Tafsir Surah Maryam Ayat 52 – 64

Sambungan tafsir Surah Maryam. Link kepada awal ayat

Ayat 52:

19:52
Sahih International

And We called him from the side of the mount at [his] right and brought him near, confiding [to him].

Malay

Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata dengan Kami.

 

وَنَادَيْنَاهُ

Dan Kami telah menyerunya

Kejadian yang dimaksudkan ini adalah ketika Nabi Musa telah sesat mencari api di Bukit Thur. Ada disebut di awal surah Taha. Allah telah memanggilnya dan telah berdialog dengan Nabi Musa.

Perkataan نداء digunakan dalam ayat ini kerana kita telah belajar sebelum ni bahawa maknanya: bercakap dengan seseorang yang kita tak nampak. Nabi Musa memang berkata-kata secara terus dengan Allah, tapi baginda tidak nampak Allah. Nabi Musa ada minta untuk melihat Allah tapi tidak boleh. Ini telah disebut dalam ayat A’raf:143 قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ قَالَ لَن تَرَانِي.

مِن جَانِبِ الطُّورِ الْأَيْمَنِ

dari arah sebelah kanan Gunung Tursina,
Ini mungkin mengambil maksud isyarat sahaja. Bukan mengambil maksud yang literal sebelah ‘kanan’. Ia bermaksud ‘baik’. Kita pun selalu menggunakan ‘kanan’ untuk perkara yang baik, seperti ‘puak kanan’ dan sebagainya.
Ayat ini hendak mengatakan bahawa tempat itu diberkati.

Apabila sesuatu itu diberkati, kenalah ada dalil dalam agama. Samada Allah beritahu atau Nabi beritahu kepada kita. Kita sebagai manusia, tidak tahu apakah yang diberkati kerana ianya adalah perkara ghaib. Jangan kita pandai-pandai kata sesuatu itu berkat atau tidak. Sebagai contoh, masyarakat kita, kalau ada yang baru balik dari Mekah, kita akan kata kepada mereka: “Nak salam sekejap, nak ambil berkat”. Itu adalah rekaan semata-mata. Tidak ada dalil mereka yang balik dari Mekah bawa balik berkat itu dengan mereka dan boleh pass kepada kita pula. Kalau kita nak dapat berkat, kita sendiri kena pergi ke Mekah. Kerana Mekah memang tempat yang diberkati.

وَقَرَّبْنَاهُ نَجِيًّا

dan Kami dampingkan dia dengan dekat.

Nabi Musa telah diberi penghormatan berkata-kata dengan Allah. Ini adalah satu kelebihan kepada Nabi Musa yang tidak diberikan kepada Nabi-Nabi yang lain.
نَجِيًّا seperti ‘munajat’. Amat dekat sekali. Bercakap dengan rapat sekali. Munajat bermaksud mendekatkan diri dengan Allah.

————————————————————————–

Ayat 53:

19:53
Sahih International

And We gave him out of Our mercy his brother Aaron as a prophet.

Malay

Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

 

وَوَهَبْنَا لَهُ

Dan Kami kurniakan kepadanya
Perkataan هَبْ digunakan apabila ianya melibatkan satu pemberian besar. Selalunya digunakan dalam Quran apabila menceritakan tentang pemberian anak. Anak adalah satu pemberian yang amat besar. Mereka yang sudah ada anak akan dapat memahami apakah yang dimaksudkan. Dan apa yang diberikan kepada Nabi Musa dalam ayat ini adalah juga satu pemberian yang besar. Apakah pemberian itu? Akan disebutkan selepas ini.

مِن رَّحْمَتِنَا

dari rahmat Kami,
Ianya adalah satu yang pemberian besar. Rahmat dari Allah. Allah hendak mengingatkan kita bahawa pemberian itu adalah dari Allah. Bukan hanya pemberian kepada Nabi Musa sahaja yang dari rahmat Allah, tapi apa-apa pemberian pun kepada kita.

Apabila ada perkataan مِن, ianya bermakna ‘sebahagian’. Walaupun besar pemberian Allah itu kepada Nabi Musa, tapi tidak sampai setitik pun dari keseluruhan rahmat Allah yang amat amat luas.

Apakah pemberian itu sampai digunakan kata هب dan dikatakan ianya rahmat dari Allah?

أَخَاهُ هَارُونَ نَبِيًّا

saudaranya: Harun, yang juga berpangkat Nabi.

Nabi Musa telah berdoa kepada Allah untuk menjadikan saudaranya Harun sebagai Nabi dan Allah telah perkenankan doa Nabi Musa itu.

Ada beberapa perkara yang Nabi Musa minta kepada Allah. Antaranya adalah diminta supaya abangnya Harun dijadikan juga Nabi. Supaya dapat menyokongnya. Kisah ini disebut dalam surah seterusnya, surah Taha dengan panjang lebar. Kisah Nabi Musa meminta supaya dilantik Nabi Harun menjadi Nabi ada disebut beri dari ayat ke 29 Surah Taha.

Bermakna Allah telah memperkenankan doa Nabi Musa. Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud doa umatnya seperti doa Nabi Bani Israil. Bermaksud doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah. Cuma pemberian Allah itu berbagai cara – ada yang diberikan seperti apa yang diminta, ada yang ditukar kepada perkara yang lebih baik dan ada yang diberikan di akhirat kelak. Ini menunjukkan kehebatan doa. Maka jangan kita sia-siakan kebesaran yang Allah telah berikan kepada kita itu.

Dalam ayat ini dikatakan bahawa Nabi Harun adalah seorang Nabi. Ini menolak pendapat yang mengatakan Nabi Harun bukan seorang Nabi.

————————————————————————

Ayat 54: Sebelum ini tentang Nabi-nabi dari Bani Israil, sekarang Nabi dari jalur yang lain.

19:54
Sahih International

And mention in the Book, Ishmael. Indeed, he was true to his promise, and he was a messenger and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

 

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail;

Allah menyuruh Nabi dan kita juga untuk memerhatikan kisah Nabi Ismail yang ada dalam Quran ini. Bukan diambil dari karangan-karangan mengarut selain dari Quran dan hadis. Begitu juga kita hendaklah menyampaikan juga kisah Nabi Ismail ini kepada orang lain juga.

Sebelum ini tidak disebut Nabi Ismail apabila Quran memperkatakan tentang anak dan cucu Nabi Ibrahim dalam ayat 49. Bukanlah kerana Nabi Ismail kurang status atau rendah dari Nabi Ishak. Ada di tempat lain dalam Quran hanya disebut Nabi Ismail tanpa Nabi Ishak. Quran memperkatakan sesuatu perkara mengikut kepada keperluan. Dalam ayat 49, perlu disebut Nabi Ishak dan di tempat lain perlu disebut nama Nabi Ismail. Ini kerana Quran adalah kata-kata Allah yang tepat. Kalau ianya tidak diperlukan, Allah tidak akan sebut dalam Quran.

إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ

sesungguhnya ia adalah yang benar dan sentiasa menepati janji

Maksud ayat ini adalah Nabi Ismail sentiasa menepati janjinya. Tidak pernah dia bernazar untuk melakukan sesuatu ibadat melainkan dia akan menunaikannya. Pernah sekali, dia berjanji untuk berjumpa dengan seorang lelaki di satu tempat. Nabi Ismail telah pergi ke tempat itu seperti yang dijanjikan tapi lelaki itu terlupa untuk datang. Nabi Ismail tetap menunggu sampai lelaki itu datang esok harinya.

Dan memang itu adalah normal untuk para Nabi menepati janji mereka. Tiada bezanya Nabi Ismail dengan Nabi-Nabi lain dalam hal itu. Tapi apabila ada ال dalam perkataan الْوَعْدِ (janji), itu bermaksud ianya adalah satu janji yang spesifik. Apakah janji yang dimaksudkan?

Janji yang dimaksudkan adalah kisah bagaimana Nabi Ibrahim telah mendapat mimpi menyembelih anaknya Nabi Ismail. Kisah ini disebut dalam Saffat: 102, 103. Apabila diberitahu kepada Nabi Ismail, baginda sanggup terima. Dan apabila sampai masa untuk menyembelih baginda, baginda datang menepati janjinya. Bukanlah baginda hanya cakap sahaja tapi kemudian melarikan diri. Itulah janji yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Ini memberi pengajaran kepada kita untuk menepati janji juga. Nabi pernah bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga. Jika bicara ia dusta, jika berjanji ia menyalahi dan jika diberi amanah ia khianat.”

Dalam Sunan Abi Dawud, ada diriwayatkan kisah Nabi Muhammad. Seorang sahabat bernama Abil Hamsa berkata:

“Aku berbai’at kepada Rasulullah sebelum beliau diutus menjadi Nabi. Di kemudian hari, aku berjanji bertemu dengannya di suatu tempat. Akan tetapi pada hari itu aku lupa, begitu juga hari keduanya. Maka pada hari ketiga, aku menemui beliau dan aku melihat beliau tetap berada di tempat tersebut. Beliau bersabda kepadaku: “Hai anak muda, engkau menyebabkan aku rindu. Aku menunggumu di sini sejak tiga hari.”

وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

‘Rasul’ digunakan dalam ayat ini kerana dialah asas kepada bangsa Arab. Bagindalah yang telah meletakkan dasar dan hukum perjalanan bangsa Arab. Kalau kita mengambil definisi ‘Rasul’ sebagai seorang Nabi yang membawa syariat baru kepada kaumnya. Jadi itulah yang dibawa oleh Nabi Ismail kepada bangsa Arab. Dari keturunannya lahir Nabi Muhammad.

Baginda juga seorang Nabi. Ada mufassir mengatakan ini menunjukkan kemulian Ismail dibandingkan saudaranya Ishaq. Kerana Allah mensifati Ishaq hanya dengan kenabian sedangkan Ismail disifatiNya dengan kenabian dan kerasulan.

————————————————————

Ayat 55: Ini adalah Sambungan kisah Nabi Ismail a.s. Apakah yang hendak disampaikan oleh ayat ini? Semasa kita membaca ayat ini, kita perlu ingat bahawa dia adalah seorang pemimpin besar. Dia telah meletakkan asas pembentukan negara Arab. Tentunya sebagai seorang pemimpin, baginda sibuk dengan tugas-tugas kenegaraaan. Sebagai Rasul pula, tentunya baginda sibuk dengan tugas-tugas dakwah. Tapi begitu pun, baginda tidak melupakan tanggungjawab mengajar dan memberi peringatan agama kepada anak isterinya. Dia mengajar masyarakat yang dipimpinnya dari teladan yang ditunjukkan sendiri bagaimana baginda berurusan dengan keluarganya. Maka elok sangat kalau kita mempelajari kisahnya disini dan melihat apakah pengajaran yang kita boleh ambil. .

19:55
Sahih International

And he used to enjoin on his people prayer and zakah and was to his Lord pleasing.

Malay

Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ

Dan adalah ia menyuruh keluarganya

وَكَانَ apabila diletakkan sebelum kata kerja bermaksud ‘sentiasa’. Kadang-kadang kita tidak boleh hanya bercakap sekali sahaja. Macam kita nak ingatkan anak kita solat, hari ni kena cakap, esok kena cakap, lusa kena cakap dan tulat dan seterusnya, kena juga ingatkan mereka tentang solat dan tentang ibadat-ibadat lain.

بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ

untuk mengerjakan sembahyang dan memberi zakat,

Sebelum ini, telah disebut bahawa arahan ini juga telah diberikan kepada Nabi Isa a.s. Sama sahaja arahan yang diberikan kepada Nabi-nabi.

Zakat ada dua makna. Maksud asal adalah pembersihan. Makna pertama adalah pembersihan ‘dalaman’ dimana kita membersihkan hati kita dari sifat-sifat buruk. Dan makna zakat yang kedua adalah makna pembersihan luaran. Iaitu kita mengeluarkan zakat dalam bentuk harta dimana kita membersihkan harta itu. Apabila kita mengeluarkan zakat, kita sebenarnya membersihkan pendapatan kita jikalau ada dari pendapatan kita yang tidak bersih. Sebagai contoh, ada pendapatan-pendapatan yang syubhah yang kita tidak sedari. Sebagai contoh, kita berniaga kedai makan. Mungkin ada termasuk duit pelanggan yang tersilap kira. Jadi itu adalah pendapatan yang kotor sebab kita tidak patut dapat duit itu. Jadi, dengan memberikan zakat, keseluruhan harta kita halal bagi kita. Itu adalah satu contoh.

Dalam surah Taha pun, ada disebut bagaimana Nabi Muhammad pun disuruh mengingatkan keluarganya untuk mengerjakan solat juga. Ini disebut dalam ayat 132.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Pemimpin pun tidak lepas dari tanggungjawab kepada keluarga. Kita perlu melihat agama mereka juga. Selalu kita risau hal dunia mereka, tapi bagaimana dengan agama? Inilah sebenarnya tarbiyah.

Banyak pengajaran terdapat dalam ibadat solat dan zakat. Sebab itulah ayat ini menyebut dua ibadat ini. Solat adalah ibadat yang melibatkan badan dan zakat adalah ibadat hati dan juga ibadat harta.

Nabi Ismail pun disuruh mengajar sendiri ahli keluarga. Berapa banyak kita lihat dalam masyarakat, bagaimana seorang imam, guru agama, tok siak, tertinggal anak mereka sendiri. Mereka sibuk memberi nasihat kepada orang lain, tapi anak mereka sendiri mereka tertinggal. Ini mungkin disebabkan mereka telah lalai dalam menjaga kesihatan agama ahli keluarga sendiri.

Memang ada anak-anak orang baik, tapi anak pula macam hantu. Anak Nabi-nabi pun ada begitu juga. Tapi jangan kita hanya gunakan alasan anak Nabi Nuh pun tak terima dia. Kalau kita dah memang menasihati mereka, barulah boleh kita nak kata kita dah usaha tapi mereka masih juga tak mahu terima.

Marilah kita ambil contoh bagaimana Nabi Muhammad bersama keluarganya. Walaupun baginda dalam kesibukan berdakwah dan menjadi pemimpin masyarakat, tapi Nabi berjumpa dengan ahli keluarga baginda setiap hari. Baginda akan mengkhususkan waktu dari selepas asar sampai maghrib untuk bertemu semua ahli keluarga baginda.

Marilah kita mengajar anak-anak kita dengan contoh tauladan yang baik. Yang mereka boleh nampak kita buat sendiri. Kita sendiri mengajar mereka solat, baca Quran, hadis Nabi dan lain-lain lagi. Begitu banyak kelebihan dalam solat dan zakat yang boleh diterapkan. Sebagai contoh, solat mengajar mereka menghormati masa. Zakat mengajar mereka tanggungjawab sosial sesama umat.

وَكَانَ عِندَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا

dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya.

Penerangan bahawa Nabi Ismail diredhai diletakkan dalam ayat yang sama yang menyebut bagaimana baginda mengajar keluarganya tentang agama. Ini menunjukkan kepentingan mengajar agama dan mengingatkan tentang agama kepada keluarga. Apa yang kita hendak adalah redha Allah. Dan mengajar keluarga kita adalah salah satu jalannya untuk mendapat redha Allah. Begitu penting sekali kita mengajar agama kepada mereka. Bukan nak mengajar orang lain sahaja, tapi anak isteri sendiri dilupakan. Begitulah yang terjadi kepada  beberapa ahli-ahli agama yang kita boleh lihat dalam masyarakat kita. Biar kita ajar sendiri. Tak perlu outsource kepada sekolah agama dan orang alim lain.

Berkeluarga adalah satu ibadah sebenarnya. Banyak kelebihan dalam berkeluarga. Memberi makan kepada mereka adalah sedekah. Meluangkan masa dengan mereka adalah sedekah. Bersama dengan isteri untuk mendapat zuriat adalah sedekah dan macam-macam lagi. Dan jangan kita lupa bahawa kita tinggalkan mereka untuk meneruskan pahala kepada kita apabila kita tiada nanti. Dalam hadis telah disebut bahawa selepas mati anak Adam, maka putuslah pahalanya. Melainkan sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Tapi tentang mendoakan ibubapa ini pun ramai yang keliru. Mereka selalu buat majlis tahlil atau sekurang-kurangnya, masyarakat kita akan menyedekahkan bacaan surah fatihah kepada ibubapa mereka yang telah tiada. Mereka berhujah bahawa itulah yang dimaksudkan dengan ‘doa’ kepada ibubapa. Ini adalah kerana mereka kurang faham dan mereka hanya ikut sahaja apa yang telah biasa dibuat oleh orang-orang terdahulu. Orang-orang terdahulu pun keliru juga. Apa yang mereka buat itu adalah ‘sedekah pahala’ dan sedekah pahala tidak ada dalam Islam. Tidak ada dalil langsung yang mengajar kita untuk sedekah pahala sebegitu rupa. Yang dimaksudkan dengan doa adalah doa yang biasa kita baca. Sebagai contoh doa yang pendek: “Ya Allah, ampunkanlah dosa ibubapaku”. Itu sahaja. Kalau ada doa yang panjang, diambil dari Quran dan hadis Nabi, itu lebih elok. Ini memerlukan perbincangan yang panjang kepada mereka yang masih tidak faham. Dan ini bukanlah tempat untuk perbincangan itu.

——————————————————-

Ayat 56: 

19:56
Sahih International

And mention in the Book, Idrees. Indeed, he was a man of truth and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris;

Siapakah Nabi Idris? Tidak banyak info sahih yang kita ada. Tidak banyak disebut tentang Nabi Idris dalam Quran dan hadis yang sahih.

Ada ahli tafsir yang mengatakan bahawa baginda adalah Nabi pertama selepas Nabi Adam. Ada juga yang mengatakan bahawa mungkin dia cucu kepada Nabi Adam. Ada riwayat yang mengatakan dialah yang memulakan ilmu astrologi – ilmu mengkaji bintang. Ada juga yang mengatakan bahawa dialah yang mula-mula menjahit pakaian. Dan dialah yang memulakan ilmu matematik asas. Allahu a’lam kerana riwayat-riwayat itu tidak dapat disahihkan.

Dalam surah Anbiya ayat 85, ada disebutkan bahawa baginda adalah seorang yang sabar.

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ

Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.

Dalam ayat itu baginda sekali lagi disebut bersama Nabi Ismail. Dari situ kita juga dapat tahu bahawa Nabi Ismail juga seorang penyabar. Dan apabila disebutkan bersama Nabi Ismail sekali lagi seperti dalam surah Maryam ini, terdapat kaitan antara Nabi Idris dan Nabi Ismail.

إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

sesungguhnya adalah ia amat benar, serta ia seorang Nabi.

Sifat yang sama telah dikatakan dalam Quran untuk Nabi Ibrahim. Sila rujuk ayat 41.

Siddiq bermaksud membenarkan sesuatu yang benar. Contohnya, apabila kita dengar seseorang berhujah dan kita tanya apakah dalil dan orang itu beri dalil yang sahih dari nas Quran atau dari hadis sahih. Selepas orang itu beri dalil, maka kita pun terima. Walaupun kita tak pernah dengar sebelum itu dan berlainan dengan apa yang kita amal selama ini. Tapi apabila diberikan hujah yang sahih, maka kita terima dengan rela. Kita sanggup terima bahawa apa yang buat selama ini salah. Janganlah sebab kita dah selalu buat, apabila ada yang kata ianya salah, kita tak mahu terima. Kita pula beri hujah kita yang tidak sahih, atau kita pun tidak pasti, untuk membenarkan amalan kita selama ini. Itu bukanlah seorang sadiq. Ingatlah, agama Islam ini berasaskan dalil. Kalau tidak diberikan dalil, maka sesiapa sahaja boleh kata apa sahaja, maka rosaklah agama.

Orang agama kita pula janganlah marah kalau anak murid tanya dalil. Kerana memang itu yang sepatutnya. Janganlah beri alasan macam-macam untuk tidak beri dalil. Sebab ada yang kata kalau tanya lemah iman, kalau beri dalil pun mereka tak faham, ini dah lama ulama kita buat dan macam-macam lagi alasan yang diberikan. Selalunya alasan itu diberikan kerana memang tidak ada dalil. Ustaz yang sebut itu pun tak tahu apakah dalilnya. Dia pakai sebut sahaja, kerana guru dia ajar dia macam itu, atau tidak baca kat kitab mana-mana macam itu. Cukuplah sudah kita beragama cara terima sahaja tanpa usul periksa.

———————————————————————-

Ayat 57:

19:57
Sahih International

And We raised him to a high station.

Malay

Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

 

وَرَفَعْنَاهُ

Dan Kami telah mengangkatnya

مَكَانًا عَلِيًّا

ke tempat yang tinggi darjatnya.
Ada riwayat yang menyatakan, Nabi Idris telah diangkat ke langit. Tapi riwayat itu tidak kuat. Mungkin ianya diambil dari kisah Israiliyat. Dan ada juga kisah dalam hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad berjumpa dengan Nabi Idris di langit semasa baginda Isra’ Mi’raj. Tapi tentang nama Nabi Idris itu tidaklah kuat hadisnya.

Jadi mungkin maksud ‘diangkat’ itu adalah dari segi kedudukan baginda. Allah telah menaikkan darjat baginda.

Kenapa disebutkan banyak nama-nama Nabi dan Rasul dalam surah Maryam ini? Allah membawakan kisah Nabi-Nabi ini untuk menunjukkan kepada kita bahawa ajaran Nabi Muhammad itu bukanlah ajaran baru. Ianya dibawa juga oleh Nabi-Nabi yang lain. Termasuklah Nabi-Nabi yang kita tidak banyak maklumat tentang mereka seperti Nabi Idris ini. Terlalu banyak yang kita tak kenal.

Nabi-Nabi yang disebut itu adalah sebagai isyarat kepada agama-agama yang tidak mahu menerima Islam. Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa dan juga Maryam adalah sebagai teguran kepada penganut Kristian. Kerana mereka juga adalah Nabi-nabi dan orang penting dalam agama Kristian.

Nabi Harun, Nabi Musa, Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub pula adalah sebagai teguran kepada ahli kitab. Mereka dipandang mulia dalam agama Yahudi.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pula adalah teguran kepada musyrikin Mekah, kerana mereka pun kenal Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Dan sekarang, disebutkan tentang Nabi Idris yang kurang dikenali. Nabi yang tidak dikenali sangat pun ada disebut juga. Nak beritahu kepada kita bahawa banyak lagi yang kita tidak tahu. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ada seramai 124 ribu para Nabi dan lebih dari 300 rasul telah diturunkan.

——————————————————————–

Ayat 58:

19:58
Sahih International

Those were the ones upon whom Allah bestowed favor from among the prophets of the descendants of Adam and of those We carried [in the ship] with Noah, and of the descendants of Abraham and Israel, and of those whom We guided and chose. When the verses of the Most Merciful were recited to them, they fell in prostration and weeping.

Malay

Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

 

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِم

Mereka itulah yang telah dikurniakan Allah telah memberi nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka

Banyak nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka, dari pangkat kenabian, ilmu, anak-anak, pengikut dan sebagainya. Tidak terkira nikmat yang telah diberikan kepada mereka.

مِّنَ النَّبِيِّينَ مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ

dari Nabi-nabi dari keturunan Nabi Adam,
Allah menceritakan nikmat-nikmat yang diberikan kepada para Nabi. Mungkin yang dimaksudkan مِن ذُرِّيَّةِ آدَمَ disini adalah Nabi Idris.

وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ

dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh,

Nabi Nuh diibaratkan Adam kedua kerana seluruh keturunan manusia telah habis kecuali yang berada dalam bahtera itu.

وَمِن ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ

dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil-

Israil yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Nabi yaakub. Baginda telah diberi nama ‘Israil’.

وَمِمَّنْ هَدَيْنَا

dan siapa-siapa yang Kami beri hidayah petunjuk
Iaitu selain dari para Nabi itu. Ada ramai lagi yang Allah beri petunjuk. Hidayah adalah apa yang dibawa oleh para Nabi. Yang mengikut mereka diberi hidayah. Maka, hendaklah kita mengikut para Nabi itu dan ajaran yang dibawa. Syariat yang kita kena ikut adalah syariat Nabi Muhammad. Bukanlah ajaran yang dibawa para ulama dan guru agama yang tidak menyampaikan ajaran dari Quran dan Sunnah Nabi.

وَاجْتَبَيْنَا

dan yang Kami pilih.
Allah pilih sesiapa yang diberi hidayah. Kita yang menerima hidayah ini hendaklah bersyukur kerana terpilih. Bukan semua manusia mendapat hidayah ini. Ini memberi motivasi kepada kita yang mendapat hidayah Islam ini. Maka kita hendaklah mengikut jejak langkah mereka. Apakah yang mereka lakukan, kita kena ikut.

Selepas kita telah diberi motivasi, sekarang disebutkan apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Allah.

إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ

Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman,

Semua mereka itu mempunyai persamaan. Apakah yang kita perlu buat selepas dipilih untuk menerima hidayah? Ikutlah Sunnah Nabi-Nabi itu. Apakah yang mereka lakukan apabila dibacakan ayat-ayat Tuhan?

خَرُّوا سُجَّدًا

Terus mereka tersungkur sujud
خَرُّوا bermaksud tersungkur dengan segera. Dengan secara automatik. Dalam bentuk sujud. Mereka, para Nabi dan yang mendapat hidayah itu selalu sujud. Ini adalah kerana perkataan سُجَّدًا adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah. Mereka tersungkur sujud itu kerana mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah.

Ini kerana mereka bukan sahaja mendengar. Tapi mereka memasukkan ajaran itu dalam hidup mereka. Dan ajaran itu telah memberi kesan kepada hati mereka. Kalau setakat dengar, tidak memahami dan tidak mengamalkan apa yang diajar, itu tidak memberi kesan. Berapa banyak antara kita yang dengar sahaja apa yang dibacakan, tapi tidak faham sedikit pun, tidak memberi kesan sedikit pun dalam hati kita.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat sajdah dalam Quran. Disunatkan untuk sujud apabila dibacakan atau membaca ayat-ayat ini. Ulama ada mengatakan bahawa disunatkan untuk berdoa dalam sujud itu tentang perkara yang berkenaan dengan ayat itu. Jadi, kalau dalam ayat ini, semasa sujud itu, kita doakan supaya kita dimasukkan ke dalam golongan yang banyak menangis dan juga golongan yang menjaga solat dan zakat.

وَبُكِيًّا

serta menangis.
Mereka selalu menangis. Perkataan yang digunakan juga adalah dalam bentuk Isim Mubalaghah – bermaksud ‘selalu’.
Kenapa mereka selalu menangis? Untuk tunjuk bahawa mereka bukan hanya sujud dalam bentuk fizikal sahaja tapi mereka telah meresapkan perasaan iman itu sampai dalam hati mereka. Mereka terkesan dengan ayat-ayat Allah. Mereka khusyuk apabila membaca kalam Allah. Kesannya, mereka akan menangis.

Nabi juga pernah suruh kita menangis apabila berdoa. Kalau tak boleh, cuba-cuba dan buat-buat menangis. Kerana ini menunjukkan kerendahan kita di hadapan Allah. Lama-lama kita akan menangis dengan sendiri.

Tapi ada yang tak mahu menangis sebab malu. Kita sahaja yang rasa malu kalau menangis. Atau kita rasa kurang selesa. Ada yang kata lelaki tidak menangis. Tapi ingatlah bahawa kita menangis di hadapan Allah, bukan di hadapan orang lain. Tidak perlu kita rasa malu. Tidak perlu kita rasa tinggi diri. Padahal ada waktu-waktu lain boleh pula kita menangis. Contohnya, tengok filem Hindustan, boleh pula menangis. Tengok cerita kartun pun menangis. Tapi kenapa dengan Allah, kita susah untuk menangis?

Para sahabat yang besar dan gagah pun menangis. Abu Bakr memang terkenal sebagai seorang yang kuat menangis. Pernah sekali, apabila Nabi hendak memilih Abu Bakr untuk mengganti baginda menjadi imam, kerana baginda sudah tidak mampu, Aisyah berkata kepada Nabi supaya jangan pilih Abu Bakr, bapanya sendiri, kerana beliau kuat menangis. Itu Abu Bakr, bagaimana pula dengan Umar, yang kita tahu seorang yang berani dan bengis, pun selalu menangis juga. Jadi, siapa kita yang rasa tinggi diri sampai susah untuk menangis kerana Allah?

————————————————————————-

Ayat 59: Ayat yang menakutkan

19:59
Sahih International

But there came after them successors who neglected prayer and pursued desires; so they are going to meet evil –

Malay

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

 

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan

Perkataan خَلْفٌ bermaksud pengganti, dan dari katadasar yang sama, kita selalu dengar perkataan ‘khalifah’. Tapi bukanlah pengganti Nabi, kerana Nabi tidak boleh diganti. Tapi pengganti keturunan. Selepas Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, selepas Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ismail dan seterusnya. Mereka semua itu mengganti kepada Nabi-Nabi yang sebelum mereka. Begitu juga, selepas kita tiada, akan ada golongan lain yang akan mengganti kita.

Dari segi bahasa, خَلْفٌ bermaksud keturunan itu adalah dari jenis manusia yang jahat. Kalau خَلَفٌ pula, mereka itu dari golongan manusia yang baik. Bezanya adalah tanda mati/sukun pada huruf ل. Begitulah kehebatan bahasa Arab. Ubah sikit sahaja dah jadi makna lain.

Ayat ini penting kerana ayat sebelum ini menceritakan tentang kebaikan-kebaikan para Nabi dan pengikut mereka. Tapi semasa ayat ini diturunkan, Nabi tengok di sekeliling baginda, tidaklah begitu keadaan kaum-kaum yang ada bersama baginda. Masyarakat yang ada pada zaman Nabi itu adalah sangat jauh dari kebenaran sampaikan mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’. Allah jelaskan dalam ayat ini, bahawa selepas Nabi-Nabi itu, umat yang selepas mereka adalah umat yang buruk. Mereka yang teruk, bukan kerana salah Nabi-Nabi itu. Oleh itu, jangan salahkan Nabi-nabi itu, kerana mereka tidak bersalah.

Kenapa mereka boleh sampai jadi begitu? Sebabnya akan disebutkan dalam potongan ayat berikut.

أَضَاعُوا الصَّلَاةَ

yang mencuaikan sembahyang

Cuai bermaksud tidak mengambil peluang dari solat itu. Setiap solat ada kelebihannya dan mereka tidak mengendahkannya.

Ini bukan bermaksud mereka langsung tak solat. Tapi ianya bermaksud mereka tak menjaga waktu solat. Mereka lalai dalam menjaganya. Solat dihujung waktu dan kadang-kadang terlajak masuk dalam waktu solat lain. Atau solat dah termasuk dalam waktu makruh. Contohnya, solat Asar tapi dah nak masuk waktu maghrib. Itu adalah waktu yang makruh. Memang sah solat itu, kerana dalam waktu lagi, tapi waktu yang makruh. Begitu juga dengan solat Isyak, sepatutnya dilakukan sebelum tengah malam. Kalau selepas tengah malam, masih lagi dalam waktu tapi dah termasuk dalam waktu yang makruh.

Ada mufassir yang kata maksud ayat ini mereka tak khusyuk dalam solat. Tak jaga kualiti solat mereka.

Saidina Umar pula berkata ayat ini bermaksud mereka yang tinggalkan solat di masjid kerana sibuk dengan dunia. Sibuk dengan kerja dan benda lain. Sampai tak sempat solat di di masjid.

Begitu juga, kita boleh masukkan perkata-perkata bidaah yang ditambah dalam solat kita. Banyak kalau hendak disebut di sini. Sebagai contoh, sekarang ini, apabila selepas solat berjemaah, masyarakat kita akan ramai-ramai salam keliling. Beratur buat bulatan sambil bersalaman antara satu sama lain. Itu adalah bidaah yang paling baru. Tidak pernah diajar dalam Islam. Yang dalam hadisnya, salam dengan orang yang kiri dan kanan kita. Tapi perkara ini meraka dah dibuat. Sekarang bukan hanya salam sahaja, dah mula baca selawat. Nanti akan ada selawat khas direka untuk salam keliling ini. Tak lama nanti akan ada doa khas pula dan entah apa lagi bidaah yang akan direka dalam agama. Anak cucu kita nanti akan lihat perbuatan ini dan mereka akan sangka ini adalah perkara baik dalam agama. Mereka akan kata ada pahala kalau buat begini. Dan kalau ada orang yang tidak buat, orang itu akan dikutuk kerana mereka kata meninggalkan sesuatu dalam agama. Padahal, ini bukanlah ajaran dalam agama Islam pun.

Jangan ingat kita sekarang ini tidak boleh jadi macam mereka. Kalau kita pun lalai dalam solat macam mereka, maka kita pun boleh jatuh seperti mereka. Sekarang lihatlah bagaimana keadaan solat kita. Lambat, tidak khusyuk dan hanya buat di ceruk-ceruk rumah sahaja.

Kalau kita lalai dalam solat, kita pun akan lalai dalam perkara-perkara lain. Kalau kita lalai dalam menjaga hak Allah, kita pun tidak akan menjaga hak makhluk lain.

Maka, hendaklah kita solat dalam waktu yang afdhal. Zaman sekarang senang nak pakai alat-alat canggih untuk mengingatkan kita tentang waktu solat. Maka, kita kena set reminder untuk diri kita sebelum waktu solat masuk supaya kita boleh bersedia untuk mendirikan solat. Supaya kita bersedia untuk pergi ke masjid untuk solat.

Kita kena tunjukkan tauladan menjaga waktu solat kepada anak-anak kita. Solatlah bersama keluarga kita. Buatkan satu ruang dalam rumah kita untuk didirikan solat di situ. Mereka akan melihat solat sebagai sesuatu yang penting dan menjadi satu aktiviti keluarga yang merapatkan antara keluarga.

Kalau mereka menyia-nyiakan salat, tentulah mereka akan menyia-nyiakan kewajiban-kewajiban lain kerana salat adalah tiang agama dan sebaik-baik amal seorang hamba.

Bukan itu sahaja yang menyebabkan mereka jatuh, ada lagi:

وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ

serta menurut nafsu;

Mula-mula mereka ikut nafsu. Lama-lama mereka jadikan nafsu mereka sebagai tuhan. Itulah bahayanya apabila kita ikut sahaja nafsu kita. Lihatlah ayat Furqan:43 –

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?

Allah memberitahu bahawa mereka itu rosak kerana mereka tidak menjaga solat dan mereka mengikut nafsu mereka sahaja.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah suruh Nabi Isa dan Nabi Ismail jaga solat dan zakat. Berkenaan solat ada disebut dalam ayat ini, tapi mana tentang zakat? Yang disebut adalah tentang nafsu pula. Maknanya ada kaitan antara zakat dan nafsu. Apakah kaitan antara nafsu dan zakat? Kalau kita ikut nafsu kita dan membazir, tentulah kita tidak ada duit nak beri zakat dan sedekah lagi.

فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

غَيًّا dari segi bahasa adalah ‘sesat kerana kepercayaan salah’. Sudah tidak tahu mana salah mana betul.

غَيًّا juga adalah nama gua atau lembah dalam neraka yang di dalamnya paling teruk seksaan yang diberikan. Teruk sangat sampai neraka sendiri pun minta lindung darinya. Dalam riwayat dikatakan neraka berdoa sebanyak lapan kali sehari. Dalam lembah itu ular sebanyak 70 ribu ekor ular. Setiap satu lubang adalah untuk seorang manusia. Seekor ular itu panjangnya boleh lilit bumi. Satu titik dari bisanya boleh mematikan segala kehidupan di dunia. Tapi mereka yang kena patuk di neraka nanti, tidak akan mati-mati. Inilah yang dijanjikan kepada mereka yang melalaikan solat.

Maknanya, bukan kecil dosa yang dikaitkan dengan melalaikan solat. Tidakkah ini menakutkan? Kita ingat dengan kita solat dah cukup dah, dah terlepas dah, tapi lihatlah apa balasan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang lalai dalam solatnya. Kerana pentingnya menjaga solatlah, Allah menakutkan kita dengan balasan yang berat. Tapi Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dia tidak biarkan kita begitu sahaja. Selepas Allah takutkan kita, Allah beri jalan keluar.

——————————————————————

Ayat 60:

19:60
Sahih International

Except those who repent, believe and do righteousness; for those will enter Paradise and will not be wronged at all.

Malay

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, –

 

إِلَّا مَن تَابَ

Kecuali orang-orang yang bertaubat
Iaitu orang yang pusing balik kepada Allah. Yang kembali kepada Allah setelah sedar mereka telah tersilap. Untuk senang memahami apakah maksud ‘taubat’, bayangkan kita sedang memandu kereta. Tiba-tiba kita perasan yang kita dah tersilap jalan. Kita terlepas simpang yang sepatutnya kita masuk. Tentulah kita kena buat U-Turn, bukan? Maka, taubat itu adalah ‘u-turn’ kepada Allah. Cuma, semasa kita memandu, tentulah kita kena cari tempat yang sesuai untuk u-turn sebab bukan boleh terus pusing sahaja. Tapi, dalam kita taubat kepada Allah, bila-bila masa sahaja kita boleh lakukan. Tidak perlu tunggu waktu yang sesuai.

Cara untuk bertaubat adalah menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat, istighfar minta ampun dan berazam untuk tidak buat lagi. Tidak ada solat Taubat seperti yang selalu dibuat oleh masyarakat kita. Entah dari mana amalan itu mula direka.

Apabila kita bertaubat dan Allah mengampunkan dosa kita, ianya adalah seperti kita tidak pernah buat dosa. Ini disebut dalam satu hadis:

“Orang yang bertaubat dan dari dosa seperti orang yang tidak memiliki dosa.”

وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا

dan beriman serta beramal soleh,
Kena beriman kembali kepada Allah. Apakah maksudnya? Berhenti dari buat syirik kepada Allah. Kena faham apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu. Banyak disebut dalam blog ini tentang apakah syirik-syirik yang dilakukan oleh kita samada kita sedar atau tidak.

Dalam ayat ini, Quran sebut ‘bertaubat’ dahulu, kemudian baru beriman. Bukankah sepatutnya beriman dahulu baru bertaubat? Dan bukankah yang melakukan taubat itu adalah orang yang beriman? Kalau kita baca ayat ini, ada sesuatu yang hendak disampaikan. Iaitu kena mulakan dengan taubat dahulu. Dan kemudian kena perbaharui iman mereka.

Dan selepas kenalah berbuat amal kebaikan apabila kita dah bertaubat. Bukan hanya cakap bertaubat sahaja tapi tak ubah cara hidup kita. Kenalah ikhlas dalam taubat itu. Jangan kata taubat tapi bila masuk waktu solat, tak solat juga. Masih lagi lengah-lengah dalam solat. Itu bermakna, dia tidak ikhlas dalam bertaubat.itu.

Amal soleh adalah amal yang ada nas dari Nabi. Ianya mesti berdasarkan dari dalil yang soheh. Bukan amal bidaah. Sekarang ini banyak sangat amalan-amalan yang bukan amalan yang soleh kerana ianya datang bukan dari ajaran Nabi tapi dari ajaran-ajaran tambahan manusia.

Hadis yang dijadikan sumber amalan itu mestilah hadis yang sahih, tidak boleh hadis dhaif. Hadis dhaif tidak boleh dijadikan sebagai amalan. Ini pun banyak masyarakat kita yang keliru. Mereka banyak berpegang dengan amalan-amalan yang didapati dari hadis dhaif. Samada mereka sedar ataupun tidak. Padahal, ulama hadis telah sepakat mengatakan bahawa tidak boleh berpegang amalan dari hadis dhaif. Bermakna, kalau hadis dhaif pun tidak boleh dipakai, bagaimana pula boleh pakai amalan dari pendapat manusia? Itu lagi lah tidak boleh. Kalau hadis dhaif itu, adalah kemungkinan ianya dari kata-kata Nabi. Tapi kerana ianya tidak dapat dipastikan, ulama mengambil jalan selamat untuk tidak beramal dengannya. Tapi, masyarakat kita, jangankan hadis dhaif, kata-kata manusia pun mereka pakai juga. Itu memang sudah jauh lari dari ilmu yang sahih. Mereka pakai tangkap muat sahaja. Itu semua adalah hasil dari tipuan syaitan. Syaitanlah yang mengajar manusia untuk melakukan amalan-amalan itu. Ingatlah bahawa banyak lagi amalan yang sahih yang kita tak buat, kenapa nak pakai lagi hadis dhaif, tambahan pula amalan dari rekaan manusia?

Apabila kita beramal bukan dari hadis yang sahih, bermakna kita telah melakukan amalan bidaah. Amalan bidaah adalah ditolak. Bukan itu sahaja, ianya berdosa. Kerana mereka amalan yang bukan dari nas sahih adalah mereka-reka agama dan mengambil tugas Nabi. Nabi yang patut mengajar kita buat amalan, tapi kita pula ambil tugas dia dan buat amalan baru pula.

Dalam ayat sebelum ini, digunakan kata-kata jamak. Tapi dalam ayat ini, ada iltifad (perubahan ayat) ke dalam bentuk mufrad – seorang. Ini kerana hendak menekankan bahawa usaha taubat dan beriman ini kena buat sendiri. Tak boleh nak kata kawan-kawan dan keluarga tak bertaubat dan beriman, jadi kita pun tidak beriman juga dan bertaubat juga. Itu bukan alasan yang akan diterima.

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

maka mereka itu akan masuk Syurga,

Tadi dalam bentuk mufrad, sekarang perkataan فَأُولَٰئِكَ adalah dalam bentuk jamak, kenapa pula? Ini adalah kerana kalau kita masuk syurga, kita tidak akan berseorangan. Akan ada ahli keluarga atau kawan-kawan kita.

Ada ulama yang menggunakan ayat ini untuk berdalil bahawa, taman-taman syurga itu adalah tempat awam. Kita akan bersama dengan orang lain. Kemudian, selain dari taman-taman itu, kita ada tempat kediaman kita yang menjadi milik kita. Kerana kita sebagai manusia memang suka berkawan dan bersosial dengan orang lain.

Sebelum ini dijanjikan neraka kepada mereka yang lalai dalam solat. Sekarang dijanjikan syurga pula. Jadi, mana satu kita nak pilih?

وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا

dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, –

Dalam apa hal pun. Tidak akan kurang dari apa yang sepatutnya mereka dapat. Allah tidak lalai dan tidak lupa dengan apa yang sepatutnya seorang manusia itu dapat dari amalannya.

Setiap amalan baik akan dibalas sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dari perbuatan. Dan setiap amalan buruk akan dibalas sama dengan perbuatannya, tidak lebih, kalau tidak pun akan diampun.

————————————————————————————

Ayat 61: satu ayat sahaja ancaman, tapi dah ada dua ayat sebagai motivasi kepada kita untuk menjaga agama kita. Allah jelaskan lagi apakah yang mereka akan dapat.

19:61
Sahih International

[Therein are] gardens of perpetual residence which the Most Merciful has promised His servants in the unseen. Indeed, His promise has ever been coming.

Malay

(Iaitu) Syurga ” Adn ” yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.

 

جَنَّاتِ عَدْنٍ

(Iaitu) Syurga ” Adn “

جَنَّاتِ bermaksud ‘banyak syurga’, bukan satu sahaja. Ingatlah bahawa orang terakhir yang masuk syurga nanti, akan mendapat sepuluh kali ganda dari saiz dunia sekarang ini. Kalau dia pun dapat banyak itu, apatah lagi mereka yang masuk lagi awal.

عَدْنٍ bermaksud ‘kekal abadi’ dari segi bahasa. Dari segi ilmu, ianya adalah syurga yang tinggi.

الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ عِبَادَهُ

yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya

Sifat Rahman Allah diingatkan sekali lagi di sini. Maka, kita hendaklah menjadikan janji Allah dalam ayat ini sebagai pemangkin kita untuk berbuat kebaikan. Berapa banyak kenikmatan dunia yang kita tinggalkan kerana kita hendak mendapatkan kenikmatan yang kekal abadi. Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik lagi dari yang kita tinggalkan.

بِالْغَيْبِ

disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib;

Allah janjikan sesuatu yang ghaib, yang mata kita tak pernah tengok. Memang kita tidak pernah tengok syurga, dan kita tidak dapat bayangkan bagaimana rupa syurga itu. Tapi, Allah berkali-kali sebut dalam Quran, maka kita boleh tahu serba sedikit.

Atau maksudnya, Allah berikan balasan kerana mereka beriman kepada perkara ghaib. Allah kita tidak nampak, malaikat, Nabi dan sebagainya. Kerana kita percaya kepada semua itu, maka kita dijanjikan syurga.

Dua-dua makna ini boleh digunakan. Tak perlu kita pilih mana satukah yang lebih kuat pendapatnya.

إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا

sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.

كَانَ sentiasa.

مَأْتِيًّا bermaksud, ianya pasti akan datang.

———————————————————————–

Ayat 62: ayat ketiga yang memberikan motivasi kepada kita lagi.

19:62
Sahih International

They will not hear therein any ill speech – only [greetings of] peace – and they will have their provision therein, morning and afternoon.

Malay

Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa).

 

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا

Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia

Yang dimaksudkan ‘dalamnya’ itu adalah ‘syurga’. Tidak ada perkataan sia-sia. Perkataan di dalam syurga itu adalah percakapan yang bermakna belaka. Bagaimana boleh jadi begini? Kerana Allah akan hilangkan perkataan yang tidak molek.

Dari susunan ayat ini, menunjukkan bahawa hanya di syurga sahaja kita tidak mendengar perkara yang sia-sia. Tiada bunyi yang menjelekkan. Tak sama dengan dunia. Di dunia ini macam-macam benda tak elok yang kita dengar. Dengan bisingnya, dengan kata-kata orang yang kita tidak suka dan sebagainya. Dengan kata-kata mereka yang menyakitkan hati kita. Semua itu tidak ada di syurga nanti.

إِلَّا سَلَامًا

tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik;

Kata-kata ‘salam’ yang dimaksudkan adalah kata-kata penghormatan.

وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا

dan rezeki untuk mereka disediakan di dalamnya,

‘Rizq’ bukan sahaja makanan. Apa sahaja yang mereka suka. Mereka akan dapat apa sahaja yang mereka mahukan. Samada perkara yang mereka hendak di dunia tapi tak mampu dapat. Atau perkara-perkara yang mereka tak pernah lihat pun semasa di dunia. Mereka tak tahu pun perkara itu wujud. Sebagai contoh, orang dulu-dulu tak pernah pun lihat televisyen warna, kerana belum ada lagi zaman mereka, tapi kalau mereka nampak, mereka pun hendak juga. Begitulah nanti di syurga, mereka akan ditunjukkan dengan makanan-makanan dan benda-benda kenikmatan yang tak pernah dilihat. Apabila ditunjukkan, mereka amat suka sekali.

بُكْرَةً وَعَشِيًّا

pagi dan petang (sepanjang masa).

Bukan hanya dua waktu itu sahaja mereka dapat makan. Itu dah macam penjara pula – makan dua kali sahaja sehari. Tidaklah bermaksud begitu. Mereka boleh makan sepanjang waktu. Mereka boleh makan apa sahaja yang mereka hendak. Makanan tak perlu mereka usahakan lagi. Teringat sahaja nak makan apa, makanan itu akan tersedia. Nampak burung terbang, terfikir sedap juga kalau makan burung panggang, burung itu akan terpanggang.

Tapi ayat ini menyebut ‘setiap pagi dan petang’ kerana akan ada jamuan besar-besaran pada setiap pagi dan setiap petang. Memang sifat manusia suka berjamuan dan suka berpesta. Waktu jamuan itu, semua penghuni syurga akan datang.

Tidak tahulah bagaimana waktu pagi dan petang itu di syurga kerana di syurga, tidak ada matahari. Maknanya, bukanlah pagi dan petang itu sama macam kita di dunia sekarang.

—————————————————————————————

Ayat 63: Ayat keempat sebagai motivasi kepada kita. Lihatlah berapa banyak ayat diberikan untuk memberi semangat untuk kita. Padahal satu sahaja tentang ancaman. Ini kerana Allah memang hendak sangat kita berjaya di akhirat nanti.

19:63
Sahih International

That is Paradise, which We give as inheritance to those of Our servants who were fearing of Allah .

Malay

Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.

 

تِلْكَ الْجَنَّةُ

Itulah taman Syurga

‘Lihat syurga yang dijanjikan itu’. Ayat ini dibaca dalam nada bersemangat sekali.

الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا

yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada mereka dari hamba-hamba Kami.

Kenapa digunakan perkataan ‘warisi’ dan tak guna kata ‘beri’ sahaja? Kita selalu dengar bagaimana anak akan mewarisi harta pesaka dari ayahnya. Bagaimana kalau harta itu tidak diberikan kepadanya? Hak pewaris kalau tidak diberikan, adalah satu kezaliman. Allah nak kata bahawa Dia akan beri syurga itu kepada yang layak kerana Dia tidak zalim. Ini sebagai satu penguat semangat untuk mengatakan memang Allah akan beri.

Kata مِنْ bermaksud bukan semua hamba akan dapat. Siapakah yang akan dapat?

مَن كَانَ تَقِيًّا

dari orang-orang yang bertaqwa

Iatu mereka yang sentiasa bertaqwa. Taqwa itu bermaksud sedar tentang Allah dalam setiap masa. Dia akan sentiasa memikirkan samada Allah suka atau tidak dalam perbuatannya. Dia akan sentiasa berjaga-jaga. Dia tidak buat sesuatu itu ikut nafsunya sahaja tapi dia akan fikirkan apakah yang sepatutnya dilakukan dalam Islam.

———————————————————————————–

Ayat 64: Nabi amat suka berjumpa dengan Jibrail. Satu waktu, Jibril lama tak datang. Oleh itu, apabila Nabi berjumpa dengan Jibril, Nabi tanya kepada Jibril kenapa tak datang lebih banyak? Nabi berharap semoga Jibril lebih banyak dapat menurunkan ayat Quran lagi. Kerana Nabi suka dapat wahyu. Nabi menghadapi banyak tentangan dan dengan diturunkan wahyu, penurunan wahyu itu memberi semangat kepada baginda. Walaupun sebenarnya, datangnya wahyu itu adalah berat kepada baginda. Berpeluh-peluh kalau baginda terima wahyu itu. Dari soalan baginda itulah diturunkan ayat ini.

19:64
Sahih International

[Gabriel said], “And we [angels] descend not except by the order of your Lord. To Him belongs that before us and that behind us and what is in between. And never is your Lord forgetful –

Malay

Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, –

 

وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ

Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak turun melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad);

Jibril berkata sebagai mewakili malaikat-malaikat yang lain. Itulah sebabnya Jibrail menggunakan perkataan ‘kami’ dalam ayat ini. Kerana apabila Jibrail turun, dia tidak turun seorang diri. Kerana ada bersamanya malaikat-malaikat yang menjaga Quran itu.

Kenapa ayat ini digunakan dalam bentuk kata-kata malaikat? Kenapa tidak terus dari Allah? Ini adalah kerana memberi penghormatan kepada Nabi. Seperti para malaikat itu memohon maaf kepada Nabi. Mereka mohon maaf kerana tidak dapat turun. Bukan mereka tidak mahu tapi kerana ianya adalah arahan dari Allah. Mereka hanya boleh turun kalau Allah arahkan.

Ini juga menolak pendapat musyrik yang mengatakan bahawa malaikat adalah anak-anak Allah dan mereka akan membela puak-puak musyrik itu. Kerana puak musyrikin Mekah memuja malaikat. Apabila Nabi menceritakan tentang malaikat, mereka kata memang mereka memuja malaikat-malaikat tu. Kononnya mereka ingat mereka akan selamat. Jadi ayat ini mengatakan bahawa fahaman mereka itu salah. Malaikat tertakluk kepada arahan Allah. Tidak boleh buat lebih dari itu. Dan mereka tidak dapat menolong puak musyrik itu.

Perkataan نَتَنَزَّلُ itu ada elemen ‘usaha’ dan ‘cuba’ didalamnya. Maknanya, kalau malaikat pandai-pandai cuba nak turun sendiri pun tidak mampu. Kenapa?

لَهُ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا

Dialah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita

Kerana Allah yang menguasai segalanya.

Ibn Abbas mengatakan bahawa apa yang dihadapan kita adalah perkara akhirat yang akan berlaku nanti.

وَمَا خَلْفَنَا

dan apa yang di belakang kita

Yang di belakang kita adalah perkara dunia yang telah berlalu.

وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ

serta apa yang di antara itu;

Ini adalah perkara antara dunia dan akhirat.

Allah menguasai segala-galanya.

وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, –

Allah bukan lupa tentang Nabi sampaikan tidak turunkan Quran itu. Kerana Quran itu turun pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah. Ianya akan diturunkan apabila sampai masa yang sesuai.

Apabila dikatakan Allah tiada lupa adalah untuk memberitahu bahawa Allah tidak lupa kepada ujian dan kesusahan yang sedang dihadapi oleh Nabi waktu itu. Malaikat nak beritahu bahawa Allah tidak lupa tentang Nabi. Allah telah menjaga baginda dan akan tetap menjaga baginda.

Ini mengingatkan juga kepada kita yang sedang menghadapi masalah. Allah tidak lupa tentang kita. Allah nak lihat sahaja apa kita buat dengan masalah yang menimpa kita.

Jadi kita lihat bagaimana Nabi Muhammad pun tidak boleh menyuruh malaikat turun. Lalu bagaimana dengan guru-guru di malaysia yang mengajar anak murid mereka doa-doa untuk memanggil malaikat untuk menjaga mereka? Ada doa: “Jibrail di hadapanku, Mikail di belakangku…” dan seterusnya. Siap sekarang ada lagi macam doa itu pula. Ini adalah kerana kejahilan agama telah berleluasa. Dan ajaran-ajaran sesat amat banyak di Malaysia. Mereka tak sedar bahawa yang mereka panggil itu adalah jin sebenarnya. Kerana malaikat memang tak turun. Malaikat yang berada bersama dengan kita menulis segala perbuatan kita ini pun kalau kita tegur pun mereka tak menyahut, apatah lagi malaikat-malaikat yang lain. Ayat ini adalah sebagai dalil untuk menolak fahaman mereka.

==================================

Lompat ke ayat yang seterusnya

ref: UR, NJ, IK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 019: Maryam. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s