Tafsir Surah Rahman Ayat 19 – 40

Ayat 19:

مَرَجَ البَحرَينِ يَلتَقِيانِ

Sahih International

He released the two seas, meeting [side by side];

Malay

Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;

مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ

Dia membiarkan dua lautan mengalir
Allah lah yang menyebabkan lautan yang amat dalam tapi mengalir dengan lancar.

يَلْتَقِيَانِ

yang keduanya kemudian bertemu,
Dua jenis air laut yang berlainan jenis bertemu – antara yang tawar dan masin, yang berat dan ringan. Duduk bersebelahan antara satu sama lain. Tapi walaupun bertemu, tapi tidak bercampur.


Ayat 20:

بَينَهُما بَرزَخٌ لا يَبغِيانِ

Sahih International

Between them is a barrier [so] neither of them transgresses.

Malay

Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ

antara keduanya ada batas

لَّا يَبْغِيَانِ

yang tidak dilampaui masing-masing.
Tidak bercampur antara satu sama lain.

Air adalah satu kuasa yang kuat. Bila sikit, kita dapat kawal. Tapi bila dalam kuantiti yang banyak, ia menjadi sangat kuat dan boleh sampai membuat kerosakan yang besar. Macam apabila Tsunami melanda, ianya boleh menghancurkan bandar dan kawasan yang besar. Tapi walaupun ianya adalah kuat, Allah boleh mengusainya. Kita memang tidak boleh buat apa-apa bila Tusnami melanda, tapi Allah maha berkuasa. Allah boleh buat supaya dua jenis air tidak bertemu walaupun dua jenis air berlanggar antara satu sama lain. Kalau Allah boleh kawal kuasa air yang kuat itu pun, takkan Dia tidak boleh menguasai manusia dan jin?

Mula-mula Allah menyebut tentang alam luar yang manusia boleh lihat. Iaitu ufuk timur dan barat. Sekarang Allah sebut tentang alam laut yang manusia tidak biasa dengannya. Terutama sekali masyarakat Arab. Mereka jarang nampak laut sebab mereka duduk di Padang Pasir.


Ayat 21:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?


Ayat 22:

يَخرُجُ مِنهُمَا اللُّؤلُؤُ وَالمَرجانُ

Sahih International

From both of them emerge pearl and coral.

Malay

Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;

يَخْرُجُ مِنْهُمَا

Dari keduanya keluar

Dari dua bahagian laut yang bersebelahan itu, tapi tidak bertemu itu akan keluar sesuatu darinya. Apakah dia?

اللُّؤْلُؤُ وَالْمَرْجَانُ

mutiara dan marjan.

Dari laut, keluarnya mutiara yang indah

Marjan adalah batu karang yang warna merah.

Mereka yang biasa dengan lautan dan jenis-jenis air, boleh melihat bagaimana dari air itu, boleh mengeluarkan mutiara dan marjan.


Ayat 23:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?


Ayat 24:

وَلَهُ الجَوارِ المُنشَآتُ فِي البَحرِ كَالأَعلامِ

Sahih International

And to Him belong the ships [with sails] elevated in the sea like mountains.

Malay

Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;

وَلَهُ الْجَوَارِ

Dan kepunyaan-Nya lah bahtera-bahtera yang belayar.
Allah kata kapal-kapal itu semua adalah kepunyaanNya. Kenapa? Sedangkan bukankah kapal itu dicipta dan dibuat oleh manusia? Kerana manusia buat kapal itu dengan bahan-bahan dariNya juga – kayu atau besi. Bergerak dengan menggunakan sumber yang dariNya juga – samada minyak atau angin yang menjalankan kapal layar. Bergerak pula di atas lautan yang dijadikanNya. Yang buat kapal itu adalah manusia yang diciptaNya, menggunakan akal yang diberiNya. Semuanya kembali kepada Allah balik. Maka, kapal itu adalah milik Allah.

Apabila kapal di lautan, manusia tidak ada kuasa lagi dengan bahtera itu. Ianya dalam tangan Allah. Maka, ketakutanlah manusia. Dan berharaplah manusia kepada satu kuasa yang dapat menyelamatkan mereka. Kerana mereka tidak dapat kawal lautan yang amat luas itu. Macam mana kuat pun kapal yang mereka buat, kalau Allah hendak menenggelamkan mereka, mereka akan tenggelam. Lihatlah apa yang terjadi kepada Kapal Titanic – Mereka kata: “Tuhan pun tidak dapat menenggelamkan kapal ini”, kerana mereka sangka mereka telah buat kapal yang besar dan kuat. Tapi Allah tunjukkan kepada mereka bahawa tidak ada kuasa yang ada pada manusia. Segala kekuasaan adalah pada Allah.

الْمُنشَآتُ فِي الْبَحْرِ

yang tinggi di lautan
Kapal-kapal itu dari kejauhan nampak macam pulau kerana kebesarannya. Kapal sekarang pun ada yang besar-besar macam kapal yang saiz Carrier. Boleh letak kapal terbang atas kapal itu.

Besarnya kapal-kapal itu belayar di lautan seperti gunung tingginya

Ia juga bermaksud kapal-kapal itu berlayar di ombak yang amat tinggi.

كَالْأَعْلَامِ

laksana gunung-gunung.
Sungguh besar sekali kapal-kapal itu sampaikan ianya nampak seperti gunung-gunung dari jauh. Sebelum ini disebut tentang mutiara dan marjan yang kecil dalam lautan. Sekarang, Allah menyebut tentang benda yang besar pula. Semuanya dalam kuasa Allah. Yang kecil seperti mutiara, Allah benamkan dalam lautan. Tapi kapal yang begitu punya besar pun Allah boleh buat supaya ianya terapung di lautan. Kalau kita fikirkan dengan akal, tentulah yang ringan lebih senang nak terapung. Tapi tidak, Allah boleh kawal semuanya sekali mengikut kehendakNya. Hukum alam ini, Allah yang tentukan.


Ayat 25:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?


Ayat 26:

كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ

Sahih International

Everyone upon the earth will perish,

Malay

Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا

Semua yang ada di bumi itu
Perkataan مَنْ digunakan untuk merujuk kepada manusia.

فَانٍ

akan binasa.
Inilah yang selalu disalah faham oleh puak tasawuf – mereka akan sebut mereka hendak mencapai maqam ‘fana‘. Mereka tidak tahu yang fana itu maksudnya ‘binasa’ dan mati. Itu sebenarnya mereka mencapai keadaan yang khayal sahaja. Dan Allah tidak suka kita khayal. Sebab itu Allah tak benarkan kita minum arak. Sesungguhnya mereka itu ditipu oleh syaitan sahaja. Mereka ingat mereka dah capai kedudukan yang tinggi, tapi mereka tak sedar mereka itu ditipu sahaja. Ditipu oleh syaitan.

Manusia memang dijadikan untuk mati akhirnya. Bukanlah Allah tak boleh jadikan manusia hidup kekal. Tapi memang Dia hendak jadikan manusia itu akan mati. Itulah maksud فَانٍ itu. Kalau manusia cipta barang, kita memang hendak barang itu tahan lama, kalau boleh tak rosak-rosak pun sampai bila – tapi walaupun kita hendak begitu, barang yang kita cipta itu tak kekal pun. Tapi, memang niat Allah hendak menjadikan kita akan hancur akhirnya. Jadi, bukanlah nak kata Allah tak pandai merekacipta. Kalau Allah kehendaki, Allah boleh mencipta kita tanpa mati-mati. Tapi, memang Allah dah berniat untuk menjadikan manusia akhirnya akan mati akhirnya.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita semua akan mati. Tapi ada dalam diri kita yang tidak mati, iaitu roh kita. Apabila badan kita mati, dan hancur, roh kita akan keluar dan akan terus hidup.

Mereka yang tidak boleh menerima hakikat bahawa tubuh mereka akan hancur akhirnya, akan risau dan resah apabila badan mereka sudah lemah dan semakin sakit nak mati. Terutama sekali kepada mereka yang mementingkan kecantikan. Terutama sekali kepada perempuan yang mementingkan keindahan wajah dan tubuh mereka.


Ayat 27: Kita akan hancur, tapi Allah akan kekal. Ini adalah ayat yang terpenting surah ini, termasuk di ayat akhir nanti. Ada rahsia di dalamnya. Inilah intipati surah ini.

وَيَبقىٰ وَجهُ رَبِّكَ ذُو الجَلالِ وَالإِكرامِ

Sahih International

And there will remain the Face of your Lord, Owner of Majesty and Honor.

Malay

Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:

وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ

Dan tetap kekal Wajah Tuhanmu

Semua akan hancur kecuali ‘Dzat’ Allah sahaja. Apabila ditiup sangkakala, semua yang ada di bumi akan hancur. Allah akan bertanya: “Pada hari ini kerajaan ini milik siapa?”. Waktu itu tidak ada yang dapat menjawap kerana tidak ada yang hidup lagi.

Dzat atau Diri Allah disebut dalam ayat ini sebagai ‘Wajah Tuhanmu’. Ini adalah kerana seseorang itu dikenali dengan wajahnya. Apabila kita memperkenalkan seseorang, tentulah kita akan lihat dan ingat wajahnya. Dan bila kita bertemu lagi dengan dia, tentulah kita akan memastikan ianya adalah orang yang sama dengan melihat wajahnya.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah itu mempunyai ‘wajah’. Tidak perlu ditakwil lagi. Kerana Allah sendiri dah sebut ‘wajahNya’ dalam ayat ini. Dan begitu juga dengan ayat-ayat yang lain berkenaan dengan ‘tangan’, ‘kaki’ dan sebagainya. Allah juga mempunyai suara, penglihatan dan sebagainya. Cuma kita tidak tahu bagaimana rupanya. Kerana pasti Allah tidak sama dengan makhluk.

Memang terdapat satu perbalahan yang amat hebat tentang perkara ini. Sampaikan ada kafir mengkafir antara satu sama lain. Kita tidak mahu memperpanjangkan perkara ini di sini. Boleh dirujuk perbincangan ini di tempat lain. Tetapi cukuplah kita katakan di sini yang Allah mempunyai wajah dan segala bentuk tubuh yang disebutkan dalam Quran. Kita sebagai ahli Sunnah menerima seadanya apa yang telah disebut dalam ayat Qur’an. Tapi tentulah wajah, tangan Allah tidak sama dengan wajah dan tangan manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Tidak pernah kita mengatakan yang sama macam makhluk. Kerana ada ayat yang lain yang mengatakan Allah tidak akan sama dengan makhluk.

ذُو الْجَلَالِ

yang mempunyai keagungan

الْجَلَالِ bermaksud ‘keagungan’, ‘kebesaran’, ‘kemuliaan’ yang layak dengan Allah. Oleh itu, sumber keagungan, kebesaran dan kemulian adalah dari Allah. Ada makhluk yang dikagumi kerana sifat-sifatnya, tapi semua sifat itu disebabkan dan diberi oleh Allah.

وَالْإِكْرَامِ

dan kemuliaan.

الْإِكْرَامِ bermaksud ‘kemuliaan’, ‘kelebihan’, ‘dermawan’. Makhluk boleh mendapat kemulian dan kelebihan di akhirat dengan cara memuliakan Allah semasa kita di dunia, dengan patut taat kepadaNya, mencintaiNya, berdoa hanya padaNya, beribadah hanya kepadaNya.

Dua nama sifat Allah ini dinamakan ‘ismul a’zam’. In sha Allah kalau berdoa dengan menggunakan dua nama sifat Allah ini, doa akan dimakbulkan.

Allah tidak memerlukan kita untuk memujaNya dengan keagungan dan kemuliaan. Kalau kita tidak ada pun, Allah masih agung dan mulia. Bandingkan dengan manusia – kita hanya akan jadi agung dan mulia kalau ada yang mengagung dan memuliakan kita. Seperti manusia mengagungkan pemimpin, ahli sukan, tentera yang telah berhidmat dan sebagainya. Maknanya, kena ada orang yang mengagungkan kita baru kita jadi agung dan terkenal. Kalau tidak ada orang yang sanjung kita, kita tidak bernilai apa-apa. Tapi sifat Allah tidak memerlukan ada makhluk yang puji Dia pun. Dia memang telah tetap dengan sifat keagungan dan kemuliaan. Bayangkan, dalam ayat sebelum ini disebutkan semua makhluk telah hancur, tapi Allah masih lagi dengan sifat keagungan dan kemuliaan. Allah tidak perlu pujian kita.

Tapi Allah suka kalau kita memuji dan memujaNya. Kalau kita berterima kasih kepadaNya, Allah akan tambah lagi nikmat itu. Maka yang perlu memuji itu adalah kita. Kita yang dapat laba dan habuan dari pujian kita itu. Bukan untuk Allah, tapi untuk kita sebenarnya. Ini menjawap persoalan: Kenapa Allah hendak kita memujiNya? Ini perlu disebutkan kerana ada manusia yang kononnya bertanya: kenapa Tuhan hendak sangat kita puji-puji Dia? Apakah Allah memerlukan pujian itu? mereka tanya lagi. Jadi, di sini kita menjawap: Allah tidak memerlukan pujian itu. Tapi kita yang perlu untuk puji Allah.

Apakah intipati surah ini? Allah itu Dzul Jalal wal Ikram. Kalau sesiapa yang mendustakan Allah, Dia akan berhadapan dengan Tuhan yang bersifat Jalal – sifat keras yang boleh menyebabkan manusia susah dan hancur. Kerana itu, apabila Allah tajalli DiriNya pada gunung, gunung itu hancur kerana tidak dapat bertahan. Dengan sifat Jalal inilah, Allah hukum manusia. Lihatlah bagaimana buat dosa sekejap sahaja di dunia, tapi kekal dalam neraka. Kalau lawan sifat Jalal ini, akan susah nanti di akhirat.

Tapi kalau membenarkan Sifat Allah, kita akan bertemu dengan sifat Allah yang Ikram. Allah akan beri balasan yang amat baik, dibalas dengan syurga dan segala nikmat yang tidak ada hujungnya. Balasan itu lebih lagi dari apa yang kita lakukan – buat amal sekejap sahaja di dunia, tapi kekal dalam syurga.

Oleh itu, jangan dustakan segala sifat-sifat Allah, kena beriman dengan segala SifatNya.


Ayat 28:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?


Ayat 29:

يَسأَلُهُ مَن فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ ۚ كُلَّ يَومٍ هُوَ في شَأنٍ

Sahih International

Whoever is within the heavens and earth asks Him; every day He is bringing about a matter.

Malay

Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!

يَسْأَلُهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Semua yang ada di langit dan bumi sentiasa meminta kepada-Nya.

Kita semua kena minta segala hajat kita dengan Allah sahaja. Tidak layak kalau kita minta kepada selain dari Allah. Macam Hindu, mereka akan minta kepada dewa mereka. Kita pula ada yang minta kepada Nabi, malaikat dan sebagainya supaya menyampaikan hajat dan doa kita kepada Allah. Itulah yang dinamakan tawasul (perantaraan).

Ayat ini menjelaskan bahawa kita memerlukan Allah. Dalam setiap hal dan perkara. Kepada Muslim, mereka akan ‘meminta’ kepada Allah. Tapi bagaimana dengan orang kafir? Mereka kata mereka tak minta pun kepada Allah. Jawapannya adalah, perkataan يَسْأَلُهُ bukan sahaja bermaksud ‘meminta’, tapi juga bermaksud ‘bergantung’. Walaupun mereka tidak meminta kepada Allah, tapi mereka masih lagi bergantung dengan Allah. Walaupun mulut mereka tidak meminta kepada Allah, tapi tekak mereka yang dahaga meminta kepada Allah; jantung mereka meminta oxygen kepada Allah; setiap sel dalam tubuh mereka meminta kepada Allah. Sentiasa sahaja Allah memberi.

كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ

Setiap waktu Dia dalam kesibukan.
Allah sentiasa dalam keadaan sibuk untuk memenuhi keperluan makhlukNya. Ada dua jenis keperluan: satu, keperluan yang makhluk itu minta kepada Allah. Tidak kira mereka itu manusia atau jin, samada beriman atau tidak, samada Islam atau kufur. Keperluan mereka yang mereka minta itu dimakbulkan oleh Allah. Kerana walaupun mereka engkar, tapi Allah akan beri juga permintaan mereka itu. Kalau bukan Allah yang beri, siapa lagi?

Kedua, ada perkara yang makhluk tak minta, tapi Allah akan beri juga. Sebagai contoh, oksigen, angin, makanan dan sebagainya. Walaupun makhluk tak minta, tapi kerana kelangsungan hidup itu memerlukan perkara-perkara itu, maka Allah juga yang beri kepada mereka.

Perkataan شَأْنٍ membawa sesuatu yang kalau kita tidak buat, tidak ada orang lain yang akan buat. Macam seorang ibu yang menyusukan anaknya. Bukan ayahnya boleh menyusukan anaknya – sebab ayah tidak mempunyai susu. Itulah شَأْنٍ seorang ibu. Begitulah Allah sentiasa dalam sifat memberi kepada makhlukNya.

Timbul pula persoalan di kepala orang yang panjang sangat memikir: “Jadi, Allah sibuk juga?” Jadi, Allah tidak sempat tengok perkara lain lah? Adakah begitu? Kita beri satu perumpamaan. Kita beri kerja untuk anak murid kita dalam kelas untuk buat tugasan. Dalam masa yang sama, kita buat kerja memeriksa tugasan lain. Walaupun kita sedang buat kerja lain, tapi dalam masa yang sama, tentu kita juga dalam masa yang sama boleh lihat anak-anak murid kita buat kerja mereka, bukan?


Ayat 30: Allah telah banyak memberi kepada kita, masih lagi kita tidak mensyukuriNya?

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?


Ayat 31:

سَنَفرُغُ لَكُم أَيُّهَ الثَّقَلانِ

Sahih International

We will attend to you, O prominent beings.

Malay

Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin!

سَنَفْرُغُ لَكُمْ

Kami akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,)

Maksud فرغ adalah ‘terluang’. Seperti seseorang yang ada masa untuk diluangkan. Maksud ayat ini adalah, Allah akan meluangkan masa untuk kita. Jangan kita ingat Tuhan sibuk dengan perkara lain, sampai Allah tidak boleh meluangkan masa untuk kita. Lihatlah bagaimana tidak ada sesiapa pun yang boleh meluangkan masa sepenuhnya untuk kita. Kalau seorang guru tidak mampu, seorang ayah tidak mampu, seorang pemimpin pun tidak akan mampu. Semakin tinggi seseorang itu, semakin tidak ada masa untuk kita. Tapi Allah yang Maha Tinggi, sentiasa ada masa untuk kita.

Kita akan berurusan sendiri dengan Allah. Kita akan ada session one-on-one dengan Allah nanti. Waktu itu kita akan dihadapkan dengan segala amalan kita yang kita telah lakukan semasa di dunia dan kita akan disoal tentang perbuatan kita itu.

أَيُّهَ الثَّقَلَانِ

wahai manusia dan jin!

الثَّقَلَانِ dari perkataan ث ق ل yang bermaksud ‘diberati’. Iaitu manusia dan jin telah diberati dengan tanggungjawap untuk mengikut perintah dan taat kepada hukum Allah. Binatang, langit, gunung-ganang tidak ada tanggungjawab ini. Oleh itu mereka tidak dipersoalkan. Tapi manusia dan jin akan disoal tentang amalan dan perbuatan mereka semasa di dunia.

Oleh itu, ingatlah bahawa segala perbuatan kita di dunia ini akan ditanya di hadapan Allah taala nanti.


Ayat 32:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 33:

يا مَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّماواتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطانٍ

Sahih International

O company of jinn and mankind, if you are able to pass beyond the regions of the heavens and the earth, then pass. You will not pass except by authority [from Allah ].

Malay

Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)!

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ

Wahai sekalian golongan jin dan manusia!
Di sini, Allah menyebut jin sebelum manusia. Kenapa? Kadang-kadang, Allah akan sebut manusia dulu sebelum jin. Tapi dalam ayat ini, Allah sebut jin dahulu.

إِنِ اسْتَطَعْتُمْ

Kalau kamu mampu

أَن تَنفُذُوا

menembus keluar
kalau kamu boleh lari

مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

dari penjuru-penjuru langit dan bumi
– untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami;

فَانفُذُوا

maka cubalah kamu menembus keluar.

Siapa yang rasa mereka boleh buat begini? Yang rasa mereka boleh terbang melepasi sempadan-sempadan alam Allah? Tentunya Jin yang rasa mereka boleh buat begitu. Kerana mereka boleh terbang, manusia tidak boleh terbang. Sebab itulah Allah sebut jin dahulu sebelum menyebut manusia.

Kalau Allah beri cabaran begini, bermaksud apa? Bermaksud Allah sudah tahu yang manusia dan jin memang tidak boleh lari ke mana dah.

لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan;
Masakan dapat! Penjenayah mungkin boleh lari dari polis yang nak tangkap mereka, tapi manusia dan jin tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Ke mana lagi kita nak lari?

Ayat ini menceritakan keadaan di Hari Akhirat nanti. Jin dan manusia tidak boleh lari dari kekuasaan Allah. Mereka tidak boleh lari dari hukuman Allah.


Ayat 34:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 35: Akan ada juga yang akan cuba lari. Apa akan jadi kepada mereka?

يُرسَلُ عَلَيكُما شُواظٌ مِن نارٍ وَنُحاسٌ فَلا تَنتَصِرانِ

Sahih International

There will be sent upon you a flame of fire and smoke, and you will not defend yourselves.

Malay

Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);

يُرْسَلُ عَلَيْكُمَا

Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan

Kalau mereka cuba juga nak lari, mereka akan dihujani dengan:

شُوَاظٌ مِّن نَّارٍ

dengan api yang menjulang-julang
Boleh difahami sebagai ‘meteor’ dalam pemahaman kita.

وَنُحَاسٌ

dan leburan tembaga cair (yang membakar);

فَلَا تَنتَصِرَانِ

kamu tidak akan mampu menolong diri kamu; tidak akan dapat menyelamatkan diri kamu.

Kalau dalam filem, bila ada meteor yang hendak menimpa bumi, kononnya manusia boleh buat sesuatu untuk menyelamatkan diri mereka. Nanti, apabila Allah benar-benar hendak menjatuhkan meteor kepada manusia, manusia tidak boleh buat apa-apa dah.


Ayat 36:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 37: Allah menerangkan kejadian pada Hari Kiamat nanti.

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّماءُ فَكانَت وَردَةً كَالدِّهانِ

Sahih International

And when the heaven is split open and becomes rose-colored like oil –

Malay

Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;

فَإِذَا انشَقَّتِ السَّمَاءُ

ketika langit pecah-belah
Ini adalah pada hari ditiupkan Sangkakala. Tidak sempat nak buat apa dah pada hari ini. Amat terkejut sekali manusia pada hari ini. Seorang ibu yang sedang mengandung akan tergugur anaknya kerana amat takut dan terkejut. Yang sedang menyusukan anak pula, akan buang anak mereka kerana takut sangat, sampaikan anak mereka yang mereka sayangi pun mereka tidak hiraukan lagi.

فَكَانَتْ وَرْدَةً

lalu menjadilah ia berwarna merah,
Bayangkan apabila kita menyiat kulit binatang. Ianya akan berwarna merah darah.

كَالدِّهَانِ

berkilat seperti minyak;


Ayat 38:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?


Ayat 39: 

فَيَومَئِذٍ لا يُسأَلُ عَن ذَنبِهِ إِنسٌ وَلا جانٌّ

Sahih International

Then on that Day none will be asked about his sin among men or jinn.

Malay

Pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);

فَيَوْمَئِذٍ

Pada masa itu

Iaitu pada hari Mahsyar.

لَّا يُسْأَلُ عَن ذَنبِهِ

tiada sesiapapun, yang akan ditanya tentang dosanya
Kenapa pula tidak ditanya? Ini adalah kerana hari Akhirat dijelaskan dalam fasa-fasa. Tidaklah sema ayat menyatakan keseluruhan tentang Hari Kimamat. Satu ayat mungkin menerangkan satu fasa dan satu ayat lagi tentang fasa yang lain. Ayat yang kita sedang baca ini berlaku dalam fasa awal Hari Kiamat. Pada hari itu, tidak perlu ditanya tentang dosa yang telah dilakukan manusia dan jin, kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya masing-masing; Macam penjenayah yang baru ditangkap dan dibawa ke balai polis, tidak ditanya pun kita sudah tahu mereka muka bersalah. Kerana kita boleh lihat dari air muka mereka.

Macam juga muka pelajar yang ambil keputusan peperiksaan mereka. Mereka sendiri dah dapat agak apakah yang mereka akan dapat – samada baik atau buruk. Jelas di muka mereka.

Mereka yang berdosa itu dah tahu apa yang mereka dah buat semasa mereka di dunia. Maka, akan nampak jelas kekesalan dan kekhuatiran pada wajah mereka.

Selepas fasa ini, maka akan diteruskan dengan fasa seterusnya dimana mereka akan ditangkap dan akan ditanya dan dipersoalkan satu persatu tentang apakah yang mereka telah lakukan di dunia dulu.

إِنسٌ وَلَا جَانٌّ

sama ada manusia atau jin,
Sekarang Allah sebut ‘manusia’ dulu pula sebelum disebut ‘jin’. Ada kalanya Allah akan menyusun berlainan. Sususan itu mengikut keperluan dan mengikut keadaan.


Ayat 40:

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

Lompat ke ayat yang seterus


Rujukan:

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 055: Rahman. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s