Tafsir Surah al-An’am Ayat 28 – 35

Ayat 28: Ayat sebelum ini disebut bagaimana mereka yang telah dihadapkan ke neraka akan berharap supaya mereka dikembalikan ke dunia. Mereka nak kembali kerana mereka nak buat amal baik, tak mahu buat syirik lagi dah. Adakah mereka berjaya dikembalikan? Allah jawap dalam ayat ini:

6:28
Sahih International

But what they concealed before has [now] appeared to them. And even if they were returned, they would return to that which they were forbidden; and indeed, they are liars.

Malay

(Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

بَلْ بَدَا لَهُم

bahkan nyata kepada mereka

Perkataan بَلْ digunakan untuk menidakkan pernyataan dalam ayat sebelum ini. Iaitu mereka mengharap semoga mereka dikembalikan ke dunia. Perkataan بَلْ menyatakan mereka tidak akan ada peluang itu.

Sebaliknya akan dinyatakan, akan dikeluarkan. Apakah yang akan dikeluarkan?

مَّا كَانُوا يُخْفُونَ مِن قَبْلُ

apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu;

Apa yang sembunyikan? Dalam kes musyrikin Mekah dan Ahlu Kitab, pada hari Kiamat akan jelas terkeluar bahawa mereka dulu semasa di dunia, tahu yang Nabi Muhammad adalah seorang rasul dan benar. Tapi mereka sembunyikan dalam hati mereka.

Keduanya, akan terbongkar kekufuran orang-orang munafik. Mereka hidup di hadapan Nabi dan manusia lainnya, sambil mereka mengaku beragama Islam dan menyembunyikan kekufuran mereka. Tapi di hari Kiamat nanti, ianya akan terkeluar. Maka, ada yang kita nampak macam Islam tapi mereka dalam masa yang sama buat syirik juga. Mereka tak terima ajakan tauhid. Bukan orang munafik zaman Nabi sahaja, yang munafik zaman kita pun akan terbongkar juga. Mereka menyembunyikan kemunafikan mereka semasa mereka di dunia, tapi mereka tidak dapat menyembunyikan lagi di akhirat.

Ini mengingatkan kita bahawa ada perkara yang kita lakukan tidak ikhlas. Kita sembunyikan niat kita dalam melakukannya. Sebagai contoh, kita mungkin buat amal kerana hendak menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Tapi di akhirat nanti, ianya akan dikeluarkan. Semua akan nampak apakah niat kita semasa melakukan amal itu. Oleh itu, hendaklah kita memperbetulkan niat kita. Hendaklah kita melakukan sesuatu amal ibadat itu kerana Allah semata-mata.

Begitu juga ada orang yang buat kesalahan dan sorok dari orang lain. Ianya juga akan dibongkarkan pada hari itu. Tidak ada yang dapat disembunyikan pada hari itu. Apa sahaja yang kita sembunyikan semasa di dunia akan dibongkar. Semasa di dunia, bolehlah kita tipu orang, tapi di akhirat, ianya akan jelas kepada semua orang. Oleh itu, berhati-hatilah dengan apa yang kita lakukan.

وَلَوْ رُدُّوا

dan kalau pun mereka dikembalikan ke dunia,

Memang mereka tidak akan dikembalikan. Tapi kalaulah mereka dikembalikan, apa mereka akan buat?

لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ

tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya;

Allah beritahu kita dalam ayat ini, bahawa kalau pun mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan kembali buat perkara syirik yang mereka lakukan dulu semasa di dunia. Kenapa mereka akan buat juga? Kerana itu sudah jadi sebati dengan perangai mereka dah. Walaupun mereka diberi peluang kedua, mereka akan buat juga apa yang dilarang. Kerana itu sudah jadi habit yang telah menebal dalam diri mereka. Seperti seseorang yang biasa sangat menipu, dia akan sentiasa menipu setiap hati.

وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.

Apakah dusta mereka? Iaitu mereka kata kalau mereka dikembalikan ke dunia, mereka akan berubah perangai. Itu dusta sahaja. Kalau mereka kembali ke dunia, mereka pasti akan buat syirik balik.


Ayat 29:

6:29
Sahih International

And they say, “There is none but our worldly life, and we will not be resurrected.”

Malay

Dan tentulah mereka akan berkata pula: “Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati”.

وَقَالُوا

Dan tentulah mereka akan berkata pula:

Ini satu lagi fahaman mereka.

إِنْ هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا

“Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini,

Mereka kata tidak ada kehidupan selepas mati. Mereka sayang sangat dunia ini.

الدُّنْيَا adalah kehidupan dunia ini. Kata dasarnya adalah: د ن و yang bermaksud ‘dekat’ kerana dunia ini dekat dengan kita. Ianya juga bermaksud ‘rendah’ kerana kehidupan dunia adalah rendah kalau dibandingkan dengan kehidupan di akhirat.

Manusia memang kebanyakannya hanya memandang keindahan dunia sahaja kerana akal mereka hanya nampak yang boleh dilihat dengan mata sahaja. Mata hati mereka tidak dapat terima ada kehidupan yang lain. Oleh itu, mereka pegang betul dengan dunia ini. Mereka nak buat segalanya yang mereka boleh ambil dari hal dunia. Mereka tidak fikirkan lagi kesan di akhirat sebab mereka tak nampak akhirat itu. Mereka hendak menikmati kehidupan dunia ini sepuas-puasnya. Kerana mereka fikir mereka ‘hidup hanya sekali’.

Tapi kenapakah manusia hendak melebihkan kehidupan dunia yang lemah dan rendah ini? Ianya adalah kehidupan yang amat menyesakkan. Tidak sunyi dari kekurangan dan keresahan sahaja. Ianya tidak kekal. Kalau gembira pun sekejap sahaja. Padahal kehidupan akhiratlah yang lebih kekal. Ianya adalah kekal abadi. Kehidupan yang baik di akhirat lah yang sepatutnya kita kejar. Bukan kehidupan dunia ini. Amat malang sekali kepada sesiapa yang tidak nampak perbandingan ini. Mereka merugikan sahaja masa yang mereka ada di dunia ini. Padahal, dunia ini sepatutnya menjadi tempat mereka bercucuk tanam menambah pahala supaya mereka dapat menuai hasilnya di akhirat kelak.

وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula”.

Kenapa mereka tak mahu terima adanya akhirat? Kerana mereka nak buat apa yang mereka hendak buat semasa di dunia. Mereka tidak mahu ada kekangan. Kalau mereka terima adanya akhirat, maka mereka kena jaga hukum. Tak boleh buat itu, tak boleh buat ini. Mereka tak mahu begitu. Mereka nak buat apa yang mereka hendak lakukan.

Kalau orang Islam, ada juga yang tak kisah tentang kehidupan akhirat. Maka walaupun mereka mengaku Islam, mereka tak buat persiapan pun untuk hari akhirat. Mereka lalai dan leka dengan kehidupan dunia juga. Tak banyak beza pun dengan orang-orang kafir.


 

Ayat 30: Apakah kesudahan mereka nanti?

6:30
Sahih International

If you could but see when they will be made to stand before their Lord. He will say, “Is this not the truth?” They will say, “Yes, by our Lord.” He will [then] say, “So taste the punishment because you used to disbelieve.”

Malay

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!” Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

وَلَوْ تَرَىٰ

Dan sungguh ngeri jika engkau melihat

Diulang sekali lagi. Sebelum ini disebut mereka berhenti tepi neraka. Sekarang mereka akan dihadapkan di hadapan Allah.

إِذْ وُقِفُوا عَلَىٰ رَبِّهِمْ

ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka,

Semua manusia akan dihadapkan, tapi keadaan mereka akan berbeza dengan orang yang beriman dan beramal soleh.

قَالَ أَلَيْسَ هَٰذَا بِالْحَقِّ

lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar?

Allah tanya mereka tentang hari yang mereka dulu kata tidak ada. Sekarang sudah di hadapan mata mereka, bagaimana? Takkan nak kata tidak ada pula.

قَالُوا بَلَىٰ وَرَبِّنَا

Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!”

Mereka mengaku bahawa hari itu adalah benar, dengan bersumpah dengan nama Allah.

Di akhirat nanti, tidak ada alasan lagi yang boleh diberi. Waktu itu terpaksa menerima kenyataan. Kalau semasa di dunia dulu tidak mengaku, masih nak lari-lari dari tanggungjawab, buat tak tahu sahaja, tapi tidak lagi boleh dilakukan apabila di hari Akhirat nanti.

Ujiannya adalah samada kita terima Allah sebagai Tuhan semasa di akhirat atau di dunia lagi. Alangkah ruginya kalau kita hanya mengaku apabila di akhirat kelak. Maka, terimalah kenyataan bahawa hari Kiamat itu benar dan kita hendaklah bersedia untuk menghadapinya.

قَالَ فَذُوقُوا الْعَذَابَ

Allah berfirman lagi: “Oleh itu, rasalah azab seksa neraka

Walaupun mereka sudah mengaku, tapi mereka tidak lepas dari azab. Kalau mengaku waktu itu, tidak berguna dah. Akan kena azab juga. Nak mengaku, kena masa di dunia lagi.

Allah gunakan perkataan فَذُوقُوا yang bermaksud ‘rasailah kamu semua’. Allah gunakan perkataan ‘rasa’. Kalau kita rasa makanan contohnya, bukankah kita akan dapat kepastian? Kalau makanan itu setakat cium bau sahaja, kita tak pasti makanan itu sedap atau tidak. Tapi kalau dah ‘rasa’, memang kita pasti sungguh. Kalau lihat sahaja pun belum tentu pasti.

Dulu mereka nak rasa sangat kesedapan hidup dunia. Sekarang rasalah kesakitan dalam neraka.

بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu telah kufur ingkar”.

Mereka engkar untuk ikut tauhid. Mereka kufur untuk beriman kepada hari Akhirat.


 

Ayat 31:

6:31
Sahih International

Those will have lost who deny the meeting with Allah, until when the Hour [of resurrection] comes upon them unexpectedly, they will say, “Oh, [how great is] our regret over what we neglected concerning it,” while they bear their burdens on their backs. Unquestionably, evil is that which they bear.

Malay

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ كَذَّبُوا

Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan

Rugi yang teramat-amat rugi. Tidak ada lagi kerugian yang lebih besar dari ini.

بِلِقَاءِ اللَّهِ

pertemuan mengadap Allah;

Mereka tidak percaya yang mereka akan bertemu mengadap Allah dimana segala amal mereka akan ditimbang dan mereka akan ditanya tentang apakah yang mereka lakukan semasa mereka di dunia dulu. Oleh kerana mereka tidak menerimanya, maka mereka telah melakukan dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita memikirkan yang kita akan bertemu dengan Allah? Kita sebagai orang beriman, tentunya percaya bahawa akan ada hari Kiamat dan semua akan dihadapkan ke hadapan Allah. Tapi adakah kita sentiasa memikirkannya? Ada tak kita mengharap untuk jumpa Allah? Pernah tak kita terfikir? Amat rugi kalau kita tidak mengharap untuk bertemu dengan Allah. Padahal, kita selalu mengharap nak masuk SyurgaNya. Tapi tak teringat nak minta untuk berjumpa denganNya. Dengan orang lain kita nak jumpa. Kalau ayah kita dah mati, teringin sangat kita nak jumpa ayah kita di akhirat kelak. Tapi bagaimana dengan Allah?

Kenalah kita mengharap untuk bertemu dengan Allah. Berdoalah setiap hari supaya kita dapat bertemu denganNya. Kita hendak sangat bertemu dengan Allah. Ianya adalah satu nikmat Syurga yang paling besar sekali.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَتْهُمُ السَّاعَةُ

sehingga apabila hari kiamat datang kepada mereka,

Mereka tidak terima dan hidup dalam dusta sampai saat itu sampai. Ianya pasti akan datang. Samada mereka bersedia atau tidak, ianya pasti akan datang juga.

بَغْتَةً

secara tiba-tiba.

Tanpa tanda apa pun. Tiba-tiba sahaja. Tanpa amaran. Masa itu manusia sedang sibuk dengan hal dunia, sedang buat kerja macam biasa, makan dan sebagainya. Macam hari biasa sahaja. Tapi tiba-tiba ia datang.

Kiamat ada dua: Kiamat besar dan Kiamat Kecil. Kiamat Besar adalah Hari Kiamat apabila segala alam ini akan dihancurkan. Kiamat kecil pula adalah mati. Semua orang akan melalui dua-dua kiamat ini. Kiamat Kecil ini pun akan datang dengan tiba-tiba. Sedang kita sibuk dengan hal dunia, tiba-tiba malaikat maut dah sampai. Alangkah terkejutnya nanti mereka yang tidak memikirkan untuk bertemu Tuhan dan mereka mati tiba-tiba dan apa yang mereka dustakan akan jelas kepada mereka.

Orang beriman pun tak tahu bilakah dia akan mati. Tapi orang yang beriman akan sentiasa bersedia untuk mati. Oleh itu, apabila kematian datang, dia tak terkejut sangat. Tapi kepada mereka yang tak fikir pun tentang mati, sedang leka dengan hidup, maka mereka yang sangat terkejut. Kepada merekalah mati itu akan datang secara tiba-tiba.

Ayat ini mengajar kita untuk sentiasa bersedia untuk mati. Tanya diri kita setiap hari: “Adakah aku bersedia untuk mati?” “Adakah Allah akan murka atau tidak kepadaku?”

Apabila kita bersedia untuk mati, kita bukan hanya memikirkan tempat tujuan kita di alam akhirat sahaja, tapi kita juga kena memikirkan apa yang kita tinggalkan – iaitu dunia. Kita kena menyelesaikan hal-hal dunia yang mempunyai kesan kepada kita di akhirat. Sebagai contoh, kita kena memikirkan ada tak barang orang lain dengan kita lagi? Kalau ada, kena pulangkan. Kalau hutang, kena bayar. Sekurang-kurangnya kita beritahu waris kita untuk memulangkan kalau kita sudah tiada lagi. Kalau kita ada buat salah dengan orang, kita kena minta maaf. Ini adalah antara perkara yang kita kena lakukan dalam persediaan untuk menghadapi mati.

Jangan tunggu esok, minggu depan tahun depan baru nak buat perkara-perkara itu. Jangan nak ubah diri kita lambat lagi. Jangan tangguh nak belajar tafsir bila dah senang sikit, ada masa luang dan berbagai-bagai lagi alasan lain. Jangan tangguh. Jangan tangguh untuk buat amalan yang baik.

قَالُوا يَا حَسْرَتَنَا

mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami

Ini adalah kata-kata laungan penyesalan. Mana tidak? Mereka tidak bersedia langsung untuk mati dan mereka mati dengan tiba-tiba. Tentulah mereka menyesal.

عَلَىٰ مَا فَرَّطْنَا فِيهَا

atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!”

Banyak perkara agama mereka cuai. Antaranya, cuai untuk belajar agama, cuai untuk belajar tafsir Quran. Benda yang dia patut buat, dia tak buat. Tak bersedia untuk kematian. Sebaliknya mereka sentiasa sibuk dengan benda yang tak penting.

Bila tak belajar, dia buat syirik kerana dia tidak tahu yang apa yang dilakukannya adalah syirik. Dan bila buat syirik, semua amalan tidak diterima. Begitu juga, apabila tak tahu diri sendiri buat syirik, tentulah dia tidak pernah minta ampun atas dosa syiriknya itu. Dosa syirik kita kena minta ampun sendiri – tak boleh harapkan orang lain mintakan untuk kita.

Yang selalu manusia buat adalah syirik dalam bidaah. Mereka buat amalan yang bukan Nabi ajar. Tapi dalam syahadah, mereka mengaku Nabi Muhammad itu rasul. Tapi amalan mereka bukan ikut ajaran Nabi. Mereka tak faham apakah maksud syahadah itu. Mereka tidak tahu kenapa mereka sebut ‘asyhadu anna Muhammadur Rasulullah’. Apabila ditanya, kenapa mereka sebut syahadah itu, mereka akan jawap: “Kerana Nabi Muhammad itu adalah Rasulullah lah.” Kalau kita tak sebut pun, Nabi Muhammad tetap Rasulullah. Tapi kenapa kita sebut? Jawapannya, kerana itu adalah pernyataan dari kita bahawa kita ‘akan ikut’ ajaran Nabi Muhammad; Kita akan hanya amalkan amalan yang diajar oleh Nabi sahaja. Itulah sebabnya kita mengucap dua kalimah syahadah itu.

Jangan kita ingat ayat ini tentang orang kafir sahaja. Itulah salah tafsir dari guru agama yang mengajar. Mereka hanya beritahu yang ayat ini menceritakan kesalahan orang kafir yang tidak beriman sahaja. Maka, apabila begitu, sedap sahaja kita rasa. Macam kita tidak ada salah. Jangan begitu. Hendaklah kita membandingkan sesuatu teguran Allah itu kalau-kalau ianya kena batang hidung kita sendiri.

وَهُمْ يَحْمِلُونَ أَوْزَارَهُمْ

Sambil mereka memikul beban mereka

Beban yang dimaksudkan adalah dosa-dosa mereka. Sebagai contoh, orang yang curi dari orang lain akan bawa benda yang mereka curi itu. Apa sahaja perbuatan kita di dunia akan melekat dengan kita. Alangkah menakutkan!

Maka jangan kita tambah dosa kita. Sebab ada yang kata: aku dah banyak dosa dah, sama sahaja kalau tambah lagi …. Ingatlah yang dosa yang semakin bertambah akan menyusahkan kita lagi. Kalau dalam dunia pun kita tak suka bawa beban. Sebagai contoh, kalau kita nak mengembara dan kita di lapangan terbang, tiba-tiba flight delay. Waktu itu kita akan resah dengan segala beg yang kita bawa. Kita kena bawa beg itu ke mana-mana. Rasa macam nak buang sahaja kan? Padahal itu baru sekejap sahaja. Padahal itu boleh tarik dengan troli, bukan kena angkat pun dengan tangan kosong. Bayangkan kalau yang kita kena bawa itu adalah dosa kita yang bertimbun-timbun.

عَلَىٰ ظُهُورِهِمْ

di atas belakang mereka.

Bukan bawa beban itu dalam beg, atas troli, tarik di belajang kita dan sebagainya, tidak. Tapi atas diri mereka sendiri. Alangkah beratnya! Kita kena membawanya selama kita di dalam neraka. Kalau kita ahli neraka yang kekal di dalam neraka, kita kena tanggung beban dosa itu selama-lama!

Tambahan pula, semua boleh nampak apakah dosa yang kita lakukan dulu, maka ianya juga adalah sebagai sesuatu yang amat memalukan.

أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Ketahuilah!, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.

Kita nak bayangkan pun tidak boleh kerana ianya adalah perkara ghaib. Jadi, kita kena terima kata-kata Allah ini bahawa ianya adalah sesuatu yang amat buruk sekali.


 

Ayat 32:

6:32
Sahih International

And the worldly life is not but amusement and diversion; but the home of the Hereafter is best for those who fear Allah,  so will you not reason?

Malay

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Dan tidaklah kehidupan dunia

Kehidupan ‘dunia’ adalah kehidupan yang ‘rendah’. Kita telah lihat makna ‘dunya’ dalam ayat sebelum ini.

إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ

melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan:

Apabila digunakan perkataan لَعِبٌ – permainan, ianya memberi maksud sesuatu yang melibatkan fizikal. Macam kalau kita main bola, bukankah kita akan berlari ke sana sini? Itu melibatkan fizikal. Oleh itu, bila dikatakan لَعِبٌ, bermaksud kita akan sibuk ke sana dan ke sini. Dari pagi sampai malam tak habis-habis dengan urusan dunia. Pergi ke sana sini, melancong sana sini, berkumpul bersembang sana sini. Sampai bila kita buat begitu? Sampailah hidup kita berakhir.

Yang paling teruk adalah mereka yang mempermainkan agama. Sekarang sampai ada rancangan agama yang melibatkan orang menyanyi. Samada ada di TV atau di stadium-stadium. Mereka sampai tepuk-tepuk tangan, melambai-lambai, berjoget-joget dan terkinja-kinja. Itulah rancangan selawat sesat yang dibawa oleh para Habib. Masyarakat kita yang jahil terpesona dengan mereka. Tak cukup dengan guru ajaran salah dalam negara, kita sampai import dari Yemen. Kalau buat benda yang betul tidak mengapa, masalahnya, mereka mengajar yang sesat.

Perkataan لَهْوٌ pula merujuk kepada ‘sesuatu yang melalaikan kita’. Kita leka dengan sesuatu kerana ianya menggembirakan kita. Hatinya terikat kepada sesuatu yang tidak berfaedah. Kalau لَعِبٌ melibatkan gangguan pada fizikal, لَهْوٌ pula melibatkan emosi dan pemikiran.

Jadi fizikal dan hati terikat dengan sesuatu yang melalaikan. Yang buang masa. Semasa dia buat perkara itu, dia suka tapi akhirnya ianya akan berakhir. Macam kehidupan dunia ini juga – akan berakhir. Macam kalau kita main game kat PlayStation contohnya, suka sangat kita main. Tapi selepas beberapa jam, permainan itu akan berakhir. Dan kita tidak dapat apa-apa faedah pun darinya.

Ingatlah dunia ini sekejap sahaja sebenarnya. Tapi ianya melekakan. Macam orang kita tengok bola sepak masa Piala Dunia. Semasa perlawanan itu, mereka leka dan suka. Tapi akhirnya ianya akan berakhir juga. Sekejap sahaja dah habis. Tapi apa yang kita dapat? Apa kebaikan kepada negara, kepada keluarga kita, kepada diri kita? Tidak ada langsung. Oleh itu, jangan lah kita terikat sangat dengan dunia kerana ianya tidak kekal.

Yang mereka jadikan hiburan pula bukan sesuatu yang benar. Menunjuk-nunjuk sahaja. Tak benar pun apa yang mereka nyanyikan itu. Ini termasuklah samada nyanyian bintang komersil yang popular ataupun nyanyian lagu nasyid dan qasidah yang sekarang semakin popular. Ingatlah bahawa nyanyian adalah sesuatu yang haram. Dalam surah Syu’ara, Allah telah menghukum yang nyanyian itu adalah haram. Dengan sekarang ya hanana dan sebagainya, apakah mereka ingat itu adalah benar? Mereka kata ianya hendak berdakwah. Tapi tanya balik, adakah Nabi ada buat cara dakwah sebegitu? Ingatlah, bahawa perkara yang salah tidak boleh digunakan untuk dakwah. Berhentilah kita ikut cara Kristian. Paderi Kristian telah mereka nyanyian dalam gereja mereka supaya menarik minat umat Kristian yang semakin kurang datang ke gereja. Kalau kita sampai bawa masuk nasyid dan qasidah dalam masjid kita, itu memang sudah tiru bulat-bulat dengan cara Kristian. Kita pun tahu yang Kristian itu kafir dan sesat, habis kenapa nak ikut cara mereka?

Jangan juga kita jadikan senda gurau dalam majlis agama kita. Malangnya, sekarang sudah banyak ustaz yang mengajar sambil memasukkan senda gurau dalam pengajaran mereka. Samada di masjid, stadium mahupun tv. Sampai mengilai-ngilai orang gelak dengan lawak mereka. Bila balik ke rumah, tak tahu apa yang mereka belajar. Yang mereka ingat hanyalah lawak-lawak yang disampaikan. Jangan begitu, kerana ajaran agama ini adalah berkenaan syurga dan neraka. Maknanya, ianya adalah benda yang berat. Bukan perkara yang diambil ringan.

وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ

dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik

Allah bandingkan dunia dan akhirat. Banyak ayat-ayat Quran yang sebegini – selepas disebut tentang dunia, Allah akan sebut tentang akhirat pula. Supaya kita boleh bandingkan.

Dunia tidak kekal. Yang kekal adalah akhirat. Negeri Akhirat itu خَيْرٌ lebih baik – tapi lebih baik kepada siapa?

لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ

bagi orang-orang yang bertaqwa.

Akhirat itu hanya خَيْرٌ kepada mereka yang bertaqwa sahaja.
Taqwa adalah berhati-hati dalam menjalani kehidupan. Mereka akan fikirkan hukum dalam kehidupannya. Sebelum buat sesuatu, mereka akan fikirkan halal-haramnya. Kalau dilarang dalam agama, mereka tidak lakukan.

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Kenapa kamu tak mahu berfikir dan gunakan intelek kamu? Lihatlah dunia ini dan fikirkan, adakah kebaikan kalau kita meletakkan segala harapan dan masa kita kepada dunia yang tidak kekal ini?


 

Ayat 33: Kembali kepada tema utama surah ini. Ayat ini adalah sebagai pujuk rayu kepada penyebar tauhid.

6:33
Sahih International

We know that you, [O Muhammad], are saddened by what they say. And indeed, they do not call you untruthful, but it is the verses of Allah that the wrongdoers reject.

Malay

Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.

قَدْ نَعْلَمُ

Sesungguhnya Kami mengetahui

Allah menenangkan hati Nabi dengan memberitahu baginda bahawa Allah dengar, Allah tahu yang Nabi dalam kesedihan. Bukan Allah tak tahu. Kalau seseorang itu tahu yang ada yang mendengar keluhan hatinya, faham apa yang dirasainya, bukankah ada kurang sikit rasa resahnya itu? Allah nak mengurangkan kesedihan baginda.

إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ

bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita;

Nabi kena ejek dengan teruk sekali. Musyrikin kata macam-macam kepada baginda. Kata baginda ahli sihir lah, gila lah, pemecah belah masyarakat lah dan macam-macam lagi.

Macam juga kita kena ejek dengan gelaran ‘Wahabi’. Sebab kita selalu membicarakan tentang syurga dan neraka, Quran dan hadis Nabi. Diejek dengan kata “tiada benda lain kah lagi? Asyik tauhid, syirik, Quran, hadis sahaja kamu bawa ni?”

فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ

kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu,

Allah kata mereka sebenarnya bukan mendustakan dan mengejek Nabi Muhammad tapi sebenarnya mendusta dan mengejek Allah. Kerana Nabi Muhammad hanya menyampaikan ayat-ayat dari Allah. Oleh itu, Allah ingatkan Nabi supaya jangan bersedih.

وَلَٰكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ

tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah

Yang mereka debat dan lawan adalah ayat-ayat Allah. Mereka menentang Allah sebenarnya.

Perkataan يَجْحَدُونَ dari katadasar ج ح د yang bermaksud ‘menolak sesuatu selepas tahu’. Musyrikin Mekah memang tahu bahawa Nabi itu rasul dan ayat Quran itu dari Allah, tapi mereka masih juga menolak. Kerana mereka sombong dan keras kepala.

Allah suruh Nabi sabar. Kalau yang marah sepatutnya Allah, bukan Nabi. Sama juga nasihat ini kepada kita. Kita pun kena sabar dan buat tak tahu. Kita cuma sampaikan sahaja. Kalau mereka tak terima, mereka bukan menolak kita, tapi menolak Allah sebenarnya.

Orang yang tak mahu terima dakwah tauhid bukanlah mereka tak suka dengan pendakwah itu, tapi dengan mesej yang dibawa. Sebagai contoh, katakanlah anda telah belajar agama dan kerana anda tahu ianya benar, maka anda ceritakan kepada rakan lama. Yang lama kenal dan memang kawan baik. Yang mungkin sama-sama jahil dan nakal dahulu. Selepas kita dakwah kepadanya, dia akan kata: “kamu ni dah lain dah. Dulu tak macam ni. Dulu kita boleh duduk lepak sama-sama, sekarang dah susahlah nampaknya. Kau belajar kat mana ni?” Begitulah yang selalu terjadi. Kalau nak kata dia tak suka kepada kita, bukankah dia telah lama kenal dan kawan dengan kita bukan? Maksudnya, yang dia tak boleh terima adalah mesej tauhid yang kita dakwahkan kepadanya.


 

Ayat 34: Allah beri contoh apa yang berlaku kepada Rasul-rasul terdahulu

6:34
Sahih International

And certainly were messengers denied before you, but they were patient over [the effects of] denial, and they were harmed until Our victory came to them. And none can alter the words of Allah . And there has certainly come to you some information about the [previous] messengers.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.

وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ

Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan,

Nabi dan Rasul sebelum ini pun dah didustakan. Ini bukan perkara baru. Itulah sebabnya Allah ceritakan tentang Nabi-Nabi dahulu kepada Nabi dan kepada kita. Supaya kita tahu apa yang telah terjadi kepada mereka.

Begitu juga ulama dan guru agama dahulu kala pun dah ramai kena tolak. Imam Ibn Taimiyyah, Imam Bukhari, Imam Ahmad malah banyak lagi. Dan yang ditolak itu adalah dalam hal berkenaan tauhid, bukan tentang hal wirid, tentang ibadat. Kalau kita sentuh tentang perkara ibadat, mereka tak kisah, mereka terima sahaja. Cuma tentang tauhid yang kalau diberitahu kepada mereka, mereka akan lawan dan tolak. Mereka tak tahu, yang sebenarnya tentang tauhidlah yang paling penting sekali. Ibadat memang penting juga, tapi kalau tauhid tak betul, buat banyak ibadat pun tak guna kerana selagi masih buat syirik, selagi itu ibadat tidak diterima.

فَصَبَرُوا عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا

maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka

Mereka tahan dengan penuh kesabaran. Mereka tak marah dengan apa yang kena kepada mereka. Kerana apa yang mereka lakukan adalah kerana Allah. Mereka tidak mengharapkan balasan dari umat yang mereka dakwahkan itu, tapi mereka hanya mengharapkan balasan dari Allah sahaja. Mereka terus berdakwah dan tidak tinggalkan kaum mereka.

وَأُوذُوا

dan menyakiti mereka,

Mereka disakiti dengan kata-kata dan juga dengan fizikal. Apabila umat yang kufur itu tidak dapat melawan dengan kata-kata kerana mereka tidak ada hujah, mereka akan menggunakan keganasan fizikal pula.

حَتَّىٰ أَتَاهُمْ نَصْرُنَا

sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka;

Allah beri pertolongan kepada rasul-rasul itu dimana mereka telah diberikan kemenangan dan musuh mereka telah dihancurkan.

Allah beri isyarat kepada Nabi dalam ayat ini bahawa pertolongan Allah akan tiba. Tunggu sahaja.

وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ

dan tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah;

Apakah كَلِمَاتِ اللَّهِ? Banyak sekali. Dalam surah Kahfi telah disebut bahawa kalaulah kalimat-kalimat Allah ditulis, tidak akan habis walaupun dua kali ganda air lautan di dunia ini dijadikan dakwat untuk menulisnya.

Termasuk dalam kalimat-kalimat Allah adalah janji-janjiNya. JanjiNya untuk rasulNya dan para pendakwah.

Kalimat Allah juga termasuk segala puji-pujian untukNya. Amat banyak sekali.

Termasuk juga hukum-hukum. Hukum-hukum Allah tidak boleh diubah. Kita tak boleh tukar. Walaupun ayat-ayat itu keras, ramai orang tak suka, tapi begitulah. Kena sampaikan macam itu juga. Jangan kita tengok orang tak suka, kita ubah tafsir ayat itu untuk ‘sesuaikan’ dengan keadaan semasa. Tak boleh macam tu.

Atau kita simpan sesetengah ayat, tak sebarkan ayat-ayat yang kita rasa orang tak suka dengar. Kita ajar ayat-ayat yang tak menyebabkan orang sakit hati sahaja. Kita ajar ayat-ayat yang ringan sahaja.

Salah satu janji Allah adalah kalau kita dakwah ajaran tauhid, mesti akan jadi begini. Memang pendakwah akan ditolak, pasti ada musuh untuk mereka. Masalahnya, ramai yang takut kena ejek dan kena tentang. Oleh itu, mereka tak berani nak beritahu kepada orang lain. Oleh itu, kepada kita yang belajar tauhid ini, tak boleh sembunyi apa yang kita telah belajar ini. Kena sampaikan kepada masyarakat yang ramai tidak tahu. Kerana kalau kita sembunyi, kita akan kena laknat oleh Allah dan mereka-mereka yang melaknati. Jangan takut dengan apa yang akan kena dari mereka yang menentang. Memang kewajipan menyampaikan kepada manusia adalah berat. Tapi kita kena juga lakukan. Takut kita tak buat bidaah dan syirik, tapi sebab simpan ilmu itu dan tidak sebarkan, kita akan kena laknat dan akan disumbatkan ke dalam neraka sama seperti orang yang buat syirik juga.

Kena sampaikan ilmu tauhid. Jangan hanya cerita perkara ibadah sahaja. Kita takut kita jadi macam Jemaah Tabligh yang mengajak manusia kepada agama, tapi tidak melarang orang dari buat syirik. Cuma ajak orang pergi solat sahaja. Inilah satu sindrom yang akan menyebabkan manusia makin sesat. Kerana kesalahan akidah manusia tidak ditegur.

Satu lagi makna: tiada orang yang boleh ubah pertolongan Allah. Apabila pertolongan Allah tiba, ianya akan tiba.

وَلَقَدْ جَاءَكَ مِن نَّبَإِ الْمُرْسَلِينَ

dan sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.

Ada banyak kisah yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad. Banyak lagi yang tidak diberitahu. Kisah-kisah itu sepatutnya boleh menenangkan Nabi. Bagaimana dalam kisah itu telah disebutkan bagaimana Nabi-Nabi dulu telah diselamatkan dan diberikan kemenangan. Pertolongan Allah pasti datang.

Kisah para rasul itu juga telah sampai kepada kita melalui Nabi Muhammad. Cerita Rasul dan Nabi-nabi, semua orang tahu. Tapi hal tauhid yang dibawa oleh Rasul-Rasul itu tidak diambil tahu. Mereka cuma ambil tahu tentang kisah-kisah perjalanan hidup mereka sahaja. Padahal, semua kisah Nabi dan Rasul dahulu adalah tentang tauhid.

Yang menyedihkan pula, dalam kisah-kisah yang disampaikan kepada masyarakat tentang Nabi-Nabi dulu, ada banyak kisah-kisah tambahan yang melalut-lalut. Yang karut pun ada. Antaranya kisah Nabi Sulaiman yang hendakkan Puteri Balqis, kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha berkahwin dan sebagainya. Kisah itu sampaikan mencemarkan nama pada Nabi pula. Memang ada dalam kitab tapi kitab apa? Orang kita, kalau sebut kitab sahaja, terus terima tanpa ilmu. Oleh itu, yang jadi masyhur adalah kisah-kisah yang tak penting sahaja. Yang kisah dakwah mereka tentang tauhid tidak diberitahu kepada masyarakat.


 

Ayat 35: Ayat ini tentang Mukjizat. Ayat ini merujuk kepada Nabi. Soalan: Mukjizat itu Nabi boleh buat sendiri atau anugerah Tuhan? Bolehkah Nabi-Nabi buat mukjizat ikut suka mereka? Jawapannya, tidak. Hal mukjizat pun kita kena faham juga. Kalau tak, kita akan keliru dengan kebolehan manusia-manusia yang seperti ada kuasa pula. Oleh kerana kagum dengan kebolehan mereka, orang kita pun ikutlah ajaran sesat mereka. Begitulah yang terjadi dengan pengikut-pengikut Ayah Pin. Mereka lihat Ayah Pin boleh buat itu dan ini, maka mereka telah terima ajaran sesat darinya.

Selalunya mukjizat itu dilakukan oleh para Nabi sekali sahaja. Jarang ada mukjizat dibuatkan berkali-kali. Sebagai contoh, pernah beberapa kali Nabi diberi mukjizat mengeluarkan air dari jari-jarinya. Tapi tidaklah kelebihan itu digunakan setiap kali. Tidaklah setiap kali tiada air, para cari Nabi bawa baldi minta baginda keluarkan air. Mereka tidak buat begitu, kerana mereka tahu, keluar air dari jari baginda bukanlah dengan kehendaknya. Maknanya, mukjizat adalah anugerah, bukan kehendak Nabi.

Maka begitulah juga dengan karamah. Ianya adalah anugerah Allah kepada wali. Bukan dengan kehendak wali. Kalau ianya sesuatu yang dipelajari dan boleh dilakukan setiap kali, maka itu bukan karamah tapi sihir. Macam ada guru yang boleh tunjuk monyet atas pokok dan monyet itu jatuh. Itu sihir. Tapi anak murid yang jahil pandang tinggi guru itu dan kata itu adalah karamah. Karamah itu diberikan kepada wali, dan untuk menjadi wali mestilah seorang guru yang mengajar. Bukan yang pegang tasbih buat wirid sahaja. Guru pula kenalah mengajar Quran dan hadis dan menegur kesalahan yang manusia lakukan. Bukanlah wali itu macam yang diceritakan oleh pengikut-pengikut tarekat itu. Itu bukan Wali Allah, tapi Wali Syaitan. Maaf, kalau kasar bahasa, tapi itulah hakikatnya.

6:35
Sahih International

And if their evasion is difficult for you, then if you are able to seek a tunnel into the earth or a stairway into the sky to bring them a sign, [then do so]. But if Allah had willed, He would have united them upon guidance. So never be of the ignorant.

Malay

Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.

وَإِن كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ

Dan jika terasa amat berat kepadamu;

Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi pun sedih dengan penolakan kaumnya terhadap dakwahnya. Sampai baginda hampir rasa tak larat nak tahan. Sebab dah banyak sangat dah. Kalau sikit-sikit boleh tahan lagi. Tapi kalau dah lama, banyak sangat, tentu memberi kesan kepada baginda.

Tambahan pula baginda seorang yang hatinya lembut. Baginda tahu tanggungjawab baginda menyampaikan risalah ini dan baginda sayang kepada umatnya. Dan baginda juga manusia biasa juga, bukan macam malaikat. Jangan kita terikut dengan fahaman sesat yang kata Nabi Muhammad itu bukan manusia biasa. Baginda pun ada emosi macam manusia biasa juga. Oleh kerana itu, dia memang terasa sangat dengan penolakan dan ejekan kaumnya. Baginda dalam masa yang sama, teramat ingin supaya kaumnya selamat dari neraka. Macam kita dengan ibubapa kita, tentu kita tak mahu mereka masuk neraka atas kesalahan syirik yang mereka lakukan, bukan? Oleh itu, kita sedih sangat kalau kita dakwah kepada ibubapa kita, tapi mereka tak mahu terima.

إِعْرَاضُهُمْ

perbuatan mereka berpaling

Apabila musyrik Mekah tidak mahu ikut, mungkin Nabi ada perasaan kalaulah baginda tunjukkan mukjizat, seperti yang mereka minta, mungkin mereka akan beriman sebab nampak keajaiban yang ada pada baginda. Maka Allah tegur Nabi Muhammad dalam ayat ini.

فَإِنِ اسْتَطَعْتَ

maka sekiranya engkau sanggup

Kalaulah engkau mampu, wahai Nabi Muhammad, kau buatlah. Buat apa?

أَن تَبْتَغِيَ نَفَقًا فِي الْأَرْضِ

mencari satu lubang yang dalam ke bumi

Lubang yang dalam yang menembusi bumi. Kerana perkataan نَفَقًا bermaksud satu lubang yang mesti ada dua bukaan – masuk dan keluar.

Allah cabar Nabi untuk cari lubang itu dan kalau tidak ada, gali sendiri lubang itu.

أَوْ سُلَّمًا فِي السَّمَاءِ

atau satu tangga untuk naik ke langit,

Atau buatlah tangga yang boleh sampai ke langit. Untuk apa? Untuk cari mukjizat itu di langit.

فَتَأْتِيَهُم بِآيَةٍ

supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka,

Kalau kamu Muhammad tak tahan dengan penolakan mereka dan mahu bawakan mukjizat kepada mereka, buatlah.

Kalau Allah dah cabar begini, maknanya memang tak boleh cari dan buat sendiri. Kalau kita fikir sendiri pun, kita dah tahu yang itu tidak mungkin akan berlaku.

Nabi diingatkan untuk tunggu penolongan Allah. Allah yang tentukan bila ianya akan diberi. Bukan terletak di tangan Nabi Muhammad.

وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ

Dan sekiranya Allah menghendaki,

لَجَمَعَهُمْ عَلَى الْهُدَىٰ

tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk.

Allah boleh buat semua kaumnya beriman, sampai Nabi tak payah dakwah pun, tunggu sahaja mereka beriman. Tapi Allah tak hendak macam itu. Allah memang boleh buat macam itu. Lihatlah bagaimana Allah menjadikan seluruh para malaikat itu beriman belaka, taat belaka kepadaNya.

Allah juga boleh sahaja berikan segala mukjizat yang diminta oleh musyrikin Mekah itu sampai mereka beriman. Tapi Allah tak mahu macam tu. Allah hendak kita beriman dengan perkara yang ghaib. Barulah ada nilai dengan iman itu. Kalau kita beriman kerana dah nampak dengan mata kepala kita, ianya tidak bernilai sangat.

فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْجَاهِلِينَ

oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil.

Jangan jadi bodoh. Jangan kita nak harap semua orang akan senang nak beriman. Kalau semua orang senang sahaja beriman, maka tidaklah ada pahala dakwah untuk kita lagi.

‘Jahil’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘terikut sangat dengan emosi’ sampaikan berfikir dengan emosi, bukan dengan intelek lagi dah. Kalau jadi begitulah yang manusia jadi jahil.

Allah nak beritahu kepada Nabi supaya jangan ikut emosi yang inginkan semua umatnya beriman. Dan jangan baginda jadi jahil dengan berharap supaya segala permintaan mereka dipenuhi. Allah tegur Nabi dalam ayat ini. Allah boleh sahaja cakap begini. Kerana Nabi Muhammad adalah hambaNya, Allah boleh tegur.

Hendaklah kita ingat bahawa ada perkara yang diluar kuasa kita. Allah yang lebih tahu apakah yang kita perlukan. Kadang-kadang kita tak suka dengan rumah kita contohnya. Tapi tak jumpa rumah lain yang kita rasa sesuai. Kita tak sabar. Kalau nak ikut emosi kita, kita nak cepat-cepat selesai masalah kita. Tapi ingatlah bahawa Allah lah al-Hakeem – Maha Bijaksana – Dia tahu macam mana nak selesaikan masalah kita. Kita cuma kena bersabar. Orang yang tak sabar adalah orang yang jahil. Kerana kalau kita tak sabar pun, tidak ada apa yang akan berubah.

Sekurang-kurangnya kalau kita bersabar, kita akan dapat pahala. Kerana semua dugaan dalam dunia adalah satu ujian kepada kita. Dan apabila kita bersabar, kita akan dikurniakan dengan pahala atas kesabaran kita itu.

Kalau anak kita tak ikut cakap kita, tak buat amal ibadat seperti yang kita suruh, itu pun kena sabar juga. Banyak lagi contoh-contoh di mana kesabaran kita amat diperlukan. Semoga kita menjadi orang yang bersabar.

Lompat ke ayat yang seterusnya

===============

Ref: UR, NAK, TZ

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s