Tafsir Surah Taha Ayat 114 – 125

Ini adalah sambungan dari ayat-ayat sebelum ini:

Lompat ke ayat pertama:

Ayat 114: Apakah fokus kita? Apakah yang kita kena pegangan kita sentiasa?

20:114
Transliteration

fa-taʿālā llāhu l-maliku l-ḥaqqu wa-lā taʿǧal bi-l-qurˈāni min qabli ˈan yuqḍā ˈilayka waḥyuhū wa-qul rabbi zidnī ʿilman

Sahih International

So high [above all] is Allah , the Sovereign, the Truth. And, [O Muhammad], do not hasten with [recitation of] the Qur’an before its revelation is completed to you, and say, “My Lord, increase me in knowledge.”

Malay

Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.

فَتَعَالَى اللَّهُ

Maka Maha Tinggilah Allah,

Inilah fokus kita semua – Allah taala. Semua perbuatan kita, ingatan kita dan amalan kita adalah untuk Allah. Kita hendak mengajak manusia kepada Allah. Kalau kita mengajak kepada yang lain, itu bukan dakwah.

الْمَلِكُ

yang Menguasai seluruh alam; Dialah Allah yang sebenar-benar Raja. Iaitu kekuasaan yang tiada hujungnya.

الْحَقُّ

lagi Yang Benar (pada segala-galanya); Dialah sebenar-benar Raja. Allah lah juga kebenaran.

وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran; Dalam surah lain, ada disebutkan bagaimana Nabi akan kumat-kamit untuk ikut bacaan Jibrail. Waktu itu Jibrail sedang membacakan wahyu Quran kepada baginda. Tapi dalam masa yang sama, Nabi akan ikut membaca bersama. Kerana Nabi takut kalau baginda akan terlupa. Kerana dia tahu bahawa apa yang baginda kena bawa itu adalah perkara yang berat dan dia tidak mahu tersalah atau terlupa. Sila juga baca di sini.

Nabi Musa tergesa-gesa dalam pergi ke Bukit Thursina meningalkannya dan begitu juga Nabi Muhammad tergesa-gesa untuk membacakan Quran sebelum Jibrail habis membacakan untuk baginda. Nabi Musa tergesa-gesa, Nabi Muhammad pun tergesa-gesa juga.

مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ

sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu,

Allah tegur Nabi supaya jangan kelam-kabut nak baca sekali ayat-ayat Quran itu bersama Jibrail. Baginda kena tunggu sampai selesai. Allah beritahu Nabi jangan takut kerana Allah akan memastikan Nabi akan ingat apakah yang perlu baginda ingat dan baca. Ini ada disebut dalam Surah Qiyamah ayat 16, 17, 18 & 19.

Kalau kita sekarang, kenalah bersabar dalam belajar tafsir Quran. Jangan tergesa-gesa sebelum diterangkan oleh guru yang mengajar. Kena belajar perlahan-lahan sampai faham. Kadang-kadang kita hendak cepat sangat faham sampai kita tidak belajar dengan betul. Sebelum sempat guru ajarkan semua sekali tafsir sesuatu ayat itu, kita dah buat pemahaman kita sendiri. Itu adalah bahaya.

Perisai Nabi adalah Quran. Semasa kesusahan, Nabi akan mengharapkan Quran diturunkan lagi. Nabi terlalu rindu kepada Quran. Tapi Allah nak kata kepada baginda untuk percayakan Allah. Jangan tergesa-gesa. Allah akan hantar ayat-ayat Quran kepada baginda apabila perlu.

وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. Ilmu yang dimaksudkan adalah Ilmu kefahaman Quran, ilmu tauhid dan ilmu hadis Nabi.

Ini adalah satu doa yang amat baik sekali dibaca kerana Allah dah ajar cara doa ini dalam Quran sendiri. Tapi kena ada pemahaman yang lebih dalam lagi. Kita hendaklah berdoa supaya Allah jadikan kita baik dengan ilmu pengetahuan yang kita dapat itu. Kita bukan hanya berharap supaya ditambahkan ilmu sahaja. Tujuan asal untuk kita mendapatkan ilmu adalah supaya kita menjadi lebih baik dengannya. Bukan kita nak berbangga dengan ilmu yang banyak. Ada doa Nabi ajar.

اَللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِـمَا عَلَّمْتَنِي وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي، وَزِدْنِي عِلْمًا

“Ya Allah, berikanlah manfaat kepadaku atas apa yang telah Engkau ajarkan kepadaku, dan ajarkanlah kepadaku apa yang bermanfaat bagiku, serta tambahkanlah ilmu kepadaku.” (Shahiih at-Tirmidzi III/185 no. 2845, Shahiih Ibni Majah 1/47 no. 203 dari Sahabat Abu Hurairah)

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rizki yang baik, dan amal yang diterima.” (Shahiih Ibni Majah 1/152 no. 753)

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ عِلْمًا لاَ يَنْفَعُ

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, dan aku berlindung kepada-Mu dari ilmu yang tidak bermanfaat.”

Ayat ini juga mengajar kita supaya sentiasa doa kepada Allah untuk mendapatkan ilmu. Samada kita dapat ilmu atau tidak, bergantung kepada Allah. Begitu juga samada kita boleh faham atau tidak. Kerana ada orang yang belajar sama-sama, tapi mereka tidak mendapat kefahaman. Itu semua adalah dalam kuasa dan kehendak Allah. Kalau Allah tak beri kita faham, kita tidak akan dapat faham walau bagaimana kita belajar pun. Nabi sentiasa membaca doa ini.

Maka berakhirlah kisah Nabi Musa yang panjang dalam surah ini.

———————————————————–

Ayat 115: Sebelum ini kisah Musa. Sekarang ini kisah Adam. Nabi Adam pun termasuk dalam kategori umat terdahulu juga.

Sebagai manusia kita ada cabaran – Dalaman dan luaran. Antara cabaran dalaman yang telah disebut adalah jangan kelam kabut. Begitu juga sifat sabar yang perlu ada. Cabaran luaran pula adalah syaitan. Dalam ayat ini dan selepasnya, Allah hendak memberitahu kepada kita bahawa dugaan dari syaitan itu terjadi dari masa Nabi Adam lagi. Kita hendaklah tahu bahawa Iblis itu adalah dugaan untuk kita. Maka Allah memberikan nasihat tentang syaitan. Allah menceritakan bagaimana syaitan menipu Nabi Adam. Supaya kita mengambil peringatan. Jangan kita pun tertipu macam itu juga.

20:115
Transliteration

wa-la-qad ʿahidnā ʾilā ʾādama min qablu fa-nasiya wa-lam najid lahū ʿazman

Sahih International

And We had already taken a promise from Adam before, but he forgot; and We found not in him determination.

Malay

Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam pada masa yang lalu, tetapi ia lupa; dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

وَلَقَدْ عَهِدْنَا إِلَىٰ آدَمَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah menjanjikan kepada Adam; apakah janji itu? Adam telah berjanji untuk taat tidak menghampiri pokok larangan. Nabi Adam boleh buat apa-apa sahaja dalam syurga, malah tidak ada pun ibadat yang perlu dilakukan, cuma tidak boleh menghampiri ‘Pohon Larangan’ sahaja.

مِن قَبْلُ

pada masa yang lalu,

Allah menceritakan kejadian ini kepada Nabi Muhammad. Allah nak kata, sebelum Nabi Muhammad, telah ada perjanjian untuk taat kepada Allah.

فَنَسِيَ

tetapi dia lupa; Maknanya, Nabi Adam itu makan pokok itu adalah kerana lupa janjinya. Adam lupa pesan Allah. Manusia memang jenis pelupa. Dari dulu lagi. Ini adalah satu sifat manusia yang normal. Manusia dinamakan insan kerana Nabi Adam pernah diberi perjanjian, tapi dia lupa (nasiya). Sebab itulah kita diingatkan untuk sentiasa mengingati Allah. Kerana apabila kita lupa kepada Allah, maka syaitan akan ada peluang untuk memasukkan hasutannya.

Ini bukanlah satu dosa besar. Sebab kalau kita buat sesuatu kesalahan kerana kita terlupa pun, ianya tidak dikira berdosa. Sebagai contoh, kita termakan dalam bulan puasa sebab lupa kita puasa, itu tidak salah. Puasa pun tidak batal.

Tapi standard yang diberikan kepada Nabi Adam berbeza. Standard yang dikenakan kepada baginda adalah lebih tinggi lagi. Tapi masih Nabi Adam tidak berdosa. Kita kena jaga adab dalam menilai para Nabi, jangan kita kata mereka berdosa pula.

Sebab itu Allah suruh zikr sentiasa. Kalau tidak zikr, syaitan boleh ambil peluang. Kena sentiasa ingat Allah. Dalam setiap waktu, kita kena rasa bahawa Allah memerhatikan pergerakan kita. Kita hendaklah sentiasa ingat kepada Allah.

وَلَمْ نَجِدْ لَهُ عَزْمًا

dan Kami tidak mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

Ada dua makna yang kita boleh ambil disini

– Nabi Adam tidak kuat azam untuk melawan godaan Iblis. Atau,

– Nabi Adam tidak berazam untuk lawan Allah. Bukan dia hendak buat dosa tapi baginda lupa sahaja. Allah tahu apa yang dalam hati manusia. Jadi, Allah beritahu kepada kita bahawa Nabi Adam bukanlah ingin hendak melawan Allah.

Demi menjaga status Nabi Adam, makna yang kedua adalah lebih baik lagi daripada makna kedua.

—————————————————————————-

Ayat 116: Apa yang terjadi sebenarnya? Dalam ayat tadi, hanya diberikan preview sahaja. Sekarang dibawakan kisah itu dari mula lagi.

20:116
Transliteration

wa-ʾidh qulnā li-l-malāʾikati sjudū li-ʾādama fa-sajadū ʾillā ʾiblīsa ʾabā

Sahih International

And [mention] when We said to the angels, “Prostrate to Adam,” and they prostrated, except Iblees; he refused.

Malay

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud, melainkan Iblis, ia enggan sujud.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada para malaikat:

اسْجُدُوا لِآدَمَ

“Sujudlah kamu kepada Adam”,

Malaikat semua sujud kepada Nabi Adam kerana itu adalah arahan Allah. Sebagai tanda penghormatan kepada Nabi Adam. Kalau Allah telah beri arahan, kena ikut. Kena taat. Memang pada dasarnya tidak boleh sembah makhluk lain. Kalau sekarang, tak boleh. Tapi arahan untuk sujud kepada Nabi Adam itu keluar dari Allah, jadi kena ikut. Ini mengajar kita untuk taat kepada Allah, walaupun dalam perkara yang kita tak faham. Ada yang fikir lebih-lebih tentang sujud kepada Adam ini. Tapi ianya mudah sahaja – apabila Allah suruh sujud, kita sujud.

فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ

lalu mereka sujud, melainkan Iblis,

Dalam ayat ini dan ayat-ayat lain, arahan untuk sujud itu diberikan kepada para malaikat. Jadi, nampak macam Iblis itu dari kalangan malaikat juga, tapi tidak. Jangan kita salah faham. Iblis bukanlah dari kalangan malaikat. Ayat Kahf:50 telah kata dia adalah dari kalangan jin. Cuma, kerana dia adalah makhluk yang banyak melakukan ibadah dan sampai kepada tahap yang tinggi, maka Allah campurkan Iblis dalam kalangan para malaikat. Tapi dia masih lagi ada nafsu seperti makhluk lain yang ada nafsu juga.

أَبَىٰ

ia enggan.

Bila Allah memperkatakan tentang ‘kesalahan’ Nabi Adam, Allah kata baginda lupa tapi apabila Allah menceritakan berkenaan Iblis, perkataan lain: أَبَىٰ digunakan. Ini menunjukkan memang dia benar-benar enggan, bukan dia terlupa. Memang dia ada berniat untuk tidak taat kepada arahan Allah.

Dia enggan kerana dia dijadikan dari api jadi dia ingat dia lebih baik dari Adam. Ini ada disebut dalam surah al-A’raf:12. Dia bersifat Ujub – dia rasa dia lebih tinggi dan baik dari Nabi Adam. Dia juga bersifat Cemburu. Ini mengajar kita bahawa Islam adalah berkenaan ketaatan. Amat bahaya apabila kita ada sifat-sifat mazmumah itu. Kena dibersihkan kerana ianya adalah sifat Iblis. Dia cemburu kerana kedudukan Nabi Adam sebagai seorang ‘hamba Allah’. Selalunya kita akan cemburu kalau seseorang itu akan mendapat pangkat yang tinggi. Tapi kali ini, kedudukan itu adalah kedudukan ‘hamba’. Ini adalah satu kedudukan dalam agama. Bukan kedudukan kemewahan, kekayaan dan sebagainya. Oleh itu, kita kena sedar bahawa kadang-kadang, kedudukan sebagai orang dalam agama pun orang boleh cemburu. Kadang-kadang apabila orang lain rapat dengan guru pun kita akan rasa cemburu. Padahal, rapat dengan guru, bukan boleh dapat wang lebih, pangkat lebih dan sebagainya. Tapi begitulah sifat mazmumah yang tidak elok. Kita kena berhati-hati dan lapangkan dada kita kalau ada orang yang lebih dari kita.

—————————————————————————-

Ayat 117:

20:117
Transliteration

fa-qulnā yā-ʾādamu ʾinna hādhā ʿaduwwun laka wa-li-zawjika fa-lā yukhrijannakumā mina l-jannati fa-tashqā

Sahih International

So We said, “O Adam, indeed this is an enemy to you and to your wife. Then let him not remove you from Paradise so you would suffer.

Malay

Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang demikian engkau (dan isterimu) akan menderita.

فَقُلْنَا يَا آدَمُ

Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam!

إِنَّ هَٰذَا عَدُوٌّ لَّكَ

sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu;

Lihatlah bahasa yang digunakan oleh Allah. Allah gunakan perkataan هَٰذَا, menunjukkan tidak sukanya Allah kepada iblis sampaikan Allah tak sebut pun namanya. Macam kita kalau marah kepada seseorang, kita pun akan buat macam tu juga.

عَدُوٌّ bermaksud ‘musuh yang melampau’, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai maksudnya untuk menjatuhkan kita.

وَلِزَوْجِكَ

dan bagi isterimu; Allah dah bagi tahu siap-siap dah. Dah bagitahu awal-awal kepada Nabi Adam dan Hawa tentang Iblis adalah musuh mereka. Maka, mereka kenalah berhati-hati.

فَلَا يُخْرِجَنَّكُمَا مِنَ الْجَنَّةِ

oleh itu, janganlah ia menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga; Allah dah beritahu kepada mereka berdua yang Iblis hendak mengeluarkan mereka dari syurga. Bukan sahaja Allah beritahu mereka bahawa Iblis itu adalah musuh mereka berdua, tapi Dia juga telah beritahu mereka apakah yang akan cuba dilakukan oleh Iblis itu kepada mereka – mengeluarkan mereka dari syurga.

– Iblis tujuannya adalah menyesatkan Nabi Adam sampai Adam keluar dari syurga. Sebab dia tak suka Adam tinggal dalam syurga tapi dia tinggal di luar. Dia juga tak mahu kita sebagai anak cucu Nabi Adam masuk syurga. Dia akan buat segala-galanya supaya anak cucu Adam tak masuk dalam syurga. Dia tahu dia akan masuk neraka apabila Kiamat nanti, jadi dia nak anak cucu Adam pun bersama dengannya.

فَتَشْقَىٰ

kerana dengan yang demikian engkau akan menderita.

Sebelumnya Allah telah berkata kepada mereka berdua iaitu Nabi Adam dan Hawa, tapi kali ini Allah bercakap merujuk kepada Nabi Adam sahaja. Ini kita boleh lihat dari segi bahasa yang digunakan. Kenapa begitu? Kerana Adam bertanggungjawab kepada keluarganya. Orang lelaki adalah ketua keluarga. Bukan sahaja dalam bentuk keduniaan tapi dalam hal agama juga. Dia kena bertanggungjawab memastikan ahli keluarganya selamat dari neraka. Masalahnya, kita hanya melihat bab ketua dalam hal dunia sahaja – keputusan di tangan lelaki dalam hal-hal dunia, tapi kita selalu terlupa kita bertanggungjawab dalam hal agama juga. Lelaki kena ajar isteri dan anak-anaknya tentang agama. Supaya memastikan mereka juga masuk syurga dan terselamat dari neraka.

Apakah maksud فَتَشْقَىٰ? ‘Kesusahan’. Iaitu kesusahan hidup di dunia. Kena berusaha mencari makanan dan sebagainya. Tidak macam semasa di syurga. Di syurga, semuanya diberikan. Tapi di dunia, semuanya kena usaha untuk dapatkan sumber kehidupan. Dan apabila mereka dapat sumber kehidupan itu, seperti makanan, pakaian dan rumah, ianya tidak sama seperti yang didapati semasa di syurga. Langsung tidak sama kalau dibandingkan dengan apa yang mereka dapati semasa di syurga.

Perkataan تَشْقَىٰ ini telah ada dalam ayat ke-2 surah ini. Dalam ayat itu, Allah mengatakan bahawa Quran ini bukanlah diturunkan kepada Nabi Muhammad untuk menyusahkan baginda. Tapi dalam ayat ini, dikatakan kepada Nabi Adam bahawa kalau baginda terpedaya dengan Syaitan, baginda akan menjadi susah. Iaitu susah dalam kehidupan dunia.

—————————————————————————-

Ayat 118: Allah menyenaraikan antara kenikmatan di syurga yang diberikan kepada Nabi Adam dan Hawa. Kita juga akan dapat semua ini apabila kita masuk syurga nanti.

20:118
Transliteration

ʾinna laka ʾallā tajūʿa fīhā wa-lā taʿrā

Sahih International

Indeed, it is [promised] for you not to be hungry therein or be unclothed.

Malay

“Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang.

إِنَّ لَكَ

“Sesungguhnya telah dikurniakan bagimu,

أَلَّا تَجُوعَ فِيهَا

bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu

– Tidak akan rasa lapar semasa di syurga. Sebab lapar itu adalah sifat manusia yang tidak elok. Kita tak suka kalau lapar. Dan dalam syurga tidak ada kesusahan, jadi lapar tidak sesuai ada dalam syurga. Habis macam mana nak makan? Makanan memang banyak sangat dan kita makan sebagai nikmat sahaja – bukan sebab lapar. Kita pula akan makan banyak sekali – diberikan selera untuk makan banyak. Sebab kita juga tidak kenyang-kenyang sampai bila-bila. Itu pun nikmat juga. Sebab kalau kenyang, sudah tidak boleh makan lagi. Allah memberikan nikmat makan kepada kita dengan banyak sekali.

Tapi apabila di dunia, kena cari makan sendiri. Makanan pun tidak sedap macam di syurga.

Bandingkan dengan mereka yang masuk dalam neraka. Mereka akan rasa lapar dari mula masuk sampai bila-bila, selagi mereka dalam neraka.

وَلَا تَعْرَىٰ

dan tidak akan bertelanjang.

Tidak perlu risau tentang pakaian semasa di syurga. Semuanya telah disediakan. Pakaian yang diberikan pula adalah yang indah-indah. Dalam riwayat, sekali pakai, kita akan memakai 70 lapis pakaian sutera, yang halus dan yang tebal. Begitulah hebatnya pakaian di syurga.

Tapi di dunia, kena buat pakaian sendiri. Pakaian pula tidak bagus. Pakaian itu pula boleh lusuh, boleh koyak dan sebagainya. Kena ganti selalu.

—————————————————————————-

Ayat 119: Tambahan lagi kisah tentang nikmat di syurga.

20:119
Transliteration

wa-ʾannaka lā taẓmaʿu fīhā wa-lā taḍḥā

Sahih International

And indeed, you will not be thirsty therein or be hot from the sun.”

Malay

“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari”.

وَأَنَّكَ لَا تَظْمَأُ فِيهَا

“Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu,

Dahaga adalah satu keadaan manusia yang tidak selesa. Maka tidak ada rasa dahaga di sana. Tapi terdapat minuman berbagai jenis yang sedap-sedap. Ada sungai dari madu, dari susu, dari arak dan air putih. Bukan itu sahaja, apa sahaja air yang kita hendak, boleh didapati. Kita boleh minum sebanyak mana kita hendak walaupun kita tidak dahaga. Kita minum kerana hendak menikmati rasa air itu, bukan sebab dahaga.

Bandingkan dengan neraka. Penghuni neraka akan rasa dahaga dari mula masuk neraka sampai bila-bila. Dan mereka tidak akan dapat minum melainkan air yang jelek sekali. Itu disebut dalam ayat yang lain.

وَلَا تَضْحَىٰ

dan tidak akan merasa panas”;

Satu kerisauan atau ketidakselesaan manusia adalah keterikan dari kepanasan. Tidak akan ada masalah itu di syurga. Cuaca amat nyaman sekali. Sudahlah cuacanya nyaman, ada teduhan lagi yang diberikan dalam syurga. Ada satu pokok yang jarak teduhannya dari batang pokok adalah sejauh seratus tahun perjalanan dengan kuda yang laju. Dan siling istana di syurga adalah setinggi 30,000 kaki.

Ada empat keperluan minima manusia semasa untuk hidup – makanan, minuman, pakaian dan teduhan. Keempat-empatnya disebut dalam ayat ini.

Ulama juga mengatakan dalam ayat ini juga ada isyarat bahawa suamilah yang bertanggungjawab menyediakan keperluan ini kepada isteri dan ahli keluarganya. Sama juga hujahnya di dalam perkataan فَتَشْقَىٰ (kesusahan) itu. Ianya hanya disebut untuk Nabi Adam sahaja.

Kenapakah susunan keperluan empat perkara ini dalam susunan: makanan – pakaian – minuman – teduhan. Kenapa tidak makanan – minuman – pakaian – teduhan? Kalau susun begini macam nampak lebih sesuai kalau ikut logik kita kan? Ulama membincangkan perkara ini. Di dalam syurga, tidak ada kesejukan dan kepanasan terlampau. Cuacanya amat selesa sekali. Kalau terlalu sejuk, perut kita akan cepat lapar – maka kita akan memerlukan makanan. Begitu juga kalau sejuk, kita memerlukan pakaian untuk menahan dari kesejukan. Itulah sebabnya selepas disebut tentang kelaparan, disebutkan berkenaan pakaian. Maknanya, ada pertalian antara kelaparan dan pakaian

Dan di syurga, tidak ada kepanasan. Kalau panas, tentu kita dahaga. Sebab itu disebut tentang ‘dahaga’ dan kalau panas terik, kulit kita akan terbakar. Sebab itu disebutkan tentang tidak akan kulit kita jadi kepanasan.

—————————————————————————-

Ayat 120:

20:120
Transliteration

fa-waswasa ʾilayhi sh-shayṭānu qāla yā-ʾādamu hal ʾadulluka ʿalā shajarati l-khuldi wa-mulkin lā yablā

Sahih International

Then Satan whispered to him; he said, “O Adam, shall I direct you to the tree of eternity and possession that will not deteriorate?”

Malay

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya; iaitu kepada Nabi Adam, bukan kepada Hawa.

Ada elemen pengulangan dalam perkataan وَسْوَسَ itu – was was. Jadi, perkatan itu bermaksud, Iblis bukan sekali sahaja dia menghasut Nabi Adam, tapi banyak kali. Begitu juga, Iblis dan syaitan tidak akan berhenti menghasut kita semua. Mereka sentiasa datang. Katakanlah kita laungkan azan, dia akan lari sekejap. Tapi apabila azan berhenti, syaitan akan datang kembali.

Zaman sekarang pun syaitan masih lagi membisikkan hasutan kepada manusia. Mereka yang mengamalkan zikir yang salah, yang selalunya mengandungi ayat-ayat tawasul di dalamnya, akan mendengar bisikan syaitan yang menyuruh mereka berbuat salah. Syaitan akan suruh mereka buat wirid ini, wirid itu, jumpa guru itu dan guru ini. Merekalah yang mengajar amalan-amalan yang salah itu. Ada yang sampai datang kepada mereka dalam mimpi dalam rupa manusia alim. Syaitan akan datang memakai baju putih dan janggut panjang putih. Mereka akan kata kepada orang yang mengamalkan wirid yang salah itu bahawa mereka adalah wali Allah dan datang untuk mengajar mereka. Padahal, syaitan boleh merupa sesiapa sahaja kecuali Nabi Muhammad. Jangan kita tertipu dengan keadaan macam itu. Kalau mereka yang tidak ada ilmu yang mantap, mereka akan tertipu. Yang selalu tertipu adalah abid – ahli ibadat. Mereka hanya tekun melakukan ibadat, tapi tidak tekun dalam mencari dan mendapatkan ilmu pengetahuan agama yang benar. Mereka itu senang ditipu oleh syaitan. Mereka tidak teliti dalam mencari ilmu. Asalkan orang yang mereka jumpa sebagai guru itu merupai mereka yang alim, mereka terus terima. Padahal, kadang-kadang ajaran yang dibawa oleh guru yang sesat itu bukanlah datang dari Quran dan Sunnah.

قَالَ يَا آدَمُ

dengan berkata: “Wahai Adam,

هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ الْخُلْدِ

mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya; dia kata kalau makan, segala kebaikan yang Nabi Adam sedang dapati di syurga itu tidak akan berhenti. Dia katakan kepada Nabi Adam, dia kena halau dari syurga itu sebab tak makan pokok itulah. Jadi, dia syorkan kepada Nabi Adam untuk makan pokok itu kalau tak mahu jadi macam dia. Konon-kononnya dia nak tolong Nabi Adam.

Lihatlah bahawa nama ‘pokok Khuldi’ itu diberi oleh Iblis, bukanlah nama pokok itu yang sebenarnya. Kita tidak tahu apakah nama pokok itu sebab tidak pernah diberitahu kepada kita. Jadi tidak molek kalau kita panggil pokok itu sebagai Pokok Khuldi. Kerana kalau kita panggil pokok itu sebagai ‘Pokok Khuldi’, bermakna kita bersetuju dengan penipuan Iblis itu.

Satu persoalan yang mungkin timbul: Bagaimana Iblis tahu bahawa Nabi Adam dilarang dari makan pokok itu? Iblis tahu kerana Iblis dengar percakapan malaikat yang keluar masuk syurga. Malaikat memang ada yang masuk dalam syurga – mungkin untuk buat tugas mereka. Malaikat yang diluar akan tanya sesama mereka apakah perintah yang diberikan kepada Nabi Adam? Jadi ada malaikat yang kata Nabi Adam dilarang menghampiri pokok itu. Apabila malaikat itu keluar dan berbicara dengan malaikat yang lain yang tidak masuk syurga, maka Iblis ada terdengar percakapan mereka.

Zaman sekarang, bukan sahaja Iblis sesatkan manusia dengan suruh buat benda yang dilarang, tapi ada juga yang mengharamkan benda yang halal. Itu pun hasil dari ajaran Iblis juga. Contohnya, kita mengharamkan makanan yang Allah sudah halalkan – iaitu apabila kita mengamalkan ‘pantang’ selepas bersalin. Itu adalah perbuatan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Padahal, yang boleh haramkan atau halalkan adalah Allah sahaja, bukannya manusia. Maka, apabila kita mengharamkan apa yang dihalalkan, kita telah mengambil kerja Allah. Tidakkah itu berdosa besar?

وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ

dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”

Iblis kempen kepada Nabi Adam dengan mengatakan Allah tidak membenarkan Adam makan pokok itu kerana kalau makan, Nabi Adam akan jadi malaikat dan akan kekal di syurga. Kalau tak makan, dia akan diturunkan ke dunia. Sebab itu, Iblis kata Allah dah ajar Nabi Adam nama benda-benda di dunia sebab memang nak letak Nabi Adam di dunia. Jadi, elok Nabi Adam makan, kata Iblis. Kalau tak, Adam akan diturunkan ke dunia.

Ayat ini menunjukkan sifat manusia yang mahukan kebaikan yang berterusan selama-lamanya. Ini memang dah ada dalam diri manusia dah. Tidak ada kesalahan dalam hal ini. Kita cuma nak kena bendung supaya berada dalam lingkungan Islam.

Tidak boleh kalau kita hendakkan kebaikan walaupun dalam agama tapi untuk mencapainya kita kena melanggar arahan Allah. Tapi syaitan pandai menipu. Oleh itu, kenalah kita berhati-hati dalam perjalanan hidup kita.

—————————————————————————–

Ayat 121:

20:121
Transliteration

fa-ˈakalā minhā fa-badat lahumā sawˈātuhumā wa-ṭafiqā yaḫṣifāni ʿalayhimā min waraqi l-ǧannati wa-ʿaṣā ˈādamu rabbahū fa-ġawā

Sahih International

And Adam and his wife ate of it, and their private parts became apparent to them, and they began to fasten over themselves from the leaves of Paradise. And Adam disobeyed his Lord and erred.

Malay

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

فَأَكَلَا مِنْهَا

Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu; bukanlah Iblis kempen kepada Hawa dulu untuk makan pokok itu seperti yang banyak diceritakan dalam kisah-kisah yang tidak benar. Iaitu ada yang kata Hawalah yang makan dahulu pokok itu dan kerana Hawa dah makan, maka Nabi Adam pun makan. Sampaikan ada yang kata oleh kerana perempuanlah manusia kena tinggalkan syurga dan duduk di dunia. Itu adalah menjatuhkan maruah Siti Hawa dan kaum wanita keseluruhannya.

Dalam ayat ini, Allah mengatakan mereka berdua makan. Maka, ini bermakna mereka berdua dipersalahkan. Dalam memberi nasihat tentang Iblis dan berjaga-jaga darinya, Allah hanya bercakap dengan Nabi Adam sahaja. Kerana tanggungjawab Nabi Adam sebagai ketua rumah untuk bertanggungjawab menyampaikan ajaran agama kepada keluarganya. Tapi, apabila ajaran telah diberikan, dan masih juga buat salah, maka tidak ada pelepasan dari tanggungjawab itu. Oleh itu, kerana Nabi Adam telah memberi ajaran dan juga peringatan kepada Hawa, maka apabila Hawa pun makan juga pokok itu, Hawa juga dipersalahkan. Mereka dua-dua salah dalam hal ini. Kerana mereka dua-dua sudah tahu tentang larangan itu.

فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا

lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing; apabila mereka berdua makan sahaja pokok itu, pakaian mereka terus tertanggal. Pakaianlah perkara pertama dari segala nikmat-nikmat yang ditanggalkan. Mereka sudah tahu bahawa mereka telah buat salah apabila pakaian mereka tertanggal.

سَوْآ adalah sesuatu yang kita tak mahu orang lain tengok. Termasuk aurat kita. Ia juga bermakna perkara yang huduh. Oleh itu, kita boleh lihat bagaimana Allah menyatakan aurat dengan sesuatu yang huduh.

Lihatlah penggunaan bahasa Quran. Penggunaan ayat-ayat dalam Quran adalah amat lembut dan berhemah sekali. Kata-kata yang lucah itu sebenarnya tidak baik. Quran akan menggunakan kata-kata yang baik untuk menceritakan maksud yang hendak disampaikan.

وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِن وَرَقِ الْجَنَّةِ

dan mereka cepat-cepat menutup kemaluan mereka berdua dengan daun-daun dari Syurga;

وَطَفِقَا digunakan untuk kata mereka ‘cepat-cepat buat’. Tanpa lengah lagi.

Yang mereka boleh gunakan waktu itu hanyalah daun-daun dari pokok-pokok dalam syurga.

Fitrah manusia untuk menutup aurat. Samada lelaki mahupun perempuan. Kalau terdedah, kita akan cepat-cepat tutup. Lihatlah bagaimana mereka terus cepat-cepat menutup kemaluan mereka walaupun sebenarnya hanya ada mereka berdua sahaja dalam syurga. Bukan ada syariat tutup aurat pun waktu itu. Tapi mereka terus lakukannya kerana ianya adalah fitrah manusia.

Tapi malangnya kita sekarang dalam dunia yang sudah mula tidak kisah dengan aurat dengan sempurna. Itu maknanya manusia yang sebegitu dah terputus dengan fitrah.

وَعَصَىٰ آدَمُ رَبَّهُ

dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya; derhakanya itu adalah kerana lupa. Kerana niat dia adalah kerana dia hendak kekal dalam syurga. Sebenarnya dia hendakkan kebaikan. Begitulah juga dengan masyarakat kita yang buat Majlis Tahlil, mereka sebenarnya hendak berbuat kebaikan. Begitu juga mereka yang buat Majlis Maulid Nabi – mereka sebenarnya hendak memuliakan Nabi. Bukanlah mereka hendak berbuat jahat. Begitu juga dengan mereka yang beri sedekah kepada orang yang solat jenazah, itu pun nak buat baik juga. Tapi semua itu telah tersilap. Kalau hanya niat sahaja baik, tapi perbuatan itu tidak baik, ianya tidak akan diterima.

Dalam ayat ini, Allah sendiri yang sebut Nabi Adam telah derhaka. Sebab Allah yang cakap, maka bolehlah kita juga kata begitu. Tapi hati-hati kerana Nabi Adam adalah seorang Nabi. Tidak boleh kita nak memandai kata baginda dah berdosa.

Allah pun dah kata baginda terlupa. Dan lupa bukanlah dosa. Tapi kerana tingkatan para Nabi lain dengan manusia , maka itulah sebabnya dikatakan baginda telah derhaka. Begitu juga dengan Nabi-nabi yang lain. Mereka ada juga buat kesalahan. Tapi kesalahan yang mereka lakukan itu amat kecil sekali kalau dibandingkan dengan manusia biasa. Tapi mereka dikatakan telah melakukan kesalahan kerana tingkatan mereka lain dengan manusia lain.

Ada satu riwayat percakapan antara Nabi Musa dan Nabi Adam. Dalam riwayat itu, Nabi Musa telah menuduh Nabi Adam menyebabkan keturunan manusia terpaksa tinggal di dunia. Kita kena ingat bahawa para Nabi adalah adik beradik. Kalau kita dengan bercakap dengan adik beradik kita sendiri pun kita gunakan bahasa yang lain kalau kita dengan orang lain. Nabi Adam menjawap bahawa Allah dah takdirkan bahawa memang baginda akan buat macam tu. Ianya telah ditakdirkan oleh Allah bahawa Nabi Adam akan makan dari pohonl larangan itu. Kisah bagaimana Nabi Adam telah memakan pokok dari pohon larangan itu adalah untuk mengajar kita. Begitu juga dengan jawapan yang diberikan oleh Nabi Adam kepada Musa. Kalau kita lihat bahasa yang digunakan oleh Nabi Adam, nampak macam baginda menyalahkan taqdir pula. Tapi alasan itu bukan untuk digunakan sebagai nak salahkan qadr kalau kita dah buat salah. Tapi nak mengajar kita bahawa kita tidak boleh menegur mereka yang dah buat salah. Kerana kita tidak tahu kenapakah mereka telah melakukan kesalahan itu. Kalau ada yang begitu, boleh gunakan qadr sebagai alasan.

Lihatlah dalam ayat seterusnya, Adam tak gunakan alasan qadr.

فَغَوَىٰ

lalu dia telah tersalah jalan;

Kejadian Nabi Adam itu terjadi kerana kerana baginda tersilap. Begitulah juga dengan orang-orang yang buat amalan bidaah seperti Tahlil, Maulid, sedekah pahala kepada simati dan sebagainya. Semuanya itu tersalah jalan. Mereka sebenarnya inginkan kebaikan, tapi mereka tersalah.

Lihatlah bagaimana Islam tidak menghina langsung Hawa, ibu kita. Kalau dibandingkan dengan agama Kristian, mereka menyalahkan Siti Hawa dalam perkara memakan pohon larangan itu. Sampaikan mereka memberi nama Eve kepada Hawa untuk merujuk kepada ‘evil’ – kejahatan. Bermakna, mereka mengatakan bahawa Hawa adalah seorang yang jahat. Begitulah hinanya mereka meletakkan kedudukan Siti Hawa dalam agama mereka.

—————————————————————————

Ayat 122:

20:122
Transliteration

ṯumma ǧtabāhu rabbuhū fa-tāba ʿalayhi wa-hadā

Sahih International

Then his Lord chose him and turned to him in forgiveness and guided [him].

Malay

Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.

ثُمَّ اجْتَبَاهُ رَبُّهُ

Kemudian Tuhannya memilihnya,

Apabila perkataan ثُمَّ digunakan, ianya bermakna Allah memilih Nabi Adam setelah sekian lama. Bukanlah Allah terus memilihnya.

Perkataan اجْتَبَ ijtiba digunakan apabila kita memilih seseorang kerana kita melihat kita melihat sesuatu yang baik dalam diri seseorang itu.

Allah memilih Nabi Adam selepas Nabi Adam mendapat kalimah pengampunan dari Allah. Allah telah memilihnya untuk menerima kalimah itu. Allah telah mengajar Nabi Adam bagaimana memohon pengampunan dariNya dan dengan itu, Dia juga telah mengajar kita bagaimana cara memohon ampun. Kisah ini terdapat dalam Surah Baqarah:37 dan A’raf:23. Dalam doa itu, Nabi Adam mengaku tentang kesalahan yang telah dilakukan – Allah suka kalau kita mengaku kita berdosa dan telah berbuat salah. Dalam permulaan doa itu, ada perkataan ‘Rabbana’ – Wahai Tuhan kami. Apabila sesuatu doa itu dimulai dengan kata ‘rabbana’, bermaksud kita mengaku segala nikmat Allah yang telah diberikan kepada kita selama ini. Terlalu banyak nikmat yang telah diberikan kepada kita, sampaikan tidak terkira kalau kita nak kira.

Apabila Allah kata Dia telah ‘memilihnya’, itu bermaksud Nabi Adam telah diterima sebagai Nabi. Bermakna, sebelum itu Nabi Adam bukan lagi seorang Nabi.

فَتَابَ عَلَيْهِ

lalu Allah menerima taubatnya; Allah telah menerima taubat dari Nabi Adam selepas baginda diajar doa untuk mohon ampun seperti yang ada dalam ayat A’raf:23. Itu setelah beberapa tahun doa keampunannya tidak diterima. Apabila Nabi Adam dan Hawa turun ke dunia, memang mereka telah bertaubat tanpa henti, tapi doa pengampunan mereka tidak diterima lagi kerana tidak seperti yang Allah hendak. Kenapa Allah hendak begitu? Kerana Dia lah Allah. Kenalah ikut apa yang Allah hendak. Maka, doa mereka tidak diterima sehinggalah Allah sendiri mengajar baginda cara doa taubat. Maka, oleh itu, kalau kita hendak bertaubat, hendaklah dengan cara yang betul. Selalunya orang yang kena bala itu adalah kerana mereka telah buat dosa, maka hendaklah dia menggunakan doa itu untuk memohon ampun kepada Allah dengan cara itu. Iaitu mengaku dosa yang telah dilakukan. Kena menyesal dengan perbuatan dosa yang telah dilakukan.

وَهَدَىٰ

serta diberi petunjuk.

Maksud ‘petunjuk’ disini adalah, Allah mengajar Nabi Adam cara menjalani kehidupan bersyariat. Allah tidak membiarkan makhlukNya hidup tanpa panduan hidup.

—————————————————————————

Ayat 123: ini yang terjadi sebelum ayat sebelum ini. Allah sebut dahulu bagaimana Dia telah memberi pengampunan. Sekarang Allah patah balik kepada kejadian penurunan Nabi Adam dan Hawa ke dunia. Quran tidak semestinya menceritakan dalam bentuk susunan kejadian sesuatu peristiwa itu.

20:123
Transliteration

qāla hbiṭā minhā jamīʿan baʿḍukum li-baʿḍin ʿaduwwun fa-ʾimmā yaʾtiyannakum minnī hudan fa-mani ttabaʿa hudāya fa-lā yaḍillu wa-lā yashqā

Sahih International

[ Allah ] said, “Descend from Paradise – all, [your descendants] being enemies to one another. And if there should come to you guidance from Me – then whoever follows My guidance will neither go astray [in the world] nor suffer [in the Hereafter].

Malay

Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا

Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari Syurga itu, bersama-sama,

Allah mengarahkan dua orang untuk keluar dari syurga. Tapi siapakah yang dimaksudkan? Ada dua kemungkinan kepada siapakah kata-kata ini ditujukan:

  1. Kepada Nabi Adam dan Hawa, atau
  2. Kepada Nabi Adam dan Iblis.

Dalam surah-surah lain, seperti Baqarah:38, ada disebutkan “turunlah kamu semua”. Tapi kenapa dikatakan kamu semua? Disebut ‘semua’ itu kerana termasuk semua keturunan Nabi Adam.

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain; Keturunan manusia akan bermusuh antara satu sama lain. Sebagai contoh, yang tidak mengikut tauhid akan memusuhi mereka yang mengikut tauhid. Bukan itu sahaja, manusia akan bermusuh dalam usaha nak makan, minuman, pakaian dan tempat bertebuh – empat perkara yang disebut sebelum ini – malah lebih lagi. Manusia bermusuh dari permulaan masa sehinggalah sekarang dan sehingga ke akhirat.

Kalau dimaksudkan dalam dua orang itu adalah Nabi Adam dan iblis, memang kita dah bermusuh dan akan bermusuh dengan mereka. Iblis memusuhi anak-anak keturunan Adam dan kita memusuhi syaitan kerana cuba menyesatkan kita.

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى

kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu; apabila terjadi perbalahan, ada kata ini betul, ada kata itu yang betul. Lalu manakah penentunya? Tentunya penentuan itu menggunakan petunjuk yang diberikan Allah melalui RasulNya. Inilah jalan penyelesaian untuk semua masalah. Petunjuk itu dalam bentuk Quran dan Sunnah Nabi.

Yang membawa hidayah itu adalah para Nabi dan Rasul. Dan apabila tiada lagi Nabi diturunkan seperti zaman sekarang, petunjuk itu dibawa oleh para pendakwah. Yang sampaikan mungkin manusia, tapi ianya dari Allah.

Dari ayat yang digunakan, penekanan petunjuk itu adalah dari Allah, bukan dari yang lain. Allah sebut dariNya kerana pentingnya memastikan hidayah itu dari Allah. Inilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam sekarang. Mereka tidak meneliti dari manakah datangnya petunjuk itu. Mereka menerima sahaja apakah yang disampaikan kepada mereka tanpa memastikan samada ianya dari Quran atau dari hadis yang sahih. Kadang-kadang hujah yang diberikan adalah hujah akal sahaja, tapi kerana ianya sedap diterima akal, maka ramai yang menerimanya. Padahal, agama itu bersumberkan dalil yang sah, bukan hujah akal. Kalau dibenarkan hujah akal sahaja diterima, maka akan rosaklah agama.

Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa untuk melawan syaitan adalah dengan menggunakan Quran dan Sunnah.

فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ

maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu; Apabila perkataan اتَّبَعَ digunakan, ia bermakna kita kena ikut dengan rapat.

فَلَا يَضِلُّ

nescaya ia tidak akan sesat; Oleh itu, kalau tidak  mahu sesat, kenalah mengikut petunjuk Quran dan Sunnah. Ini sahaja jalan yang selamat.

وَلَا يَشْقَىٰ

dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.

—————————————————————————

Ayat 124:

20:124
Transliteration

wa-man ʾaʿraḍa ʿan dhikrī fa-ʾinna lahū maʿīshatan ḍankan wa-naḥshuruhū yawma l-qiyāmati ʾaʿmā

Sahih International

And whoever turns away from My remembrance – indeed, he will have a depressed life, and We will gather him on the Day of Resurrection blind.”

Malay

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu,

Petunjuk akan datang tapi kita buat bagaimana? Adakah kita mengikutinya? Itulah persoalan yang kita kena tanya kepada diri kita dan orang-orang lain. Petunjuk itu dalam bentuk Quran dan Sunnah. Bukan Quran sahaja. Yang sedihnya, banyak tak terima petunjuk dari Quran dan Sunnah. Mereka masih lagi mengambil ajaran yang datang bukan dari dua sumber itu. Mereka pakai kitab-kitab karangan manusia dan juga ajaran-ajaran dari guru dan ustaz mereka yang bukan diambil dari sumber yang sahih. Itulah yang dimaksudkan sebagai berpaling dari peringatan Allah.

فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا

maka sesungguhnya layak baginya kehidupan yang sempit,

مَعِيشَةً digunakan dan tidak perkataan ‘hayat’ kerana hayat adalah general – samada manusia, binatang atau tumbuhan. مَعِيشَةً hanya digunakan untuk makhluk yang hidup – manusia dan jin. Yang memerlukan makan minum dan sebagainya, macam yang disebut dalam ayat 118.

ضَنكًا bermaksud ‘sempit’. Ada yang menafsirkannya sebagai azab kubur. Iaitu keadaan dalam kubur itu akan jadi sempit. Ada juga yang menafsirkannya sebagai azab di neraka.

Atau boleh juga bermaksud kehidupan dunia yang sempit. Sentiasa sahaja dalam kerisauan. Ada sahaja yang tak kena dengan kehidupan mereka, walaupun mereka kaya contohnya. Kita kena ubah cara kita melihat kehidupan di dunia. Selalunya kita melihat kesenangan itu dalam bentuk kelebihan harta benda sahaja. Kita ingat, apabila mereka kaya, mereka berkuasa, kita sangka mereka senang. Dan kita tengok pula, selalunya orang-orang alim, yang mengajar agama, yang berdakwah, mereka pula hidup dalam kesusahan. Kita tidak tahu bahawa yang kaya sebenarnya tidak tenang dan yang kita lihat susah itu pula yang tenang sebenarnya. Mereka tenang kerana mereka sentiasa ingat kepada Allah.

Kekayaan di dunia ini tidak bernilai apa apa kalau kita meninggalkan peringatan Allah. Ianya hanya untuk dunia sahaja. Kita mati sahaja, harta itu sudah jadi milik orang lain. Perkataan-perkataan yang melibatkan harta dalam bahasa Arab menunjukkan harta itu tidak kekal. Sebagai contoh, perkataan emas dalam bahasa Arab adalah zahb – iaitu ada mengena dengan makna ‘pergi’. Bermakna, emas yang kita sayang itu akan pergi jua akhirnya dari kita.

وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat

أَعْمَىٰ

dalam keadaan buta; kenapa dia jadi buta? Akan disebutkan dalam ayat seterusnya. Oleh kerana dia buta Quran semasa di dunia, maka dia akan buta di akhirat kelak. Semasa perbicaraan di Mahsyar nanti, akan dicelikkan sekejap untuk tengok azab yang akan diberikan kepada mereka.

Ikrimah mengatakan: dibutakan matanya dari segala sesuatu kecuali neraka jahannam.

—————————————————————————

Ayat 125:

20:125
Transliteration

qāla rabbi li-ma ḥashartanī ʾaʿmā wa-qad kuntu baṣīran

Sahih International

He will say, “My Lord, why have you raised me blind while I was [once] seeing?”

Malay

Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”

قَالَ رَبِّ

Ia berkata: “Wahai Tuhanku,

لِمَ حَشَرْتَنِي أَعْمَىٰ

mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta,

وَقَدْ كُنتُ بَصِيرًا

padahal aku dahulu (semasa di dunia) boleh melihat?”; Dia tidak puas hati. Dia kata semasa di dunia, dia boleh melihat, tapi kenapa kali ini dia tidak boleh melihat?

Situasi ini akan disambung dalam ayat seterusnya:

—————————————————————————

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 020: Taha. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s