Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 11

Pengenalan:

Sudah menjadi lumrah alam, manusia mudah terkesan dengan perkara-perkara ajaib. Kalau mereka lihat benda-benda yang pelik, mereka mulalah terkesan dan mula fikir macam-macam. Kadang-kadang oleh kerana terkesan, mereka memuja makhluk-makhluk yang nampak macam ada kuasa ghaib. Seperti wali-wali dan malaikat-malaikat. Termasuk juga kalau mereka lihat benda-benda yang pelik seperti busut besar, pokok yang pelik rupanya dan sebagainya. Ada yang mereka jadikan sebagai tempat minta nombor ekor lah, minta tolong di situ lah dan sebagainya lagi. Itu tidak boleh kerana mereka juga adalah makhluk, bukan Tuhan. Mereka juga bukan perantaraan bagi Tuhan. Sebab ada juga yang bagi hujah, mereka bukan minta kepada entiti-entiti itu, tapi mereka minta kepada Allah, tapi melalui benda-benda itu atau makhluk-makhluk itu. Ini adalah perkara tauhid, jadi kena faham betul-betul. Selepas ini, hanya minta kepada Allah sahaja secara terus sahaja. Jangan nak guna perantaraan-perantaraan lagi dah.

Salah satu perkara ajaib yang Allah ceritakan dalam Quran adalah tentang kisah Nabi Zakaria. Surah ini ada menceritakan tentang kekeliruan manusia tentang Nabi Zakaria. Agama sebelum Islam datang ada mengatakan Nabi Zakaria boleh ikhtiar untuk dapat anak, padahal Nabi Zakaria dapat anak kerana doa baginda kepada Allah. Bukannya kerana baginda ada kuasa lain dari manusia lain yang boleh menyebabkan baginda dapat anak. Kita akan belajar tentang bagaimana cara Nabi Zakaria berdoa kepada dalam surah ini nanti. Dan doa itu adalah sebagai satu tips kepada kita untuk berdoa kepada Allah.

Ramai dari kita berusaha untuk dapatkan anak. Ada yang senang dapat anak dan ada yang dah bertahun-tahun kahwin, masih tidak dikurniakan anak oleh Allah. Ada pula yang kata untuk dapat anak, kena baca surah Maryam. Padahal, Maryam tidak berdoa untuk dapat anak pun – anak itu diberi oleh Allah. Itu adalah satu kekeliruan dalam masyarakat kita dan yang sedihnya, ianya diajar oleh guru-guru agama di Malaysia. Mereka mengajar manusia yang jahil untuk hanya menjadikan ayat-ayat Quran sebagai ‘azimat’ sahaja. Baca berkali-kali tanpa memahami apakah maksud dan pengajaran dalamnya. Kalau kita setakat membaca sahaja, kita tidak ada bezanya dengan Kaum Yahudi yang kita pun tahu mereka sesat. Mereka itu membaca dan menghafal kitab Taurat, tapi mereka tidak mengambil pengajaran dari kitab Taurat itu. Sama sahaja dengan kebanyakan masyarakat kita. Ramai orang Islam dalam masyarakat kita yang baca Quran hari-hari pun, hafal pun ada, tapi mereka tak faham apa yang mereka baca itu. Yang sebenarnya, dalam surah Maryam ini ada doa Nabi Zakaria untuk mendapatkan anak. Ianya adalah kisah tentang Nabi Zakaria tapi diletakkan dalam surah Maryam.

Surah ini diturunkan hampir dengan masa sebelum Hijrah pertama yang dijalankan ke Habsyah. Dari sirah, kita dapat tahu bahawa pada tahun 4 kenabian, Nabi telah diarahkan untuk berdakwah secara terbuka. Apabila Nabi berdakwah secara terbuka, musyrikun Mekah tidak suka, maka para sahabat yang telah masuk Islam telah ditindas dengan teruk sekali. Orang-orang Muslim waktu itu adalah terdiri dari orang-orang yang lemah dan kelas bawahan pada mata orang kafir. Mereka tidak ada perlindungan seperti orang-orang yang lain. Dalam adat waktu itu, selalunya perlindungan diberikan oleh kabilah masing-masing tapi mereka adalah orang yang miskin dan lemah. Mereka tidak ada ‘payung’ yang dapat menyelamatkan mereka. Mereka terasa amat tertekan dengan penindasan yang mereka terima. Mereka tidak tahan sampaikan mereka datang bertemu dengan Nabi menceritakan keadaan mereka. Mereka mengadu tentang penindasan yang mereka terima. Pada mulanya, Nabi menyuruh mereka bersabar dengan nasib mereka kerana umat yang terdahulu ada yang lagi teruk terima azab dari orang kafir.

Kemudian Nabi telah mendapat wahyu untuk menyuruh mereka untuk berhijrah ke Habshah. Kerana raja Habasyah waktu itu adalah raja yang adil. Raja itu adalah raja yang beragama Kristian yang alim. Dalam riwayat, ada yang mengatakan bahawa yang pergi berhijrah itu adalah seramai 8 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Apabila Musyrikin Mekah mendapat tahu tentang penghijrahan itu, mereka tidak puas hati dan mereka telah cuba untuk kejar orang Islam itu tapi tak dapat. Walaupun begitu, mereka telah menghantar satu delegasi untuk pergi ke Habsyah. Tujuan delegasi itu adalah untuk membawa kembali mereka yang telah pergi ke Habsyah itu.

Delegasi itu diketuai oleh Amru al As. Waktu itu Amru al As belum lagi masuk Islam. Mereka akhirnya telah berjaya untuk bertemu dengan raja selepas mereka berbaik-baik dengan para pendita di Habsyah dengan memberi hadiah. Mereka mengatakan bahawa orang Islam yang sedang bermastautin di Habsyah itu adalah pelarian dari Mekah dan mereka mahu supaya mereka itu dikembalikan. Raja kata beliau tidak boleh beri mereka yang mencari perlindungan kepada orang Mekah begitu sahaja. Maka, Raja telah bertanya kepada orang Islam tentang keadaan sebenarnya. Dan para sahabat telah menjelaskan bahawa mereka itu mencari perlindungan di Habsyah dan mereka hanya mahu mengamalkan ugama mereka dengan aman.

Maka, Raja telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan mereka dipulangkan. Tapi delegasi Mekah telah pergi berjumpa dengan Raja sekali lagi pada esoknya dan mereka mengatakan bahawa mereka yang lari itu telah meninggalkan agama asal mereka. Dan mereka sedang mengamalkan agama yang baru yang sesat, kata delegasi itu. Mereka juga menentang agama yang lain dari mereka, sambungnya lagi. Dan mungkin mereka pun tidak menerima ajaran Kristian dan mengata tidak baik tentang Nabi Isa. Mereka telah cuba meracuni Raja Habsyah. Raja terasa sedikit kerana dia adalah orang Kristian yang taat. Maka Raja telah memanggil orang Islam dan bertanyakan mereka tentang pegangan mereka tentang Nabi Isa. Jaafar Abu Talib sebagai ketua orang Islam waktu itu telah menjawap bagi pihak sahabat yang lain. Mereka telah bermesyuarat sebelum itu dan mereka sepakat bahawa jikalau Raja bertanyakan tentang Nabi Isa, mereka akan bercakap dengan benar dan tidak akan menyembunyikan apa-apa.

Maka Jaafar mula membacakan surah Maryam. Selepas beberapa ayat, Raja suruh mereka berhenti membaca kerana dia tidak tahan kerana terkesan dengan apa yang disebut dalam Quran dan beliau menangis dan mengatakan ianya adalah cerita yang menyayatkan hati dan benar belaka. Maka raja telah menyuruh musyrikin Mekah pulang dan membenarkan orang Islam tinggal di Habsyah.

Kejadian itu berlaku dalam lebih kurang tahun kelima Kenabian. Maka surah Maryam mungkin diturunkan pada hujung tahun keempat Kenabian. Surah ini diberikan sebagai ‘buah tangan’ kepada mereka yang akan berhijrah ke Habsyah kerana mereka akan berhadapan dengan orang Kristian. Allah menurunkan surah ini pada masa yang diperlukan oleh mereka untuk mereka berhadapan dengan orang Kristian.

Surah ini adalah kesinambungan dari surah sebelum ini, Surah Kahf, yang sudah menyentuh tentang salahfaham Kristian. Maka, surah Maryam ini menceritakan dengan lebih panjang lagi tentang salah faham mereka. Salah faham mereka adalah kedudukan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai anak Tuhan.

Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

1. Tentang Nabi Zakaria dan kelahiran anaknya Nabi Yahya. Umur Nabi Zakaria dan isterinya sudah sangat tua waktu itu. Isterinya pula tidak pernah melahirkan anak. Maka kelahiran Yahya adalah kelahiran yang ajaib.

Kemudian disambung dengan kelahiran Nabi Isa pula yang juga ajaib.

2. Tentang Nabi Ibrahim dan Nabi-Nabi yang lain. Permulaan surah adalah untuk menghadapi orang Kristian dan akhirnya menghadapi orang musyrik. Walaupun mereka musyrik, mereka masih memandang tinggi kepada Nabi Ibrahim. Begitu juga, orang Kristian menghormati Nabi Ibrahim kerana baginda adalah salah seorang dari Nabi mereka. Maka kisah Nabi Ibrahim diletakkan di tengah-tengah.

Kisah Nabi-nabi lain itu dimasukkan untuk menunjukkan bahawa apa yang Nabi Muhammad bawa bukanlah perkara baru sangat. Ianya memang telah ada dibawa oleh Nabi-nabi yang lain.

3. Tentang musyrikin Mekah.

Surah ini juga menceritakan tentang kepentingan menyampaikan ajaran agama kepada anak-anak kita. Ini untuk memastikan agama itu berterusan. Dan kita memang mahukan kebaikan kepada anak-anak kita. Jangan hanya fikirkan tentang kelangsungan hidup keduniaan mereka sahaja. Banyak diceritakan tentang perkara ini dalam kisah-kisah yang akan disampaikan. Dalam kisah Nabi Zakaria dan Yahya, Maryam dan Isa dan juga Nabi Ibrahim.

Kita dalam dunia sekarang menghadapi masalah penjagaan anak. Kita bising tentang akhlak dan pengetahuan agama anak-anak sekarang. Tapi kenapa jadi begitu? Kerana ibubapa tidak mengajar agama kepada anaknya. Mereka sendiri tidak tahu agama. Maka bagaimana mereka hendak mengajar keluarga mereka?

Surah ini juga menempelak mereka yang menjadikan kejadian Nabi Isa itu berlebihan sampai menaikkan taraf baginda terlalu tinggi melebihi taraf manusia.

Dari kisah Nabi Ibrahim, diberikan contoh bagaimana seorang anak itu kadang-kadang lebih beragama dan lebih berpengetahuan dari bapanya.

Surah ini juga memujuk para sahabat yang sedang ditindas. Mereka diberikan dengan janji bahawa mereka akan mendapat kebaikan yang berkekalan.

Ulama juga membincangkan kedudukan susunan surah ini dalam Quran. Surah sebelum surah ini adalah surah Kahf. Ia menceritakan empat kisah didalamnya. Tentang perkara yang menolak logik – bagaimana ada pemuda-pemuda yang tidur beratus gua dalam gua; Tentang Nabi Khidr, tentang Dzulqarnain. Kemudian dalam surah Maryam pula kisah yang ajaib juga iaitu kelahiran ajaib Nabi Isa. Maka, dari satu surah yang menceritakan tentang kejadian ghaib kepada satu kejadian yang ghaib.

Dalam ayat kedua terakhir Kahf, ada disebutkan tentang ‘kalimat’. Makna ‘kalimat’ mempunyai banyak maksud. Ianya adalah apa sahaja yang menunjukkan kelebihan dan nikmat yang Allah berikan kepada makhluk. Dalam ayat itu, Allah berfirman, kalau segala laut dijadikan sebagai dakwat, tidak akan cukup untuk memperkatakan tentang Allah dan segala pemberianNya. Surah Maryam adalah tentang Nabi Isa dan Nabi Isa juga ada disebut sebagai ‘kalimat’ Allah.

Dalam surah Maryam, Nabi Zakaria dikatakan sebagai hambaNya. Begitu juga dalam permulaan dalam surah Kahf dimana Nabi Muhammad juga dikatakan sebagai hambaNya.

————————————————————————————————

Ayat 1:

19:1
Transliteration

kāf hā yā ʿayn ṣād

Sahih International

Kaf, Ha, Ya, ‘Ayn, Sad.

Malay

Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad

كهيعص

Huruf-huruf sebegini dinamakan huruf muqattaah. Dari segi bahasa bermaksud: huruf yang ‘dipotong-potong’. Kita tidak tahu dengan pasti apakah maksudnya. Tidak difahami kerana tidak diajar oleh Nabi. Ini mengingatkan kita bahawa kita mula belajar tafsir surah ini dengan tak tahu apa-apa melainkan apa yang Allah dan NabiNya sampaikan kepada kita. Memang banyak yang cuba mentafsir maksud huruf-huruf muqattaah ini, tapi ianya bukanlah berdasarkan dalil yang sahih.

Ayat kedua dari surah ini sahaja yang kita boleh nak mula tafsir. Pengajaran yang kita boleh ambil adalah: Kalau Tuhan tak mahu ajar kepada kita, kita tak dapat tahu walau satu benda pun. Maka kita sangat bergantung kepada Allah untuk mendapatkan ilmu. Allah akan buka kefahaman sesuatu perkara itu kepada mereka yang Dia nak berikan pengetahuan. Ayat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa ada banyak lagi perkara yang Tuhan tak beritahu kepada kita. Ianya merendahkan diri kita. Kita sedar bahawa kita tidak berilmu sebenarnya.

Bangsa Arab di zaman Nabi amat mementingkan bahasa. Mereka mengadakan pertandingan sajak dan syair. Sampaikan kalau sajak atau syair yang memenangi pertandingan akan digantungkan di Kaabah. Maka, apabila ada ayat-ayat yang dimulai dengan huruf-huruf muqattaah ini, ianya menarik perhatian orang Arab. Mereka tidak biasa dengan penggunaan bahasa Arab sebegini. Kerana kebiasaannya, sebagai contoh, kalau dieja huruf ya dan seen يس, tentulah dibaca oleh mereka sebagai ‘yas’. Tapi tidak. Begitu juga dengan huruf-huruf كهيعص ini. Maka mereka tertanya-tanya. Kalau yang tak mahu dengar pun akan mula memberi perhatian. Oleh itu, ada mufassir yang mengatakan bahawa salah satu tujuan huruf-huruf muqattaah ini adalah untuk menarik perhatian orang untuk mendengarnya.

Dan ayat-ayat selepas huruf muqattaah adalah tentang Quran, maka mereka mengambil maksud bahawa Allah hendak menarik perhatian manusia kepada Quran. Ada 29 surah yang dimulai dengan huruf muqattaah. 24 darinya terus menyebut tentang Quran selepas dibacakan huruf muqattaah. Lagi lima tidak terus menyebut tentang Quran. Termasuk surah Maryam ini. Kenapa begitu? Ulama pun membincangkan perkara ini. Mereka mengatakan walaupun dalam lima surah itu tidak menyebut dengan jelas tentang Quran, tapi ianya menyebut tentang Quran secara tersirat. Sebagai contoh, selepas huruf muqattaah كهيعص dalam surah Maryam ini, ayat kedua ada menyebut perkataan ذِكْرُ, dan ذِكْرُ adalah salah satu dari nama Quran. Keduanya, walaupun diawal surah tidak disebut tentang Quran, tapi di akhir akan disebut. Ketiganya, ulama bahas lagi bahawa tidak ada keperluan lagi untuk disebut. Kerana dah banyak kali sebut. Macam kalau kita cikgu dan kita panggil pelajar dan suruh mereka ambil kerja mereka. Kita akan kata: “Ahmad, ambil kerjarumah kaum, Salmi, ambil kerja rumah kamu….”. Sampai kepada murid kelima dan seterusnya, kita tak payah sebut dah. Sebab anak murid akan tahu. Begitu juga dengan lima surah yang tidak ada kaitan terus dengan Quran. Kerana dah banyak sangat sebutan tentang Quran apabila ada huruf muqattaah, maka seperti kita sudah terbiasa – apabila dibacakan huruf muqattaah sahaja, terus kita teringat Quran. Quran melatih kita untuk ingat Quran sentiasa.

Nabi sendiri mengajar bagaimana cara membaca huruf-huruf muqattaah ini. Sebab itu kita baca huruf kaf panjang, huruf ha dan ya pendek dan huruf-huruf seterus panjang. Maka, hendaklah kita ikut cara bacaan sebegitu yang telah diajar.

————————————————————————————————

Ayat 2:

19:2
Transliteration

ḏikru raḥmati rabbika ʿabdahū zakariyyā

Sahih International

[This is] a mention of the mercy of your Lord to His servant Zechariah

Malay

(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ

Ceritakanlah kepada manusia tentang rahmat Tuhan kamu

‘Kamu’ dalam ayat ini adalah Nabi Muhammad SAW.

Tidak disebutkan apakah rahmat Tuhan itu. Salah satu sebabnya adalah untuk memberikan penekanan kepada رَحْمَتِ ‘rahmat Tuhan’ itu.

Apakah yang hendak disampaikan? Seperti yang telah disebut, surah ini diturunkan di waktu Nabi Muhammad dan para sahabat sedang ditindas dengan teruk. Mereka seperti tidak nampak ada harapan lagi. Kalau lihat kepada keadaan masa itu, nampak seperti masa hadapan mereka adalah gelap. Kerana mereka lemah waktu itu, dan orang-orang kafir amat kuat menindas mereka. Tapi Allah mengingatkan Nabi dan para sahabat kepada rahmatNya. Begitu banyak nikmat yang Allah telah berikan kepada umat-umat dahulu. Lihatlah bagaimana Allah telah memberi nikmat kepada Nabi Zakaria. Keadaan dia waktu itu pun seperti tidak ada harapan untuk mendapatkan anak. Baginda sendiri sudah tua sangat dan isterinya dari muda lagi tidak berjaya mendapat anak. Kalau ikut logik akal, memang tidak ada harapan untuk mendapat anak. Tapi Allah beri juga kepada baginda seorang anak. Begitu jugalah kepada kita yang hendak mengamalkan jalan sunnah ini. Begitu ramai sekali dalam Malaysia ini yang mengamalkan syirik dan bidaah. Kalau dibandingkan dengan mereka, kita amat sedikit sekali. Dan mereka mempunyai saluran-saluran yang kuat untuk menyebarkan fahaman salah mereka. Dan kerana ianya sudah biasa diamalkan oleh masyarakat dari dahulu lagi, maka masyarakat lebih selesa memegang pandangan mereka. Kalau kita cerita sedikit tentang sunnah, terus kita dilabelkan sebagai wahabi. Terus mereka memandang serong kepada kita. Tapi lihatlah bagaimana Allah boleh mengubah keadaan. Dari keadaan yang tidak selesa, umat Islam zaman Nabi telah mencapai kejayaan sampai berjaya menakluk Mekah.

Ayat ini memujuk Nabi dan para sahabat. Bahawa Allah tidak lupa kepada mereka. Mereka cuma perlu bersabar seperti Nabi Zakaria bersabar. Mereka perlu terus berdoa seperti Nabi Zakaria telah berdoa.

Allah pujuk Nabi kerana Nabi juga seorang manusia. Seorang manusia akan ada perasaan sedih, takut dan sebagainya. Bukanlah kerana baginda seorang Nabi, baginda tidak terkesan dengan kata-kata dan tohmahan dari kafir musyrikin Mekah itu. Maka janganlah kita ingat dan sangka bahawa Nabi itu luar biasa sangat sampai kita puja baginda. Nabi tidak dapat mengawal apakah yang terjadi kepada baginda dan sahabat, maka baginda bersedih. Dan baginda tidak tahu apakah yang akan terjadi di masa hadapan kerana baginda tidak tahu perkara ghaib, jadi baginda risau dan takut. Maka Allah memberi ketenangan kepada baginda dengan menceritakan apakah rahmat yang Dia telah berikan kepada Nabi Zakaria.

عَبْدَهُ زَكَرِيَّ

kepada hambaNya yang bernama Zakaria.

Nabi Zakaria adalah salah seorang Nabi yang besar dalam Bani Israil. Dalam hadis disebutkan bahawa baginda adalah seorang tukang kayu dan baginda mencari rezeki dengannya.

Waktu ini Nabi Zakaria sudah lama menjadi Nabi. Mengikut satu riwayat, semasa kisah ini berlaku, dia berumur 120 dan isterinya sekitar 90 tahun. Dan tidak ada orang-orang Yahudi yang belajar dengannya untuk menjadi alim untuk menyebarkan agama Islam kepada manusia. Jadi, baginda bimbang kalau tidak ada penggantinya, ugama Islam ini akan hilang. Itulah kerisauan baginda.

Jadi, selepas ini adalah kisah tentang Nabi Zakaria.

——————————————————————————————-

Ayat 3: Dalam ayat kedua, tidak disebutkan tentang apakah nikmat yang telah diberikan kepada Nabi Zakaria. Sekarang Allah mula hendak menceritakan.

19:3
Transliteration

iḏ nādā rabbahū nidāˈan ḫafiyyan

Sahih International

When he called to his Lord a private supplication.

Malay

(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ

Ketika memanggil / berdoa Nabi Zakaria kepada Tuhannya

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah نَادَىٰ. Ianya berbeza dengan perkataan ‘doa’. Doa adalah apabila kita bercakap dan kita tahu orang yang kita sedang bercakap itu mendengar cakap kita. Seperti contohnya, orang itu ada dalam bilik dengan kita. Tapi perkataan نَادَىٰ itu digunakan apabila seseorang hanya menyuarakan rintihan hatinya. Kerana tidak tahan sangat. Dia akan meraung kuat-kuat.

Ada yang mengatakan bahawa Nabi Zakaria berdoa ini diwaktu malam apabila manusia lain sedang tidur. Iaitu pada waktu qiyamullail.

نِدَاءً خَفِيًّا

dengan suara yang lembah lembut; lemah lembut kerana sedang merayu. Jadi kita sebagai makhluk Allah, hendaklah berdoa dengan merayu kepada Allah. Dengan suara yang lemah lembut. Jangan kita minta Tuhan berbagai-bagai perkara tapi langsung tidak dalam nada merayu dan dalam nada sombong macam Tuhan kena beri kepada kita. Kita pun kenalah mengaku kesalahan kita yang kita dah buat selama hari ini. Jangan kita tahu minta sahaja tapi tak mengaku tentang kesalahan dan dosa yang dah banyak kita buat.

Tadi kita telah belajar bahawa perkataan نِدَاءً bermaksud menyuarakan pengharapan dengan kuat. Desperate. Tapi selepas itu digunakan perkataan خَفِيًّا. Ia bermaksud sesuatu yang senyap dan tersembunyi. Kenapa seperti ada perbezaan dari segi maksud itu? Salah satu keindahan dalam surah ini adalah perkataan yang berlawanan diletakkan bersama. Jadi, kita kena tahu apakah yang dimaksudkan dalam percanggahan itu.

Mufassir mengatakan bahawa tidak ada percanggahan dalam dua perkataan ini. Memang Nabi Zakaria merayu bersungguh-sungguh meluahkan perasaannya, tapi kepada siapa? Kepada رَبَّهُ Tuhannya – Allah maha mendengar. Tidak perlu bercakap dengan kuat dengan Allah. Allah maha tahu apakah dalam hati kita. Kita tak cakap pun Allah tahu. Jadi, perkataan نِدَاءً dalam ayat itu adalah gelora dalam hatinya, dia memohon kepada Allah dengan nada yang mengharap sangat. Dia memohon bersungguh-sungguh.

Ulama membincangkan apakah cara doa yang paling sesuai? Adakah dengan mengeluarkan suara atau tidak? Pendapat yang kuat mengatakan lebih baik dalam suara yang perlahan. Ianya lebih rapat kepada Allah. Kerana sama sahaja kalau kita cakap dengan kuat atau berbisik, Allah akan mendengar juga. Tapi apabila dengan suara perlahan, ianya lebih personal dan menghalang dari rasa riak. Ianya lebih khusyuk. Cuma ada keadaan boleh dikuatkan. Iaitu sebagai contoh, doa dalam majlis orangramai untuk semua orang dan juga apabila hendak mengajar orang lain cara berdoa.

Ataupun mungkin Nabi Zakaria memulakan doa dengan suara yang kuat. Tapi kerana doa begitu mengharap, dengan emosi, maka dia menangis dan sampai hilang suaranya. Atau dia memang mahu meraung, tapi kerana dia sudah tua, dia tidak mampu, jadi suaranya menjadi perlahan sahaja.

Pengajaran yang kita boleh dapat dari ayat ini adalah betapa kita perlu percaya kepada Allah. Mintalah kepada Allah walau apapun. Kalau Nabi Zakaria memikirkan keadaannya, tentulah dia tidak minta kepada Allah lagi kerana dia sudah tua sangat dan isterinya tak pernah melekat dapat anak. Tapi dia tahu bahawa Allah mampu buat apa sahaja. Maka dia minta kepada Allah macam dia tidak ada apa-apa masalah. Itulah kepercayaan kepada Allah. Tapi kita kadang-kadang segan nak doa kepada Allah. Macam Allah tak mampu nak beri apa yang kita minta tu. Adakah Allah begitu?

——————————————————————————————

Ayat 4: Inilah doa Nabi Zakaria. Beginilah cara Allah mengajar kita cara berdoa. Allah memberi contoh bagaimana seorang Nabi yang berdoa kepadaNya.

19:4
Transliteration

qāla rabbi ˈinnī wahana l-ʿaẓmu minnī wa-štaʿala r-raˈsu šayban wa-lam ˈakun bi-duʿāˈika rabbi šaqiyyan

Sahih International

He said, “My Lord, indeed my bones have weakened, and my head has filled with white, and never have I been in my supplication to You, my Lord, unhappy.

Malay

Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.

قَالَ رَبِّ

Ia berkata, “Ya Rabbku!

Sepatutnya perkataan yang digunakan adalah رَبٌِي ‘Tuhanku’, tapi kerana dia tergesa-gesa dan dalam keadaan yang mengharap sangat, sampaikan dia tidak menggunakan bahasa yang betul. Bukanlah ini sebagai satu hujah mengatakan yang Quran itu tersalah, tapi ada maksud kenapa diletakkan perkataan ini sebegini. Kerana hendak menunjukkan keadaan emosi Nabi Zakaria waktu itu.

إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي

Sesungguhnya tulang aku sudah reput

Nak bangun pun dah susah sebab dah tua sangat. Perkataan وَهَنَ bermaksud sudah sangat ‘sangat lemah’. Ianya digunakan khas kepada tubuh badan. Asalnya bermaksud sesuatu yang dulunya keras, tapi sekarang sudah menjadi lembut. Tubuh kita yang dulu kuat, lama kelamaan akan jadi lemah akhirnya. Itulah keadaan Nabi Zakaria.

الْعَظْمُ bermaksud tulang. Tulang yang dulu keras pun dah reput dah. Dah lemah dah. Macam-macam bunyi dah keluar dah.

مِنِّي – dariku. Seperti dia mengatakan tulang-tulang itu dari dirinya, tapi macam bukan dirinya lagi. Macam makhluk yang lain pula. Iaitu ia dah jadi lain dari dulunya lagi.

وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا

Sudah penuh uban di kepalaku;

وَاشْتَعَلَ bermaksud ‘menyala’. Contohnya digunakan kepada nyalaan api. Nabi Zakaria kata kepalanya sudah menyala sekarang. Tapi menyala dengan apa? شَيْبًا bermaksud ‘tua’. Asalnya bermaksud ‘putih’. Maka dia hendak menyatakan bahawa kepalanya sudah penuh dengan uban. Kerana orang yang sudah tua akan penuh uban di kepalanya.

Indah sungguh bahasa yang digunakan oleh Quran. Kenapa digunakan perkataan ‘menyala’? Kerana bukankah kalau kepala kita putih, ianya akan lebih kelihatan, seperti ianya menyala? Dan apakah akan jadi apabila sesuatu itu terbakar? Ia akan merebak dan memakan kawasan sekitarnya. Maknanya, uban di kepala Nabi Zakaria semakin banyak dan semakin merebak memakan rambut hitam yang lain.

Perkataan yang digunakan adalah الرَّأْسُ – kepala. Maknanya bukan rambut sahaja yang beruban. Tapi lain-lain juga – janggut, kening, misai.

Nabi Zakaria sedang menceritakan keadaan dirinya kepada Allah. Maka, dalam kita berdoa, kita ceritakanlah kelemahan diri kita kepada Allah. Kalau kita lemah, atau kita tak boleh nak cari kerja, kita orang miskin, maka cakapkan kepada Allah. Adukan kepada Allah. Ini dinamakan merendahkan diri kepada Allah. Kalau kita hendakkan sesuatu, kita menunjukkan kelemahan kita dan pengharapan kita kepada Allah. Tidak ada tempat lain kita hendak memohon lagi. Bukan kepada manusia kita buat macam ini, tapi kepada Allah. Apabila kita mengaku lemah, Allah lebih kasihan dan lebih suka. Waktu itu kita lebih mengharap kepada Allah.

وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ

Dan belum pernah aku dalam berdoa kepada Kamu,

Sekali lagi, perkataan yang sepatutnya digunakan adalah رَبٌِي.

Dalam selama aku berdoa kepada Engkau, ya Allah …. belum pernah aku

شَقِيًّا

hampa;

Perkataan شَقِيًّا bermaksud nasib malang, tidak mendapat apa yang dihajati. Maka, Nabi Zakaria mengaku kepada Allah bahawa selama ini dia tidak pernah kecewa dalam berdoa kepada Allah. Apa yang dia minta, dia akan dapat. Tidak semestinya dia akan mendapat apa sahaja yang dia minta. Kadang-kadang Allah akan tukar kepada yang lebih sesuai. Maknanya, baginda nak kata bahawa dia tidak pernah tidak mendapat manfaat dari doanya kepada Allah.

Ini adalah satu lagi cara berdoa. Hendaklah kita menyebut kelebihan-kelebihan dan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita selama ini. Memang kita sedang ada masalah sekarang, tapi Allah telah memberikan kita sekian banyak nikmat. Maka pujilah Allah atas segala nikmat yang telah diberikan itu. Allah suka kita puji Dia. Kalau dengan mausia pun begitu juga. Kalau kita kata kepada orang yang kita minta tolong itu: “Engkau memang dah banyak tolong aku selama hari ini. Aku minta kau tolong aku sekali lagi hari ini.” Itu akan menyebabkan dia akan lebih lembut hati untuk menolong kita.

Daripada muda sampai ke tua, Nabi Zakaria meminta doa supaya diberikan zuriat kepadanya. Bukan dalam masa yang pendek sahaja dia berdoa. Nabi Zakaria telah diberikan tugas untuk menjaga anak saudaranya, Siti Maryam di Masjidil Aqsa – ibu Siti Maryam telah memberikan anaknya untuk berkhidmat dalam agama. Setiap kali Nabi Zakaria pergi menemui Siti Maryam, dia akan dapati Siti Maryam ada makanan di sampingnya. Makanan pula bukan jenis yang senang didapati dan diluar musim pula. Apabila baginda tanya kepada Maryam daripada mana dia dapat, Maryam menjawap, ianya adalah dari Allah dan Allah boleh memberi apa sahaja. Jadi, dia nampak keberkesanan berdoa kepada Allah. Maka, dia mendapat azam untuk berdoa lagi kepada Allah. Dia sedar bahawa Allah boleh beri apa sahaja. Dia memang selalu berdoa kepada Allah, tapi dengan melihat apa yang Maryam dapat itu, telah memberi semangat baru kepada Allah.

——————————————————————————————-

Ayat 5: apakah sebabnya Nabi Zakaria memohon doa supaya mendapat anak itu?

19:5
Transliteration

wa-ˈinnī ḫiftu l-mawāliya min warāˈī wa-kānati mraˈatī ʿāqiran fa-hab lī min ladunka waliyyan

Sahih International

And indeed, I fear the successors after me, and my wife has been barren, so give me from Yourself an heir

Malay

Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ

Sesungguhnya aku bimbang tentang mawaliku

الْمَوَالِيَ merujuk kepada wali yang bukan anak sendiri. Mungkin terdiri dari sepupu, pakcik dan sebagainya. Boleh juga jadi anak-anak murid dan anak-anak buah. Iaitu orang yang sepatutnya menjadi kepercayaannya atau sebagai penggantinya selepas dia tiada lagi. Dia tidak yakin dengan mereka untuk meneruskan kerja-kerja agama selepas dia tiada nanti.

Nabi Zakaria tidak ada anak, jadi dia hanya ada saudaranya yang lain. Tapi dia tidak yakin mereka akan meneruskan usaha dakwahnya. Mungkin dia nampak ketidak sungguhan pada mereka atau kekurangan-kekurangan lain pada mereka. Jadi, dia risau apakah yang akan terjadi pada agama nanti selepas dia tiada nanti. Siapakah yang akan meneruskan kerja-kerja agama yang dia sedang buat selama ini?

مِنْ وَرَائِي

selepas kematianku nanti; apakah yang dia bimbangkan? Iaitu tidak ada orang yang akan mengajar agama selepas dia tiada nanti. Jadi dia minta anak supaya ada anak yang boleh menyambung tugasnya. Maka, dia sebenarnya bimbang tentang agamanya.

وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا

Dan isteriku ini memang dari dahulu lagi seorang yang mandul

Dari segi bahasa literal, perkataan امْرَأَتِي bermaksud ‘perempuanku’. Tapi itu tidak sesuai digunakan dalam masyarakat kita. Kena sesuaikan dengan masyarakat semasa. Jadi kita terjemahkan kepada ‘isteriku’. Dalam surah lain, Quran menggunakan perkataan zaujah pula. Kenapa ada beza? Apabila digunakan perkataan امْرَأَتِي, menunjukkan ada masalah sedikit dalam perhubungan mereka. Ada sesuatu kekurangan dalam perhubungan mereka. Begitu juga digunakan kepada isteri Luth – digunakan perkataan yang sama. Ada kekurangan iman pada isterinya. Isteri Firaun juga begitu. Kerana ada kekurangan dalam hubungan mereka iaitu Firaun tidak beriman.

Tapi kepada isteri Zakaria, apabila belum beranak, ada kekurangan sikit. Selepas isterinya melahirkan anak, barulah menggunakan perkataan zaujah. Itulah cara Quran menjelaskan.

عَاقِرًا adalah wanita yang belum pernah mengandung. Literal bermaksud ‘memotong’. Secara tepat, bukanlah ‘mandul’. Kerana kalau mandul, ada perkataan lain dalam bahasa Arab. Ada disebut tentang isteri Nabi Ibrahim. Perkataan aqim digunakan dalam ayat itu. Kalau mandul, memang ada masalah yang berkekalan yang menyebabkan perempuan itu tidak akan mengandung. Antaranya, mungkin perempuan itu tidak ada rahim, sebagai contoh.

Apabila digunakan perkataan عَاقِرًا, bermakna masih lagi ada peluang untuk dapat anak, cuma belum lagi. Jadi sebab itulah Nabi Zakaria memang pernah berdoa.

وَكَانَتِ menunjukkan bahawa memang dari dulu lagi tidak pernah dapat anak.

فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا

Walau bagaimana pun, berikanlah kepadaku, dari sisi Kamu, seorang anak dan pengganti; walaupun aku sudah tua dan isteriku mandul, aku mohon dari kuasa kudratMu, seorang anak dan pengganti.

فَهَبْ adalah pemberian hadiah yang tidak mengharapkan balasan. Beri sahaja tanpa harap balasan dari orang yang diberikan hadiah itu. Dalam Quran, apabila ianya menyatakan tentang anak, perkataan هَبْ digunakan kerana anak itu adalah ‘hadiah’ dari Allah. Hadiah yang teramat istimewa. Anak adalah sesuatu yang amat menyenangkan hati sekali. Kalau kita ada masalah, apabila lihat anak sahaja, semua masalah itu hilang. Kalau balik dari kerja dan kita dalam kepenatan, tapi apabila lihat anak, terus hilang segala penat itu.

Anak juga adalah pelaburan kita di akhirat. Itu dari sudut agama. Ada hadis Nabi yang mengatakan semua pahala terputus kecuali tiga perkara. Salah satunya adalah anak soleh yang terus berdoa untuk ibubapanya.

Maka kita hendaklah menghargai anak itu yang diberi sebagai hadiah oleh Allah. Kita kenalah pandai menjaga anak. Kenalah pandai sensitif dengan perasaan anak. Anak-anak yang ada masalah di kala dewasa, selalunya kerana ada masalah dengan cara mereka dibela.

مِنْ لَدُنْكَ bermaksud ‘dari sisi Kamu’. Ini adalah ekspresi bahasa Arab. Bermakna, ianya adalah sesuatu yang amat-amat istimewa kerana ianya dari sisi Allah sendiri. Ianya adalah pertolongan yang amat penting. لَدُنْ digunakan untuk menunjukkan yang memberi itu adalah rapat dengan kita. Kita tak minta dengan cara begini dengan orang yang kita tak kenal. Menunjukkan bahawa Nabi Zakaria dengan Allah adalah rapat.

Bukan anak sahaja dia minta tapi وَلِيًّا. Ianya adalah sesorang yang rapat dengan kita dan boleh dipercayai dan boleh diharap. Sebab sebelum ini dia risau tentang sanak-saudaranya yang lain samada mereka boleh diharap untuk meneruskan usaha dakwah agama. Jadi, dia bukan sahaja meminta seorang anak tapi seorang anak yang boleh dipercayai. Dia telah menceritakan bagaimana dia seorang yang tua, dan isterinya sudah lama tidak dapat mengandung, maka dia tidak mengharap isterinya itu akan mengandung lagi. Jadi, dia serahkan kepada Allah, untuk menyerahkan kepadanya seorang wali yang boleh menggantinya. Mungkin dari orang lain dan sebagainya.

—————————————————————————————-

Ayat 6: Lihatlah apa yang Nabi Zakaria minta. Permintaannya itu spesifik, dia menjelaskan perawakan anaknya itu. Dia minta anak yang paling baik. Bukan macam kita, kalau minta hanya minta janji ada sahaja, padahal Tuhan boleh beri apa sahaja. Lihatlah permintaan Nabi Zakaria ini:

19:6
Transliteration

yariṯunī wa-yariṯu min ˈāli yaʿqūba wa-ǧʿalhu rabbi raḍiyyan

Sahih International

Who will inherit me and inherit from the family of Jacob. And make him, my Lord, pleasing [to You].”

Malay

Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.

يَرِثُنِي

Yang akan mewarisiku;

Warisi apa? Ulama membincangkan beberapa kemungkinan apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini:

1. Mewarisi Kenabian. Tapi ada ulama tidak setuju kerana kenabian bukan boleh diwarisi, tapi dipilih. Anak seorang Nabi tidak semestinya seorang Nabi. Lihatlah kepada bagaimana anak Nabi Nuh tidak mengikutinya. Tapi pendapat yang mengatakan mewarisi kenabian ini adalah kuat. Kerana digunakan juga dalam surah Naml:16 bagaimana Nabi Sulaiman mewarisi kenabian dari ayahnya Nabi Daud.

وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud;

Tambahan pula, kenapa perlu disebutkan ‘mewarisi darinya’, sedangkan kalau yang dimaksudkan itu adalah harta, memang telah lumrah yang dia akan mewarisi harta itu dari ayahnya, tidak perlu sebut pun lagi.

2. Mewarisi Ilmu dan hikmah. Inilah pendapat kebanyakan ulama. Apa yang ada pada para Nabi adalah ilmu dan hikmah dan itulah yang diharapkan oleh Nabi Zakaria supaya Yahya akan warisi darinya.

3. Harta Nabi-Nabi. Ini adalah pendapat yang kecil. Tidak ramai yang memegang pendapat begini kerana ada hadis yang mengatakan para Nabi tidak mewariskan harta kepada umatnya.

Di dalam Bukhari dan Muslim ada disebut satu hadis:

“Kami (para Nabi), harta kami tidak diwariskan. Apa yang kami tinggalkan menjadi sedekah.”

Segala harta mereka akan disedekahkan. Tapi ada juga yang berpendapat bahawa hanya syariat Nabi Muhammad yang tidak membolehkan hartanya diwarisi, tapi Nabi-nabi lain, boleh. Oleh itu, ada juga pendapat yang minoriti yang mengatakan yang diwarisi adalah harta dunia. Tapi hendaklah diingatkan, bahawa ini adalah pendapat yang kecil sahaja.

وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ

dan mewarisi dari keluarga Ya’kub; iaitu mewarisi ilmu Nabi-nabi. Ini kalau kita mengambil pendapat yang dikemukakan oleh jumhur ulama. Kerana keluarga Ya’kub banyak terdiri dari nabi-nabi. Bukan dia minta diwarisi harta, tapi kenabian. Memiliki sifat-sifat kenabian. Maka, Nabi Zakaria sebenarnya meminta anaknya itu dijadikan sebagai Nabi. Ini mengajar kita, apabila kita minta kepada Allah, mintalah betul-betul. Seperti sabda Nabi: apabila kamu minta syurga, mintalah syurga Firdaus. Jangan segan-segan untuk meminta kepada Allah.

آلِ bukan hanya bermaksud mereka yang terdiri dari keluarga tapi mereka yang berkaitan dengan seseorang itu. Ini termasuklah sepupu, pakcik, malah termasuk juga anak buah.

Nabi Zakaria berhati-hati dalam doanya. Lihatlah bagaimana dia menggunakan perkataan مِنْ dalam doanya. ‘Dari’ ahli Yaakub – bukan dari semua ahli Yaakub. Kerana bukan semua mereka adalah baik. Yang Nabi Zakaria maksudkan adalah mereka yang boleh dijadikan contoh.

Dalam ayat sebelumnya, telah disebut doa Nabi Zakaria supaya anaknya mewarisi darinya. Dan Nabi Zakaria sendiri adalah keturunan Nabi Ya’kob. Kenapa dalam ayat ini disebut pula keluarga Ya’kub? Kenapa ada pengulangan? Tentu ada sebab. Ini menunjukkan bahawa apa yang Nabi-nabi itu bawa adalah sama sahaja. Kerana tauhid dari dulu sampai sekarang adalah sama. Kalau ada perbezaan, itu adalah dari segi syariat dan hukum sahaja. Tauhid tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang.

وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا

Dan jadikanlah dia, ya Rabbku seorang yang redha; Nabi Zakaria meminta supaya anak itu bukan setakat jadi Nabi, tapi seorang yang kuat ibadat, seorang yang wara’.

رَضِيًّا bermaksud yang rasa cukup (contend). Dia rasa cukup dengan apa yang ada. Kerana dia akan menjadi seorang Nabi yang akan menjalankan tanggungjawab. Yang akan menyebabkan Allah suka. Begitu juga dia akan disukai dan menyenangkan ibubapanya dan juga orang-orang sekelilingnya. Perkataan رَضِيًّا itu dalam bentuk umum. Maka boleh jadi lebih besar maknanya – bukan hanya bermaksud ‘diredhai’ sahaja. Dia juga akan berusaha berbuat amal dan menjalankan hidupnya supaya Allah redha kepadanya dan dia juga diredhai oleh Allah.

Jadi, dalam doa Nabi Zakaria itu, baginda meminta:

  1. Seorang anak lelaki, kerana semua Nabi adalah lelaki
  2. Menjadi seorang Nabi
  3. Seorang yang wara’. Kuat beribadat.

Ini sekali lagi mengajar kita cara berdoa. Kita memang boleh berdoa untuk apa sahaja keperluan kita dan keinginan kita. Allah boleh beri apa sahaja. Boleh untuk kita minta hal-hal keduniaan juga. Tapi seeloknya doa itu adalah tentang hal keagamaan. Itu adalah lebih penting lagi. Kerana hal dunia hanya untuk dunia yang sementara sahaja, tapi hal keagamaan adalah untuk hidup kekal di akhirat nanti. Maka, dalam kita memohon doa kepada Allah, hendaklah kita meminta ampun kepada Allah atas dosa-dosa kita dan hendaklah kita memohon keselamatan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Semoga kita dapat mengambil cara-cara berdoa yang Allah telah ajar kita dalam surah Maryam ini dan kita praktikkan dalam doa kita. Kita sentiasa mahu supaya doa kita dimakbulkan oleh Allah. Tapi sudahkah kita tahu bagaimana cara supaya doa kita akan cepat dimakbulkan?

Ramai antara kita yang tidak mendapat rezeki lagi dikurniakan anak. Maka, bermacam-macam cara yang dilakukan oleh manusia. Pergi jumpa doktor, jumpa ustaz, jumpa bomoh, minum air dari Tasik Dayang Bunting, minum air dari Telaga Hang Tuah dan sebagainya. Mereka juga dalam masa yang sama berdoa kepada Allah juga. Tapi cara berdoa itu yang tidak kena. Maka, moleklah kalau kita gunakan cara yang telah diajar oleh Allah dalam surah Maryam ini. Begini cara berdoa:

Mula-mula sekali, ambil wuduk. Seelok-eloknya wuduk yang sempurna sepertimana yang Nabi telah ajar. Nabi hanya menggunakan satu cupak air atau lebih kurang satu liter air sahaja untuk berwuduk. Kemudian beristighfar banyak-banyak kepada Allah. Kerana dosa kita banyak. Tidak molek kalau kita minta macam-macam kepada Allah, tapi dosa kita yang dah banyak itu tidak kita minta ampun. Bacalah istighfar sebanyak-banyaknya. Kemudian selawat kepada Nabi kerana Nabi yang mengajar kepada kita tentang agama. Tapi ingat, bukanlah kita selawat kepada Nabi kerana Nabi yang akan memakbulkan doa kita. Dan tidaklah Nabi Muhammad menjadi perantara dalam doa kita ini. Tapi sebagai tanda syukur kita kerana Nabi telah bersusah payah mengajar agama kepada kita semua. Memang Nabi pernah mengajar umat supaya dalam berdoa, berselawat kepada baginda. Jangan keliru dengan kebanyakan manusia yang mereka amalan dalam kehidupan mereka – contohnya mereka akan baca selawat apabila nak makan ubat, basuh sayur, basuh beras dan sebagainya. Mereka yang buat begitu ada perasaan dalam hati mereka bahawa Nabi boleh memakbulkan doa. Eloklah kita jangan buat seperti mereka. Bacalah bismillah sahaja dan berdoa kepada Allah supaya sakit kita disembuhkan.

Kemudian kita bertasbihlah banyak-banyak kepada Allah. Pujilah Allah dengan sebanyak-banyaknya. Kemudian bacalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Zakaria dalam doa ini. Ini adalah doa yang diajar oleh Allah sendiri dalam Quran. Baca dengan lemah lembut. Baca dari ayat ke-4 surah ini. Iaitu bermula dari perkataan: رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي hinggalah kepada hujung ayat ke-6 ini. Ini adalah lafaz-lafaz yang memakbulkan doa Nabi Zakaria.

Kemudian mintalah anak sebagaimana yang kita hendak. Samada hendak lelaki atau perempuan. Kemudian kita nyatakan sifat yang kita mahukan ada pada anak kita itu. Orang yang pandai agama, pandai tentang Quran, yang berakhlak baik. Mintalah dengan terperinci. Janganlah setakat kata hendak anak sahaja. Akhir sekali mintalah supaya anak itu diredhai. Untuk maklumat lanjut tentang cara berdoa, lihat pada link ini. Saya sendiri 12 tahun berkahwin tidak mendapat anak tapi dengan menggunakan cara-cara yang diajar dalam ayat ini, maka telah berjaya mendapat seorang anak perempuan. Alhamdulillah. Tidaklah saya pergi jumpa bomoh mana-mana, ustaz mana-mana untuk doakan supaya saya dapat anak.

————————————————————————————

Ayat 7: Maka, Allah telah memakbulkan doa Nabi Zakaria dan Allah telah berfirman:

19:7
Transliteration

yā-zakariyyā ˈinnā nubašširuka bi-ġulāmin-i smuhū yaḥyā lam naǧʿal lahū min qablu samiyyan

Sahih International

[He was told], “O Zechariah, indeed We give you good tidings of a boy whose name will be John. We have not assigned to any before [this] name.”

Malay

(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya):”Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya”.

يَا زَكَرِيَّا

Wahai Zakaria,

Allah terus jawap doa Nabi Zakaria. Kalau kita lihat pada ayat ini, tidak ada perkataan lain langsung antara doa Nabi Zakaria dan jawapan Allah ini. Tidak ada pun perkataan seperti perkataan قال yang biasa kita lihat. Ini menunjukkan betapa cepatnya Allah makbulkan doa baginda. Allah makbulkan dengan cepat kerana doa Nabi Zakaria yang tepat dan kena caranya.

إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَامٍ

Sesungguhnya Kami memberi berita gembira kepada kamu dengan seorang anak; berita itu disampaikan semasa baginda tengah sembahyang. Baginda telah diberitahu semasa baginda sedang sembahyang.

اسْمُهُ يَحْيَىٰ

yang namanya Yahya; jadi nama itu bukan Nabi Zakaria yang beri, tapi Allah sendiri yang beri. ‘Yahya’ bermaksud ‘yang hidup’. Dia kata dia tua, isterinya tak boleh dapat anak, tapi ‘dia hidup’ juga akhirnya.

Kita selalunya menamakan anak kita dengan nama orang baik-baik dari zaman dahulu. Kita namakan anak-anak kita seperti Bilal, Aisyah, Sumayyah, Hamzah, Ali, Hassan, Hussein dan lain-lain lagi individu soleh dan solehah zaman dahulu. Ianya sebagai doa kita supaya anak-anak kita jadi seperti mereka juga. Dan sebagai motivasi kepada anak kita. Supaya apabila mereka tahu nama mereka diambil dari mana, mereka akan berusaha untuk menjadi seperti individu itu juga. Atau nama itu ada doa di dalamnya. Macam kita namakan anak kita Husna, supaya anak itu jadi seorang yang baik. Itu adalah harapan kita dalam memberi nama itu dan semoga Allah menjadikan mereka seperti apa yang kita hajatkan. Tapi apabila Allah sendiri yang berikan nama itu, maka dia akan menjadi apakah maksud nama itu. Apa sahaja maksud sebenar Yahya itu, dia akan menjadi seperti orang yang Allah maksudkan.

لَمْ نَجْعَلْ لَهُ مِنْ قَبْلُ سَمِيًّا

Yang belum pernah aku jadikan nama yang serupa dengannya; tidak ada orang yang bernama Yahya sebelum itu. Nabi Yahya adalah orang yang pertama yang bernama Yahya.

Dari segi bahasa, سَمِيًّا diambil dari katadasar yang س م و bermaksud ‘ketinggian’. Jadi, ini boleh bermaksud, Allah akan berikan anak yang berkedudukan tinggi. Lebih tinggi lagi dari apa yang Zakaria harapkan dan doakan. Juga bermaksud, tidak pernah orang yang ada kualiti seperti apa yang Nabi Yahya ada.

Perkataan ‘ism’ – nama – juga datang dari katadasar yang sama dengan perkataan س م و itu. Maka ada dua makna سَمِيًّا itu. Mungkin juga bermakna tidak ada orang yang bernama sebegini. Kita boleh pakai dua-dua makna.

Satu lagi makna adalah tidak ada lagi kejadian seperti ini sebelum itu. Iaitu seorang lelaki dan perempuan yang tua dapat melahirkan anak. Ataupun ia juga boleh bermaksud, tidak ada manusia yang sepertinya sebelum itu. Kerana specialnya Nabi Yahya itu. Jadi, ada tiga maksud yang boleh diambil dari kata سَمِيًّا itu. Allahu a’lam.

Apabila doa dilakukan dengan baik, dengan cara yang tepat, maka Allah akan memakbulkan doa itu. Allah tidak kira dengan halangan yang ada. Memang ada sunnatullah (hukum alam) dalam alam ini. Seperti contoh, api akan membakar, pisau akan melukakan dan ibubapa yang tua tidak boleh melahirkan anak. Tapi semua itu bukan halangan kepada Allah. Allah boleh ubah sunnatullah itu jika Dia mahu. Kerana sunnatullah itu, Dia juga yang buat. Dan apabila doa dilakukan dengan betul, maka Allah akan ubah. Jadi, kalau ikut sunnatullah, Nabi Zakaria dan isterinya tidak sepatutnya dapat anak pada usia yang sebegitu dan keadaan isterinya yang sebegitu, tapi Allah makbulkan juga.

————————————————————————————

Ayat 8: Apabila manusia sudah dapat berita gembira, samada dapat projek atau dapat kerja, tentu mereka akan bertanya bila mereka akan dapat kerja itu. Manusia itu bersifat gopoh. Begitu juga dengan Nabi Zakaria sebab dia gembira sangat. Dia hendak tahu lebih lagi. Maka, ini adalah soalan yang Nabi Zakaria tanya kepada Allah:

19:8
Transliteration

qāla rabbi ˈannā yakūnu lī ġulāmun wa-kānati mraˈatī ʿāqiran wa-qad balaġtu mina l-kibari ʿitiyyan

Sahih International

He said, “My Lord, how will I have a boy when my wife has been barren and I have reached extreme old age?”

Malay

Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?”

قَالَ رَبِّ

Ya Rabbku!

Kata-kata Nabi Zakaria ini adalah kerana baginda rasa gembira sangat. Dia nak Allah berkomunikasi dengan dia lagi. Katakanlah kita dapat jumpa orang yang kita sayang sangat, takkan kita nak cakap sekejap sahaja dengan dia. Tentu kita akan tanya dia macam-macam lagi.

Lihatlah bagaimana Nabi Zakaria berkata terus dengan Allah. Walaupun waktu itu yang datang memberitahu kepada baginda adalah malaikat, tapi Nabi Zakaria terus bercakap dengan Allah. Apakah yang kita boleh ambil dari ini? – Kita tidak perlu kepada perantaraan untuk bercakap dengan Allah. Kerana Allah dengar kata-kata kita. Terus sahaja bercakap dengan Allah. Nabi Zakaria faham hal ini. Tapi orang kita tak faham – kalau nak berdoa, mereka akan minta orang lain yang doakan.

أَنَّىٰ يَكُونُ لِي غُلَامٌ

Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak; dia tanya betulkah dia boleh dapat anak? Kita pun biasa juga macam itu. Sebab kita tidak tahu ilmu ghaib, jadi kita hendakkan kepastian. Yang salahnya, masyarakat kita ada yang kata kalau nak dapat anak, beri salam dan hantar fatihah kepada Nabi Zakaria. Padahal, kita sendiri baca dalam ayat ini, Nabi Zakaria minta kepada Allah. Lalu bagaimana kita minta kepada Nabi Zakaria. Adakah Nabi Zakaria boleh tolong kita untuk dapatkan anak? Sedangkan dia sendiri minta kepada Allah?

Kata أَنَّىٰ menunjukkan rasa terkejut macam tidak percaya.

Quran menggunakan perkataan غُلَامٌ. Dalam kisah kelahiran Nabi Isa, apabila Maryam juga terkejut dengan berita bahawa dia akan mendapat anak, perkataan yang digunakan dalam ayat Quran berkenaan kisah itu menggunakan perkataan ‘walad’, bukan غُلَامٌ. Apakah bezanya dari dua perkataan itu? Tentu ada perbezaannya. Apabila Maryam diberikan berita gembira dari Allah, Allah menggunakan perkataan ‘kalimat’. Tapi apabila berita gembira diberikan kepada Nabi Zakaria, perkataan غُلَامٌ digunakan iaitu dalam ayat ke-7 dalam surah ini. Maka, Quran meneruskan penggunaan kata yang sama.

وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا

sedangkan isteriku adalah seorang yang sampai sekarang belum pernah lagi berjaya melahirkan anak?

Kebanyakan terjemahan menggunakan perkataan ‘mandul’. Tapi seperti kita telah belajar sebelum ini, perkataan mandul tidak sesuai digunakan dalam maksud عَاقِرًا ini.

وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ الْكِبَرِ عِتِيًّا

dan aku sendiri pula telah melepasi tahap umur yang sangat lanjut?

عِتِيًّا bermaksud ‘telah melampaui had’. Ada juga digunakan perkataan yang sama dalam surah Mulk. Iaitu digunakan perkataan عُتُوٍّ dalam ayat ke 67:21. Dalam ayat itu, orang kafir telah melampaui had dalam kesesatan mereka. Dalam surah Maryam ini, Nabi Zakaria mengaku bahawa baginda telah terlalu tua. Dah lepas tahap umur yang sesuai untuk mendapat anak.

Mari kita bincangkan kenapa Nabi Zakaria masih lagi tanya, padahal berita tentang kedatangan anak itu datang sendiri dari Allah. Bagaimana seorang Nabi seperti baginda boleh mempersoalkan pula berita dari Allah – (disampaikan oleh malaikat)? Kita kena faham, pertanyaan Nabi Zakaria ini adalah kerana baginda hendak mendapatkan maklumat lanjut. Bukanlah dia tidak percaya. Macam juga kita, apabila dapat surat kemasukan universiti, tentu kita amat suka. Baca surat tawaran itu sampai sepuluh kali. Kita tidak terus simpan macam ia tidak ada apa-apa makna, bukan? Kita hendak beritahu orang lain. Jumpa sesiapa sahaja kita akan cerita. Sebab kita sedang suka sangat. Sama juga dengan Nabi Zakaria; dia suka sangat dan dia hendak bercakap-cakap lagi berkenaan dengan berita gembira itu. Kalau kita tahu kita dapat anak sahaja, kita tak sabar nak cerita kepada orang. Dapat scan sahaja, kita nak tunjuk kepada orang lain. Padahal kita tak faham pun scan itu. Tapi sebab kita suka sangat sampai kita nak tunjuk merata-rata.

Sama juga dengan kisah bagaimana Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah bagaimanakah Allah menghidupkan yang mati? Allah tanya adakah baginda tidak percaya. Nabi Ibrahim kata baginda bukan tidak percaya, tapi baginda hendak tahu lagi.

————————————————————————————

Ayat 9: Allah menjawab. Mungkin jawapan itu melalui malaikat.

19:9
Transliteration

qāla ka-ḏālika qāla rabbuka huwa ʿalayya hayyinun wa-qad ḫalaqtuka min qablu wa-lam taku šayˈan

Sahih International

[An angel] said, “Thus [it will be]; your Lord says, ‘It is easy for Me, for I created you before, while you were nothing.’ ”

Malay

Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya – janganlah dihairankan; Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.”

قَالَ كَذَٰلِكَ

Katanya: seperti kamu sekarang; macam keadaan Nabi Zakaria dan isterinya sekarang. Tak perlu diubah diri mereka. Kerana mungkin Nabi Zakaria tertanya-tanya: adakah apabila Allah hendak memberikan anak kepadanya, adakah Allah akan menjadikannya muda kembali? Kerana Allah boleh sahaja menjadikan manusia muda kembali. Atau adakah Allah akan memberikannya isteri yang lain kerana isterinya sendiri tidak pernah melahirkan anak? Cara bertanya itu menunjukkan lemahnya dia, mengharapnya dia kepada pemberian Allah. Tapi Allah jawap bahawa tidak perlu diubah apa-apa. Allah boleh baiki peranakan isterinya. Kerana Dia itu adalah Allah yang Maha Berkuasa.

قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ

Tuhanmu berfirman; “Hal itu mudah bagiKu; untuk mencipta Nabi Yahya itu mudah sahaja bagi Allah. Tidak perlu pelik dengan kejadian itu. Allah menggunakan perkataan رَبُّ dalam ayat ini. Kerana hendak mengingatkan bahawa Allahlah yang menjadikan dan memelihara kita.

Senang sahaja bagi Allah untuk berbuat apa-apa. هَيِّنٌ bermaksud sesuatu yang amat mudah bagi pembuatnya untuk buat. Tidak memerlukan usaha pun. Kerana kalau senang, perkataan ‘yaseer’ digunakan. هَيِّنٌ adalah sesuatu yang lebih rendah dari senang.

Ingatlah bahawa ayat-ayat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad dan para sahabat ketika mereka sedang ditindas oleh kafir musyrik di Mekah. Mereka waktu itu mengharapkan sangat pertolongan dari Allah. Dan dengan menurunkan ayat-ayat ini, Allah nak ingatkan kepada Nabi Muhammad bahawa lihatlah bagaimana Dia telah tolong Nabi Zakaria, maka Dia juga akan menolong Nabi nanti. Allah memberitahu kepada Nabi bahawa Dia tidak melupakan hal keadaan Nabi Muhammad ketika itu.

Allah beri contoh seterusnya:

وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِنْ قَبْلُ

sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu; Allah lah juga yang telah menciptakan Nabi Zakaria dan segala makhluk-makhluk yang lain.

وَلَمْ تَكُ شَيْئًا

sedang engkau pada masa itu belum apapun; sebelum itu Nabi Zakaria belum jadi manusia pun lagi. Jadi, hendak cipta manusia yang baru, tidak ada masalah bagi Allah.

Ingatlah bahawa kita semua ini diadakan di dunia ini dari tidak apa-apa. Waktu itu pun Allah boleh buat, tambahan pula kalau hendak menjadikan sesuatu dari seorang ibu dan seorang bapa? Kalau nak kira mudah, lagi mudah kalau begitu. Tapi pada Allah, semua itu sama sahaja, senang sahaja bagi Allah.

Perkataan yang digunakan adalah تَكُ. Sepatutnya dari segi bahasa, perkataan yang biasanya digunakan adalah تكن. Penggunaan kedua-duanya adalah benar dalam bahasa Arab. Kadang-kadang huruf ن boleh dibuang. Tapi kenapa Allah buang dalam ayat ini? Kerana hendak menunjukkan bahawa kamu dulu Zakaria, belum apa-apa lagi seperti juga ن itu tidak ada apa-apa makna. Kamu belum jadi apa-apa, kemudian Allahlah yang menjadikan kamu.

Kelahiran Nabi Yahya ini adalah satu kelahiran yang ajaib. Kerana ibubapanya dua-dua sudah tua sangat. Tapi selepas ini kita akan belajar lagi tentang kelahiran yang lagi ajaib, iaitu kelahiran Nabi Isa dari ibu yang masih dara dan tiada bapa. Jadi, Allah telah membuka sedikit minda kita bagaimana Allah mampu melakukan apa sahaja. Mula-mula Allah cerita tentang kelahiran yang ajaib sedikit kemudian kejadian yang lebih ajaib lagi.

————————————————————————————

Ayat 10: Apabila telah dapat berita gembira, soalan seterusnya dari Nabi Zakaria adalah bilakah baginda akan dapat anak? Ini menunjukkan para Nabi tidak tahu ilmu ghaib. Mereka juga ada kelemahan-kelemahan seperti manusia lain. Bukanlah disebabkan mereka itu Nabi, mereka tahu perkara ghaib. Allah sahaja yang tahu perkara ghaib. Maka, tidak layak kita jadikan mereka sebagai ‘perantaraan’ dalam doa kita kepada Allah. Sebagai contoh, ada manusia yang minta kepada Nabi Zakaria untuk mintakan pula kepada Allah untuk memberikan anak kepada mereka. Jadi, kalau kita hendak anak, maka minta terus kepada Allah. Tak perlu perantaraan.

19:10
Transliteration

qāla rabbi ǧʿal lī ˈāyatan qāla ˈāyatuka ˈallā tukallima n-nāsa ṯalāṯa layālin sawiyyan

Sahih International

[Zechariah] said, “My Lord, make for me a sign.” He said, “Your sign is that you will not speak to the people for three nights, [being] sound.”

Malay

Nabi Zakaria merayu lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”, Allah Taala berfirman: ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam, sedang engkau dalam keadaan sihat”.

قَالَ رَبِّ

Nabi Zakaria berkata, “Ya Rabbku!

اجْعَلْ لِي آيَةً

Jadikanlah aku suatu tanda; macam juga kita kalau dapat projek, kita nak tahu manakah offer letter untuk project itu? Kalau dapat kerja, bila boleh dapat surat tawaran kerja? Sebab kita mahukan kepastian.

Begitu juga kalau ada sesuatu tarikh yang kita anggap penting sangat, kita akan menunggu-nunggu bilakah akan sampai kepada hari itu. Sebagai contoh, katakanlah kita akan tamat pengajian di universiti, kita akan tanda dalam kalender kita dan akan kira berapa hari lagi sampai kita akan keluar dari universiti itu. Kerana kita tak sabar-sabar lagi nak keluar dan memulakan hidup yang baru. Begitu jugalah dengan Nabi Zakaria. Dia hendak dapatkan kepastian, bilakah dia akan dapat anak itu?

Satu lagi sebab kenapa Nabi Zakaria tanya ini adalah kerana baginda hendak meneruskan pertanyaan kepada Allah kerana dia dapat berkomunikasi dengan Allah.

قَالَ آيَتُكَ أَلَّا تُكَلِّمَ النَّاسَ

Allah berkata: tanda kamu adalah kamu tidak boleh berkata-kata dengan manusia

Ulama berpendapat, lidahnya kaku tidak dapat berkata-kata selama tiga hari.

ثَلَاثَ لَيَالٍ

selama tiga hari – tiga hari tiga malam; Dalam surah lain disebut ‘tiga hari’. Dalam surah Maryam ini, permulaan surah ini adalah bagaimana Nabi Zakaria merayu-rayu kepada Allah. Maka, keadaan adalah seperti suasana kegelapan, jadi Quran meneruskan tema itu. Tapi, dalam surah Ali Imran, tema surah itu adalah dalam keceriaan, maka Quran meneruskan tema keceriaan itu dengan menggunakan perkataan ‘hari’.

سَوِيًّا

sedangkan kamu sihat

Tidak ada masalah dengan Nabi Zakaria, tapi dia tidak boleh bercakap dengan manusia waktu itu. Itulah tanda yang Allah berikan kepada baginda.

Ini mengajar kepada kita, walaupun kita ada segala kelengkapan untuk bercakap, tapi jika Allah tidak benarkan kita bercakap, kita pun tidak boleh nak bercakap. Begitu jugalah dengan perkara-perkara yang lain. Kita mungkin ingat kita ada kudrat untuk melakukan sesuatu, tapi kalau Allah tidak benarkan, kita tidak akan dapat melakukannya.

————————————————————————————

Ayat 11:

19:11
Transliteration

fa-ḫaraǧa ʿalā qawmihī mina l-miḥrābi fa-ˈawḥā ˈilayhim ˈan sabbiḥū bukratan wa-ʿašiyyan

Sahih International

So he came out to his people from the prayer chamber and signaled to them to exalt [ Allah ] in the morning and afternoon.

Malay

Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka: “Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) pagi dan petang”.

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ

Maka keluarlah Nabi Zakaria berjumpa kaumnya; iaitu berjumpa dengan kaum Bani Israil yang duduk berdekatan dengannya. Manusia sedang menunggunya kerana baginda adalah imam kepada mereka.

مِنَ الْمِحْرَابِ

dari mihrab; mihrab yang berada di dalam Masjid BaitulMaqdis. Mihrab adalah satu tempat yang digunakan untuk berzikir. Kalau zaman sekarang, ada manusia yang buat bilik bertapa. Tapi apa yang Nabi Zakaria buat itu adalah syariat Nabi-nabi dahulu. Syariat Nabi Muhammad tidak ada amalan bertapa. Yang kita ada adalah iktikaf dalam masjid. Jadi, tidak perlu nak bertapa lagi. Tapi, ada ajaran-ajaran yang terlebih sampai mengajar manusia bertapa di gunung, di gua, di dalam kubur pun ada juga. Dengan harapan yang salah untuk mendekatkan diri dengan Allah. Padahal, bukankah kalau iktikaf di masjid itu lebih elok lagi? Kerana itulah ajaran Nabi.

Ada juga yang memberikan alasan bertapa sebegitu kerana Nabi dulu pun bertahannuth di Gua Hira’. Tapi, bilakah Nabi buat begitu? Selepas baginda jadi Nabi atau sebelum baginda jadi Nabi? Selepas Nabi diangkat jadi Nabi, adakah baginda buat lagi amalan tahannuth itu? Apa yang Nabi buat semasa di Gua Hira’ itu pun kita tidak pasti kerana tidak pernah sampai kepada kita melalui jalan yang sahih apakah yang Nabi buat semasa di sana. Jadi, apakah sunnah yang kita hendak ambil dari amalan Nabi itu? Orang kita kalau buat amalan itu, hanya agak-agak sahaja atau mereka mendapat amalan dari syaitan sahaja.

الْمِحْرَابِ dari katadasar حرب – perang. Digunakan perkataan ‘perang’ di sini kerana disitulah orang yang beribadat berperang dengan syaitan dan nafsu mereka. Hendaklah dibezakan perkataan الْمِحْرَابِ ini dengan mihrab yang kita ada pada zaman sekarang. Zaman sekarang, apabila disebut mihrab, ianya merujuk kepada tempat imam berdiri semasa jadi imam. Itu lain dari mihrab zaman Nabi Zakaria.

فَأَوْحَىٰ إِلَيْهِمْ

Maka dia memberi isyarat kepada mereka; baginda beri isyarat kepada mereka kerana baginda tidak boleh bercakap waktu itu.

Perkataan أَوْحَىٰ diambil dari katadasar  و ح ى – wahy. Dari segi bahasa, ia bermaksud mesej yang disampaikan dengan cepat dan secara senyap atau cara rahsia. Tidak pasti bagaimanakah cara Nabi Zakaria beri mesej kepada kaumnya itu. Ada yang mengatakan bahawa baginda menggunakan bahasa isyarat atau tulis atas tanah atau atas kertas.

أَنْ سَبِّحُوا

hendaklah mereka bertasbih

Baginda telah diberikan dengan berita gembira bahawa akan lahir anaknya yang akan meneruskan tugas-tugasnya. Tapi baginda tidak melupakan umatnya yang ada bersamanya waktu itu. Baginda masih meneruskan tugas menyampaikan dakwah kepada mereka.

Baginda memang menunggu Allah mengurniakan kepada baginda seorang anak yang dapat meneruskan usaha menyebarkan agama kepada umat. Dan sekarang Allah telah memberitahu kepada baginda bahawa baginda akan dikurniakan seorang anak seperti yang dipintanya. Tapi lihatlah bagaimana baginda terus menjalankan apa yang baginda boleh buat dalam menyebarkan agama. Baginda tidak tunggu anak itu lahir baru nak buat. Begitu jugalah kita. Kita memang kadang-kadang simpan niat yang besar untuk belajar agama, contohnya. Kita kata dalam hati kita, kalaulah kita ada masa yang panjang, kita nak belajar sungguh-sungguh agama ini. Nak ambil cuti kerja setahun untuk pergi ke Pakistan, Mesir atau Madinah nak belajar agama. Supaya kita faham betul-betul agama yang telah diturunkan Allah ini. Tapi janganlah kita tunggu ada masa yang begitu baru kita nak belajar agama. Kita belajarlah setakat yang kita mampu lakukan dalam masa sekarang. Boleh pergi mana-mana kelas yang mengajar agama dengan betul, yang mengajar Quran, mengajar hadis dan sebagainya. Dah banyak tempat nak belajar di negara kita ini. Tidak perlu pergi jauh-jauh pun dah ada. Cuma kena pandai pilih manakah tempat yang mengajar dengan betul. Sebab kalau salah pilih, maka yang diajar adalah benda-benda yang salah. Yang diajar adalah benda-benda kecil sahaja, yang penting-penting tidak diajar. Yang diajar cuma kitab-kitab karangan manusia, tapi makna-makna Quran tidak diajar, kata-kata Nabi tidak disentuh. Maka, akan semakin jahil lah kita kalau begitu. Hendaklah cari kelas pengajian yang mengajar sunnah yang betul-betul sunnah.

Begitu juga, kita pun ada simpan dalam hati kita niat yang baik – kalau kita jadi kaya, kita akan bina masjid, kita akan buat rumah anak yatim dan sebagainya. Tapi kita sekarang tidak kaya-kaya lagi. Adakah kita tunggu nak jadi kaya baru kita nak sedekah dan infak kepada manusia? Buatlah apa yang termampu dalam masa sekarang.

Begitu juga kalau kita dah ada ilmu yang sedikit. Sampaikan kepada manusia lainnya. Tidak perlu tunggu dah habis belajar, dah jadi alim, dah jadi ustaz dah jadi maulana baru nak mengajar. Ajarlah mana yang kita dah tahu. Sebab kalau nak tunggu bila dah habis belajar, tak tahu bila lagi kita akan sampai ke tahap itu.

بُكْرَةً وَعَشِيًّا

pagi-pagi dan petang-petang; baginda sendiri pun buat begitu juga dan sekarang baginda menyuruh kaumnya juga berbuat demikian.

Selepas itu, maka lahirlah Yahya. Kisah itu tidak disebut kerana dipotong. Quran tidak menceritakan dengan satu persatu. Quran bukanlah satu novel yang menceritakan setiap perkara satu persatu. Quran hanya menyebut perkara-perkara yang penting sahaja. Maka, kalau ayat-ayat Quran itu kita baca, maka kita tahulah bahawa ianya adalah penting kerana Allah telah masukkan ayat-ayat itu dalam Quran. Kalau tak penting, Allah tak masukkan. Maka kita tahu setiap ayat dalam Quran ada pengajaran yang hendak disampaikan.

Lompat ke ayat yang seterusnya

==========================================================

 

ref: UR, NJ, IB, NAK

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 019: Maryam and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Maryam Ayat 1 – 11

  1. samsam says:

    all I wrote is I love it……………………………………………………………………..yeeeeeppppeeeeeee

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s