Tafsir Surah Zumar Ayat 53 – 56 (Syirik menghapuskan amalan kebaikan)

Ayat 53: Ini adalah ayat yang ditujukan bagi orang yang telah pernah buat amalan syirik. Atau orang yang pernah buat dosa yang banyak sebelum ini. Ini adalah sebagai pengumuman dari Allah sebagai rahmat dan galakan kepada tauhid. Ulama Tafsir menyebut yang ayat ini adalah ayat yang paling memberi harapan kepada manusia dalam Qur’an.

Kalau orang yang dalam kesedihan dan putus asa dalam hidup dia, suruh dia baca ayat ini dan fahami maksud dia. (bukan buat zikir pula… orang Melayu bab reka zikir memang pandai). Baca dengan faham dan selami maknanya. Kerana kalau baca berulang-ulang kerana nak dapatkan sesuatu, itu sudah termasuk sihir (sihir menggunakan ayat Qur’an).

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللَهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Sahih International

Say, “O My servants who have transgressed against themselves [by sinning], do not despair of the mercy of Allah . Indeed, Allah forgives all sins. Indeed, it is He who is the Forgiving, the Merciful.”

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ

Katakanlah, wahai hambaKu sekalian yang telah melampaui batas kepada diri sendiri

‘Melampau batas’ dalam ayat ini adalah perbuatan syirik kepada Allah SWT. Perbuatan itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka. Kadang-kadang kita buat syirik kerana kita tidak tahu perbuatan itu adalah perbuatan yang syirik kerana kita tidak belajar. Apabila jahil, mereka tidak tahu yang amalan mereka selama hari ini adalah amalan yang salah – samada bidaah atau syirik. Tapi apabila mereka telah belajar, maka mereka takut dan rasa gelisah kerana perbuatan mereka dahulu, bukan?

Orang-orang yang buat syirik akan masuk neraka, dan kemudian akan kekal di dalamnya, kalau mereka tidak sempat bertaubat kepada Allah sebelum mereka mati. Salah faham dalam masyarakat Islam kita adalah, mereka sangka selama mereka Islam, kalau pun mereka masuk neraka, mereka sangka mereka akan masuk syurga akhirnya.

Mereka tak tahu bahawa kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah dosa syirik, mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila, walaupun nama mereka Islam dan mereka telah mengucap syahadah. Orang Islam yang masuk neraka dan selepas sekian lama dalam neraka dan dipindahkan ke syurga adalah mereka yang ada dosa, tapi bukan dosa syirik.

Perkataan أَسْرَف juga bermaksud ‘berlebihan’. Ini adalah maksud yang lebih umum. Iaitu berlebihan sampai melampau. Mereka berlebih dalam tidur, buat maksiat, main game, berpolitik dan sebagainya. Sampaikan memberi kesan buruk kepada mereka. Ramai dari kalangan kita yang macam itu.

Mereka sangka apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan diri mereka tapi sebenarnya ianya tidak baik untuk mereka dan telah memberi kesan kepada mereka. Sebab itulah perkataan yang digunakan adalah عَلَىٰ. Itu bermaksud perbuatan melampau mereka itu telah memberi kesan buruk kepada mereka. Sebagai contoh, kalau berlebihan dalam berpolitik, akan menyebabkan kita berbuat dosa dengan menjatuhkan orang lain dan sebagainya.

Dalam ayat ini tidak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah lampaukan. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia terlampau. Jadi Allah biarkan dalam bentuk umum.

Juga bermaksud mereka yang telah ‘jatuh’. Hilang pekerjaan dan sebagainya. Mereka sampai ada yang telah putus asa. Maka, kepada mereka ini juga, Allah nak berikan harapan.

 

Balaghah: Hazfu wa zikru:

Bandingkan kalimah عِبَادِي yang digunakan dalam ayat ini dengan kalimah عِبَادِ yang digunakan dalam Zumar:10. Kedua-duanya membawa maksud ‘hambaKu’, tapi ianya dalam bentuk berlainan, bukan? Dalam ayat ke 10, kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) kerana hamba yang dimaksudkan dalam ayat ke 10 itu adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia teruskan meningkatkan ketaqwaannya.

Mereka jenis yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian ini akan terus disebut ganjaran mereka. Sedangkan, kalimah yang digunakan dalam ayat 53 ini adalah عِبَادِي kerana hamba yang dimaksudkan dalam ayat ini hamba yang masih banyak melakukan maksiat. Lihatlah dalam ayat ini, mereka memang sedang melakukan maksiat. Oleh itu, mereka tidak boleh berterusan dalam maksiat mereka itu, mereka kena ubah sikap mereka. Mereka disuruh jangan kekalkan apa yang sedang mereka lakukan. Mereka sekejap baik, sekejap tidak. Tidak boleh begitu, mereka kena tetap istiqamah dalam iman dan dalam ibadah.

Dan ya mutakallim dizikrukan kerana bilangan mereka lebih ramai kalau dibandingkan dengan orang yang istiqamah dalam iman dan ibadah. Inilah bahagian ilmu balaghah yang tidak akan dapat diketahui kalau tidak belajar balaghah.

 

لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللهِ ۚ

Jangan sekali-kali kamu putus asa dari rahmat Allah.

Ayat ini mengatakan bahawa kita masih lagi ada peluang untuk mendapat keampunan dari Allah. Maknanya, ada peluang untuk bertaubat lagi walaupun kita sudah buat dosa maksiat, walaupun kita sudah buat syirik. Walau bagaimana banyak pun dosa kita. Tuhan akan ampun lagi dosa kita walaupun kita telah buat syirik.

Syaratnya, kena minta ampun sendiri, tak boleh orang lain mintakan kalau dosa itu adalah dosa yang syirik. Dan nak minta ampun itu kena dilakukan semasa hidup. Kalau dah mati, tidak ada harapan lagi. Kalau anak-anak isteri kita minta ampun untuk kita yang sudah buat syirik, itu tidak akan diterima. Kita kena minta ampun sendiri.

Tapi kalau dosa selain dosa yang syirik, walaupun kita sudah mati, tapi ahli keluarga dan orang lain masih boleh minta ampun bagi pihak kita. Ini adalah kerana memang ada larangan dari Allah untuk minta ampun kepada orang yang mati dalam syirik.

Ayat ini memberi kita harapan bahawa tidaklah Allah terus melupakan kita. Allah masih lagi beri peluang kepada kita, walau berapa banyak pun dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah amat sayang kepada kita. Sifat rahmah Allah amatlah besar sekali. Ada orang yang sangka yang dosa mereka terlalu banyak sampai mereka kata Allah tidak akan ampunkan mereka dah.

Itu adalah sangkaan mereka sahaja, Allah tidak pernah kata begitu, mereka sahaja yang memandai-mandai kata begitu. Jangan kita ada sangkaan macam itu langsung. Inilah juga bisikan dari syaitan untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tidak minta ampun kepada Allah. Mereka bisikkan: “dosa kamu dah banyak sangat, Allah takkan ampun dan pandang kamu dah, baik kamu teruskan sahaja apa yang kamu telah lakukan itu”.

Oleh itu, sentiasalah kita minta ampun kepada Allah. Sebelum kita tidur setiap malam, mintalah ampun kepada Allah atas segala dosa kita, termasuklah dosa syirik yang mungkin kita telah lakukan tanpa kita sedar. Kerana kita tidak tahu, entah-entah kita akan dimatikan malam itu dan roh kita tidak dikembalikan kepada tubuh kita lagi.

Allah menceritakan tentang RahmatNya dalam ayat ini. Oleh itu, para pemberi khutbah, penceramah pun, janganlah hanya menceritakan azab yang Allah akan berikan kepada kita kalau buat salah. Mereka kuat menceritakan tentang dosa manusia, sampai mereka lupa untuk cerita tentang rahmat Allah.

Sampaikan orang yang mendengar khutbah mereka akan rasa mereka hanya layak untuk masuk neraka sahaja. Lama kelamaan manusia akan rasa mereka akan terus masuk neraka dan tidak ada harapan untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan rasa tidak ada gunanya lagi untuk buat baik kerana mereka tidak ada harapan untuk masuk syurga dah. Jadi, mereka akan terus buat dosa.

Kepada mereka yang telah diberikan dengan ujian, jangan putus asa kepada Allah. Mintalah kepada Allah supaya kita dikeluarkan dari masalah itu. Putus asa bukanlah satu sifat yang baik. Ianya adalah satu sifat yang buruk. Jangan sekali-kali.

 

إِنَّ اللَهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

Sesungguhnya Allah sanggup mengampun dosa kamu semua sekali.

Sesungguhnya Allah itu sanggup mengampun dosa kamu semua sekali kalau kamu minta pengampunan dariNya. Tidak semestinya Allah wajib ampun dosa itu, tapi Allah boleh ampunkan, kalau Dia mahu.

Ada muqaddar di sini, iaitu tidak diletakkan. Iaitu dengan syarat, kita kena minta ampun. Kalau tak minta ampun, tak dapat. Dan kitalah yang minta ampun kepada Allah sendiri. Kalau kita sudah mati, dan ahli keluarga mohon pengampunan kepada kita atas dosa syirik kita, tidak akan diterima. Kalau dosa selain dosa syirik, Allah masih lagi terima, kalau Allah mahu. Kalau dosa selain dari dosa syirik, orang lain masih boleh mintakan ampun bagi pihak kita.

Allah sanggup untuk ampun semua sekali dosa kita, bukan hanya sikit-sikit. Bukan dosa yang kecil sahaja, tapi dosa yang besar sekalipun. Maka kalau Allah dah kata yang Dia sanggup untuk terima taubat itu, maka mintalah ampun semasa hidup di dunia ini. Janganlah tunggu di akhirat kelak yang mana taubat tidak diterima lagi.

 

إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Belas Kasihan.

Kenapa Allah sanggup untuk beri ampun kepada kita? Kerana sesungguhnya Dia itu adalah Dzat yang amat pemberi pengampunan. Sifat asal Allah adalah Maha Pengampun. Dia boleh ampun dan Dia boleh melupakan dosa yang kita buat. Sampaikan tidak ada lagi yang akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut.

Kita sebagai manusia, tak boleh lupa kesalahan orang lain kepada kita, walaupun kita dah maafkan dah. Hati kita masih ingat lagi walaupun kita sudah maafkan dia dengan mulut dan kita pun telah cuba untuk maafkan orang itu dalam hati kita. Tapi Allah, bila Dia ampun, Dia tutup dosa itu. Dan dia tidak akan azab hambaNya itu dalam neraka atas kesalahan itu. Jangan degil untuk minta ampun.

Dia sanggup ampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hambaNya.

Kita kena faham apakah makna الْغَفُورُ ini. Ianya bermaksud Allah boleh mengampunkan banyak mana pun dosa makhluk itu. Tapi tidak bermaksud Dia sentiasa memaafkan. Kerana kalau kita rasa Allah akan sentiasa memaafkan kesalahan kita, kita tidak risau untuk buat dosa pula kerana kita sangka Allah sentiasa sahaja maafkan. Bagaimana kalau Allah tak ampun dosa kita?

Jadi kita jangan senang hati sangat dan rasa boleh sahaja buat dosa, nanti minta ampun, Allah maafkanlah. Itu adalah salah faham seperti yang dihadapi oleh orang Kristian. Pada mereka, kalau mereka terima Nabi Isa sebagai tuhan, mereka akan diampunkan segala dosa mereka. Dan kalau mereka ada buat dosa, mereka pergi jumpa paderi dan mengaku kesalahan mereka, mereka dah selamat dah. Dalam Islam tidak begitu. Kita memang kena minta ampun dan berharap Allah ampunkan dosa kita, tapi dalam masa yang sama, kita kena berhati-hati. Jangan kita salah gunakan ayat ini untuk beri tiket percuma untuk buat dosa pula.


 

Ayat 54: Ini adalah syarat-syarat untuk mendapat pengampunan. Bukan hanya setakat minta ampun sahaja, tapi kita kenalah perbaiki diri kita. Kembalilah melakukan amal kebaikan.

وَأَنيبوا إِلىٰ رَبِّكُم وَأَسلِموا لَهُ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ ثُمَّ لا تُنصَرونَ

Sahih International

And return [in repentance] to your Lord and submit to Him before the punishment comes upon you; then you will not be helped.

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

 

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ

Dan kembalilah kepada Tuhan kamu,

Apabila sudah bertaubat, hendaklah kita kembali balik kepada Allah dengan mentaati segala hukumNya. Solat jangan tinggal lagi dah. Jangan buat jahat lagi. Itulah yang dipanggil ‘kembali kepada Allah’. Dosa yang telah buat, berhenti dari buat. Kalau dulu berzina, berhenti dari berzina. Kalau dulu minum arak, berhenti dari minum arak. Kalau dulu tidak puasa, mula balik puasa.

Antara tanda kembali itu termasuklah belajar ugama. Belajar untuk mengetahui manakah perbuatan kita yang salah.

Ayat ini juga bermaksud, apabila kita berbuat dosa, sebenarnya kita telah meninggalkan Allah. Kita tidak mengendahkan Allah dan segala peraturan yang telah ditetapkan. Maka, sebab itu lah Allah suruh kita kembali kepadaNya. Kalau kita tak endahkan kawan kita, keluarga kita, ada kemungkinan mereka akan tinggalkan kita. Tapi tidak begitu dengan Allah. Pintu rahmat Allah sentiasa terbuka untuk kita.

Dan yang paling penting, kena kembali kepada tauhid setelah mengetahui yang selama ini perbuatan kita adalah perbuatan syirik. Kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Tinggalkan perbuatan syirik yang pernah dilakukan dulu kerana dulu kita buat kerana kita jahil agama. Sekarang sudah tahu, kenalah tinggalkan.

 

وَأَسْلِمُوا لَهُ

dan serah diri kepadaNya

‘Islam’ bermaksud serah diri bulat-bulat kepada Allah. Dalam akidah dan dalam amal. Kita hendaklah serah diri bulat-bulat kepada Allah. Terima semua yang terkandung dalam Quran dan hadis. Terima bulat-bulat tanpa soal. Jangan kita gunakan akal lagi, jangan gunakan hujah yang batil lagi untuk menolak suruhan-suruhan Allah. Apa yang Allah suruh kita buat, kita lakukan.

Malangnya, banyak ustaz-ustaz yang mengajar di merata-rata tempat, tidak belajar pun lagi tafsir Quran dan hadis Nabi. Mereka sendiri pun tidak tahu apakah yang Allah hendak manusia buat. Tapi mereka sudah mengajar manusia. Maka, apa yang mereka ajar itu tidak benar atau tidak lengkap. Kita yang mahu belajar agama, hendaklah memastikan bahawa guru yang mengajar itu telah belajar dua sumber agama yang utama: Quran dan Hadis.

Contoh tidak menggunakan akal dalam menafsir hukum Allah: ada orang yang kata kalau makan babi boleh menyebabkan penyakit. Semua agama lain makan babi, tak ada yang jadi gila pun. Alasan ulama yang memberikan sebab-sebab itu tidak betul. Ada yang kata kerana dalam tubuh babi itu ada ulat yang tidak boleh dibunuh, kerana babi makan tahi dia sendiri, kerana babi itu suka sondol binatang lain dan sebagainya.

Itu bukanlah jawapan yang tepat. Kita kena jawap begini: kita tak makan kerana perintah Allah. Sebab kalau kita kata kita tak boleh makan babi kerana ada ulat itu, katakanlah kalau ada cara untuk bunuh ulat itu dengan cara modern, adakah kita boleh makan pula babi? Tentu tidak. Kita kena terima semua sekali perintah Allah, jangan takwil-takwil.

Kerana kalau kita guna akal kita untuk mencari sebab pengharaman sesuatu perkara, itu maknanya kita mempersoalkan hukum Allah. Jadi ada orang yang kata arak tidak haram, kalau minum tidak memabukkan. Babi pun boleh makan kerana zaman sekarang babi itu sudah bersih dan sebagainya. Itulah bahayanya. Allah tidak perlu menjelaskan sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan. Kita kena taat bulat-bulat kepada Dia sahaja.

Tapi dalam masa yang sama, kalau kita cuba mencari hikmah pengharaman itu, tidak salah. Kalau niat kita untuk memahami lagi hukum Allah, itu bolehlah. Tapi berhati-hati jangan sampai kita mengubah hukum Allah pula. Kerana segala hujah atau kajian yang kita lakukan itu, mungkin benar dan mungkin salah.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ

sebelum datang azab akhirat kepada kamu.

Sebab kalau dah berada di alam akhirat, kamu tidak dapat diselamatkan lagi. Waktu itu sudah terlambat untuk memohon keampunan. Oleh itu, kita kena taubat segera, jangan tunggu-tunggu lagi. Tidak perlu tunggu ‘Solat Taubat’ pun kerana taubat itu boleh dilakukan di mana-mana.

 

ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

kemudian kamu tidak diberi pertolongan

Apabila berada di Mahsyar, tidak ada peluang untuk mendapat pertolongan dari sesiapa pun, dari mana-mana arah pun. Pada waktu itu, tidak ada sesiapapun yang boleh menolong kita lagi dah.


 

Ayat 55: Dalil Wahyi. Ini ada syarat lagi yang perlu dipenuhi:

وَاتَّبِعوا أَحسَنَ ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِن رَبِّكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ بَغتَةً وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

Sahih International

And follow the best of what was revealed to you from your Lord before the punishment comes upon you suddenly while you do not perceive,

Malay

“Dan turutlah – Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

 

وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Dan kamu ikuti sahajalah yang terbaik dari apa yang diwahyukan kepada kamu

Yang dimaksudkan yang terbaik adalah: Quran dan Sunnah. Iaitu ikut wahyu. Samada wahyu itu dari Quran atau dari hadis Nabi yang sahih. Iaitu kita ikut yang wajib dan yang sunat. Selain dari itu tidak payah ikut. Iaitu ibadat yang tidak ada dalil.

Dan yang terbaik dari wahyu itu semua adalah tentang Tauhid. Tauhid itu yang perlu dikemasi dahulu. Kena faham apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh itu, kena belajar tafsir 30 juzuk Quran ini supaya faham apakah yang dimaksudkan dengan tauhid dan apakah syirik.

 

مِنْ رَبِّكُمْ

daripada Tuhan kamu

Dan kena pastikan bahawa dalil yang digunakan adalah dari Allah – samada dalam bentuk ayat Quran atau dalam bentuk hadis Nabi – wahyu yang disampaikan melalui lafaz Nabi Muhammad.

Quran dan hadith telah diberikan kepada kita untuk beramal. Yang yang terbaik dari Quran dan hadis itu adalah dua perkara. Daripada lima hukum yang ada (iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram), dua sahaja yang kita buat akan dapat pahala. Iaitu yang wajib dan sunat. Perkara yang hukumnya harus tak payah buat pun tidak mengapa. Sebab kalau buat pun, tak dapat pahala. Kalau tak buat pun, tidak berdosa. Jadi habis duit sahaja kalau buat.

Kalau buat juga, itu untuk ihsan, iaitu kebaikan hidup di bumi. Apa yang dibuat, mesti ianya yang dihukumkan sunat. Yang wajib, memang kita tak boleh tinggal. Tiga lagi hukum, kita tolak. Apa yang tak sunat, tak payah buat. Maka, janganlah kita mengikut pendapat guru-guru, ustaz-ustaz yang menggunakan akal sebagai hujjah untuk membenarkan amalan bidaah mereka. Contohnya, mereka yang mengatakan kebaikan dalam menyambut Majlis Maulid Nabi, tapi mereka tidak beri hujah dalil yang sahih, tapi mereka menggunakan hujah akal sahaja.

Ambillah apa yang Allah telah berikan dan amalkan dalam hidup kita.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً

sebelum datang kepada kamu azab yang datang tiba-tiba (iaitu mati)

Ingatlah bahawa kita boleh mati bila-bila masa sahaja. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati. Waktu itu sudah terlambat.

 

وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

yang masa itu kamu tidak sedar.

Celik-celik mata tengok-tengok dah ada dalam kubur. Maknanya, dia pun tidak sedar dia sudah mati. Macam orang yang kemalangan yang menyebabkan dia pengsan atau koma. Celik-celik mata tengok kipas sedang berpusing dalam hospital. Dia pun tidak bilakah masanya dia telah dibawa ke hospital.

Maknanya, nak ikut Quran ini kena lakukan sebelum kita mati. Kalau dah mati, dah tak boleh buat apa-apa dah. Jadi, kena belajar dari sekarang lagi. Jangan tangguh-tangguh lagi.

Walaupun begitu, telah diberitahu kepada kita bahawa ada perkara-perkara yang walaupun kita dah mati, masih boleh dapat pahala. Iaitu tiga perkara: Sedekah, ilmu berguna yang diajar kepada orang yang lain dan doa anak yang soleh.

Apakah itu sedekah jariah? Ianya adalah sedekah dan infak yang kita berikan pada jalan agama. Sedekah jariah itu adalah apabila kita memberikan harta kita kepada agama. Dan ianya berterusan. Sebagai contoh, kita sedekah duit untuk buat masjid dan masjid itu berterusan digunakan oleh manusia. Setiap kali ada orang yang guna masjid itu, kita akan dapat pahala.

Oleh kerana kita boleh berwasiat kepada selain dari keluarga kita, maka wasiatlah untuk infak sebahagian dari harta kita kepada agama. Iaitu sebanyak-banyaknya satu pertiga dari harta kita. Bukanlah kena bagi keseluruhan satu pertiga. Setakat mana kita nak beri. Supaya pahala kita berterusan memberi saham pahala kepada kita.

Itu sahajalah harta yang kita boleh bawa balik ke akhirat. Sanak saudara kita yang telah kita berikan harta pesaka itu, belum tentu dia akan derma harta yang kita pesakakan kepada mereka. Ketahuilah bahawa sedekah itu adalah pencegahan dari api neraka. Manusia yang tak nak infak kepada ugama ini adalah kerana bersifat munafik. Seperti yang telah diberitahu dalam Qur’an dan hadis.


 

Ayat 56: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah kata-kata orang yang sudah mati. Ini adalah contoh orang yang menyesal dengan apa yang dia telah lakukan semasa dia di dunia. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang sebegini.

أَن تَقولَ نَفسٌ يا حَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّاخِرينَ

Sahih International

Lest a soul should say, “Oh [how great is] my regret over what I neglected in regard to Allah and that I was among the mockers.”

Malay

“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! –

 

أَنْ تَقُولَ نَفْسٌ

Supaya jangan seseorang berkata:

Ini adalah kata-kata penyesalan dari manusia yang cuai dalam amalan semasa di dunia. Ini orang yang mati mengejut dan tidak sempat buat persiapan. Ada muqaddar dalam ayat ini: Allah beri banyak peringatan kepada kita, supaya kita tidak cakap begini nanti.

 

يَا حَسْرَتَا

Alangkah besarnya penyesalanku,

Sekarang dia sedang menyesal sangat. Dia dah tahu yang dia dah buat salah yang besar.

 

عَلَىٰ مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللهِ

atas kecuaian aku tentang Allah.

Iaitu dia telah cuai dalam perkara ibadah. Iaitu cuai dalam belajar, cuai melakukan ibadat solat, puasa, haji, sedekah, walaupun dia memang ada niat nak taat kepada Allah. Cuai itu kerana tak belajar cara sembahyang yang betul dan cara-cara melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Dalam perkara lain, dalam perkara dunia, dia tidak cuai – dia belajar dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk kolej dan universiti sampai ada yang ambil master dan PHD. Tapi itu adalah untuk perkara dunia, untuk hidup sementara sahaja di dunia. Sanggup mereka keluarkan duit entah berapa banyak untuk mendapatkan ilmu dunia. Tapi tentang hal dunia, dia cuai untuk belajar. Padahal, bukan susah pun nak belajar tafsir Quran ini.

Malangnya, ada guru-guru yang telah belajar agama di universiti samada di Malaysia atau di luar negara, samada di madrasah atau di pondok, lama mereka belajar, tapi mereka tidak belajar lagi tafsir Quran. Mereka sangka mereka telah tahu tentang agama, tapi sebenarnya mereka tidak terpimpin lagi. Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang mengajar mereka agama, adakah mereka telah belajar tafsir Quran dengan lengkap 30 juzuk? Ada kemungkinan besar mereka tidak belajar lagi pun. Kita sahaja sangka mereka telah tahu tentang Quran, tapi sebenarnya tidak.

Maksud فِي جَنْبِ اللَّهِ: seperti Allah ada di sebelahnya, tapi dia buat tak endah sahaja. Dia tidak belajar agama sampai dia kenal Allah dengan sepatutnya. Dan untuk kenal Allah, kena belajar tafsir Quran kerana dalam Quranlah Allah memperkenalkan DiriNya.

 

وَإِنْ كُنْتُ لَمِنَ السَّاخِرِينَ

dan sesungguhnya aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh mempersenda-sendakan

Dia telah mempersendakan perkara agama dan ayat-ayat Quran dan kerana itu dia telah masuk neraka dan menjadi seorang yang sangat rugi. السَّاخِرِ adalah orang yang tidak ambil berat tentang tuntutan agama. Dia rugi kerana dia dulu cuai semasa di dunia. Dia mengambil hal agama itu sebagai bahan jenaka sahaja.

Kita pun selalu lihat manusia yang macam itu. Semua perkara adalah perkara lawak sahaja padanya. Dia tidak ambil peduli semua perkara. Sebagai contoh, apabila kita kata jangan buat perkara bidaah kerana Nabi tak buat, mereka buat lawak: “kalau macam itu, jangan pakai keretalah sebab Nabi tak pernah pakai kereta!”. Dan kata-kata lain yang mengejek-ngejek amalan sunnah.

Jangan kita jadi manusia-manusia yang akan cakap penyesalan macam itu di akhirat kelak. Hendaklah kita belajar tentang hal agama ini supaya kita tidak menyesal nanti. Dan hendaklah kita memastikan bahawa apa yang kita belajar itu adalah Quran dan juga dari Hadis Nabi yang sahih.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 16 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Ustaz Rosman

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 039: Az Zumar and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s