Tafsir Surah Zumar Ayat 53 – 67 (Syirik menghapuskan amalan kebaikan)

Ayat 53: Ini adalah ayat yang ditujukan bagi orang yang telah pernah buat amalan syirik. Atau orang yang pernah buat dosa yang banyak sebelum ini. Ini adalah sebagai pengumuman dari Allah sebagai rahmat.

۞ قُل يا عِبادِيَ الَّذينَ أَسرَفوا عَلىٰ أَنفُسِهِم لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغفِرُ الذُّنوبَ جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Sahih International

Say, “O My servants who have transgressed against themselves [by sinning], do not despair of the mercy of Allah . Indeed, Allah forgives all sins. Indeed, it is He who is the Forgiving, the Merciful.”

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ

Katakanlah, wahai hambaKu sekalian, iaitu yang melampaui batas kepada diri sendiri

‘Melampau batas’ dalam ayat ini adalah perbuatan syirik kepada Allah SWT. Perbuatan itu akan menyebabkan mereka kekal dalam neraka. Kadang-kadang kita buat syirik kerana kita tidak tahu perbuatan itu adalah perbuatan yang syirik kerana kita tidak belajar. Apabila jahil, mereka tidak tahu yang amalan mereka selama hari ini adalah amalan yang salah – samada bidaah atau syirik. Tapi apabila mereka telah belajar, maka mereka takut dan rasa gelisah kerana perbuatan mereka dahulu, bukan?

Orang-orang yang buat syirik akan masuk neraka, dan kemudian akan kekal di dalamnya, kalau mereka tidak sempat bertaubat kepada Allah sebelum mereka mati. Salah faham dalam masyarakat Islam kita adalah, mereka sangka selama mereka Islam, kalau pun mereka masuk neraka, mereka sangka mereka akan masuk syurga akhirnya. Mereka tak tahu bahawa kalau kesalahan yang mereka lakukan itu adalah dosa syirik, mereka akan kekal dalam neraka, tidak akan keluar sampai bila-bila, walaupun nama mereka Islam dan mereka telah mengucap syahadah. Orang Islam yang masuk mereka dan selepas sekian lama dalam neraka dan dipindahkan ke syurga adalah mereka yang ada dosa, tapi bukan dosa syirik.

Perkataan أَسْرَفُوا juga bermaksud ‘berlebihan’. Ini adalah maksud yang lebih umum. Iaitu berlebihan sampai melampau. Mereka berlebih dalam tidur, buat maksiat, main game, berpolitik dan sebagainya. Sampaikan memberi kesan buruk kepada mereka. Ramai dari kalangan kita yang macam itu. Mereka sangka apa yang mereka lakukan adalah untuk kebaikan diri mereka tapi sebenarnya ianya tidak baik untuk mereka dan telah memberi kesan kepada mereka. Sebab itulah perkataan yang digunakan adalah عَلَىٰ. Itu bermaksud perbuatan melampau mereka itu telah memberi kesan buruk kepada mereka. Sebagai contoh, kalau berlebihan dalam berpolitik, akan menyebabkan kita berbuat dosa dengan menjatuhkan orang lain dan sebagainya.

Dalam ayat ini tidak dikhususkan apakah perkara yang mereka telah lampaukan. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang manusia terlampau. Jadi Allah biarkan dalam bentuk umum.

Juga bermaksud mereka yang telah ‘jatuh’. Hilang pekerjaan dan sebagainya. Mereka sampai ada yang telah putus asa. Maka, kepada mereka ini juga, Allah nak berikan harapan.

Balaghah: Hazfu wa zikru:

Bandingkan kalimah عِبَادِي yang digunakan dalam ayat ini dengan kalimah عِبَادِ yang digunakan dalam Zumar:10. Kedua-duanya membawa maksud ‘hambaKu’, tapi ianya dalam bentuk berlainan, bukan? Dalam ayat ke 10, kalimat عِبَادِ itu sepatutnya ada ي menjadi عِبَادِي (hambaKu) hamba yang dimaksudkan dalam ayat ke 10 itu adalah hamba yang imannya berkekalan dan dia teruskan meningkatkan ketaqwaannya. Mereka jenis yang sudah istiqamah dalam iman dan ibadah mereka. Kemudian ini akan terus disebut ganjaran mereka. Sedangkan, kalimah yang digunakan dalam ayat 53 ini adalah عِبَادِي kerana hamba yang dimaksudkan dalam ayat ini hamba yang masih banyak melakukan maksiat. Lihatlah dalam ayat ini, mereka memang sedang melakukan maksiat. Oleh itu, mereka tidak patut istiqamah dalam maksiat mereka itu, mereka kena ubah sikap mereka. Mereka disuruh jangan kekalkan apa yang sedang mereka lakukan. Mereka sekejap baik, sekejap tidak. Tidak boleh begitu, mereka kena tetap istiqamah dalam iman dan dalam ibadah.

Dan ya mutakallim dizikrukan kerana bilangan mereka lebih ramai kalau dibandingkan dengan orang yang istiqamah dalam iman dan ibadah. Inilah bahagian ilmu balaghah yang tidak akan dapat diketahui kalau tidak belajar balaghah.

 

 لا تَقنَطوا مِن رَحمَةِ اللَّهِ ۚ

Jangan sekali-kali kamu putus asa dari rahmat Allah.

Ayat ini mengatakan bahawa kita masih lagi ada peluang untuk mendapat keampunan dari Allah. Maknanya, ada peluang untuk bertaubat lagi walaupun kita sudah buat dosa maksiat, walaupun kita sudah buat syirik. Walau bagaimana banyak pun dosa kita. Tuhan akan ampun lagi dosa kita walaupun kita telah buat syirik. Syaratnya, kena minta ampun sendiri, tak boleh orang lain mintakan kalau dosa itu adalah dosa yang syirik. Dan nak minta ampun itu kena dilakukan semasa hidup. Kalau dah mati, tidak ada harapan lagi. Kalau anak-anak isteri kita minta ampun untuk kita yang sudah buat syirik, itu tidak akan diterima. Kita kena minta ampun sendiri. Tapi kalau dosa selain dosa yang syirik, walaupun kita sudah mati, tapi ahli keluarga dan orang lain masih boleh minta ampun bagi pihak kita. Ini adalah kerana memang ada larangan dari Allah untuk minta ampun kepada orang yang mati dalam syirik.

Ayat ini memberi kita harapan bahawa tidaklah Allah terus melupakan kita. Allah masih lagi beri peluang kepada kita, walau berapa banyak pun dosa yang kita lakukan. Ini adalah kerana Allah amat sayang kepada kita. Sifat rahmah Allah amatlah besar sekali. Ada orang yang sangka yang dosa mereka terlalu banyak sampai mereka kata Allah tidak akan ampunkan mereka dah. Itu adalah sangkaan mereka sahaja, Allah tidak pernah kata begitu, mereka sahaja yang memandai-mandai kata begitu. Jangan kita ada sangkaan macam itu langsung. Inilah juga bisikan dari syaitan untuk melemahkan harapan kita dan supaya kita tidak minta ampun kepada Allah. Mereka bisikkan: “dosa kamu dah banyak sangat, Allah takkan ampun dan pandang kamu dah, baik kamu teruskan sahaja apa yang kamu telah lakukan itu”.

Oleh itu, sentiasalah kita minta ampun kepada Allah. Sebelum kita tidur setiap malam, mintalah ampun kepada Allah atas segala dosa kita, termasuklah dosa syirik yang mungkin kita telah lakukan tanpa kita sedar. Kerana kita tidak tahu, entah-entah kita akan dimatikan malam itu dan roh kita tidak dikembalikan kepada tubuh kita lagi.

Allah menceritakan tentang RahmatNya dalam ayat ini. Oleh itu, para pemberi khutbah, penceramah pun, janganlah hanya menceritakan azab yang Allah akan berikan kepada kita kalau buat salah. Mereka kuat menceritakan dengan dosa manusia, sampai mereka lupa untuk cerita tentang rahmat Allah. Sampaikan orang yang mendengar khutbah mereka akan rasa mereka hanya layak untuk masuk neraka sahaja. Lama kelamaan manusia akan rasa mereka akan terus masuk neraka dan tidak ada harapan untuk masuk syurga. Jadi, mereka akan rasa tidak ada gunanya lagi untuk buat baik kerana mereka tidak ada harapan untuk masuk syurga dah. Jadi, mereka akan terus buat dosa.

Kepada mereka yang telah diberikan dengan ujian, jangan putus asa kepada Allah. Mintalah kepada Allah supaya kita dikeluarkan dari masalah itu. Putus asa bukanlah satu sifat yang baik. Ianya adalah satu sifat yang buruk. Jangan sekali-kali.

 

إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا

Sesungguhnya Allah sanggup mengampun dosa kamu semua sekali.

Sesungguhnya Allah itu sanggup mengampun dosa kamu semua sekali kalau kamu minta pengampunan dariNya. Ada muqaddar di sini, iaitu tidak diletakkan. Iaitu dengan syarat, kita kena minta ampun. Kalau tak minta ampun, tak dapat. Dan kitalah yang minta ampun kepada Allah sendiri. Kalau kita sudah mati, dan ahli keluarga mohon pengampunan kepada kita atas dosa syirik kita, tidak akan diterima. Kalau dosa selain dosa syirik, Allah masih lagi terima, kalau Allah mahu. Kalau dosa selain dari dosa syirik, orang lain masih boleh mintakan ampun bagi pihak kita.

Allah sanggup untuk ampun semua sekali dosa kita, bukan hanya sikit-sikit. Bukan dosa yang kecil sahaja, tapi dosa yang besar sekalipun.

 

إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Belas Kasihan.

Kenapa Allah sanggup untuk beri ampun kepada kita? Kerana sesungguhnya Dia itu adalah Dzat yang amat pemberi pengampunan. Sifat asal Allah adalah Maha Pengampun. Dia boleh ampun dan Dia boleh melupakan dosa yang kita buat. Sampaikan tidak ada lagi yang akan tahu bahawa kita pernah melakukan dosa tersebut. Kita sebagai manusia, tak boleh lupa kesalahan orang lain kepada kita, walaupun kita dah maafkan dah. Hati kita masih ingat lagi walaupun kita sudah maafkan dia dengan mulut dan kita pun telah cuba untuk maafkan orang itu dalam hati kita. Tapi Allah, bila Dia ampun, Dia tutup dosa itu. Dan dia tidak akan azab hambaNya itu dalam neraka atas kesalahan itu. Jangan degil untuk minta ampun.

Dia sanggup ampunkan kerana Dia amat belas kasihan kepada semua makhluk. Dia sayang sekali kepada hambaNya.

Kita kena faham apakah makna الْغَفُورُ ini. Ianya bermaksud Allah boleh mengampunkan banyak mana pun dosa makhluk itu. Tapi tidak bermaksud Dia sentiasa memaafkan. Kerana kalau kita rasa Allah akan sentiasa memaafkan kesalahan kita, kita tidak risau untuk buat dosa pula kerana kita sangka Allah sentiasa sahaja maafkan. Bagaimana kalau Allah tak ampun dosa kita? Jadi kita jangan senang hati sangat dan rasa boleh sahaja buat dosa, nanti minta ampun, Allah maafkanlah. Itu adalah salah faham seperti yang dihadapi oleh orang Kristian. Pada mereka, kalau mereka terima Nabi Isa sebagai tuhan, mereka akan diampunkan segala dosa mereka. Dan kalau mereka ada buat dosa, mereka pergi jumpa paderi dan mengaku kesalahan mereka, mereka dah selamat dah. Dalam Islam tidak begitu. Kita memang kena minta ampun dan berharap Allah ampunkan dosa kita, tapi dalam masa yang sama, kita kena berhati-hati. Jangan kita salah gunakan ayat ini untuk beri tiket percuma untuk buat dosa pula.


 

Ayat 54: Ini adalah syarat-syarat untuk mendapat pengampunan. Bukan hanya setakat minta ampun sahaja, tapi kita kenalah perbaiki diri kita.

وَأَنيبوا إِلىٰ رَبِّكُم وَأَسلِموا لَهُ مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ ثُمَّ لا تُنصَرونَ

Sahih International

And return [in repentance] to your Lord and submit to Him before the punishment comes upon you; then you will not be helped.

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

 

وَأَنِيبُوا إِلَىٰ رَبِّكُمْ

Dan kembalilah kepada Tuhan kamu,

Apabila sudah bertaubat, hendaklah kita kembali balik kepada Allah dengan mentaati segala hukumNya. Solat jangan tinggal lagi dah. Jangan buat jahat lagi. Itulah yang dipanggil ‘kembali kepada Allah’. Dosa yang telah buat, berhenti dari buat. Kalau dulu berzina, berhenti dari berzina. Kalau dulu minum arak, berhenti dari minum arak. Kalau dulu tidak puasa, mula balik puasa.

Antara tanda kembali itu termasuklah belajar ugama. Belajar untuk mengetahu manakah perbuatan kita yang salah.

Ayat ini juga bermaksud, apabila kita berbuat dosa, sebenarnya kita telah meninggalkan Allah. Kita tidak mengendahkan Allah dan segala peraturan yang telah ditetapkan. Maka, sebab itu lah Allah suruh kita kembali kepadaNya. Kalau kita tak endahkan kawan kita, keluarga kita, ada kemungkinan mereka akan tinggalkan kita. Tapi tidak begitu dengan Allah. Pintu rahmat Allah sentiasa terbuka untuk kita.

Dan yang paling penting, kena kembali kepada tauhid setelah mengetahui yang selama ini perbuatan kita adalah perbuatan syirik. Kena belajar apakah tauhid dan apakah syirik. Tinggalkan perbuatan syirik yang pernah dilakukan dulu kerana dulu kita buat kerana kita jahil agama. Sekarang sudah tahu, kenalah tinggalkan.

 

وَأَسْلِمُوا لَهُ

dan serah diri kepadaNya

‘Islam’ bermaksud serah diri bulat-bulat kepada Allah. Kita hendaklah serah diri bulat-bulat kepada Allah. Terima semua yang terkandung dalam Quran dan hadis. Terima bulat-bulat tanpa soal. Jangan kita gunakan akal lagi, jangan gunakan hujah yang batil lagi untuk menolak suruhan-suruhan Allah. Apa yang Allah suruh kita buat, kita lakukan.

Malangnya, banyak ustaz-ustaz yang mengajar di merata-rata tempat, tidak belajar pun lagi tafsir Quran dan hadis Nabi. Mereka sendiri pun tidak tahu apakah yang Allah hendak manusia buat. Tapi mereka sudah mengajar manusia. Maka, apa yang mereka ajar itu tidak benar atau tidak lengkap. Kita yang mahu belajar agama, hendaklah memastikan bahawa guru yang mengajar itu telah belajar dua sumber agama yang utama: Quran dan Hadis.

Contoh tidak menggunakan akal dalam menafsir hukum Allah: ada orang yang kata kalau makan babi boleh menyebabkan penyakit. Semua agama lain makan babi, tak ada yang jadi gila pun. Alasan ulama yang memberikan sebab-sebab itu tidak betul. Ada yang kata kerana dalam tubuh babi itu ada ulat yang tidak boleh dibunuh, kerana babi makan tahi dia sendiri, kerana babi itu suka sondol binatang lain dan sebagainya. Itu bukanlah jawapan yang tepat. Kita kena jawap begini: kita tak makan kerana perintah Allah. Sebab kalau kita kata kita tak boleh makan babi kerana ada ulat itu, katakanlah kalau ada cara untuk bunuh ulat itu dengan cara modern, adakah kita boleh makan pula babi? Tentu tidak. Kita kena terima semua sekali perintah Allah, jangan takwil-takwil.

Kerana kalau kita guna akal kita untuk mencari sebab pengharaman sesuatu perkara, itu maknanya kita mempersoalkan hukum Allah. Jadi ada orang yang kata arak tidak haram, kalau minum tidak memabukkan. Babi pun boleh makan kerana zaman sekarang babi itu sudah bersih dan sebagainya. Itulah bahayanya. Allah tidak perlu menjelaskan sebab apa sesuatu perkara itu diharamkan. Kita kena taat bulat-bulat kepada Dia sahaja.

Tapi dalam masa yang sama, kalau kita cuba mencari hikmah pengharaman itu, tidak salah. Kalau niat kita untuk memahami lagi hukum Allah, itu bolehlah. Tapi berhati-hati jangan sampai kita mengubah hukum Allah pula. Kerana segala hujah atau kajian yang kita lakukan itu, mungkin benar dan mungkin salah.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ

sebelum datang azab akhirat kepada kamu.

Sebab kalau dah berada di alam akhirat, kamu tidak dapat diselamatkan lagi. Waktu itu sudah terlambat untuk memohon keampunan. Oleh itu, kita kena taubat segera, jangan tunggu-tunggu lagi. Tidak perlu tunggu ‘Solat Taubat’ pun kerana taubat itu boleh dilakukan di mana-mana.

 

ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

kemudian kamu tidak diberi pertolongan

Apabila berada di Mahsyar, tidak ada peluang untuk mendapat pertolongan dari sesiapa pun, dari mana-mana arah pun. Pada waktu itu, tidak ada sesiapapun yang boleh menolong kita lagi dah.


Ayat 55: Dalil Wahyi. Ini ada syarat lagi yang perlu dipenuhi:

وَاتَّبِعوا أَحسَنَ ما أُنزِلَ إِلَيكُم مِن رَبِّكُم مِن قَبلِ أَن يَأتِيَكُمُ العَذابُ بَغتَةً وَأَنتُم لا تَشعُرونَ

Sahih International

And follow the best of what was revealed to you from your Lord before the punishment comes upon you suddenly while you do not perceive,

Malay

“Dan turutlah – Al-Quran – sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.

 

وَاتَّبِعُوا أَحْسَنَ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Dan kamu ikuti sahajalah yang terbaik dari apa yang diwahyukan kepada kamu

Yang dimaksudkan yang terbaik adalah: Quran dan Sunnah. Iaitu ikut wahyu. Samada wahyu itu dari Quran atau dari hadis Nabi yang sahih. Iaitu kita ikut yang wajib dan yang sunat. Selain dari itu tidak payah ikut. Iaitu ibadat yang tidak ada dalil.

Dan yang terbaik dari wahyu itu semua adalah tentang Tauhid. Tauhid itu yang perlu dikemasi dahulu. Kena faham apakah tauhid dan apakah syirik. Oleh itu, kena belajar tafsir 30 juzuk Quran ini supaya faham apakah yang dimaksudkan dengan tauhid dan apakah syirik.

 

مِنْ رَبِّكُمْ

daripada Tuhan kamu

Dan kena pastikan bahawa dalil yang digunakan adalah dari Allah – samada dalam bentuk ayat Quran atau dalam bentuk hadis Nabi – wahyu yang disampaikan melalui lafaz Nabi Muhammad.

Quran dan hadith telah diberikan kepada kita untuk beramal. Yang yang terbaik dari Quran dan hadis itu adalah dua perkara. Daripada lima hukum yang ada (iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram), dua sahaja yang kita buat akan dapat pahala. Iaitu yang wajib dan sunat. Perkara yang hukumnya harus tak payah buat pun tidak mengapa. Sebab kalau buat pun, tak dapat pahala. Kalau tak buat pun, tidak berdosa. Jadi habis duit sahaja kalau buat. Kalau buat juga, itu untuk ihsan, iaitu kebaikan hidup di bumi. Apa yang dibuat, mesti ianya yang dihukumkan sunat. Yang wajib, memang kita tak boleh tinggal. Tiga lagi hukum, kita tolak. Apa yang tak sunat, tak payah buat. Maka, janganlah kita mengikut pendapat guru-guru, ustaz-ustaz yang menggunakan akal sebagai hujjah untuk membenarkan amalan bidaah mereka. Contohnya, mereka yang mengatakan kebaikan dalam menyambut Majlis Maulid Nabi, tapi mereka tidak beri hujah dalil yang sahih, tapi mereka menggunakan hujah akal sahaja.

Ambillah apa yang Allah telah berikan dan amalkan dalam hidup kita.

 

مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً

sebelum datang kepada kamu azab yang datang tiba-tiba (iaitu mati)

Ingatlah bahawa kita boleh mati bila-bila masa sahaja. Kita tidak tahu bilakah kita akan mati. Waktu itu sudah terlambat.

 

وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

yang masa itu kamu tidak sedar.

Celik-celik mata tengok-tengok dah ada dalam kubur. Maknanya, dia pun tidak sedar dia sudah mati. Macam orang yang kemalangan yang menyebabkan dia pengsan atau koma. Celik-celik mata tengok kipas sedang berpusing dalam hospital. Dia pun tidak bilakah masanya dia telah dibawa ke hospital.

Maknanya, nak ikut Quran ini kena lakukan sebelum kita mati. Kalau dah mati, dah tak boleh buat apa-apa dah. Jadi, kena belajar dari sekarang lagi. Jangan tangguh-tangguh lagi.

Walaupun begitu, telah diberitahu kepada kita bahawa ada perkara-perkara yang walaupun kita dah mati, masih boleh dapat pahala. Iaitu tiga perkara: Sedekah, ilmu berguna yang diajar kepada orang yang lain dan doa anak yang soleh.

Apakah itu sedekah jariah? Ianya adalah sedekah dan infak yang kita berikan pada jalan agama. Sedekah jariah itu adalah apabila kita memberikan harta kita kepada agama. Dan ianya berterusan. Sebagai contoh, kita sedekah duit untuk buat masjid dan masjid itu berterusan digunakan oleh manusia. Setiap kali ada orang yang guna masjid itu, kita akan dapat pahala. Oleh kerana kita boleh berwasiat kepada selain dari keluarga kita, maka wasiatlah untuk infak sebahagian dari harta kita kepada agama. Iaitu sebanyak-banyaknya satu pertiga dari harta kita. Bukanlah kena bagi keseluruhan satu pertiga. Setakat mana kita nak beri. Supaya pahala kita berterusan memberi saham pahala kepada kita. Itu sahajalah harta yang kita boleh bawa balik ke akhirat. Sanak saudara kita yang telah kita berikan harta pesaka itu, belum tentu dia akan derma harta yang kita pesakakan kepada mereka. Ketahuilah bahawa sedekah itu adalah pencegahan dari api neraka. Manusia yang tak nak infak kepada ugama ini adalah kerana bersifat munafik. Seperti yang telah diberitahu dalam Quran dan hadis.


 

Ayat 56: Takhwif Ukhrawi. Ini adalah kata-kata orang yang sudah mati. Ini sebelum dia jumpa Munkar Nakir lagi. Ini adalah contoh orang yang menyesal dengan apa yang dia telah lakukan semasa dia di dunia. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang sebegini.

أَن تَقولَ نَفسٌ يا حَسرَتا عَلىٰ ما فَرَّطتُ في جَنبِ اللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ السّاخِرينَ

Sahih International

Lest a soul should say, “Oh [how great is] my regret over what I neglected in regard to Allah and that I was among the mockers.”

Malay

“(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: ` sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! –

 

أَنْ تَقُولَ نَفْسٌ

Supaya jangan seseorang berkata:

Ini adalah kata-kata penyesalan dari manusia yang cuai dalam amalan semasa di dunia.

 

يَا حَسْرَتَا

Alangkah celakanya aku,

Sekarang dia sedang menyesal sangat. Dia dah tahu yang dia dah buat salah yang besar.

 

عَلَىٰ مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللَّهِ

atas kecuaian aku yang aku terhadap Allah.

Iaitu dia telah cuai dalam perkara ibadah. Iaitu cuai dalam melakukan ibadat solat, puasa, haji, sedekah, walaupun dia memang ada niat nak taat kepada Allah. Cuai itu kerana tak belajar cara sembahyang yang betul dan cara-cara melakukan ibadah-ibadah yang lain.

Dalam perkara lain, dalam perkara dunia, dia tidak cuai – dia belajar dari sekolah rendah, masuk sekolah menengah, masuk kolej dan universiti sampai ada yang ambil master dan PHD. Tapi itu adalah untuk perkara dunia, untuk hidup sementara sahaja di dunia. Sanggup mereka keluarkan duit entah berapa banyak untuk mendapatkan ilmu dunia. Tapi tentang hal dunia, dia cuai untuk belajar. Padahal, bukan susah pun nak belajar tafsir Quran ini.

Malangnya, ada guru-guru yang telah belajar agama di universiti samada di Malaysia atau di luar negara, samada di madrasah atau di pondok, lama mereka belajar, tapi mereka tidak belajar lagi tafsir Quran. Mereka sangka mereka telah tahu tentang agama, tapi sebenarnya mereka tidak terpimpin lagi. Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang mengajar mereka agama, adakah mereka telah belajar tafsir Quran dengan lengkap 30 juzuk? Ada kemungkinan besar mereka tidak belajar lagi pun. Kita sahaja sangka mereka telah tahu tentang Quran, tapi sebenarnya tidak.

Maksud فِي جَنْبِ اللَّهِ: seperti Allah ada di sebelahnya, tapi dia buat tak endah sahaja. Dia tidak belajar agama sampai dia kenal Allah dengan sepatutnya. Dan untuk kenal Allah, kena belajar tafsir Quran kerana dalam Quranlah Allah memperkenalkan DiriNya.

 

وَإِنْ كُنْتُ لَمِنَ السَّاخِرِينَ

dan sesungguhnya aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan

Dia telah memperolok-olokkan dalam perkara agama dan ayat-ayat Quran dan kerana itu dia telah masuk neraka dan menjadi seorang yang sangat rugi. Dia rugi kerana dia dulu cuai semasa di dunia. Dia mengambil hal agama itu sebagai bahan jenaka sahaja. Kita pun selalu lihat manusia yang macam itu. Semua perkara adalah perkara lawak sahaja padanya. Dia tidak ambil peduli semua perkara. Sebagai contoh, apabila kita kata jangan buat perkara bidaah kerana Nabi tak buat, mereka buat lawak: “kalau macam itu, jangan pakai keretalah sebab Nabi tak pernah pakai kereta!”. Dan kata-kata lain yang mengejek-ngejek amalan sunnah.

Jangan kita jadi manusia-manusia yang akan cakap penyesalan macam itu di akhirat kelak. Hendaklah kita belajar tentang hal agama ini supaya kita tidak menyesal nanti. Dan hendaklah kita memastikan bahawa apa yang kita belajar itu adalah Quran dan juga dari Hadis Nabi yang sahih.


 

Ayat 57: Ini pula adalah kata-kata penyelasan seorang yang telah cuai dalam agama, tapi kali ini semasa dia di Mahsyar.

أَو تَقولَ لَو أَنَّ اللَّهَ هَداني لَكُنتُ مِنَ المُتَّقينَ

Sahih International

Or [lest] it say, “If only Allah had guided me, I would have been among the righteous.”

Malay

“Atau berkata: `Kalaulah Allah memberi hidayah petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari orang-orang yang bertaqwa ! ‘ –

 

أَوْ تَقُولَ لَوْ أَنَّ اللَّهَ هَدَانِي

Atau dia berkataKalaulah Allah beri hidayat kepada aku dulu.

Mereka nak kata mereka tak dapat hidayat pula. Padahal, Allah dah beri petunjuk kepadanya sudah banyak dah semasa dia di dunia. Quran itu sentiasa sahaja ada cuma mereka sahaja yang tak mahu belajar walaupun dah ada orang ajak mereka belajar. Dan memang Quran ini banyak orang Islam buat tak endah sahaja. Kalau di masjid, walaupun masjid banyak Quran, tidak ramai yang baca Quran. Yang selalu kita lihat, masyarakat kita lebih suka dan lebih banyak berzikir. Padahal, baca Quran adalah lebih afdhal dari berzikir. Dan kalau mereka baca pun, mereka memang percaya bahawa Quran itu dari Allah, tapi masih tak mahu belajar tafsir Quran sampaikan mereka tidak faham apakah suruhan Allah dalam ayat-ayat yang mereka baca itu. Itulah punca masalah mereka. Ingatlah bahawa ianya adalah satu dosa besar kalau tak nak belajar tafsir Quran. Iaitu kalau dia sengaja tak nak belajar. Dia sudah tahu ada kelas mengajar tafsir, tapi dia tak mahu lagi nak pergi belajar. Macam-macam alasan akan diberikan untuk tidak pergi ke kelas pengajian.

Jadi, dalam ayat ini, orang itu menyalahkan Allah sebab tak beri hidayah kepadanya. Dia kata Allah yang telah takdirkan dia tidak jadi orang beragama. Dia pandai pula kata, Allah tahu apa yang dia akan buat, Allah juga yang telah takdirkan apa yang dia akan buat. Dia kata begitu semasa di dunia dan semasa di akhirat dia akan cakap macam itu lagi. Ini adalah akal yang tidak waras, akal yang jahil.

 

لَكُنْتُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

tentu aku jadi orang yang bertaqwa,

Dia kata kalaulah dia diberikan petunjuk semasa di dunia, dia akan jadi macam orang lain yang alim. Padahal, kesalah itu adalah dari dia. Hidayah ada di mana-mana, mereka sahaja yang tidak mahu buka hati mereka untuk menerimanya. Mereka yang menutup hati mereka dari menerima kebenaran. Alasan mereka ini tidak akan diterima langsung.


 

Ayat 58: Ini pula adalah selepas dibicarakan, dan sudah sedia untuk masuk neraka. Lihatlah apa yang mereka akan katakan:

أَو تَقولَ حينَ تَرَى العَذابَ لَو أَنَّ لي كَرَّةً فَأَكونَ مِنَ المُحسِنينَ

Sahih International

Or [lest] it say when it sees the punishment, “If only I had another turn so I could be among the doers of good.”

Malay

“Atau berkata semasa ia melihat azab: ` Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan!”

 

أَوْ تَقُولَ حِينَ تَرَى الْعَذَابَ

Atau berkata satu jiwa ketika melihat azab neraka:

Lihatlah apa yang mereka akan katakan apabila mereka sudah lihat azab yang mereka akan dimasukkan. Mereka tidak meminta ampun lagi kepada Allah. Mereka tidak minta ampun kerana mereka tahu bahawa tidak ada gunanya lagi kalau minta ampun. Tidak ada satu ayat Quran atau hadis yang mengatakan yang orang yang dah mati akan minta ampun. Bila mati, inilah apa yang mereka mohon dari Allah:

 

لَوْ أَنَّ لِي كَرَّةً

Kalaulah aku boleh kembali semula.

Sekarang, apa yang dia pohon adalah kesempatan untuk pulang semula ke dunia. Sebab dia dah jadi alim dah, dah tahu bahawa Allah takkan beri ampun kepada orang yang mati. Mereka dah tahu bahawa Allah itu benar, syurga dan neraka itu benar. Mereka juga tahu bahawa sia-sia sahaja waktu itu untuk meminta ampun kepada Allah. Mereka tahu bahawa ianya dah terlambat. Mereka tahu bahawa Allah tidak akan ampunkan. Oleh itu, yang mereka minta waktu itu adalah nak kembali ke dunia, sebab mereka nak jadi orang baik pula sekarang. Mereka nak amalkan tauhid, mereka nak amal amalan yang soleh, tak nak buat amalan bidaah.

Mereka sudah beriman sungguh-sungguh dah waktu itu kerana mereka sudah melihat kebenaran di depan mata mereka. Tapi waktu itu iman mereka tidak berguna sama sekali.

 

فَأَكُونَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

tentulah aku akan jadi orang yang baik.

Tentu aku akan buat amal ikut sunnah. Tak tinggal solat, tidak tinggal puasa, tak buat perkara syirik dah. Nak habiskan masa dengan beribadat sahaja tanpa henti. Itulah harapan mereka waktu itu. Tapi itu semua sudah terlambat.

Dan dalam ayat yang lain, Allah ada memberitahu kita, kalaulah mereka dikembalikan ke dunia pun, mereka akan buat perkara salah yang sama:

{وَلَوْ رُدُّوا لَعَادُوا لِمَا نُهُوا عَنْهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ}

Sekiranya mereka dikembalikan ke dunia, tentulah mereka kembali kepada apa yang mereka telah dilarang mengerjakan­nya. Dan sesungguhnya mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka. (Al-An’am: 28)


 

Ayat 59: Apa Tuhan akan jawab? Allah tak jawap semasa mereka berkata macam-macam semasa di dunia. Tapi Allah hanya akan jawap di akhirat kelak. Allah dah sebut dah dalam ayat-ayat ini.

بَلىٰ قَد جاءَتكَ آياتي فَكَذَّبتَ بِها وَاستَكبَرتَ وَكُنتَ مِنَ الكافِرينَ

Sahih International

But yes, there had come to you My verses, but you denied them and were arrogant, and you were among the disbelievers.

Malay

(Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firmanNya): “Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya, dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!”

 

بَلَىٰ قَدْ جَاءَتْكَ آيَاتِي

Akan tetapi, bahkan sudah datang kepada kamu ayat-ayatKu,

Alasan mereka untuk kata mereka tidak mendapat hidayah dulu ditolak dalam ayat ini. Sebenarnya hidayah telah sampai kepada mereka, mereka sahaja yang tak mahu terima. Amat senang sekali untuk kita mendengar Quran itu. Di mana-mana ada orang baca. Di masjid, di tv, di suratkhabar, majalah, malah sekarang dalam phone kita pun dah boleh dimuatkan dengan Quran. Senang sahaja untuk manusia mendapatkan maklumat Quran. Kalau nak belajar baca Quran pun senang, nak belajar tafsir kandungan Quran pun senang juga. Tidak ada alasan lagi bagi manusia untuk mengatakan mereka tidak ada peluang untuk membaca Quran.

 

فَكَذَّبْتَ بِهَا

kamu dusta kepadanya

Kalau ada orang sampaikan maksud wahyu, kamu kata orang itu dusta; atau kamu dusta dengan tidak mahu untuk belajar. Maknanya, kalau tidak belajar pun, itu pun sudah dikira dusta juga. Mereka berkata “takkanlah begini, takkanlah begitu”. Mereka tidak mahu terima hujah dari Quran, tapi mereka sanggup terima hujah dari guru-guru mereka yang mengajar ajaran yang karut yang bukannya datang dari Quran. Mereka tidaklah tolak ayat Quran mentah-mentah kerana mereka terima ayat Quran itu dari Allah, tapi mereka kata penafsiran yang diberi itu yang salah.

Ingatlah bahawa ayat-ayat Quran itu adalah penapisan kepada kita semua. Ianya untuk menapis samada amalan dan akidah kita selama ini adalah benar atau tidak. Ada ayat Quran yang akan kena kepada diri kita sendiri, menegur amalan dan fahaman kita. Memang ayat-ayat Quran itu akan menunjukkan mana-mana perbuatan kita dahulu yang salah. Kalau ada amalan kita yang bertentangan dengan Quran, apa yang perlu kita buat adalah minta ampun kepada Allah sahaja. Dan tinggalkan perbuatan salah yang kita telah buat itu. Itulah yang Allah mahukan dari kita. Tak perlu untuk cerita kepada orang lain kesalahan kita dahulu. Simpan untuk diri kita sendiri sahaja. Sebab Allah pun tak suka kita cerita kepada orang lain.

 

وَاسْتَكْبَرْتَ

dan kamu sombong nak terima dan belajar

Sombong tak mahu belajar. Mereka rasa mereka dah pandai tentang hal agama. Sebab itu amat susah untuk dakwah tauhid kepada mereka yang sudah belajar agama seperti belajar di pondok-pondok dan universiti. Mereka rasa mereka sudah masak dan mahir dengan agama Islam. Apabila kita bawa dalil dari wahyu yang bertentangan dengan fahaman mereka, mereka akan tolak kerana mereka tak rasa mereka bersalah – mereka sombong. Sedangkan, walaupun kita telah belajar agama, kita hendaklah periksa samada pemahaman kita tentang agama itu benar atau tidak. Kerana banyak sekali ajaran-ajaran yang salah dalam dunia ini, jadi ada kemungkinan, pembelajaran kita yang selama ini kita telah belajar itu, salah juga.

Dan mereka tetap sombong dengan fahaman mereka, kerana selepas diberitahu tentang ayat-ayat Quran, mereka pergi periksa kepada guru yang mereka dah biasa belajar. Padahal guru itu mungkin tak belajar pun tafsir Quran. Jadi, ustaz itu pun tidak tahu tentang ajaran-ajaran dalam Quran. Mereka tidak belajar, tapi mereka pula ada yang kata apa yang kita sampaikan tentang Quran itu salah. Mereka tetap sombong dengan ilmu yang mereka ada.

 

وَكُنْتَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maka kamu ketika itu jadi seorang yang kafir.

Maknanya, tak belajar tafsir itu dah kufur dah. Realitinya sekarang, ustaz yang sekarang ini banyak mengajar agama di masjid-masjid dan di surau-surau pun tak belajar lagi tafsir Quran. Padahal dia mengajak orang lain kepada Islam. Tapi kita pun tidak tahu apakah ajaran yang akan diberikan kepada masyarakat kalau dia sendiri pun belum tentu betul kerana dia tidak belajar tafsir Quran lagi.

Mereka yang tak mahu belajar Quran ini dikatakan kafir setelah diberi peluang untuk belajar berkali-kali. Kita tidak boleh terus mengatakan seseorang itu kafir. Sudahkah kita ajak dia belajar tafsir Quran? Syaratnya ialah setelah diberi peluang berkali-kali. Iaitu setelah diajak berkali-kali masih tidak mahu belajar, maka barulah dia menjadi kafir.

Dan memang akan ada masalah kalau kita tidak belajar tafsir. Kalau sesiapa yang tidak belajar tafsir, dia tidak akan ada peluang untuk masuk syurga. Kerana dia jahil tentang tauhid dan hukum, dan syaitan akan ambil peluang itu untuk menyesatkan orang itu. Syaitan akan membisikkan perkara-perkara dan fahaman yang salah, dan mereka terima bisikan syaitan itu kerana mereka tidak ada ‘penilai’ untuk menilai samada fahaman itu benar atau tidak. Sedangkan, kalau mereka telah belajar tafsir Quran, mereka akan tahu bahawa itu adalah fahaman yang salah.


 

Ayat 60: Takhwif Ukhrawi.

وَيَومَ القِيامَةِ تَرَى الَّذينَ كَذَبوا عَلَى اللَّهِ وُجوهُهُم مُسوَدَّةٌ ۚ أَلَيسَ في جَهَنَّمَ مَثوًى لِلمُتَكَبِّرينَ

Sahih International

And on the Day of Resurrection you will see those who lied about Allah [with] their faces blackened. Is there not in Hell a residence for the arrogant?

Malay

Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) – muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam neraka Jahannam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur?

 

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ

Dan pada hari kiamat itu,

Pada Hari Kiamat itu.

 

تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ

engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah itu.

Iaitu mereka yang berdusta dengan wahyuNya kerana mereka tak nak belajar tafsir Quran dan tak nak belajar hadis NabiNya. Apakah yang dimaksudkan ‘berdusta terhadap Allah’? Apabila disampaikan wahyu kepada mereka, mereka tolak dan kata itu adalah dusta. Juga termasuk mereka yang mengajar fahaman atau amalan yang bukan dari Allah dan Nabi tapi mereka dakwa ianya ada dalam Islam. Ini termasuklah mereka yang mengatakan sesuatu amalan yang Nabi tidak pernah ajar itu sebagai ‘Bidaah Hasanah‘. Padahal tidak ada Bidaah Hasanah dalam Islam. Semua perkara bidaah adalah sesat seperti hadis Nabi. Ini termasuklah amalan Majlis Tahlil, Solat Hajar berjemaah, talqin, Sambutan Maulid Nabi dan sebagainya lagi.

Wajah mereka akan dalam kegelapan, sedangkan wajah mereka yang berpegang dengan sunnah akan berseri-seri bercahaya.

 

وُجُوهُهُمْ مُسْوَدَّةٌ

muka-muka mereka hitam pekat

Kerana perbuatan mereka di dunia dahulu, Allah jadikan muka mereka hitam legam. Semua orang boleh tengok semasa di Mahsyar nanti.

 

أَلَيْسَ فِي جَهَنَّمَ مَثْوًى لِلْمُتَكَبِّرِينَ

Tidakkah pada neraka jahanam itu tempat yang sesuai sekali kepada mereka yang sombong

Nerakalah tempat yang sesuai dan layak bagi mereka atas perbuatan mereka dahulu semasa di dunia. Kerana mereka sombong untuk terima ajaran tauhid. Sombong untuk belajar Quran dan tentang agama. Apabila diajak untuk belajar tafsir Quran, macam-macam alasan yang mereka akan berikan. Maka Nerakalah tempat yang paling sesuai untuk mereka.


 

Ayat 61: Tabshir Ukhrawi. Ini pula adalah kepada orang yang hendak belajar agama Allah. Mereka berusaha untuk belajar Quran dan Hadis Nabi yang sahih.

وَيُنَجِّي اللَّهُ الَّذينَ اتَّقَوا بِمَفازَتِهِم لا يَمَسُّهُمُ السّوءُ وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

And Allah will save those who feared Him by their attainment; no evil will touch them, nor will they grieve.

Malay

Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak akan berdukacita.

 

وَيُنَجِّي اللَّهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا

Dan Allah akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa,

Iaitu mereka yang mengikut suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya. Yang paling penting adalah mereka yang menjauhkan diri dari melakukan syirik kepada Allah. Surah az-Zumar ini adalah berkenaan syirik kepada Allah. Oleh itu tema di dalam surah ini adalah berkenaan dengan syirik. Jadi makna ‘taqwa’ dalam ayat ini adalah menjaga dari melakukan syirik kepada Allah.

Kepada mereka yang sebegitu, Allah akan selamatkan mereka di akhirat kelak. Inilah yang penting sekali kita kehendaki kerana di situlah tempat yang kita amat-amat memerlukan pertolongan. Dan dari Allah sahaja yang kita boleh harapkan pertolongan itu. Tidak ada sesiapa yang boleh tolong walaupun Nabi, wali dan malaikat.

 

بِمَفَازَتِهِمْ

di tempat-tempat pelepasan-pelepasan mereka.

Di akhirat nanti, kita akan menempuh beberapa tempat yang perlu dilalui. Iaitu kubur, Mahsyar, Titian Sirat, Neraka dan sebagainya. Di tempat-tempat ini, orang-orang bertaqwa akan dilepaskan daripada bahaya tempat-tempat itu. Berapa ramai lagi yang tidak akan selamat kerana mereka telah melakukan kesalahan-kesalahan yang entah berapa banyak.

Apabila dia berada di dalam kubur, dia akan dilepaskan daripada azab kubur. Apabila dia berada di tempat kebangkitan, dia akan selamat lagi. Di Mahsyar, Nabi akan siap sedia menanti mereka di situ. Nabi akan panggil mereka untuk minum air daripada Telaga Kautsar. Bila dia minum Air Telaga Kautsar itu, dia tidak akan dahaga sampai bila-bila. Kemudian itu baru pergi ke Mahsyar. Masa itu belum diberi syafaat lagi. Orang-orang yang dapat minum air Telaga Kautsar sahaja yang akan dapat syafaat.

Apabila Nabi menunggu di telaga itu, Nabi akan nampak orang Islam yang cerah anggota-anggota wuduk mereka, maka mereka dipanggil oleh Nabi untuk minum dari air Kauthar itu. Nabi akan menggamit dan memanggil mereka kerana Nabi sangka mereka adalah umatnya. Tapi malaikat yang menunggu bersama Nabi akan beritahu Nabi bahawa mereka buat apa yang Nabi tak ajar selepas kematian baginda. Maka Nabi akan halau mereka jauh-jauh. Ini sebelum masuk dibicarakan di Mahsyar lagi. Ini adalah dalil yang mengatakan melakukan bidaah itu bukanlah sesuatu yang baik. Janganlah kita terkeliru dengan kata-kata terdapat dua jenis bidaah – bidaah Hasanah dan bidaah Mazmumah. Kena lihat penjelasan yang lebih tentang perkara itu.

Kemudian, semua manusia akan melalui Titian Sirat yang akan berada di atas Neraka. Maknanya, semasa melalui Sirat itu, kita sebenarnya sedang melalui neraka. Semua orang boleh tengok bagaimana keadaan azab di neraka itu. Ada yang dapat lalu dengan cepat dan ada yang dapat lalu juga, tapi perlahan. Dan malangnya nanti, ada yang akan ditarik sampai terjatuh. Tapi orang-orang yang bertaqwa akan diselamatkan. Oleh itu, kemenangan yang dimaksud dalam ayat ini adalah kemenangan selamat dari bahaya. Itu adalah kemenangan yang amat besar sekali. Bayangkan kalau kita terselamat dari dilanggar bas, hampir terkena dan kita rasa amat bersyukur sekali dan waktu itu kita memang terasa lepas dari bahaya yang amat besar. Begitulah juga di akhirat kelak. Kita sudah nampak azab yang boleh jadi kena kepada kita, tapi kita dapat selamat dari bahaya itu. Jadi, kejayaan itu lebih bermakna. Sebab itulah Allah akan melalukan kita dalam neraka, supaya kita akan lebih menghargai nikmat syurga yang diberikan kepada kita nanti.

Jadi di mana saja tempat yang ada azab, orang-orang mukmin akan terlepas daripada azab itu. Apabila dibicara, mereka akan terlepas. Waktu itu akan dibacakan segala perbuatan kita semasa di dunia itu. Siapa yang akan baca? Kita sendiri akan baca. Di mana kesalahan yang telah dimaafkan oleh Allah, tidak akan dibaca. Ini adalah kerana ianya telah dimaafkan oleh Allah. Setiap dosa selagi tak ditanya, maka maknanya kita akan selamat. Kita akan jumpa Tuhan sendiri-sendiri, seorang-seorang. Maka kita kena pasang niat nak jumpa Tuhan bukan dengan cara Dia dalam keadaan marah. Minta ampunlah semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita. Mintalah supaya Allah ampun dosa kita supaya kita dapat jumpa dengan Dia di syurga Firdaus nanti. Mintalah dan tinggalkanlah dosa-dosa yang kita buat selama ini.

Bagaimanakah Allah akan menyelamatkan mereka? Dengan memasukkan mereka ke dalam syurga. Itulah kejayaan yang paling besar.

 

لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ

Dan tidak akan ditimpa sebarang kesusahan (azab)

Dia tidak akan merasa azab yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar. Waktu itu beruntunglah mereka yang percaya dan berpegang kepada wahyu Allah.

 

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak akan berdukacita lagi.

Allah akan cabut segala perasaan dukacita mereka kerana syurga adalah tempat untuk menikmati segala kenikmatan. Jadi, kalau ada rasa sedih, teringat orang lain, teringat keluarga kita yang kita tinggalkan, harta kita tinggalkan dan apa-apa sahaja, itu tidak sesuai di dalam syurga kerana kita sudah tidak dapat menikmati nikmat syurga. Jadi, walaupun anak beranak, adik beradik dia masuk neraka pun dia tidak akan berasa dukacita. Sebab dalam syurga tidak ada perasaan berduka cita. Maka oleh itu dicabut daripada hatinya perasaan dukacita itu. Tidak berasa kasihan belas lagi dah walaupun kepada mak ayah atau anak-anak kita sekalipun. Kerana Allah akan tarik ingatan kita kepada mereka. Kita sekarang di dunia memang berasa kesian kepada mereka. Tapi Tuhan akan cabut perasaan itu apabila sudah masuk syurga nanti. Kalau tak, dia tak boleh nak merasai kelazatan dalam syurga. Dan syurga itu adalah tempat merasai nikmat sahaja.

Maka janganlah hendaknya kita masuk dalam neraka, sebab orang yang paling sayang kepada kita pun takkan ingat kepada kita lagi.


 

Ayat 62: Dalil Aqli. Ayat ini adalah dalil kenapa kita perlu bertaqwa kepada Allah dan beribadat kepada Dia sahaja. Apabila Allah beritahu berkenaan azab yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar, Dia akan bawa dalil. Selalunya dalil yang diberikan oleh Allah adalah dalil dalam penciptaan.

اللَّهُ خالِقُ كُلِّ شَيءٍ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Sahih International

Allah is the Creator of all things, and He is, over all things, Disposer of affairs.

Malay

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.

 

اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ

Allahlah yang menciptakan segala sesuatu.

Alam ini dan segala apa yang ada di dalamnya adalah ciptaan Allah. Allah sahaja yang jadikan semua makhluk. Apabila Allah yang menciptakan segala sesuatu, maka kepadaNya sahajalah kita sembah dan puja. Kenapa nak sembah dan puja ilah yang lain pula? Kerana mereka semua itu tidak dapat mencipta satu apa pun. Termasuklah kita jangan puja Nabi Muhammad. Jangan kita anggap Nabi Muhammad itu lebih dari seorang Nabi dan Rasul. Dia adalah manusia biasa, cuma dia ada kelebihan diberikan dengan wahyu.

 

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Dialah yang atas segala sesuatu itu Maha Menjaga.

Selepas Allah mencipta dan menjadikan alam ini semua sekali, Allah jugalah yang menjaga perjalanan seluruh alam ini. Tidaklah Allah mewakilkan kepada sesiapa pun untuk menjaganya. Janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran karut yang ada dalam masyarakat kita yang mengatakan ada wali-wali yang jaga alam ini. Mereka kata ada 313 wali yang memerintah malaikat untuk menjaga alam. Mereka berikan pangkat kepada wali-wali itu. Di Kelantan, ada yang kata Tok Kenali sekarang berada di salah satu bucu Kaabah. Inilah ajaran karut. Ada madrasah hafal Quran di Kelantan yang mengajar anak muridnya untuk solat hajat dan minta kepada Tok Kenali supaya beri berkat supaya mereka mudah hafal Quran. Sampai begitu sekali. Itu adalah ajaran sesat. Itu orang yang hafal Quran, apatah lagi kalau mereka yang jauh dari Quran? Bukanlah kalau seseorang itu hafal Quran, bermakna dia telah terselamat. Kerana ada yang hafal Quran, tapi mereka tak faham pun apa yang mereka hafalkan itu. Mereka tak tahu pun ajaran yang ada dalam Quran itu. Tapi mereka belajar hafal Quran itu supaya mereka boleh ambil upah jadi imam solat Hajat, imam solat Terawih, meratib dan baca Quran di kubur. Maknanya, tujuan mereka adalah untuk mendapatkan duit dengan menggunakan agama. Mereka sendiri tidak sedar mereka menjual agama untuk mendapatkan neraka.

Kita perlu jaga ibadat kita dan kena tahu sama ada ibadat kita itu adalah ibadat yang kufur atau soleh. Sesiapa yang buat ibadat ikut cara Nabi ajar, ibadat itu dipanggil ‘amal soleh’. Orang yang buat ibadat sebegitu, dipanggil ‘orang soleh’. Bukanlah orang yang soleh itu orang yang bawa tasbih dan berzikir sentiasa. Kita kalau pandang sahaja orang bawa tasbih, kita dah kata dia orang soleh tapi itu tidak semestinya. Kalau dia bawa tasbih, belum tentu dia seorang yang soleh. Bukan itu kayu ukurannya. Orang soleh ini adalah sesiapa yang mengamalkan amal yang soleh.


 

Ayat 63: Ini adalah dalil aqli lagi kenapa kita kena sembah Allah sahaja.

لَهُ مَقاليدُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۗ وَالَّذينَ كَفَروا بِآياتِ اللَّهِ أُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ

Sahih International

To Him belong the keys of the heavens and the earth. And they who disbelieve in the verses of Allah – it is those who are the losers.

Malay

Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.

 

لَهُ مَقَالِيدُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ

Milik Dialah kunci segala khazanah-khazanah langit dan bumi.

Gudang harta langit dan bumi ada dengan Allah. Sesiapa yang hendakkan harta langit dan bumi itu, maka kena minta dengan Allah sahaja, jangan minta kepada selain Dia. Bukan harta sahaja, apa-apa sahaja kita kena minta dengan Allah kerana Allahlah yang mempunyai segala-galanya. Kenapa nak minta kepada para Nabi, para wali dan selain dari Allah? Yang meminta-minta kepada selain dari Allah itu adalah perbuatan yang kufur dan syirik. Ada yang minta kepada cincin. Mereka beli cincin hikmat, keris hikmat yang dibalut kain kuning dan macam-macam lain – mereka iktikad bahawa dengan cincin keramat dan keris keramat itu, rezeki mereka akan bertambah. Macam orang Cina pula, mereka amalkan Feng Shui dan mereka kata kalau letak pada kedudukan tertentu, benda itu di tempat ini dan itu, rezeki akan semakin banyak. Itu juga adalah syirik kepada Allah. Ini penting untuk ketahui kerana ada juga masyarakat Islam yang percaya juga dengan benda-benda karut yang sebegitu. Amat malang sekali kalau begitu.

Perkataan lain bagi kunci adalah مفته miftah. Tapi perkataan مَقَالِيدُ digunakan dalam ayat ini kerana ianya bukan kunci yang biasa. Ianya bermaksud kunci kepada khazanah-khazanah, harta yang banyak.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ

Dan orang-orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah,

Iaitu mereka yang menutup kebenaran dengan ingkar kepada ajaran dari Allah yang telah ada dalam Quran. Bila diberi dalil dan hujah dari wahyu, dia tak nak dengar sebab hati dia ingkar. Dia ingkar untuk terima tauhid. Dia sendiri dah tahu bahawa ianya adalah kebenaran tapi tak mahu nak ikut. Dia tahu Quran itu betul, tapi tak nak juga belajar tafsir supaya dia benar-benar faham. Dengan itu, mereka telah menolak ayat-ayat Allah. Samada tolak semua ataupun tolak satu sahaja ayat dah dikira ingkar dah. Oleh itu, mereka sudah dikira kufur.

Oleh kerana mereka kufur dengan ayat Quran, mereka telah melakukan perkara yang syirik dan kufur. Antaranya, dalam hal berdoa, mereka akan minta tok imam atau ustaz, syeikh untuk doakan untuk mereka. Itu sama sahaja macam agama lain yang meminta paderi dan sami mereka untuk mendoakan untuk mereka.

 

أُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

 merekalah orang yang rugi yang sebenar-benar rugi.

Mereka betul-betul rugi. Mereka akan kekal dalam neraka kerana telah buat syirik kepada Allah. Adakah lagi kerugian yang lebih dari itu?

Maulana Hadi Zumar 45-63


 

Ayat 64: Ini adalah i’adah (ulangan) Dakwa surah Zumar ini: iaitu untuk menyembah Allah sahaja.

قُل أَفَغَيرَ اللَّهِ تَأمُرونّي أَعبُدُ أَيُّهَا الجاهِلونَ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Is it other than Allah that you order me to worship, O ignorant ones?”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: “Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?”

 

 

قُلْ أَفَغَيْرَ اللَّهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ

Katakanlah: apakah selain daripada Allah, kamu suruh aku puja,

Ada kalangan guru-guru agama, ustaz-ustaz dan orang lain yang kononnya ada pengetahuan agama, mengajar dan mengajak manusia untuk memuja dan menyembah kepada selain Allah. Mereka ajar manusia untuk melakukan tawasul dalam amal ibadat mereka. Ini amat banyak sekali terjadi dalam masyarakat Melayu kita. Kalau ajaran dalam Tarekat itu, boleh dikatakan semuanya ada mengajar tawasul dalam amalan mereka. Dan bukan hanya dalam tarekat, dalam amalan masyarakat biasa yang tidak belajar tarekat pun perkara itu telah banyak berlaku. Kerana ianya adalah amalan yang amat mudah untuk diamalkan, ramai yang amalkan dan ramai yang mengajar. Sampaikan ianya menjadi perkara yang biasa sahaja, sedangkan ianya adalah perkara yang syirik. Ianya terlalu biasa dilakukan, sampaikan kita yang menegur ini pula yang dikatakan sesat dan jumud dalam agama. Padahal banyak ayat-ayat Quran yang melarang manusia dari melakukan tawasul.

 

أَيُّهَا الْجَاهِلُونَ

wahai si Jahil?

Selalu akan ada yang ajak kita buat tawasul, panggil tok guru, seru Nabi-Nabi, seru malaikat-malaikat, dan macam-macam lagi. Antara yang banyak melakukannya adalah mereka yang belajar silat. Dalam ilmu persilatan ini terlalu banyak amalan-amalan syirik yang dilakukan untuk memperolehi keramat. Antaranya ialah amalan untuk jadi kebal. Walhal Nabi SAW pun sewaktu berperang menegakkan syiar Islam dulu pakai 2 lapis baju besi. Nabi SAW yang berjihad fi sabilillah pun tercedera. Kenapa Nabi SAW tak kebal? Kenapa sahabat-sahabat yang bersama baginda tidak kebal? Padahal mereka menegakkan agama Islam? Kalau patut kebal, mereka dulu lagi dah Allah berikan ilmu kebal kepada mereka. Sebenarnya ilmu kebal yang diamalkan oleh tok nenek kita dahulu dan diamalkan oleh orang-orang zaman sekarang adalah sihir dan sihir itu adalah syirik kepada Allah. Dan selalunya amalan mereka akan dimulai dengan tawasul kepada makhluk-makhluk tertentu – Panglima Hitam dan sebagainya.

Lagi satu adalah amalan yang selalu diamalkan adalah sebelum keluar rumah. Tujuannya untuk bagi orang gerun atau sayang dengan kita, supaya tiada siapa mampu binasakan kita, tiada siapa mampu bantah cakap kita.  Yang menjadi masalah apabila bacaan-bacaan ini turut mempunyai ayat-ayat Quran, dan yang wajib ada mesti diakhiri “Laa ilahaillallah”. Ayat-ayat Quran ini ditambah bersama mentera-mentera kononnya untuk mengislamkan petua-petua orang dulu-dulu. Setiap kali masuk gelanggang ada bacaan tertentu. Kononnya untuk menghormati sesama makhluk, supaya tanah dan rumput / daun-daun yang mereka pijak sewaktu bersilat di dalam gelanggang akan turut mendoakan kesejahteraan kita. Walhal tanah / rumput / daun-daun hanya berzikir kepada Allah. Allah panggil mereka-mereka yang mengajak melakukan tawasul-tawasul ini sebagai orang-orang yang jahil.

Banyak lagi amalan-amalan lain yang masyarakat Islam kita buat tapi ianya bukanlah dari Islam. Antaranya yang selalu dibuat adalah amalan tawasul yang merebak ke merata tempat dalam masyarakat kita. Itulah amalan yang kita selalu dengar: kita akan dengar mereka kata begini: ila hadratin nabiyy…. Berapa ramai ustaz-ustaz di Malaysia ini yang kata boleh buat tawasul? Berapa banyak buku dalam pasaran yang menganjurkan buat tawasul? Padahal tawasul itu adalah perbuatan kufur. Mereka bertawasul kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani, kepada para malaikat, kepada wali-wali lain dan macam-macam lagi.

Ingatlah bahawa kita hanya boleh puji dan puja kepada Allah taala sahaja. Berhentilah dari memuji-muji Nabi Muhammad berlebih-lebihan sampaikan sama macam kita puja Allah. Termasuk dalam hal ini adalah amalan-amalan maulid Nabi yang dilakukan oleh puak-puak Habib sekarang ini. Masyarakat kita memang suka sangat apabila diajak buat benda yang memuja-muja Nabi ini. Padahal, Nabi sendiri dah beri amaran supaya jangan berlebihan berkenaan baginda, kerana ditakuti akan terjadi seperti apa yang terjadi kepada kaum-kaum dahulu. Mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah perkara baik dalam agama, tapi mereka tidak sedar bahawa ianya adalah perkara yang amat buruk sekali. Mereka dimurkai oleh Allah kerana memandai-mandai reka amalan dalam agama. Mereka ingat mereka akan dapat pahala, tapi sebenarnya mereka akan dapat dosa. Mereka buat begitu adalah kerana mereka jahil. Apabila diajak belajar, mereka tidak mahu, akhirnya jadi jahil dalam agama.

Para ulama menyebutkan asbabun nuzul ayat ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan lain-lainnya dari Ibnu Abbas, bahwa orang-orang musyrik yang karena kebodohannya menyeru Rasulullah Saw. untuk menyembah tuhan-tuhan mereka dan mereka baru mahu menyembah Tuhannya bila beliau mau menyembah tuhan mereka. Jadi Allah suruh Nabi jawap dengan jawapan dalam ayat ini.


 

Ayat 65: Dalil Wahyi.

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

Sahih International

And it was already revealed to you and to those before you that if you should associate [anything] with Allah, your work would surely become worthless, and you would surely be among the losers.”

Malay

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

 

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ

Sesungguhnya kami telah mewahyukan kepada kamu (Muhammad)

Allah ingatkan kepada Nabi Muhammad, juga kepada kita, umat baginda.

 

وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ

dan kepada Nabi-Nabi sebelum kamu

Maknanya, sama sahaja apa yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad dan Nabi-nabi sebelumnya. Bukan Nabi Muhammad dan kita sahaja yang kena berpegang dengan tauhid ini tapi umat-umat terdahulu pun. Oleh kerana kita yang belajar wahyu ini, maka ayat ini pun tertuju kepada kita. Kita pun kena ambil perhatian dengan ayat ini.

 

لَئِنْ أَشْرَكْتَ

sekiranya kamu melakukan syirik,

Kalau Nabi Muhammad melakukan syirik (takkan Nabi Muhammad melakukannya); amaran ini termasuk juga kepada guru-guru, ustaz-ustaz dan kita sendiri; kalau kita kita melakukan syirik, maka kita pun termasuk juga dalam amaran yang Allah berikan ini.

 

لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ

nescaya gugur semua amal ibadat-ibadat kamu

Segala solat kita, puasa, haji, sedekah dan segala amal-amal baik kita akan batal. Pahala yang kita sudah kumpul itu akan jadi kosong. Tak kira berapa tahun kita telah beramal, sekali kita buat syirik, semuanya sekali akan dihapuskan. Bayangkan kita meniup belon yang semakin membesar dan membesar – tapi apabila ada satu jarum sahaja dicucuk kepada belon itu, belon itu akan pecah. Angin yang ada dalam belon itu adalah ibarat pahala-pahala dari amalan kita dan satu jarum itu adalah satu amalan syirik yang kita buat. Dengan satu syirik sahaja akan menghilangkan segala pahala amalan kita yang telah lama kita kumpulkan. Agaknya dah berapa banyak kesyirikan yang kita sudah buat tanpa kita ketahui? Sama ada kita tahu atau tidak, ianya tetap satu perbuatan syirik dan tidak akan dimaafkan.

Jadi, amat rugi sekali segala amalan kita. Apa yang kita perlu lakukan adalah kita kena belajar apakah maksud tauhid dan apakah maksud syirik. Belajar dan terus belajar supaya kita dapat bezakan manakah amalan yang soleh dan manakah amalan yang syirik.

Segala pahala kita akan hilang dan kena kumpul balik dari mula. Tidakkah itu rugi?

 

وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

dan kamu pasti kamu akan menjadi orang yang rugi.

Rugi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah, semua yang buat syirik akan dimasukkan dalam neraka tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Padahal, segala amal telah banyak dilakukan, tapi semuanya tidak dikira.

Amat rugi juga kerana kita telah laburkan entah berapa banyak masa dan tenaga untuk buat amal-amal itu, tapi kerana kita ada buat syirik, ianya hilang begitu sahaja. Macam kita dapat untung perniagaan yang kita telah kumpul sekian banyak, tapi hilang begitu sahaja. Apa perasaan kita waktu itu?

Kalau Nabi-Nabi pun Allah akan masukkan ke dalam neraka kalau buat syirik, apatah lagi kita?


 

Ayat 66:

بَلِ اللَّهَ فَاعبُد وَكُن مِنَ الشّاكِرينَ

Sahih International

Rather, worship [only] Allah and be among the grateful.

Malay

“(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.

 

بَلِ اللَّهَ فَاعْبُدْ

Bahkan! Allah jualah hendaknya yang kamu sembah;

Jangan sembah dan seru kepada yang selain Allah. Tapi berapa banyak kesalahan yang masyarakat kita telah buat? Jangan kita jadi seperti orang Kristian: mereka terima Nabi Isa, Injil sebagai kitab dari Tuhan, tapi mereka puja kepada Nabi Isa melebihi dari yang sepatutnya. Jangan kita terima Islam sebagai agama kita, Nabi Muhammad sebagai Rasul kita dan Quran sebagai kalam Allah, tapi kita puja Nabi Muhammad. Ramai dari kita yang puja Nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Itu semua adalah kerana mereka salah faham tentang apakah maksud sembah dan puja. Mereka ingat dengan perbuatan mereka itu mereka tidak sembah dan puja Nabi, wali dan malaikat itu. Tapi sebenarnya, mereka menyembah entiti-entiti itu. Bila kita kata kenapa kamu pergi ke kuburan itu dan cium nesan-nesan itu? Mereka kata: kami tak sembah, sebab kami tak sujud pun. Jawapan mereka itu adalah pemahaman sempit mereka tentang maksud ‘sembah’ dan ‘puja’. Kalau sudah cium batu nesan, pasang lampu di kuburan yang dikatakan orang alim, letak gambar, buat amal ibadah di kawasan kuburan itu, itulah amalan pemujaan dan penyembahan.

 

وَكُنْ مِنَ الشَّاكِرِينَ

dan hendaklah kamu menjadi orang yang bersyukur.

Bagaimana cara untuk bersyukur? Dengan taat kepada Allah. Lafaz yang kita selalu sebut adalah: ‘Alhamdulillah’. Tapi sebelum itu, kenalah taat kepadaNya. Maknanya, bukan setakat kita menyebutkan zikir Alhamdulillah, Alhamdulillah sahaja berulang-ulang tapi kita tak taat kepada suruhanNya. Kenalah perbuatan kita juga menunjukkan kita taat kepadanya. Jadi, perbuatan kita menjaga solat, menjaga puasa, berzikir, baca Quran dan sebagainya adalah dikira sebagai tanda kesyukuran juga. Walaupun waktu itu kita tidak kata ‘syukur’ kepada Allah pun.

Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah dengan menyembah dan memujaNya sahaja. Kerana Dialah yang telah menjadikan kita dan selayaknya Dia sahaja yang disembah dan diseru.


 

Ayat 67: Ini adalah Zajrun – ayat teguran dari Allah.

وَما قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدرِهِ وَالأَرضُ جَميعًا قَبضَتُهُ يَومَ القِيامَةِ وَالسَّماواتُ مَطوِيّاتٌ بِيَمينِهِ ۚ سُبحانَهُ وَتَعالىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Sahih International

They have not appraised Allah with true appraisal, while the earth entirely will be [within] His grip on the Day of Resurrection, and the heavens will be folded in His right hand. Exalted is He and high above what they associate with Him.

Malay

Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggamanNya, dan langit tergulung dengan tangan kananNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.

 

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ

Dan tidaklah mereka menghargai Allah sebagaimana yang sepatutnya mereka hargai Allah.

Allah menegur perbuatan golongan musyrik yang tidak menghargai Allah seperti yang sepatutnya. Mereka sepatutnya menghargai Allah dengan mereka agungkan agungkan Allah. Tapi mereka agungkan tok wali, guru mereka, Nabi-nabi, malaikat-malaikat dan sebagainya. Macam Kristian, mereka mengagungkan Nabi Isa, sahabat Nabi Isa a.s., malaikat dan sebagainya. Masyarakat kita pun macam itu juga, cuma tak buat berhala untuk selain Allah. Belum sampai kepada tahap itu lagi. Tapi sebenarnya dah sembah dan puja dah. Sebagai contoh, ada doa orang bersilat yang kata: Jibrail di depan, Mikail di kanan… dan sebagainya. Itu adalah doa syirik. Mereka puja Allah, tapi mereka puja juga sembahan lain. Kita sepatutnya membesarkan Allah dan mengecilkan yang selain dariNya. Tapi yang sebaliknya dilakukan. Dengan Allah mereka buat tak endah, tapi mereka sibuk dengan pemujaan kepada selain Allah.

Musyriki Mekah dan mereka yang ada sifat syirik dalam diri mereka juga tidak menghargai Allah dengan sepatutnya apabila mereka mengatakan yang Allah memerlukan tawasul (perantara) dalam ibadah dan juga dalam doa. Dalam masyarakat kita pun ramai yang berbuat begini. Itu semua adalah diajar oleh guru-guru yang tidak belajar isi kandung Quran. Mereka sebenarnya hendak mengambil wang dari anak murid mereka. Sebab mereka akan ambil upah untuk baca doa, untuk mengajar ilmu salah, untuk jadi tekong Majlis Tahlil, baca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya. Mereka bukan orang jahat, tapi mereka tipu juga kepada anak murid mereka. Ingatlah bahawa tidak boleh minta upah dalam hal ibadat termasuk mengajar agama. Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang terkenal sekarang. Tanyalah berapa banyak kadar bayaran mereka yang kena dibayar untuk mereka datang mengajar di sesuatu tempat. Mereka itu seperti pendita Yahudi juga. Ini kita tahu dari pembelajaran kita dari surah Baqarah kerana banyak diberikan persamaan antara guru agama kita sekarang dan pendita Yahudi.

 

وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

dan bumi semua sekali di dalam genggamanNya pada hari kiamat.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat yang dipanggil sebagai ayat  ‘mutashabihah’. Iaitu ayat-ayat yang mempunyai maksud-maksud yang tersirat yang kita tidak tahu dengan tepat. Kita tidak tahu bagaimana cara Allah genggam bumi ini. Puak Jahmiah kata ayat ini dan juga ayat-ayat seperti ini, macam ayat yang mengatakan Allah ‘bersemayam’ atas Arash, dan mereka kata syirik sesiapa yang kata Allah ada tangan dan bersemayam di Arash. Oleh kerana mereka tidak mahu terima teks asal Quran, maka mereka menakwil ayat-ayat mustashabihah ini. Mereka memberi makna lain kepada ayat-ayat Allah. Mereka kata bukan ‘genggaman’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini, tapi ‘kekuasaan’ dan sebagainya. Mereka cakap macam ini kerana mereka kata takkan Allah ada tangan. Sebab Allah tidak sama dengan manusia. Jadi sebab manusia ada tangan, takkan Allah pun ada tangan. Itulah pendapat mereka.

Macam mana nak jawap?

Ayat-ayat seperti ini pada zahirnya kita faham, tapi maksudnya tak jelas. Ketahuilah bahawa Tuhan tidak menyerupai makhluk. Seperti mana kita berjalan, ayam lembu juga berjalan, ikan berenang, burung terbang, ular merayap. Itu pun dikira ‘berjalan’ juga. Walaupun tidak menggunakan kaki. Berjalan binatang-binatang itu tidak sama dengan cara berjalan manusia. Ular, contohnya, berjalan dengan perut. Maka, kerana Allah mengatakan tanganNya, maka kita terima bahawa Allah ada tangan. Tapi mestilah kita yakin bahawa tangan Allah tidaklah seperti tangan kita.

Contoh lain: Kita juga menggunakan kiasan dalam perkataan seperti ‘rumah’ untuk menerangkan sesuatu. Contohnya ‘muka rumah’. Muka rumah macam mana? Tak sama ‘muka rumah’ itu dengan muka kita. Ianya adalah satu perkataan yang kita faham tapi tak boleh nak cerita balik. Muka ‘muka sungai’, adalah satu lagi contoh. Mana muka dia? Tak boleh cerita. Allah Taala tidak serupa makhluk. Ramai yang tafsir ayat diatas bermaksud dalam ‘kuasa’ Allah. Tapi tidak begitu tepat sebenarnya. Bahasa Arabnya kekal mengatakan ianya adalah ‘tangan’, maka kita tak boleh suka-suka tukar kepada maksud yang lain. Tapi bukanlah genggaman Allah seperti genggaman manusia. Maka, janganlah kita takwil ayat-ayat sebegini. Tuhan sahaja yang tahu makna sebenarnya. Allah sahaja yang boleh tafsir. Seperti yang telah difirmankan Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 7. Dalam ayat itu, Allah memberitahu bahawa orang yang condong kepada kesesatan akan ambil ayat mutashabihat ini sebagai fitnah.

Surah 3. Ali-Imran, Ayat 7:

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ
Dialah Dzat yang menurunkan kepada kamu (Muhammad) satu kitab

مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ
dalamnya ada ayat-ayat yang jelas maknanya

هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ
Itulah sebenarnya induk isi kandung ummul kitab

وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ
Dan yang selainnya adalah ayat yang samar maknanya.

Ayatnya kita faham, tapi maksudnya tak jelas. Selain dari ayat sebegini, ada ayat yang kita langsung tidak faham. Contohnya kita tak tahu langsung apa sebenarnya makna perkataan ‘alif lam mim‘.

Kita ambil contoh ayat ‘Allah bersemayam di atas Arash’. Kita tak tahu Allah duduk macam mana. Tapi dalam ayat ini Allah kata Dia ‘duduk’. ‘Duduk’ dengan cara Dia. Tidak sama dengan cara duduk manusia.

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ
Adapun orang-orang yang hati mereka condong kepada sesat

فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ
Mereka mengikuti/mengutamakan apa yang samar-samar pada ayat itu.

Mereka yang ekstrem kata siapa yang kata Tuhan duduk atas Arash itu adalah kafir. Alasan mereka adalah: kita menyamakan Tuhan dengan makhluk. Padahal, kita tidak pernah kata macam itu pun.

Ketahuilah bahawa Arash itu melitupi semua sekali langit ke-7. Jadi Dia duduk macam mana, kita tak tahu. Bukannya duduk macam kita. Allah tidak menyerupai makhluk. Itu sahaja penjelasan yang diberikan oleh Allah.

ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ
Untuk mencari fitnah.

Mereka mencari-cari makna yang tersembunyi itu sebab nak menuduh orang lain kafir.

وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ
Dan mencari maksud-maksud yang salah dari apa yang dia tafsir.

Mereka akan cuba tafsir, tapi apa yang mereka tafsirkan adalah salah. Kerana mereka akan tafsir dan takwil guna akal sendiri, dan akal manusia tidak akan sampai ke tahap untuk faham apakah maksudnya yang sebenarnya.

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا ال
Dan tidak mengetahui maksud takwil ayat itu melainkan Allah sahaja.

Allah sahaja yang tahu, kita tidak akan tahu.

وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ
Dan mereka-mereka yang mendalam ilmu ugamanya

يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ
mereka berkata: kami beriman kepada ayat itu.

Mereka terima bulat-bulat seperti apa yang telah disebut itu. Tidak takwil-takwil lagi.

كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا
Semua sekali dari sisi Tuhan kami.

وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Dan tidak mengikuti nasihat ini, melainkan orang-orang yang mempunyai otak cerdik sahaja.

Maknanya orang yang cuba nak takwil ayat-ayat mustashabih itu adalah orang yang otak senget. Mencari perkara yang tak payah dicari. Mereka tidak belajar pun tafsir Quran dan hadis Nabi. Mereka yang seperti ini dipanggil golongan Jahmiah, tidak dikira sebagai ahli sunnah wal jamiah. Semua imam hadis mengatakan Tuhan duduk di atas Arash. Mereka tidak takwil-takwil lagi.

Begitu pun, kita tidaklah mengatakan mereka yang takwil ayat-ayat mutashabihat itu sebagai sesat pula, kafir dan sebagainya. Mereka masih lagi dalam kelompok ahli sunnah wal jamaah. Cuma pada kita, mereka tidak tepat dengan menakwil ayat-ayat itu. Kita lebih selesa untuk terima sahaja apa yang Allah telah sebut tanpa takwil.

 

وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ

dan tujuh langit itu akan digulung dengan tangan kananNya.

Lagi satu ayat mutashabihah. Kita tidak tahu bagaimana keadaan ‘tangan’ Allah. Dia cuma kata dalam ayat ini bahawa Dia akan menggulung langit dengan tangan kananNya. Itu sahaja yang kita tahu. Jadi, sekarang kita tahu Allah ada tangan kanan. Adakah Allah ada tangan kiri pula kalau Dia ada tangan kanan? Kita tak perlu jawap. Tak perlu kita nak membayangkan bagaimana rupanya. Kerana kita tidak disuruh memikirkan tentang Dzat Allah tapi kita disuruh memikirkan tentang sifat-sifat Allah. Kita tidak akan dapat memahami tentang Dzat Allah, jadi jangan buang masa. Banyak lagi perkara lain yang kita kena fikirkan dan luangkan masa.

 

سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maha suci Allah. Maha tinggi Dia, daripada apa yang mereka sekutukanNya.

Maha suci Allah dari apa-apa yang mereka katakan. Mereka kata Allah begini, begitu, tanpa bawa dalil dari Quran dan Hadis, maka mereka sebenarnya menipu. Allah suci dari sifat-sifat Allah yang mereka katakan. Allah lebih tinggi dari apa yang mereka katakan. Maka, janganlah kita memperkatakan tentang Allah dari sumber yang entah dari mana.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 039: Az Zumar and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s