Tafsir Surah Zumar Ayat 68 – 75 (Kumpulan mana kita nak masuk?)

Ayat 68: Keadaan di akhirat kelak dengan diberikan juga takhwif ukhrawi.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّماواتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ فَإِذا هُم قِيامٌ يَنظُرونَ

Sahih International

And the Horn will be blown, and whoever is in the heavens and whoever is on the earth will fall dead except whom Allah wills. Then it will be blown again, and at once they will be standing, looking on.

Malay

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiup pada sangkakala

Ini adalah tiupan Sangkakala yang pertama. Israfil akan tiup pada sangkakala apabila diarahkan oleh Allah apabila sampai masanya. Kenapa Allah gunakan tiupan sangkakala dan bagaimanakah keadannya? Kita tidak tahu dengan tepat kerana ini adalah termasuk perkara ghaib. Tapi kalau kita cuba, apa yang kita boleh bayangkan, tiupan sangkakala itu adalah satu tiupan yang kuat. Yang akan menyebabkan kita terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ia. Begitu juga sekarang ini pun, kalau ada bunyi hon yang kuat, kita akan terperanjat dan tertanya-tanya apakah sebabnya bunyi itu. Begitulah nanti Allah akan memberikan satu bunyi yang kuat yang akan menyebabkan kita terkejut.

فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ

apa sahaja makhluk yang berada di bumi dan langit akan mati semuanya,

Tiupan Sangkakala yang pertama itu akan mematikan seluruh makhluk di alam ini. Tidak kira samada mereka berada di langit atau di bumi. Tapi Allah sebut ‘langit’ dahulu kerana permulaan kiamat itu dari langit. Langit yang akan dapat kesannya dahulu.

إِلَّا مَن شَاءَ اللَّهُ

melainkan sesesiapa yang dikehendaki Allah.

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ada juga makhluk yang tidak dimatikan dengan tiupan sangkakala. Siapakah mereka itu ada diceritakan dalam hadis. Iaitu lapan malaikat yang menongkat Arash, dan empat malaikat besar: Jibrail, Mikail, Izrail dan Israfil. Jadi, ada 12 malaikat yang tidak mati dengan tiupan sangkala. Mereka akan dimatikan satu-satu dengan perintah Allah. Allahu a’lam.

نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ

Kemudian ditiupkan sangkala kedua,

Tiupan sangkakala kedua ini adalah untuk menghidupkan semua makhluk. Selepas ditiupkan pada Sangkala pertama dan kemudian setelah dimatikan semua makhluk yang tidak mati semasa tiupan Sangkakala pertama itu, hanya Allah sahaja yang tinggal. Kemudian Allah mula-mula menghidupkan Israfil dan beliau diarahkan untuk meniupkan tiupan kedua untuk menghidupkan kembali semua makhluk.

فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

maka mereka semua tiba-tiba bangkit berdiri dari kubur, hadir menunggu.

Kita semua akan bangkit dalam keadaan gelap gelita. Dibangkitkan untuk dibicarakan. Waktu itu, kita semua tak tahu nak pegi mana. Kemudian kita semua akan dihalau untuk pergi ke Mahsyar. Tidak dapat dibayangkan keadaan pada hari itu. Kerana semua sekali akan dihidupkan dari mula kehidupan sehingga Hari Kiamat. Semuanya nanti akan dihidupkan semula serentak. Semua dapat melihat makhluk yang lain. Tidak dapat dibayangkan berapa ramai makhluk akan ada pada hari itu.


 

Ayat 69: Satu lagi ayat mutashabihah.

وَأَشرَقَتِ الأَرضُ بِنورِ رَبِّها وَوُضِعَ الكِتابُ وَجِيءَ بِالنَّبِيّينَ وَالشُّهَداءِ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَهُم لا يُظلَمونَ

Sahih International

And the earth will shine with the light of its Lord, and the record [of deeds] will be placed, and the prophets and the witnesses will be brought, and it will be judged between them in truth, and they will not be wronged.

Malay

Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا

Maka akan terang benderang bumi Mahsyar dengan cahaya Tuhannya.

Cerah macam mana? Kita tidak tahu keadaannya macam mana. Tidak perlu untuk kita fikirkan dan bayangkan. Tidak perlu kita nak takwil. Tidak pernah diberitahu oleh Nabi, jadi tidak perlu kita nak susah payah nak cari maksudnya. Dari lafaz ayat ini, memberi isyarat bahawa Allah menampakkan DiriNya.

وَوُضِعَ الْكِتَابُ

dan akan dibawakan kitab suratan amal.

Setiap kita akan diberikan dengan kitab amalan kita sendiri. Amalan kita sehari akan diletakkan dalam satu scroll. Apabila dibentangkan, ianya adalah sejauh mata memandang. Kita sendiri akan baca amalan harian satu persatu. Yang jadi saksi adalah Raqid Atid kerana merekalah yang menulis amalan mereka. Ada kisah bagaimana Allah akan arahkan malaikat untuk campakkan amalan mereka. Maka, malaikat pencatit akan kata bahawa mereka menyaksikan bahawa mereka manusia itu ada buat amalan itu. Tapi Allah akan tanya balik samada malaikat tahu apakah yang ada dalam hati manusia itu? Ini bermakna, malaikat tidak tahu isi hati kita. Kalau malaikat pun tidak tahu, bagaimana ada yang kata manusia boleh tahu pula? Ada kalangan orang kita yang takut bila nak bertemu dengan guru mereka kerana mereka sangka guru mereka tahu apakah dalam hati mereka. Ini adalah satu kepercayaan yang karut sama sekali. Hanya Allah sahaja yang tahu isi hati kita. Janganlah kita percaya kepada perkara-perkara seperti itu. Teruk sangat kepercayaan masyarakat kita kerana telah dimomok-momokkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran sesat.

Mereka yang banyak amal akan rasa bangga semasa membaca amalan mereka dan mereka yang jahat akan rasa malu sangat-sangat malu sambil membaca kitab amalan mereka.

وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ وَالشُّهَدَاءِ

Dan dibawa datang semua Nabi-Nabi dan segala saksi-saksi.

Siapakah saksi-saksi itu? Mereka yang melakukan tabligh (dakwah) untuk sebar agama. Yang menyebarkan ajaran tauhid. Yang pertama sekali adalah tentunya para Nabi kerana mereka yang mula menyampaikan dakwah kepada umat mereka. Kemudian akan diteruskan oleh pendakwah yang meneruskan tugas para Nabi dan Rasul itu. Mereka akan beritahu siapakah orang-orang yang mereka telah dakwahkan tapi tak mahu terima. Mereka akan beritahu siapakah yang telah menghalang mereka dari mengajar dalam masjid, dalam surau dan sebagainya. Mereka akan bentangkan siapakah guru-guru, ustaz-ustaz yang cuba menyekat guru-guru ajaran sunnah dari dapat mengajar kepada masyarakat. Mereka yang mengamalkan bidaah dan syirik akan cuba untuk halang kerana kalau dibenarkan guru ajaran tauhid dan sunnah mengajar, maka akan pecahlah tembelang mereka yang tidak tahu tentang agama. Mereka itu tidak tahu tentang agama kerana mereka tidak pernah lagi belajar tafsir Quran dan Hadis Nabi. Tapi masalahnya merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat sekarang. Sampai mereka boleh masuk suratkhabar, tv, radio dan sebagainya. Merekalah yang buat duit dengan mengambil upah dari masyarakat yang jahil untuk jadi pembaca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya.

Dalam ayat-ayat lain ada disebut bagaimana para Nabi akan ditanya tentang penerimaan umat mereka terhadap dakwah mereka. Maka berlakukan perbicaraan antara umat dan Nabi mereka. Ini kita akan belajar dalam surah-surah yang lain.

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

dan akan dihakimi diantara mereka dengan adil,

Allah dah tahu apakah yang makhluk telah buat. Tapi Allah jadikan majlis perbicaraan untuk menunjukkan keadilanNya. Semua makhluk akan mengadap Allah dalam duduk berlutut dalam keadaan telanjang. Semuanya akan mengadap Allah ada yang semasa berkumpulan dan ada yang semasa berseorangan, tidak ada yang bersama kita. Waktu itu, kita tidak mampu hendak menolak atau memberi alasan lagi diatas perbuatan kita. Kita terpaksa mengaku semuanya sekali.

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

dan mereka tidak dizalimi sedikit pun.

Satu dosa akan dibalas satu atau boleh jadi, lagi kurang dari itu dan dimaafkan langsung. Satu pahala pula dibalas sekurang-kurangnya sepuluh atau lebih lagi berganda-ganda. Bermakna, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dizalimi oleh Allah. Mana boleh kita nak kata Allah berlaku zalim, sedangkan Allah hanya membalas kejahatan dengan keburukan atau dimaafkan, tapi yang melakukan kebaikan, Allah akan balas lebih lagi dari apa yang mereka buat.


 

Ayat 70:

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ ما عَمِلَت وَهُوَ أَعلَمُ بِما يَفعَلونَ

Sahih International

And every soul will be fully compensated [for] what it did; and He is most knowing of what they do.

Malay

Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.

 

وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ

Dan akan diberikan balasan setiap jiwa

Allah dengan segala keadilanNya akan beri balasan yang setimpal. Tidak akan ada makhluk yang akan mempersoalkan keadilan Allah pada waktu itu.

مَّا عَمِلَتْ

daripada apa yang telah mereka lakukan

Amalan baik akan dibalas baik. Amalan jahat dan zalim akan dibalas dengan keburukan. Tidaklah mereka akan dihukum atas perbuatan yang mereka tidak lakukan; kalau di dunia, ada kemungkinan manusia dihukum atas kesalahan yang mereka tidak lakukan; dan tidak ada amalan kebaikan yang tidak dibalas dengan kebaikan. Kerana Allah tahu belaka apa yang kita telah lakukan. Tidak akan tertinggal satu pun kebaikan pun melainkan akan dibalas.

Allah Maha Adil dan tidak pernah dan tidak akan zalim. Bukanlah Allah hendak menyeksa hambaNya, tapi segala azab yang akan dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan manusia sendiri.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا يَفْعَلُونَ

tapi Allah sudah sedia tahu apa yang mereka amalkan.

Allah lebih tahu apa yang telah mereka lakukan dulu semasa di dunia. Bukanlah dibentangkan amalan itu sebab Allah tak tahu. Allah memang dah tahu dah. Tapi Allah hendak menunjukkan keadilanNya. Allah tahu segala-galanya. Kadang-kadang kita sendiri sudah lupa apa yang kita lakukan, tapi Allah tahu.


 

Ayat 71: Takhwif Ukhrawi

وَسيقَ الَّذينَ كَفَروا إِلىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها فُتِحَت أَبوابُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها أَلَم يَأتِكُم رُسُلٌ مِنكُم يَتلونَ عَلَيكُم آياتِ رَبِّكُم وَيُنذِرونَكُم لِقاءَ يَومِكُم هٰذا ۚ قالوا بَلىٰ وَلٰكِن حَقَّت كَلِمَةُ العَذابِ عَلَى الكافِرينَ

Sahih International

And those who disbelieved will be driven to Hell in groups until, when they reach it, its gates are opened and its keepers will say, “Did there not come to you messengers from yourselves, reciting to you the verses of your Lord and warning you of the meeting of this Day of yours?” They will say, “Yes, but the word of punishment has come into effect upon the disbelievers.

Malay

Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Tidakkah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang!” Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir.

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ زُمَرًا

Dan akan dihalau orang-orang yang kafir itu ke arah neraka jahanam berkumpulan-kumpulan.

Ayat ini diturunkan di Mekah. Jadi orang-orang kafir yang dimaksudkan di sini adalah kafir musyrikin. Tapi, jangan kita ingat ianya hanya ditujukan kepada mereka sahaja. Mungkin ada yang ingat ini adalah hanya ditujukan kepada musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima dakwah Nabi seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya sahaja. Quran ini bukanlah hendak menceritakan tentang mereka sahaja. Quran hendak memberi peringatan kepada kita supaya jangan jadi macam mereka. Kalau kita jadi seperti mereka, maka kita pun akan dimasukkan ke dalam neraka sahaja.

Adakah kita ada persamaan dengan mereka? Bagaimana pula kita disamakan dengan mereka? Ketahuilah bahawa ada banyak persamaan kita dan mereka. Mereka tahu Allah itu adalah Tuhan. Mereka menganggap Kaabah itu suci dan kita juga anggap begitu. Mereka menerima Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagai Nabi. Mereka juga tawaf keliling Kaabah. Mereka juga ada yang solat (peninggalan dari syariat Nabi Ibrahim), mereka iktikaf, bernazar dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik. Mereka menyembah berhala, mereka bertawasul kepada berhala, mereka memohon doa kepada selain Allah. Dan banyak lagi perbuatan syirik yang mereka buat. Jadi, kalau kita pun buat seperti mereka juga – bertawasul, mengamalkan pantang selepas bersalin, percaya kepada perkara khurafat, ambil berkat dengan guru dan sebagainya, kita pun jadi musyrik juga dan termasuk dalam ancaman Allah dalam ayat ini. Ingatlah bahawa Quran ini adalah pedoman sepanjang zaman, ianya untuk mengingatkan kita di zaman sekarang. Ianya ditujukan kepada kita. Jangan kita sangka ayat-ayat Quran ini hanya hendak menceritakan tentang kesalahan-kesalahan orang dahulu kala sahaja. Jangan ingat kita terselamat kerana kita orang Islam. Kalau kita tidak belajar, dan tersilap langkah dalam kepercayaan akidah kita, kita pun boleh masuk neraka juga tak keluar-keluar. Walaupun kita sangka kita orang Islam, walaupun kita ingat kita dah mengamalkan amalan-amalan dalam Islam.

Mereka yang engkar akan diheret seperti binatang diheret ke padang ragut dan kembali ke kandang mereka. Bayangkan keadaan apabila petang, dan pengembala lembu akan menghalau ternakan mereka untuk masuk kandang kembali. Begitulah juga nanti akan dilakukan kepada manusia yang engkar dengan perintah Tuhan.

Mereka akan dimasukkan ke Neraka dalam keadaan berpuak-puak. Kita tidak pasti bagaimana pengkhususan itu – mungkin sebagai contoh, ikut kampung dan ikut masa. Contohnya, ini kumpulan penduduk kampung Paya Jaras, tinggal pada tahun 2000 dan sebagainya. Ini adalah sebagai contoh sahaja untuk memahamkan ayat ini. Bukanlah semestinya tepat seperti yang Allah akan lakukan. Allahu a’lam. Mereka semuanya akan dihadapkan di pintu neraka. Akan dilempar dulu yang paling jahat antara kumpulan itu. Kemudian yang kurang jahat selepas dia dan selepas dia ikut tahap kejahatan. Akan dipegang kepala dan kakinya oleh malaikat, kemudian akan dilempar ke dalam jurang neraka. Jauhnya dasar neraka itu, 70 tahun baru sampai ke dasar. Semasa jatuh itu, dah terbakar dah.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا

sehingga ketika mereka sampai ke neraka.

Mereka akan diherat ke pintu neraka kerana mereka takkan mahu nak pergi sendiri. Sewaktu mereka sampai ke neraka, pintu neraka masih tertutup lagi. Jadi mereka kena tunggu di situ. Tunggu itu pun satu siksaan dah. Mereka tak tahu bilakah mereka akan masuk. Tapi dah nampak dah neraka itu dan azab yang ada di dalamnya. Bayangkan, kalau kita dah nampak penjara yang kita akan masuk pun kita dah rasa semacam dah. Apatah lagi kalau nak masuk neraka. Tentunya lagi menakutkan. Tunggu pula dalam keadaan tersiksa, dalam lapar dan dahaga, dalam kepanasan. Dalam surah Yaasin, telah disebutkan tangan mereka diikat ke tangan dan tangan itu diikat ke leher.

فُتِحَتْ أَبْوَابُهَا

barulah dibuka pintu neraka

Setelah sekian lama, setelah mereka disiksa dengan perasaan takut tidak tahu bilakah mereka akan dimasukkan, barulah dibuka pintu neraka itu.

Kemudian pintu neraka itu akan ditutup rapat tidak dibuka lagi. Pintu neraka tidak terbuka, sebab tak mahu kepanasan di dalamnya keluar.

Macam pintu penjara, hanya dibuka apabila ada yang akan dimasukkan atau nak keluarkan seseorang.

وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا

Maka berkatalah penjaga-penjaga neraka kepada mereka.

Sebelum mereka dicampak ke dalam neraka, malaikat penjaga neraka itu akan bertanya kepada mereka. Ada 19 malaikat sahaja yang jaga neraka. Bukannya ramai pun. Walaupun tak ramai, tapi semua yang masuk neraka akan taat kepada malaikat. Tak berani nak ambil air untuk minum walaupun air ada di kaki. Walaupun mereka amat dahaga. Seribu tahun mereka minta nak minum baru dapat. Itu pun akan diberikan air nanah dan air peluh yang panas sampai menyiatkan muka mereka.

Kata-kata malaikat itu adalah sebagai takzib rohani – untuk tambah menyakitkan hati mereka lagi. Mereka sudahlah takut akan masuk neraka, dan tubuh mereka akan diseksa dengan teruk sekali. Tapi dalam masa itu, mereka akan dihina lagi oleh para malaikat mengingatkan akan kesalahan mereka. Apakah kata-kata malaikat itu?

أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ

Tidakkah pernah datang kepada kamu rasul dari kalangan kamu juga?

Selain daripada rasul-rasul itu, termasuklah juga mereka yang mengajar tauhid, kerana zaman kita tidak ada rasul dah. Tidakkah datang kepada mereka pendakwah-pendakwah yang datang hendak mengajar mereka?

Rasul atau pendakwah itu dari kalangan kita juga. Masyarakat Arab dahulu diberikan dengan rasul dari kalangan mereka. Yang memahami keadaan mereka dan bahasa mereka. Supaya senang sampai maklumat kepada mereka. Kerana kalau dihantar bukan dari kalangan mereka, tentulah mereka tidak tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Rasul-rasul itu. Begitu jugalah dengan kita, kalau pendakwah itu, mestilah dari kalangan bangsa itu juga. Kerana mereka kenal dan faham dengan situasi masyarakat itu. Bahasa pun senang faham.

يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِ رَبِّكُمْ

yang mereka membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu.

Bukanlah para pendakwah itu telah bacakan wahyu kepada kamu? Maknanya nak tabligh manusia adalah dengan menggunakan ayat Quran dulu. Kemudian apabila mereka dah terima baru dibaca hadis. Bukan terus diajar dengan kitab itu dan kitab ini. Kena dimulakan dengan mengajar mereka tafsir Quran. Tapi realitinya, pengajaran tafsir Quran amat jarang di Malaysia ini. Yang ada hanyalah pengajaran kitab yang ditulis manusia yang kebanyakannya diambil dari akal manusia. Lagi menyedihkan, guru-guru dan ustaz-ustaz yang mengajar agama kepada masyarakat itu sendiri pun tidak belajar pun lagi tafsir Quran. Ini termasuklah dengan mereka yang sepatutnya menjaga agama Islam di pejabat agama, majlis agama dan sebagainya. Termasuklah dengan mufti-mufti kita sendiri pun.

Maka, tidak hairanlah berapa ramai orang Islam yang sudah keluar dari Islam, masuk agama lain. Atau kalau mereka tak masuk agama lain pun, mereka tidak mengendahkan agama Islam ini lagi dah. Kerana guru-guru yang mengajar pun tidak tahu apakah yang mereka ajar. Sepatutnya mereka mengajar dari ayat-ayat Quran seperti yang disebut dalam ayat ini, tapi kerana mereka sendiri pun tidak belajar tafsir Quran, bagaimana mereka hendak mengajar tafsir Quran?

وَيُنذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا

dan memberi peringatan kepada kamu tentang perjumpaan kamu pada hari ini

Selalu pendakwah tauhid akan mengingatkan kita tentang hal kematian. Samada kita buat baik atau tidak baik, kita akan bertemu juga dengan Allah akhirnya untuk menerima balasan kita. Mereka akan selalu ulang perkara itu kerana banyak sekali ayat-ayat dalam Quran mengingatkan kita tentang perkara ini.

Kenapa malaikat penjaga neraka tanya macam itu? Itu juga sebagai seksaan kepada mereka. Mereka sudah tahu pun bahawa mereka telah celaka, akan dimasukkan ke dalam neraka. Tapi bila ditanya sebegitu, akan menambahkan penyesalan kepada diri mereka. Mereka akan teringat dan menyesal – kalaulah mereka dulu mendengar kata-kata Rasul, kata-kata guru yang mengajar, tentulah mereka tidak akan jadi begini.

قَالُوا بَلَىٰ

Mereka jawap: bahkan ada.

Mereka mengaku memang ada yang datang ajar dan ajak mereka kepada tauhid dan kepada Allah. Tak boleh nak jawap lain dah. Mereka terpaksa mengaku yang benar sahaja waktu itu. Mereka tidak boleh menipu dengan kata tidak ada pendakwah yang datang kepada mereka. Dan memang telah disebut bagaimana ada saksi yang akan membenarkan perkara itu, lalu bagaimana lagi nak menipu? Banyak ayat-ayat dalam Quran menceritakan bagaimana penghuni syurga mengaku bahawa mereka telah didatangi oleh pemberi peringatan.

Maknanya, mereka dah dengar dah, tapi kenapa tak ikut? Kerana mereka itu degil sahaja.

وَلَٰكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكَافِرِينَ

tetapi sudah tetap keputusan azab atas orang-orang kafir.

Samada mereka sendiri berkata, atau malaikat yang berkata: walaupun mereka telah mengaku, telah beriman dah waktu itu dengan sebenar-benar iman, tapi keputusan untuk memasukkan mereka ke dalam neraka telah ditetapkan dan tidak akan diubah lagi. Kerana walaupun telah datang para pendakwah kepada mereka, mereka telah mendustakan para pendakwah itu atau degil untuk menerima dakwah dari mereka.


Ayat 72: Dan malaikat-malaikat itu akan berkata:

قيلَ ادخُلوا أَبوابَ جَهَنَّمَ خالِدينَ فيها ۖ فَبِئسَ مَثوَى المُتَكَبِّرينَ

Sahih International

[To them] it will be said, “Enter the gates of Hell to abide eternally therein, and wretched is the residence of the arrogant.”

Malay

(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: “Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.

 

قِيلَ ادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ

Masuklah kamu melalui pintu-pintu neraka jahanam itu.

Oleh kerana mereka degil, tidak belajar wahyu, tidak ikut arahan dari wahyu itu, maka natijahnya, masuklah ke dalam neraka ini. Bukan masuk dengan senang lenang, tapi dengan dilemparkan mereka-mereka itu dengan kasar sekali. Ada banyak jenis neraka dan mereka akan dimasukkan ikut neraka yang ditetapkan untuk mereka.

خَالِدِينَ فِيهَا

tinggal tetaplah kamu di dalamnya

Tidak ada peluang nak keluar lagi dari neraka. Ini kalau kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan syirik, tidak beramal dengan tauhid. Kalau mereka orang beriman, tapi ada dosa yang banyak, maka mereka kena dimasukkan ke dalam neraka dulu tai akhirnya akan masuk ke dalam syurga juga.

فَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Inilah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong ini.

Sombong sebab tak mahu belajar agama. Sombong tak mahu belajar tafsir Quran. Kerana mereka ingat mereka dah tahu tentang agama. Sebab mereka ada guru yang mengajar mereka benda-benda lain. Mereka sangka dah cukup dah apa yang mereka belajar itu. Mereka sangka mereka dah selamat. Mereka rasa mereka dah pandai. Sebab itu bila diajak belajar tafsir Quran, mereka tak mahu nak belajar. Ada yang kata, tak perlu belajar tafsir Quran dan hadis, cukup dengan kenal Tuhan. Tapi bagaimana hendak kenal Tuhan, kalau bukan melalui Quran? Ini bermakna, mereka mengenal Tuhan dengan cara lain. Ada lah cara salah yang mereka telah belajar. Allah sendiri memperkenalkan DiriNya melalui KalamNya, mereka tak mahu terima. Tapi mereka terima kata guru-guru mereka yang salah itu.

Macam mana kita tahu mereka salah? Kerana kalau tidak pakai ayat-ayat Quran, kita dah tahu dah bahawa ianya mesti salah. Mereka membesarkan guru mereka dari ayat-ayat Allah. Guru-guru mereka itu mengajar agama bukan dari Quran dan Hadis. Maka, ajaran mereka itu tidak tepat. Maka, masyarakat pun buat perkara yang salah. Bayangkan, cara takbir pun dah macam-macam jenis dah. Padahal, telah diajar cara takbir dalam hadis dah. Tapi, sebab tak belajar hadis, mereka mereka-reka perkara agama.


 

Ayat 73: Tabshir Ukhrawi. Ini pula tentang orang-orang yang mukmin, iaitu ahli-ahli syurga. Bandingkan dengan cara mereka dimasukkan ke dalam syurga. Sebelum ini tentang ahli-ahli neraka.

وَسيقَ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم إِلَى الجَنَّةِ زُمَرًا ۖ حَتّىٰ إِذا جاءوها وَفُتِحَت أَبوابُها وَقالَ لَهُم خَزَنَتُها سَلامٌ عَلَيكُم طِبتُم فَادخُلوها خالِدينَ

Sahih International

But those who feared their Lord will be driven to Paradise in groups until, when they reach it while its gates have been opened and its keepers say, “Peace be upon you; you have become pure; so enter it to abide eternally therein,” [they will enter].

Malay

Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (mereka pun masuk)

وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا

Dan diajak orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka ke syurga dalam berkumpulan juga

Perkataan وَسِيقَ juga digunakan dalam ayat ini. Mereka akan dimasukkan dengan segera juga. Tapi dengan cara yang baik, bukan macam ahli neraka. Kerana ahli-ahli syurga juga dibawa dengan cepat ke syurga, supaya mempercepatkan mereka menerima nikmat syurga. Mereka tidak jalan sendiri tapi dibawa dengan kenderaan sebagai penghormatan kepada mereka.

Mereka juga dibahagikan ikut kumpulan: ada kumpulan banyak solat, ada yang banyak puasa, ada yang pendakwah, dan sebagainya. Golongan yang pertama masuk adalah kaum Muqarribin, lalu kaum Abrar, kemudian orang-orang sesudah mereka, lalu menyusul golongan sesudah mereka lagi. Masing-masing rombongan digabungkan bersama orang-orang yang setara kedudukannya, yaitu para nabi dengan para nabi, kaum siddiqin bersama orang-orang yang setara dengan mereka, para syuhada bersama orang yang sejenis dengan mereka, dan para ulama bersama teman-temannya; setiap golongan bersama golongan yang setingkat satu sama lainnya.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا

Apabila mereka sampai, maka pintu syurga sudah terbuka.

Sebab dalam lafaz وَفُتِحَتْ ini ada huruf ‘و‘ menunjukkan pintu syurga sudah siap-siap terbuka. Pintu syurga sudah terbuka menunggu mereka datang sahaja. Sebab menunggu sesuatu adalah satu azab. Bayangkan kalau kita pergi ke satu kenduri kahwin, kita dah sampai dah, tapi gate rumah kenduri itu tidak dibuka lagi. Tentulah kita tidak suka. Maka ahli syurga tidak akan dibiarkan menunggu lama. Itu adalah satu nikmat juga. Pintu syurga itu tidak pernah ditutup lagi dari dulu lagi, kerana menunggu ahlinya untuk masuk sahaja. Tidak macam pintu neraka yang sentiasa tertutup.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui hadis Abu Zar’ah, dari Abu Hurairah r.a. tentang hadis syafaat yang cukup panjang, yang antara lain seperti berikut:

“فَيَقُولُ اللَّهُ يَا مُحَمَّدُ، أَدْخِلْ مَنْ لَا حِسَابَ عَلَيْهِ . مِنْ أُمَّتِكَ مِنَ الْبَابِ الْأَيْمَنِ، وَهُمْ شُرَكَاءُ النَّاسِ فِي الْأَبْوَابِ الْأُخَرِ. وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، إِنَّ مَا بَيْنَ الْمِصْرَاعَيْنِ مِنْ مَصَارِيعِ الْجَنَّةِ -مَا بَيْنَ عِضَادَتَيِ الْبَابِ-لَكُمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَهَجَرٍ-أَوْ هَجَرٍ وَمَكَّةَ”. وَفِي رِوَايَةٍ: “مَكَّةَ وَبُصْرَى”

Maka Allah Swt. berfirman, “Hai Muhammad, masukkanlah orang yang tidak ada hisab baginya dari kalangan umatmu dari pintu sebelah kanan, dan pintu lainnya dipersekutukan oleh semua orang. Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada di dalam genggaman kekuasaan-Nya, sesungguhnya jarak di antara kedua sisi pintu dari salah satu pintu surga iaitu lebar dari kedua daun pintu (gerbang)nya benar-benar sama dengan jarak antara Mekah ke Hajar atau antara Hajar ke Mekah. Dan menurut riwayat lain disebutkan: antara Mekah dan Basra.

وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَامٌ عَلَيْكُمْ

Maka berkata penjaga syurga: selamat sejahtera kepada kamu

Pada pintu syurga itu ada malaikat yang jaga juga. Mereka itu adalah malaikat Ridwan. Seperti kalau kita pergi ke sesuatu majlis, tentu ada usher yang akan menjemput kita masuk. Malaikat itu akan menyambut kita dengan muka yang amat manis. Tengok muka malaikat itu pun sudah nikmat, belum kita bila dah masuk dalam syurga lagi.

طِبْتُمْ

Bergembiralah kamu

Pujian akan diberikan kepada ahli syurga semasa mereka masuk ke dalam syurga. Mereka diberikan dengan berita gembira. Bergembiralah kamu kerana dulu kamu telah beramal dengan amal kebaikan dan mengamalkan tauhid. Jadi ini adalah seperti lafaz syabas yang diberikan kepada ahli syurga.

فَادْخُلُوهَا خَالِدِينَ

Masuklah kamu ke dalam syurga ini, kekal kamu di dalamnya.

Tidak ditanya kepada mereka samada pendakwah tak yang datang kepada mereka. Kerana memang dah tahu dah yang mereka masuk syurga itu kerana mereka telah mendengar dakwah yang disampaikan oleh Nabi dan para pendakwah.

Ucapan yang diberikan kepada ahli syurga adalah perkara baik-baik belaka. Diberitahu yang mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Kerana itu adalah nikmat yang amat besar. Kalau masuk syurga, tapi diberitahu masuk sekejap sahaja, tentu tidak puas menikmati nikmat dalam syurga kerana ada rasa yang tak lama lagi akan keluar, bukan?


Ayat 74: Ini adalah kata ahli-ahli syurga.

وَقالُوا الحَمدُ لِلَّهِ الَّذي صَدَقَنا وَعدَهُ وَأَورَثَنَا الأَرضَ نَتَبَوَّأُ مِنَ الجَنَّةِ حَيثُ نَشاءُ ۖ فَنِعمَ أَجرُ العامِلينَ

Sahih International

And they will say, “Praise to Allah , who has fulfilled for us His promise and made us inherit the earth [so] we may settle in Paradise wherever we will. And excellent is the reward of [righteous] workers.”

Malay

Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”.

 

وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ

Dan berkata mereka, segala puji *hanya* kepada Allah,

Kita kena kata pujian *hanya* kepada Allah. Kerana semua pujian akhirnya akan kembali kepada Allah. Lihat perbincangan dalam surah Fatihah. Maka, pujian sebenar hanya untuk Allah sahaja.

Kita selalu cakap الْحَمْدُ لِلَّهِ setiap hari. Tapi semasa kita cakap الْحَمْدُ لِلَّهِ waktu ini, tidak sama langsung dengan ucapan kita semasa di dunia ini. Waktu itu kita dah berjaya dah masuk syurga, kita dah nampak dah kenikmatan syurga, maka cara kita cakap الْحَمْدُ لِلَّهِ waktu itu dah lain dah. Kalau kita cemas nak kena langgar dengan kereta dan Allah selamatkan kita, pun dah lain cara kita sebut الْحَمْدُ لِلَّهِ. Tambahan pula kalau dapat masuk dalam syurga nanti.

الَّذِي صَدَقَنَا وَعْدَهُ

yang telah membenarkan janjiNya

Pujian yang istimewa kepada Allah yang telah menjadikan janjiNya realiti. Sesiapa yang buat amalan, sebar agama, buat baik dan sebagainya, akan dibayar dengan kebaikan di akhirat nanti. Allah tidak memungkiri janjiNya.

 

وَأَوْرَثَنَا الْأَرْضَ

dan Dia telah mewariskan kami bumi syurga ini

Kita sebenarnya mewarisi syurga itu daripada datuk kita iaitu Adam a.s. Maka, syurga itu sebenarnya hak kita. Kita sepatutnya duduk di syurga. Tapi, ada antara kita yang buang tempat kita dalam syurga dan buat perkara yang memasukkan kita ke dalam neraka. Alangkah ruginya.

 

نَتَبَوَّأُ مِنَ الْجَنَّةِ حَيْثُ نَشَاءُ

dan kami boleh ambil bebas memiliki bergerak di mana sahaja yang kami hendak

Kita bebas untuk bergerak dan buat apa sahaja dalam syurga. Boleh ambil apa sahaja dalam syurga itu kerana apa sahaja yang kita nampak dalam syurga itu adalah hak kita, telah tersedia untuk kita. Tidak perlu nak tanya mana satu kita punya, kerana boleh ambil semuanya sekali. Tidak ada larangan apabila dah masuk dalam syurga. Makan apa sahaja nak makan, tidak ada kerisauan tidak cukup makanan itu, orang lain pun nak makan juga, adakah ianya akan menyebabkan kita sakitkah atau apa-apa sahaja yang menghalang. Kita akan makan sebanyak nafsu makan seribu orang. Sebab di syurga tidak akan kenyang-kenyang. Sebab kalau kenyang, kita tidak makan banyak. Tapi tidaklah kita lapar sebenarnya, kerana di syurga tidak ada rasa lapar – kita makan untuk menikmati makan sahaja. Kekuatan seks pula adalah sekuat seratus kali ganda lelaki di dunia sekarang. Semuanya ini diceritakan dalam hadis.

Apa-apa sahaja kemahuan kita akan dipenuhi di syurga nanti. Ianya adalah satu tempat untuk kita menikmati segala nikmat. Tubuh badan kita pun telah dinaiktaraf untuk menikmati segala nikmat di syurga nanti. Kita nak ubah rupa kita pun boleh juga. Oleh itu, tidakkah kita rasa teringin untuk masuk ke dalam syurga?

Bayangkan, satu dunia akan jadi hak kita. Saiz dunia sekarang ni, akan jadi hak kita sahaja. Segala apa yang ada di syurga itu adalah hak kita.

فَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ

itulah sebaik-baik nikmat balasan kepada orang yang berbuat baik kepada Allah.

Kita tidak masuk syurga kerana amalan kita kerana kalau dikira amalan kita, tidak layak untuk mendapatkan tempat kita di syurga. Bayangkan, amalan kita paling banyak pun dalam 60 tahun sahaja, itupun bukan sepanjang hayat kita dan sepanjang hari kita buat ibadah – tapi duduk di syurga selama-lamanya – mana cukup.

Tapi Allah kata kita masuk syurga kerana amalan kita. Bagaimana pula? Begini: kita tidak layak untuk kata kita masuk syurga kerana amalan kita, tapi Allah boleh kata kita masuk syurga kerana amalan kita. Kerana Dia yang menetapkan syarat itu. Kalau Dia telah letak syarat kita boleh masuk syurga dengan amalan kita, maka begitulah yang Dia telah tetapkan.


Ayat 75: Ini keadaan di Mahsyar sebelum perbicaraan dimulakan. Ini adalah seperti ulang tayang keadaan di Mahsyar sebelum manusia dimasukkan ke neraka dan syurga.

وَتَرَى المَلائِكَةَ حافّينَ مِن حَولِ العَرشِ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم ۖ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَقيلَ الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Sahih International

And you will see the angels surrounding the Throne, exalting [ Allah ] with praise of their Lord. And it will be judged between them in truth, and it will be said, “[All] praise to Allah, Lord of the worlds.”

Malay

Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil; dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam!”

 

وَتَرَى الْمَلَائِكَةَ حَافِّينَ مِنْ حَوْلِ الْعَرْشِ

Kamu akan dapat lihat malaikat-malaikat terbang keliling Arash

Pemandangan yang menyebabkan kita tidak berani nak berkata apa-apa. Kita akan takjub melihat kehebatan para malaikat itu, dengan keadaan mereka dan dengan melihat banyaknya mereka.

يُسَبِّحُونَ

sambil bertasbih menyucikan Tuhan

Mereka menyucikan Allah dari perbuatan musyrikin. Mereka mengatakan perbuatan yang manusia yang sembah selain Allah itu adalah salah. Mereka hendak ‘menyejukkan’ hati Tuhan. Itulah pemahaman kita setakat yang kita boleh sampaikan. Macam orang yang marah, kita cuba nak tenangkan hatinya.

بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

Dan memuji Tuhan mereka

Bukan sahaja mereka menyucikan Allah, tapi mereka memujiNya juga. Ini sama macam nafi dan ithbat dalam kalimah la ilaaha illallah. la ilaah adalah nafi dan illallah adalah ithbat. Begitu juga, dalam tasbih adalah nafi dan tahmid adalah ithbat.

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

Maka diberi keputusan di antara mereka dengan seadil-adilnya

Antara malaikat pun ada juga keputusan yang akan diberikan. Kerana mereka pun ada perbezaan pendapat di kalangan mereka dulu. Masih ingat lagi bagaimana mereka dulu mempersoalkan kenapa Allah hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi? Itu pun akan diberikan keputusan oleh Allah.

وَقِيلَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

dan malaikat-malaikat akan berkata: segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Sekali lagi digunakan perkataan الْحَمْدُ لِلَّهِ. Itulah pujian yang amat-amat tinggi sekali. Kerana itulah, sepatutnya selepas kita mempelajari ayat ini, apabila kita sebut الْحَمْدُ لِلَّهِ, sepatutnya perasaan kita semasa membacanya tidak sama dengan kita lafazkan perkataan lain. Kita akan teringat bagaimana الْحَمْدُ لِلَّهِ ini juga akan disebut oleh penghuni syurga dan sekarang disebut juga oleh malaikat-malaikat semasa di Arash nanti. Maknanya, itulah sebutan yang akan diulang-ulang di akhirat kelak. Maka kita sekarang hendaklah selalu menyebutnya semasa kita di dunia.

Maulana Hadi Zumar 64-75

Allahu a’lam. Sekianlah tamat tafsir Surah az-Zumar ini. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Ghafir. 


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 039: Az Zumar. Bookmark the permalink.

4 Responses to Tafsir Surah Zumar Ayat 68 – 75 (Kumpulan mana kita nak masuk?)

  1. Haulid Al-Hararr says:

    Salam tuan.. Syukran atas perkongsian yang sangat hebat ini.. Sumber rujukan menggunakan tafsir apa ya?

    • tafsirsunnah says:

      waalaikum salam. Tafsir tidak menggunakan spesifik kitab. Ianya adalah pemahaman gabungan dari kitab-kitab yang muktabar. Yang berasaskan sunnah. Disampaikan dalam bentuk yang senang difahami. Dan digunakan contoh-contoh yang masyarakat kita sendiri lakukan supaya lebih mudah diterima dan difahami.
      Semoga pemahaman Quran itu lebih mudah difahami oleh masyarakat kita dan boleh kita amalkan. Harap disebarkan kepada masyarakat. Dan sebaiknya, datang sendiri ke kelas supaya boleh lebih faham dan lebih berkah.
      Kelas-kelas yang lain, boleh dilihat di youtube. youtube.com/tafsirsunnah. Tidak sempat dimasukkan lagi ke dalam blog sebagai rujukan.

    • tafsirsunnah says:

      Alhamdulillah, ianya bermanfaat untuk anda. Kata-kata semangat dari pembaca seperti anda lah yang memberikan semangat untuk saya terus meneruskan usaha ini.

      Tafsir diambil dari kitab-kitab muktabar. Tidak hanya satu-satu kitab sahaja. Sebagai contoh, kitab tafsir Ibn Kathir, Jalalyn, Ibn Abbas dan lain-lain lagi. Juga penafsiran dari segi penggunaan makna ayat-ayat yang digunakan dalam Quran berdasarkan bahasa Arab Klasik.

      Jikalau ada yang kurang jelas, harap boleh beritahu supaya dapat diterangkan dengan jelas lagi.

  2. Jais bin samsudin says:

    Salam tuan,
    Syukran atas perkongsian yang sangat hebat ini.disini saya ingin ambil kesempatan jika Tuan Haji dpt menerangkan pula asal kejadian Nabi Adam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s