Tafsir Surah Rahman Ayat 17 – 30 (Pertemuan dua lautan)

Ayat 17: Dalil Aqli.

رَبُّ المَشرِقَينِ وَرَبُّ المَغرِبَينِ

Sahih International

[He is] Lord of the two sunrises and Lord of the two sunsets.

Malay

(Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.

 

رَبُّ الْمَشْرِقَيْنِ

Tuhan dua timur

Tuhan yang mencipta dan memelihara kedua tempat terbit matahari. Tiga kali Allah sebut tentang arah dalam Qur’an. Ada Allah sebut dalam bentuk satu arah, dua arah (seperti dalam ayat ini) dan arah dalam bentuk jamak.

Dalam ayat ini, arah itu merujuk kepada dua musim (musim panas dan musim dingin). Matahari memang terbit dari timur. Tapi dalam masa enam bulan, tempat naik matahari itu akan berubah sedikit. Jadi, seperti ada dua tempat matahari itu naik. Mulanya, kita mungkin boleh nampak matahari naik dari satu tingkap. Tapi enam bulan kemudian, kita nampak naik dari tingkap yang sebelahnya pula.

Satu lagi tafsir mengatakan, ia merujuk kepada keseluruhan timur itu. Ada timur sebelah kanan dan ada timur sebelah kiri. Maka, ini hendak mengatakan Tuhan itu adalah Rabb kepada semua arah.

 

وَرَبُّ الْمَغْرِبَيْنِ

dan Tuhan dua barat

Tuhan yang mencipta dan memelihara kedua tempat terbenamnya. Dengan kuasaNya jugalah matahari naik dan terbenam. Dan menunjukkan hanya ada satu Tuhan sahaja untuk bumi dan matahari. Kalau ada satu tuhan untuk bumi dan satu tuhan untuk matahari, tentulah ada masalah.

Matahari akan terbenam ke barat pada satu tempat. Tapi dalam masa enam bulan, tempat matahari terbenam itu akan berubah sedikit. Jadi, seperti ada dua tempat matahari itu terbenam.

Tafsir lain juga ada menyatakan, ia merujuk kepada keseluruhan barat itu. Ada barat sebelah kanan dan ada barat sebelah kiri. Maka, ini hendak mengatakan Tuhan itu adalah Rabb kepada semua arah.


 

Ayat 18: Ini kali ketiga ayat ini diulang dan akan diulang lagi.

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Kalimah ءآلَاءِ ini sesuai diterjemahkan dengan maksud ‘kuasa’, kerana dengan kuasaNya menguruskan bumi dan matahari itu.

Tapi kalimah ءآلَاءِ ini juga boleh diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ kerana dengan peraturan naik dan turun matahari inilah dapat diambil manfaatnya oleh segala kehidupan di dunia ini.


 

Ayat 19:

مَرَجَ البَحرَينِ يَلتَقِيانِ

Sahih International

He released the two seas, meeting [side by side];

Malay

Ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;

 

مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ

Dia membiarkan dua lautan mengalir

Allah lah yang menyebabkan lautan yang amat dalam tapi mengalir dengan lancar. Satu masin dan satu tawar.

 

يَلْتَقِيَانِ

yang keduanya kemudian bertemu,

Dua jenis air laut yang berlainan jenis bertemu – antara yang tawar dan masin, yang berat dan ringan. Duduk bersebelahan antara satu sama lain. Tapi walaupun bertemu, tapi tidak bercampur.


 

Ayat 20:

بَينَهُما بَرزَخٌ لّا يَبغِيانِ

Sahih International

Between them is a barrier [so] neither of them transgresses.

Malay

Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

 

بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ

antara keduanya ada batas

Bertemu air itu tapi tidak bercampur.

 

لَّا يَبْغِيَانِ

yang tidak dilampaui masing-masing.

Tidak bercampur antara satu sama lain. Hanya bersentuh sahaja. Kadangkala sampai beratus kilometer garisan pertemuan dua jenis lautan itu. Zaman dulu, fenomena ini tak nampak maka umat Islam hanya percaya sahaja. Tapi sekarang sudah banyak orang bagi gambar menunjukkan fenomena ini banyak terjadi. Maka sepatutnya ayat ini menjadi satu lagi dalil kebenaran Qur’an.

Ada juga mufassir yang berpendapat yang dimaksud dengan dua lautan ialah air masin dan air tawar. Air tawar adalah air yang terdapat di sungai-sungai yang ada di antara manusia. Pembahasan mengenainya telah disebutkan di dalam tafsir surat Al-Furqan, yaitu pada firman Allah Swt.:

{وَهُوَ الَّذِي مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ هَذَا عَذْبٌ فُرَاتٌ وَهَذَا مِلْحٌ أُجَاجٌ وَجَعَلَ بَيْنَهُمَا بَرْزَخًا وَحِجْرًا مَحْجُورًا}

Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan); yang ini tawar lagi segar, dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi. (Al-Furqan: 53)

Jadi kalau pendapat ini yang dipakai, maka dinding yang dimaksudkan adalah tanah di daratan yang memisahkan antara sungai dan juga lautan.

Air adalah satu kuasa yang kuat. Bila sikit, kita dapat kawal. Tapi bila dalam kuantiti yang banyak, ia menjadi sangat kuat dan boleh sampai membuat kerosakan yang besar. Macam apabila Tsunami melanda, ianya boleh menghancurkan bandar dan kawasan yang besar. Tapi walaupun ianya adalah kuat, Allah boleh mengusainya. Kita memang tidak boleh buat apa-apa bila Tusnami melanda, tapi Allah maha berkuasa. Allah boleh buat supaya dua jenis air tidak bertemu walaupun dua jenis air berlanggar antara satu sama lain. Kalau Allah boleh kawal kuasa air yang kuat itu pun, takkan Dia tidak boleh menguasai manusia dan jin?

Mula-mula Allah menyebut tentang alam luar yang manusia boleh lihat. Iaitu ufuk timur dan barat. Sekarang Allah sebut tentang alam laut yang manusia tidak biasa dengannya. Terutama sekali masyarakat Arab. Mereka jarang nampak laut sebab mereka duduk di Padang Pasir.


 

Ayat 21:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?


 

Ayat 22:

يَخرُجُ مِنهُمَا اللُّؤلُؤُ وَالمَرجانُ

Sahih International

From both of them emerge pearl and coral.

Malay

Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;

 

يَخْرُجُ مِنْهُمَا

Dari keduanya keluar

Dari dua bahagian laut yang bersebelahan itu, tapi tidak bertemu itu akan keluar sesuatu darinya. Apakah dia?

 

اللُّؤْلُؤُ وَالْمَرْجَانُ

mutiara dan marjan.

Marjan adalah batu karang yang warna merah. Apabila ada pertemuan dua jenis lautan itu, akan ada mutiara dan marjan. Ini kerana apabila ada dua jenis air ini, maka dapat membiakkan mutiara dan marjan itu.

 

Mereka yang biasa dengan lautan dan jenis-jenis air, boleh melihat bagaimana dari air itu, boleh mengeluarkan mutiara dan marjan.


 

Ayat 23:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Dengan kuasa Allah lah maka dapat mengeluarkan mutiara dan marjan itu. Dan itu adalah nikmat yang Allah berikan kepada manusia kerana manusia suka kepada keindahan mutiara dan marjan itu.


 

Ayat 24: Dalil Aqli lagi

وَلَهُ الجَوارِ المُنشَئآتُ فِي البَحرِ كَالأَعلٰمِ

Sahih International

And to Him belong the ships [with sails] elevated in the sea like mountains.

Malay

Dan Dia lah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;

 

وَلَهُ الْجَوَارِ

Dan kepunyaan-Nya lah bahtera-bahtera yang belayar.

Kalimah الْجَوَارِ dari ج ر ي yang bermaksud berlari, bergerak laju dan boleh digunakan untuk berlayar. Jadi kalimah الْجَوَارِ dalam ayat ini bermaksud kapal yang berlayar di lautan. Allah kata kapal-kapal itu semua adalah kepunyaanNya. Kenapa? Sedangkan bukankah kapal itu dicipta dan dibuat oleh manusia?

  1. Kerana manusia buat kapal itu dengan bahan-bahan dariNya juga – kayu atau besi.
  2. Bergerak dengan menggunakan sumber yang dariNya juga – samada minyak atau angin yang menjalankan kapal layar.
  3. Bergerak pula di atas lautan yang dijadikanNya. Allah yang menundukkan laut itu untuk kapal dapat melaluinya.
  4. Dan yang dapat buat kapal itu adalah manusia yang diciptaNya, menggunakan akal yang diberiNya. Ilham untuk menjadikan kapal itu juga datang dari Allah. Iaitu yang pertama sekali membina kapal adalah Nabi Nuh dan Nabi Nuh tidak tahu bina kapal kalau bukan mendapat ilham dari Allah. Semuanya kembali kepada Allah balik. Maka, tidak salahlah Allah kalau dia kata kapal itu adalah milikNya.

Apabila kapal di lautan, manusia tidak ada kuasa lagi dengan bahtera itu. Ianya dalam tangan Allah. Maka, ketakutanlah manusia. Dan berharaplah manusia kepada satu kuasa yang dapat menyelamatkan mereka. Kerana mereka tidak dapat kawal lautan yang amat luas itu.

Macam mana kuat pun kapal yang mereka buat, kalau Allah hendak menenggelamkan mereka, mereka akan tenggelam. Lihatlah apa yang terjadi kepada Kapal Titanic – Mereka kata: “Tuhan pun tidak dapat menenggelamkan kapal ini”, kerana mereka sangka mereka telah buat kapal yang besar dan kuat. Tapi Allah tunjukkan kepada mereka bahawa tidak ada kuasa yang ada pada manusia. Segala kekuasaan adalah pada Allah.

Maka kalimah له dalam ayat ini bermaksud ‘kepunyaan’ Allah, ataupun kapal-kapal itu di dalam taqdir dan takluk Allah.

 

الْمُنشَئآتُ فِي الْبَحْرِ

yang tinggi di lautan

Kalimah الْمُنشَئآتُ dari ن ش أ yang bermaksud naik, tumbuh, meninggi. Ia merujuk kepada sifat kapal-kapal di lautan yang nampak tinggi. Kapal-kapal itu dari kejauhan nampak macam pulau kerana besarnya. Kapal sekarang pun ada yang besar-besar macam kapal yang saiz Carrier. Boleh letak kapal terbang atas kapal itu.

Ia juga bermaksud kapal-kapal itu berlayar di ombak yang amat tinggi. Apabila ombak memukul kapal itu, ia akan naik meninggi.

 

كَالْأَعْلٰمِ

laksana gunung-gunung.

Sungguh besar sekali kapal-kapal itu sampaikan ianya nampak seperti gunung-gunung dari jauh. Sebelum ini disebut tentang mutiara dan marjan yang kecil dalam lautan. Sekarang, Allah menyebut tentang benda yang besar pula. Semuanya dalam kuasa Allah. Yang kecil seperti mutiara, Allah benamkan dalam lautan. Tapi kapal yang begitu punya besar pun Allah boleh buat supaya ianya terapung di lautan. Kalau kita fikirkan dengan akal, tentulah yang ringan lebih senang nak terapung. Tapi tidak, Allah boleh kawal semuanya sekali mengikut kehendakNya. Hukum alam ini, Allah yang tentukan.


 

Ayat 25:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Dengan kuasa Allah dapat kita menggunakan kapal di lautan. Dan itu semua adalah nikmat yang Allah berikan kepada manusia. Kerana dengan kapal itu dapat mengembara ke tempat yang jauh dan sebagai alat pengangkutan dalam perdagangan yang digunakan sampai hari ini.


 

Ayat 26: Dalil Aqli. Allah hendak menceritakan yang manusia dan jin tidak hidup kekal. Dan segala kemudahan yang Allah berikan kepada manusia dan jin itu tidak kekal.

كُلُّ مَن عَلَيها فانٍ

Sahih International

Everyone upon the earth will perish,

Malay

Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa:

 

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا

Semua yang ada di bumi itu

Perkataan مَنْ digunakan untuk merujuk kepada semua manusia dan makhluk yang lain. Dalam ayat-ayat sebelum ini tadi telah disebut makhluk-makhluk yang Allah cipta. Apa akan jadi dengan segala makhluk itu?

 

فَانٍ

akan binasa.

Inilah yang selalu disalah faham oleh puak tasawuf – mereka akan sebut mereka hendak mencapai maqam ‘fana‘. Mereka tidak tahu yang fana itu maksudnya ‘binasa’ dan mati. Sebenarnya mereka mencapai keadaan yang khayal sahaja. Dan Allah tidak suka kita khayal. Sebab itu Allah tak benarkan kita minum arak. Sesungguhnya mereka itu ditipu oleh syaitan sahaja. Mereka sangka mereka dah capai kedudukan yang tinggi, tapi mereka tak sedar mereka itu ditipu sahaja. Ditipu oleh syaitan.

Manusia memang dijadikan untuk mati akhirnya. Bukanlah Allah tak boleh jadikan manusia hidup kekal. Tapi memang Dia hendak jadikan manusia itu akan mati. Itulah maksud فَانٍ itu.

Kalau manusia cipta barang, kita memang hendak barang itu tahan lama, kalau boleh tak rosak-rosak pun sampai bila – tapi walaupun kita hendak begitu, barang yang kita cipta itu tak kekal pun.

Memang niat Allah hendak menjadikan kita akan hancur akhirnya. Jadi, bukanlah nak kata Allah tak pandai merekacipta. Kalau Allah kehendaki, Allah boleh mencipta kita tanpa mati-mati. Tapi, memang Allah dah berniat untuk menjadikan manusia akhirnya akan mati akhirnya.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita semua akan mati. Tapi ada dalam diri kita yang tidak mati, iaitu roh kita. Apabila badan kita mati, dan hancur, roh kita akan keluar dan akan terus hidup.

Mereka yang tidak boleh menerima hakikat bahawa tubuh mereka akan hancur akhirnya, akan risau dan resah apabila badan mereka sudah lemah dan semakin sakit nak mati. Terutama sekali kepada mereka yang mementingkan kecantikan. Terutama sekali kepada perempuan yang mementingkan keindahan wajah dan tubuh mereka.

Juga hendak mengingatkan kepada makhluk yang menyembah dan seru selain Allah, yang mereka seru itu juga akan hancur juga akhirnya. Maka kenapa nak sembah dan seru kepada yang akan hancur?


 

Ayat 27: Kita akan hancur, tapi Allah akan kekal. Ini adalah ayat yang terpenting surah ini, termasuk di ayat akhir nanti. Ada rahsia di dalamnya. Inilah intipati surah ini.

وَيَبقىٰ وَجهُ رَبِّكَ ذُو الجَلٰلِ وَالإِكرامِ

Sahih International

And there will remain the Face of your Lord, Owner of Majesty and Honor.

Malay

Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan:

 

وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ

Dan tetap kekal Wajah Tuhanmu

Semua akan hancur kecuali ‘Dzat’ Allah sahaja. Apabila ditiup sangkakala, semua yang ada di bumi akan hancur. Allah akan bertanya: “Pada hari ini kerajaan ini milik siapa?”. Waktu itu tidak ada yang dapat menjawap kerana tidak ada yang hidup lagi.

Dzat atau Diri Allah disebut dalam ayat ini sebagai ‘Wajah Tuhanmu’. Ini adalah kerana seseorang itu dikenali dengan wajahnya. Apabila kita memperkenalkan seseorang, tentulah kita akan lihat dan ingat wajahnya. Dan bila kita bertemu lagi dengan dia, tentulah kita akan memastikan ianya adalah orang yang sama dengan melihat wajahnya.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah itu mempunyai ‘wajah’. Tidak perlu ditakwil lagi. Kerana Allah sendiri dah sebut ‘wajahNya’ dalam ayat ini. Dan begitu juga dengan ayat-ayat yang lain berkenaan dengan ‘tangan’, ‘kaki’ dan sebagainya. Allah juga mempunyai suara, penglihatan dan sebagainya. Cuma kita tidak tahu bagaimana rupanya. Kerana pasti Allah tidak sama dengan makhluk.

Memang terdapat satu perbalahan yang amat hebat tentang perkara ini. Sampaikan ada kafir mengkafir antara satu sama lain. Kita tidak mahu memperpanjangkan perkara ini di sini. Boleh dirujuk perbincangan ini di tempat lain. Tetapi cukuplah kita katakan di sini yang Allah mempunyai wajah dan segala bentuk tubuh yang disebutkan dalam Qur’an. Kita sebagai ahli Sunnah menerima seadanya apa yang telah disebut dalam ayat Qur’an.

Tapi tentulah wajah, tangan Allah tidak sama dengan wajah dan tangan manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Tidak pernah kita mengatakan yang sama macam makhluk. Kerana ada ayat yang lain yang mengatakan Allah tidak akan sama dengan makhluk.

Allah hendak menekankan yang Dia lah sahaja yang kekal. Maka kenapa nak sembah dan seru kepada selainnya? Itu semua adalah kerja bodoh sahaja. Maka hendaklah kita sembah dan berdoa kepada Allah sahaja.

 

ذُو الْجَلٰلِ

yang mempunyai keagungan

Kalimah الْجَلَالِ bermaksud ‘keagungan’, ‘kebesaran’, ‘kemuliaan’ yang layak dengan Allah. Oleh itu, sumber keagungan, kebesaran dan kemulian adalah dari Allah. Ada makhluk yang dikagumi kerana sifat-sifatnya, tapi semua sifat itu disebabkan dan diberi oleh Allah.

 

وَالْإِكْرَامِ

dan kemuliaan.

الْإِكْرَامِ bermaksud ‘kemuliaan’, ‘kelebihan’, ‘dermawan’. Makhluk boleh mendapat kemulian dan kelebihan di akhirat dengan cara memuliakan Allah semasa kita di dunia, dengan patut taat kepadaNya, mencintaiNya, berdoa hanya padaNya, beribadah hanya kepadaNya.

Dua nama sifat Allah ini dinamakan ‘ismul a’zam’. In sha Allah kalau berdoa dengan menggunakan dua nama sifat Allah ini, doa akan dimakbulkan.

Allah tidak memerlukan kita untuk memujaNya dengan keagungan dan kemuliaan. Kalau kita tidak ada pun, Allah masih agung dan mulia. Bandingkan dengan manusia – kita hanya akan jadi agung dan mulia kalau ada yang mengagung dan memuliakan kita. Seperti manusia mengagungkan pemimpin, ahli sukan, tentera yang telah berhidmat dan sebagainya. Maknanya, kena ada orang yang mengagungkan kita baru kita jadi agung dan terkenal. Kalau tidak ada orang yang sanjung kita, kita tidak bernilai apa-apa. Tapi sifat Allah tidak memerlukan ada makhluk yang puji Dia pun. Dia memang telah tetap dengan sifat keagungan dan kemuliaan. Bayangkan, dalam ayat sebelum ini disebutkan semua makhluk telah hancur, tapi Allah masih lagi dengan sifat keagungan dan kemuliaan. Allah tidak perlu pujian kita.

Tapi Allah suka kalau kita memuji dan memujaNya. Kalau kita berterima kasih kepadaNya, Allah akan tambah lagi nikmat itu. Maka yang perlu memuji itu adalah kita. Kita yang dapat laba dan habuan dari pujian kita itu. Bukan untuk Allah, tapi untuk kita sebenarnya. Ini menjawap persoalan: Kenapa Allah hendak kita memujiNya? Ini perlu disebutkan kerana ada manusia yang kononnya bertanya: kenapa Tuhan hendak sangat kita puji-puji Dia? Apakah Allah memerlukan pujian itu? mereka tanya lagi. Jadi, di sini kita menjawap: Allah tidak memerlukan pujian itu. Tapi kita yang perlu untuk puji Allah.

Apakah intipati surah ini? Allah itu Dzul Jalal wal Ikram. Kalau sesiapa yang mendustakan Allah, Dia akan berhadapan dengan Tuhan yang bersifat Jalal – sifat keras yang boleh menyebabkan manusia susah dan hancur. Kerana itu, apabila Allah tajalli DiriNya pada gunung, gunung itu hancur kerana tidak dapat bertahan. Dengan sifat Jalal inilah, Allah hukum manusia. Lihatlah bagaimana buat dosa sekejap sahaja di dunia, tapi kekal dalam neraka. Kalau lawan sifat Jalal ini, akan susah nanti di akhirat.

Tapi kalau membenarkan Sifat Allah, kita akan bertemu dengan sifat Allah yang Ikram. Allah akan beri balasan yang amat baik, dibalas dengan syurga dan segala nikmat yang tidak ada hujungnya. Balasan itu lebih lagi dari apa yang kita lakukan – buat amal sekejap sahaja di dunia, tapi kekal dalam syurga.

Oleh itu, jangan dustakan segala sifat-sifat Allah, kena beriman dengan segala SifatNya.


 

Ayat 28:

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Adakah kamu wahai manusia dan jin hendak menidakkan kekuasaan Allah yang kekal selama-lamanya? Kalau kamu ada sembah dan seru selain Allah, maka kamu menidakkan ayat ini.


 

Ayat 29: Dalil aqli bahawa semua hamba berhajat kepada Allah.

Seperti yang kita telah selalu sebut, orang Arab memang kenal Allah sebagai pencipta langit bumi dan pentadbir alam dalam perkara-perkara yang besar. Tapi apabila mereka berdoa, mereka bahagikan doa mereka. Perkara besar mereka minta kepada Allah tapi untuk perkara-parkara kecil, mereka minta kepada berhala dan malaikat, atau apa-apa sahaja wakil yang mereka jadikan. Kononnya entiti-entiti itu adalah wakil kepada Allah.

يَسئلُهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ كُلَّ يَومٍ هُوَ في شَأنٍ

Sahih International

Whoever is within the heavens and earth asks Him; every day He is bringing about a matter.

Malay

Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!

 

يَسْئلُهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

Semua makhluk yang ada di langit dan bumi sentiasa meminta kepada-Nya.

Semua makhluk di alam ini berhajat kepada Allah dalam segenap hal. Samada mereka sedari atau tidak, minta kepada Allah atau tidak, mereka tetap memerlukan Allah. Oleh itu, walaupun orang kafir tidak mengaku kewujudan Allah, mereka tetap memerlukan Allah. Dan apa sahaja hajat yang mereka ingini, mereka minta kepada Allah sebenarnya, samada mereka sedari atau tidak.

Kita semua kena minta segala hajat kita dengan Allah sahaja. Tidak layak kalau kita minta kepada selain dari Allah. Macam Hindu, mereka akan minta kepada dewa mereka. Kita pula ada yang minta kepada Nabi, malaikat dan sebagainya supaya menyampaikan hajat dan doa kita kepada Allah. Itulah yang dinamakan tawasul (perantaraan).

Ayat ini menjelaskan bahawa kita memerlukan Allah. Dalam setiap hal dan perkara. Kepada Muslim, mereka akan ‘meminta’ kepada Allah. Tapi bagaimana dengan orang kafir? Mereka kata mereka tak minta pun kepada Allah. Jawapannya adalah, perkataan يَسْأَلُهُ bukan sahaja bermaksud ‘meminta’, tapi juga bermaksud ‘bergantung’. Walaupun mereka tidak meminta kepada Allah, tapi mereka masih lagi bergantung dengan Allah. Walaupun mulut mereka tidak meminta kepada Allah, tapi tekak mereka yang dahaga meminta kepada Allah; jantung mereka meminta oxygen kepada Allah; setiap sel dalam tubuh mereka meminta kepada Allah. Sentiasa sahaja Allah memberi.

 

كُلَّ يَوْمٍ هُوَ فِي شَأْنٍ

Setiap waktu Dia dalam kesibukan.

Allah sentiasa dalam keadaan sibuk untuk memenuhi keperluan makhlukNya. Tidak pernah cuti lagi.

Ada dua jenis keperluan dari hamba: satu, keperluan yang makhluk itu minta kepada Allah. Tidak kira mereka itu manusia atau jin, samada beriman atau tidak, samada Islam atau kufur. Keperluan mereka yang mereka minta itu dimakbulkan oleh Allah. Kerana walaupun mereka engkar, tapi Allah akan beri juga permintaan mereka itu. Kalau bukan Allah yang beri, siapa lagi?

Kedua, ada perkara yang makhluk tak minta, tapi Allah akan beri juga. Sebagai contoh, oksigen, angin, makanan dan sebagainya. Walaupun makhluk tak minta, tapi kerana kelangsungan hidup itu memerlukan perkara-perkara itu, maka Allah juga yang beri kepada mereka.

Perkataan شَأْنٍ membawa sesuatu yang kalau kita tidak buat, tidak ada orang lain yang akan buat. Macam seorang ibu yang menyusukan anaknya. Tidaklah ayahnya boleh menyusukan anaknya – sebab ayah tidak mempunyai susu. Itulah شَأْنٍ seorang ibu. Begitulah Allah sentiasa dalam sifat memberi kepada makhlukNya.

Dalam urusan mengurus alam ini dan kehendak makhluk, Allah tidak pernah berhenti lagi. Maknanya Allah sentiasa mengurus dan mentadbir. Makhluk pun ada juga mengurus tapi makhluk tidaklah sentiasa mengurus kerana ada waktu makan dan rehat. Ini adalah kerana makhluk bila dah buat kerja, dia akan penat. Tapi ini tidak ada berlaku pada Allah.

Allah uruskan segala perkara, baik dari segi keduniaan atau keagamaan. Kalau dari segi kedunian, kita pun sudah tahu seperti Allah menguruskan malam dan siang, rezeki dan sebagainya. Dan dari segi keagamaan, Allah juga yang bagi taufik dan menyesatkan hamba. Maknanya, semua Allah yang uruskan. Tidak ada yang Allah tidak uruskan.

Timbul pula persoalan di kepala orang yang panjang sangat memikir: “Jadi, Allah sibuk juga?” Jadi, Allah tidak sempat tengok perkara lain lah? Adakah begitu? Kita beri satu perumpamaan. Kita beri kerja untuk anak murid kita dalam kelas untuk buat tugasan. Dalam masa yang sama, kita buat kerja memeriksa tugasan lain. Walaupun kita sedang buat kerja lain, tapi dalam masa yang sama, tentu kita juga dalam masa yang sama boleh lihat anak-anak murid kita buat kerja mereka, bukan?


 

Ayat 30: Allah telah banyak memberi kepada kita, masih lagi kita tidak mensyukuriNya?

فَبِأَيِّ ءآلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara kehebatan Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?

Kalau ada manusia yang meminta kepada selain Allah, maka mereka telah menidakkan sifat-sifat kesempurnaan Allah. Ada orang Islam yang pergi ke kubur wali dan mereka kata mereka dapat itu dan ini; ada yang doa dengan menggunakan wasilah roh Nabi, wali dan malaikat dan mereka kata mereka dapat itu dan ini. Ini adalah contoh sifat-sifat syirik yang ada dalam diri manusia yang jahil tauhid dan jahil tentang syirik. Mereka tidak sedar yang mereka telah melakukan syirik sebenarnya. Inni adalah kerana mereka itu jauh dari wahyu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 Disember 2017


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Shaikh Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 055: Rahman. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s