Tafsir Surah Taha Ayat 65 – 76

Ini adalah sambungan dari ayat-ayat sebelum ini.

Ayat 65: Sekarang sudah bermula pertandingan diantara Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir itu di hadapan ramai orang.

20:65
Transliteration

qālū yā-mūsā ˈimmā ˈan tulqiya wa-ˈimmā ˈan nakūna ˈawwala man ˈalqā

Sahih International

They said, “O Moses, either you throw or we will be the first to throw.”

Malay

Mereka berkata: “Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?”

قَالُوا يَا مُوسَىٰ

Mereka berkata: “Wahai Musa!

إِمَّا أَنْ تُلْقِيَ

Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu

وَإِمَّا أَنْ نَكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَىٰ

atau kamikah yang mula-mula mencampak?”

Ahli-ahli sihir itu telah memberi pilihan kepada Nabi Musa untuk menentukan siapakah yang baling dahulu. Persoalan yang kita terfikir dalam ayat ini adalah mana satukah yang lebih baik? Adakah yang mula dahulu atau yang kemudian? Ada yang berpendapat lebih baik musuh menunjukkan kekuatan mereka supaya kita boleh lihat kekuatan mereka dahulu dan kita boleh bertindak mengikut apa yang kita telah dapat maklumat. Tapi ada juga yang berpendapat lebih baik kita yang mulakan dahulu. Maknanya, kita terus tunjukkan kekuatan kita sampaikan musuh tidak boleh hendak melawan lagi. Tidak dapat dipastikan dengan tepat mana satukah yang lebih baik.

Tapi apakah senario semasa kejadian itu? Dari riwayat, Firaun dikatakan sentiasa sahaja mencari peluang untuk membunuh Nabi Musa. Dari Nabi Musa kecil lagi – kerana dia tahu Nabi Musa itu adalah dari kalangan Bani Israil. Dan apabila Nabi Musa terbunuh seorang lelaki Qibti tanpa sengaja, dia terus hendak mengambil peluang itu untuk membunuh Nabi Musa. Menunjukkan dia dari mula lagi tidak suka kepada seorang Nabi, walaupun belum lagi Nabi Musa menjadi Nabi waktu dia masih bayi dan membunuh lelaki Qibti itu. Oleh kerana Firaun, tidak menghormati seorang Nabi, maka beliau tidak diberikan dengan hidayah untuk masuk Islam. Ini adalah satu pendapat mufassir.

Itu menunjukkan kepentingan menghormati seorang Nabi. Kalau Firaun tidak menghormati seorang Nabi, ahli-ahli sihir itu lain pula. Mereka ada sedikit rasa hormat kepada Nabi Musa. Sebab itulah mereka memberi peluang kepada Nabi Musa untuk memilih samada Nabi Musa hendak mula dahulu atau mereka yang mula. Mereka juga seperti kita tahu dalam ayat-ayat sebelum ini, telah terkesan dengan amaran Nabi Musa. Oleh kerana mereka menghormati seorang Nabi, maka akhirnya mereka telah diberikan hidayah, apabila nanti dalam ayat-ayat seterusnya kita akan tahu bahawa mereka telah tunduk sujud dan beriman.

Seorang lagi yang menghormati Nabi Musa adalah isteri kepada Firaun, Asiah. Dari kecil lagi, dialah yang telah menghalang Firaun dari membunuh Nabi Musa. Maka, dia juga telah diberikan hidayah oleh Allah. Dia juga telah mati dalam Islam.

Allahu a’lam.


 

Ayat 66:

20:66
Transliteration

qāla bal ˈalqū fa-ˈiḏā ḥibāluhum wa-ʿiṣiyyuhum yuḫayyalu ˈilayhi min siḥrihim ˈannahā tasʿā

Sahih International

He said, “Rather, you throw.” And suddenly their ropes and staffs seemed to him from their magic that they were moving [like snakes].

Malay

Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”. Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.

قَالَ بَلْ أَلْقُوا

Nabi Musa menjawab: “Bahkan kamulah campak dahulu”.

Nabi Musa mendapat wahyu dari Allah untuk suruh mereka yang campak dahulu. Supaya Nabi Musa dapat melihat apakah helah mereka.

فَإِذَا حِبَالُهُمْ

Tiba-tiba tali-tali mereka

Ahli-ahli sihir itu bukan sahaja menggunakan tongkat dalam sihir mereka, tapi mereka juga menggunakan tali.

وَعِصِيُّهُمْ

dan tongkat-tongkat mereka;

mereka sudah tahu bahawa Nabi Musa pernah menjadikan tongkat baginda menjadi ular. Iaitu semasa Nabi Musa menunjukkan mukjizat itu kepada Firaun semasa pertama sekali mereka berjumpa. Oleh itu, ahli-ahli sihir itu pun menggunakan cara yang sama. Mereka datang kepada majlis pertandingan itu dengan membawa tongkat-tongkat dan tali-tali.

يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِنْ سِحْرِهِمْ

terbayang-bayang kepada Musa disebabkan sihir mereka

Sihir mereka bukanlah yang benar. Maksudnya, tidaklah tali dan tongkat mereka itu benar-benar menjadi ular, tapi ianya hanyalah mengelabui mata sahaja. Ianya terbayang-bayang sahaja kepada mereka yang melihatnya. Kalau dalam bahasa kita, kita selalu gunakan istilah ‘Silap Mata’.

أَنَّهَا تَسْعَىٰ

seolah-olah benda-benda berjalan;

macam ular yang berjalan dengan cepat. Sebenarnya bukan betul jadi ular. Ini adalah sihir silap mata. Mengelabui mata penonton sampaikan mereka sangka mereka melihat benar-benar tali dan tongkat-tongkat itu jadi ular. Padahal tidak berubah pun sebenarnya. Tapi mereka memang hebat sampaikan Nabi Musa sendiri nampak bagaikan ianya adalah ular-ular yang benar. Dan ular-ular itu nampak kepada Nabi Musa bergerak dengan cepat.

 


 

Ayat 67:

20:67
Transliteration

fa-ˈawǧasa fī nafsihī ḫīfatan mūsā

Sahih International

And he sensed within himself apprehension, did Moses.

Malay

Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.

فَأَوْجَسَ فِي نَفْسِهِ

Maka terasalah pada jiwanya;

terasa sedikit rasa takut dalam hatinya. Tapi jenis takut yang boleh disimpan. Sekejap sahaja dia terasa takut. Dia berjaya menyorok rasa takut itu. Perkataan أَوْجَسَ bermaksud perasaan yang disimpan. Tidak ditunjukkan.

خِيفَةً مُوسَىٰ

ketakutan kepada Musa;

Timbul sedikit rasa takut dalam hatinya itu kerana dia nampak beratus atau beribu ular di hadapannya. Dari sini, kita dapat tahu bahawa para Nabi pun ada rasa takut juga. Dan kita dapat belajar bahawa tidaklah perlu ada rasa malu kalau ada rasa takut dalam diri kita. Kerana kita adalah manusia biasa.

Ada mufassir yang mengatakan bahawa Nabi Musa takut itu adalah takut rakyat yang ramai-ramai itu akan terpengaruh dengan helah ahli-ahli sihir itu.

Pada malam sebelum perang Badr, Nabi telah berdoa dengan lama sekali sambil mengangkat tinggi tangan baginda sampai terjatuh selendang dari bahu baginda. Abu Bakr lah yang datang dan nampak selendang itu jatuh dan meletakkan pada bahu baginda kembali. Nabi Muhammad pun ada sedikit rasa takut. Ianya adalah satu perasaan yang normal. Kerana para Nabi kita semuanya adalah manusia juga.

 


 

Ayat 68:

20:68
Transliteration

qulnā lā taḫaf ˈinnaka ˈanta l-ˈaʿlā

Sahih International

Allah said, “Fear not. Indeed, it is you who are superior.

Malay

Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.

قُلْنَا لَا تَخَفْ

Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)!

إِنَّكَ أَنْتَ الْأَعْلَىٰ

Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi

Allah beritahu kepada Nabi Musa bahawa baginda pasti dapat mengatasi mereka; kamu lebih tinggi dari mereka. Allah memberitahu Nabi Musa bahawa baginda tidak perlu risau. Dia akan dapat mengalahkan mereka.

 


 

Ayat 69:

20:69
Transliteration

wa-ˈalqi mā fī yamīnika talqaf mā ṣanaʿū ˈinnamā ṣanaʿū kaydu sāḥirin wa-lā yufliḥu s-sāḥiru ḥayṯu ˈatā

Sahih International

And throw what is in your right hand; it will swallow up what they have crafted. What they have crafted is but the trick of a magician, and the magician will not succeed wherever he is.”

Malay

“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”.

وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ

Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu;

Allah yang mengarahkan Nabi Musa mencampakkan tongkat itu. Allah sebut yang di ‘tangan kanan’ baginda. Seperti dalam ayat-ayat sebelum ini, yang di tangan kanan Nabi Musa adalah tongkat itu. Apa yang terjadi semasa pertama kali itu adalah latihan untuk Nabi Musa menerima arahan dari Allah.

Kita lihat dalam ayat ini, Allah lah yang suruh Nabi Musa campakkan tongkat itu, baru Nabi Musa campak. Oleh itu, kalau bukan Allah yang suruh, tongkat itu tidak akan menjadi ular. Kalau Nabi Musa campak suka-suka sahaja, tidak boleh ianya bertukar menjadi ular. Ini adalah mukjizat dan mukjizat hanya terjadi apabila Allah kehendaki.
Maka, kalau ada guru-guru yang sesat, yang boleh buat perkara-perkara ajaib, dan mereka buat itu dengan kehendak mereka, maka ianya adalah sihir, bukan keramah atau maunah. Kerana keramah dan maunah juga adalah dari kehendak Allah juga. Bukan dengan kehendak pembuat. Kita selalu dengar ada guru yang boleh pergi ke tempat-tempat lain dengan sekelip mata, ada ilmu kebal, boleh dengar percakapan orang lain, boleh rasa perasaan orang lain dan sebagainya, itu semua adalah sihir. Maka, kita hendaklah berhati-hati dengan apa yang mereka tunjukkan itu. Masyarakat kita memang mudah terpesona dengan perkara-perkara sebegitu dan menyebabkan mereka terus ikut kepada guru-guru sebegitu.

تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا

nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan;

تَلْقَفْ bermaksud menelan sesuatu dengan cepat. Tak kunyah pun. Makan dengan cepat. Senang sahaja ia akan makan.

إِنَّمَا صَنَعُوا كَيْدُ سَاحِرٍ

kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya sihir; كَيْدُ adalah plan terperinci yang ada niat jahat di dalamnya. Kalau perancangan yang tidak ada niat jahat, tidak digunakan perkataan كَيْدُ. Banyak usaha yang perlu dijalankan dalam perancangan itu. Ianya adalah sihir peringkat yang tinggi. Bukan main-main.

وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ

ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan; apa yang mereka amalkan itu adalah amalan dosa besar. Mereka tidak akan mendapat kebaikan. Mereka tidak akan mendapat kejayaan.

حَيْثُ أَتَىٰ

walau dari mana sahaja mereka datang.

Memang sihir adalah satu realiti. Kita katakan begini kerana mungkin dalam zaman moden ini, ada manusia yang kononnya sudah berfikiran moden tidak mahu menerima adanya sihir. Mereka cuba menjelaskan sihir itu dalam bentuk saintifik. Ketahuilah bahawa ianya memang wujud dan memang diamalkan dahulu sampailah sekarang. Sebab itu ianya disebut dalam Quran. Dan Quran itu kekal sampai bila-bila.

Sihir adalah satu amalan syirik. Untuk sihir itu menjadi, pengamalnya perlu menggunakan jin syaitan. Untuk berkawan dengan jin syaitan itu, seseorang itu perlu melakukan perkara-perkara syirik, barulah mereka mahu berkawan. Ini disebut dalam ayat Quran yang lain. Apabila mengamalkan amalan syirik, mereka akan kekal dalam neraka sampai bila-bila.

Tidak akan jadi baik hasil daripada amalan sihir itu. Sebab itu, amatlah merbahaya apabila dalam media sekarang, banyak filem-filem yang menaikkan kedudukan sihir, contohnya kisah Harry Porter. Anak-anak kita rasa seperti amalan sihir itu adalah baik dan dibolehkan. Mereka sangkakan bahawa sihir itu ada dua jenis: sihir putih dan sihir hitam. Padahal, segala bentuk sihir adalah salah dan syirik. Hukum mengamalkan sihir adalah dibunuh dalam Islam.

Dalam ayat ini, Allah beritahu Musa yang ahli sihir itu tidak akan berjaya menentangnya.

Ayat  وَلَا يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ ini boleh dibaca untuk memutuskan perbuatan sihir. Apabila kita berhadapan dengan perbuatan sihir dari orang lain, maka kita boleh bacakan ayat ini. Dengan harapan Allah akan memotong sihir itu dengan doa kita.

 


 

Ayat 70: Apabila tongkat Nabi Musa bertukar menjadi ular, ianya menelan jelmaan ular-ular yang telah disilap-matakan oleh tukang-tukang sihir itu. Tapi apabila Nabi Musa mengambil balik ular itu, dan ianya menjadi tongkat semula, tongkat itu macam biasa sahaja. Tidaklah ianya menjadi besar. Kerana kalau benar tongkat itu sudah makan ular itu, patutnya besarlah, tapi tidak. Bermakna, bukan ada apa yang dimakannya.

Ahli-ahli sihir itu terkejut. Semua yang ada dalam majlis itu nampak apa yang terjadi. Kita manusia yang hidup pada zaman moden ini boleh bayangkan keadaan waktu itu. Sebab kita banyak tengok filem. Itulah satu kelebihan kita yang hidup di zaman moden ini.

20:70
Transliteration

fa-ˈulqiya s-saḥaratu suǧǧadan qālū ˈāmannā bi-rabbi hārūna wa-mūsā

Sahih International

So the magicians fell down in prostration. They said, “We have believed in the Lord of Aaron and Moses.”

Malay

(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa”.

فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا

Ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud.

Kita boleh faham tentang sujud sebab kita orang Islam. Tapi bagaimana dengan tukang-tukang sihir itu? Mereka bukan orang Islam, lalu bagaimana mereka tahu yang mereka perlu sujud? Sebenarnya mereka secara otomatik telah jatuh sujud kerana mereka terkejut sangat. Mereka seperti tidak ada pilihan lain. Mereka sujud itu di hadapan orang ramai dan itu telah amat mengecewakan dan menaikkan kemarahan Firaun.

Ramai manusia yang nampak kejadian itu. Tapi yang dikatakan jatuh sujud adalah tukang-tukang sihir itu. Kenapa mereka sahaja yang sujud tapi tidak disebut orang ramai itu? Kerana mereka adalah pakar dalam ilmu sihir dan mereka tahu mana satukah sihir dan mana yang tidak. Mereka tahu bahawa apa yang Nabi Musa lakukan itu bukanlah sihir. Maka mereka tahu bahawa ianya adalah dari Tuhan. Kerana manusia atau jin memang tidak boleh buat macam itu.

Adakah kita macam itu juga? Apabila melihat kebenaran, adakah kita akan mengikut seperti mereka yang menerima kebenaran itu tanpa soal?

قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَىٰ

Sambil mereka berkata: “Kami beriman kepada Tuhan Nabi Harun dan Nabi Musa”;

Kerana ahli-ahli sihir itu tahu bahawa tidak ada orang yang boleh mengalahkan sihir mereka melainkan seorang Nabi. Kerana mereka telah belajar perkara itu dari guru mereka. Guru mereka mengajar bahawa kalau ada yang boleh mengalahkan sihir mereka sebegitu rupa, itu bukan lagi sihir tapi itu adalah mukjizat dan manusia yang melakukannya adalah seorang Nabi.

Dalam ayat lain, Quran selalunya menyebut Nabi Musa dahulu, baru disebut Nabi Harun. Tapi dalam ayat ini, disebut ‘Tuhan Nabi Harun’, kemudian baru disebut nama Nabi Musa. Banyak pendapat dikeluarkan tentang kenapakah susunan seperti ini. Ada yang kata ianya adalah susunan biasa sahaja, tapi kita memegang pendapat bahawa ada makna dalam susunan perkataan yang Allah gunakan dalam Quran. Antara hujah yang dikeluarkan kenapa nama Nabi Harun disebut dahulu adalah: kerana Allah hendak memberi penghormatan kepada Nabi Harun. Kerana dalam ayat-ayat sebelum ini, kita boleh lihat bagaimana Firaun hanya bercakap dengan Nabi Musa sahaja. Dia buat tak kisah sahaja kepada Nabi Harun, padahal Nabi Musa datang dengan Nabi Harun. Itu menunjukkan bagaimana tidak beradab Firaun itu. Jadi dalam ayat ini, Allah memuliakan Nabi Harun dengan menyebut namanya dahulu. Allahu a’lam.


 


Ayat 71: Ayat ini menyebut satu lagi helah yang digunakan Firaun. Tembelang dia dah pecah sekarang. Ahli-ahli sihir yang sepatutnya menyebelahinya telah mengikut dan menerima Nabi Musa. Mereka itu dipandang tinggi dalam masyarakat, jadi perbuatan mereka itu bukanlah sesuatu yang biasa sahaja. Mereka tidak akan buat begitu jikalau mereka tidak melihat kebenaran. Firaun tidak sangka akan terjadi sampai macam itu. Dia ingatkan tukang-tukang sihir itu akan terus menyebelahinya. Tapi ini dah jadi lain. Jadi, dia kena memikirkan strategi yang lain:

20:71
Transliteration

qāla ˈāmantum lahū qabla ˈan ˈāḏana lakum ˈinnahū la-kabīrukumu llaḏī ʿallamakumu s-siḥra fa-la-ˈuqaṭṭiʿanna ˈaydiyakum wa-ˈarǧulakum min ḫilāfin wa-la-ˈuṣallibannakum fī ǧuḏūʿi n-naḫli wa-la-taʿlamunna ˈayyunā ˈašaddu ʿaḏāban wa-ˈabqā

Sahih International

[Pharaoh] said, “You believed him before I gave you permission. Indeed, he is your leader who has taught you magic. So I will surely cut off your hands and your feet on opposite sides, and I will crucify you on the trunks of palm trees, and you will surely know which of us is more severe in [giving] punishment and more enduring.”

Malay

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal”.

قَالَ آمَنْتُمْ لَهُ

Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepada Musa

قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ

sebelum aku memberi izin kepada kamu?;

Kononnya kena minta izin dia dulu kalau nak sembah tuhan lain. Begitu sombongnya Firaun. Dia sebenarnya mempunyai ego yang amat besar. Dia sebenarnya mahu mengawal semua orang. Jadi apabila mereka beriman tanpa kebenaran dia, itulah sebabnya dia marah sangat. Nampaknya Firaun bukan kisah sangat mereka hendak beriman dengan apa pun. Yang dia marah adalah mereka beriman tanpa kebenaran dia.

إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ

Sesungguhnya dia lah ketua kamu;

Ini adalah cubaan Firaun untuk mengawal keadaan. Dia tak mahu ramai lagi rakyat yang mengikut. Kalau dia tak cakap apa-apa, tentunya rakyat akan terikut juga. Maka dia buat satu tohmahan kepada Nabi Musa. Dia kata ini semua adalah helah Nabi Musa. Dia kata rupa-rupanya Nabi Musa itu adalah ketua kepada ahli-ahli sihir itu. Memang sudah rancangan Nabi Musa dari dulu lagi. Itulah tuduhan dia terhadap mereka semua. Lihatlah betapa pandainya Firaun.

الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ

yang mengajar sihir kepada kamu;

Bukan sahaja dia kata Nabi Musa adalah ketua tukang-tukang sihir itu, tapi dia juga tuduh Musa yang mengajar sihir kepada tukang-tukang sihir itu.

فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ

Pasti aku akan memotong tangan kamu semua;

Ada penekanan dari segi bahasa di sini kerana ada huruf ل dalam perkataan فَلَأُقَطِّعَنَّ. Menunjukkan memang Firaun akan buat. Dia bukan cakap kosong-kosong sahaja. Dan kita pun kenal Firaun, dia memang tidak ada hati perut. Dia boleh buat kalau dia mahu. Sedangkan bayi-bayi yang masih kecil pun dia sanggup bunuh, apatah lagi kalau ahli-ahli sihir itu.

وَأَرْجُلَكُمْ

dan kaki kamu

Lihatlah betapa ganasnya Firaun itu.

خِلَافٍ

dengan bersilang;

Contohnya, potong tangan kanan dan potong kaki kiri. Atau potong tangan kiri dan kaki kanan.

وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ

dan aku akan salib kamu pada batang-batang pohon tamar;

Selepas dia dah potong kaki dan tangan mereka, Firaun tidak akan biarkan mereka mati macam itu. Tapi dia akan salib dan gantung mereka di pokok kurma. Bayangkan bagaimana ngerinya apa yang dia nak buat itu. Bayangkan satu kebun kurma yang besar, dan di setiap pokok akan ada seorang tukang sihir yang telah disalib. Dengan tangan dan kaki mereka telah dipotong. Maka mereka akan mati kerana kehabisan darah.

Apabila perkataan فِي digunakan dalam ayat ini, menunjukkan bahawa Firaun akan membiarkan mereka di pokok kurma itu sampai mereka hancur. Pokok kurma itu akan menjadi kubur mereka. Tidak boleh mereka diturunkan dan diberikan pengkebumian yang sempurna. Mereka akan dibiarkan sampai mereka reput di situ. Firaun nak buat begitu kerana dia hendak memberi pengajaran kepada orang lain supaya jangan lawan dia.

Ibn Abbas mengatakan, Firaun adalah orang yang pertama yang melakukan seksaan sebegini. Tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun sebelum itu.

Bandingkan dengan apa yang dilalui oleh para sahabat Nabi semasa di Mekah. Bagaimana mereka juga telah diseksa. Ingat kembali kisah Bilal yang diseksa Abu Jahal. Abu Jahal telah meletakkan batu besar di atas Bilal. Kalau kita lihat perkara yang sama dibuat kepada binatang pun kita akan marah juga. Ini kan pula kepada manusia.

Bagaimana pula dengan seorang sahabat yang bernama Khabbab? Beliau telah diheret atas batu panas. Sampaikan rosak belakang beliau. Apabila Saidina Umar ditimpa kesusahan, beliau akan meminta lihat belakang Khabbab untuk mengingatkan bahawa ada lagi orang lain yang telah mengalami kesusahan lagi teruk dari beliau.

وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَا أَشَدُّ عَذَابًا

pasti kamu akan mengetahui siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya

Firauan hendak menekankan kepada rakyatnya bahawa beliaulah yang lebih hebat dan boleh beri azab yang lebih keras dari Allah.

وَأَبْقَىٰ

dan lebih kekal azab;

Dia nak kata: “akukah yang boleh beri azab yang lebih keras dan kekal atau Tuhan Nabi Musa?” Dia nak kata, dia boleh beri azab yang lebih lagi dari Allah. Firaun telah mencabar Allah dalam ayat ini.

 


 

Ayat 72:

20:72
Transliteration

qālū lan nuˈṯiraka ʿalā mā ǧāˈanā mina l-bayyināti wa-llaḏī faṭaranā fa-qḍi mā ˈanta qāḍin ˈinnamā taqḍī hāḏihi l-ḥayāta d-dunyā

Sahih International

They said, “Never will we prefer you over what has come to us of clear proofs and [over] He who created us. So decree whatever you are to decree. You can only decree for this worldly life.

Malay

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.

قَالُوا لَن نُّؤْثِرَكَ

Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu

Ahli-ahli sihir itu sudah tidak mengendahkan lagi Firaun. Kalau sebelum itu, mereka hendak mendapatkan imbuhan dan upah yang banyak dari Firaun, sekarang tidak lagi. Apabila iman sudah masuk ke dalam hati mereka, mereka tidak kisah kepada perkara lain lagi dah.

عَلَىٰ مَا جَاءَنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ

daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata;

Iaitu kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa tadi. Macam mana mereka sampai jadi begini? Bagaimana mereka boleh jadi berani sebegini? Tidak takutkah mereka kepada Firaun yang maha zalim itu? Kita kena ingat bahawa mereka adalah pakar dalam ilmu sihir. Dan apabila mereka lihat apa yang dilakukan oleh Nabi Musa, mereka tahu bahawa itu bukanlah sihir. Kerana mereka kenal sangat apakah sihir dan itu bukanlah sihir. Maka, mereka tahu bahawa ianya datang dari Tuhan. Maka, mereka tahu manakah yang lebih penting dan lebih benar.

Begitulah Allah menunjukkan kebenaran. Yang nampak kebenaran itu adalah orang-orang yang tahu, yang berilmu dan bijak. Mereka adalah orang yang sepatutnya boleh menilai dan mensahkan kebenaran sihir itu kerana mereka memang pakar sihir. Begitu jugalah dengan Quran. Lihatlah bagaimana orang Arab yang pada masa itu amat mahir dengan bahasa telah terkesima dan terpegun apabila mereka mendengar Quran dibacakan. Mereka tahu bahawa ianya bukanlah bahasa manusia. Kalau ianya bukan bahasa manusia, tentulah ianya adalah Kalam Allah. Yang tidak mahu menerima itu adalah hanya mereka-mereka yang sombong.

وَالَّذِي فَطَرَنَا

dan Tuhan yang telah menciptakan kami; yang menjadikan kita semua. Perkataan فَطَرَ bermaksud ‘yang mula-mula menjadikan’. Kerana kadang-kadang kita menjadikan sesuatu, tapi ianya diambil dari bahan-bahan yang sudah ada dalam alam. Atau kita mencipta sesuatu tapi diambil contoh dari benda lain. Maksud فَطَرَ itu bermaksud, sebelum itu kita tidak ada. Tidak ada contoh yang digunakan untuk mencipta kita.

فَاقْضِ مَا أَنتَ قَاضٍ

Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan; “buatlah apa kamu nak buat. Kami dah buat yang kami hendak buat”. Inilah keberanian mereka. Oleh itu, sedarlah kita bahawa iman memerlukan keberanian.

Mereka tahu bahawa Firaun sangat kejam dan mampu melakukan apa yang dia kata nak buat itu. Tapi apakah yang menyebabkan mereka begitu berani? Ada riwayat yang mengatakan semasa mereka jatuh sujud itu, Allah memperlihatkan kepada mereka bayangan syurga.

Atau, walaupun mereka baru beriman, tapi mereka sudah mendengar ceramah-ceramah dari Nabi Musa sebelum ini. Mereka telah curi-curi dengar dakwah baginda untuk mengenali Nabi Musa. Kadang-kadang sebelum perlawanan bola contohnya, kita akan lihat bagaimanakah permainan lawan kita supaya kita tahu kekuatan dan kelemahan mereka. Oleh itu, ahli-ahli sihir itu telah tahu apakah mesej yang dibawa oleh Nabi Musa. Cuma waktu itu mereka tidak percaya sahaja. Maka, apabila mereka lihat apa yang terjadi, mereka tahu bahawa apa yang dikatakan oleh Musa itu adalah kebenaran belaka. Maka, kalau begitu, mereka sudah tahu apakah neraka, syurga dan siapakah Tuhan yang sebenarnya. Maka, ini juga menunjukkan bahawa walaupun seseorang itu mendengar ceramah agama, belum tentu mereka sudah beriman. Ada juga yang hanya mendengar-dengar sahaja, tapi iman tidak masuk ke dalam hati mereka. Sehinggalah Allah memasukkan iman ke dalam hati seseorang itu.

إِنَّمَا تَقْضِي هَٰذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja;

Di akhirat kamu dah tak boleh nak azab kami. Maka, buatlah apa yang kamu hendak buat, wahai Firaun.

Apabila sudah dipotong kaki dan tangan, tak lama selepas itu akan mati – dalam beberapa minit sahaja, bukan lama kalau nak dibandingkan dengan alam akhirat. Yang Firaun nak salib itu hanyalah untuk tunjuk kepada orang ramai sahaja. Sewaktu mereka disalib itu, mereka sudah lama mati.

Mereka hanya risaukan tentang akhirat. Akhirat lebih penting. Perkataan الدُّنْيَا berasal dari perkataan دنو yang bermaksud ‘dekat’ dan ‘rendah’. Akhirat itu lebih tinggi.

Begitulah Allah memberikan hidayahNya kepada sesiapa yang Dia mahu. Mereka awalnya bersepakat menentang Nabi Musa dan Harun tapi dihujungnya mereka menjadi orang beriman. Dan kita sampai sekarang membacakan kisah mereka.

Ini untuk mengingatkan kepada para sahabat bahawa apa sahaja yang Musyrikin Quraish boleh lakukan kepada mereka adalah hanya dalam perkara dunia sahaja. Mereka hendaklah bersabar. Memang waktu itu mereka merasakan bahawa apa yang mereka hadapi dari Quraish itu sudah teruk dah. Tapi Allah hendak memberitahu kepada mereka bahawa ada lagi orang yang terdahulu yang dapat lagi teruk dari mereka.

Dalam riwayat, bukan sahaja tukang sihir menyatakan iman mereka, tapi isteri Firaun, Asiah juga menyatakan keimanannya. Firaun tidak dapat kawal lagi perasaannya. Asiah juga telah dihukum. Ditarik kaki dan tangannya sampai putus dan dijatuhkan batu yang besar dari atas untuk membunuhnya. Tapi nyawanya telah ditarik sebelum badannya dihancurkan oleh batu itu. Allah telah menarik nyawanya supaya dia tidak merasa siksa dihempap batu besar itu.

 


 

Ayat 73: Ini adalah jawapan ahli-ahli sihir itu dengan ancaman Firaun untuk menyeksa mereka.

20:73
Transliteration

ˈinnā ˈāmannā bi-rabbinā li-yaġfira lanā ḫaṭāyānā wa-mā ˈakrahtanā ʿalayhi mina s-siḥri wa-llāhu ḫayrun wa-ˈabqā

Sahih International

Indeed, we have believed in our Lord that He may forgive us our sins and what you compelled us [to do] of magic. And Allah is better and more enduring.”

Malay

“Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.

إِنَّا آمَنَّا بِرَبِّنَا

Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami,

Mereka dengan beraninya menyatakan keimanan mereka. Kita pun kena ikut apa yang mereka katakan ini. Jangan takut mengaku beriman.

لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَايَانَا

supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami;

Mereka tahu mereka telah banyak berbuat dosa lebih-lebih lagi dosa mengamalkan sihir. Mereka meminta ampun kepada Allah. Mereka mengaku mereka telah salah.

وَمَا أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السِّحْرِ

dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya;

Firaun lah yang telah memaksa mereka menentang Nabi Musa dan Nabi Harun dengan sihir itu. Tapi mereka juga telah meminta habuan dari Firaun dulu. Bagaimana mereka kata mereka dipaksa? Tapi sebenarnya dalam ayat 62, mereka telah tidak mahu melakukannya kerana mereka telah terkesan dengan kata-kata Nabi Musa. Tapi mereka terpaksa ikut walaupun mereka dah rasa tak sedap hati. Kerana mereka takut mereka akan kena hukum dengan Firaun. Itulah maksudnya mereka telah dipaksa.

Ada riwayat yang mengatakan mereka bukan nak datang, tapi setelah dihantar tentera-tentera Firaun untuk memaksa mereka, maka mereka terpaksa ikut.

وَاللَّهُ خَيْرٌ

Dan Allah jualah yang lebih baik;

Lebih baik untuk kita mengharap belas kasihan. Lebih baik untuk mengharap balasan. Allah lebih baik dari segala-galanya.

وَأَبْقَىٰ

dan lebih kekal balasan; 

Lebih kekal dari apa yang Firaun boleh bagi dan lebih kekal seksaan kalau mereka buat kesalahan kalau nak dibandingkan dengan apa yang Firaun nak seksa mereka itu.

 


 

Ayat 74: Tidak pasti samada ini adalah dari kata-kata tukang sihir itu atau kata-kata dari Allah. Berdasarkan dari maklumat yang diberikan yang begitu detail sekali, maka lebih sesuai dikatakan bahawa ianya dari Allah.

20:74
Transliteration

ˈinnahū man yaˈti rabbahū muǧriman fa-ˈinna lahū ǧahannama lā yamūtu fīhā wa-lā yaḥyā

Sahih International

Indeed, whoever comes to his Lord as a criminal – indeed, for him is Hell; he will neither die therein nor live.

Malay

“Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.

إِنَّهُ مَنْ يَأْتِ رَبَّهُ مُجْرِمًا

Sesungguhnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat dalam keadaan berdosa;

Lebih-lebih lagi kalau melakukan dosa syirik. Setiap manusia akan bertemu dengan Allah seorang-seorang. Kita semua akan kena jawap kepada Allah tentang apa yang kita lakukan semasa di dunia.

فَإِنَّ لَهُ جَهَنَّمَ

maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam

لَا يَمُوتُ فِيهَا

yang ia tidak mati di dalamnya;

Mereka tidak akan mati. Kerana tidak ada lagi kematian di akhirat kelak. Memang mereka hendak sangat supaya mereka dimatikan, kerana tak tahan dengan seksaan yang dikenakan, tapi kematian tidak akan berlaku. Ada riwayat yang mengatakan bahawa ‘mati’ akan dipanggil dan ‘disembelih’ oleh Allah seperti menyembelih kambing. Bermakna, sudah tidak ada lagi kematian selepas itu. Kehidupan adalah kekal sampai bila-bila. Ianya adalah satu kegembiraan kepada ahli syurga dan satu penyesalan kepada ahli neraka. Mereka sedar bahawa mereka akan menerima seksaan pedih itu sampai bila-bila. Alangkah sedihnya dan alangkah menyesalnya kita waktu itu kalau kita dalam keadaan begitu.

وَلَا يَحْيَىٰ

dan tidak pula hidup

Kenapa dikatakan tidak hidup? Kerana kehidupan yang mereka lalui itu tidak boleh dipanggil ‘hidup’. Kerana teruk sangat seksaan yang mereka kena hadapi, sepanjang masa. Tidak layak dipanggil ‘hidup’ lagi dah.

 


 

Ayat 75: Sekarang, Allah bandingkan dengan orang yang berjaya pula.

20:75
Transliteration

wa-man yaˈtihī muˈminan qad ʿamila ṣ-ṣāliḥāti fa-ˈulāˈika lahumu d-daraǧātu l-ʿulā

Sahih International

But whoever comes to Him as a believer having done righteous deeds – for those will be the highest degrees [in position]:

Malay

“Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:

وَمَنْ يَأْتِهِ مُؤْمِنًا

Dan sesiapa yang datang kepadaNya dalam keadaan ia beriman,

Iaitu mereka yang percaya benar kepada Allah dan tidak melakukan dosa syirik. Atau kalau dia pernah melakukan dosa syirik, dia sempat bertaubat sebelum dia mati.

قَدْ عَمِلَ الصَّالِحَاتِ

serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh;

Bukan hanya ‘beriman’ sahaja, tapi kena ada berbuat amalan yang soleh, iaitu amalan yang baik. Amalan yang baik adalah amalan yang diambil caranya dari ajaran Allah dan Nabi. Bukan amalan bidaah yang direka oleh manusia. Tidak kira samada ianya adalah bidaah hasanah atau tidak. Tidak ada istilah bidaah hasanah dalam Islam kalau kita perhatikan. Pemahaman bidaah hasanah kebanyakan masyarakat Islam hari ini adalah amat tersasar jauh. Mereka sangka mereka melakukan kebaikan, tapi tidak sebenarnya.

Ayat ini memberikan penekanan kepada ‘kualiti’ amalan, bukan kuantiti. Ini kita dapat tahu dari segi bahasa yang digunakan. Perkataan الصَّالِحَاتِ yang digunakan adalah dalam bentuk jamak (plural) tapi jamak yang sikit. Maknanya, bukanlah Allah mahukan kita melakukan amalan ibadah dengan banyak. Walaupun sikit tapi pastikan ianya adalah berkualiti. Kalau kita boleh buat dalam kualiti yang baik dan lebih banyak, maka ianya lebih baik lagi. Tapi jangan kita kejar kuantiti, sampai kita lupakan kualiti amalan ibadah kita itu.

Tapi apakah amalan yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir itu? Mereka telah dibunuh dengan kejam oleh Firaun selepas mereka sujud – tidak sempat nak buat amalan ibadah. Nampak macam tidak ada amalan langsung yang mereka buat tapi perhatikan bahawa mereka melakukan sujud di khalayak ramai dan juga telah menyatakan keimanan mereka di khalayak ramai. Itu adalah amalan yang berkualiti. Kerana bukan senang untuk melakukannya.

لَهُمُ الدَّرَجَاتُ الْعُلَىٰ

maka mereka itu akan beroleh darjat-darjat yang amat tinggi;

ل yang membawa makna mereka layak terima darjat itu.

الْعُلَىٰ sekali lagi menggunakan kaedah jamak yang sedikit. Ini bermaksud tidak ramai yang akan mendapat tingkatan yang tinggi ini. Dalam istilah zaman sekarang, ia dipanggil Eksklusif. Apabila tidak ramai, maka Allah mahu kita meningkatkan lagi kualiti ibadah kita. Seperti kalau kita nak naik tiket kelas pertama kapal terbang, kenalah bayar mahal.

 


 

Ayat 76: Selepas Allah menyebutkan balasan yang baik yang akan diberikan kepada mereka yang datang kepada Allah dalam keadaan seorang mukmin dan beramal soleh, maka Allah memberitahu sedikit tentang apakah yang mereka akan dapat di syurga nanti. Ini adalah sebagai preview.

20:76
Transliteration

ǧannātu ʿadnin taǧrī min taḥtihā l-ˈanhāru ḫālidīna fīhā wa-ḏālika ǧazāˈu man tazakkā

Sahih International

Gardens of perpetual residence beneath which rivers flow, wherein they abide eternally. And that is the reward of one who purifies himself.

Malay

“(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat”.

جَنَّاتُ عَدْنٍ

(Iaitu) Syurga-syurga Adnin;

Perkataan عَدْنٍ diambil dari kata yang bermaksud ‘kekal’. Sesiapa yang masuk syurga, akan kekal di dalamnya sampai bila-bila.

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;

Banyak perbincangan ulama tentang perkataan تَحْتِهَا (dibawahnya) itu. Apakah ianya bermaksud memang sungai itu mengalir dari bawah, dari celah-celah atau sebagainya? Ada pendapat yang mengatakan, oleh kerana ada perkataan مِنْ (dari) itu, ianya bermaksud sungai itu berasal dari taman-taman syurga dan memancar ke tempat-tempat lain.

خَالِدِينَ فِيهَا

mereka kekal di dalamnya;

Tidak akan keluar sampai bila-bila. Menikmati kenikmatan yang tidak ada hujungnya.

وَذَٰلِكَ جَزَاءُ

dan yang demikian itu ialah balasan; 

مَنْ تَزَكَّىٰ

orang-orang yang membersihkan dirinya;

Iaitu membersihkan diri dari sifat kufur dan maksiat. Perkataan زَكَّىٰ bermaksud ‘membersihkan sesuatu dari dalam’. Kita selalunya hanya melihat kepada kebersihan luaran sahaja. Itu pun penting juga tapi kenalah kita membersihkan dalaman juga. Iaitu membersihkan hati kita.

Kita kena cuba sebaik mungkin untuk membersihkan diri kita. Kerana perkataan تَزَكَّىٰ bermaksud mereka yang berusaha membersihkan diri. Allah menilai usaha kita, bukan dari kejayaan kita. Kerana kita mungkin tidak berjaya, tapi kalau kita sudah berusaha dengan sedaya upaya dan ikhlas, itu sudah diterima.

Tukang-tukar sihir itu masuk syurga kesemuanya. Walaupun mereka tidak pernah buat ibadat apa pun lagi. Kerana mereka semuanya telah dibunuh pada hari itu juga. Kisah mereka kita baca sampai ke hari ini. Begitulah hebatnya pengorbanan mereka sampaikan Allah telah meletakkan kisah mereka dalam Quran ini yang akan dibaca sampai Hari Kiamat.

Allahu a’lam

Lompat ke ayat-ayat yang seterusnya

=================================

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 020: Taha. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s