Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 – 4

Balik kepada Ayat Pertama Surah Fatihah

Ayat 3: Selepas Allah mengatakan bahawa DiriNya adalah Tuan, maka sekarang Allah menyebutkan dua sifatNya.

1:3

Transliteration

Arrahmani arraheem

Sahih International

The Entirely Merciful, the Especially Merciful,

Malay

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah yang suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah belajar bagaimana Allah adalah Tuhan sekelian alam. Allah amat berkuasa untuk melakukan segala-galanya. Sekarang, kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, apakah sifat mereka yang berkuasa? Mereka ada yang sombong, kejam, ada yang menyalahgunakan kuasa, mereka bersifat keras dan sebagainya. Dalam ayat ini, Allah memberi kelegaan kepada kita. Walaupun Allah amat berkuasa, tapi sifat Allah itu adalah sifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kekuasaan yang Allah tunjukkan adalah kekuasaan yang rahmah.

Allah telah menjadikan alam semesta ini untuk menzahirkan rahmatNya. Sangat banyak rahmahNya telah diberikan kepada kita. Tidak terkira banyaknya. Kalau kita nak cuba kira pun tidak boleh, sebab banyak sangat.

Allah ingatkan perkara ini dalam surah Fatihah. Lebih banyak maklumat lagi disebut dalam Surah ar-Rahman.

الرَّحْمَٰنِ

Tuhan yang mempunyai sifat Maha Pemurah; kasih pada semua makhluk. Termasuk manusia yang Islam atau kafir. Tak kira bangsa apa. Allah beri rezeki kepada semua sekali. Ulat dalam batu pun dapat makanan juga. Pernah Nabi suruh sahabat ketuk batu hingga pecah dan dalam batu itu ada batu lagi. Tiga lapisan batu. Dalam batu ketiga ada seekor ulat dan dimulutnya ada sehelai daun. Allah boleh beri daun sebagai makanan kepada ulat itu walaupun ulat itu berada dalam batu. Allah telah ciptakan makhluk itu dalam batu dan Allah lah yang memberi daun kepada ulat itu untuk makan. Kerana sayangnya Allah kepada makhluk.

Sifat pemurah ini adalah kepada semua makhluk semasa di dunia.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, ianya umpama kasih seorang ayah. Iaitu Dia sanggup untuk melihat anaknya menderita asalkan anaknya itu sedar kesalahannya dan menjadi baik. Contohnya, kalau anak itu ada buat kesalahan sampai kena penjara, dia sanggup anaknya itu merengkok dalam penjara beberapa hari supaya anaknya itu belajar erti penyesalan dan sedar kesalahannya dan menjadi baik selepas itu. Supaya anak itu takut kena penjara lagi dan tidak berani lagi untuk buat kesalahan.

Kata dasar ar-Rahman dan juga ar-Rahim diambil dari kata dasar yang sama – rahmat. Jadi kenapa kenapa dua nama ini diletakkan bersama dalam satu ayat? Kalau ianya sama sahaja, maka tidak perlu diletakkan berasingan. Ini bermakna, ada perbezaan antara dua nama itu. Dua-dua membawa maksud yang berbeza, walaupun ada persamaan. Kita kena faham makna dua-dua perkataan ini sebaik mungkin supaya kita dapat lebih mengenali Allah. Tentulah kita tidak akan dapat faham sepenuhnya, kerana akal kita terhad. Tapi mari kita lihat apakah persamaan dan apakah perbezaan antara dua nama ini. Kerana apabila dua nama itu diletakkan bersebelahan, apa yang kita boleh faham adalah dua nama ini ada perbezaannya.

Makna ar-Rahman ada tiga kualiti:

  1. Ianya adalah extreme. Oleh kerana ada pertambahan ‘an’ dihujung nama itu. Allah amat-amat pemurah, tidak dapat dibayangkan, tidak dapat dijelaskan lagi.
  2. Dari nahu yang digunakan, kita dapat tahu bahawa Allah sedang melakukan perbuatan ‘pemurah’ sekarang. Apakah maksudnya: Sebagai contoh, kita ada kawan, dia memang seorang pemurah. Tapi tidak semestinya dia sedang memberi. Sebagai contoh, kalau dia tidur, dia bukanlah sedang memberi. Tapi sifat itu memang ada pada dirinya. Tapi tidaklah sentiasa dia dalam keadaan pemurah. Oleh itu, kalau dari makna ar-Rahman ini sahaja, kita dapat tahu bahawa sifat itu tidak ‘sentiasa’. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Mari kita lihat lagi kriteria yang seterusnya:
  3. Dari nahu yang digunakan, kita boleh tahu bahawa sifat Rahman Allah itu bermasa. Ianya tidak berterusan. Seperti juga perasaan yang kita ada seperti lapar, tidak semestinya kita sentiasa lapar. Apabila kita makan, kita tidak lagi lapar. Atau perasaan marah, tidak semestinya kita sentiasa marah, kalau kita tidur, kita tidak marah. Atau punca kemarahan itu telah hilang, kita tidak marah lagi. Jadi, dari makna ini, kita dapat faham bahawa Allah tidak akan sentiasa jadi pemurah. Memang di dunia ini Allah bersifat pemurah kepada semua makhluk, tapi bagaimana di akhirat nanti? Adakah sifat itu berterusan? Mungkin ada sesuatu yang kita lakukan yang boleh menyebabkan Allah tidak bersifat Rahmaan dengan kita. Iaitu kalau kita tidak mengikut perintahNya. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya menakutkan kita.

Allah beri rahmat dan pemberianNya kepada orang muslim dan juga orang kafir. Walaupun orang kafir itu telah tolak Allah. Tapi Allah masih beri rahmat lagi kepada mereka. Tapi lihatlah apa yang mereka balas kepada Allah? Mereka tidak terima apa yang Allah suruh mereka buat. Mereka puja tuhan sembahan yang lain. Mereka kata macam-macam tentang Allah. Tapi Allah maha penyabar. Allah tidak terus beri balasan kepada mereka semasa di dunia ini. Allah biarkan sahaja. Allah tetap beri makan, beri minum dan beri keperluan hidup kepada mereka.

Allah ada 100 rahmat dan Allah berikan 1 sahaja kepada dunia yang dikongsi oleh semua makhluk. Dengan rahmat itulah seorang ibu sayang kepada anaknya, dengan rahmat itu jugalah kita kasihan dan sayang kepada insan dan makhluk yang lain.

Kita telah lihat kriteria yang kita boleh ambil dari makna ar-Rahmaan sebelum ini. Apakah pula kriteria sifat ar-Rahiim pula?

الرَّحِيمِ

Yang Maha Pengasih; sayang Allah di akhirat nanti, iaitu kepada orang mukmin sahaja. Yang tidak beriman, Allah akan marah dan murka kepada mereka. Allah akan masukkan orang beriman ke dalam syurga dan mereka akan duduk disitu selama-lamanya. Tidak ada ibadat apa pun lagi yang hendak dibuat. Mereka hanya duduk di dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja.

Ada makhluk yang masuk dalam syurga tanpa buat apa-apa ibadat pun. Seperti ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa dalam zaman Firaun. Apabila mereka akhirnya kalah dengan Nabi Musa dan beriman dengannya, mereka terus dibunuh oleh Firaun. Allah terus memasukkan mereka ke dalam syurga. Tidak sempat pun mereka buat apa-apa ibadat. Ada juga sahabat yang telah mengucap dua kalimah syahadah, terus pergi berperang dan mati syahid, tanpa sempat solat walau satu waktu pun.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, sifat ar-raheem ini boleh diumpamakan seperti kasih seorang ibu. Dia tidak sanggup melihat anaknya menderita. Walaupun dia tahu anaknya jahat, sampai kena tangkap polis dan kena masuk penjara, tapi dia akan merayu-rayu supaya anaknya dilepaskan. Ini berbeza dengan sifat Rahmaan yang sanggup melihat anaknya menderita supaya anaknya itu dapat belajar erti kesilapan.

Jadi kita telah tahu kriteria sifat ar-Rahmaan dari segi bahasa. Bagaimana pula dengan ar-Rahiim?

  1. Makna rahiim membawa maksud ‘sentiasa’. Allah sentiasa pemurah. Sifat itu berterusan. Ianya tidak akan berhenti. Ianya akan tetap ada.
  2. Sifat pemurah itu tidak semestinya terjadi sekarang. Sifat itu tetap ada, tapi ianya tidaklah berlaku sekarang. Sebagai contoh, seorang itu bersifat pemarah, tapi tidaklah dia marah sekarang. Cuma sifat itu ada dalam dirinya.

Oleh itu, apabila dua-dua sifat Rahmaan dan Rahiim ini digabungkan dalam satu ayat, Allah hendak memberitahu satu sifat yang lengkap. Iaitu sifat pemurah Allah itu adalah teramat sangat (Rahmaan), dan sifat itu berterusan (Rahiim), tapi walaupun sifat itu akan sentiasa ada, ianya tidak semestinya diberikan kepada kita sekarang (Rahiim) dan mungkin akan ditarik balik mengikut kehendakNya (Rahiim).

Ulama tafsir membincangkan apakah maksud sifat ar-Rahman dan ar-Rahiim ini. Mereka mengatakan bahawa ayat ini hendak menceritakan tentang hubungan Allah dan makhlukNya. Bayangkan betapa sayangnya Allah kepada kita. Allah tahu segala-galanya tentang kita, tapi Allah masih beri rahmat kepada kita. Perkara yang Allah tahu tentang kita itu, kalau emak ayah kita tahu, mereka tentu tidak mengaku kita anak mereka. Kalau suami atau isteri kita tahu, mereka akan ceraikan kita. Kalau kawan kita tahu semuanya tentang kita, mereka pun tidak mahu kawan dengan kita dah. Tapi lihat, walaupun Allah tahu segala-galanya tentang kita, tapi Allah masih lagi beri rahmat kepada kita.

Walaupun Allah bersifat penuh rahmah, ada pula yang kata: “kalau begitu sifat rahmat Allah, kenapa ada suffering dalam dunia?”. Kita selalu dengar hujah yang macam ini, tapi kita tidak tahu jawap. Hujah sebegini disebut oleh orang kafir, tapi orang Islam pun ada sebut juga. Apabila mereka ditimpa kemalangan dan musibah, mereka ada yang berkata: “Kenapa Allah turunkan bala ini kepada aku, adakah Allah tidak sayang kepada aku?”.

Pertama, hujah-hujah yang mereka katakan itu hanya tentang dunia sahaja. Hendaklah kita yakin bahawa Allah tidak zalim kepada makhlukNya. Kehidupan ini bukan hanya di dunia sahaja, mahu tidak mahu, kita semua akan menuju kepada kehidupan akhirat. Mungkin Allah beri kesusahan kepada seseorang semasa dia di dunia, tapi Allah akan balas dengan kebaikan apabila dia mati kelak. Kalau seorang yang paling celaka, bernasib paling malang dalam dunia, dan dia diberikan rahmat akhirat, dia tak ingat langsung dah kesusahan yang telah dialaminya semasa di dunia dulu. Semuanya hilang dari ingatannya. Macam tidak ada langsung kesusahan dulu yang dialaminya. Maknanya, kesusahan di dunia tidak kekal. Tidak ada makna kesusahan di dunia itu. Yang kekal adalah kehidupan di akhirat. Kenikmatan di akhirat yang kita lebih perlukan.

Kita juga jangan lihat dunia dengan mata kasar sahaja. Apa yang kita rasakan sebagai musibah mungkin ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak tahu. Tidaklah sentiasa Allah beri nikmat sahaja tanpa sekali-sekala diberikan musibah kepada makhluk. Kalau seorang manusia hanya menerima nikmat sahaja, ianya tidak baik untuknya. Sebagai contoh, kalau ibubapa beri segalanya kepada anaknya, itu pun tidak baik. Dia tidak akan kenal dengan kesusahan. Dia tidak dapat merasai kesusahan orang lain. Atau dia akan jadi sombong dan sebagainya. Dia juga akan lupa bahawa apa yang dia sedang terima itu adalah nikmat. Dia tidak perasan bahawa Allah telah memberinya dengan kebaikan yang banyak. Kerana dia asyik dapat yang baik-baik sahaja. Kalau seorang anak itu, hanya makan makanan yang sedap-sedap sahaja, apabila dia diberi makanan yang kurang sedap, mungkin dia marah, kenapa dia dapat makanan tak sedap kerana dia ingat dia hanya layak dapat makanan yang sedap sahaja. Hanya orang sakit sahaja yang akan kenal apakah itu nikmat kesihatan. Apabila kita sakit dan sihat, barulah kita menghargai nikmat kesihatan itu.

Kesakitan pun rahmah dari Allah juga sebenarnya. Kerana kalau kita tak rasa sakit, ianya akan merosakkan kita juga. Kita pun pernah baca bagaimana ada kanak-kanak yang tiada deria sakit. Kalau luka pun, mereka tidak dapat rasa. Jadi, dia tak tahu pun tentang benda-benda bahaya. Kalau dia tak rasa panas, dia mungkin letak tangan dia pada api sampai terbakar rosak tangan dia. Oleh itu, kita kena ingat, kesakitan itu menolong kita dalam kehidupan sebenarnya.

Kesusahan juga dapat mengingatkan kita untuk memperbetulkan perbuatan kita yang salah dan silap semasa di dunia. Ianya akan mengingatkan kita. Kerana kesusahan dunia ini akan mengingatkan kita tentang kesusahan yang kekal abadi di akhirat kelak kalau kita tak ikut arahan Allah. Kalau susah yang sedikit di dunia pun kita dah tak tahan, apatah lagi kalau di akhirat kelak. Kalau kita dah rasa susah sikit sahaja di dunia, maka kita kena betulkan apa-apa yang kita sedang buat supaya kita tidak susah di akhirat kelak. Kalau kita berpanas sekejap sahaja di tengahari sudah rimas, bagaimana pula kalau kita dimasukkan ke dalam neraka yang kepanasannya berjuta-juta darjah? Untuk tahu itu, kenalah belajar tentang akhirat. Tentang Mahsyar, tentang syurga dan neraka. Kena tahu bagaimana kehidupan neraka itu adalah satu kehidupan yang amat amat tidak selesa. Amat terseksa kalau hidup di dalamnya. Kerana kalau kita tidak tahu, kita tidak tahu dengan apa yang akan terjadi di hari kiamat nanti.

Musibah yang Allah berikan kepada kita juga dapat menghapuskan dosa kita yang banyak. Entah berapa banyak dosa yang kita lakukan. Samada kita sedar atau tidak. Dengan musibah, Allah akan hilangkan dosa itu dari kita. Oleh itu, jangan gelisah sangat kalau kita sakit. Kesakitan itu dapat menghapuskan dosa kita.

Tidak ada apa pun yang Allah lakukan boleh dikatakan sebagai tidak elok. Walaupun dengan mengadakan syaitan. Ada guna juga syaitan ini. Kita beribadat kerana hendak melindungkan diri dari syaitan. Dengan itu kita dapat mendekatkan diri dengan Allah. Iblis juga menjadi contoh sempadan yang jangan diikuti. Kita belajar tentang apakah kesalahan yang dia lakukan, maka kita jadikan dia sebagai sempadan. Jangan kita sombong, jangan tinggi diri, jangan itu dan ini.

Kalau tidak ada keburukan, kita tak nampak keindahan. Kalau tidak ada gelap, kita tidak tahu tentang bezanya dengan cahaya. Kalau tidak ada malam, kita tidak tahu adanya siang.

Sifat rahman dan raheem ini juga mengajar kita supaya jangan kita putus harap dengan rahmat Allah. Putus harap dengan Allah adalah kufur. Allah telah sebut perkara ini dalam surah az-zumar. Tidak ada yang putus harap dengan rahmat Allah melainkan orang kafir sahaja.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sifat rahmah Allah ini juga mengajar kita bahawa kita pun kena bersifat rahmah dengan makhluk. Nabi pernah bersabda: من لا يرحم لا يرحم (sesiapa yang tidak bersifat rahmah, tidak akan dirahmati). Maka, hendaklah kita bersifat baik dengan orang lain. Layan mereka dengan baik. Tegur mereka dengan baik. Jangan sombong dengan mereka. Jangan tinggi diri dengan mereka. Jangan marah tak tentu pasal dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan orang-orang yang bukan Islam? Adakah kita perlu bersifat rahmah juga kepada mereka? Perbincangan ulama panjang lebar dalam hal ini. Secara dasarnya, ada perbezaan antara layanan kita kepada orang Islam dan kepada orang bukan Islam. Tentunya ada perbezaan kerana kita dan orang Islam yang lain adalah bersaudara. Tapi tidaklah ini sampai mengatakan kita bertindak tidak baik dengan orang bukan Islam. Sepertimana juga Nabi Muhammad itu adalah sebagai rahmat kepada ‘sekelian alam’, kita juga perlu bersifat demikian. Yang paling penting adalah, kita mahukan mereka juga menerima Islam. Kerana Islam adalah rahmat yang paling besar. Kita hendaklah menyampaikan dakwah kepada mereka supaya mereka juga dapat rahmat Islam seperti yang kita dapat. Bukankah kalau kita mendapat sesuatu kebaikan, kita juga mahu orang lain pun mendapat kebaikan yang sama juga? Sebagai contoh, kita jumpa satu restoran yang sedap, bukankah kita juga mahu berkongsi restoran itu dengan orang lain? Kita beritahu mereka, kita ajak mereka makan sekali dan sebagainya, kerana kita suka sangat dengan restoran itu. Maka, apakah yang lebih baik lagi dari iman dan Islam?

Kunci untuk mendapat rahmah yang diberikan khas kepada mukmin adalah dengan mengikut arahanNya.

Ini juga adalah dalil yang Allah menurunkan syariat kepada kita. Kalau Allah berikan segalanya kepada kita, kenapa Allah tidak berikan syariat untuk kita gunakan sebagai panduan hidup? Takkan apabila Allah dah jadikan kita, Dia biarkan kita begitu sahaja?

Kita mungkin tidak dapat menghargai sifat Allah yang maha pengasih ini. Kerana kita telah jadi orang Islam dari kita lahir lagi dan kita telah diberitahu bahawa Allah bersifat begitu. Kita juga hanya kenal satu Tuhan sahaja, iaitu Allah. Kita tidak kenal tuhan-tuhan sembahan manusia yang lain. Ada tuhan-tuhan mereka yang diajar kepada penganut mereka bagaimana tuhan mereka itu pemarah. Kalau buat silap dengan tuhan mereka, tuhan mereka akan murka dan akan musnahkan mereka. Kalau kita baca, sudah macam budak-budak kecil pula tuhan mereka. Kalau budak kecil marah, bukankah mereka akan merampus dan baling barang ke sana sini?

————————————————————————————-

Ayat 4:

1:4

Transliteration

Maaliki yawmi addeen

Sahih International

Sovereign of the Day of Recompense.

Malay

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

Allah suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”. Iaitu, katakanlah maaliki yaumiddeen. Apabila kita membaca ayat ini, kita mengaku bahawa Allah maha menguasai hari pembalasan.

Yang memiliki Hari Pembalasan; Kita boleh memiliki macam-macam benda seperti kereta, tanah dan sebagainya, tapi kita tidak boleh memiliki masa. Tapi Allah boleh memiliki atau menguasai masa. Masa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hari Pembalasan, Hari Kiamat itu. Yang kita semua akan menghadapinya.

Jadi, ini adalah salah satu nama (asma’) Allah: ‘Yang Memiliki Hari Pembalasan’.

Seperti yang kita tahu, terdapat Qiraat lain bagi ayat ini. Ada qiraat membacanya seperti yang kita tahu di Malaysia ini: maaliki yaumiddin dan ada juga qiraat yang memendekkan ‘ma’: maliki yaumiddin. Ini adalah kerana Allah telah menurunkan Quran dalam beberapa qiraat. Kedua-duanya apabila kita kaji, menguatkan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kita seeloknya terima dua-dua bacaan itu. Walaupun terdapat perbincangan ulama tentang mana satukah bacaan yang lebih tepat. Tapi kita tidak mahu pergi ke situ. Kita hendak menggunakan pembacaan kedua-duanya. Kerana, apabila kita mengambil maksud kedua-dua makna itu, ia memberikan pemahaman yang lebih lagi tentang maksud ayat ini.

Qiraat pertama: Maalik. Ia bermaksud ‘mempunyai’. Dan apabila kita ‘mempunyai’, memiliki sesuatu benda, kita boleh buat apa sahaja kita nak dengan benda itu. Sebab ianya adalah hak kita, bukan? Tapi, kadangkala, kalau kita memiliki sesuatu pun, tidak semestinya kita boleh berbuat dengannya sesuka hati kita. Ada halangan dalam kita menggunakannya. Contohnya, ada larangan undang-undang. Seperti kalau kita nak ubahsuai rumah kita, kita kena dapatkan permit. Kalau kita ada pistol, bukan boleh kita tembak sesuka hati. Kita juga tidak boleh arahkan benda yang kita miliki itu untuk buat apa yang kita hendak. Walaupun kita ada kereta dan kita boleh pakai kereta itu, tapi ada masanya ia rosak dan kita tak boleh pakai. Tapi apabila dikatakan Allah ‘memiliki’, Allah memiliki segalanya. Tidak sama pemilikan Allah dengan manusia. Allah absolute kepunyaanNya.

Qiraat 2: Malik: bermaksud ‘raja’. Raja adalah seseorang yang berkuasa di sesuatu negeri itu dan apabila dia beri arahan, rakyat dibawahnya kena ikut. Tapi kalau kita lihat, kalau raja itu seorang manusia, ada sahaja cara untuk rakyatnya tidak ikut. Lihatlah sahaja di dunia ini, di negara-negara yang ada raja, ada sahaja cara yang mereka boleh elak dari mengikut arahan dan undang-undang raja mereka. Tapi tidak boleh buat begitu dengan Allah. Kita tidak boleh lari. Allah tahu segalanya yang kita buat.

Mana satukah dari qiraat itu yang lebih kuat? Bukan nak tolak mana-mana. Dua-dua sama kuat pada pandangan kita. Allah adalah seorang raja yang mutlak dan Allah juga memiliki.

Kalau kita rasa kita ada kuasa, ianya masih tertakluk kepada Allah. Kita bukan pemilik sebenar. Kita tidak mempunyai kuasa mutlak. Kita umpama penyewa rumah sahaja. Walaupun kita bayar sewa, kita tidak boleh memandai-mandai buat suka dengan rumah itu. Kalau kita nak ubahsuai rumah itu, kita kena tanya tuanrumah.

Sebagai raja, memang ada undang-undang yang dikenakan olehnya. Allah juga telah memberikan undang-undangNya yang perlu diikuti. Maka, kalau kita duduk di bumi Allah ini, maka hendaklah kita mengikut undang-undang yang telah diberikan oleh Allah.

Maksud ‘Yaum’. Satu jangkamasa. Secara literal, ianya bermakdus ‘hari’. Bukan hanya bermaksud ‘hari’. Dalam penggunaan biasa, selalunya ‘yaum’ ini bermaksud ‘satu hari’. Tapi dalam penggunaan yang lebih luas, ianya lebih lagi. Ianya merangkumi masa dari sesaat sampai beribu tahun.

Apabila Allah berkata bahawa Dia memiliki Hari Pembalasan, bukanlah ini menyatakan Dia hanya berkuasa pada hari itu sahaja. Jangan kita salah faham pula. Memang ada yang salah faham apabila membaca ayat ini. Allah maha berkuasa pada waktu-waktu lain juga, termasuklah hari dunia sekarang. Kerana banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain, bahawa Allah berkuasa ke atas keseluruhan alam. Tapi, pada ayat ini, diberikan penekanan kepada kekuasaan Allah kerana pada Hari Pembalasan ini, tidak ada seorang pun yang dapat mengatakan sesuatu apa pun dan tidak juga dapat berbicara kecuali dengan izinNya. Bermaksud, pada hari itu, amat jelas kepada semua makhluk bahawa yang maha berkuasa pada hari itu hanyalah Allah sahaja.

Hari pembalasan bererti hari perhitungan bagi semua makhluk. Mereka diberi balasan sesuai dengan amal perbuatan mereka semasa di dunia. Jika amalnya baik maka balasannya pun baik. Jika amalnya buruk, maka balasannya pun buruk kecuali bagi orang yang diampuni.

Al-Malik adalah salah satu dari nama Allah. Segala penyebutan malik yang bermaksud ‘raja’ hanyalah secara kiasan sahaja. Kerana memang ada raja-raja di dunia ini. Nampak macam mereka ada kuasa juga, boleh buat undang-undang, boleh arah itu dan ini, tapi kekuasaan mereka tidaklah mutlak sepertimana kekuasaan Allah.

Perkataan ‘deen’ dalam ayat ini boleh jadi banyak makna. Antaranya ianya bermakna: agama, doa dan beberapa lagi. Disini, kita tafsirkan sebagai ‘hari pembalasan’. Allah sahaja yang menguasai Hari Pembalasan – Hari Kiamat. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh berkuasa pada hari itu. Termasuk Nabi Muhammad, walaupun untuk memberi syafaat. Tetapi Allah telah kata bahawasanya Nabi Muhammad akan memberi syafaat dengan izinNya. Maknanya, Nabi boleh beri syafaat dalam had yang ditentukan. Tidak boleh Nabi nak beri ikut suka baginda. Kerana itulah dia tidak boleh nak beri pertolongan kepada bapa saudaranya Abu Talib yang dia amat sayang itu. Kerana hak syafaat bukan kepunyaan baginda. Hanya sesiapa yang Allah taala izin sahaja yang boleh diberikan syafaat. Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik kepada Allah. Sesiapa yang syirik kepada Allah, tidak akan ada peluang untuk dapat syafaat.

Deen. Banyak makna yang boleh diambil dari perkataan ini. Ianya adalah satu perkataan yang menyeluruh. Merangkumi makna:

  • Kekuasaan.
  • Obedience.
  • Cara hidup.
  • Retribution.

Jadi apabila Allah berkuasa penuh, Allah boleh buat apa sahaja. Allah boleh beri nikmat dan Allah boleh tarik balik nikmat itu. Semuanya itu berlaku dengan hikmahNya dan ilmuNya. Kita sahaja yang tidak tahu mengapa Allah melakukan satu-satu perkara itu. Tapi kita hendaklah tahu bahawa apa sahaja yang Allah lakukan adalah perkara yang baik. Ada kebaikan di sebalik apa yang Allah lakukan.

Jadi, dari makna Maaliki yaumiddin ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, seeloknya kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ianya akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita.

Pada hari itu, kita amat memerlukan syafaat. Syafaat itu adalah ‘pertolongan’. Syafaat ini ada yang dapat semasa di Mahsyar dan ada yang dapat selepas mereka telah masuk ke dalam neraka. Tapi, tentunya kita tidak mahu langsung masuk dalam neraka. Kita tidak mahu hanya diselamatkan selepas kita dimasukkan ke dalam neraka. Kerana amat dahsyatnya neraka itu. Kita tak mahu dengar, tengok dan hidu sedikit pun neraka itu. Tapi, kalau kita ada dosa, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk ‘membersihkan’ dosa kita itu. Oleh itu, sebelum tidur tiap-tiap malam, kita minta Allah ampunkan semua sekali dosa kita. Supaya kalau kita mati, harapnya dosa kita telah terampun semuanya sekali dan tidak perlu kita dimasukkan ke dalam neraka. Dan minta ampun sekali dosa ibubapa kita dan orang-orang Islam yang lain.

Dan ingatlah, untuk masuk syurga, kita memerlukan rahmat Allah. Kita bukan masuk syurga dengan banyaknya pahala kita. Sebab tak cukup amalan ibadat kita kalau nak dibandingkan dengan segala nikmat yang kita telah dapat dari Allah. Kita sebenarnya dapat masuk Syurga kerana rahmat Allah. Bukanlah kerana banyaknya pahala kita. Kalau kita hanya berharap kepada pahala kita, tidak ada peluang kita nak masuk Syurga. Maka, janganlah kita berbangga diri kalau kita rasa kita orang yang kuat ibadah, tentunya masuk syurga, kerana tidak pasti kita akan masuk syurga nanti diatas usaha amal ibadat kita itu. Kita sebenarnya buat amal ibadat itu kerana kita mengharapkan rahmat Allah. Semoga Allah redha dengan amalan kita dan akan memberikan rahmatNya kepada kita.

Dalam ayat ini, Allah memberitahu kepada kita bahawa Dia memiliki Hari ‘Deen’. Apakah ‘Hari Deen itu’? Deen boleh juga ditafsirkan sebagai apa-apa syariat yang disampaikan oleh Allah. Allah menyampaikan syariat melalui Nabi-nabiNya. Bukanlah Nabi-nabi itu mencipta syariat mereka sendiri. Oleh itu, untuk tahu syariat kenalah belajar mula-mula sekali tafsir Quran. Kerana itulah sumber yang utama dan yang terpenting. Sepatutnya kita semua belajar tafsir Quran. Tapi, adakalanya, bukan sahaja manusia tidak mahu belajar, malah ada usaha untuk menghalang manusia untuk belajar tafsir Quran. Janganlah dihalang umat nak belajar tafsir Quran. Sampai ada negeri di Malaysia ini yang keluarkan pekeliling supaya tidak diajar tafsir Quran. Kerana mereka kata kalau belajar tafsir akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Mereka hanya benarkan mengajar kitab jawi yang lama. Padahal itu semua adalah kitab karangan manusia. Memanglah akan ada pendapat yang berlainan apabila ada yang belajar tafsir Quran. Kerana Quran mengajar manusia perkara yang benar. Dan apa yang diamalkan masyarakat sekarang ini ada yang tidak benar dan tidak bertepatan dengan sunnah. Ini semua kerana jahil kepada apa yang hendak disampaikan oleh Quran. Apabila yang tahu dan ada yang tidak tahu, maka akan ada perbezaan pendapat. Yang sudah tahu akan cuba memberitahu kepada yang tidak tahu perkara yang sebenarnya. Dan ada mereka yang jahil tidak dapat terima dan masih kuat berpegang dengan amalan mereka yang salah. Dari situ akan berlaku perbezaan pendapat. Perkara itu tidak dapat dielakkan. Hanya apabila semua orang berpegang kepada satu sumber yang sahih sahaja, iaitu Quran, barulah akan ada perpaduan dalam masyarakat.

Ayat ini menyentuh tentang Hari Kiamat tapi tidak disebutkan dengan panjang lebar. Semua kita tahu secara kasar tentang apakah yang akan terjadi pada hari itu. Tafsir bagi ayat ini ada pada keseluruhan Juzu’ 30. Juz 30 itu banyak menceritakan tentang hari Kiamat itu nanti. Tentang bagaimanakah keadaannya, apa yang akan terjadi, siapa yang selamat dan siapa yang tidak dan banyak lagi. Jadi, ayat maaliki yaumiddin ini menyebut tentang hari itu, tapi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lagi, kenalah dirujuk kepada ayat-ayat yang lain. Ianya seperti ayat maaliki yaumiddin ini adalah seperti ‘isi kandungan’ sesebuah buku. Bukankah selalu dalam sesebuah buku, di helaian-helaian terawal, ditulis isi kandungan buku itu?

Nabi Muhammad pernah menyampaikan satu hadis Qudsi berkenaan surah Fatihah dimana disebutkan bagaimana apabila kita membaca surah Fatihah ini, Allah akan menjawap bacaan kita itu. Kita sudah membaca sampai ayat ketiga surah Fatihah ini. Dalam hadis itu, Allah mengatakan bahawa tiga ayat ini adalah untuk Allah. Inilah hadis itu secara lengkap:

قال الله تعالى قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين ولعبدي ما سأل فإذا قال العبد: {الحمد لله رب العالمين} قال الله تعالى حَمَدَنِي عبدي وإذا قال: {} الرحمن الرحيم قال الله تعالى أثْنَى علي عبدي وإذا قال: {مالك يوم الدين} قال مَجَّدَنِي عبدي وقال مرة فَوَضَّ إليَّ عبدي فإذا قال: {إياك نعبد وإياك نستعين} قال هذا بيني وبين عبدي ولعبدي ما سأل فإذا قال: {اهدنا الصراط المستقيم صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين} قال هذا لعبدي ولعبدي ما سأل
Allah berfirman, ‘Aku telah membahagikan solat antaraKu dan hambaKu kepada dua bahagian, dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta. Apabila hamba itu berkata, “Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.” Allah berkata, ‘Hamba-Ku memujiKu. “Ketika hamba itu berkata: “Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Allah berkata, “Hamba-Ku memujiKu.” Ketika hamba itu berkata: “pemilik hari kiamat.” Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah mengagongkanKu. ” Apabila hamba itu berkata,’ Hanya kepadaMulah kami sembah dan hanya kepadaMulah kami mohon bantuan. ” Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hamba-Ku. Dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta’. Apabila hamba itu berkata, ‘Beri kami petunjuk jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai maupun orang-orang yang tersesat. ” Tuhan berkata, ‘Ini untuk hamba-Ku, dan hambaKu akan mendapat apa yang dia inginkan. “(HR. Muslim no. 598)

Tapi kenapa sebut Allah berkuasa pada ‘hari kiamat’ dalam ayat ini? Adakah Allah tidak berkuasa pada waktu dunia ini? Ini perlu dijelaskan kerana ada yang ada sangkaan sebegitu. Dalam ayat pertama dah cakap tentang dunia. Dalam ayat alhamdulillahi rabbil aalamin sudah disebut bahawa Allah adalah Rabb alam ini. Itu sudah membawa maksud Allah berkuasa penuh dalam alam ini juga. Jadi ayat maaliki yaummiddin ini adalah penekanan kepada kekuasaan Allah pada hari kiamat. Kenapa kena ada penekanan?

Dalam dunia ada manusia yang ada kuasa sikit. Boleh milik sesuatu. Juga ada yang jadi raja, jadi presiden, jadi pemimpin. Boleh ada kuasa. Bukan kuasa mutlak pun, tapi pada kita, nampak macam ada kuasa. Tapi nanti langsung tidak ada di Mahsyar nanti. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan ada kuasa. Semua akan nampak dengan jelas bahawa mereka tidak ada kuasa langsung. Semua akan mengaku bahawa kuasa penuh hanya ada pada Allah sahaja. Seperti disebut dalam Infithar:17-19.

Penekanan hari kiamat ini adalah kerana pada waktu itu, *semua* makhluk akan menerima hakikat bahawa Allah memang berkuasa penuh. Tidak ada yang berkecuali lagi. Kalau dalam dunia sekarang, ada yang tak kenal Allah, tak terima Allah sebagai Tuhan, sebagai pemilik yang hak alam ni, tapi di akhirat nanti, mereka tidak ada pilihan lain lagi. Waktu itu memang jelas kekuasaan Allah sejelas-jelasnya. Tidak ada yang boleh menolak lagi.

Waktu itu tidak ada lagi yang berkuasa. Sikit pun tidak ada. Mungkin ada yang ingat ada yang boleh tolong. Kalau agama lain, mereka ingat tuhan mereka seperti Buddha, Vishnu, Jesus akan tolong mereka mereka nanti apabila mereka sudah mati. Kalau kita dalam agama Islam ini, ada yang ingat pujaan-pujaan mereka seperti Sheikh Abdul Qadir, Nabi itu dan ini, guru mereka yang mereka anggap wali dan sebagainya akan membantu mereka. Itulah pemahaman syafaat pada mereka. Tapi bagaimana mereka boleh tolong, sedangkan mereka sendiri tidak ada kuasa waktu itu. Mereka juga kena duduk di hadapan Allah dan dinilai perbuatan-perbuatan mereka. Mereka juga ada masalah mereka masing-masing. Mereka juga akan risaukan nasib mereka. Tidak ada yang berkuasa pada hari itu melainkan Allah SWT sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran yang mengatakan kalau ikut ini, ikut orang itu akan selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita pada waktu itu melainkan amalan kita semasa di dunia sahaja.

Hari Kiamat adalah satu elemen yang amat penting dalam Islam. Sampaikan, banyak kali dalam Quran, selepas disebut tentang beriman kepada Allah, kemudiannya terus disebut beriman kepada hari akhirat. Oleh itu, kita kena tahu apakah yang terjadi dalam hari kiamat. Banyak disebut tentang kejadian hari itu dalam Quran. Begitu juga ada banyak disebut dalam hadis. Terlalu panjang kalau hendak disebut disini. Kena belajar tafsir tentang ayat-ayat berkenaan syurga dan neraka. Yang paling banyak ada dalam juzuk 30. Dan banyak diselitkan dalam surah-surah yang lain. Allah akan sentiasa mengingatkan tentang hari Kiamat dalam semua surah.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, Allah menyebut dua sifatNya: ar-Rahman dan ar-raheem. Itu adalah sifat Allah yang utama, iaitu Allah menyebut tentang belas kasihan Allah kepada makhlukNya. Kemudian selepas Allah menyebut dua sifatNya itu, terus Allah memperkenalkan sifat DiriNya yang maha berkuasa pada hari kiamat nanti. Memang Allah bersifat belas kasihan, tapi walaupun begitu, umat akan berada dalam ketakutan juga pada hari Kiamat itu. Kerana, sifat Allah bukan hanya belas kasihan sahaja, tapi ada sifat-sifat Allah lain yang keras. Hari kiamat masih lagi satu kejadian yang amat menakutkan. Lebih-lebih lagi kepada orang kafir. Walaupun kepada orang mukmin pun akan rasa takut yang amat juga. Kerana Hari Kiamat itu adalah keadaan yang amat-amat menakutkan. Kita yang orang Islam ini pun belum tahu nasib kita macam mana. Jangan kita berharap semata kepada sifat Rahman dan Raheem Allah itu sampai kita senang hati.

Dalam Quran, Allah mengaitkan namaNya ar-Rahman, tapi masih juga menyebut bagaimana makhluk pada waktu hari kiamat akan tunduk diam dan khusyuk. Ini ada disebut dalam Taha:108

يَوْمَئِذٍ يَتَّبِعُونَ الدَّاعِيَ لَا عِوَجَ لَهُ وَخَشَعَتِ الْأَصْوَاتُ لِلرَّحْمَٰنِ فَلَا تَسْمَعُ إِلَّا هَمْسًا

Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang menyeru. Mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya; dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan bunyi yang amat perlahan.

Tapi kita jangan terkeliru, pada hari Kiamat itu, Allah memang akan tunjuk rahmahNya juga. Bukanlah tidak ada langsung sifat Rahman dan Raheem Allah. Seperti yang kita tahu, pada hari itu, hanya Dia sahaja berkuasa. Terdapat sifat rahmahNya disitu. Mungkin kita tak berapa nampak. Iaitu pertama, amalan baik manusia akan dibalas dengan banyak. Bukan sahaja dibalas setiap satu kebaikan itu, tapi akan ditambah lagi. Langsung tidak tertinggal mana-mana amalan baik yang telah dilakukan. Kalau Allah tidak bersifat rahmah, tentu akan ada balasan yang tidak diberikan dengan penuh. Kalau begitu, tentulah Allah tidak adil.

Manusia memang mahukan keadilan. Oleh itu, berita ini akan memberikan kelegaan kepada mereka yang baik dan berbuat amalan soleh. Mereka akan dibalas atas perbuatan mereka. Bukan sahaja mereka akan dibalas dengan perbuatan baik mereka, tapi Allah akan tambah balasan itu berkali-kali ganda lagi. Kerana percaya kepada balasan baik itulah yang manusia akan buat perkara baik semasa di dunia. Dan hasilnya, dunia akan menjadi aman. Manusia akan takut untuk berbuat kezaliman. Bayangkan kalau manusia tidak percaya tentang balasan akhirat, mereka akan berani buat apa sahaja ikut nafsu mereka. Oleh itu, kebaikan itu bukan untuk orang itu sahaja, tapi merangkumi kepada seluruh alam ini.

Pada hari Kiamat, tidak sama layanan Allah untuk orang baik kalau dibandingkan dengan orang jahat. Orang baik akan mendapat layanan yang baik dan orang jahat akan mendapat layanan yang buruk. Oleh itu, hendaklah kita jangan buat sesuatu yang boleh memurkakan Allah. Kita hendak Allah bersifat Raheem dengan kita pada hari itu. Janganlah Allah layan kita dengan kemurkaan seperti yang Allah akan layan kepada orang kafir nanti.

Allah sebenarnya tidak memerlukan ibadat kita, jadi kenapa Allah nak balas kesalahan yang dilakukan oleh manusia? Untuk memahaminya, kita kena berikan perumpamaan kerajaan di dunia ini. Bayangkan kalau satu-satu negara ada raja, dan raja itu telah meletakkan undang-undang yang perlu dipatuhi, bagaimana kalau ada rakyatnya yang melanggar undang-undang itu? Tentulah raja itu akan membalas orang itu dengan hukuman yang telah ditetapkan. Kalau raja itu tidak balas, ada tiga kemungkinan kenapa dia tidak balas:

  1. Dia tidak mampu untuk menjatuhkan hukuman kepada orang itu. Mungkin orang itu orang yang besar dan raja itu takut dengan orang itu. Atau raja itu tidak berkuasa penuh.
  2. Raja itu tidak tahu bahawa orang itu telah melanggar hukum. Mungkin dia buat pada malam hari. Mungkin dia buat cara tersembunyi. Polis negeri itu pun tidak tahu. Atau dia buat waktu orang tidak ada dan tidak ada yang melapurkannya.
  3. Raja itu suka dengan perbuatan orang itu yang melanggar hukum itu. Raja itu redha dengan perbuatan orang itu.

Jadi, dari perumpamaan ini, kita boleh boleh kesimpulan, kalau Allah tak balas kejahatan manusia, kita boleh kata Allah tidak balas itu kerana tiga perkara itu juga:
1. Allah tak mampu balas.
2. Atau Allah tak tahu perbuatan orang itu.
3. Atau Allah suka dengan perbuatan orang itu.

Kita pun tahu, bahawa kesemua kemungkinan itu mustahil bagi Allah. Allah mampu untuk membalas, Allah tidak takut kepada sesiapa; Allah maha tahu dengan perbuatan manusia, tidak kira dimana mereka; Allah juga tidak redha dengan dosa yang dilakukan oleh makhlukNya itu. Maka dari ini, kita boleh tahu bahawa Allah akan tetap balas perbuatan dosa makhlukNya. Inilah keadilan namanya.

Oleh itu, apabila kita membaca ayat ini setiap hari, kita akan diingatkan bahawa setiap perbuatan kita ada kesannya. Ia boleh membawa kepada kesan baik kalau perbuatan kita itu baik dan ia boleh memberi kesan yang buruk kalau perbuatan itu adalah perbuatan dosa. Kita akan tetap kena walau macam mana pun. Ingatlah bahawa kita tidak boleh lepas dari hukuman Allah itu. Kita tak boleh nak rasuah Allah seperti kita boleh rasuah penjaga undang-undang di dunia ini. Allah tidak memerlukan apa-apa dari kita untuk kita berikan kepadaNya. Segala apa yang kita ada pun dari Allah juga. Kita hanya bawa iman dan amal kita sahaja.

Memang Allah bersifat Maha pengampun dan Maha pemaaf. Tapi Allah juga boleh membalas. Allah adalah Maaliki Yaumuddin. Allah berkuasa untuk menghukum. Allah berkuasa untuk menghukum dengan hebat sekali. Jadi jangan kita rasa senang diri. Jangan buat dosa kerana kita ingat hanya sifat Allah yang maha pengampun.

Tidaklah hidup kita di dunia ini dijadikan sia-sia sahaja. Bukanlah saja-saja sahaja Allah jadikan kita. Seperti yang disebut dalam ayat 23:115

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Allah hendak melihat dan menilai apa yang kita lakukan dalam dunia ini. Samada perbuatan kita itu baik atau tidak. Ingatlah ayat maaliki yaumiddin dalam surah fatihah ini. Kena kena bersedia untuk menghadapi hari itu. Kena beramal baik dan menjauhkan diri dari melakukan dosa. Kalau kita berdosa, cepat-cepat kita minta ampun.

Apabila kita gabungkan ayat ini dengan ayat pertama: alhamdulillahi rabbil aalamin, ia akan mengingatkan kita supaya bukan hanya buat baik kepada diri kita sahaja dan kepada sesama manusia sahaja. Kita kena buat baik kepada seluruh alam. Kerana Allah itu adalah rabb kepada seluruh alam. Semuanya dalam kerajaan Allah. Semuanya akan dibawa ke hadapan Allah sebagai saksi. Kalau kita ada buat salah dengan binatang contohnya, binatang itu akan dibawa sebagai saksi di atas perbuatan jahat kita itu. Kalau kita buat salah kepada pokok, begitu juga. Begitu juga kalau kita bertindak tidak baik dengan makhluk-makhluk yang lain. Maka, kita kena beringat.

Kita juga kena ingat bahawa balasan yang sebenarnya adalah di akhirat nanti. Bukan di dunia. Berapa banyak yang hidupnya susah semasa di dunia? Termasuk yang mengalami kesusahan itu adalah para Nabi. Walaupun mereka susah semasa di dunia, dengan segala dugaannya, tapi mereka akan mendapat kebaikan yang banyak di akhirat kelak. Ini kita kena sebut kerana ada fahaman yang kata kalau di dunia ini banyak nikmat, itu tanda mereka diberkati dan disayangi Tuhan. Itu adalah fahaman salah. Balasan sebenar adalah di akhirat nanti. Kalau kita mengalami kesusahan hidup di dunia, kita masih boleh berharap yang kita akan diberikan dengan balasan baik di akhirat kelak kalau kita beriman dan beramal soleh. Ada kisah bagaimana orang yang paling malang hidupnya di dunia akan dicelupkan sekejap ke dalam syurga. Selepas dia diangkat semula, ditanya kepadanya, bagaimanakah kehidupannya di dunia dulu? Dia jawap dia tidak pernah kenal kesusahan. Dan seorang lelaki yang paling bernasib baik di dunia dicelupkan sekejap sahaja dalam neraka dan ditanyakan kepadanya tentang kehidupan di dunia dulu. Dia kata dia tidak pernah kenal kesenangan semasa di dunia dulu.

Ayat maaliki yaumiddin ini adalah satu ayat yang mempunyai makna targhib dan tarhib. Targhib adalah ayat-ayat yang menggalak kita untuk buat baik dan tarhib adalah ayat-ayat yang menakutkan kita untuk berbuat jahat. Selalunya, satu-satu ayat itu ada elemen targhib sahaja atau tarhib sahaja. Jarang ada ayat yang ada dua-dua elemen.

Pada hari itu, Allah akan mengadili orang beriman dengan ‘keadilan’ dan ‘rahmah’. Tapi kepada kufur, hanya dengan ‘keadilan’ sahaja. Beza layanan Allah kepada orang kafir dan orang Islam.

Tapi ada juga orang beriman akan masuk neraka juga. Ini adalah kerana mereka beriman, tidak buat syirik, tapi ada dosa-dosa yang mereka lakukan. Mereka akhirnya akan diselamatkan dari neraka. Tapi sepatutnya neraka menakutkan kita dan kita sepatutnya berusaha untuk tidak memasukinya. Kita tak mahu dengar, tak mahu lihat, tak mahu cium sikit pun neraka itu. Kita minta dijauhkan sejauh-jauhnya dari neraka. Ini menunjukkan pentingnya tidak syirik kepada Allah kerana kalau ada syirik, tidak ada peluang masuk syurga. Allah dah kata bahawa Dia tidak akan maafkan perbuatan syirik.

Ayat ini juga memberi ketenangan kepada kita supaya tidak perlu risau kalau dizalimi di dunia ini oleh manusia lain. Ada orang yang berbuat zalim di dunia, tapi mereka terlepas dari tindakan di dunia. Kerana mereka ada kekuatan contohnya. Tapi mereka tidak akan terlepas di akhirat nanti. Kerana Allah akan balas perbuatan zalim sesiapa sahaja kepada kita. Manusia selalu simpan marah dan dendam apabila mereka dizalimi. Macam ada negara yang dijajah, beratus tahun mereka masih simpan dendam itu. Jangan kita risau – ingatlah bahawa Allah akan balas. Tidak kira berapa banyak kesalahan mereka. Bukan itu sahaja, orang yang dizalimi itu pula boleh dapat pahala pula kalau dia sabar. Ini adalah satu sumber pahala yang banyak. Sebagai contoh, kalau ada orang yang mengata kita, kalau kita sabar, kita akan mendapat pahala.

Tiada kepercayaan tentang adanya ‘umat pilihan’ dalam Islam. Ada juga umat yang percaya mereka itu adalah ‘umat pilihan’. Macam bangsa Yahudi, mereka ingat mereka adalah umat pilihan Allah dan mereka tidak akan masuk neraka. Kalau masuk pun, kepercayaan mereka adalah, mereka akan masuk sekejap sahaja dalam neraka. Bila mereka rasa begitu, mereka rasa mereka boleh buat apa-apa sahaja. Mereka ingat mereka boleh terlepas dari seksa Tuhan. Tapi ingatlah, bahawa Allah adalah Tuhan untuk semua makhluk. Kita pun telah belajar apakah maksudnya apabila Allah memperkenalkan DiriNya sebagai Rabbil aalamiin. Allah ada Tuhan kepada, samada yang Islam atau yang kafir pun. Jangan rasa kita ada rasa special. Kalau kita ada macam itu, kita akan jadi macam lelaki dalam Kahfi:36 yang rasa dia akan selamat.

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِنْ رُدِدْتُ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِنْهَا مُنْقَلَبًا

Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.

Lelaki itu ingat kerana dia telah mendapat banyak kebaikan di dunia, dia ingat dia akan insan yang special. Jadi, dia ingat, kalau di dunia dia sudah special, maka di akhirat dia pun akan dapat kelebihan juga macam di dunia. Maka, dia telah melakukan keburukan di dunia. Begitu juga, penganut agama Kristian rasa mereka terus selamat bila terima Jesus. Hanya dengan ucap: “Aku terima Jesus”, mereka ingat mereka dah selamat. Lalu, mereka ambil mudah tentang agama, tentang hubungan dengan makhluk lain dan hubungan dengan Tuhan.

Kita orang Islam pun jangan rasa selamat. Jangan kita ingat apabila kita dah sembah Allah, tapi kita tidak akan masuk neraka. Jangan kita ingat kita boleh lepas dengan kesalahan yang kita buat. Masalahnya, ada pemahaman dalam umat Islam kita, kalau masuk neraka pun sekejap sahaja, selepas diseksa sekejap, akhirnya akan masuk syurga juga akhirnya. Kerana kita selalu diingatkan oleh ustaz-ustaz kita bahawa orang Islam akan masuk syurga juga akhirnya. Mereka macam tak takut dengan azab Neraka itu. Mereka tidak takut itu kerana mereka tidak tahu tentang azab Neraka. Mereka ingat azab itu biasa-biasa sahaja. Mereka ingat mereka akan masuk sekejap sahaja. Padahal, kalau tinggal solat satu waktu sahaja, kena seksa 80 tahun dalam neraka. Jadi, ‘sekejap’ yang mereka sangka itu, entah berapa lama. Entah beratus, beribu, berjuta tahun pun kita tidak pasti.

Jadi, secara ringkasnya, Surah FatihahAllah menceritakan tentang DiriNya. Allah menyebut NamaNya dan sifatNya. Untuk kita kenal Dia. Asma’ itu adalah kunci untuk kita kenal Allah. Bila kenal Dia, barulah kita beriman sebenar. Malangnya kalau kita belajar tafsir, tidak banyak disebut penjelasan Asma’ Allah. Dalam banyak ayat-ayat dalam Quran, selalu di hujung-hujung ayat, akan disebutkan nama Allah. Tapi kebiasaannya, kita tidak perasan pun apakah ayat itu dan apakah yang hendak disampaikan. Padahal, ada banyak ajaran yang hendak disampaikan.

————————————————————————————

Sambungan ke ayat yang seterusnya

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 001: al-Fatihah. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 – 4

  1. Ahmad hamidon says:

    Amin lama saya mencari tafsir sebegini demi mengenal hakikat manusia di muka bumi ini

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s