Tafsir Surah Taha Ayat 88 – 98

Ini adalah sambungan dari ayat-ayat sebelumnya:

Ayat 88:

20:88
Sahih International

And he extracted for them [the statue of] a calf which had a lowing sound, and they said, “This is your god and the god of Moses, but he forgot.”

Malay

“Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”

فَأَخْرَجَ لَهُمْ عِجْلًا

Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu;

Quran kata dia hanya ‘mengeluarkan’ sahaja. Allah tak kata dia ‘buat’. Sebab bukan dia buat pun. Dia hanya ambil dari leburan barang-barang kemas itu dan dia telah membentuk patung anak lembu.

جَسَدًا

yang bertubuh;

Patung itu bukan jadi anak lembu betul pun, tapi dalam bentuk anak lembu sahaja. Apabila digunakan perkataan ‘jasd’, tidaklah bermaksud ianya hidup. Kerana tubuh yang kosong di dalamnya pun dipanggil jasad juga.

Dalam riwayat, ada dikatakan lembu itu dalam keadaan duduk.

لَّهُ خُوَارٌ

ianya bersuara;

Ada yang mengatakan bukan suara pun, tapi Samiri buat patung itu ada lubang, jadi apabila angin bertiup melaluinya, ada bunyi yang keluar. Ini adalah kerana Samiri adalah seorang yang pandai mengukir. Manusia yang bodoh dan sudah ada keinginan untuk syirik dalam diri mereka, telah melihat ini sebagai satu benda yang menakjubkan, sebagai satu perkara keramat dan sebagainya, maka mereka akan menyembah.

Walaupun begitu, ada juga yang mengatakan bahawa keluar juga suara dari patung itu yang berbunyi seperti lembu. Tapi tentunya itu adalah kerana sihir, bukanlah patung itu hidup. Allahu a’lam.

Orang yang ada keinginan syirik dalam diri mereka akan mudah terpedaya dengan perkara-perkara ajaib seperti ini. Kalau ada bunyi sikit pun mereka dah terpedaya dan mula percaya. Sebab itu banyak yang melakukan syirik apabila dipersembahkan kepada mereka dengan perkara-perkara sebegini. Janganlah kita jadi macam orang Hindu. Orang Hindu, kalau mereka lihat ada benda yang pelik, mereka akan sembah. Seperti contoh, kalau ada pokok yang besar lain macam, mereka akan sembah. Adakah kita macam itu juga? Adakah kita nak jadi orang Hindu juga?

فَقَالُوا هَٰذَا إِلَٰهُكُمْ وَإِلَٰهُ مُوسَىٰ

lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa;

Yang berkata itu adalah orang-orang yang memuja patung anak lembu itu. Yang telah terpedaya dengan Samiri.

فَنَسِيَ

tetapi (Musa) telah lupa!;

Mereka kata Musa lupa tuhannya sendiri sampai panjat bukit nak jumpa Tuhan, padahal tuhannya adalah patung itu. Begitulah sesatnya mereka sampai sanggup mereka kata begitu kepada Nabi Musa yang telah menyelamatkan mereka.

Atau, satu lagi pemahaman adalah: orang yang ‘lupa’ dalam ayat ini adalah Samiri sendiri dan mereka-mereka yang mengikutinya. Kerana tidak jelas mengatakan yang lupa adalah Nabi Musa. Jadi ia boleh juga bermaksud orang lain. Ada mufassir yang mengatakan ‘yang lupa’ dalam ayat ini adalah Samiri. Dia telah lupa tentang ajaran Nabi Musa. Sebab itu dia sanggup buat perkara syirik itu.

Yang masih memuja lembu pada zaman sekarang adalah agama Hindu. Jadi, memuja lembu itu adalah ajaran sesat dari dulu lagi.

Lihatlah bagaimana mudahnya kaum Bani Israil jadi sesat. Nak bina mereka bukan mudah, mengambil masa yang lama, tapi nak jadi syirik sekejap sahaja. Begitulah manusia, nak belajar jadi orang Islam mengambil masa, tapi kalau nak sesat, sekejap sahaja. Kalau dibiarkan tanpa diberikan panduan, ajakan dakwah, mereka akan senang sesat. Kerana ada dalam hati mereka keinginan untuk sesat. Mereka cenderung kepada kesesatan. Mereka senang terpengaruh dengan anasir tidak baik.

Sebagai contoh, katakanlah dalam satu kelas, pelajar-pelajarnya baik-baik belaka. Tapi kalau dimasukkan seorang sahaja pelajar yang mungkin datang dari pengajaran tidak baik, yang liar, kita boleh lihat bagaimana tidak lama selepas itu, satu kelas itu akan berubah perangainya.

Kenapa ramai manusia yang suka memuja selain dari Allah? Termasuk orang Islam pun? Kita pun memang hairan kenapa mereka sampai sanggup menyembah patung-patung yang mereka jadikan sendiri. Ulama membincangkan perkara ini. Jawapan yang mereka sebut adalah: manusia suka yang senang. Kalau dengan Allah, kena buat macam-macam – kena solat, puasa, tolong orang lain dan sebagainya. Jadi mereka tak suka. Tapi kalau memuja selain Allah, senang. Tak suruh buat yang yang susah, cuma kena sembah sahaja. Atau beri duit, atau beri makan sahaja.
———————————————————————————-

Ayat 89:

20:89
Sahih International

Did they not see that it could not return to them any speech and that it did not possess for them any harm or benefit?

Malay

Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi manfaat kepada mereka?

أَفَلَا يَرَوْنَ

Apakah mereka tidak nampak;

Apakah mereka tidak faham? Apakah mereka tidak dapat memikirkan?

Lihatlah penggunaan nahu bahasa yang digunakan dalam ayat ini. Walaupun ianya menceritakan tentang kejadian kaum Bani Israil di zaman Nabi Musa, tapi bahasa yang digunakan adalah dalam present tense. Kerana isyarat bahawa kaum Musyrikin Mekah pun sedang melakukannya juga. Dan bukan waktu itu sahaja, waktu zaman kita sekarang pun masih lagi dilakukan oleh kaum-kaum yang sesat.

أَلَّا يَرْجِعُ إِلَيْهِمْ قَوْلًا

bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan mereka;

Kalau mereka cakap dengan lembu itu, lembu itu tidak boleh balas pun percakapan mereka. Patung itu bukan boleh bercakap pun, cuma ada bunyi sahaja. Mereka akan bertanya macam-macam kepada patung itu: contohnya, mereka tanya boleh tak mereka buat begini, begitu? Patung itu keluar bunyi, maka mereka terima itu sebagai ya, dan mereka akan lakukan apa yang mereka hendak lakukan. Padahal, itu adalah satu bunyi sahaja, yang berkemungkinan dibawa angin sahaja. Tapi kerana mereka amat bodoh sekali, sampai mereka tidak dapat berfikir lagi, mereka telah menerimanya sebagai satu kebenaran.

Ia pun tidak faham apa yang mereka katakan kerana patung itu tidak bernyawa. Itu pun mereka dah puja. Kalau manusia yang mahu sesat, senang sangat untuk mereka jadi sesat. Manusia, kalau kita biarkan mereka tanpa dakwah, mereka akan pergi kepada kesesatan. Senang sangat mereka hendak jadi sesat.

Sebagai contoh, lihatlah berapa ramai yang pergi kepada Perigi Hang Tuah di Melaka kerana mereka mengharapkan supaya dengan mereka mandi air dari perigi itu, hajat mereka akan tercapai – antaranya hajat untuk mendapatkan anak. Itu adalah amalan yang syirik. Sampai sekarang, masih banyak lagi yang pergi ke tempat itu. Itu tidak dikira tempat-tempat lain yang menggunakan kaedah yang sama. Siapakah yang memberi peringatan kepada mereka bahawa apa yang mereka buat itu adalah syirik? Di mana ustaz dan mufti negeri itu dan tempat-tempat lain?

وَلَا يَمْلِكُ لَهُمْ ضَرًّا

dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya (mudharat) kepada mereka;

Kalau tak sembah anak patung itu, anak patung itu tidak boleh beri mudharat kepada mereka pun. Sama juga dengan patung Hindu, kalau tak puja pun, tidak jadi apa-apa pun kepada puak Hindu itu. Kalau dengan manusia, bolehlah juga kita memikirkan bagaimana ia boleh menyakitkan kita kalau kita tidak buat apa yang dia suruh. Tapi ini adalah patung yang tidak bernyawa.

Orang-orang yang memuja benda-benda yang syirik, ada rasa takut dalam hati mereka yang kalau mereka tak terus puja berhala itu, berhala itu akan marah dan mereka akan ditimpa kecelakaan. Itu hanyalah perasaan mereka sahaja.

وَلَا نَفْعًا

atau memberi manfaat kepada mereka?;

Kalau mereka puja pun, patung itu bukan boleh beri apa-apa pun kebaikan kepada mereka.

Allah sebut ‘mudharat’ dahulu sebelum disebut ‘manfaat’. Lain dengan cara yang biasa – selalunya dalam ayat sebegini, Allah akan sebut ‘manfaat’ dahulu. Ada makna dalam cara susunan ayat-ayat dalam Quran. Apakah pemahaman yang kita boleh ambil? Sebagai manusia kita akan takut dengan sesuatu dan kadang-kadang itu akan menjadikan kita ikut arahan dari seseorang yang kita takuti itu. Contohnya kita takut seseorang yang boleh memudaratkan kita maka kita akan ikut cakapnya walaupun kita tak mahu. Ketakutan lebih kuat sebagai pendorong daripada mahukan sesuatu. Sebagai contoh, kita tahu kalau kita bekerja keras, kita akan berjaya. Tapi ramai manusia yang tidak bekerja keras. Tapi kalau mereka tidak bekerja, mereka akan mati, maka itu akan mendorong mereka. Itu adalah lumrah manusia.

Musa nak kata dalam ayat ini, bahawa benda itu tidak memudharatkan mereka pun. Kalau mereka takut dengan anak patung itu, boleh juga dia nak faham kenapa mereka buat syirik itu. Walaupun syirik tetap salah, tapi sekurang-kurangnya baginda faham. Tapi tidak ada pun ketakutan dengan anak patung itu. Sebab patung itu tidak boleh buat apa-apa pun. Sebab itulah perkataan ‘mudharat’ diletakkan sebelum perkataan ‘manfaat’. Sebagai penekanan bahawa mudharat pun tidak ada kalau mereka tidak menyembah anak patung itu.

———————————————————–

Ayat 90: Semasa Nabi Musa tiada, Nabi Harunlah yang bertanggungjawab memimpin Bani Israil. Dalam Injil, ada mengatakan yang Nabi Harun bersalah dalam hal kaumnya menyembah patung itu. Maka Quran membersihkan nama baginda dalam ayat ini. Iaitu hendak mengatakan bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

Nabi Musa sekarang tengah marah. Dia berjumpa dan marah Nabi Harun. Allah sedang beritahu kita bahawa Nabi Harun tidak bersalah.

20:90
Sahih International

And Aaron had already told them before [the return of Moses], “O my people, you are only being tested by it, and indeed, your Lord is the Most Merciful, so follow me and obey my order.”

Malay

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu: “Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu, ikutlah daku dan taatlah akan perintahku”.

وَلَقَدْ قَالَ لَهُمْ هَارُونُ

Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka:

Bukanlah Nabi Harun senyap tengok sahaja tanpa buat apa-apa. Nabi Harun telah menasihati mereka.

مِن قَبْلُ

sebelum itu:

Ayat ini menolak pendapat yang kata Harun bersalah dalam hal ini. Sebenarnya dari mula lagi Nabi Harun dah cuba halang mereka. Dalam ayat ini, Allah telah melepaskan Nabi Harun dari kesalahan syirik yang dilakukan oleh kaumnya. Allah hendak mengatakan bahawa Nabi Harun tidak bersalah. Ayat ini keluar sebelum ayat yang menceritakan kemarahan Nabi Musa kepada Nabi Harun. Allah melepaskan Nabi Harun dulu supaya apabila kita baca kisah Nabi Musa memarahi Nabi Harun, kita sudah tahu bahawa Nabi Harun tidak bersalah. Supaya tidak timbul dalam hati kita bahawa Nabi Harun bersalah langsung. Kalau tak, kita mungkin ingat Nabi Harun mungkin bersalah. Begitulah sayangnya Allah kepada Nabi Harun. Sebelum ada orang yang meraguinya lagi, Allah telah lepaskan baginda.

يَا قَوْمِ إِنَّمَا فُتِنتُم بِهِ

“Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya dicuba dengan patung itu;

Nabi Harun memberitahu mereka yang mereka telah diduga keimanan mereka dengan anak patung itu.

وَإِنَّ رَبَّكُمُ الرَّحْمَٰنُ

dan sesungguhnya Tuhan kamu ialah Tuhan ar-Rahman;

Baginda mengingatkan mereka tentang sifat belas kasihan dan rahmat Allah. Ada kelembutan dalam kata-kata Harun ini. Walaupun mereka telah buat syirik. Tapi baginda cakap dengan baik. Dengan harapan mereka mahu mendengar.

Kenapa Nabi Harun menggunakan nama Allah ar-Rahman, dan tidak menggunakan perkataan ‘Allah’? Kerana mengingatkan mereka bahawa Tuhan bersifat Maha Pemurah. Maha Pengasih. Ini adalah kerana ada pemikiran dalam hati masyarakat waktu itu, Allah itu bersifat bengis. Sikit-sikit nak hukum, sikit-sikit nak hukum. Tapi tuhan yang mereka buat itu tidak garang, tidak minta buat itu ini. Bagi gula-gula, bagi limau dah cukup nak puaskan hati tuhan mereka itu.

Ini mengajar kita, dalam kita mengajak orang yang sesat, hendaklah kita mengingatkan kembali kepada mereka betapa pemurahnya Allah kepada makhlukNya. Lihatlah betapa banyak yang Allah telah berikan kepada kita semua. Jangan kita lupa segala pemberian Allah. Kita ingatkan begitu kepada manusia. Dan jangan hanya ingatkan mereka kepada hukuman-hukuman Allah sahaja. Ia memang benar, Allah akan hukum kita. Tapi janganlah hanya menakutkan manusia sahaja. Kenalah kita timbangkan dengan sifat Allah yang lain.

Selepas Nabi Harun mengingatkan mereka kepada Allah, barulah dia ajak mereka untuk ikut. Ini menunjukkan kepentingan ilmu tauhid kepada manusia. Mulakan ajar mereka dengan mengenal Allah dahulu.

فَاتَّبِعُونِي

oleh itu, ikutlah daku;

Ikut itu bermaksud ikut sunnah Nabi. Ikut dengan rapat. Maka sesiapa yang reka amalan bidaah yang bukan dari ajaran Nabi, itu adalah kufur kerana mereka-reka agama. Dan sesiapa yang mengamalkan amalan bidaah, amalan itu tidak diterima.

Oleh itu, kita boleh lihat bahawa ada dua peringkat dalam: Pertama, kena ikut. Itu yang paling mudah. Ikut langkah demi langkah. Perkataan اتَّبِعُ itu bermaksud kita letak kaki atas tapak orang sebelum itu. Katakanlah kita berjalan di pantai. Orang di hadapan kita meninggalkan kesan tapak kakinya. Kita ikut dengan letak kaki kita atas bekas tapak kaki orang itu. Itulah maksud اتَّبِعُ.

Persoalan yang kita kena tanya diri kita adalah: Adakah kita ikut cara hidup Nabi? Macam sahabat ikut Nabi setiap langkah? Para sahabat amat teliti dalam melihat apakah amalan dan perbuatan Nabi dan mereka akan ikut sunnah yang ditinggalkan baginda.

وَأَطِيعُوا أَمْرِي

dan taatlah akan perintahku”;

Apabila dikatakan ikut perintah, itu lebih mendalam lagi maknanya. Kadang-kadang kalau kita ikut sahaja, itu bermakna kita hanya dapat ikut apa yang dia buat. Tapi kalau kita ikut perintah, itu termasuk kita meninggalkan apakah yang dilarangnya.

——————————————————–

Ayat 91: Mereka berdegil tidak mahu ikut ajakan Nabi Harun.

20:91
Sahih International

They said, “We will never cease being devoted to the calf until Moses returns to us.”

Malay

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami”.

قَالُوا لَن نَّبْرَحَ

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan memberhentikan penyembahan patung ini,

برح bermaksud ‘berhenti’.

عَلَيْهِ عَاكِفِينَ

kami akan tetap menyembahnya;

Maksudnya mereka akan terus iktikaf berdekatan patung itu. Duduk berdekatannya dan beribadat kepadanya. Mereka tidak mahu bergerak dari tempat penyembahan mereka itu. Iktikaf itu adalah perbuatan beribadat yang melupakan hal dunia. Seperti apabila kita beriktikaf, kita hanya ingat untuk ibadat sahaja dan melupakan seketika hal dunia. Dalam maksud ayat ini, mereka betul-betul beribadat kepada patung itu.

حَتَّىٰ يَرْجِعَ إِلَيْنَا مُوسَىٰ

hingga Nabi Musa kembali kepada kami”.

Bani Israil terpecah kepada tiga golongan waktu itu:

1. Menerima Harun sebagai Nabi juga. Dan dia yang bertanggungjawab sekarang. Maka mereka mengikut baginda.

2. Ada yang melakukan syirik tapi mereka hanya menerima Nabi Musa sahaja sebagai Rasul mereka. Kalau Musa balik, mereka akan berhenti dari menyembah anak patung itu.

3. Secara keseluruhannya sudah terima syirik sebagai cara hidup.

Ayat ini memberi isyarat kepada kita jangan taksub kepada seseorang individu. Itu adalah perbuatan yang mengundang kesalahan. Kadang-kadang apabila kita pegang sesuatu ulama itu, kita hanya terima kata-katanya sahaja. Begitulah yang terjadi kepada Bani Israil. Mereka hanya nak dengar dari Nabi Musa sahaja. Padahal, Nabi Harun pun Nabi mereka juga. Maka, kita jangan jadi begitu. Kita bukan memandang kepada individu, tapi kita mencari mana yang benar. Kalau ada ulama yang berikan hujah yang lebih kuat dan dengan nas yang sahih, kita terima walaupun bukan datangnya dari ulama kita, bukan dari ustaz yang kita dah biasa. Kita kena ingat bahawa kalau manusia, tentunya terbuka kepada melakukan kesalahan. Zaman manusia tidak buat salah sudah berlalu – iaitu zaman Nabi-nabi. Hanya para Nabi sahaja yang maksum. Jangan kita jadi macam syiah yang mengatakan Imam-Imam mereka maksum.

Ini penting sekali, kerana sekarang ini kita lihat umat Islam ada guru yang mereka pegang tak lepas. Kalau guru itu kata, semua betul. Kalau orang lain, semua salah. Itu dah taksub dan bodoh sangat dah tu. Walaupun guru mereka tidak beri hujah dengan menggunakan nas yang sahih, mereka masih tak mahu terima. Semoga kita tidak begitu.

Maka, dalam ayat ini menunjukkan mereka telah melanggar perintah Nabi Harun dan malah mereka cuba juga untuk membunuh Nabi Harun. Begitulah teruknya mereka.

—————————————————————————-

Ayat 92: Nabi Musa sedang marah kepada Nabi Harun. Kerana kaumnya dah buat syirik. Itu kesalahan yang besar. Kerana telah jelas syirik yang mereka lakukan itu.

20:92
Sahih International

[Moses] said, “O Aaron, what prevented you, when you saw them going astray,

Malay

(Sekembalinya), Nabi Musa berkata: “Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,

قَالَ

Nabi Musa berkata:

يَا هَارُونُ

“Wahai Harun,

مَا مَنَعَكَ

apakah yang menghalangmu;

Menghalang dari buat apa? Kita akan lihat apakah yang dimaksudkan oleh Nabi Musa dalam ayat yang seterusnya.

إِذْ رَأَيْتَهُمْ ضَلُّوا

ketika engkau melihat mereka sesat,

———————————————————————————-

Ayat 93:

20:93
Sahih International

From following me? Then have you disobeyed my order?”

Malay

“Daripada menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”

أَلَّا تَتَّبِعَنِ

“Daripada menurutku?;

Turut apakah yang dimaksudkan? Iaitu menurut apa yang dia telah ajar kepada Nabi Harun. Sebelum itu baginda dah ajar Nabi Harun apakah yang kena buat.

Atau, ada makna kedua: kalau mereka tak mahu dengar kata-katamu, kenapa tak turut datang kepadaku? Kenapa tak datang cari aku di Bukit Thursina?

Tapi bilakah masa yang sepatutnya Nabi Harun meninggalkan mereka? Seperti yang kita tahu, seorang Nabi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyedarkan kaumnya. Dia tentunya akan terus memujuk mereka untuk meninggalkan perbuatan syirik yang mereka buat itu.

Tapi satu pendapat mengatakan, kata-kata Nabi Musa ini menunjukkan bahawa Nabi Harun sepatutnya meninggalkan mereka yang menyembah anak patung itu. Kerana dengan dia ada di situ, memberi hujah kepada orang yang salah. Mereka boleh kata: “Nabi Harun pun ada di sini, takkan salah?”  Walaupun Nabi Harun tidak pernah kata boleh sembah anak patung itu, tapi dengan dia ada di situ sudah cukup untuk dijadikan hujah oleh orang yang jahil. Begitulah juga kita yang ada ilmu. Jangan bercampur dengan orang yang buat maksiat. Sebab kalau kita dipandang sebagai orang agama dan kita ada bersama mereka, mereka akan sangka bahawa perbuatan mereka itu tidak salah. Maka, kalau ada yang buat maksiat atau buat dosa, kita kena tinggalkan mereka.

 أَفَعَصَيْتَ أَمْرِي

Adakah engkau ingkar akan suruhanku?”

Musa dah beremosi. Sebab baginda juga manusia. Dalam riwayat hadis juga ada mengatakan bahawa baginda seorang yang panas baran. Dalam surah Taha ini pun, kita telah belajar bagaimana baginda dalam kemarahan baginda, telah memukul seorang bangsa Qibti dan telah menyebabkan kematiannya.

————————————————-

Ayat 94: Ayat ini menunjukkan sifat kemanusiaan Nabi Musa. Dia juga boleh jatuh marah. Tapi tidak menjatuhkan status Nabi. Quran tak cakap apa yang dibuat oleh Nabi Musa. Tapi dari kata Nabi Harun ini, kita dapat tahu apa baginda buat.

20:94
Sahih International

[Aaron] said, “O son of my mother, do not seize [me] by my beard or by my head. Indeed, I feared that you would say, ‘You caused division among the Children of Israel, and you did not observe [or await] my word.’ ”

Malay

Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ‘ ”

قَالَ يَا ابْنَ أُمَّ

Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku!

Kenapa tak sebut terus nama Nabi Musa? Sebab dia nak berlembut. Nabi Harun amat menghormati Nabi Musa. Kalau kita panggil dengan nama manja, atau menyebutkan pertalian persaudaraan mereka, tentu lebih mesra. Kalau sebut nama, kadang-kadang boleh menyebabkan kemarahan juga. Katakanlah seseorang marah kita, dan kita jawab: “Ya <namanya>, apa dia?”, kadang-kadang itu boleh dianggap sebagai menjawab balik. Oleh itu Nabi Harun tidak sebut nama Nabi Musa pun. Sebab dia tak mahu konfrontasi. Dia hendak mengamankan suasana.

Dan untuk mengingatkan tentang ibu mereka. Pertalian mereka yang kuat adalah ibu mereka. Ibu mereka seorang yang penyayang dan hebat kerana Quran pun sebut begitu. Kita pun tahu bagaimana dia telah menyelamatkan anaknya, sanggup menghanyutkan Nabi Musa yang masih bayi itu ke sungai. Dan kita pun boleh agak bagaimana dia pun telah melakukan perkara yang sama dengan Nabi Harun, kerana Nabi Harun pun selamat juga. Dengan menyebut ibu mereka, ianya seperti Nabi Harun hendak mengatakan: “Apa mak kata kalau dia nampak kita macam ini?”

لَا تَأْخُذْ بِلِحْيَتِي

Janganlah engkau meragut janggutku

Maknanya, Nabi Musa memang tengah marah sangat sampai dia dah ragut janggut Nabi Harun. Boleh kita anggap di sini bahawa Nabi Musa ini seorang yang panas baran rupanya. Nabi Harun dengan lembutnya suruh Nabi Musa bersabar.

وَلَا بِرَأْسِي

dan janganlah menarik (rambut) kepalaku;

Maknanya, semasa Nabi Musa tanya tu, dia pegang janggut dan rambut Nabi Harun. Kadang-kadang, dengan adik beradik kita boleh lebih sikit. Janganlah kita beranggap teruk sangat Nabi Musa sampai buat begitu. Kita kena ingat bahawa mereka adalah adik beradik. Kadang-kadang kita layan adik beradik lain sikit. Kita boleh buat lebih lagi dari biasa. Kadang bahasa yang kita gunakan dengan mereka pun lain. Kadang-kadang lebih keras dari orang lain. Kalau dengan orang lain, walaupun marah, kita boleh berbahasa lagi.

إِنِّي خَشِيتُ أَن تَقُولَ

Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `

Nabi Harun tak buat apa yang Nabi Musa suruh itu sebab dia takut nanti Nabi Musa salah anggap dengan dia.

فَرَّقْتَ بَيْنَ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri,

Dia takut Nabi Musa kata dia memecah belahkan kaum Bani Israil sepeninggalannya.

Nabi Harun beranggapan, kalau dia tinggalkan mereka untuk cari Nabi Musa dan beritahu baginda apa yang terjadi, mereka akan berkelahi sesama sendiri dan akan berpecah belah. Lagi teruk lagi dari apa yang terjadi waktu itu. Yang menyembah anak patung itu hanya 70 orang sahaja. Kalau dia pergi, lagi berpecah mereka. Kalau nak naik ke Bukit Thursina itu, bukan dekat. Maknanya, kena tinggalkan mereka dalam masa yang lama. Dia pun sudah tahu, kalau Nabi Musa pulang nanti, mereka akan ikut cakap Nabi Musa kerana mereka lebih menghormati Nabi Musa. Sekurang-kurangnya dia boleh mengawal keadaan jangan jadi lebih teruk. Oleh itu, apabila Nabi Musa pulang, tidaklah keadaan teruk sangat sampai tidak boleh diperbaiki lagi.

Atau, boleh jadi, maksud Nabi Harun, kalau dia cakap lebih kuat lagi dengan kaumnya itu, maka akan terjadi perkelahian yang teruk yang menyebabkan mereka berpecah belah lagi teruk.

وَلَمْ تَرْقُبْ قَوْلِي

dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ‘ “

Nabi Harun takut Nabi Musa akan kata yang Nabi Musa tak ikut pesan dia.

Ada isyarat dalam Quran bahawa apa yang Harun buat itu benar kerana Allah tidak betulkan kata-kata baginda. Dalam ayat lain, Nabi Musa ada berdoa semoga diampunkan dosa Nabi Harun. Untuk memahami kisah Nabi Musa itu, kena rujuk juga kepada ayat lain. Banyak surah menyebut kisah Nabi Musa. Dan memang banyak kisah Nabi Musa dalam Quran. Ada banyak kisah itu adalah kerana banyak persamaan antara umat Nabi Musa dan umat Nabi Muhammad – sama-sama degil.

Ayat ini menunjukkan kepentingan perpaduan. Jangan pecah belahkan masyarakat. Kita kena berusaha supaya masyarakat bersatu padu. Memanglah akan susah. Kerana akan ada sahaja yang tidak baik dan buat kesalahan. Tapi sekurang-kurangnya kita kawal mana yang boleh.

————————————————-

Ayat 95: Sekarang Musa bertanya dan marah kepada Samiri pula.

20:95
Sahih International

[Moses] said, “And what is your case, O Samiri?”

Malay

(Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: “Apa pula halmu, wahai Samiri?”

قَالَ فَمَا خَطْبُكَ يَا سَامِرِيُّ

Nabi Musa bertanya: “Apa pula halmu, wahai Samiri?”

Apa masalah kamu sampai kamu buat rancangan macam ini? Apa alasan kau buat perkara itu, Samiri? – Itulah lebih kurang makna pertanyaan Musa kepada Samiri.

Apabila perkataan خَطْبُ digunakan, ianya bermaksud sesuatu perkara yang tidak kena. Maknanya, Nabi Musa dah isyarat bahawa apa yang Samiri buat itu adalah salah.

—————————————————

Ayat 96: Tidak pasti apakah Samiri waktu ini telah menyesal atas perbuatannya atau dia masih lagi engkar dan hanya memberi alasan sahaja. Mufassir melihat kepada dua-dua kemungkinan.

20:96
Sahih International

He said, “I saw what they did not see, so I took a handful [of dust] from the track of the messenger and threw it, and thus did my soul entice me.”

Malay

Ia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.

قَالَ بَصُرْتُ بِمَا لَمْ يَبْصُرُوا بِهِ

Ia menjawab:” Aku melihat apa yang tidak dilihat oleh mereka,

– Samada dia maksudkan hanya dia sahaja yang dapat melihat Jibrail;

Atau dia bermaksud dia sahaja yang faham dengan apa yang dia nampak itu. Kerana ada orang yang nampak perkara yang sama tapi pemahaman berlainan.

فَقَبَضْتُ قَبْضَةً مِّنْ أَثَرِ الرَّسُولِ

lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu,

– Rasul yang dimaksudkan adalah Jibril. Apabila Jibril datang kepadanya, dia perasan bahawa ada perubahan kepada bekas tanah yang dipijak oleh Jibril. Jibril waktu itu datang menyerupai manusia.

  • Atau ada riwayat yang kata dia nampak Jibrail semasa Jibrail datang di Laut Merah semasa Firaun ditenggelamkan.

Maka, dia telah ambil tanah bekas tapak kaki Jibril itu dan dia simpan. Masyarakat kita pun ramai macam ini – apabila ada jumpa benda yang pelik sikit, mereka akan ambil dan simpan. Tak tahu lagi nak buat apa dengannya, tapi mereka simpan dahulu. Mereka ambil itu dengan nak gunakan untuk sesuatu maksud.

فَنَبَذْتُهَا

kemudian aku mencampakkannya;

Perkataan نَبَذْ bermaksud: ‘membuang sesuatu yang tidak bernilai’.

– Selepas dia menjadikan patung anak lembu dari emas itu, dia telah menaburkan tanah itu kepada patung itu. Mungkin kerana itulah yang menyebabkan patung boleh berbunyi.

Tentulah Allah yang membenarkan terjadinya perkara itu. Kerana nak sesat, maka Allah benarkan. Bukanlah bermaksud Allah redha dengan perbuatan itu. Kita jangan salah faham, dengan berkata bahawa kalau Allah beri ianya terjadi, bermaksud Allah redha. Tidak begitu.

Janganlah kita hairan dengan kejadian aneh yang dilakukan manusia. Begitulah juga kita lihat kejadian aneh yang dapat dibuat oleh agama-agama lain. Macam orang Hindu boleh berjalan atas api, boleh cucuk badan sana sini. Allah benarkan tapi tidaklah bermakna Allah redha. Begitu juga dengan orang Islam pun. Ada yang dinamakan ‘guru’ oleh pengikut mereka, boleh buat macam-macam. Boleh terbang, boleh hilang, boleh tahu apa yang kita buat di rumah dan sebagainya. Itu tidak bermaksud mereka dalam kebenaran. Macam kita lihat Samiri ini, dia boleh melakukan perkara yang ajaib. Tapi itu adalah sesat sama sekali.

Ada satu lagi penafsiran yang diberikan oleh ulama Tafsir. Yang dimaksudkan dengan genggaman itu adalah ‘segenggam dari ajaran Rasul’ iaitu Nabi Musa. Bermakna, Samiri menggenggam dan ‘membuang’ ajaran Nabi Musa.

وَكَذَٰلِكَ سَوَّلَتْ لِي نَفْسِي

dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.

Samiri kata nafsunya telah menjadikan perbuatannya itu nampak indah dan baik bagi dirinya.

Nampak dia jawap dengan jujur. Dia mengaku salah. Dia kata dia buat itu kerana ditipu oleh hawa nafsunya. Kerana ayat inilah, ada mufassir yang mengatakan bahawa dia telah insaf. Dia mengaku bahawa dia salah. Tapi ada yang tidak menerimanya. Dia mungkin hanya memberi helah sahaja. Kita pun tidak tahu apakah dalam hatinya.

——————————————————————————————-

Ayat 97:

20:97
Sahih International

[Moses] said, “Then go. And indeed, it is [decreed] for you in [this] life to say, ‘No contact.’ And indeed, you have an appointment [in the Hereafter] you will not fail to keep. And look at your ‘god’ to which you remained devoted. We will surely burn it and blow it into the sea with a blast.

Malay

Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ‘, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.

قَالَ فَاذْهَبْ

Nabi Musa berkata kepada Samiri: “Pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan);

Dia dihalau keluar dari puak Bani Israil. Akhirnya dia mati keseorangan.

فَإِنَّ لَكَ فِي الْحَيَاةِ أَن تَقُولَ

kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini:

لَا مِسَاسَ

` Jangan sentuh daku ‘,

– Hadis yang sampai kepada kita tak jelas tentang apakah yang dimaksudkan dalam ayat ini. Kalau kita merujuk kepada kisah-kisah Israiliyat, ada mengatakan dia kena sejenis penyakit. Seperti satu penyakit kulit yang menyebabkan dia tidak boleh disentuh. Kalau orang sentuh, dia akan lagi sakit. Maka, dia tidak mahu orang datang dekat kepadanya kerana dia takut disentuh.

Atau ada pendapat yang mengatakan dia alergi kepada manusia. Tidak boleh duduk lagi dalam kalangan manusia. Sebelum ini, dia mahu menjadi orang terkenal seperti Nabi Musa, tapi sekarang orang tak boleh datang dekat kepadanya.

Atau dikatakan dia pergi menyendiri di tempat yang jauh dari manusia. Yang pasti adalah, dia tidak berada dikalangan manusia lagi sebab dia telah menyesatkan mereka.

Ada juga disebut bagaimana Nabi Musa nak bunuh dia pada mulanya. Tapi dia telah diselamat dari dibunuh oleh Allah kerana dia adalah seorang yang pemurah. Ada kebaikan yang dia pernah lakukan. Oleh kerana itu, Allah membalas dengan Allah memberi hukuman yang kurang. Tapi tidaklah bermakna dia selamat. Kerana kesalahan yang dilakukannya itu adalah amat berat.

Ayat ini mengajar kita bahawa mereka yang menyembah selain dari Allah ada penyakit dalam diri mereka. Oleh itu, kita jangan campur dan bergaul dengan mereka.

وَإِنَّ لَكَ مَوْعِدًا

dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu;

لَّن تُخْلَفَهُ

yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya.

Iaitu dia akan masuk dalam neraka kekal selama-lamanya.

Atau bermaksud hukuman tidak boleh bersama manusia itu dia tidak boleh tukar sampai bila-bila.

وَانظُرْ إِلَىٰ إِلَٰهِكَ الَّذِي ظَلْتَ عَلَيْهِ عَاكِفًا

Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama tekun menyembahnya,

ظَلْتَ seharian buat sesuatu

عَاكِفًا berdiri

Maknanya, dia beribadat dengan bersungguh-sungguh kepada patung anak lembu itu.

Dalam surah A’raf, ada disebut bagaimana mereka meminta kepada Nabi Musa berhala untuk mereka memfokuskan perhatian mereka dalam ibadat. Itu adalah salah. Begitulah juga yang dilakukan oleh orang-orang yang menyembah berhala zaman sekarang seperti orang Hindu. Mereka menggunakan patung berhala mereka itu sebagai alat untuk memusatkan perhatian mereka.

لَّنُحَرِّقَنَّهُ

sesungguhnya kami akan membakarnya

Patung itu dibakar sampai hancur. Bagaimana boleh bakar emas pula? Kalau selalunya, emas hanya jadi cair sahaja, bukan boleh bakar macam bakar kertas. Ada riwayat mengatakan itu adalah mukjizat Nabi Musa. Dia boleh bakar emas itu sampai jadi hancur.

Ada yang kata patung itu dijadikan oleh Allah menjadi anak lembu yang hidup dan kemudian disembelih dan kemudian dibakar.

Atau ada yang mengatakan patung itu dilebur dan kemudian dicampur dengan bahan lain yang kotor, jadi ia tidak lagi dalam bentuk yang elok. Kemudian baru dipecahkan.

Allahu a’lam.

ثُمَّ لَنَنسِفَنَّهُ فِي الْيَمِّ

kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut

نَسْفًا

sehingga hilang lenyap.

Ada satu teori yang menarik tentang kejadian dalam ayat ini. Kalau kita kita lihat, ada persamaan apa yang berlaku kepada Samiri ini dengan kasta Brahma Hindu. Mereka memuja lembu terutama yang berwarna emas, mereka tidak boleh disentuh dan sebagainya lagi. Adakah mereka itu sambungan dari ‘Lost tribes of Israel’?

———————————————————–

Ayat 98: Selepas apa yang terjadi kepada kaumnya itu, Nabi Musa menekankan kepada mereka tentang tauhid. Iaitu Tuhan yang layak disembah hanyalah Allah.

20:98
Sahih International

Your god is only Allah , except for whom there is no deity. He has encompassed all things in knowledge.”

Malay

“Sesungguhnya Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu”.

إِنَّمَا إِلَٰهُكُمُ اللَّهُ الَّذِي

“Sesungguhnya Tuhan yang dipuja untuk kamu hanyalah Allah,

لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

yang tidak ada Tuhan yang disembah dan diibadati melainkan Dia,

Dalam ayat ini ada nafi dan ithbat. Seperti juga kalimah syahadah yang ada nafi dan ithbat. Ayat ini mengingatkan kita bahawa semuanya adalah tentang Allah. Hanya Allah sahaja kita kena sibukkan diri.

وَسِعَ كُلَّ شَيْءٍ عِلْمًا

yang meliputi ilmu pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu”.

Tidak terlepas dari pengetahuanNya tentang apa yang terjadi. Dia mampu menghitung jumlah segala sesuatu, tidak ada yang terlepas mahupun sebesar biji sawi. Tidak ada satu daun pun yang jatuh melainkan Allah mengetahuinya dan tidak ada satu biji pun di dalam kegelapan malam, tidak ada yang basah atau kering melainkan semuanya telah tertulis dalam Lauh Mahfuz.

Habis sudah bahagian kisah Musa. Kita akan masuk ke dalam kisah Nabi Adam pula dalam ayat-ayat selepas ini:

—————————————————

Lompat ke ayat yang seterusnya:

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 020: Taha. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Taha Ayat 88 – 98

  1. Pingback: Tafsir Surah Taha Ayat 99 – 113 | Tafsirsunnah's Blog

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s