang mahukan hidayah.

Banyaklah salah faham tentang ayat ini pula. Jangan kata Allah yang hendak kita jadi sesat. Ramai yang dah beranggapan begitu. Mereka salahkan Allah kerana mereka tidak beriman. Mereka kata: “Apa nak buat, Allah dah takdirkan aku begini”. Itu adalah fahaman sesat yang syaitan dah masukkan dalam hati kita. Kita tak boleh baca satu-satu ayat dan terus sampai kepada satu konklisi. Kena baca dengan ayat-ayat lain. Kena baca dengan konteks. Kita semua ada usaha untuk mendapatkan hidayah. Kalau kita sendiri tidak berusaha, kita tentang hidayah apabila sampai kepada kita, Allah akan tutup pintu hidayah kepada kita.

Jangan kita kata kita tidak ada usaha atau tidak ada upaya untuk mendapatkan hidayah. Jangan kita kata ‘itu takdir Allah’. Kita semua kena berusaha untuk mendapatkan hidayah itu. Seperti juga kita kalau nak makan, kita akan berusaha untuk cari makan bukan? Kita boleh angkat tangan kita, bukan? Kalau kita tampar seseorang, adakah orang yang kena tampar itu akan salahkan Allah atau dia akan salahkan kita kerana tampar dia? Tentulah dia akan salahkan kita. Begitu juga dengan hidayah, kena ada usaha dari pihak kita. Apabila kita ada usaha, Allah akan bantu dengan beri hidayah itu kepada kita.


 

Ayat 40:

6:40
Sahih International

Say, “Have you considered: if there came to you the punishment of Allah or there came to you the Hour – is it other than Allah you would invoke, if you should be truthful?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?”

قُلْ أَرَأَيْتَكُمْ

Katakanlah (wahai Muhammad): “tidakkah kamu melihat kepada dirimu,

Bermaksud: tidakkah kamu pernah memikirkan?

إِنْ أَتَاكُمْ عَذَابُ اللَّهِ

jika datang kepada kamu azab Allah,

Ada azab di dunia seperti yang telah diberikan kepada kaum terdahulu. Atau ada bala besar yang datang tiba-tiba kepada kamu, sebagai contoh, kamu dah nampak dah bas yang akan langgar kamu.

أَوْ أَتَتْكُمُ السَّاعَةُ

atau datang kepada kamu hari kiamat,

Perkataan السَّاعَةُ bermaksud hari Kiamat. Katakanlah Hari Kiamat itu datang dengan tiba-tiba.

أَغَيْرَ اللَّهِ تَدْعُونَ

adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu),

Adakah apabila terjadi azab dan nak kiamat itu, adakah kamu akan panggil selain dari Allah?
Tentulah tidak. Mereka akan minta tolong kepada Allah juga. Walaupun mereka inilah yang menganjurkan solat Hajat, buat tawasul dan macam-macam lagi. Tapi kalau kena bala, mulut mereka akan otomatik sebut “Ya Allah!” Tak sempat nak buat doa tawasul dah. Tak sempat nak buat solat hajat dah. Tak sempat nak doa tolak bala dah. Waktu itu, yang ada dalam kepala mereka adalah minta tolong kepada Allah sahaja.

Ingatlah bahawa doa kepada selain dari Allah adalah kufur. Allah nak kita doa kepadaNya terus, tanpa melalui perantaraan. Kenapa susah sangat nak faham?

Jangan seru selain dari Allah. Kalau kita nak panggil orang, cakap dengan orang, kenalah orang itu ada di situ, bukan? Dan kita tahu dia ada di situ. Kita pun nampak dia ada di situ. Barulah betul kalau kita nak bercakap dengan dia. Yang kita seru tanpa ianya ada di hadapan kita, tanpa kita nampaknya, hanyalah Allah sahaja, bukan? Jadi kalau kita seru selain dariNya, maka itu adalah syirik kufur. Maka, syirik lah mereka yang minta izin dari penunggu gua, penunggu pokok, penjaga kawasan dan lain-lain lagi itu. Malang sekali, kita dari kecil lagi sudah diajar begini: “salam tok, tumpang lalu, anak cucu nak lalu…” Bagaimana kita tidak diajar, sedangkan fikrah syirik sudah menebal dalam diri tok nenek kita pun lagi. Minta maaf kalau ada yang rasa apa yang saya katakan ini kasar. Tapi tujuan saya bukanlah hendak menjaga hati, tapi lebih kepada menjaga iman dan akidah.

Maka bagaimana dengan makcik-makcik dan pakcik-pakcik kita yang suka dan asyik dengan lagu-lagu Marhaban? Apakah maksud ‘Marhaban’ itu? Tidakkah mereka faham maksud lagu yang dinyanyikan? Atau mereka hafal lirik tanpa mengetahui maknanya? Baik, secara ringkasnya, maksud qasidah Marhaban itu adalah mengucapkan selamat datang kepada Nabi Muhammad sebenarnya. Kononnya Nabi Muhammad datang dalam majlis Marhaban itu. Itulah sebabnya penyanyi-penyanyi Marhaban itu akan bangun berdiri kerana mereka menghormati Nabi Muhammad yang datang itu. Ada juga yang meletakkan satu kerusi kosong berhias kerana mereka kata Nabi akan duduk menyaksikan majlis itu dari kerusi itu? Ajaran sesat manakah yang mengajar masyarakat kita sampai begini? Satu Malaysia mengamalkan Marhaban ini bukan? Kita pun tahu ada kelas-kelas Marhaban di segenap negara kita sekarang. Itulah kelas mengajar dan mengamal syirik. Tidak ada dalil langsung yang mengatakan Nabi Muhammad akan datang ke majlis Marhaban malah mana-mana majlis pun. Ini adalah perkara kepercayaan iaitu akidah, dan perkara akidah kena ada dalil baru boleh dipakai. Dan dalil itu kena dalil yang sahih.

Kita kena ajar kepada masyarakat supaya mereka meninggalkan perkara yang salah sebegini. Kerana kalau kita tidak sebut, mereka akan berterusan dalam akidah syirik itu. Mereka itu orang yang baik-baik, tak minum arak, tak buat zina. Tapi kalau dalam masa yang sama mereka ada buat syirik, mereka akan masuk neraka akhirnya.

إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

jika betul kamu orang-orang yang benar?”

Cakap betul-betul, dari hati kamu sendiri: siapakah yang kamu akan panggil? Lihatlah dalam diri kamu, kalau ada bala yang tiba-tiba datang, agaknya siapakah yang kamu seru?

Jawapnya tentulah mereka akan menyeru Allah dalam keadaan macam itu. Kerana mereka tahu yang Allah sahaja yang boleh menyelamatkan mereka. Kalau begitu, kalau waktu susah mereka seru Allah, kenapa tidak mereka seru Allah dalam waktu senang juga? Itulah hujjah yang hendak disampaikan.

Musyrikin Mekah kenal Allah. Mereka terima Allah adalah Tuhan. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan kecil’. Waktu senang, kalau ada keperluan, mereka doa kepada tuhan-tuhan mereka seperti Latta, Uzza dan banyak lagi. Tapi kalau benda berat, mereka akan doa terus kepada Allah.

Dalam hal ini, musyrikin Mekah lagi baik dari masyarakat Islam kita. Sebab masyarakat kita terbalik. Dalam keadaan biasa, kita doa kepada Allah. Sebagai contoh, selepas solat, kita doa terus kepada Allah. Tapi kalau ada masalah besar, kita tak doa terus kepada Allah. Kita akan cari ustaz, guru dan sebagainya. Kita minta mereka buat doa tolak bala, doa selamat, mandi tolak bala, buat solat Hajat ramai-ramai dan macam macam lagi. Terbalik kita dengan musyrikin Mekah.

Orang yang tak percaya Allah pun kadang kadang dalam keadaan terdesak akan doa kepada Allah. Antaranya mereka akan cakap: ya Tuhan, kalau Kamu benar ada, tolong lah aku.
Kadang-kadang mereka diberi pertolongan dan selepas itu mereka akan beriman. Banyak juga kita terdengar kisah-kisah sebegini.


 

Ayat 41:

6:41
Sahih International

No, it is Him [alone] you would invoke, and He would remove that for which you invoked Him if He willed, and you would forget what you associate [with Him].

Malay

Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).

بَلْ

Bahkan

Allah nak beritahu kepada kita, apakah jawapan mereka. Mereka mungkin tak jawap dengan mulut mereka, tapi Allah nak beritahu apakah yang dalam hati mereka. Kerana Allah tahu apa yang ada dalam hati manusia.

إِيَّاهُ تَدْعُونَ

Dia lah (Allah) sahaja yang kamu seru

Apabila ada perkataan إِيَّاهُ, itu bermaksud ‘hanya’ Allah sahaja yang mereka akan doa. Memang mereka akan hanya seru Allah sahaja, tidak ada yang lain.

Oleh itu, kita ingatkan anda semua yang sedang membaca blog ini, seru Allahlah sahaja. Jangan lagi nak seru kepada wali, Nabi atau mana-mana malaikat. Itu adalah perbuatan syirik.

فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ

lalu Ia lah yang hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya

Allah sahaja yang boleh hilangkan bala itu kerana bala itu dari Dia juga. Maka Dia lah sahaja yang akan menyelesaikan masalah itu. Maka minta doa kepadaNya untuk menyelesaikan masalah kita. Doa sendiri-sendiri sahaja. Tak perlu nak jumpa bomoh. Tak perlu nak jumpa ‘ustaz’ untuk doakan kita, tak perlu nak buat solat Hajat untuk kita. Kerana itu semua pun dipanggil tawasul juga.

Itulah masalah zaman sekarang, iaitu bomoh-bomoh dah tak pakai gelaran bomoh, tapi pakai gelaran ‘ustaz’, tapi sama sahaja apa yang mereka lakukan.

إِن شَاءَ

jika Ia kehendaki;

Tidaklah setiap kali Allah akan menyelamatkan manusia. Terpulang kepadaNya. Kita tidak boleh paksa Allah. Kita cuma boleh berharap sahaja kepada Allah.

Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa kadang-kadang Allah akan menolong juga orang kafir walaupun mereka buat syirik kepada Allah. Terpulang kepada Allah. Kalau Allah jawap doa orang kafir pun, tentu kita lebih lagi Allah akan layan. Jadi sentiasa lah kita berdoa kepada Allah. Dan yakinlah dalam doa kita itu bahawa Allah mendengar doa kita dan Allah akan membuat yang terbaik untuk kita.

وَتَنسَوْنَ مَا تُشْرِكُونَ

dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan

Waktu itu, segala tuhan-tuhan lain, mereka akan lupakan. Kerana keadaan itu susah sangat sampai mereka tahu yang hanya Allah sahaja yang boleh selamatkan.

Kerana waktu itu kita terdesak dengan emosi yang takut dan risau sangat.

Ayat ini mengingatkan kita untuk sentiasa minta doa terus kepada Allah dalam semua keadaan. Dalam susah dan senang.


 

Ayat 42:

6:42
Sahih International

And We have already sent [messengers] to nations before you, [O Muhammad]; then We seized them with poverty and hardship that perhaps they might humble themselves [to Us].

Malay

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan kepada umat-umat yang dahulu daripadamu

Allah tak sebut pun ‘apa’ yang diutuskan. Kerana dah difahami bahawa ianya adalah ‘rasul’ yang dihantar. Mereka dihantar untuk memberi peringatan kepada manusia.

Dan ianya juga boleh bermaksud tidak semestinya rasul yang dihantar tapi para ‘pendakwah’. Macam kita zaman sekarang’ tidak ada rasul dah lagi yang diutuskan kepada kita. Kita cuma dapat pendakwah sahaja.

Ini adalah sunnatullah. Allah akan sentiasa memberikan pendakwah kepada manusia untuk mengingatkan mereka. Tidaklah Allah membiarkan manusia tanpa didikan dan peringatan. Peringatan dan ajaran akan diberikan supaya nanti manusia tidak ada lagi alasan untuk kata mereka tak tahu tentang agama. Sebab Allah dah bagi pendakwah dah.

Ini menunjukkan kepentingan rasul dan pendakwah. Kalau tidak ada rasul dan pendakwah tauhid, bagaimana kita nak tahu bagaimana menjalani kehidupan kita? Inilah rahmat dari Allah.

فَأَخَذْنَاهُم بِالْبَأْسَاءِ

maka Kami seksakan mereka dengan bencana

Tapi apabila pendakwah dan rasul dihantar kepada manusia, manusia akan menolak rasul dan pendakwah itu. Maka, Allah akan balas dengan menghantar kepada mereka kesusahan dalam bentuk fizikal. Contohnya, makanan tak cukup, kena serang dengan musuh dan sebagainya.

وَالضَّرَّاءِ

dan kesengsaraan,

Kesusahan dalam diri dan emosi. Kesusahan yang melibatkan mental dan emosi. Ini merangkumi kesedihan kerana kematian yang tersayang, kerendahan diri kerana kena jajah dan sebagainya.

Apabila pendakwah dihantar kepada manusia dan mereka ditolak, Allah akan berikan kesusahan kepada mereka. Kesusahan ini adalah kesusahan yang ringan lagi. Bukan bala yang akan menghancurkan mereka. Ianya adalah sebagai amaran sahaja lagi. Kenapa Allah buat macam itu?

لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ

supaya mereka merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

Supaya mereka kembali mentauhidkan Allah. Kesusahan-kesusahan itu sebenarnya adalah rahmat dari Allah. Kerana tujuan diberikan kesusahan itu adalah untuk memecahkan ego mereka. Supaya mereka sedar bahawa mereka memerlukan pertolongan Allah. Sebagai contoh, apabila Firaun menolak Nabi Musa, Firaun dan kaumnya telah dikenakan dengan bala untuk menundukkan mereka.

Perkataan يَتَضَرَّعُونَ dari katadasar ض و ع bermaksud ‘merendah diri sampai rasa diri tiada nilai’. Kita memang kena rendahkan diri di hadapan Allah. Rendahkan diri dengan fizikal dan emosi sekali. Oleh itu, menangislah di hadapan Allah. Mengakulah dengan kesalahan yang kita dah buat selama ini dan berjanji untuk tidak melakukannya lagi.

Ayat ini mengingatkan kita untuk rendahkan diri dalam dunia sebelum akhirat. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh kita kalau ada masalah. Bukan buat solat hajat. Bukan minta ustaz atau tok imam buat doa selamat. Bukan minta syeikh mana-mana bacakan doa untuk kita. Itu semua adalah amalan tawasul yang salah. Kalau kita buat macam itu, dosa kita akan bertambah pula. Sudahlah masalah belum selesai, kena tambah dosa pula.

Surah al-An’am ini diturunkan tahun-tahun terakhir sebelum Nabi Hijrah. Jadi ayat ini adalah sebagai amaran kepada musyrikin Mekah bahawa kalau mereka tidak beriman, mereka akan dikenakan dengan bala. Ini adalah amaran yang keras kepada mereka.

Bandingkan dengan negara kita. Dulu kita ada kerajaan Islam. Dibawah pemerintahan sultan Mudzaffar Shah. Kemudian Melaka jatuh ke tangan penjajah. Bertukar-tukar penjajah sampailah kepada Perjanjian Pangkor pada tahun 1876. Akhirnya kita hanya merdeka pada tahun 1957. Semenjak sebelum jatuhnya Melaka, orang kita telah mengamalkan sihir. Sebagai contoh, kita ada ilmu tikam tak lut dan sebagainya. Dari waktu itu, sampai negara kita ini telah bertukar tangan dari satu penjajah ke satu penjajah, selepas merdeka ini pun, masyarakat kita belum lagi meninggalkan sihir yang syirik itu. Dari dulu sampai sekarang, umat Melayu ni tak habis lagi amalkan syirik dan sihir.

Maknanya, kita dari dulu lagi Allah dah beri bala dan azab. Sampai sekarang pun kita ada sahaja kesempitan hidup. Walaupun kita nampak macam aman, tapi kita tidak pernah sunyi dari masalah dan bala. Itu kerana kita tak pernah keluar dari buat amalan salah. Kerana masyarakat kita masih lagi buat syirik tak berhenti. Kalau ada ulama dan ustaz pun, mereka tak tegur.

Ayat ini juga mengingatkan kepada kita bahawa ada kalanya kesusahan dan bala diturunkan kepada kita apabila kita melakukan kesalahan. Tapi tidak semestinya sentiasa begitu. Ada masanya Allah berikan bala sebagai rahmat juga kepada kita. Kerana apabila kita bersabar dengan bala itu, kita akan mendapat pahala.

Ayat ini juga mengingatkan kepada kita kepentingan merendahkan diri. Ianya sangat penting sampaikan Allah memberikan bala dan kesusahan kepada kita.


 

Ayat 43:

6:43
Sahih International

Then why, when Our punishment came to them, did they not humble themselves? But their hearts became hardened, and Satan made attractive to them that which they were doing.

Malay

Tapi kenapa mereka tidak berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.

فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا

Tapi kenapa ketika mereka ditimpa azab Kami, tidak mereka

Perkataan لَوْلَا ini banyak digunakan dalam Quran. Ada empat jenis kegunaannya:
1. Ianya bermaksud ‘kalau tidak’. Sebagai contoh, “kalau tidak kerana rahmat Allah, maka …..”
2. Bermaksud permintaan. Sebagai contoh, ada manusia yang di hujung nyawanya meminta supaya dia diberikan masa lagi untuk hidup. Lebih kurang maksudnya begini: “Kenapa tidak diberikan…”
3. Digunakan sebagai teguran. Seperti yang digunakan dalam ayat ini. Sebagai contoh Digunakan dalam bentuk begitu: “kenapakah mereka tidak …. begitu begini”.
4. Digunakan dalam bentuk pertanyaan. Sebagai contoh, musyrikin Mekah bertanya “kenapakah tidak diturunkan malaikat?”.

تَضَرَّعُوا

mereka merendah diri

Tujuan bala itu diberikan adalah untuk kita merendahkan diri kita, tapi kenapa kita masih lagi tidak merendah diri? Sebaliknya, apabila bala datang, kita buat solat hajat, baca doa ramai-ramai tolak bala dan sebagainya. Kita tidak tunduk dengan mengamalkan tauhid. Kita tidak mengakui keesaan Allah taala. Sebaliknya kita minta pertolongan kepada selain dari Allah. Allah tegur manusia dalam ayat ini.

وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ

Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras,

Sebaliknya, hati mereka menjadi keras. Mereka tidak mahu menerima kebenaran. Itulah orang yang keras hati, tidak mahu merendah diri di hadapan Allah. Yang boleh merendahkan diri adalah mereka yang lembut hatinya. Yang boleh memikirkan bahawa mungkin mereka ada buat salah. Yang tahu kedudukan mereka sebagai hamba. Itulah orang yang tahu perbuatan mereka salah, tapi mereka tidak menukar amalan mereka.

Perkataan قَسَتْ bermaksud ‘hati mereka menjadi keras’. Maksudnya, hati mereka asalnya tidak keras. Tapi apabila mereka berterusan menolak hidayah, maka hati mereka lama kelamaan menjadi keras. Ini adalah satu yang bahaya sekali untuk diri kita.

Ini mengajar kita untuk menjaga hati kita. Hendaklah kita melembutkan hati kita dengan kaedah-kaedah yang telah diajar oleh ulama.

Pertamanya, kita kena baca Quran dengan banyak. Kerana Quran adalah Kalam Allah. Kalau kita rapat dengan Quran, maka kita akan rapat dengan Allah. Semasa baca itu, bukanlah baca sahaja macam kebanyakan masyarakat kita buat sekarang. Tapi, hendaklah kita faham dan memikirkan apakah yang hendak disampaikan dalam Quran itu. Jadi, untuk dapat kefahaman itu, kena belajar tafsir Quran. Inilah sebabnya kita menganjurkan supaya anda semua belajar tafsir Quran ini. Kalau baca kosong sahaja, tidaklah dapat membantu kita untuk melembutkan hati kita.

Keduanya, meningkatkan ingatan kepada Allah. Itulah zikir. Tapi zikir itu hendaklah memikirkan tentang Allah, bukan hanya mulut sahaja sebut perkataan, tapi tak faham apakah yang dibacakan.

Ketiganya, bergaul dengan orang-orang soleh. Apabila kita bersama orang yang soleh, kita akan buat perkara yang soleh juga. Kerana orang yang rapat dengan kita, akan memberi kesan kepada kita. Itulah sebabnya penting kita berjaga-jaga dengan siapa kawan kita.

Keempat, berbuat baik kepada mereka yang rendah dari kita. ‘Rendah’ dari segi umur, kedudukan, kekayaan, orang yang sakit dan sebagainya. Lawati mereka dan berbuat baik dengan mereka.

وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ

dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka

Ini adalah sebab kedua kenapa manusia tidak merendahkan diri mereka. Perbuatan syirik itu syaitan bagi nampak elok sahaja pada masyarakat kita. Sebab itulah masih ada lagi yang menyembah selain Allah. Sebagai contoh, ada lagi kubur habib Noh yang masih dilawati dan dijadikan sembahan oleh puak syirik. Masih lagi masyarakat kita buat maulid sambil berarak di jalanan. Nampak elok sahaja perbuatan itu pada mata mereka. Mereka ingat mereka buat sesuatu yang baik dalam agama. Mereka ingat mereka dapat banyak pahala.

Syaitan jugalah yang memperelokkan perbuatan solat hajat ramai-ramai sampai buat di stadium sekarang. Begitu juga syaitan telah tipu mereka sampai mereka buat selawat syirik ramai-ramai di stadium dah sekarang. Mereka kata itu majlis untuk ‘mencintai Allah dan Rasul’. Tapi mereka tak tahu bahawa itu adalah majlis yang syirik.

Kita dah jadi mainan syaitan dah. Syaitan boleh ubah pandangan kita. Dia boleh bagi kita nampak yang amalan kita adalah baik padahal ianya adalah buruk sekali. Kerana kita nampak ianya baik, maka kita tidak tinggalkan amalan salah itu. Syaitan juga boleh nampakkan kepada kita, amalan yang baik sebenarnya, tapi dia nampakkan ia sebagai buruk.

Kalau kita rasa kita kena bisikan syaitan ini, maka hendaklah kita berdoa memohon perlindungan Allah.

مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

apa yang mereka telah lakukan.

Ada satu lagi cara syaitan menipu kita. Tentu kita sebagai manusia, ada juga perbuatan baik kita yang kita dah buat, bukan? Takkan tiada langsung amalan baik kita. Antara yang syaitan buat adalah meninggikan perbuatan baik kita itu sampai kita rasa dah hebat dah apa yang kita lakukan. Kita rasa kita sebenarnya orang baik. Padahal, satu perkara baik kita buat, tapi sepuluh perkara syirik kita dah buat. Tapi syaitan bisikkan kepada kita untuk besar-besarkan satu amalan baik kita itu sampai kita dah tak nampak entah berapa banyak salah kita.


 

Ayat 44:

6:44
Sahih International

So when they forgot that by which they had been reminded, We opened to them the doors of every [good] thing until, when they rejoiced in that which they were given, We seized them suddenly, and they were [then] in despair.

Malay

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ

Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya,

Iaitu apabila ancaman yang diberikan kepada kita, kita buat tak tahu sahaja. Mereka lupakan sahaja. Mereka anggap ianya tidak penting. Mereka tidak memikirkan langsung tentang apa yang mereka diingatkan itu.

فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ

Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan,

Bila beri bala, kita buat tak tahu sahaja, Allah berikan langkah seterusnya – Allah berikan kemewahan demi kemewahan. Berterusan diberikan kebaikan itu. Lihatlah negara kita sekarang, senang sahaja negara kita. Ekonomi tengah bagus. Tidak ada perang susah-susah macam negara lain. Allah beri banyak peluang untuk kehidupan yang baik.

حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا

sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka,

Iaitu hidup dalam gembira sambil menikmati kemewahan hidup. Perkataan فَرِحُوا  bermaksud mereka gembira, juga bermakna mereka berlagak dengan kebaikan dan kemewahan yang mereka dapat itu.

أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً

Kami timpakan mereka secara mengejut

Mereka akan ditimpakan dengan bala bencana yang membinasakan, dengan tiba-tiba. Tiba tiba Allah beri azab yang mengejutkan. Bayangkan, waktu itu manusia itu tengah suka-suka, tengah bergembira dan tiba-tiba mereka diberikan bala yang besar. Kalau mari bala yang besar ini, maka akan rosak hancurlah kita.

فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ

maka mereka pun berputus asa.

Terus hancur berkecai negara kita kalau Allah turunkan bala yang sebegini. Waktu itu, tidak nampak harapan nak keluar dari bala itu macam mana lagi. Mereka putus asa kerana mereka tak sangka langsung yang mereka akan kena bala macam itu.

Sebagai contoh, ada orang yang sihat wal afiat, tiba-tiba dia kena sakit kencing manis dan terus kena potong kakinya. Tentu dia akan rasa putus asa dan murung terus. Kerana dia tak sangka dia akan kena dengan perkara itu. Sepatutnya dia kembali kepada Allah, bukanlah dia rasa putus asa. Kerana sifat putus asa adalah sifat yang tidak baik. Kerana itu adalah sifat yang sudah hilang pengharapan kepada Allah.

Kerana itulah kita mementingkan supaya ajaran tauhid ini disampaikan kepada semua orang. Kerana amat penting sekali untuk keselamatan kita dunia dan akhirat. Takut takut kalau azab Allah ini turun masa zaman kita.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa Allah memberikan bala berperingkat. Allah tidak terus berikan bala yang besar. Allah akan berikan bala yang kecil dahulu supaya kita ada peluang untuk bertaubat dan membetulkan perbuatan kita.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kemewahan dan nikmat adalah satu ujian juga. Kalau kita dalam keadaan senang lenang, ingatlah bahawa itu adalah satu ujian juga kepada kita. Jangan kita suka sangat sampai kita lupa Allah. Ingatlah bahawa ujian Allah itu dalam bentuk kesusahan dan juga dalam bentuk kesenangan. Orang yang beriman, dia akan ingat Allah dalam susah dan senang. Kalau mereka ditimpa kesusahan, orang beriman tidak putus harap dengan Allah.

Allah ini mengingatkan kita, kalau kita dalam keadaan senang lenang, ingatlah ada kemungkinan itu adalah dugaan sebelum Allah tarik kesenangan itu dan kenakan bala yang besar. Ingatlah dua sifat yang orang mukmin kena ada: takut dan harap. Inilah dua sifat yang kena ada sentiasa.

Tapi janganlah kita ingat semua orang yang sedang dapat kebaikan, itu bermaksud mereka telah melakukan kesalahan. Tidak semua orang begitu. Cuma, kita kena berhati-hati. Kita tidak tahu kita dalam keadaan yang mana.

Ayat ini juga mengingatkan kita jangan suka sangat dan berlagak apabila kita mendapat kebaikan dan kemewahan. Sepatutnya, kita gunakan peluang itu untuk bersyukur kepada Allah dan tolong orang sebanyak mungkin.

Ayat ini juga mengingatkan kita bahawa bala Allah datang secara tiba-tiba. Entah-entah keluar sahaja dari rumah sekejap lagi boleh mati. Maka, hendaklah kita sentiasa bersedia bila-bila masa.

Lompat ke ayat yang seterusnya

===========================================

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s