Tafsir Surah Rahman Ayat 41 – 67

Ayat 41:

يُعرَفُ المُجرِمونَ بِسيماهُم فَيُؤخَذُ بِالنَّواصي وَالأَقدامِ

Sahih International

The criminals will be known by their marks, and they will be seized by the forelocks and the feet.

Malay

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

يُعْرَفُ الْمُجْرِمُونَ

Orang-orang yang berdosa dapat dikenal

بِسِيمَاهُمْ

dari tanda-tandanya,

Macam kalau di dunia pun kita dah dapat tahu dah siapa yang bersalah dari air mukanya.

فَيُؤْخَذُ بِالنَّوَاصِي

lalu dipegang dari atas kepala
Semasa hendak dilemparkan ke dalam neraka, dia akan dipegang di kepalanya dan akan dilemparkan ke dalam neraka. 70 tahun lamanya baru sampai ke dasar neraka. Semasa jatuh, badannya dibakar sepanjang perjalanan ke dasar neraka itu. Seksa yang amat sangat.

وَالْأَقْدَامِ

dan kakinya;
Kepala dan kakinya akan diikat dan dia akan diheret dan dilemparkan ke dasar neraka. Mereka dilayan macam binatang.

Mereka dilayan macam ini kerana mereka dulu semasa di dunia macam binatang. Mereka nak lihat tanda-tanda kebenaran dengan mata baru mereka kononnya nak percaya. Mereka nak lihat Allah, mereka nak lihat malaikat, mereka nak lihat Quran diturunkan dan sebagainya. Padahal, mereka itu adalah manusia, tidak memerlukan tanda-tanda yang boleh dilihat dengan mata pun dah boleh faham dah. Kerana telah disebutkan di awal surah ini yang manusia itu telah diberi dengan ‘bayan’, iaitu kebolehan untuk faham idea, tulisan dan kata-kata. Tidak perlu lihat dengan mata pun dah boleh faham. Yang kena lihat dengan mata baru nak buat tindakan, adalah binatang sahaja. Kalau ada kebakaran hutan, bila nampak hutan itu betul-betul terbakar di hadapan mata mereka, baru mereka nak terima dan lari dari situ. Tapi manusia sepatutnya dengan hanya diberitahu ada hutan yang terbakar di hadapan, mereka dah boleh tinggalkan tempat itu dah.

Oleh itu, manusia telah diberitahu dengan peringatan-peringatan dalam bentuk nasihat dan ayat-ayat Quran. Tapi mereka degil, tidak mahu percaya. Hasilnya, mereka akan dilayan macam binatang. Itulah layanan yang layak untuk mereka terima.


Ayat 42:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 43:

هٰذِهِ جَهَنَّمُ الَّتي يُكَذِّبُ بِهَا المُجرِمونَ

Sahih International

This is Hell, which the criminals deny.

Malay

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah neraka Jahannam yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya “.

هَٰذِهِ جَهَنَّمُ

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Inilah neraka Jahannam
Allah kata ‘inilah’ Neraka Jahannam. Ini bermaksud mereka dah dalam neraka dah. Atau mereka dah dekat dan dah nampak neraka dah depan mata mereka. Tak boleh nak lari ke mana dah.

الَّتِي يُكَذِّبُ بِهَا الْمُجْرِمُونَ

yang selalu orang-orang yang berdosa mendustakannya”.
Apabila mereka mendustatakannya, bermaksud mereka tidak percaya kepada adanya neraka dan mereka tidak beriman, maka mereka tidak melakukan ibadat. Mereka tak percaya dengan sepenuh hati yang neraka itu memang benar-benar ada dan mereka akan dimasukkan ke dalamnya. Mereka menjalani kehidupan mereka di dunia seperti neraka itu tidak ada. Mereka buat selamba sahaja dalam kehidupan dunia.

Samada mereka percaya atau tidak, mereka suka atau tidak, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Ada orang yang kononnya bijak sangat, mereka kata takkan Tuhan nak hukum dan seksa makhluk ciptaanNya itu setelah susah-susah dicipta. Mereka kata Tuhan adalah amat penyayang. Dan pada mereka, neraka dan syurga itu hanyalah sebagai memberi motivasi dan memberi takut kepada manusia sahaja untuk buat baik. Bukan benar-benar ada pun. Macam kita takutkan budak-budak dengan hantu yang tidak ada supaya mereka dengar cakap. Kepada mereka yang seperti ini, kita kata kepada mereka: “semoga kamu bergembira dalam neraka nanti”. Kalau mereka marah kita cakap macam itu dengan mereka, kata balik kepada mereka: “Kamu nak takut apa? Kamu sendiri kata neraka itu tidak ada kan?”

Atau mereka pandang kecil sahaja dosa yang mereka lakukan. Mereka tak rasa apa-apa dengan dosa syirik yang mereka lakukan. Dan mereka yang buat bidaah, tak tahu dan tak rasa pun mereka buat dosa. Mereka ingat mereka telah beriman dah cukup dah. Mereka ingat amalan bidaah yang mereka buat itu adalah baik. Mereka ingat amalan yang mereka buat itu adalah ‘bidaah hasanah’. Itu adalah kerana mereka tak faham dan salah faham apakah maksud ‘bidaah hasanah‘. Tak faham itu kerana mereka tidak belajar. Oleh kerana mereka tak rasa mereka buat dosa, maka mereka tak pernah minta maaf atas dosa buat bidaah mereka itu. Apabila mereka tak minta ampun atas doasa mereka itu, mereka akan masuk dalam neraka.

Ayat ini diturunkan di Mekah. Amalan ibadat belum lagi diturunkan. Tiada solat, tiada haji, tiada pengharaman arak dan lain-lain lagi. Jadi apa yang masyarakat Arab kena tukar dan mereka tak mahu tukar? Itulah pertukaran dari segi ‘moral’. Mereka disuruh mengubah cara hidup mereka kepada kehidupan yang bermoral. Jangan buat zalim, jangan menindas manusia lain dan sebagainya. Mereka tak mahu terima. Mereka tidak mahu tukar cara kehidupan mereka. Ketahuilah, agama bukanlah hanya dalam bentuk buat amalan ibadat sahaja. Ada lagi benda lain yang penting juga. Iaitu kita kena jaga moral kita. Jangan kita jenis orang yang solat dan pergi haji, tapi menipu orang macam makan nasi sahaja.


Ayat 44:

يَطوفونَ بَينَها وَبَينَ حَميمٍ آنٍ

Sahih International

They will go around between it and scalding water, heated [to the utmost degree].

Malay

Mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka dengan air yang menggelegak yang cukup masak panasnya!

يَطُوفُونَ بَيْنَهَا

Mereka berulang-ulang di antara api neraka
Perkataan يَطُوفُونَ bermaksud ‘berpusing-pusing’ macam ‘tawaf’ keliling Kaabah dan semasa melakukan Saie. Mereka ‘bertawaf’ dalam neraka. Maksudnya, mereka berpusing-pusing dalam neraka.

وَبَيْنَ حَمِيمٍ آنٍ

di antara air yang amat panasnya!
Kenapa mereka berpusing-pusing dalam neraka? Kerana mereka mencari-cari air untuk minum kerana dahaga sangat. Mereka memang ada jumpa air, tapi air itu panas sangat, maka mereka cuba pergi ke tempat lain pula. Tak jumpa juga. Maka mereka pusing lagi. Berterusan berpusing dalam neraka. Ahirnya air panas yang mereka tidak mahu itu akan dimasukkan ke dalam mulut mereka juga.

Entah berapa ribu darjah kepanasan air itu. Beribu malah berjuta darjah kepanasannya! Malah mungkin lebih lagi kerana dalam dunia sekarang ini pun boleh dijadikan air beribu darjah celcius dengan menggunakan konsep thermodynamics. Air itu dipanggil ‘superheated water’. Tentu teknologi Allah lebih hebat lagi. Perkataan آنٍ itu bermakna air itu panas sangat.

Allah kata suhu neraka itu 70 kali ganda lagi panas dari kepanasan matahari! Lebih kurang 4 ribu kali ganda dari air menggelegak sekarang. Dan neraka itu kedap udara. Kerana Nabi kata kalau bocor sahaja neraka sebesar jarum, tentu akan hancur alam ini kerana kepanasannya. Maka, kalau kedap udara, pressurized, tentu kepanasan bertambah lagi. Kalau kita tidak tahu langsung bagaimana keadaan neraka itu, kita tidak akan rasa takut dengan neraka itu. Cerita tentang neraka itu ada dalam banyak tempat disebut dalam Quran.

Allah ceritakan tentang keburukan seksaan dalam neraka untuk menakutkan kita. Eloklah kita takut semasa kita di dunia lagi, supaya kita boleh ubah cara hidup kita. Kalau kita tidak faham tentang neraka, maka kita akan jadi macam Kristian yang boleh buat lawak tentang neraka dan mempersendakan. Kerana agama mereka tidak menceritakan dengan jelas dan grafik tentang neraka. Dalam Islam, syurga dan neraka diterangkan dengan jelas. Bila kita belajar tentang neraka, nak tengok neraka pun kita tak lalu, sebab takut sangat.


Ayat 45:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Seperti yang kita pernah sebut sebelum ini, tidaklah kalimah آلَاءِ itu kena diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sahaja kerana ia boleh membawa maksud lain. Dan dalam ayat ini, tidak sesuai digunakan kalimah ‘nikmat’ kerana baru sahaja disebut tentang neraka – mana nikmatnya dalam neraka itu? Maka kenalah diterjemahkan dalam makna yang lain. Dalam ayat ini membawa maksud kekuasaan Allah taala. Jangan kita lihat Allah baik dan lembut dengan kita, jangan kita tidak taat kepada Allah. Kerana Allah maha berkuasa dan mampu untuk menyeksa kita kalau kita tidak taat.


Ayat 46: Sekarang Allah mula hendak menceritakan tentang Syurga pula.

وَلِمَن خافَ مَقامَ رَبِّهِ جَنَّتانِ

Sahih International

But for he who has feared the position of his Lord are two gardens –

Malay

Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga, –

وَلِمَنْ خَافَ

Dan orang yang takut
Sebelum ini kita ditakutkan dalam ayat-ayat sebelum ini dengan keadaan ngeri di Neraka. Memang itu yang Allah hendak kita rasa. Dan kepada mereka yang takut dengan neraka, mereka akan mendapat kelebihan dengan diberikan dengan syurga yang kekal abadi. Apakah yang mereka takuti itu?

مَقَامَ رَبِّهِ

berdiri di hadapan Tuhannya,
Orang itu takut berdiri di hadapan Tuhannya. Iaitu berdiri dalam mahkamah Allah. Orang beriman itu takut berjumpa Tuhan kerana takut ibadat mereka yang selama ini mereka lakukan, tidak diterima. Kerana kita tidak tahu samada sempurna atau tidak amal ibadat kita itu, cukup ikhlas atau tidak amalan kita. Macam budak yang bersifat baik dalam sekolah. Kalau ada satu soalan sahaja mereka tak dapat jawap dengan sempurna, mereka dah takut dah. Balik ke rumah, menangis-nangis dengan mak ayah dia. Padahal, yang tak dapat jawap itu satu dua soalan sahaja. Tapi bandingkan dengan budak yang tak kisah samada lulus atau tidak, mereka tak rasa takut pun. Mereka tak risau pun. Lagi mereka suka sebab musim peperiksaan dah habis sebab mereka dah boleh mula bermain dengan kawan-kawan mereka.

Segala apa yang kita lakukan di dunia akan dinilai semuanya ‘sekaligus’. Bayangkan, kalau dalam dunia, kita ada buat silap di tempat kerja. Mungkin kita kena panggil dengan pengurus syarikat untuk diberi penilaian atas satu kesalahan kita itu. Atau kita ada buat kesalahan di rumah semasa kecil dahulu. Kena panggil dengan mak ayah sebab kesalahan itu. Tapi satu kesalahan sahaja. Itu pun bukan main takut lagi kita. Tapi, bayangkan bila kita di hadapan Allah nanti, ‘semua’ perbuatan kita akan dinilai sekaligus. Dari kita kecil sampai kita mati. Adakah kita rasa selamat yang semua apa yang kita lakukan dulu semasa di dunia baik belaka?

جَنَّتَانِ

disediakan baginya dua jenis Syurga, –
Kenapa ada dua syurga? Satu pendapat mengatakan ada dua syurga kerana satu syurga untuk manusia dan satu lagi untuk manusia. Kerana kita tidak sama dengan golongan jin. Keinginan kita dan keinginan jin tidak sama. Itu adalah satu pendapat.

Satu lagi pendapat mengatakan setiap ahli syurga akan dapat dua syurga. Kerana dengan takut, seseorang itu akan melakukan amalan baik dan satu lagi akan meninggalkan perkara buruk. Jadi, ada dua perkara yang akan dilakukan hasil dari kita takut dulu. Maka, mereka pun akan dibalas dengan dua syurga untuk kedua-dua kesan itu.

Tapi, ada orang yang hanya buat salah satu sahaja. Mereka buat amalan ibadat, solat, puasa, haji dan sebagainya, tapi mereka tak mahu tinggalkan perangai buruk mereka. Masih lagi tindas orang, makan harta dengan cara salah, menipu dan sebagainya. Atau ada orang yang hanya tinggalkan perkara buruk tapi malas nak buat amalan baik. Kerana mereka kata mereka dah baik dah, tak buat amal ibadat pun dah kira baik dah. Itu adalah salah faham yang ada dalam diri manusia. Tapi Allah hendak kita buat dua-dua sekali: Kena buat amal baik dan kena tinggalkan sifat buruk.


Ayat 47:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Ayat ini dibacakan ketika orang mukmin sedang memasuki syurga. Allah hendak memberitahu orang Islam waktu itu bahawa apa sahaja perkara buruk yang mereka terima di dunia dulu kerana mereka memegang Islam itu adalah satu nikmat juga.

Setiap kali kita bua kerja untuk agama, kita akan kena terima dugaan yang akan diberikan kepada kita. Itu adalah ujian dari Allah. Dan Allah akan balas kesusahan itu.


Ayat 48:

ذَواتا أَفنانٍ

Sahih International

Having [spreading] branches.

Malay

(Dua Syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; –

ذَوَاتَا أَفْنَانٍ

(Dua Syurga) itu mempunyai bermacam-macam; –

ذَوَاتَا – dua-dua syurga itu mempunyai

أَفْنَانٍ – dahan-dahan atau bermacam-macam

Banyak dahan-dahan pohon-pohon yang berbagai-bagai. Banyak pokok-pokok dalam syurga. Kita terpesona dengan melihatnya apabila kita masuk dalam syurga nanti, in sha Allah. Terpesona melihat kehijauan dan buah-buahan yang ada. Kita rasa suka sangat apabila kita masuk ke dalamnya.


Ayat 49:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 50:

فيهِما عَينانِ تَجرِيانِ

Sahih International

In both of them are two springs, flowing.

Malay

Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; –

فِيهِمَا عَيْنَانِ تَجْرِيَانِ

Pada kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang mengalir; –
Setiap satu syurga pula ada dua matair. Sudahlah ada dua syurga, setiap satu itu ada dua mataair pula. Amat indah sekali keadaan di dalamnya. Di dunia ini pun, manusa memang suka dengan air terjun dan sumber air. Kita suka kalau dapat berkelah ke sungai-sungai di tempat peranginan bukan? Kita dapat bergembira di dalamnya. Bergembira pula bukan berseorangan tapi dengan keluarga kita, dengan kawan-kawan rapat kita. Sebab kalau kita ke tempat cantik pun, tapi keluarga kita tidak ada, kawan kita tidak ada, kita pun tidak rasa gembira sangat. Kerana memang sifat semulajadi kita akan suka kalau kita menikmati satu-satu tempat itu kalau dengan orang-orang yang kita sayang.


Ayat 51:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 52:

فيهِما مِن كُلِّ فاكِهَةٍ زَوجانِ

Sahih International

In both of them are of every fruit, two kinds.

Malay

Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).

فِيهِمَا مِن كُلِّ فَاكِهَةٍ زَوْجَانِ

Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan.
Sudahlah ada berbagai-bagai jenis buah-buahan di dalam syurga itu tapi setiap satu buah itu ada dua pula – setiap buah ada sepasang. Kerana setiap buah-buahan itu ada dua rasa. Dan setiap rasa itu adalah sedap. Kalau di dunia, ada buah yang kita tak suka, tapi semua buah di syurga itu kita akan rasa sedap. Rasa buah itu pula akan jadi semakin sedap dan semakin sedap. Pertama kali kita makan, kita dah rasa sedap dah. Tapi bila kita makan selepas itu, ianya akan jadi lebih sedap lagi dari sebelumnya. Ini mustahil terjadi semasa di dunia. Mungkin kalau kita makan nasi ayam yang sedap, ada kemungkinan kita dapat makan nasi ayam yang lebih sedap lagi di tempat lain. Dan ada tempat lain yang lebih sedap lagi. Tapi lama kelamaan, kita sudah jumpa nasi ayam yang kita rasa paling sedap. Takkan ada yang lebih sedap lagi dari itu. Tapi, di syurga nanti, tidak ada penghujung kepada kesedapan itu. Allah boleh tambah kesedapan itu tanpa penghujung. Buah-buahan itu akan semakin sedap dan semakin sedap tanpa penghujung.


Ayat 53:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 54: Makanan dah ada, sekarang nak berehat pula.

مُتَّكِئينَ عَلىٰ فُرُشٍ بَطائِنُها مِن إِستَبرَقٍ ۚ وَجَنَى الجَنَّتَينِ دانٍ

Sahih International

[They are] reclining on beds whose linings are of silk brocade, and the fruit of the two gardens is hanging low.

Malay

Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.

مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ فُرُشٍ

Mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing dalam Syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan,
Iaitu dipanggil ‘duduk bersenggeng’. Duduk dengan relaks. Hamparan itu diletakkan di luar, bukan dalam istana. Tidak ada masalah rosak tempat rehat itu kalau letak di luar pun. Kerana cuaca dalam syurga tidak sama dengan cuaca dalam dunia. Semuanya indah belaka.

Sesiapa yang masuk syurga tidak ada dahaga dan lapar lagi dah. Makan dan minum hanya kerana hendak rasa nikmat makan dan minum, bukan kerana lapar. Dan selera makan kita itu selera untuk seribu orang. Kita mampu makan dengan banyak walaupun kita tidak lapar. Kita makan kerana nak menikmati makanan itu.

بَطَائِنُهَا مِنْ إِسْتَبْرَقٍ

yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya – dari sutera tebal yang bersulam;
Ini adalah tanda kemewahan yang Allah tunjukkan. Kalau kita pergi rumah orang lain kita akan suka nak periksa kualiti perabot rumah itu kan? Kerana kita terpesona dengan keindahan barangan. Allah nak cerita dalam ayat ini bahawa perabot dalam syurga lagi hebat lagi.

Kalau kita pergi rumah orang lain, dengan secara senyap kita akan periksa apakah kualiti sesuatu perabot itu. Kita belek sana dan sini kalau tuan rumah tak nampak. Kalau boleh nak tengok bahagian dalam kusyen pun. Di syurga, bahagian dalam kusyen itu pun dibuat dari sutera tebal yang bersulam – amat berkualiti dan indah sekali. Bayangkan, kalau bahagian dalam pun dah cantik, bayangkan yang di luar. Di dunia, yang luar mungkin nampak cantik, tapi kualiti dalaman tidak begitu. Selalunya yang bahagian luar sahaja yang diberikan perhatian. Kadang-kadang kita tengok luar cantik, tapi dalam tak cantik, bukan? Tidak begitu di syurga nanti.

وَجَنَى الْجَنَّتَيْنِ دَانٍ

dan buah-buahan kedua-dua Syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.
Bila nak petik buah untuk dimakan, buah itu akan datang sendiri untuk senang dipetik. Buah-buah itu pula adalah buah yang sudah masak, sudah sedia untuk dimakan. Tinggal nak makan sahaja. Maknanya, sambil duduk bersenggeng tu, kalau terasa nak makan buah, buah itu akan datang sendiri. Nak petik pun dimudahkan, tak payah bangun pun. Bila petik sahaja satu buah, keluar balik buah lain.

جَنَى – buah yang sudah masak

دَانٍ – dekat, datang mendekat


Ayat 55:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 56: Sekarang tentang bidadari pula. Ini pun diceritakan dalam Quran. Inilah satu perkara yang disebut-sebut oleh manusia. Kalau tak tahu pasal Quran apa-apa pun, pasal bidadari semua orang tahu.

Allah menceritakan tentang kenikmatan hubungan lelaki perempuan. Tetapi sebaliknya, dalam dunia sekarang, Islam amat memandang berat tentang hubungan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Islam menjaga supaya tidak berlaku perzinaan dan hubungan yang tidak sesuai. Kerana semua itu akan diberi di syurga nanti. Kalau kita tahan nafsu kita semasa di dunia, kita akan dapat semua itu malah berlebih-lebih lagi di syurga nanti.

فيهِنَّ قاصِراتُ الطَّرفِ لَم يَطمِثهُنَّ إِنسٌ قَبلَهُم وَلا جانٌّ

Sahih International

In them are women limiting [their] glances, untouched before them by man or jinni –

Malay

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;

فِيهِنَّ قَاصِرَاتُ الطَّرْفِ

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya terbatas,

قَاصِرَاتُ – pasangan yang merendahkan pandangan matanya

الطَّرْفِ – pandangan yang terbatas

Bayangkan pertama kali bertemu dengan pasangan kita. Yang perempuan itu akan merendahkan pandangan mata mereka kerana malu-malu. Itu adalah satu keindahan sebenarnya. Lelaki suka perempuan yang malu-malu. Masalahnya, pasangan kita, masa mula jumpa dan masa mula kahwin sahaja macam itu. Selepas itu, tidak ada lagi perasaan begitu. Tapi bidadari itu akan sentiasa sahaja macam itu.

Bidadari itu tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun. Jangankan disentuh, dilihat pun tidak pernah melainkan oleh tuannya. Memang disimpan untuk dinikmati oleh tuannya, iaitu kita sebagai ahli syurga.

لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنسٌ قَبْلَهُمْ

yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia

يَطْمِثْهُنَّ – sentuhan yang memecahkan dara. sentuhan dalam bentuk seksual.

Lelaki suka perempuan yang belum pernah disentuh oleh orang lain. Kalau boleh, dia nak dia sahaja yang pernah nampak pasangannya itu.

وَلَا جَانٌّ

dan tidak juga oleh jin;

Yang bidadari untuk manusia, tidak pernah disentuh oleh manusia lain. Yang bidadari untuk jin, tidak pernah disentuh oleh jin lain.

Ada soalan yang selalu ditanya, lebih-lebih lagi oleh wanita: Kenapa Allah sebut lelaki akan dapat bidadari, tapi tidak disebut tentang apa yang perempuan akan dapat? Kerana apa yang lelaki mahu adalah jelas – perempuan. Dari dulu sampai sekarang, apa yang lelaki mahu adalah sama sahaja. Memang Allah telah tetapkan bahawa lelaki mempunyai keinginan kepada wanita. Tapi apa yang perempuan mahu? Susah nak pastikan apa yang mereka hendak. Kerana macam-macam yang mereka hendak. Bergantung kepada keadaan. Jadi, tak boleh nak tulis semuanya dalam Quran. Tapi ingatlah dan yakinlah bahawa mereka akan dapat apa sahaja yang mereka hendak. Tidak dapat nak dijelaskan apakah yang mereka akan dapat. Kerana apa yang mereka akan dapat itu tidak dapat diberitahu kepada kita kerana ianya hebat sangat.


Ayat 57:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 58:

كَأَنَّهُنَّ الياقوتُ وَالمَرجانُ

Sahih International

As if they were rubies and coral.

Malay

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.

كَأَنَّهُنَّ الْيَاقُوتُ

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima
Sejenis batu pertama. Batu itu warna merah.

وَالْمَرْجَانُ

dan marjan.
Sejenis batu karang yang cantik berwarna merah.

Allah samakan mereka dengan permata-permata itu kerana untuk mendapatkannya susah, kena cari dalam laut. Maknanya mereka itu amat istimewa.

Dan ianya sesuatu yang berkekalan. Barang yang tidak rosak. Sikap mereka yang malu-malu itu berterusan.

Allah sebut tentang perangai mereka supaya perempuan di dunia dapat meniru mereka. Seelok-eloknya wanita di dunia cuba untuk meniru segala sifat-sifat bidadari itu.

Orang ingat bidadari itu pasangan yang paling cantik untuk lelaki syurga. Maka mulalah wanita sekarang rasa cemburu. Mereka ingat suami mereka nanti akan melayan bidadari sahaja. Tapi ingatlah yang isteri kita yang dari dunia ini lagi cantik dari bidadari-bidadari itu. Isteri kita sekarang ini, kalau masuk sekali ke dalam syurga dengan kita, mereka akan dicantikkan lagi. Bukanlah sama keadaan fizikal kita sekarang dan di syurga nanti. Takkan bidadari-bidadari itu lagi cantik dari manusia, sedangkan mereka dijadikan terus oleh Allah tanpa ada apa-apa dugaan di dunia. Tapi, wanita dunia telah melalui ujian-ujian yang Allah telah beri semasa di dunia, maka mereka layak untuk dapat kelebihan yang banyak semasa mereka di syurga.


Ayat 59:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 60:

هَل جَزاءُ الإِحسانِ إِلَّا الإِحسانُ

Sahih International

Is the reward for good [anything] but good?

Malay

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?

هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ

Bukankah balasan bagi amal yang baik –

Kita sudah buat amalan ibadat yang baik semasa di dunia dulu. Iaitu amalan ibadah yang sunnah, bukan yang bidaah. Tentu ada balasan untuk amalan kita itu bukan?

إِلَّا الْإِحْسَانُ

tidak lain melainkan balasan yang baik juga?
Allah akan balas kebaikan amal ibadat yang kita lakukan. Allah tidak sia-siakan amalan kita itu.


Ayat 61:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 62:

وَمِن دونِهِما جَنَّتانِ

Sahih International

And apart from them both [in excellence] are two [other] gardens –

Malay

Dan selain dari dua Syurga itu, dua Syurga lagi;

وَمِن دُونِهِمَا جَنَّتَانِ

Dan selain dari dua Syurga itu, ada dua Syurga lagi
untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat yang lebih tinggi lagi; yang diberikan kepada golongan musaabiqoon. Golongan ini ada disebut dalam surah Waqiah.


Ayat 63:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 64:

مُدهامَّتانِ

Sahih International

Dark green [in color].

Malay

Kedua-duanya menghijau subur tanamannya;

Penuh dengan kehijauan sampai cahaya pun susah nak masuk. Dalam syurga pertama sebelum ini, telah disebut ada dahan-dahan dan pohon-pohon. Tapi syurga yang kita sedang baca ini lebih hebat lagi – lagi menghijau dan lagi banyak dedaunan dan buah-buahan sampai susah masuk cahaya. Lebih hebat dari syurga sebelumnya. Itulah sebabnya perkataan مُدْهَامَّتَانِ  digunakan. Ianya dari perkataan yang bermaksud ‘digelapkan’. Kerana apabila dedaunan pokok-pokok itu sudah banyak sangat, sampaikan cahaya matahari tidak masuk, suasana menjadi gelap.


Ayat 65:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 66:

فيهِما عَينانِ نَضّاخَتانِ

Sahih International

In both of them are two springs, spouting.

Malay

Dalam kedua-dua Syurga itu terdapat dua matair yang terus menerus memancutkan airnya:

Ini adalah jenis air pancut. Dalam syurga sebelum ini ada juga air, tapi tidak memancut. Jadi ada lebih sikit dalam syurga yang dalam ayat ini. Kerana ianya untuk mereka yang lebih tinggi kedudukan dari ahli syurga sebelum ini.


Ayat 67:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Lompat ke ayat yang seterusnya

Rujukan: 

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 055: Rahman. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s