Tafsir Surah al-An’am Ayat 1 – 8

Pengenalan

Al-An’am bermaksud ‘binatang ternak’. Ianya adalah jamak kepada na’am yang asalnya bermaksud ‘unta’. ‘Binatang ternak’ disebut dalam surah ini kerana musyrikin Mekah ada kepercayaan syirik yang melibatkan binatang ternak. Ada binatang ternak yang mereka khususkan kepada penyembahan berhala mereka.

Surah al-An’am adalah Surah Makkiah yang terbesar. Ianya telah diturunkan sekaligus, kecuali beberapa ayat sahaja. Ibn Abbas mengatakan yang surah ini diturunkan malam hari dan Jibrail telah diiringi oleh 70 ribu malaikat. Ini kerana amat penting dan mulianya surah ini. Jangan pula kita ingat yang turunnya malaikat ramai-ramai itu kerana hendak menjaga Quran dari dicuri atau dikacau dari jin dan syaitan, tidak. Bukanlah malaikat-malaikat itu kena menolong Jibrail. Kerana Jibrail itu malaikat sendiri pun takut, apatah lagi golongan jin. Tapi mereka turun kerana kemuliaan surah itu. Macam juga kalau sultan melawat sesuatu kawasan, akan ramai yang akan mengiringinya. Selalunya surah-surah yang panjang diturunkan sedikit demi sedikit, tapi kali ini ianya diturunkan hampir lengkap. Surah ini diturunkan setahun sebelum Hijrah. Jadi, ianya adalah diturunkan di hujung-hujung masa di Mekah. Jadi, kata-kata di dalamnya merujuk kepada situasi itu – Nabi telah lama berdakwah kepada mereka dan mereka tetap lagi tidak mahu beriman.

Surah al-An’am ini adalah surah pertama Makkiah dalam susunan Quran. Sebelum ini, surah-surah yang telah dibaca adalah surah-surah Madaniah – al-Baqarah sehingga surah al-Maidah. Terdapat tema-tema yang berbeza antara surah yang Makkiah dan Madaniah. Surah Makki tema utamanya adalah peringatan. Ada dua jenis peringatan yang penting:

1. Surah Ayyaamillah – ‘Hari-hari Allah’. Ianya mengandungi sejarah-sejarah penting yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu. Ianya dibacakan kepada manusia sebagai peringatan dan ancaman.
2. Surah Alaa Illah – ‘Pemberian-pemberian Allah’. Diturunkan kepada manusia sebagai peringatan akan segala nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Kadang-kadang kita tak pandang penting segala peberian Allah itu kerana kita rasa ianya biasa sahaja.
Tapi banyak pengajaran sebenarnya yang terdapat di dalam segala pemberian Allah itu. Sebagai contoh, Allah ingatkan kita untuk lihat kepada langit. Perhatikan bagaimana Allah telah menjadikan langit itu seimbang, balanced. Ini mengingatkan kita untuk berlaku adil dalam segenap kehidupan kita kerana keadilan bermaksud keseimbangan.

Ada banyak ayat dalam surah al-An’am ini yang berkenaan peringatan kepada Alaa illah. Segala peringatan itu adalah berbentuk Positive Reinforcement. Untuk memberi kita motivasi untuk melakukan kebaikan. Allah ingatkan kita dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Macam kita suruh anak kita belajar, kita akan cakap: “Husna belajarlah baik-baik. Abba dah bagi macam-macam dah. Husna cuma belajar sahaja, boleh yer nak?”. Allah mahu kita ingat kepada segala pemberianNya supaya senang nak melakukan ketaatan kepadaNya.

Surah selepas surah al-An’am adalah satu lagi surah Makkiah iaitu surah al-A’raf. Surah ini pula banyak berkenaan ayyamillah. Iaitu menceritakan tentang umat-umat yang lepas dan apakah yang terjadi kepada mereka apabila mereka tidak mahu beriman. Ia juga untuk memberi peringatan kepada kita – tapi dalam bentuk yang lebih keras. Peringatan yang lebih keras diberikan kerana manusia masih lagi degil untuk beriman. Nabi Muhammad telah berdakwah kepada penduduk Mekah bertahun-tahun lamanya, dengan memberikan motivasi untuk mereka beriman. Tapi ramai yang masih berdegil. Apabila degil, maka peringatan yang lebih keras akan diberikan. Sama juga kalau kita beri motivasi kepada anak kita untuk belajar, tapi kalau dia masih enggan, maka kita akan ancam mereka dengan peringatan yang keras. Kita katakan kepadanya yang kita akan rotan mereka, kurung mereka dan sebagainya. Kita ingatkan juga kepada mereka contoh-contoh mereka yang enggan belajar dan apakah yang terjadi kepada mereka.

Apabila masih lagi tidak berkesan dengan motivasi dan ancaman, maka langkah seterusnya kita akan hukum mereka. Surah selepas al-A’raf adalah surah al-Anfal yang menceritakan hukuman pertama yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah iaitu kekalahan mereka dalam Perang Badr. Itu adalah hukuman pertama dan apabila masih lagi tidak berkesan, maka hukuman yang lebih berat akan diteruskan. Itu disebut dalam surah at-Tawbah iaitu kekalahan mereka dalam Fath Makkah. Demikianlah Allah susun surah-surah dalam Quran.

Isu utama yang dibawa dalam surah-surah Makkiah adalah Tauhid. Memang ada elemen-elemen lain yang disentuh tapi ianya adalah untuk menguatkan hujah Tauhid. Sebagai contoh, satu lagi tema dalam surah-surah Makkiah adalah tentang risalah. Untuk menyatakan bahawa memang Nabi Muhammad itu adalah Nabi dan apa yang dibawanya adalah Quran. Itu semua menjurus kepada tauhid juga kerana Nabi menceritakan tentang tauhid dan begitu juga Quran menceritakan tentang tauhid. Oleh itu, surah-surah Makkiah menekankan tentang tauhid dalam berbagai-bagai cara.

Surah-surah Makkiah lebih banyak dari surah Madaniah. Surah Makkiah adalah 2/3 dari keseluruhan Quran. Ianya banyak memperkatakan tentang akidah – beriman kepada Allah, kepada Nabi dan lain-lain lagi. Dan hukum-hukum solat dan sebagainya banyak ada dalam surah-surah Madaniah. Oleh itu, surah-surah Makkiah diturunkan sewaktu hukum-hukum ibadat belum ada lagi. Lalu bagaimana kita mengenali orang Islam waktu itu? Zaman sekarang kita kenal orang Islam kerana dia solat, dia pakai tudung tutup aurat dan sebagainya. Sedangkan hukum menutup aurat contohnya, hanya diturunkan di Madinah.

Orang Islam dikenali waktu itu dari sifat mereka. Pertama, mereka kuat berdakwah kepada Islam. Mereka macam tak boleh berhenti bercakap mengenai Islam. Kalau jumpa orang, mereka akan menceritakan tentang keindahan Islam; kedua, mereka mempunyai sifat yang murni, yang baik. Iaitu adab-adab yang baik yang diterima secara umum – tidak menipu, tidak menindas, tidak menyusahkan orang dan sebagainya. Amat malang sekali pada zaman sekarang, orang Islam mengamalkan hukum-hukum ibadat, tapi melupakan nilai-nilai murni yang banyak diterapkan dalam surah-surah Makkiah. Oleh itu, kita banyak melihat muslim yang solat, tapi dalam yang sama, menipu orang lain. Berpuasa tapi menindas orang lain. Ini adalah amat menyedihkan.

Surah al-An’am ini terbahagi kepada dua bahagian.
1. Bahagian pertama: ayat 1 – 117. Menghuraikan akidah syirik kepada Allah iaitu syirik tasarruf: Allah yang tadbir makhluk, tapi manusia ada yang minta dan harap kepada makhluk. Iaitu dari akidah dalam hati yang syirik. Contoh, kita percaya kalau burung hantu berbunyi malam hari, ada orang nak mati. Memang kita tak cakap begitu selalunya, sebab burung hantu tidak ada di bandar. Tapi apabila kita balik kampung atau masuk hutan, tiba-tiba kita dengar burung hantu berbunyi, terus kita kata: “ada orang nak mati ni”. Maknanya, akidah syirik telah ada dalam hati kita.
2. Bahagian kedua: ayat 118 hingga akhir. Iaitu tentang amalan syirik yang manusia buat. Ini dinamakan syirik amali. Asalnya dari akidah syirik yang sudah ada dalam hati yang disentuh dalam bahagian pertama. Sebagai contoh, kita nampak tapak kaki gajah di hutan. Maka kita cakap: “Ada orang besar ni.” Apabila kita cakap begitu, kita sudah melakukan satu perbuatan syirik. Kerana gajah tidak ada di situ, dia tentu tidak dapat dengar kata-kata kita. Tapi kita takut nak cakap ‘gajah’, takut dia boleh dengar. Padahal, yang boleh dengar dari jauh hanyalah Allah sahaja. Tapi kita letak satu sifat Allah pada makhluk yang tidak dapat dengar, malah tidak faham pun apa yang kita kata.

Antara amalan syirik yang manusia biasa lakukan adalah amalan berpantang. Ada masyarakat yang tidak makan ikan kacang untuk keturunan mereka. Kerana kononnya, dulu ada tok nenek mereka yang telah diselamatkan oleh Ikan Kacang semasa di lautan. Maka, mereka sebagai tanda hormat kepada ikan kacang itu, telah ‘mengharamkan’ makan Ikan Kacang kepada keturunan mereka. Surah An’am ini juga menyebut tentang pantang.

Satu lagi pantang adalah pantang selepas bersalin. Inilah kebiasaan yang diajar oleh Bidan kampung. Bidan telah ‘mengharamkan’ makan itu dan ini, tanpa memberikan sebab-sebab yang munasabah sebagai pegangan kita. Apabila kita betul-betul berpantang hanya atas kata-kata bidan yang tidak ada dalil itu, maka kita sebenarnya telah menjadikan bidan itu sebagai ‘tuhan’. Persoalan yang mungkin dibangkitkan: takkan lah sampai boleh dikatakan kita menjadikan bidan itu sebagai tuhan pula, kerana kita tak sembah pun bidan itu?

Jawapan: Persoalan ini timbul kerana salah faham tentang maksud ‘sembah’. Kena lihat Hadis Nabi tentang bagaimana Orang Yahudi telah menjadikan rahib dan pendita sebagai tuhan:

Nabi pernah membacakan firman Allah dalam Al-Quran :

” اِتَّخِذُوْا أَحْبَارَهُم وَرُهْبَا نَهُم أَرْبَابًا مِن دُونِ اللََّهِ ” (التوبة: 31)

” Mereka menjadikan para ulama’ dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain dari Allah ” (Surah At-Taubah : 31). Maka apabila ayat ini dibacakan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam kebetulan Adi’ bin Hatim ra (bekas yahudi) mendengarnya lantas beliau menegur Rasulullah Salallahualaihiwasalam dengan mengatakan bahawa tidaklah mereka (orang yahudi) menjadikan rahib-rahib dan orang alim mereka sebagai tuhan (yakni tidaklah sampai menyembah).

Maka jawab baginda Rasul Salallahualaihiwasalam :

إنهم إذا أحلوا لهم شيئا استحلوا وإذا حرموا عليهم شيئا حرموا فذلك عبادتهم

” Mereka (para rahib) jika menghalalkan sesuatu maka orang ramai pun ikut menghalalkannya (yakni mengikutinya/mentaqlidnya) dan mereka jika mengharamkan sesuatu maka orang ramai pun ikut mengharamkannya maka itulah pengibadatan mereka (itulah bukti mereka menyembah para rahib). Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.3095 & Baihaqi.

Dari hadis ini, menunjukkan kepada kita, kalau kita ikut kata-kata orang lain yang tidak bertepatan dengan apa yang telah diajar oleh Allah, maka kita telah menjadikan orang itu sebagai ‘tuhan’. Bukanlah ‘sembah’ itu hanya bermaksud sujud kepada sesuatu sahaja, tapi ianya lebih luas lagi. Dalam ayat ini, ia merangkumi makna ‘ikut tanpa usul periksa’. Begitulah yang dilakukan oleh masyarakat kita apabila diberitahu oleh bidan-bidan kampung yang kita tidak makan itu dan ini semasa dalam ‘pantang’.

——————————————–

Ayat 1: Allah memperkenalkan DiriNya kepada kita dalam ayat ini:

6:1
Transliteration

Alhamdu lillahi allatheekhalaqa assamawati wal-ardawajaAAala aththulumati wannoorathumma allatheena kafaroo birabbihim yaAAdiloon

Sahih International

[All] praise is [due] to Allah , who created the heavens and the earth and made the darkness and the light. Then those who disbelieve equate [others] with their Lord.

Malay

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

 

الْحَمْدُ لِلَّهِ

Segala puji bagi Allah

Ini adalah salah satu surah dalam Quran yang dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Ada 4 surah yang dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ dan disusun kedudukan 4 surah itu dengan membahagikan Quran itu dalam 4 bahagian dan semuanya dimulai dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Surah-surah itu adalah:
1. Surah Fatihah – berada betul-betul diawal Quran.
2. Surah al-An’am iaitu permulaan suku Quran
3. Surah al-Kahfi iaitu berada lebih kurang separuh Quran
4. Surah Saba’ dan Faathir iaitu di tiga suku Quran

Makna الْحَمْدُ لِلَّهِ telah ditafsir dengan panjang lebar dalam surah Fatihah. Sila rujuk kepada tulisan tersebut.

Surah ini dimulakan dengan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Kenapa? Selalunya apabila kita mulakan sesuatu yang penting, kita akan mulakan dengan puji-pujian kepada Allah. Sebagai contoh, apabila kita mula berucap, sunat untuk kita memuji-muji Allah. Jadi, permulaan ayat ini untuk memuji-muji Allah.

Allah sahaja yang layak dipuji. Allah sendiri memuji DiriNya dalam ayat ini. Kerana itulah, tidak layak kalau seseorang memuji dirinya kerana Allah sahaja yang layak memuji DiriNya sendiri. Oleh itu riak adalah dosa besar. Maka jangan kita mengharap orang puji kita. Malangnya kita selalunya mengharap orang lain memuji kita walaupun apa yang kita buat sikit sahaja. Tidak apa sebenarnya untuk dipuji tentang diri kita kerana semuanya dari Allah belaka.

 

الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

yang menciptakan langit dan bumi,

Kenapa Allah sahaja yang layak dipuji? Kerana Dialah yang telah menjadikan alam ini. Maka kepada Dia sahaja kita boleh lakukan ibadat. Kepada Dia sahaja kita sembah. Tidak ada yang layak disembah melainkan Allah sahaja. Tapi berapa banyak sembahan selain dari Allah yang masyarakat kita buat? Antaranya yang senang dilihat adalah orang awam menyembah Sultan dan Raja, seorang pesilat menyembah gurunya dan macam-macam lagi. Itu tidak termasuk sembahan dalam bentuk lain  – beri salam kepada Nabi, Malaikat dan Wali yang dilakukan masyarakat kita kerana tidak faham hal akidah. Itu dibincangkan dengan panjang lebar dalam ayat-ayat yang lain.

Kenapa disebut Allah menciptakan langit dan bumi sahaja? Tidakkah ada ciptaan Allah yang lain? Tentu ada, tapi hanya disebut dua ciptaan ini sahaja dalam banyak ayat Quran kerana dua inilah yang manusia boleh nampak. Dua ciptaan inilah yang nampak agung kepada manusia. Makhluk Allah yang lebih agung adalah ArashNya tapi kita tak nampak.

Ini dinamakan Tauhid Rububiyyah. Iaitu kepercayaan bahawa Allahlah pencipta alam ini. Tauhid Rububiyyah ini juga dipercayai oleh Musyrikin Mekah. Mungkin ada yang terkejut dengan kata-kata ini. Tapi ketahuilah bahawa Musyrikin Mekah kenal Allah. Mereka tahu yang Allah telah menjadikan alam ini. Mereka tahu Allah itu adalah Tuhan. Tapi, masalahnya, dalam masa yang sama, mereka ambil benda-benda lain sebagai ‘tuhan-tuhan mini’, yang mereka juga sembah.

 

وَجَعَلَ الظُّلُمَاتِ

dan Dia menjadikan kegelapan

Apabila disebut tentang penciptaan langit dan bumi, digunakan perkataan خَلَقَ tapi bila disebut penciptaan ‘gelap’ dan ‘terang’, digunakan perkataan جَعَلَ. Pertamanya, ini untuk mempelbagaikan perkataan dan ini adalah salah satu dari keindahan Quran. Kalau perkataan yang sama sahaja digunakan, tentu amat membosankan. Dan Quran bukanlah satu bacaan yang bosan. Ianya indah dan disusun dengan cantik dan molek sekali.

Kedua, ini juga adalah kerana جَعَلَ boleh digunakan untuk barang yang abstrak yang tak boleh disentuh dan خَلَقَ hanya untuk benda yang boleh dilihat.

‘Kegelapan’ ada yang boleh dilihat seperti kegelapan malam, kegelapan dalam laut dalam, dalam gua dan sebagainya.

Dan ada ‘kegelapan’ yang abstrak seperti kegelapan kekufuran, kemunafikan, kejahilan dan sebagainya.

Dua-dua jenis kegelapan ini adalah perbuatan Allah juga.

 

وَالنُّورَ

dan terang;

‘Cahaya’ juga ada dua jenis sepertimana ‘kegelapan’. Ada cahaya yang nampak seperti matahari, lampu, api dan sebagainya.

Dan ada cahaya yang abstrak seperti cahaya keimanan, hidayah, taqwa, ilmu dan lain-lain lagi. Allah lah juga yang beri cahaya keimanan kepada manusia.

 

ثُمَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

dalam pada itu, orang-orang kafir

ثُمَّ digunakan sebagai penyambung perkataan dalam ayat ini untuk menunjukkan ‘ketakjuban’. Bayangkan betapa takjubnya orang kafir itu: Allah telah menjadikan alam ini, tapi mereka masih kufur juga – masih juga nak sembah selain Allah. Ini adalah sesuatu yang amat menghairankan. Tidakkah mereka menggunakan akal mereka untuk memikirkan?

Lihatlah betapa bodohnya mereka ini. Allah yang menjadikan langit dan bumi dan apa yang diantaranya tapi mereka tidak menyembahNya? Mereka tidak meluangkan masa yang sedikit untuk melakukan ibadat kepadaNya? Berapa minit sahaja dari masa kita yang banyak ini kalau kita gunakan untuk solat? Tak banyak mana pun, tapi itu pun manusia tak boleh nak buat. Alangkah menghairankan sekali!

 

بِرَبِّهِمْ يَعْدِلُونَ

menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka.

Mereka melakukan syirik kerana meletakkan Allah sama kedudukan dengan makhluk. Asal kata يَعْدِلُونَ dari عدل yang bermaksud sesuatu yang ‘sama tinggi’. Jadi يَعْدِلُونَ bermaksud meletakkan dua perkara pada sama tinggi – seperti juga ‘keadilan’.

Musyrikin Mekah meletakkan makhluk sama kedudukan dengan Allah. Ini adalah satu perbuatan syirik. Sebagai contoh, mereka berdoa kepada Allah, tapi berdoa juga kepada selain Allah. Mereka mengharap kepada selain Allah juga. Ini adalah salah sama sekali. Ini dinamakan syirik. Macam orang kita juga yang meminta kepada makhluk, seperti syiah yang meminta kepada Saidina Ali, Husin dan Imam-Imam mereka yang lain; seperti Puak Habib yang meminta kepada kuburan; seperti puak silat yang meminta kepada jin; seperti masyarakat kita yang jahil yang meminta kepada Nabi Muhammad; seperti bomoh, dukun, pawang yang meminta kepada jin syaitan dalam perubatan mereka – semua ini meminta kepada selain dari Allah. Mereka menyamakan kedudukan entiti-entiti itu dengan Allah. Sepatutnya tempat permintaan adalah Allah sahaja. Yang Maha Mendengar adalah Allah, tapi apabila mereka beriktikad ada makhluk lain juga dapat mendengar seperti Allah, maka mereka melakukan syirik.

Orang kurang faham tentang syirik. Mereka ingat, syirik itu adalah apabila ‘menyembah’ berhala, seperti orang Hindu menyembah patung berhala mereka. Tapi, mereka tidak tahu, apabila menyamakan sifat Allah dengan makhluk juga adalah syirik. Kita pun tahu, Allah ada 99 nama (mengikut satu pendapat). Oleh itu, ada 99 jenis syirik yang manusia lakukan untuk setiap nama sifat itu.

—————————————————–

Ayat 2:

6:2
Transliteration

Huwa allathee khalaqakum min teeninthumma qada ajalan waajalun musamman AAindahu thumma antumtamtaroon

Sahih International

It is He who created you from clay and then decreed a term and a specified time [known] to Him; then [still] you are in dispute.

Malay

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن طِينٍ

Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah liat,

Allah bukan sahaja menjadikan langit dan bumi, tapi Allah jugalah yang telah menjadikan kita manusia. Selepas Allah menceritakan tentang penciptaan langit dan bumi, Allah menekankan dalam ayat ini, bahawa Dia lah yang telah menjadikan kita.

Dia telah menjadikan kita dari tanah liat iaitu lumpur yang bercampur air. Yang dimaksudkan di sini adalah penciptaan Nabi Adam a.s. dahulu. Kerana kita anak cucu Nabi Adam dijadikan dari air mani.

Tanah liat adalah sesuatu yang tiada nyawa dan tidak boleh buat apa-apa. Kalau kita ambil tanah liat dan kita bentukkan jadi sesuatu, ianya juga tidak akan bernyawa dan bergerak. Jadi ini menunjukkan kuasa Allah. Allah lah memberi nyawa itu. Bukanlah kehebatan itu pada tanah liat itu tapi pada Allah.

Ayat ini juga mengingatkan kita kepada asal kejadian kita – dari tanah yang hina. Kadang-kadang kita ingat kita dah berjaya, kita orang besar, maka kita jadi sombong. Padahal asal kita semuanya sama sahaja, dari sesuatu yang kotor dan lemah yang tidak ada nilai apa-apa.

 

ثُمَّ قَضَىٰ أَجَلًا

kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu)

قَضَىٰ bermaksud ‘penentuan yang terakhir’. Yang selepas itu akan dijalankan apa yang telah ditetapkan. Sebab itu hakim dalam bahasa Arab dipanggil qadhi kerana keputusan yang diberikannya adalah keputusan yang terakhir dan akan dijalankan apa yang dia telah tetapkan. Tiada yang boleh tolak keputusannya.

أَجَلًا adalah satu tempoh masa dari sekarang sampai kepada masa yang telah ditetapkan. Jadi أَجَلًا adalah umur seseorang dari lahir sampai matinya. Setiap orang telah ditentukan ajalnya. Setiap orang telah ditentukan had umurnya. Apabila sampai masa, dia akan diambil nyawanya.

Ayat ini dimulakan dengan menceritakan kejadian kita dari tanah. Kemudian disebut kita akan dimatikan apabila sudah cukup ajal kita. Dia jadikan kita dari tanah dan akan mengembalikan kita kepada tanah.

Allah yang tentukan bila kita akan mati. Macam-macam jenis cara mati. Tidak sama umur seseorang dengan orang yang lain. Ada yang pendek umurnya dan ada yang panjang umurnya. Itu semua adalah dalam قَضَىٰ Nya. Tidak akan terjadi lebih awal atau terlambat. Maka kalau kita nak ambil nyawa kita sendiri, atau nak ambil nyawa orang lain, tapi Allah belum قَضَىٰ lagi masa untuk dia mati, maka tidak sampai ajal orang itu lagi. Kadang-kadang kita dengar seseorang yang mengalami kemalangan yang amat teruk sekali tapi dia tak mati lagi. Kerana Allah belum قَضَىٰ matinya lagi. Ada orang pula melawat orang yang sakit tenat di hospital, tapi dia pula yang mati dulu.

Maka, kalau seseorang itu mati, tapi ada yang kita kata dia mati awal, dia patut tak mati lagi, atau kita kata doktor yang buat silap dalam pembedahan dan sebagainya, itu adalah salah faham. Kerana Allah lah yang menetapkan yang seseorang itu akan mati waktu itu, jam itu dan saat itu.

 

وَأَجَلٌ مُّسَمًّى عِندَهُ

dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya;

Ini pula adalah ‘ajal’ yang kedua. Allah telah tentukan bilakah alam ini akan dihancurkan.

مُّسَمًّى bermaksud sesuatu ‘yang telah diberi banyak nama’. Yang ‘dikenali dengan banyak nama’. Telah ‘diketahui yang ianya akan tiba’ tapi tidak diketahui bilakah ianya akan terjadi. Tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah akan terjadinya Hari Kiamat itu, melainkan Allah sahaja. Tidak akan ada yang tahu sampai bila-bila. Oleh itu, buang masa sahaja mengagak bilakah hari Kiamat itu. Para saintis ada yang suka sangat nak mengkaji bilakah alam ini akan hancur. Ada ahli-ahli agama yang buat andaian bilakah ianya akan terjadi. Yang menyedihkan, ada juga orang Islam yang kononnya ustaz, ulama pun ada yang cuba beri agakan bilakah ianya akan terjadi, alangkah bodohnya mereka. Yang sepatutnya kita lakukan adalah taat kepada Allah dan melakukan ibadat untuk menyediakan diri kita untuk hari itu.

Dikatakan ayat ini merujuk kepada ‘hari kiamat’ kerana ada perkataan عِندَهُ (di sisiNya) itu. Kerana pengetahuan tentang bila terjadinya kiamat itu hanya ada pada Allah. Seperti yang Allah firman dalam Mulk:26

قُلْ إِنَّمَا الْعِلْمُ عِندَ اللَّهِ وَإِنَّمَا أَنَا نَذِيرٌ مُّبِينٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.

Hanya Allah sahaja yang tahu bilakah terjadinya kiamat itu. Dalam Sahih Bukhari, ada dimasukkan satu hadis yang menyentuh perkara ini. Iaitu dalam satu hadis yang terkenal sebagai ‘Hadis Jibrail’:

٤۸ – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا أَبُو حَيَّانَ التَّيْمِيُّ عَنْ أَبِي زُرْعَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ {كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَارِزًا يَوْمًا لِلنَّاسِ فَأَتَاهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ مَا الإِيمَانُ ؟ قَالَ الإِيمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَبِلِقَائِهِ وَرُسُلِهِ وَتُؤْمِنَ بِالْبَعْثِ . قَالَ مَا الإِسْلامُ ؟ قَالَ الإِسْلامُ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ وَلا تُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَتُقِيمَ الصَّلاةَ وَتُؤَدِّيَ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ. قَالَ مَا الإِحْسَانُ؟ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ. قَالَ مَتَى السَّاعَةُ؟ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ. وَسَأُخْبِرُكَ عَنْ أَشْرَاطِهَا إِذَا وَلَدَتِ الأَمَةُ رَبَّهَا , وَإِذَا تَطَاوَلَ رُعَاةُ الإِبِلِ الْبُهْمُ فِي الْبُنْيَانِ , فِي خَمْسٍ لا يَعْلَمُهُنَّ إِلاَّ اللَّهُ ثُمَّ تَلا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ ) الآيَةَ ثُمَّ أَدْبَرَ. فَقَالَ رُدُّوهُ فَلَمْ يَرَوْا شَيْئًا فَقَالَ هَذَا جِبْرِيلُ جَاءَ يُعَلِّمُ النَّاسَ دِينَهُمْ} قَالَ أَبو عَبْد اللَّهِ جَعَلَ ذَلِك كُلَّهُ مِنَ الإِيمَانِ

48. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, Telah menceritakan kepada kami Isma’il bin Ibrahim telah mengabarkan kepada kami Abu Hayyan At Taimi dari Abu Zur’ah dari Abu Hurairah berkata; bahwa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu hari muncul kepada para sahabat, lalu datang Malaikat Jibril ‘Alaihis Salam yang kemudian bertanya: “Apakah iman itu?” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Iman adalah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, pertemuan dengan-Nya, Rasul-Rasul-Nya, dan kamu beriman kepada hari berbangkit”. (Jibril ‘Alaihis salam) berkata: “Apakah Islam itu?” Jawab Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam: “Islam adalah kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan suatu apapun, kamu dirikan salat, kamu tunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (Jibril ‘Alaihis salam) berkata: “Apakah ihsan itu?” Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan bila kamu tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatmu”. (Jibril ‘Alaihis salam) berkata lagi: “Bilakah terjadinya hari kiamat?” Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu dari yang bertanya. Tapi aku akan terangkan tanda-tandanya; (yaitu); jika seorang budak telah melahirkan tuannya, jika para penggembala unta yang berkulit hitam berlumba-lumba membangun gedung-gedung selama lima masa, yang tidak diketahui lamanya kecuali oleh Allah”. Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam membaca: “Sesungguhnya hanya pada Allah pengetahuan tentang hari kiamat” (Luqman: 34). Setelah itu Jibril ‘Alaihis salam pergi, kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata; “hadapkan dia ke sini.” Tetapi para sahabat tidak melihat sesuatupun, maka Nabi bersabda; “Dia adalah Malaikat Jibril datang kepada manusia untuk mengajarkan agama mereka.” Abu Abdullah berkata: “Semua hal yang diterangkan Beliau shallallahu ‘alaihi wasallam dijadikan sebagai iman.


Dari hadis ini, kita dapat tahu, Nabi Muhammad tidak tahu bilakah terjadinya Kiamat, malah Malaikat Jibrail sendiri tidak tahu. Kalau Jibrail sendiri tidak tahu, apatah lagi malaikat-malaikat yang lain. Hanya Allah sahaja yang tahu.

 

ثُمَّ أَنتُمْ تَمْتَرُونَ

dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan).

Ada banyak perkataan yang digunakan untuk membawa ‘ragu-ragu’ dalam Quran. Dalam ayat ini, digunakan perkataan تَمْتَرُونَ. Kata dasar perkataan تَمْتَرُونَ ini adalah م ر ي yang bermaksud: ‘ragu-ragu tentang perkara yang jelas’. Macam hari siang tapi ada juga orang yang kata malam lagi. Dia kata begitu hanya kerana nak bagi orang lain ragu-ragu.

Hari kiamat adalah pasti. Banyak nama telah diberikan untuknya. Telah disebut terlalu banyak dalam Quran. Secara logik pun, banyak hujah yang kuat boleh digunakan untuk menyatakan kepastian tentang hari kiamat itu.

Kita sendiri adalah dalil tentang adanya hari akhirat itu. Kerana dalam diri kita ada roh dan roh itu hanya akan keluar pada hari akhirat nanti.

Ragu dalam ayat ini juga bermaksud mereka ragu-ragu bahawa Allah lah yang menciptakan semua sekali. Orang yang buat syirik itu mereka sebenarnya ragu-ragu bahawa Allah lah berkuasa penuh menghidupkan dan mematikan. Mereka rasa macam ada lagi entiti lain yang ada kuasa selain Allah.

Yang paling penting adalah mereka ragu-ragu tentang Hari Kebangkitan. Mereka tidak dapat terima yang apabila mereka mati dan jadi debu, mereka akan dihidupkan kembali. Itulah sebabnya Allah telah katakan bahawa Dia telah menjadikan kita dari tanah dalam ayat sebelum ini. Kalau Dia telah jadikan kita asalnya dari tanah, takkan Dia tidak boleh menghidupkan kita kembali apabila kita dah jadi tanah?

Dalam surah Taha telah disebut tentang perkara ini, iaitu dalam Taha:55

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَىٰ

Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.

Inilah yang menghairankan sekali. Kerana musyrikin Mekah tahu dan terima bahawa Allah lah yang menjadikan kita. Tapi apabila disebut tentang Kebangkitan Semula, mereka tak boleh terima pula. Kerana mereka takut kalau mereka terima Hari Kebangkitan, bermakna mereka kena jawap segala kesalahan yang mereka lakukan.

Perkataan م ري juga bermaksud ‘berbalah’. Mereka Musyrikin Mekah itu berbalah sesama mereka tentang kejadian Hari Kebangkitan. Ada yang kata ada Hari Kebangkitan dan ramai yang kata tidak ada Hari Kebangkitan.

———————————————-

Ayat 3:

6:3
Transliteration

Wahuwa Allahu fee assamawatiwafee al-ardi yaAAlamu sirrakum wajahrakum wayaAAlamu mataksiboon

Sahih International

And He is Allah , [the only deity] in the heavens and the earth. He knows your secret and what you make public, and He knows that which you earn.

Malay

Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Ia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Ia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

وَهُوَ اللَّهُ فِي السَّمَاوَاتِ

Dan Dia lah Allah di langit

Allah lah Tuhan yang disembah di langit. Iaitu disembah oleh para malaikat.

وَفِي الْأَرْضِ

dan di bumi;

Dan Allah juga Tuhan yang disembah di bumi. Disembah oleh manusia, jin, binatang malah semua makhluk termasuk alam yang kita sangka tidak bernyawa ini. Dalam ayat lain ada disebut bahawa alam ini semuanya bertasbih kepada Allah. Kita sahaja yang tak nampak.

Kenapa Allah sebut yang dia adalah Tuhan di langit dan di bumi? Ini disebut kerana ada yang kata Tuhan itu duduknya di langit dan tidak hiraukan keadaan kita di dunia ini. Kerana kita kena ingat bahawa Musyrikin Mekah percaya bahawa Allah itu memang yang menjadikan alam ini. Tapi mereka kata selepas Allah menjadikan alam ini, Allah telah serahkan urusan seharian alam ini kepada ‘tuhan-tuhan mini’ yang lain. Ada tuhan yang jaga waktu, ada yang jaga air, ada yang jaga angin dan sebagainya.

Begitu juga dalam dunia sekarang, ada agama yang percaya kepada ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan segala-galanya. Tapi selepas dijadikan alam ini, Dia rehat di langit. Begitu juga, ada fahaman sesat dalam Islam yang dinamakan ‘Qadariah’ yang mengatakan selepas Allah jadikan alam ini, Allah serahkan segala urusan dunia kepada manusia untuk uruskan. Allah dah tak buat kira dengan apa yang terjadi. Semuanya adalah atas usaha manusia sendiri. Ini juga adalah satu akidah sesat. Jadi Allah kata dalam ayat ini yang Dia ambil tahu keadaan makhlukNya di dunia ini pun. Allah sentiasa mengurus makhlukNya di langit dan di bumi.

Ada orang yang bodoh dan jahil mengatakan Allah berada di langit dan di bumi. Dan mereka kata Allah berada di mana-mana. Mereka menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka. Itu adalah kata-kata yang amat merbahaya dan salah sama sekali. Kalau kita terima Allah berada di mana-mana, maka kita bolehlah kata Allah ada dalam rumah kita, dalam almari kita, dalam poket kita, dalam tandas dan macam-macam tempat lagi. Itu adalah kata-kata yang amat merendahkan kedudukan Allah. Tidak mungkin Allah begitu.

Yang sebenarnya, ‘ilmu’ Allah meliputi langit dan bumi. Allah tahu apa yang berlaku di langit dan di bumi malah di mana-mana sahaja.

Maka di mana Allah? Allah di ArashNya. Tapi ilmuNya meliputi semua tempat.

يَعْلَمُ سِرَّكُمْ

Ia mengetahui apa yang kamu rahsiakan

Ada rahsia yang manusia simpan dalam dirinya. Dia tak kongsi dengan sesiapa pun. Dia tak beritahu sesiapa pun. Dia simpan dalam dirinya. Yang tahu hanya dia dan Allah sahaja.

Ada satu lagi rahsia yang seseorang itu menceritakan kepada orang tertentu sahaja.

Allah tahu semua rahsia. Samada yang tidak dikongsi dengan sesiapa dan rahsia yang dikongsi dengan orang tertentu sahaja.

Ini adalah salah satu dari sifat-sifat Allah. Allah maha mendengar walaupun perkara yang kita rahsiakan dari orang lain. Mungkin ada perkara yang kita boleh sembunyikan dari makhluk. Ada perbualan yang kita bisik-bisik dengan kawan kita yang orang lain tak tahu. Tapi ingatlah bahawa Allah mendengar segalanya, walaupun perbualan yang kita bisikkan, sembunyikan.

Terdapat kesyirikan yang manusia lakukan tentang perkara ini. Seperti yang kita telah sebut, Allah maha tahu. Tapi ada kalangan kita yang takut nak bercakap tak elok tentang seseorang. Kerana mereka rasa kalau kita kutuk orang itu, dia boleh dengar apa yang kita cakapkan itu. Ini telah mengambil salah satu sifat Allah. Iaitu – Allah maha mendengar – dan meletakkan sifat itu pun ada pada makhluk juga. Ini adalah satu kesyirikan kerana telah menyamakan Allah dengan makhluk.

وَجَهْرَكُمْ

dan apa yang kamu lahirkan,

Allah tahu apa yang kita cakap dengan kuat dan jelas. Yang kita cakap kepada orang lain, termasuklah sms yang kita hantar, whatsapp dan apa yang kita post dalam Facebook, dalam Twitter dan dalam blog malah semuanya. Semuanya Allah tahu dan Allah ambil kira.

Oleh itu kita kena sedar bahawa Allah sedang memerhati kita. Kalau kita tahu begitu, tentu kita takut nak buat benda yang salah. Kalau ayah kita depan kita pun kita dah jaga perbuatan kita kan? Apatah lagi kalau kita boleh sedar bahawa Allah sendiri sedang memerhatikan kita.

وَيَعْلَمُ مَا تَكْسِبُونَ

dan Ia juga mengetahui apa yang kamu usahakan.

Allah tahu apa usaha kita dan apa hasil yang kita dapat dari usaha itu. Sebagai contoh, Allah tahu berapa gaji kita yang kadang-kadang kita rahsiakan dari orang lain.

Allah tahu apakah perbuatan kita samada kita buat sendiri-sendiri atau buat ramai-ramai.

Allah juga tahu perkara ghaib. Iaitu apakah amal ibadat kita dan pahala yang kita dapat dari amal kita itu.

Jadi Allah tahu apakah usaha kita dalam dunia atau untuk akhirat. Samada perkara yang baik atau perkara yang buruk.

Allah juga perasaan kita. Apa yang kita rasa. Begitu juga Allah tahu apakah ilmu dan pengetahuan kita. Semua itu termasuk dalam apa yang dapat dari hasil perbuatan kita.

Dari ayat ini, kita tahu yang Allah bukan sahaja telah menjadikan kita dan alam ini, tapi selepas itu Dia memerhati apa yang kita lakukan. Dalam segenap perbuatan dan percakapan kita dan apa yang terjadi kepada kita. Allah tahu niat kita. Allah tahu samada apa yang kita buat itu ikhlas atau tidak.

————————————————————

Ayat 4:

6:4
Transliteration

Wama ta/teehim min ayatin min ayatirabbihim illa kanoo AAanha muAArideen

Sahih International

And no sign comes to them from the signs of their Lord except that they turn away therefrom.

Malay

Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

وَمَا تَأْتِيهِم

Dan tidak ada yang sampai kepada mereka

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah.

مِّنْ آيَةٍ

sesuatu tanda

Salah satu tanda yang ditunjukkan kepada mereka adalah ‘mukjizat’. Mereka telah ditunjukkan dengan berbagai-bagai mukjizat dari Nabi. Sampaikan pernah dibelah bulan di hadapan mata mereka. Dan Quran itu sendiri adalah satu mukjizat.

Perkataan ‘ayat’ bermaksud ‘tanda’. Jadi banyak tanda-tanda dalam alam ini yang Allah telah berikan. Dalam ayat ke 2, Allah telah sebutkan tentang ‘langit’ dan ‘bumi’. Itu adalah dua dari tanda-tanda yang besar.

Kalau kita buka mata hati kita, kita pun akan nampak banyak tanda untuk meningkatkan keimanan kita. Antaranya, ada kalanya kita minta doa kepada Allah dengan sepenuh hati kita dan makbul doa itu.

‘Ayat’ dalam ayat ini juga merujuk kepada ayat-ayat syar’i iaitu ayat-ayat Quran.

مِّنْ آيَاتِ رَبِّهِمْ

dari berbagai keterangan-keterangan Tuhan mereka,

Semua itu adalah tanda-tanda dari Allah kepada kita semua untuk untuk menunjukkan kepada kita tentang kewujudanNya.

إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

melainkan mereka selalu buat tak endah

Bermaksud mereka enggan menerimanya.
Mereka tidak hiraukan tanda-tanda itu. Perkataan مُعْرِضِينَ itu diambil dari kata ع ر ض yang  asalnya bermaksud ‘mempersembahkan’. Perkataan مُعْرِضِينَ  itu seperti mereka dalam proses hendak mempersembahkan sesuatu, tapi kemudian mereka buat tak tahu. Maknanya, mereka tahu kebenaran itu tapi mereka buat tak tahu dengan sengaja.

Mereka berpaling dari ayat-ayat itu dengan hati dan perbuatan mereka. Mereka nampak yang ianya adalah kebenaran tapi mereka pilih untuk tidak menerima dan mengikutinya.

Mereka banyak minta ditunjukkan mukjizat dan ada yang telah ditunjukkan kepada mereka. Tapi mereka masih tolak juga. Kerana hati mereka memang tak mahu beriman. Ada sahaja alasan mereka untuk menolak. Kerana mereka sayang sangat kepada dunia.

Macam orang kita juga. Kalau tengok wayang dua jam tidak apa. Tapi kalau nak belajar tafsir, ajak macam mana pun tak mahu datang. Walaupun mereka tahu yang Quran itu adalah pegangan hidup kita sebagai orang Islam. Dan mereka tahu yang mereka tak faham Quran. Mereka juga tahu yang ianya adalah penting untuk mengetahui apa yang Allah hendak sampaikan. Tapi mereka masih tidak mahu belajar apabila diajak. Mereka tidak ada usaha pun untuk memahami ayat Quran.

Ayat ini memberitahu juga kepada kita kewajipan untuk melihat tanda-tanda Allah dalam alam ini dan juga ayat-ayat Quran. Kena tadabbur (melihat yang tersirat) ayat-ayat Quran baru dapat faham. Yang itu kena belajar. Tapi baca-baca sendiri takkan faham. Dan kena belajar dengan mereka yang tahu.

—————————

Ayat 5:

6:5
Transliteration

Faqad kaththaboo bilhaqqilamma jaahum fasawfa ya/teehim anbao makanoo bihi yastahzi-oon

Sahih International

For they had denied the truth when it came to them, but there is going to reach them the news of what they used to ridicule.

Malay

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Quran) ketika ia sampai kepada mereka. Oleh itu, akan datanglah kepada mereka berita (yang membuktikan kebenaran) apa yang mereka selalu ejek-ejek itu (iaitu mereka akan ditimpa bala bencana).

 

فَقَدْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ

Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran

الْحَقِّ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah apa-apa sahaja yang dibawa oleh Nabi – Quran, kata-katanya (hadis) dan ajarannya.

Kebenaran yang paling utama adalah: Allah sahaja Tuhan kita yang boleh disembah dan diminta doa. Tapi orang-orang yang tidak mahu beriman, tidak mahu menerima kebenaran ini. Termasuklah musyrikin Mekah.

لَمَّا جَاءَهُمْ

ketika ia sampai kepada mereka.

Telah disampaikan ajaran tauhid kepada mereka, tapi masih tak beriman. Ini mengajar kita bahawa amat teruk kalau seseorang sudah tahu kebenaran, tapi masih menolak. Itu lebih teruk dari mereka yang tak tahu. Kalau tak tahu pun salah juga tapi tidak seteruk kalau dah tahu.

Ini memberi ancaman kepada kita yang telah belajar atau telah diberitahu tentang tauhid tapi masih lagi tidak berubah, maka bersedialah untuk menerima azab Allah yang amat berat.

Tapi ramai yang tak terima tauhid ini apabila disampaikan kepada mereka.
Antaranya masih ada manusia yang sembah raja, pesilat sembah guru silat mereka, pengamal keris cium keris dan macam-macam lagi perkara syirik yang mereka lakukan.

Ada yang campur zikir kepada Allah dengan makhluk lain. Contohnya, selepas mereka baca ‘la ilaaha illah’, mereka sambung dengan ‘Muhammadur Rasulullah’ dan mereka mengulang-ulang kata-kata itu sebagai zikir. Antara yang ramai buat macam ini adalah ibu-ibu yang mendodoi anak-anak mereka.

فَسَوْفَ يَأْتِيهِمْ

Oleh itu, akan datanglah kepada mereka

Mereka akan didatangi dengan hukuman untuk mereka.

أَنبَاءُ

berita-berita besar

Iaitu berita-berita azab yang dikenakan dulu kepada kaum-kaum yang dahulu. Termasuk juga azab yang akan mereka terima di akhirat kelak.

مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

apa yang mereka selalu ejek-ejek itu

Mereka memperolok-olok hari Kiamat. Mereka tak percaya kepada azab yang dijanjikan kepada mereka. Mereka kata: “Kalau betul ada azab, berilah kepada kami sekarang”. Sebagai contoh, apabila dikatakan mereka akan diberi makan Buah Zaqqum di akhirat kelak, mereka mengejek dengan kata mereka nak makan buah Zaqqum untuk makanan tengahari. Begitulah mereka mengejek-ejek ajaran Nabi.

Ayat ini memberi ingatan dan pujukan kepada penyebar tauhid bahawa mereka akan kena ejek. Memang dari dulu sampai sekarang. Jadi, kena bersedia untuk diejek. Antara yang mereka ejek adalah mereka akan kata kita ini ‘Wahabi’.

—————————

Ayat 6:

6:6
Transliteration

Alam yaraw kam ahlakna min qablihimmin qarnin makkannahum fee al-ardi ma lamnumakkin lakum waarsalna assamaa AAalayhimmidraran wajaAAalna al-anhara tajree min tahtihimfaahlaknahum bithunoobihim waansha/na minbaAAdihim qarnan akhareen

Sahih International

Have they not seen how many generations We destroyed before them which We had established upon the earth as We have not established you? And We sent [rain from] the sky upon them in showers and made rivers flow beneath them; then We destroyed them for their sins and brought forth after them a generation of others.

Malay

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

أَلَمْ يَرَوْا

Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan

‘Mereka’ itu adalah musyrikin Mekah. Kepada merekalah ayat-ayat ditujukan buat pertama kali. Mereka mendengar sendiri ayat itu dari mulut Nabi. Kemudian ayat ini ditujukan pula kepada mereka yang masih juga mahu melakukan syirik, tidak kira di zaman mana. Allah menegur mereka dalam ayat ini. Tidakkah mereka mahu memikirkan? Mereka tak terfikirkah? Tidakkah mereka tahu?

كَمْ أَهْلَكْنَا

berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan

Umat dulu yang buat syirik telah Allah binasakan. Mereka pun tahu kisah-kisah tentang kesalahan dan kemusnahan yang telah diberikan kepada umat-umat sebelum itu. Mereka sendiri ada yang melalui kawasan peninggalan Kaum Aad dan Tsamud. Dan mereka sendiri tahu tentang banjir besar yang melanda semasa zaman Nabi Nuh dulu. Kenapa mereka tidak mahu mengambil pengajaran?

Kita pun kena ambil pengajaran dari apa yang terjadi kepada kaum-kaum terdahulu itu. Kena tahu apakah kesalahan yang mereka telah lakukan supaya kita tidak menjadi seperti mereka.

مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ

sebelum mereka dari kurun-kurun dahulu,

Perkataan قَرْنٍ berasal dari kata ق ر ن dan boleh jadi banyak makna. Salah satunya ‘menghubungkan’. Perkataan Quran juga berasal dari kata dasar ini juga kerana Kitab Quran menghubungkan ayat-ayat Allah; Haji ‘Qiran’ adalah salah satu dari jenis Haji yang boleh dilakukan oleh jemaah Haji. Ianya adalah apabila melakukan haji dan umrah digabungkan sekali buat pada satu masa;  ق ر ن boleh juga digunakan untuk tanduk dan kerana itulah antara maksud Dzul Qarnain adalah ‘seorang yang mempunyai dua tanduk’. Dan ق ر ن juga bermaksud ‘masa’ – yang selalu kita gunakan dalam bahasa kita sebagai ‘kurun’. Boleh juga digunakan sebagai maksud ‘generasi’.

Dalam ayat ini, قَرْنٍ bermaksud ‘generasi’. Iaitu Allah mengatakan berapa banyak generasi-generasi terdahulu yang telah dihancurkan olehNya.

مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ

Yang telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi

Kedudukan mereka kuat di dunia. Ada tamadun mereka yang kita kenal sampai sekarang. Masih ada lagi peninggalan mereka yang kita boleh lihat dan buat kajian. Mereka ada kekuasaan dan kemewahan. Kekuatan tentera mereka juga hebat. Tempat tinggal mereka mewah dan hebat-hebat. Lihatlah Peninggalan Petra yang bangsanya memahat bukit jadi rumah. Dan banyak lagi umat lain yang hebat-hebat.

Peninggalan Petra Purba

مَا لَمْ نُمَكِّن لَّكُمْ

yang tidak Kami berikan kepada kamu,

Orang Mekah tidak ada apa-apa kalau dibandingkan dengan mereka. Orang Arab cuma duduk dalam khemah atau dalam rumah yang dibuat dari tanah liat sahaja. Rumah pun kecil-kecil sahaja. Kehidupan pun biasa sahaja.

Bukan orang Mekah sahaja yang kurang dari orang-orang terdahulu. Kita pun ada kekurangan dari mereka. Jangan kita nak bangga sangat dengan apa yang kita ada zaman sekarang pun. Bayangkan ‘7 benda keajaiban Dunia’ yang kita selalu baca itu. Kalau kita nak buat sekarang pun tidak boleh. Kita pun tidak pasti apakah teknologi yang mereka gunakan. Sebagai contoh, setelah beribu tahun, pyramid itu masih utuh dan tegak berdiri.

Allah perli kepada musyrikin Mekah yang sombong itu. Kenapa nak sombong sangat? Bukan mereka ada apa pun. Selalunya yang sombong itu adalah mereka yang hebat dan mewah. Tapi mereka tak boleh dikira sebegitu pun.

وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًا

dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya,

Bangsa-bangsa sebelum orang Mekah tanahnya subur kerana diturunkan hujan dengan banyak. مِّدْرَارًا bermaksud ‘tidak berhenti’. Iaitu ‘banyak’ yang baik. Kerana kadang-kadang kalau banyak sangat tidak sesuai untuk kita. Boleh jadi banjir pula. Sampai nak buat kerja pun tak boleh. Maka, مِّدْرَارًا bermaksud setiap kali mereka perlukan air, ianya akan diberikan kepada mereka. Apabila hujan turun dengan banyak, tanah mereka subur dan tanaman mereka banyak. Suasana kehidupan pun bagus, tidaklah kering kontang. Suasana pun menghijau yang indah pada pandangan mata.

Tapi bandingkan dengan orang Arab yag duduk di padang pasir sahaja. Keadaan panas sahaja. Hujan jarang sekali turun. Makanan pun terhad. Tidak boleh dibandingkan langsung dengan orang-orang dahulu yang tamadun mereka lebih hebat dari mereka.

وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمْ

dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka,

Air amat penting untuk tamadun. Lihatlah tamadun-tamadun dahulu. Selalunya mereka bermula berdekatan dengan tempat yang ada air. Kerana air adalah sumber kehidupan. Memudahkan minuman dan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat. Sampai sekarang pun begitu juga.

Bandingkan pula dengan orang Arab yang langsung tidak ada sungai. Maknanya, mereka ini dhaif sangat kalau nak dibandingkan dengan orang-orang dahulu.

فَأَهْلَكْنَاهُم بِذُنُوبِهِمْ

kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka

Walaupun mereka dahulu itu kuat tamadun mereka, tapi Allah boleh musnahkan begitu sahaja. Tidak menjadi masalah kepada Allah.

Mereka dibinasakan bukan kerana kemewahan dan kemajuan mereka yang mereka nikmati, tapi kerana dosa syirik yang mereka lakukan. Dosa menolak dakwah Nabi mereka. Dosa atas kesalahan berat mereka seperti Kaum Nabi Luth yang mengamalkan homoseksual. Tapi ma sha Allah, ada kalangan masyarakat dunia kita termasuklah orang Islam kononnya yang mengamalkan homoseksual. Allah boleh sahaja jatuhkan azab kepada kita. Semoga Allah selamatkan kita.

Dari ayat ini kita tahu yang Allah boleh beri azab disebabkan oleh dosa besar. Maka kenalah kita ingat. Kenalah kita ajak orang lain jangan buat dosa, jangan buat syirik. Sebab kalau Allah turunkan azab, dengan kita-kita sekali kena. Bayangkan kaum-kaum yang diberi azab itu, tentu ada antara mereka yang tak ikut buat kesalahan itu. Seperti kanak-kanak contohnya, tapi semua sekali diberikan azab itu.

Kemusnahan bukan sahaja dengan benda-benda yang kita boleh nampak. Kemusnahan juga boleh dalam bentuk perkara yang tak nampak – sebagai contoh, Allah boleh tarik balik nikmat yang Allah berikan kepada kita.

وَأَنشَأْنَا مِن بَعْدِهِمْ

dan Kami bangkitkan sesudah mereka,

Perkataan أَنشَأْ diambil dari katadasar ن ش أ yang bermaksud ‘membangkitkan dan kemudian kuatkan’. Maknanya, selepas dibangkitkan, mereka diberikan dengan segala keperluan supaya mereka kekal berdiri.

Allah boleh sahaja musnahkan seluruh kaum itu dan bangkitkan kaum yang lain. Tidak ada masalah. Kalau Allah nak musnah kita semua pada zaman sekarang pun boleh. Ikut kepada Allah, kita tidak mampu buat apa-apa. Kerana itulah kita takut kalau-kalau Allah berikan azab kepada kita disebabkan oleh banyaknya perkara syirik yang dilakukan di kalangan kita.

قَرْنًا آخَرِينَ

umat yang lain

Umat yang mengganti itu tinggal dan duduk di tempat peninggalan umat-umat dahulu. Macam peninggalan Firaun dan kaumnya selepas mereka tenggelam dalam laut, telah diambil oleh kaum lain. Macam kita, entah-entah kita duduk di atas peninggalan kaum yang telah dihancurkan. Kita sendiri tidak tahu. Semasa mereka zaman kegemilangan, semua orang tahu dan kenal mereka, tapi apabila telah dihancurkan, tidak ada pun yang sebut mereka lagi.

—————————–

Ayat 7: Ini adalah satu ayat yang penting. Ianya tentang ‘risalah’ yang disampaikan kepada manusia. Antara hujah utama musyrikin Mekah adalah mereka kata nak tengok baru nak percaya. Nak tengok Quran turun. Nak tengok Allah, nak tengok malaikat dan macam-macam lagi. Ini adalah tentang permintaan mereka hendak melihat Quran diturunkan.

6:7
Transliteration

Walaw nazzalna AAalayka kitabanfee qirtasin falamasoohu bi-aydeehim laqala allatheenakafaroo in hatha illa sihrun mubeen

Sahih International

And even if We had sent down to you, [O Muhammad], a written scripture on a page and they touched it with their hands, the disbelievers would say, “This is not but obvious magic.”

Malay

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka, nescaya orang-orang yang kafir itu berkata: “Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

 

وَلَوْ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ كِتَابًا

Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab

Perkataan كِتَابًا bermaksud sesuatu yang ‘bertulis’. Seperti yang kita tahu, Quran tidak diturunkan siap bertulis. Ianya disampaikan kepada Nabi Muhammad terus melalui perantaraan Jibrail. Nabi kemudiannya akan menyampaikan kepada sahabat. Ada kalangan sahabat yang dilantik sebagai penulis wahyu, maka mereka akan menulis ayat-ayat yang baru turun itu.

Jadi, orang-orang Arab yang tidak mahu menerima Quran sebagai ayat-ayat dari Allah telah datang dengan satu lagi permintaan mengarut mereka – mereka nak lihat Quran itu siap bertulis. Kononnya, baru mereka nak percaya.

فِي قِرْطَاسٍ

pada kertas,

Seperti yang kita tahu, Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa siap bertulis. Tidak dapat dipastikan bagaimana rupa tulisan asal Kitab Taurat itu dan di atas apakah ianya ditulis, entah kertas, entah batu, Allahu a’lam.

Musyrikin Mekah minta kitab Quran yang siap tertulis di atas kertas. قِرْطَاسٍ bermaksud kertas yang macam kertas yang telah ada di Mesir. Kita pun pernah lihat kertas papyrus itu. Ada juga kertas sebegitu sampai ke Tanah Arab. Tapi ianya dianggap satu benda yang amat asing kepada mereka.

Kertas Papyrus dari Mesir

فَلَمَسُوهُ بِأَيْدِيهِمْ

lalu mereka dapat memegangnya dengan tangan mereka,

لمس bermaksud boleh dipegang, dirasa dengan tangan dan kata بِأَيْدِيهِمْ bermaksud mereka bukan setakat nak sentuh sahaja tapi mereka nak belek.

Kita pun sudah tahu yang masyarakat Arab kebanyakannya tidak boleh membaca. Tapi masih lagi mereka meminta kitab yang siap bertulis. Bukan mereka boleh manfaatkan pun kalau Quran diturunkan siap bertulis sebab mereka memang bangsa yang tak boleh membaca. Itulah kebodohan mereka – minta sesuatu yang tidak berguna untuk mereka.

Tapi, mereka nak puaskan hati mereka kononnya, yang bukan Nabi Muhammad mereka sendiri Quran itu. Maka itulah sebabnya mereka nak pegang dan belek kitab itu dengan tangan.

Tidaklah salah kalau kita nak pastikan kebenaran sesuatu perkara itu. Memang kalau kita dapat pegang dan lihat sendiri sesuatu benda itu, kita akan percaya sepenuhnya. Macam kalau kita dah pergi ke Mekah dan lihat sendiri Kaabah, boleh sentuh Kaabah, kita akan bertambah percaya. Tapi puak-puak Musyrikin Mekah ini memang hati mereka telah tertolak, maka walaupun kalau mereka dapat pegang sendiri Kitab Quran yang diturunkan dari langit, mereka takkan percaya. Allah dah tahu dah hati-hati mereka, oleh itu, Allah bongkarkan apa yang ada dalam hati mereka dalam bahagian yang seterusnya.

لَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

nescaya orang-orang yang kafir itu berkata:

Allah nak beritahu, walaupun kalau diberikan mereka dengan kitab yang siap bertulis diturunkan dari langit dan mereka boleh pegang dan mereka boleh belek, mereka masih lagi tidak mahu beriman. Mereka akan beri alasan lain pula.

إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

“Ini tidak lain, hanyalah sihir yang terang nyata”.

Mereka akan kata Nabi ahli sihir pula dan Quran yang siap bertulis itu adalah dari perbuatan sihir sahaja.

Perkataan سِحْرٌ asalnya bermaksud ‘sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata’. Yang disorok dari pandangan mata. Begitu jugalah kita guna perkataan ‘sahur’ yang bermaksud waktu gelap malam yang paling gelap sampai tak nampak apa-apa dengan mata kasar.
Secara teknikalnya, سِحْرٌ adalah apabila ahli sihir menggunakan berbagai cara untuk menipu penontonnya – mengelabui mata penonton, sampai mereka nampak benda yang lain. Sihir memang boleh memberi kesan kepada manusia. Ada manusia yang disihir sampai mereka akan rasa sakit. Kalau periksa dengan doktor, doktor pun tak tahu kenapa dia boleh jatuh sakit begitu. Orang itu memang sakit, tapi penyebabnya ‘tak nampak’ – disorok dari mata. Kalau tengok bawah mikroskop pun tak nampak.

Begitu juga, boleh jadi satu pasangan suami isteri yang tiba-tiba tidak suka satu sama lain. Tengok pun dah menyampah. Ini adalah salah satu sihir yang diamalkan oleh manusia – untuk memisahkan antara suami dan isteri.

Sihir menggunakan jin untuk menjadikannya. Dan jin pula bukankah ‘tidak boleh dilihat’?

Jadi kenapa mereka akan kata kitab itu satu sihir? Kerana hati mereka memang tidak mahu percaya. Bila mereka tak dapat jelaskan, maka mereka akan kata ianya adalah sihir. Maka, Allah nak kata buang masa sahaja untuk melayan permintaan mereka itu. Mereka takkan percaya. Allah telah beritahu Nabi awal-awal lagi.

———————–

Ayat 8: Ini pula adalah permintaan mereka yang lain.

6:8
Transliteration

Waqaloo lawla onzila AAalayhimalakun walaw anzalna malakan laqudiya al-amruthumma la yuntharoon

Sahih International

And they say, “Why was there not sent down to him an angel?” But if We had sent down an angel, the matter would have been decided; then they would not be reprieved.

Malay

Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara, kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).

وَقَالُوا

Dan mereka berkata:

‘Mereka’ dalam ayat ini adalah Musyrikin Mekah. Ada sahaja permintaan dan hujah mereka kepada Nabi Muhammad dan orang Islam. Apa pula hujah mereka kali ini?

لَوْلَا أُنزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ

“Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? “

Mereka kata: Kalau betul Nabi Muhammad itu seorang Rasul, Allah dah lantik dia sebagai Rasul, kenapa tidak ada malaikat iring baginda? Kalau ada malaikat, adalah yang bantu Nabi Muhammad. Tentulah malaikat itu akan memberitahu apa yang Nabi Muhammad cakap itu benar. Dan malaikat itu juga akan beri amaran kepada orang yang tak mahu beriman itu. Senanglah mereka nak beriman; itulah antara hujah mereka. Mereka nak malaikat pula diturunkan dan mereka boleh nampak malaikat itu dengan jelas dengan mata mereka sendiri.

وَلَوْ أَنزَلْنَا مَلَكًا

padahal, kalau Kami turunkan malaikat,

Allah boleh sahaja turunkan sekali malaikat untuk bersama Nabi, tapi Allah tak buat begitu. Tapi katakanlah Allah buat begitu, apa yang akan jadi?

لَّقُضِيَ الْأَمْرُ

nescaya mereka akan diberikan keputusan.

Ada beberapa fahaman untuk ayat ini:

1. Kalau Allah turunkan sekali malaikat, maka tentulah mereka akan percaya. Sebab dah ada malaikat depan mata. Tapi, tidaklah ada ujian lagi. Kerana ujian adalah untuk percaya kepada benda yang ghaib. Yang kita tak nampak, tapi kita percaya – itulah iman. Kalau mereka dah nampak dengan mata kepala sendiri, maka tidaklah ada ujian lagi dah. Ini adalah pendapat pertama potongan ayat ini.

2. Pendapat kedua adalah mereka akan diberikan azab kalau malaikat turun sekali. Iaitu mereka akan dimatikan dengan azab macam kaum Aad dan Tsamud. Sebab malaikat datang untuk memusnahkan, bukan untuk lawat suka-suka. Malaikat ada tujuan mereka diturunkan, bukan senang-senang sahaja nak turun. Itulah sebabnya sesat golongan silat dan mereka yang ikut-ikut mereka yang berdoa: “Jibrail di hadapan ku, Mikhail di belakang ku…..” dengan kepercayaan bodoh mereka yang malaikat-malaikat itu akan beri keselamatan kepada mereka. Ma sha Allah! Siapalah agaknya yang mula bawa masuk ajaran sesat ini dalam negara kita ini? Kenapalah jahil sangat masyarakat kita sampai boleh percaya dengan ajaran sesat sebegini?

3. Kalau malaikat turun pun, mereka takkan percaya. Kerana keras sangat hati mereka. Mungkin mereka akan beri alasan lain pula. Dan apabila mereka tidak percaya, mereka akan diberikan azab. Mereka akan dimusnahkan terus. Maka, ‘selesailah’ hidup mereka, iaitu mereka akan dimusnahkan.

4. Kalau mereka nampak malaikat, mereka akan mati terus kerana mereka akan terkejut tengok malaikat itu.

ثُمَّ لَا يُنظَرُونَ

kemudian mereka tidak diberi tangguh

Meraka dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut. Tidak ada masa lagi nak bertaubat, nak minta maaf, nak buat amal, tidak sempat buat apa-apa langsung. Bila malaikat turun, tentunya mereka akan mati terus. Tak sempat nak buat apa-apa.

Lompat ke ayat-ayat yang seterusnya

==================

Ref: UR, TZ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 006: al-An'am. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah al-An’am Ayat 1 – 8

  1. shazreen says:

    Sangat membantu

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s