Tafsir Surah Sajdah Ayat 1 – 11

Pengenalan:

Surah ini adalah surah Makkiah. Diturunkan di masa pertengahan masa di Mekah. Ianya tentang perkara tauhid dan kesilapan manusia tentang sifat-sifat Allah taala. Termasuk juga dalam surah ini tentang cara pengurusan Allah taala. Allah mengajar manusia bagaimana cara mentadbir.

Tauhid syirik qahriyah

Tema surah as-Sajadah dan yang berikutnya, berturut-turut ini menyampaikan mesej bahawa syafaat hanya boleh diminta daripada Allah semata-mata.

Sebenarnya, orang kafir percaya bahawa yang mencipta langit dan bumi ini adalah Allah. Cuma mereka tidaklah panggil Tuhan itu dengan nama Allah. Sebagai contoh, kalau kita tanya kepada orang Hindu, mereka tahu yang berhala yang mereka sembah itu bukan Tuhan. Mereka tahu ada ‘Tuhan yang satu’. Tapi mereka tak tahu nama dah. Yang mereka sembah itu adalah dewa yang mereka sangka akan menyampaikan hajat mereka kepada ‘Tuhan yang satu’ itu. Begitu juga dengan agama-agama yang lain. Mereka juga tahu ada Tuhan sebenarnya yang mentadbir alam ini. Tapi mereka telah ditipu oleh Iblis untuk menyembah selain dari Allah. Kerana salah faham mereka, itulah sebabnya mereka jadi kafir.

Surah Sajdah ini menolak pemahaman bahawa ada syafaat dari sesiapa selain Allah. Syafaat sebenarnya dari Allah. ‘Pemberi syafaat’ seperti Nabi Muhammad diberi penghormatan untuk ‘menyampaikan’ syafaat itu. Tapi keputusan siapakah yang akan mendapat syafaat itu bukan dari Nabi. Kerana salah faham dengan hal syafaat ini jugalah yang menyebabkan masyarakat Islam pun jadi sesat. Mereka sangka, Nabi Muhammad boleh beri syafaat. Jadi, mereka minta kepada Nabi Muhammad sendiri. Padahal, Nabi bukan boleh menentukan siapakah yang boleh menerima syafaat. Nabi hanya ‘menyampaikan’ sahaja.

Surah ini adalah satu surah kegemaran Nabi Muhammad. Nabi selalu membacakan dalam rakaat pertama solat Subuh pada hari Jumaat. Dan pada rakaat kedua subuh pula, baginda akan membaca Surah Insan. Ini menunjukkan kepentingan surah ini kerana ianya dibaca pada hari yang mulia, Hari Jumaat. Dan Nabi tidak tidur melainkan baginda akan membaca surah Sajdah dan Surah Mulk. Jadi, ini bermakna ada pengajaran yang penting dalam surah ini sampaikan Nabi mengamalkannya setiap hari. Seeloknya surah ini dihafal supaya kita juga boleh mengamalkan sunnah Nabi membacanya pada subuh hari Jumaat dan membacanya setiap hari sebelum tidur. Ini adalah satu surah yang pendek. Jadi, mudah sahaja untuk dihafal. Jadikanlah ini sebagai satu projek yang mulia untuk diri anda.

Surah ini dinamakan surah Sajdah kerana di dalamnya ada tentang Sujud dan didalamnya ada ayat Sajdah dimana disunatkan untuk bersujud apabila kita membaca ayat itu.

——————————————————–

Ayat 1:

 

32:1
Transliteration

Alif-lam-meem

Sahih International

Alif, Lam, Meem.

Malay

Alif, Laam Miim.

الم

Alif, Laam Miim.

Ini dinamakan huruf-huruf muqattaah. Tidak diketahui apakah maknanya yang sebenar. Allah sahaja yang tahu.

———————————————————————

Ayat 2:

32:2
Transliteration

Tanzeelu alkitabi la raybafeehi min rabbi alAAalameen

Sahih International

[This is] the revelation of the Book about which there is no doubt from the Lord of the worlds.

Malay

Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

تَنزِيلُ الْكِتَابِ
Diturunkan Al-Quran ini,
Perkataan تَنزِيلُ yang digunakan dalam ayat ini memberi isyarat bahawa al-Quran ini diturunkan berperingkat-peringkat dan tidak sekali gus. Penurunan Quran ini kepada Nabi Muhammad secara beransur-ansur selama hampir 23 tahun. Kalau dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain, semuanya telah diturunkan terus dengan lengkap seperti Injil dan Taurat. Seperti Kitab Taurat, diturunkan siap bertulis. Injil pula dikatakan terus dimasukkan ke dalam dada Nabi Isa a.s.

Kelebihan Quran diturunkan berperingkat itu memberi peluang kepada para sahabat untuk benar-benar memahami dan mempraktikkan ayat-ayat Quran itu sedikit demi sedikit.

Begitu juga kepada kita, kita dianjurkan untuk mempelajari ayat-ayat itu sedikit demi sedikit. Jangan kita terus nak habiskan belajar, sampaikan kita tidak memahami dengan benar-benar satu-satu ayat Quran itu. Bersabarlah untuk memahaminya sedikit demi sedikit. Ianya akan memberikan lebih kefahaman yang mendalam.

لَا رَيْبَ فِيهِ
dengan tidak ada sebarang syak padanya,
Tidak ada keraguan dalam isi kandungnya. Tidak ada satu ayat pun yang meragukan. Yang ada ragu itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja. Kita tidak perlu musykil dengan apa yang ada dalam Quran itu. Kalau buku dan kitab-kitab lain, ada kemungkinan ada yang tersalah ditulis kerana ianya ditulis oleh manusia. Tapi apabila kita menerima Quran adalah ‘kalam Allah’, maka kita kena percaya dan terima bahawa tidak ada langsung kesalahan dalam Quran itu. Tambahan pula, Allah sendiri telah memberi jaminan bahawa Dia sendiri akan menjaga Quran itu. Jadi, tidak ada yang boleh mengatakan bahawa ada kesalahan dalam al-Quran ini. Berapa banyak cubaan untuk mengelirukan umat Islam dengan mengubah tulisan ayat Quran itu dalam cetakan selama ini. Tapi ianya tidak berhasil kerana akan ada sahaja orang Islam yang dapat mengesannya dan memperbetulkan penulisan ayat Quran itu.

مِن رَّبِّ الْعَالَمِينَ
dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Bukan dari sesiapa melainkan dari Allah, Tuhan sekelian alam. Tidak syak lagi ianya diturunkan dari Allah. Jadi, Quran ini adalah ‘kalam’ dari Allah. Bukan sihir, bukan puisi. Maka, apabila ianya dari Allah, Tuhan kita, janganlah kita ambil mudah sahaja. Hendaklah kita mempelajarinya dengan sepenuhnya. Jangan kita buat tak endah sahaja. Jangan kita hanya tahu membaca sahaja tanpa memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Allah.

Tapi, Musyrikin Mekah tidak percaya yang Quran itu diturunkan dari Allah. Inilah yang disentuh dalam ayat seterusnya. Mereka kata Nabi Muhammad yang tulis Quran itu. Mereka kata ianya adalah kisah-kisah dongeng dahulukala sahaja yang tidak ada kebenaran. Jadi, ayat ini menekankan bahawa Quran itu adalah kalam Allah.

———————————————————————

Ayat 3:

32:3
Transliteration

Am yaqooloona iftarahu bal huwa alhaqqumin rabbika litunthira qawman ma atahum minnatheerin min qablika laAAallahum yahtadoon

Sahih International

Or do they say, “He invented it”? Rather, it is the truth from your Lord, [O Muhammad], that you may warn a people to whom no warner has come before you [so] perhaps they will be guided.

Malay

(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ
Atau mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran”.
Ini adalah tuduhan puak Musyrikin Mekah. Mereka kata Quran itu adalah hasil tulisan dari Nabi Muhammad sendiri. أَمْ itu bermaksud ‘sanggup mereka kata begitu?’ Berani mereka kata begitu?

Begitu juga zaman sekarang, ramai pihak yang masih lagi mengatakan yang Quran itu adalah tulisan dari Nabi Muhammad. Atau mereka kata ianya adalah cedokan dari kitab-kitab yang terdahulu. Pendek kata, mereka tidak mahu terima yang ianya adalah dari Allah.

بَلْ هُوَ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ
bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu,
Allah tekankan balik bahawa Quran itu adalah dari Allah. Bukan dari manusia, bukan dari Jin, bukan dari Malaikat. Ianya dari Allah.

لِتُنذِرَ قَوْمًا
supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum
Tujuan Quran itu adalah untuk memberi ancaman. Ancaman itu diberikan kepada mereka yang tidak mahu terima isi kandung Quran itu. Arahan yang pertama diberikan kepada Nabi dan sekarang kita yang baca Quran ini, arahan itu sudah turun kepada kita. Nabi diarahkan untuk memberi peringatan kepada kaumnya, iaitu bangsa Arab. Kita pun kena gunakan Quran ini untuk beri ancaman kepada mereka yang engkar. Iaitu kepada masyarakat kita, samada Islam atau tidak. Ingatlah bahawa Quran ini bukan hanya untuk orang Islam sahaja, tapi untuk seluruh manusia. Jadi, apakah yang kita telah buat untuk menyampaikan ayat Quran ini kepada manusia sejagat? Adakah kita telah membacakan ayat-ayat Quran ini kepada kawan kita yang India, yang Cina dan yang Asli?

مَّا أَتَاهُم مِّن نَّذِيرٍ مِّن قَبْلِكَ
yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi amaran sebelummu,
Ancaman itu diberikan kepada mereka yang tidak pernah diberikan pemberi amaran sebelum itu. Iaitu yang pertama sekali adalah bangsa Arab. Kaum Arab sudah lama tidak mendapat Rasul, jadi mereka sudah lama tidak mendapat peringatan. Maka, mereka telah lama sesat. Mereka dulu ada dapat Nabi, seperti Nabi Shuaib, Nabi Hud dan Nabi Ismail. Tapi itu adalah lama dulu. Dibandingkan dengan Bani Israil yang banyak diturunkan Rasul dan Nabi dalam kalangan mereka.

Sama juga dengan kita. Kita adalah kaum yang tidak ada Nabi dan Rasul. Cuma kita ada pendakwah yang menyampaikan Quran kepada kita. Oleh itu, jangan kita ingat bahawa Quran itu hanya untuk bangsa Arab sahaja. Banyak ayat-ayat Quran yang menyatakan bahawa Quran ini adalah untuk semua manusia.

Masyarakat kita juga termasuk dalam kalangan mereka yang ‘tidak didatangi pemberi ancaman’ juga seperti bangsa Arab. Kerana walaupun masyarakat Islam kita telah lama mengenali Quran, tapi mereka tidak pernah diberi ancaman dengan ayat Quran. Ada yang tak tahu pun apakah makna ayat-ayat Quran itu. Ada yang hanya tahu baca sahaja. Itu pun nasib baik mereka baca. Masih banyak masyarakat Islam kita yang tak tahu baca Quran pun. Tergagap apabila mereka membacanya. Kalau baca pun tidak tahu, apatah lagi untuk memahami apa yang hendak disampaikan oleh Quran itu. Ini adalah kerana masyarakat Islam kita telah lama tidak mengendahkan Quran. Semoga kita dapat mengubahnya dengan memberikan cara yang mudah untuk memahami Quran ini.

Tujuan Quran adalah untuk memberi ancaman. Dan ancaman yang paling penting adalah Hari Kiamat. Ianya adalah hari yang besar. Ianya adalah sesuatu yang amat menakutkan kita. Kita tidak pasti dimanakah kita akan berada. Dalam kalangan orang beriman atau orang yang malang.

لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ
mudah-mudahan mereka beroleh hidayah.
Iaitu semoga mereka beribadat kepada Allah. Supaya mereka sembah Allah sahaja – tidak sembah ilah-ilah yang lain. Inilah tujuan Quran ini diturunkan. Jadi, untuk mendapatkan hidayah ini memerlukan kita faham Quran. Marilah kita meningkat usaha untuk meluangkan masa mempelajarinya.

———————————————————————

Ayat 4: Inilah yang hendak disampaikan dalam Quran.

32:4
Transliteration

Allahu allathee khalaqa assamawatiwal-arda wama baynahuma fee sittatiayyamin thumma istawa AAala alAAarshi malakum min doonihi min waliyyin wala shafeeAAin afalatatathakkaroon

Sahih International

It is Allah who created the heavens and the earth and whatever is between them in six days; then He established Himself above the Throne. You have not besides Him any protector or any intercessor; so will you not be reminded?

Malay

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ
Allah lah yang menciptakan langit dan bumi

وَمَا بَيْنَهُمَا
serta segala yang ada di antara keduanya
Apa sahaja makhluk yang ada di langit, bumi dan diantaranya. Banyak lagi makhluk ciptaan Allah yang kita tidak tahu.
Allah memperkenalkan DiriNya dalam ayat ini. Allah bukan calang-calang entiti. Dia adalah Tuhan yang menjadikan segala alam ini. Jadi, apabila dia sudah turunkan Quran, adakah kita nak buat biasa sahaja?

فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ
dalam enam masa,
Allah telah mencipta alam ini dalam ‘enam masa’. Allah boleh sahaja ciptakan dunia ini dalam sekelip mata. Kerana Allah boleh mencipta dengan berkata ‘kun’ sahaja. Tapi, Allah nak tunjukkan kepada kita, kalau kita hendak melakukan sesuatu yang penting, kita kena ambil masa. Kita kena ada perancangan yang mantap.
Lihatlah bagaimana Allah merancang sesuatu. Perancangan Allah maha tinggi. Maka, begitulah juga untuk KalamNya. Takkan KalamNya sendiri Allah buat dengan cara biasa sahaja.

ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ
kemudian Ia bersemayam di atas Arasy;
Ini adalah salah satu contoh ayat Mustashabihat. Kita tidak faham apakah maknanya. Jangan kita mempersoalkan bagaimana Allah bersemayam di Arasy. Jangan kita tanya ‘bagaimana’ Allah bersemayam itu. Ramai yang sesat disebabkan perbezaan fahaman tentang ayat ini. Ada yang sampai sanggup mengatakan Allah ‘ada di mana-mana’. Ada juga yang lagi teruk mengatakan Allah ‘wujud tanpa bertempat’. Itu semua adalah faham yang salah, yang menolak ayat-ayat Quran.

Kita sebagai penerima sunnah, tidak mempersoalkan kedudukan Allah di Arasy. Kerana Allah sendiri yang kata begitu. Kita kena terima tanpa soal. Tanpa ada takwil apa-apa. Tidak mengubah perkataan ‘istiwa’ itu dengan perkataan lain. Kerana Nabi tidak pernah menafsirkan ayat ini. Kita terima istiwa Allah itu sesuai dengan kehebatanNya.

Dalam bahasa Melayu tidak ada terjemahan perkataan اسْتَوَىٰ itu. Kalau bahasa biasa, ia bermaksud ‘duduk’. Jadi, yang paling dekat kita boleh katakan adalah menggunakan perkataan ‘semayam’. Itu sahaja yang boleh kita katakan. Bagaimana kedudukan Allah itu, tidak layak untuk kita mempersoalkan. Ini adalah salah satu perkara yang akal kita tidak akan mampu untuk memahaminya. Kita kena terima bahawa tidak salah kalau kita tidak tahu mengenainya. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

مَا لَكُم مِّن دُونِهِ مِن وَلِيٍّ
kamu tidak akan beroleh selain dari Allah, sebarang penolong
Oleh kerana Dia sahaja yang menjadikan segala alam ini, maka hanya Dia sahaja yang boleh menolong dan melindungi kita. Kalau Allah tak tolong kita, tidak jadi pelindung kita, maka habislah kita. Kerana tidak ada lagi yang dapat menolong kita.
وَلِيٍّ adalah mereka yang menolong kita, yang rapat dengan kita. Allah lah sahaja وَلِيٍّ kita. Kalau Allah bukan وَلِيٍّ kita, maka tidak ada peluang untuk kita.

وَلَا شَفِيعٍ
dan juga tidak ada pemberi syafaat
Tidak ada yang boleh beri syafaat melainkan Allah sahaja. Kekeliruan inilah yang menyebabkan berapa ramai yang sesat. Oleh kerana mereka ingat ada yang selain Allah boleh beri syafaat, maka mereka telah memuja-muja entiti lain yang mereka sangka boleh beri pertolongan kepada mereka. Padahal, dalam ayat ini, jelas menyatakan yang Allah sahaja yang boleh beri syafaat.

Mereka salah faham dengan hadis yang mengatakan Nabi akan memberi syafaat. Hendaklah kita faham bahawa Nabi Muhammad tidak boleh menentukan siapa yang boleh dapat syafaat itu. Baginda hanya ‘menyampaikan’ sahaja syafaat kepada mereka yang layak. Kalau kita tidak layak menerima syafaat, bagaimana hebat pun kita minta kepada baginda, bagaimana hebat pun kita puji dan puja baginda, baginda tidak dapat memberinya kepada kita.

Kesesatan yang sedang berleluasa sekarang adalah bagaimana ada pihak yang mengajar manusia untuk meminta syafaat terus kepada Nabi. Ini adalah satu yang syirik. Kerana Nabi telah wafat dan tidak mendengar seruan kita. Yang Maha Mendengar hanyalah Allah sahaja. Kalau kita seru baginda dan minta syafaat kepada baginda, bermakna kita sedang menyatakan yang Nabi mendengar seruan kita itu. Padahal Nabi tidak ada bersama kita. Kita telah memberikan satu sifat Allah kepada Nabi Muhammad kalau kita buat begitu. Itu adalah satu perbuatan yang syirik.

Syafaat hanya akan diberikan kepada mereka yang tidak melakukan syirik. Kalau kita ada buat perkara syirik, tidak ada harapan langsung untuk mendapat syafaat. Lihatlah ironinya mereka yang meminta syafaat kepada Nabi. Mereka melakukan satu perkara yang menidakkan mereka untuk mendapatkan syafaat itu langsung.

أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ
oleh itu mengapa kamu tidak berfikir?
Apakah yang perlu kita fikirkan? Iaitu tidak ada lagi pertolongan melainkan dari Allah. Jadi, kenapa kita mengharap pertolongan dan وَلِيٍّ dari entiti lain? Ada yang mengharapkan syafaat dari orang lain. Ada yang minta syafaat dari Nabi Muhammad, dari mereka yang mereka anggap wali seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani dan sebagainya.

Jadi, kita kena betulkan iman kita untuk mengharap kepada Allah sahaja. Dengan sepenuh hati kita. Kita kena lebihkan Allah dalam setiap perkara. Kena lebihkan arahan Allah daripada arahan manusia. Kena taat hanya kepada Allah sahaja. Kalau kita mengharapkan pertolongan dan syafaat dari Allah, maka hendaklah kita taat kepada Allah. Hendaklah kita merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apabila kita rapat dengan Allah, barulah semakin cerah harapan kita untuk mendapat syafaat itu.

———————————————————————

Ayat 5:

32:5
Transliteration

Yudabbiru al-amra mina assama-iila al-ardi thumma yaAAruju ilayhi fee yawmin kanamiqdaruhu alfa sanatin mimma taAAuddoon

Sahih International

He arranges [each] matter from the heaven to the earth; then it will ascend to Him in a Day, the extent of which is a thousand years of those which you count.

Malay

Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang) seribu tahun bilangan menurut hitungan masa kamu yang biasa.

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ
Allah mentadbir dari langit ke bumi;
Semuanya Allah yang mengurus alam ini dari langit. Dari perkataan يُدَبِّرُ ini kita faham dalam bahasa kita: Tadbir. Allah mengurus segala urusan, satu persatu-satu. Allah buat keputusan itu di Arasy dan dijalankan di alam bawah. Allah mengurus dari langit sampai ke bumi.

Maka, Allah bukan sahaja mencipta alam ini, tapi Allah juga seorang mudabbir (pentadbir). Perbuatan itu dipanggil ‘tadbir’. Ianya datang dari perkataan د ب ر dari kata dasar yang bermaksud ‘belakang’. Ayat ini bermaksud ‘memikirkan sesuatu sambil memikirkan tentang hujung sesuatu perkara’ – iaitu apa yang akan terjadi ‘belakang’ hari. Iaitu memikirkan apakah kesannya dari satu-satu perbuatan itu. Kita kena bayangkan apa yang kita hendak. Seperti yang diajar oleh Stephen Covey dalam bukunya 7 Habits of Highly Effective Man – Begin with the end in mind. Mereka yang sebegitu akan tersusun apa yang mereka lakukan. Dan mereka akan dapat apa yang mereka usahakan dengan izin Allah.

Ini mengajar kita bagaimana merancang sesuatu perkara. Ada orang yang langsung tak fikirkan apakah kesan dari perbuatannya. Apabila mereka begitu, mereka tidak ada hala tujuan. Tidak ada goal yang hendak dicapai. Mereka tidak akan dapat mencapai apa-apa akhirnya.

Begitu hebat perancangan dan pentadbiran Allah. Dari langit sampai ke alam bumi boleh ditadbiri oleh Allah. Semuanya tidak akan berlaku tanpa pengetahuanNya. Semuanya telah dirancang oleh Allah. Tujuan kita hidup di dunia ini juga tekah dirancang oleh Allah. Kita semua adalah dalam perancangan Allah.

Dalam kita mentadbir kehidupan kita, kita kena ingat, ada perkara yang kita lakukan untuk dunia, dan ada juga untuk akhirat. Jangan kita terlupa tentang akhirat kita. Itulah penghujung yang pasti kita akan sampai. Kebanyakan orang hanya memikirkan tentang hal dunia sahaja, tentang apa baju mereka nak pakai esok, tentang apa yang mereka hendak makan esok, tentang pekerjaan mereka yang tidak habis-habis dan sebagainya. Terlalu sibuk mereka dengan hal keduniaan. Tapi mereka lupa yang mereka sedang menuju kepada akhirat. Tentang hal dunia, sibuk mereka merancang, tapi tentang hal akhirat, mereka buat tak endah sahaja.

الْأَمْرَ adalah apa sahaja keputusan yang melibatkan semua makhluk. Hujan, panas, sejuk, lahir, mati, segala-segalanya. Sebagai contoh, kalau kita rasa hari ini panas, kita kena ingat yang Allah yang jadikan hari itu hangat. Apabila hujan turun, hujan itu diturunkan oleh Allah. Apabila ada yang mati, yang hidup, semua itu adalah atas kehendak Allah. Apa-apa sahaja yang terjadi dalam alam ini, semuanya adalah dalam pentadbiran Allah.

ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ

kemudian diangkat naik kepadaNya dalam masa ‘sehari’,

Selepas الْأَمْرَ Allah dijalankan, ianya kemudian akan diangkat naik kepadaNya pada suatu hari – kerana perkataan يَوْمٍ bermaksud ‘sehari’. Malaikat membawa naik setiap hari dua kali – waktu subuh dan Asar. Ianya seperti satu laporan yang disampaikan kepada Allah oleh Malaikat. Mereka membawa ibadat-ibadat yang kita buat. Mereka menyampaikan semua sekali yang terjadi. Perumpamaannya adalah kalau kita beri arahan kepada pekerja kita untuk melakukan sesuatu kerja, selepas dia selesai melakukan kerja itu, tentu kita mahu dia melaporkan kepada kita tentang apa yang terjadi.

Bukan Allah tidak tahu apa yang kita buat. Kalau malaikat tak beritahu pun, Allah Maha Tahu. Tapi Allah nak tunjuk cara pengurusan. Ianya adalah satu sistem yang lengkap. Rancang – jalankan rancangan – laporan.

Sistem ini menunjukkan kekuasaan dan kehebatan Allah. Allah sendiri yang uruskan alam ini. Bayangkan, kalau sesuatu projek itu besar, kita akan lantik konsultan yang pandai untuk merancang dan menjalankan kerja. Sekarang lihatlah bahawa Allah sendiri yang urus. Tentulah ini menunjukkan yang alam ini dan kita di dalamnya adalah penting kerana Allah sendiri yang menguruskan kita.

Kita tidak akan mampu hendak memikirkan apakah kerja yang Allah lakukan. Terlalu banyak perkara yang berlaku pada satu-satu masa.

Seperti yang kita telah sebut, terjemahan يَوْمٍ dalam bahasa asal adalah ‘sehari’. Tapi bukanlah sehari seperti yang kita faham. Lihat dalam bahagian ayat ini seterusnya:

كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ
yang kadar lamanya selama seribu tahun
Masa yang diambil untuk malaikat naik untuk menyampaikan laporan itu mengambil ‘satu hari’. Satu hari itu pada perkiraan yang sebenar adalah seribu tahun. Kerana, tentulah tidak sama ‘sehari’ kita dalam dunia dengan ‘sehari’ di tempat lain. ‘Sehari’ dalam perkiraan di bumi adalah perjalanan satu pusingan bumi mengelilingi matahari. Tapi, bagaimana pula kalau kita berasa di Planet Marikh? Tentu ‘sehari’ di sana tidak sama dengan ‘sehari’ kita di bumi, kerana Marikh akan mengambil masa yang lebih lama untuk mengelilingi Matahari.

Maka, Allah memberikan kadar perkiraan yang dimaksudkan dengan ‘sehari’ itu. Iaitu kalau kita kira dengan ‘hari’ kita di dunia, ianya mengambil masa selama seribu tahun. Oleh itu, dari ayat ini, kita boleh buat perumpamaan bahasa, ‘sehari’ yang sebenarnya adalah ‘seribu tahun’ dalam perkiraan kita.

Oleh itu, malaikat yang naik ke langit untuk memberi laporan kepada Allah mengambil masa seribu tahun lamanya. Maknanya, kalau malaikat yang naik itu nak turun semula, kita dah lama mati dah. Oleh itu, tidak dapat kita bayangkan pengurusan Allah taala. Dan tidak perlu kita fikirkan. Kerana akal fikiran kita tentu tidak dapat mencapai pemahaman yang sebenarnya. Kita pun tak nampak bagaimana malaikat itu menjalankan tugas mereka terhadap kita. Mereka datang dan pergi tanpa kita perasan mereka telah menjalankan tugas mereka. Tidaklah macam jururawat di hospital yang selalu sahaja mengacau kita dalam menjaga kita. Mereka akan gerak kita untuk ambil darah, ambil tekanan darah, bagi makan ubat dan sebagainya. Tapi, Malaikat yang ditugaskan menjaga kita, kita langsung tak perasan mereka buat kerja. Senyap-senyap sahaja. Maka kita bersyukur kepada Allah atas urusanNya yang maha hebat itu. Semuanya berjalan dengan sempurna.

Tidak disebut bahawa yang buat kerja ini dalam ayat ini adalah ‘malaikat’. Tapi kita dapat tahu dari ayat maarij:4. Dari situ kita dapat tahu bahawa malaikat lah yang melakukan segala perintah Allah itu. Tapi dalam ayat itu, disebut bahawa ‘sehari’ itu dalam kadar ‘lima puluh ribu tahun’ pula. Kita tidak pasti kenapa ada beza waktu. Mungkin jarak untuk dibawakan maklumat itu tidak sama sentiasa. Ada masanya, mereka perlu pergi lebih jauh lagi yang masanya mengambil masa yang lebih lama. Allahu a’lam. Hanya Allah sahaja yang tahu apakah maksudnya. Kita hanya perlu beriman sahaja dengan apa yang disampaikan kepada kita.

Dengan kita tahu ayat ini, kita dapat memikirkan apakah yang Allah telah lakukan untuk kita. Supaya kita dapat bersyukur kepada Allah. Kerana alam ini dan segalanya dijadikan untuk kita. Kita adalah makhluk yang diberikan dengan berbagai-bagai kemudahan dalam alam ini dan ianya semuanya adalah untuk kita.

مِّمَّا تَعُدُّونَ
menurut hitungan masa kamu.

Hari kita dan hari pada Allah tidak sama.
Maka, perkara yang mengambil seribu tahun untuk kita buat, malaikat lakukan dalam masa sehari sahaja. Begitu cepatnya mereka menjalankan kerja.

Maka, ini mengajar kita supaya jangan buang masa. Kita kena lakukan kerja kita dengan sebaik mungkin. Semasa kita membaca ayat ini di malam hari sebelum tidur (seperti yang dilakukan oleh Nabi kita), maka kita sepatutnya bertanya kepada diri kita apakah yang kita telah buat pada hari itu. Selalunya ini dinamakan muhaasabah diri. Kita menghisab diri kita sendiri. Apakah agaknya laporan yang malaikat bawa kepada Allah? Tentu kita malu kalau perbuatan kita hanya membuang masa dan melakukan dosa sahaja.

———————————————————————

Ayat 6:

32:6
Transliteration

Thalika AAalimu alghaybi washshahadatialAAazeezu arraheem

Sahih International

That is the Knower of the unseen and the witnessed, the Exalted in Might, the Merciful,

Malay

Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;

ذَٰلِكَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ
Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata;

Ayat ini adalah sebagai dalil untuk menyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib. Maka, kalau ada yang kata ada makhluk yang tahu perkara ghaib, itu adalah satu penipuan dan satu fahaman yang syirik.

Kita langsung tidak tahu perkara ghaib. Kita tidak tahu apakah yang akan terjadi esok. Kita tidak tahu apakah yang terjadi di tempat yang kita tidak nampak. Kita juga tidak tahu apakah yang telah terjadi. Kalau ada yang kita tahu, itu adalah setelah diberitahu kepada kita. Begitu juga, kalau ada yang kata Nabi Muhammad tahu perkara ghaib, itu adalah setelah ‘diberitahu’ Allah melalui perantaraan Jibril. Kerana banyak hadis-hadis yang menceritakan Nabi tahu perkara ghaib. Hadis-hadis itu perlu difahami bahawa bukanlah Nabi tahu sendiri, tapi setelah diberitahu kepada baginda.

Sebab itu, kita katakan yang puak Syiah adalah sesat kerana mereka mengatakan imam-imam mereka tahu perkara ghaib. Mereka dakwa imam-imam mereka tahu apa yang terjadi dalam dunia ini pada setiap masa.

الْعَزِيزُ
Yang Maha Kuasa,
Bukan susah untuk Allah melakukan segala rancangan yang telah disebutkan dalam ayat sebelum ini kerana Dia maha berkuasa. Mudah sahaja untuk Allah mentadbir alam ini kerana Allah maha berkuasa.

الرَّحِيمُ
lagi Maha Mengasihani;
Allah amat mengasihani makhlukNya. Sebab itu Dia uruskan segalanya untuk keperluan hidup kita. Dialah yang memberikan cuaca yang sesuai untuk kita hidup. Dialah yang menurunkan air dan makanan untuk kita melangsungkan hidup, malah banyak lagi. Semua itu adalah dari rahmah Allah. Allah berikan segalanya itu kepada kita kerana Allah sayangkan kita.

———————————————————————

Ayat 7:

32:7
Transliteration

Allathee ahsana kulla shay-inkhalaqahu wabadaa khalqa al-insani min teen

Sahih International

Who perfected everything which He created and began the creation of man from clay.

Malay

Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya,
Allah mencipta segala-galanya dengan sebaik-baik penciptaan. أَحْسَنَ bermaksud melakukan sesuatu itu dengan sempurna. Apa-apa sahaja yang Allah telah cipta, ianya adalah sempurna. Semuanya dijadikan untuk menjalankan tugas mereka dicipta dalam dunia ini. Matahari untuk menerangkan alam, bumi untuk kegunaan manusia, manusia sebagai khalifah dan sebagainya. Semua ada tugas masing-masing yang Allah telah letakkan.

Kalau kita tengok segala keindahan alam yang Allah telah lakukan, kita akan dapat merasakan maksud ayat ini. Maka hendaklah kita pandai melihat alam ini. Amat malang sekali kalau ada yang mempersoalkan apa yang Allah telah lakukan. Ada yang marah kalau hujan turun. Mereka kata: kenapalah hujan turun, dah basah baju aku. Ada yang marah kalau cuaca panas sangat. Mereka lupa agaknya siapa yang menjadikan cuaca itu sebegitu. Ingatlah bahawa semuanya dalam penciptaan Allah dan pengurusan Allah.

وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنسَانِ مِن طِينٍ
dan dimulakanNya kejadian manusia itu berasal dari tanah basah;

Manusia dijadikan dari tanah liat. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah, manusia yang pertama, iaitu Nabi Adam a.s. asalnya dijadikan dari tanah liat. Kita pula dibuat dari sperma.

Allah kata yang Dia menjadikan semua ciptaanNya dengan أَحْسَنَ sempurna. Dan Allah telah menyebut tentang kejadian manusia selepas itu. Bermaksud, kejadian manusia adalah kejadian yang sempurna. Ini juga bermakna yang kita berpotensi untuk menjadi sempurna. Maka, jangan rendahkan martabat kita dengan perkara yang menghinakan.

 

———————————————————————

Ayat 8:

32:8
Transliteration

Thumma jaAAala naslahu min sulalatinmin ma-in maheen

Sahih International

Then He made his posterity out of the extract of a liquid disdained.

Malay

Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;

ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِن سُلَالَةٍ
Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati,

Perkataan نَسْلَ asalnya bermaksud ‘berpecah’. Setiap keturunan berpisah dari keturunan yang lepas. Mereka mengganti keturunan mereka yang lepas.

Keturunan anak cucu Nabi Adam dijadikan dari sperma. سُلَالَةٍ bermaksud ‘sesuatu yang turun dari atas ke bawah’. Allah beri isyarat air mani sebagai sesuatu yang turun ke bawah. Ianya juga bermaksud ‘pati kepada sesuatu’. Iaitu sesuatu yang ditarik dari sesuatu. Seperti pati oren, diambil dari buah oren. Pati oren itu mengandungi sifat-sifat buah oren.

Seperti juga pati buah mengandungi elemen buah asalnya, air mani juga mengandungi kejadian manusia itu. Apakah warna kulitnya, bagaimana rupanya dan lain-lain lagi.

مِّن مَّاءٍ مَّهِينٍ
iaitu dari air (benih) yang hina;
Air mani itu sifatnya lemah dan senang rosak. Lebih tepat lagi, yang menjadi manusia adalah ‘sperma’. Ianya amat lemah. Semasa sperma itu berjalan dalam fellopian tube menuju telur ibu, kebanyakan dari sperma-sperma itu mati. Kerana ianya lemah. Ada satu dua sahaja yang selamat. Inilah asal kejadian manusia. Dari sesuatu yang lemah, Allah jadikan sebagai manusia yang sempurna.

Ini mengingatkan kita supaya jangan sombong. Kena ingat dari manakah asal kita. Dari air mani yang tidak ada apa-apa. Orang kata, kalau tumpah ke tanah, ‘ayam tak patuk, itik pun tak sudu.’ Maka, janganlah kita mendabik dada.

———————————————————————

Ayat 9:

32:9
Transliteration

Thumma sawwahu wanafakha feehi min roohihiwajaAAala lakumu assamAAa wal-absara wal-af-idataqaleelan ma tashkuroon

Sahih International

Then He proportioned him and breathed into him from His [created] soul and made for you hearing and vision and hearts; little are you grateful.

Malay

Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

ثُمَّ سَوَّاهُ
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya,
Kemudian manusia diberikan bentuknya yang sempurna. سَوَّا asalnya bermaksud ‘seimbang’. Apabila kita mula melakukan sesuatu, ada banyak kekurangan. Macam kita mengukir meja kayu. Mula-mula, ianya kasar sahaja. Tapi apabila sudah hampir siap, kita akan canai dan سَوَّا ukiran meja itu dan menjadikan permukaan meja itu kemas. Kita akan jadikan ianya ‘seimbang’.

وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِ
serta meniupkan padanya, roh ciptaanNya.
Apabila bayi dalam perut ibunya berumur 120 hari, akan ditiupkan rohnya ke dalam tubuhnya. Ini berbeza dengan penciptaan Nabi Adam dan Nabi Isa. Kerana kedua-dua Nabi itu dijadikan dengan kun fayakun. Roh itu adalah makhluk ciptaan Allah juga.

Bukanlah Allah meniupkan ‘roh Allah’ ke dalam tubuh manusia. Salah faham tentang perkataan رُّوحِهِ ini menyebabkan ramai manusia yang mengatakan Allah meniup sebahagian dari RuhNya ke dalam tubuh manusia. Ini adalah satu kefahaman yang amat salah sekali. Mana mungkin kejadian kita dari Allah. Ini adalah fahaman yang sesat, sampai ada yang kata manusia adalah sebahagian dari Allah.

Yang sebenarnya dimaksudkan dalam perkataan رُّوحِهِ itu adalah, Ruh yang dimilikiNya, yang diciptaNya. Macam juga kalau kita kata ‘itu beg saya’: itu bermaksud kita tuan punya beg itu. Bukanlah bermaksud beg itu sebahagian dari kita. Begitu juga penggunaan kata ‘Baitullah’ – Rumah Allah. Bukanlah Allah memang tinggal di situ, bukan? Ianya dipanggil ‘Rumah Allah’ sebagai satu penghormatan untuk Kaabah.

Oleh itu, apabila Allah memberikan kita sesuatu milikNya, ini adalah satu penghormatan kepada kita. Seperti juga baitullah dimuliakan kedudukannya dengan dikaitkan dengan Allah (sampai dinamakan Baitullah), maka manusia dimuliakan apabila Allah menyatakan bahawa telah ditiupkan رُّوحِهِ – Roh CiptaanNya ke dalam diri manusia.

وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ
Dan Ia menjadikan untuk kamu, pendengaran
Bukan sahaja Allah telah menjadikan kita, telah menyempurnakan kejadian kita, telah meniupkan Roh kepunyaanNya ke dalam diri kita, tapi Allah juga telah memberikan kebolehan mendengar kepada kita.

وَالْأَبْصَارَ
dan penglihatan
Bukan hanya melihat dengan mata sahaja, tapi dengan hati. Dapat melihat kebenaran yang disampikan kepada kita.

وَالْأَفْئِدَةَ
serta hati,
الْأَفْئِدَةَ bukan hanya bermaksud ‘hati’ sahaja, tapi hati yang sedang berperasaan, sedang mempunyai emosi. الْأَفْئِدَةَ  lah yang rasa sedih, gembira, takut. Ini adalah penting kerana manusia adalah makhluk yang ada perasaan. Kalau tidak, kita macam tanah liat sahaja. Ataupun kita macam binatang sahaja. Dengan adanya perasaan-perasaan itulah melengkapkan dan menambah kelebihan dalam kehidupan kita.

قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ
amatlah sedikit kamu bersyukur.
Kebanyakan manusia itu tidak bersyukur kerana pendengaran, penglihatan dan hati itu tidak digunakan untuk mencari kebenaran. Apabila dikatakan ‘sedikit’ sahaja bersyukur, itu bermaksud memang ada kita bersyukur tapi amat sedikit sekali. Dan ia juga bermakna: tak ramai yang bersyukur kepada Allah. Ada sedikit sahaja yang faham dengan maksud ‘syukur’ itu.

Berapa banyak benda dan kelebihan yang boleh kita lakukan dengan pendengaran, penglihatan dan hati itu, tapi kita tidak bersyukur dengan banyak.

Kita kena gunakan tiga kelebihan yang Allah berikan kepada kita itu untuk kebaikan. Kalau Allah telah berikan sesuatu tapi kita tak gunakan untuk kebaikan, tentu itu menunjukkan kita tidak menghargainya.

Alangkah sedihnya kalau kita selalu sahaja bersungut. Macam-macam hal kita tak puas hati. Kita selalu nampak yang negatif sahaja dalam semua perkara. Sebagai contoh, kita bersungut yang badan kita penat selepas bekerja. Sebenarnya kita kena bersyukur kerana itu tandanya kita ada kerja. Berapa ramai orang yang tidak ada kerja?

Berapa banyak ibubapa yang bersungut yang anak mereka nakal? Mereka kata anak mereka ke sana ke sini dengan buasnya. Mereka lupa nak bersyukur bahawa itu maknanya mereka ada anak. Berapa ramai tidak dikurniakan anak? Berapa ramai yang ada anak, tapi anak mereka sakit, lumpuh dan sebagainya? Ma sha Allah!

Kalau kita nampak yang negatif sahaja, kita menarik yang negatif sahaja dalam hidup kita. Kehidupan kita tidak pernah puas. Kita akan berterusan dalam sifat yang negatif. Kita akhirnya akan mati dalam ketidakpuasan hati. Kehidupan yang seperti itu adalah kehidupan yang tidak sempurna dan amat menyedihkan sekali.
———————————————————————

Ayat 10:

32:10
Transliteration

Waqaloo a-itha dalalnafee al-ardi a-inna lafee khalqin jadeedin bal humbiliqa-i rabbihim kafiroon

Sahih International

And they say, “When we are lost within the earth, will we indeed be [recreated] in a new creation?” Rather, they are, in [the matter of] the meeting with their Lord, disbelievers.

Malay

Dan mereka (yang kafir) itu berkata: “Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian? ” (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

وَقَالُوا
Dan mereka (yang kafir) itu berkata:

أَإِذَا ضَلَلْنَا فِي الْأَرْضِ
“Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah,

ضَلَلْ bermaksud ‘sesuatu yang kecil hilang dalam perkara yang besar’. Macam kita masukkan gula dan garam dalam tepung yang kita uli. Seetelah diuli-uli tepung itu, maka gula dan garam itu hilang lenyap kerana dah bercampur dengan bahan-bahan yang lain.

Jadi mereka maksudkan dalam ayat ini adalah apabila tubuh mereka telah hancur dan bercampur baur dengan tanah. Orang-orang kafir Mekah pun percaya bahawa mereka akan hancur dalam tanah.

أَإِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ
adakah kami akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?

Mereka tak dapat terima yang mereka akan dihidupkan semula. Pemahaman ini masih ada lagi dalam agama lain. Seperti Hindu dan Buddha tidak percaya mereka akan dibangkitkan. Antaranya mereka fikir Tuhan tak cukup buat roh jadi roh itu kena diisi semula. Sebab itu mereka percaya kepada konsep ‘reincarnation’.

بَلْ هُم بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ كَافِرُونَ
bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

Mereka sebenarnya bukan hanya menidakkan hidup semula, tapi mereka menidakkan pertemuan dengan Allah. Kenapa mereka tak mahu terima? Kerana mereka tak mahu dibicarakan di hadapan Tuhan nanti. Mereka tahu mereka ada banyak buat salah. Mereka takut nanti mereka akan dipersoalkan. Maka, mereka tolak pertemuan dengan Tuhan.

———————————————————————

Ayat 11:

32:11
Transliteration

Qul yatawaffakum malaku almawti allatheewukkila bikum thumma ila rabbikum turjaAAoon

Sahih International

Say, “The angel of death will take you who has been entrusted with you. Then to your Lord you will be returned.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.

قُلْ يَتَوَفَّاكُم
Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil

Allah suruh Nabi Muhammad memberitahu keadaan sebenar. Bahawa pemahaman mereka itu salah.

تَوَفَّ bermaksud ‘diambil dengan sepenuhnya’. Apabila kita mati, keseluruhan roh kita akan diambil. Tidak ada sedikit pun roh itu akan tinggal dalam tubuh kita. Bermaksud kita akan dimatikan.

مَّلَكُ الْمَوْتِ
oleh Malikil Maut
Malaikat maut yang akan ambil roh kita nanti. Dia akan ambil nyawa tanpa beritahu kita pun. Bila-bila masa nyawa kita boleh diambil tanpa kita ketahui bilanya ia akan tiba.

Allah mempunyai banyak malaikat yang ada macam-macam tugas. Dalam ayat ini disebut satu contoh jenis malaikat yang ada tugas khas, iaitu mengambil nyawa.

Ingatlah bahawa ada malaikat yang ditugaskan untuk mengawas kita dan menulis apakah yang kita sedang buat sekarang. Ada malaikat yang ditugaskan untuk menjaga kita. Dari satu hadis, ada disebut yang kalau kita membaca ayat Kursi, satu malaikat akan ditugaskan untuk mengawal kita sampai pagi. Malaikat-malaikat itu taat dalam menjalankan tugas mereka. Mereka tidak gagal dalam menjalankan tugas mereka.

Oleh itu, kita kena bersedia untuk mati. Entah-entah malam ini nyawa kita akan diambil. Bila sampai masanya, kita tidak boleh nak minta ditangguhkan. Janganlah nyawa kita diambil dalam kita keadaan berdosa. Lebih-lebih lagi kalau kita sedang melakukan syirik tapi kita tak tahu pun kita ada buat perkara syirik. Oleh itu, sebelum tidur, mintalah ampun atas segala dosa yang kita telah lakukan, samada kita sedar atau tidak.

الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ
yang diwakilkan berbuat demikian ketika habis ajal kamu,

Maknanya, Malaikat Maut itu bukan mengambil nyawa manusia dengan kehendaknya, tapi dengan kehendak Allah. Allah cuma ‘wakilkan’ sahaja. Tapi keputusan mengambil nyawa itu adalah dari Allah. Bukan Malaikat Maut memandai-mandai ambil nyawa makhluk.

Bukan Allah sendiri tidak boleh ambil nyawa manusia. Kerana ada dalam ayat-ayat yang lain yang menceritakan Allah sendiri akan ambil nyawa. Sebagai contoh, siapa yang akan ambil nyawa Malaikat Maut itu sendiri? Tentulah Allah juga. Maka, Allah boleh ambil sendiri nyawa makhluk tapi Allah mengajar kita tentang pengurusan. Ada perkara yang kita wakilkan orang lain buat.

Setiap hari, Malaikat Maut akan mengintai setiap makhluk untuk melihat samada sudah sampai waktu mereka diambil nyawa. Apabila sudah sampai masa makhluk itu ditetapkan untuk diambil nyawa, Malaikat Maut masih lagi akan tanya Allah samada dia boleh ambil nyawa makhluk itu atau tidak. Kerana Malaikat Maut sendiri tidak tahu samada ada qada’ Allah untuk memanjangkan nyawa makhluk itu. Kerana ada yang Allah panjangkan nyawa seseorang dari masa yang telah ditetapkan sebelum itu. Contohnya, dalam hadis ada disebut, kalau kita menyambungkan silaturrahim, Allah akan memanjangkan umur kita. Malaikat Maut tak tahu tentang perkara itu kerana ianya adalah perkara ghaib. Dan malaikat sendiri pun tak tahu perkara ghaib.

Kalau malaikat sendiri tidak tahu perkara ghaib, macam mana ada kalangan kita yang kata ada manusia yang tahu perkara ghaib? Ada yang kata guru itu, guru ini tahu perkara ghaib. Itu adalah satu fahaman yang sesat.

ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”.

Kita akan dikembalikan untuk mengadap Allah untuk menilai amalan-amalan kita semasa di dunia. Oleh kerana itu hendaklah kita berdoa kepada Allah untuk terima ibadat kita. Kerana kita takut ibadat kita tak sempurna sampai Allah tak terima. Kita takut ada ibadat kita yang tidak ikhlas sampai tidak diterima.

Tapi malangnya, jarang orang minta sebegini. Macam-macam yang manusia minta tapi lupa nak minta perkara ini. Mereka lupa nak minta amalan ibadat mereka diterima. Mereka terus sangka amalan mereka diterima oleh Allah. Ini dinamakan ‘syok sendiri’.

Keduanya, jarang manusia minta untuk berjumpa dengan Tuhan. Kalau dengan kekasih, suami isteri, anak beranak, kita rindu nak jumpa, tapi dengan Tuhan yang menjadikan kita, kita tak rindu nak jumpa. Padahal, memang kita akan berjumpa dengan Tuhan pun. Tapi, berjumpa dengan Tuhan, tidak semestinya kita dapat lihat Tuhan. Ada yang berjumpa dengan Allah dalam keadaan Allah murka dengan kita. Itu kita tidak mahu. Kita minta berlindung dari kemarahan Allah.

Maka, dalam doa kita, hendaklah kita jangan lupa minta dua perkara ini – amalan kita diterima dan berjumpa dengan Tuhan di dalam syurga. Kerana perjumpaan yang kita hendak adalah perjumpaan dengan Allah dalam syurga. Itu adalah satu nikmat yang amat besar sekali. Dimana, semua penghuni syurga akan berkumpul dan Allah akan datang bertemu dengan mereka. Dekat atau jauh penghuni syurga itu dengan Allah semasa majlis itu bergantung kepada amalan mereka semasa di dunia.

===========================================

Lompat ke ayat yang seterusnya

Rujukan: 

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 032: Sajdah. Bookmark the permalink.

6 Responses to Tafsir Surah Sajdah Ayat 1 – 11

  1. Waktu antar alam dunia dan alam akhirat berbeda , 1 hari akherat : 1000 tahun bumi, Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada Nya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu ( As Sajdah 32:5). Ada lebih dari 10 surat dalam Al Qur’an yang menerangkan dan termasuk juga ada dalam AlKitab yi :2 Petrus 3 : 8 dan Mazmur 90:4 soal kiamat : [ Thaa haa 20:103] mereka berbisik-bisik di antara mereka: “Kamu tidak berdiam (di dunia) melainkan hanyalah sepuluh (hari)”

    Nahnu a’lamu bimaa yaquuluuna idz yaquulu amtsaluhum thariiqatan in labitstum illaa yawmaa
    Ada makna apa pada Surat Thaa haa 103 diatas, mengingat dalam Al Quran itu berisi hal hal yang penting, tidak sekedar perbincangan yang salah dan perihal ini sudah beberapa kali tertulis, apakah ini dikaitkan dengan waktu kiamat yang 10 hari, saat ini sudah masuk hari ke 10…apakah 0,1 – 0,5 hari sedangkan umur manusia cuma +/- 70 tahun = 0.07 hari akherat wallahua’lam
    1.
    Alkitab :  [2 Petrus 3 : 8] Akan tetapi, …, yang satu ini tidak boleh kamu lupakan, yaitu, bahwa di hadapan Tuhan satu hari sama seperti seribu tahun ….
    Mazmur 90:4 Sebab di mata –Mu seribu tahun sama seperti ( satu) hari kemarin, apabila berlalu , atau seperti suatu giliran malam
    2.Umur manusia relatif paling rendah dibanding umur Jin maupun Malaikat , dimana manusia saat ini di dunia rata rata kurang dari 0,1 hari akhirat.

    • tafsirsunnah says:

      Allahu a’lam. Tidak diketahui dengan tepat melainkan dengan isyarat sahaja. Ini termasuk dalam ilmu ghaib yang kita tidak ada pengetahuan tepat tentangnya. Menunjukkan betapa lemahnya ilmu kita, kalau Allah tidak beritahu, kita tidak akan tahu.

  2. Mas says:

    Assalamualaikum wrt wbt. Boleh Tuan teruskan tafsiran ayat ke 12 hingga ke30 Surah As-Sajdah. Terima kasih

  3. Azmi says:

    Terimakasih tuan kerana melalui pembacaan blog ini membuka minda saya saya (dgn izin Allah). Teruskan usaha tuan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s