Tafsir Surah Fatihah Ayat 5

Ayat 5: Ini adalah intisari surah Fatihah ini. Tiga ayat sebelum ini adalah untuk Allah. Ayat ini pula Allah kata Dia kongsi dengan kita.

1:5

إِيَّاكَ نَعْبُدُ

Hanya kepada Kamu sahaja yang kami sembah; Tafsir ayat ini adalah surah Zumar (surah ke 39). Kepada Allah lah sahaja tempat kita minta sembah. Inilah intisari keseluruhan Quran. Iaitu ibadat hanya kepada Allah dan minta tolong hanya kepada Allah.

Dalam surah Zumar, terdapat maksud surah iaitu pada ayat kedua:

39:2

Iaitu pada ayat فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ. Hendaklah kamu sembah Allah sahaja tulus ikhlas kepadaNya dalam penyembahan; Kena kata ‘sahaja’ kerana ada juga benda lain yang kita sembah, seperti sultan contohnya. Maknanya, kalau sembah sultan, itu adalah syirik. Kena faham apakah yang dimaksudkan dengan مُخْلِصًا (tulus ikhlas)dalam ayat ini. Ianya bermakna ‘ikhlas’. Contohnya, kita ambil ibadat sembahyang. Tiada siapa yang suruh kita sembahyang, maka itu adalah satu peringkat ikhlas. Tapi penganut Hindu pergi beribadat ke kuil dia pun adalah ikhlas juga. Sebab tidak ada orang yang suruh dia pergi. Dia juga berdoa kepada berhala dia dan sampai menitik airmata dia. Jadi, adakah sama ikhlas kita dan dia? Ikhlas yang mana yang Allah terima? Untuk diterima oleh Allah, amalan itu mesti kena sama dengan apa yang Nabi ajar. Kalau tidak sama, ikhlas macam mana pun tidak diterima. Contohnya, apabila mengangkat takbir dalam solat, tangan mesti mengadap kiblat. Kalau tidak mengadap kiblat, tidak diterima. Tapi kerana mengangkat tangan dalam takbir itu adalah sunat, maka tidaklah terbatal solat itu. Jadi, takbir yang tangan tidak mengadap kiblat tidak sempurna. Kalau tidak sempurna, itulah sebabnya kita disuruh melakukan solat-solat sunat rawatib selepas dan sebelum solat yang dapat menampung mana-mana yang tidak sempurna. Kalau wirid selepas solat, itu tidak dapat menampung segala kekurangan itu.

Jangan kita sangka bahawa cukup dengan ikhlas sahaja Allah akan terima. Belum lagi sebenarnya. Kalau setakat sama dengan apa yang tok guru kita ajar, belum tentu diterima. Kena sama dengan amalan Nabi dan para sahabat. Kalau tok guru ajar sesuatu ibadat, dia mesti bawa dalil perbuatan itu dilakukan oleh Nabi dan sahabat.

Yang banyak dibuat oleh orang kita tanpa dalil adalah menyapu muka selepas solat. Itu tidak ada dalam hadis mana-mana kecuali ada hadis Nabi sapu dahi baginda selepas solat sebab baginda solat atas pasir dan pasir itu melekat pada wajahnya. Maknanya, baginda sapu/raup mukanya dengan bersebab. Tapi masyarakat kita raup muka itu tidak bersebab. Dan pada mereka kalau tak buat, macam tak selesai lagi solatnya. Padahal itu bukanlah perbuatan rukun solat atau syarat solat. Dan tidak ada dalil mengatakan ianya adalah perbuatan sunat. Lebih buruk lagi, ada yang mereka bacaan-bacaan tertentu semasa meraup muka itu. Maka berhentilah kita dari menyapu muka selepas solat. Ingatlah bahawa segala perbuatan dalam ibadat kita kena ada dalil. Janganlah pula kita memegang hadis yang dhaif atau palsu dalam perkara ibadah. Kena pastikan dari mana hadis itu datang. Dan kena pastikan samada ianya adalah sahih atau tidak.

Mohonlah keampunan dari Allah atas kesalahan-kesalahan semua sekali yang kita telah buat atas kejahilan kita. Mungkin kita telah terikut-ikut dengan perbuatan orang lain sebab kita jahil, tidak tahu. Maka hendaklah kita minta ampun kepada Allah atas kesalahan kita selepas kita dah belajar ini. Jangan kita putus asa dalam berdoa, jangan kita sangka Allah tidak mahu ampunkan kesalahan kita itu. Allah mampu nak ampun semua sekali dosa yang kita telah lakukan. Kerana Dia mempunya sifat Maha Pengampun dan Belas Kasihan kepada manusia.

Ingatlah, apabila kita bertemu Allah nanti, yang kita risaukan adalah dosa-dosa kita selama kita di dunia. Oleh itu, janganlah kita lupa untuk sentiasa memohon ampun kepada Allah setiap hari. Kerana kalau semua dosa kita Allah ampunkan, kita akan terus masuk syurga. Seperti Ahli Sihir yang beriman dengan Nabi Musa, mereka telah beriman, tanpa mereka buat apa-apa amal ibadat pun kerana mereka telah dibunuh selepas mereka menyatakan keimanan mereka. Tetapi, ada syaratnya. Syaratnya adalah kita tidak melakukan syirik kepada Allah. Kerana Allah telah berfirman dalam Quran bahawa Dia tidak akan mengampunkan dosa syirik yang dilakukan manusia.

Dalam ayat seterusnya dari surah Zumar, Allah berfirman:

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

Ketahuilah, milik Allah lah agama yang tulus ikhlas. Ugama yang ikhlas adalah sepertimana yang Nabi ajar. Ugama yang lurus. Yang tulen. Kalau agama yang direka atau ditambah, itu bukan Allah punya. Bukan dari Allah.

Daripada penggunaan bahasa, penggunaan kata إِيَّاكَ sebelum نَعْبُدُ menunjukkan bahawa *hanya* kepada Allah sahaja kita sembah. Dalam bahasa Arab, boleh juga diletakkan perkataan إِيَّاكَ selepas نَعْبُدُ tapi itu tidak bermakna ekslusif. Maknanya, kalau ayat macam itu, boleh lagi dikatakan menyembah entiti yang lain. Tetapi makna ayat dalam surah Fatihah ini, cara susunannya, menunjukkan kita tidak akan sembah entiti lain. Tidak ada tuhan selain Allah.

Oleh itu, rumusannya, ibadat mesti ikhlas. Dan ikhlas itu mestilah dengan cara yang Allah dan NabiNya telah ajar.

Dalam ayat ini, terjadi perubahan bentuk dari ghaib (orang ketiga) kepada mukhathab (orang kedua, lawan bicara) seperti kita sedang bercakap dengan orang dihadapan kita. Ini adalah kerana ketika seorang hamba memuji kepada Allah, maka seolah-olah dia merasa dekat dan hadir di hadapanNya.

Iyyaka na’budu didahulukan dari iyyaka nastain kerana ibadah kepadaNya merupakan tujuan yang penting, sedangkan permohonan pertolongan merupakan saranan untuk beribadah. Yang lebih penting didahulukan dari yang kurang penting.

Kenapakah ayat ini menggunakan perkataan ‘kami’, sedangkan yang mengucapkannya adalah seorang sahaja? Ini adalah kerana kita semua adalah hambaNya dan kita adalah salah seorang dari mereka yang sedang melakukan salat kepadaNya. Tambahan pula jikalau kita melakukannya secara berjemaah.

Ada dua makna perkataan ‘na’budu’ itu:

  1. pengabdian
  2. penyembahan

Ada orang yang memang menyembah Allah, tapi mereka tidak bertindak sebagai hamba kepada Allah. Seorang hamba mestilah menerima kata-kata tuannya. Tapi kita kadang-kadang buat tak kisah kepada ajaran yang Allah sampaikan dalam Quran. Kita tidak terima bulat-bulat. Sepatutnya sebagai hamba, kita kena fahamkan dan kena terima. Jadi, ayat ini adalah sebagai satu penyaksian dari kita bahawa kita ini adalah ‘hamba’ kepada Allah. Barulah kita boleh melepaskan diri dari segala macam pengabdian kepada yang lain: seperti budaya, kawan-kawan yang kita ikut sahaja, fesyen dan sebagainya.

Ini adalah bahagian kedua ayat ini:

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya kepada Engkaulah sahaja kami minta pertolongan;

Tafsir ayat ini dalam surah-surah Ha Mim tujuh, iaitu dari surah Ghafir, Fussilat, Syura, Zukhruf, Dukhan dan Jaasiah.

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa

Tujuh surah ini menafikan syirik dalam berdoa. Berdoa hendaklah terus kepada Allah tanpa perantara atau menyeru roh nabi dan wali-wali.

Pertolongan itu ada dua perkara:

1. Ada perkara yang kita hendak. Macam-macam kita hendak. Harta, isteri, kesihatan, macam-macam. Tak terkira perkara banyaknya perkara yang kita inginkan.

Tafsir surah ini terdapat dalam surah Ha Mim Ghafir (dinamakan juga Ha Mim Mukmin) – surah ke 40. Dan maksud bagi surah itu adalah dalam ayat ke 14:

40:14

Transliteration

FadAAoo Allaha mukhliseenalahu addeena walaw kariha alkafiroon

Sahih International

So invoke Allah , [being] sincere to Him in religion, although the disbelievers dislike it.

Malay

Oleh itu maka sembahlah (dalam bentuk doa) kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat (doa) kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).

فَادْعُوا اللَّهَ

Maka doalah kamu kepada Allah sahaja

مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

tulus ikhlas kepadaNya dalam berdoa

وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

walaupun orang kafir tak suka; bermakna doa kita ini kebanyakannya seperti orang doa orang kafir. Doa yang tidak sama dengan cara mereka, mereka tidak suka. Apakah cara doa mereka? Mereka menggunakan perantaraan dalam doa mereka, tidak terus doa kepada Allah.

Seperti orang Kristian, mereka minta melalui Nabi Isa/Jesus. Supaya Nabi Isa memohon kepada Tuhan Bapa bagi pihak mereka. Itupun melalui paderi mereka. Hindu pula jumpa Sami mereka, Sami pula angkat doa kepada Dewa. Supaya Dewa mohonkan kepada tuhan. Orang Buddha pula jumpa kepada Tok Cha, supaya Tok Cha beritahu kepada Buddha supaya Buddha minta tolong kepada tuhan. Mereka yang meminta tolong kepada paderi, Sami dan Tok Cha itu selalunya ada bersama-bersama dalam majlis itu. Dan selepas paderi, sami dan tok cha itu angkat doa bagi pihak mereka yang meminta, mereka akan beri wang kepada mereka sebagai imbuhan. Agama Cina pula minta tolong kepada tok nenek mereka kerana mereka sangka dalam ramai-ramai tok nenek mereka, tentulah ada yang baik dan dapat tinggal dalam syurga dalam istana tuhan. Mereka ibaratkan kerajaan akhirat macam kerajaan dunia. Mereka mengajukan doa kepada tok nenek mereka dengan harapan tok nenek itu akan sampaikan permintaan mereka kepada tuhan. Kalau kita anggap itu adalah cara yang benar, kita sudah syirik kepada Allah. Ingatlah bahawa Allah tidak memerlukan perantaraan dalam doa.

Jesus, Dewa dan Buddha bukanlah tuhan yang sebenarnya. Orang-orang penganut agama kafir itu pun tahu bahawa entiti-entiti itu bukanlah tuhan yang sebenarnya. Kalau ditanya kepada mereka, siapakah tuhan yang sebenarnya, mereka akan jawap bahawa tuhan adalah tuhan yang satu yang menjadikan alam ini. Cuma mereka tak tahu nama tuhan itu.

Masyarakat kita pula bagaimana? Katakanlah kita ada hajat yang besar, kita beritahu kepada ustaz kita. Ustaz itu yang angkatkan doa untuk pihak kita dan kita selalunya akan beri wang kepada ustaz itu. Itu juga dinamakan perantaraan. Kadang-kadang ustaz yang berdoa itu pula menggunakan perantaraan, seperti Nabi Muhammad contohnya. Mereka pun tidak terus berdoa kepada Allah. Sama sahaja perbuatan doa kita dengan orang kafir sebenarnya, tanpa kita sedari. Hanya ugama Islam yang lurus sahaja yang minta terus kepada Allah tanpa perantaraan. Agama lain dalam dunia ini semuanya menggunakan perantaraan dalam berdoa. Kebanyakan kekafiran yang berlaku itu adalah dalam kesalahan berdoa menggunakan perantaraan. Itulah punca kesesatan kepada agama lain dan punca kesesatan kepada orang kita yang mengaku Islam.

Kenapakah ramai yang tidak mahu berdoa terus kepada Allah sahaja? Kalau ditanya kepada orang kafir soalan yang sama, mereka akan jawap: kerana mereka adalah orang yang tak baik, banyak buat dosa. Jadi mereka sangka bahawa tuhan hanya mendengar doa orang-orang yang baik sahaja, seperti paderi, sami dan tok cha. Kita pun mempunyai pandangan yang sama. Kita tahu kita banyak dosa, jahil agama, jadi kita rasa Tuhan akan dengar doa orang-orang yang baik macam ustaz-ustaz sahaja. Fahaman kita tentang Tuhan sama sahaja dengan fahaman orang kafir tentang tuhan mereka. Ini dinamakan ‘buruk sangka’ dengan Allah. Iaitu sangkaan bahawa yang Allah tak mahu dengar doa kita. Padahal Allah telah berfirman dalam Quran dalam Ghafir:60

40:60

Transliteration

Waqala rabbukumu odAAoonee astajiblakum inna allatheena yastakbiroona AAan AAibadateesayadkhuloona jahannama dakhireen

Sahih International

And your Lord says, “Call upon Me; I will respond to you.” Indeed, those who disdain My worship will enter Hell [rendered] contemptible.

Malay

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

وَقَالَ رَبُّكُمُ

Dan berkata Tuhan kamu

ادْعُونِي

Doalah kamu pada aku sahaja

أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Pasti Aku akan makbulkan doa kamu

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي

Sesungguhnya orang-orang yang sombong daripada beribadat untuk berdoa kepadaKu; mereka yang sombong itu adalah mereka yang buat juga ibadat berdoa, tapi pakai perantaraan/tawassul dalam berdoa itu. Allah dah kata supaya doa sendiri, tapi umat kita masih pakai perantaraan juga. Untuk lebih memahami perkara ini lagi, bayangkan kalau seorang kaya kata kepada masyarakat, sesiapa yang datang ke rumah dia, dia akan beri sedekah. Maka orang ramai datang sendiri-sendiri untuk ambil sedekah itu. Tapi ada seorang yang segan untuk pergi sendiri. Dia minta orang lain mintakan. Orang kaya itu akan kata: “sombongnya dia, nak datang ambil sendiri pun tak mahu”.

Beginilah yang dibuat oleh masyarakat kita. Termasuklah yang buat solat hajat. Itu pun dikira menggunakan perantaraan. Kerana mereka rasa kalau berdoa sendiri, Allah tak terima, tapi kalau doa ramai-ramai, baru Allah nak terima. Sekarang, macam-macam hal kita buat solat hajat. Tetapi, kalau kita lihat sirah Nabi, masa nak pergi umrah, iaitu ketika hendak masuk ke tempat bangsa yang hendak membunuh mereka, tidak pun Nabi buat solat Hajat untuk minta keselamatan mereka. Nabi nak buat Haji Wada’ pun tak buat solat Hajat. Semasa tinggal di Mekah, iaitu ketika kena seksa semua penganut Islam, tidak juga Nabi buat solat Hajat untuk melembutkan hati puak Quraish. Semasa hendak keluar Hijrah pun Nabi tidak buat solat Hajat. Apabila Nabi sampai di Quba’ dan bina masjid di situ, tiada juga baginda dan para sahabat buat solat Hajat. Bina Masjid Nabawi pun tidak ada. Perang Badr melawan orang kafir, tidak juga. Perang Uhud, tidak juga. Padahal itu semua melibatkan kematian nyawa. Perang Khandak, perang itu dan ini, tidak pernah kita dengar Nabi buat solat Hajat. Para sahabat yang meneruskan perjuangan Nabi juga tidak pernah kedengaran kepada kita bahawa mereka ada buat solat Hajat. Mereka juga banyak berperang dan meluaskan dakwah Islam. Itu semua benda-benda penting yang mereka lakukan, tapi tidak buat pun solat Hajat. Tapi kita? Nak bina rumah, anak nak masuk peperiksaan, nak bertanding pilihanraya dan sebagainya, semua kita nak buat solat Hajat. Ini semua adalah kerana sangka buruk kepada Allah. Mereka rasa kalau mereka doa sendiri, Allah tak terima, tapi kalau doa ramai-ramai, baru Tuhan akan terima. Itu adalah cara yang diajar oleh syaitan-syaitan.

سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ

Aku akan masukkan mereka ke dalam Neraka Jahannam

دَاخِرِينَ

hina dina; maknanya, jikalau kita berdoa pakai perantaraan, kita akan masuk neraka dan kekal didalamnya.

Jadi kalau kita sudah buat salah, maka kembalilah ke jalan Allah. Kalau hendak kembali, cara untuk kembali, ada diceritakan dalam surah Ghafir:13

40:13

Transliteration

Huwa allathee yureekum ayatihiwayunazzilu lakum mina assama-i rizqan wamayatathakkaru illa man yuneeb

Sahih International

It is He who shows you His signs and sends down to you from the sky, provision. But none will remember except he who turns back [in repentance].

Malay

Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang hendak kembali (kepada Allah).

هُوَ الَّذِي يُرِيكُمْ آيَاتِهِ

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda dalil-dalil kekuasaanNya

وَيُنَزِّلُ لَكُمْ مِنَ السَّمَاءِ رِزْقًا

dan menurunkan bagi kamu, rezeki dari langit; iaitu air hujan. Kita boleh minum air dan binatang pun makan rumput dan kita makan binatang itu.

وَمَا يَتَذَكَّرُ إِلَّا مَنْ يُنِيبُ

Tidaklah akan mengambil peringatan ini melainkan orang yang hendak kembali sahaja; apakah dimaksudkan dengan ‘hendak kembali’? Iaitu orang-orang yang mempunyai inaabah. Maksudnya, mereka yang hendak kembali itu ada terdapat dalam surah Fatihah yang seterusnya yang akan dibincangkan nanti.

Permintaan pertolongan kepada Allah ini bukanlah permintaan pertolongan yang biasa. Dari segi bahasa, ianya adalah pertolongan yang kita perlukan di saat kita memerlukannya. Ada masanya, kita boleh buat sesuatu tanpa pertolongan, tapi kita minta tolong orang juga. Contohnya, kita boleh ambil barang dari satu tempat, tapi kita minta tolong orang lain juga. Tapi makna ‘nastain’ adalah pertolongan yang kita tak boleh buat sendiri. Memerlukan pertolongan dari yang lain. Ianya adalah jenis pertolongan yang kita dah ikhtiar dari pihak kita, tapi kita memerlukan Allah untuk menyelesaikannya. Bukannya hanya minta pertolongan sahaja, tanpa berbuat apa-apa. Contohnya, apabila kita memohon supaya Allah tambahkan ilmu kita, kita mestilah berusaha dahulu untuk mendapatkan ilmu. Kita kenalah belajar. Seperti juga orang Islam dalam perang Badr yang pergi berjuang di medan perang, dan dalam masa yang sama meminta pertolongan Allah. Maka Allah telah bantu mereka dengan diturunkan malaikat. Jadi, kalau kita minta tolong kepada Allah, tanpa kita berusaha dalam masa yang sama, maka itu adalah permintaan yang tidak betul.

Dalam ayat ini, tidak disebutkan apakah pertolongan yang kita perlukan. Selalunya, jikalau kita minta tolong kepada sesiapa, kita akan sebut apakah pertolongan yang kita perlukan – samada bantuan wang atau bantuan tenaga dan sebagainya. Tapi tidak disebutkan dalam ayat ini. Ada beberapa sebab ianya tidak disebut:

  1. Allah Maha Mengetahui apakah yang kita perlukan. Maka tidak perlu disebut lagi.
  2. Terlalu banyak pertolongan yang kita perlukan sampaikan kalau kita nak senaraikan, akan jadi terlalu banyak.
  3. Atau permintaan pertolongan ini adalah dikala kita memang sangat-sangat memerlukan pertolongan sehingga tidak sempat kita hendak menyebutnya. Contohnya, kita hampir terjatuh ke dalam gaung. Kita tidak sebut dengan jelas apakah yang kita perlukan sebab waktu itu memang kita memerlukan sangat. Maka kita hanya minta ‘tolong’ sahaja.

Ayat ini ada bersangkutan dengan ayat sebelumnya. Iaitu kita mengaku kita sebagai hamba. Untuk menjadi hamba yang sebenarnya kepada Allah adalah susah, kerana kita selalu terpedaya dengan hawa nafsu dan syaitan. Jadi, perkara pertama yang kita perlukan pertolongan kepada Allah adalah untuk menjadikan kita sebagai hamba yang sebenarnya.

————————————————————————————-

Perincian Tafsir Ayat Ini:

Kaitan dengan ayat sebelumnya

Kita boleh melihat pertukaran penggunaan kata-ganti dalam ayat ini. Dalam tiga ayat pertama surah Fatihah sebelum ini, kita memperkatakan ‘tentang’ Allah. Sekarang, dalam ayat ini, kita bercakap terus dengan Allah. Kita berkata-kata dengan Allah – ‘Engkaulah’ yang kami sembah, dan kepada ‘Engkaulah’ yang kami memohon. Penukaran kata-ganti dalam Quran ini adalah satu keistimewaan dalam Quran dan ianya selalu digunakan dalam banyak ayat. Ianya dipanggil kaedah ‘Iltifad‘. Ini adalah salah satu dari keindahan stail bahasa Arab. Tujuannya adalah untuk menyedarkan dan menarik perhatian pembaca. Ianya menjadikan pembacaan Quran lebih menarik. Kalau kita hanya memperkatakan tentang sesuatu, lama kelamaan, ianya akan membosankan. Bayangkan kalau sesuatu penulisan yang tiada dialog dan bandingkan penulisan yang ada dialog didalamnya. Dengan penggunaan iltihad, ianya sesuatu yang memberikan kesan yang menyegarkan pembaca. Kitapun akan lebih berwaspada – lebih berjaga-jaga – kerana tiba-tiba penggunaan kataganti telah bertukar dan kita akan tertanya-tanya: “Kenapa begini?”. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tahu nahu bahasa Arab. Mungkin mereka yang tidak tahu bahasa Arab tidak perasan pun perkara ini. Jadi, ini adalah sesuatu yang indah dalam Quran. Tapi, ada juga mereka yang menyerang konsep ini digunakan dalam Quran. Mereka kata Quran tidak konsisten, sekejap bercakap tentang seseorang, dan kemudian tiba-tiba berkata dengan orang itu pula. Serangan seperti ini mungkin kerana tidak tahu kewujudan kaedah ini atau mereka ada niat jahat yang tersembunyi.

Dalam ayat pertama, kita memuji-muji Allah dengan menyebut sifat-sifatNya. Kita juga dalam tiga ayat pertama itu lebih mengenal lagi siapakah Allah. Selepas kita mengenal Allah, kita menjadi lebih rapat denganNya. Itu adalah salah satu kesan selepas mengenali seseorang. Pepatah Melayu ada mengatakan: ‘tidak kenal, maka tak cinta’. Begitu juga dengan Allah. Tapi, dengan Allah, malah lebih lagi. Selepas kita mengenaliNya dan mengetahui segala kehebatan Allah yang tidak ada tolok bandingnya, kita tentunya dan sepatutnya, MAHU menjadi dekat kepadaNya. Keinginan untuk menyembahNya sepatutnya semakin meningkat. Ini sepatutnya yang terjadi dengan semulajadi. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi.

Pecahan ayat

Iyyaka na’budu: Hanya Engkau yang layak kami sembah
Iyyaka nastain: Hanya Engkau yang layak kami minta pertolongan.

Lihatlah susunan dalam surah Fatihah ini yang amat cantik sekali. Selepas kita menyatakan sifat-sifatNya, barulah kita memperkatakan tentang beribadat kepadaNya. Ini menunjukkan kita sepatutnya beribadat kepada Allah hanya selepas kita mengenaliNya. Oleh itu, kita kena ada ilmu sebelum beribadat. Kenalah kita kenal siapa Allah. Kerana kalau kita tidak kenal, takut-takut kita tidak tahu siapa yang kita sembah. Tapi tentulah kita tidak mengenal Allah secara keseluruhan. Kita tidak berupaya untuk mengenal Allah sepenuhnya – hanya dengan apa yang Allah telah sebutkan tentang DiriNya dalam Quran dan dari hadis Nabi. Penting untuk kita mengetahui apa kata Nabi tentang Allah, kerana dialah yang paling kenal Allah. Jadi, selain dari ayat-ayat Quran, kita kena belajar juga hadis Nabi. Itulah sekurang-kurangnya. Ilmu seorang pun tidak sama dengan seorang yang lain. Tapi kita berusaha setakat mana yang mampu. Kerana kalau kita tidak mengenalNya, ibadah yang kita buat itu tidak bermakna, tidak ada pahala. Kerana kalau kita tidak kenal Allah, kepada siapa kita beribadah itu?

Ayat keempat surah Fatihah ini adalah ayat yang paling banyak dibincangkan oleh ulama. Mereka mengatakan agama Islam ini berlegar diantara ayat ini. Ada dua elemen yang ada dalam ayat ini yang kita akan cuba untuk kupaskan secara ringkas. Kalau kita faham dua konsep yang disebut dalam ayat ini, ianya adalah satu pemahaman yang amat penting sekali. Kerana itulah ulama mengatakan ayat ini adalah ayat terpenting dalam surah Fatihah ini.

Ayat ini adalah satu ikrar dari kita di hadapan Allah. Iaitu kita berikrar dan berjanji kepada Allah bahawa kita akan *hanya* beribadat kepada Allah dan berdoa kepada Allah sahaja. Ianya adalah satu ikrar yang besar. Bayangkan kita menyebutnya sekurang-kurangnya 17 kali sehari. Kita ulang ikrar itu berkali-kali. Itu pun kalau kita hanya membacanya dalam solat fardhu sahaja. Kalau kita buat solat sunat, lebih lagi. Kalau kita baca dalam waktu-waktu yang lain, ianya akan lebih lagi. Persoalannya sekarang, adakah kita pegang ikrar dan janji kita itu? Atau adakah kita baca dengan kosong sahaja? Kalau kita baca dengan kosong, maka itulah sebabnya ianya tidak memberi kesan kepada diri kita. Sebab itu ramai yang mengaku nak sembah Allah sahaja, tapi dalam masa yang sama, dalam dunia nyata di luar solat, mereka sembah juga entiti selain Allah. Sebagai contoh, ada yang sembah sultan, padahal, baru tadi dalam solat mengaku tak sembah yang lain melainkan Allah sahaja.

Susunan ayat 

Terdapat susunan yang lain dari kebiasan. Kerana kalau hendak disampaikan maksud: kami sembah kepada Engkau, perkataan ٓنٓعبُدُك boleh digunakan. Iaitu perkataan ‘kamu’ dalam bentuk ك diletakkan di hujung. Tapi susunan dalam ayat ini berlainan. إِيّٓكٓ diletakkan di permulaan ayat. Kenapakah begini?

Pertamanya, ini adalah sebagai menunjukkan adab kepada Allah, dimana disebutkan Allah dahulu kerana Allah lebih mulia.
Keduanya, ini menekankan sesuatu yang ekslusif. Apabila struktur ayat diletakkan berlainan dari biasa, ada maksud yang hendak disampaikan. Iaitu, *hanya* kepada Allah sahaja kita sembah. Dan *hanya* kepada Allah sahaja kita kita memohon pertolongan dan bantuan.

Bukan itu sahaja, perkataan إِيّٓكٓ digunakan dua kali. Sedangkan dalam bahasa Arab, boleh sahaja digunakan ayat sebegini: : إِيَّاكَ نَعْبُدُ ونَسْتَعِينُ dan ia masih satu ayat yang lengkap dan kita pun faham maksudnya. Tapi tidak begitu yang dilakukan oleh Allah. Tentu ada sebab kenapa Allah jadikan begitu. Allah meletakkan ayat dalam surah Fatihah ini sebegini: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ Dimana diulang perkataan إِيَّاكَ sebanyak dua kali sebagai penekanan kepada dua-dua maksud itu: ‘sembah’ dan ‘memohon pertolongan’. Kerana kalau tidak ada إِيَّاكَ sebelum perkataan نَسْتَعِينُ, mungkin boleh diandaikan bahawa perkataan نَعْبُدُ lebih penting dari perkataan نَسْتَعِينُ. Tidak begitu. Dua-dua elemen itu penting. Dua-dua elemen itu hendak diberi penekanan oleh Allah. Dan Allah tunjukkan kepentingan keduanya kepada kita dalam susunan perkataan yang digunakan.

Ingatlah bagaimana Allah membuatkan kita membaca ayat ini setiap hari sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali dalam sehari. Ini adalah kerana ayat ini adalah satu pernyataan dan doa yang amat hebat. Kerana atas sifat rahmat Allah lah yang menyuruh dan memberi peluang kepada kita untuk membaca ayat ini berkali-kali sebagai peringatan untuk kita. Kerana kalau Allah ajar kita satu doa yang hebat, kita mungkin baca dan mungkin tidak. Mungkin kita ingat untuk baca tapi kemungkinan kita akan lupa. Hanya amalkan sekejap sahaja. Tapi lihatlah surah Fatihah ini. Sudahnya ianya adalah satu surah yang mengandungi doa yang hebat, Allah telah mewajibkan kita untuk membacanya sebagai satu sistem supaya kita sentiasa ingat dan kita amalkan. Subhanallah!

Kalau kita lihat susunan dalam ayat ini, ia menyebut tentang ‘ibadah’, kemudian baru disambung dengan ‘berdoa’ kepada Allah. Ini adalah kerana ‘doa’ adalah salah satu dari ibadah yang dilakukan oleh kita. Maka, Allah menyebut ibadat dalam bentuk umum sebelum diberikan pengkhususan ibadah, iaitu ‘doa’. Ini adalah kerana doa adalah salah satu dari ibadah.

Allah memerintah makhlukNya untuk beribadat kepadaNya. Tapi hakikatnya, kita tidak akan berupaya untuk melakukan ibadat kepada Allah tanpa bantuan Allah dan rahmat dariNya. Laluan untuk beribadat kepadaNya adalah melaluinya juga. Tidak melalui cara lain. Oleh itu, kita memohon rahmat dan bantuan dariNya, untuk beribadat kepadaNya. Oleh itu, dari sini, kita dapat kesimpulan bahawa tujuan hidup kita adalah beribadat kepada Allah dan cara untuk beribadat kepada Allah adalah melalui bantuan dariNya. Oleh itu, ayat ini menyebut ‘tujuan’ dan ‘cara’ dalam satu ayat.

Ayat ini juga mengajar kita bagaimana cara berdoa. Hendaklah kita memujiNya sebelum kita memohon sesuatu kepadaNya. Apabila kita menyebut kita hendak beribadat kepadaNya, maka itu akan menyebabkan Allah akan memakbulkan doa kita, in sha Allah. Oleh itu, dalam berdoa, hendaklah kita memulakan dengan memuji-mujiNya dahulu. Banyak hadis dari Nabi yang menunjukkan sebelum baginda memulakan doa dan memulakan bercakap sesuatu, baginda akan memuji-muji Allah.

Oleh itu, kedua-dua bahagian dalam ayat ini menguatkan satu sama lain dan bersangkut paut. Tentulah tidak sesuai kalau kita menyembah Allah, tapi apabila tiba masa berdoa, kita meminta pertolongan kepada selain dari Allah. Ingatlah, tidak boleh berdoa kepada selain Allah kerana doa itu pun dah satu ibadat. Tapi tadi kita sudah kata nak ibadat kepada Allah sahaja bukan? Kalau kita berdoa kepada selain dari Allah, maka itu bermakna kita telah beribadat kepada selain dari Allah. Itulah syirik tersembunyi. Yang kadang-kadang kita tidak perasan. Sebab itulah kadang-kadang ada kalangan manusia yang minta kepada selain Allah. Macam orang kita pun ada buat. Iaitu mereka melakukan ‘tawasul’. Mereka minta kepada perantaraan dahulu supaya perantaraan itu akan menyampaikan doa kepada Allah. Itu sudah terkeluar dari ikrar kita untuk berdoa hanya kepada Allah.

Ayat ini juga menyatakan bahawa kita mengaku kita tiada kuasa pada diri kita dan mengharap *hanya* kepada Allah.

Dua ayat ini boleh memberi kesan kepada roh kita.
1. Buang sifat riya’ dalam diri dengan pemahaman na’budu. Kerana orang riya’ beribadat kerana nak orang tengok. Bukan kerana Allah. Ayat ini memberi kesan kepada kita dengan mengikhlaskan ibadat kita kepada Allah. Kita melakukan sesuatu ibadah itu hanya kerana Allah.
2. Buang sifat kibr (besar diri) dengan pemahaman nastain. Kerana kita tahu kedudukan kita yang amat rendah – lalu apa yang nak dibanggakan? Kita tidak ada apa-apa, semuanya mengharapkan pertolongan dari Allah.

Ibadah

Apakah maksud ibadah? Penting untuk tahu maksud ibadah. Sebab dah campur baur dah terma-terma yang digunakan sekarang. Takut pakai term agama lain. Kerana agama lain pun ada ibadah juga kepada tuhan mereka. Kita kena bezakan ibadah kita dengan ibadah mereka. Contohnya, kita ada sembahyang, agama Hindu pun ada sembahyang juga. Orang Kristian pun ada sembahyang juga. Tapi takkan sama antara sembahyang kita dan sembahyang mereka, bukan?

Ibadah itu adalah menyerah diri sebagai hamba. Serah diri dan taat seluruhnya kepada Allah. Dilakukan dengan hati yang ikhlas. Iaitu ada keinginan dalam hati kita untuk berkhidmat kepada Allah. Kalau tidak ada keinginan itu, ianya bukanlah ibadah. Contohnya, seseorang itu nampak macam buat ibadah, tapi dia buat kerana malu dengan orang lain yang buat. Orang lain ramai-ramai solat Terawih dalam bulan Puasa, mereka pun oleh kerana malu, ikut juga. Tapi sebenarnya, mereka tidak ada keinginan untuk beribadah itu. Ibadah itu tidak dikira kerana tidak ikhlas. Oleh itu kena ada cinta kepada Allah. Kena ibadah dalam cinta kepada Allah. Dua-dua kena ada – cinta dan ibadah – Kalau cinta tanpa taat pun tidak cukup. Kerana ada yang kata dan mengaku mereka cinta kepada Allah, tapi tak nampak pun mereka buat ibadat. Sebagai contoh, mereka kata mereka beriman, tapi mereka tak pakai tudung pun. Itu bermaksud mereka tidak taat kepada Allah.

Asas ibadah adalah cinta kepada Allah. Hasilnya kita akan taat kepada suruhan dan laranganNya. Dan untuk taat kepada Allah, kita kena ikut Nabi. Kerana dalam Quran ada dikatakan kalau kita cinta Allah, maka kena ikut Nabi. Dan apabila kita cinta kepada Allah, kita akan mengharap cintaNya kepada kita. Kerana kalau kita tidak mengharap cintaNya kembali, itu bukanlah cinta sebenar. Kerana apabila kita mencintai seorang wanita atau lelaki, kita juga mengharapkan cintanya. Dengan manusia, tidak pasti yang mereka akan mencintai kita balik. Tapi kalau dengan Allah, kalau kita mencintaiNya, Dia akan mencintai kita semula.

Inilah tujuan hidup kita. Tidak ada yang lebih besar dari menjadi hamba kepada Allah. Sekarang banyak elemen yang menarik kita dari sembah Allah. Ada sahaja yang menyebabkan kita leka. Tambahan lagi kita yang hidup di zaman moden ini. Senang sangat untuk mendapatkan hiburan yang melekakan. Tekan sahaja butang, akan keluar lagu di radio dan MP3. Tekan komputer satu dunia boleh keluar dari internet. Ada Facebook, ada Twitter, ada YouTube dan entah apa lagi.

Balik rumah, tv sudah siap terbuka. Saluran tv beratus kita boleh pilih. Dengan iklannya, dengan rancangan yang berbagai-bagai. Semuanya menarik perhatian kita. Semuanya menarik minat kita. Kalau kita tidak sedar kepentingan ibadah, maka semuanya itu kita rasa lebih baik dari menjalankan ibadah kepada Allah. Setidak-tidaknya masa ibadah kita terbahagi antara kehidupan agama dan kehidupan suka-suka. Ditolak lagi dengan tugas hakiki kita di pejabat dan melapangkan masa dengan isteri, anak-anak dan keluarga yang memang perlu dilakukan, maka makin sikit ruang masa untuk beribadat kepada Allah. Maka, kita kena sedar kepentingan ibadah supaya kita boleh mencari masa untuk beribadah juga kepada Allah.

Ibadah adalah tujuan hidup kita. Kita mengaku perkara itu dalam ayat ini apabila kita mengatakan iyyaka na’budu.

Kita juga mengaku bahawa kita adalah hamba Allah. Kerana perkataan na’budu berasal dari perkataan ‘abada’ yang hamba dan umumnya bermaksud semua makhluk adalah hamba Allah, samada mereka terima atau tidak, tahu atau tidak. Dalam ayat ini, seorang hamba menyatakan dengan khusus yang mereka mengaku yang mereka adalah hamba Allah. Inilah yang sepatutnya kita lakukan. Kita sepatutnya terima Allah sebagai tuan kita dan kita adalah hambaNya, dengan rela. Kerana kalau kita tidak mengaku pun, kita ini adalah hambaNya juga.

Taat kepada Allah adalah satu-satunya tujuan hidup kita. Itulah tujuan kita dihidupkan. Semasa kita membaca ayat ini, kita mengakuinya dengan rela. Inilah yang sepatutnya terjadi, tapi ada yang konflik dengan hal ini. Ada yang sembah Allah tapi dalam masa yang sama, mereka juga mahu kenikmatan dunia yang dilarang. Dan kadang-kadang kita buat sesuatu yang Allah tak suka. Memang manusia begitu keadaannya, manusia sentiasa melakukan kesalahan. Apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa memohon ampun atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan setiap hari, samada kita sedar atau tidak.

Ianya adalah satu rahmat apabila kita hanya ada satu sahaja tuan. Bayangkan kalau kita ada lebih dari satu ilah. Susah untuk kita puaskan lebih dari satu. Tambahan pula kalau ramai ilah, tentunya setiap ilah ada kehendak mereka masing-masing.

Allah beri perumpamaan seorang hamba yang mempunyai lebih dari satu tuan dalam dalam Zumar:29

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَّجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ مُتَشَاكِسُونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِّرَجُلٍ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Allah membuat perumpamaan (yaitu) seorang laki-laki (budak) yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat yang dalam perselisihan dan seorang budak yang menjadi milik penuh dari seorang laki-laki (saja); Adakah kedua budak itu sama halnya? Segala puji bagi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Tentulah amat susah kalau kita ada lebih dari satu tuan. Seorang tuan akan suruh kita buat A dan seorang tuan lagi suruh kita B pula. Tentunya kita tidak dapat memuaskan kedua-dua tuan itu. Oleh itu, ianya adalah satu rahmat apabila kita hanya disuruh memuaskan Allah sahaja.

Seperti telah disebut tadi, permulaan ibadah adalah cinta kepada Allah. Kita bukan dituntut untuk melakukan amalan sahaja. Itulah hasil dari baca tiga ayat pertama dalam surah Fatihah sebelum ini. Apabila kita sudah dapat pengetahuan tentang siapakah Allah, maka senang untuk kita cinta Allah dan senang untuk kita beribadah kepada Allah. Kita sudah tahu yang Allah itu Tuhan sekalian alam, Dia bersifat ar-Rahman dan ar-raheem tapi Dia juga mengingatkan kita bahawa Dia akan memberi balasan di Hari Kiamat nanti.

Apabila kita berkata tentang ibadah, kita kena faham skop ibadah itu yang melibatkan beberapa perkara: lidah, hati dan juga tubuh.
Ibadah hati: tahu siapa Allah dan terima Allah sebagai Rabb kita.
Ibadat Lidah: mengucapkan syahadah dan menyampaikan pemahaman itu kepada orang lain.
Ibadat Tubuh: melakukan ibadat seperti solat, puasa, haji dan sebagainya.

Oleh itu, kita kena faham bahawa ibadah itu merangkumi keseluruhan kehidupan kita. Jangan kita sempitkan pemahaman ibadah itu hanya kepada ibadat tubuh seperti solat dan puasa sahaja.

Kefahaman tauhid

Kita juga perlu tahu elemen Tauhid dalam ibadat.
1. Ibadat hanya untuk Allah. Sujud dan taat kepada yang lain adalah syirik.
2. Serah hanya kepada Allah. Ikut hanya arahan Allah. Bukanlah kita sembah Allah, tapi kemudian ikut taghut (sesuatu yang mejauhkan kita dari Allah). Undang-undang hanya dari Allah. Kena pakai hukum Allah. Jangan kita jadi macam orang Kristian yang pakai hukum dari paderi dan rabbi mereka. Sebagaimana kita sekarang banyak pakai kata-kata pemimpin dan meninggalkan kata-kata Allah dan Nabi.
3. Cinta hanya kepada Allah. Kalau cinta kepada yang lain, seperti ibubapa kita, isteri kita, anak-anak kita pun, itu adalah kerana Allah juga. Kita juga kena benci apa yang Allah benci. Inilah konsep Wala’ wal bara’.

Apakah yang termasuk dalam ibadah? Itulah melakukan semua perkara yang Allah suka. Dalam setiap perkara dan perbuatan kita, kita kena tahu manakah yang lebih Allah suka. Ibn Qayyim kata, kita kena melakukan ibadat yang sesuai dengan masanya. Sebagai contoh, apabila dilaungkan azan, maka kita kena dengar dan menjawap azan waktu itu, kemudian melakukan solat. Kerana waktu itu, ibadah yang utama adalah mendirikan solat. Kalau waktu jihad, maka jihadlah ibadat yang sesuai pada waktunya, bukan solat. Waktu tetamu datang bertandang, maka kita kena layan mereka kerana itulah ibadat yang utama waktu itu. Bukanlah waktu tetamu datang, kita buat solat sunat pula. Contoh ini kita boleh lihat hadis kisah Salman Al Farisi dan Abu Dardak. Kisahnya lebih kurang begini:

Diriwayatkan bahawa suatu ketika beliau pernah menziarahi Abu Darda’, yang dipersaudarakan oleh Nabi dengannya ketika sampai di Madinah. Beliau dapati isteri Abu Darda’ berada dalam keadaan tidak terurus lalu beliau pun bertanya:

“Mengapa dengan engkau ini?”

“Saudaramu tidak lagi menghiraukan dunia ini,” jawabnya.

Bila Abu Darda’ datang, dia menyambut kedatangan Salman dan menjamunya makanan. Salman menyuruhnya makan tetapi Abu Darda’ berkata:

“Aku sedang berpuasa.”

“Aku bersumpah tidak akan makan kecuali engkau juga memakannya.”

Salman bermalam di rumah Abu Darda’. Pada waktu malam, Abu Darda’ bangun tetapi Salman memegangnya lalu berkata:

“Hai Abu Darda’! Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu. Keluargamu mempunyai hak ke atasmu dan dirimu juga mempunyai hak ke atasmu. Maka berikanlah hak kepada masing-masingnya.”

Pada waktu subuh, mereka solat berjamaah. Kemudian, mereka keluar menemui Rasulullah SAW dan menceritakan kisah yang telah berlaku. Rasulullah SAW menyokong perbuatan Salman itu.

Kalau perkara mubah (harus) dilakukan kerana Allah, maka ianya adalah juga ibadat. Kita akan mendapat pahala kalau kita lakukan perbuatan itu dengan niat yang baik. Dan kalau kita buat dengan tahu bahawa Allah telah membenarkan kita lakukan itu pun dah dapat pahala. Sebagai contoh, kalau kita berjimak dengan isteri kita pun, kita akan dapat pahala. Kerana Allah telah benarkan perlakuan itu. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi juga. Pakai baju cantik pun satu ibadah juga kerana ianya dibenarkan dalam Islam. Kerana waktu kita pakai baju yang cantik, kita sedang menunjukkan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Maka, bukanlah kita kena pakai baju yang lusuh dan buruk, kononnya nak tunjukkan tawadduk kita. Itu hanya dilakukan oleh ahli zuhud (ahli sufi) yang jahil sahaja.

Jangan kita jadikan ibadat sebagai adat sahaja. Iaitu kita lakukan kerana semua orang buat. Kita malu kalau orang lihat kita tak buat, maka kita lakukan juga walaupun kita tak berniat nak buat. Contohnya, ada orang yang tak sembahyang, tapi sebab semua orang lain sedang solat, dia pun solat juga. Atau dia lakukan sebagai adat kerana sudah biasa buat dari kecil. Atau seorang wanita pakai tudung kerana dia dah ‘biasa’ pakai tudung. Kalau dia tak pakai tudung, dia rasa lain. Dia bukan pakai tudung kerana hendak taat kepada Allah.

Kita kena ikhlas dalam ibadat kita iaitu yang dilakukan bukan kerana ada kepentingan dunia tetapi untuk mencari redha Allah.

Apakah ibadah yang soleh

Ada dua syarat untuk ibadat itu diterima.
1. Ibadat yang dilakukan hanya untuk Allah. Inilah maksud ikhlas.
2. Mengikut cara yang Nabi ajar. Barulah dinamakan ibadat yang soleh kalau ianya ada ajaran dari Nabi.

Banyak yang salah faham dengan dua syarat ini. Mereka ingat, kalau mereka melakukan sesuatu itu ikhlas kerana Allah, tentu Allah terima. Itu adalah fahaman yang salah. Dalam Quran, berkali-kali Allah memberi isyarat bahawa kena ada dua-dua elemen ini.

Sebagai contoh, dalam Sajdah:19, Allah berfirman:

أَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ جَنَّاتُ الْمَأْوَىٰ نُزُلًا بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, maka bagi mereka jannah sebagai tempat kediaman, sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.

Dalam Kahfi:88 pula, Allah berfirman lagi:

وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal saleh, maka baginya pahala yang terbaik sebagai balasan, dan akan kami titahkan kepadanya (perintah) yang mudah dari perintah-perintah kami”.

Dan dalam Asr: 3, Allah berfirman:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

Dan banyak lagi ayat-ayat dalam Quran yang meletakkan perkataan ‘iman’ dengan ‘amal soleh’. Ini bermakna, dua syarat itu perlu dipenuhi. Kalau ibadat yang tidak ikut amal yang diajar oleh Nabi, itu bukan amalan soleh. Itu adalah amalan yang ‘bidaah‘. Di negara kita, memang tengah kecoh tentang hal ini. Banyak yang sudah faham, tapi banyak lagi yang tidak faham.

Dari pemahaman ini, kita boleh bahagikan manusia kepada 4 golongan:
1. Golongan yang ikhlas dalam ibadat mereka dan dalam masa yang sama, mereka melakukan ibadat ikut cara Nabi. Inilah orang yang faham dan mengamalkan iyyaka na’budu. Mereka melakukan semua amal kebaikan kerana Allah. Tidak mengharap balasan atau pujian selain Allah. Tidak kisah apa orang lain kata. Dan dalam masa yang sama, mereka melakukan amalan mengikut sunnah. Bukan mengikut apa yang dicipta oleh manusia. Sebagai contoh, mereka tidak buat Majlis Tahlilan kerana itu tidak pernah dibuat Nabi dan sahabat. Itu adalah satu contoh ibadah yang tidak soleh.
2. Golongan yang tidak ikhlas dan tidak ikut cara ibadat Nabi yang Nabi ajar. Mereka hanya melakukan ibadat yang bidaah dan hanya harap balasan dari manusia, bukan dari Allah. Sudahlah ibadah mereka tidak ikut cara Nabi. Ini adalah mereka yang jadi imam solat Hajat berjemaah, dan dia mengharapkan upah dari dia jadi imam itu.
3. Golongan yang ikhlas dalam melakukan ibadah itu, tapi bukan ikut cara ibadat yang Nabi ajar. Contoh yang paling banyak golongan ini adalah golongan sufi. Contohnya, mereka menerima dan mengamalkan ibadah seperti zikir mereka dari guru-guru mereka, dan ianya bukanlah dari zikir yang Nabi ajar. Mereka terima tanpa usul periksa. Mereka buat begitu kerana mereka sebenarnya tidak berilmu. Mereka senang kena tipu apabila tidak berilmu. Tidak dinafikan mereka memang melakukannya dengan ikhlas kerana mereka memang menjaga hati mereka. Tapi mereka tidak menjaga diri mereka dari melakukan amalan bidaah. Bukan golongan sufi sahaja yang mempunyai masalah ini. Banyak dari kalangan masyarakat kita pun begini juga. Ini adalah kerana mereka tidak mendapat ajaran yang sebenarnya. Mereka hanya ikut-ikut sahaja apa yang diajarkan oleh guru-guru mereka. Mereka ikut sahaja apa yang dilakukan oleh tok nenek kita dahulu. Mereka ingat ianya betul kerana ramai yang buat. Mereka juga salah faham dengan konsep ‘ikhlas’. Mereka kata: “kalau ianya ikhlas, tentu Allah terima”. Itu adalah salah faham yang berlawanan dengan ayat Quran yang kita telah beri di atas.
4. Golongan yang ikut amalan ibadat cara Nabi tapi tak ikhlas. Meraka alhamdulillah telah melakukan amalan yang Sunnah, tapi malangnya, tidak diterima amal itu. Kerana amalan yang diterima hanyalah amalan yang dilakukan kerana Allah. Contohnya, mereka melakukan solat tapi hanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang yang mereka telah melakukan ibadah. Kepada mereka ini, amalan mereka itu akan dilemparkan ke muka mereka nanti kerana ianya tiada nilai.

Terdapat salah faham dalam maksud ‘ibadat’ itu. Ada yang sangka ibadat itu hanya yang ibadat ritual sahaja. Seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. Padahal konsep ibadat itu lebih luas lagi. Maka oleh kerana mereka telah sempitkan pemahaman ‘ibadat’, maka ada yang buat ibadat yang ritual tapi dalam masa yang sama, mereka buat perkara haram juga. Kerana mereka ingat mereka telah menyempurnakan tuntutan ibadat dengan solat, puasa dan sebagainya. Kita kena ingat bahawa kita dalam lingkungan ibadat sepanjang 24 jam setiap hari. Iaitu dalam sepanjang kehidupan kita, kita kena taat kepada Allah. Dalam setiap perbuatan kita, kita kena tahu apakah tuntutan Allah dalam perkara itu. Sebagai contoh, kita tentunya akan makan setiap hari. Maka, kita kena tahu apakah tuntutan Allah dalam hal pemakanan. Adakah ianya wajib, sunat, harus, makruh atau haram? Apabila kita makan mengikut apa yang Allah suruh, maka itu bermakna kita telah menjadikan proses makan itu sebagai satu ibadah kepada Allah; Itulah konsep ibadat yang menyeluruh yang kita diingatkan tentangnya setiap kali kita baca surah Fatihah ini. Kerana ianya adalah satu perkara yang amat penting, maka kita diingatkan selalu. Apabila kita faham konsep ibadat ini, maka makan jadi ibadat, tidur jadi ibadat, pergi kerja jadi ibadat, bersama isteri, bersama keluarga jadi ibadat dan macam-macam lagi.

Kita kena sedar yang diri kita ini amat lemah. Walaupun kita tahu yang kita kena sentiasa melakukan ibadat kepada Allah, tapi kadang-kadang kita tak dapat capai. Walaupun kita tahu dosa itu amat buruk kesannya kepada kita, tapi kadang-kadang kita terjerumus juga dengan buat dosa. Apabila kita buat dosa, kita sebenarnya telah menzalimi diri kita sendiri. Kerana kalau kita buat dosa, Allah tak terjejas apa-apa. Kita sahaja yang akan menanggung kesan dari perbuatan dosa kita itu.

Tapi kita kena ingat supaya jangan putus asa. Allah tahu kita buat dosa. Sebab kita ini manusia. Apa yang kita perlu lakukan adalah bertaubat kepada Allah. Kita menyesal dari perbuatan dosa kita itu dan kita bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Allah suka bila kita sedar yang kita telah berbuat dosa dan melakukan taubat. Allah amat suka kita apabila kita memohon ampun kepadaNya. Sampaikan dalam satu hadis ada disebut, yang Allah akan tukar kita dengan makhluk yang lain kalau kita tak buat dosa. Bukanlah Allah suka kita buat dosa. Jangan salah faham pula. Tapi Allah suka kita bertaubat. Kalau kita tidak buat dosa, maka kita tidak bertaubat. Padahal, Allah suka kita bertaubat, maka Allah akan tukar dengan makhluk lain yang buat dosa, kemudian bertaubat kepadaNya. Dan bukanlah Allah suruh kita sengaja buat dosa, kemudian bertaubat. Kena jelaskan perkara ini, sebab masyarakat banyak yang jahil sekarang. Bila baca hadis, tapi tak faham, macam-macam andaian yang mereka dapat.

Jadi, kalau kita buat dosa tidaklah kita terkeluar dari Islam. Bukanlah seorang hamba itu tidak berdosa langsung. Kita masih lagi hamba Allah walaupun banyak dosa yang kita lakukan.

Salah satu ibadah yang kita hendak sebutkan di sini adalah ‘ibadah cinta’. Kita semuanya adalah perasaan cinta, bukan? Tapi ada banyak jenis cinta. Ada cinta semulajadi dan cinta yang syariah. Cinta semulajadi adalah cinta yang terbit semulajadi dalam diri kita kerana kita adalah manusia dan Allah telah tanam perasaan itu dalam diri kita. Sebagai contoh, seorang lelaki cinta seorang perempuan, cinta kepada tanah air, cinta kepada rumah, kepada benda-benda yang cantik dan sebagainya. Cinta syariah adalah sesuatu yang Allah suruh kita cinta kepadanya. Sebagai contoh, Allah suruh kita cinta kepada Allah, kepada Nabi, kepada ibu bapa dan sebagainya. Banyak perkara yang Allah suruh kita sayang. Ini kena belajar satu persatu. Oleh itu, ada dua jenis cinta disini. Apabila ada pertentangan antara dua cinta ini, cinta syar’i kena lebih kuat lagi. Cinta Syar’i akan mengalahkan cinta semulajadi. Kerana dalam cinta syar’i ada elemen intelek selain dari emosi sahaja. Kerana kadang-kadang cinta semulajadi itu hanya terbit dari emosi sahaja. Dalam buat keputusan, kena pentingkan cinta syar’i. Sebagai contoh, kita tentunya sayang anak kita. Tapi kalau dia menentang ajaran Nabi kita, kita kena pertahan Nabi kita walaupun kita sayang anak kita kerana cinta kepada Nabi adalah cinta syar’i dan cinta anak itu cinta semulajadi.

Kepentingan bermasyarakat

Dalam ayat ini, Allah telah menggunakan kata ganti diri ‘Kami’. Allah suruh kita kata begini dan tentunya ada sebab. Ini menunjukkan penekanan tentang kehidupan sosial atau bermasyarakat. Kita disuruh bermasyarakat. Bukan hidup sendiri-sendiri, lebih-lebih lagi dalam hal melakukan ibadah. Dalam kita melakukan ibadah, bukan hanya kita lakukannya sendirian. Kita disuruh untuk melakukannya bersama-sama orang lain – berjemaah. Inilah cara Islam yang diajar oleh Nabi kepada kita. Bukan macam agama lain. Sebagai contoh, kalau kita lihat para rahib, mereka selalunya akan melakukan ibadat berseorangan.

Kita juga diingatkan yang semasa kita berdoa dengan menggunakan ayat ini, kita bukan membacanya untuk diri kita sahaja. Kita juga mendoakan untuk orang juga. Ingatlah bahawa banyak lagi orang lain dalam dunia. Jangan kita ingat nak lepaskan diri kita sahaja. Jangan kita ingat kita sahaja yang berdoa kepada Allah. Jangan kita ingat kita sahaja yang perlu kepada Allah. Ramai lagi yang memerlukan Allah selain dari kita. Allah itu layak untuk dipuja oleh ramai orang. Allah bukan Tuhan kepada diri kita sahaja.

Ada kelebihan kalau ramai orang yang berdoa kepada Allah dalam masa yang sama. Semoga Allah ada makbulkan doa sesiapa yang ramai-ramai itu. Mungkin ada orang doanya dimakbulkan Allah waktu itu. Dan bayangkan apabila orang itu mendoakan untuk semua. Dan kalau kita termasuk dalam orang-orang yang didoakan olehnya, alangkah beruntungnya kita kalau kita mendapat kebaikan yang didoakan oleh orang itu. Lihatlah bagaimana Allah telah menyusunnya sebegitu rupa. Di mana-mana sahaja ada kebaikan yang Allah telah susunkan untuk kita. Alangkah hebatnya ayat ini. Setiap kali ada orang yang membaca ayat ini, dia akan mendoakan untuk orang lain secara otomatik.

Kita mendoakan untuk semua orang kerana kita semua ada tujuan yang sama – menjadi hamba kepada Allah dan beribadat kepada Allah. Apabila kita mendoakan orang lain bersama-sama, ini menimbulkan rasa kekitaan antara kita. Rasa sayang akan timbul kalau kita faham maksud ayat ini. Memang Allah akan menimbulkan rasa sayang sesama orang mukmin. Lihatlah apa yang Allah firman dalam Maryam:96.

Kita juga kena ingat bahawa hidayah itu bukan untuk kita sahaja tapi untuk semua. Kita semuanya mengharapkan hidayah dari Allah.

Doa yang kolektif ini memberi isyarat bahawa memang ada ibadah yang dibuat berjemaah. Walaupun begitu, bukan semua ibadah dibuat beramai-ramai. Ada ibadah yang memang untuk dibuat sendiri. Sebagai contoh, wajib untuk kaum lelaki melakukan solat fardhu berjemaah di masjid. Dalam masa yang sama, solat sunat tidak boleh dilakukan berjemaah. Kena buat sendiri-sendiri kecuali kalau ada solat sunat yang telah pernah dilakukan berjemaah oleh Nabi dan sahabat – sebagai contoh, solat sunat Terawih memang sunat dilakukan berjemaah.

Oleh kerana kita semua mempunyai tujuan yang sama, maka kita kena tolong sesama kita untuk mencapai tujuan itu. Oleh itu, ayat yang Allah ajarkan kepada kita ini memberikan kepada kita semua ikrar yang sama. Kita ini umat yang satu. Maka jangan kita berpecah belah. Jangan kita beza-bezakan antara sesama muslim. Jangan ada kumpulan itu dan kumpulan ini. Kita semuanya umat Islam. Jangan ada kumpulan tarekat itu dan ini, kumpulan salafi dan khalaf, kumpulan tabligh dan macam-macam lagi. Amat bahaya apabila kita meletakkan diri kita dalam kumpulan yang berbeza. Kerana nanti akan ada satu perasaan yang kumpulan kita lebih baik dari kumpulan lain. Allah telah beri peringatan kepada kita dalam ayat Mukminoon:53:

فَتَقَطَّعُوا أَمْرَهُم بَيْنَهُمْ زُبُرًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ

Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan ugama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka.

Inilah bahaya kalau kita ada kumpulan-kumpulan. Tapi sedihnya sekarang, memang ada banyak kumpulan dan kerananya, kita telah berpecah belah. Semua ingat mereka yang benar. Semua ingat mereka lebih pandai, lebih baik. Mereka hanya ikut kata ketua mereka sahaja. Sudah tidak ikut dalil yang diberikan oleh pihak yang bukan dari kalangan mereka. Ini adalah amat bahaya sekali. Oleh itu, kita kena ingat yang kita ini adalah umat yang satu. Kita kena bekerjasama. Kita adalah umat yang satu – Ummah Muslim! Inilah kita diingatkan dengan konsep ini setiap kali kita membaca fatihah.

Konsep Doa

Dalam ayat ini, bahagian pertama kita membaca ‘hanya kepada Engkau kami sembah’ – ini menetapkan kepada kita apakah tujuan hidup kita, mission statement kita. Kemudian kita terus membaca bahagian kedua ayat ini: ‘dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan’. Apakah kaitan antara dua bahagian ini?

Cara untuk mendapatkan tujuan hidup ibadat kita kepada Allah adalah dengan pertolongan Allah. Kita tidak akan dapat mencapainya tanpa pertolongan Allah. Kerana kita amat lemah. Kita baca bahagian pertama dan terus kita mengaku yang kita tak boleh mencapainya tanpa pertolongan Allah. Oleh itu, kita memohon pertolongan Allah untuk membantu kita dalam melakukan ibadat kita. Ini adalah satu faham yang amat penting. Iaitu kita tidak ada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah. Walaupun dalam melakukan ibadah. Dengan ada faham ini pun sudah dikira satu ibadat.

Kita memang memerlukan pertolongan Allah dalam segala hal. Kerana kita pun sedar bahawa ada banyak elemen yang mengganggu kita kita dari mencapai tujuan hidup kita untuk beribadat kepada Allah. Iaitu dari nafsu kita sendiri dan dari syaitan. Bisikan nafsu adalah gangguan dalaman dan bisikan syaitan adalah gangguan luaran.

Maka masa baca tu kita berniat memerlukan pertolongan Allah. Dan Allah dah kata dalam hadis qudsi tentang ayat ini yang kita akan diberikan apa yang kita minta.

Lepas solat pun kita disuruh doa untuk mendapatkan bantuan Allah dalam melakukan ibadat ini.

“اللَّهُمَّ أعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk menyebut nama-Mu, mensyukuri-Mu dan ibadah yang baik kepada-Mu.

Oleh itu, bahagian kedua ayat ini adalah doa dan pengharapan kita kepada Allah.

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Dalam kata-kata ini, kita merendahkan diri dengan Allah. Kita Mengaku yang kita tidak ada daya dan usaha tanpa bantuanNya. Walaupun dalam buat perkara yang baik dan amal ibadat pun. Kita hendaklah selalu mengaku kekurangan diri kita ini. Dan kita pun diajar begini dalam doa-doa kita. Sebagai contoh, apabila azan, apabila dilaungkan

حيّ على الصَّلاَه
Marilah mendirikan solat,

dan
حيّ على الفلاح

Marilah menuju kejayaan,

kita diajar untuk jawap:

لا حول ولا قوّة إلّا بالله العلىّ العظيم
Tiada daya dan kuasa melainkan dengan kuasa Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Dalam doa ini menjawap azan ini, kita mengaku yang tidak ada dan kuasa pada kita melainkan dengan kuasa Allah.

Perkara paling utama dalam hidup ini adalah untuk jadi hamba kepada Allah. Bila kita mengaku jadi hamba, maka kita kenalah melakukan ibadat kepada Allah. Maka, permintaan kita yang paling utama adalah minta Allah bantu kita dalam ibadat kepadaNya. Iaitu kita minta Allah untuk bantu kita mencapai tujuan utama hidup kita. Kerana dalam kita berdoa, hendaklah kita meminta perkara yang paling penting sekali.

Dalam hadis qudsi berkenaan surah Fatihah ini, Allah telah mengatakan yang hamba yang berdoa dengan doa dalam Fatihah ini, dia akan dapat apa yang dihajatinya. Oleh itu, kita boleh ambil kesimpulan yang doa kita untuk menjadi hamba kepada Allah akan dipenuhiNya.
Cuma tentulah ada perjanjian lain dengan Allah untuk dimakbulkan doa ini. Kalau kita penuhkan tuntutan Allah, Allah akan penuhkan janjiNya itu.

Jadi, ayat ini adalah satu doa sebenarnya. Bukan kita baca kosong sahaja. Kita hendaklah ingat Doa juga adalah satu ibadah. Ramai yang tidak faham bahawa doa adalah ibadah. Lagi banyak ibadah kita buat lagi Allah akan bantu kita. Semakin kita rapat dengan Allah, Allah akan datang lagi dekat kepada kita.

Kita telah sebut bahawa ayat ini adalah satu doa. Tapi tidak disebutkan apa yang kita hendak dalam ayat ini. Ini adalah kerana apa yang kita minta kepada Allah adalah secara umum. Tak sempat kita nak sebutkan satu persatu. Kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara. Dalam semua perkara yang melibatkan dunia dan akhirat. Seperti kita telah sentuh tentang ‘ibadah’ dalam bahagian yang sebelum ini – iaitu Ibadah adalah satu perkara yang menyeluruh. Maka doa pun menyeluruh.

Allah bantu kita dengan berbagai cara. Allah boleh tolong kita dalam dunia dan juga akhirat. Kita tak tahu bagaimana cara Allah akan beri pertolongan itu. Kadang-kadang kita pun tidak sedar bagaimana cara Allah bantu kita. Tapi hendaklah kita tahu bahawa Allah telah membantu kita dengan cara yang kadang-kadang kita tak faham. Yang sedar pertolongan Allah dalam segenap kehidupan kita adalah mereka yang beriman. Oleh itu, merekalah yang lebih banyak bersyukur kepada Allah. Apabila kita rasa kita telah mendapat nikmat, barulah kita akan senang hendak bersyukur. Tapi ramai yang lalai. Mereka tak perasan ‘tangan’ Allah yang telah membantu mereka dalam segala hal.

Tentunya kita mengharapkan pertolongan Allah dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi dalam keadaan susah. Lebih-lebih lagi kalau waktu itu, kita tahu tidak asa sesiapa lagi yang dapat membantu kita melainkan Allah sahaja. Untuk mendapatkan pertolongan Allah, hendaklah kita ingat Allah dalam waktu susah dah senang. Kalau kita ingat Allah dalam waktu senang, Allah akan tolong kita masa kita sedang susah. Jangan masa susah sahaja baru nak ingat Allah, baru nak minta tolong kepada Allah. Tapi entah berapa ramai yang hanya ingat Allah apabila susah sahaja. Itu adalah amalam orang jahiliah dulu. Bila ada masalah besar, baru mereka minta kepada Allah. Kalau waktu senang, mereka akan minta kepada berhala-berhala mereka.

Bayangkan kalau ada seseorang yang selalu kita minta tolong kepadanya. Dan dia memang selalu menolong kita pun. Tapi, kalau kita hanya berjumpa dengannya apabila kita ada masalah, tentulah dia akan berasa hati – ada masalah baru cari dia. Lama kelamaan, kalau kita susah pun dia dah tak mahu tolong lagi.

Salah satu syarat supaya doa kita diterima adalah kita seorang yang taat kepada Allah. Kalau kita taat, bukan sahaja allah akan bantu kita, tapi Allah akan bantu juga orang yang kita sayang. Macam yang telah disebut dalam surah Kahf. Dalam ayat ke 82, Allah berfirman:

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.

Kerana ayah mereka soleh, maka Allah telah menjaga harta peninggalannya untuk dua anaknya itu. Begitulah kepentingan kita menjaga amal yang soleh. Bukan sahaja Allah akan menjaga kita, tapi orang yang kita sayang juga. Itulah rahmat Allah.

Allah juga telah berfirman yang mafhumnya, kepada mereka yang bertaqwa, Allah akan memberikan jalan keluar seperti yang disebut dalam ayat At-Talaq:2

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

Cara Allah memakbulkan doa kita dengan berbagai cara: kadang-kadang Allah akan beri apa yang kita minta, dan kadang-kadang Allah akan beri dengan cara lain; sebagai contoh, Allah mungkin akan jauhkan perkara yang boleh merosakkan kita. Contohnya jauhkan kita dari kedudukan tinggi, kekayaan dan sebagainya. Kerana Allah tahu, kalau kita jadi kaya, dapat kedudukan yang tinggi, maka kita tak dapat mengawal diri kita dan kita akan terjerumus ke lembah kehinaan.

Ayat ini mengajar kita untuk hanya memohon pertolongan kepada Allah sahaja. Mintalah hanya kepada Allah dalam semua perkara. Seperti nasihat Nabi kepada Ibn Abbas.

“Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya bersamamu. Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah keringlah lembaran”

(Diriwayatkan dari Ibnu Abbas oleh Imam At Tirmidzi, katanya: Hadith hasan sahih)

Memang hukumnya harus untuk meminta tolong kepada sesama makhluk. Yang harus adalah minta kepada mereka yang boleh beri. Iaitu, orang yang kita minta tolong itu, memang dia mampu nak tolong kita. Sebagai contoh, kita minta dia tolong angkat barang. Atau kita minta dia tolong belikan barang untuk kita. Atau kita minta tolong dia masak untuk kita. Dan sebagainya lagi. Tapi kalau dalam meminta kepada manusia pun, kita kena cuba untuk elakkan. Kerana tidak elok kalau kita berharap kepada manusia. Kerana mereka pun manusia dan tiada kuasa juga. Apa sahaja bantuan yang mereka nampak pada zahir boleh beri, tidaklah dia boleh tolong kita tanpa keizinan dari Allah jua. Maka dalam minta tolong kepada manusia, dalam masa yang sama kita kena harap kepada Allah. Kita kena faham dalam hati kita yang sebenarnya memberi pertolongan itu adalah Allah sebenarnya.

Dalam masa yang sama, ada permintaan kepada manusia yang haram. Iaitu meminta perkara yang memang mereka tidak ada kuasa. Contohnya, kalau kita minta kepada manusia samada yang telah mati atau hidup untuk tambah iman kita, atau beri hidayah. Ini adalah haram kerana iman itu hanya Allah sahaja yang boleh beri. Malangnya, banyak yang minta kepada yang mati. Begitu juga ramai yang minta ‘berkat’ kepada yang hidup atau yang mati. Ini pun satu kesesatan kerana manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Allah sahaja yang boleh beri berkat. Oleh itu, mintalah keberkatan kepada Allah. Kalau kita minta berkat dari orang lain, itu adalah satu kesyirikan. Kerana kita menganggap orang itu pun boleh beri berkat sama macam Allah juga. Ini adalah syirik kerana menyamakan makhluk dengan Allah.

Kita juga kena berhati-hati dengan apa yang kita minta. Dalam doa kita, hendaklah kita ‘lapik’ permintaan kita itu dengan kata: “kalau ianya baik untuk kita”. Kerana kita hendak segala yang diberikan kepada kita itu adalah untuk kebaikan sahaja. Sebagai contoh, apabila kita minta rezeki kepada Allah, kita tidak mahu rezeki itu sebagai penyebab kepada kejatuhan kita. Kalau rezeki itu akhirnya akan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan, kita pun tak mahu rezeki itu, kan? Jadi kalau kita minta sesuatu dan Allah tak beri, maka tahulah bahawa ianya adalah kebaikan untuk kita.

Dalam kita memohon kepada Allah, hendaklah kita minta dengan ikhlas. Ada beberapa jenis manusia dalam hal ini:

1. Ada manusia yang beribadah kepada Allah dan minta tolong juga kepada Allah. Inilah jenis orang beriman yang sebenar.

2. Dua-dua tidak. Ini adalah orang-orang kafir. Sudahlah tidak beribadah kepada Allah, mereka minta pun bukan kepada Allah. Tapi mereka pun berdoa juga kepada tuhan mereka. Kerana tentunya mereka mengharapkan banyak perkara dalam dunia ini. Tapi segala permintaan mereka yang dimakbulkan itu, ianya Allah juga yang makbulkan. Kerana tidak ada tuhan yang lain selain Allah. Mereka sahaja yang ingat tuhan sembahan mereka yang makbulkan permintaan mereka itu. Oleh itu, apabila mereka dapat sesuatu, mereka tidak bersyukur kepada Allah. Kerana mereka tidak mengiktiraf Allah. Itu lebih memasukkan mereka ke dalam kesyirikan. Kerana mereka ingat tuhan mereka yang berikan segalanya itu.

3. Ada manusia yang melakukan ibadah kepada Allah tapi tiada istianah (memohon bantuan) kepada Allah. Mereka tiada pengharapan kepada Allah. Mereka hanya bergantung kepada usaha mereka sahaja. Mereka ingat segala apa yang mereka dapat itu adalah hasil usaha mereka sendiri sahaja. Meraka tak sedar ada ‘tangan’ Allah dalam semua perkara. Antara mereka yang berpendapat begini adalah golongan qadariah. Meraka terima dan tahu bahawa Allah lah yang menjadikan kita dan alam ini. Tapi pada mereka, selepas itu, semua perkara bergantung kepada kita. Kalau kita gagal, ianya adalah salah kita. Dan kalau kita mendapat sesuatu, ianya adalah hasil usaha kita. Kerana kepada mereka, Allah telah tetapkan perjalanan sistem alam ini: kalau kita buat sesuatu, kita akan dapat hasilnya. Mereka lupa bahawa hukum alam ini pun dari Allah juga. Ingatlah bahawa Allah tidak meninggalkan kita walau sesaat pun. Allah sentiasa menguruskan segala urusan alam dan urusan hidup kita. Kalau kita berusaha dan berjaya, itu adalah kerana pertolongan Allah. Tidak ada nilai pada usaha kita itu tanpa keizinan Allah. Kita disuruh berusaha dan kerana usaha kita itu, maka Allah beri kita apa yang kita usahakan. Tapi kalau kita Allah tidak izinkan, kita tidak akan dapat apa-apa. Berapa banyak orang yang usaha sedikit, tapi mereka berjaya dalam hidup. Tapi dalam masa yang sama, berapa banyak yang bertungkus lumus dalam usaha mereka, tapi tak berjaya juga. Itu adalah kerana Allah tidak izinkan. Kalau kita sudah usaha, tapi tak dapat juga, itu adalah kerana Allah menguji kita. Hendaklah kita usaha,tapi kemudian redha dengan apa yang kita dapat. Kerana kadang kita dapat apa yang kita usahakan, kadang tidak dapat.

Ingatlah bahawa kalau Allah tidak benarkan, kita nak angkat tangan buat sesuatu pun tidak boleh. Allah jugalah yang izinkan segalanya. Gerak geri kita pun Allah yang berikan. Maka kita berharap supaya Allah mengawal kita dalam segenap hidup kita untuk kebaikan. Kita diajar untuk membaca doa ini:

ياَ حَيُّ ياَ قَيُّوْمُ

Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri

بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ

Dengan rahmatMU aku memohon pertolongan

أَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ

Perbaikilah untukku urusanku semuanya

وَلاَ تَكِلْنِيْ اِلىَ نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ

Dan janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri walau sekelip mata.

4. Ada yang ibadat kepada Allah, tapi mereka tidak minta kepada Allah. Kerana mereka salah faham tentang hal doa. Mereka sangka yang Allah tidak dengar doa mereka. Kerana mereka ingat Allah tidak mendengar doa orang yang berdosa dan kurang tahu hal agama, tidak tahu bahasa Arab, bukan golongan Habib dan sebagainya. Maka mereka minta pertolongan kepada selain Allah. Mereka minta kepada orang alim, ustaz, guru dan sebagainya. Mereka kata mereka tahu yang perantara itu tidak boleh beri apa yang mereka hendak. Mereka tahu yang Allah juga yang beri apa-apa yang mereka minta itu. Tapi pada mereka, Allah tak dengar doa mereka kalau mereka sendiri doa. Jadi, mereka menjadikan orang lain sebagai perantaraan dalam doa mereka. Antaranya mereka akan buat amalan bidaah seperti ‘Majlis Doa Selamat’ dan Solat Hajat. Kedua perkara itu,walaupun selalu diamalkan oleh orang kita dan mereka anggap ianya baik, sebenarnya ianya bukanlah dari amalan agama Islam.

Ada juga yang menggunakan perantaraan kepada entiti yang telah mati seperti para Nabi dan para wali. Ada juga yang menggunakan malaikat sebagai perantaraan mereka. Itu semua adalah kesesatan-kesesatan yang ada dalam fahaman doa yang salah. Apabila tidak ada ilmu, maka banyaklah kesesatan yang dilakukan oleh manusia.

Maka hendaklah kita faham tentang cara-cara berdoa kepada Allah dengan cara yang benar. Perkara ini banyak kita sentuh dalam blog ini dalam ayat-ayat yang lain. Untuk mengurangkan pengulangan, harap boleh baca tafsir ayat-ayat yang lain.

Cara berdoa juga kenalah sesuai. Sila rujuk di sini.

Konsep Tawakal

Ayat dari surah Fatihah ini mengajar kita untuk percaya kepada allah dan bergantung kepada Allah. Itulah tawakal yang selalu disebut-sebut oleh orang Islam. Oleh itu, untuk faham tawakal, ada dua konsep yang kita perlu faham – percaya dan pergantungan. Kadang kala, ada yang kita percaya tapi kita tahu tak boleh bergantung kepadanya. Dan kadang-kadang terbalik: kita bergantung kepadanya tapi kita tidak percaya.

Marilah kita lanjutkan pemahaman tentang tawakal kepada Allah. Jangan kita hanya tahu sebut tapi kita tidak mendalami maksudnya. Perdu Agama ada dua: Ibadah dah tawakal. Dua elemen ini banyak kali disebut-sebut dalam Quran kerana ianya adalah perkara yang amat penting sekali.

Ramai yang cakap tentang tawakal tapi tak ramai yang faham. Dan yang faham pun bukan semua amalkan tawakal dalam kehidupan mereka. Kerana ianya memerlukan tahap keimanan yang tinggi untuk mengamalkannya. Marilah kita mula memahaminya supaya kita juga boleh amalkan sedikit demi sedikit.

Tawakal adalah ibadat hati. Secara ringkasnya, ianya dapat dicapai apabila kita rasa ‘cukup dengan Allah’. Iaitu, kita rasa cukuplah Allah sebagai pembantu kita. Bukan itu sahaja, kita juga kena ‘redha dengan Allah’. Ianya akan dapat dicapai apabila kita dapat merasai hubungan kita dengan Allah dalam setiap keadaan. Ianya adalah pemahaman tentang siapa Allah. Iaitu kita kenal Allah dan perbuatanNya. Pertama, kita mulakan dengan tahu dan terima Allah adalah rabb kita. Kemudian kita kena kenal semua sifat Allah. Maka kita kena kenal Allah dengan mengetahui nama-namaNya. Cara paling senang hendak kenal Allah adalah dengan belajar tafsir Quran kerana Allah telah memperkenalkan DiriNya dalam Quran supaya kita kenal Dia. Tidak perlu belajar sifat 20 yang banyak diajar di Malaysia. Kalau belajar sifat 20, bukan semakin kenal Allah, tapi semakin keliru. Kerana perbincangan Tauhid Sifat 20 adalah berdasarkan ‘Ilmu Kalam’ iaitu ilmu falsafah yang memang berpusing-pusing perbincangannya. Oleh itu, kita akan jadi keliru. Kerana itulah, antara kekeliruan masyarakat kita yang belajar sifat 20 adalah ‘Di Mana Allah?’. Kalau belajar dengan sifat guru yang mengajar Sifat 20, mereka akan kata: “Allah wujud tidak bertempat”. Itu adalah pandangan yang salah dan berlawanan dengan ayat Quran dan hadis Nabi. Pengajaran Tauhid Sifat 20 adalah pengajaran tentang Allah yang mengelirukan. Padahal, penerangan tentang Tauhid dalam Quran adalah mudah dan tepat.

Apabila kita kenal siapa itu Allah, barulah kita akan dapat rasa yakin dan senang hati untuk tawakal kepada Allah. Iaitu kita tahu yang memang Allah adalah tempat yang layak untuk kita bergantung kepadaNya.

Seperti yang kita telah belajar di awal surah Fatihah ini, Allah telah memperkenalkan Dialah rabb alam ini. Dia mampu untuk berbuat segala-galanya. Apabila kita terima pemahaman ini, barulah lebih bermakna tawakal kita. Tidaklah kita rasa sangsi samada Allah boleh dipercayai atau tidak. Dalam Allah suruh kita bertawakal kepadaNya, Allah telah sebutkan sifat-sifatNya dalam Quran. Supaya kita mengenaliNya dan supaya kita yakin yang Dialah selayak-layak tempat untuk kita bertawakal.

Sebagai contoh, Allah telah memberitahu kita bahawa Dia adalah yang hidup dan tidak mati sampai bila-bila. Kalaulah dengan manusia kita bertawakal, mereka akan mati juga akhirnya. Ini menolak pegangan golongan sesat yang tawakal dan berharap kepada ahli kubur. Mereka yang telah mati, tidak akan dapat membantu kita walau sedikitpun kerana mereka telah mati. Ini termasuklah juga Nabi Muhammad yang kita sanjungi.

Allah juga memberitahu kita bahawa Dia adalah al Aziz – yang Maha Berkuasa – menunjukkan kepada kita bahawa Allah mempunyai upaya yang penuh untuk menolong kita dalam segala urusan. Tidak ada makhluk yang mempunyai sifat begini. Kalau ada orang yang berkuasa pun, tentu ada lagi yang lebih berkuasa darinya.

Dia juga adalah al-Hakim – Maha Bijaksana. Dia amat tahu bila perlu untuk menggunakan kuasa yang ada padaNya. Tak macam manusia yang berkuasa. Mereka selalunya akan salah gunakan kuasa mereka. Atau mereka tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk menggunakan biasa itu. Atau bilakah masa yang sesuai untuk menggunakannya. Allah juga Maha Bijaksana untuk memberikan apa yang sesuai untuk kita.

Allah juga ar-Raheem – Allah amat sayang kepada kita. Dia akan memberikan keperluan kepada kita. Keperluan itu pula sebagaimana apa yang kita perlukan. Tidak berlebih dan tidak berkurang.

Allah juga adalah as-Sami’ – Maha Mendengar. Dia pasti dengar segala permintaan kita. Samada kita sebut secara kuat atau kita sebut dalam hati kita. Yang kita tak sebutkan pun Allah tahu. Allah tahu apa yang ada dalam lubuk hati kita. Kalau dengan manusia, kita kena jelaskan dengan panjang lebar keperluan kita. Tapi dengan Allah, tidak perlu. Kita tak perlu nak susun ayat untuk meminta kepada Allah. Nabi pun tak suka doa yang berbunyi indah, yang macam sajak. Apa yang penting adalah doa itu dari lubuk hati kita. Dari keikhlasan hati kita. Ingatlah bahawa Allah amat tahu apakah kemahuan kita kerana Allah Maha Mendengar.

Allah juga adalah al-Aleem – Maha Tahu. Dia tahu apa yang kita perlukan. Kita tak cakap pun Allah tahu. Dan Allah tahu apakah yang perlu diberikan kepada kita. Kadang-kadang kita memang mahukan sesuatu. Tapi kita tidak tahu samada ianya baik untuk kita. Tapi Allah tahu samada apa yang kita minta itu penghujungnya sesuatu yang baik untuk kita atau tidak.

Maka, daripada segala sifat-sifat yang telah disebutkan di atas, dan banyak lagi sifat-sifat lain, tahulah kita bahawa cukuplah Allah sahaja untuk keperluan kita. Allahlah tempat pergantungan yang sepatutnya kita serahkan harapan itu. Tak perlu kepada yang lain lagi. Mintalah kepada Allah sahaja. Tidak perlu minta kepada selain dari Allah.

Konsep Asbab – Cause and Effect

Untuk faham konsep tawakal, kita kena faham konsep asbab – penyebab. Selalunya disebut sebagai: Cause and effect. Apabila orang Islam salah faham dengan konsep tawakal dan kaitannya dengan konsep asbab, mereka ingat mereka hanya perlu berharap kepada Allah tanpa buat apa-apa. Mereka tidak menggunakan asbab yang Allah telah tentukan dalam dunia ini. Itu adalah salah faham yang merugikan.

Ingatlah bahawa kita kena melakukan usaha untuk mencapai sesuatu. Tapi tidaklah kita mengharap sepenuhnya pada usaha kita itu. Kerana usaha kita tidak bernilai apa-apa. Tapi Allah hendak melihat usaha kita.

Sebenarnya tawakal itu pun sudah satu asbab yang besar. Kalau kita tidak faham bahawa tawakal adalah salah satu asbab, kita akan kekurangan satu elemen yang penting dalam mencapai hajat kita. Kerana kalau kita tidak ada tawakal kepada Allah, mungkin Allah tidak menolong kita. Itulah kepentingan kita faham apakah tawakal itu. Supaya dalam kita berdoa, dalam hati kita, kita bertawakal kepada Allah.

Banyak manusia yang lupa tentang kesan doa. Ada yang ingat bahawa doa adalah satu benda biasa sahaja. Mereka sangka ianya adalah satu kebaikan untuk dilakukan tapi ianya tidak memberi kesan apa-apa. Jadi mereka yang berfikiran sebegini tidak akan berdoa atau mereka doa pun, mereka akan buat sambil lewa. Nabi telah bersabda untuk mengingatkan kita untuk berdoa kepada Allah dalam semua perkara. Sebagai contoh, Nabi kata, walaupun untuk mencari tali kasut.

Begitu pentingnya hal doa ini, sampai Allah ingatkan kita setiap hari dalam solat kita. Allah telah wajibkan kita membaca surah ini dalam solat lima waktu kita, maka secara efektifnya, kita diingatkan dengan hal doa ini setiap hari. Oleh itu, setiap kali kita membaca ayat ini, maka hayatilah maksud yang telah disebutkan ini.

Memang Nabi telah menyarankan kita untuk bertawakal kepada Allah. Ada satu Hadis Nabi yang menyebut tentang tawakal burung:

Dari Umar al Khattab r.a., dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Jika kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakal, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kalian seperti Allah memberikan rezeki kepada seekor burung. Ia pergi (dari sarangnya) di pagai hari dalam keadaan perut yang kosong, dan kembali (ke sarangnya) di petang hari dalam keadaan perut yang penuh”. Riwayat Ahmad, Tirmidhi, Nasa’i, Ibnu Majah, Ibbu Hibban.

Tawakal perlu bebas dari syirik. Hanya harap kepada Allah. Sebagai contoh, jangan kita sangka asbab itulah yang menyebabkan kita dapat apa yang kita hendak. Dalam hati kita kena sedar, walaupun nampak macam asbab itu yang menyebabkan terjadinya sesuatu perkara, tapi sebenarnya Allah lah yang menyebabkan terjadinya perkara itu.

Hati kita hendaklah bergantung kepada Allah dah hati kita tenang dengan penyerahan itu. Rasa cukup dengan Allah sebagai pengharapan kita. Apa terjadi lepas itu tidak kisah dah. Kalau begitu, barulah betul dikatakan kita telah serah dan tawakal kepadaNya. Kalau dalam hati kita pun tak yakin dengan Allah, itu bukan tawakal lagi namanya.

Kita hendaklah percaya bahawa Allah akan buat yang terbaik. Jangan soal apa yang Allah telah buat. Kita serahkan cara bagaimana Allah akan lakukan. Kalau kita tak suka dengan apa yang terjadi, bermakna kita tak tawakal sebenarnya. Kadang-kadang sesuatu itu menyakitkan tapi ianya sebenarnya untuk kebaikan kita – kita sahaja tak tahu dan tak nampak. Macam ibubapa yang bawa anaknya ke klinik dan anaknya itu kena cucuk. Walaupun kena cucuk itu sakit tapi ianya untuk kebaikan anak itu. Berapa ramai orang Islam yang kata kita diberikan oleh Allah apa yang tak patut dapat? Mereka kata: Kenapalah Allah jadikan aku begini? Kenapa Allah buat macam ini? Dan macam-macam lagi. Itu adalah kata-kata yang tidak patut.
Jadi, sebelum kita melakukan sesuatu, kita serah kepada Allah. Dan selepas kita selesai, kita serahkan kepada Allah juga. Kita kena rasa lega dengan penyerahan itu. Macam anak dalam pegangan emaknya – dia akan tenang, dia rasa selesa sahaja dengan pelukan emaknya itu. Macam itulah kita kena rasa dengan penyerahan kita kepada Allah.

Itulah penerangan tentang tawakal yang lebih lengkap dari yang biasa kita dengar. Bukanlah tawakal itu hanya kita sebut dengan lidah sahaja. Kita kena faham dan amalkan dalam kehidupan seharian.

Untuk lebih faham dengan tawakal, sila rujuk doa solat Istikharah yang diajar oleh Nabi kepada kita. Doa itu merangkum pemahaman kita tentang tawakal.

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya”.

Tawakal itu menguatkan tauhid. Iaitu kita faham dan terima dalam hati yang bahawa semua yang terjadi adalah kerana Allah. Bukanlah asbab yang menyebabkan terjadinya sesuatu perkara itu. Tandanya kita faham adalah kalau sesuatu terjadi tidak seperti yang kita hendak, kita terima dengan seadanya. Walaupun kita telah lakukan yang dalam pemikiran logik kita, sepatutnya benda itu telah terjadi. Selalunya manusia lupa tentang perkara ini. Mereka akan kata: “Aku dah buat begini, begitu, tapi kenapa tak jadi juga yer?”.

Baik, mari kita sambung perbincangan kita tentang Asbab. Apakah asbab itu sebenarnya? Asbab yang lengkap adalah mengandungi Ikhlas dan usaha baik – usaha yang betul dan berkenaan. Kita selalunya gagal kerana tiada ikhlas atau tidak buat perkara yang betul. Iaitu kita menggunakan strategi yang salah. Ini penting untuk kita faham. Kalau kita lapar, tentulah kita kena makan, kerana itulah strategi yang diperlukan untuk menghilangkan kelaparan. Nabi pun pakai strategi juga. Lihatlah bagaimana dalam Perang Khandak, baginda memilih strategi yang dicadangkan oleh Salman al Farisi untuk menggali parit di keliling kota Madinah. Tentulah baginda juga berharap dan berdoa kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, Nabi pun menggunakan langkah yang perlu diambil.

Malangnya, ada pemahaman salah manusia, seperti orang sufi yang kata, kalau ikut asbab bermakna orang itu kurang tawakal. Mereka telah mengatakan pemahaman yang salah. Satu lagi contoh untuk menerangkan strategi, bagaimana ada sahabat tanya Nabi, samada tawakal sahaja atau tambat untanya. Nabi suruh tambat dah kemudian tawakal. Jadi kena ikut juga asbab. Tawakal bukanlah melupakan langsung asbab. Tidaklah kita hanya mengharap sahaja tanpa melakukan apa-apa untuk mencapai kehendak kita.

Persoalan: bagaimana dengan orang yang telah melakukan perbuatan yang salah, tapi berjaya juga. Kita kena faham, ada yang Allah benarkan sesuatu perkara terjadi kerana seseorang itu telah ikut asbab – dia telah melakukan perkara-perkara yang mengikut hukum alam, akan menyebabkan terjadinya perkara itu. Tapi tidaklah bermakna Allah redha dengan perbuatan itu. Jangan silap faham pula. Sebagai contoh, seorang pencuri bank telah melakukan strategi yang mantap untuk dapat masuk ke dalam bank dan mencuri duit dalam bank itu. Itu adalah perbuatan yang salah tapi orang itu berjaya juga. Orang itu mungkin berjaya, tapi dia akan mendapat dosa.

Kita kena ada dua-dua. Asbab dan tawakal. Jangan jadi macam tasawuf yang hanya pakai tawakal sahaja.

Kalau kita letak hanya percaya kepada asbab sahaja, itu adalah salah satu syirik. Iaitu percaya sesuatu itu terjadi kerana asbab. Sebagai contoh dalam ankaboot:65

فَإِذَا رَكِبُوا فِي الْفُلْكِ دَعَوُا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ فَلَمَّا نَجَّاهُمْ إِلَى الْبَرِّ إِذَا هُمْ يُشْرِكُونَ

Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepadaNya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepadaNya.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Mereka berlaku syirik kepadaNya?’. Mereka melakukan syirik kerana selepas mereka selamat, mereka kata sebab angin menurunlah yang menyebabkan mereka selamat. Mereka tak kata Allah yang selamatkan mereka. Padahal cuaca dan angin itu pun dalam kawalan Allah. Bukan ianya ada kuasa sendiri. Mereka telah meletak asbab itu sebagai entiti yang menyelamatkan mereka, padahal Allah lah yang telah menyelamatkan mereka. Mereka telah meletak satu kuasa pada makhluk selain Allah – itulah syirik yang dimaksudkan.

Oleh itu, kita memang kena ada usaha. Allah hendak melihat usaha kita. Seperti Allah suruh Maryam goyangkan pokok kurma. Sila rujuk Maryam:25

وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

Kalau ikut realiti, takkan jatuh kalau kita gegar batang pokok Kurma itu. Kalau kita lelaki yang gagah pun tak dapat gegarkan sampai jatuh Kurma, apatah lagi Maryam, seorang perempuan, yang sedang dalam kelemahan selepas baru melahirkan anak pula? Tentu tidak boleh. Tapi Allah hendak lihat usaha kita.

Kesimpulan

Apa kesan pemahaman kepada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ ini? Apakah kesan dalam perbuatan kita? Kalau kita faham dan menghayati maknanya, kita takkan gunakan cara yang haram untuk capai sesuatu. Kerana kita nak Allah beri kita capai apa yang kita hendak, takkan kita nak guna cara haram? Dah lawan ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ. Tapi, kalau kita lihat, Allah beri juga kepada kafir atau orang yang berdosa walaupun mereka menggunakan cara yang haram. Memang, tapi lihatlah bagaimana apa yang mereka dapat itu semakin menjauhkan mereka dari Allah. Kita tak nak begitu. Kita hendak mendekatkan diri dengan Allah, bukan menjauhkan diri dari Allah.

Ada lagi kesan lain. Apabila kita tawakal kepada Allah, kita mengharapkan yang paling baik. Baik dunia dan juga baik di akhirat. Tapi mana yang lebih penting? Yang paling penting kita harapkan Allah menjadikan kita hamba yang terbaik kepada Allah. Oleh itu, kita sebenarnya bukan hendakkan kebaikan dunia, tapi kebaikan akhirat. Hal dunia bukanlah sesuatu yang penting sangat. Kalau susah di dunia pun tidak mengapa. Kalau susah, orang yang bertawakal yang sebenar akan sabar dengan apa yang terjadi padanya. Dan kalau musibah datang kepadanya, dia akan mendapat pahala dari kesabarannya itu.

Apabila kita bertawakal kepada Allah, kita tidak takut kepada selain dari Allah. Kerana kita tawakal kepada Allah sahaja. Jangan takut kepada orang lain sampai menyebabkan tidak melakukan ibadah kepada Allah.

Kalau ada dugaan, itu pun dari Allah sebagai ibtila’ (ujian). Memang itu sunnatullah. Allah dah kata yang Dia akan uji kita. Tidak perlu panik. Jangan marah Allah kalau musibah kena kepada kita. Orang mukmin akan terima ini sebagai peluang untuk melepasinya.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat yang seterusnya

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 001: al-Fatihah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s