Tafsir Surah Fatihah Ayat 6

Ayat 6: Ayat ini Allah kata untuk kita.

1:6

Tunjukilah kami jalan yang lurus;

Setelah menyampaikan pujian kepada Allah, dan hanya kepadaNya sahaja permohonan ditujukan, maka layaklah jika hal itu diikuti dengan permintaan. Demikianlah cara berdoa yang elok, iaitu dengan memuji Allah kemudian memohon keperluan untuk diri sendiri dan dan keperluan saudara-saudaranya dari kalangan orang-orang beriman.

Seorang hamba sentiasa memerlukan Allah setiap saat dan situasi agar diberikan keteguhan, kemantapan, penambahan dan kelangsungan hidayah, kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat kepada dirinya sendiri kecuali jika Allah menghendaki. Orang yang berbahagia adalah orang yang diberi taufik oleh Allah untuk memohon kepadaNya. Kita berharap semoga Allah berkenan terus menunjukkan kita kepada jalan yang lurus dan tidak menyimpangkan kita ke jalan yang lainnya.

Apakah yang hendak dimaksudkan dengan ‘tunjuk’? Katakanlah kita minta seseorang tunjukkan jalan ke sesuatu tempat kepada kita. Kalau orang itu beritahu sahaja, (Encik ikut jalan ini, kemudian belok kiri, kemudian belok kanan, ada simpang kecil, encik masuk sampai lebih kurang dua batu, jumpalah tempat yang encik cari itu), ada kemungkinan kita boleh tersesat. Sebab kadang-kadang tunjuk arah yang diberikan tidak jelas atau kita sendiri yang kurang faham dan susah nak terima tunjuk arah dari orang lain. Satu lagi petunjuk adalah dengan cara ‘pimpin’. Iaitu orang yang tahu jalan itu ikut naik sekali dalam kereta bersama dengan kita. Jadi Tuhan pimpin kita dengan menurunkan Quran ini kepada kita supaya memimpin kepada jalan yang lurus. Iaitu terdapat kombinasi ‘tunjuk’ dan ‘pimpin’ sekali didalamnya.

Jalan yang lurus itu hendak ke mana? Jawapannya ada dalam Surah Yaasin ayat 61:

36:61

“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu sahaja; inilah jalan yang lurus.

Maknanya apabila kita sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja – itulah jalan yang lurus. Maknanya kalau berdoa dengan menggunakan tawasul/perantaraan, itu bukan jalan yang lurus. Itu adalah jalan syirik kepada Allah. Zikir hanya kepada Allah. Puja hanya Allah sahaja. Jadi apabila kita memuja kepada makhluk yang lain dengan memberi salam kepada mereka atau menyedekahkan Fatihah kepada mereka, itu bukanlah jalan yang lurus. Ini malangnya, banyak yang orang kita buat sekarang, kerana mereka jahil tentang agama dan hanya mengikut orang sahaja.

Dan dalam Surah Maryam:36, dinukilkan kembali kata-kata Nabi Isa semasa baginda masih bayi lagi. Iaitu selepas Maryam melahirkan Nabi Isa, dia membawa Nabi Isa kepada kaumnya. Mereka telah mengutuk Maryam kerana mereka sangka Maryam telah melakukan perkara yang terkutuk. Maka Maryam tunjuk kepada anaknya Nabi Isa. Maka Nabi Isa yang masih bayi itu telah berkata:

19:36

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul – lurus “.

وَإِنَّ اللَّهَ رَبِّي

Dan sesungguhnya Allah itu adalah Tuhan yang mencipta, memelihara dan menjaga diriku

وَرَبُّكُمْ

dan Dia juga mencipta, memelihara diri kamu

فَاعْبُدُوهُ

Oleh itu, kamu sembahlah Dia sahaja; Oleh itu, apa yang kita belajar dari ayat ini, hendaklah kita buat pemujaan kepada Allah sahaja. Maka jangan sembah dan puja makhluk lain seperti sultan dan jangan puja benda yang lain seperti keris dan sebagainya. Jangan seru makhluk-makhluk yang lain walaupun Nabi Muhammad dengan sebut ‘Ya Nabi Muhammad’.

هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ

Inilah dia jalan yang lurus;

Jadi makna ‘Jalan yang Lurus’ adalah: kita kena beribadat, puja dan berdoa *hanya* kepada Allah sahaja. Tapi adakah kita buat ibadat kepada orang lain? Memang ada, tanpa kita perasan kerana kita tidak belajar. Contoh ibadat adalah seperti kita zikir la ilaha illa Allah. Itu adalah salah satu bentuk ibadat, iaitu berzikir. Zikir macam ini memang digalakkan. Tapi kita selalu dengar orang berzikir begini: la ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah. Itu adalah berzikir kepada Allah *bersama* dengan Nabi Muhammad. Itu bermakna berzikir kepada Nabi. Kerana kita ulang kata-kata itu, bukan? Sebagai contoh, seorang ibu akan mendodoi anaknya begitu, bukan? Itu kufur kepada Allah kerana kita hanya dibenarkan berzikir kepada Allah sahaja. Nabi tak pernah ajar kita buat macam itu. Kita hanya disuruh berselawat sahaja kepada Nabi. Berhati-hatilah dengan berjenis-jenis selawat yang diajar. Kerana selawat yang berlebihan itu akan menjadikan kita memuja Nabi Muhamad berlebihan tanpa kita sedar.

Mungkin ramai yang keliru dengan perkara ini dan berkata: takkan salah pula kalau begitu? Sebenarnya, Allah telah berfirman tentang perkara ini dalam Mukminum(23):117:

23:117

Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.

وَمَنْ يَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ

Sesiapa yang puja/ibadat/berdoa/berzikir pujaan yang lain bersama Allah; iaitu puja Allah, tapi bersamanya ada puja yang lain.

لَا بُرْهَانَ لَهُ بِهِ

dengan tidak ada dalil bukti dari mereka; mereka yang menganjurkan bacaan zikir seperti itu memang tidak boleh memberikan dalil yang membolehkan berbuat begitu. Kerana memang Nabi tak pernah ajar.

فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِنْدَ رَبِّهِ

Sesungguhnya hisab amal mereka disisi Tuhannya

Allah nanti akan hisab kesalahan mereka itu dan Allah akan balas kesalahan yang mereka lakukan itu.

إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ

Sesungguhnya tidak akan berjaya orang-orang kafir; bermakna, kalau buat begitu, jadi kafir.

Ingatlah juga yang kita tidak boleh juga bertabarru‘ (mengambil berkat) dengan Nabi Muhammad. Itu juga dipanggil perantaraan. Contoh ‘tabarru’ adalah dengan berkata: “Ya Allah, dengan berkat Nabi Muhammad, berilah kami begini dan begini”. Nabi Muhammad memang ada berkat. Tapi Nabi tidak boleh memberi berkat kepada sesiapa pun. Hanya Allah sahaja yang boleh memberi berkat. Ini termaktub dalam surah Mulk(67):1

67:1

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

تَبَارَكَ

Maha berkat Allah taala; Allah sahaja yang ada berkat. Tidak boleh minta berkat dengan makhluk lain.

الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

yang di tanganNya segala kerajaan

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa

Mari kita sambung tafsir ayat ke 6 dari surah Fatihah ini:

Maksud ‘Meminta Hidayah’

Dalam ayat-ayat sebelum ini, kita telah diberikan dengan pengetahuan tentang siapakah Allah. Selepas kita kenal Allah, maka timbullah rasa dalam diri kita untuk sembah Allah. Dan dalam ayat sebelum ini, kita telah mengaku bahawa hanya kepada Dia sahaja yang kita akan buat ibadat. Tapi bagaimanakah cara yang terbaik untuk menyembahNya? Kita perlukan petunjuk untuk sembah Allah kerana kita tidak mungkin boleh tahu kalau kita memikirkan sendiri perkara itu. Maka, ayat ini seterusnya adalah permintaan kita kepada Allah untuk memberi petunjuk kepada kita.

Dalam ayat ini, kita sebenarnya meminta taufik dan hidayah kepada Allah. Bukan semua orang mendapat taufik sebenarnya. Maka, ianya adalah satu anugerah yang besar. Seperti yang Allah firman dalam al-An’am:125

فَمَن يُرِدِ اللَّهُ أَن يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ وَمَن يُرِدْ أَن يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ كَذَٰلِكَ يَجْعَلُ اللَّهُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

Oleh itu berdoalah supaya kita mendapat hidayah dan juga taufik dari Allah. Semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang kehendaki untuk beri hidayah kepada kita.

Jadi, dalam ayat ini, kita berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah untuk memberi hidayah kepada kita. Lalu, apakah hidayah itu dan apakah sebenarnya yang kita pohonkan? Hidayah yang kita mohon kepada Allah adalah:

1. Hidayah dalam bentuk wahyu. Iaitu tentang apa yang perlu kita lakukan sebagai Muslim. Semua manusia mendapat hidayah ini. Allah telah berikan wahyu itu dalam bentuk Quran dan juga sunnah dari Nabi.

2. Hidayah supaya Allah gerakkan hati kita untuk menerima pedoman itu dan mengamalkannya. Ini penting, kerana walaupun hidayah itu telah diberikan, tapi tidak semua makhluk mengikutinya.

Oleh itu, ada dua jenis hidayah. Dua-dua hidayah itu adalah dari Allah. Kita minta kedua-duanya kepada Allah. Ini adalah pemberian yang amat penting sekali. Sebagaimana Allah telah berfirman dalam Kahf:17

مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا
Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.

Semua manusia memerlukan kepada hidayah dari Allah. Nabi Muhammad sendiri pun perlu kepada keduanya. Seperti yang Allah telah firman dalam Dhuha:7

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk.

Jadi, kalau kita mendapat hidayah dari Allah, maka hendaklah kita amat-amat bersyukur. Tidak semua manusia mendapatnya. Lihatlah bagaimana ada yang lahir dalam Islam tapi mati dalam kufur juga. Tapi, ada yang lahir dalam agama kafir tapi akhirnya mati sebagai Muslim. Kadang-kadang, seseorang yang masuk Islam itu dengan cara yang tidak disangka-sangka. Kita sendiri tidak dapat menjelaskan bagaimana seseorang itu mendapat iman.
Maka bersyukurlah yang kita lahir-lahir sahaja dalam Islam. Dan hendaklah kita berdoa semoga kita terus kekal dan mati dalam Islam. Ketahuilah bahawa inilah nikmat yang amat besar.

Dan nikmat Islam ini akan berterusan sampai akhirat. Maknanya, nikmat ini bukan untuk dunia sahaja, tetapi ianya berterusan sampai ke akhirat. Kalau kita dapat kekayaan yang banyak, itu hanyalah nikmat di dunia sahaja. Bila dah mati, habislah nikmat itu dah. Tapi nikmat iman, dibawa sampai ke akhirat dan sampai bila-bila. Maka bersyukurlah yang kita mendapat hidayah dan kemudian kita jaga iman kita dan bermohon kepada Allah supaya mengekalkan kita dalam Islam. Kerana Allah boleh beri hidayah itu, dan Allah boleh tarik balik. Alangkah malangnya kalau kita tidak menjaga hidayah ini dan Allah tarik balik hidayah yang telah diberinya dahulu. Nauzubillahi min zaalik.

Kerana kepentingan hidayah yang amat besar itulah kita sentiasa mohon petunjuk dari Allah. Itulah yang Allah kita dalam doa surah Fatihah ini.

Dari segi bahasa, hidayah bermaksud ‘membawa seseorang ke arah sesuatu’. Ada dua elemen dalam maksud ini:

1. ada sesuatu/seseorang yang dibawa, dan
2. dibawa menunju kepada satu destinasi.

Yang dibawa itu adalah kita; dan destinasi yang dimaksudkan adalah ‘jalan yang lurus’. Oleh itu, kita minta Allah tunjukkan apakah ‘jalan yang lurus’ itu.

Dan juga kita minta Allah ‘letakkan’ kita dalam jalan itu, supaya kita juga ikut jalan itu. Bukan kita minta tunjukkan sahaja, tapi minta kita ‘diletakkan’ dalam jalan itu. Dua-dua sekali kita mahu Allah berikan. Bukan tunjuk sahaja.
Dalam surah Fatihah sebelum ini, sudah ada doa yang dibacakan, iaitu iyyaka nastain (kepada Engkaulah kami mohon pertolongan). Tapi doa itu adalah doa dalam bentuk umum. Sekarang, ayat ini adalah doa dalam bentuk yang lebih spesifik. Kita kena ingat yang Allah yang ajar kita baca doa ini. Sudahlah Allah ajar kita doa ini, tapi Allah suruh kita baca doa ini berulang-ulang, berkali-kali dalam sehari, terutama sekali apabila kita membaca Fatihah ini dalam solat kita. Jadi, sekurang-kurangnya kita membaca doa ini sebanyak 17 kali sehari semalam. Menunjukkan betapa pentingnya doa ini. Maknanya, kita amat memerlukan hidayah ini. Memang kita kena selalu berdoa kepada Allah supaya diberikan hidayah ini.

Dalam kita membicarakan doa ini, molek juga jikalau kita memberitahu bagaimana orang Kristian menuduh Muslim dengan menggunakan ayat ini: Mereka kata orang Islam memohon hidayah dari Tuhan dalam ayat ini, menunjukkan yang kita tahu yang kita sesat, sebab itu sampai kena minta hidayah. Mereka kata, sebab itu kita orang Islam kena minta hidayah. Mungkin, dengan kata-kata itu, ada orang Islam juga yang keliru kenapa kita perlu minta kepada hidayah lagi. Sebab apa kita yang sudah Islam ini masih minta petunjuk lagi? Mungkin ada yang keliru dengan tohmahan yang dikeluarkan oleh orang Kristian ini. Kekeliruan itu adalah kerana salah faham sahaja. Oleh kerana tidak mahu orang Islam keliru, kita akan bincangkan tentang perkara ini.

Maksud kita minta petunjuk itu bukanlah petunjuk biasa sahaja, tetapi yang dimaksudkan adalah kita minta ‘petunjuk yang lengkap’. Kita nak semua sekali ‘hidayah’ yang diberikan oleh Allah. Hidayah itu ada banyak perkara, yang merangkumi:

– Hidayah kepada agama Islam supaya kita menjadi orang Islam. Alhamdulillah, kita sudah berada dalam agama Islam. Kita lahir-lahir sahaja sudah beragama Islam.

– Hidayah supaya kita kenal manakah yang benar. Kita hendak Allah beritahu kita apakah yang Allah hendak kita lakukan dalam setiap keadaan. Kerana kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan kalau Allah tidak beritahu kepada kita. Cara Allah beritahu itu adalah dengan beri wahyu, berikan Rasul untuk sampaikan kepada kita.

– Kita memohon taufik kepada Allah. Taufik adalah keinginan dalam diri kita untuk melakukan amal. Kerana ada orang yang tahu apakah yang perlu dilakukan, tapi apabila tidak ada taufik, dia tidak melakukannya. Dia setakat tahu sahaja, tapi tak buat.

– Kita memohon kepada Allah untuk membolehkan kita melakukan sesuatu amal itu. Kerana kalau Allah tidak izinkan, kita tidak mampu melakukannya. Kerana mungkin kita tahu apa yang hendak dilakukan, kita pun sudah ada keinginan untuk melakukannya, tapi kalau Allah tak izinkan kita lakukan, kita pun tidak dapat melakukannya.

– Kita memohon kepada Allah untuk mengajar kita bagaimanakah cara melakukan ibadat-ibadat itu (Kaifiat) itu. Kerana kalau Allah tak ajar bagaimana cara beribadat kepadaNya, kita tidak akan tahu. Kita kena ikut cara ibadat yang Allah kehendaki. Kalau kita tidak mengamalkan ibadat seperti yang dikehendaki oleh Allah dan diajar oleh RasulNya, maka amalan itu adalah amalan ‘bidaah’, dan amalan ‘bidaah’ adalah ditolak. Maka, kalau ditolak, sia-sia sahaja susah payah kita mengerjakan amalan itu. Maka, kita kenalah melihat samada satu-satu amalan itu telah ditunjukkan caranya oleh Nabi Muhammad.

– Kita memohon kepada Allah untuk memberi taufik kepada kita supaya kita dikuatkan untuk terus beramal dengan amalan ibadah itu. Kita mungkin telah tahu cara melakukan sesuatu ibadah itu, tapi kalau Allah tidak beri kekuatan kepada kita untuk terus melakukannya, tentu kita buat sekejap sahaja. Sedangkan, Allah suka kita istiqamah dalam beribadat kepadaNya. Iaitu terus melakukan ibadat itu berterusan. Mungkin ibadat itu tidak banyak, tapi tinggi nilainya kalau kita berterusan melakukannya. Jangan buat sekejap sahaja, dan kemudian tinggalkan.

– Kita memohon kepada Allah untuk membuang segala penghalang yang boleh menghalang kita melakukan ibadat itu, supaya kita boleh amalkan Islam dengan yang sepatutnya. Kerana tentu akan ada perkara-perkara yang nak menghalang kita. Maka, hendaklah kita memohon supaya Allah menjauhkan kita dari segala halangan itu. Kita sebenarnya tidak tahu apakah yang boleh halang kita dari mendapat petunjuk. Ianya boleh jadi apa-apa sahaja. Tetapi, kita mohon kepada Allah supaya menghilangkan segala halangan itu, tidak kira apa ianya.

Itulah elemen-elemen hidayah yang kita minta kepada Allah. Bukan hanya hidayah untuk masuk Islam sahaja. Oleh itu, kita sekarang tahulah yang apa yang ditohmahkan oleh Kristian itu tidak kena dengan pemahaman yang sebenar.

Jadi, kita memang selalu membaca ayat ini dalam solat kita. Tapi adakah kita tahu apakah maksudnya? Kalau kita meminta sesuatu, tentulah kita patut tahu apakah yang kita mahukan, bukan? Takkan kita nak minta sesuatu yang kita tak faham pun apa yang kita minta, bukan? Maka, elok sangatlah kalau kita tahu apa yang kita minta.
Kita boleh faham sekarang bahawa banyak elemen yang termasuk dalam ‘hidayah’ itu. Sebelum ini mungkin kita tidak tahu pun. Maka, apabila kita membaca ayat ini di dalam solat nanti, ianya akan memberi lebih makna kepada kita. Tidaklah kita baca kosong sahaja. Inilah salah satu cara untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat kita. Apabila kita faham apa yang kita baca dalam solat, kita akan lebih terkesan dengan solat kita. Kita akan lebih memberi perhatian kepada solat kita. Itulah yang dinamakan ‘khusyuk’.

Memang banyak yang kita minta kepada Allah dalam ayat ini. Tidaklah semestinya kita akan dapat terus semuanya pada satu masa. Sebab itulah kita kena selalu berdoa kepada Allah dengan penuh pengharapan. Kadang-kadang kita hanya dapat apa yang kita mohonkan itu sedikit demi sedikit. Dan walaupun kita dah ada hidayah itu, ada kalanya ianya boleh hilang sekejap. Jadi kita kena doa kepada Allah sentiasa.

Kepentingan Hidayah

Ingatlah bahawa petunjuk inilah yang paling kita perlukan. Ianya amat penting sampaikan ianya lebih penting dari makan dan minum untuk melangsungkan hidup kita. Ini kerana, walaupun makanan dan minuman itu penting, tetapi makanan hanya untuk dunia sahaja. Kalau kita tidak dapat makan, paling teruk, kita akan mati dan kita akan berpindah ke alam barzakh yang tidak memerlukan makanan dan minuman pun. Tapi petunjuk ini kita perlukan untuk dunia dan juga akhirat. Dengan mendapat petunjuk, kita akan mendapat nasib yang baik di akhirat.
Doa kita untuk hidayah ini diperlukan untuk masa lampau, masa sekarang dan juga masa depan.

Kenapa kita perlukan hidayah untuk masa lampau pula? Bukankah kita memerlukan hidayah ini untuk masa sekarang dan juga untuk masa hadapan? Kerana walaupun hidayah kita untuk masa hadapan, kita perlu juga melihat masa lampau kita. Sebab kita kena periksa apakah amalan kita dulu. Kalau kita ada buat dosa dulu, kita minta ampun atas kesalahan kita dulu. Kerana mungkin kita lakukan kesalahan dan dosa dahulu kerana kita tidak tahu bahawa apa yang kita lakukan dulu adalah salah. Ataupun kita waktu itu dalam keadaan lalai. Kalau kita ada buat salah, kita minta petunjuk kepada Allah macam mana nak selesaikan. Kalau dulu kita dalam jalan yang salah, kita minta Allah letakkan kita atas jalan yang benar. Kita juga minta Allah tunjukkan manakah kesalahan kita dahulu supaya kita boleh berhenti dari melakukannya dan tukar amalan kita. Entah berapa ramai yang masih melakukan kesalahan dan dosa kerana mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan. Ini kerana mereka tidak mahu belajar manakah amalan yang betul.

Dan tentunya kita memerlukan hidayah untuk masa sekarang. Kita memerlukan hidayah dalam setiap perbuatan kita. Samada dalam hal agama ataupun perkara yang nampak tidak kena mengena pun dengan agama tapi sebenarnya terbabit juga. Sebab semua perbuatan kita ada melibatkan hukum – samada wajib, sunat, harus, haram atau makruh. Sebagai contoh, bab makan: walaupun bukan hal ibadat, tapi ada hukum wajib, sunat, haram dan halal. Sebagai contoh dalam perkara makan, ada masanya, ianya menjadi wajib, kalau kita boleh mati kalau tak makan. Waktu itu, wajib kita makan.

Jadi kita minta Allah pandu kita dalam setiap detik kehidupan kita. Mungkin ada perkara yang kita tak tahu hukumnya. Atau ada perkara yang ulama pun belum bincangkan. Iaitu perkara-perkara baru. Macam zaman sekarang (tahun 2015), dibincangkan tentang GST, kerana dulu tidak ada GST pada zaman Nabi. Maka kita minta Allah beri petunjuk kepada kita. Cara Allah beri petunjuk kita pun tak tahu. Mungkin kita diberikan dengan guru atau kitab yang boleh menjelaskan perkara itu sampai kita faham. Atau Allah beri ilham kepada kita bagaimana nak buat.

Kita juga minta kepada Allah bukan hanya untuk tahu apakah yang boleh dilakukan tapi apakah yang terbaik. Yang Allah lebih suka. Sebagai contoh, kita tahu wuduk itu kena buat, tapi bagaimanakah cara yang terbaik untuk melakukannya. Mungkin kita dah tahu dah bagaimana melakukan wuduk, tapi kita nak tahu manakah cara yang betul-betul ikut sunnah Nabi.

Kita juga memerlukan petunjuk dari Allah untuk masa depan. Semoga Allah terus beri petunjuk kepada kita untuk melakukan yang terbaik di masa-masa hadapan. Dan semoga Allah menetapkan kita dalam iman dan mematikan kita dalam iman. Ini amat penting untuk kita harapkan. Jangan ingat kita tidak perlukan kerana sangka kita sudah Islam dan sudah beriman. Jangan kita rasa selesa dengan apa yang kita ada sekarang. Kerana iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang. Ada orang yang mula beriman, tapi akhirnya mati dalam kekufuran – nauzubillahi min zaalik.

Kita kena rendahkan diri kita dengan mengharap betul-betul hidayah dari Allah. Kita kena sedar yang banyak lagi yang kita perlukan. Kita perlukan hidayah bukan setakat dunia sahaja tapi sampai membawa ke syurga. Kerana amalan dihujung amal kitalah yang akan dikira. Kita takut sepanjang hidup kita, kita beramal dengan amalan yang baik tapi di hujung hayat kita, kita buat amalan ahli neraka. Maka kita kena berhati-hati. Kerana Allah boleh mengubah hati kita. Maka kita kena harap yang Allah menetapkan kita atas iman.

Hidayah yang kita harapkan adalah hidayah dari Allah, kerana itulah hidayah dan petunjuk yang sebenarnya.
Kalau kita lihat kepada terjemah biasa, kita boleh nampak bagaimana terjemahan itu tidak berapa tepat. Ada berbagai-bagai terjemahan yang digunakan. Dan dalam terjemahan itu, hanya meminta Allah menunjukkan kita jalan yang lurus sahaja. Kita tidak mahu hanya itu sahaja. Kita hendak mahu banyak lagi sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini. Kita bukan sahaja mahu Allah ‘tunjukkan’ sahaja hidayah itu, malah lebih lagi yang kita harapkan. Jadi, kalau kita hanya baca terjemahan sahaja tanpa belajar tafsir yang lebih lagi memberi pemahaman, kita tidak faham lebih lagi. Oleh itu, kita kena belajar lebih lagi. Sebab itulah kita selalu memperkatakan tentang kepentingan belajar tafsir. Kerana maksud sesuatu ayat itu tidak dapat dijelaskan hanya dengan membaca terjemahan sahaja. Kalau kita mementingkan agama kita, maka kita akan meluangkan masa untuk belajar lagi dan lagi kerana kita hendak sangat memahami agama kita yang indah ini. Memang tidak akan habis kita belajar tafsir ini. Semakin kita belajar, semakin Allah buka lagi ilmuNya kepada kita.

Jadi, ayat ini adalah satu doa. Dan apabila kita berdoa, kita kena tahu apa yang kita bacakan. Itulah cara berdoa yang betul. Jangan kita baca sahaja, tanpa kita mengetahui apa yang kita minta. Kalau kita baca sahaja tanpa mengetahui apa yang kita bacakan, ada kemungkinan Allah tidak makbulkan doa kita.

Dalam masa yang sama, kita baca doa itu dengan mengharap sangat kepada Allah. Jangan kita baca sambil lewa sahaja – kalau nak bagi, bagi, kalau tidak, tidak mengapa – jangan begitu. Kita kena betul-betul tanam dalam hati kita keinginan kepada hidayah dan taufik itu.

Kalau kita lihat, bahasa yang digunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk jamak – اهدِنَا  – tunjukkan ‘kami’ – padahal, kita baca seorangan sahaja, bukan? Kita baca doa ini dalam bentuk jamak, kerana mengharapkan kalau doa kita tidak dimakbulkan, harapnya ada sesiapa yang dimakbulkan doanya dan kita pun termasuk sekali dengan mereka. Sebab itu, seeloknya kita solat berjemaah. Kerana dalam ramai-ramai yang berjemaah itu, mungkin ada orang yang doanya dimakbulkan waktu itu.

Dalam doa juga, kita jangan mengharap Allah makbulkan doa kita tanpa kita melakukan usaha. Salah satu cara memakbulkan doa adalah dengan melakukan perkara yang patut dilakukan untuk mendapatkan sesuatu. Kalau kita mahukan sesuatu, tentulah kita tidak hanya doa sahaja tanpa melakukan apa-apa. Sebagai contoh, kita minta Allah memberi kerja untuk kita. Tentulah kita kena berusaha untuk mencari kerja, bukan hanya duduk duduk di rumah sahaja dan tunggu panggilan kerja datang. Itu adalah cara yang salah, malah amat bodoh sekali. Kalau nak lulus peperiksaan, kenalah belajar, bukan hanya berdoa sahaja. Sama juga apabila kita bertaubat kepada Allah, ada cara yang perlu dilakukan. Kalau kita benar ikhlas, kita kena lakukan asbab (penyebab) untuk mendapatkan sesuatu.

Maka, apakah asbab yang boleh kita lakukan? Apabila kita minta ditunjukkan jalan yang lurus, dari manakah kita boleh dapatkan? Dari Quran dan Sunnah. Allah dah berikan pun Quran itu dan kita semua tahu yang itu adalah sumber hidayah. Adakah kita hanya tahu sahaja tapi kita tidak belajar Quran itu untuk dapatkan hidayah itu? Kalau kita tak rujuk Quran, adakah itu menunjukkan ikhlas kita dalam mendapatkan hidayah itu? Kita dah cakap bahawa kita kena buat asbab kalau hendak mendapatkan sesuatu, bukan? Maka, hendaklah kita belajar apakah wahyu yang Allah telah sampaikan kepada kita ini. Dan inilah sebabnya kita tekankan pembelajaran tafsir Quran ini. Dan ini memerlukan usaha yang tinggi kerana ianya mengambil masa yang lama dan penelitian yang tinggi. Bukan senang-senang sahaja boleh dapat.

Selepas surah Fatihah, terus masuk surah Baqarah dan ayat-ayat awal dari Surah Baqarah itu memberitahu kita yang Quran itu adalah hidayah kepada orang mukmin. Dalam Surah Fatihah, kita minta hidayah, dan tidak lama selepas itu, Allah terus beritahu kita jawapannya – hidayah itu ada dalam Quran. Apakah kita orang yang tidak faham sampaikan setelah diberitahu perkara itu, kita buat tak tahu sahaja? Buat tak tahu sahaja dengan wahyu Allah dan tidak mahu meluangkan masa untuk memahami wahyuNya itu? Allah dah beri, tapi kita tak belajar pula. Padahal kita dah minta dah pun. Maka, kita kena belajar tafsir Quran. Bukan setakat baca sahaja, tapi kena faham apakah yang disampaikan dalam Quran itu.

Yang kedua, kita minta Allah berikan hidayah dalam hati kita. Dalam Quran, Allah telah beritahu mereka-mereka yang diberi hidayah. Maka, kita kena ikut apakah yang perlu dilakukan untuk menjadi orang-orang yang mendapat hidayah itu. Kalau kita tidak buat, itu menandakan kita sombong sahaja – mahu hidayah, tapi tak mahu jadi seperti mereka yang mendapat hidayah. Apakah yang dilakukan oleh mereka yang mendapat hidayah itu?

Yang pertama, taubat kepada Allah. Iaitu kembali rujuk kepada Allah. Taubat itu ada banyak makna. Salah satunya adalah berubah dari jalan yang salah dan kembali rujuk kepada Allah. Tinggalkan kehidupan yang salah.

Keduanya, apabila kita mahu hidayah, kita kena terima apakah hidayah itu. Kita mahu ikut cara mereka-mereka yang diberi hidayah. Macam kalau kita tawakal kepada Allah, kita kena terima apa yang Allah telah tetapkan keputusanNya untuk kita. Sama juga, kalau kita minta hidayah kepada Allah, dan kalau Allah telah beri hidayah itu, kenalah kita terima. Tak bolehlah nak pilih-pilih. Tak bolehlah nak hidayah, tapi bila Allah suruh tinggalkan arak, kita tak mahu ikut. Amatlah kurang ajar kalau kita minta sesuatu, dan apabila diberitahu kepada kita apa yang perlu dilakukan, kita tak terima dan tak mahu buat pula. Bukankah kita minta hidayah yang penuh, bukan? Takkan apabila diberi hidayah dan apa yang perlu diiikuti, kita nak pilih-pilih pula.

Ketiga, kepentingan ilmu. Untuk dapat hidayah, kita kena tahu apakah yang perlu dilakukan dan apa yang perlu ditinggalkan. Ilmu yang benar akan memberi kesan kepada mereka yang mendapatinya. Hati mereka akan berubah. Mereka yang sebenar-benar tahu akan takut kepada Allah. Mereka akan mengamalkan ilmu itu. Bukan setakat tahu sahaja. Mungkin ilmu mereka tidak banyak, tapi ilmu yang mereka ada itu cukup. Mereka tahu mana yang salah dan benar. Yang penting, ilmu itu menyentuh hatinya.

Untuk mendapatkan ilmu, tentu memerlukan usaha. Kalau benar-benar mahukan ilmu, kena ada usaha yang banyak. Bukan goyang kaki sahaja. Bukan dengan cari ‘ilmu laduni’ macam orang tarekat itu nak cari. Seperti juga kita hendak mendapatkan maklumat, kita kena luangkan masa dan buat kerja sikit, walaupun cari maklumat dalam internet. Termasuk kita akan bertanya orang lain dan sebagainya untuk mendapatkan maklumat, bukan? Begitulah juga kalau hendak mendapatkan ilmu agama. Malangnya, manusia dalam hal lain, sanggup luangkan masa tapi dalam ilmu agama, tak mahu pula. Mereka hanya pakai apa yang mereka belajar dari sekolah rendah dan sekolah menengah sahaja dan tidak ada usaha untuk menambah ilmu agama mereka. Sedangkan, dalam hal keduniaan, mereka sanggup belajar sampai universiti. Padahal, itu hanya untuk kepentingan dan kesenangan di dunia sahaja.

Seterusnya, untuk mendapat hidayah, kena tingkatkan iman kita. Semua orang ada iman tapi semakin banyak iman kita, semakin kita mendapat hidayah. Semakin kita percaya dengan apa yang disampaikan oleh Allah, semakin kita akan mendapat hidayah. Kalau tidak mahu percaya, walaupun hidayah itu ada di depan kita, kita tak mahu terima. Oleh itu, kena cari jalan unntuk meningkatkan iman. Salah satunya, meningkatkan pemahaman kita tentang Allah. Semakin kita kenal Allah, semakin kita takut dengan Allah, semakin kita berharap dengan Allah dan hasilnya akan meningkatnya iman kita. Apabila iman kita meningkat, kita akan lebih mendapat hidayah. Seperti yang Allah firman dalam Taghabun:11

وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ

dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya

Doa juga adalah salah satu dari asbab untuk mendapatkah hidayah. Salah satunya termasuklah doa dalam surah Fatihah ini. Tapi jangan setakat doa dari Fatihah ini sahaja. Kita kena buat lebih lagi. Bukankah ianya sangat penting? Kalau ia penting, tentu kita akan berusaha untuk mendapatkannya dan melakukan segala-galanya. Sebagai contoh, kita boleh berdoa untuk mendapat hidayah dengan berdoa dalam doa witr. Tambahan pula itu adalah waktu yang sesuai untuk berdoa – sepertiga malam.

Lagi satu asbab adalah mengikuti ajaran Quran dan Sunnah. Kita kena betulkan pandangan kita terhadap ajaran agama Islam. Bagaimanakah adab kita kepada Quran dan Sunnah? Boleh dikatakan majoriti kita tahu yang Quran dan hadis itu sumber hidayah, tapi berapa ramai yang buat tak tahu sahaja dengan keduanya? Termasuklah mereka yang dalam kalangan ‘agama’ pun, termasuk ustaz-ustaz yang mengajar masyarakat. Mereka tak belajar pun apa yang Quran dan Hadis Nabi sebut tentang sesuatu perkara. Yang mereka pakai adalah kata-kata manusia.
Dan ada juga yang menerima Quran tapi tidak menerima Hadis. Kerana mereka kata ada masalah dengan hadis. Ada yang kata hadis tidak boleh dipercayai kerana perawi-perawi hadis itu takkan tidak melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadis kerana mereka hanya mendengar dari orang lain. Oleh itu, ada golongan seperti golongan Anti-Hadis yang menolak hadis, padahal Allah telah perintah kita untuk menerima Rasul juga. Itulah jalan kepada hidayah.

Macam mana lagi kita boleh menerima agama kalau bukan melalui Nabi Muhammad yang menyampaikannya kepada kita? Bukankah tugas Rasul itu adalah untuk menyampaikan kebenaran? Adakah kita ada pilihan selain dari mengikutinya? Kalau kita tidak ikut, bermakna kita telah derhaka kepada Allah juga.

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan adalah Mujahadah. Iaitu berusaha lebih untuk mendapat hidayah dan kerana Allah. Apabila kita buat begitu, Allah akan balas dengan beri lebih hidayah lagi. Manusia memang ada kelebihan untuk melakukan usaha yang lebih. Kalau perkara dunia, manusia sanggup untuk buat macam-macam perkara. Lihatlah kepada ahli sukan yang sanggup berlatih sampai 12 jam sehari. Begitu juga dengan mereka yang hendak melepasi peperiksaan, mereka akan mengulangkaji bersungguh-sungguh sampai bersengkang mata. Kita sebagai Muslim kena lakukan lebih lagi dari mereka untuk mendapat hidayah. Agama Islam tidaklah ekstrim, maka tidaklah sampai mujahadah itu membahayakan diri kita. Cuma kena usaha lebih sikit. Ianya tidak datang dengan mudah. Kena lawan sifat malas yang ada dengan kita. Kerana hidayah yang kita kehendaki itu amatlah berharga. Usaha inilah yang dinamakan ‘jihad’ melawan nafsu. Kita kena declare jihad dengan nafsu kita. Ramai yang gagal kerana kalah dengan nafsu mereka.

Seterusnya, kita kena jihad melawan syaitan. Syaitan akan berusaha untuk membisikkan kepada kita untuk melakukan perkara yang salah. Kita kena lawan mereka kerana Allah. Allah menilai kita dengan usaha yang kita lakukan. Dengan berusaha sahaja, sudah mendapat pahala.

Selepas kita dapat hidayah dan ilmu itu, hendaklah kita menyampaikannya pula kepada orang lain. Jangan simpan sendiri sahaja. Dan itu tidaklah senang, kerana ramai akan menentang. Akan sampai kepada satu tahap, orang akan melawan dan menuduh kita macam-macam, tapi kita kena terus menyampaikan walau bagaimana mereka menentang kita. Inilah yang telah dihadapi oleh Nabi, para sahabat dan golongan-golongan salaf. Mereka tidak berhenti dari menyampaikan dakwah, sampaikan dari mereka lah kita menerima agama yang murni ini.

Bukan sahaja kita mujahadah dengan nafsu dan syaitan sahaja, tapi kita kena melawan mereka yang mengajak kepada kederhakaan. Ramai manusia yang tidak mendapat hidayah yang mengajak kita juga ke arah kesesatan. Kita jangan terpengaruh dengan mereka, sebaliknya kita kena tetap dalam pendirian kita. Dalam perkara yang berkaitan juga, kita kenalah berkawan dengan orang yang baik dan meninggalkan mereka yang tidak baik. Kawan-kawan yang rapat dengan kita akan memberi kesan kepada kita. Perumpamaan yang Nabi berikan adalah perbezaan berkawan dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Orang yang berkawan dengan penjual minyak wangi akan berbau wangi dan orang yang berkawan dengan tukang besi akan berbau busuk. Orang yang mendapat hidayah akan membantu kita dalam proses untuk mendapat hidayah. Maka, berhati-hati dengan siapa yang kita luangkan masa. Ramai yang gagal dalam kehidupan mereka dunia dan akhirat kerana mereka salah memilih kawan.

Maka, secara ringkasnya, bukan kita minta sahaja hidayah itu, tapi kita kena ada usaha. Ianya adalah satu perkara yang amat bernilai, maka kenalah ada usaha.

Jalan Yang Lurus

Seperti yang bincangkan sebelum ini, permintaan hidayah itu bukanlah sesuatu yang biasa sahaja tetapi merangkumi pemahaman yang menyeluruh. Bahagian ayat seterusnya memberi penekanan yang lebih spesifik: iaitu yang kita pinta hidayah itu adalah kepada ‘jalan yang lurus’. Menunjukkan bahawa hidayah bukan terbuka, tetapi ada satu tujuan yang pasti. Begitu ramai manusia yang menyangka dan mengaku yang mereka mendapat hidayah. Contohnya orang Kristian pun rasa yang mereka mendapat hidayah. Tetapi adakah hidayah mereka itu membawa mereka kepada ‘jalan yang lurus’?

Hanya satu jalan sahaja yang Allah redha iaitu jalan yang lurus. Lalu apakah jalan ‘yang lurus itu’? Apabila digunakan ال dalam sesuatu perkataan, ia memberi maksud sesuatu yang spesifik atau sesuatu yang memang diketahui orang – maklum. Jadi maknanya, ‘jalan yang lurus’ itu bukan sesuatu yang umum tetapi sesuatu yang pasti. Tidaklah boleh seseorang mengaku jalan yang lurus itu adalah itu dan ini mengikut fahamannya sahaja. Kerana ianya adalah satu perkara yang diketahui umum dan bukan mengikut penakrifan individu. Tambahan pula, dalam ayat seterusnya dijelaskan lagi apakah ‘jalan yang lurus’ itu.

الصِّراطَ dalam bahasa bermaksud ‘jalan’. Asalnya merujuk kepada laluan air dalam tenggorok apabila kita minum. Laluan itu hanya ada satu sahaja dan air itu tidak akan pergi ke mana-mana lagi – hanya mengikut satu laluan itu sahaja. Laluan itu telah pasti dan dan ianya adalah natural kerana air itu akan turun ke bawah. Itu adalah dari segi bahasa.

Dari segi syarak, ada lima kriteria untuk sesuatu jalan atau laluan itu boleh dipanggil ‘الصِّراطَ ‘. الصِّراطَ adalah jalan yang spesifik kerana ada perkataan lain lagi yang boleh digunakan untuk jalan, seperti طريق dan سبيل. Tetapi, perkataan-perkataan itu tidak digunakan, sebaliknya, digunakan perkataan yang khusus – الصِّراطَ. Kriteria-kritea yang perlu ada untuk sesuatu jalan itu dipanggil الصِّراطَ adalah:

1. Ianya mestilah jalan yang lurus. Ada jalan yang bengkang bengkok yang masih lagi boleh digunakan oleh manusia, tapi ianya bukanlah الصِّراطَ kalau ianya tidak lurus.

2. Jalan itu membawa mereka yang sampai kepada tujuan yang dikehendaki.

3. Jalan itu adalah jalan yang paling dekat. Dan memang kalau jalan yang lurus, ianya adalah jalan yang paling dekat kerana tidak membelok ke mana-mana.

4. Jalan yang luas sampai boleh dilalui oleh mereka yang hendak melaluinya. Jalan yang selesa untuk dilalui.

5. Jalan itu khusus untuk destinasi yang dimaksudkan. Kalau bukan spesifik jalan yang membawa kepada jalan yang lurus, Allah gunakan طريق atau سبيل sahaja. Dan memang perkataan سبيل ada digunakan dalam Quran seperti yang dalam An’am:153

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,

Lihatlah bagaimana jalan selain jalan yang lurus digunakan perkataan السُّبُلَ (jamak kepada سبيل) sedangkan Jalan Allah digunakan perkataan صِرَاطِ. Dan jalan yang lurus itu selalu sahaja dalam bentuk mufrad (singular) tetapi jalan yang lain boleh jadi banyak. Sebab jalan yang salah banyak tapi jalan yang lurus hanya satu sahaja.

Tidaklah perkataan سبيل itu memberi isyarat buruk sahaja. Ada juga Allah gunakan perkataan سبيل dalam bentuk yang baik. Seperti dalam Maidah:16

يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

Tapi سُبُلَ bukanlah bermaksud jalan yang lurus. Ianya adalah jalan yang membawa kepada keselamatan digunakan dalam ayat ini dengan perkataan سُبُلَ kerana ada banyak juga jalan yang membawa ke arah kebaikan. Dari jalan yang selamat itu, boleh membawa kepada jalan yang lurus. Sebagai contoh, untuk beribadat, ada macam-macam aktiviti yang boleh dilakukan – membantu manusia, memberi sedekah, berzikir, solat dan macam-macam lagi.

Ada beberapa ciri lagi ‘Jalan yang Lurus’ itu untuk pengetahuan kita:

1. ‘Jalan yang lurus’ itu sama sahaja kepada semua Nabi dan Rasul. Kerana syariat mungkin berlainan, tapi jalan yang sama sahaja dalam bentuk tauhid. Tidak pernah bertukar ilmu Tauhid itu dari Nabi Adam sampailah ke Hari Kiamat nanti.

2. Jalan ini bukan sahaja lurus, tapi tidak berlopak dan berbukit. Ianya mudah untuk dilalui. Ianya juga jalan yang selamat.

3. Apabila jalan itu lurus, ianya adalah mengambil jarak yang paling dekat, bukan? Oleh itu, untuk menggunakan jalan itu, hanya menggunakan usaha yang sedikit sahaja. Ini memberi isyarat bahawa kalau orang yang kurang amalan pun boleh berada atas jalan ini. Kerana ianya senang untuk diikuti.

Oleh itu, dalam kita berdoa kepada Allah untuk meletakkan kita di atas jalan yang lurus, kita sebenarnya meminta jalan yang paling mudah untuk kita. Kita rupanya meminta kemudahan kepada Allah. Itulah rahmat Allah kepada makhlukNya. Kalau dah ada jalan yang senang, buat apa nak guna jalan yang susah? Kerana tidak faham dengan konsep inilah, ramai umat Islam yang memilih jalan yang susah. Sebagai contoh, golongan tarekat akan menyusahkan diri mereka dengan ibadat-ibadat yang berat yang tidak pun disuruh dalam agama.

4. Jadi, kalau jalan ini lurus, molek, maka ianya adalah jalan yang jelas. Bukan jalan yang susah kita nak cari. Allah dah mudahkan untuk kita supaya kita tidak ada alasan untuk kata jalan itu susah sangat sampai kita tak jumpa. Nabi bersabda:

لَقَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ

Sesungguhnya, aku telah meninggalkan kalian di atas jalan, seperti jalan yang sangat putih, malamnya sama dengan siangnya. Tiada yang menyimpang sesudahku dari jalan itu, kecuali orang (itu) akan binasa. Riwayat Ahmad 4/126; Ibnu Majah, no. 5 dan 43

Lihatlah bagaimana Quran dan sunnah adalah mudah dan senang untuk difahami dan diikuti. Di mana-mana sahaja kita boleh cari Mushaf Quran dan Kitab Hadis. Bukanlah macam kitab-kitab karangan manusia yang kadang-kadang kita hanya dengar sahaja, tapi tak pernah jumpa dan kalau nak cari, samada susah atau tak jumpa langsung. Dan kita telah diberikan akal untuk memahami Quran dan Sunnah itu. Tapi kena ada usaha untuk belajar Tafsir Quran dan belajar Syarah Hadis-hadis itu. Janganlah baca sendiri sahaja kerana akan susah nak faham kalau baca sendiri sahaja.

Kalau ianya mudah dan jelas, apa lagi alasan untuk kita tidak mengikutinya? Mereka yang tak jumpa hanyalah mereka yang memang tak mahu benda yang senang. Kalau tak jumpa, itu adalah salah kita. Tidak boleh salahkan orang lain.

5. Jalan yang lurus ini kena (bertepatan) dengan jiwa manusia. Tidak lari dari fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah. Sebagai contoh, tidak perlu sampai tidak berkahwin ataupun berzikir berhari-hari lamanya untuk mencapai ketinggian dalam agama. Itu adalah ciri-ciri agama yang kufur dan sesat sahaja.

Nabi pernah bersabda memberi perumpaan ‘jalan yang lurus’. Ianya seperti satu jalan dan di kiri kanan ada pintu. Di hadapannya pula ada penyeru. Apabila kita nak buka pintu yang tertutup itu, akan ada yang mengingatkan supaya jangan buka pintu itu. Maka, Allah bukan sahaja beri peringatan dengan Quran dan hadis sahaja, tapi ada pemberi ingat lagi. Mungkin yang memberi peringatan itu adalah para malaikat. Allah dah mudahkan kepada kita sebenarnya untuk berada atas jalan yang lurus ini.

Dari Abdullah bin Mas’ud Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata.

خَطَّ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ ثُمَّ خَطَّ خُطُوطًا عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ شِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ سُبُلٌ قَالَ يَزِيدُ مُتَفَرِّقَةٌ عَلَى كُلِّ سَبِيلٍ مِنْهَا شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda,”Ini adalah jalan Allah,” kemudian beliau membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda,”Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syetan yang mengajak kepada jalan itu,” kemudian beliau membaca.

إِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ

Dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. [Al An’am:153]. Hadits shahih diriwayatkan oleh Ahmad I/435, dan yang lainnya

Kita kena tahu apakah jalan-jalan yang selain dari jalan yang lurus, supaya kita tahu manakah jalan yang kita kena elak. Kita kena tahu, yang selain dari jalan yang lurus, ianya adalah jalan-jalan yang salah. Ada banyak jalan yang salah dalam dunia ini. Jalan yang benar ada satu sahaja, sedangkan yang salahnya ada banyak.

Jangan tertipu dengan mereka yang memberi hujah yang kata semua jalan membawa kepada Allah. Kalau itu benar, tidaklah perlu Nabi diturunkan kepada musyrikin Mekah kerana mereka memang hendak menuju kepada Allah pun. Mereka sudah kenal pun Allah dan mereka sebenarnya menyembah berhala-berhala itu untuk mendekatkan diri dengan Allah pun. Ini tertulis dalam ayat Zumar:3.

أَلا لِلَّهِ الدّينُ الخالِصُ ۚ وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللَّهِ زُلفىٰ

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,

Ayat ini menunjukkan walaupun niat mereka baik dan menuju kepada Allah, tetapi kalau cara yang mereka gunakan itu salah, ianya tertolak juga dan membawa kepada neraka juga. Maka, berhati-hatilah dengan fikrah-fikrah yang bukan sunnah dalam dunia ini. Terlalu banyak kalau kita hendak senaraikan di sini. Tambahlah ilmu pengetahuan dengan Tafsir Quran dan Sunnah dan in sha Allah, anda akan selamat.

Akhir sekali, tiga perkara yang penting yang perlu kita sentiasa fikirkan:

1. Tujuan kita: Sembah Allah

2. Cara: Melalui cara yang diajar oleh Allah

3. Jalan: Hanya Jalan yang lurus sahaja.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 001: al-Fatihah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s