Tafsir Surah Maryam Ayat 26 – 38

Ayat 26:

19:26
Transliteration

Fakulee washrabee waqarree AAaynanfa-imma tarayinna mina albashari ahadan faqooleeinnee nathartu lirrahmani sawmanfalan okallima alyawma insiyya

Sahih International

So eat and drink and be contented. And if you see from among humanity anyone, say, ‘Indeed, I have vowed to the Most Merciful abstention, so I will not speak today to [any] man.’ ”

Malay

“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.

فَكُلِي وَاشْرَبِي

Maka makanlah dan minumlah; 
Makanlah dan minumlah sebanyak mana yang kamu kehendaki wahai Maryam. Nikmatilah pemberian Allah kepadamu itu.

وَقَرِّي عَيْنًا

dan sejuklah mata kamu; janganlah kamu bersedih. Berhentilah dari menangis. Seorang ibu akan menangis selepas bersalin selalunya. Sejuklah mata kamu dengan tengok anak kamu itu.

Maksud وَقَرِّي عَيْنًا boleh sahaja bermakna umum. Iaitu senang-senangkan dirimu kerana kamu sekarang makanan dah ada, minuman dah ada, tempat rehat pun dah ada. Tapi dalam Quran, penggunaan قَرِّي عَيْنًا selalunya dikaitkan dengan anak. Lihatlah bagaimana kata itu digunakan oleh Asiah, isteri Firaun apabila beliau mengatakan tentang Nabi Musa – semasa mereka baru mendapat Nabi Musa yang masih bayi waktu itu. Ini disebut dalam Qasas:9

وَقَالَتِ امْرَأَتُ فِرْعَوْنَ قُرَّتُ عَيْنٍ لِي وَلَكَ ۖ لَا تَقْتُلُوهُ عَسَىٰ أَنْ يَنْفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: “(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak”. Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Kata yang sama juga digunakan dalam ke 74 surah Furqan:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Ini adalah kerana anak-anak memang menyejukkan mata kita. Kalau kita dalam kepenatan pun, tapi lihat sahaja anak, kita akan rasa senang dan tenang. Katakanlah kita balik kerja dalam kepenatan, tapi apabila lihat anak kita, kita rasa bertenaga kembali, boleh lagi nak bermain-main dengan mereka. Anak-anak memang mempunyai efek sebegitu kepada kita.

Maryam diberitahu dalam ayat ini bahawa beliau akan ditenangkan nanti dengan kelahiran anak beliau. Kita lihatlah sahaja bagaimana ibu-ibu yang bertarung melahirkan anak mereka. Susah payah mereka hendak melahirkan. Tapi apabila mereka lihat sahaja anak mereka l, terus hilang kepenatan mereka. Itulah sebab mereka tidak serik untuk mengandung dan melahirkan anak lagi. Kerana mereka tahu betapa gembiranya hati mereka apabila mereka melihat anak mereka.

Allah hendak memberitahu kepada Maryam bahawa kesusahan yang dia sedang alami itu akan dihilangkan dengan rasa gembira apabila melihat anaknya nanti.

فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا

jika kamu jumpa mana-mana manusia;
Allah nak beri ketenangan kepada Maryam. Fokuskan kepada melahirkan anak itu sahaja. Kalau ada sesiapa sahaja yang datang, tak perlu bercakap-cakap dengan mereka. Mereka yang lalu lalang di situ memang akan sibuk dengan apa yang mereka akan lihat. Kerana begitulah manusia. Kita lihatlah sendiri bagaimana kalau ada kemalangan, akan ada sahaja yang menyibuk untuk melihat. Mereka bukan nak tolong pun, tapi nak tengok sahaja.

فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا

kamu kata (dengan isyarat): aku bernazar kepada Tuhan at-Rahman untuk menahan diri; iaitu puasa tidak bercakap, menahan diri dari berkata-kata dengan mereka. Tentulah cara Maryam memberitahu mereka itu dengan isyarat sahaja kerana dia disuruh supaya tidak berkata-kata dengan manusia seorang pun.

نَذَرْتُ bermaksud membuat komitmen untuk melakukan sesuatu.

Maryam menggunakan nama ar-Rahman lagi. Walaupun apa yang dia telah lalui sekarang, beliau masih memandang betapa Allah mempunyai rahmat yang banyak dan telah memberi rahmat kepada beliau. Ini kita kena ikut – hendaklah kita ingat dengan segala rahmat yang Allah telah beri kepada kita.

صَوْمًا boleh juga bermakna seperti yang kita biasa guna – puasa. Tapi sebelum ini telah diberitahu bahawa Maryam disuruh makan dan minum. Jadi, tidaklah maksud di sini suruh Maryam jangan makan dan minum. Jadi, perkataan صَوْمًا adalah dalam bentuk literal – menahan diri.

فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنسِيًّا

aku tidak akan berkata-kata pada hari ini dengan sesiapapun; itulah yang diajar oleh Jibrail. Tapi bagaimana Maryam hendak beritahu yang dia sedang puasa dari bercakap? Takkan dia nak berkata pula sedangkan dia tidak boleh bercakap? Lihatlah bagaimana dalam kisah Nabi Zakaria pun tidak boleh bercakap dahulu, dan dia hanya menggunakan bahasa isyarat sahaja. Maka, keadaan yang sama juga berlaku dalam ayat ini.

Digunakan perkataan إِنسِيًّا kerana Maryam tidak bercakap dengan manusia sahaja. Tapi beliau masih bercakap dengan Malaikat Jibrail. Jadi perkataan yang spesifik digunakan dalam ayat ini. Bukan Maryam tidak bercakap-cakap langsung – beliau cuma disuruh jangan bercakap dengan manusia sahaja.

Kenapa Maryam disuruh senyap? Kerana kalau nak jawap pun tak tahu macam mana nak jawap dah. Tidak ada hujah apa lagi yang boleh digunakan untuk membolehkan mereka faham dengan apa yang terjadi.
Dan supaya Maryam tak perlu layan mereka yang akan bertanya-tanya itu. Yang akan bertanya itu nanti bukannya sebab mereka risaukan beliau tapi mereka nak menyibuk, mereka nak menuduh yang bukan-bukan. Maka kepada mereka yang macam ini, tindakan yang sesuai adalah tak layan mereka.

Jangan layan orang yang bodoh. Imam Syafie kata setiap kali beliau berdebat dengan orang yang bodoh, beliau akan kalah. Kerana mereka tak berilmu. Kita berhujah dengan ilmu, tapi mereka bukan berhujah dengan ilmu tapi dengan akal yang cetek.

Allah nak beritahu yang Dia lah nanti yang akan uruskan urusan Maryam nanti.

Hukum: bolehlah kita amalkan puasa senyap tidak bercakap? Ulama membincangkan hal ini. Mereka kata ini adalah hanya untuk Maryam sahaja. Khusus kepada beliau sahaja. Atau ianya ada dalam syariat zaman dahulu tapi tidak lagi zaman sekarang. Jadi, ianya bukan Sunnah yang perlu dan boleh diikuti sekarang. Dalam amal ibadat jangan tambah-tambah. Macam kisah seorang sahabat yang berpuasa dalam keadaan panas terik. Itu adalah ibadat tambahan, maka Nabi larang beliau buat begitu. Tapi masyarakat kita yang tidak belajar dengan betul, akan ambil ini sebagai dalil untuk buat perkara-perkara bidaah. Kerana mereka tidak faham. Oleh itu, hendaklah kita tahu bahawa senyap tidak bercakap bukanlah satu ibadat. Mereka tidak tahu manakah yang elok diikut dan mana yang tidak perlu diikut. Kalau mereka baca Quran sendiri dan buat tafsiran sendiri, mungkin mereka akan kata, eloklah kalau buat amalan tidak bercakap satu hari kerana ianya ada dalam Quran dan ianya adalah suruh Allah pula. Tapi bukan begitu. Kita hendaklah belajar dengan betul apakah yang hendak disampaikan oleh Allah dalam Quran. Ada sebab kenapa Allah suruh Maryam tidak bercakap dan mendiamkan diri sahaja.

Dalam teks Kristian, tidak banyak maklumat yang bertujuan membersihkan nama Maryam. Memang mereka menerima bahawa Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa. Tapi mereka ada kisah Joseph tukang kayu yang dikatakan telah bertunang dengan Maryam sebelum Nabi Isa dilahirkan. Apabila Nabi Isa dilahirkan dan nama baik Maryam hampir tercalar, maka Joseph telah mengahwini Maryam untuk menyelamatkan nama baik Maryam. Jadi, Kristian ada yang mengambil Joseph sebagai bapa kepada Nabi Isa di dunia. Ini bermakna, Kristian tidak membela sangat Maryam. Tapi dalam Quran, kita boleh lihat bagaimana nama Maryam dibersihkan. Betapa Quran menekankan bahawa Maryam adalah wanita yang suci yang tidak melakukan dosa apa pun. Quran menceritakan bagaimana apabila Jibrail datang dalam bentuk rupa seorang lelaki yang kacak, Maryam menghalau Jibrail dari mendekatinya – kerana waktu itu beliau tidak tahu yang itu adalah malaikat.

Sebaliknya mereka mengangkat kedudukan Maryam terlalu tinggi melebihi manusia biasa.

—————————————————————————————

Ayat 27:

19:27
Transliteration

Faatat bihi qawmaha tahmiluhuqaloo ya maryamu laqad ji/ti shay-an fariyya

Sahih International

Then she brought him to her people, carrying him. They said, “O Mary, you have certainly done a thing unprecedented.

Malay

Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!

فَأَتَتْ بِهِ قَوْمَهَا تَحْمِلُهُ

Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya; selepas sahaja Maryam berasa segar, kerana Allah telah beri makanan dan minuman kepada beliau, beliau membawa balik anaknya Nabi Isa bertemu dengan kaumnya. Ada riwayat yang mengatakan bahawa Maryam membawa Nabi Isa ini selepas telah berlalu 40 hari.

تَحْمِلُهُ – mendokong anaknya – ianya adalah perkataan dalam present tense walaupun ia telah lama berlaku, seperti ianya sedang berlaku. Apabila Quran menggunakan cara begini, Allah hendak kita bayangkan kita sedang berada disana dan menyaksikan perkara itu sedang berlaku.

أتى dan جاء dua-dua bermakna ‘datang’ dari segi bahasa. Tapi kenapa perkataan أتى digunakan dalam ayat ini: أتى  dari segi bahasa bermaksud – datang dengan senang. Tidak serabut. Datang dengan senang. Maryam tidak takut dah dengan apa yang akan terjadi. Sebelum ini memang dia risau – kita telah baca bagaimana risaunya dia dengan apa yang terjadi pada dirinya. Kenapa sekarang dah tenang? Sebab segala kejadian ajaib itu meyakinkan dia yang Allah akan menjaganya. Jadi dia dah tak risau.

قَالُوا يَا مَرْيَمُ

mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam!; Apabila kaumnya nampak Maryam bawa bayi, maka mereka terkejut dan memfitnah Maryam. Apakah yang mereka kata?:

لَقَدْ جِئْتِ شَيْئًا فَرِيًّا

Sesungguhnya engkau telah datang dengan suatu perkara yang amat mungkar! Mereka berkata dengan kasar sekali. Padahal mereka adalah orang-orang alim dan daripada kaum keluarga beliau juga.

جاء digunakan dalam ayat ini kerana ianya mengandungi nada yang berat. Kesalahan besarlah apa yang dilakukan oleh Maryam pada pandangan mereka.

فَرِيًّا berasal dari kata untuk sebut tentang kulit yang telah melecur. Dan kulit itu teruk sangat sampai kena buang lapisan kulit yang sudah rosak itu. Jadi ianya adalah sesuatu yang tidak disukai. Juga digunakan dalam perkataan iftara – perbuatan melampau. Sesuatu yang buruk. Digunakan dalam ayat ini kerana mereka mengatakan Maryam telah datang membawa anak haram, anak luar nikah.

————————————————————————————-

Ayat 28: seperti yang ditakuti oleh Maryam, mereka bukan sahaja menuduhnya sahaja tapi ahli keluarganya juga. Sekarang lihatlah apa tuduhan mereka terhadap Maryam.

19:28
Transliteration

Ya okhta haroona ma kanaabooki imraa saw-in wama kanat ommuki baghiyya

Sahih International

O sister of Aaron, your father was not a man of evil, nor was your mother unchaste.”

Malay

” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”

يَا أُخْتَ هَارُونَ

Wahai saudara perempuan Harun

Kenapa digunakan nama Harun disini? Adakah ia merujuk kepada Nabi Harun? Ini kena dibincangkan kerana Nabi Harun jauh dari segi masa dari Maryam – mungkin sudah berlalu beratus tahun dari waktu itu. Jadi tentulah ia bukanlah bermakna ayat ini hendak mengatakan yang Maryam adalah adik atau saudara kepada Nabi Harun.

Salah satu makna adalah ia adalah disebut dalam isyarat sahaja. Iaitu Maryam adalah keturunan Nabi Harun dan ianya adalah sebagai rujukan kepada Nabi Harun yang bersifat mulia. Banyak penggunaan bahasa yang macam ini. Nabi pun memanggil kita dengan panggilan ‘ikhwan’ walaupun kita tidak ada kaitan kekeluargaan dengan baginda. Makna Ikhwan itu adalah mereka yang beriman dengan baginda walaupun tidak pernah berjumpa dengan baginda. Kalau orang membazir pun Islam mengatakan orang seperti itu adalah ‘saudara’ syaitan. Bukanlah kita bersanak saudara dengan syaitan tapi begitulah perkataan yang digunakan dalam Islam untuk menunjukkan pembaziran adalah satu amalan yang buruk.

Mereka kata begitu kerana hendak memalukan Maryam. Mereka nak kata bahawa Maryam telah memalukan nama Nabi Harun. Mereka nak kata bahawa Maryam telah melakukan perkara yang amat buruk sekali.

Kenapa nama Nabi Harun yang digunakan dan bukan nama Nabi Musa? Bukankah Nabi Musa lebih tinggi darjatnya dari Nabi Musa? Ulama berpendapat ini adalah kerana sifat Nabi Harun yang lebih lembut dari Nabi Musa. Kalau kita lihat dalam kisah Nabi Musa, kita boleh lihat bagaimana Nabi Musa sifatnya keras sekali. Maka, apabila mereka menyebut nama Nabi Harun, ia sebenarnya hendak merujuk kepada sifat lembut Nabi Harun.

Daripada sirah, ada disebut bagaimana seorang sahabat Nabi yang bernama Mughirah telah berdakwah kepada penduduk Najran. Mereka juga mempersoalkan kenapa Nabi Harun yang disebut dalam ayat ini dan bukan Nabi Musa. Maka Mughirah telah menjawab bahawa beliau tidak tahu.

Pertamanya, ini mengajar kita bagaimana kita berhadapan dengan situasi yang kita tidak tahu jawapannya. Walaupun Mughirah belajar sendiri dengan Nabi, tapi beliau tidak memandai-mandai menjawab dengan menggunakan fikirannya sendiri. Kalau dia tidak mendapat maklumat dari Nabi, beliau tidak menjawab dengan apa yang dia tidak tahu. Maka, dia telah jawap bahawa dia tidak tahu. Kita pun kena macam itu juga – kalau tak tahu, kena cakap tak tahu. Jangan bercakap tanpa dalil. Tapi selalunya, kita susah nak buat macam itu. Susah untuk kita mengaku yang kita tidak tahu. Kita akan cuba jawap juga walaupun kita tak tahu. Kita akan gunakan akal fikiran kita sendiri untuk beri jawapan, padahal jawapan dari akal kita mungkin tidak benar. Maka, hendaklah kita belajar untuk merendahkan diri dan mengaku yang kita tidak tahu apabila kita ditanya dengan soalan yang kita tidak ada kepastian tentangnya.

Apabila Mughirah merujuk persoalan itu kepada Nabi, Nabi menjawab bahawa tidakkah mereka tahu bahawa manusia akan menamakan anak mereka dengan nama para Nabi? – kita pun macam itu juga, menamakan anak kita dengan nama para Nabi. Kerana kita berharap supaya anak-anak kita akan mengikut jejak langkah para Nabi tu. Maka, ini bermakna, ada kemungkinan bahawa memang Maryam ada seorang abang atau sepupu yang bernama Harun. Jadi ia bukanlah merujuk kepada Nabi Harun yang kita kenali, tapi seorang lelaki yang bernama Harun. Harun itu seorang yang baik dan dipandang tinggi dalam masyarakat waktu itu. Memang ada riwayat yang menceritakan tentang seorang lelaki baik yang dipandang tinggi, sampaikan apabila apabila beliau meninggal, sebanyak 40 ribu orang datang mengunjunginya. Jadi mereka hendak mengatakan bahawa Maryam telah merosakkan nama baik Harun itu. Jadi, mereka bukan sahaja menuduh Maryam tapi mereka juga telah memburukkan nama ahli keluarganya juga.

Dalam sejarah Yahudi juga, kita boleh jumpa bagaimana mereka menyalahkan Nabi Harun dalam hal penyembahan anak patung lembu. Padahal, Nabi Harun telah melarang mereka dari berbuat syirik. Begitu mereka telah menuduh Nabi Harun, begitu juga sekarang mereka menuduh pula Maryam.

مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ

bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya; bukanlah bapa kamu orang jahat, bukan kaki perempuan. Mereka juga mengaitkan nama baik bapa Maryam dalam tuduhan mereka itu.

وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا

dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!; bukanlah ibu kamu seorang pelacur. Perkataan بَغِيًّا telah pernah kita sebutkan dahulu dan sekarang perkataan yang sama digunakan sekali lagi. Mereka nak kata bahawa ibubapa Maryam orang yang baik, baik, jadi macam mana kamu boleh bawa anak luar nikah pula? Begitulah kata-kata mereka kepada Maryam.

Mereka bukan nak puji ibubapa Maryam. Tapi mereka hendak menjatuhkan martabat mereka. Kita pun tahu anak-anak mencerminkan ibubapa mereka. Jadi, kalau Maryam buat sesuatu yang jahat, maka mereka nak kata bahawa ibubapa merekai tu bukanlah orang yang baik rupanya, pada pandangan mereka.

Sekarang mereka sedang menuduh dan mengutuk Maryam di hadapan orang ramai. Selalunya, kalau ada orang buat begitu kepada kita, tentu kita akan bertindak mengata balik. Atau mempertahankan diri dengan keras. Tapi Maryam tidak berbuat begitu. Beliaulah adalah seorang yang taat dan amat baik sekali. Beliau juga seorang yang amat penyabar. Beliau telah mengikut arahan Allah supaya tidak berkata apa-apa. Lihatlah apa yang Maryam telah lakukan.

————————————————————————————

Ayat 29:

19:29
Transliteration

Faasharat ilayhi qaloo kayfanukallimu man kana fee almahdi sabiyya

Sahih International

So she pointed to him. They said, “How can we speak to one who is in the cradle a child?”

Malay

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?”

فَأَشَارَتْ إِلَيْهِ

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya; Sebab Maryam sudah bernazar tidak bercakap. Maryam telah diajar untuk buat begitu, iaitu jangan jawap apa-apa, cuma isyarat sahaja kepada Nabi Isa. Allah yang arahkan Maryam untuk menunjuk kepada Nabi Isa yang masih bayi itu. Sebab kalau dia nak jawap pun, dia tidak tahu nak jawap macam mana.

Kalau Allah tidak spesifik suruh tunjuk kepada bayi itu, Maryam pun sudah tahu yang bayi yang dilahirkannya itu adalah bayi yang ajaib. Maka, dia hanya tunjuk sahaja kepada Nabi Isa. Dia sudah agak sesuatu akan terjadi yang akan membersihkan namanya. Dia pun sudah lihat berbagai-bagai perkara ajaib yang telah berlaku kepada dirinya.

Ataupun, kalau kita terima pendapat bahawa Nabi Isa sudah mula berbicara dari mula lagi semasa beliau telah dilahirkan, maka yang memberitahu kepada Maryam adalah Nabi Isa sendiri. Nabi Isa suruh ibunya diam dan dia sendiri yang akan berbicara dengan kaum itu.

قَالُوا كَيْفَ نُكَلِّمُ مَن كَانَ فِي الْمَهْدِ صَبِيًّا

Mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak yang masih dalam buaian?”; Apabila Maryam isyarat begitu, mereka tidak dapat terima. Mereka ingat Maryam mempermain-mainkan mereka. Mereka mengharap Maryam yang jawap, tapi Maryam hanya tunjuk sahaja kepada anak yang masih bayi itu.

الْمَهْدِ bermaksud anak itu masih lagi dalam pelukan ibunya kerana masih lagi menyusu. Kalau normalnya, memang bayi yang sebegitu tidak tahu apa-apa. Masih lagi menyusu, bukan boleh mempertahankan dirinya pun.

————————————————————————————-

Ayat 30: Lihatlah apa terjadi apabila kaumnya berkata begitu kepada ibunya. Nabi Isa terus turun dari dukungan ibunya dan terus berjalan dan kemudian duduk antara dua sujud sambil berkata:

19:30
Transliteration

Qala innee AAabdu Allahi ataniyaalkitaba wajaAAalanee nabiyya

Sahih International

[Jesus] said, “Indeed, I am the servant of Allah. He has given me the Scripture and made me a prophet.

Malay

Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi.

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ

Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; ini menidakkan kata-kata orang Yahudi yang mengatakan ibunya berzina dan melahirkan anak luar nikah, anak haram. Tidaklah ibunya berzina tapi kelahirannya itu adalah tanda kebesaran Allah.

Dan juga menafikan kata-kata orang Kristian yang mengatakan beliau adalah ‘anak Tuhan’. Tidak sama sekali. Sebenarnya, dia adalah hamba Allah. Jadi, dalam ayat ini, menidakkan dua-dua tuduhan orang Yahudi dan Kristian. Jadi, kata pertama yang keluar dari mulut Nabi Isa adalah membesarkan Allah dan menidakkan fahaman karut Kristian yang mengatakan baginda adalah anak Allah. Baginda menegaskan dalam ayat ini bahawa baginda hanyalah ‘hamba Allah’.

Ada juga yang mengatakan apabila kaumnya menuduh ibunya, Nabi Isa yang sedang menyusu tetek ibunya mencabut mulutnya dari tetek ibunya dan bersandar di atas lambung kirinya dan mula berkata seperti dalam ayat ini.

Nabi Isa hanyalah seorang manusia biasa. Kuasa Allah lah yang menyebabkan baginda dilahirkan tanpa bapa. Bukan kerana baginda adalah ‘anak Allah’. Kelahiran ajaib baginda adalah atas kuasa Allah, bukan kuasa baginda sendiri.

آتَانِيَ الْكِتَابَ

Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil); Ada Mufassir yang kata baginda telah diberi terus dengan kitab Injil semasa masih bayi lagi dan ada yang kata selepas itu iaitu apabila dah dewasa. Yang kata baginda telah diberikan Injil semasa bayi lagi adalah kerana nahu yang digunakan dalam perkataan آتَانِيَ itu dalam past tense. Bermaksud, Allah telah beri Injil kepada baginda. Dan yang kata baginda akan diberikan itu adalah kerana mereka mengambilkira lenggok bahasa Quran. Kadang-kadang apabila Quran menggunakan past tense untuk perkara yang belum terjadi adalah untuk mengatakan bahawa ianya akan pasti terjadi. Sebagai contoh, Allah mengatakan kaum muslimin telah menang dalam Fath Makkah. Padahal ianya belum terjadi lagi. Itu untuk menunjukkan bahawa mereka pasti akan menang.

Atau, yang dimaksudkan baginda telah diberi itu adalah Kitab Taurat, iaitu Kitab waktu itu. Berbeza dengan Nabi Yahya, dimana Allah menyuruh Nabi Yahya memegang Kitab Taurat kuat-kuat. Bermaksud, Nabi Yahya kena belajar Kitab Taurat. Tapi Nabi Isa telah diberi terus dengan pemahaman Kitab Taurat. Kalau rabbi-rabbi tidak percaya, mereka boleh sahaja uji baginda. Dan memang Nabi Isa selalu berhujah dengan mereka tentang Kitab Taurat itu.

Kitab Taurat telah ada masa itu dan masih lagi digunakan. Ianya adalah termasuk dalam Perjanjian Lama yang ada sekarang ini, bukan semuanya. Ianya mengandungi hukum-hukum yang masih terpakai lagi waktu itu. Nabi Isa sendiri berkata bahawa tugasnya adalah menegakkan Taurat. Bukanlah Kitab Injil itu hendak mengganti Kitab Taurat. Taurat mengandungi hukum-hakam syariat yang masih lagi terpakai waktu itu.

Manakala injil mengandungi peringatan-peringatan dan perkara-perkara spiritual. Ianya adalah tambahan kepada Kitab Taurat yang telah ada. Injil yang dimaksudkan dalam ayat ini ada dalam sebahagian dari Perjanjian Baru yang ada sekarang. Tapi dah ditukar dan sudah caca merba oleh paderi mereka. Yang mula menukar adalah Paul.

Tugas baginda bukanlah hendak menukar syariat tapi meneruskan tugas Nabi dan rasul yang terdahulu.

وَجَعَلَنِي نَبِيًّا

dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi; Ada yang kata baginda telah dijadikan Nabi dari semasa kecil lagi dan ada yang kata apabila telah dewasa.

————————————————————————————–

Ayat 31:

19:31
Transliteration

WajaAAalanee mubarakan aynamakuntu waawsanee bissalati wazzakatima dumtu hayya

Sahih International

And He has made me blessed wherever I am and has enjoined upon me prayer and zakah as long as I remain alive

Malay

Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.

وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ

Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada

Diberikan berkat kepada baginda kerana baginda buat kerja dakwah. Maka kalau hendak berkat, hendaklah kita pun berdakwah juga – kerana kerja dakwah adalah kerja para Nabi. Hendaklah kita pun menyebarkan agama kepada orang. Barulah dapat berkat. Bukannya dengan ambil berkat dengan guru. Cium tangan guru, baju guru, peluk kaki guru dan sebagainya. Dan juga tidak boleh minta berkat dengan Nabi Muhammad sekali pun. Itu adalah perbuatan-perbuatan syirik – dilakukan oleh mereka yang sesat dan salah faham dengan agama. Banyak orang ada masalah dengan perkara berkat ini. Kerana mereka salah faham dan kerana mereka telah diajar oleh guru-guru yang salah faham juga. Guru-guru yang sesat memang suka kalau anak murid mereka memuliakan mereka kerana mereka dapat menguasai anak murid mereka dan mendapat imbuhan daripada mereka.

مُبَارَكًا diambil dari kata baraka. Makna baraka dari segi bahasa ianya bermaksud ianya sesuatu yang sentiasa diisi dan berkekalan. Maka keberkatan yang dimaksudkan adalah keberkatan yang berkekalan. Allah adalah punca segala berkat. مُبَارَكًا bermaksud sesuatu yang ‘amat amat berkat’. Kemana sahaja dia pergi, dia akan membawa berkat itu dan melimpahkan berkat itu. Nabi Isa menjadi tanda keberkatan Allah.

مُبَارَكًا bukan sahaja bermaksud diberkati, tapi ianya juga bermaksud punca untuk mendapat berkat. Apakah maksudnya? Kerana dia adalah Nabi dan rasul, bukan sahaja dia membawa risalah, tapi mereka juga hendaklah diikut oleh manusia. Inilah yang dinamakan Ittiba‘. Ianya mengingatkan manusia bahawa untuk mendapat berkat, maka hendaklah kita mengikut cara hidup para rasul. Allah adalah sumber berkat dan Nabi dan rasul adalah pintu berkat itu. Bukanlah maksud cara mendapat berkat dengan mereka itu seperti yang dilakukan oleh mereka yang sesat yang berdoa: ‘dengan berkat Nabi sekian sekian….” Itu adalah tawasul dan tawasul adalah perbuatan orang kafir. Yang dimaksudkan para Nabi adalah laluan untuk mendapatkan berkat itu adalah, kita kena ikut amalan dan cara hidup mereka. Kita kena ikut fahaman agama mereka. Bukan yang kita reka sendiri. Para Nabi telah diturunkan sebagai panduan ikutan untuk kita. Tak payah kita nak reka-reka ibadat dalam agama. Tak payah kita memandai kata sesuatu amal ibadat itu baik dan ianya adalah bidaah hasanah. Bukan kerja kita untuk mengatakan sesuatu itu baik dalam perkara ibadat, hanya kerana kita yang kata ianya baik. Hendaklah kita ingat, kalau ianya adalah perkara baik, tentu Nabi dah buat dah.

‘Dimana sahaja’ bermaksud: dalam setiap keadaan dan situasi, kita kena mengikut contoh Nabi. Tidak kira di mana kita berada. Bukan dalam hal ibadat sahaja tapi dalam semua keadaan kehidupan.

Kita tidak ketemu dalam sirah yang mengatakan Nabi Isa ada berhijrah jauh. Maka ini boleh bermaksud dari segi ‘masa’. Iaitu Nabi Isa telah diangkat ke langit dan akan turun semula. Dalam ayat ini telah diberi isyarat tentang hal itu. Iaitu walaupun Nabi Isa tidak berhijrah dalam dunia, tapi baginda telah naik ke langit.

Ulama ada juga menafsirkan maksud keberkatan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ di mana sahaja baginda berada. Bermakna, Nabi Isa menjalankan kerja dakwah dan memberi nasihat di mana sahaja baginda berada.

وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ

dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang

Menjaga solat adalah merangkumi jaga kebersihan, zahir dan batin. Najis zahir adalah pada pakaian dan tempat solat. Najis batin adalah syirik dalam hati. Hendaklah kita membersihkan syirik yang ada dalam hati kita. Dan hendaklah kita solat macam mana Nabi ajar. Jangan kita pula tambah mana-mana cara solat. Antaranya, jangan kita raup muka kita lepas solat kerana ianya tidak pernah diajar oleh Nabi. Tak perlu juga kita lafaz niat solat kerana itu juga tidak pernah diajar oleh Nabi. Dan macam-macam lagi perkara yang perlu kita pelajari tentang hal-hal solat. Ianya sudah ada dalam kitab-kitab hadis yang sohih. Janganlah kita hanya baca kitab-kitab fekah karangan manusia. Hendaklah kita belajar terus dari hadis.

Dari ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa ibadat solat bukan hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad sahaja tapi kepada umat-umat terdahulu juga. Kita tidak pasti bagaimanakah cara solat itu dijalankan dan berapakah waktu solat itu. Mungkin dengan cara dan syariat yang berlainan dengan kita sekarang – itu kita tidak tahu dan tidak perlu kita tahu. Yang pasti, mereka juga telah disuruh untuk solat. Banyak disebut tentang solat diarahkan kepada Nabi-Nabi yang lain. Maka jangan ingat hanya kita sahaja yang disuruh untuk solat.

أَوْصَانِي diambil dari kata wasiyyah atau wasiat yang kita biasa gunakan. Kadang-kadang kita beri ‘wasiat terakhir’ sebagai satu arahan akhir untuk diikuti. Ianya adalah satu penekanan dalam arahan atau nasihat untuk melakukan sesuatu. Makanya, ianya kena dilakukan kerana ianya adalah arahan yang kuat.

وَالزَّكَاةِ

dan memberi zakat
Boleh membawa maka Zakat wang seperti yang kita fahami sekarang ataupun menyucikan diri dari syirik kepada Allah. Jadi, ianya ada dua makna: zahir dan batin.

Oleh kerana ianya disebut selepas disebut tentang solat, maka ia juga boleh bermaksud kita membersihkan diri kita semasa solat. Bersih dari segi zahir dan batin. Kalau zahir, membersihkan badan, baju dan tempat solat kita. Dan makna batin itu bermaksud membersihkan niat kita supaya ikhlas dalam solat itu. Kita solat hanya solat kerana Allah sahaja, bukan sebab orang lain. Kadang-kadang kita solat hanya kerana ada orang yang kita malu dengan mereka, maka kita solat lah juga. Kalau nak tahu kita solat ikhlas atau tidak, lihatlah cara kita solat di hadapan orang dan kalau kita bersendirian. Kalau kita solat hebat di hadapan orang, tapi apabila kita bersendirian, kita buat lebih kurang sahaja, maka ada masalah dalam keikhlasan kita.

Dan kita membersihkan hati kita dari perkara-perkara lain dalam solat supaya kita khusyuk dalam solat. Selesaikan perkara-perkara yang boleh mengganggu kita dalam solat. Kalau kita rasa nak kencing, kita kencing dahulu. Kalau kita lapar, makan dahulu. Solatlah di tempat yang sunyi dan tidak ada gangguan. Jangan kita solat berdekatan dengan tv dan radio kerana ianya boleh mengganggu kita dalam solat. Matikan terus telefon bimbit kita, jangan vibrate sahaja. Sebab kalau vibrate, fikiran akan terbayang siapakah yang telefon kita waktu itu.

Jadi ada banyak makna yang kita boleh ambil dari satu perkataan sahaja. Itulah mukjizat dan kelebihan Quran. Kita boleh pakai kesemua makna yang ada. Bukan kita hanya perlu pilih satu sahaja.

مَا دُمْتُ حَيًّا

Selagi aku hidup

Kerana, apabila baginda diturunakan semula ke bumi, baginda masih lagi kena melakukan solat dan zakat.

Begitu pentingnya solat itu sampaikan selagi nyawa kita masih ada, kita kena solat. Kalau tak sihat pun kena solat. Kalau tak boleh berdiri, duduk. Kalau tak boleh duduk, baring. Paling kurang, kita solat dengan mata kita kalau langsung tidak boleh bergerak dah. Lihatlah bagaimana Nabi di hujung hayatnya. Walaupun baginda sudah lemah sangat sampaikan tak boleh berjalan sendiri, baginda telah dipapah oleh dua orang sahabat untuk ke masjid. Sampaikan kaki baginda diseret kerana baginda tinggi sikit dari orang lain.

Apabila Saidina Umar ditikam, dalam keadaan beliau sedang sakit tenat, beliau terdengar azan. Maka beliau terus mahu bergerak ke masjid untuk solat. Sampaikan orang yang disekelilingnya kehairanan. Dalam dia kesakitan pun dia nak juga pergi ke masjid untuk solat. Kerana dia teringat sabda Nabi: tidak ada agama bagi orang yang tidak solat.

Malangnya orang kita ambil lewa sahaja hal solat. Mereka solat mahu tak mahu. Kalau solat pun mereka tidak tenang, tidak khusyuk – fikiran mereka menerawang entah ke mana. Kalau kita sedang menonton tv, kita solat sewaktu iklan keluar. Jadi solat kita tergesa-gesa kerana kita tidak mahu ketinggalan rancangan yang kita sedang tengok itu.

Kalau kita sakit, kita rasa macam kita sudah ada lesen untuk tidak solat. Kita ambil mudah dengan solat. Kita ingat kita boleh ganti solat itu. Tapi berapa ramai yang sakit, tapi terus meninggal dan tidak sempat mengganti solat yang mereka tinggalkan. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang sebegitu.

————————————————————————————–

Ayat 32:

19:32
Transliteration

Wabarran biwalidatee walam yajAAalneejabbaran shaqiyya

Sahih International

And [made me] dutiful to my mother, and He has not made me a wretched tyrant.

Malay

” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.

وَبَرًّا بِوَالِدَتِي

Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku; hanya disebut ‘ibunya’ sahaja dalam ayat ini kerana baginda tidak ada bapa. Ayat ini penting kerana dalam tulisan orang Kristian, mereka ada kata bagaimana Nabi Isa a.s. telah bercakap kurang ajar dengan ibunya. Maka, Allah telah menidakkan perkara ini dengan mengatakan bahawa Nabi Isa berlaku taat dan berbuat baik kepada ibunya.

Makna بَرًّا telah diperkatakan sebelum ini apabila memperkatakan tentang Nabi Yahya. Maknanya, Nabi Isa telah diarahkan untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Kita pun kena berbuat baik kepada ibubapa kita. Selalulah hubungi mereka. Gembirakan hati mereka. Berbuat baiklah dengan mereka. Apabila ibubapa kita senang dengan kita, kita akan rasa tenang.

Dalam Quran memang selalu disebut tentang ketaatan kepada ibubapa selepas disebut ketaatan kepada Allah. Ini menunjukkan kepentingan ibubapa.

وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا

dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur; tidak ganas. Tidak menindas orang lain.

Juga bermaksud tidak sombong dalam beribadat kepada Allah.

Sombong itu adalah sifat Allah, maka Allah tidak suka makhlukNya sombong.

شَقِيًّا

Celaka; nasib malang. Ini bermaksud, apabila baginda dibangkitkan nanti, baginda akan mendapat kebaikan yang banyak dari Allah. Tidaklah seperti yang dikatakan oleh orang Yahudi yang kata Nabi Isa sesat dan telah melakukan kesalahan. Pada mereka, Nabi Isa akan dibangkitkan dengan nasib malang. Ayat ini menidakkan kata-kata mereka itu.

Perkataan ini juga memberi isyarat kepada kita, kalau kita tidak berbuat baik dengan ibubapa kita, kurang ajar kepada mereka, kita akan bernasib malang.

————————————————————————————

Ayat 33:

19:33
Transliteration

Wassalamu AAalayya yawmawulidtu wayawma amootu wayawma obAAathu hayya

Sahih International

And peace is on me the day I was born and the day I will die and the day I am raised alive.”

Malay

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)”.

وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan; baginda dikatakan sejahtera pada hari kelahirannya kerana dia dilahirkan luarbiasa tanpa ibubapa.

السَّلَامُ boleh jadi bermaksud ‘penghormatan’. Seperti para malaikat memberi salam kepada penghuni syurga yang masuk ke syurga – sebagai penghormatan kepada penghuni syurga. Atau kalau kita jumpa orang lain, kita akan beri salam kepada mereka sebagai penghormatan dan mendoakan kesejahteraan mereka.

Ia juga boleh bermaksud kesejahteraan kalau kita ambil dari makna literal ‘salam’ itu. Bermakna, seperti juga apabila kita memberi salam kepada orang lain, sebenarnya kita mendoakan kesejahteraan kepada mereka, begitu juga Nabi Isa berdoa kepada Allah supaya dia diberi kesejahteraan.

Ayat ini adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan bahawa ada elemen tidak baik dalam kelahirannya. Kerana ada yang kata baginda adalah anak haram.

Tapi lihatlah penggunaan perkataan وَالسَّلَامُ dalam ayat ini. Kalau dalam ayat ke 15, perkataan وَسَلَامٌ digunakan tanpa alif lam. Tapi dalam ayat 33, ada alif lam. Apabila سَلَامٌ dalam bentuk umum, ianya boleh dipakai dalam banyak keadaan – maknanya berbagai-bagai cara kesejahteraan diberikan kepada Nabi Yahya. Tapi apabila digunakan السَّلَامُ, ada makna tersendiri yang dimaksudkan. Kenapakah kepada Nabi Isa, digunakan السَّلَامُ? Apabila Allah menggunakan perkataan سَلَامٌ tanpa alif lam untuk Nabi Yahya, ianya adalah salam dari Allah. Tapi apabila السَّلَامُ digunakan dalam ayat ini, ianya adalah doa dari Nabi Isa sendiri, bukan dari Allah – maka ianya ada alif lam.

وَيَوْمَ أَمُوتُ

dan pada hari aku mati; baginda telah diangkat ke langit, dan baginda akan turun ke bumi semula untuk bunuh Dajjal dan memerintah, kemudian baginda akan mati dengan cara yang baik. Dia akan mati dalam sejahtera. Maknanya, sekarang Nabi Isa tidak mati lagi.

Ini pula adalah tempelak kepada mereka yang mengatakan baginda telah mati di salib. Kerana mati disalib bukanlah satu kematian yang mulia. Ayat ini mengatakan bahawa baginda akan mati dalam keadaan sejahtera.

Ada dua dimensi fahaman salah dalam kematian Nabi Isa ini. Di satu pihak, ada puak seperti Yahudi yang kata baginda mati disalib kerana baginda adalah orang yang jahat, yang baginda lahir di luar perkahwinan.

Di satu pihak, seperti Kristian, mengatakan bahawa kematian baginda disalib adalah untuk menebus dosa seluruh manusia.

Tidak sama sekali. Ayat ini mengatakan bahawa baginda tidak akan meninggalkan dunia ini dengan cara begitu.

وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا

serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula; dibangkitkan sebagai Nabi dan Rasul. Iaitu baginda akan dibangkitkan dalam kedudukan terhormat di hari Kiamat nanti. Menidakkan kata-kata mereka yang mengatakan bahawa Nabi Isa berdosa dan sesat.

Ada satu riwayat yang menceritakan tentang seorang wanita yang melihat Nabi Isa yang telah melakukan mukjizat menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan orang yang buta dan yang berpenyakit kusta. Maka, wanita itu telah memuji ibu baginda yang telah melahirkan dan memberi makan kepada baginda. Maka, Nabi Isa membetulkan kata-kata wanita itu. Nabi Isa memuji Allah yang telah mentaqdirkan baginda lahir dan telah memberikan mukjizat-mukjizat itu. Wanita itu memuji manusia, tapi Nabi Isa telah memperbetulkan wanita itu dengan memuji Allah. Allah lah yang sebenarnya layak dipuji.

Ayat ini juga sebagai pernyataan dari Nabi Isa bahawa baginda juga adalah hamba Allah juga seperti makhluk-makhluk yang lain. Baginda dihidupkan, dimatikan dan akan dibangkitkan kembali. Makhluk-makhluk lain pun macam itu juga.

————————————————————————————-

Ayat 34:

19:34
Transliteration

Thalika AAeesa ibnu maryamaqawla alhaqqi allathee feehi yamtaroon

Sahih International

That is Jesus, the son of Mary – the word of truth about which they are in dispute.

Malay

Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

ذَٰلِكَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ

Itulah Isa Ibni Maryam;

ذَٰلِكَ adalah penunjuk kepada perkara yang jauh. Kerana yang diceritakan dalam Quran ini tentang Nabi Isa adalah jauh dari apa yang mereka katakan tentang baginda. Sekarang Allah sedang menceritakan cerita yang sebenar tentang Nabi Isa.

ابْنُ مَرْيَمَ Hanya Nabi Isa sahaja yang berbinkan Maryam, dengan maknya. Hanya dia sahaja dalam dunia ini. Sebab dia tidak ada bapa. Dan ingatlah bahawa kita di hari akhirat nanti akan dipanggil dengan nama kita dan nama ayah kita. Tapi orang yang sesat yang mengajar anak murid mereka memanggil seseorang dengan nama mak dalam ibadat mereka. Contohnya, apabila dalam talqin mereka akan panggil seseorang itu dengan nama mak. Atau apabila nak berubat, mereka hendak tahu nama mak orang yang hendak diubat itu.

قَوْلَ الْحَقِّ

Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya; kerana ianya adalah kata-kata Tuhan. Allah sendiri yang beritahu. Tidak boleh kita syak dengan kalam Allah.

Juga boleh bermaksud, apa yang dikatakan oleh Nabi Isa itu adalah kata-kata yang benar.

الَّذِي فِيهِ يَمْتَرُونَ

yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya; mereka bukan hanya ragu-ragu tapi menyebabkan orang lain pun ragu-ragu dengannya. Mereka akan beri hujah lemah untuk bagi orang lain ragu. Tapi hujah mereka lemah sahaja.

Ianya digunakan dalam bentuk present tense. Maknanya mereka masih melakukannya. Apakah yang mereka ragukan? Orang Yahudi tak percaya dengan kenabian Nabi Isa dan kelahirannya yang luar biasa. Mereka kata Nabi Isa adalah anak haram. Tapi orang Kristian pun ada masalah juga. Orang Kristian melebih-lebih pula dalam mereka memandang Nabi Isa. Mereka sampai mengangkat kedudukan Nabi Isa melebihi kedudukan manusia. Mereka kata baginda adalah anak Tuhan. Mereka kata baginda adalah salah satu dari tiga elemen Tuhan – konsep triniti. Mereka pun tak tahu macam mana nak jelaskan konsep triniti itu, maka mereka sentiasa berselisih tentangnya. Berapa banyak orang Krisitian keluar dari agama itu kerana mereka tidak dapat dijelaskan dengan konsep triniti yang tidak masuk akal itu. Akal yang waras tentunya tidak dapat terima apa yang diajar oleh guru agama mereka.

Nota: lihatlah bagaimana hujung ayat ini lain dari hujung ayat-ayat yang sebelum ini. Ayat-ayat sebelum ini berakhir dengan ‘ya’, ‘ya’. Tentunya ini ada makna yang hendak disampaikan. Ini akan diterangkan selepas ini nanti. Pertamanya, ianya untuk mengejutkan kita.

——————————————————————————————

Ayat 35:

19:35
Transliteration

Ma kana lillahi anyattakhitha min waladin subhanahu itha qadaamran fa-innama yaqoolu lahu kun fayakoon

Sahih International

It is not [befitting] for Allah to take a son; exalted is He! When He decrees an affair, He only says to it, “Be,” and it is.

Malay

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia.

مَا كَانَ لِلَّهِ أَنْ يَتَّخِذَ مِنْ وَلَدٍ
ۖ

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak.

Allah tidak perlu kepada anak sendiri atau anak angkat. Anak angkat yang dimaksudkan adalah perantaraan, iaitu tawasul. Manusia memandang bahawa Allah mempunyai anak angkat yang Allah sayang kepadanya, jadi mereka menggunakan anak-anak angkat itu sebagai perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka rasa kalau mereka puja anak-anak angkat itu, dan mereka berdoa kepada mereka, mereka akan menyampaikan doa-doa mereka kepada Allah dan mereka akan dimakbulkan. Itu adalah salah sama sekali. Memanglah kita tidak menggunakan perkataan ‘anak angkat’ dalam kita memanggil perantara-perantara itu. Kita akan kata mereka adalah orang-orang yang ‘dekat’ dengan Allah. Dengan bahasa lain, mereka adalah ‘anak angkat’ Allah. Kerana selalunya anak-anak angkat ini adalah orang yang rapat dengan bapa angkat mereka. Kalau kita tahu anak angkat Perdana Menteri, itu bermaksud orang itu amat rapat dengan PM. Kita pun bodeklah mereka. Adakah Allah pun macam itu juga? Tentulah tidak. Kerajaan Allah tidak sama dengan kerajaan manusia. Tapi begitulah pemahaman orang-orang yang sesat itu.

Dari salah faham inilah timbulnya doa-doa tawasul yang diamalkan oleh orang-orang kita. Mereka akan menggunakan nama-nama para wali, para Nabi dan para malaikat untuk menyampaikan doa mereka. Kalau orang Krisitan sesat kerana menggunakan Nabi Isa sebagai perantaraan mereka kepada Allah, maka kalau orang Islam pun menggunakan perataraan untuk menyampaikan doa kepada Allah, maka orang Islam itu adalah orang Islam yang sesat. Adakah Allah berat sebelah? Kalau agama lain buat tawasul, sesat, tapi kalau orang Islam buat tawasul tak sesat pula? Ini adalah perkara yang penting yang kita kena perhatikan. Banyak dibincangkan dalam blog ini berkenaan tawasul. Hendaklah kita tinggalkan kalau kita antara orang yang sedang buat perkara ini.

Apabila ada مِنْ dalam ayat ini, bermaksud ‘sikit pun’ tak sesuai untuk kita kata Allah ada mengambil anak. Jangan kata besar, sikit pun tidak.

سُبْحَانَهُ

Maha Sucilah Ia; Allah maha suci dari perlu kepada anak angkat.

Subhan dari segi bahasa bermaksud berenang dengan kepala atas air. Dalam bahasa Arab, ada kata untuk menceritakan berenang dalam air, dan ada berenang kepala atas air. Subhan bermaksud berenang yang kepala di atas air. Ini bermaksud, Allah lebih tinggi dari apa yang mereka katakan itu.

إِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Apabila menetapkan sesuatu perkara, Apabila Allah sudah buat keputusan.

فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

maka hanyalah Ia berfirman kepadanya: “Jadilah”, lalu menjadilah ia; Tidak perlu Allah bersusah payah kalau Allah berkehendak. Tapi tidaklah perlu Allah kata ‘kun’ setiap kali. Ayat ini adalah isyarat kepada kehendak Allah yang cepat terjadi. Tidak perlu ada usaha apa-apa pada Allah. Kalau Dia hendak sahaja, ianya terus terjadi.

Apakah maksud ayat ini dalam konteks Nabi Isa? Kalau kita ada rasa takjub dengan kejadian Nabi Isa tanpa bapa, boleh menyembuhkan segala macam, ketahuilah bahawa ianya bukan dari kuasa dan kehebatan Nabi Isa sendiri, tapi Allah. Senang sahaja untuk Allah buat. Sama sahaja bagi Allah untuk jadikan Nabi Isa itu lahir tanpa bapa dan juga pokok yang kita biasa lihat itu. Dua-dua senang pada Allah.

————————————————————————————–

Ayat 36: Ini berkemungkinan besar adalah dari kata-kata Nabi Isa. Ianya adalah pati ajaran Islam. Atau ianya adalah perkataan yang Allah suruh Nabi Muhammad cakap. Bermakna ada iltifad dalam ayat ini. Ilitifad bermaksud perubahan ayat.

19:36
Transliteration

Wa-inna Allaha rabbee warabbukum faAAbudoohuhatha siratun mustaqeem

Sahih International

[Jesus said], “And indeed, Allah is my Lord and your Lord, so worship Him. That is a straight path.”

Malay

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia inilah jalan yang betul – lurus “.

وَإِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ

Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu
Rabb bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ sahaja. Ia bermaksud Tuhan yang mencipta, memiliki, memelihara, mentarbiyah dan banyak lagi. Allah bukan hanya menjadikan kita tapi Dia terus menjaga dan memelihara kita.

Dialah yang beri kita makan, beri tempat teduh dan segala keperluan hidup manusia. Kalau kita tangkap burung dan letak dalam sarang, tentulah kita kena beri makan dan minum kepada burung itu. Kalau tidak, burung itu akan mati. Itu baru burung yang kita hanya miliki sahaja, bukan kita yang jadikan dia. Maknanya, Allah bukan cipta sahaja, tapi Dia akan tadbir segenap perjalanan hidup kita. Dia akan memberikan apa yang kita perlukan. Semua yang Dia buat dah cantik dah. Kadang-kadang kita tak faham kerana akal kita tak sampai ketahap untuk memahami. Kadang-kadang kita macam tak puas hati kalau ada taqdir bukan macam yang kita hendak. Kadang-kadang kita hairan kenapa Allah berikan bala kepada sesuatu kaum atau sesuatu tempat. Janganlah kita mengata tidak baik tentang Allah. Akal kita yang tak sampai untuk memahami tindakan Allah. Apa yang Dia buat sudah sempurna dan kena pada tempatnya. Yang kita perlu buat adalah redha sahaja.

Apabila Allah itu Rabb kita, kita adalah hambaNya. Inilah pati agama Islam. Iaitu menerima Allah sebagai Tuhan dan kita sebagai hamba. Sebagai hamba, kita terima sahaja apa takdir Allah berikan kepada kita. Ingatlah bahawa semua yang kita ada adalah dari Allah. Apabila kita ada rasa terhutang dengan Allah, maka senang untuk kita ibadat kepada Allah.

فَاعْبُدُوهُ

maka sembahlah kamu akan Dia; Oleh kerana Dia Allah yang ada sifat Tuhan, maka hendaklah kita menyembahNya sahaja. Jangan kita sembah yang selain Allah. Puja dan ibadat hanya kepadaNya sahaja. Terus berdoa kepada Allah. Kerana Allah Maha Mendengar doa hambaNya. Jangan buat perantaraan dalam doa seperti Hindu, Kristian, Buddha buat. Jadi jangan minta tok-tok guru, imam-imam, ustaz-ustaz mendoakan untuk kita. Tapi hendaklah kita berdoa terus kepada Allah. Doa sendiri-sendiri sahaja. Jangan kita ada syak wasangka yang Allah tidak mendengar doa kita kalau kita doa sendiri, sampai kita perlukan perantaraan seperti guru, ustaz dan lain-lain. Kita bukan seperti agama lain yang memerlukan paderi, sami, paisam dan apa lagi pangkat dalam agama mereka yang mereka kata diperlukan untuk menyampaikan hajat kepada tuhan mereka. Dalam Islam, kita diajar untuk doa terus kepada Allah. Yang mengajar supaya jumpa dengan guru, ustaz dan lain-lain itu adalah mereka yang  mahukan kedudukan, mahukan imbuhan dari segi pangkat dan harta sahaja. Mereka menjadikan hal-hal doa dan permintaan ini sebagai punca pendapatan mereka. Yang pergi kepada mereka adalah mereka yang jahil sahaja, yang tidak belajar agama. Dan mereka jadi begitu kerana mereka lalai dalam cara-cara berdoa, mereka lalai dalam mempelajari agama.

فَاعْبُدُوهُ bukan hanya maksud sembah tapi ‘menghambakan diri’. Ada yang sembah tapi tak rasa diri mereka sebagai hamba. Jadi, mereka ingat, mereka dah buat ibadat, dah cukup dah. Mereka tak ikut keseluruhan ajaran dari Allah. Mereka buat ibadat, tapi mereka buat juga perkara-perkara yang dilarang Allah. Kerana mereka tak terima diri mereka sebagai hamba. Kita kena ikut keseluruhan arahan dari Allah. Kenapa kita ibadat? Kita ibadat kepada Allah kerana ianya adalah arahan Allah. Kenapa kita tinggalkan perkara-perkara maksiat? Kerana ianya adalah arahan dari Allah. Apabila kita dah terima diri kita sebagai hamba kepada Allah, maka senang untuk kita terima arahan dari Allah.

هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ

inilah jalan yang betul – lurus “; Inilah tafsir ayat Quran dalam Fatihah yang kita selalu baca setiap hari. Iaitu اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ yang bermakna Tunjukilah kami jalan yang lurus. Maka, tafsir bagi ayat fatihah itu terletak dalam ayat ini. Iaitu kita hendaklah hanya sembah Allah sahaja. Kita telah minta kepada Allah supaya ditunjukkan kepada kita jalan yang lurus. Maka, ayat ini mengajar kita bahawa jalan yang lurus adalah menghambakan diri kepada Allah semata-mata.

Perkataan صِرَاطٌ tidak ada jamak/plural dari segi nahu. Kerana jalan yang lurus hanya satu sahaja.

————————————————————————————–

Ayat 37:

19:37

Transliteration

Fakhtalafa al-ahzabumin baynihim fawaylun lillatheena kafaroo min mashhadiyawmin AAatheem

Sahih International

Then the factions differed [concerning Jesus] from among them, so woe to those who disbelieved – from the scene of a tremendous Day.

Malay

Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.

فَاخْتَلَفَ الْأَحْزَابُ مِنْ بَيْنِهِمْ

Kemudian, golongan-golongan itu berselisihan sesama sendiri; satu puak kata Nabi Isa itu adalah anak Tuhan, tapi ada yang kata tidak. Sampai sekarang, masih ada lagi golongan Kristian yang tidak sembah Nabi Isa. Kristian pun ada mazhab-mazhab mereka. Kalau kita lihat dalam gereja mereka, ada yang tidak meletakkan patung Jesus – mereka cuma ada salib sahaja. Tapi walaupun mereka tidak ada patung, tapi mereka masih juga kata Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Maka, mereka pun syirik juga. Dan ada juga yang kita tahu golongan Kristian Ortodox yang tidak menerima Nabi Isa sebagai anak Tuhan dan mereka itu adalah golongan yang minoriti.

Banyaklah pandangan berbeza tentang Nabi Isa. Mereka berselisih antara mereka. Allah beritahu dalam Quran kedudukan yang sebenarnya. Maka, hendaklah kita memegang apa yang Allah telah sampaikan kepada kita. Janganlah kita antara orang yang berselisih.

الْأَحْزَابُ bermaksud kumpulan-kumpulan yang mempunyai pandangan yang sama. Dan mereka adalah orang yang pegang kuat fahaman mereka itu. Kuat sampaikan tidak mahu berganjak dengan mudah apa yang mereka telah pegang itu. Mereka amat serius dalam pegangan mereka itu.

Bani Israil telah berpecah kepada empat kelompok selepas Nabi Isa diangkat, inilah pendapat dan pegangan mereka masing-masing:

  1. Dia adalah Allah, yang turun ke mukabumi. Dia hidupkan orang mati dan ia mematikan orang yang hidup. Kemudian dia naik ke langit. Kelompok ini adalah kelompok Ya’qubiyyah.
  2. Dia anak Allah. Ini adalah kelompok Nasthuriyyah.
  3. Dia dalah tiga dalam satu (triniti). Mereka ini adalah para Israiliyyat, raja-raja kaum Nasrani. Inilah jugapegangan kebanyakan orang Kristian sekarang.
  4. Dia adalah hamba Allah, RasulNya, ruhNya dan kalimatNya. Mereka inilah golongan Muslim.

Setiap golongan ini ada pengikutnya masing-masing sehingga mereka salingmemerangai dan berusaha menindas kaum Muslimin.

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ كَفَرُوا

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu,

Kesian kepada mereka. Itulah lebih kurang maksud فَوَيْلٌ itu. Mereka akan mendapat kecelakaan apabila di Mahsyar nanti.

مِنْ مَشْهَدِ يَوْمٍ عَظِيمٍ

dari apa yang disaksikan pada hari yang besar (huru-haranya); Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat dan Padang Mahsyar.

Mereka akan mendapat kecelakaan yang besar pada hari itu. Mereka akan menyaksikan sendiri kebenaran pada hari itu. Nabi-Nabi pun termasuk Nabi Isa sendiri akan jadi saksi atas mereka. Bukan saksi bagi pihak mereka tapi menenentang mereka. Kerana pemahaman mereka tentang siapakah Nabi Isa yang salah.

Walaupun mereka telah melakukan perkara yang syirik dan mengatakan Allah mengambil anak, tapi Allah tidak beri azab kepada mereka di dunia ini. Seperti dalam ayat ini, Allah hanya akan mengazab mereka pada hari Kiamat nanti. Dalam Bukhari dan Muslim ada disebut satu hadis:

Tidak ada yang lebih sabar dalam mendengar keburukan daripada Allah. Mereka menjadikan anak untukNya, akan tetapi Dia tetap memberi rezeki dan mensejahterakan mereka.

—————————————————————————————

Ayat 38:

19:38

Transliteration

AsmiAA bihim waabsir yawma ya/toonanalakini aththalimoona alyawmafee dalalin mubeen

Sahih International

How [clearly] they will hear and see the Day they come to Us, but the wrongdoers today are in clear error.

Malay

Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang kafir itu semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan yang nyata

 

أَسْمِعْ بِهِمْ وَأَبْصِرْ

Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka (yang kafir itu); Semasa di akhirat kelak, mereka akan dapat mendengar dengan jelas suasana Hari Kiamat dan keadaan di Mahsyar nanti. Mereka akan lihat sendiri neraka menggelegak nanti. Neraka akan ditarik dibawa ke hadapan semua orang di Mahsyar nanti. Mereka akan dengar dan melihat dengan jelas. Semua yang diajar dan diberitahu kepada mereka akan dinampakkan dengan jelas sangat pada hari itu. Apa yang mereka dustakan mereka akan lihat sendiri.

Perkataan أَسْمِعْ dan وَأَبْصِرْ adalah untuk menggambarkan ketakjuban. Takjub dengan kebodohan orang orang kafir. Sekarang di akhirat baru mereka dengar dan lihat dengan jelas. Tapi bagaimana semasa mereka di dunia?

Untuk mendapat petunjuk di jalan, kita memerlukan pendengaran dan penglihatan. Apabila seseorang menunjukkan jalan kepada kita, dia akan beritahu kita dan dia akan tunjuk jalan itu dengan tangannya. Barulah kita tahu mana nak ikut. Begitu juga dengan petunjuk agama. Ianya juga memerlukan pendengaran dan penglihatan.

يَوْمَ يَأْتُونَنَا

semasa mereka datang mengadap Kami pada hari akhirat; يَأْتُونَنَا adalah perkataan dalam present tense untuk kita bayangkan macam kita ada di sana. Inilah yang disebut juga dalam Sajdah:12

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.

Allah mengejek mereka: sekarang kamu boleh melihat dengan jelas, boleh mendengar dengan jelas… bagaimana dulu semasa di dunia? Dulu di dunia kamu semua tak dengar.

Tidaklah berguna lagi kalau hanya di akhirat sahaja baru mendengar dan melihat. Kalau mereka nampak dan dengar semasa di dunia, alangkah baiknya. Iaitu melihat dan mendengar hujah-hujah yang diberikan oleh nas-nas dan pendakwah-pendakwah yang membawa nas Quran dan Sunnah.

لَٰكِنِ الظَّالِمُونَ الْيَوْمَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syirik) pada masa di dunia, berada dalam kesesatan yang nyata

Apabila digunakan perkataan فِي dalam ayat ini bermaksud mereka tenggelam bergelumang dalam kesesatan sampaikan meraka tak nampak kebenaran. Mereka tidak boleh nampak langsung kebenaran lagi dah. Contohnya kalau seorang berada dalam tong tahi dah lama dah, mereka pun tak tahu bahawa mereka berada dalam sesuatu yang jelek. Mereka ingat mereka normal sahaja. Mereka ingat pandangan mereka pandangan yang dah benar dah. Padahal apa yang mereka pegang itu adalah salah. Mereka macam katak bawah tempurung. Macam katak yang ingat dalam tempurung itulah dunia, padahal dunia besar lagi dari apa yang katak itu sangkakan.

===========================================================

Lompat ke ayat yang seterusnya

Lompat ke awal surah

http://www.youtube.com/playlist?list=PL9hSoDmC1RkIJs_wN1volOavIcKgw1x0t

ref: UR, IK, NJ, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 019: Maryam. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s