Tafsir Surah Ad-Dukhan Ayat 40 – 59 (Penerangan Akhirat)

hari keputusan

Hari Keputusan. Hari amalan dihisab.

Ayat 40: Sekarang Allah menceritakan tentang Hari Kiamat pula. Ini adalah salah satu perkara yang selalu diulang-ulang dalam Quran untuk mengingatkan manusia tentang ancaman Allah. Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

إِنَّ يَومَ الفَصلِ ميقاتُهُم أَجمَعينَ

Sahih International

Indeed, the Day of Judgement is the appointed time for them all –

Malay

Sesungguhnya hari pemutusan hukum untuk memberi balasan, ialah masa untuk mereka semua berhimpun, –

إِنَّ يَوْمَ الْفَصْلِ

Sesungguhnya hari pemutusan hisab amal,

Perkataan الْفَصْلِ literalnya bermaksud ‘yang memisahkan’. Ianya dipanggil ‘hari pemutusan’ kerana pada hari itu, walaupun semua makhluk akan dikumpulkan, tapi mereka akan dipisahkan antara satu sama lain. Apa sahaja pertalian antara mereka akan diputuskan walaupun antara kawan, keluarga, anak murid dan sebagainya. Mereka akan diadili seorang demi seorang.

Kebenaran dan kebatilan juga akan dipisahkan pada hari itu. Pada hari itu, akan nampak jelas kepada semua orang mana yang salah dan mana yang benar. Yang baik akan dibalas dengan baik dan yang salah juga akan dibalas.

Keputusan akan diberikan kepada semua makhluk pada hari itu.

 

مِيقَاتُهُمْ أَجْمَعِينَ

ialah masa untuk mereka semua berhimpun, –

Perkataan مِيقَاتُ diambil dari perkataan وقت yang bermaksud ‘sesuatu yang telah ditetapkan dari segi waktu’. Semua makhluk akan dihimpunkan pada masa yang telah ditetapkan. Masanya telah ditetapkan tapi hanya Allah sahaja yang tahu bilakah masanya.

Mereka yang tidak beriman tidak percaya kepada hari ini. Mereka tak sangka hari ini akan tiba – tapi ianya pasti akan berlaku. Samada mereka percaya atau tidak, mereka tetap akan dikumpulkan. Semua sekali akan dihimpunkan, tidak ada seorang pun yang akan tertinggal.


 

Ayat 41: Apakah yang terjadi pada hari itu?

يَومَ لا يُغني مَولًى عَن مَولًى شَيئًا وَلا هُم يُنصَرونَ

Sahih International

The Day when no relation will avail a relation at all, nor will they be helped –

Malay

Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan,

يَوْمَ لَا يُغْنِي

Iaitu hari tidak dapat membantu,

Ramai yang sangka dan berharap yang mereka akan dibantu oleh seseorang. Ada yang mengharapkan tuhan sembahan mereka selain Allah, dewa mereka, ahli keluarga mereka, wali yang mereka puja dan beri salam, malaikat, guru mereka yang mengajar mereka ajaran salah dan macam-macam lagi. Apabila mereka sangka mereka akan ditolong, maka mereka rasa selamat. Tapi ini adalah satu pemahaman yang salah. Tidak ada sesiapa yang dapat membantu kita nanti di akhirat melainkan amal kita sendiri.

 

مَوْلًى عَن مَّوْلًى شَيْئًا

seseorang kerabat atau sahabat karib kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya, walau sedikit pun.

Apakah maksud مَوْلًى? Ianya dari perkataan و ل يً – wali. Orang kita banyak sebut perkataan ini, terutama yang belajar agama, lebih-lebih lagi yang berkecimpung dalam ajaran tarekat. Sikit-sikit mereka akan sebut wali itu dan wali ini. Mereka paling suka kalau bercerita tentang kehebatan wali mereka. Seronok dan khayal mereka dengan kisah dongeng para wali.

Wali dan مَوْلًى adalah ‘kawan rapat’ dan juga ‘penjaga’. Apakah bezanya?
Wali – seseorang yang menawarkan pertolongan mereka.
مَوْلًى – yang pasti membantu. Dia memenuhi janjinya untuk membantu.

Perkataan مَوْلًى digunakan dalam ayat ini kerana memang mereka semasa di dunia membantu kita. Tapi di akhirat, mereka tidak dapat membantu. Seperti ibubapa kita, kita memang boleh mengharapkan mereka membantu kita dalam setiap keadaan kerana mereka memang sayang kepada kita. Begitu juga, ada jenis-jenis kawan yang kita memang boleh harap. Kalau ada masalah, kalau kita minta tolong, mereka akan tolong selagi boleh. Sebab ada jenis kawan yang hanya berkawan dengan kita semasa senang sahaja. Tapi مَوْلًى adalah kawan yang memang boleh diharap.

Tapi mereka hanya boleh jadi مَوْلًى semasa di dunia sahaja. Mereka tak boleh nak tolong langsung sesiapa pun apabila di akhirat nanti.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantu sedikit pun. Seorang ayah pun tidak dapat membantu anak dia. Tidaklah juga seorang guru boleh tolong anak muridnya. Tidaklah seorang wali boleh menolong sesiapa pun. Tapi berapa banyak masyarakat kita yang memuja wali, sebab mengharap wali-wali itu boleh menolong mereka. Mereka seru wali-wali mereka itu siang dan malam, dengan harapan dapat mendekatkan diri mereka dengan wali yang diseru itu. Tapi seperti Dakwa surah ini beritahu kita, hanya Allah sahaja yang Maha Mendengar seruan kita, dan para wali itu tidak ada sifat mendengar sebegitu. Jadi, serulah banyak mana pun, mereka tidak dapat mendengar. Jadi mereka yang menyeru-nyeru itu sebenarnya bertepuk sebelah tangan sahaja.

 

وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan

Tidak ada sesiapa yang boleh ditolong. Nak tolong tak boleh, nak ditolong pun tidak boleh. Mereka nampak kenalan mereka, bukan tak nampak, tapi tak boleh nak tolong.

Jadi kita tidak boleh nak mengharap kepada sesiapa pun di akhirat nanti. Maka janganlah kita bangga dan rasa selamat kalau ada keluarga kita yang alim, atau kita ada kawan dengan orang yang baik-baik. Kita kena harap pada diri kita sahaja. Dan janganlah buang masa lagi menyeru-nyeru para Nabi dan wali dengan harapan mereka tolong kita nanti.


 

Ayat 42: Kalau tidak ada sesiapa pun yang boleh tolong, maka nak harap kepada siapa waktu itu?

إِلّا مَن رَحِمَ اللَّهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

Sahih International

Except those [believers] on whom Allah has mercy. Indeed, He is the Exalted in Might, the Merciful.

Malay

Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

 

إِلَّا مَن رَّحِمَ اللَّهُ

Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah;

Hanya dengan Allah sahaja kita boleh harap. Kita hendaklah mengharapkan rahmat dari Allah. Kita mengharapkan kasihan belas dari Allah. Tidak boleh kita mengharapkan kepada yang lain. Kalau kita menaruhkan harapan kepada yang lain, kita akan kecewa.

Maka, kita kena buat baik semasa di dunia, barulah Allah akan beri rahmat kepada kita. Kita hendaklah mengikut arahanNya, menjadi hambaNya. Dan serulah Allah banyak-banyak semasa di dunia. Terus doa kepada Allah, terus berharap dengan Allah. Bukannya dengan wali, Nabi dan malaikat.

 

إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ

sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

Kenapa kita hanya boleh mengharap kepada Allah? Kerana Allah Maha Kuasa – maka tidak ada sesiapa yang boleh desak Allah untuk tolong sesiapapun. Tidaklah boleh seluruh makhluk dalam dunia ini, kalau tak puas hati dengan Allah, kumpul ramai-ramai dan buat demonstrasi tunjuk perasaan untuk Allah buat sesuatu, atau untuk masukkan sesiapa dalam syurga dan sebagainya. Tidak boleh langsung kita hendak desak Allah. Allah buat apa yang Allah hendak buat. Maka, janganlah kita mengharap kepada ibubapa kita, guru-guru kita, syeikh-syeikh kita, wali-wali dan sebagainya.

Dalam masa yang sama Allah akan bersifat Rahman kepada mereka yang beriman dan beramal soleh. Allah boleh tolong sesiapa yang Dia hendak tolong. Allah amat belas dan kasihan kepada hambaNya. Terutama sekali kepada hamba yang mukmin.


 

Ayat 43: Ayat sebelum ini Allah sebut rahmahNya. Sekarang Allah menceritakan tentang akhirat pula – tentang neraka. Apakah kaitan penceritaan neraka dan sifat rahmahNya? Kerana dari sifat rahmah Allah lah Dia menerangkan tentang neraka dan balasan akhirat kepada kita. Jangan kita lupa bahawa penerangan tentang neraka adalah salah satu dari sifat rahmah Allah. Untuk menakutkan kita supaya kita memperbetulkan diri kita. Allah jelaskan neraka dalam bentuk grafik supaya kita dapat bayangkan. Supaya kita mendapat pengajaran dan takut dengan akhirat. Apabila kita takut, kita akan berbuat baik di dunia.

Agama lain tidak ada elemen ini. Agama mereka tidak menceritakan neraka dan syurga dengan panjang lebar. Mereka tak tahu bagaimanakah keadaan neraka dan syurga. Sampaikan mereka mempermainkan keadaan neraka. Mereka agak-agak sahaja apa yang ada di neraka dan syurga. Banyak kartun-kartun yang mempermainkan keadaan di sana. Banyak lelucon yang difikirkan oleh mereka.

Jadi, marilah kita belajar dan tahu tentang apakah yang ada di neraka itu. Apakah balasan kepada orang yang berdosa? Bagaimanakah keadaan dalam neraka itu? Pertamanya, apa mereka akan makan?

إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقّومِ

Sahih International

Indeed, the tree of zaqqum

Malay

(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum, –

 

إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقُّومِ

Sesungguhnya pokok Zaqqum, –

Inilah makanan yang paling buruk sekali. Tidak ada makanan yang baik-baik untuk penghuni Neraka. Apabila mereka minta makanan, mereka akan diberikan dengan buah dari Pokok Zaqqum. Inilah satu-satunya pokok yang dapat hidup dalam neraka. Tidak ada pokok lain lagi dah. Kalau dalam syurga, sentiasa Allah menceritakan berbagai jenis pokok dan buah-buahan. Tapi dalam neraka, hanya ada pohon Zaqqum sahaja.

Orang kafir Mekah mengejek-ngejek tentang pokok Zaqqum ini. Mereka kata mereka suka Zaqqum itu. Mereka kata adalah makanan untuk mereka nanti kalau mereka masuk neraka.


 

buah pohon-zaqqum snap dragon

Buah zaqqum tentulah lebih mengerikan dan dahsyat daripada yang digambarkan di atas.

Ayat 44: Untuk siapakah buah Zaqqum itu?

طَعامُ الأَثيمِ

Sahih International

Is food for the sinful.

Malay

(Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).

طَعَامُ الْأَثِيمِ

makanan bagi orang yang berdosa besar

Iaitu mereka yang banyak buat dosa. Dosa pula jenis dosa yang besar. Tapi bukan itu sahaja makna الْأَثِيمِ ini. Ia juga bermaksud ‘mereka yang condong ke arah dosa dan tidak mahu berbuat baik’. Mungkin mereka tak buat lagi dosa tapi mereka dah condong dah. Hati mereka ke arah berbuat dosa.

Perkataan الْأَثِيمِ ini asalnya digunakan untuk unta yang boleh bergerak pantas, tapi nak jalan perlahan juga. Seperti juga manusia yang boleh sebenarnya nak buat kebaikan, tapi mereka tak mahu. Kerana hati mereka telah condong kepada berbuat dosa. Peluang nak buat baik ada, tapi mereka tak raih peluang itu.

Maka, untuk mereka itu, mereka akan diberi makanan buah Zaqqum!


 

Ayat 45: Apakah sifat buah Zaqqum ini? Dalam sirah, ada diceritakan bagaimana orang-orang musyrikin Mekah bermain-main dengan cerita Nabi tentang buah Zaqqum ini. Mereka telah diberitahu oleh Nabi bahawa penghuni Neraka akan makan buah Zaqqum. Jadi, mereka memperolokkan baginda dengan berkata: “Wahai kawan-kawan, mari kita makan buah Zaqqum!”. Alangkah kurang ajar mereka. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan buah Zaqqum itu.

كَالمُهلِ يَغلي فِي البُطونِ

Sahih International

Like murky oil, it boils within bellies

Malay

(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut, –

كَالْمُهْلِ

seperti kerak minyak,

Iaitu minyak masak yang telah banyak kali digunakan untuk memasak. Lama-lama ianya akan melikat dan pekat berwarna kegelapan. Seperti juga tembaga yang telah dipanaskan sampai jadi cair. Ianya sangat-sangat panas. Dan ianya melekat kepada tubuh kita kerana ianya pekat dan likat. Maka, kehangatannya bertambah lagi. Bayangkan kalau kita sentuh lilin yang cair kepanasan. Ianya memang dah panas dah, tapi ianya lebih panas kerana apabila ianya cair, ianya melekat kepada tubuh kita, kan?

Itulah buah Zaqqum itu nanti dan dibayangkan seksanya dalam ayat ini. Ma sha Allah! Semoga kita terselamat dari memakan buah ini.

 

يَغْلِي فِي الْبُطُونِ

yang mendidih dalam perut, –

Bila makan sahaja buah Zaqqum itu, ianya akan bertukar menjadi minyak yang mendidih. Bayangkan apabila sesuatu itu mendidih, ianya akan berbunyi cissss. Mendidihnya seperti tembaga yang cair. Bayangkan bagaimana tembaga boleh mendidih dalam perut!


 

Ayat 46: Bagaimana ia mendidih itu?

كَغَليِ الحَميمِ

Sahih International

Like the boiling of scalding water.

Malay

Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.

كَغَلْيِ الْحَمِيمِ

Seperti mendidihnya air yang panas.

Bayangkan kalau kita memasak kerak minyak. Kerak minyak adalah sesuatu yang pekat, bukan macam air. Kalau air, kita boleh masak dan senang sahaja nak jadi mendidih. Membuak-buak kalau air telah mendidih. Tapi kalau kita nak masak kerak minyak dalam dunia, ianya tidak akan mendidih. Kerana ianya pekat.

Tapi bayangkan bagaimana di neraka nanti, sesuatu yang pekat itu boleh sampai jadi mendidih. Kerana api yang digunakan bukan api jenis yang digunakan di dunia, tapi api neraka! Maknanya, ianya panas sangat, sampai ribu juta darjah. Ianya mendidih dalam perut ahli neraka pula!


 

Ayat 47: Bukan itu sahaja seksaan yang dikenakan kepada mereka. Ada lagi yang diterangkan dalam ayat ini.

خُذوهُ فَاعتِلوهُ إِلىٰ سَواءِ الجَحيمِ

Sahih International

[It will be commanded], “Seize him and drag him into the midst of the Hellfire,

Malay

(Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): “Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka.

خُذُوهُ

Tangkaplah orang yang berdosa itu

Allah suruh malaikat tangkap ahli neraka. Atau penjaga neraka bercakap sesama mereka. Sebenarnya ahli neraka bukan boleh lari mana pun. Ada di situ sahaja pun. Tapi dihina mereka dengan disuruh mereka itu ditangkap. Macam tangkap binatang.

 

فَاعْتِلُوهُ

dan seretlah dia

Diseret dengan diikat dengan besi. Bayangkan seorang penjenayah yang tidak mahu bergerak, dan polis akan pegang beramai-ramai dan seret dia dengan ganas. Diseret dalam keadaan meronta-ronta.

 

إِلَىٰ سَوَاءِ الْجَحِيمِ

ke tengah-tengah neraka.

Diseret ke tengah neraka kerana mereka akan dikenakan seksaan di tengah-tengah neraka itu. Semua kena duduk di tengah neraka, tidak boleh lari ke tepian.


 

Ayat 48: Selepas diseret ke tengah Neraka, apakah yang akan dilakukan kepada mereka?

ثُمَّ صُبّوا فَوقَ رَأسِهِ مِن عَذابِ الحَميمِ

Sahih International

Then pour over his head from the torment of scalding water.”

Malay

“Kemudian curahkanlah di atas kepalanya – azab seksa – dari air panas yang menggelegak”.

ثُمَّ صُبُّوا

Kemudian curahkanlah

صُبُّوا bermaksud dicurahkan dengan banyak macam air terjun. Bukan sikit-sikit.

 

فَوْقَ رَأْسِهِ

di atas kepalanya –

Sudahlah dalam perut mereka telah mendidih buah dari pokok Zaqqum, sekarang dicurahkan lagi satu jenis azab ke atas kepala mereka. Maknanya, ada azab dari dalaman dan luaran. Apakah yang dicurahkan ke atas kepada mereka itu?

 

مِنْ عَذَابِ الْحَمِيمِ

dari azab air panas yang menggelegak”.

Ini adalah jenis air panas pula. Memang berbagai jenis azab akan dikenakan kepada penghuni neraka.


 

Ayat 49: Kemudian dikatakan kepada mereka:

ذُق إِنَّكَ أَنتَ العَزيزُ الكَريمُ

Sahih International

[It will be said], “Taste! Indeed, you are the honored, the noble!

Malay

(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): “Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)”

 

ذُقْ

Rasalah,

Rasalah azab seksa itu. Sudahlah kena seksa, kena perli lagi. Ini adalah azab emosi.

 

إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْكَرِيمُ

Sesungguhnya engkau dulu adalah orang yang gagah perkasa dan terhormat

Allah ejek mereka dalam ayat ini. Mereka inilah orang-orang kaya dan orang-orang besar yang ada kedudukan dulu semasa mereka di dunia. Dan kerana kedudukan mereka dulu, mereka telah jadi sombong dan telah jadi sesat. Termasuk dalam golongan ini adalah guru-guru agama yang mengajar ajaran salah, ajaran sesat. Inilah juga mereka yang ambil upah dalam amalan mereka dan apabila mereka mengajar.

Kita semasa di dunia hendakkan kedudukan yang tinggi. Jangan sampai ianya menjauhkan kita dari agama. Janganlah sampai ianya menjatuhkan kita nanti.


 

Ayat 50: Ini lagi satu dikatakan kepada mereka.

إِنَّ هٰذا ما كُنتُم بِهِ تَمتَرونَ

Sahih International

Indeed, this is what you used to dispute.”

Malay

(Kemudian dikatakan kepada ahli neraka umumnya): “Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya!”

 

إِنَّ هَٰذَا مَا كُنتُم بِهِ

Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu

Waktu itu ditunjukkan neraka di hadapan mereka. Allah gunakan perkataan itu dalam bahasa present tense, padahal ianya belum berlaku lagi, supaya kita dapat membayangkan kalau kita ada di sana. Efek kepada emosi kita lebih tinggi lagi.

 

تَمْتَرُونَ

ragu-ragu terhadapnya!

Dulu kamu ragu-ragu kepadanya, tapi sekarang, ianya depan mata kamu dah! Apa nak buat lagi?

Kerana mereka ragu-ragu tentang adanya azab itu, mereka tidak buat persiapan untuk mengelak darinya.


 

Ayat 51: Ini pula adalah balasan kepada orang mukmin. Tabshir Ukhrawi. Amat berbeza nasib mereka dengan orang yang berdosa.

إِنَّ المُتَّقينَ في مَقامٍ أَمينٍ

Sahih International

Indeed, the righteous will be in a secure place;

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. –

 

إِنَّ الْمُتَّقِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah. Dalam setiap perbuatan mereka, mereka akan memikirkan apakah kemahuan Allah dalam perkara itu.

 

فِي مَقَامٍ أَمِينٍ

di tempat tinggal yang aman. –

Kepada mereka akan diberikan tempat tinggal yang aman sentosa. Mereka selamat dari kesusahan, ketidakselesaan, kerisauan dan sebagainya. Mereka tidak akan ada rasa takut.

Apakah maksud أَمِينٍ? Mereka tidak takut ianya akan ditarik dari mereka. Mereka tahu yang mereka akan kekal di dalamnya. Mereka akan terus berada di dalamnya. Kalau kita ada harta di dunia, kita sentiasa ada takut samada mungkin ianya akan kehilangan, diambil atau rosak. Jadi, kita tidak ada rasa aman yang sepenuhnya. Tapi di syurga, ianya akan kekal bersama kita.


 

Ayat 52: Semua ini dibandingkan dengan kemewahan yang ada pada Firaun dulu. Tapi semua itu ditinggalkan. Kepada ahli syurga, mereka tidak akan meninggalkannya.

في جَنّاتٍ وَعُيونٍ

Sahih International

Within gardens and springs,

Malay

Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya,

فِي جَنَّاتٍ

 

Di dalam beberapa taman Syurga,

Firaun ada banyak taman-taman, tapi taman-taman itu tidak bermakna kepadanya apabila ianya ditinggalkan terus.

 

وَعُيُونٍ

dengan matair-matair terpancar padanya,

Dalam ayat lain disebut bagaimana mata air itu dari berbagai jenis. Ada air yang dari air tawar, air madu, air susu dan air arak. Nak minum ambil sahaja dari sungai ituca. Air itu tidak memabukkan kita dan tidak memudharatkan kita. Kerana kalau kita di dunia, kalau minum lebih, ada kemungkinan ianya memudharatkan kita. Tapi tidak apabila di syurga nanti.


 

Ayat 53: Pakaian apakah yang mereka akan pakai di sana?

يَلبَسونَ مِن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُتَقابِلينَ

Sahih International

Wearing [garments of] fine silk and brocade, facing each other.

Malay

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).

 

يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍ

Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus

Di dunia, pakaian sutera adalah pakaian yang mewah. Tidak ramai yang boleh pakai sutera. Tapi semua ahli syurga akan pakai 70 lapis pakaian sutera. Kenapa banyak sangat? Kerana suasana di syurga adalah dingin – dingin yang menyenangkan. Jadi, kena pakai pakaian yang tebal sikit baru sedap lagi.

Di dunia, orang lelaki tidak dibenarkan memakai sutera. Ianya adalah hukum yang telah ditetapkan. Tapi dibenarkan memakainya di syurga. Jadi, kalau kita jaga hukum di dunia dengan tidak memakainya, kita akan memakainya di syurga kelak.

 

وَإِسْتَبْرَقٍ

dan kain sutera tebal yang bersulam;

Sebelum ini disebut sutera halus. Sutera halus untuk baju. Sutera kasar untuk seluar. Macam kita di dunia lah juga, kalau untuk seluar, kain yang lebih tebal digunakan.

Yang memakai sutera adalah apabila seseorang itu kaya dan tidak ada kerja berat yang perlu dilakukan. Takkan seseorang nak pakai sutera semasa buat kerja. Ini bermaksud, ia menunjukkan isyarat kemewahan, duduk bersenang lenang dan menikmati masa lapang.

 

مُّتَقَابِلِينَ

Duduk berhadap-hadapan.

Duduk dengan mesra bersama-sama ahli syurga yang lain. Tidak ada rasa marah dan tidak selesa apabila bersama dengan ahli syurga yang lain. Boleh duduk berhadap-hadapan. Bilakah kita boleh begini? Apabila tidak ada rasa kekok antara mereka. Kalau ada rasa kekok sikit pun, kita akan susah nak duduk berhadapan dengan orang lain. Dalam syurga tidak ada rasa langsung perasaan tidak selesa sebegitu.

Juga bermaksud semua mengadap di hadapan. Tidak duduk di belakang orang macam dalam dunia. Maknanya, tidak ada darjat rendah.


 

Ayat 54:

كَذٰلِكَ وَزَوَّجناهُم بِحورٍ عينٍ

Sahih International

Thus. And We will marry them to fair women with large, [beautiful] eyes.

Malay

Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.

 

كَذَٰلِكَ

Demikianlah balasannya;

Itulah balasan-balasan yang akan diberikan kepada mereka yang beriman dan beramal soleh semasa di dunia. Bukan itu sahaja, ada lagi yang akan diberi:

 

وَزَوَّجْنَاهُم

dan Kami jodohkan mereka

Mereka akan diberi pasangan. Siapakah pasangan mereka?

 

بِحُورٍ عِينٍ

dengan bidadari-bidadari cantik matanya.

Perkataan حُورٍ digunakan untuk ‘perempuan yang bermata cantik’. Mata putih amat putih dan mata hitam amat hitam – kontras yang cantik.

Perkataan عِينٍ pula digunakan untuk mengisyaratkan kepada perempuan yang mempunyai ‘mata besar yang cantik’. Terpesona kita melihatnya.

Ada juga yang membezakan: حُورٍ nisbah kepada warna kulit yang cantik. Dan عِينٍ pula nisbah kepada kecantikan mereka. Sudahlah kulit cantik, mereka pun memang cantik.

Ketua bidadari dalam syurga kita adalah isteri kita sendiri. Isteri kita lebih cantik dari bidadari-bidadari itu. Iaitu mereka akan dicantikkan apabila dimasukkan ke dalam syurga nanti. Bukanlah kita masuk dengan rupa kita semasa di dunia. Umur lelaki akan tetap 31 tahun dan perempuan berumur 29 tahun. Walau bagaimana cantik pun bidadari-bidadari itu, isteri kita lebih cantik dari mereka. Kerana isteri yang di dunia telah melalui banyak rintangan dan dugaan dan mereka ada melakukan amal ibadat. Walhal, bidadari dijadikan terus oleh Allah sebagai pasangan kita. Jadi, jangan kita ingat bidadari sahaja pasangan kita. Isteri kita pun akan bersama dengan kita kalau dia pun ahli syurga. Dan kalau isteri kita tidak masuk syurga, kita akan dipasangkan dengan wanita dunia yang tidak ada suami atau suami mereka tidak masuk syurga. Inilah salah satu pendapat.

Banyak persoalan diberikan terutama dari pihak wanita: “Kenapa hanya disebut bidadari sahaja? Kenapa tidak disebut pasangan untuk wanita pula?”. Ini wanita-wanita jangan risau. Wanita-wanita dunia akan dapat pasangan mereka juga. Malah, mereka akan dapat apa sahaja yang  mereka mahu. Tapi Quran hanya menyebut pasangan untuk lelaki sahaja, kerana memang perangai lelaki macam itu – berkehendak kepada wanita. Dari dulu sampai sekarang, dan semua orang lelaki begitu. Tapi orang perempuan lain sikit emosi mereka. Tidak sama seorang wanita dengan wanita yang lain. Tidak sama keinginana pada satu masa dan masa yang lain. Hari ini nak itu, esok nak benda lain pula. Jadi, tidak dapat disebut satu benda yang wanita berkeinginan penuh. Jadi, Quran hanya menyebut secara umum sahaja – mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka hendak. Jadi jangan takutlah kalau mereka tidak mendapat nikmat macam yang lelaki dapat. Tidak ada kekurangan pada mereka – mereka akan dapat semuanya, tapi tidak dapat disebut apakah perkara itu.


buah-buahan-dalam-al-quran

Ayat 55:

يَدعونَ فيها بِكُلِّ فاكِهَةٍ آمِنينَ

Sahih International

They will call therein for every [kind of] fruit – safe and secure.

Malay

Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.

 

يَدْعُونَ فِيهَا

Mereka meminta – di dalam Syurga itu –

Allah beri motivasi lagi untuk manusia. Dalam dunia, kita hendak makan macam-macam. Hari-hari kita nak makan tapi tidak semua yang kita mahu, kita akan dapat. Kerana mungkin kita tidak mampu, atau benda itu pun memang tidak ada. Maka, Allah kata, nak makan apa sahaja mereka akan dapat.

 

بِكُلِّ فَاكِهَةٍ

tiap-tiap jenis buah-buahan,

Allah sebut buah-buahan kerana masyarakat Arab memang suka kepada buah-buahan.

 

آمِنِينَ

dalam keadaan aman.

Kenapa perkataan آمِنِينَ digunakan sekali lagi? Mereka dikatakan akan makan buah-buahan itu dalam keadaan aman kerana tidak akan habis, rosak, atau ianya akan menyebabkan kita sakit. Kadang-kadang kalau kita makan sesuatu makanan di dunia, ada sahaja rasa takut dengan sebab-sebab lain. Mungkin buah itu dah nak habis jadi kita berdikit nak makan; mungkin buah itu dah nak busuk; mungkin buah itu orang lain makan sedap tapi kita makan tak sedap pula sebab tak kena dengan tekak kita; atau kalau makan banyak sangat, akan menyebabkan kita sakit perut dan sebagainya. Sebagai contoh, ada orang tak boleh makan durian semasa di dunia disebabkan ada kesan-kesan tidak elok. Tapi kalau makan buah-buah di syurga, tidak akan ada kesan itu. Semuanya sedap-sedap belaka dan selamat untuk kita makan, tidak kira berapa banyak pun.

Perkataan ‘aman’ selalu diulang-ulang. Kerana ini adalah satu kriteria penting dalam syurga. Tidak ada rasa takut apa-apa dalam syurga nanti. Kalau harta dunia, ada sahaja rasa risau kita dengan harta itu – hilang, kena curi, rosak, dah tak cantik dan sebagainya. Tapi di syurga, kita akan rasa aman sahaja.


 

Ayat 56: Ada ayat sebelum ini yang menyentuh tentang kematian. Bagaimana musyrikin Mekah kata apabila mati, mereka akan jadi seperti mati yang sebelum hidup. Kali ini disentuh lagi hal kematian.

لا يَذوقونَ فيهَا المَوتَ إِلَّا المَوتَةَ الأولىٰ ۖ وَوَقاهُم عَذابَ الجَحيمِ

Sahih International

They will not taste death therein except the first death, and He will have protected them from the punishment of Hellfire

Malay

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu; dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

 

لَا يَذُوقُونَ فِيهَا الْمَوْتَ

Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu

Mati adalah satu benda yang paling ditakuti oleh manusia dalam dunia. Semua orang takut mati. Tapi dalam syurga, sudah tidak ada perasaan itu dah. Allah dah tarik habis perasaan itu dari dalam diri kita. Kerana tidak ada kematian lagi dah dalam syurga. Maka, memang tidak ada apa lagi yang ditakuti dalam syurga nanti. Kita boleh menikmati keamanan dan nikmat dalam syurga tanpa ada rasa risau sedikitpun.

 

إِلَّا الْمَوْتَةَ الْأُولَىٰ

selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu;

Itu sahaja kematian yang mereka akan rasai.

Dalam hadis, Nabi menceritakan bagaimana ‘mati’ akan dibawa ke hadapan antara syurga dan neraka. Waktu itu, ‘kematian’ itu Allah jadikan dalam bentuk seekor kibas. Dan penduduk syurga dan neraka akan dapat melihatnya. Maka ‘mati’ akan disembelih dan akan diberitahu kepada penghuni syurga dan neraka bahawa selepas itu tidak akan ada kematian lagi dah. Maka bergembiralah ahli syurga kerana mereka tahu mereka akan kekal dalam Syurga; dan menangislah ahli Neraka kerana mereka tahu yang mereka akan kekal dalam Neraka.

 

وَوَقَاهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

dan Allah selamatkan mereka dari azab neraka;

Kenapa mereka dikatakan ‘diselamatkan’? Kerana semua kita kena lalui neraka di Titian Sirat nanti. Mereka yang tidak masuk Neraka adalah mereka yang telah ‘diselamatkan’. Waktu itu, kita sendiri akan melihat bagaimana azab dalam Neraka itu. Dan kita akan lebih lagi rasa bersyukur kerana kita telah nampak apa yang kita telah selamat darinya.

Kalau kita terus masuk Syurga, kita mungkin tidak dapat menghargai sangat. Tapi bila dah nampak neraka, lepas itu dapat masuk syurga, lagilah kita rasa bersyukur.


 

Ayat 57:

فَضلًا مِن رَبِّكَ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الفَوزُ العَظيمُ

Sahih International

As bounty from your Lord. That is what is the great attainment.

Malay

(Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar.

 

فَضْلًا مِّن رَّبِّكَ

sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu

Limpah kurnia yang paling besar adalah yang disebut dalam ayat sebelum ini, iaitu tidak ada kematian.

فَضْلًا adalah satu ‘pemberian yang tidak perlu diberi’. Dibandingkan dengan pemberian yang kita beri mungkin kerana seseorang beri kita sesuatu dan kita balas budi dia. Jadi lain dengan فَضْلًا  ini. Kita tak perlu nak bagi tapi kita nak beri juga sebagai satu bonus. Jadi, segala kelebihan yang didapati dalam syurga adalah satu pemberian ‘bonus’ dari Allah.

فَضْلًا juga bermaksud pemberian balas yang lebih lagi dari apa yang diberi. Kerana kita tidak mungkin layak untuk masuk syurga berdasarkan kepada amalan kita. Tapi kita dapat masuk kerana Allah nak beri kepada kita atas sifat rahmatNya. Kerana Allah puas hati dengan apa yang telah kita lakukan. Tapi bandingkanlah pemberian segala nikmat syurga itu dengan amalan kita yang sedikit. Amal sedikit sahaja, tapi dibalas dengan banyak. Beramal beberapa tahun sahaja di dunia, tapi dibalas dengan syurga selama-lamanya. Memang patut kalau lafaz فَضْلًا digunakan.

 

ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

yang demikian itulah kemenangan yang besar.

Iaitu selamat dari neraka dan masuk syurga. Itulah kemenangan yang paling besar. Tidak ternilai harganya. Tidak mampu kita nak membayarnya walaupun kalau kita bermal sepanjang hidup kita. Kita tidak akan masuk syurga disebabkan amalan kita. Ini berdasarkan hadis Nabi.

Lafaz الْفَوْزُ selalu diterjemahkan sebagai ‘kemenangan’. Tapi ianya adalah jenis kejayaan yang didapati dan dalam masa yang sama, terlepas dari keburukan. Kita sudahlah dapat masuk syurga, tapi kita sebenarnya terlepas dari termasuk dalam azab neraka. Itu adalah kejayaan yang amat besar.

Jadi kita masuk syurga bukan kerana ‘pahala’ kita. Maka, amalan bidaah masyarakat kita yang ‘sedekah pahala’ itu adalah sia-sia sahaja.


 

Ayat 58: Sekarang berubah kepada topik yang baru pula – tentang Quran. Ini adalah kerana untuk masuk syurga, kena beramal dengan amalan Quran. Nabi Muhammad sudah tidak ada di kalangan kita untuk memberi nasihat terus kepada kita. Tapi kita tetap ada Quran ini. Maka, untuk masuk syurga dengan segala kenikmatan yang telah disebut di atas, kenalah belajar tafsir Quran dan beramal dengan apa yang disuruh dalam Quran. Kena dekati Quran ini. Dan untuk mendekatinya, Allah telah mudahkan untuk kita.

فَإِنَّما يَسَّرناهُ بِلِسانِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And indeed, We have eased the Qur’an in your tongue that they might be reminded.

Malay

Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya).

 

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ

Maka sesungguhnya Kami memudahkan Al-Quran

Allah mengulang topik Quran yang dibuka di awal surah. Surah ini dimulai dengan topik Quran dan sekarang di bahagian akhir, diulang balik topik yang sama.

‘Mudah’ bukanlah bermaksud ‘simple’, tapi possible. Quran bukanlah sesuatu yang mudah sangat sampai baca sekali boleh faham, baca sendiri boleh faham, tidak. Ini adalah kerana Quran ini adalah amanat yang tinggi bahasanya, hebat penerangannya. Sebab itu, kalau tidak belajar tafsir dengan guru, susah untuk faham apakah yang dimaksudkan oleh Quran. Walaupun kalau kita baca terjemahan pun, kita susah nak faham. Walaupun kita tahu bahasa Arab pun, agak susah juga untuk faham.

Tapi Allah masih lagi beri peluang kepada kita untuk memahaminya asalkan kita meluangkan masa dan tenaga sedikit untuk mempelajarinya. Memang kena masuk kelas tafsir. Begitulah tujuan blog tafsir ini. Ianya sebagai sumber rujukan untuk pembaca sekelian, tapi anda hendaklah berguru dengan guru yang faham Quran. Jangan salah pilih, nanti tersalah faham. Kena cari guru yang memang ada sanad untuk mengajar.

Untuk memahami Quran, ia memerlukan usaha tapi boleh dilakukan. Itulah maksud يسر itu. Maknanya ‘mudah’ itu, semuanya sudah disediakan untuk mencapai maksud. Macam kalau kita ditugaskan untuk menggali lubang – kita diberikan dengan alat-alat untuk menggali lubang seperti cangkul dan sebagainya. Maksudnya, Quran itu ‘dipermudahkan’.

 

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

Iaitu Bahasa Arab yang jelas. Sifat bahasa Arab ini lain dari bahasa dunia yang lain. Ini adalah kerana bangsa Arab tidak bercampur dengan bangsa lain semasa perkembangan bahasa Arab. Jadi, pencapaian bahasa Arab telah dipertingkatkan dan menjadi bahasa yang amat mantap. Mereka bangsa yang mementingkan keindahan bahasa dan mereka suka dan pandai berpuisi, bersajak dan sebagainya. Cuma apabila zaman berubah, bahasa Arab pun sudah dicampuri dengan bahasa lain dan ianya sudah tidak mantap lagi. Oleh itu, dalam memahami Quran, kita kena cari maknanya yang asal. Ini dipanggil ‘bahasa Arab Klasik’.

Bahasa yang digunakan dalam Quran adalah bahasa yang mudah difahami. Bukan macam bahasa falsafah, yang berpusing-pusing sampai tak faham dah. Sampai orang biasa tak faham. Tapi masih kena luangkan masa untuk belajar, bukan boleh faham sendiri.

Selalunya, apabila seseorang itu sudah semakin tinggi ilmunya, dah jadi Doktor Falsafah, dan ada PHD, cara cakapnya dah lain sikit sebab mindanya pun sudah berbeza. Sampaikan perkataan yang digunakan kadang-kadang tidak difahami oleh orang biasa, apatah lagi orang kampung. Tapi lihatlah, tiada yang lebih alim dari Allah, tapi Allah turunkan Quran yang mudah manusia fahami. Orang yang peringkat PHD boleh faham, orang kampung pun boleh faham. Begitulah hebatnya bahasa Quran itu.

 

لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

supaya mereka mendapat peringatan.

Inilah tujuan Quran. Memberi peringatan kepada manusia dan jin. Kalau bukan peringatan itu datang dari Quran, dari mana lagi? Kerana perkara-perkara ghaib memang kita tak boleh kalau kita nak usaha untuk tahu sendiri.

Ayat ini juga bermaksud Quran ini mudah untuk dihafali. Asalkan kita mahu berusaha. Mulakan dengan sikit kemudian kita akan perasan bahawa ianya semakin mudah. Kita juga boleh perasan yang kualiti hidup kita akan bertambah baik apabila kita mula menghafal Quran.


 

Ayat 59: Takhwif Duniawi. Tapi, dengan segala peringatan dan dakwah yang diberikan, puak Musyrikin Mekah dan mereka yang degil masih lagi tidak mahu beriman dan membantah usaha Nabi. Inilah nasihat Allah kepada baginda dan kepada kita juga:

فَارتَقِب إِنَّهُم مُرتَقِبونَ

Sahih International

So watch, [O Muhammad]; indeed, they are watching [for your end].

Malay

(Kiranya mereka tidak berbuat demikian) maka tunggulah (wahai Muhammad akan kesudahan mereka), sesungguhnya mereka juga menunggu (akan kesudahanmu).

 

فَارْتَقِبْ

maka tunggulah

Perkataan رقب bermaksud tunggu tapi bukan tunggu sahaja; ia bermaksud ‘tunggu sesuatu yang akan berlaku’.

Ayat ini bermaksud tunggulah kesudahan mereka. Seperti Nabi Musa menunggu apa yang akan terjadi kepada Firaun.

 

إِنَّهُم مُّرْتَقِبُونَ

sesungguhnya mereka juga menunggu.

Mereka menunggu Nabi mati. Kerana kata mereka, kalau Nabi mati, ajaran Nabi Muhammad ini akan mati bersamanya. Kalau mereka menunggu, maka kita pun kena lebih sabar dari mereka.

Atau, ia bermaksud, tidaklah yang mereka tunggu itu tapi keputusan azab Allah yang pasti akan kena kepada mereka.

Allahu a’lam. Lompat ke surah yang seterusnya, Surah Jathiya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 044: Dukhan. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Ad-Dukhan Ayat 40 – 59 (Penerangan Akhirat)

  1. Muhammad davit says:

    Thanks pa’ci

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s