Tafsir Surah Sajdah Ayat 21 – 30

Ayat 21: Orang-orang yang engkar tidak mahu percaya dengan perjumpaan dengan Allah, akan dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.

32:21
Transliteration

Walanutheeqannahum mina alAAathabial-adna doona alAAathabi al-akbari laAAallahumyarjiAAoon

Sahih International

And we will surely let them taste the nearer punishment short of the greater punishment that perhaps they will repent.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ الْعَذَابِ الْأَدْنَىٰ
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia
Kepada mereka yang buat syirik semasa di dunia, mereka akan dirasakan dengan azab dunia. Perkataan الْأَدْنَىٰ adalah dari kata dasar د ن و yang bermaksud ‘dekat, lebih rendah, kurang’. Dari kata yang sama, datangnya perkataan ‘dunia’. Kerana dunia itu adalah dekat dengan kita, lebih rendah kedudukannya dari alam langit.

Azab-azab itu kurang kalau dibandingkan dengan azab di neraka. Inilah musibah-musibah dan bala bencana yang dikenakan kepada manusia. Selalunya ini dikenakan kepada manusia kerana mereka telah melakukan dosa syirik. Azab-azab itu seperti kemarau, jatuh sakit, ditindas bangsa lain, kematian orang yang disayangi, kekalahan dalam peperangan dan lain-lain lagi.

Masalahnya, kerana jahil, apabila masyarakat kita dikenakan dengan sesuatu bala atau musibah dalam dunia, mereka akan buat solat Hajat berjemaah. Padahal itu adalah satu amalan bidaah, yang tidak pernah Nabi dan para sahabat buat. Ianya hanya ciptaan manusia berdasarkan dalil-dalil yang tidak sahih. Padahal, bala itu dikenakan kerana mereka buat syirik. Bukan mereka nak bertaubat, tapi mereka tambah dengan perbuatan bidaah pula. Sudahlah buat salah, tambah dengan buat satu kesalahan besar lagi pula. Yang sepatutnya mereka meninggalkan perbuatan syirik yang mereka buat. Tapi kerana tak belajar tafsir Quran, tak faham tentang agama, mereka tak tahu manakah kesalahan syirik yang mereka buat. Mereka ingat, mereka sudah Islam, mereka tak buat syirik lagi. Tapi entah berapa banyak syirik yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita kerana mereka tak sedar.

Bagaimanakah cara untuk bertaubat dengan Allah setelah kita melakukan kesalahan? Kita ambillah contoh bagaimana Nabi Adam dan Nabi Yunus telah diajar dengan doa-doa tertentu setelah mereka melakukan kesalahan. Oleh kerana kesalahan yang telah dilakukan dua Nabi besar itu, mereka telah dikenakan dengan bala dari Allah. Dan kemudian Allah telah mengajar mereka berdua cara untuk meminta ampun. In sha Allah, kalau kita amalkan dengan cara itu, dosa kita akan diampunkan oleh Allah. Kerana cara itu diajar sendiri oleh Allah. Tentulah itu cara yang dikehendaki oleh Allah.

Doa Taubat Nabi Adam a.s. – Al-A’raf: 23

Doa Taubat Nabi Yunus a.s. – Al-Anbiya’:87

Bacalah dua ayat ini berkali-kali dengan rasa menyesal dan mengharapkan pengampunan dari Allah.

Tapi, masyarakat kita telah disesatkan oleh guru-guru yang sesat yang mengajar cara yang syirik dan khurafat untuk menyelesaikan masalah mereka. Itulah yang mereka buat mandi bunga, mandi tolak bala, pakai cincin azimat, amalan-amalan sesat dan sebagainya. Masyarakat kita yang jahil, kerana dari kecil sampai ke tua tidak belajar agama dan tidak belajar Quran, senang sahaja tertipu dengan mereka. Padahal, cara yang diajar oleh Allah dan Nabi senang sahaja. Tidak perlu mengeluarkan duit pun untuk diberikan kepada guru-guru sesat itu. Yang tok guru dan tukang ubat seperti bomoh dan sebagainya, mereka mengajar cara yang salah kerana mereka hendakkan upah dari manusia jahil itu. Masalah sekarang, mereka tidak pakai nama ‘dukun’ dan ‘bomoh’ dah. Sekarang, mereka bertopeng dengan menggunakan nama ‘ustaz’. Maka, lagi lah senang manusia tertipu. Masyarakat kita, kalau ada yang pakai nama ‘ustaz’, tentu percaya terus.

دُونَ الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ
sebelum azab yang lebih besar,
الْعَذَابِ الْأَكْبَرِ adalah bermaksud azab di akhirat nanti.
Sebelum mereka dikenakan dengan azab di akhirat seperti yang tersebut dalam ayat sebelum ini, mereka akan dikenakan dengan azab dunia. Ada banyak contoh-contoh bagaimana azab itu dikenakan kepada manusia seperti yang diberikan kepada Firaun iaitu dia telah diberikan dengan sembilan bala. Semua bala-bala itu diberikan kerana Allah memberi peluang kepada Firaun dan kepada manusia yang engkar untuk mengubah cara hidup mereka.

لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

Inilah rahmat Allah. Allah tidak terus bagi azab akhirat. Allah beri manusia rasa azab yang rendah semasa di dunia supaya mereka memikirkan tentang Allah dan mengembalikan diri kepada Islam. Dan kita memang banyak menerima kesusahan ini dalam dunia. Selalunya, bila kita dah terduduk, baru kita nak sedar. Baru kita terfikir apakah kesilapan yang kita telah lakukan selama hari ini. Barulah nak kembali kepada Allah dan meminta pertolongan kepadaNya dan bertaubat. Walaupun kita nampak macam susah bala yang dikenakan, tapi ianya adalah rahmat dari Allah sebenarnya. Kerana dengan diberinya azab yang rendah itu, kita akan tersedar dan akan kembali taubat.

Kalau kita hidup senang-senang sahaja, selalunya kita akan lupa diri dan lupa Allah. Maka terus kita buat salah dan tak rasa bersalah pun apabila buat dosa itu. Ada berapa ramai yang hidup senang lenang sahaja, maka mereka lupa kepada Allah. Maka, apabila kita dapat kesusahan, ingatlah bahawa itu adalah sebahagian dari rahmat Allah untuk mengingatkan kita kepada Dia.

—————————————————-

Ayat 22: Tapi, setelah diberikan peringatan, masih ada lagi yang tidak mahu menerima peringatan itu. Mereka tetap menolak kebenaran.

32:22
Transliteration

Waman athlamu mimman thukkirabi-ayati rabbihi thumma aAArada AAanhainna mina almujrimeena muntaqimoon

Sahih International

And who is more unjust than one who is reminded of the verses of his Lord; then he turns away from them? Indeed We, from the criminals, will take retribution.

Malay

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya,

Allah kata tidak ada lagi yang lebih zalim dari mereka yang berperangai seperti ini. Ini bermakna, teruk sangat dah mereka yang seperti ini. Iaitu mereka yang apabila dibacakan dalil-dalil dari ayat-ayat Quran, mereka buat tak kisah sahaja. Mereka lihat macam ayat Quran itu adalah kawan-kawan mereka sahaja. Mereka lebih selesa kalau ikut pendapat dari guru-guru, ustaz dan orang lain daripada pakai firman Allah lagi.

Allah memberi peringatan kepada manusia dengan berbagai-bagai cara. Ada yang diberikan dalam bentuk ayat-ayat Quran. Dibacakan berkali-kali kepada mereka. Sepatutnya manusia mengambil pengajaran dari ayat-ayat itu.

Selain dari ayat-ayat Quran (ayat qauliah), Allah juga memberi peringatan kepada kita dalam bentuk ‘ayat kauniah’ – iaitu dalam bentuk tanda-tanda dalam alam ini. Sebagai contoh, ribut taufan, kemalangan, kematian orang yang disayangi. Semua kejadian ini sepatutnya mengingatkan kita. Sepatutnya mereka yang terselamat dari bencana itu bersyukur kerana diselamatkan yang bermakna Allah sedang memberi peluang dan peringatan kepada mereka. Lihatlah bagaimana orang yang dekat dengan kita tidak terselamat tapi kita terselamat. Padahal, kita pun boleh sahaja kena kemalangan yang sama, contohnya.

ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا
kemudian ia berpaling daripadanya

Mereka berpaling dan tetap mengingkari ayat-ayat dan tanda-tanda yang Allah berikan itu. Iaitu setelah diberikan peringatan dengan menggunakan ayat-ayat Quran dan ayat-ayat dalam alam ini, mereka masih lagi tak mahu terima, masih lagi engkar, masih lagi nak dengar kata tok guru-guru sesat itu. Orang yang sebegini, Allah kata tidak ada lagi yang lebih zalim dari mereka.

إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ
sesungguhnya Kami, dari orang-orang yang berbuat dosa itu akan memberi balasan.

Orang-orang yang tidak mengambil pengajaran itu, Allah gelar mereka الْمُجْرِمِينَ, yang bermaksud ‘penjenayah’. Kenapakah mereka digelar ‘penjenayah’? Kerana mereka tahu undang-undang, tapi mereka langgar juga. Memang seseorang yang melanggar undang-undang dunia juga dipanggil penjenayah. Itu baru undang-undang dunia. Kalau undang-undang Allah, lagilah besar jenayah yang mereka telah lakukan. Kita sekarang tinggal dalam dunia yang Allah berikan, sepatutnya kita kena ikut undang-undang Allah. Jangan senang hati sahaja hidup udara Dia, makan makanan yang Dia beri , tapi undang-undang Dia kita tidak mahu pakai.

——————————————————

Ayat 23: Kita sebagai manusia, tentu selalu terlupa. Oleh itu, kena diingatkan berkali-kali. Dimanakah peringatan itu diberikan kepada kita? Dalam kitabNya. Maka sekarang Allah menceritakan bagaimana umat terdahulu seperti umat Nabi Musa pun ada diberikan peringatan kepada mereka dalam bentuk kitab juga.

32:23
Transliteration

Walaqad atayna moosaalkitaba fala takun fee miryatin min liqa-ihiwajaAAalnahu hudan libanee isra-eel

Sahih International

And We certainly gave Moses the Scripture, so do not be in doubt over his meeting. And we made the Torah guidance for the Children of Israel.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi Kitab kepada Nabi Musa
Kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Kitab Taurat.

Ayat ini diturunkan di Mekah dan waktu itu Nabi Muhammad dan para sahabat telah menerima banyak tentangan dari umat mereka. Maka, sedikit sebanyak tentu Nabi rasa tertekan dengan keadaan begitu. Maka, kerana itu Allah memberikan peringatan dan pujukan kepada baginda, bahawa sebelum ini pun telah ada Nabi yang telah diberikan dengan kitab, iaitu Nabi Musa a.s. Dan Nabi Musa juga menerima tentangan dari kaumnya. Jadi, jangan ingat Nabi Muhammad sahaja yang menerima tekanan. Nabi yang lain pun menerima tekanan juga.

فَلَا تَكُن فِي مِرْيَةٍ مِّن لِّقَائِهِ
maka janganlah engkau ragu-ragu untuk berjumpa dengannya;

لِّقَائِهِ boleh bermaksud pertemuan dengan ‘Quran’. Sebagaimana Musa telah diberikan dengan Taurat, kamu juga Wahai Muhammad akan menerima kitab juga, iaitu Quran.

لِّقَائِهِ juga boleh bermaksud jangan ragu-ragu tentang pertemuan dengan ‘Nabi Musa’. Allah nak beritahu kepada Nabi Muhammad yang baginda pasti akan bertemu dengan Nabi Musa nanti. Dan memang dalam satu hadis tentang isra’ mi’raj, Nabi Muhammad telah bertemu dengan Nabi Musa. Nabi Musa lah yang menasihatkan Nabi Muhammad supaya minta dikurangkan jumlah solat daripada 50 waktu. Nabi telah berkali-kali turun dan naik antara Nabi Musa dan Allah sampaikan waktu solat sehari semalam telah dikurangkan kepada 5 waktu sahaja sekarang.

وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ
dan Kami jadikan Kitab Taurat itu sebagai penunjuk bagi kaum Bani Israil.

Taurat itu dijadikan sebagai petunjuk kepada Bani Israiil. Begitu juga Quran ini, dijadikan sebagai petunjuk kepada segenap manusia kepada mereka yang mahu belajar. Sebagaimana Taurat adalah sebagai petunjuk, Quran adalah adalah sebagai petunjuk, iaitu sebagai rahmat kepada kita. Bukanlah Quran itu diturunkan untuk menyusahkan kita dengan hukum-hukumnya.

Allah menyebut tentang Bani Israiil kerana dalam surah seterusnya adalah tentang pertentangan orang Islam dengan mereka.

————————————————————–

Ayat 24: Kepada mereka yang mahu menggunakan Kitab Taurat sebagai petunjuk dalam mereka memimpin. 32:24

Transliteration

WajaAAalna minhum a-immatan yahdoonabi-amrina lamma sabaroo wakanoo bi-ayatinayooqinoon

Sahih International

And We made from among them leaders guiding by Our command when they were patient and [when] they were certain of Our signs.

Malay

Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

 

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka pemimpin-pemimpin,
Taurat telah diberikan kepada Nabi Musa. Dan selepas baginda, ada banyak pemimpin-pemimpin dari kalangan Bani Israil. Mereka disuruh untuk menggunakan Kitab Taurat itu sebagai rujukan.

يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا
yang membimbing kaum masing-masing dengan perintah Kami,

Mereka menggunakan hukum Allah dalam memimpin masyarakat mereka. Mereka mengajak manusia kepada Allah. Itulah yang sepatutnya dilakukan.

Dari kalangan Bani Israil dulu ada yang baik-baik. Mereka ada yang jadi pemimpin yang baik.

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin-pemimpin mesti memimpin rakyatnya dengan perintah Tuhan. Iaitu dengan cara yang Tuhan ajar. Bukan dengan menggunakan otak dan akal dia sendiri. Bukan memimpin dengan mengikut hawa nafsu. Begitu juga, guru-guru yang mengajar, mestilah mengajar anak muridnya dengan menggunakan ayat-ayat Allah. Ayat-ayat Allah adalah rujukan yang utama. Yang selain dari itu, sebagai penguat dan sebagai penjelas sahaja kepada ayat Quran. Malangnya, yang mengajar agama sekarang tidak menggunakan ayat Quran langsung. Mereka terus menggunakan kitab-kitab tulisan manusia dan mereka menggunakan akal mereka sahaja. Oleh itu, perkara yang hendak disampaikan oleh Allah belum mereka sampaikan. Kenapa mereka tidak mengajar ayat-ayat Allah? Kerana mereka sendiri belum belajar. Sepatutnya mereka tidak layak mengajar kerana mereka sendiri tidak kenal agama mereka. Apabila mereka sendiri tidak tahu, mereka telah menyampaikan kejahilan itu kepada anak murid mereka.

Ini menunjukkan yang kita kena belajar untuk tahu. Baru boleh jadi pemimpin. Kalau orang jahil, sepatutnya tidak jadi pemimpin. Apabila yang jahil jadi pemimpin, itulah yang menyebabkan rosak masyarakat.

Kita juga sebagai pemimpin agama, atau sebagai orang yang dipandang menjaga agama, perlu berhati-hati dalam perbuatan kita. Kerana orang luar tengok apa yang kita lakukan. Mereka akan ikut apa yang kita kata dan buat kerana mereka ingat tentulah ianya sesuatu yang dibenarkan dalam Islam kerana kita pun buat juga. Jangan kita jadi dalil kepada orang jahil. Takut mereka kata: “Tengok, ustaz pun buat macam itu, mestilah benar perbuatan itu!”

لَمَّا صَبَرُوا
selama mereka bersikap sabar

Perkataan لَمَّا bermaksud ‘selagimana’, iaitu selagimana mereka dalam keadaan sabar. Sebaik sahaja tiada sabar, seseorang itu tidak boleh memimpin lagi. Sifat sabar adalah pakaian yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin.

Kita tidak akan mampu memimpin melainkan dengan ada sifat sabar. Kalau tak boleh sabar, lebih baik jangan jadi pemimpin. Kerana apabila kita beri arahan kepada umat, bukanlah mereka terus buat. Ada yang lengah, ada yang degil, bagi alasan dan macam macam. Macam juga kita suruh anak-anak kita buat sesuatu. Ada sahaja akal mereka untuk tidak buat. Ada sahaja alasan mereka. Maka, dalam memimpin kena sabar kerana pengikut akan degil dan macam-macam lagi.

Lihatlah kisah bagaimana Nabi Musa terpaksa berhadapan dengan kedegilan umatnya. Begitu banyak kisah tentang mereka dalam ayat-ayat Quran. Apabila diberi arahan kepada mereka, ada sahaja alasan mereka dan ada sahaja yang menentang.

Ini menyatakan bahawa dalam menggunakan perintah Tuhan, kena bersabar. Lebih-lebih kalau kita berurusan dengan orang yang jahil. Mereka akan menentang kerana mereka tak faham.

Kena juga bersabar dalam belajar. Kena tinggalkan perkara-perkara lain yang tidak berfaedah. Jangan hanyut dengan kesibukan dalam kehidupan seharian. Kena pandai susun jadual hidup kita. Jangan kita terbuang masa dengan hal-hal lain sahaja. Kerana kalau begitu, kita tidak luangkan masa dengan belajar. Kita kena masukkan masa untuk belajar. Kena luangkan masa untuk belajar Quran dan mengajar orang lain. Berapa ramai orang yang kita tahu ada keinginan untuk belajar, tapi ada sahaja masalah yang mereka kena selesaikan – hal kerja, hal anak, hal keluarga dan macam-macam lagi. Itu semua akan terjadi kalau kita tidak memandang pentingnya belajar ilmu agama ini. Apabila ianya tidak dianggap penting, apabila ada benda lain yang perlukan perhatian kita, kita akan tolak pembelajaran agama ke tepi dahulu. Ini adalah perangkap syaitan yang banyak sangat menjerat manusia.

وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat Kami.

Ayat ini menyebut tentang ‘yakin’. Penting untuk pemimpin ada keyakinan. Kalau diri sendiri tak percaya dan yakin dengan Quran, tentu kita tak boleh nak suruh orang lain buat. Orang yang yakin akan senang nak suruh orang lain pun percaya juga. Oleh itu, mulakan dengan kepercayaan diri sendiri. Kalau kita 50/50 sahaja, susah kita nak bagi orang lain percaya. Orang lain boleh nampak yang kita pun tak berapa yakin. Bayangkan kalau seorang doktor menyuruh pesakitnya untuk makan ubat sambil berkata: “Saya rasa ubat ini sesuai untuk penyakit ini….” Tentulah kita nak makan ubat itu akan fikir dua tiga kali.

———————————————————————-

Ayat 25: Dalam kita memberi pimpinan kepada masyarat dan juga dalam kita mengajar dan berdakwah kepada masyarakat, tentu ada yang tidak mahu menerima. Tentu ada yang berlainan pendapat.

32:25
Transliteration

Inna rabbaka huwa yafsilu baynahumyawma alqiyamati feema kanoo feehiyakhtalifoon

Sahih International

Indeed, your Lord will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

Malay

(Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

إِنَّ رَبَّكَ
sesungguhnya Tuhanmu

هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ
Dia yang akan memutuskan hukumNya di antara mereka
Iaitu Allah lah yang akan buat keputusan yang akhir. Perbezaan pendapat adalah perkara biasa. Kita kena pandai menanganinya. Jangan kerana beza pendapat, sampai kita tidak meneruskan dakwah.

Kadang-kadang perbezaan pendapat itu tidak dapat diselesaikan dalam dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat memberikan keputusan. Allah lah sahaja yang maha mengetahui.

يَوْمَ الْقِيَامَةِ
pada hari kiamat,

Masalahnya, keputusan itu hanya akan diketahui di akhirat nanti. Kalau di sana baru tahu yang kita salah, alangkah ruginya, kerana kita tidak boleh buat apa-apa dah.

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

Maka jangan kita tekankan sangat pada perbezaan yang kecil-kecil. Kerana kadang-kadang perbezaan pendapat itu akan melemahkan keyakinan kita. Sebagai contoh, ada ustaz-ustaz yang Sunnah pun ada perbezaan pendapat. Kalau kita fikir sangat tentangnya, kita akan lemah semangat.

Banyak perkara yang manusia berselisih semasa di dunia. Sebagai contoh, satu pendapat mengatakan tidak boleh bertawasul dengan wali, malaikat dan Nabi. Satu puak lain pula kata, molek kalau buat macam itu. Maka, manakah yang benar? Allah lah nanti akan menyatakan mana yang benar. Maka, di Hari Akhirat nanti, akan zahirlah kebenaran. Tapi, mana yang berbuat salah, tidak ada harapan lagi untuk bertaubat kerana telah sampai ke Hari Kiamat. Oleh itu, semasa kita di dunia, hendaklah kita menggunakan akal kita untuk menilai apakah dalil yang digunakan oleh puak-puak yang berselisih pendapat itu. Penentu kebenaran adalah Quran dan Hadis yang sahih. Kadangkala, hujah Quran dan Hadis pun ada digunakan oleh mereka yang salah – mereka guna dalil Quran dan Hadis, tapi pemahaman mereka yang salah. Itu adalah kerana mereka tidak belajar dengan guru yang benar.

———————————————————

Ayat 26: Kenapa ada lagi perselisihan faham itu? Kenapa mereka tidak mahu menerima dalil-dalil yang sahih itu? Apa lagi yang mereka mahu? Tidakkah kejadian mereka yang telah dikenakan kepada umat-umat terdahulu sepatutnya dijadikan sebagai pengajaran?

32:26
Transliteration

Awa lam yahdi lahum kam ahlakna minqablihim mina alqurooni yamshoona fee masakinihim inna feethalika laayatin afala yasmaAAoon

Sahih International

Has it not become clear to them how many generations We destroyed before them, [as] they walk among their dwellings? Indeed in that are signs; then do they not hear?

Malay

Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?

أَوَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ
Dan tidakkah memberi petunjuk kepada mereka:
Tidak cukupkah petunjuk yang boleh diambil dari kesan kaum-kaum terdahulu?

Apakah yang menyebabkan manusia tidak mengikut hidayah? Yang menyebabkan manusia kadang-kadang terjerumus ke dalam kesesatan adalah rumah-rumah mereka, kediaman dan tempat tinggal mereka. Mereka rasa senang duduk di rumah dengan tenang-tenang sahaja. Mereka berbangga dengan rumah mereka yang besar-besar dan indah-indah. Begitu juga dengan kaum-kaum yang telah dihancurkan itu. Mereka takut mereka kehilangan rumah-rumah mereka, maka mereka tidak mengikuti kebenaran. Mereka bersungguh-sungguh hendak mempertahankan perkara yang sebenarnya tidak bernilai. Begitu jugalah dengan mereka yang bermatian mempertahankan tanah mereka, tapi apabila mereka mati, tanah itu tidak bernilai pun. Mempertahankan harta, tanah air dan apa sahaja tidaklah salah, tapi kalau sampai ianya meninggalkan agama, tentulah itu adalah satu perbuatan yang salah dan merugikan sekali.

Apa yang terjadi kepada mereka yang telah dihancurkan oleh Allah, hendaklah menjadi pengajaran kepada kita. Kita kena lihat apakah kesalahan yang mereka lakukan sampai Allah menghancurkan mereka. Dari situ, kita boleh berhenti dari melakukan apa yang mereka lakukan.

Yang mereka lakukan dulu adalah mereka menyembah selain dari Allah. Mereka juga salah faham dalam perkara berkenaan doa, maka mereka telah menggunakan perantaraan/tawasul dalam doa mereka. Maka, akhirnya mereka telah melakukan syirik. Itulah masalah besar mereka. Maka, belajarlah dari mereka dan ambillah iktibar dari kesalahan mereka itu.

Asalnya ayat ini diturunkan kepada masyarakat Makkah yang melalui tempat-tempat kaum yang terdahulu yang telah dihancurkan. Allah menyuruh memperhatikan bagaimana Allah boleh menghancurkan mereka yang buat kesalahan. Maka, ambillah iktibar dari kesalahan mereka yang dulu.

كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم
berapa banyak yang Kami telah binasakan dari kaum-kaum yang sebelum mereka

Kisah-kisah mereka ada disebut dalam Quran. Kepada masyarakat Arab, memang mereka kenal kaum-kaum itu kerana mereka memang melalui kawasan penempatan mereka dalam musafir mereka. Mereka sepatutnya boleh tahu apakah kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka yang dibinasakan itu.

مِّنَ الْقُرُونِ
dari kurun-kurun yang terdahulu
Generasi-generasi yang terdahulu.

يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ
padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu?

Contohnya, mereka boleh lihat tanah tempat tinggal Firaun dulu. Orang Arab boleh lihat tinggalan-tinggalan kaum Aad dan Tsamud yang telah dihancurkan dulu.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ
Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu

لَآيَاتٍ
mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar);

أَفَلَا يَسْمَعُونَ
oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar?

———————————————————-

Ayat 27: Selepas Allah suruh mereka melihat tinggalan-tinggalan kaum terdahulu, sekarang Allah suruh tengok alam pula.

32:27
Transliteration

Awa lam yaraw anna nasooqu almaaila al-ardi aljuruzi fanukhriju bihi zarAAanta-kulu minhu anAAamuhum waanfusuhum afala yubsiroon

Sahih International

Have they not seen that We drive the water [in clouds] to barren land and bring forth thereby crops from which their livestock eat and [they] themselves? Then do they not see?

Malay

Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?

أَوَلَمْ يَرَوْا
Dan tidakkah mereka itu melihat

Kita menggunakan penglihatan yang Allah telah berikan kepada kita sabagai punca untuk mendapatkan hidayah. Apa sahaja yang kita lihat, hendaklah kita mengambil pelajaran.

Banyak pengajaran-pengajaran yang kita boleh dapat dari kita melihat alam semesta ini. Banyak ayat-ayat dalam Quran yang Allah suruh kita menggunakan pancaindera kita.

أَنَّا نَسُوقُ الْمَاءَ
bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan
نَسُوقُ itu satu perbuatan macam halau binatang. Iaitu memberi arahan kepada sesuatu. Allah lah yang telah mengarahkan hujan turun ke satu-satu kawasan. Semuanya terjadi dengan kehendakNya.

إِلَى الْأَرْضِ الْجُرُزِ
ke bumi yang kering kontang,
الْجُرُزِ bermaksud ‘yang terputus dari bekalan air dan kehidupan’. Tanah yang tidak ada tanaman langsung. Tanah itu sebenarnya subur, tapi tiada tumbuhan kerana tiada air.

Tanah yang mati juga isyarat kepada hati yang mati. Iaitu hati yang tidak ada iman. Sebagaimana juga musyrikin Mekah yang hati mereka langsung tiada iman. Mereka nampak macam tidak ada harapan untuk jadi beriman seperti juga tanah yang tandus. Kerana teruk sangat perangai mereka. Tapi lihatlah bagaimana apabila Allah memberikan hidayah kepada mereka, mereka telah berubah menjadi satu bangsa yang beriman tinggi dan menegakkan Islam di dunia.

فَنُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا
lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman,

Isyarat kepada hidayah yang mereka terima dalam bentuk Quran. Ianya adalah satu rahmah dari Allah. Apabila seorang insan itu dimasukkan dengan ilmu Quran, faham apakah yang Quran hendak sampaikan, hati mereka akan hidup.

Ini menunjukkan bahawa Allah boleh mengubah sesuatu keadaan itu walaupun nampak macam mustahil. Maka janganlah kita putus harap dengan Allah. Kalau kita dalam keadaan susah mana pun, ingatlah bahawa Allah ada, dan Allah akan beri pertolongan kepada kita apabila diperlukan.

Maka, kalau kita dalam susah, jangan lupa minta kepada Allah untuk mengubah keadaan kita.

تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعَامُهُمْ
yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka

وَأَنفُسُهُمْ
dan mereka sendiri

أَفَلَا يُبْصِرُونَ
Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati?

Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Allah lah yang berkuasa menurunkan hujan, dan dengannya menumbuhkan segala tanam-tanaman. Kita tak perasan kepentingan rumput rampai itu kerana kita tak makan rumput. Tapi kita selalu terlupa bahawa lembu makan rumput, dan kita makan lembu.

Tidakkah mereka mahu memerhatikan bahawa Allah boleh mengubah keadaan diri kita dari susah kepada senang? Maka jangan lupa berdoa dan terus berdoa kepada Allah dengan mengadu keadaan kita.

Lihatlah bagaimana keadaan Nabi dan para sahabat yang susah di Mekah, tapi keadaan mereka berubah kepada lebih baik apabila berpindah ke Madinah.

——————————————————

Ayat 28: Tapi mereka masih berdegil dan masih mempersoalkan dan mengejek dengan soalan-soalan yang kurang ajar.

32:28
Transliteration

Wayaqooloona mata hatha alfathuin kuntum sadiqeen

Sahih International

And they say, “When will be this conquest, if you should be truthful?”

Malay

Dan mereka bertanya: “Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?”

وَيَقُولُونَ
Dan mereka bertanya:
Ini adalah kata-kata orang musyrik kepada mereka yang beriman. Ini bukan jenis soalan yang ikhlas hendak tahu, tapi ianya adalah soalan dalam bentuk mengejek.

مَتَىٰ هَٰذَا الْفَتْحُ
“Bilakah datangnya hari kejayaan itu

Iaitu Hari Akhirat dimana kemenangan akan diberikan kepada orang mukmin. Mereka mengejek kata-kata Nabi. Kerana pada mereka, kata-kata Nabi itu mengarut sahaja.

Atau mereka merujuk kepada kemenangan orang Islam ke atas mereka. Mereka waktu itu sedang menyeksa orang Islam, waktu itu orang Islam nampak lemah sangat. Jadi apabila dikatakan kepada mereka bahawa Islam akan menang, mereka mengejek kerana tak nampak langsung ada harapan yang Islam akan membesar dan menang.

إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
jika betul kamu orang-orang yang benar?”

Mereka kata: kalau kamu betul orang yang benar, beritahulah kepada kami bila kamu akan menang?

—————————————————-

Ayat 29: Allah mengajar Nabi Muhammad dan juga kepada kita, bagaimana hendak menjawap soalan yang sebegini:

32:29
Transliteration

Qul yawma alfathi la yanfaAAuallatheena kafaroo eemanuhum wala hum yuntharoon

Sahih International

Say, [O Muhammad], “On the Day of Conquest the belief of those who had disbelieved will not benefit them, nor will they be reprieved.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tidak perlu diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)”.

قُلْ يَوْمَ الْفَتْحِ
Katakanlah (wahai Muhammad): “pada hari kejayaan itu,

Apabila Allah suruh Nabi mengatakan, itu bermaksud Allah mengajar Nabi bagaimana menjawap. Ini kita kena ambil perhatian. Kerana kita juga kena jawap macam ini juga nanti. Bukanlah ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad sahaja, tapi kepada kita juga.

لَا يَنفَعُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِيمَانُهُمْ
tidak ada manfaatnya kepada orang-orang kafir itu, iman-iman mereka,

Apabila di Mahsyar, selepas mereka melihat kebenaran, mereka terus beriman. Kerana mereka dah nampak manakah yang haq. Seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, bagaimana apabila mereka telah melihat neraka yang dibawakan ke Mahsyar, baru mereka nak beriman. Tapi iman mereka waktu itu tidak bernilai lagi. Tidak diterima oleh Allah.

Ini mengajar kita supaya jangan lepaskan peluang kita yang ada dalam dunia ini untuk berbuat kebaikan dengan sebanyak mungkin. Ambillah pengajaran bagaimana waktu itu di akhirat kelak, orang-orang akan banyak menyesal. Orang yang kafir akan menyesal kerana mereka tidak beriman. Dan orang yang beriman pun akan menyesal juga: Kerana mereka menyesal kerana tidak melakukan sebanyak mungkin amal ibadat.

وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ
dan mereka pula tidak diberi tangguh”.

Tak boleh mereka nak minta tangguh bicara dengan Tuhan. Tidak boleh minta tangguh sebelum dimasukkan ke dalam neraka.

Juga bermaksud mereka langsung tidak dilihat. Mereka tidak akan diendahkan oleh Allah. Bermakna, Allah tidak memberi rahmat kepada mereka.

—————————————————-

Ayat 30: Akhir sekali, Allah mengajar kita bagaimanakah sikap kita terhadap mereka:

32:30
Transliteration

FaaAArid AAanhum wantathirinnahum muntathiroon

Sahih International

So turn away from them and wait. Indeed, they are waiting.

Malay

Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah (kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun menunggu (kesudahanmu).

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ
Oleh itu, berpalinglah dari mereka,
Berpalinglah dari mereka yang tidak ikut tauhid itu. Biarkan mereka dengan kata-kata ejekan mereka itu. Jangan hiraukan apa yang mereka katakan terhadap kita.

Ayat ini bukan bermaksud jangan hiraukan mereka sampai tidak berdakwah kepada mereka – tapi jangan layan ejeken mereka. Kalau mereka kutuk kita, buat tak tahu sahaja. Kerja dakwah tetap perlu dijalankan, kerana kita tidak tahu mungkin mereka akhirnya akan beriman. Cuma jangan layan kata-kata mengarut mereka itu.

وَانتَظِرْ
dan tunggulah,

Tunggulah keputusan Allah. Keputusan Allah pasti datang. Samada mereka akan dibalas di dunia ini atau mereka akan dibalas di akhirat kelak.

إِنَّهُم مُّنتَظِرُونَ
sesungguhnya mereka pun menunggu.

Musyrikin Mekah menunggu apa? Mereka menunggu kehancuran Islam, kematian Nabi Muhammad. Mereka kata kedatangan Nabi Muhammad telah menyusahkan mereka. Mereka susah nak beramal amalan yang sesat. Semakin ramai yang masuk Islam. Mereka susah untuk berbuat sesuka hati mereka seperti sebelum kedatangan Nabi Muhammad dengan Islam. Maka mereka menunggu-nunggu bilakah Nabi nak mati. Kerana mereka nak bunuh baginda, tak boleh. Mereka tunggu Nabi Muhammad mati sendiri. Mereka sangka, kalau Nabi mati, maka Islam akan terkubur.

====================================

Rujukan:

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyaz Zubair

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 032: Sajdah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s