Tafsir Surah Rahman Ayat 1 – 16 (Kenanglah rahmat Allah kepada kita)

Ayat 1:

الرَّحْمٰنُ

(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.

Ayat ini ada satu perkataan sahaja. Begitu hebat sekali. Allah buat begini kerana hendak kita memikirkan dan tadabbur pada makna ayat ini. Banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil.

Setiap ketika dan masa, ada sahaja rahmah yang Allah berikan kepada kita. Apabila kita membaca satu ayat ini, bayangkan apakah rahmah yang Allah sedang beri kepada kita sekarang, hari ini, semalam, minggu ini, minggu lepas dan sebagainya. Tidak terkira banyaknya tapi cubalah. Ada yang kita perasan dan ada yang kita tidak perasan pun. Tidak akan habis kalau kita nak kira.

Dan nikmat yang Allah berikan kepada makhluk adalah dalam bentuk rohani dan jasmani. Nikmat rohani adalah faedah kepada roh – santapan rohani. Dan dalam ayat kedua nanti, Allah dulukan nikmat rohani. Kerana nikmat jasmani lebih rendah dari nikmat rohani. Nikmat rohani adalah asal nikmat. Kerana kalau dapat nikmat rohani, ia dari dunia sampai syurga. Kalau nikmat jasmani, setakat hidup di dunia sahaja.

Dialah Tuhan yang bersifat Rahman. Dalam Qur’an, ada dua nama yang selalu digunakan untuk DiriNya, samada Allah atau ar-Rahman. Tapi dalam ayat ini, hanya ada ar-Rahman. Ar-Rahman bermaksud sangat-sangat pemurah. Ia juga dalam bentuk present tense, bermaksud Allah ‘sedang’ melakukan aktiviti ‘pemurah’ itu. Kerana kalau kata seseorang itu seorang yang suka memberi sedekah, tidak semestinya dia sedang memberi sedekah waktu itu. Tapi ar-Rahman bermaksud, Allah sedang bersifat Rahmah semasa kita menyebut namaNya itu.

Allah menyebut salah satu sifatNya dalam ayat ini. Asal perkataan ar-rahman itu dari perkataan ‘rahmah’. Kalau kita lihat, tempat kita semasa dalam perut ibu kita pun dipanggil rahim yang juga dari katadasar yang sama dengan rahman, rahmah, rahmat.

Ada banyak makna rahmah itu. Antaranya: sayang, kasihan, cinta, kelembutan, kemaafan. Ia juga mengandungi makna keselamatan. Ianya mempunyai makna seseorang itu diberikan segalanya itu tanpa dia melakukan apa-apa. Tanpa ada usaha apa-apa, tapi diberikan kepada mereka. Kalau kita buat kerja, memang kita layak dapat upah. Tapi itu apabila kita ada buat kerja. Dalam hal rahmah ini, tanpa buat apa-apa pun, Allah berikan kepada kita. Bayangkan semasa kita lemah dalam perut ibu kita, Allah berikan keselamatan kepada kita dalam rahim ibu kita.

Dan kemudian kita dilahirkan, dalam keadaan amat lemah. Tapi Allah berikan segala keperluan yang kita perlukan untuk meneruskan hidup. Apakah yang kita telah buat untuk melayakkan kita dapat segala perhatian dari Allah itu? – Tidak apa-apa. Tidak ada amalan ibadah apa lagi pun yang kita lakukan. Kita pun memang tak boleh buat apa-apa kerana masih bayi lagi. Tapi lihatlah berapa banyak rahmat yang Allah berikan kepada kita. Maknanya, Allah beri segala rahmat itu bukanlah kerana perbuatan kita, bukan?

Sifat rahmah bermaksud ‘penjagaan’. Selalunya ditafsirkan sebagai mercy/kasihan. Mungkin tidak berapa sesuai kalau itu sahaja makna yang kita faham. Kerana kalau kita hanya mengambil maksud ‘kasihan’, itu hanya bermaksud Allah tidak menghukum seseorang atas kesalahan orang itu. Macam tentera tawan tawanan perang dan kerana ‘kasihan’, dia tidak membunuh orang itu. Jadi, kalau itu sahaja maksud ‘rahmah’, itu baru bermaksud ‘tidak ada perkara buruk’ sahaja. Itu adalah satu tafsir yang terhad, tidak seperti yang sepatutnya.

Sedangkan maksud الرَّحْمَٰنُ lebih lagi dari itu. Nama sifat ini merujuk kepada sifat yang ‘menjaga segala keperluan makhluk’. Kita semua memerlukan rahmat Allah untuk hidup dalam dunia ini. Dari dalam perut, sampailah kita mati. Macam bayi dalam perut memerlukan rahmah dari Allah. Allah beri penjagaan kepada bayi itu kerana bayi itu tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Nak minta tolong pun tak boleh. Maka, tanpa minta tolong pun Allah telah berikan segala kemudahan kepada bayi itu.

Itulah setakat yang kita mampu jelaskan tentang maksud rahmah itu. Kita tentu tidak akan dapat memahami keseluruhan maksud الرَّحْمَٰنُ ini kerana kecetekan ilmu kita dan kerana kekurangan akal kita sebagai seorang manusia.

Itulah pemberian Allah dalam bahagian pertama surah ini – Allah beri kita Qur’an, kebolehan bercakap, alam yang begini luas dan sebagainya lagi – semua itu tanpa ada apa-apa usaha amal dari kita.

Selain dari diberikan pemberian tanpa apa-apa usaha, ada juga pemberian yang diberikan kepada makhluk atas usaha amal mereka. Ini disebut dalam bahagian kedua surah ini – Allah berikan syurga, segala apa yang ada di dalamnya, dengan bidadari dan sebagainya – ini adalah jenis pemberian yang Allah berikan atas usaha baik yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Mereka layak mendapat segala pemberian itu kerana usaha dari manusia itu sendiri.

Jadi, ada dua jenis pemberian yang Allah berikan kepada kita – yang diberikan walaupun kita tidak ada apa-apa usaha dan satu lagi yang diberikan kepada kita atas amal kebaikan kita semasa di dunia.

Allah memulakan surah ini dengan memperkenalkan sifatNya ar-Rahman, kerana dalam surah ini akan disebut berkali-kali pemberian yang diberikan kepada makhluk. Kemudian Allah akan tanya balik: “manakah nikmat Allah yang kamu tidak mengaku?”


 

Ayat 2: Allah menyenaraikan rahmah-rahmahNya yang diberikan kepada kita. Susunan rahmah itu mengikut kepentingan sesuatu perkara itu. Maka, Allah mulakan dengan menyebut tentang Qur’an kerana itu adalah perkara yang paling penting sekali. Tidak ada nikmat yang lebih besar lagi. Nikmat yang boleh menyelamatkan manusia sampai bila-bila dari azab.

عَلَّمَ الْقُرْءآنَ

Dialah yang mengajarkan Al-Quran.

Ayat ini menegaskan yang Qur’an ini dari Allah. Ini menidakkan tuduhan penentang Qur’an yang mengatakan Nabi Muhammad lah yang menulis sendiri Qur’an itu. Ini adalah tuduhan yang tidak ada asasnya.

Ayat ini juga bermakna Allah sendiri yang mengajar Qur’an kepada kita, bukan orang lain. Guru atau ustaz yang mengajar itu hanya menyampaikan sahaja. Tapi yang memberi pemahaman adalah Allah sendiri. Kita belajar tafsir Qur’an dari guru kita, guru kita belajar dari gurunya, gurunya dari gurunya, sampai kepada sahabat, sampai kepada Nabi, yang belajar dengan Jibrail yang mendapatnya dari Allah juga. Akhirnya, pemahaman itu dari Allah juga. Kalau Allah tak beri, kita pun tidak dapat.

Kadang-kadang, pengajaran yang diberikan sama, tapi pemahaman anak murid tidak sama. Dua orang murid duduk dalam kelas yang sama, mengikuti pembelajaran yang sama, tapi apabila mereka periksa pemahaman mereka, adakalanya tidak sama pemahaman mereka. Ini menunjukkan pemahaman itu diberikan oleh Allah. Ini menunjukkan Allahlah sebenarnya guru yang mengajar.

Allah kata Allah ‘mengajar’ Qur’an kepada kita, bukannya hanya ‘menurunkan’ sahaja. Allah mengajar kita dengan sifatNya yang Maha Pemurah.

Ayat ini adalah jumlah ismiah – iaitu disebut ism dahulu. Dua ayat pertama ini adalah satu perkataan yang lengkap sebenarnya: Ayat yang lengkap berbunyi begini: “Allahlah yang mengajar Quran itu”. الرَّحْمَٰنُ adalah mubtada’ dan عَلَّمَ الْقُرْآنَ adalah khabar. [Ini adalah bermanfaat kepada mereka yang ada sedikit ilmu nahu bahasa Arab]. Gunanya adalah menekankan kepada ‘pelaku’ – mengingatkan kita bahawa Allahlah sebenarnya yang mengajar Qur’an itu walaupun zahirnya kita nampak guru kita yang mengajar Qur’an dan tafsir kepada kita. Kita kena ingat bahawa pada hakikatnya Allahlah yang mengajar.

Kalau dalam dunia akademik, kita selalunya berbangga dengan guru yang mengajar kita. Kita beritahu orang bahawa syeikh itu, syeikh ini yang mengajar kita. Sekarang lihatlah, Allah yang mengajar kita sebenarnya. Kita boleh berbangga dengan mengatakan bahawa Allah lah yang mengajar Qur’an kepada kita. Guru kita adalah Allah sendiri. Tapi jangan salah faham pula, kenalah mulakan dengan belajar dengan guru. Jangan baca dan memandai faham sendiri pula.

Digunakan nama Allah الرَّحْمَٰنُ dalam ayat sebelum ini. Ada makna tertentu kenapa digunakan nama ini. Nama Tuhan yang selalu kita pakai adalah Allah, tapi tidak digunakan nama itu dalam ayat sebelum ini. Kalau digunakan nama ‘Allah’, ianya merangkumi seluruh sifat Allah. Tapi apabila digunakan namaNya ar-Rahman, ia memberi penekanan kepada sifat Rahmah Allah.

Atas sifat rahmah Allah itulah, Allah mengajarkan Qur’an kepada manusia. Ianya diturunkan kepada manusia sebagai penjagaan kita, kerana Allah sayang kepada kita. Tidak wajib bagi Allah untuk turunkan Qur’an. Allah boleh sebut NamaNya yang lain, sebagai contoh: “Allah mengajar Qur’an”. Tapi apabila Allah menekankan Sifat RahmanNya dalam ayat ini, ini menunjukkan penurunan Qur’an ini adalah dari sifat kasih sayangNya.

Allah boleh sahaja jadikan kita dan kemudian hukum kita apabila kita buat salah. Tapi Allah hendak kita selamat maka Allah turunkan Qur’an kepada kita. Jadi kena ceritakan tentang sifat Rahman Allah ini. Kerana Qur’an bukan hanya nak menceritakan tentang halal haram dan mengajar hukum untuk manusia sahaja. Ia juga mengajar kita tentang Allah dan sifatNya. Apabila kita tidak faham perkara ini, maka kita akan melihat Allah dan Qur’an itu sebagai sesuatu yang garang, yang hendak menentukan bagaimana kita hidup sahaja. Sikit-sikit nak hukum, sikit-sikit cerita pasal neraka sahaja – macam nak masukkan manusia dalam neraka dan beri azab sahaja.

Kita jangan cetekkan pemahaman kita tentang Qur’an tapi hendaklah kita tahu bahawa apa yang Allah ajar dalam Qur’an itu adalah untuk kebaikan kita sebenarnya.

Tapi adalah sesuatu yang menyedihkan kerana manusia tidak nampak rahmah yang ada dalam Qur’an itu. Golongan orientalis sentiasa sahaja mencari masalah yang ada dalam Qur’an. Mereka mengatakan Qur’an itu adalah satu buku yang amat teruk sekali, yang menyuruh pengikutnya membunuh orang lain, menindas perempuan, menyebabkan masyarakat Islam mundur tidak maju dan sebagainya. Inilah retorik yang sering kita hadapi. Sampaikan zaman ini ada masyarakat barat yang menjalankan majlis membakar Qur’an pun ada.

Kalau ianya datang dari orang Kafir, kita masih faham lagi. Tapi kalau ianya datang dari orang Islam sendiri, bagaimana? Tentulah lagi sedih.

Dalam surah ini, akan disebutkan berbagai-bagai rahmat yang Allah berikan kepada kita. Tapi rahmat yang pertama sekali disebut adalah Qur’an. Selalunya yang pertama disebut, itulah yang terpenting. Oleh itu, dari sini kita boleh tahu bahawa Qur’anlah rahmat Allah yang paling hebat sekali.

Kalimah عَلَّمَ bermaksud ‘mengajar’. Dalam bahasa Arab, sesuatu ayat yang lengkap memerlukan ‘subjek’ dan ‘predikat’. Macam kalau kita kata: ‘Ahmad pukul’, kita mesti tertanya-tanya, siapa yang Ahmad pukul? Kita akan tertanya-tanya kerana ayat itu tergantung. Tidak ada subjek kepada ayat itu. Dalam ayat ini, ia adalah jenis ayat yang tergantung juga. Kerana disebut tentang ‘mengajar’ – Allah yang mengajar, dan disebut apa yang ‘diajar’ – iaitu Qur’an – tapi tidak disebut kepada siapakah ianya diajar. Kenapa begitu?

Banyak jenis ayat sebegini yang terdapat dalam Qur’an. Apabila objek tidak disebut, ini bermakna ianya dibiarkan terbuka. Supaya ia mempunyai makna yang luas. Boleh dipakaikan dalam banyak keadaan. Banyak elemen boleh dijadikan sebagai objek. Sebagai contoh, Allah mengajar Qur’an kepada Nabi Muhammad, kepada manusia, orang lelaki, perempuan, yang dah lama masuk Islam, yang baru masuk Islam, termasuk orang bukan Islam dan lain-lain lagi. Semuanya boleh ambil pengajaran dari Qur’an itu. Lihat bagaimana luasnya pemahaman itu?

Perkataan عَلَّمَ bukan sahaja bermaksud ‘mengajar’, tapi mengajar dalam masa yang lama. Mengambil masa untuk mengajar dan belajar. Bukan mengajar sekali harung sahaja. Bukan setakat memberitahu sahaja – kerana kalau memberitahu sahaja, perkataan a’lama yang digunakan. Tapi Allah meluangkan masa untuk mengajar Qur’an kepada manusia. Inilah rahmah dari Allah – Allah meluangkan masa untuk mengajar Qur’an kepada kita. Inilah yang hendak ditekankan dalam ayat ini.

Maknanya, Allah bukan sahaja memberikan Qur’an kepada kita, tapi Allah juga mengajar kepada kita. Oleh itu, apa yang kita boleh ambil pengajaran dari sini? Kita juga kenalah meluangkan masa untuk belajar Qur’an itu. Bukanlah nak habiskan cepat-cepat sahaja. Bukan hendak habiskan 30 juzuk tafsir, kita belajar cepat-cepat sampai kita tidak mementingkan pemahaman lagi. Itu tidak betul. Kita kena pentingkan kefahaman daripada hendak menghabiskan belajar sahaja. Apa guna kalau kita dah habis belajar, tapi kita tidak faham? Adakah kita hendak jaja kepada orang lain yang kita sudah belajar tafsir Quran 30 juzuk? Kenapa kita nak jaja? Adakah kerana kita hendakkan pujian dari orang ramai?

Ada ulama yang mengatakan bahawa pembelajaran tafsir Qur’an itu ada tiga lapis. Lapis pertama adalah secara ringkas untuk semua ayat. Kemudian lapis kedua, kita mendalami pemahaman tafsir ayat-ayat Qur’an itu. Kemudian lapis ketiga belajar dengan lebih mendalam lagi.

Perkataan الْقُرْآنَ juga ada makna yang kita kena faham. Ianya dalam bentuk sighah mubalaghah – hyperbolize form – dalam bentuk yang kuat. Ini kita tahu kerana ada huruf ن dalam kalimah الْقُرْآنَ. Ini adalah kerana Qur’an adalah satu kitab yang dibaca berkali-kali dengan banyak sekali. Itulah yang kita boleh faham dengan penambahan huruf ن dalam perkataan الْقُرْآنَ itu.

Oleh itu, ini mengajar kepada kita bahawa memang Qur’an itu perlu dibaca banyak kali. Diulang-ulang baca setiap hari. Inilah yang perlu dilakukan oleh orang Islam. Tidak ada alasan untuk tidak membaca Qur’an. Pentingnya membaca Qur’an sampaikan Allah telah wajibkan kita untuk membaca Qur’an dalam solat kita. Itulah waktu yang yang wajib untuk kita membaca Qur’an, sekurang-kurangnya.

Apakah yang Allah ajar?:
1. Membaca – membaca dalam bentuk umum. Ini boleh jadi tulisan mana-mana sahaja. Kalau Allah tak beri kelebihan ini kepada kita, kita langsung tak dapat baca apa-apa pun.
2. Membaca Qur’an – iaitu kitab yang mengandungi kalamNya ini yang sedang belajar ini.

Kalau kita ambil pemahaman dari kedua-duanya, maka kita boleh ambil kesimpulan bahawa kita belum lagi membaca dengan sebenarnya, selagi kita tidak membaca Qur’an. Qur’anlah pembacaan yang paling penting sekali. Ianya adalah satu kitab yang selayaknya kita baca berkali-kali dan belajar tanpa henti.

Hikmah yang ada di dalamnya tidak akan habis untuk kita pelajari. Bayangkan ada orang yang meluangkan masa berpuluh-puluh tahun mempelajari Qur’an tapi masih lagi mereka meneruskan pembelajaran. Tidak habis ilmu untuk dikaut dari ayat-ayat Allah.


 

Ayat 3: Rahmat yang seterusnya. Ini pula adalah nikmat jasmani anfusi. Ada kena mengena dengan badan. Satu lagi adalah nikmat afaqi (luar tubuh kita). Maknanya ada nikmat dalaman dan nikmat luaran.

خَلَقَ الْإِنسٰنَ

Dialah yang telah menciptakan manusia; –

Allahlah yang menciptakan insan dari tidak ada kepada ada. Nak dapat nikmat lain, kenalah ada tubuh dulu, bukan? Maka Allah lah yang telah menjadikan kita. Maka kena ingat jasa Allah yang amat besar ini. Dan tahulah kita hebatnya Allah taala kerana dapat menjadikan kita.

Maka kerana Allah yang menjadikan kita, maka tentulah Allah tahu segala-galanya tentang kita, bukan? Allah tahu perangai kita dan apa yang kita perlukan. Allah tahu bagaimana hendak mengurus kita dan apakah panduan yang kita sepatutnya ikut. Dan panduan itu Allah telah sebut dalam ayat sebelum ini, iaitu Qur’an. Maka memang patutlah kita ikut panduan yang Allah telah sampaikan dalam Qur’an itu. Tidak patut kalau kita biarkan sahaja Qur’an itu tanpa dipelajari.

Mubtada’ dalam ayat ini masih lagi sifat Allah ‘ar-Rahman’. Jadi, ini bermaksud, Allah menjadikan kita pun adalah salah satu dari sifat ar-Rahman juga. Ada yang hairan dan bertanya, kenapalah mereka dijadikan. Kerana ada yang hidup dengan cacat, banyak masalah dan sebagainya. Mereka akan bertanya: “kenapalah aku diciptakan kalau nasib aku begini?”.

Ini adalah kata-kata seorang yang tidak beriman. Mereka tidak dapat melihat apakah kebaikan dari kejadian mereka. Mereka tidak nampak bahawa kejadian mereka itu dijadikan dari sifat rahman Allah. Kadang-kadang memang akal kita yang terhad ini tidak dapat memahami. Hanya dengan iman kepada Allah sahaja yang boleh membuatkan kita menyerahkan urusan itu kepada Allah.

Kenapa Allah sebut Qur’an dahulu, kemudian sekarang baru disebut kejadian insan? Sepatutnya, kalau ikut susunan yang logik kepada kita, tentulah sepatutnya disebut dijadikan manusia dahulu, kemudian baru disebut kepada mereka itu diberikan Qur’an, bukan? Tapi, Allah tak susun begitu. Jadi, untuk memahamkan kenapa susunan itu begitu, kena ada penjelasan sedikit. Ini bukan susunan kronologikal tapi susunan dalam bentuk kepentingan. Allah susun ikut kedudukan kepentingan.

Mari kita buat perumpamaan untuk memudahkan kita memahaminya. Kalau kita nak buat masjid atau bangunan lain, adakah kita terus bina masjid itu atau kita akan buat plan arkitek dulu? Tentulah kita akan ada plan lengkap bagaimana rupa masjid itu dan apakah yang akan diletakkan. Begitulah juga dengan insan. Apakah plan yang perlu diikut oleh insan? Plan itu adalah Qur’an. Qur’an itu adalah panduan hidup kepada insan. Qur’an mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan dalam alam ini. Bolehkah kita bayangkan bagaimana kehidupan manusia tanpa Qur’an? Oleh itu, dari sini kita nampak kenapakah susunan itu disebut Qur’an dulu barulah insan dijadikan.

Begitu juga, kalau sesuatu benda dijadikan manusia, mereka akan keluarkan manual dulu. Kerana Allah yang menjadikan kita, tentulah Allah tahu serba serbi tentang kita. Maka, Allah tahu apakah yang kita perlukan dan sesuai untuk kita. Itulah Qur’an yang dijadikan sebagai pedoman hidup kita. Orang yang tidak mempelajari Qur’an bermakna dia tidak mendapat pedoman hidup. Dia akan hidup dalam tungang langgang. Dia akan langgar sahaja peraturan hidup yang sepatutnya dia ikut.

Kata الْإِنسَانَ diambil dari kata dasar انس yang bermaksud ‘kasih sayang’. Manusia ada kelebihan ini. Allah menjadikan manusia yang seperti ini. Manusia boleh memberi sayang dan memerlukan sayang juga. Binatang tidak ada keperluan ini. Mereka hidup macam itu sahaja. Qur’an juga ada mengajar manusia tentang sifat ini kepada manusia. Kerana Qur’an itu bukan sahaja kitab tentang hukum halal dan haram sahaja tapi juga mengandungi ajaran bagaimana berurusan dengan manusia yang lain. Hendaklah kita bersemangat untuk belajar tafsir Qur’an ini. Mereka yang tidak mahu belajar adalah kerana mereka tidak tahu apakah Qur’an itu lagi.

Satu lagi pendapat mengatakan bahawa kata dasar الْإِنسَانَ itu adalah dari perkataan nasiya – lupa. Memang tidak dinafikan manusia itu memang mudah lupa. Maka sebab itulah kita amat memerlukan peringatan sentiasa. Maka itulah sebabnya Qur’an itu adalah peringatan kepada kita. Sampaikan salah satu nama bagi Quran itu adalah الذكرى – peringatan. Maka untuk dapat peringatan, kenalah selalu dibaca Qur’an ini. Jangan baca sekali sahaja dan sangka sudah faham. Malangnya masyarakat kita, selalunya bila dah khatam Qur’an, maka dah ada lesen untuk tutup Qur’an terus.

Begitulah rahmah Allah kepada kita semua. Allah tidak biarkan kita begitu sahaja tanpa panduan dan ingatan. Sebab itulah banyak ayat Qur’an diulang-ulang perkara yang sama. Kerana kita selalu lupa tanggungjawab kita. Maka Allah ingatkan kita. Bukan kita tak tahu, tapi kita lupa. Oleh kerana itu, kita memang memerlukan peringatan itu. Macam kita suruh anak kita ulangkaji, bukan dia tidak tahu dia kena ulangkaji. Cuma selalu lupa sahaja. Maka, kita kena ingatkan berkali-kali.

Allah mengatakan manusia itu pelupa. Tapi apakah yang kita lupa? Kita lupa tentang Allah. Itulah yang disebut dalam ayat pertama dalam surah ini. Kita lupa siapakah ar-Rahman itu. Padahal kita sudah kenal Allah dari sebelum kita diturunkan ke alam dunia lagi, seperti yang disebut dalam A’raf:172:

وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنْ بَنِي آدَمَ مِنْ ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَا ۛ أَنْ تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ

Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”,

Malangnya, apabila manusia masuk ke alam dunia, kita sudah lupa siapakah Allah itu. Maka, itulah sebabnya Qur’an mengingatkan kita kembali tentang Allah. Apabila seseorang itu lupa, peringatanlah perkara yang paling penting kepada orang itu.


 

Ayat 4: Rahmat yang seterusnya. Bukan sahaja Allah jadikan tubuh kita, tapi sifat kita juga Allah yang jadikan. Allah bukan sahaja jadikan mulut kita, tapi Allah jadikan juga sifat boleh bercakap. Macam binatang, ada mulut tapi tidak boleh berbicara, bukan?

Dengan boleh bicara, manusia dapat menceritakan perihal dalamannya. Contohnya, kita rasa sakit, tapi kita juga boleh memberitahu orang lain tentang sakit kita. Ini adalah satu keistimewaan.

عَلَّمَهُ الْبَيَانَ

Dia lah yang telah mengajar manusia berkata-kata.

‘Bayan’ dari kalimah ب ي ن yang antara bermaksud menjelaskan. Ia adalah kebolehan untuk menyampaikan apa yang ada dalam akal kita. Untuk membolehkan manusia memahami Qur’an yang disampaikan, Allah telah memberikan manusia kebolehan berkata-kata dan memahami konsep yang kompleks. Inilah yang dikatakan diajar kepada Nabi Adam a.s. apabila baginda diajar ‘asma’.

Sekali lagi Allah menggunakan kata ‘mengajar’ dalam ayat ini. Kali ini Allah telah khususkan bahawa yang diajar adalah ‘manusia’ dalam ayat ini. Ini adalah kerana masdar ‘hu’ dalam perkataan عَلَّمَهُ  itu merujuk kepada manusia, seperti yang telah digunakan dalam ayat sebelumnya.

Tapi dalam mengajar Qur’an, Allah tak sebut ‘siapa yang diajar’. Tapi dalam mengajar berkata-kata, Allah cakap ajar kepada ‘manusia’. Tidak disebut yang Qur’an ini diajar kepada manusia, atau kepada nabi, atau kepada Jibrail dan sebagainya. Ini adalah kerana Qur’an itu bersifat universal. Pengajaran Qur’an itu bersifat menyeluruh. Pengajaran Qur’an boleh dimanfaatkan oleh banyak jenis makhluk. Itulah salah satu lagi dari rahmah Allah. Ia terbuka kepada semua sekali. Sesiapa sahaja yang Allah mahu, Allah akan beri.

Tapi tidak semua makhluk diberikan dengan kebolehan berkata-kata. Allah beri kita (manusia) kebolehan berkata-kata dan faham perkataan ini adalah supaya kita boleh belajar Qur’an.

Kalau Allah sendiri dah kata yang Dia sendiri yang ajar Qur’an itu, tapi kita buat tak kisah sahaja, dengan tidak ada usaha nak belajar, itu menunjukkan yang kita sombong. Kalaulah ada orang yang beri kita hadiah yang mahal, tapi di depannya lagi kita sudah buat tak endah sahaja, itu adalah jenis yang kurang ajar, bukan? Orang yang tidak menghargai, bukan? Maksudnya kita tidak menghargai orang yang memberi itu, bukan? Bermakna, kita yang tidak belajar Qur’an ini sebenarnya tidak menghargai Allah sendiri. Kita boleh kata kita sayang Qur’an, tapi bukti kita sayang adalah kita mempelajarinya. Belajar faham, bukan setakat belajar ‘baca’ sahaja.

Semua makhluk ada ‘kalam’- boleh bercakap dalam bahasa mereka, tapi tidak semua ada ‘bayan’. Apa bezanya? Perkataan الْبَيَانَ diambil dari perkataan بين yang bermakna ‘membezakan antara dua perkara’. Iaitu boleh mengasingkan dari satu idea ke satu idea, dari syllable ke syllable, paragraph, chapter, buku dan sebagainya. Kita belajar dengan memisahkan satu perkara dengan perkara yang lain. Bandingkan antara A dan B supaya lebih faham. Pecahkan sesuatu perkara yang kompleks kepada bahagian-bahagian yang asas dan kemudian fahamkan yang asas itu satu persatu.

Inilah kelebihan yang diberikan kepada manusia yang tidak diberikan kepada makhluk lain. Manusia diberikan kelebihan berkomunikasi sebegini. Sebab itulah kita boleh menulis buku, thesis, computer code programming dan sebagainya. Tak semua makhluk ada kebolehan ini. Cara percakapan manusia adalah pada tahap yang tinggi.

Manusia adalah jenis makhluk yang boleh nampak arahan hanya dengan kata-kata. Macam makhluk lain, mereka perlu nampak benda itu. Macam binatang, mereka perlu nampak api di hutan, barulah mereka akan lari dari api itu. Tapi dengan manusia, kita boleh faham arahan dalam bentuk perkataan.

Sebab itu kita boleh terima peringatan dalam bentuk Qur’an. Sebab itulah Allah turunkan peringatan dalam bentuk kata-kata/kalam. Jadi, kalau ada yang tak mahu terima peringatan itu, kerana kononnya mereka kata mereka nak lihat juga lihat Allah, lihat malaikat dan sebagainya baru nak percaya, mereka sebenarnya menidakkan kebolehan mereka yang boleh memahami kata-kata. Mereka nak kata bahawa mereka macam binatang juga, dah nampak baru nak percaya!

Lagi satu maksud الْبَيَانَ  adalah ‘kejelasan’. Kita boleh faham sesuatu perkara dengan jelas dan kita ada kebolehan untuk menyampaikan sesuatu itu dengan jelas.

Kelebihan yang ada pada manusia ini amat dihormati oleh makhluk lain termasuk malaikat. Mereka pun tidak ada kebolehan ini. Begitulah yang terjadi pada Nabi Adam yang Allah telah ajar semua asma’ sampaikan malaikat pun hormat kerana mereka tak tahu. Ini kita boleh rujuk dalam 2:31-32.

Jadi, kita kena hormat apa yang keluar dari mulut kita kerana kebolehan memahami dan menyampaikan الْبَيَانَ  ini adalah sesuatu yang dihormati. Kata-kata lucah, kata kotor, kata-kata kosong, yang buang masa dan sebagainya, itu tidak sesuai untuk seorang muslim. Ingatlah bahawa kebolehan berkata-kata ini Allah beri supaya kita boleh baca Qur’an. Jangan kita kotorkannya dengan perkataan yang tidak patut.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut Allah mengajar Qur’an kepada makhluk. Maka, kita lihat manusia yang beragama Islam akan menghormati Qur’an itu – mereka akan pegang dan junjung Qur’an, nak baca pun ambil wudu, kalau perempuan tak bertudung pun bila nak baca Qur’an tiba-tiba pakai tudung, membelakangi Qur’an pun ramai takut nak buat, negara kita pun selalu buat pertandingan musabaqah Qur’an (walaupun ini adalah satu perkara yang salah kerana Qur’an tidak boleh dipertandingkan), dan sebagainya, itu semua menunjukkan bagaimana manusia hormat kepada Qur’an itu. Kerana Allah yang mengajarnya.

Lalu, bagaimana dengan kata-kata manusia ini? Tidakkah kita perlu menghormatinya juga? Tentulah sepatutnya begitu juga kerana ia juga diajar Allah sama seperti Qur’an juga. Seperti yang disebut dalam ayat ini.

Orang Islam kena berhati-hati dengan apa yang mereka kata dan apa yang mereka baca. Kerana amat banyak sekali perkara yang mengarut dalam dunia ini. Terutama sekali kerana kita sekarang berada dalam zaman internet. Lagi senang terdedah kepada benda yang buang masa ini. Lagi banyak terbuka kepada idea-idea yang mengarut. Lagi banyak peluang terpesong kerana terpengaruh dengan pendapat-pendapat yang berbagai-bagai yang tidak berdasarkan nas yang benar.

Allah beritahu yang Dia yang mengajar manusia berkata-kata. Allah tidak spesifik mengatakan bahasa Arab atau bahasa mana-mana. Allah cuma cakap ‘berkata-kata’ sahaja. Ini bermaksud, semua bahasa adalah diajar oleh Allah. Kerana Allahlah yang membolehkan manusia berkata-kata dalam bahasa mereka. Kerana itulah kita kena menghormati bahasa orang lain. Janganlah kerana kita tidak suka orang kafir, kita kutuk bahasa mereka. Ingatlah bahawa bahasa Inggeris itu pun diajar oleh Allah juga.

Kita juga jangan mengejek bangsa dan bahasa negara lain. Tapi itulah yang banyak digunakan dalam komedi dan lelucon. Kita suka mentertawakan sesuatu bangsa yang bukan dari bangsa kita.

Maka kita jangan terlibat dengan perkara itu. Maka, kita sebagai muslim kena pandai cari alternatif kepada hiburan yang tidak menyebabkan dosa. Bandingkan apa yang digunakan sebagai hiburan zaman kita dan bandingkan dengan hiburan zaman dahulu. Zaman dulu jauh lebih bermaruah dan sofistikated. Mereka berhibur dengan menggunakan kisah-kisah dan syair dan sajak yang indah.

Tapi, lihatlah kita sekarang, apakah bahan hiburan kita – lagu, kata-kata lucu, laman social media yang berbagai-bagai dan banyak lagi. Ianya jauh rendah dari apa yang digunakan sebagai bahan hiburan zaman dahulu. Maknanya, kita menuju kepada kejatuhan dan bukan kemajuan. Ini amat menyedihkan, bukan?

Kebolehan manusia itu adalah boleh berkata-kata dalam bermacam-macam bahasa. الْبَيَانَ bermaksud menyampaikan apa yang kita hendak sampaikan. Tapi, bukan setakat bercakap sahaja, tapi merangkumi semua cara untuk menyampaikan maksud kita. Samada dengan cara signal ataupun menulis dan sebagainya. Ini adalah kelebihan manusia.

Apakah kepentingan dalam kebolehan menyampaikan kehendak kita? Pertamanya, ini membezakan kita dengan makhluk lain dalam dunia ini. Binatang tak boleh nak bercakap atau menyampaikan maksud mereka dengan jelas. Memang mereka ada juga cara komunikasi mereka, tapi tak jelas macam manusia.

Keduanya, telah disebut dalam ayat sebelum ini tentang kita telah diberikan Qur’an. Selepas kita dapat Qur’an, kita kenalah menggunakan kebolehan menyampaikan (الْبَيَانَ ) itu dengan menyampaikan Qur’an kepada manusia. Itu adalah satu tanggungjawap kita. Kena sampaikan kepada dunia, jangan simpan sendiri. Nabi pun suruh kita sampaikan Qur’an kepada manusia.

Walaupun kita dapat satu ayat sahaja dari Qur’an, kita kena sampaikan juga kepada manusia lain. Tapi, sebelum sampaikan, kenalah kita faham dahulu apakah tafsir Qur’an itu. Itulah pentingnya kena belajar tafsir Qur’an. Kalau kita sendiri pun tak tahu dan tak faham, ditakuti apa yang kita sampaikan itu salah pula. Dan memang akan salah pun kalau kita tak belajar.

Akhir sekali, dari ayat ini kita dapat isyarat bahawa seorang muslim kena tahu banyak bahasa. Bahasa lain membuka alam pengetahuan kepada kita. Kita kena ajar anak kita bahasa lain juga. Kerana semua bahasa ini sebenarnya diajar oleh Allah. Allah lah yang menjadikan adanya bahasa-bahasa ini.

Allah telah pilih satu bahasa iaitu bahasa Arab sebagai bahasa pilihan untuk kalamNya (Qur’an). Tapi tidaklah bermaksud bahasa lain tidak elok. Kita kena hormat bahasa lain. Janganlah kita macam sesetengah orang yang ekstrem sayangkan bahasa Arab sampaikan mengutuk bahasa lain terutama sekali bahasa Inggeris – sampai yang kata bahasa Inggeris adalah bahasa syaitan. Ma sha Allah! Ini tidak benar sama sekali.

Kalimah ب ي ن juga bermaksud ‘membezakan’. Maknanya Allah mengajar kita bagaimana hendak membezakan antara yang haq dan bathil, yang baik dan buruk, yang benar dan yang salah. Kerana kebolehan inilah kita boleh bezakan antara tahi dan makanan, antara benda yang boleh dimakan dan benda yang tidak boleh dimakan.

Dan bukan dalam perkara kehidupan juga kita diberikan dengan kebolehan membezakan kerana dalam keagamaan dan moral juga Allah telah berikan kelebihan ini. Jadi walaupun kita tidak diajar secara formal, kita tahu manakah yang baik dan buruk. Kita sendiri tahu dalam hati kita mana perkara yang baik dan buruk. Sebagai contoh, setiap orang tahu bahawa menipu itu adalah salah. Telah ditanam dalam fitrah kita dari sebelum kita lahir lagi. Kerana itu orang yang pertama kali menipu, dia rasa tidak selesa. Tapi setelah lama-lama menipu, maka dia telah rasa biasa sahaja menipu. Tapi asalnya, memang dia tidak selesa dan rasa bersalah sangat apabila menipu.

Maka fitrah yang Allah telah berikan ini kepada kita juga menyebabkan kita kenal Allah. Kita kenal Allah dari alam roh lagi dan kita telah mengaku bahawa Allah lah itu Tuhan kita. Tapi setelah lahir ke dunia, manusia telah lupa. Tapi kalau manusia menyelami dalam diri mereka, maka mereka akan berjumpa kembali dengan fitrah ini. Iaitu kalau manusia membuka hati mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 5: Ini nikmat afaqi alwi (nikmat luar tubuh, bahagian atas alam). Kalau kamu masih tidak mahu beriman dengan Qur’an dan dengan melihat kepada segala bahasa yang Allah telah jadikan, tidak mahu berpegang dengan ilmu fitrah yang Allah telah berikan, maka lihatlah kepada alam pula.

Sebelum ini Allah berkata tentang manusia. Sekarang tentang alam juga. Kenapa? Kerana alam pun Allah pun yang jadikan. Tapi alam yang dijadikan Allah itu mengikut arahan Allah.

الشَّمسُ وَالقَمَرُ بِحُسبانٍ

Sahih International

The sun and the moon [move] by precise calculation,

Malay

Matahari dan bulan beredar dengan peraturan yang tertentu;

 

الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ بِحُسْبَانٍ

Matahari dan bulan menurut ketetapan;

Keduanya bergerak di tempatnya dan dalam orbit mengikut ketetapan yang Allah telah berikan kepada keduanya. Kalimah asalnya adalah بِحُسْبَانِهِ (dengan ketetapanNya). Tapi untuk mencantikkan bahasa, Allah samakan bunyinya (berakhir dengan ن).

Perkataan حُسْبَانٍ adalah hyperbolize form (mubalaghah) kepada perkataan حسب (hisab) yang bermaksud ‘kiraan’. Apabila dalam bentuk hyperbolize form, ianya bermaksud ‘pengiraan yang amat tepat’. Lihatlah pengajian astronomi yang mengatakan bahawa kedudukan bulan, matahari dan segala planet adalah dalam kedudukan yang tepat sekali. Kalaulah ianya bergerak sedikit sahaja dari kedudukan itu, maka langit akan bertempiaran lari kedudukan segala planet termasuk bumi sekali. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ}

Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya. (Yasin: 40)

Ianya juga adalah isyarat kepada ‘pengiraan masa’. Manusia adalah makhluk yang paling mulia. Tapi ada lagi makhluk lain yang lebih menghormati masa dari kita. Mereka disiplin dengan masa. Cukup waktu sahaja, ianya akan bergerak mengikut ketetapan Allah.

Kita yang disiplin pun kena ikut pergerakan matahari dan bulan itu. Antaranya kita akan ikut pergerakan matahari dan bulan itu untuk mengira waktu solat. Dan juga kita menggunakan kedudukan matahari dan bulan untuk mengira masa – hari dan bulan (bulan Qamariah).

Dengan adanya matahari dan bulan itu kita boleh kira masa. Kalau sekarang kita gantung kalender kita di dinding, tapi Allah gantung kalenderNya di langit!

Allah nak kita lihat kebaikan yang ada dalam makhluk ciptaanNya yang lain dan memasukkan kebaikan itu dalam diri kita. Ambil mana yang baik. Allah selalu buat begini – bandingkan alam dengan kita. Oleh itu kita kenalah lihat alam ini dan ambil pengajaran dari alam ini. Bukanlah kita memerhatikan alam dengan kosong sahaja – kena tahulah kita bahawa Allah hendak mengajar kita dengan menyuruh kita melihat alam itu.

Kalimah حُسْبَانٍ juga bermaksud ‘kemusnahan yang amat besar’. Yang akan berlaku pada masa yang telah ditetapkan. Allah nak mengatakan bahawa matahari dan bulan itu akan musnah apabila tiba masanya. Tidak akan diawalkan dan tidak akan dilewatkan. Kita sahaja yang tidak tahu bilakah ianya akan terjadi. Yang tahu hanyalah Allah sahaja.

Ianya mengingatkan kita kepada hari Kiamat yang pasti berlaku. Tanda hari akhir adalah kedatangan Nabi Muhammad. Kedatangan Nabi Muhammad itu pun sudah satu tanda. Semua Nabi-nabi sebelum nabi Muhammad telah menerangkan kepada umat mereka tentang kedatangan Rasul Akhir Zaman. Jadi, bila Nabi Muhammad sudah diangkat, maknanya selepas ini adalah Kiamat kerana tidak ada Nabi lain lagi dah.

Satu lagi tanda akhir adalah bulan terbelah. Ini pun telah terjadi. Kedatangan Qur’an juga adalah tanda akhir. Jadi tanda sebenarnya telah ada. Yang tinggal adalah kehancuran matahari dan bulan yang disebut dalam ayat ini. Kehancuran keduanya itu adalah tanda yang amat akhir sekali.


 

Ayat 6: Nikmat afaqi bahagian bawah pula.

وَالنَّجمُ وَالشَّجَرُ يَسجُدانِ

Sahih International

And the stars and trees prostrate.

Malay

Dan bintang-bintang serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.

 

وَالنَّجْمُ وَالشَّجَرُ

Dan bintang-bintang serta pokok-pokok,

Bintang dan pokok adalah dua benda yang orang Arab tenung sentiasa. Kepada mereka itulah keindahan yang ada pada zaman itu. Waktu itu tidak ada hiburan lain lagi, macam tv, internet dan sebagainya.

Pada malam hari mereka akan lihat bintang dan memikirkan tentangnya. Mereka juga adalah bangsa yang suka tidur malam hari di atas bumbung rumah mereka.

Dan apabila tinggal di padang pasir, kalau ada pokok, itu adalah satu kegembiraan kepada mereka. Kerana pokok tidak banyak, padang pasir yang banyak. Jadi, bila ada pokok, mereka akan suka.

Ada khilaf di kalangan ulama tentang maksud kalimah النَّجْمُ di dalam ayat ini. Ia terbahagi kepada dua pendapat:

  1. Ibn ‘Abbas, Sa’id bin Jubair, Suddi, and Sufyan Thauri berpendapat ia bermaksud tumbuh-tumbuhan yang tidak ada batang seperti sayuran, tembikai dan selainnya. Ianya jenis pokok yang rendah-rendah. Ini dikuatkan lagi kerana selepas itu terus disebut pokok (الشَّجَرُ) iaitu tumbuhan yang ada batang dan dahan. Maka ada kaitan antara keduanya.
  2. Tetapi ada juga ulama seperi Mujahid, Qatadah and Hasan Basri yang berpendapat ia bermaksud ‘bintang’. Ini adalah kerana النَّجْمُ selalunya dikaitkan kepada bintang walaupun ia juga boleh bermaksud tumbuhan yang melata. Dan dalam ayat sebelumnya telah menyebut tentang matahari dan bulan dan sesuai sekali kalau terus disebut dengan bintang dalam ayat ini.

 

يَسْجُدَانِ

masing-masing tunduk menurut peraturanNya.

Bagaimana keduanya tunduk? Ada ulama yang mengatakan rupa bintang itu pun dalam bentuk sujud juga. Iaitu apabila tahi bintang jatuh. Dan pokok-pokok pun kita boleh nampak bagaimana ianya kadang-kadang dalam bentuk sujud juga. Dan bagaimana bayangnya menjadi panjang yang seperti sujud juga.

Lebih mudah lagi, kalimah ‘sujud’ itu bermaksud ‘taat’. Iaitu taat dengan arahan Allah. Semua kehidupan dalam alam ini taat kepada Allah. Semuanya ikut arahan Allah dan tidak ada ikut arahan dari ilah-ilah atau tuhan-tuhan yang lain.

Jadi dua benda yang mereka pandang tinggi itu pun sujud kepada Allah. Jadi kenapa kamu sendiri wahai manusia tidak sujud kepada Allah?

Manusia lebih mulia dari ciptaan yang lain. Tapi walaupun mereka rendah dari kita, mereka sujud dan taat kepada Allah. Mereka tidak diajar Qur’an, tapi mereka taat juga kepada Allah. Maka, kita yang lebih mulia, dan telah diberikan Qur’an, sepatutnya kita lebih taat lagi kepada Allah.


 

Ayat 7: Ada tiga ayat yang menyebut الْمِيزَانَ selepas ini. Menunjukkan betapa pentingnya ‘keadilan itu’. Kalimah الْمِيزَانَ itu bukan hanya bermaksud ‘keadilan’ sahaja tetapi ada tiga tafsiran:

  1. keadilan,
  2. neraca untuk menimbang,
  3. akal fikiran.

وَالسَّماءَ رَفَعَها وَوَضَعَ الميزانَ

Sahih International

And the heaven He raised and imposed the balance

Malay

Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan neraca keadilan,

 

وَالسَّمَاءَ رَفَعَهَا

Dan Dia meninggikan langit,

Kejadian langit itu amat hebat sekali. Kita pandang langit itu tinggi sangat. Dan kita tidak dapat nak jangkau keseluruhan langit itu. Langit pertama (juga dikenali sebagai langit dunia) pun kita tidak dapat teroka lagi, apatah lagi langit lain.

 

وَوَضَعَ الْمِيزَانَ

serta Dia mengadakan keadilan,

Allah sebut tentang alam kerana Allah mahu kita melihat alam dan mengambil pengajaran dari alam. Lihatlah kepada langit itu. Langit itu tinggi dan amat seimbang. Semuanya berada pada tempatnya. Kalau bergerak sikit sahaja dari yang Allah telah aturkan itu, maka alam ini akan bergelimpangan (kerana gangguan pada tarikan graviti antara satu sama lain).

Ini adalah isyarat kepada ‘keadilan’. Kerana seimbang itu membawa kepada maksud ‘adil’. Kalau neraca pun kita selalu bayangkan sebagai neraca yang seimbang, bukan?

Allah hendak kita berlaku adil. Maka, Allah tidak suka kalau kita tidak adil dalam segenap hal. Sebagaimana Allah telah menjadikan alam ini menggunakan konsep keseimbangan, maka kita pun kena juga ‘seimbang’ yang selalunya disebut sebagai ‘adil’. Maka Allah tuntut kita buat keadilan. Ini kerana semasa ayat ini diturunkan, rata-rata masyarakat Arab zalim – menindas manusia yang di bawah mereka. Jadi setelah Allah memperkenalkan DiriNya, maka Allah selitkan tuntutan supaya hamba menjadi adil. Itu pun kalau mahu selamat.

Dengan akal manusia yang diberikan oleh Allah, manusia boleh mengadakan/menegakkan keadilan. Iaitu keadilan dalam berhukum, keadilan dalam perniagaan dan dalam segenap hal. Qur’an pertama sekali mengajar tentang tauhid dan keduanya tentang ‘keadilan’ kerana ianya amat penting. Dan rata-rata manusia tahu apakah keadilan itu, walaupun dia seorang yang zalim. Kerana orang yang zalim pun, dia tidak suka orang buat zalim kepada diri dia sendiri, bukan? Dia sendiri tidak boleh terima kerana naluri manusia tidak suka kepada kezaliman dan suka kepada keadilan.

Katakanlah kita seorang peniaga, maka kita kena timbang dengan tepat. Jangan bagi kurang kepada pembeli kita.

Atau kalau kita pegawai yang menjaga undang-undang, jangan kita ambil peluang dari kedudukan kita. Macam pegawai polis trafik yang tahan pesalah jalan raya dan mereka ambil rasuah dari mereka itu. Atau polis yang tahan pendatang asing dan buat pasal supaya mereka boleh ambil duit dari mereka. Banyak lagi contoh-contoh yang berkenaan keadilan ini yang hendaklah kita tegakkan.

Dan kita di rumah juga kena adil dengan ahli keluarga kita. Kena beri kepada mereka apa yang patut.


 

Ayat 8: Perkataan الْمِيزَانَ digunakan sekali lagi. Allah tekankan supaya jangan zalim.

أَلّا تَطغَوا فِي الميزانِ

Sahih International

That you not transgress within the balance.

Malay

Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan;

 

Dalam perniagaan yang melibatkan timbangan, jangan ada penipuan. Kena pastikan alat menimbang itu tepat.

Ini juga termasuk urusan menjaga amanah. Kita kena jaga amanah yang diberikan kepada kita. Katakanlah kita telah diberikan amanah untuk belajar. Amanah itu adalah dari ayah kita, komuniti kita, keluarga kita dan sebagainya. Mereka membayar biaya kita untuk belajar di kolej, di universiti dan sebagainya. Kalau kita belajar sambil lewa dan tidak belajar, maka kita telah menidakkan amanah itu.

Dan ada banyak lagi amanah yang hendaklah kita tegakkan. Terlalu panjang untuk kita bincangkan di sini. Sebagai contoh, kita kena adil sebagai bapa, sebagai pemimpin, majikan, rakyat jelata, majikan, semuanya sekali. Semua kena jadi adil. Dan adil kemuncak sekali adalah tauhid dan zalim paling teruk sekali adalah syirik.

Kalau kita mengambil tafsir الْمِيزَانَ sebagai ‘akal’, maka jangan melebihi akal. Kerana akal yang waras akan menuju wahyu. Ia tidak akan berlawan dengan wahyu dan melampauinya.


 

Ayat 9: Sekali lagi disebut perkataan mizan itu.

وَأَقيمُوا الوَزنَ بِالقِسطِ وَلا تُخسِرُوا الميزانَ

Sahih International

And establish weight in justice and do not make deficient the balance.

Malay

Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

 

وَأَقِيمُوا الْوَزْنَ بِالْقِسْطِ

Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil,

Hendaklah kita menegakkan keadilan dalam segenap perkara.

 

وَلَا تُخْسِرُوا الْمِيزَانَ

serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.

Janganlah juga kita tidak berlaku adil. Lebih-lebih lagi kalau kita dalam kedudukan yang boleh memberi keputusan. Mungkin kita adalah hakim, pemimpin, ibubapa, pegawai di tempat kerja dan sebagainya. Hendaklah kita berlaku adil dan menegakkan keadilan.

Jangan kurangkan timbangan dalam jual beli. Jangan jadikan orang lain rugi dalam muamalah. Iaitu mengurangkan benda yang dia patut dapat.

Jadi telah ada 4 perkara tuntutan awal dari Allah selepas Allah memperkenalkan DiriNya.


 

Ayat 10: Tadi telah sebut tentang langit, sekarang sebut tentang bumi pula. Allah suruh lihat kepada nikmat yang diberiNya kepada kita di bumi pula. Dari ayat ini dan sampai ayat 20, Allah akan banyak menceritakan tentang nikmat-nikmat yang telah diberikanNya kepada manusia dan jin.

Iaitu nikmat umum yang diberikan kepada semua makhluk jin atau manusia. Beriman atau tidak, manusia dan jin tetap juga dapat nikmat-nikmat itu. Ini kerana nikmat itu ada yang diberikan kerana usaha dan ada nikmat yang diberikan tanpa usaha pun.

وَالأَرضَ وَضَعَها لِلأَنامِ

Sahih International

And the earth He laid [out] for the creatures.

Malay

Dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain:

 

Perkataan أنام bermaksud semua kehidupan yang bernyawa. Mengikut ibn Abbas, ia bermaksud apa sahaja yang ada roh. Manusia, binatang, serangga dan sebagainya. Bukannya dunia ini dijadikan untuk kita sahaja tapi semua makhlukNya yang hidup di dunia ini.

Hendaklah kita menghormati juga kehidupan mereka. Jangan kita tindas mereka. Ini penting kerana ada manusia yang menyeksa binatang-binatang dalam alam ini. Dan telah memotong tanaman-tanaman untuk kepentingan mereka.


 

Ayat 11: Allah bukan jadikan bumi ini kosong sahaja, tapi macam-macam Allah berikan kepada kita di dalamnya.

فيها فاكِهَةٌ وَالنَّخلُ ذاتُ الأَكمامِ

Sahih International

Therein is fruit and palm trees having sheaths [of dates]

Malay

Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma yang ada kelopak-kelopak mayang;

 

فِيهَا فَاكِهَةٌ

Terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan

Allah terus sebut tentang makanan sebab inilah kepentingan utama makhluk. Bayi yang baru lahir pun terus nak makanan, bukan? Disebut buah-buahan dalam ayat ini tetapi ia mewakili semua makanan.

Perkataan فَاكِهَةٌ asalnya bermaksud ‘gembira’. Digunakan untuk merujuk kepada buah-buahan kerana apabila makan buah-buahan, kita jadi suka dan tersenyum. Rasanya yang enak telah menggembirakan kita.

Allah nak beritahu bahawa Allah beri kehidupan ini dan segala keindahannya adalah untuk manusia dan juga makhluk-makhluk lain yang ada di bumi. Semua makhluk dapat makan segala rezeki yang Allah kurniakan. Tapi yang dapat menghargai makanan yang sedap adalah manusia. Bukan makan setakat nak hidup sahaja. Tapi kita pandai makan makanan yang beri kepuasan untuk kita. Kita sanggup mencari makanan yang sedap-sedap kerana kita dapat menghargai makanan.

Oleh itu, lihatlah rahmat Allah kepada kita. Kalau nak bagi cukup makan untuk kelangsungan hidup sahaja, tak perlu nak bagi makanan yang sedap pun.

 

وَالنَّخْلُ

dan pohon-pohon kurma

Walaupun Allah telah sebut makanan secara umum (menggunakan kalimah buah-buahan), tetapi Allah tetap khususkan sebut kurma juga. Ini kerana orang Arab tetap mahukan kurma macam kita nak nasi juga apabila pergi mana-mana. Maka Allah sebut jugalah kurma untuk memuaskan hati mereka. Kerana kalau tiada, maka mereka tidak akan puas hati.

Dan memang hebat kurma ini kerana ia adalah makanan berzat dan tidak berubah harganya dari dulu sampai sekarang.

Dan pokok kurma adalah sesuatu yang cantik kepada orang Arab. Bukan hanya kepada mereka sahaja. Ada tempat-tempat lain dalam dunia ini, yang menunjukkan manusia suka kepada pokok palm ini. Lihatlah kawasan California yang banyak pokok palm. Dan ia menjadi satu tempat yang mahal. Kerana ia memberi perasaan gembira dan puas kepada mereka yang melihatnya.

Pokok palm yang dijadikan hiasan lanskap dalam hiasan moden.

Allah selalu sebut pokok kurma dalam Qur’an kerana Qur’an mula diturunkan kepada bangsa Arab. Jadi, mereka dah biasa dengan kurma. Bukanlah nak kata hanya pokok kurma sahaja yang ada dalam dunia ini. Kalau di tempat kita, banyak lagi jenis buah-buahan. Tapi kalau dengan orang Arab diceritakan tentang rambutan, sudah jadi satu kerja pula nak menerangkan kepada mereka apakah rambutan itu kerana mereka tak pernah tengok pokok rambutan.

Kurma juga adalah tumbuhan tapi Allah sebut secara berasingan kerana ianya ada kelebihan. Ianya boleh digunakan samada dalam bentuk basah atau kering.

 

ذَاتُ الْأَكْمَامِ

yang ada kelopak;

Bukan dengan buah sahaja, tapi Allah beri buah kurma itu dengan kelopak sekali. Buah itu ada pembalut sekali sebagai pelindung. Itulah hadiah Allah kepada manusia. Bandingkan kalau kita beri hadiah kepada seseorang, kalau hadiah itu penting, maka kita akan balut hadiah itu dulu. Kehebatan hadiah itu boleh dilihat dengan hebat balutannya juga. Kadang-kadang, tengok pembalut sahaja kita dah suka kerana dibalut dengan cantik dan kemas. Kalau balutan pun dah cantik, maka hadiah itu pun selalunya lagi cantik.

Food packaging adalah satu perniagaan yang bernilai trillion dollar. Hampir semua makanan dijual dengan bungkusan yang cantik-cantik. Tapi pembungkus makanan manusia menyebabkan keburukan kepada alam sekitar. Tapi lihatlah pembungkus makanan yang dibuat oleh Allah: kalau kita buang pembungkus kelopak itu ke tanah, ia tidak akan mencemarkan tanah kerana ianya adalah biodegradable.

Tapi pembungkus makanan manusia, kalau dibuang begitu sahaja, akan menyebabkan kerosakan pada tanah. Tapi Allah jadikan pembungkus makanan dalam buah-buahan dan tanaman amat baik sekali. Tak kisah kalau nak buang ke tanah. Bahkan ianya akan menjadikan tanah itu lebih subur lagi. Ma sha Allah. Lihatlah nikmat Allah ini.


 

Ayat 12:

وَالحَبُّ ذُو العَصفِ وَالرَّيحانُ

Sahih International

And grain having husks and scented plants.

Malay

Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan yang harum;

 

وَالْحَبُّ

Demikian juga terdapat biji-bijian

Ini pula adalah jenis makanan ruji seperti gandum dan juga beras.

 

ذُو الْعَصْفِ

yang ada kulit,

Untuk biji-bijian pula Allah jadikan kulit sebagai pelindung kepada bijian itu. Bila kita nak makan, kita kupas dan bijian itu akan segar lagi dan sedap. Kulit-kulit itu pula cantik. Kadang-kadang digunakan dalam design yang dijadikan manusia.

Kulit itu juga menjadi makanan binatang. Iaitu jerami. Kena fikirkan juga sebab binatang perlukan makanan juga. Orang Arab kalau tempat tidak ada makanan untuk unta dia, dia tak mahu. Kerana mereka memerlukan unta mereka dan unta mereka memerlukan makanan juga.

 

وَالرَّيْحَانُ

dan berbau harum;

Iaitu angin yang berbau harum. Sedap dihidu dan menyegarkan. Ini boleh dialami kalau kita pergi ke kawasan ladang apabila musim menuai. Akan dapat menghidu bau wangi itu.

Itu semua adalah keindahan yang diberikan kepada manusia. Manusia kafir tidak nampak segala keindahan alam ini kerana mereka dah biasa nampak. Mereka anggap ia sebagai biasa sahaja. Mereka tak nampak bahawa yang menjadikan segala itu adalah Allah. Dan Allah telah memberi segala kehebatan dan keindahan itu kepada manusia. Maka kita janganlah jadi seperti mereka. Hendaklah kita melihat alam ini dengan mata hati.

Musyrikin Mekah minta nak lihat perkara-perkara ajaib dari Nabi Muhammad, tapi mereka lupa bahawa semua yang mereka lihat dalam ini adalah semuanya yang ajaib belaka. Mereka sahaja yang tertutup pintu hati mereka sampai mereka tak nampak. Oleh itu, mereka minta nak lihat Allah, nak lihat malaikat. Mereka minta supaya tanah Arab yang padang pasir itu dijadikan menghijau. Dan macam-macam lagi yang mereka minta.

Kononnya, mereka kata: ‘Seeing is believing’. Tapi itu adalah hanya alasan mereka sahaja. Kalau mereka melihat alam ini dengan mata hati, mereka telah nampak kewujudan Tuhan. Tapi hati mereka telah tertutup mati.


 

Ayat 13: Inilah ayat yang diulang-ulang dalam surah ini. Apabila Allah memperkatakan tentang neraka, ayat ini diulang tujuh kali. Apabila memperkatakan tentang syurga, Allah mengulang ayat ini sebanyak lapan kali pula. Iaitu sama dengan bilangan pintu syurga dan pintu neraka.

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ

Sahih International

So which of the favors of your Lord would you deny?

Malay

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu berdua, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?

 

فَبِأَيِّ آلَاءِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat

Segala benda yang Allah telah jadikan dalam alam ini, dengan segala keindahan dan kegunaannya, apa lagi yang kamu hendak? Apa lagi yang kamu rasa Allah tak cukup beri lagi? Apa nikmat yang Allah telah berikan kepada kamu yang kamu tak mengaku datang dari Dia?

Nikmat mana yang kamu tak nampak lagi? Kamu nak tengok kebenaran, tidakkah kamu nampak semuanya yang telah ada dalam alam ini?

Kalimah آلَاءِ dalam ayat ini dan akan diulang-ulang selepas ini mengandungi banyak makna dan boleh ditafsir dalam berbagai-bagai cara. Selalunya ditafsirkan sebagai ‘nikmat’ seperti yang diterjemahkan dalam ayat ini. Tapi ia juga boleh membawa makna ‘kuasa’, iaitu kekuasaan Allah.

 

رَبِّكُمَا

Tuhan kamu berdua,

Apabila digunakan perkataan كما dalam ayat ini, ia merujuk kepada ‘dua entiti’. Siapakah yang dimaksudkan? Tidak disebut dalam ayat ini, hanya sebagai isyarat sahaja. Akan diterangkan selepas ini.

 

تُكَذِّبَانِ

yang kamu hendak dustakan?

Dengan segala apa yang Allah telah jadikan untuk kita, apa lagi yang kita hendak? Perkataan ‘dustakan’ itu bermaksud macam tidak mengaku telah menerima segala nikmat-nikmat itu.

Janganlah kamu nak kata ada entiti lain yang buat apa sahaja nikmat yang kamu pakai itu. Mana ada selain Allah yang buat?  Maka kalau Allah yang buat semua, kenapa kamu tak taat kepada Allah sahaja? Jangan guna nikmat Allah tapi derhaka kepada Allah.

Cara mendustakan itu juga dalam bentuk tidak mengaku yang Allah atau ada Tuhan yang menjadikannya. Kerana ada juga fahaman seperti atheist yang tidak percaya kewujudan Tuhan. Mereka kata dunia ini terjadi sendiri atau terjadi secara tidak sengaja. Ini memang fahaman yang amat bodoh sekali. Mana mungkin alam yang begini punya indah terjadi sendiri?

Ada juga yang mengaku Allah yang menjadikan alam ini. Tapi dalam masa yang sama mereka juga melakukan ibadat kepada selain Allah; mereka juga memuja selain Allah; mereka juga berdoa kepada selain dari Allah. Ini adalah mereka yang musyrik. Ini juga lagi teruk. Sudahlah mereka sudah terima Allah sebagai Khaaliq tapi mereka menjadikan ilah-ilah selain Allah.

Ada juga jenis yang mengaku Allah itu pencipta alam ini dan tidak menyembah selain Allah. Tapi mereka tidak sanggup untuk ikut taat kepada arahan Allah. Mereka hidup seolah-olah bukan Allah yang jadikan alam ini. Seolah-olah Allah jadikan alam ini tidak menetapkan cara hidup seperti yang dikehendakiNya. Jadi, mereka tidaklah kata Allah bukan Tuhan, tapi dari cara amalan dan cara mereka menjalani kehidupan mereka sudah menunjukkan mereka menidakkan ketuhanan Allah. Kerana kalau kita terima ketuhanan Allah, kenalah taat kepadaNya, bukan?

Jadi ada berbagai-bagai cara manusia dan jin mendustakan nikmat dan kekuasaan Allah. Maka Allah tanya dan kutuk mereka dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain.

Mesej Islam yang diingatkan kepada umatNya adalah untuk bersyukur kepada Allah. Kita kena bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Entah berapa banyak nikmat yang telah diberikan. Kita hanya pakai sahaja tapi tak bersyukur pun. Segala makanan, kesenangan, keamanan dan segala-galanya sampai tidak terkira. Kita sekarang ada makanan banyak sangat sampai banyak yang terlebih dan dibuang begitu sahaja. Itu adalah tanda orang yang tidak bersyukur apabila membazir. Kerana kalau kita menghargai sesuatu pemberian, kita tidak akan mensia-siakannya.

Nikmat itu kita selalu sangat dapat sampaikan kita rasa dah biasa sangat dah. Jadi kita rasa kita dah layak dapat benda tu. We take things for granted. Kalaulah sekali kala kita tak dapat atau kalau kita hanya dapat jarang-jarang, baru kita tahu erti nikmati itu.

Orang miskin senang sahaja untuk jadi gembira. Dapat barang sikit pun mereka dah gembira dah. Tapi orang kaya yang kononnya macam-macam mereka ada, selalu sahaja dalam kegelisahan. Selalu sahaja ada yang tak cukup. Ada sahaja masalah yang mereka nampak. Kalau ada masalah yang menyebabkan mereka susah sikit sahaja pun, mereka dah resah dah. Nak mengadu sahaja. Padahal, mereka macam-macam dah ada. Itulah sebabnya kejadian bunuh diri tinggi di negara yang maju kononnya. Kerana mereka ada sahaja masalah mereka.

Ini semua terjadi kerana kita tidak mengajar konsep ‘bersyukur dengan apa yang ada’ – ini adalah sifat ‘qanaah’. Kita tidak ajar anak-anak kita bagaimana menghargai nikmat yang ada. Oleh itu, mereka nak komplen sahaja. Padahal dah banyak dah mereka diberikan dengan nikmat dari Allah.

Ini terjadi apabila mereka rasa tinggi diri. Mereka sangka mereka ada kedudukan. Maka, Allah jelaskan siapakah kita yang sebenarnya dalam ayat selepas ini.

Ayat ini dalam bentuk pertanyaan dan ada dinaqalkan jawapan jin tentang soalan ini. Mereka jawap: اللهم ، ولا بشيء من آلائك ربنا نكذب ، فلك الحمد (“Ya Allah, tiada sesuatu pun dari nikmat-nikmat-Mu yang kami ingkari, maka bagi-Mulah segala puji.”)

Ayat ini disebutkan di dalam surah ini sebanyak tiga puluh satu kali. Istifham atau kata tanya yang terdapat dalam ayat ini mengandung makna taqrir atau menetapkan, demikian itu kerana ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Hakim melalui Jabir r.a. yang telah menceritakan,

Bahawa Rasulullah saw. membacakan kepada kami surah Ar Rahman hingga selesai. Kemudian baginda bersabda, “Mengapa kalian ini diam saja?” Sungguh jin lebih baik jawabannya daripada kalian. Kerana sesungguhnya tiada sekali-kali aku bacakan kepada mereka ayat ini, “Maka manakah nikmat-nikmat Rabb kamu berdua yang kamu dustakan?” (Q.S. Ar Rahman, 13) melainkan mereka menjawabnya, “Wahai Rabb kami, tiada satu pun nikmat-Mu yang kami dustakan, bagi-Mu segala puji.”

Dan Ibn Abbas juga biasa menjawap begini pula: لا بأيها يا رب (“Tidak, lalu yang manakah, wahai Tuhanku?”)


 

Ayat 14: Dalil Aqli. Satu lagi nikmat Allah kepada kita adalah kita dijadikan olehNya. Maka dari apakah kita dijadikan?

خَلَقَ الإِنسٰنَ مِن صَلصٰلٍ كَالفَخّارِ

Sahih International

He created man from clay like [that of] pottery.

Malay

Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,

 

خَلَقَ الْإِنسَانَ

Dia telah menciptakan manusia

Yang dimaksudkan di sini adalah Allah lah yang menjadikan manusia itu. Ini adalah salah satu lagi nikmat Allah kepada kita yang amat hebat. Dulu kita tidak ada, tidak disebut orang pun. Tapi bila kita dah lahir, barulah orang kenal kita dan beri nama kepada kita.

 

مِن صَلْصَالٍ

dari tanah liat kering

Ini adalah tempat tanah yang kering. Pecah-pecah. Iaitu apabila tanah itu telah lama tidak mendapat air. Jenis yang kalau kita jentik, ia akan berbunyi.

Dalam Qur’an, banyak disebut tentang kejadian manusia ini. Dan lain-lain kalimah digunakan. Ini menunjukkan ada proses-proses yang dilalui sebelum manusia dijadikan. Kalau kita senaraikan kalimah-kalimah yang digunakan seperti berikut:

  1. Turab تُرابٍ (tanah) seperti yang disebut dalam Ali Imran:59
  2. Tin طينٍ (tanah liat) seperti yang disebut dalam Sajdah:7
  3. Tin-i-lazib طينٍ لازِبٍ (tanah liat yang melekat) disebut dalam Saaffat:11
  4. Hama in musnun حَمَإٍ مَّسْنُونٍ seperti yang disebut dalam Hijr:26
  5. Salsalin kalfakhkhar; seperti yang disebut dalam ayat ini.
  6. Bashar disebut dalam Sad:71
  7. Sulala-tin-min-ma ‘in mahin سُلالَةٍ مِن ماءٍ مَهينٍ (saripati air yang hina) seperti yang disebut dalam Sajdah:8
Contoh tanah yang telah kekeringan

Contoh tanah yang telah kekeringan

كَالْفَخَّارِ

seperti tembikar,

Kalau tembikar dah pecah, ada guna lagi tak? Tidak berguna langsung.

Ini hendak mengingatkan diri kita betapa rendahnya diri kita. Jangan sangka kita ini tinggi. Kita sangka kita ada kepentingan dan ketinggian, tapi tidak sebenarnya. Kita patut rasa rendah diri.

Orang yang rendah diri selalunya senang bersyukur. Apabila mereka dapat nikmat, mereka akan menghargai nikmat pemberian itu. Yang rasa tinggi diri sahaja yang selalunya susah untuk bersyukur.


 

Ayat 15: Sekarang disebut makhluk lain pula.

وَخَلَقَ الجانَّ مِن مّارِجٍ مِّن نّارٍ

Sahih International

And He created the jinn from a smokeless flame of fire.

Malay

Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;

 

وَخَلَقَ الْجَانَّ

dan Dia menciptakan jin

Bukan sahaja Allah menciptakan manusia seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini, tapi Allah juga yang mencipta golongan jin. Dalam ayat ini, Allah mula menyebut tentang jin. Tahulah kita bahawa, yang dimaksudkan ‘Tuhan kamu berdua’ itu merujuk kepada manusia dan jin.

Ada banyak persamaan antara jin dan manusia. Mereka juga ada muka, kaki dan tangan. Mereka juga ada nafsu seperti kita juga. Mereka juga ada tanggungjawab agama sepertimana juga kita. Cuma bezanya, mereka tidak ada Rasul.

Mereka juga boleh terbang. Mereka boleh terbang sampai ke langit. Mereka tidak terbang dengan sayap kerana mereka tidak ada sayap. Mereka ada tanduk dan mereka ada kaki seperti kaki kambing. Malaikat ada sayap. Seperti Jibrail ada 600 sayap. Jin boleh terbang dengan kehendak mereka. Tidaklah semua, tapi ada jenis-jenis jin yang boleh terbang.

Dalam ayat ini baru disebut jin. Tapi dalam ayat ke 13 sebelum ini telah diberi isyarat tentang mereka apabila Allah menggunakan perkataan كما (kamu berdua) yang merujuk kepada manusia dan jin. Mufassir berkata, ini dilakukan kerana Allah tahu bahawa ada jin-jin yang mendengar bacaan Qur’an ini dan mereka telah disebut secara isyarat sebelum diceritakan tentang mereka.

 

مِن مَّارِجٍ

dari nyalaan pucuk

Ini adalah tentang penciptaan jin itu. Mereka dijadikan dari api (seperti manusia dijadikan dari tanah). Iaitu kalau kita lihat bahagian api itu, ianya adalah bahagian atas api itu. Iaitu bahagian api yang kita tak nampak. Bahagian itulah yang paling panas sekali. Dan bahagian ini tidak ada asap.

 

مِّن نَّارٍ

dari api.

Asal kejadian jin berlainan dengan manusia. Mereka dijadikan dari api dan kerana itu ada sifat-sifat api pada mereka.

Tapi sebagaimana kita ini tidaklah macam tanah lagi maka jin yang ada sekarang pun bukanlah dalam bentuk api. Kerana Nabi Adam sahaja yang dijadikan dari tanah, tapi kita dijadikan dari bahan lain, bukan?

Ayat ini mengajar kita yang jin juga dijadikan dari bahan alami, bukanlah mereka itu dalam bentuk roh pula. Tapi kita sahaja tidak dapat nampak mereka.


 

Ayat 16: Kali kedua ayat ini diulang.

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ

Sahih International

So which of the favors of your Lord would you deny?

Malay

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu berdua, yang kamu hendak dustakan?

 

Ayat ini sama dengan ayat yang sebelum ini dan sama dengan ayat-ayat yang lain. Tapi ulama membezakan apakah yang dimaksudkan, supaya bersesuaian dengan ayat sebelumnya. Bagaimana?

Sebelum ini disebut tentang kejadian manusia dari tanah liat dan jin pula dijadikan dari api. Tapi kalau kalimah آلَاءِ diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ sahaja, ia akan melarikan maksud dan kita pun tidak faham. Maka kalimah آلَاءِ boleh membawa maksud yang lain. Ia juga boleh membawa maksud ‘hikmat’ dan ‘kekuasaan’. Jadi dalam ayat ini, lebih sesuai kalau digunakan maksud ‘hikmat’ dan ‘kekuasaan’. Iaitu menceritakan tentang kehebatan kuasa Allah yang menjadikan makhluk manusia dan jin dengan hebat.

Dan dalam masa yang sama, juga ada nikmat yang Allah telah berikan kepada manusia dan jin. Jadi kalau آلَاءِ diterjemahkan sebagai ‘nikmat’ juga boleh. Kerana dengan rahmat Allah juga menjadikan kita dalam bentuk kita sekarang. Bayangkan kalau kita ada akal seperti yang kita ada sekarang, tapi Allah jadikan kita dalam bentuk ikan, contohnya? Kan susah hidup kita? Tapi Allah jadikan kita ada kaki, tangan, telinga dan sebagainya. Maka kita boleh gunakan kelebihan akal kita itu dengan lebih bermanfaat lagi, bukan?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Disember 2017


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Syeikh Nasir Jangda

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 055: Rahman. Bookmark the permalink.

9 Responses to Tafsir Surah Rahman Ayat 1 – 16 (Kenanglah rahmat Allah kepada kita)

  1. Aisyah says:

    terima kasih …. entri ini sgt membantu kita memahami maksud disebaliknya …. Dalam satu ayat ada beberapa perkataan tetapi huraiannya sgt panjang dan menyeluruh … Bila kita baca setiap tafsir ayat tersebut Allah menyuruh kita berfikir secara meluas dan mengambil kebaikan disebaliknya … Yg saya sangat kagumi, Allah swt selalu bercerita dgn kita tentang kekufuran manusia yg terdahulu dan betapa sesungguhnya AL-Quran itu diturunkan untuk mengajak kita berfikir tentang kebesaranNya…

    Like

  2. Assalamualaikum. Saya terjumpa blog ini sewaktu mencari rujukan untuk tafsir ar-Rahman. Alhamdulillah saya buka page ini sambil dengar dan bandingkan ibrah surah Ar-Rahman oleh Ustaz Syaari Ar Rahman.

    (Dia bukan mufassir tapi lebih kepada fasilitator kearah pembelajaran al-Quran.) Setakat ini semua point yang disampaikan adalah selari.
    Terima Kasih!
    Jazaakumullah

    Like

    • tafsirsunnah says:

      Alhamdulillah, tulisan saya ini dapat membantu. Teruskan pembelajaran dan memang molek mendengar banyak kupasan. Kerana setiap orang ada pemahaman yang berlainan dan kita boleh mengutip tambahan-tambahan maklumat.

      Like

  3. Xiao Lian says:

    Syukur Alhamdulillah… Banyak yang saya pelajari Dan saya renungi hasil Dari tulisan ini. Moga insan yang menulis ini sentiasa berada dalam Rahmat kasihNya yang tidak bertepi. Terima kasih Allah kerana menggerakkan tangan ini membuka blog ini. Sesungguhnya tiada lah daya mampu selain semuanya adalah kepunyaanMu..

    Like

  4. Aimie Mohd says:

    Terima kasih, saya betul betul suka website ni. Very beneficial, so props to you, semoga Allah membalas segala usaha awak. I’ve been reading other translations and tafsir, tapi sebab ulasan dan penjelasan website ni dalam bahasa melayu, rasa macam lagi senang nak mendalami apa yang Allah cuba sampaikan. I’ll be sure to bookmark this page 🙂

    Like

  5. Ruhannudin says:

    Subhanallah, moga usaha tuan dpt ganjaran Allah…sangat2 membantu dan menarik untuk kita berfikir ….

    Like

  6. Rar Pmo says:

    Assalamu’alaikom, saja nak kongsi fahaman ayat 17.

    Kalau kita perhatikan Sura Rahman ini menyentuh dua (2) spesis makhluk iaitu jin dan manusia. Jadi ada yg berpendapat apabila di sebut 2 timur dan 2 barat, adalah berkaitan 2 spesis itu juga. Setiap spesis di dunia masing2, dan sepatutnya tidak bercampur sebagaimana yg dikias dalam ayat 20.

    (Allah hu ‘alm)

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s