Pengenalan kepada Usul Tafsir – Apakah maksud ‘Ibadat’?

PENGENALAN KEPADA TAFSIR

Sebelum memulakan pengajian Quran ini, kita kena tahu bahawa Quran ini adalah kalam Allah, perkataan Allah, maksudnya Allah bercakap-cakap dengan manusia. Pada awal Islam, ayat-ayat Quran ini bermaksud Allah bercakap dengan Nabi Muhammad. Apabila Nabi wafat, Quran tetap ada, tidak dimansuhkan ayat-ayat itu, maka kena faham bahawa ayat ini ditujukan kepada kita sekarang.

Kadangkala Allah berfirman dengan menggunakan kalimah “wahai manusia”, atau “wahai orang-orang beriman”, atau “wahai Nabi”, atau “wahai ahli kitab”. Semuanya itu adalah untuk kita.

Kadang-kadang ayat Quran berbentuk khusus untuk satu-satu kejadian iaitu apa yang dipanggil ’asbabun nuzul’. Tapi itu adalah sebagai pedoman, kita ambil sebagai umum. Oleh itu, kita kena ambil pemahaman Quran itu kita ambil umum ayat, bukan sebagai khusus ayat. Ada juga asbabun nuzul, tapi bukan maksudnya untuk menyempitkan pemahaman kita. Maksudnya, bukanlah ayat itu ditujukan untuk keadaan itu sahaja.

Sekiranya Allah bercerita tentang Firaun, bukanlah bermaksud ayat itu hanya untuk zaman Firaun sahaja, kerana zaman sekarang ini juga ada orang-orang yang berwatak seperti Firaun. Nabi SAW pernah bersabda, Firaun abad ini (zaman Nabi) adalah Abu Jahal. Oleh itu, abad kita sekarang ini pun ada juga orang yang berwatak seperti Firaun. Oleh itu, kita kena ingat, pemahaman Quran adalah berbentuk umum, walaupun dalam Quran, sesetengah ayat berbentuk khusus. Oleh yang demikian, janganlah kita menyempitkan pemahaman kita. Jangan mengatakan sesuatu hal itu hanya berkaitan kepada orang lain sahaja sedangkan ia sebenarnya adalah hal kita juga, walaupun kita merasakan seolah-olah ia tiada kena mengena dengan kita.

Allah SWT menurunkan ayat-ayat Quran sebanyak 30 juzuk ini kerana Dia mahu bercakap-cakap dengan kita. Allah SWT hendak membongkar segala kerosakan akidah dalam hati kita yang adakalanya tidak kita luah atau zahirkan. Berwaspadalah kerana seseorang itu boleh sesat walaupun dia duduk di dalam rumah tanpa perlu bercakap dengan sesiapa pun. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membongkar kesalahan dan kesyirikan yang telah atau sedang seseorang itu lakukan.  Ini tidak boleh kita pertikaikan kerana ia adalah kata-kata daripada Allah SWT.

Menurut Saidina Abu Bakr, tafsir keseluruhan al-Quran sebanyak 30 juzuk ini terkandung di dalam surah al-Fatihah dan dalam surah itu ada dakwa surah atau maksud surah iaitu iyyaka na’budu wa iyyaka nastain– maksudnya hanya kepada Kau sahaja kami beribadat, kami puja dan kami seru,  dan hanya kepada Kau sahaja kami minta pertolongan. Dan menurut Saidina Abu Bakr lagi, tafsir maksud iyyaka na’budu ada pada surah az-Zumar, iaitu tauhid fil ibadah atau tauhid dalam beribadat: TIDAK BOLEH kita puja sesuatu makhluk atau zat MELAINKAN Allah sahaja.

Ayat kedua, iyyaka nastain pula adalah tauhid fil istianah atau tauhid dalam berdoa. Maksudnya kena berdoa mengikut cara yang Allah perintahkan. Tafsir bagi potongan ayat ini ada pada Surah az-Zumar dan tujuh surah yang dimulakan dengan “ha mim”, iaitu:-

1. Surah al-Mukmin/Ghafir (Surah ke-40)

2. Surah as-Sajdah atau al-Fussilat (Surah ke-41)

3. Surah as-Shura (Surah ke-42)

4. Surah az-Zukhruf (Surah ke-43)

5. Surah ad-Dukhan (Surah ke-44)

6. Surah al-Jathiyah (Surah ke-45), dan

7. Surah al-Ahqaf (Surah ke-46)

Tauhid kita mestilah betul. Jika tidak, ibadat kita tidak akan diterima oleh Allah. Jadi ada 8 surah yang Allah SWT bawakan di dalam Quran khusus untuk menghuraikan perkara ini. Ringkasan bagi kelapan-lapan surah ini dalam surah Yunus dan surah Hud. Cara berdoa pula ada diterangkan di dalam surah Maryam.

Surah-surah ini adalah surah-surah yang diturunkan untuk menghuraikan segala kekeliruan manusia dalam berdoa. Sekiranya kekeliruan yang dihuraikan itu ada pada diri kita, hendaklah kita bertaubat dengan segera. Ianya juga adalah untuk mencungkil akidah yang salah tentang Allah SWT yang berada di dalam hati kita. Kalau apa yang dibaca dalam surah ini berbeza dengan apa yang ada dalam hati kita, maka bersegeralah bertaubat kepada Allah.

Ketahuilah bahawa 80% daripada surah-surah dalam al-Quran adalah untuk memperkenalkan kita kepada Allah. 20% lagi adalah perkara-perkara lain seperti hukum fekah, sejarah dan sebagainya. Sungguhpun ianya menceritakan tentang  perkara-perkara yang lain, ia sebenarnya bertujuan untuk memperkenalkan Allah juga.

Pembelajaran tafsir yang kita belajar ini adalah tafsir yang bersanad. Ianya adalah bersambung dari seorang guru sampai ke guru lain, hingga sampai kepada Nabi Muhammad sendiri. Kata Ibnu Abbas, dia belajar tafsir dengan Nabi, sebanyak 30 kali khatam. Ibnu Umar pun macam tu juga. Begitulah pentingnya belajar tafsir Quran ini. Jadi tidak patut jika kita mengaku kita berugama Islam, tapi tidak belajar tafsir untuk memahami apakah yang disampaikan oleh Quran. Apa yang kita akan jawap nanti, sekiranya Allah tanya kita, “Sudahkah kamu belajar ayat-ayat Aku?”.

Kitab-kitab hadith pula berperanan untuk menghuraikan perkara-perkara yang samar dalam Quran. Apa yang tidak ada dalam hadith dan tidak diamalkan oleh sahabat (orang yang sempat jumpa / hidup sezaman dengan Nabi SAW), tabien (golongan yang sempat jumpa / hidup sezaman dengan sahabat) dan tabi’ tabien (golongan selepasnya), adalah bukan daripada Islam.

 Nabi SAW pernah bersabda:-

 Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ at-tabiin)

Ringkasannya pula ada surah Fathir dan Sad. Ini adalah sebagai pengetahuan umum.. Dakwa surah az-Zumar adalah dalam ayat kedua (fa’budillaha mukhlisina lahuddeen). “Hendaklah kamu beribadah tulus ikhlas kepada Allah sahaja”. Deen di dalam ayat ini adalah bermaksud ibadat, bukan agama. Bila Tuhan bagi dakwa surah ini, dia bawa 7 dalil. 5 daripada wahyu dan 2 daripada cerita Nabi.

Apa itu ibadat?

Ibadat itu ialah apa sahaja perbuatan kita yang memuja dan menyembah sesuatu.

Contohnya solat. Solat adalah satu pemujaan seorang manusia kepada satu Dzat yang dia puja sebagai Tuhan. Pemujaan ini dilakukan dengan mengagungkanNya dan dalam masa yang sama, meletakkan dirinya sehina-hinanya berbanding Tuhan yang dipuja. Apabila sujud, kita akan meletakkan wajah kita yang mulia ini ke lantai sambil bertasbih memuji Allah. Dalam keadaan biasa, kita tidak akan buat perkara sebegini. Qiyam dan rukuk juga adalah satu ibadat. Perlakuan sujud, rukuk dan qiyam ini hanya boleh kita buat ketika menyembah Allah SWT. Jika ia dilakukan kepada sebarang zat selain Allah, maka syiriklah dia. Contohnya seperti penyembahan atau pemujaan yang dilakukan oleh agama-agama lain.

 

 USUL TAFSIR

Usul tafsir adalah ilmu-ilmu yang memudahkan kita untuk faham Quran.

Kita selalu dengar dan sebut: la ilaha illallah. “Tidak ada Tuhan melainkan Allah”. Perkataan ‘Ilah’ itu sendiri mempunyai makna lebih besar daripada ‘tuhan’ sahaja seperti yang kita selalu faham.

Dalam satu hadith diceritakan bagaimana pernah baginda memanggil kaumnya di Kaabah. Dia berkata: “Kalau aku beritahu kamu semua bahawa di belakang sana ada musuh hendak menyerang kita dari arah lembah bukit ini, adakah kamu percaya?” Mereka berkata: “ya, kami percaya sebab kami tidak pernah dengar kau berdusta.” Nabi sambung: “Ketahuilah aku telah dilantik sebagai Nabi dan Rasul kepada kamu.”

Itu kaumnya boleh terima lagi. Tapi bila Nabi suruh  mereka beriman dengan kalimah la ilaaha illallah, mereka tidak dapat terima. Sebab pemahaman mereka lebih lagi dari apa yang kita faham sekarang ini. Mereka tahu bahawa ‘ilah‘ bukan sahaja bermaksud ‘tuhan‘. Ia adalah tempat kita bergantung harap. Tempat kita berdoa, tempat kita beribadat. Itu juga bermakna tuhan. Dan mereka tidak dapat menerima dakwah Nabi bahawa mereka hanya boleh berdoa dan bergantung harap dengan satu tuhan sahaja. Sebab mereka ada sembahan-sembahan lain. Mereka tahu bahawa Allah itu Tuhan, tapi selain dari Allah, mereka ada sembahan-sembahan lain.

Contoh ilah:

Berhala orang-orang Hindu, Buddha, Kristian dan segala hantu-hantu yang disembah oleh orang asli. Seluruh dunia mempunyai tempat pujaan. Jadi ilah orang hindu adalah berhala. Ilah orang Kristian adalah Nabi Isa.

Untuk memahami makna ‘ilah’ itu, kalau ada kawan-kawan yang beragama lain, tanya mereka: adakah berhala itu tuhan mereka? Mereka akan jawab, bukan. Mereka boleh tukar-tukar berhala itu kalau berhala itu rosak. Jadi tanya balik kepada mereka: Apa yang kamu sembah itu? Mereka akan kata, mereka sembah apa yang berhala itu lambangkan, iaitu mereka sebenarnya sembah dewa yang ada dalam berhala itu. Ataupun roh yang ada dalam patung itu. Kita boleh kalau nak tanya kepada mereka tentang agama mereka, untuk kita faham apa yang kita belajar, tapi jangan ketawakan mereka.

Tanya lagi: bila kamu berdoa, kamu doa pada diakah? Tidak, kata mereka. Dewa itu akan bawa doa itu kepada tuhan yang satu. Yang nama tuhan itu mereka sudah lupa. Dalam Quran, dewa itu dipanggil malaikat-malaikat yang dipuja. Jadi mereka memuja dewa yang mereka sangkakan sebagai malaikat supaya membawa doa mereka kepada Tuhan.

Kenapa mereka tak berdoa sendiri, terus kepada tuhan? Mereka anggap mereka tak layak dan tuhan tidak akan terima doa mereka sebab mereka minum arak, berzina dan sebagainya. Maknanya mereka orang kotor, banyak dosa. Mereka sedar bahawa buat perkara-perkara itu adalah salah. Kalau masalah-masalah kecil, mereka boleh doa sendiri di rumah sahaja. Kalau masalah besar, mereka akan bawa permohonon ke kuil. Mereka akan jumpa sami untuk mendoakan untuk mereka. Macam mana proses minta doa itu? Pertama, sami akan ketuk loceng. Kenapa? Takut dewa itu tidur. Kalau dah sesat tu, macam-macamlah perkara karut yang mereka lakukan yang tak dapat diterima akal.

Jadi mereka sebenarnya nak berdoa kepada Tuhan yang satu. Maka, tok sami akan baca mentera dan doa itu akan dibawa ke dewa dan seterusnya dewa itu akan bawa kepada Tuhan. Lepas selesai upacara doa itu, mereka akan beri upah duit kat sami. Pada mereka, tok sami itu layak untuk berdoa kerana tok sami itu suci bersih dari dosa. Hanya tok sami sahaja yang boleh mandikan dan bagi makan kepada berhala-berhala itu.

Mari kita lihat agama Buddha pula: insan yang bernama Buddha itu sebenarnya adalah tok wali kepada mereka. Mereka pun tahu dia bukan tuhan. Patung tu juga mereka tahu bukan Tuhan. Ia pun sama saja dengan agama Hindu, sebagai lambang juga kepada tok wali mereka iaitu Buddha. Pun mereka tahu bahawa Tuhan hanya satu sahaja. Mereka cuma berdoa kepada Buddha untuk membawa doa kepada Tuhan yang satu. Dan mereka tidak berdoa sendiri sebab mereka pun banyak dosa. Sama sahaja cerita Buddha ini seperti agama Hindu.

Bagaimana dengan orang Cina? Tokong yang mereka sembah itu pun mereka tahu bukan Tuhan. Yang mereka sembah itu adalah roh yang berada dalam tokong itu, iaitu roh tok nenek mereka. Dalam ramai-ramai tok nenek mereka yang telah meninggal dulu, tentu ada yang baik dan dapat duduk dalam syurga, kata mereka. Jadi mereka minta tolong kepada tok nenek yang mereka sangka duduk dalam syurga. Mereka ibaratkan kerajaan Tuhan itu macam kerajaan di dunia. Di dunia, ibaratnya kita nak minta tolong kepada raja-raja atau menteri-menteri, wakil-wakil rakyat dan sebagainya. Tapi tentulah kita tak dapat nak jumpa menteri itu secara terus. Kita guna orang perantaraan. Jadi, pada mereka, mungkin tok nenek tu ibarat kerja sebagai tukang sapu sahaja di pejabat Perdana Menteri itu. Iaitu pangkat paling rendah. Mestilah ada tukang sapu dalam pejabat itu. Jadi mereka harap adalah tok nenek mereka yang dapat tinggal atau kerja dalam pejabat itu. Jadi, kalau dah kerja dalam pejabat PM, tentulah hari-hari ada peluang jumpa dengan PM. Jadi bolehlah hulurkan surat (permintaan / doa) daripada anak cucu mereka. Begitulah pendapat mereka. Sebab itu ada tanglong di kubur dan sebab itu mereka bakar duit untuk diberikan kepada tok nenek untuk dibelanjakan di syurga. Itu adalah fahaman karut.

Kristian pula berdoa melalui paderi. Paderi itu seorang yang tak kahwin-kahwin sampai mati. Dia menghambakan diri terus kepada tuhan. Adakah Jesus itu Tuhan? Tidak, pada pandangan mereka, dia adalah anak Tuhan sahaja. Bukan anak sebenar pun. Ianya macam anak angkat. Sebab pada mereka, anak angkat tentulah baik dengan ayah angkat dia. Jadi, mereka berdoa melalui paderi mereka, untuk disampaikan doa itu kepada anak angkat tuhan mereka, iaitu Jesus, untuk menyampaikan doa mereka kepada tuhan yang satu.

Jadi sama sahaja pemahaman agama Hindu, Buddha, Cina dan Kristian. Begitu juga, jika kita tanya kepada orang asli, pun sama juga. Iaitu orang asli minta melalui perantaraan untuk menyampaikan doa mereka. Perantaraan-perantaraan itulah yang dipanggil ‘ilah’. Tok sami adalah ilah. Untuk kristian, salib itu adalah ilah. Jesus itu adalah ilah. Siti Maryam itu adalah ilah. Mereka sebenarnya percaya kepada Allah yang satu juga. Pada mereka, sama sahaja kita ini dengan mereka, sebab mereka pun percaya kepada tuhan yang satu. Dan apabila kita tanya mereka kenapa sembah berhala, mereka pula kata kita pun sembah batu juga, iaitu Kaabah. Padahal, kita sembahyang mengadap Kaabah itu kerana kita diperintahkan supaya mengadap kiblat. Kiblat kita ialah Kaabah. Bukan disebabkan Tuhan kita berada di situ.

Selagi tak faham apa maksud ‘ilah’, kita akan kata ‘ilah’ itu adalah Tuhan dan itu adalah pemahaman yang sempit. Maksud ‘ilah’ sebenarnya adalah tempat pergantungan manusia. Tempat kita bergantung harap. Kita lihat contoh lain pula: katakanlah ada seorang manusia yang perniagaan dia sedang maju sekarang. Dulu ada masalah dengan perniagaan dia, mungkin perniagaan dia sudah jatuh teruk. Tapi semenjak dia beli sebentuk cincin hikmat, perniagaan dia maju. Maka cincin itu adalah ‘ilah’ kepadanya. Ataupun kepada orang lain, ‘ilah’nya adalah keris. Macam-macam boleh dijadikan sebagai ‘ilah’. Air penawar jampi tok guru contohnya. Semua itu adalah ‘ilah’ belaka. Jadi, kalau kita tidak faham apa maksud sebenar ‘ilah’, kita pun boleh terjerumus ke dalam lembah kekafiran.

Kita tidak boleh ada pergantungan selain daripada Tuhan yang satu. Ibadat hanya dilakukan kepada Allah sahaja. Jangan buat seperti orang kafir. Jangan kita syirik kepada Tuhan.

Mari kita lihat apa pula yang kita buat. Kadang-kadang kita pun menjadikan Nabi Muhammad SAW itu sebagai ‘ilah’ kita. Orang Kristian, apabila mereka menyeru kepada Nabi Isa, mereka akan kata: “O Jesus, please bless me”. “Wahai Nabi Isa, berilah berkat kepada saya”. Dia menjadi kafir disebabkan oleh kata-kata sebegitu. Kita pula, bila melawat kubur Nabi, kita pun minta beri berkat kepada Nabi juga. Adakah itu betul? Jangan sekali-kali minta berkat kepada selain dari Allah taala. Keberkatan hanya ada pada Allah, seperti Allah telah sebutkan di dalam Surah al-Mulk:1.

67:1

Maha berkat Allah, di TanganNya semua kerajaan. Dan Dialah yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 Maka ingat, orang kafir itu kita panggil kafir kerana cara berdoa mereka yang salah. Kerana ‘Ilah’ yang dipujanya yang salah. Maka janganlah kita jadi seperti mereka. Jika tidak, kita pun sebenarnya sama kafir dengan mereka.

Ada orang yang menjadikan sesuatu benda sebagai ‘ilah’. Contohnya cincin, azimat, atau orang yang mereka kahwini yang menyebabkan mereka rasa perniagaan menjadi untung selepas kahwin itu, atau ada yang kata rumah mereka kata beruntung kerana pintu rumah mengadap sesuatu tempat. Ini macam fahaman feng shui masyarakat cina. Jadi percaya kepada feng shui itu adalah syirik belaka. Sebab mereka percaya bahawa kalau letak barang-barang tertentu di tempat tertentu akan menyebabkan Allah perlu memberikan berkat kepada mereka. Ini adalah fahaman yang salah sekali.

Mereka kafir kerana berbuat syirik kepada Allah. Kalau kita berbuat syirik, kita pun boleh dipanggil M’usyrikin Malaysia’. Mereka sembahyang pada Allah, tapi pada masa yang sama, mereka juga minta kepada berhala ataupun kepada malaikat yang mereka sangkakan sebagai anak tuhan. Dan mereka tidak percaya kepada hari akhirat, sama seperti penganut Buddha yang tidak mempercayai hari kiamat. Mereka percaya bahawa mereka apabila mati, akan dilahirkan kembali. Dua-dua agama ini adalah agama Nabi Ibrahim yang telah diselewengkan. Sebab Nabi Ibrahim pernah sampai ke Burma. Jadi ada kemungkinan Nabi Ibrahim telah menyampaikan ajaran Islam ke sana. Jadi ingatlah bahawa satu-satu ibadat itu hanya diterima Allah kalau mengikut apa yang Nabi ajar. Kalau tidak, ibadat itu tidak boleh dinamakan ‘amal soleh’.

Contohnya kalau solat tak menghadap kiblat. Badan terpaling sikit sahaja pun tidak boleh. Tapi kalau tersilap dalam solat kita yang sikit-sikit itu, boleh ditampung dengan solat sunat. Solat sunat adalah untuk menampung mana yang carik dalam solat wajib kita.

Syarat yang lagi satu adalah seseorang itu kena beriman. Tidak boleh berbuat syirik. Banyak orang lupa tentang perkara ini. Sebabnya, kalau seseorang itu ada buat perbuatan syirik, semua amalan tidak akan diterima. Jadi kita kenalah belajar agama untuk tahu mana perkara yang salah dan mana perkara yang benar.

Apakah yang dimaksudkan dengan Syirik?

Ibadat itu boleh dibaratkan sebagai angin yang kita masukkan ke dalam belon. Amal soleh yang kita buat, kita tiup dalam belon itu. Belon itu lama kelamaan menjadi besar. Tetapi untuk memecahkan belon yang sudah besar itu, satu jarum sahaja sudah cukup. Dan segala ibadat yang kita telah kumpulkan itu, akan hancur semua sekali. Jadi, jarum adalah satu jenis syirik. Selain itu ada duri, pisau dan sebagainya boleh dikatakan jenis syirik yang lain. Habis semua sekali ibadat. Ibadat seorang Islam itu tidak akan diterima selagi dia melakukan syirik dan dia tidak bertaubat lagi dari syiriknya itu. Tapi kalau kita tidak belajar apakah perbuatan yang dikira sebagai syirik, kita akan terus malakukannya.

Ada yang mengatakan syirik selain dari menyembah sembahan lain adalah syirik kecil atau dipanggil syirik khafi. Itu adalah pendapat yang salah.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Ilmu Usul Tafsir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s