Tafsir Surah Maryam Ayat 77 – 98

Lompat ke awal Surah Maryam 

Ayat 77:

19:77
Sahih International

Then, have you seen he who disbelieved in Our verses and said, “I will surely be given wealth and children [in the next life]?”

Malay

Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan, akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: “Demi sesungguhnya, aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat?”

 

أَفَرَأَيْتَ الَّذِي كَفَرَ بِآيَاتِنَا

Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat Kami?

Huruf ف dalam perkataan أَفَرَأَيْتَ itu hendak menyampaikan maksud ‘konklusi’. Setelah segala maklumat yang diberikan kepada mereka, apakah konklusinya? Mereka masih lagi tidak mahu percaya. Mereka masih lagi mahu engkar dengan ayat-ayat Allah. Mereka tidak mahu percaya itu adalah kerana mereka tidak mahu belajar. Macam orang kita juga, macam-macam ilmu agama mereka telah belajar, tapi tafsir Quran tak pernah belajar lagi.

Keseluruhan makna perkataan أَفَرَأَيْتَ bermaksud: Boleh percaya tak dengan perbuatan mereka? Boleh percaya tak, yang ada manusia yang tak terima ayat Allah? Setelah diberikan petunjuk dari Allah dari segi ciptaan Allah dan kalamNya? Mereka boleh lihat alam ini dan mereka boleh baca ayat-ayat Allah. ‘Ayat-ayat’ Allah bukan sahaja dalam bentuk ayat-ayat Quran sahaja, tapi termasuk juga dengan tanda-tanda yang ada dalam alam ini. Sepatutnya kejadian alam yang maha indah ini, menjadi peringatan kepada manusia bahawa tentunya ada satu Tuhan yang menjadikannya. Tentunya ianya tidak terjadi dengan sendiri.

وَقَالَ لَأُوتَيَنَّ مَالًا

serta ia berkata: “Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan pada hari akhirat

Bukan sahaja mereka ingkar dengan ayat-ayat Allah, tapi mereka mempunyai harapan dan fahaman yang amat salah. Mereka ingat mereka akan diberikan dengan kebaikan kalau benar mereka akan dibangkitkan di akhirat kelak. Mereka sebenarnya tidak percaya pun hari kebangkitan. Tapi mereka kata, kalau adapun Hari Kebangkitan, tentunya mereka akan dapat kesenangan kerana mereka telah hidup senang di dunia ini. Faham mereka: kalau senang di dunia, maka tentu akan senang di akhirat nanti. Kalau Tuhan sayang mereka di dunia, tentulah Tuhan akan sayang juga mereka apabila di akhirat kelak. Itu sangkaan mereka sahaja.

Asbabun Nuzul ayat ini: seorang sahabat Nabi yang bernama Khabab telah meminjamkan sejumlah wang kepada seorang lelaki yang musyrik. Apabila Khabab minta dipulangkan wangnya, lelaki itu tak mahu pulangkan duit Khabab melainkan Khabab tinggalkan agama Islam. Dia nak gunakan wang itu untuk menyuruh Khabab tinggalkan Islam. Tentunya Khabab tidak mahu. Khabab marah dan terus berkata yang dia tak akan tinggalkan Islam dan dia kata kepada lelaki itu untuk tunggulah balasannya pada hari kebangkitan. Lelaki itu kata, kalau dia akan dibangkitkan, dia akan bayar Khabab apabila dia dibangkitkan. Sebab dia kata dia akan dapat kekayaan juga di sana. Sebab dia kata, kalau di dunia dia dah banyak harta, tentunya dia juga akan dapat kebaikan di akhirat. Khabab menceritakan kejadian ini kepada Nabi, maka itulah diturunkan ayat ini.

Orang Islam sekarang pun ramai yang rasa mereka akan dapat balasan yang baik di akhirat kelak. Kenapa mereka rasa begitu? Kerana ada kalangan kita yang banyak beri derma kepada anak yatim, orang susah dan sebagainya. Sebagai contoh, mereka akan beri banyak derma semasa mereka jadi wakil rakyat. Lebih-lebih lagi apabila musim pilihanraya. Tapi apakah niat mereka semasa beri derma itu? Adakah mereka ikhlas? Tentunya kita tidak dapat tahu hati manusia. Tapi, kalau nak tahu mereka ikhlas atau tidak, kita lihat apabila mereka tidak jadi wakil rakyat lagi. Kalau selepas tak jadi wakil rakyat, mereka dah tak derma lagi, maknanya mereka semasa memberi itu tidak ikhlas – mereka hendak sokongan undi sahaja. Jadi, apabila mereka telah beri banyak derma, mereka sangka bahawa mereka akan mendapat balasan yang baik. Mereka ingat mereka dah banyak pahala dah. Tapi mereka lupa, sedekah yang tidak ikhlas tidak akan dikira. Ini adalah satu contoh bagaimana ada orang yang sangka mereka akan mendapat kebaikan di Akhirat kelak.

وَوَلَدًا

dan anak-pinak”
Ayat ini bukan sahaja sahaja bermaksud ‘anak-anak’ sahaja. Boleh juga bermaksud ‘ramai pengikut’. Dia berbangga kerana di sisinya ada ramai orang. Mungkin ramai ahi keluarga, ramai hamba atau ramai pekerja.

Bukan lelaki musyrik itu sahaja yang berfahaman begini. Zaman sekarang pun banyak yang berfahaman begini. Sebagai contoh, ada pemahaman dalam Kristian yang mengatakan tanda tuhan sayang kepada seseorang itu adalah tuhan akan memberikan kemewahan kepada lelaki itu. Oleh itu, mereka akan mencari harta sebanyak mungkin kerana mereka sangka dengan banyak harta, itu menunjukkan yang tuhan sayang mereka.

Ini adalah kefahaman yang salah. Tidaklah menjadi tanda kalau Allah beri kemewahan kepada seseorang itu, bermaksud dia akan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak. Kekayaan dan kemiskinan adalah ujian dari Allah. Miskin itu ujian, kaya juga ujian. Ianya bukanlah tanda nasib mereka di akhirat kelak. Kalau dia kaya, tapi dia salah gunakan kekayaannya itu, dia akan disoal di akhirat kelak.

Ayat ini adalah pengulangan konsep salah faham manusia dengan kekayaan dunia. Mereka sangka kalau mereka beruntung di dunia, mereka akan beruntung juga di akhirat. Kisah ini disebut dalam surah Kahf tentang bagaimana seorang lelaki yang telah diberikan harta yang banyak berupa kebun yang hebat semasa di dunia. Dia juga merasa bahawa dia akan mendapat kelebihan juga di akhirat kerana dia rasa dia istimewa di dunia.

————

Ayat 78: Allah menempelak dan mengejek mereka yang berkata begitu.

19:78
Sahih International

Has he looked into the unseen, or has he taken from the Most Merciful a promise?

Malay

Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?

أَطَّلَعَ الْغَيْبَ

Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib,

Mereka boleh lihat alam ghaib kah? Perkataan أَطَّلَعَ bermaksud ‘mengintai’. Atau bermaksud memanjat gunung. Adakah mereka nampak tempat duduk mereka di akhirat kelak? Adakah mereka nampak istana mereka yang kononnya mereka akan dapat di syurga kelak? Tentu tidak ada. Tidak ada sesiapa yang boleh lihat alam ghaib.

أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا

atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?

عَهْدًا adalah suatu perjanjian, seperti kontrak.

Allah menempelak mereka, adakah mereka tahu sangatkah tentang akhirat sampai berani kata begitu? Mereka sudah yakin sangat yang mereka akan selamat?

الرَّحْمَٰنِ diulang sekali lagi dalam ayat ini. Banyak sekali sifat Allah ini ditekankan dalam surah Maryam ini, sampaikan 16 kali disebut. Berbagai-bagai nikmat yang Allah telah berikan yang disebut dalam surah ini. Ini adalah untuk mengingatkan kita betapa Allah telah banyak memberi kepada kita. Kalau Allah telah banyak memberi kepada kita, kenapa kita tidak menyembahNya sahaja? Kenapa kita tidak ikut apa yang Allah telah arahkan kepada kita? Kalau manusia yang banyak berbudi dengan kita pun kita segan dengan mereka. Adakah sesiapa yang beri lebih banyak dari Allah? Tentu tidak ada.

——————————–

Ayat 79: Dalam ayat sebelum ini, Allah tanya adakah mereka boleh nampak kedudukan mereka di akhirat kelak. Allah beri jawapannya dalam ayat ini. Kalau tak jawap, mungkin ada yang kata boleh jadi mereka akan dapat apa yang mereka kata itu. Allah tak beri ruang langsung untuk timbul kebarangkalian itu. Maka, Allah jawap dengan sejelas-jelasnya:

19:79
Sahih International

No! We will record what he says and extend for him from the punishment extensively.

Malay

Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.

كَلَّا

Tidak sekali-kali!

Tidaklah mereka boleh nampak nasib mereka di akhirat kelak dan tidaklah mereka ada perjanjian dengan Allah yang mengatakan mereka akan dapat itu dan ini apabila mereka mati nanti.

Perkataan ‘kalla’ ini digunakan untuk menidakkan apa yang telah disebut dan menguatkan apa yang hendak dikatakan selepas ini.

سَنَكْتُبُ مَا يَقُولُ

Kami akan menulis apa yang dikatakannya,

Sebaliknya, semua perbuatan mereka akan ditulis. Dalam surah Kahf ada disebut bagaimana orang yang malang akan kehairanan dengan betapa detailnya Kitab Amalan nanti. Semua akan ditulis. Kecil dan besar semuanya akan ditulis. Dan akan ditunjukkan kembali segala apa yang mereka telah katakan. Ini disebut dalam ayat 49 surah Kahf.

Kalau kita ingat ini, tentulah kita akan takut untuk berbuat kesalahan. Tentulah kita takut untuk bercakap benda-benda yang tidak patut.

وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ الْعَذَابِ

dan Kami akan memanjangkan azab seksa baginya,

Mereka telah diberi masa panjang di dunia, maka mereka akan diberikan masa azab yang panjang. Semasa di dunia, mereka telah diberi masa panjang untuk mereka bertaubat dan kembali kepada Islam. Orang seperti Abu Sufyan dan Khalid al Walid telah mengambil peluang itu dan menjadi muslim yang baik. Walaupun bertahun mereka menentang dan berperang dengan Nabi. Tapi akhirnya mereka memeluk Islam.

Tapi, kepada mereka yang tidak mengambil peluang itu, masih lagi berterusan dalam kekufuran, maka mereka akan dikenakan azab yang panjang. Azab yang berkekalan. Setiap kali mereka rasa azab mereka akan berakhir, azab itu akan ditambah lagi, ditambah lagi. Begitulah nasib mereka nanti. Mereka ingat mereka akan masuk syurga, tapi akhirnya mereka akan masuk neraka.

مَدًّا

Yang amat lama.
Ini adalah ayat penegasan untuk menekankan betapa masa mereka diazab itu adalah amat panjang. Mereka akan rasa bahawa azab itu tidak berhenti-henti. Dek kerana lamanya azab itu.

Kadang-kadang, ada penjenayah di dunia diberikan 500 tahun hukuman penjara. Tapi itu tidak mungkin dapat dilakukan kerana penjenayah itu akan mati dalam masa 10 tahun sahaja. Tapi, di akhirat kelak, hukuman sebegitu boleh dikenakan kepada manusia yang engkar, malah lebih lagi.

——————————————

Ayat 80:

19:80
Sahih International

And We will inherit him [in] what he mentions, and he will come to Us alone.

Malay

Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

وَنَرِثُهُ مَا يَقُولُ

Dan Kami akan warisi apa yang dikatakannya itu,

Allah maha tahu apa yang mereka kata. Padahal semua malaikat yang menulis amalan kita semua dah mati dah. Iaitu apabila Allah dah matikan semua makhluk. Tapi Allah tetap tahu.

Apakah yang dia kata dulu? Dia kata dia akan dapat balasan kekayaan dan anak pinak yang ramai kerana dia ada banyak harta dan banyak anak pinak semasa di dunia. Dia amat berbangga dengan apa yang dia ada. Yang dia banggakan itu akan diambil oleh Allah akhirnya. Apabila dia meninggal nanti, dia akan tinggalkan hartanya dan anaknya dan semua itu akan diambil oleh Allah. Itulah maksud ‘warisi’. Sebagai contoh, apabila kita mati, harta-harta kita akan diwarisi oleh orang yang selepas kita. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini, semuanya itu akhirnya akan diwarisi oleh Allah.

وَيَأْتِينَا فَرْدًا

dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.

Sebelum ini dia banggakan anak-anak dan penyokongnya yang ramai. Anak-anak dan penyokong itu semua akan melarikan diri dari dia pada hari kiamat. Dia akan datang berjumpa Tuhan berseorangan sahaja. Dalam keadaan telanjang bulat. Tiada siapa yang akan menolong. Tiada siapa lagi yang akan memberi sokongan. Ini ada disebut dalam Abasa:34 dan seterusnya. Ada disebutkan bagaimana manusia akan melarikan diri dari orang yang mereka kenal.

——————————————–

Ayat 81: Kenapa mereka jadi begitu? Allah beritahu kita dalam ayat ini.

19:81
Sahih International

And they have taken besides Allah [false] deities that they would be for them [a source of] honor.

Malay

Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

وَاتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ آلِهَةً

Dan dulu mereka menyembah benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan,

Ada manusia yang sembah berhala. Ada yang sembah tuhan-tuhan selain Allah. Itu adalah mereka yang jelas kekafiran mereka. Tapi mereka yang mengaku beragama Islam, ada juga yang menyembah selain Allah. Dalam mereka sembah Allah, mereka sembah dan puja entiti-entiti lain. Mereka puja wali, malaikat dan Nabi. Mereka beri salam kepada malaikat, Nabi dan wali. Mereka berharap kepada entiti-entiti itu walaupun sebenarnya kita sepatutnya hanya berharap dengan Allah. Mereka berdoa kepada entiti-entiti itu sebagai tawasul. Mereka sudah tidak berdoa terus kepada Allah.

Kalau kita tanya kepada orang Hindu pun, mereka bukan sembah patung itu. Tapi ‘dewa’ yang ada dalam patung itu. Dewa itu pula, pada fahaman mereka adalah seperti malaikat pada fahaman kita. Mereka pun tahu bahawa bukan dewa itu yang menyempurnakan hajat mereka. Tapi mereka mengharapkan supaya dewa itu menyampaikan doa mereka itu kepada tuhan yang satu. Fahaman itu sama sahaja dengan fahaman kebanyakan dari orang kita. Mereka minta ustaz doakan hajat mereka. Ustaz itu akan bertawasul kepada Nabi, wali atau malaikat. Supaya Nabi, wali atau malaikat itu menyampaikan doa itu kepada Allah. Sama sahaja akidah mereka dengan akidah Hindu!

Jangan kita sempitkan آلِهَةً itu hanya merujuk kepada sembahan seperti berhala sahaja, tuhan yang jelas disembahi sahaja, macam Vishnu, Buddha, Jesus dan sebagainya. Tapi kita kena tafsir آلِهَةً sebagai sembahan, pujaan, harapan. Sebagai contoh, ada yang sudah sampai memuja Nabi Muhammad, bukan setakat memuji lagi. Ada yang berzikir kepada Nabi Muhammad tanpa sedar. Diulang-ulang pujian mereka kepada Nabi, macam berzikir. Ada yang mengharap kepada entiti lain seperti puak tarekat yang berdoa kepada wali-wali mereka. Mereka rasa kalau doa terus kepada Allah, Allah tak dengar. Itu adalah kerana mereka telah salah anggap kepada Allah. Mereka buruk sangka bahawa Allah tidak mendengar doa mereka kerana mereka orang yang jauh dari Allah. Padahal, Allah tidak pernah pun kata Dia tidak menerima doa orang yang berdosa. Tambahan pula, dalam Quran, Allah berkali-kali suruh kita doa terus kepadanya, dan Allah larang kita menggunakan perantaraan.

Itu semua adalah contoh-contoh ‘ilah’ kepada manusia. Bukan hanya sembah berhala sahaja. Kalau kita ingat berhala sahaja yang dilarang sembah, maka sedaplah hati kita. Sebab kita ingat kita selamat. Kita ingat ayat-ayat Quran ditujukan kepada agama lain sahaja. Padahal, yang baca Quran itu kita. Ingatlah bahawa ayat Quran ditujukan kepada kita belaka. Mengingatkan kita supaya jangan jadi macam orang kafir yang salah faham dan salah sangka dalam agama.

لِّيَكُونُوا لَهُمْ عِزًّا

supaya benda-benda yang mereka sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan dan pengaruh kepada mereka.

عِزًّا bermaksud ‘sumber kekuatan dan kekuasaan’. Mereka mahukan kekuasaan di dunia. Mereka mahu disanjung di dunia.

Mereka menjadikan pujaan-pujaan mereka itu sebagai pelindung-pelindung mereka. Sebagai contoh, mereka rasa kalau ada orang yang berniat tidak baik dengan mereka, pujaan-pujaan mereka itu akan melindungi mereka. Kalau nak buat sesuatu yang penting, mereka sangka pujaan-pujan itu akan menolong mereka. Jadi, kalau orang Islam pun ada fahaman bahawa ada entiti lain yang boleh begitu selain dari Allah maka kita pun sama sahaja dengan mereka itu. Jangan ingat kalau kita dah agama Islam, kita boleh buat sesuka hati kita sahaja. Jangan ingat kita dah selamat. Jangan ingat ajaran tok-tok guru kita yang selama ini sudah lama diamalkan terus betul belaka. Kena periksa balik. Janganlah kita bodoh sangat sampai terima sahaja bulat-bulat.

Mereka dapat kuasa dengan menggunakan entiti-entiti ini. Sebagai contoh, guru-guru tarekat akan ajar tawasul. Mereka kata manusia tidak layak berdoa terus kepada Allah. Mereka kata kena melalui perantaraan. Mereka cipta fahaman yang salah itu. Caranya? Mereka yang reka caranya – kena buat begini, begitu. Sebab amalan itu mereka kena reka yang baru, sebab dalam sunnah tidak ada. Dan untuk mendapatkan cara itu, kena belajar dengan mereka. Memang dah kena belajar dengan mereka sebab orang lain tak tahu. Contohnya kalau saya reka satu ciptaan baru, anda kenalah datang belajar dengan saya sebab saya yang reka ciptaan itu. Begitu jugalah amalan-amalan bidaah dan sesat ini. Kena belajar dengan mereka yang menciptanya.

Dan kemudian mereka kata doa itu akan lebih mantap lagi kalau mereka sendiri dijadikan perantaraan juga. Kerana kononnya mereka lebih rapat dengan perantaraan-perantaraan itu. Jadi anak murid mereka akan bertawasul kepada mereka, mereka pula akan bertawasul kepada wali, malaikat dan Nabi. Apabila kena melalui mereka, maka mereka berkuasa. Ramainya anak murid mereka yang sanggup melakukan segalanya untuk mereka. Itulah sebabnya kalau anda belajar tarekat seperti tarekat Naqsyabandiah, mereka akan membayangkan wajah guru mereka dalam mereka berdoa. Kerana mereka iktikad bahawa guru mereka itu akan menyampaikan doa itu kepada wali, dan wali itu akan menyampaikan doa itu kepada Allah.

————-

Ayat 82:

19:82
Sahih International

No! Those “gods” will deny their worship of them and will be against them opponents [on the Day of Judgement].

Malay

Tidak sekali-kali! Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

كَلَّا

Tidak sekali-kali!
Itu semua adalah fahaman yang sesat sama sekali. Semua cara-cara itu salah dan jauh terpesong dari agama. Apa yang mereka ajar itu adalah ajaran salah. Jangan tertipu dengan hujah-hujah batil mereka. Mereka akan memberikan hujah yang hanya menggunakan akal sahaja.

Perkataan ‘kalla’ adalah menidakkan dengan kuat apa yang telah disebut sebelum ini dan menguatkan apa yang akan disebut selepasnya.

سَيَكْفُرُونَ بِعِبَادَتِهِمْ

Bahkan benda-benda yang mereka pertuhankan itu akan mengingkari perbuatan mereka menyembahnya,

Mereka yang disembah itu tidak mengaku yang mereka disembah. Yang disembah akan kata mereka tak pernah suruh pun mereka disembah. Mereka yang menyembah sahaja yang memandai-mandai. Macam Imam-imam Syiah, mereka itu semua baik, tapi mereka tidak pernah mengaku pun mereka itu imam Syiah. Penganut Syiah sahaja yang kena tipu oleh syaitan dan melantik mereka itu sebagai imam mereka. Sebagai contoh lagi, Jesus akan kata, dia tidak pernah suruh pun penganut Kristian untuk sembah dia. Ini ada disebut dalam Surah Maidah, Ayat 116 dan seterusnya.

وَإِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ أَأَنْتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ اتَّخِذُونِي وَأُمِّيَ إِلَٰهَيْنِ مِنْ دُونِ اللَّهِ ۖ قَالَ سُبْحَانَكَ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِي بِحَقٍّ ۚ إِنْ كُنْتُ قُلْتُهُ فَقَدْ عَلِمْتَهُ ۚ تَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِي وَلَا أَعْلَمُ مَا فِي نَفْسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Itu adalah contoh bagaimana Nabi Isa sendiri menolak sembahan-sembahan mereka yang menyembahnya. Yang selainnya juga akan berkata begitu juga nanti. Dalam Yunus:28 ada disebut perkara ini:

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ
Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang yang berbuat syirik itu: “Tunggulah di tempat kamu ini kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah itu Kami putuskan perhubungan di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang kena sembah itu (sebagai berlepas diri): “Bukanlah kami yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!

تَعْبُدُونَ itu bukan hanya bermaksud ‘sembah’ sahaja. Tapi termasuklah beri salam, sedekah fatihah, zikir, puja, dan sebagainya. Sebagai contoh, masyarakat kita bagi salam kepada Nabi, malaikat dan sebagainya. Itu adalah dari ajaran karut orang-orang dahulu yang kita terus sahaja amalkan tanpa usul periksa. Mereka itu semuanya sudah mati dan tidak mendengar apa yang kita katakan. Malaikat pula tidak ada apa-apa perhubungan dengan kita.

Dalam ayat dari surah Yunus itu, mereka-mereka yang kena sembah itu akan kata bahawa bukan mereka yang puak-puak itu sembah. Mereka tak pernah suruh pun diibadati.

Mereka yang kena sembah, kena puja, diberi salam, disedekah fatihah itu, langsung tak terima pun sembahan-sembahan, hadiah-hadiah mereka itu. Ini diterangkan dalam ayat seterusnya dari surah Yunus itu.

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ إِن كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ

“(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”.

Orang kita sedekah fatihah, bagi salam, qasidah dan sebagainya itu sebab nak bodek, nak rasuah mereka yang dipuja itu. Dengan harapan nanti mereka itu akan beri pertolongan nanti. Tapi lihatlah ayat ini, mereka langsung tak tahu pun! Bertepuk sebelah tangan sahaja sebenarnya mereka yang berhempas pulas buat amalan-amalan bidaah dan syirik itu.

Nabi tak pernah suruh kita beri salam, sedekah fatihah kepadanya. Yang ada, hanyalah selawat sahaja. Lafaz-lafaz selawat itu pun telah diajar kepada umat. Tidak perlu dicipta lafaz-lafaz selawat yang baru. Ini adalah bahaya kerana kalau kita lihat lafaz-lafaz selawat yang dicipta, ada lafaz selawat yang mempunyai pujian yang diberikan kepada Nabi yang terlalu melampau, sampaikan boleh sampai ke tahap mensyirikkan Allah. Sebagai contoh, lafaz selawat Syifa’ dan selawat Tafrijiyyah itu ada elemen syirik. Secara ringkasnya lafaz selawat Syifa’ mengatakan Nabi Muhammad ada kuasa untuk menyembuhkan penyakit – padahal, Allah lah yang menyembuhkan penyakit. Lafaz selawat Tafrijiyyah pula mengatakan Nabi adalah punca penyelesaian masalah – adakah ini benar? Siapa yang cakap?

Malangnya, amalan ini diamalkan di masjid-masjid, surau-surau malah telah masuk ke dalam tv pun sekarang, diajar kepada seluruh masyarakat. Apabila telah banyak diamalkan, maka orang kita yang tidak faham agama, hanya ikut-ikut sahaja, terus ingat bahawa ianya adalah sesuatu yang benar. Kalau kita tegur, mereka akan kata: “begitu ramai orang buat, takkan salah?”. Adakah agama Islam ini satu parti politik, sampaikan kalau majoriti buat, ianya akan menang? Adakah Allah ikut suara majoriti? Adakah begitu?

وَيَكُونُونَ عَلَيْهِمْ ضِدًّا

dan akan menjadi musuh kepada mereka.

ضِدًّا bermaksud ‘lawan’ kepada mereka. Bayangkan dalam mahkamah dunia sekarang, mereka itu seperti saksi kepada pendakwaraya dan kita pula jadi pesalah. Kita sebenarnya hendakkan saksi yang baik kepada kita, bukan jadi lawan kita. Maknanya, dah jadi terbalik dari apa yang mereka harapkan. Mereka harap entiti-entiti itu yang beri sokongan kepada mereka, tapi sebaliknya yang terjadi. Bayangkan penyesalan mereka di akhirat nanti.

—————

Ayat 83: Ayat ini sebagai pemujuk kepada Nabi dan pendakwah agama. Iaitu apabila kita berjumpa dengan mereka yang teruk sangat. Walaupun berkali-kali berdakwah kepada mereka, mereka masih lagi tak terima. Apabila itu terjadi, sedikit sebanyak, kita akan rasa lemah semangat. Kita rasa macam sia-sia sahaja kita buat jalan dakwah ini. Dalam ayat ini, Allah memberikan penjelasan kenapa mereka tidak mahu terima dakwah itu.

19:83
Sahih International

Do you not see that We have sent the devils upon the disbelievers, inciting them to [evil] with [constant] incitement?

Malay

Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir, untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

أَلَمْ تَرَ

Tidakkah engkau mengetahui
Tidakkah engkau lihat, tidakkah engkau memerhatikan? Tidakkah engkau tahu?

أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيَاطِينَ عَلَى الْكَافِرِينَ

bahawa Kami telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir,

Allah sendiri yang telah ‘mengutus’ syaitan-syaitan kepada mereka. Iaitu setelah mereka memilih jalan yang salah, Allah akan hantar syaitan kepada mereka. Bukanlah Allah hendak kita jadi sesat sampai Allah hantar syaitan-syaitan itu. Allah hantar syaitan-syaitan itu setelah manusia memilih jalan yang salah. Kalau kita memilih jalan yang salah, Allah akan membuka jalan itu lagi.

Syaitan sebenarnya terdiri dari golongan jin dan manusia. Kerana makna ‘syaitan’ adalah sesiapa yang mengajak untuk menjauhkan diri dari Allah. Kalau yang menjauhkan kita dari Allah adalah jin, maka jin itu adalah syaitan. Dan kalau yang menjauhkan kita dari Allah itu adalah manusia, maka manusia itu adalah syaitan.

Maksud ayat ini adalah Allah melepaskan syaitan-syaitan itu untuk menyesatkan manusia. Macam seorang pemburu melepaskan anjing buruan mereka kepada binatang buruan. Maka anjing itu akan meluru lari kepada binatang buruan itu, samada kijang kah, lembu kah dan sebagainya. Maka, bertempiaran larilah binatang yang diburu itu ke sana ke mari. Dikejar dari kiri, mereka akan lari ke kanan, dikejar dari kanan, mereka akan lari ke kiri.

Maksud Allah dalam ayat ini adalah, mereka yang menolak dakwah itu, sehingga langsung tidak mahu terima dakwah itu telah menjadi barang mainan syaitan sahaja. Yang boleh disuruh-suruh oleh syaitan. Syaitan suruh A, mereka buat A. Syaitan suruh buat B, mereka buat B. Kerana syaitan telah memiliki mereka. Mereka sudah tidak ada ‘filter’ untuk menapis bisikan-bisikan dan ajakan syaitan-syaitan itu.

Memang dalam ayat lain pun Allah ada sebutkan lagi bahawa memang Allah akan ‘hadiahkan’ syaitan kepada manusia. Dalam Zukhruf:36, Allah berfirman:

وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

‘Tidak mengendahkan’ dalam ayat ini bermaksud mereka tidak belajar isi kandung Quran. Tidak mahu belajar tafsir. Tidak ada usaha untuk faham apakah yang Allah hendak sampaikan dalam Quran itu. Kalau setakat baca dan hafal sahaja, tanpa faham, ianya tidak akan memberikan pemahaman. Quran ini kena belajar. Kena kuatkan semangat untuk belajar. Kena buka minda dan hati untuk menerimanya. Kadang-kadang kita akan berjumpa dengan perkara yang kita tidak pernah dengar. Kadang-kadang nasihat yang diberikan kena tepat kepada kita. Kadang-kadang kutukan Allah pun kena tepat kepada kita. Kita kena terima. Baik kita kena kutuk di dunia ini supaya kita boleh memperbetulkan perbuatan kita dari terus dilaknat di akhirat kelak.

Apakah yang akan dilakukan oleh syaitan-syaitan itu?

تَؤُزُّهُمْ أَزًّا

untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan maksiat dengan bersungguh-sungguh?

Syaitan akan membisikkan mereka untuk melakukan perkara-perkara yang jahat, buat amalan bidaah, amalan syirik dan sebagainya. Syaitan tidak henti-henti membisikkan kepada mereka. Syaitan bukan ada kerja lain lagi. Menyesatkan manusia adalah kerja sepenuh masa mereka. Mereka yang kufur ingkar itu akan ikut sahaja.

Itulah asal datangnya amalan-amalan yang salah yang diamalkan oleh masyarakat kita. Yang kita tahu, ianya telah lama diamalkan oleh tok nenek kita dahulu, ustaz-ustaz dari dulu lagi. Tapi asalnya yang awal dari mana? Asalnya dari bisikan syaitan.

Tujuan Allah adalah memberikan nasihat kepada Nabi supaya jangan putus asa kepada semua manusia. Bukan semua manusia macam itu. Yang teruk sahaja akan jadi begitu. Memang ada yang tak boleh buat apa-apa dengan mereka. Berkali-kali kita beri nasihat mereka tak mahu terima. Mereka pula kata kita yang salah. Tinggalkan sahaja mereka kepada Allah. Teruskan dengan kerja dakwah kepada orang lain kerana akan ada yang akan menerima dakwah kita.

Tapi janganlah kita awal-awal lagi terus chop seseorang itu termasuk dalam golongan sebegini. Kita kena usaha dakwah dulu kepada mereka. Cuba dakwah dulu dengan bersungguh-sungguh. Mungkin pertama kali mereka tak dengar, kena datang kali kedua dan ketiga. Setiap kali kita dakwah itu, kita akan dapat pahala. Bukan sia-sia usaha kita itu. Mungkin mereka tidak mampu terima waktu ini, kita belum tahu masa hadapan.

Sepertimana kita minta berlindung kepada Allah dari syaitan, kita pun hendaklah minta perlindungan dari jin-jin dan manusia-manusia yang seperti ini.

—————————————————–

Ayat 84: Ini adalah peringatan dari Allah. Memang ada jenis-jenis manusia yang tidak menerima dakwah kita. Walaupun telah berkali-kali kita berdakwah kepada mereka, dengan berbagai cara. Bukan sahaja mereka tak mahu terima, tapi mereka menentang kita pula. Tentulah kita akan sakit hati, sedih dengan tolakan mereka itu. Lebih-lebih lagi kalau yang tolak itu adalah ahli keluarga kita sendiri. Tapi jangan kita mendoakan keburukan kepada mereka.

19:84
Sahih International

So be not impatient over them. We only count out to them a [limited] number.

Malay

Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka yang ingkar itu, kerana sesungguhnya

فَلَا تَعْجَلْ عَلَيْهِمْ

Oleh itu, janganlah kamu tergesa-gesa terhadap mereka yang ingkar itu,

Jangan tergesa-gesa hendakkan mereka itu diberikan dengan balasan azab. Jangan doa kepada Allah supaya mereka itu diberikan azab, dimatikan atau doa-doa seumpama itu. Allah larang Nabi mendoakan keburukan kepada mereka yang seperti itu. Itu bukan kerja Nabi. Nabi kena teruskan dengan dakwah sahaja.

Begitu juga dengan kita. Memang ramai yang akan menentang kita. Ada yang sampai hina kita dengan kata-kata nista. Beri kita gelaran yang macam-macam seperti wahabi lah dan sebagainya. Ada yang sampai kata kita ini sesat pula. Bawa ajaran salah dan macam-macam lagi. Dan memang kita akan sakit hati dengan kata-kata mereka yang menghina kita. Tapi jangan kita doakan keburukan untuk mereka. Hanya doakan supaya mereka diberi hidayah. Itulah yang sebaik-baiknya. Kerana kalau kita mendoakan keburukan untuk mereka, bermaksud kita telah ‘tergesa-gesa’. Dan Allah telah larang kita dari tergesa-gesa dalam ayat ini.

Kerana apa dipanggil ‘tergesa-gesa’ itu? Kerana kita tak tahu kesudahan mereka. Memang mereka tolak kita sekarang, hina kita dan sebagainya. Tapi kita tidak tahu masa hadapan. Allah boleh lagi bukakan pintu hati mereka untuk menerima hidayah. Lihatlah contoh Abu Sufyan dan Khalid al Walid. Berapa lama mereka menentang Islam, tapi akhirnya mereka masuk Islam.

Kecualilah kalau mereka ancam hendak bunuh kita, barulah kita angkat tangan dan doa kepada Allah. Selagi mereka tidak buat begitu, biarkan sahaja.

إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمْ عَدًّا

kerana sesungguhnya Kami menghitung apa yang mereka lakukan dengan teliti.

Allah mengatakan bahawa Allah mengira apa yang mereka lakukan. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Semua yang mereka lakukan akan ditulis dan mereka akan dibalas dari perbuatan mereka itu. Ini adalah sebagai satu pujukan dari Allah sebenarnya. Allah nak beritahu bahawa mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

عَدًّا adalah kata penguat. Betul-betul perbuatan mereka akan dikira dengan teliti. Mereka dibiarkan berterusan buat dosa supaya mereka nanti akan diadili dan dosa mereka itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka.

Ayat ini juga boleh bermaksud Allah menghitung masa sehingga mereka akan dikembalikan kepadaNya. Dari tahun, bulan hari dan jam sehingga mereka akan mati. Atau boleh bermaksud Allah menghitung nafas-nafas mereka. Maknanya, mereka tunggu masa sahaja untuk kembali dan mereka akan dapat yang mereka patut dapat.

————————————————

Ayat 85: Ini pula adalah nasib kepada orang Mukmin.

19:85
Sahih International

On the Day We will gather the righteous to the Most Merciful as a delegation

Malay

(Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasuk-pasukan.

يَوْمَ نَحْشُرُ الْمُتَّقِينَ

hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa
Orang-orang bertaqwa adalah mereka yang ingat kepada Allah dalam segala perbuatan mereka. Mereka akan menilai samada perbuatan itu disukai Allah atau tidak. Mereka amat berhati-hati dengan perbuatan mereka. Mereka sentiasa ingatkan apakah suruhan dan larangan Allah.

إِلَى الرَّحْمَٰنِ وَفْدًا

untuk mengadap (Allah) Ar-Rahman, dengan berpasukan.

Iaitu mereka akan datang dalam bentuk delegasi. Sebagai satu penghormatan kepada mereka. Bayangkan kalau delegasi satu-satu negara yang datang kepada negara lain, bukankah mereka akan dilayan dengan mulia? Mereka akan diberikan penghormatan dari mereka yang menerima mereka.

Bandingkan dengan orang jahat yang datang berseorangan sahaja. Tentu amat menakutkan. Bayangkan apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang asing, yang kita tak pernah sampai, tapi kita berseorangan. Apabila berkumpulan, suasana lebih senang. Sebab kita manusia memang suka beramai-ramai. Kita suka bersama dengan kumpulan-kumpulan kita. Bayangkan juga mereka itu datang bersama-sama dengan keluarga mereka. Bukankah kalau kita berjalan-jalan bersama keluarga kita, berjalan-jalan di taman, kita berada dalam suasana yang seronok, suasana yang menggembirakan?

Bayangkan juga keadaan itu seperti seorang yang ada pengikut yang ramai. Kalau dalam dunia sekarang, orang yang berkedudukan besar akan datang dengan pengikutnya yang ramai. Ramai yang mengikut dari belakang. Begitulah umpamanya kedatangan orang muttaqeen apabila mereka dikumpulkan nanti di akhirat kelak. Tidak sama antara orang beriman dan orang yang kufur.

————

Ayat 86: Ini pula keadaan orang yang kufur.

19:86
Sahih International

And will drive the criminals to Hell in thirst

Malay

Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.

وَنَسُوقُ الْمُجْرِمِينَ

Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah

Mereka akan dihalau macam dihalau binatang ternak untuk masuk kandang. Terma yang berbeza digunakan dari yang digunakan untuk orang muttaqeen. Begitu hinanya keadaan mereka waktu itu. Mereka dilayan macam binatang. Dan mereka kena paksa untuk bergerak kerana mereka dah tahu dah bahawa mereka akan dibawa ke muka pengadilan. Tentu mereka mengelak untuk pergi.

إِلَىٰ جَهَنَّمَ وِرْدًا

ke neraka Jahannam, dalam keadaan penuh dahaga.

Ahli neraka akan masuk dalam neraka dalam keadaan dahaga. Dan dahaga itu sampai bila-bila. Bandingkan dengan orang yang beriman, apabila mereka dapat minum air dari telaga Kautsar, mereka tidak akan dahaga sampai bila-bila.

Apabila ahli neraka dah masuk dalam neraka dalam keadaan dahaga, mereka akan meminta air dari malaikat penjaga Neraka. Berapa lama mereka akan minta? Seribu tahun minta minum barulah diberi minum. Yang diberi itu adalah air nanah, darah, air mayat. Dan air itu amat panas, beribu juta darjah. Letak sahaja di muka mereka, muka mereka akan rosak dek kerana panasnya air itu. Makanya, air itu pun tidak dapat menghilangkan dahaga mereka.

Perkataan وِرْدًا juga bermaksud ‘di tepian’. Seperti kita bawa binatang ke gigi air. Ini bermakna, mereka akan dibawa ke tepian neraka. Sebelum mereka dimasukkan, mereka akan diletakkan di situ dahulu. Mereka akan ditunjukkan dengan tempat yang mereka akan masukkan. Ini adalah azab emosi. Mereka tak masuk lagi, tapi mereka telah ditunjukkan tempat mereka akan dimasukkan. Macam mereka yang akan digantung dalam penjara. Mereka akan ditempatkan di ‘Bilik Akhir’. Bilik Akhir itu berdekatan sahaja dengan tempat gantung itu. Semoga kita tidak melalui seksaan ini.

——————

Ayat 87:

19:87
Sahih International

None will have [power of] intercession except he who had taken from the Most Merciful a covenant.

Malay

Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatNya!.

 

لَّا يَمْلِكُونَ الشَّفَاعَةَ

Mereka tidak memiliki syafaat,

Maksudnya dalam bentuk pasif dan aktif. Maknanya, mereka tak boleh memberi syafaat, menerima syafaat pun tidak boleh.

Kita kena faham apakah maksud syafaat itu. Selalunya ditafsirkan sebagai ‘memberi pertolongan’. Tapi pertolongan yang macam mana? Syafaat itu sebenarnya adalah recommendation – memberi cadangan sahaja. Kerana tidak ada sesiapa yang ada kuasa untuk suruh atau paksa Allah menyelamatkan sesiapa pun. Boleh minta tolong sahaja. Minta tolong kepada Allah supaya berlembut dengan orang yang hendak ditolong itu. Tapi akhirnya, ia terpulang kepada Allah samada hendak menyelamatkan atau tidak. Kerana kuasa hanya pada Allah sahaja.

Kebolehan beri syafaat adalah sebagai satu penghormatan kepada mereka yang rapat dengan Allah. Allah benarkan mereka untuk bercakap bagi pihak orang lain. Ini adalah satu penghormatan yang besar kerana bukan semua boleh bercakap pada hari itu. Semuanya akan tunduk dalam ketakutan pada hari itu. Hanya yang diberi keizinan bercakap sahaja yang boleh berkata-kata pada hari itu.

Mereka yang boleh beri syafaat itu, hanya boleh beri kepada orang yang layak sahaja. Mereka pun akan takut nak minta tolong untuk mereka yang tak layak. Kalau orang yang memang dah jahat, mereka pun tak berani nak minta tolong. Jadi, kalau kita bukan tergolong dalam golongan mereka yang layak, jangan harap kita akan dapat syafaat. Mereka yang layak itu adalah mereka yang tidak buat syirik kepada Allah. Atau kalau dia dah pernah buat, dia dah minta ampun sebelum dia mati. Mereka memang beriman, tapi adalah serba sedikit salah mereka. Tidak ada manusia yang tidak melakukan dosa. Jadi, permintaan Syafaat yang dimohon kepada Allah itu adalah supaya dosa mereka yang sedikit itu diampunkan. Tapi kalau kita buat syirik, tidak ada harapan langsung untuk mendapat syafaat. Adakah kita buat syirik? Tentulah kita tidak mahu buat syirik. Tapi adakah kita pasti yang kita tidak pernah buat syirik tanpa sedar? Bagaimana kita nak tahu yang kita tidak buat syirik kalau kita pun tidak tahu apakah ‘syirik’ itu? Nak tahu syirik, kenalah belajar tafsir Quran, kerana banyak diterangkan dalam ayat-ayat Allah ini apakah perkara syirik yang dilakukan.

Sesiapa yang boleh memberi syafaat, bermaksud, Allah telah memuliakannya. Itulah cara Allah hendak menunjukkan bahawa orang yang memberi syafaat itu adalah rapat denganNya. Terbalik dengan keadaan di dunia. Kalau di dunia, orang yang mendapat pertolongan itu yang dimuliakan.

Orang yang ditolong dengan Syafaat itu, sebenarnya telah ditentukan oleh Allah yang dia akan diselamatkan. Cuma Allah memberi penghormatan kepada yang memberi syafaat itu untuk memohon kepadaNya untuk menyelamatkan orang itu. Jadi nampak macam kerana pertolongan orang yang memberi syafaat itulah yang menyebabkan dia terselamat. Tapi sebenarnya, tanpa dia beri Syafaat pun, orang itu memang dah akan selamat dah.

Banyak yang salah faham dengan hal syafaat ini. Ramai yang ingat mereka akan selamat kerana mereka akan dapat syafaat dari orang-orang tertentu. Kerana mereka ingat mereka telah buat itu dan ini untuk melayakkan mereka mendapat syafaat itu. Contohnya, mereka ingat apabila mereka banyak qasidah kepada Nabi Muhammad, minta syafaat kepada Nabi Muhammad, banyak buat Mawlid Nabi, maka mereka akan selamat. Mereka ingat mereka pasti akan dapat pertolongan dari pemberi syafaat. Maka, mereka sudah tidak menjaga agama mereka. Mereka ingat akan selamat. Macam kalau ayah mereka kenal baik pensyarah, mereka ingat mereka akan lulus peperiksaan dengan mudah. Jadi mereka sudah tidak belajar betul-betul. Itu kalau dalam dunia, dalam hal akhirat tentulah tidak semudah itu.

Salah faham dengan syafaat ini sampai boleh menyebabkan syirik. Kerana mereka akan memuja, menyembah, berdoa dan berharap kepada mereka yang mereka anggap boleh beri syafaat itu. Apa yang mereka lakukan itu adalah syirik kerana memuja, menyembah, berdoa dan berharap, hanya boleh dilakukan kepada Allah sahaja. Tapi berapa ramai yang tidak faham perkara ini, maka mereka telah melakukan sesuatu yang tidak pernah diajar Nabi? Tidakkah di Malaysia sekarang, sampai satu stadium ramai-ramai ‘memuja’ Nabi dan meminta syafaat kepada Nabi terus? Adakah Nabi ada kuasa untuk beri syafaat itu? Adakah Nabi dengar permintaan kita? Bukankah Nabi telah mati? Adakah orang yang sudah mati boleh dengar kata-kata kita? Tentu tidak, kerana kalau Nabi boleh mendengar selepas baginda wafat, kenalah bawa dalil. Jadi kepada siapa mereka merayu supaya diberikan syafaat itu?

إِلَّا مَنِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحْمَٰنِ عَهْدًا

kecuali orang yang telah mengikat perjanjian di sisi Tuhan ar-Rahman.

Apakah ‘perjanjian’ yang dimaksudkan dalam ayat ini? Itulah lafaz dua kalimah syahadah yang kita selalu baca itu. Itulah perjanjian kita untuk hanya sembah Allah, tidak syirik kepadaNya dan ikut sunnah Nabi. Apabila kita memenuhi janji itu, Allah akan memenuhi janjiNya. Malangnya, berapa ramai yang hari-hari akan sebut dua kalimah syahadah itu, tapi mereka tidak melakukan apa yang mereka kata dengan mulut mereka. Mereka kata mereka nak ikut Nabi, tapi perbuatan amalan ibadat mereka adalah amalan bidaah semata-mata. Ada yang tahu perbuatan itu bukan dari perbuatan Nabi, tapi mereka buat juga. Dan mereka kata kerana orang itu dan orang ini kata benda itu elok dibuat? Adakah mereka sudah lupa dengan syahadah mereka? Ataukah mereka termasuk dari golongan yang hanya tahu sebut sahaja, tapi tidak tahu makna syahadah itu?

Ayat ini mengatakan bahawa tidak ada syafaat untuk mereka. Tapi, ramai dalam masyarakat kita yang tidak faham tentang syafaat telah melakukan amalan yang salah. Apabila mereka dengar yang Nabi Muhammad akan memberi syafaat di Mahsyar, mereka dah siap-siap minta dari Nabi dah semasa di dunia ini. Ada yang pergi ke kubur Nabi di Masjid Nabi dan minta syafaat dengan Nabi. Ada yang minta syafaat dari Imam Mahdi. Yang Syiah minta dari Saidina Ali, Imam Hussein. Yang Tarekat, minta syafaat dari kubur wali, dari Syeikh Abdul Qadir, dari Uwais al Qarni dan macam-macam lagi. Itu semua adalah fahaman sesat belaka. Apabila masyarakat tidak belajar tafsir Quran, mereka senang ditipu oleh ajaran-ajaran sesat.

Banyak disebut dalam Quran tentang syafaat dengan jelas. Yang tak jelas hanya kepada mereka yang tidak belajar. Secara ringkasnya, syafaat itu hanyalah milik Allah sahaja. Kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan syafaat itu.

————–

Ayat 88: Ini adalah kesan buruk dalam salah faham hal syafaah. Allah jelaskan lagi hal syafaah ini dalam ayat ini.

19:88
Sahih International

And they say, “The Most Merciful has taken [for Himself] a son.”

Malay

Dan mereka yang kafir berkata: “(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.”

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَٰنُ وَلَدًا

Dan mereka (yang kafir) berkata: “Tuhan Ar-Rahman, telah mengambil anak.”

Ayat ini menyebut tentang ‘anak Allah’ dalam bentuk umum sahaja. Allah tak sebut anak lelaki, anak perempuan atau penjelasan lain. Kerana ia digunakan untuk menempelak Yahudi, Kristian dan musyrikin yang kata Allah mengambil anak. Semua agama sesat itu mengatakan Allah ada mengambil anak.

Begitu juga dengan agama-agama lain. Ada yang percaya bahawa ada entiti yang rapat dengan tuhan. Maka, mereka sangka, kalau mereka puja entiti-entiti rekaan mereka itu, tuhan akan lembut hati dari seksa mereka. Sebagai contoh, katakanlah ketua syarikat kita seorang yang garang. Tapi dia ada seorang anak saudara yang bekerja sekali dalam syarikat itu. Dan kita tahu yang dia sayangkan anak saudaranya itu. Apa yang kita akan buat? Kalau kita hendak mendapatkan kebaikan dari ketua syarikat, maka kita akan berbaik-baik dengan anak saudaranya itu. Kita beri hadiah, belanja dia makan dan berbagai lagi kita buat. Kita tak buat apa-apa dengan ketua syarikat sebab kita tahu yang dia itu garang dan tak ikut cakap kita. Maka, kita hanya layan anak saudaranya dan kita ingat kita akan selamat. Kita rasa takkan ketua syarikat akan marah kita kalau kita baik dengan anak saudaranya.

Itu adalah dalam dunia. Sekarang kita fikirkan, adakah Allah macam itu juga? Adakah Allah serendah itu pemikirannya? Tidak sama sekali. Kerajaan Allah taala tidak sama dengan dunia.

Jadi, ‘anak’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud anak kandung, kerana mereka tahu tuhan tidak beranak, tapi yang dimaksudkan adalah ‘anak angkat’. Ianya adalah satu konsep. Bukan secara literal bermaksud ‘anak’. Kalau dalam dunia, kalau kita baik dengan ‘anak angkat’ seseorang yang berpangkat, kita boleh menggunakan hubungan rapat anak angkat itu untuk mendapatkan sesuatu dari orang besar itu.

Jadi, banyaklah yang di’naikkan’ pangkat oleh manusia sebagai ‘anak angkat’ Allah. Terdiri dari Nabi, wali dan malaikat. Padahal, itu tidak benar sama sekali. Allah tidak pernah mengajar konsep ini kepada manusia untuk diamalkan. Mereka yang menyembah itu sahaja yang memandai beri pangkat itu kepada entiti-entiti itu. Memang mereka tidaklah kata entiti-entiti itu ‘anak angkat’ Allah, tapi ianya adalah sama dari segi konsep. Iaitu orang yang baik dengan seseorang.

Allah menggunakan nama ar-Rahman dalam ayat ini. Ini adalah kerana orang-orang Kristian menggunakan sifat Rahman Allah itu dalam hujjah mereka. Mereka kata kerana sifat rahmat Allahlah yang menyebabkan Tuhan menurunkan ‘anaknya’ untuk disembelihkan dan menghilangkan dosa manusia. Allah menempelak mereka dalam ayat ini. Allah nak kata: adakah kamu ingat RahmahKu memerlukan anak?

————-

Ayat 89:

19:89
Sahih International

You have done an atrocious thing.

Malay

Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!

 

لَّقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا

Demi sesungguhnya, kamu telah datang dengan membawa satu perkara yang besar salahnya!

Dalam perkataan لَّقَدْ sudah ada penekanan. Perkataan جِئْتُمْ dari perkataan جاء pula adalah ‘datang dengan cara yang berat’. Lihatlah penggunaan yang sama digunakan oleh umat pada zaman Maryam kepada Maryam. Perkataan ini digunakan untuk menekankan lagi bahawa apa yang mereka katakan itu adalah sesuatu yang berat.

إِدًّا adalah sesuatu yang tak patut langsung dilakukan. Ianya sesuatu yang menyebabkan kacau bilau. Ianya adalah perbuatan yang perlukan bantahan dari orang yang mendengarnya. Kita perlu hentikan apa yang mereka kata itu. Bukan hanya tengok sahaja. Contohnya, kalau kita lihat ada orang yang memukul orang lain, takkan kita nak lihat sahaja?

Siapa yang kata mereka telah buat salah itu? Allah sendiri yang cakap. Allah menukarkan panggilan dari kata ganti ketiga kepada kata ganti kedua. Sebelum ini Allah memperkatakan tentang mereka dalam kataganti ketiga – mereka, mereka. Tapi, dalam ayat ini, Allah tukar dari kataganti ketiga kepada kataganti kedua. Perkataan جِئْتُمْ itu bermaksud ‘kamu datang’. Allah berkata terus dengan mereka kerana teruk sangat perbuatan mereka. Allah marah terus kepada mereka. Macam kita kalau marah sangat dengan seseorang, kita nak cakap sendiri dengan orang itu.

————

Ayat 90: Inilah kesan dari perbuatan kata-kata mereka itu.

19:90
Sahih International

The heavens almost rupture therefrom and the earth splits open and the mountains collapse in devastation

Malay

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian,

Makhluk-makhluk Allah yang lain terkejut dan marah dengan kata-kata mereka. Pertama yang disebut dalam ayat ini adalah ‘langit’. Hampir-hampir terpecah langit itu. Langit itu amatlah kukuh, tapi disebabkan oleh kata-kata mereka, hampir terpecah tujuh lapis langit itu.

وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ

dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah,

Bayangkan bumi yang gagah dan kuat ini pun hampir terbelah. Kenapa mereka hampir terbelah? Kerana marah dengan perbuatan manusia.

وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

هَدًّا adalah apabila sesuatu itu terjatuh dan bukan jatuh sahaja tapi yang akan menggegarkan bumi. Bayangkan bangunan diruntuhkan. Betapa kuatnya gegaran itu. Bukankah gunung ganang ini adalah pasak kepada bumi? Lihatlah kukuhnya kedudukan gunung itu. Tapi hampir runtuh ranap disebabkan oleh perkataan manusia.

Dalam Ahzab:33 disebut tentang bagaimana tanggungjawab menjadi khalifah di bumi telah ditawarkan kepada tiga makhluk itu – langit, bumi dan gunung-ganang. Mereka tak mahu kerana mereka takut dengan tanggungjawab itu. Mereka nak jadi makhluk yang taat sahaja. Mereka tidak mahu diberikan nafsu dan pilihan untuk taat atau tidak. Tapi manusi berani untuk terima.

Jadi, apabila manusia buat kesalahan syirik yang amat berat, mereka marah sangat. Mereka marah kerana manusia lalai dengan tanggungjawab yang manusia telah setuju untuk pikul.

Makhluk-makhluk itu berkhidmat untuk manusia. Kerana Allah telah kata dalam Quran bahawa segala yang dijadikan ini adalah untuk kita. Tapi hampir-hampir mereka hendak menghancurkan kita. Kalau kita lihat sekarang, tak jadi pun begitu. Tidaklah langit pecah, tidaklah bumi hancur lagi. Walaupun manusia memang banyak yang buat syirik sekarang. Kerana apabila mereka minta untuk hancurkan manusia, Allah tidak benarkan. Dan mereka menurut perintah Allah. Itupun satu pengajaran juga kepada kita. Lihatlah betapa taatnya mereka kepada Allah. Hanya pada hari Kiamat nanti baru mereka dibenarkan.

—————————————————————

Ayat 91: Kenapa makhluk-makhluk itu marah sangat?

19:91
Sahih International

That they attribute to the Most Merciful a son.

Malay

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.

أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mengatakan Tuhan Ar-Rahman mempunyai anak.

Mereka kata ada entiti-entiti yang rapat dengan Allah dan mereka telah memuja dan menyembah tuhan-tuhan itu supaya kononnya mendekatkan diri dengan Allah. Inilah yang menyebabkan langit, bumi dan gunung-ganang marah sangat. Kata-kata itu adalah kata-kata yang amat buruk sekali, amat besar sekali kata-kata mereka itu dari segi dosa dan keengkaran.

————

Ayat 92: Perkara-perkara yang disebut dalam ayat ini adalah perkara asas sahaja. Tentang percaya kepada Allah, percaya kepada Hari Kebangkitan, tentang Allah tidak ada anak dan sebagainya. Macam kursus iman:101. Nampak macam mudah sahaja. Tapi kadang-kadang kita kena cakap perkara asas kepada manusia. Kerana ramai yang tak faham. Apabila kita bercakap tentang iman, kita kena ceritakan sejelas-jelasnya. Bandingkan dengan perkara fekah, Allah cuma sebut secara ringkas sahaja dalam Quran dan seterusnya dijelaskan dengan panjang lebar oleh Nabi. Itu tentang fekah. Tapi, berkenaan tauihid, Allah jelaskan sejelas-jelasnya dalam Quran. Sekarang, Allah sambung lagi tentang hal anak Tuhan ini. Sebab perlu diberitahu dengan jelas. Supaya tidak ada ruang untuk kurang faham. Yang tak faham itu sebab tak belajar tafsir sahaja.

19:92
Sahih International

And it is not appropriate for the Most Merciful that He should take a son.

Malay

Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Ia mempunyai anak.

وَمَا يَنبَغِي لِلرَّحْمَٰنِ

Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman,

Allah maha besar dari memerlukan anak atau anak angkat. Kita memang lah layak dan memerlukan anak. Tapi Tuhan lain sangat dari manusia dan makhluk yang lain. Jangan samakan kita dengan Tuhan.

أَن يَتَّخِذَ وَلَدًا

bahawa Ia mempunyai anak.

————

Ayat 93: Kenapa Allah tidak memerlukan anak? Untuk memahaminya, kita kena lihat balik apakah keperluan anak? Anak itu perlu kepada manusia kerana manusia perlukan sokongan. Dan kita teringin untuk ada anak supaya ada yang mewarisi dari kita. Kita juga teringin ada anak supaya kita dapat bergembira dengan anak itu. Kita juga perlukan bantuan anak dalam banyak perkara. Allah tidak perlukan semua itu.

19:93
Sahih International

There is no one in the heavens and earth but that he comes to the Most Merciful as a servant.

Malay

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

إِن كُلُّ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi

إِلَّا آتِي الرَّحْمَٰنِ عَبْدًا

melainkan ia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.

Semua makhluk akan datang mengadap Allah. Tidak boleh elak lagi.
Bagaimana mereka akan datang nanti? Sebagai hamba. Semua akan tunduk patuh kepada Allah. Waktu itu, semua akan sedar dan terima bahwa mereka adalah hamba kepada Allah. Kalau di dunia mereka tidak mengaku, tidak mahu terima diri sebagai hamba Allah, di akhirat nanti mereka akan terima juga.

Mereka yang terima diri mereka sebagai hamba kepada Allah semasa di dunia ini lagi, ikut arahan Allah, akan datang dengan rela menjadi hamba. Mereka akan datang dengan hati yang suka gembira. Sebab mereka memang dah terima Allah sebagai Tuhan dah. Tapi mereka yang tidak menerima diri mereka sebagai hamba pun, akan kena datang bertemu dengan Allah juga dengan cara terpaksa. Samada mereka rela atau tidak, suka atau tidak. Tapi, apabila mereka datang tanpa rela, mereka akan datang dengan keadaan payah. Jadi, lebih baik kita dah terima siap-siap bahawa diri kita adalah hamba. Ini akan memudahkan kita datang kepada Allah nanti.

Ayat ini menegaskan sekali lagi bahawa *semua* sekali akan datang mengadap Allah dalam status sebagai *hamba*. Tidak lebih dari itu. Ini menolak pendapat yang kata Nabi Isa itu anak Allah, Uzair anak Allah, malaikat itu anak perempuan Allah dan sesiapa sahaja yang mengatakan Allah ada ambil anak. Tidak sama sekali. Semua akan datang kepada Allah sebagai hamba. Semuanya sama sahaja status mereka di hadapan Allah. Tidak ada yang ada kuasa lebih dari seorang hamba. Nabi Muhammad pun sebagai hamba, semua Nabi pun sebagai hamba, wali yang mereka puja itu juga akan datang sebagai hamba, malaikat malah sesiapa sahaja, akan mengadap Allah sebagai hamba. Mereka akan duduk di hadapan Tuhan pada hari Kiamat itu, bukannya duduk di sebelah Tuhan.

—————————————————————-

Ayat 94:

19:94
Sahih International

He has enumerated them and counted them a [full] counting.

Malay

Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.

لَّقَدْ أَحْصَاهُمْ

Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka

أَحْصَ bermaksud ambil kira selepas mereka dikumpulkan. Semua sekali akan dihimpunkan depan Allah. Kemudian mereka akan dikira satu-satu. Tidak ada yang akan terlepas. Macam cikgu sekolah ambil kedatangan.

وَعَدَّهُمْ عَدًّا

serta menghitung mereka satu persatu.

Semua perbuatan mereka kecil atau besar akan dikira satu persatu. Semuanya ada dalam Kitab Amal mereka. Setiap kali mereka menyebut perkara yang syirik, ianya akan ditulis.

————-

Ayat 95:

19:95
Sahih International

And all of them are coming to Him on the Day of Resurrection alone.

Malay

Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri.

وَكُلُّهُمْ آتِيهِ

Dan mereka semua akan datang mengadapNya
Perkataan آتِيهِ itu dalam bentuk noun untuk menunjukkan bahawa ianya pasti akan terjadi.

يَوْمَ الْقِيَامَةِ

pada hari kiamat

فَرْدًا

seorang diri.

Mereka yang malang akan datang berseorangan.

Atau mungkin bermaksud semua makhluk akan mengadap Allah berseorangan. Memang telah disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini bagaimana orang yang bertaqwa akan datang beramai-ramai. Tapi ada masanya akan ada juga mengadap Allah berseorangan. Sebab semua makhlu kena lalui proses itu. Iaitu bertemu dengan Allah berseorangan.

———————————————————————

Ayat 96: Ini tentang mereka yang selamat.

19:96
Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – the Most Merciful will appoint for them affection.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang-orang yang beriman

Iaitu mereka percaya kepada Allah dan perkara-perkara ghaib. Mereka juga yang ikhlas dalam ibadat mereka. Mereka juga tidak melakukan syirik.

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan beramal soleh,
Bukan hanya cakap beriman sahaja tapi kenalah ditunjukkan dengan perbuatan mereka. Iman itu hendaklah ditunjukkan dengan perbuatan. Banyak ayat-ayat Quran akan menyebut tentang amal selepas disebutkan tentang iman. Kena tunjukkan kita orang beriman. Sebagai contoh, sembahyang adalah tanda kita beriman. Kalau kita beriman, tanda kita beriman adalah kita akan meluangkan masa untuk solat kepada Allah.

Inilah dua perkara yang penting yang kena ada. Iman dan amal soleh sahaja yang boleh menyelamatkan kita. Bukan nak harap syafaat sahaja.

Dari sudut grammar, الصَّالِحَاتِ bermaksud bilangan yang banyak (plural) tapi bukan banyak sangat. Allah bukan nak lihat kita buat amalan yang banyak tapi yang terbaik. Mereka hanya perlu buat setakat yang mampu.

سَيَجْعَلُ لَهُمُ الرَّحْمَٰنُ

Tuhan ar-Rahman akan menjadikan bagi mereka

Sekali lagi disebutkan nama Allah ar-Rahman dalam ayat ini. Banyak kali sifat Allah ini disebutkan sampaikan para penafsir ada memanggil surah ini sebagai ‘Surah Rahmah’. Banyak disebutkan dalam ayat ini tentang rahmat yang Allah berikan. Ini mengingatkan kita tentang sifat Allah ini.

Dalam surah ini, walaupun dalam ayat yang memberi peringatan kepada orang yang kufur, sifat ini juga disebut. Kerana hendak mengingatkan mereka. Bahawa mereka telah lupa kepada sifat Allah. Setelah segala apa yang Allah berikan, mereka masih lagi kufur.

Kenapa dalam ayat yang menyebut tentang hukuman balasan kepada kekufuran digunakan nama Allah yang menyebut sifatNya yang maha penyayang? Mungkin ada yang kata macam tidak sesuai – kerana hukuman dan sifat rahmah itu berlawanan sekali. Tapi Allah sendiri telah letakkan begitu dalam Quran. Maksudnya, ianya adalah sesuai dan ada sesuatu yang hendak disampaikan. Ini juga sebenarnya menjelaskan sifat Rahman Allah juga. Sebab sifat Rahman Allahlah yang memberitahu kita dan mengingatkan kita berkali-kali tentang balasan buruk kalau kita buat salah. Kalau Allah tak ingatkan? Tentu kita akan buat salah dalam kita tidak tahu. Jadi, Allah sudah beritahu siap-siap kepada kita apakah balasannya kalau buat salah.

وُدًّا

perasaan kasih sayang.
Iaitu perasaan kasih sayang yang tidak terbanding.

Ayat ini dalam bentuk yang terbuka. Tidak dijelaskan dengan terperinci apakah yang dimaksudkan dengan ‘kasih sayang’ itu. Mungkin Allah hendak memberitahu kita bahawa kalau kita beriman dan beramal soleh, Allah akan menyayangi kita dengan banyak sekali. Allah akan sayang kepada mereka, mereka pun sayang kepada Allah. Dan bukan itu sahaja, Allah akan letakkan perasaan kasih sayang sesama muslim. Lihatlah betapa makhluk cintakan Nabi Muhammad. Sahabat cintakan Nabi, binatang, malah pokok-pokok pun cintakan Nabi.

Allah kata dalam ayat ini bahawa cinta itu datangnya dari Allah. Kita tidak boleh bagi orang sayang kepada kita. Hanya Allah sahaja boleh buat. Kita hanya perlu beriman dan beramal soleh sahaja. Selain dari itu Allah yang akan uruskan.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, Nabi bersabda:

Sesungguhnya Allah, jika mencintai seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berfirman: ‘Hai Jibril, sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lalu Jibril pun mencintainya. Kemudian Jibril memanggil seluruh penghuni langit dan berkata: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lalu seluruh penghuni langit pun akan mencintainya. Kemudian, diletakkanlah baginya penerimaan di muka bumi. Sesungguhnya Allah, jika membenci seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berfirman: ‘Hai Jibril, Aku membenci si fulan, maka bencilah dia.’ Lalu Jibril pun membencinya dan memanggil penghuni langit sambil berkata: ‘Sesungguhnya Allah membenci si fulan, maka bencilah dia,’ lalu penghuni langit pun membencinya. Kemudian diletakkan baginya kemurkaan di muka bumi.” Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Bukhari)

Jangan kita hendak orang terima kita, orang sayang kita, kita cakap apa yang mereka suka dengar. Begitulah yang terjadi dengan ramai guru agama. Mereka takut nak cakap perkara yang menyebabkan orang tak suka dengar. Mereka akan ajar benda-benda yang tak mengejutkan orang sahaja. Maka, masyarakat jadi jahil tentang agama. Mereka buat benda yang salah kerana guru-guru agama tak ajar pun mereka apakah yang salah. Sikit-sikit ajar tentang fekah sahaja. Tentang akidah dan tentang tauhid, jarang sekali. Kalau ajar pun, ajar sikit-sikit.

———-

Ayat 97: Ini adalah peringatan akhir yang diberikan kepada Nabi Muhammad dalam surah ini.

19:97
Sahih International

So, [O Muhammad], We have only made Qur’an easy in the Arabic language that you may give good tidings thereby to the righteous and warn thereby a hostile people.

Malay

Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ

Maka sesungguhnya Kami telah memudahkan Al-Quran ini

Apakah maksud ‘memudahkan’? Ianya bukanlah bermaksud Quran ini mudah sangat. Kalau mudah sangat, sudah hilanglah kehebatan Quran. Untuk memahami Quran, kena ada usaha. Kena luangkan msa untuk belajar. Ambil masa bertahun untuk belajar, baru boleh faham.

Tapi, Allah telah berikan kemudahan untuk kita faham. Kalau kita mahu belajar, mahu faham ayat-ayat Allah, Allah akan bantu kita.

بِلِسَانِكَ

dengan bahasamu,

لِسَانِ dalam bahasa Arab bukan sahaja bermakna ‘bahasa’. Tapi termasuk juga ‘lenggok bahasa’. Iaitu yang senang difahami. Oleh itu untuk faham Quran, pertama kena belajar bahasa Arab. Tapi bukan itu sahaja. Kerana kalau tahu bahasa sahaja diterjemahkan, kita tidak dapat faham sepenuhnya Quran itu. Kena tahu lenggok bahasa itu juga.

Quran diturunkan dalam Bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang tepat. Satu-satu ayat itu dapat menyampaikan makna yang mendalam. Yang tidak boleh dilakukan oleh bahasa lain. Kalau Quran itu dalam bahasa Melayu, entah berapa tebal Quran itu agaknya.

لِتُبَشِّرَ بِهِ

ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya

‘dengannya’ bermaksud kita menggunakan ayat-ayat Quran untuk berdakwah kepada manusia. Itulah cara terbaik untuk berdakwah. Itulah cara terbaik untuk memberi khabar gembira kepada manusia.

Kenapa Quran itu dimudahkan? Untuk memberi memberi berita gembira kepada manusia sebagai motivasi. Motivasi kepada mereka untuk berbuat kebaikan. Kepada mereka yang bertaqwa, dijanjikan balasan yang baik untuk mereka.

الْمُتَّقِينَ

orang-orang yang bertaqwa,

وَتُنذِرَ بِهِ

dan supaya engkau memberi amaran dengannya

بِهِ bermaksud menggunakan Quran untuk beri berita gembira dan beri ancaman. Ini bermakna, Quran adalah alat utama dalam dakwah. Kita kena sampaikan ayat-ayat Quran sebelum kita beri pendapat. Tapi, orang kita yang berdakwah, jarang pakai Quran. Mereka akan guna akal, guna kitab-kitab ajaran manusia dan sebagainya. Padahal ayat-ayat dalam Quran itulah yang perlu disampaikan dahulu kepada manusia.

قَوْمًا لُّدًّا

kepada kaum yang degil dalam kekufurannya.

لُّدًّا bermaksud ‘amat suka berkelahi’. Suka cari pasal dan suka kalau dalam keadaan macam itu.

Kalau kita lihat susunan ayat ini, mula-mula Allah cakap tentang memberi motivasi kemudian barulah beri ancaman. Maknanya, kena mula dengan bagi berita gembira dahulu. Kalau itu tidak berjaya, teruskan dengan memberi ancaman.

Kita beri peringatan dan ancaman itu adalah kerana kita sayang kepada mereka. Kita tak mahu mereka salah langkah. Kita tak mahu mereka masuk neraka. Bukan kita hendak menakutkan mereka semata-mata.

—————————————————————

Ayat 98: Allah berikan kata-kata akhir kepada orang yang tidak mahu menerima Islam.

19:98
Sahih International

And how many have We destroyed before them of generations? Do you perceive of them anyone or hear from them a sound?

Malay

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu.

 

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّن قَرْنٍ

Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka;

Banyak sangat yang telah dibinasakan. Ada yang kita tahu dari Quran dan ada yang kita tak tahu pun. Sampai sekarang, ada lagi kesan-kesan peninggalan mereka itu. Allah sengaja tinggalkan supaya kita boleh ambil pengajaran dari kejadian itu.

هَلْ تُحِسُّ مِنْهُم مِّنْ أَحَدٍ

Adakah engkau menyedari dari orang-orang yang telah dibinasakan itu?
Kau tidak tahu sikit pun tentang mereka. Macam mereka tidak wujud pun dulu. Kerana Allah telah hancurkan mereka semuanya. Begitulah nasib mereka. Mereka sampai dilupakan terus. Kalau Quran tak beritahu kepada kita, kita pun tidak tahu.

أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا

ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun

رِكْزًا adalah ‘suara yang halus sahaja’. Digunakan juga untuk bunyi buzzing lebah. Atau bunyi cengkerik. Macam tidak ada apa-apa bunyi. Suara yang halus tentang mereka pun tidak ada. Langsung tak dengar suara mereka. Langsung tak dengar tentang mereka. Allah hancurkan mereka sampai tidak ada bunyi langsung dari mereka.

Ini adalah amaran kepada mereka yang menentang Nabi dan tidak mahu menerima dakwah Nabi. Mereka ingat mereka besar, hebat, tapi mereka pun boleh jadi macam orang-orang yang telah dihancurkan dulu.

Dan isyarat kepada Nabi untuk meneruskan dakwah. Jangan hirau nasib mereka. Allah akan uruskan mereka. Allah akan balas mereka. Samada dalam dunia atau di akhirat kelak.

Surah ini bermula dengan suara yang perlahan – iaitu cara Nabi Zakaria berdoa dengan suara yang lembut. Dan surah ini berakhir dengan suara yang halus pula. Itulah persamaan antara permulaan ayat dan akhir ayat.

Sekian sahaja tafsir Surah Maryam ini. Allahu a’lam

Lompat ke awal surah.

Lompat ke surah seterusnya, Surah Taha.

=============================================

ref: UR, NJ, IK, NAK.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 019: Maryam. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s