Tafsir Surah ar-Rahman Ayat 1 – 18

Pengenalan:
Ini adalah salah satu surah yang popular. Ianya adalah surah Makkiah – diturunkan di Mekah. Ada juga yang mengatakan ianya adalah surah Madinah. Tapi kalau dilihat dari subjek yang disampaikan dalam surah ini, ianya lebih sesuai sebagai Surah Makkiah. Diturunkan di hujung-hujung waktu Makkah. Surah ini selalu dibaca oleh imam-imam di masjid dan surau. Surah ini mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Jadi, elok kalau baca surah ini apabila kita baru dapat nikmat dari Allah.

Surah ini ditujukan kepada semua manusia, bukan kepada orang Islam sahaja. Macam press release kepada semua orang. Oleh itu, sebagai orang Islam, ianya adalah tugas kita untuk menyampaikannya kepada orang kafir yang tak baca Quran. Atau orang Islam, tapi tak baca Quran.

Surah ini diturunkan setelah berlalu sekian lama Nabi Muhammad menyampaikan dakwahnya. Bertahun-tahun Nabi dah dakwah kepada umatnya, bangsa Arab. Ada ayat yang diulang-ulang dalam surah ini. Kenapa ayat itu diulang-ulang? Pertama, ini untuk menekankan sesuatu perkara. Banyak cara penekanan digunakan dalam Quran untuk menekankan sesuatu dan salah satunya dengan mengulang-ulang ayat. Keduanya, kerana mereka degil sangat, dah lama dakwah tak dengar juga, maka kena ulang-ulang berkali-kali.

Surah ini juga menunjukkan cara penyampaian Quran yang efektif. Penyampaian yang efektif kena ada tiga elemen:

1. Isikandung. Hendaklah mempunyai mesej yang bermakna. Apabila mesej yang hendak disampaikan penting, pendengar akan mendengar dengan teliti. Kalau kita hendak menyampaikan maklumat yang tidak penting, tentulah pendengar akan rasa kita buang masa mereka dan mereka pun tak mahu nak dengar. Ayat-ayat dalam Quran tentunya mempunyai mesej yang amat penting.
2. Cara penyampaian. Kalau kita ada isikandung yang bagus, tapi cara kita menyampaikannya salah atau tidak tepat, ianya tidak efektif. Kadang-kadang kalau kita silap cakap, orang lagi marah dengan kita. Oleh itu, bahasa yang digunakan oleh Quran adalah amat tepat sekali. Indah sekali bahasa yang digunakan. Kadang-kadang Quran menegur dengan kiasan sahaja.
3. Penyampaian itu hendaklah sesuai dengan penerima. Kita mengubah cara percakapan kita mengikut pendengar kita. Tidak sama kalau kita bercakap dengan seorang kanak-kanak dan orang dewasa. Lain cara bercakap dengan orang yang pandai dan orang yang tidak tahu. Walaupun mesej yang hendak disampaikan adalah sama sahaja, tapi cara penyampaian berlainan. Quran menyampaikan mesej yang sama tapi penerima berbeza-beza. Ada yang mahu beriman, ada yang tidak mahu beriman. Oleh itu, kita boleh lihat bagaimana ada perbezaan apabila kita lihat surah Makkiah dan surah yang diturunkan di Madinah. Cara penyampaian tidak sama. Semasa di Mekah, banyak yang menentang agama Islam. Semasa surah Rahman ini diturunkan, ianya ditujukan kepada orang-orang Mekah yang tidak mahu menerima Islam dan mereka menentang Islam.

Mereka tidak suka dengan perkembangan Islam yang semakin meningkat. Berbagai cara mereka lakukan untuk menghalang masyarakat dari masuk Islam, tapi tidak berjaya. Semakin hari semakin ramai masyarakat Arab masuk Islam. Semakin banyak mereka menghalang, semakin ramai yang lembut hati untuk masuk Islam. Jadi, mereka mula minta kepada Nabi macam-macam benda mengarut seperti meminta Nabi turunkan malaikat, mereka minta mukjizat yang macam-macam dan sebagainya. Mereka juga minta orang mati dihidupkan. Kononnya, mereka nak tengok dengan mata mereka sendiri baru mereka nak beriman. Tapi Quran tidak melayan permintaan mereka. Sepatutnya ayat-ayat Quran itu sudah cukup untuk menunjukkan kebenaran Islam itu. Lihatlah bagaimana dalam Quran telah diceritakan bagaimana Allah telah berkali-kali menunjukkan mukjizat kepada umat Nabi-nabi dahulu. Unta Nabi Saleh, Nabi Isa yang bercakap dari bayi lagi, Bani Israil yang melepasi laut yang dibelahkan, tapi adakah mereka beriman? Tidak juga mereka beriman. Jadi, buat apa nak tunjuk lagi perkara-perkara yang boleh dilihat dengan mata?

Kali terakhir mukjizat yang boleh dilihat dengan mata adalah semasa umat Nabi Isa meminta makanan dari langit. Ini adalah kerana pengikutnya nak juga tengok makanan diturunkan dari langit. Inilah gambar ‘The Last Supper’ yang kita selalu tengok yang dilukis oleh Leonardo da Vinci itu. Setelah mereka meminta makanan dari langit, Allah berfirman yang Dia akan menurunkan makanan itu. Allah boleh sahaja buat apa yang Dia hendak dan apa yang manusia minta. Maka, Allah kata, Dia boleh bagi apa yang mereka minta itu. Tapi selepas itu, kalau ada yang tidak beriman juga, Allah akan mengazab mereka dengan azab yang paling teruk. Kerana kalau Allah dah tunjuk seperti diminta, tapi masih lagi tidak beriman, tentulah lagi teruk dari orang yang tidak melihat dengan mata sendiri. Allah marah sangat sampai Allah katakan yang Allah akan berikan azab yang tidak pernah diberikan kepada orang lain. Kerana itulah walaupun umat Arab meminta ditunjukkan mukjizat yang mereka boleh lihat dengan mata mereka, Allah tidak turunkan.

Kalau kita berurusan dengan orang yang degil, kita tidak boleh sekali sahaja nasihat mereka. Macam juga kalau kita bercakap dengan anak kita. Berkali-kali kena cakap, itu pun belum tentu mereka dengar lagi. Dah berkali cakap pun tapi masih mereka tak dengar. Begitu juga dengan kafir Mekah yang masih lagi berdegil tidak mahu beriman dengan ayat-ayat Quran. Itulah sebabnya ada ayat yang berulang-ulang dalam Surah ar-Rahman ini. Ada satu ayat yang berulang-ulang sampai 31 kali dalam surah ini.

Allah memberitahu bahawa Dia juga adalah ‘pengajar’. Mengajar bukanlah satu perbuatan yang mudah. Tidak sama dengan hanya bercakap sahaja. Bercakap sahaja memang senang. Sebab itu kita tengok dalam dunia, ramai yang pandai cakap sahaja. Tapi, apabila kena mengajar, amat sukar. Mengajar itu adalah susah kerana kita pun tahu bahawa manusia susah nak faham pembelajaran yang disampaikan. Jadi, sebelum kita mengajar, seseorang guru selalunya akan bersedia untuk mengajar. Malam sebelumnya dia telah siapkan point-point yang dia hendak sampaikan, dia berlatih macam mana nak sampaikan kepada anak murid dia, dia bayangkan suasana kelas macam mana, dan sebagainya. Kalau anda seorang guru, tentu anda lebih faham lagi. Tapi, kadang-kadang selepas kita buat persediaan pun, masih ada lagi yang tidak faham. Maka, kita akan ubah cara pengajaran kita. Kita cuba untuk mudahkan. Kita akan pecahkan pembelajaran satu persatu.

Kadang-kadang ada yang faham tapi seorang dua tak faham lagi. Maka, kita akan beri tumpuan kepadanya sahaja. Kalau dia masih tak faham lagi, kita akan ajak dia datang jumpa kita selepas kelas dan kita akan ajar dia seorang sahaja. Tapi ada juga yang tak faham. Dalam keadaan macam itu, kesabaran guru itu diuji berkali-kali. Sudah berkali-kali diberi pengajaran dan macam-macam cara telah diberikan. Orang lain dah faham, tapi dia seorang tak faham-faham lagi. Apakah yang disalahkan dalam hal ini? Adakah kurikulum, guru atau pelajar itu? Tentulah tidak ada yang bermasalah, kecuali pelajar itu sendiri.

Mari kita lihat surah Rahman ini dan bandingkan dengan contoh pelajar yang kita berikan di atas. Allah telah memberi pengajaran yang terbaik sekali iaitu Quran. Tidak ada yang pengajaran yang lebih baik dari Quran. Allah adalah guru yang sebenarnya, tapi Allah lantik Nabi Muhammad untuk menyampaikan kurikulum ini – maka, guru yang sebenar adalah Allah – tentulah itu sudah guru yang paling baik sekali. Jadi, tidak ada sebab sebenarnya untuk manusia tidak faham lagi kerana mesej sudah hebat, guru pun hebat juga.

Ramai masyarakat Mekah tidak mahu menerima dakwah Nabi Muhammad. Baginda pun risau apabila manusia tidak menerima dakwahnya – baginda menyalahkan dirinya apabila manusia tidak mahu beriman. Sebab Nabi seorang yang bertanggungjawab. Baginda takut kalau-kalau baginda yang tidak pandai mengajar. Tapi Allah kata tidak ada salah pada baginda. Oleh itu, tentu yang ada masalah adalah penerima ajaran itu atau pelajar itu sendiri. Sudah bertahun-tahun baginda berdakwah kepada mereka, dan mesej yang disampaikan boleh dikatakan sama sahaja – tapi berkali-kali disampaikan dengan berbagai-bagai cara. Senang sahaja untuk difahami apa yang hendak disampaikan – bukan memerlukan seseorang yang ada PHD baru faham pun. Yang kata Quran ini susah adalah kerana mereka tak belajar sahaja. Atau mereka telah diberitahu oleh guru-guru yang sesat bahawa Quran itu susah, jadi tak payah cuba nak faham. Hasilnya, manusia jahil dengan Quran. Tidak, Quran itu tidak begitu. Banyak ayat Quran yang menyatakan bahawa ‘Quran itu dimudahkan’.

Jadi, tidak boleh dijadikan alasan yang ianya susah untuk difahami. Mereka sahaja yang keras hati untuk terima. Jadi, kalau telah berkali-kali diajar, tapi tak mahu terima juga, apakah guru sepatutnya buat? Tentulah guru itu tinggalkan pelajar itu, hukum pelajar itu dan sebagainya. Maka, salahkah kalau Allah beri azab kepada mereka?


 

Ayat 1:

الرَّحْمَٰنُ

(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.

Ayat ini ada satu perkataan sahaja. Begitu hebat sekali. Allah buat begini kerana hendak kita memikirkan dan tadabbur pada makna ayat ini. Banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil. Setiap ketika dan masa ada sahaja rahmah yang Allah berikan kepada kita. Apabila kita membaca satu ayat ini, bayangkan apakah rahmah yang Allah sedang beri kepada kita sekarang, hari ini, semalam, minggu ini, minggu lepas dan sebagainya. Tidak terkira banyaknya. Ada yang kita perasan dan ada yang kita tidak perasan pun. Tidak akan habis kalau kita nak kira.

Dialah Tuhan yang bersifat Rahman. Dalam Quran, ada dua nama yang selalu digunakan, samada Allah atau ar-Rahman.

Selalunya, ada dua nama yang digunakan: ar-Rahman dan ar-Rahim. Tapi dalam ayat ini, hanya ada ar-Rahman. Rahman bermaksud sangat-sangat pemurah. Ia juga bermaksud present tense, bermaksud Allah sedang melakukan pekerjaan ‘pemurah’ itu. Kerana kalau kita seseorang itu seorang yang suka memberi sedekah, tidak semestinya dia sedang memberi sedekah waktu itu. Tapi ar-Rahman bermaksud, Allah sedang bersifat Rahmah semasa kita menyebut namaNya itu.

Allah menyebut salah satu sifatNya dalam ayat ini. Asal perkataan ar-rahman itu dari perkataan ‘rahmah’. Kalau kita lihat, tempat kita semasa dalam perut ibu kita pun dipanggil rahim. Ada banyak makna rahmah itu. Antaranya: sayang, kasihan, cinta, kelembutan, kemaafan. Ia juga mengandungi makna keselamatan. Ianya mempunyai makna seseorang itu diberikan segalanya itu tanpa dia melakukan apa-apa. Tanpa ada usaha apa-apa, tapi diberikan kepada mereka. Kalau kita buat kerja, memang kita layak dapat upah. Tapi itu apabila kita ada buat kerja. Dalam hal rahmah ini, tanpa buat apa-apa pun, Allah berikan kepada kita. Bayangkan semasa kita lemah dalam perut ibu kita, Allah berikan keselamatan kepada kita dalam rahim ibu kita. Dan kemudian kita dilahirkan, dalam keadaan amat lemah. Tapi Allah berikan segala keperluan yang kita perlukan untuk meneruskan hidup. Apakah yang kita telah buat untuk melayakkan kita dapat segala perhatian dari Allah itu? – Tidak apa-apa. Tidak ada amalan ibadah apa lagi pun yang kita lakukan. Kita pun memang tak boleh buat apa-apa kerana masih bayi lagi. Tapi lihatlah berapa banyak rahmat yang Allah berikan kepada kita.

Sifat rahmah bermaksud ‘penjagaan’. Selalunya ditafsirkan sebagai mercy/kasihan. Mungkin tidak berapa sesuai kalau itu sahaja makna yang kita faham. Kerana kalau kita hanya mengambil maksud ‘kasihan’, itu hanya bermaksud Allah tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang itu. Macam tentera tawan tawanan perang dan kerana ‘kasihan’, dia tidak membunuh orang itu. Jadi, kalau itu sahaja maksud ‘rahmah’, itu baru bermaksud ‘tidak ada perkara buruk’ sahaja. Itu adalah satu tafsir yang terhad, tidak seperti yang sepatutnya. Tapi maksud الرَّحْمَٰنُ lebih lagi dari itu. Nama sifat ini merujuk kepada sifat yang ‘menjaga segala keperluan makhluk’. Kita semua memerlukan rahmat Allah untuk hidup dalam dunia ini. Dari dalam perut, sampai kita mati. Macam bayi dalam perut memerlukan rahmah dari Allah. Allah beri penjagaan kepada bayi itu kerana bayi itu tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Nak minta tolong pun tak boleh. Maka, tanpa minta tolong pun Allah telah berikan segala kemudahan kepada bayi itu. Itulah setakat yang kita mampu jelaskan tentang maksud rahmah itu. Kita tentu tidak akan dapat memahami keseluruhan maksud nama الرَّحْمَٰنُ ini kerana kecetekan ilmu kita dan kerana kekurangan akal kita sebagai seorang manusia.

Itulah pemberian Allah dalam bahagian pertama surah ini – Allah beri kita Quran, kebolehan bercakap, alam yang begini luas dan sebagainya lagi – semua itu tanpa ada apa-apa usaha amal dari kita.

Selain dari diberikan pemberian tanpa apa-apa usaha, ada juga pemberian yang diberikan kepada makhluk atas usaha amal mereka. Ini disebut dalam bahagian kedua surah ini – Allah berikan syurga, segala apa yang ada di dalamnya, dengan bidadari dan sebagainya – ini adalah jenis pemberian yang Allah berikan atas usaha baik yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Mereka layak mendapat segala pemberian itu. Jadi, ada dua jenis pemberian yang Allah berikan kepada kita – yang diberikan walaupun kita tidak ada apa-apa usaha dan satu lagi yang diberikan kepada kita atas amal kebaikan kita semasa di dunia.

Allah memulakan surah ini dengan memperkenalkan sifatNya ar-Rahman, kerana dalam surah ini akan disebut berkali-kali pemberian yang diberikan kepada makhluk. Kemudian Allah akan tanya balik – manakah nikmat Allah yang kamu tidak mengaku.


 

Ayat 2: Allah menyenaraikan rahmah-rahmahNya yang diberikan kepada kita. Susunan rahmah itu mengikut kepentingan sesuatu perkara itu. Maka, Allah mulakah dengan menyebut tentang Quran kerana itu adalah perkara yang paling penting sekali.

عَلَّمَ الْقُرْآنَ

Dialah yang mengajarkan Al-Quran.

Ini bermakna Allah sendiri yang mengajar Quran kepada kita, bukan orang lain. Guru atau ustaz yang mengajar itu hanya menyampaikan sahaja. Tapi yang memberi pemahaman adalah Allah sendiri. Kita belajar tafsir Quran dari guru kita, guru kita belajar dari guru, dari gurunya, sampai kepada sahabat, sampai kepada Nabi, yang belajar dengan Jibrail yang mendapatnya dari Allah juga. Akhirnya, pemahaman itu dari Allah juga. Kalau Allah tak beri, kita pun tidak dapat.

Kadang-kadang, pengajaran yang diberikan sama, tapi pemahaman anak murid tidak sama. Dua orang murid duduk dalam kelas yang sama, melalui pembelajaran yang sama, tapi apabila mereka periksa pemahaman mereka, tidak sama pemahaman mereka. Ini menunjukkan pemahaman itu diberikan oleh Allah. Ini menunjukkan Allahlah sebenarnya guru yang mengajar.

Allah kata Allah ‘mengajar’ Quran kepada kita, bukannya hanya ‘menurunkan’ sahaja. Allah mengajar kita dengan sifatNya yang Maha Pemurah.

Ayat ini adalah jumlah ismiah – iaitu disebut ism dahulu. Dua ayat pertama ini adalah satu perkataan yang lengkap sebenarnya: Ayat yang lengkap berbunyi begini: “Allahlah yang mengajar Quran itu”. الرَّحْمَٰنُ adalah mubtada’ dan عَلَّمَ الْقُرْآنَ adalah khabar. [Ini adalah bermanfaat kepada mereka yang ada sedikit ilmu nahu bahasa Arab]. Gunanya adalah menekankan kepada ‘pelaku’ – mengingatkan kita bahawa Allahlah sebenarnya yang mengajar Quran itu walaupun zahirnya kita nampak guru kita yang mengajar Quran dan tafsir kepada kita. Kita kena ingat bahawa pada hakikatnya Allahlah yang mengajar.

Kalau dalam dunia akademik, kita selalunya berbangga dengan guru yang mengajar kita. Kita beritahu orang bahawa syeikh itu, syeikh ini yang mengajar kita. Sekarang lihatlah, Allah yang mengajar kita sebenarnya. Kita boleh berbangga dengan mengatakan bahawa Allah lah yang mengajar Quran kepada kita. Guru kita adalah Allah sendiri.

Digunakan nama Allah الرَّحْمَٰنُ dalam ayat ini. Ada makna tertentu kenapa digunakan nama ini. Nama Tuhan yang selalu kita pakai adalah Allah, tapi tidak digunakan nama itu dalam ayat ini. Kalau digunakan nama ‘Allah’, ianya merangkumi seluruh sifat Allah. Tapi apabila digunakan namaNya ar-Rahman, ia memberi penekanan kepada sifat Rahmah Allah.

Atas sifat rahmah Allah itulah, Allah mengajarkan Quran kepada manusia. Ianya diturunkan kepada manusia sebagai penjagaan kita, kerana Allah sayang kepada kita. Allah hendak kita selamat. Bukan hanya nak menceritakan tentang halal haram dan mengajar hukum untuk manusia sahaja. Apabila kita tidak faham perkara ini, maka kita akan melihat Allah dan Quran itu sebagai sesuatu yang garang, yang hendak menentukan bagaimana kita hidup sahaja. Sikit-sikit nak hukum, sikit-sikit cerita pasal neraka sahaja – macam nak masukkan manusia dalam neraka dan beri azab sahaja. Kita jangan cetekkan pemahaman kita tentang Quran tapi hendaklah kita tahu bahawa apa yang Allah ajar dalam Quran itu adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Tapi adalah sesuatu yang menyedihkan kerana manusia tidak nampak rahmah yang ada dalam Quran itu. Golongan orientalis sentiasa sahaja mencari masalah yang ada dalam Quran. Mereka mengatakan Quran itu adalah satu buku yang amat teruk sekali, yang menyuruh pengikutnya membunuh orang lain, menindas perempuan, menyembabkan masyarakat Islam mundur tidak maju dan sebagainya. Inilah retorik yang sering kita hadapi. Sampaikan zaman ini ada masyarakat barat yang menjalankan majlis membakar Quran pun ada.

Kalau ianya datang dari orang Kafir, kita masih faham lagi. Tapi kalau ianya datang dari orang Islam sendiri, bagaimana? Tentulah lagi sedih.

Dalam surah ini, akan disebutkan berbagai-bagai rahmat yang Allah berikan kepada kita. Tapi rahmat yang pertama sekali disebut adalah Quran. Selalunya yang pertama disebut, itulah yang terpenting. Oleh itu, dari sini kita boleh tahu bahawa Quranlah rahmat Allah yang paling hebat sekali.

عَلَّمَ bermaksud ‘mengajar’. Dalam bahasa Arab, sesuatu ayat yang lengkap memerlukan ‘subjek’ dan ‘predikat’. Macam kalau kita kata: ‘Ahmad pukul’, kita mesti tertanya-tanya, siapa yang Ahmad pukul? Kita akan tertanya-tanya kerana ayat itu tergantung. Tidak ada subjek kepada ayat itu. Dalam ayat ini, adalah jenis ayat yang tergantung juga. Kerana disebut tentang ‘mengajar’ – Allah yang mengajar, dan disebut apa yang ‘diajar’ – iaitu Quran – tapi tidak disebut kepada siapakah ianya diajar. Banyak jenis ayat sebegini yang terdapat dalam Quran. Apabila objek tidak disebut, ini bermakna ianya dibiarkan terbuka. Supaya ia mempunyai makna yang luas. Banyak elemen boleh dijadikan sebagai objek. Sebagai contoh, Allah mengajar Quran kepada Nabi Muhammad, kepada manusia, orang lelaki, perempuan, yang dah lama masuk Islam, yang baru masuk Islam, termasuk orang bukan Islam dan lain-lain lagi. Semuanya boleh ambil pengajaran dari Quran itu.

Perkataan عَلَّمَ bukan sahaja bermaksud ‘mengajar’ sahaja, tapi mengajar dalam masa yang lama. Mengambil masa untuk belajar. Bukan mengajar sekali harung sahaja. Bukan setakat memberitahu sahaja – kalau memberitahu sahaja, perkataan a’lama yang digunakan. Tapi meluangkan masa untuk mengajar. Inilah rahmah dari Allah – Allah meluangkan masa untuk mengajar Quran kepada kita. Inilah yang ditekankan dalam ayat ini. Maknanya, Allah bukan sahaja memberikan Quran kepada kita, tapi Allah juga mengajar kepada kita. Oleh itu, apa yang kita boleh ambil pengajaran dari sini? Kita juga kenalah meluangkan masa untuk belajar Quran itu. Bukanlah nak habiskan cepat-cepat sahaja. Bukan hendak habiskan 30 juzuk tafsir, kita belajar cepat-cepat sampai kita tidak mementingkan pemahaman lagi. Itu tidak betul. Kita kena pentingkan kefahaman daripada hendak menghabiskan belajar sahaja. Apa guna kalau kita dah habis belajar, tapi kita tidak faham? Adakah kita hendak jaja kepada orang lain yang kita sudah belajar tafsir Quran 30 juzuk? Kenapa kita nak jaja? Adakah kerana kita hendakkan pujian dari orang ramai?

Ada ulama yang mengatakan bahawa pembelajaran tafsir Quran itu ada tiga lapis. Lapis pertama adalah secara ringkas untuk semua ayat. Kemudian lapis kedua, kita mendalami pemahaman tafsir ayat-ayat Quran itu. Kemudian lapis ketiga belajar dengan lebih mendalam lagi.

Perkataan الْقُرْآنَ juga ada makna yang kita kena faham. Ianya dalam bentuk sighah mubalaghah – hyperbolize form – dalam bentuk yang kuat. Quran adalah satu kitab yang dibaca berkali-kali dengan banyak sekali. Itulah yang kita boleh faham dengan penambahan huruf ن dalam perkataan الْقُرْآنَ itu. Oleh itu, ini mengajar kepada kita bahawa memang Quran itu perlu dibaca banyak kali. Diulang-ulang baca setiap hari. Inilah yang perlu dilakukan oleh orang Islam. Tidak ada alasan untuk tidak membaca Quran. Pentingnya membaca Quran sampaikan Allah telah wajibkan kita untuk membaca Quran dalam solat kita. Itulah waktu yang yang wajib untuk kita membaca Quran, sekurang-kurangnya.

Apakah yang Allah ajar?:
1. Membaca – membaca dalam bentuk general. Ini boleh jadi tulisan mana-mana sahaja. Kalau Allah tak beri kelebihan ini kepada kita, kita langsung tak dapat baca apa-apa pun.
2. Membaca Quran – iaitu kitab yang mengandungi kalamNya ini yang sedang pelajar ini.

Kalau kita ambil pemahaman dari kedua-duanya, maka kita boleh ambil kesimpulan bahawa kita belum lagi membaca dengan sebenarnya, selagi kita tidak membaca Quran. Quranlah pembacaan yang paling penting sekali. Ianya adalah satu kitab yang selayaknya kita baca berkali-kali dan belajar tanpa henti. Hikmah yang ada di dalamnya tidak akan habis untuk kita pelajari. Bayangkan ada orang yang meluangkan masa berpuluh-puluh tahun mempelajari Quran tapi masih lagi mereka meneruskan pembelajaran. Tidak habis ilmu untuk dikaut dari ayat-ayat Allah.


 

Ayat 3:

خَلَقَ الْإِنسَانَ

Dialah yang telah menciptakan manusia; –

Allahlah yang menciptakan insan dari tidak ada kepada ada. Mubtada’ dalam ayat ini masih lagi sifat Allah ‘ar-Rahman’. Jadi, ini bermaksud, Allah menjadikan kita pun adalah salah satu dari sifat ar-Rahman juga. Ada yang hairan dan bertanya kenapalah mereka dijadikan. Kerana ada yang hidup dengan cacat, banyak masalah dan sebagainya. Mereka akan bertanya: “kenapalah aku diciptakan kalau nasib aku begini?”. Ini adalah kata-kata seorang yang tidak beriman. Mereka tidak dapat melihat apakah kebaikan dari kejadian mereka. Mereka tidak nampak bahawa kejadian mereka itu dijadikan dari sifat rahman Allah. Kadang-kadang memang akal kita yang terhad ini tidak dapat memahami. Hanya dengan iman kepada Allah sahaja yang boleh membuatkan kita menyerahkan urusan itu kepada Allah.

Kenapa Allah sebut Quran dahulu, kemudian sekarang baru disebut kejadian insan? Sepatutnya, kalau ikut susunan yang logik kepada kita, tentulah sepatutnya disebut dijadikan manusia dahulu, kemudian baru disebut kepada mereka itu diberikan Quran, bukan? Tapi, Allah tak susun begitu. Jadi, untuk memahamkan kenapa susunan itu begitu, kena ada penjelasan sedikit. Ini bukan susunan kronologikal tapi susunan dalam bentuk kepentingan. Allah susun ikut kedudukan kepentingan.

Mari kita buat perumpamaan untuk memudahkan kita memahaminya. Kalau kita nak buat masjid atau bangunan lain, adakah kita terus bina masjid itu atau kita akan buat plan arkitek dulu? Tentulah kita akan ada plan lengkap bagaimana rupa masjid itu dan apakah yang akan diletakkan. Begitulah juga dengan insan. Apakah plan yang perlu diikut oleh insan? Itulah Quran. Quran itu adalah panduan hidup kepada insan. Quran mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan dalam alam ini. Bolehkah kita bayangkan bagaimana kehidupan manusia tanpa Quran? Oleh itu, dari sini kita nampak kenapakah susunan itu disebut Quran dulu barulah insan dijadikan.

Begitu juga, kalau sesuatu benda dijadikan manusia, mereka akan keluarkan manual dulu. Kerana Allah yang menjadikan kita, tentulah Allah tahu serba serbi tentang kita. Maka, Allah tahu apakah yang kita perlukan dan sesuai untuk kita. Itulah Quran yang dijadikan sebagai pedoman hidup kita. Orang yang tidak mempelajari Quran bermakna dia tidak mendapat pedoman hidup. Dia akan hidup dalam tungang langgang. Dia akan langgar sahaja peraturan hidup yang sepatutnya dia ikut.

Kata الْإِنسَانَ diambil dari kata dasar انس yang bermaksud ‘kasih sayang’. Manusia ada kelebihan ini. Allah menjadikan manusia yang seperti ini. Manusia boleh memberi sayang dan memerlukan sayang juga. Binatang tidak ada keperluan ini. Mereka hidup macam itu sahaja. Quran juga ada mengajar manusia tentang sifat ini kepada manusia. Kerana Quran itu bukan sahaja kitab tentang hukum halal dan haram sahaja tapi juga mengandungi ajaran bagaimana berurusan dengan manusia. Hendaklah kita bersemangat untuk belajar tafsir Quran ini. Mereka yang tidak mahu belajar adalah kerana mereka tidak tahu apakah Quran itu lagi.

Satu lagi pendapat mengatakan bahawa kata dasar الْإِنسَانَ itu adalah dari perkataan nasiya – lupa. Memang tidak dinafikan manusia itu memang mudah lupa. Maka sebab itulah kita amat memerlukan peringatan sentiasa. Maka itulah sebabnya Quran itu adalah peringatan kepada kita. Sampaikan salah satu nama bagi Quran itu adalah الذكرى – peringatan. Begitulah rahmah Allah kepada kita semua. Allah tidak biarkan kita begitu sahaja tanpa panduan dan ingatan. Sebab itulah banyak ayat Quran diulang-ulang perkara yang sama. Kerana kita selalu lupa tanggungjawab kita. Maka Allah ingatkan kita. Bukan kita tak tahu, tapi kita lupa. Kita memang memerlukan peringatan itu. Macam kita suruh anak kita ulangkaji, bukan dia tidak tahu dia kena ulangkaji. Cuma selalu lupa sahaja. Maka, kita kena ingatkan berkali-kali.

Allah mengatakan manusia itu pelupa. Tapi apakah yang kita lupa? Kita lupa tentang Allah. Itulah yang disebut dalam ayat pertama dalam surah ini. Kita lupa siapakah ar-Rahman itu. Padahal kita sudah kenal Allah dari sebelum kita diturunkan ke alam dunia lagi, seperti yang disebut dalam A’raf:172:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Malangnya, apabila manusia masuk ke alam dunia, kita sudah lupa siapakah Allah itu. Maka, itulah sebabnya Quran mengingatkan kita kembali tentang Allah. Apabila seseorang itu lupa, peringatanlah perkara yang paling penting kepada orang itu.


 

Ayat 4:

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ

Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.

Untuk membolehkan manusia memahami Quran yang disampaikan, Allah telah memberikan manusia kebolehan berkata-kata dan memahami konsep yang kompleks. Inilah yang dikatakan diajar kepada Nabi Adam a.s. apabila baginda diajar ‘asma’.

Sekali lagi Allah menggunakan kata ‘mengajar’ dalam ayat ini. Kali ini Allah telah khususkan bahawa yang diajar adalah ‘manusia’ dalam ayat ini. Ini adalah kerana masdar ‘hu’ dalam perkataan عَلَّمَهُ  itu merujuk kepada manusia, seperti yang telah digunakan dalam ayat sebelumnya.

Tapi dalam mengajar Quran, Allah tak sebut ‘siapa yang diajar’. Tapi dalam mengajar berkata-kata, Allah cakap ajar kepada ‘manusia’. Tidak disebut yang Quran ini diajar kepada manusia, atau kepada nabi, atau kepada Jibrail dan sebagainya. Ini adalah kerana Quran itu bersifat universal. Pengajaran Quran itu bersifat menyeluruh. Pengajaran Quran boleh dimanfaatkan oleh banyak jenis makhluk. Itulah salah satu lagi dari rahmah Allah. Ia terbuka kepada semua sekali. Sesiapa sahaja yang Allah mahu, Allah akan beri.

Tapi tidak semua makhluk diberikan dengan kebolehan berkata-kata. Allah beri kita kebolehan berkata-kata dan faham perkataan ini adalah supaya kita boleh belajar Quran.

Kalau Allah sendiri dah kata yang Dia sendiri yang ajar Quran itu, tapi kita buat tak kisah sahaja, dengan tidak ada usaha nak belajar, itu menunjukkan yang kita sombong. Kalaulah ada orang yang beri kita hadiah yang mahal, tapi di depannya sahaja kita sudah buat tak endah sahaja, itu adalah jenis yang kurang ajar bukan? Orang yang tidak menghargai, bukan? Maksudnya kita tidak menghargai orang yang memberi itu, bukan? Bermakna, kita yang tidak belajar Quran ini sebenarnya tidak menghargai Allah sendiri. Kita boleh kata kita sayang Quran, tapi bukti kita sayang adalah kita mempelajarinya.

Semua makhluk ada ‘kalam’- boleh bercakap dalam bahasa mereka, tapi tidak semua ada ‘bayan’. Apa bezanya? Perkataan الْبَيَانَ diambil dari perkataan بين yang bermakna ‘membezakan antara dua perkara’. Iaitu boleh mengasingkan dari satu idea ke satu idea, dari syllable ke syllable, paragraph, chapter, buku dan sebagainya. Kita belajar dengan memisahkan satu perkara dengan perkara yang lain. Bandingkan antara A dan B supaya lebih faham. Pecahkan sesuatu perkara yang kompleks kepada bahagian-bahagian yang asas dan kemudian fahamkan yang asas itu satu persatu. Inilah kelebihan yang diberikan kepada manusia yang tidak diberikan kepada makhluk lain. Manusia diberikan kelebihan berkomunikasi sebegini. Sebab itulah kita boleh menulis buku, thesis, computer code programming dan sebagainya. Tak semua makhluk ada kebolehan ini. Cara percakapan manusia adalah pada tahap yang tinggi.

Manusia adalah jenis makhluk yang boleh nampak arahan hanya dengan kata-kata. Macam makhluk lain, mereka perlu nampak benda itu. Macam binatang, mereka perlu nampak api di hutan, barulah mereka akan lari dari api itu. Tapi dengan manusia, kita boleh faham arahan dalam bentuk perkataan. Sebab itu kita boleh terima peringatan dalam bentuk Quran. Sebab itulah Allah turunkan peringatan dalam bentuk kata-kata/kalam. Jadi, kalau ada yang tak mahu terima peringatan itu, kerana kononnya mereka kata mereka nak lihat juga lihat Allah, lihat malaikat dan sebagainya, mereka sebenarnya menidakkan kebolehan mereka yang boleh memahami kata-kata. Mereka nak kata bahawa mereka macam binatang juga, dah nampak baru nak percaya.

Lagi satu maksud الْبَيَانَ  adalah ‘kejelasan’. Kita boleh faham sesuatu perkara dengan jelas dan kita ada kebolehan untuk menyampaikan sesuatu itu dengan jelas.

Kelebihan yang ada pada manusia ini amat dihormati oleh makhluk lain termasuk malaikat. Mereka pun tidak ada kebolehan ini. Begitulah yang terjadi pada Nabi Adam yang Allah telah ajar semua asma’ sampaikan malaikat pun hormat kerana mereka tak tahu. Ini kita boleh rujuk dalam 2:31-32.  Jadi, kita kena hormat apa yang keluar dari mulut kita kerana kebolehan memahami dan menyampaikan الْبَيَانَ  ini adalah sesuatu yang dihormati. Kata-kata lucah, kata kotor, kata-kata kosong, yang buang masa dan sebagainya, itu tidak sesuai untuk seorang muslim. Ingatlah bahawa kebolehan berkata-kata ini Allah beri supaya kita boleh baca Quran. Jangan kita kotorkannya dengan perkataan yang tidak patut.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut Allah mengajar Quran kepada makhluk. Maka, kita lihat manusia yang beragama Islam akan menghormati Quran itu – mereka akan pegang dan junjung Quran, nak baca pun ambil wudu, kalau perempuan tak bertudung pun bila nak baca Quran tiba-tiba pakai tudung, membelakangi Quran pun ramai takut nak buat, negara kita pun selalu buat pertandingan musabaqah Quran (walaupun ini adalah satu perkara yang salah kerana Quran tidak boleh dipertandingkan), dan sebagainya, itu semua menunjukkan bagaimana manusia hormat kepada Quran itu. Kerana Allah yang mengajarnya. Lalu, bagaimana dengan kata-kata manusia ini? Tidakkah kita perlu menghormatinya juga? Tentulah sepatutnya begitu juga kerana ia juga diajar Allah sama seperti Quran juga. Seperti yang disebut dalam ayat ini.

Orang Islam kena berhati-hati dengan apa yang mereka kata dan apa yang mereka baca. Kerana amat banyak sekali perkara yang mengarut dalam dunia ini. Terutama sekali kerana kita sekarang berada dalam zaman internet. Lagi senang terdedah kepada benda yang buang masa ini. Lagi banyak terbuka kepada idea-idea yang mengarut. Lagi banyak peluang terpesong kerana terpengaruh dengan pendapat-pendapat yang berbagai-bagai yang tidak berdasarkan nas yang benar.

Allah kata Allah mengajar manusia berkata-kata. Allah tidak spesifik mengatakan bahasa Arab atau bahasa mana-mana. Allah cuma cakap ‘berkata-kata’ sahaja. Ini bermaksud, semua bahasa adalah diajar oleh Allah. Kerana Allah lah yang membolehkan manusia berkata dalam bahasa mereka. Kerana itulah kita kena menghormati bahasa orang lain. Janganlah kerana kita tidak suka orang kafir, kita kutuk bahasa mereka. Ingatlah bahawa bahasa Inggeris itu pun diajar oleh Allah juga.

Kita juga jangan mengejek bangsa dan bahasa negara lain. Tapi itulah yang banyak digunakan dalam komedi dan lelucon. Kita suka mentertawakan sesuatu bangsa yang bukan dari bangsa kita. Maka kita jangan terlibat dengan perkara itu. Maka, kita sebagai muslim kena pandai cari alternatif kepada hiburan yang tidak menyebabkan dosa. Bandingkan apa yang digunakan sebagai hiburan zaman kita dan bandingkan dengan hiburan zaman dahulu. Zaman dulu jauh lebih bermaruah dan sofistikated. Mereka berhibur dengan menggunakan kisah-kisah dan syair dan sajak yang indah. Tapi, lihatlah kita sekarang, apakah bahan hiburan kita – lagu, kata-kata lucu, laman social media yang berbagai-bagai dan banyak lagi. Ianya jauh rendah dari apa yang digunakan sebagai bahan hiburan zaman dahulu. Maknanya, kita menuju kepada kejatuhan dan bukan kemajuan.

Kebolehan manusia itu boleh berkata-kata dalam bermacam-macam bahasa. الْبَيَانَ bermaksud menyampaikan apa yang kita hendak sampaikan. Tapi, bukan setakat bercakap sahaja, tapi merangkumi semua cara untuk menyampaikan maksud kita. Samada dengan cara signal ataupun menulis dan sebagainya.

Apakah kepentingan dalam kebolehan menyampaikan kehendak kita? Pertamanya, ini membezakan kita dengan makhluk lain dalam dunia ini. Binatang tak boleh nak bercakap atau menyampaikan maksud mereka dengan jelas. Memang mereka ada juga cara komunikasi mereka, tapi tak jelas macam manusia.

Keduanya, telah disebut dalam ayat sebelum ini tentang kita telah diberikan Quran. Selepas kita dapat Quran, kita kenalah menggunakan kebolehan menyampaikan (الْبَيَانَ ) itu dengan menyampaikan Quran kepada manusia. Itu adalah satu tanggungjawap kita. Kena sampaikan kepada dunia, jangan simpan sendiri. Nabi pun suruh kita sampaikan Quran kepada manusia. Walaupun kita dapat satu ayat sahaja dari Quran, kita kena sampaikan juga kepada manusia lain. Tapi, sebelum sampaikan, kenalah kita faham dahulu apakah tafsir Quran itu. Itulah pentingnya kena belajar tafsir Quran. Kalau kita sendiri pun tak tahu dan tak faham, ditakuti apa yang kita sampaikan itu salah pula. Dan memang akan salah pun kalau kita tak belajar.

Akhir sekali, dari ayat ini kita dapat isyarat bahawa seorang muslim kena tahu banyak bahasa. Bahasa lain membuka alam pengetahuan kepada kita. Kita kena ajar anak kita bahasa lain. Kerana semua bahasa ini sebenarnya diajar oleh Allah. Allah lah yang menjadikan adanya bahasa-bahasa ini. Allah pilih satu bahasa iaitu bahasa Arab sebagai bahasa pilihan untuk kalamNya (Quran). Tapi tidaklah bahasa lain tidak elok. Kita kena hormat bahasa lain. Janganlah kita macam sesetengah orang yang ekstrem sayangkan bahasa Arab sampaikan mengutuk bahasa lain terutama sekali bahasa Inggeris – sampai yang kata bahasa Inggeris adalah bahasa syaitan. Ma sha Allah.


 

Ayat 5: Kalau kamu masih tidak mahu beriman dengan Quran dan dengan melihat kepada segala bahasa yang Allah telah jadikan, maka lihatlah kepada alam pula.

Sebelum ini Allah berkata tentang manusia. Sekarang tentang alam juga. Kenapa? Alam pun Allah pun yang jadikan. Tapi alam yang dijadikan Allah itu mengikut arahan Allah.

الشَّمسُ وَالقَمَرُ بِحُسبانٍ

Sahih International

The sun and the moon [move] by precise calculation,

Malay

Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu;

 

الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ بِحُسْبَانٍ

Matahari dan bulan menurut ketetapan;

Keduanya bergerak di tempatnya dan dalam orbit mengikut ketetapan yang Allah telah berikan kepada keduanya.

Perkataan حُسْبَانٍ adalah hyperbolize form kepada perkataan حسب (hisab) yang bermaksud ‘kiraan’. Apabila dalam bentuk hyperbolize form, ianya bermaksud ‘pengiraan yang amat tepat’. Lihatlah pengajian astronomi yang mengatakan bahawa kedudukan bulan, matahari dan segala planet adalah dalam kedudukan yang tepat sekali. Kalaulah ianya bergerak sedikit sahaja dari kedudukan itu, maka langit akan bertempiaran lari kedudukan segala planet termasuk bumi sekali.

Ianya juga adalah isyarat kepada ‘pengiraan masa’. Manusia adalah makhluk yang paling mulia. Tapi ada lagi makhluk lain yang lebih menghormati masa dari kita. Mereka disiplin dengan masa. Cukup waktu sahaja, ianya akan bergerak mengikut ketetapan Allah. Kita yang disiplin pun ikut pergerakan matahari dan bulan itu. Antaranya kita akan ikut pergerakan matahari dan bulan itu untuk mengira waktu solat. Dan juga kita menggunakan kedudukan matahari dan bulan untuk mengira masa – hari dan bulan (bulan Qamariah).

Allah nak kita lihat kebaikan yang ada dalam makhluk ciptaanNya yang lain dan memasukkan kebaikan itu dalam diri kita. Ambil mana yang baik. Allah selalu buat begini – bandingkan alam dengan kita. Oleh itu kita kenalah lihatlah alam ini dan ambil pengajaran dari alam ini. Bukanlah kita memerhatikan dengan kosong sahaja – tahulah kita bahawa Allah hendak mengajar kita dengan menyuruh kita melihat alam itu.

حُسْبَانٍ juga bermaksud ‘kemusnahan yang amat besar’. Yang akan berlaku pada masa yang telah ditetapkan. Allah nak mengatakan bahawa matahari dan bulan itu akan musnah apabila tiba masanya. Tidak akan diawalkan dan tidak akan dilewatkan. Kita sahaja yang tidak tahu bilakah ianya akan terjadi. Yang tahu hanyalah Allah sahaja.

Ianya mengingatkan kita kepada hari Kiamat yang pasti berlaku. Tanda hari akhir adalah kedatangan Nabi Muhammad. Kedatangan Nabi Muhammad itu pun sudah satu tanda. Semua Nabi-nabi sebelum nabi Muhammad telah menerangkan kepada umat mereka tentang kedatangan Rasul Akhir Zaman. Satu lagi tanda akhir adalah bulan terbelah. Ini pun telah terjadi. Kedatangan Quran juga adalah tanda akhir. Semua itu telah ada. Yang tinggal adalah kehancuran matahari dan bulan yang disebut dalam ayat ini. Kehancuran keduanya itu adalah tanda yang amat akhir sekali.


 

Ayat 6:

وَالنَّجمُ وَالشَّجَرُ يَسجُدانِ

Sahih International

And the stars and trees prostrate.

Malay

Dan bintang-bintang serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.

 

وَالنَّجْمُ وَالشَّجَرُ

Dan bintang-bintang serta pokok-pokok,

Bintang dan pokok adalah dua benda yang orang Arab tenung sentiasa. Kepada mereka itulah keindahan yang ada pada zaman itu. Waktu itu tidak ada hiburan lain lagi, macam tv, internet dan sebagainya. Pada malam hari mereka akan lihat bintang dan memikirkan tentangnya. Mereka juga adalah bangsa yang suka tidur malam hari di atas bumbung rumah mereka. Dan apabila tinggal di padang pasir, kalau ada pokok, itu adalah satu kegembiraan kepada mereka. Kerana pokok tidak banyak, padang pasir yang banyak. Jadi, bila ada pokok, mereka akan suka.

 

يَسْجُدَانِ

masing-masing tunduk menurut peraturanNya.

Ada ulama yang mengatakan bagaimana rupa bintang itu pun dalam bentuk sujud juga. Iaitu apabila tahi bintang jatuh. Dan pokok-pokok pun kita boleh nampak bagaimana ianya kadang-kadang dalam bentuk sujud juga. Dan bagaimana bayangnya menjadi panjang yang seperti sujud juga.

Jadi dua benda yang mereka pandang tinggi itu pun sujud kepada Allah. Jadi kenapa kamu sendiri tidak sujud kepada Allah?

Manusia lebih mulia dari ciptaan yang lain. Tapi walaupun mereka rendah dari kita, mereka sujud dan taat kepada Allah. Mereka tidak diajar Quran, tapi mereka taat juga kepada Allah. Maka, kita yang lebih mulia, dan telah diberikan Quran, sepatutnya kita lebih taat lagi kepada Allah.


 

Ayat 7: ada tiga ayat yang menyebut الْمِيزَانَ selepas ini. Menunjukkan betapa pentingnya ‘keadilan itu’. Mari kita lihat.

وَالسَّماءَ رَفَعَها وَوَضَعَ الميزانَ

Sahih International

And the heaven He raised and imposed the balance

Malay

Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,

 

وَالسَّمَاءَ رَفَعَهَا

Dan langit ditinggikan,

 

وَوَضَعَ الْمِيزَانَ

serta diadakan neraca keadilan,

Dengan akal manusia yang diberikan oleh Allah, manusia boleh mengadakan/menegakkan keadilan.

Allah nak kita melihat alam dan mengambil pengajaran dari alam. Lihatlah kepada langit. Langit itu tinggi dan amat seimbang. Semuanya berada pada tempatnya. Ini adalah isyarat kepada ‘keadilan’. Allah hendak kita berlaku adil. Maka, Allah tidak suka kalau kita tidak adil. Katakanlah kita seorang peniaga, maka kita kena timbang dengan tepat. Jangan bagi kurang kepada pembeli kita. Atau kalau kita pegawai yang menjaga undang-undang, jangan kita ambil peluang dari kedudukan kita. Macam pegawai polis trafik yang tahan pesalah jalan raya dan mereka ambil rasuah dari mereka itu. Atau polis yang tahan pendatang asing dan buat pasal supaya mereka boleh ambil duit dari mereka. Banyak lagi contoh-contoh yang berkenaan keadilan ini yang hendaklah kita tegakkan.


 

Ayat 8: Perkataan الْمِيزَانَ digunakan sekali lagi.

أَلّا تَطغَوا فِي الميزانِ

Sahih International

That you not transgress within the balance.

Malay

Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;

 

أَلَّا تَطْغَوْا فِي الْمِيزَانِ

Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;

Katakanlah kita telah diberikan amanah untuk belajar. Oleh ayah kita, komuniti kita, oleh keluarga kita dan sebagainya. Mereka membayar biaya kita untuk belajar di kolej, di universiti dan sebagainya. Kalau kita belajar sambil lewa dan tidak belajar, maka kita telah menidakkan amanah itu.


 

Ayat 9: Sekali lagi disebut perkataan mizan itu.

وَأَقيمُوا الوَزنَ بِالقِسطِ وَلا تُخسِرُوا الميزانَ

Sahih International

And establish weight in justice and do not make deficient the balance.

Malay

Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

 

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ

Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil,

 

وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

Janganlah juga kita tidak berlaku adil. Lebih-lebih lagi kalau kita dalam kedudukan yang boleh memberi keputusan. Mungkin kita adalah hakim, pemimpin, ibubapa, pegawai di tempat kerja dan sebagainya. Hendaklah kita berlaku adil dan menegakkan keadilan.


 

Ayat 10: Allah suruh lihat kepada nikmat yang diberiNya kepada kita di bumi pula.

وَالأَرضَ وَضَعَها لِلأَنامِ

Sahih International

And the earth He laid [out] for the creatures.

Malay

Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:

 

وَالْأَرْضَ وَضَعَهَا لِلْأَنَامِ

Dan bumi pula dijadikannya untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:

Perkataan أنام bermaksud semua kehidupan yang bernyawa. Manusia, binatang, serangga dan sebagainya. Bukannya dunia ini dijadikan untuk kita sahaja tapi semua makhlukNya yang hidup di dunia ini. Hendaklah kita menghormati juga kehidupan mereka. Jangan kita tindas mereka. Ini penting kerana ada manusia yang menyiksa binatang-binatang dalam alam ini. Dan telah memotong tanaman-tanaman untuk kepentingan mereka.


 

Ayat 11:

فيها فاكِهَةٌ وَالنَّخلُ ذاتُ الأَكمامِ

Sahih International

Therein is fruit and palm trees having sheaths [of dates]

Malay

Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;

 

فِيهَا فَاكِهَةٌ

Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan

Perkataan فَاكِهَةٌ asalnya bermaksud ‘gembira’. Digunakan untuk merujuk kepada buah-buahan kerana apabila makan buah-buahan, kita jadi suka dan tersenyum. Rasanya yang enak telah menggembirakan kita.

Allah nak beritahu bahawa Allah beri kehidupan ini dan segala keindahannya adalah untuk manusia dan juga makhluk-makhluk lain yang ada di bumi. Semua makhluk dapat makan segala rezeki yang Allah kurniakan. Tapi yang dapat menghargai makanan yang sedap adalah manusia. Bukan makan setakat nak hidup sahaja. Tapi kita pandai makan makanan yang beri kepuasan untuk kita. Kita sanggup mencari makanan yang sedap-sedap kerana kita dapat menghargai makanan. Oleh itu, lihatlah rahmat Allah kepada kita. Kalau nak bagi cukup makan untuk kelangsungan hidup sahaja, tak perlu nak bagi makanan yang sedap pun.

 

وَالنَّخْلُ

dan pohon-pohon kurma

Pokok kurma adalah sesuatu yang cantik kepada orang Arab. Bukan hanya kepada mereka sahaja. Ada tempat-tempat lain dalam dunia ini, yang menunjukkan manusia suka kepada pokok palm ini. Lihatlah kawasan California yang banyak pokok palm. Dan ia menjadi satu tempat yang mahal. Kerana ia memberi perasaan gembira dan puas kepada mereka yang melihatnya.

Pokok palm yang dijadikan hiasan lanskap dalam hiasan moden.

Allah selalu sebut pokok kurma dalam Quran kerana Quran mula diturunkan kepada bangsa Arab. Jadi, mereka dah biasa dengan kurma. Bukanlah nak kata hanya pokok kurma sahaja yang ada dalam dunia ini. Kalau di tempat kita, banyak lagi jenis buah-buahan. Tapi kalau dengan orang Arab diceritakan tentang rambutan, sudah jadi satu kerja pula nak menerangkan kepada mereka apakah rambutan itu kerana mereka tak pernah tengok pokok rambutan.

 

ذَاتُ الْأَكْمَامِ

yang ada kelopak;

Bukan dengan buah sahaja, tapi Allah beri buah kurma itu dengan kelopak sekali. Buah itu ada pembalut sekali sebagai pelindung. Itulah hadiah Allah kepada manusia. Bandingkan kalau kita beri hadiah kepada seseorang, kalau hadiah itu penting, maka kita akan balut hadiah itu dulu. Kehebatan hadiah itu boleh dilihat dengan hebat balutan juga. Kadang-kadang, tengok pembalut sahaja kita dah suka kerana dibalut dengan cantik dan kemas. Kalau balutan pun dah cantik, maka hadiah itu pun selalunya lagi cantik.

Food packaging pula adalah satu perniagaan yang bernilai trillion dollar. Hampir semua makanan dijual dengan bungkusan yang cantik-cantik. Tapi pembungkus makanan manusia menyebabkan keburukan kepada alam sekitar. Tapi lihatlah pembungkus makanan yang dibuat oleh Allah: kalau kita buang pembungkus kelopak itu ke tanah, ia tidak akan mencemarkan tanah kerana ianya adalah biodegradable. Tapi pembungkus makanan manusia, kalau dibuang begitu sahaja, akan menyebabkan kerosakan pada tanah. Tapi Allah jadikan pembungkus makanan dalam buah-buahan dan tanaman amat baik sekali. Tak kisah kalau nak buang ke tanah. Bahkan ianya akan menjadikan tanah itu lebih subur lagi. Ma sha Allah. Lihatlah nikmat Allah ini.


 

Ayat 12:

وَالحَبُّ ذُو العَصفِ وَالرَّيحانُ

Sahih International

And grain having husks and scented plants.

Malay

Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum;

 

وَالْحَبُّ

Demikian juga terdapat biji-bijian

 

ذُو الْعَصْفِ

yang ada kulit,

Untuk biji-bijian pula Allah jadikan kulit sebagai pelindung kepada bijian itu. Bila kita nak makan, kita kupas dan bijian itu akan segar lagi dan sedap. Kulit-kulit itu pula cantik. Kadang-kadang digunakan dalam design yang dijadikan manusia.

 

وَالرَّيْحَانُ

dan berbau harum;

Iaitu angin yang berbau harum. Sedap dihidu dan menyegarkan. Ini boleh dialami kalau kita pergi ke kawasan ladang apabila musim menuai. Akan dapat menghidu bau wangi itu.

Itu semua adalah keindahan yang diberikan kepada manusia. Manusia kafir tidak nampak segala keindahan alam ini kerana mereka dah biasa nampak. Mereka anggap ia sebagai biasa sahaja. Mereka tak nampak bahawa yang menjadikan segala itu adalah Allah. Dan Allah telah memberi segala kehebatan dan keindahan itu kepada manusia.

Mereka minta nak lihat perkara-perkara ajaib, tapi mereka lupa bahawa semua yang mereka lihat dalam ini adalah semuanya yang ajaib belaka. Mereka sahaja yang tertutup pintu hati mereka sampai mereka tak nampak. Oleh itu, mereka minta nak lihat Allah, nak lihat malaikat. Mereka minta supaya tanah Arab yang padang pasir itu dijadikan menghijau. Dan macam-macam lagi yang mereka minta. Kononnya, mereka kata: ‘Seeing is believing’. Tapi itu adalah hanya alasan mereka sahaja. Kalau mereka melihat alam ini dengan mata hati, mereka telah nampak kewujudan Tuhan. Tapi hati mereka telah tertutup mati.


 

Ayat 13: Inilah ayat yang diulang-ulang dalam surah ini. Apabila Allah memperkatakan tentang neraka, ayat ini diulang tujuh kali. Apabila memperkatakan tentang syurga, Allah mengulang ayat ini sebanyak lapan kali pula. Iaitu sama dengan bilangan pintu syurga dan pintu neraka.

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ

Sahih International

So which of the favors of your Lord would you deny?

Malay

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

 

فَبِأَيِّ آلَاءِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat
Segala benda yang Allah telah jadikan dalam alam ini, dengan segala keindahan dan kegunaanya, apa lagi yang kamu hendak? Apa lagi yang kamu rasa Allah tak cukup beri lagi? Apa nikmat yang Allah telah berikan kepada kamu yang kamu tak mengaku datang dari Dia?

Nikmat mana yang kamu tak nampak lagi? Kamu nak tengok kebenaran, tidakkah kamu nampak semuanya yang telah ada dalam alam ini?

 

رَبِّكُمَا

Tuhan kamu berdua,
Apabila digunakan perkataan كما dalam ayat ini, ia merujuk kepada ‘dua entiti’. Siapakah yang dimaksudkan? Tidak disebut dalam ayat ini, hanya sebagai isyarat sahaja. Akan diterangkan selepas ini.

 

تُكَذِّبَانِ

yang kamu hendak dustakan?

Dengan segala apa yang Allah telah jadikan untuk kita, apa lagi yang kita hendak? Perkataan ‘dustakan’ itu bermaksud macam tidak mengaku telah menerima segala nikmat-nikmat itu.

Mesej Islam yang diingatkan kepada umatNya adalah untuk bersyukur kepada Allah. Kita kena bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Entah berapa banyak nikmat yang telah diberikan. Kita hanya pakai sahaja tapi tak bersyukur pun. Segala makanan, kesenangan, keamanan dan segala-galanya sampai tidak terkira. Kita sekarang makanan banyak sangat sampai banyak yang terlebih dan dibuang begitu sahaja. Itu adalah tanda orang yang tidak bersyukur apabila kita membazir. Kerana kalau kita menghargai sesuatu pemberian, kita tidak akan mensia-siakannya.

Nikmat itu kita selalu sangat dapat sampaikan kita rasa dah biasa sangat dah. Jadi kita rasa kita dah layak dapat benda tu. We take things for granted. Kalaulah sekali kala kita tak dapat atau kalau kita hanya dapat jarang-jarang, baru kita tahu erti nikmati itu.

Orang miskin senang sahaja untuk jadi gembira. Dapat barang sikit pun mereka dah gembira dah. Tapi orang kaya yang kononnya macam-macam mereka ada, selalu sahaja dalam kegelisahan. Selalu sahaja ada yang tak cukup. Ada sahaja masalah yang mereka nampak. Kalau ada masalah yang menyebabkan mereka susah sikit sahaja pun, mereka dah resah dah. Nak mengadu sahaja. Padahal, mereka macam-macam dah ada. Itulah sebabnya kejadian bunuh diri tinggi di negara yang maju kononnya. Kerana mereka ada sahaja masalah mereka.

Ini semua terjadi kerana kita tidak mengajar konsep ‘bersyukur dengan apa yang ada’ – ini adalah sifat ‘qanaah’. Kita tidak ajar anak-anak kita bagaimana menghargai nikmat yang ada. Oleh itu, mereka nak komplen sahaja. Padahal dah banyak dah mereka diberikan dengan nikmat dari Allah.

Ini terjadi apabila mereka rasa tinggi diri. Mereka sangka mereka ada kedudukan. Maka, Allah jelaskan siapakah kita. Dari manakah kita dijadikan.


 

Ayat 14:

خَلَقَ الإِنسانَ مِن صَلصالٍ كَالفَخّارِ

Sahih International

He created man from clay like [that of] pottery.

Malay

Ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,

 

خَلَقَ الْإِنسَانَ

Ia menciptakan manusia
Yang dimaksudkan di sini adalah Allah lah yang menjadikan manusia itu. Ini adalah salah satu lagi nikmat Allah kepada kita yang amat hebat.

 

مِن صَلْصَالٍ

dari tanah liat kering
Ini adalah tempat tanah yang kering. Pecah-pecah. Iaitu apabila tanah itu telah lama tidak mendapat air.

Contoh tanah yang telah kekeringan

Contoh tanah yang telah kekeringan

كَالْفَخَّارِ

seperti tembikar,
Kalau tembikar dah pecah, ada guna lagi tak? Tidak berguna langsung. Ini hendak mengingatkan diri kita betapa rendahnya diri kita. Jangan ingat kita ini tinggi. Kita ingat kita ada kepentingan dan ketinggian, tapi tidak sebenarnya. Kita patut rasa rendah diri. Orang yang rendah diri selalunya senang bersyukur. Apabila mereka dapat nikmat, mereka akan menghargai nikmat pemberian itu. Yang rasa tinggi diri sahaja yang selalunya susah untuk bersyukur.


 

Ayat 15:

وَخَلَقَ الجانَّ مِن مارِجٍ مِن نارٍ

Sahih International

And He created the jinn from a smokeless flame of fire.

Malay

Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;

 

وَخَلَقَ الْجَانَّ

dan Dia menciptakan jin
Bukan sahaja Allah menciptakan manusia seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini, tapi Allah juga yang mencipta golongan jin. Dalam ayat ini, Allah mula menyebut tentang jin. tahulah kita bahawa, yang dimaksudkan ‘Tuhan kamu berdua’ itu merujuk kepada manusia dan jin.

Ada banyak persamaan antara jin dan manusia. Mereka juga ada muka, kaki dan tangan. Mereka juga ada nafsu seperti kita juga. Mereka juga ada tanggungjawab agama sepertimana juga kita. Cuma bezanya, mereka tidak ada Rasul. Mereka juga boleh terbang. Mereka boleh terbang sampai ke langit. Mereka tidak terbang dengan sayap kerana mereka tidak ada sayap. Mereka ada tanduk dan mereka ada kaki seperti kaki kambing. Malaikat ada sayap. Seperti Jibrail dia ada 600 sayap. Jin boleh terbang dengan kehendak mereka.

Dalam ayat ini baru disebut jin. Tapi dalam ayat ke 13 sebelum ini telah diberi isyarat tentang mereka apabila Allah menggunakan perkataan كما (Kamu berdua) yang merujuk kepada manusia dan jin. Mufassir berkata, ini dilakukan kerana Allah tahu bahawa ada jin-jin yang mendengar bacaan Quran ini dan mereka telah disebut secara isyarat sebelum diceritakan tentang mereka.

 

مِن مَّارِجٍ

dari nyalaan pucuk
Iaitu kalau kita lihat bahagian api itu, ianya adalah bahagian atas api itu. Iaitu bahagian api yang kita tak nampak. Bahagian itulah yang paling panas sekali.

 

مِّن نَّارٍ

dari api.


 

Ayat 16: Kali kedua ayat ini diulang

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ

Sahih International

So which of the favors of your Lord would you deny?

Malay

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

 

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka hikmat kekuasaan Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Ayat ini sama dengan ayat-ayat yang sebelum ini dan sama dengan ayat-ayat yang lain. Tapi ulama membezakan apakah yang dimaksudkan, supaya bersesuaian dengan ayat sebelumnya. Sebelum ini disebut tentang kejadian manusia dari tanah liat dan jin pula dijadikan dari api. Tapi kalau kalimah آلَاءِ bukannya diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sahaja, tapi boleh membawa maksud yang lain. Ia juga boleh membawa maksud ‘hikmat’ dan ‘kekuasaan’. Jadi dalam ayat ini, lebih sesuai kalau digunakan maksud ‘hikmat’ dan ‘kekuasaan’.


 

Ayat 17:

رَبُّ المَشرِقَينِ وَرَبُّ المَغرِبَينِ

Sahih International

[He is] Lord of the two sunrises and Lord of the two sunsets.

Malay

(Dia lah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat.

 

رَبُّ الْمَشْرِقَيْنِ

Tuhan dua timur
Tuhan yang mencipta dan memelihara kedua tempat terbit matahari
Merujuk kepada dua musim. Matahari akan terbit dari timur. Tapi dalam masa enam bulan, tempat naik matahari itu akan berubah sedikit. Jadi, seperti ada dua tempat matahari itu naik. Mulanya, kita mungkin boleh nampak matahari naik dari satu tingkap. Tapi enam bulan kemudian, kita nampak naik dari tingkap yang sebelahnya pula.

Satu lagi tafsir mengatakan, ia merujuk kepada keseluruhan timur itu. Ada timur sebelah kanan dan ada timur sebelah kiri. Maka, ini hendak mengatakan Tuhan itu adalah Rabb kepada semua arah.

 

وَرَبُّ الْمَغْرِبَيْنِ

dan Tuhan dua barat
dan Tuhan yang mencipta dan memelihara kedua tempat terbenamnya
Matahari akan terbenam ke barat pada satu tempat. Tapi dalam masa enam bulan, tempat matahari terbenam itu akan berubah sedikit. Jadi, seperti ada dua tempat matahari itu terbenam.

Tafsir lain juga ada menyatakan, ia merujuk kepada keseluruhan barat itu. Ada barat sebelah kanan dan ada barat sebelah kiri. Maka, ini hendak mengatakan Tuhan itu adalah Rabb kepada semua arah.


 

Ayat 18: Ini kali ketiga perkataan ‘mizan’ diulang

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Link ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Syeikh Nasir Jangda

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 055: Rahman. Bookmark the permalink.

5 Responses to Tafsir Surah ar-Rahman Ayat 1 – 18

  1. Aisyah says:

    terima kasih …. entri ini sgt membantu kita memahami maksud disebaliknya …. Dalam satu ayat ada beberapa perkataan tetapi huraiannya sgt panjang dan menyeluruh … Bila kita baca setiap tafsir ayat tersebut Allah menyuruh kita berfikir secara meluas dan mengambil kebaikan disebaliknya … Yg saya sangat kagumi, Allah swt selalu bercerita dgn kita tentang kekufuran manusia yg terdahulu dan betapa sesungguhnya AL-Quran itu diturunkan untuk mengajak kita berfikir tentang kebesaranNya…

  2. Assalamualaikum. Saya terjumpa blog ini sewaktu mencari rujukan untuk tafsir ar-Rahman. Alhamdulillah saya buka page ini sambil dengar dan bandingkan ibrah surah Ar-Rahman oleh Ustaz Syaari Ar Rahman.

    (Dia bukan mufassir tapi lebih kepada fasilitator kearah pembelajaran al-Quran.) Setakat ini semua point yang disampaikan adalah selari.
    Terima Kasih!
    Jazaakumullah

    • tafsirsunnah says:

      Alhamdulillah, tulisan saya ini dapat membantu. Teruskan pembelajaran dan memang molek mendengar banyak kupasan. Kerana setiap orang ada pemahaman yang berlainan dan kita boleh mengutip tambahan-tambahan maklumat.

  3. Xiao Lian says:

    Syukur Alhamdulillah… Banyak yang saya pelajari Dan saya renungi hasil Dari tulisan ini. Moga insan yang menulis ini sentiasa berada dalam Rahmat kasihNya yang tidak bertepi. Terima kasih Allah kerana menggerakkan tangan ini membuka blog ini. Sesungguhnya tiada lah daya mampu selain semuanya adalah kepunyaanMu..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s