Tafsir Surah ad-Dukhan Ayat 19 – 39 (Bumi dan langit menangis)

Ayat 19: Sambungan dari kisah Nabi Musa dan Firaun. Ini adalah dakwah Nabi Musa kepada Firaun. Ianya juga adalah peringatan kepada kita.

وَأَن لا تَعلوا عَلَى اللَّهِ ۖ إِنّي آتيكُم بِسُلطانٍ مُبينٍ

Sahih International

And [saying], “Be not haughty with Allah . Indeed, I have come to you with clear authority.

Malay

“Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah; sesungguhnya aku ada membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata.

وَأَن لَّا تَعْلُوا عَلَى اللَّهِ

“Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah;

Ini adalah dakwah Nabi Musa kepada bangsa Qibti. Nabi Musa bukan hanya untuk Bani Israil sahaja. تَعْلُوا bermaksud ‘rasa tinggi dari orang lain’. Nabi Musa mengingatkan Firaun dan kita semua supaya jangan melebihkan diri dari Allah. Jangan nak tinggi diri dari Allah. Sebaliknya kita kena rendahkan diri di hadapan Allah. Itulah yang selayaknya untuk diri kita. Kita tidak ada apa-apa.

Firaun merasakan dirinya terlalu tinggi. Dia sangka, dengan kuasanya dia boleh buat apa-apa sahaja yang dia hendak. Oleh itu dia tidak mahu tunduk kepada ajakan tauhid Nabi Musa. Bagaimana pula dengan kita dan masyarakat kita? Ada antara masyarakat kita yang apabila diberikan dalil dengan ayat-ayat Quran, mereka tak mahu menerima dalil yang diberikan. Mereka tidak mahu tunduk dengan arahan yang Allah telah keluarkan dalam Quran. Mereka yang tidak ikut suruhan Allah dan Nabi, maka mereka rasa mereka lebih tinggi dari Allah. Mereka rasa pendapat mereka lebih bagus. Mereka rasa akal mereka lebih bagus.

Begitulah banyak terjadi dalam kalangan kita. Iaitu apabila dibacakan ayat-ayat Quran dan hadis-hadis Nabi, mereka tak terima; mereka nak juga guna pendapat akal mereka, guru mereka dan kitab-kitab selain Quran. Macam mereka lebih tahu dari Nabi dan Allah. Atau mereka rasa pendapat guru mereka lebih dari ayat-ayat Quran. Ma sha Allah!

 

إِنِّي آتِيكُم بِسُلْطَانٍ مُّبِينٍ

sesungguhnya aku datang membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata.

Iaitu Nabi Musa datang dengan bawa mukjizat. Iaitu bukti yang baginda adalah seorang Nabi. Bukti baginda seorang Nabi adalah dengan mukjizat yang diberikan kepada baginda. Mukjizat yang ditunjukkan itu ada dua:

1. Tongkat baginda yang bertukar menjadi ular.
2. Tangan baginda yang bercahaya selepas baginda meletakkan di celah ketiaknya.

Kita tidak ada mukjizat, tapi kita ada Quran sebagai hujah kita dan ianya adalah mukjizat Nabi Muhammad dan mukjizat terakhir yang kekal sampai ke Hari Kiamat. Itulah dalil yang amat jelas sekali kepada mereka yang mahu membuka hati mereka kepada kebenaran. Yang tak jelas adalah mereka yang tak mahu belajar dan tidak mahu membuka hati mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 20: Ada Idmaj sebelum ayat ini. Tidak dimasukkan bagaimana Nabi Musa telah berdakwah sekian lama kepada mereka. Sekarang terus masuk kepada kisah bagaimana mereka telah buat keputusan untuk menyakiti baginda. Mereka marah sangat sampai mereka ancam nak sakiti Nabi atau hendak merejam baginda. Inilah kata-kata Nabi Musa kepada mereka apabila mereka mengancam hendak menyakitinya.

وَإِنّي عُذتُ بِرَبّي وَرَبِّكُم أَن تَرجُمونِ

Sahih International

And indeed, I have sought refuge in my Lord and your Lord, lest you stone me.

Malay

“Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku dan Tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku.

 

وَإِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي

“Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku

Sebaik-baik pelindung adalah Allah. Oleh itu, kita hendaklah meminta perlindungan kepada Allah dan percaya bahawa Allah akan melindung kita.

 

وَرَبِّكُمْ

dan Tuhan kamu,

Tuhan Nabi Musa bukan Tuhannya sahaja, tapi Tuhan kepada Firaun dan kaumnya juga. Walaupun mereka tak mengaku.

 

أَن تَرْجُمُونِ

daripada kamu merejam daku.

Dari sini kita tahu yang Firaun mengancam hendak ‘merejam’ Nabi Musa. Apa yang Musa lakukan adalah mengatakan yang baginda berlindung dengan Allah. Kerana Allah lah pelindung kita. Kalau Allah tidak izinkan sesiapa untuk mencederakan kita, tidak ada sesiapa yang boleh buat tak elok dengan kita. Inilah tawakal.


 

Ayat 21: Jika mereka tidak mahu terima Islam, sekurang-kurangnya,

وَإِن لَم تُؤمِنوا لي فَاعتَزِلونِ

Sahih International

But if you do not believe me, then leave me alone.”

Malay

“Dan sekiranya kamu tidak juga mahu berimankan kerasulanku, maka putuskanlah perhubungan kamu denganku (janganlah mengganggu daku).”

 

وَإِن لَّمْ تُؤْمِنُوا لِي

“Dan sekiranya kamu tidak juga mahu beriman denganku,

Ada orang yang memang walaupun kita telah dakwah dan ajak mereka kepada kebenaran, mereka tidak akan terima. Kerana mereka telah ditaqdirkan tidak akan beriman.

 

فَاعْتَزِلُونِ

biarkanlah aku.”

Kalau tak mahu beriman pun, janganlah kacau baginda hendak berdakwah kepada manusia lain untuk membawa mereka kepada jalan tauhid. Janganlah nak cederakan baginda. Kerana telah ada tanda-tanda yang Firaun akan mencederakan baginda malah untuk membunuh baginda.

Nabi Musa bukan takut dibunuh oleh Firaun. Kerana Allah telah beritahu kepada baginda yang baginda akan selamat. Tapi membunuh seorang Nabi adalah jenayah yang paling besar sekali, jadi baginda ingatkan mereka jangan cari masalah. Kerana kalau mereka buat begitu, mereka sebenarnya cari pasal dengan Allah. Riwayat mereka akan jadi pendek sekali kalau mereka teruskan juga. Nabi Musa ingatkan sahaja.

Zaman sekarang, tidak ada lagi Nabi dan Rasul. Tapi masih ada penyebar dan pendakwah Tauhid. Merekalah yang meneruskan tugas Nabi dan Rasul. Kalau mereka diancam untuk dibunuh atau disakiti, dan mereka angkat doa kepada Allah, itu juga akan menjadi satu sebab untuk azab diturunkan.


 

Ayat 22: Walaupun Nabi Musa telah cakap kepada Firaun untuk meninggalkan baginda dan jangan mencederakannya, Firaun mahu juga hendak membunuh baginda. Maka, Nabi Musa telah berdoa kepada Allah:

فَدَعا رَبَّهُ أَنَّ هٰؤُلاءِ قَومٌ مُجرِمونَ

Sahih International

And [finally] he called to his Lord that these were a criminal people.

Malay

(Setelah Nabi Musa berputus asa daripada iman mereka), maka ia pun merayu kepada Tuhannya lalu berkata: “Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa, (yang telah sebati dengan kekufurannya, dan berhaklah mereka menerima balasan yang seburuk-buruknya)”.

 

فَدَعَا رَبَّهُ

ia pun merayu kepada Tuhannya

Setelah sekian lama Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dengan berbagai-bagai cara, dengan ditunjukkan berbagai mukjizat, dan selepas kaum Firaun telah dikenakan dengan berbagai bala untuk menundukkan ego mereka, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman atau membiarkan baginda menjalankan tugas dakwah, barulah Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk berbuat sesuatu kepada Firaun dan kaumnya. Maknanya, apabila sampai kepada satu tahap, baginda tidak tahan lagi dah dan baginda telah berdoa kepada Allah. Inilah senjata ampuh orang mukmin – doa kepada Allah. Bukanlah terus Nabi Musa awal-awal lagi berdoa untuk menjatuhkan azab kepada mereka. Begitu juga kita, tidak boleh kita terus nak doakan kehancuran kepada mereka yang tidak mahu beriman dan terus mahu melakukan syirik.

Memang tidak disebut dalam ayat ini apa yang terjadi, tapi dari ayat-ayat yang lain, kita dapat tahu bahawa berbagai-bagai perkara telah berlaku antara ayat 21 dan 22 ini. Makan masa bertahun-tahun kisah itu.

Begitu juga kita kena berdakwah dengan berbagai cara dan berkali-kali sebelum kita meninggalkan orang yang menentang itu.

Doa Nabi Musa itu kita boleh lihat dalam ayat Yunus:88

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Musa berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan Kami — akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat siksaan yang pedih”.

أَنَّ هَٰؤُلَاءِ قَوْمٌ مُّجْرِمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa.

Kerana Firaun bukan sahaja tidak mahu beriman, tapi baginda menentang Nabi Musa, mengejek, ugut bunuh dan menambahkan kezaliman kepada Bani Israil. Firaun juga telah mengeluarkan arahan untuk membunuh kanak-kanak Bani Israil. Dulu dia dah keluarkan arahan itu semasa Nabi Musa lahir, kali ini dia nak buat lagi.

Dosa paling besar Firaun dan pengikutnya adalah dosa syirik. Ianya telah menjadi tabiat mereka.

Doa adalah senjata paling kuat seorang Nabi. Kalau seorang Nabi berdoa, Allah akan makbulkan. Allah ingatkan bangsa Quraish bahawa boleh sahaja Nabi Muhammad berdoa untuk diturunkan azab kepada mereka seperti doa Nabi Musa ini, maka berhati-hatilah. Kerana mereka juga ada ancam nak bunuh baginda. Jangan sampai Nabi Muhammad berdoa seperti doa Nabi Musa ini. Tentera malaikat menunggu sahaja nak hancurkan mereka kalau Nabi berdoa.


 

Ayat 23: Setelah Nabi Musa berdoa begitu, maka Allah telah memperkenankan doa baginda dan memberikan arahan kepada baginda. Ini adalah perlaksanaan kepada doa yang telah dimakbulkan itu. Nabi Musa kena ikut arahan ini:

فَأَسرِ بِعِبادي لَيلًا إِنَّكُم مُتَّبَعونَ

Sahih International

[ Allah said], “Then set out with My servants by night. Indeed, you are to be pursued.

Malay

Lalu (diperintahkan kepadanya): “Bawalah hamba-hambaku keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya).

 

فَأَسْرِ بِعِبَادِي

“Bawalah hamba-hambaKu keluar pada waktu malam

Dalam ayat ini, Allah memberi arahan kepada Nabi Musa untuk membawa Bani Israil bersama untuk lari pada malam hari, waktu bangsa Qibti sedang tidur. Allah beri penghormatan kepada mereka dengan menggelar mereka ‘hambaNya’. Padahal bukan semua yang ikut Nabi Musa a.s. itu semuanya beriman. Ada juga yang tidak beriman pun tapi dibawa juga kerana mereka adalah dari Bani Israil. Termasuk dalam mereka yang ikut menyeberang adalah mereka yang dari bangsa Qibti tapi beriman dengan Nabi Musa.

Timbul satu persoalan: kalau difikirkan, Nabi Musa boleh sahaja bawa kaumnya lari awal-awal lagi. Tapi lihatlah bagaimana baginda telah pergi berjumpa dengan Firaun sendiri dan memohon kepada Firaun untuk membenarkan baginda membawa keluar. Dan kemudian setelah tidak dibenarkan oleh Firaun, baginda telah menunggu bertahun-tahun. Kenapa?

Kenapa perlu melalui proses itu? Ianya adalah kerana memberi peluang kepada Firaun untuk bertaubat. Tapi apabila Firaun tidak mahu ikut dan terus dalam kesesatan, barulah Allah memberikan arahan kepada Nabi Musa untuk melakukan tindakan seterusnya.

 

لَيْلًا

pada satu ketika dari waktu malam,

Perkataan أَسْرِ sendiri sudah bermaksud ‘keluar pada waktu malam’. Tapi ditambah dengan perkataan لَيْلًا untuk merujuk ianya adalah waktu yang tertentu pada waktu malam. Iaitu waktu yang selamat untuk mereka lari. Mungkin semua orang lain dah tidur, waktu pengawal tidak ada dan sebagainya.

Mereka kena keluar pada waktu malam kerana mereka kena lari dalam rahsia kegelapan malam. Tapi kena pilih waktu yang sesuai.

 

إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ

kerana sesungguhnya kamu akan dikejar

Allah telah beritahu awal-awal lagi yang mereka akan dikejar oleh Firaun. Apabila Firaun dan orang-orangnya sedar yang kaum Bani yang menjadi hamba mereka menghilang, mereka terus mengejar Bani Israil itu. Allah telah rancang perjalanan masa itu, supaya apabila mereka keluar lari pada malam hari, mereka dapat lari pada satu jarak yang jauh. Supaya nanti apabila Firaun dan pengikutnya mengejar mereka, mereka akan bertembung di tepi Laut. Semua itu dalam perancangan Allah.

Allah juga memberi isyarat kepada Nabi Muhammad dalam ayat ini bahawa apabila baginda berhijrah nanti, baginda juga akan dikejar.


 

Ayat 24: Ini adalah kejadian semasa Nabi Musa dan Bani Israil sedang menyeberang laut. Ayat ini adalah selepas Nabi Musa diarahkan oleh Allah untuk memukul laut dengan tongkatnya dan oleh itu dengan izin Allah, laut pun terbelah. Dan mereka telah menyeberangi laut itu mengikut Nabi Musa.

Waktu itu ramai kaum Firaun dari bangsa Qibti yang sedang mengejar Bani Israil. Kebanyakan mereka adalah tentera-tentera Firaun. Kita kena ingat bahawa Mesir waktu itu adalah negara ketenteraan. Jadi, pemuka-pemuka negara mereka, yang kaya raya dan mempunyai kuasa adalah tentera-tentera.

Semasa mereka telah melepasi laut itu, Bani Israil suruh Nabi Musa untuk menutup kembali laluan laut itu supaya Firaun dan tenteranya tidak dapat ikut mereka. Tapi, Allah berfirman:

وَاترُكِ البَحرَ رَهوًا ۖ إِنَّهُم جُندٌ مُغرَقونَ

Sahih International

And leave the sea in stillness. Indeed, they are an army to be drowned.”

Malay

“Dan tinggalkanlah laut itu dalam keadaan tenang – terbelah, kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan (sehingga binasa)”.

 

وَاتْرُكِ الْبَحْرَ

“Dan biarkanlah laut itu

Setelah mereka selamat menyeberangi laut itu, Allah tak beri Nabi Musa untuk mengetuk laut itu dengan tongkatnya. Tongkat Nabi Musa waktu itu adalah seperti on dan off switch. Kalau baginda ketuk sekali lagi, laut untuk boleh tertutup kembali. Tapi Allah tak benarkan. Allah suruh biarkan.

 

رَهْوًا

dalam keadaan terbelah,

Perkataan رَهْوًا berasal dari katadasar ٌرَهْو yang bermaksud ‘tenang’, ‘berjalan dengan tenang’, ‘air laut yang tenang’. Tapi selalunya bukankah laut itu selalunya bergelora? Tidak kira bila kita pergi ke laut, tentu laut sedang bergelora. Tapi apabila Nabi Musa memukul laut itu, laut itu jadi tenang. Itu telah memudahkan bani Israil menyeberangi laut itu. Itu adalah salah satu lagi dari rahmat yang Allah berikan kepada Bani Israil.

Oleh itu, ayat ini menceritakan bahawa selepas Bani Israil telah menyeberang laut, Allah suruh biarkan sahaja laut itu. Biarkan laut itu dalam keadaan tenang. Biarkan laut itu dalam keadaan terbelah. Jangan cuba untuk mencantumkannya balik. Allah beritahu Nabi Musa jangan lagi ketuk laut itu untuk mencantumkannya balik lagi. Biarkan ianya terbelah lagi.

 

إِنَّهُمْ جُندٌ مُّغْرَقُونَ

kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan”.

Ada tujuan kenapa Allah nak biarkan air laut itu dalam keadaan begitu. Allah nak mereka ikut sampai ke tengah laut, dan waktu itulah nanti laut itu akan dicantumkan semula dan mereka semuanya akan ditenggelamkan. Bayangkan air laut yang tinggi menggunung di sebelah kanan dan kiri mereka dan apabila laut itu dicantumkan kembali, air laut itu menghempas mereka dan mematikan mereka.

Begitulah kesudahan Firaun dan tenteranya yang sombong dengan Allah. Mereka yang sombong dengan Allah akan kalah. Mereka akan menerima bala yang besar.

Firaun sombong kerana dia ada kekayaan dan kekuasaan. Dia telah mabuk dengan kelebihan keduniaan yang dia ada. Begitu jugalah dengan Musyrikin Mekah yang sangka mereka sudah cukup kaya, cukup kuat. Sampai apabila Nabi Muhammad berdakwah kepada mereka, mereka tak mahu terima. Padahal, apalah sangat yang mereka ada kalau nak dibandingkan dengan Firaun dan kekayaannya.

Dan begitulah juga dengan masyarakat kita sekarang. Apabila senang, kaya dan ada kuasa, susah mereka hendak menerima kebenaran kerana mereka sangka mereka dah cukup keperluan kehidupan mereka, tidak memerlukan apa-apa lagi. Mereka senang nak lupa Allah kerana kesenangan yang mereka ada itu. Mereka hanyut dalam kenikmatan yang Allah juga yang berikan kepada mereka. Tapi mereka tak nampak dah yang segala kenikmatan yang mereka ada itu adalah dari Allah. Mereka sangka ianya adalah hasil usaha mereka. Itulah kesilapan kebanyakan manusia, mereka lupa bahawa segala apa yang mereka ada, itu semuanya dari Allah belaka.


 

Ayat 25: Selepas mereka mati, apakah yang terjadi dengan segala kemewahan yang mereka banggakan itu dulu?

كَم تَرَكوا مِن جَنّاتٍ وَعُيونٍ

Sahih International

How much they left behind of gardens and springs

Malay

Banyak sungguh kebun-kebun dan matair, mereka tinggalkan,

 

Kehebatan kaum Firaun adalah tentang bandar mereka yang hebat. Apa yang mereka banggakan semuanya tidak dapat membantu mereka.

Selepas mereka dilemaskan, segala kekayaan mereka di Mesir itu kena ditinggalkan. Kota Mesir dan penempatan tidak dimusnah kerana ada dari mereka yang tidak bersalah seperti kaum wanita dan kanak-kanak yang tidak ikut serta mengejar Bani Israil. Allah tak hancurkan mereka dan tempat penempatan. Allah hanya musnahkan musuh sahaja macam buang sampah dan tak musnahkan tempat tinggal dan segala harta benda. Allah juga tidak musnahkan kerana Allah nak beri segala kekayaan itu kepada Bani Israil. Mereka akan kembali ke Mesir dan mengambil alih kekayaan itu. Mereka diberikan dengan nikmat itu kerana mereka sanggup ikut Nabi Musa. Ini menunjukkan bahawa dengan mengikut Nabi, ada keberkatan dan kelebihan yang akan diberikan. Ketahuilah yang manusia yang taat boleh dapat kelebihan dunia juga, bukan hanya akhirat. Kerana Nabi Musa ada janjikan perkara itu kepada Bani Israil dan kerana itu Allah penuhi janji itu.


 

Ayat 26: Allah sebut apakah yang ditinggalkan.

وَزُروعٍ وَمَقامٍ كَريمٍ

Sahih International

And crops and noble sites

Malay

Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah – mulia,

 

وَزُرُوعٍ

Dan juga tanam-tanaman, ladang-ladang.

Tanam tanaman dan makan ruji.

 

وَمَقَامٍ

serta tempat-tempat kediaman

Tempat mereka berdiri (tinggal). Iaitu rumah-rumah dan istana-istana mereka.

Juga boleh juga digunakan untuk menceritakan kedudukan mereka yang tinggi di mata masyarakat dan negara-negara lain. Kedudukan yang tinggi dipegang oleh mereka yang dalam tentera kerana negara Firaun adalah negara tentera. Mereka telah kehilangan segala ketinggian keduniaan itu.

 

كَرِيمٍ

yang indah – mulia,

Semuanya ditinggalkan sahaja. Kerana semasa Firaun mengejar Bani Israil yang lari dengan Nabi Musa, Firaun telah mengajak tentera-tenteranya ikut sekali. Dan merekalah golongan elit masyarakat itu. Mereka semuanya mati bersama dengan Firaun dalam laut. Yang tinggal adalah hanya mereka yang tidak terlibat sahaja, seperti kaum wanita dan kanak-kanak.


 

Ayat 27:

وَنَعمَةٍ كانوا فيها فاكِهينَ

Sahih International

And comfort wherein they were amused.

Malay

Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya.

 

وَنَعْمَةٍ

Dan juga nikmat kemewahan hidup,

Kehidupan yang senang lenang. Mereka hidup dengan senang lenang dan dalam masa yang sama, mereka memperhambakan Bani Israil.

 

كَانُوا فِيهَا فَاكِهِينَ

yang mereka sekian lama menikmatinya.

Dulu lama sekali mereka telah memperhambakan Bani Israil. Semuanya ditinggalkan sahaja. Tidak dapat membantu mereka langsung. Bukankah agama mereka mengajar bahawa segala harta mereka boleh dibawa kepada kehidupan yang seterusnya? Sebab itulah kita lihat dalam piramid itu, mereka simpan berbagai harta, emas dan sebagainya kerana mereka sangka mereka boleh bawa ke alam yang seterusnya. Tapi sekarang? Semuanya mereka tinggalkan. Langsung tidak berguna kepada mereka. Allah hina mereka begitu sekali.


 

Ayat 28: Apa yang jadi dengan segala harta kekayaan itu?

كَذٰلِكَ ۖ وَأَورَثناها قَومًا آخَرينَ

Sahih International

Thus. And We caused to inherit it another people.

Malay

Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: milik kaum yang lain.

 

كَذَٰلِكَ

Demikianlah keadaannya

Itulah hukuman kepada mereka dan lihatlah bagaimana mereka meninggalkan segala yang mereka banggakan itu.

 

وَأَوْرَثْنَاهَا قَوْمًا آخَرِينَ

dan Kami wasiatkan kepada kaum yang lain

Diberikan kemewahan itu kepada orang lain. Apabila ditinggalkan begitu sahaja, ada orang lain yang datang dan ambil semua kemewahan itu. Ada yang kata bahawa ianya telah diambil oleh Bani Israil. Ada yang kata ianya diambil oleh kaum lain. Kerana Bani Israil semuanya dah melepasi Laut Merah. Tapi, daripada dalil dari Surah Syuara’, pendapat yang kuat mengatakan ianya diambil oleh Bani Israil. Iaitu mereka akan kembali ke Mesir dan mengambil alih Kota Mesir


 

Ayat 29:

فَما بَكَت عَلَيهِمُ السَّماءُ وَالأَرضُ وَما كانوا مُنظَرينَ

Sahih International

And the heaven and earth wept not for them, nor were they reprieved.

Malay

Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.

 

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ

Mereka itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi

Langit dan bumi tidak rasa kasihan kepada mereka langsung. Kalau orang beriman mati, langit dan bumi akan kesedihan. Kerana orang beriman itu tidak solat lagi di atasnya, tidak buat kebaikan lagi di atasnya. Dan semasa orang beriman itu hidup lagi, amalan mereka diangkat ke langit dan bila dia mati, langit tidak menerima amalan orang itu lagi.

Tempat yang kita selalu lakukan amalan baik akan sedih kalau kita tinggalkan mereka. Tahukah anda kisah pokok tempat Nabi Muhammad bersandar semasa beri khutbah? Nabi akan bersandar kepada pokok itu semasa beri khutbah. Itu sebelum Masjid Nabi ada mimbar. Apabila mimbar Masjid siap, dan baginda tidak lagi bersandar kepada pokok itu, pokok itu menangis. Kerana Nabi sudah tidak lagi bersandar kepadanya. Nabi kena peluk pokok itu, barulah pokok itu senyap. Ini tersebut dalam hadis yang sahih dan ramai para sahabat yang mendengarnya. Ini adalah salah satu dari kisah mukjizat Nabi Muhammad.

Ini mengajar kita bahawa alam ini menyimpan rasa sayang kepada kita apabila kita beramal berdekatan dengannya. Dan begitu juga, alam ini akan benci kepada kita apabila kita buat maksiat padanya. Ini adalah kerana alam ini beribadat kepada Allah dan mereka suka kalau kita beribadat juga berdekatannya.

Satu kisah juga disampaikan kepada kita: bagaimana Arash Allah bergegar apabila Saad bin Muaz meninggal. Saad adalah ketua kaum dari Yathrib yang mula-mula masuk Islam. Beliau telah memberitahu kepada kaumnya, kalau mereka tidak beriman kepada Allah dan Nabi Muhammad, beliau tidak akan bercakap dengan mereka selama-lamanya. Petang itu, semua ahli kaumnya telah masuk Islam. Besar sekali jasanya sampaikan apabila beliau meninggal, Arash Allah bergegar kerana kesedihan.

Ini mengajar kita untuk memikirkan apakah kelakuan kita dalam dunia ini. Apakah yang kita buat dalam dunia dan adakah alam ini akan menangisi kita apabila kita mati nanti? Oleh itu, ke mana sahaja kita pergi, tinggalkan perkara baik di tempat itu. Sebagai contoh, apabila kita pergi ke hutan contohnya, laungkan azan untuk solat. Tempat itu akan menjadi saksi untuk kita nanti. Banyakkan juga tempat sujud kerana tempat sujud akan menjadi saksi buat kita nanti. Kerana alam ini menyaksikan kita sebenarnya. Janganlah alam ini nanti menjadi saksi atas segala dosa yang kita lakukan di dalamnya.

 

وَمَا كَانُوا مُنظَرِينَ

dan mereka pula tidak diberi tangguh.

Masa Firan dan tenteranya hampir mati kelemasan dalam laut, baru mereka nak beriman. Termasuklah Firaun sekali. Tapi iman mereka tidak diterima waktu itu. Kerana iman yang hanya timbul masa sudah melihat azab yang dikenakan kepada mereka, atau apabila nyawa sudah di halqum, tidak diterima. Mereka tidak akan diberi peluang.

Begitu juga, kalau kita selama ini berbuat dosa dan syirik, dan apabila kita hanya hendak bertaubat apabila nyawa sudah di halqum, ianya tidak diterima.

Apabila kita kena azab nanti, kita juga tidak diberi tangguh. Tidak boleh kita nak minta dengan malaikat supaya jangan seksa kita dulu, tunggu sehari dua dulu, seminit dua pun, tidak. Apabila kita kena seksa, malaikat yang ditugaskan menyeksa kita akan terus menyeksa kita.


 

Ayat 30: Sekarang Allah mengalihkan pandangan kita kepada Bani Israil pula. Ayat ini termasuk dalam jenis Tabshir Duniawi. Natijah yang terjadi apabila seseorang itu mengikuti Rasul mereka.

وَلَقَد نَجَّينا بَني إِسرائيلَ مِنَ العَذابِ المُهينِ

Sahih International

And We certainly saved the Children of Israel from the humiliating torment –

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil, dari azab yang menghina, –

وَلَقَدْ نَجَّيْنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil,

Allah mengingatkan kepada orang Yahudi dan kita juga betapa mereka telah diberi rahmat dengan diselamatkan mereka. Mereka dulunya menjadi hamba abdi kepada Firaun dan kaum Qibti. Mereka telah ditindas oleh kaum itu. Tapi Allah telah menyelamatkan mereka. Ini adalah kerana mereka telah mengikut Nabi mereka, Nabi Musa. Jadi mereka telah diberikan dengan keselamatan dari Firaun.

 

مِنَ الْعَذَابِ الْمُهِينِ

dari azab yang menghina, –

Azab yang dimaksudkan adalah perhambaan ke atas Bani Israil. Kerana perhambaaan adalah sesuatu yang amat menghinakan. Sudahlah dihambakan, ditambahkan lagi dengan seksaan yang dikenakan ke atas mereka. Dan tentunya teruk sekali apa penindasan yang dilakukan oleh Firaun. Antara yang disebut adalah Firaun telah membunuh anak lelaki mereka.


 

Ayat 31: Siapakah Firaun dan apakah sifatnya?

مِن فِرعَونَ ۚ إِنَّهُ كانَ عالِيًا مِنَ المُسرِفينَ

Sahih International

From Pharaoh. Indeed, he was a haughty one among the transgressors.

Malay

Dari penindasan Firaun, sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya).

 

مِن فِرْعَوْنَ

Dari penindasan Firaun,

Dan mereka juga dikerah untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Antaranya, mereka telah dikerah untuk membina piramid yang kita boleh lihat sampai hari ini.

 

إِنَّهُ كَانَ عَالِيًا

sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur

Dia rasa dia tinggi sangat. Sampai dia menjadi sombong. Dia mempunyai kelebihan kerajaan yang besar dan kekuatan tentera. Ekonomi mereka kuat dan tamadun mereka tinggi.

 

مِّنَ الْمُسْرِفِينَ

dari orang-orang yang melampaui batas.

Tidak ada yang melebihinya dalam perangai buruknya. Lihatlah bagaimana teruk sekali seksaan yang diberikan kepada Bani Israil. Dalam Quran telah disebut bagaimana dia telah menyalib keseluruhan ahli sihir yang telah beriman dengan Nabi Musa dan Nabi Harun. Bilangan mereka dikatakan sampai beribu orang waktu itu dan semuanya sekali telah disalib. Sedangkan isterinya yang beriman pun dia sanggup bunuh, apatah lagi kalau orang lain? Apabila dia buat keburukan, dia buat dalam keadaan melampau. Yang lebih lagi dari orang lain. Orang lain pun kejam juga, tapi tidaklah sekejam Firaun. Sebelum itu, kita pun telah baca bagaimana beliau telah mengarahkan seluruh anak lelaki yang baru lahir dari Bani Israil dibunuh kerana dia takut ada penentangnya dari kalangan Bani Israil itu. Itu amat kejam dan entah apa lagi kekejaman yang dilakukan olehnya yang kita tidak tahu.

Allah menegur musyrikin Mekah dengan membawakan kisah Firaun ini. Lihatlah bagaimana kaum musyrikin Mekah pun telah melampau dalam kegiatan mereka menyeksa orang Islam yang beriman dengan Nabi Muhammad. Kisah yang paling selalu masyarakat kita dengar adalah bagaimana Bilal telah dijemur di tengah panas dan ditindih dengan batu. Bukan Bilal sahaja yang diseksa, malah banyak lagi.

Allah kisahkan bagaimana Firaun juga kuat menyeksa Bani Israil dan lihatlah bagaimana kesudahannya. Allah beri peringatan kepada kaum musyrikin dalam ayat ini sebenarnya. Maka hendaklah mereka berhati-hati. Jangan mereka ingat mereka kuat dan mereka boleh terlepas dari hukuman Allah.


 

Ayat 32: Sekarang disebut tentang bagaimana mereka telah dilebihkan kedudukan mereka daripada bangsa lain pada zaman itu.

وَلَقَدِ اختَرناهُم عَلىٰ عِلمٍ عَلَى العالَمينَ

Sahih International

And We certainly chose them by knowledge over [all] the worlds.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) – menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu),

 

وَلَقَدِ اخْتَرْنَاهُمْ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Bani Israil. Allah telah beri mereka dengan banyak kelebihan. Begitu banyak sekali kelebihan yang telah diberikan kepada mereka. Antaranya, paling banyak sekali golongan rasul dan Nabi adalah dari golongan mereka.

 

عَلَىٰ عِلْمٍ

dengan berdasarkan pengetahuan

Ada dua pendapat tentang maksud ‘pengetahuan’ dalam ayat ini.

1. Kerana ilmu yang mereka ada. Iaitu ilmu tentang tauhid. Walaupun waktu itu mereka belum dapat kitab Taurat lagi, dan mereka tidak mahir tentang agama lagi, tapi mereka telah tahu tentang tauhid, mereka tahu tentang Allah. Mereka tahu serba sedikit tentang agama. Mereka tidak sama dengan bangsa Qibti yang mengamalkan agama syirik. Kerana pengetahuan agama yang sedikit ini pun, Allah telah pilih mereka.

Oleh itu, tahulah kita yang pengetahuan agama lah yang menaikkan kedudukan manusia. Bukannya pengetahuan tentang dunia. Dengan tahu agama, seseorang itu akan selamat dunia dan akhirat. Ini menunjukkan kepentingan ilmu. Malangnya, masyarakat kita buat tak endah sahaja tentang pengetahuan agama. Mereka lebih pentingkan kepandaian dalam hal-hal dunia. Kalau hal dunia, mereka sibuk mendapatkan ilmunya sampaikan dapat PHD, Master dan sebagainya. Itu adalah kerana mereka hendakkan kehidupan yang senang, gaji yang tinggi dan sanjungan masyarakat. Tapi bagaimana dengan pengetahuan agama? Mereka tahu sedikit sangat, setakat ada-ada sahaja. Selainnya, mereka serahkan kepada orang lain. Jadi imam, orang lain, baca doa, beri hukum dan sebagainya, mereka akan minta kepada ‘ahli agama’. Diri sendiri mereka tidak mahu belajar. Amat menyedihkan sekali.

2. Mereka dipilih atas pengetahuan Allah. Allah tahu yang mereka layak dipilih. Allah tahu yang mereka lebih layak lagi dipilih kalau dibandingkan dengan Firaun dan kaumnya. Allah Maha Tahu dan kita tidak tahu. Allah pilih mereka walaupun Allah tahu yang mereka akan melakukan kesalahan. Allah pilih mereka walaupun Allah tahu yang mereka lemah. Tapi kerana mereka duduk dengan Nabi, maka mereka telah diberi kelebihan itu.

Kenapa Allah pilih juga mereka? Katakanlah kita ada anak yang kita tahu mereka pandai. Maka kita beri mereka pendidikan yang baik. Tapi ada antara mereka yang tak mahu belajar. Mereka rasa senang diri sebab tahu kita ada yang akan membantu mereka. Mereka ingat kalau mereka buat salah, mereka ada orang yang akan bantu dan selamatkan mereka.

Allah tahu yang Bani Israil adalah bangsa yang pandai. Mereka ada potensi dalam diri mereka. Dan ada antara mereka yang baik. Tapi apabila mereka telah menggagalkan diri mereka, barulah mereka ditinggalkan. Maknanya, Allah beri peluang kepada mereka.

 

عَلَى الْعَالَمِينَ

menjadi lebih dari penduduk dunia,

Lihatlah bagaimana Allah telah menyelamatkan mereka dari kaum Firaun. Bukan sekumpulan Bani Israil yang diselamatkan tapi keseluruhan kaum mereka. Dan bukan itu sahaja, Allah juga telah hapuskan Firaun dan tenteranya sekali. Termasuk mereka yang telah menyeksa Bani Israil sebelum itu.

Dan kemudian Allah telah memberikan kerajaan Palestin kepada mereka. Mereka telah diberikan dengan pemimpin yang mulia seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Dulunya mereka tertindas, tapi kemudian Allah telah muliakan mereka dengan diberikan entah berapa banyak rasul dan Nabi dari kalangan mereka. Allah telah naikkan kedudukan mereka. Mereka menjadi umat yang utama melebihi kaum lain waktu zaman mereka.

Merekalah yang orang Islam waktu itu. Bukanlah mereka terus menjadi umat pilihan sampai sekarang. Kerana apabila mereka telah menyalahgunakan agama, maka kedudukan mereka telah ditarik dan diberikan kepada kita sekarang. Maka, kita kena beringat dengan kelebihan yang Allah telah berikan kepada kita. Kalau kita juga buat seperti mereka, maka kita pun akan ditarik status keislaman kita dan akan diberikan kepada orang lain. Tidakkah ini amat menakutkan?


 

Ayat 33: Tambahan maklumat tentang apakah lagi yang telah diberikan kepada mereka.

وَآتَيناهُم مِنَ الآياتِ ما فيهِ بَلاءٌ مُبينٌ

Sahih International

And We gave them of signs that in which there was a clear trial.

Malay

Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka).

 

وَآتَيْنَاهُم مِّنَ الْآيَاتِ

Dan Kami berikan kepada mereka daripada tanda-tanda

Tanda-tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Banyak mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka. Antaranya:
– Tongkat Nabi Musa menjadi ular.
– Tangan Nabi Musa bercahaya.
– Laut terbelah dua dan mereka menyeberanginya dengan selamat.
– Nabi Musa memukul tongkat yang mengeluarkan air untuk minuman mereka.
Dan banyak lagi. Semua tanda-tanda itu mereka boleh lihat dengan mata kepala mereka sendiri.

 

مَا فِيهِ بَلَاءٌ مُّبِينٌ

yang mengandungi ujian yang jelas nyata

Tanda-tanda mukjizat itu adalah sebagai ujian kepada mereka. Apakah ujian itu? Samada bersyukur atau tidak. Samada mereka nak ikut arahan Nabi Musa atau tidak. Samada mereka beriman dengan Allah atau tidak. Bukan senang-senang sahaja Allah beri tanda-tanda itu.

Ini memberi peringatan kepada kita. Walaupun satu-satu bangsa itu diberikan nikmat agama, tapi dalam masa yang sama, mereka akan diuji dalam agama. Tidak ada yang tidak diuji. Waktu zaman itu, Bani Israil adalah umat Islam waktu itu. Dan sekarang, kitalah pula umat Islam yang memegang agama Islam sekarang. Kita sekarang sedang diuji samada kita bertanggungjawab dalam memegang agama Allah ini. Kita diuji samada kita bersyukur atau tidak dengan kedudukan tinggi yang Allah berikan kepada kita sebagai umat Islam. Ini adalah satu ujian dan tanggungjawab yang tinggi. Adakah kita sedar tentang perkara ini? Adakah kita sedang menjalankan tanggungjawab kita? Adakah kita sedang sampaikan agama tauhid ini kepada seluruh manusia? Kalau tidak, ada masalah di situ kerana berkali-kali dalam Quran Allah suruh kita sampaikan kerana ini adalah tanggungjawab kita.


 

Ayat 34: Ayat Syikayah. Sekarang Allah kembali memperkatakan tentang penduduk Mekah yang tidak mahu beriman. Ini adalah iltifad – perubahan tajuk. Setelah diberikan contoh tentang Bani Israil, Quran kembali menyentuh tentang Musyrikin Mekah. Iaitu bagaimana mereka telah diberikan peluang untuk mendapat kelebihan agama. Bayangkan, mereka telah diberikan dengan Nabi Muhammad, Rasul dan Nabi akhir zaman. Itu adalah satu kelebihan yang amat besar. Tapi malangnya, mereka tidak mengambil peluang keemasan itu. Apa kata mereka?

إِنَّ هٰؤُلاءِ لَيَقولونَ

Sahih International

Indeed, these [disbelievers] are saying,

Malay

(Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Makkah, Allah berfirman): “Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu – wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu):

 

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ لَيَقُولُونَ

Sesungguhnya mereka ini berkata:

Apa yang mereka katakan menunjukkan apakah faham mereka, apakah iman mereka. Jadi kita boleh tahu apakah pegangan mereka dengan melihat kata-kata mereka ini. Kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia. Tapi kita boleh agak dari perkataan-perkataan mereka. Sebab itu, kita tidak boleh kata seseorang itu sesat atau kafir kerana perkara itu dalam hati manusia. Tapi kalau dia sudah mengeluarkan kata-kata yang kufur, tidakkah boleh kita mengatakan mereka telah sesat? Kerana ianya telah keluar dari mulut mereka sendiri. Dan kita hanya nilai dari apa yang mereka kata dan mereka tulis. Kalau dalam hati, memang kita tidak tahu.


 

Ayat 35: Inilah kata-kata mereka.

إِن هِيَ إِلّا مَوتَتُنَا الأولىٰ وَما نَحنُ بِمُنشَرينَ

Sahih International

“There is not but our first death, and we will not be resurrected.

Malay

“Mati, hanyalah mati kita yang pertama, dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);

إِنْ هِيَ إِلَّا مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ

“Mati, hanyalah mati kita yang pertama,

Mereka percaya bahawa kehidupan dunia hanya sekali sahaja. Mati hanya sekali itu sahaja dan tidak akan dihidupkan lagi setelah mati.

Apakah yang dimaksudkan dengan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ? Kita semua ada dua kali kematian. Iaitu sebelum kita hidup di dunia ini, kita dalam keadaan ‘mati’ – iaitu ketiadaan nyawa. Ketiadaan nyawa juga adalah satu kematian. Kemudian Allah hidupkan kita dalam dunia ini. Kemudian kita akan mati sekali lagi dan akan dihidupkan semula di akhirat. Ini adalah pemahaman kita sebagai orang Islam.

Jadi مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ adalah keadaan mati kita sebelum kita dihidupkan di dunia. Iaitu kita tidak ada apa-apa, belum jadi apa-apa. Apakah faham musyrikin Mekah? Iaitu apabila kehidupan ini telah habis, manusia akan kembali kepada keadaan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ itu. Iaitu tidak ada apa-apa. Tidak jadi apa-apa. Non-existance. Mereka ingat mereka akan habis begitu sahaja.

 

وَمَا نَحْنُ بِمُنشَرِينَ

dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup semula

Mereka tidak percaya bahawa mereka akan dihidupkan semula. Kerana kalau mereka percaya mereka akan dibangkitkan, mereka kena terima yang mereka akan diadili tentang perkara yang mereka lakukan semasa di dunia. Mereka tak mahu kalau jadi begitu. Kerana mereka nak buat apa yang mereka suka.

Pemahaman seperti ini masih ada lagi sekarang. Lihatlah agama-agama lain seperti Buddha yang tidak percaya dengan kiamat. Mereka percaya yang mereka akan dihidupkan semula. Kalau mereka tak baik, maka mereka akan dihidupkan sebagai binatang atau serangga.


 

Ayat 36: Mereka sanggup cabar Nabi dengan kata-kata ini:

فَأتوا بِآبائِنا إِن كُنتُم صادِقينَ

Sahih International

Then bring [back] our forefathers, if you should be truthful.”

Malay

“(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

فَأْتُوا بِآبَائِنَا

“Maka kamu semua bawakanlah datuk nenek kami

Mereka cabar Nabi dan orang-orang Islam untuk bawa hidup kembali datuk nenek mereka yang telah mati. Baru mereka nak percaya. Mereka kata, biarkan mereka yang telah mati itu sendiri beritahu yang mereka telah hidup setelah mereka mati, tak payah kamu (Nabi Muhammad dan orang Mukmin) sibuk nak beritahu kami, biar mereka sahaja yang beritahu.

 

إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

Ini adalah hujah mereka yang mengarut. Mereka ingat mereka pandai dan berjaya dengan memberikan cabaran ini. Kerana takkan akan dihidupkan orang yang mati. Bukan begitu cara Allah untuk menunjukkan kebenaran.

Tapi ingatlah bahawa Allah kata bahawa semua kita ini akan dihidupkan di akhirat kelak, apabila semua makhluk telah mati di Hari Kiamat, bukan di dunia sekarang. Tidaklah Allah kata nak hidupkan tok nenek mereka yang telah lama mati itu semasa di dunia. Yang dijanjikan adalah semua makhluk akan dihidupkan semula di akhirat kelak.


 

Ayat 37: Takhwif Duniawi. Sekarang Allah menempelak mereka. Mereka ingat mereka bagus sangat.

أَهُم خَيرٌ أَم قَومُ تُبَّعٍ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ أَهلَكناهُم ۖ إِنَّهُم كانوا مُجرِمينَ

Sahih International

Are they better or the people of Tubba’ and those before them? We destroyed them, [for] indeed, they were criminals.

Malay

Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum “Tubba'” dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

أَهُمْ خَيْرٌ

Adakah mereka yang lebih baik

Musyrikin Mekah memang rasa mereka tinggi kedudukan mereka. Mereka ada harta, mereka ada kuasa. Oleh kerana itu, mereka tidak rasa bersalah menentang Nabi Muhammad. Mereka rasa mereka lebih baik dari Nabi. Maka, Allah soal mereka balik dalam ayat ini: adakah mereka sangka mereka hebat?

 

أَمْ قَوْمُ تُبَّعٍ

atau kaum “Tubba'”

Adakah mereka lebih hebat dari kaum ‘Tubba’? Dikatakan bahawa Tubba adalah nama seorang raja yang baik. Dan rakyatnya dipanggil Tubba’. Sepertimana juga Bani Israil dipanggil sempena nama Nabi mereka, begitu juga rakyat Tubba’ ini mengambil nama raja mereka.

Ada juga yang mengatakan mereka adalah orang Arab yang tinggal di Yemen yang berasal dari keturunan Qahtan. Puak Quraish pula dari keturunan Adnan. Mereka memerintah satu kerajaan yang besar di Yemen. Raja-raja mereka dikenali sebagai ‘Tubba’. Ini adalah gelaran kepada raja-raja mereka, sepertimana juga Raja Mesir dikenali sebagai Firaun, raja Habsyah dikenali sebagai Najashi, raja Parsi – Kisra, raja Rom – Ceaser dan lain-lain. Mereka ada nama mereka sendiri, tapi pangkat raja mereka adalah begitu. Maka, raja kerajaan di Yemen ini dikenali sebagai Tubba. Dikatakan mereka mengambilalih kerajaan Saba’ pada tahun 150 SM selama 300 tahun. Kerajaan mereka amat besar sampaikan ke negara Russia sekarang. Maka, mereka mempunyai kekuatan dan kekayaan yang banyak. Contoh kaum Tubba’ dibawakan kepada musyrikin Mekah kerana mereka kenal tamadun itu.

Ada pula yang kata mereka adalah kaum selepas kematian Firaun dan tenteranya. Mereka telah mengambil alih peninggalan kaum Firaun yang semuanya telah mati kerana ditenggelamkan dalam laut. Mereka menjadi hebat dengan apa yang mereka ada. Mereka memerintah satu kerajaan. Allahu a’lam.

Yang pastinya, siapa sahaja mereka itu, mereka tentunya lebih hebat dari segi tamadun kalau dibandingkan dengan kaum Musyrikin Mekah itu.

 

وَالَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ

dan orang-orang yang terdahulu dari mereka?

Banyak lagi kaum-kaum sebelum kaum Tubba’ pun yang lebih hebat dari mereka. Sebagai contoh, sebelum itu ada kerajaan besar Firaun. Dan berbagai-bagai lagi tamadun yang hebat-hebat.

 

أَهْلَكْنَاهُمْ

Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan,

Mereka yang lebih hebat dari penduduk Mekah pun Allah telah musnahkan kerana mereka tidak beriman. Adakah kaum Quraish rasa mereka bagus sangat? Mereka tak terfikirkah yang Allah boleh sahaja musnahkan mereka sepertimana Allah telah musnahkan kaum-kaum terdahulu yang lebih hebat dari mereka?

 

إِنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.

Mereka dulu hebat tapi mereka syirik kepada Allah. Oleh kerana itu, mereka telah dibinasakan oleh Allah. Mereka pun tidak dapat menyelamatkan diri mereka, maka kenapa Musyrikin Mekah ingat mereka boleh selamat? Allah tidak kira bagaimana mereka menjalani kehidupan keduniaan mereka kalau mereka melakukan syirik dan berdosa kepada Allah. Allah akan tetap menghukum mereka, walaupun mereka nampak hebat dan berjaya dalam dunia.


 

Ayat 38: Ini adalah Dalil Aqli. Kenapa kita kena beriman dan ikut arahan Allah sahaja? Kerana Allah adalah Tuhan sekelian alam ini. Allah beri dalil dalam ayat ini. Allah suruh kita lihat alam ini.

وَما خَلَقنَا السَّماواتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما لاعِبينَ

Sahih International

And We did not create the heavens and earth and that between them in play.

Malay

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;

وَمَا خَلَقْنَا السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi

Allah memberitahu kita semua termasuk kepada Musyrikin Mekah bahawa Dia lah yang telah mencipta alam ini.

 

وَمَا بَيْنَهُمَا

serta segala yang ada di antara keduanya,

Segala apa sahaja yang ada dalam alam ini, adalah dari penciptaan Allah belaka.

 

لَاعِبِينَ

secara main-main;

Bukanlah Allah saja suka-suka ciptakan alam ini. Bukanlah Allah tiada apa nak buat, bosan sangat, maka Allah cipta alam ini. Kalau begitu, itu bermakna Allah main-main sahaja. Dan Allah tidak begitu. Tidaklah sia-sia Dia jadikan alam ini.

Bukanlah Allah sengaja nak tengok apa yang akan terjadi kalau Dia buat begini, begitu. Bukanlah Allah main-main dengan kita. Ini kita sebut sebab dalam agama lain, macam-macam ada. Sebagai contoh, dalam salah satu fahaman Hindu, memang tuhan dewa mereka bermain-main dengan manusia – nak tengok apa manusia nak buat kalau begini dan begini. Macam budak-budak main mainan.

Allah ciptakan alam ini semuanya bersebab.


 

Ayat 39: Kenapa Allah cipta alam ini?

ما خَلَقناهُما إِلّا بِالحَقِّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

We did not create them except in truth, but most of them do not know.

Malay

Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

مَا خَلَقْنَاهُمَا

Tidaklah Kami menciptakan keduanya

Allah nak beritahu kita kenapakah Dia telah menjadikan alam ini.

 

إِلَّا بِالْحَقِّ

melainkan kerana hendak menzahirkan kebenaran;

Kebenaran apa? Iaitu Allah lah yang menciptakan segalanya. Hendak memberitahu kewujudanNya. Juga hendak memberitahu bahawa Allah Maha Berkuasa untuk melakukan segalanya. Maka, apabila semuanya dicipta olehNya, dan Dia maha berkuasa, maka kenalah kita sembah Allah sahaja, doa kepada Allah sahaja, jangan sembah yang selainNya dan jangan berdoa dan meminta kepada selain dari Allah. Maknanya, Allah hendak menzahirkan kebenaran tauhid dengan menjadikan alam ini.

 

وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

Kebanyakan manusia tidak tahu yang tuntutan untuk sembah Allah dan berdoa kepadaNya sahaja adalah tuntutan terpenting dalam agama.

Ramai manusia yang tidak faham kenapa alam ini dijadikan. Mereka tak memikirkan tentang alam. Takkan alam yang begini hebat dan teratur ini tidak ada penciptanya? Kalau mereka memikirkan, tentu mereka akan terima bahawa ada Tuhan yang menjadikan mereka.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 044: Dukhan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s