Tafsir Surah Taha Ayat 77 – 87

Ini adalah sambungan dari ayat-ayat sebelumnya:

Ayat 77: Selepas kejadian pertandingan dengan ahli-ahli sihir itu, Bani Israil kemudiannya diperintah untuk membuat penempatan yang baru. Tidak lagi mereka tinggal di celah-celah rumah tuan mereka dari kaum Qibti. Supaya senang untuk mereka beribadat dan supaya senang mereka berpindah nanti. Ini adalah perancangan Allah.

20:77
Transliteration

wa-la-qad ˈawḥaynā ˈilā mūsā ˈan ˈasri bi-ʿibādī fa-ḍrib lahum ṭarīqan fī l-baḥri yabasan lā taḫāfu darakan wa-lā taḫšā

Sahih International

And We had inspired to Moses, “Travel by night with My servants and strike for them a dry path through the sea; you will not fear being overtaken [by Pharaoh] nor be afraid [of drowning].”

Malay

Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar mengembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam”.

Selepas kejadian dengan tukang sihir, Firaun semakin kejam lagi. Oleh kerana Nabi Musa mengatakan Firaun tidak boleh lagi menyeksa mereka, Firaun membalas dengan berlaku lebih kejam lagi. Kadang-kadang kalau kita dilarang dari buat sesuatu, lagi kita nak buat apa yang dilarang itu.

Allah kemudiannya telah memberi berbagai bala kepada Firaun dan Mesir. Bala-bala itu disebut dalam surah A’raf. Setiap kali bala itu diterima, Firaun akan minta Nabi Musa berdoa supaya bala itu diangkat dan dia berjanji kalau bala itu diangkat, dia akan membenarkan Bani Israil ikut Nabi Musa. Tetapi, setiap kali bala itu diangkat, dia akan tipu dengan kata dia tidak pernah kata yang dia pernah berjanji akan membebaskan Bani Israil.

Dalam Quran banyak disebutkan tentang puak-puak yang jahat. Tapi tidak pernah ada manusia jahat yang disebut dalam Quran yang diberi peluang berkali-kali macam Firaun. Itu menunjukkan betapa pemurahnya Allah, kerana memberi peluang kepada Firaun untuk bertaubat walaupun berkali-kali dia menipu. Kejadian itu semua bertahun-tahun lamanya, bukan dalam masa yang sekejap.

Bandingkan dengan kesusahan yang hampir sama yang dilalui semasa Nabi dan para sahabat berada di Mekah. Salah satu tujuan Allah dalam surah Taha ini adalah untuk menyabarkan Nabi dan para sahabat. Kerana mereka waktu itu ditindas dengan teruk oleh bangsa Quraish. Sebab itu Allah bawa kisah Nabi Musa dan kaumnya. Apabila sahabat mengadu kepada Nabi, Nabi akan meminta mereka bersabar dan mengingatkan mereka bahawa ada kaum sebelum mereka yang mengalami penindasan yang lebih teruk dari mereka.

وَلَقَدْ أَوْحَيْنَا إِلَىٰ مُوسَىٰ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa:

أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي

Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu keluar mengembara pada waktu malam; أَسْرِ bermaksud ‘berjalan waktu malam’. Tapi kenapa dalam ayat pertama surah Isra’, disebutkan lagi perkataan ‘لَيْلًا’? Bukankah dalam ayat itu sudah ada perkataan أَسْرَىٰ yang sudah bermaksud ‘malam’? Itu adalah kerana dalam surah Isra’ itu, Allah hendak menekankan bahawa perjalanan isra’ Nabi itu adalah dalam satu malam sahaja. Kerana waktu itu, dari segi kemajuan teknologi tidak boleh langsung kalau hendak berjalan malam sampai ke BaitulMaqdis melainkan dengan mukjizat Allah. Sebab itu Allah tambah perkataan ‘لَيْلًا’ itu. Oleh itu, dalam surah Isra’ itu, لَيْلًا itu bermaksud ‘dalam satu malam’.

Perjalanan malam bukanlah mudah. Cuaca sejuk, jalan tak nampak dan tidak tahu apakah yang akan menyerang mereka. Tapi mereka ikut juga.

Tujuan mereka adalah untuk pergi ke BaitulMaqdis. Iaitu tempat asal bangsa Israil. Apabila mereka sampai ke Laut Merah, ada dari golongan dari Bani Israil yang mula mengata-ngata kepada Nabi Musa. Kerana waktu itu puak Qibti yang sedar mereka tiada di rumah mereka, telah mengejar Bani Israil. Apabila mereka sampai, mereka nampak Bani Israil sudah di pantai. Bani Israil pun nampak puak-puak Qibti. Maka mereka kata kepada Nabi Musa, apakah yang baginda telah buat kerana mereka akan ditangkap. Itu menunjukkan betapa lemahnya iman Bani Israil itu.

أَوْحَيْنَا dalam bentuk jamak. Allah menggunakan kataganti nama ‘Kami’ kerana menunjukkan Kekuasaan Allah. Tapi dalam ayat بِعِبَادِي digunakan kataganti mufrad untuk menunjukkan kemesraan.

Apabila Bani Israil menyalahkan Nabi Musa, baginda menjawap bahawa Allah bersamanya dan tidak akan meninggalkan mereka. Maka, Allah berfirman seterusnya:

فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِي الْبَحْرِ

kemudian pukullah, untuk mengadakan jalan bagi mereka di laut itu; iaitu Nabi Musa disuruh memukul laut itu dengan tongkatnya. Maka, ianya adalah satu perintah dari Allah. Maka, ianya dinamakan mukjizat. Ini berbeza dengan perbuatan sesetengah golongan yang boleh melakukan perkara yang ajaib setiap kali mereka mahu. Setiap kali mereka hendak sahaja, boleh terjadi. Itu adalah sihir, bukan keramat. Kalau mukjizat dan keramat, ianya hanya akan terjadi dengan kehendak Allah. Macam dalam ayat ini, apabila disuruh pukul dengan tongkat laut itu, barulah laut itu boleh terbelah. Kalau selepas itu, Nabi Musa sengaja nak pukul laut tanpa arahan Allah, laut itu tidak akan terbelah.

Laut yang dimaksudkan adalah Laut Merah. Apabila laut itu terbelah, setiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

يَبَسًا

yang kering; Allah mengirimkan angin untuk mengeringkan tanah tapak lautan itu, seperti tapak tanah di bumi. Mengikut riwayatnya, terjadi 12 lorong. Mereka semuanya dalam 70 ribu orang Bani Israil semua sekali. Termasuk sekali dengan orang Qibti yang masuk Islam. Kebanyakan dari mereka, ada yang masih tidak beriman dengan Nabi Musa. Tapi mereka adalah kaum-kaum Nabi Musa, maka mereka ikut sekali. Apabila diperintah pergi, mereka ikut sekali. Mereka bawa sekali apa yang mereka boleh bawa bersama mereka. Mereka ada yang bawa binatang ternakan. Dan ada yang berjalan kaki. Tentulah mengambil masa untuk mengumpul mereka semua sekali.

Ada juga orang Yahudi yang meminjam peralatan barang kemas dari tuan mereka orang Qibti apabila mereka ada majlis keraian. Itu adalah hak milik orang Qibti, bukan hak mereka kerana mereka meminjam sahaja. Bayangkan dengan segala apa yang bawa itu, tentulah mereka hanya dapat berjalan dengan perlahan. Orang-orang Firaun hanya dapat tahu mereka tidak ada, pada keesokan harinya. Mereka sedar kerana hamba-hamba mereka tidak datang kerja semua sekali. Apabila sedar, barulah mereka beritahu semua orang. Termasuk Firaun telah diberitahu. Mereka mengumpulkan semua orang sekali untuk mengejar Bani Israil. Dikatakan, sejumlah sejuta orang yang dikumpul, kalau mengikut riwayat.

Tanah laut itu kering. Kering terus dan ini adalah suatu yang ajaib. Berselut pun tidak. Kalau ikut akal, kalau air sudah tiada, tentulah ada sedikit basah pada dasarnya yang berselut. Kalau berselut pun dah boleh lalu sebenarnya tapi Allah nak mudahkan kepada Bani Israil itu lalu melalui laluan laut itu. Begitulah sayangnya Allah kepada makhlukNya.

لَا تَخَافُ دَرَكًا

janganlah engkau menaruh bimbang daripada tersusul oleh musuh; Mereka tak akan dikejar sampai mereka boleh dipotong oleh Firaun dan bangsa Qibti lainnya. Maksudnya, mereka tidak akan ditangkap. Memang Firaun dan tenteranya telah dapat melihat Bani Israil dan orang Bani Israil pun dapat melihat tentera Firaun. Tapi Allah memberitahu mereka bahawa mereka tidak perlu takut. Kerana Allah akan menyelamatkan mereka.

وَلَا تَخْشَىٰ

dan jangan pula engkau takut; makna yang utama adalah jangan takut tenggelam; laut itu dalam lebih kurang 20 KM antara jarak dari tebing ke tebing. Mungkin mengambil masa sehari suntuk untuk menyeberang. Satu puak satu lorong kerana telah dijadikan dua belas lorong. Semasa menyeberang, orang Yahudi nampak orang Qibti tapi mereka terhalang oleh sesuatu yang menyebabkan mereka tidak dapat menangkap orang Yahudi.

Laut itu pula seribu kaki dalamnya. Tentulah mereka takut kalau air laut yang terbelah itu jatuh ke atas mereka. Tapi Allah tak kata: “jangan takut tenggelam” dalam ayat ini. Maknanya, perkataan ‘jangan takut’ itu juga boleh dibaca dalam bentuk umum. Jangan takut apa-apa sahaja. Cuma Mufassir mengambil maksud utama yang mereka tidak perlu takut adalah ‘takut tenggelam’. Tapi tentunya adalah lagi perasaan takut mereka yang macam-macam. Itu semua pun Allah kata jangan takut.

———————————————————————

Ayat 78: Apabila bangsa Qibti melihat apa yang telah terjadi, bagaimana laut telah terbelah, mereka tentunya amat terkejut. Firaun nampak wajah mereka telah berubah – nampak macam mereka nampak ada kebenaran pada Nabi Musa dan Harun. Tapi Firaun amat bijak. Dia kata kononnya dialah yang menyebabkan laut itu terbelah. Dia kata: “tengoklah apa yang aku dah buat ini.” Maka dia suruh askarnya mengejar Bani Israil itu. Maka semua mereka masuk ke dalam belahan laut itu dan mengejar Bani Israil.

20:78
Transliteration

fa-ˈatbaʿahum firʿawnu bi-ǧunūdihī fa-ġašiyahum mina l-yammi mā ġašiyahum

Sahih International

So Pharaoh pursued them with his soldiers, and there covered them from the sea that which covered them,

Malay

Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.

فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ

Maka Firaun pun mengejar mereka

بِجُنُودِهِ

bersama-sama dengan tenteranya,

فَغَشِيَهُمْ مِنَ الْيَمِّ

lalu dia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya; ini adalah satu cerita yang ringkas. Apabila Bani Israil telah melepasi laut itu, Allah telah menutup kembali laut itu dan air laut telah menghempap mereka sampai mereka semuanya mati. Dalam ayat lain, ada disebut bagaimana Bani Israil suruh Nabi Musa menutup kembali laut yang dibelah itu supaya Firaun dan tenteranya tidak dapat masuk. Kerana mereka tidak tahu perancangan Allah untuk membunuh semua sekali dinasti Firaun. Dalam ayat lain, ada mengatakan bahawa Firaun pada waktu itu telah mengucap. Tapi syahadah dia tidak diterima waktu itu.

مَا غَشِيَهُمْ

dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.

Pengulangan perkataan ini adalah satu penggunaan bahasa dalam bahasa Arab untuk menunjukkan kedahsyatan kejadian itu. Tidak dapat dibayangkan bagaimana dahsyatnya kejadian itu.

Bani Israil nampak sendiri dengan mata kepala mereka bagaimana Firaun dan tenteranya telah ditenggelamkan laut. Bandingkan dengan kaum-kaum lain yang telah dihancurkan oleh Allah. Mereka itu tidak dapat melihat bagaimana kaum mereka yang sesat dihancurkan oleh Allah. Mereka telah disuruh meninggalkan tempat mereka kerana Allah nak hancurkan semua yang sesat.

Walaupun Bani Israil dah nampak Firaun dan tenteranya ditenggelamkan, mereka masih takut lagi. Mereka takut kalau-kalau Firaun masih dapat hidup lagi dan boleh timbul mana-mana tempat. Maka mereka minta kepada Nabi Musa untuk mereka nak tengok sendiri mayat Firaun. Maka Allah telah memakbulkan permintaaan mereka itu dan melontarkan mayat Firaun ke darat supaya mereka dapat lihat bahawa benar-benar Firaun telah mati.

Kepada kaum lain, Allah akan hancurkan tempat asal mereka sampai tidak tinggal kesan. Tapi dalam kes Bani Israil, Allah hanya membunuh Firaun, tentera dan orang-orang Qibti yang bersamanya, tapi Allah biarkan negara Mesir tidak terjejas.

——————————————————————————————–

Ayat 79:

20:79
Transliteration

wa-ˈaḍalla firʿawnu qawmahū wa-mā hadā

Sahih International

And Pharaoh led his people astray and did not guide [them].

Malay

Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.

وَأَضَلَّ فِرْعَوْنُ قَوْمَهُ

Dan dengan itu Firaun telah menyesatkan kaumnya,

Ini adalah tentang tanggungjawab pemimpin seperti ahli politik dan mereka yang ada pangkat. Setiap manusia adalah pemimpin kepada orang bawahannya. Dan setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang mereka lakukan kepada orang bawahan kita. Samada kita telah pimpin mereka dengan baik atau tidak.

Ramai orang nak jadi pemimpin tapi lupa dengan tanggungjawab sebagai pemimpin. Semua akan ditanya di hadapan Allah. Itulah yang sepatutnya merisaukan pemimpin. Memang boleh jadi pemimpin, tapi kenalah sedar dengan tanggungjawab berat yang kita pikul itu. Kita kena berjaga-jaga apabila diberikan dengan tugas sebagai pemimpin. Kena pandai menilai. Sahabat-sahabat dan alim ulama silam ada yang langsung tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan kepada mereka kerana mereka sedar tentang bahayanya memegang jawatan itu. Tapi dalam masa yang sama, kadang-kadang kita perlu untuk menjadi pemimpin. Kerana kalau bukan orang yang baik yang jadi pemimpin, orang yang jahat pula yang akan mengambil alih. Itulah sebabnya dikatakan bahawa kita kena pandai menilai. Kadang-kadang kita kena memegang tampuk pemerintahan supaya ianya tidak jatuh ke tangan orang yang salah.

Firaun bersalah, tapi rakyatnya juga bersalah. Kerana mereka tidak melakukan apa-apa untuk menentang Firaun kerana takut. Dan mereka mengikut sahaja kesalahan yang dilakukan oleh Firaun itu. Mereka membutakan mata mereka atas kesalahan dan dosa yang dilakukannya. Oleh itu, bukanlah pemimpin sahaja yang bersalah. Rakyat juga bersalah kerana mengikut pemimpin mereka yang salah. Kerana bukan semua rakyat Qibti mengikut telunjuk Firaun sahaja. Kerana ada yang tidak mengikut Firaun. Sebagai contoh, Asiah, isteri Firaun, tukang-tukang sihir dan ada juga bangsa Qibti dari kalangan keluarga Firaun sendiri yang beriman tapi menyembunyikan keimanannya. Mereka itu tidak terikut masuk dalam kepompong kesesatan Firaun. Oleh itu, kita sebagai rakyat juga kena hati-hati dalam memilih pemimpin dan mengikuti pemimpin.

Firaun telah menyesatkan kaumnya dalam dunia dan akhirat. Dalam dunia, dia telah salah membawa mereka masuk ke dalam laut yang terbelah itu dan dalam hal akhirat, Firauan telah menyesatkan kaumnya dengan mengatakan dia adalah tuhan, dan rakyatnya mengikutinya. Jadi, Firaun juga penyebab kepada kaumnya masuk neraka.

وَمَا هَدَىٰ

dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar; Firaun telah menutup jalan hidayah. Apabila Nabi Musa dan Harun datang membawa kebenaran, dia telah menyekat mereka berdua dan menentang mereka. Itu adalah satu kesalahan yang besar. Kalaupun seorang pemimpin itu tidak pandai untuk mengajar rakyatnya, tapi jika ada yang boleh mengajar, dia kena benarkan orang itu mengajar dan beri sokongan, bukannya menentang dan menyekat. Bermakna, kalau zaman sekarang, kalau pemimpin yang tidak membenarkan dakwah dijalankan, mereka juga dianggap telah menutup jalan hidayah kepada rakyatnya.

Sepatutnya pemimpin kena membawa orang bawahannya kepada hidayah. Itu tanggungjawab pemimpin. Semua kita adalah pemimpin dan kita akan ditanya tentang orang bawahan kita.

———————————————————————–

Ayat 80: Ini kisah selepas mereka menyeberangi Laut Merah. Allah telah memberi makanan kepada mereka. Mereka tak payah cari makanan. Itulah nikmat besar yang telah diberikan kepada mereka.

Apabila mereka telah selamat, tugas Nabi Musa dan Harun adalah untuk mendidik Bani Israil. Sekarang sudah tidak perlu nak risaukan tentang Firaun lagi kerana Firaun telah mati dan mereka telah lihat dengan mata mereka sendiri bagaimana Firaun itu benar-benar telah mati.

Ayat ini juga sebagai berita gembira kepada para sahabat yang sedang ditindas di Mekah. Mereka tentunya berharap akan sampai satu masa yang mereka akan menjalani kehidupan bersyariat Islam dengan bebas. Allah nak isyarat bahawa sebagaimana Bani Israil dapat hidup aman selepas lama ditindas, begitu juga mereka.

Ayat ini adalah dalam bentuk ringkas. Cerita selebihnya ada dalam surah lain.

Semasa mereka berjalan, mereka nampak satu kaum yang menyembah berhala. Ini ada dikisahkan dalam surah A’raf. Mereka minta pula kepada Nabi Musa untuk membuatkan berhala untuk mereka juga. Begitulah teruknya mereka. Oleh kerana mereka telah dimarahi oleh Nabi Musa. Banyak lagi kisah tentang kesesatan mereka yang mereka lakukan yang disebut dalam surah-surah yang lain.

20:80
Transliteration

yā-banī ˈisrāˈīla qad ˈanǧaynākum min ʿaduwwikum wa-wāʿadnākum ǧāniba ṭ-ṭūri l-ˈaymana wa-nazzalnā ʿalaykumu l-manna wa-s-salwā

Sahih International

O Children of Israel, We delivered you from your enemy, and We made an appointment with you at the right side of the mount, and We sent down to you manna and quails,

Malay

Wahai Bani lsrail! Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu, dan Kami telah janjikan kamu (dengan memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung Tursina itu, dan kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”,

يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ

Wahai Bani lsrail! Yang dimaksudkan di sini adalah Bani Israil zaman Nabi Muhammad. Allah mengingatkan mereka kejadian semasa zaman Nabi Musa.

قَدْ أَنْجَيْنَاكُمْ

Sesungguhnya Kami telah selamatkan kamu dari musuh kamu; iaitu tok nenek Bani Israil telah diselamatkan pada zaman Nabi Musa.

Selamatkan sekaligus dengan lengkap. Selesai terus segala masalah mereka pada waktu itu. Itulah maksud أَنْجَيْنَا itu. Kerana ada juga disebutkan tentang Allah menyelamatkan mereka tetapi kosa kata yang berlainan digunakan. Kali ini Allah selamatkan terus mereka. Apakah maksudnya? Kerana kali ini, Firaun telah mati. Punca masalah mereka yang paling besar telah tiada. Bukan Firaun sahaja yang mati tapi dengan semua tenteranya dan orang Qibti yang ikut. Jadi tidak akan tindak balas dari orang lain. Bukan sahaja mereka telah selamat, tapi mereka diberikan dengan tempat baru untuk mereka mulakan hidup baru. Tidak ada lagi kekangan hidup seperti yang mereka alami semasa mereka di Mesir dahulu.

مِنْ عَدُوِّكُمْ

dari musuh kamu; iaitu Firaun dan pengikutnya.

وَوَاعَدْنَاكُمْ جَانِبَ الطُّورِ الْأَيْمَنَ

dan Kami telah ambil perjanjian dengan kamu di sebelah kanan Gunung Tursina itu; iaitu perjanjian untuk taat kepada Allah dan memegang Kitab Taurat. Tempat inilah yang pertama kali Nabi Musa bercakap-cakap dengan Musa. Sekarang, dibawakan sekali Bani Israil.

Samada memang sebelah kanan Bukit Thursina atau isyarat kepada ‘kebaikan’. Kerana kanan selalunya dikaitkan dengan kebaikan. Sebagai contoh, telah disebut tentang mereka-mereka yang akan menerima Kitab Amalan di tangan kanan – bermaksud mereka akan mendapat kebaikan. Sebelah kanan juga selalunya diberkati. Sebab itu, sunnah Nabi adalah menggunakan tangan kanan dalam perkara-perkara yang baik seperti makan, minum, pakai kasut, melangkah dan sebagainya. Kalau begitu, Allah hendak mengatakan gunung Thur adalah diberkati.

Ayat ini juga dalam bentuk yang ringkas. Dalam ayat lain dalam surah lain, disebutkan bagaimana Nabi Musa telah diarahkan Allah untuk naik ke Bukit Thursina untuk menerima Kitab Taurat. Baginda disuruh membawa sejumlah wakil dari Bani Israil dan selebihnya disuruh untuk tinggal di bawah, iaitu di sebelah kanan Bukit Thursina. Mereka disuruh berkumpul di situ. Untuk menunggu Nabi Musa membawa turun Kitab Taurat setelah baginda mendapatinya daripada Allah. Kisah berkenaan kejadian ini akan disambung dalam beberapa ayat lagi.

وَنَزَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ

dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”; iaitu tok nenek mereka yang sesat di Padang Pasir Sinai. Mereka diberikan dengan makanan dari langit. Perkataan نَزَّلْ yang digunakan bermaksud mereka selalu menerima Manna dan Salwa itu. Bukan sekali dua sahaja. Bermakna, mereka sudah tidak perlu risau tentang mencari makanan. Makanan Allah akan sediakan.

Cerita panjang berkenaan perkara ini ada dalam surah lain. Mereka telah diarahkan untuk memasuki Kota Baitulmaqdis oleh Allah. Allah sudah beri arahan kepada mereka. Tapi mereka tidak menurut arahan itu. Kerana waktu itu, kota itu diduduki oleh satu kaum yang kuat. Mereka sepatutnya memerangi kaum itu kerana mereka puak yang jahat. Tapi mereka enggan turut arahan itu sampaikan mereka suruh Nabi Musa dan Allah yang memerangi kaum itu sambil mereka menunggu sahaja. Oleh kerana kurang ajar mereka itu, Allah telah murka kepada mereka dan mereka telah dihukum untuk sesat di padang pasir. Dalam riwayat dikatakan mereka telah sesat selama 40 tahun. Sewaktu mereka sesat itulah Allah turunkan makanan berupa Manna dan Salwa.

Manna mereka ambil dari pokok-pokok pada pagi hari. Ianya adalah sesuatu yang manis. Dan Salwa itu adalah seperti burung puyuh yang mereka boleh makan. Mereka boleh tangkap dengan senang untuk mereka masak. Dan ada yang berpendapat, burung itu sudah siap dimasak, mereka tinggal untuk makan sahaja. Mereka boleh makan dengan suka hati, tapi dengan syarat, mereka tidak boleh simpan. Tidak boleh simpan untuk bekal. Kerana esoknya Allah akan beri yang lain lagi. Tapi mereka telah degil, dan mereka masih juga simpan. Sejak mereka simpan itulah yang menyebabkan Allah menakdirkan yang daging akan jadi busuk setelah beberapa hari.

Mereka telah sesat di Padang Pasir dalam kawasan yang hanya sebesar 20KM sahaja. Tapi Allah telah sesatkan mereka. Mereka setiap hari akan silap arah. Mereka berpusing-pusing dalam kawasan yang kecil itu. Mereka telah sesat selama 40 tahun. Oleh kerana Allah yang menyebabkan mereka sesat, Allah jugalah yang telah memberi mereka makan. Seperti kita penjara orang, tentulah kita kena beri makan kepadanya. Pakaian mereka tidak lusuh, tidak perlu risau nak kena buat baju atau beli baju. Dan anak mereka lahir siap dengan pakaian. Untuk meneduh mereka dari kepanasan, Allah berikan mereka awan untuk meneduh mereka. Nabi Musa pun sekali dengan mereka. Nabi Musa juga telah mati semasa kaumnya sesat itu. Tapi Nabi Musa itu seperti warden penjara. Walaupun warden itu duduk dalam penjara bersama dengan banduan, tapi dia boleh keluar masuk.

Bayangkan betapa pemurahnya Allah. Mereka telah diberi makan, padahal mereka waktu itu sedang dihukum. Makanan pula adalah makanan yang lazat, yang diturunkan dari langit. Bukan sebarang makanan.

——————————————————————————–

Ayat 81:

20:81
Transliteration

kulū min ṭayyibāti mā razaqnākum wa-lā taṭġaw fīhi fa-yaḥilla ʿalaykum ġaḍabī wa-man yaḥlil ʿalayhi ġaḍabī fa-qad hawā

Sahih International

[Saying], “Eat from the good things with which We have provided you and do not transgress [or oppress others] therein, lest My anger should descend upon you. And he upon whom My anger descends has certainly fallen.”

Malay

Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.

كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Makanlah dari yang baik-baik yang Kami kurniakan kepada kamu; iaitu Manna dan Salwa. Dan segala makanan yang halal. Secara umumnya, ayat ini mengingatkan kita untuk cari dan makan makanan yang halal yang Allah telah berikan kepada kita. Jangan makan yang haram. Jangan dapatkan sumber makanan itu dari sumber yang haram. Sebagai contoh, walaupun makanan itu halal, tapi kalau kita mendapatinya dengan cara yang haram, ia akan jadi haram. Sebagai contoh, ayam adalah makanan yang halal, tapi kalau kita curi ayam itu, ianya adalah haram untuk kita makan.

وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ

dan janganlah kamu melampaui batas padanya; iaitu jangan kata Manna dan Salwa itu haram pula untuk dimakan. Ini termasuk ayat yang membicarakan tentang halal dan haram. Jika kita mengharamkan perkara yang dihalalkan oleh Allah, itu adalah perbuatan syirik. Kerana yang boleh menghalalkan dan mengharamkan adalah Allah. Kalau kita kata sesuatu makanan itu haram padahal ianya halal, kita sudah ambil kerja Allah dan itu adalah syirik. Contohnya, perbuatan pantang memantang orang bersalin yang dibuat oleh masyarakat kita. Bidan atau orang tua-tua akan kata sesuatu makanan itu tidak boleh dimakan kerana tidak baik untuk ibu yang baru bersalin. Mereka kata tidak boleh itu tanpa memberikan apa-apa dalil dan sebab yang kuat. Walaupun mereka tidak menggunakan perkataan ‘haram’, tapi pada dasarnya mereka telah mengharamkan sesuatu makanan itu tanpa sedar. Kerana yang boleh mengharamkan sesuatu itu hanyalah Allah. Kerana hanya Allah sahaja yang boleh mengharamkan sesuatu perkara. Jadi, kalau ada kalangan kita yang baru bersalin, janganlah berpantang dengan sesuatu makanan itu melainkan kalau doktor yang kata tidak boleh makan. Kerana kalau doktor kata tidak boleh makan, itu adalah hasil dari kajian yang telah dilakukan. Bukan dari kata-kata kosong bidan dan orang tua-tua sahaja yang tidak ada dasar.

Sebagai contoh, bidan Melayu kata pantang orang lepas bersalin makan ayam. Tapi dalam masa yang sama, orang Cina yang baru lepas bersalin disuruh makan ayam sebab baik untuk kesihatan dan memberi tenaga kepada orang yang baru bersalin. Jadi bagaimana pula bidan Melayu kata tak elok makan ayam? Mungkin makanan itu pernah tidak sesuai kepada seseorang suatu masa dulu, tapi itu untuk dia sahaja. Bukan untuk semua orang. Begitu juga, kalau seorang perempuan itu makan dan dia tidak sesuai dengan makanan itu, barulah tahu yang makanan itu tidak sesuai untuk dia. Tapi tidaklah boleh kata makanan itu tidak sesuai untuk semua orang.

Maksud ‘jangan melampau’ itu juga bermaksud ‘jangan tidak bersyukur’. Mereka diingatkan untuk bersyukur. Dengan segala nikmat yang Allah telah berikan kepada mereka, sepatutnya mereka bersyukur.

Dan juga jangan menyimpan Manna dan Salwa itu sebagai bekal untuk makan esok. Kerana esok Allah akan beri Manna dan Salwa yang baru. Allah tak beri mereka simpan untuk mengajar mereka untuk percaya dan berharap hanya kepada Allah. Tapi Bani Israil tidak percaya, takut esok tak dapat makanan, maka mereka simpan juga. Kesan dari itu, daging yang mereka simpan itu telah jadi busuk. Dan sampai sekarang daging akan rosak kalau disimpan lama. Padahal sebelum Bani Israil buat begitu, daging boleh tahan lama sebenarnya.

فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي

kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu;

وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي

dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu,

فَقَدْ هَوَىٰ

maka pasti binasalah ia.

————————————————————————–

Ayat 82:

20:82
Transliteration

wa-ˈinnī la-ġaffārun li-man tāba wa-ˈāmana wa-ʿamila ṣāliḥan ṯumma htadā

Sahih International

But indeed, I am the Perpetual Forgiver of whoever repents and believes and does righteousness and then continues in guidance.

Malay

Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.

وَإِنِّي لَغَفَّارٌ

Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun; walau bagaimana pun banyak kesalahan manusia, Allah boleh ampunkan.

Perkataan غفر ghafara bermaksud ‘menutup sesuatu’. Bermaksud apabila Allah mengampunkan dosa seseorang itu, Dia akan menutup kesalahan itu sampaikan tidak ada sesiapa yang tahu tentang dosa yang pernah dilakukannya semasa di dunia.

Dari segi nahu bahasa Arab, perkataan غفر digunakan dalam pelbagai bentuk dalam Quran, dengan membawa maksud yang berbagai:

  • ghaafir – mengampunkan dengan segera; Allah terus beri ampun
  • ghafuur – sentiasa dan berterusan memberi ampun kepada makhlukNya.
  • ghaffar  – memberi ampun dengan banyak. Tidak ada had kepada keampunanNya. Walaupun setinggi langit dosa makhluk itu. Perkataan inilah yang digunakan dalam ayat ini.

لِمَنْ تَابَ

kepada orang-orang yang bertaubat; iaitu kepada orang mahu bertaubat. Itulah syaratnya. Allah akan beri ampun kepada mereka yang mahu meminta ampun. Jadi, hendaklah kita sentiasa meminta ampun kepada Allah. Kerana kita sentiasa sahaja berdosa. Maka kita hendaklah sentiasa meminta ampun. Jangan kita lupa untuk meminta ampun. Apabila teringat sahaja kesalahan yang kita buat, maka terus minta ampun kepada Allah. Kalau tengah memandu pun teringat tentang dosa itu, terus minta ampun. Itu bermakna Allah telah ketuk hati kita untuk mohon ampun kepadaNya.

‘Tawbah’ bermaksud kembali kepada tempat yang kita sepatutnya pergi. Bayangkan kalau kita sesat jalan semasa memandu, maka kita akan buat U-turn.  Ataupun kita telah terlepas jalan masuk yang sepatutnya kita masuk, maka kita kena U-turn. Itulah yang patut kita lakukan. Kalau memandu, kita kena cari tempat yang sesuai untuk buat u-turn, bukan boleh terus U-turn, tapi dalam memohon ampun kepada Allah, tidak perlu tunggu masa yang sesuai. Kita boleh minta ampun pada bila-bila masa sahaja. Dan sepatutnya kita terus meminta ampun kepada Allah. Jangan tangguh dalam meminta ampun.

وَآمَنَ

serta beriman; beriman dengan sebenar-benar iman.

وَعَمِلَ صَالِحًا

dan beramal soleh; beramal soleh adalah tanda kita dah bertaubat. Kalau dulu kita malas solat, apabila kita dah minta ampun, kenalah ada perubahan dalam diri kita. Perbuatan itu lebih besar dari cakap-cakap sahaja. Tentulah tidak diterima kita cakap sahaja kita dah bertaubat tapi perbuatan kita sama sahaja macam dulu.

ثُمَّ اهْتَدَىٰ

kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.

Allah akan beri hidayah kepada sesiapa yang beriman dan beramal soleh. Apabila Allah dah beri jalan, dengan beri hidayah, maka tugas kita adalah ikut jalan itu.
————————————————————————

Ayat 83: Ini adalah tentang kejadian di Bukit Thursina, semasa Nabi Musa diarahkan untuk naik mengambil Kitab Taurat untuk dijadikan panduan hidup kepada Bani Israil. Musa telah disuruh Allah untuk datang dan bermunajat dan berpuasa selama 30 hari. Dan kemudian 30 hari itu telah ditambah menjadi 40 hari.

Dalam ayat 80 sebelum ini, telah disebutkan tentang perjanjian Allah dengan Bani Israil di sebelah kanan Bukit Thursina.

20:83
Transliteration

wa-mā ˈaʿǧalaka ʿan qawmika yā-mūsā

Sahih International

[ Allah ] said, “And what made you hasten from your people, O Moses?”

Malay

Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa?.

وَمَا أَعْجَلَكَ

Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari

أَعْجَلَ bermaksud ‘cepat’, ‘kelam kabut’.

عَن قَوْمِكَ

lebih dahulu dari kaum engkau?

Nabi Musa telah datang lebih awal dari kaumnya. Perkataan عَن  digunakan kerana ada maksud yang tidak disebut dalam ayat ini. Maksud Allah dalam ayat ini: “Kenapa kau tinggalkan kaummu?” Ada dalam ayat sebelum ini menyebut berkenaan perjanjian dengan kaumnya untuk datang ke sebelah kanan Bukit Thur dan berkumpul di situ. Maknanya, mereka semua kena datang ramai-ramai ke situ tapi sebab mereka ramai, tentulah mengambil masa yang lama. Mereka semua ada beribu-ribu. Musa nak cepat kerana dia kena buat iktikaf dahulu apabila dia sampai ke atas Bukit Thur nanti. Kalau dia tunggu lagi sampai semua dah bersiap, dia tahu yang dia akan jadi lambat. Jadi dia pergi dulu. Kaumnya tak siap kumpul lagi. Lagipun dia tidak sabar untuk menemui Allah. Dia telah beri arahan dan meninggalkan Nabi Harun untuk meneruskan membawa mereka ke kaki Bukit Thur dan menunggu baginda di sana.

يَا مُوسَىٰ

wahai Musa?

————————————————————————-

Ayat 84:

20:84
Transliteration

qāla hum ˈulāˈi ʿalā ˈaṯarī wa-ʿaǧiltu ˈilāyka rabbi li-tarḍā

Sahih International

He said, “They are close upon my tracks, and I hastened to You, my Lord, that You be pleased.”

Malay

Nabi Musa menjawab: “Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Engkau reda akan daku”.

قَالَ

Nabi Musa menjawab:

هُمْ أُولَاءِ عَلَىٰ أَثَرِي

“Mereka itu ada mengiringi daku tidak jauh dari sini; ada di belakangku di bawah bukit. Maknanya Nabi Musa hendak kata bahawa kaumnya tidak jauh dari situ. Dekat sahaja. Dari bahasa yang digunakan, menunjukkan bahawa Nabi Musa boleh nampak lagi mereka di kaki bukit. Baginda telah naik ke atas bukit, tapi baginda boleh tunjuk mereka.

وَعَجِلْتُ إِلَيْكَ رَبِّ

dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku,

لِتَرْضَىٰ

supaya Engkau reda akan daku; kerana kepada Nabi Musa, dia fikir, lebih cepat jumpa, lebih lagi Allah redha. Ini juga mengajar kita, apabila Allah panggil, memang kena terus buat. Macam solat, kita kena cepat dirikan solat. Jangan lengah-lengahkan. Surah Taha ini memang banyak memberi isyarat tentang kepentingan menyegerakan solat.

Tapi dalam hal ini, bukan itu yang Allah kehendaki. Kes ini lain dari yang umum. Sebab itu Allah tegur baginda dalam ayat ini. Tapi kita kena menjaga adab dengan Nabi-nabi Allah, supaya jangan kita cari silap mereka. Mereka adalah manusia yang mulia. Jadi kita kena berhati-hati dalam menafsirkan ayat Quran sebegini. Cuma dalam ayat ini, Allah sendiri sebut, jadi kita boleh terima bahawa Allah menegur Nabi Musa kerana ada sesuatu. Ianya untuk mengajar kita untuk mengambil pelajaran.

Apakah pengajaran itu? Memang baik untuk datang cepat, tapi lebih baik Nabi Musa datang dengan kaumnya. Kerana sudah menjadi tugasnya untuk menjaga mereka dan membawa mereka ke tempat yang telah dijanjikan. Kalau kita lihat dalam surah yang lain, bagaimana Allah menceritakan tentang arahan keluar dari tempat tinggal Nabi Luth apabila kaumnya akan dihancurkan. Nabi Luth adalah yang paling akhir sekali keluar dan baginda berjalan di belakang. Itu adalah untuk memastikan bahawa semua pengikutnya yang beriman telah keluar. Begitu juga dengan sunnah Nabi Muhammad. Selalunya baginda adalah yang terbelakang sekali dalam perjalanan, kerana baginda hendak memastikan semua sahabatnya telah ada.

Jadi, kita kena pandai menilai apakah perbuatan yang terbaik dalam sesuatu keadaan. Dalam keadaan tertentu, kena buat begini, tapi dalam keadaan lain, kena buat begitu pula. Kerana keadaan tidak sama semuanya.

————————————————————————

Ayat 85: Oleh kerana Nabi Musa datang cepat meninggalkan kaumnya, kerana baginda tinggalkan mereka bersama dengan Nabi Harun, sebagai kafarahnya, Allah telah menguji kaumnya. Maka Allah telah berfirman:

20:85
Transliteration

qāla fa-ˈinnā qad fatannā qawmaka min baʿdika wa-ˈaḍallahumu s-sāmiriyyu

Sahih International

[ Allah ] said, “But indeed, We have tried your people after you [departed], and the Samiri has led them astray.”

Malay

(Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”

قَالَ

Maka Allah berfirman kepada Nabi Musa:

فَإِنَّا قَدْ فَتَنَّا قَوْمَكَ

“Sesungguhnya Kami telah mengenakan satu ujian kepada kaummu; Ianya adalah satu perkara biasa untuk Allah berikan ujian kepada makhlukNya. Selepas apa yang mereka lalui dan semua yang mereka telah lihat dari mukjizat kuasa Allah dan segala rahmat yang Allah telah berikan kepada mereka, Allah nak uji mereka. Kita pun begitu juga, Allah hendak menguji kita apakah yang kita akan buat dalam sesuatu keadaan. Samada kita bersabar atau tidak.

مِنْ بَعْدِكَ

selepas kamu naik,

وَأَضَلَّهُمُ السَّامِرِيُّ

dan mereka telah disesatkan oleh Samiri”; Siapakah Samiri itu? Namanya adalah Musa Samiri. Mengikut riwayat, Nabi Musa dijaga oleh Firaun, tapi Musa Samiri telah disorok oleh emaknya ke dalam gua. Iaitu semasa Firaun membunuh anak-anak lelaki. Ibunya pun hendak menyelamatkan beliau, jadi ibunya membuat keputusan menyoroknya di dalam gua di pergunungan. Dia akan naik dan beri makan kepada Samiri tapi akhirnya dia tak dapat datang. Oleh kerana ibunya tidak dapat memberi makan kepadanya, Musa Samiri telah diberi makan oleh Jibrail mengikut satu riwayat. Riwayat itu ada dalam Tafsir Tabari.

Oleh itu, kita tahu bahawa Musa Samiri dijaga oleh Jibrail. Tapi akhirnya dia telah melakukan syirik dan menyebabkan kaumnya pun buat syirik juga. Oleh itu, tidak mengejutkan kalau ada manusia diberi jagaan oleh orang yang baik tapi jadi buruk. Dan orang yang baik dapat membesar walaupun hidup dalam keluarga yang teruk. Musa Samiri dijaga oleh Jibrail tapi dia jadi teruk, tapi Nabi Musa dijaga oleh Firaun, tapi dia menjadi orang yang baik. Yang penting, adalah diri orang itu sendiri.

Ada berbagai pendapat lagi yang mengatakan tentang siapakah Samiri itu. Ada kata dia adalah dari bangsa Qibti. Kononnya dia telah terima Islam tapi dia seorang munafik. Ada yang kata dia dari Bani Israil tapi munafik. Ada pula yang kata dia orang luar, bukan Bani Israil dan bukan dari bangsa Qibti, tapi dia telah datang ke Mesir dan telah masuk ke dalam perkumpulan umat Nabi Musa.

Semua itu tidak dapat dipastikan. Tidak mengapa kalau kita tidak tahu. Tidak akan ditanya kepada kita di akhirat kelak samada kita kenal atau tidak siapakah Samiri itu, dari mana asalnya, apakah nama sebenarnya, tidak. Itu semua tidak penting. Jangan fikir sangat tentang mana satukah yang benar. Allah dah ingatkan dalam Surah Kahf supaya kita jangan terlalu hendak mengetahui perkara yang kita tidak ada maklumat yang pasti tentangnya. Yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil dari apa yang diberitahu oleh Allah. Apabila Allah tidak beritahu sejarah yang lengkap tentangnya, bermakna ianya tidak penting. Jangan kita jadi seperti orang Yahudi yang terlalu mementingkan maklumat dengan tepat. Lihatlah apa yang terjadi kepada mereka. Mereka berilmu, tapi mereka sesat. Terlalu banyak kisah-kisah tidak elok telah masuk dalam sejarah Yahudi dan Kristian sampaikan mereka merendahkan martabat para Nabi pun ada.

Dalam ayat ini, Quran mengatakan bahawa Samiri lah yang menyesatkan mereka. Inilah adab dalam meletakkan punca kesesatan. Kita tidak boleh kata Allah yang menyesatkan mereka. Walaupun pada hakikatnya, semuanya dalam perancangan Allah. Kalau Allah tak benarkan mereka jadi sesat, mereka tidak akan sesat. Adabnya adalah, dalam perkara baik, kita letakkan kepada Allah. Dan dalam perkara tidak elok, kita letakkan kepada selain Allah.

—————————————

Ayat 86: Musa telah disuruh beriktikaf di Bukit Thur selama 40 hari. Dan selepas itu, Allah beritahu kaumnya telah diuji. Maka dia sekarang cepat-cepat balik.

20:86
Transliteration

fa-raǧaʿa mūsā ˈilā qawmihī ġaḍbāna ˈasifan qāla yā-qawmi ˈa-lam yaʿidkum rabbukum waʿdan ḥasanan ˈa-fa-ṭāla ʿalaykumu l-ʿahdu ˈam ˈaradtum ˈan yaḥilla ʿalaykum ġaḍabun min rabbikum fa-ˈaḫlaftum mawʿidī

Sahih International

So Moses returned to his people, angry and grieved. He said, “O my people, did your Lord not make you a good promise? Then, was the time [of its fulfillment] too long for you, or did you wish that wrath from your Lord descend upon you, so you broke your promise [of obedience] to me?”

Malay

Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan marah dan dukacita; ia berkata: “Wahai kaumku! Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi perjanjian kamu denganku?”

Pengajaran dari iktikaf Nabi Musa. Ada masanya kita kena tinggalkan dunia dan menumpukan perhatian kepada Allah. Yang ringkas kita telah lakukan adalah dalam solat. Tapi dari masa ke semasa, kita kena buat iktikaf yang penuh. Lebih-lebih lagi kalau kita seorang guru atau pendakwah. Kerana kita memerlukannya. Nabi Muhammad akan iktikaf di masjid selama 10 hari setiap tahun dalam bulan Ramadhan. Di hujung hayat baginda, baginda melakukannya selama 20 hari. Maksud iktikaf adalah tinggalkan dunia dan hanya mengadap Allah. Tidak langsung menghiraukan hal dunia lagi.

فَرَجَعَ مُوسَىٰ إِلَىٰ قَوْمِهِ

Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya

غَضْبَانَ

dengan perasaan marah; marah kerana mereka sembah patung anak lembu.

أَسِفًا

dan dukacita; sangat-sangat sedih dengan apa yang mereka telah perbuat.  Sedih kerana mereka tidak taat kepadanya dan kepada Allah. Dia telah mengajar mereka selama hari ini untuk menyembah Allah dan sekarang mereka boleh sampai sanggup menyembah selain dari Allah? Sedih kepada orang yang disesatkan dan kepada yang menyesatkan. Begitulah hati seorang Nabi, walaupun marah tapi dalam masa yang sama dia sedih dengan kaumnya. Kerana yang mereka harapkan adalah keselamatan kaum mereka. Kalau mereka melakukan perkara yang salah, mereka amat sedih.

Nabi Musa cepat-cepat bertemu dengan kaumnya dan terus meletakkan Kitab Taurat. Kitab Taurat turun siap bertulis. Bukan seperti Quran yang diturunkan sedikit demi sedikit.

قَالَ يَا قَوْمِ

Dia berkata: “Wahai kaumku!

Pertamanya, baginda telah bertanya kepada kaumnya dahulu kenapa mereka lakukan kesalahan yang amat berat itu.

أَلَمْ يَعِدْكُمْ رَبُّكُمْ وَعْدًا حَسَنًا

Bukankah Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang baik? Iaitu hendak beri Kitab Taurat kepada kamu? Bukankah Allah menjanjikan kebaikan untuk kamu? Dalam Kitab Taurat itu nanti akan diberikan panduan hidup untuk mereka. Ada kebaikan yang mereka dah dapat pun. Kenanglah kembali bagaimana kamu telah diselamatkan dari Firaun dan mendapat kehidupan yang baru. Dan banyak lagi kebaikan yang telah mereka dapati dari Allah.

Hanya ada dua sebab kenapa kamu sanggup buat begini:

أَفَطَالَ عَلَيْكُمُ الْعَهْدُ

Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima apa yang dijanjikan itu? Iaitu selama 40 hari. Adakah itu satu masa yang amat lama untuk mereka tunggu? Tentulah tidak.

Atau adalah sebab dah lama dah tak dapat janji dipenuhi? Sebab itukah kamu jadi sesat? Itu adalah satu alasan yang tidak munasabah. Mereka telah lihat sendiri dengan mata kepala mereka bagaimana mereka telah diselamatkan dari Firaun dan bagaimana laut telah dibelah. Kejadian itu baru lagi.

أَمْ أَرَدْتُمْ أَنْ يَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبٌ مِنْ رَبِّكُمْ

Atau kamu sengaja menghendaki supaya kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu; Atau kamu memang hendak buat Allah marah? Kalau inilah yang kamu hendak, memang sudah teruk sangat perangai kamu. Bermakna, ada keinginan dalam hati mereka untuk mencari kemurkaan Allah.

فَأَخْلَفْتُمْ مَوْعِدِي

lalu kamu melanggari perjanjian kamu denganku?” Perjanjian itu adalah untuk menunggu Nabi Musa dengan membawa Kitab Taurat.

———————————-

Ayat 87: Ini adalah alasan yang mereka berikan apabila Musa marah kepada mereka. Yang menyembah patung itu sebanyak 70 orang sahaja.

20:87
Transliteration

qālū mā ˈaḫlafnā mawʿidaka bi-malkinā wa-lākinnā ḥummilnā ˈawzāran min zīnati l-qawmi fa-qaḏafnāhā fa-ka-ḏālika ˈalqā s-sāmiriyyu

Sahih International

They said, “We did not break our promise to you by our will, but we were made to carry burdens from the ornaments of the people [of Pharaoh], so we threw them [into the fire], and thus did the Samiri throw.”

Malay

Mereka menjawab: “Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir) itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami melakukan yang demikian, maka demikianlah juga “Samiri” mencampakkan apa yang dibawanya.

قَالُوا مَا أَخْلَفْنَا مَوْعِدَكَ بِمَلْكِنَا

Mereka menjawab: “Kami tidak menyalahi janji kami kepadamu itu dengan kehendak kami; mereka kata mereka bukan sengaja nak buat apa yang mereka buat itu.

وَلَٰكِنَّا حُمِّلْنَا أَوْزَارًا

tetapi kami telah dibebankan membawa

مِّن زِينَةِ الْقَوْمِ

barang-barang perhiasan kaum itu,

Satu pendapat mengatakan mereka pinjam barang kemas tuan-tuan mereka dari bangsa Qibti kerana nak bagi alasan bahawa mereka ada keramaian. Itulah helah yang mereka akan gunakan untuk melarikan diri nanti. Mereka kata mereka akan berkumpul untuk satu keramaian kaum Bani Israil. Oleh itu, mereka hendak pinjam barang perhiasan dari tuan-tuan mereka. Mereka sudah disuruh berkumpul. Jadi mereka beri alasan bahawa mereka keluar berkumpul kerana hari perayaan mereka. Supaya bangsa Qibti tidak syak apabila mereka beramai-ramai keluar nanti. Dalam kesibukan mereka melarikan diri, mereka bawa sekali barang kemas itu, mereka tak sempat nak pulangkan. Maka, mereka terasa beban kerana membawa barang yang bukan kepunyaan mereka. Mereka rasa bersalah.

فَقَذَفْنَاهَا

maka kami mencampakkannya; mencampakkannya ke dalam api

Nabi Harun memberitahu kepada mereka bahawa salah untuk mereka masih pegang barang-barang kemas itu, kerana itu bukan hak mereka. Maka mereka disuruh untuk leburkan. Itulah syariat yang diberikan kepada mereka.

Ada yang kata Samiri yang suruh buat. Dialah yang buat lubang dan suruh kaumnya itu membuang barang perhiasan ke dalam lubang itu. Dikatakan dia buat begitu kerana dia pun hendak dapat kedudukan seperti Nabi Musa juga di mata kaumnya.

فَكَذَٰلِكَ أَلْقَى السَّامِرِيُّ

maka demikianlah juga “Samiri” mencampakkan; mencampakkan apa yang dibawanya ke dalam lubang itu.

Samiri telah mencampakkan sesuatu ke dalam leburan itu. Atau perkataan أَلْقَى juga boleh bermaksud: buat sesuatu dengan barang kemas  itu. Dia adalah seorang yang pandai mengukir. Jadi, dia telah mengukir patung anak lembu dari leburan barang kemas itu.

Ada satu lagi pendapat yang kata takkan bangsa Qibti akan beri pinjam barang kemas mereka kepada hamba-hamba mereka. Itu tidak logik. Dan tentunya Nabi Musa mesti tidak akan beri mereka bawa pergi barang kemas itu pergi bersama mereka kerana itu bukan hak mereka. Tidak molek seorang Nabi membenarkan perkara itu terjadi. Semasa Nabi Muhammad hendak berhijrah, baginda telah tinggalkan Ali untuk selesaikan amanah yang diberikan kepadanya. Kerana ada orang-orang yang mengamanahkan barang mereka dengan Nabi kerana baginda adalah orang yang boleh dipercayai memegang amanah. Gelaran baginda pun adalah al-Amin. Baginda suruh Ali tinggal dahulu dan mengembalikan barang-barang itu kepada tuannya. Maknaya, seorang Nabi tidak akan membenarkan kaumnya melakukan kesalahan membawa pergi benda yang bukan hak mereka.

Oleh itu, pendapat kedua ini mengatakan bahawa yang berkata-kata memberi alasan itu adalah ketua-ketua puak. Sebagai ketua, mereka adalah pemegang amanah barang-barang kemas puak mereka. Samiri yang telah suruh puak-puak itu untuk minta balik barang kemas mereka kerana dia nak jadikan patung. Samiri telah menghasut orangramai untuk minta barang kemas mereka kepada ketua-ketua kaum itu. Maka, mereka ramai-ramai datang kepada ketua-ketua mereka meminta barang kemas mereka untuk diberikan kepada Samiri. Itulah beban yang mereka maksudkan. Apabila puak mereka telah mendesak, jadi mereka terpaksa beri.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat-ayat yang seterusnya.

———————————————————

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 020: Taha. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s