Tafsir Surah Zumar Ayat 41 – 52 (Nabi tiada kuasa tentukan syafaat)

Ayat 41: Dalil Wahyi – Titah Khas dari Allah.

إِنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتابَ لِلنّاسِ بِالحَقِّ ۖ فَمَنِ اهتَدىٰ فَلِنَفسِهِ ۖ وَمَن ضَلَّ فَإِنَّما يَضِلُّ عَلَيها ۖ وَما أَنتَ عَلَيهِم بِوَكيلٍ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran yang menyatakan segala kebenaran (untuk menjadi panduan hidup) kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beramal menurutnya), maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (tidak berpandu kepadanya), maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri; dan engkau (wahai Muhammad – hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai (keadaan dan bawaan) mereka.

إِنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ لِلنَّاسِ بِالْحَقِّ

Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan Kitab (Quran) kepada kamu (Muhammad) kepada semua manusia untuk menunjukkan kebenaran.

Dalam Quran itu ada kebenaran kepada siapa yang ingin mencari kebenaran. Tentang apakah yang perlu diamalkan dan apakah yang perlu ditinggalkan.

Perkataan بِالْحَقِّ bermaksud, Quran itu diturunkan dengan tujuan. Bukan turunnya suka-suka sahaja.

Allah beritahu yang Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada seluruh manusia, bukan hanya untuk baginda sahaja. Inilah Dalil Wahyi dari Allah, sebagai satu perintah kepada Nabi untuk sampaikan. Dan kerana itulah Nabi Muhammad sampaikan kepada umatnya. Inilah yang menyebabkan Musyrikin Mekah marah benar dengan Nabi Muhammad. Kalau baginda amalkan sendiri sahaja, mereka pun tak heran sangat, tapi mereka marah kerana Nabi sampaikan kepada orang lain. Tapi Nabi Muhammad memang kena sampaikan seperti yang tertulis dalam ayat ini, kerana itu adalah tugas baginda.

Dan dari ayat ini juga, kita tahu bahawa Quran ini untuk seluruh manusia, bukan kepada orang dan bangsa tertentu sahaja. Maka, kita yang sedang memikul tugas dakwah Nabi Muhammad juga kenalah berusaha untuk menyampaikan kepada manusia seluruhnya. Adakah kita sudah menjalankan tugas kita itu?

فَمَنِ اهْتَدَىٰ فَلِنَفْسِهِ

Sesiapa yang terpimpin mendapat hidayat, maka milik dialah hidayat itu.

Sesiapa yang mendapat dan menerima hidayah itu, kebaikan itu untuk dirinya sendiri sahaja. Tidak boleh dia hendak beri hidayah itu kepada orang lain. Tidak boleh dia nak beri keimanan kepada sesiapa sahaja, walaupun kepada anak isterinya sendiri.

 وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا

Sesiapa yang sesat, maka sesat itu hanyalah untuk diri dia sendiri.

Tak boleh bagi kesesatan itu kepada sesiapa termasuk anaknya sendiri pun. Anak dia tak boleh tanggung kesesatan yang telah dilakukan itu. Anak dia juga tidak boleh tanggung dosa seorang ayah yang dalam kesesatan itu. Kena tanggung sendiri-sendiri.

Walau bagaimanapun, seorang ayah boleh mengajar kesesatan itu kepada anaknya. Sebab anak-anak dia akan melihat apakah yang ayahnya lakukan. Anaknya mungkin rasa bahawa itu adalah perbuatan yang benar dan tidak salah. Maka, apabila dia dewasa, dia mungkin akan amalkan apa yang ayahnya amalkan jikalau dia sendiri tidak belajar agama dengan betul. Contohnya, kalau kalau seorang ayah itu mengamalkan ‘perasap keris keramat’ pada malam Jumaat dan amalan-amalan syirik yang lain, anak dia mungkin akan ikut buat juga. Tapi tak semestinya anak dia akan pasti ikut, sebab kita boleh lihat bagaimana ramai orang yang sesat, tapi anak mereka tak sesat pun.

Begitu jugalah kebanyakan dari masyarakat Islam kita sekarang, ramai yang ikut amalan ibubapa dan tok nenek mereka. Sebagai contoh, ramai yang mengamalkan Majlis Tahlil dan Doa Selamat dan selalunya, majlis itu dimulakan oleh tekong dengan bacaan: “ila hadratin nabi…” Itu adalah lafaz tawasul yang salah dan tidak boleh diamalkan. Tapi ianya banyak sekali diamalkan oleh mereka yang tidak belajar apakah tauhid dan apakah bidaah.

وَمَا أَنْتَ عَلَيْهِمْ بِوَكِيلٍ

Tidaklah kamu menjadi wakil ke atas mereka.

Maksud ‘wakil’ adalah ‘bertanggungjawab’. Nabi Muhammad tidak bertanggungjawab ke atas akidah dan amalan umat baginda. Tugas Nabi Muhammad hanya untuk beritahu sahaja ajaran tauhid itu kepada umatnya. Tapi Nabi tidak boleh paksa mereka untuk beriman dengan akidah tauhid. Nabi juga tak boleh nak sekat mereka daripada buat amalan yang salah. Sebagai contoh, walaupun baginda sayang bapa saudaranya Abu Talib tapi baginda tidak boleh membantu bapa saudaranya itu untuk beriman. Ianya amat mengecewakan Nabi, tapi dia pun tidak boleh buat apa-apa.

Begitu juga dengan kita, cuma boleh beri nasihat sahaja kepada manusia yang kita dakwahkan. Yang boleh beri hidayat hanyalah Allah sahaja. Nabi pun diberitahu tentang hal ini.


 

Ayat 42: Dalil Aqli

اللَّهُ يَتَوَفَّى الأَنفُسَ حينَ مَوتِها وَالَّتي لَم تَمُت في مَنامِها ۖ فَيُمسِكُ الَّتي قَضىٰ عَلَيهَا المَوتَ وَيُرسِلُ الأُخرىٰ إِلىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِقَومٍ يَتَفَكَّرونَ

Allah mengambil satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

 

اللَّهُ يَتَوَفَّى الْأَنْفُسَ حِينَ مَوْتِهَا

Allah yang mengambil jiwa-jiwa ketika matinya seseorang itu.

Allah menggunakan perkataan الْأَنْفُسَ dan bukan nufuus. Kerana nufuss bermakna lagi banyak (plural). Kalau nufuss digunakan, bermakna setiap hari akan lagi banyak manusia yang akan mati.

Perkataan نْفُسَ bermaksud ‘bernafas’. Jasad kita bernafas, dan roh kita bernafas dengan caranya. Itu isyarat kepada hidup.

Ayat ini bercerita pasal roh. Roh kita ada dua jenis: satu adalah roh yang diberi balasan nikmat atau azab kepadanya di akhirat nanti. Itu adalah roh yang mempunyai akal. Ianya ada juga dinamakan Roh Natiqah. Untuk lebih faham, bayangkan roh itu sebagai memory chip. Yang penting di dalam komputer itu adalah memory chip itu. Di dalamnya tersimpan segala maklumat tentang komputer itu. Kalau memory chip tu tiada, komputer itu tidak berfungsi. Samalah dengah roh yang mempunyai akal ini. Apabila badan sudah rosak nanti, badan akan dibuang dan roh kita sekarang ini akan diletakkan dalam badan yang baru. Apabila kita dibangkitkan di akhirat kelak, kita bukan dibangkitkan dalam tubuh kita sekarang, tapi kita akan diberi tubuh yang baru – yang mampu untuk terima azab neraka atau menerima nikmat di syurga. Kerana hebat sekali azab di neraka dan nikmat di syurga itu, sampaikan badan kita yang di dunia ini tidak akan mempu menerimanya.

Roh yang satu lagi, ialah yang jaga badan kita, yang meneruskan tubuh kita hidup dan bernyawa – dinamakan Roh Hayat. Apabila kita tidur, roh yang berakal itu akan keluar, jalan merata-rata. Itulah yang terjadi semasa kita bermimpi. Sebab itu dalam mimpi kita, macam-macam tempat kita pergi. Tapi roh yang satu lagi tinggal di badan kita. Kalau tak ada roh itu, badan kita akan hancur. Kalau dua-dua keluar diangkat kedua-duanya oleh Allah, badan kita ini akan hancur dan akan jadi busuk. Itulah yang terjadi apabila kita mati nanti. Dua-dua jenis roh itu akan keluar dan badan kita tidak berfungsi lagi dan badan kita akan menjadi mayat.

Ringkasnya, apabila seseorang itu ditakdirkan sudah sampai ajalnya, sudah ditakdirkan dia mati, kedua-dua jenis roh itu akan diangkat oleh Allah.

وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا

Dan roh yang belum mati, semasa dalam tidurnya.

Kalau orang itu tidur, Roh Akal sahaja yang diangkat, Roh Hayat dibiarkan di badan. Bermakna, dalam tidur pun Allah akan cabut juga roh orang itu, tapi hanya roh yang berakal sahaja. Ini terjadi apabila setiap hari kita tidur, ataupun ketika seseorang itu dalam keadaan koma.

Sebab itulah kita boleh dapat mimpi, kerana roh kita telah pergi ke merata tempat. Itulah sebabnya ada antara kita yang boleh dapat ‘mimpi yang benar’, kerana roh itu dibawa ke tempat yang baik.

فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ

Dia akan memegang roh yang Dia telah tetapkan mati ke atasnya.

Apabila seseorang itu tidur, Allah akan angkat Roh Akal itu dan apabila sudah masa untuk jaga dari tidur, roh akal itu akan dikembalikan. Tetapi, apabila dah ditakdirkan dia akan mati, Allah akan tahan roh orang itu dari dikembalikan ke dalam tubuh orang itu dan Dia akan tarik juga roh yang menjaga tubuh manusia itu. Sebab itu ada juga orang yang mati semasa tidur. Setiap malam, malaikat akan tanya Allah adakah roh itu akan dipulangkan balik ke jasad manusia atau tidak. Kalau Allah suruh tahan, maka orang itu akan mati. Ianya berlaku setiap malam kepada kita.

Sebab itu ada doa yang dibacakan apabila kita bangun dari tidur.

Kita berterima kasih kerana Allah telah mengembalikan roh kita kembali. Kerana kalau tak pulangkan, kita akan mati. Lihatlah bagaimana dalam doa itu, kita sebut kita telah ‘mati’ sebelum kita bangun dari tidur itu. Itu dinamakan ‘Kematian Kecil’.

Ada doa sebelum tidur yang disebut di dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim disebutkan melalui hadis Ubaidillah ibnu Umar, dari Sa’id ibnu Abu Sa’id, dari ayahnya, dari Abu Hurairah r.a. yang telah mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فلْينْفُضْه بِدَاخِلَةِ إِزَارِهِ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي مَا خَلَفَهُ عَلَيْهِ، ثُمَّ لِيَقُلْ: بِاسْمِكَ رَبِّي وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ”

Apabila seseorang di antara kalian menempati peraduannya, hendaklah terlebih dahulu menyapu tempat tidurnya dengan bagian dalam kainnya, karena sesungguhnya dia tidak mengetahui kotoran apa yang telah ditinggalkannya pada peraduannya itu. Kemudian hendaklah ia mengucapkan doa, “Dengan menyebut nama Engkau, ya Tuhanku, aku letakkan lambungku dan dengan menyebut nama Engkau aku mengangkat (membangunkan)nyaJika Engkau memegang jiwaku, maka kasihanilah ia; dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang saleh.

وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى

Dan Dia akan melepaskan jiwa yang lain itu hingga sampai waktu yang ditetapkan.

Dan kepada mereka yang tidak ditakdirkan mati semasa tidur malam itu, Allah akan kembalikan roh itu supaya orang itu meneruskan kehidupannya. Tapi tidak terus, ianya hanya sehingga sampai qadha Tuhan bahawa orang itu akan mati. Itulah maksudnya ajal orang itu sudah habis.

Dari ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa setiap malam apabila kita tidur, kita sebenarnya ‘mati’. Memang mati benar-benar, bukan main-main. Inilah ‘mati sebelum mati yang sebenar’. Allah mengingatkan kita bahawa begitulah nanti mudahnya Allah matikan kita nanti. Dari jaga, tiba-tiba sudah mati. Dari sedar di katil, tiba-tiba sudah sedar di tempat yang lain. Jadi, orang yang pandai, akan mengambil iktibar ini untuk mengingat mati yang  pasti akan datang, dimana tidak akan pulang balik ke dunia dan alam nyata. Maka, beringatlah dan bersedialah untuk mati itu. Kerana apabila sudah mati, amal sudah tidak ada, kesalahan tidak dapat diperbetulkan, taubat sudah tidak diterima lagi.

 إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Itu adalah tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Mereka yang faham tentang ayat ini akan memikirkan samada malam itu adalah malam terakhir untuk diri kita. Adakah Allah akan pulangkan kembali roh kita? Sudahkan cukup amalan kita?

Sesiapa yang berfikir, mereka akan memikirkan tentang perkara ini setiap malam. Mereka akan memikirkan samada mereka telah cukup amalan mereka.


Ayat 43: Ayat Zajrun berkenaan syafaat. Ini adalah ayat ancaman. Berkenaan kesalahan mereka yang selalu minta syafaat kepada selain daripada Allah. Ini adalah satu masalah yang besar dalam negara kita. Iaitu tentang syafaat dan ini adalah kerana salah faham tentang syafaat.

أَمِ اتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ شُفَعاءَ ۚ قُل أَوَلَو كانوا لا يَملِكونَ شَيئًا وَلا يَعقِلونَ

Patutkah mereka mengambil yang lain dari Allah menjadi pemberi syafaat? Bertanyalah (kepada mereka): “Dapatkah yang lain dari Allah memberi syafaat padahal semuanya tidak mempunyai apa-apa, dan tidak pula mengerti (sebarang apa pun)?”

 

أَمِ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ شُفَعَاءَ

Patutkah mereka mengambil selain dari Allah sebagai pemberi syafaat?

Banyak manusia yang rasa selamat kerana mereka rasa mereka akan diselamatkan oleh pemberi-pemberi syafaat. Mereka sangka sembahan-sembahan mereka akan datang pada Hari Kiamat dan membantu mereka berurusan dengan Tuhan bagi pihak mereka. Antaranya, orang Buddha sangka Gautama Buddha itu sendiri akan datang tolong mereka dan berhujah dengan Allah bagi pihak mereka. Begitu juga dengan agama-agama yang lain. Tapi bagaimana pula dengan masyarakat Islam kita?

Masyarat kita pula, sangka yang Nabi Muhammad akan memberi syafaat kepada mereka kerana mereka selalu bertawasul dengan baginda, mereka selalu selawat kepada baginda beribu kali dalam sehari, termasuklah mereka telah ‘memuja’ Nabi Muhammad tanpa sedar (mereka sangka mereka memuji, tapi apabila ianya sudah berlebihan, itu sudah sampai kepada tahap ‘memuja’). Mereka sangka mereka buat perkara yang baik, tapi sebaliknya ianya adalah perkara yang buruk sekali. Mereka sangka, apabila mereka baca selawat yang direka oleh manusia (seperti Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyyah) itu, mereka akan selamat. Mereka sangka, dengan mereka sambut Maulidur Rasul setiap tahun itu akan menyebabkan mereka selamat kerana mereka sangka yang Nabi Muhammad akan suka dengan perbuatan itu dan sebagai balasan, memberi syafaat kepada mereka. Tidak, kerana perbuatan mereka itu adalah perbuatan bidaah. Dan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah itu mengadungi elemen syirik di dalamnya.

قُلْ أَوَلَوْ كَانُوا لَا يَمْلِكُونَ شَيْئًا وَلَا يَعْقِلُونَ

Katakan kepada mereka: patutkah kamu masih lagi mengambil mereka sebagai pemberi syafaat, padahal mereka tidak memiliki kekuasaan apapun dan tidak faham apa-apapun?

Mereka yang meminta syafaat kepada selain Allah itu menyangka yang ilah yang mereka puja dan sembah itu ada kuasa untuk menolong mereka. Contohnya Hindu yang sembah berhala. Mereka ingat berhala itu bukan boleh beri syafaat (pertolongan) pun kepada mereka.

Ini adalah pemahaman yang bahaya. Kerana dengan salah faham ini, mereka yang melakukan syirik dan dosa itu berani buat dosa sebab mereka rasa ada yang akan beri syafaat kepada mereka dan menyelamatkan mereka. Ini sebenarnya menanam fahaman boleh derhaka. Macam orang kaya yang berani bawa kereta laju, kerana mereka tahu yang mereka ada wang untuk bayar saman, atau mereka ada orang yang mereka kenal di balai polis atau mahkamah dan akan menyelamatkan mereka dari masuk lokap atau kena saman naik mahkamah.

Selain dari jenis berhala, orang-orang musyrik itu juga meminta syafaat dari entiti yang hidup. Tapi patutkah kita melakukan sedemikian, padahal roh-roh itu tidak memiliki kekuasaan apa pun dan tidak memahami apa pun melainkan apa yang diberitahu oleh Allah. Contohnya, Nabi Muhammad sendiri. Semasa Nabi hidup, adakah Nabi mempunyai kuasa sendiri? Adakah Nabi tahu selain dari apa yang diajar oleh Allah?

Kalau semasa mereka hidup pun, usaha mereka terhad kerana keterbatasan yang ada pada mereka, apatah lagi kalau mereka sudah mati? Tentu mereka lebih lagi tidak dapat memberi pertolongan, kerana mereka bukan lagi di alam ini lagi.

Allah beritahu kepada kita dalam ayat ini, selain Allah, tiada sesiapa pun yang ada kuasa untuk beri syafaat kerana mereka yang diminta itu pun tidak ada kuasa. Dan mereka tidak tahu menahu pun yang kita ada minta syafaat kepada mereka kerana mereka di alam yang lain. Mereka yang sibuk meminta syafaat itu hanyalah membuang masa sahaja kerana mereka seumpama bertepuk sebelah tangan sahaja.

Kita kena faham apakah tugas pemberi syafaat itu. Mari kita buat perbandingan tentang Malaikat Maut. Kita tahu bahawa dialah yang ditugaskan oleh Allah untuk mengambil nyawa. Tapi adakah kita mohon panjang umur dengan Malaikat Maut? Tentu tidak, sebab kita tahu bahawa dia bukanlah bertanggungjawab menentukan siapakah yang panjang umur atau tidak; begitu juga, kita tahu bahawa Malaikat Mikail ditugaskan menurunkan rezeki. Tapi adakah kita memohon rezeki kepadanya? Tentu tidak kerana kita tahu Allah lah yang menentukan rezeki.

Maka begitu juga dengan Nabi Muhammad. Baginda ditugaskan untuk memberi syafaat. Tapi bukanlah baginda yang menentukan siapakah yang layak menerima syafaat atau tidak. Baginda hanya menyampaikan syafaat kepada mereka yang telah ditentukan layak menerima syafaat. Baginda diberikan tugas menyampaikan syafaat sebagai penghormatan kepada baginda.

Sebagai contoh, katakanlah Pejabat Tanah sesebuah daerah memberikan tanah kepada penduduk satu kampung. Dalam majlis pemberian geran tanah itu, Pejabat Tanah menjemput DO kawasan untuk memberi geran tanah itu. Tapi, adalah tuan DO itu yang menentukan siapakah yang dapat geran tanah itu? Tentu bukan, beliau hanya menyampaikan sahaja geran tanah itu sebagai penghormatan kepada beliau sebagai DO kawasan itu. Begitu jugalah dengan Nabi Muhammad – baginda memang menyampaikan syafaat, tapi pemberian syafaat itu ditentukan oleh Allah sendiri, bukan Nabi Muhammad. Maka, kenapa minta kepada baginda?

 


 

Ayat 44: Kalau mereka yang diseru itu tidak ada kuasa memberi syafaat, maka siapa yang ada kuasa untuk memberi syafaat?

قُل لِلَّهِ الشَّفاعَةُ جَميعًا ۖ لَهُ مُلكُ السَّماواتِ وَالأَرضِ ۖ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia lah Yang Menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadaNya (untuk menerima balasan).”

قُلْ لِلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا

Katakanlah: milik Allahlah segala syafaat.

Dengan jelas dalam ayat ini, Allah memberitahu kita yang Dia sahaja yang memiliki kesemua syafaat. Nabi Muhammad tidak memiliki syafaat yang boleh diberikan kepada sesiapa yang minta kepadanya. Dia hanya diberi kuasa untuk ‘menyampaikan’ syafaat seperti yang kita telah jelaskan dalam ayat sebelum ini. Tapi dia tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan siapa yang dia boleh beri syafaat itu.

Seperti juga Malaikat Maut diberi kuasa untuk mencabut nyawa. Soalan untuk mudah memahami konsep ini: bila ditiup sangkakala, dan semua makhluk dah mati, adakah malaikat maut yang cabut nyawa semua makhluk masa itu? Jawapnya, tidak. Waktu itu, tiupan sangkakala itulah yang mengambil nyawa. Semua makhluk akan mati, termasuk jin dan makhluk-makhluk lain sekali.

Dalam surah Baqarah, Allah pernah kata ‘mati kamu’ kepada sekumpulan manusia. Allah katakan kepada 70 orang wakil dari Bani Israil yang hendak lihat Allah secara terang-terang. Allah kata ‘mati kamu’ kerana kesalahan mereka meminta sebegitu. Semua sekali mati terus. Jadi, waktu itu bukan Malaikat Maut yang ambil nyawa mereka.

 

Tapi, kita memang mengharapkan syafaat yang disampaikan oleh Nabi itu. Semoga kita semua mendapat syafaat nanti di akhirat kelak. Tapi, hendaklah kita ingat bahawa bukan baginda yang ada kuasa beri syafaat itu. Kalaulah Nabi boleh pilih siapa yang baginda boleh bagi syafaat, tentu baginda akan pilih untuk beri syafaat kepada Abu Talib. Sebab dia sangat sayangkan Abu Talib dan Abu Talib telah banyak membantu baginda. Tapi kita semua tahu bahawa Abu Talib mati sebagai orang kafir dan dia akan masuk neraka.

Allah yang tentukan siapa yang Nabi boleh beri syafaat. Kemudian, Nabi boleh turunkan kuasa memberi syafaat itu kepada orang lain pula. Contohnya kepada sahabat, sahabat pula turunkan kepada anak murid mereka dan murid mereka kepada anak murid mereka pula. Akhir sekali kuasa ‘sementara’ memberi syafaat akan diberikan kepada muslim yang hafal Quran. Dia boleh bagi syafaat kepada sepuluh orang (walaupun begitu, ada masalah dengan hadis berkenaan perkara ini). Tapi tak boleh minta syafaat daripada mereka sekarang kerana mereka belum dapat kuasa itu lagi. Yang hafal Quran tu sendiri belum tentu boleh masuk syurga. Sebab kalau dia hanya hafal Quran dan tidak mengetahui isi kandungannya, ia tidak menghalang dia dia melakukan dosa atau melakukan perbuatan syirik, maka dia pun belum tentu dapat masuk syurga. Kalau dia pun tidak masuk syurga, macam mana dia nak beri syafaat kepada orang lain pula? Jadi untuk mendapat syafaat, kita minta terus dengan Allah.

لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

bagiNya kerajaan langit dan bumi.

Allah boleh beri syafaat itu kerana Dia lah memiliki segala kerajaan langit dan bumi. Kuasa penuh hanya ada pada Dia sahaja. Sembahan yang selain dari Dia, tidak ada kuasa-kuasa apa pun. Oleh itu, hanya Dia sahaja boleh beri syafaat.

 ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kemudian kepada Dialah kembalian semua orang.

Samada kamu taat kepada Allah atau tidak, kamu akan dikembalikan kepada Allah. Tidak ada satu makhluk pun yang akan terselamat. Mereka akan dikembalikan kepada Allah. Bukan kepada ‘tuhan-tuhan kecil’ mereka. Mereka ingat sembahan-sembahan mereka yang akan jadi ‘peguam’ untuk mereka nanti. Mereka sangka mereka tidak terus berjumpa dengan Allah. Tapi ayat ini menegaskan bahawa mereka akan terus bertemu dan mengadap Allah. Maka, bagaimana mungkin ada pemberi syafaat yang dapat menghalang orang itu dari menerima Allah? Masa bila dia nak beri syafaat bantu orang itu, kalau benar dia boleh beri syafaat.

Maulana Hadi Zumar 29-44


 

Ayat 45: Ini adalah alamat yang kita boleh cam untuk kenal seseorang, samada dia syirik atau tauhid. Boleh kenal sebenarnya. Jadi ayat ini adalah tentang orang musyrikin. Mereka percaya Allah itu memang Tuhan tapi mereka ada buat syirik kepada Allah. Ini adalah kerana mereka rasa ada lagi ilah lain yang ada kuasa Allah. Sebab itu mereka mensyirikkan Allah dalam ibadah dan seruan mereka.

وَإِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَحدَهُ اشمَأَزَّت قُلوبُ الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِالآخِرَةِ ۖ وَإِذا ذُكِرَ الَّذينَ مِن دونِهِ إِذا هُم يَستَبشِرونَ

Dan (di antara keburukan orang-orang yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan gembira.

وَإِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَحْدَهُ

Dan apabila diajak seru/doa/ibadat kepada Allah sahaja,

Iaitu apabila dikatakan: tiada ilah melainkan Allah. Inilah yang sepatutnya kita lakukan – kena ibadah dan seru Allah sahaja. Kena zikir pun kepada Allah sahaja, tidak boleh seru kepada selain Allah. Inilah konsep tauhid yang perlu diamalkan oleh orang Islam.

 

اشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ

gelisah hati-hati orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat,

Tapi, apabila hanya seru dan ibadah hanya kepada Allah sahaja, gelisah hati mereka yang ada fahaman syirik dalam hati mereka. Kita boleh lihat, apabila kita ajak beribadat kepada Allah sahaja, berubah airmuka mereka kerana mereka tidak suka. Apabila disebut Allah sahaja berkuasa, hanya Dia sahaja sebagai penyempurnaan hajat, mereka akan gelisah. Dan perasaan mereka itu tidak boleh nak sorok dari wajah mereka.

Kalau kita pun macam itu, kita pun dipanggil ‘musyrikin’ juga. Cuma dinamakan dengan ‘Musyrikin Malaysia’. Nak kenal mereka, senang sahaja. Apabila dibacakan ayat Quran yang menegur mereka, mereka tak suka dan tak senang. Mereka tak suka dengar hujjah dari Quran. Yang mereka suka adalah mendengar hujjah dari guru-guru mereka. Apabila dalam majlis itu hanya memperkatakan tentang Allah sahaja, mereka tidak selesa.

Dalam ayat ini Allah sebut mereka sebagai orang yang tidak beriman. Allah sebut terang-terang bahawa mereka tidak beriman. Jadi jangan marah kepada pembawa cerita ini. Bukan kita yang kata mereka tidak beriman, tapi Allah sendiri.

Dalam majlis, mereka nak ada benda-benda lain, cerita-cerita, nasyid dan sebagainya. Mereka rasa bosan kalau hanya bercakap tentang Allah sahaja. Ayat ini bukan hanya tentang syirik sahaja. Ini adalah tentang segala perjumpaan. Kalau sesuatu perjumpaan itu, yang terbaik adalah memperkatakan tentang Allah. Tapi orang-orang yang tidak ada tauhid, tak selesa kalau percakapan bukan hanya tentang Allah sahaja.

وَإِذَا ذُكِرَ الَّذِينَ مِنْ دُونِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

dan apabila diajak mereka seru kepada roh selain dari Allah, tiba-tiba mereka suka.

Apabila diajak kepada menyeru selain Allah, mereka akan sokong terus. Mereka akan suka terus kerana ianya bertepatan dengan fahaman mereka yang syirik. Contohnya, kalau kita kata boleh untuk berdoa/beribadat kepada tok wali, para Nabi, malaikat dan sebagainya, mereka pun suka. Mereka jadi suka kalau kita kata boleh buat macam tu.

Mereka itu tahu bahawa Allah itu Tuhan, dan Nabi Muhammad itu Rasul, tapi mereka suka pakai hujjah guru-guru mereka.

Mereka juga tidak suka bercerita tentang Allah dan tentang agama. Kalau dalam perjumpaan itu, mereka bersembang tentang politik, tentang sukan, tentang wayang, tentang perkara lain selain Allah, baru mereka suka. Tapi orang yang beriman, mereka akan suka bercakap tentang Allah.


 

Ayat 46: Inilah akidah tauhid yang sebenar. Apabila kita sudah faham tauhid, inilah natijah kepada kefahaman kita. Inilah kata-kata seorang yang faham tauhid.

قُلِ اللَّهُمَّ فاطِرَ السَّماواتِ وَالأَرضِ عالِمَ الغَيبِ وَالشَّهادَةِ أَنتَ تَحكُمُ بَينَ عِبادِكَ في ما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hambaMu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya”.

قُلِ اللَّهُمَّ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Katakanlah: Wahai Allah, zat yang mencipta langit dan bumi.

Allah mengajar kita cara berdoa. Iaitu dimulai dengan memujiNya.

عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ

Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata.

Hanya Allah sahaja yang tahu perkara yang ghaib. Manusia dan makhluk lain tidak tahu. Kalau ada para Nabi yang tahu perkara ghaib, itu hanya selepas diberitahu oleh Allah. Itu pun setakat yang diberitahu sahaja.

Kalau yang ghaib pun Allah tahu, apatah lagi perkara yang nyata. Perkara yang nyata itu walaupun nyata kepada kita, tapi pemahaman kita pun tidak sepenuhnya. Masih ada perkara yang tersembunyi juga, tapi tidak tersembunyi pada Allah. Semuanya nyata pada Allah.

 أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِي مَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Engkaulah Allah yang membuat kehakiman antara manusia tentang apa yang mereka dulu mereka berselisih (tentang tauhid).

Engkau sahaja yang boleh buat keputusan tentang perbezaan antara ahli tauhid dan ahli syirik. Satu pihak kata boleh minta syafaat dengan Nabi, satu pihak kata tidak boleh. Jadi mana yang betul? Sekarang ini masyarakat kita amat keliru. Antara satu fahaman dengan fahaman yang lain. Ada yang kata begini, ada yang kata begitu. Jadi mereka sudah tidak tahu nak ikut yang mana satu.

Ada yang kata minta syafaat kepada Nabi sekarang semasa kita hidup di dunia tak boleh. Itulah yang sebetulnya kalau mengikut hadith. Tapi ada pula yang kata boleh minta syafaat di kubur Nabi. Ini semua adalah selisih yang besar. Bukan jenis selisih yang kecil-kecil. Jadi Allah lah nanti yang akan mengadili di antara manusia nanti siapakah yang betul sebenarnya.

Di akhirat nanti, barulah kita tahu mana yang benar dan mana yang salah. Tapi itulah masalahnya – kita hanya tahu apabila kita di akhirat kelak. Waktu itu sudah terlambat. Oleh itu bagaimana? Untuk selamat, kita kena lihat apakah dalil-dalil yang dibawa oleh pihak-pihak yang berlainan pendapat ini. Allah telah ajar kepada kita – jikalau ada perselisihan, maka kembali rujuk kepada Quran dan Hadis Nabi. Maka, kita kena lihat siapakah yang membawa dalil dari Quran dan Hadis. Kita boleh lihat sendiri bagaimana yang mengatakan boleh meminta syafaat kepada Nabi semasa di dunia ini lagi walaupun Nabi sudah wafat, hujah yang mereka gunakan adalah hujah yang disebut oleh manusia, atau hujah akal sahaja. Padahal, yang mengatakan tidak boleh meminta syafaat kepada Nabi adalah mereka yang membawakan hujah dari Quran dan Hadis. Jadi, kita sebagai orang Islam, mana satu kita nak ikut? Tepuk dada, tanya iman.

Ada Doa Iftitah yang menggunakan ayat Quran ini:

Imam Muslim di dalam kitab sahihnya mengatakan:

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ يُونُسَ، حَدَّثَنَا عِكْرِمَةُ بْنُ عَمَّارٍ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ، حَدَّثَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا] بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ؟ قَالَتْ: كَانَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ افْتَتَحَ صَلَاتَهُ: “اللَّهُمَّ رب جبريل وميكائيل وإسرافيل، فاطر السموات وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ”

telah menceritakan kepada kami Abdu ibnu Humaid, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Yunus, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Amar, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Abu Kasir, telah menceritakan kepadaku Abu Salamah ibnu Abdur Rahman yang mengatakan bahwa ia pernah bertanya kepada Siti Aisyah r.a. tentang doa pembukaan yang selalu dibaca oleh Rasulullah Saw. dalam salatnya di malam hari. Maka Siti Aisyah r.a. menjawab bahwa Rasulullah Saw. apabila bangkit di malam harinya mengerjakan salat, beliau membukanya dengan bacaan berikut: Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil, Pencipta langit dan bumi, Yang mengetahui hal yang gaib dan yang nyata, Engkaulah Yang memutuskan antara hamba-hamba-Mu tentang apa yang selalu mereka memperselisihkannya. Tunjukilah aku kepada kebenaran dari apa yang diperselisihkan itu, dengan seizin-Mu, sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.


 

Ayat 47: Takhwif Ukhrawi. Penting untuk kita tahu manakah jalan yang benar, kerana kalau tidak, masalah kita nanti di akhirat kelak. Kerana di akhirat kelak, tidak diterima segala tebusan atau rasuah.

وَلَو أَنَّ لِلَّذينَ ظَلَموا ما فِي الأَرضِ جَميعًا وَمِثلَهُ مَعَهُ لَافتَدَوا بِهِ مِن سوءِ العَذابِ يَومَ القِيامَةِ ۚ وَبَدا لَهُم مِنَ اللَّهِ ما لَم يَكونوا يَحتَسِبونَ

Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah jelas nyata kepada mereka dari (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan.

وَلَوْ أَنَّ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا وَمِثْلَهُ مَعَهُ

Dan kalaulah orang-orang yang menzalimi diri sendiri (dengan buat syirik) memiliki harta seluruh bumi atau sekali ganda lagi,

Maksud ‘menzalimi diri mereka sendiri’ adalah mereka melakukan syirik. Kerana syirik itu adalah zalim yang paling besar. Bagaimanakah keadaan mereka di akhirat kelak?

Kalaulah mereka ada banyak harta. Banyak mana? Sebanyak seluruh bumi, atau dua kali ganda dari itu. Tentulah tidak ada orang yang ada harta macam ini. Tapi, katakanlah mereka ada. Apa yang mereka akan buat?

 لَافْتَدَوْا بِهِ مِنْ سُوءِ الْعَذَابِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Nescaya mereka akan tebus dengan harta itu daripada keburukan azab api neraka pada hari kiamat.

Dia rela keluarkan harta walaupun sebanyak mana pun, walaupun sebanyak dua kali ganda dunia itu, janji dia boleh selamat dari azab api neraka itu. Waktu itu, dia sudah tak peduli dengan harta-harta yang banyak itu. Mereka akan sanggup beri semua sekali apa yang mereka ada. Ini adalah kerana dia sangka yang akhirat itu macam dunia, yang mana di dunia dulu boleh beri rasuah untuk selamatkan diri.

Malangnya, dalam ayat yang lain ada disebut yang segala apa yang mereka berikan itu tidak akan diterima. Ini disebut dalam Ali Imran:91

وَبَدَا لَهُمْ مِنَ اللَّهِ مَا لَمْ يَكُونُوا يَحْتَسِبُونَ

dan zahirlah bagi mereka daripada Allah terhadap apa yang mereka tidak fikir akan kena pada mereka.

Dulu mereka tak sangka mereka akan kena azab sebegini. Mereka sangka mereka akan selamat. Kerana mereka senang di dunia, mereka sudah banyak minta syafaat kepada Nabi, telah banyak buat amal (bidaah), jadi mereka sangka mereka akan selamat. Tapi waktu itu, sudah zahir nyata kepada mereka apakah kesalahan yang mereka telah lakukan dan telah nyata apa yang akan dikenakan kepada mereka. Tapi sudah terlambat. Tidak boleh berbuat apa-apa pada waktu itu.

Apa yang mereka lihat itu mereka tidak dapat nak bayangkan semasa di dunia. Apa sahaja azab yang kita cuba bayangkan, ianya jauh lebih lagi dari apa yang dapat dibayangkan.


 

Ayat 48:

وَبَدا لَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَحاقَ بِهِم ما كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Dan sudah tentu akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan, dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Dan zahirlah kepada mereka kesalahan yang mereka telah buat,

Kesalahan yang mereka buat semasa di dunia dulu telah bertukar menjadi azab kepada mereka. Dulu, semasa di dunia, memanglah mereka tidak merasa apa-apa kesan dari dosa yang mereka lakukan. Tapi apabila di akhirat kelak, perbuatan mereka semasa di dunia itu akan ada kesan.

 

Ingatlah bahawa Allah telah kirim wahyu sebanyak 30 juzuk kepada manusia seluruhnya. Tapi kebanyakan manusia tidak ambil inisiatif nak belajar, walaupun dia seorang muslim. Oleh kerana dia tidak tahu ayat-ayat Quran, jadi ada kemungkinan dia telah melakukan syirik. Kerana dia telah melakukan syirik, dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Sama juga seperti penganut Buddha yang tidak boleh menggunakan alasan ‘tidak tahu’, orang Islam yang tidak belajar Quran juga tidak boleh menggunakan hujah itu. Orang jahil itu adalah ahli neraka, seperti yang telah disebut dalam hadith. Jadi ‘tidak tahu’ bukanlah satu alasan untuk menyelamatkan diri seseorang daripada masuk neraka. Inilah bahayanya kalau jahil dalam perkara agama. Kerana dia buat perkara yang menyebabkan dia masuk neraka sebab dia tak tahu. Kalau tak tahu dia ada salah, macam mana nak bertaubat? Dia tidak akan bertaubat sebab dia tak rasa dia buat salah. Dia rasa dia dah buat ibadat banyak dah. Malangnya, segala amalannya itu tidak berguna untuknya. Baca 102-104 surah al-Kahf:

18:102Terjemahan:

Apakah orang-orang kafir itu menyangka (dah dipanggil orang kafir terus) boleh mengambil hamba-hamba Kami selain dari Kami, sebagai tempat perlindungan, sesungguhnya Kami sediakan bagi mereka neraka jahanam bagi orang kafir itu sebagai tempat tinggal.

18:103Katakan kepada mereka: siapakah orang yang paling rugi amal ibadat mereka di bumi?

18:104Hilang lenyap segala amalan mereka. Orang-orang yang lenyap usaha gigih mereka yang mereka buat amal ibadat di bumiSedang mereka menyangka bahawa apa yang mereka buat adalah adalah betul.

Haji, umrah, zakat, sedekah dan sebagainya semua tidak diterima kerana mereka telah syirik kepada Tuhan. Kerana mereka mengambil makhluk lain sebagai aulia’, sebagai pelindung.

Paling ringan sekali tawasul ini adalah apabila bila mereka berkata: ila hadratin nabiy… Perkataan ini datang dari India, bukan dari bahasa Arab. Mereka itu adalah dari golongan yang sembah kubur tu, Brehlawi. Perkataan ‘Hadrat‘ itu maknanya ‘tuan’ atau ‘tok guru’ dalam bahasa mereka. Dan tujuan mereka bertawasul itu adalah kerana mereka hendak minta tolong kepada segala keluarga Nabi. Termasuklah kepada isteri-isteri Nabi, mertua-mertua Nabi, ipar duai, anak cucu dan sebagainya. Dan termasuk juga kepada semua sahabat baginda. Ada sebanyak 124 ribu sahabat semasa haji akhir Nabi. Daripada mereka, orang yang bertawasul itu hendakkan sesuatu kerana Allah taala. Sebenarnya, yang mereka hendakkan adalah ‘berkat’. Minta berkat itu sebenarnya adalah syirik. Ini adalah kerana ‘keberkatan’ hanya ada pada Allah. Lafaz ini adalah serupa macam orang Kristian kata kepada Isa: “O Jesus, bless me”. Adakah Tuhan double standard, bila Kristian buat salah, dia dihukum, tapi buat kita orang Islam yang buat, tak salah?

Dan mereka sendiri tahu yang mereka baca semasa majlis tahlil itu tidak berkat. Mereka sendiri tahu perbuatan itu tidak berkat sebab Nabi dan para sahabat tak pernah buat majlis tahlil. Itulah sebabnya mereka minta berkat dari Nabi. Oleh kerana majlis tahlil itu Nabi tak pernah buat, sahabat pun tak buat, jadi mereka nak minta endorsement dari mereka-mereka itu. Untuk dapat endorsement itu, mereka hadiahkan bacaan al-Fatihah kepada mereka. Sedarlah bahawa sedekah Fatihah itu adalah macam ‘sogokan’ yang diberikan kepada orang yang boleh tolong kita. Mereka fikir kerajaan Allah taala macam kerajaan dunia, tapi sebenarnya tidak.

Selain dari itu, macam-macam lagi kesalahan yang mereka akan lakukan kerana mereka jahil. Di antaranya, segala wirid-wirid yang lain seperti amalan wirid yang dilakukan supaya badan kebal dan sebagainya yang dimulakan dengan bacaan ‘ila hadratin’ itu. Apabila guru-guru sesat mengajar amalan-amalan yang salah, yang selalunya bermula dengan perkataan ‘ila hadratin’ itu, mereka tidak rasa salah sebab sudah biasa dalam kehidupan mereka kerana memang sudah selalu mereka dengar dalam Majlis Tahil dan lain-lain. Mereka sangka, apabila dibacakan perkataan ‘ila hadratin’ itu, ianya adalah sebahagian dari agama. Tapi sebenarnya, ianya adalah jauh sekali.

Ada orang bagi selawat begini: “Assalamualaikum Ya Rasulullah“. Itu adalah perbuatan yang salah melainkan ada pendapat yang kata boleh kalau berada di kubur Nabi Muhammad. Kalau tidak, ianya amat salah sekali kerana ia mengibaratkan seperti Nabi ada di depan kita, padahal tidak. Mana boleh Nabi ada di depan kita, kerana baginda sudah mati. Tidak pernah ada dalil mana-mana, samada dalam Quran atau dalam hadis yang mengatakan Nabi masih hidup lagi. Dan ada yang bagi salam kepada Sheikh Qadir Jailani, Nabi Khidir, Nabi Tab, Nabi Ilyas dan lain-lain lagi. Ingatlah bahawa, setiap kali seru kepada selain dari Allah, jinlah yang akan datang mendampingi kita. 

Dalil: Surah Yunus : 28-29

وَيَوْمَ نَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ نَقُولُ لِلَّذِينَ أَشْرَكُوا

Pada hari Kami kumpul mereka semua sekali. Kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang buat syirik kepada Allah, (iaitu yang seru, puja dan beri salam kepada selain dari Allah).

مَكَانَكُمْ أَنْتُمْ وَشُرَكَاؤُكُمْ ۚ فَزَيَّلْنَا بَيْنَهُمْ ۖ وَقَالَ شُرَكَاؤُهُمْ مَا كُنْتُمْ إِيَّانَا تَعْبُدُونَ

Kamu duduk di sini, kamu dan orang-orang yang kamu seru, duduk di sini. Kemudian Kami pisahkan antara mereka berduaDan berkata orang-orang yang diseru dulu: “tidaklah kami dulu yang kamu puja”.

Maknanya, dari ayat ini kita dapat tahu bahawa orang-orang yang kita seru dulu, samada Nabi, wali ataupun malaikat, tak tahu menahu pun pasal pemujaan kita terhadap mereka. Maka mereka akan sambung lagi:

فَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Maka cukuplah Allah sebagai saksi di antara kami dan kamu.

Sebab kami sudah lama mati. Malaikat pula duduk di langit, tak tahu menahu pun apa ibadat yang kamu buat kepadanya. Yang seru Nabi Yusuf dan sebagainya pun banyak juga.

 إِنْ كُنَّا عَنْ عِبَادَتِكُمْ لَغَافِلِينَ

Kami terhadap segala ibadat kamu kepada kami, kami tak tahu.

Untuk kita mendapat ilmu atau apa-apa maklumat, salah satu caranya adalah dengan dengar dan melihat. Jadi, mereka telah lama mati, maka mereka tidak dapat mendengar. Seperti yang disebut di dalam Surah Fathir:22. Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa orang dalam kubur, tak dapat mendengar. Jadi kalau kita talqin kepada mereka pun, mereka tidak akan dapat dengar.

35:22

Terjemahan:
Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).

Jadi, daripada ayat diatas, kita dapat tahu bahawa yang diseru itu tidak tahu menahu pun kita telah menyeru mereka. Maka, persoalan di sini adalah, siapakah yang diseru itu? Jawapannya ada dalam Surah Saba ayat 40-41

34:40

Pada hari Kami kumpul mereka semua sekali. Kemudian dikata kepada malaikat: Adakah mereka-mereka ini yang kamu dulu suruh mereka sembah kamu?

قَالُوا سُبْحَانَكَ 

Malaikat jawab: Maha Suci kamu, Tuhan.

Jadi kalau kita tengok orang lain buat syirik, kita kena kata ‘Subhanallah’.

 أَنْتَ وَلِيُّنَا مِنْ دُونِهِمْ ۖ بَلْ كَانُوا يَعْبُدُونَ الْجِنَّ ۖ أَكْثَرُهُمْ بِهِمْ مُؤْمِنُونَ

Kamulah pelindung dan pemelihara kami, bukan mereka-mereka itu, bahkan mereka bukan sembah kami tapi jin. Kebanyakan mereka tentang jin ini beriman sungguh.

Maka mereka sebenarnya menyeru jin. Orang yang buat perbuatan seru ni, selalunya ada jin di rumah dia. Caranya untuk selamat adalah dengan bertaubat. Bukan susah untuk meminta ampun dengan Tuhan. Untuk selamat, kita istighfar, kemudian janji tak hendak mengulangi perbuatan itu lagi. Itu sahaja. Jangan degil kalau sudah tahu apa yang kita buat itu adalah salah.

Maknanya kalau kita seru selain dari Allah, maka yang datang adalah jin. Jin-jin ini dipanggil juga dengan nama ‘syaitan’. Iblis pula adalah satu daripada bangsa jin. Bapa segala jin adalah iblis. Dan dia itu masih hidup lagi. Jin dalam dunia ini ada yang kafir dan ada yang Islam. Yang masih kafir itu adalah syaitan. Mereka itu adalah jin-jin yang engkar untuk menerima Islam.

Dalam surah lain, ada diceritakan bagaimana syaitan ini akan dibakar dengan bebola api bila mencuri dengar perbualan malaikat di langit. Kalau api itu kena sipi-sipi badan mereka, mereka menjadi langsuir atau berbagai jenis hantu-hantu yang lain. Jin-jin yang kena bebola api itu sudah jadi mereng (gila), tapi masih lagi nak mengganggu manusia dengan cara menakut-nakutkan manusia. Macam hantu raya dan sebagainya.

Tujuan mereka menakutkan kita bertujuan supaya kita pergi jumpa bomoh dan minta tolong kepada mereka. Ingatlah kisah masa iblis ditangkap oleh Abu Hurairah, Abu Hurairah tanya Iblis sendiri, selama tiga hari. Iblis telah ajar Abu Hurairah satu cara yang boleh halang dari gangguan syaitan. Iaitu, sesiapa yang baca ayat Kursi, jin syaitan tidak akan ganggu dia sampai siang. Nabi kata: “betullah kata-kata pendusta itu”. Semua yang dia kata adalah dusta, melainkan yang dia kata pasal ayat kursi ini.

Bila kita jumpa bomoh, bomoh akan baca jampi serapah dengan beras kunyit. Kemudian tabur merata-rata. Sebenarnya jin adalah makhluk yang dibuat daripada api. Adakah berkesan halau jin syaitan kalau pakai beras kunyit? Padahal dia itu makhluk yang ghaib. Tidak ada kesan pun sebenarnya, tapi dipakat puak-puak dia, supaya buat olok-olok sakit dan tinggalkan manusia yang mereka telah kacau kalau mereka menggunakan cara yang salah itu. Supaya manusia sangka bahawa beras kunyit itu berjaya menghalau mereka. Maka, apabila kita percaya benda-benda itu yang mengeluarkan mereka, maka kita telah mempunyai satu kepercayaan yang salah dan mungkin kita jadi syirik.

Dan selalunya semasa jin-jin itu hendak keluar, mereka akan minta disembelihkan ayam dan sebagainya sebagai syarat untuk keluar. Bila dah berjaya goda manusia, dia akan pergi. Dia pergi sebab dia dah berjaya menyesatkan manusia. Macam-macam barang lagi digunakan seperti garam, jintan hitam dan sebagainya yang kadang-kadang tidak terfikir oleh kita. Syaitan akan tipu kita supaya menggunakan semua barang-barang itu kerana syaitan tak mahu kita baca ayat kursi. Pada mereka, bacalah ayat lain asalkan bukan ayat Kursi.

Tapi, ada juga kadang-kadang kita dengar apabila dibacakan ayat Kursi, jin syaitan masih lagi tidak keluar. Apabila dibaca ayat kursi kepada mereka dan mereka tidak lari, itu menunjukkan kita sendiri ada buat syirik. Kerana dia tidak takut sebab yang baca itu adalah ‘kawan’ dia juga. Sama-sama buat syirik. Sebab, kadang-kadang kita pernah ada cina yang kafir pun boleh baca ayat kursi. Jadi, kalau setakat baca sahaja, tapi kita pun dia ada buat syirik, tidak akan memberi kesan kepada syaitan-syaitan itu. Syaitan akan lari kalau yang baca itu adalah seorang yang tidak buat syirik kepada Allah. Jadi, kalau kita baca dan syaitan tidak lari, maka kita kena istightar, solat dua rakaat dulu, baru baca balik. Sebab kita tak tahu samada kita ada buat syirik atau tidak.

Itulah serba-sedikit penerangan tambahan sebagai panduan kita. Mari kita sambung dengan tafsir surah Zumar ini.

 

وَحَاقَ بِهِمْ مَا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu. 

Dulu mereka tidak percaya azab yang telah diberitahu kepada mereka, sampai mereka ejek-ejek. Mereka kata: “hah, mana dia azab itu? Berilah sekarang!” dan sebagainya lagi. Mereka berani kata begitu kerana mereka tidak percaya. Tapi sekarang azab yang mereka kata tidak benar itu, sedang meliputi mereka.

Waktu itu, amalan baik dan amalan jahat yang telah dilakukan semasa dakan zahir dalam bentuk fizikal. Mereka akan nampak dengan jelas.


 

Ayat 49: Zajrun

فَإِذا مَسَّ الإِنسانَ ضُرٌّ دَعانا ثُمَّ إِذا خَوَّلناهُ نِعمَةً مِنّا قالَ إِنَّما أوتيتُهُ عَلىٰ عِلمٍ ۚ بَل هِيَ فِتنَةٌ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).

فَإِذَا مَسَّ الْإِنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا

Apabila ditimpa kepada manusia (yang kufur itu) musibah, mereka akan berdoa terus kepada Kami,

Waktu itu, mereka sudah tidak menggunakan perantaran lagi. Mereka akan terus angkat tangan berdoa kepada Allah. Mereka akan berdoa bersungguh-sungguh dengan Allah. Mereka akan jadi orang baik, solat pun tak tinggal, pakai kopiah, kalau doa pula panjang-panjang doa mereka.

ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا

kemudian apabila diberikan kepadanya nikmat dari Kami,

Iaitu bala itu ditukar kepada nikmat. Mereka ‘diselimuti’ dengan nikmat. Kalau dulu perniagaan mereka jatuh, sekarang dah semakin pulih. Kalau dulu mereka jatuh sakit, kesihatan mereka sudah semakin baik.

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ

mereka berkata: ini semua adalah hasil dari ilmu yang aku ada.

Bukan mereka fikir bahawa Tuhan yang selesaikan masalah mereka itu. Tapi mereka sangka kebaikan yang mereka dapat itu adalah dari hasil usaha dan kepandaian mereka menangani masalah yang pernah dihadapi itu. Mereka belajar, mereka dapatkan nasihat dari orang lain, dan apabila mereka berjaya, mereka rasa sebab itulah mereka berjaya. Mereka lupa yang dulu semasa mereka kena bala itu, mereka telah berdoa kepada Allah supaya mengangkat bala kepada mereka itu. Mereka telah menafikan Allah taala yang telah menolong mereka.

بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Bahkan sebenarnya bala yang diberi itu adalah sebagai fitnah (suatu ujian), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

‘Fitnah’ dalam ayat ini bukanlah bermaksud fitnah seperti yang kita faham itu. Fitnah dalam bahasa Arab sebenarnya bermaksud ujian. Allah akan memberikan ujian kepada kita untuk melihat bagaimanakah kita akan menghadapinya. Adakah dengan melakukan dosa atau kita menyelesaikannya mengikut lunas-lunas yang telah diajar dalam Islam?Ianya adalah ujian dari Allah kerana Allah tidak zahirkan yang Dialah yang telah menyelesaikan masalah mereka itu. Pada zahirnya, mereka nampak usaha mereka yang menyelesaikan masalah itu, tapi mereka tidak perasan yang cara-cara yang mereka lakukan itu sebenarnya didatangkan oleh Allah.

Mereka juga tidak tahu bahawa ujian bala yang diberikan oleh Allah itu adalah untuk mengembalikan mereka ke jalan Allah. Kerana apabila kita telah jatuh, kita akan lebih mudah untuk ingat kepada Allah. Semakin mudah untuk mengharap kepada Allah. Kerana kalau kita dalam kenikmatan, selalunya kita akan sombong dan tak ingat kepada Allah. Kita memang tak cakap dengan mulut kita, tapi dalam hati kita, kita rasa kita dah selamat. Jadi Allah akan bagi kita jatuh sikit supaya kita mula balik untuk ingat kepadaNya.

Apabila mereka diberi nikmat setelah diberikan musibah itu adalah ujian juga. Kerana kesenangan hidup yang Allah berikan kepada kita juga adalah ujian sebenarnya. Orang selalu rasa yang ujian itu adalah kesusahan seperti kemiskinan. Tapi ujian yang lebih berat adalah ujian kesenangan. Kerana Allah hendak melihat samada orang itu bersyukur dengan kesenangan itu atau tidak, samada dia menggunakan kesenangannya itu untuk kebaikan atau tidak.


 

Ayat 50: Takhwif Duniawi.

قَد قالَهَا الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَما أَغنىٰ عَنهُم ما كانوا يَكسِبونَ

Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah).

قَدْ قَالَهَا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Telah berkata dulu orang-orang sebelum mereka

Orang-orang dahulu pun berkata macam itu juga. Orang-orang dulu pun dah banyak yang kena bala juga. Mereka juga kata mereka selesai masalah disebabkan oleh kepandaian mereka. Mereka tidak kata Allah yang telah menyelamatkan mereka. Mereka tidak pun berterima kasih kepada Allah apabila masalah mereka telah selesai.

فَمَا أَغْنَىٰ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maka tidak ada lagi yang boleh menyelamatkan mereka terhadap apa yang dulu mereka lakukan.

Tidak berguna lagi apakah perbuatan yang mereka lakukan.  Segala apa yang mereka telah lakukan tidak boleh menyelamatkan mereka langsung. Kerana kalau mereka melakukan syirik, segala amal ibadat yang mereka lakukan dulu semasa di dunia tidak akan dikira.


 

Ayat 51:

فَأَصابَهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا ۚ وَالَّذينَ ظَلَموا مِن هٰؤُلاءِ سَيُصيبُهُم سَيِّئَاتُ ما كَسَبوا وَما هُم بِمُعجِزينَ

Lalu mereka ditimpa keburukan padah perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan orang-orang yang zalim di antara golongan (yang musyrik) ini akan ditimpa juga akibat buruk perbuatan-perbuatan buruk perbuatan jahat yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri.

فَأَصَابَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Maka menimpa ke atas mereka dosa-dosa yang mereka telah lakukan

Dosa-dosa yang mereka lakukan di dunia itu telah menjadi azab kepada mereka. Sebagai contoh, dosa-dosa mereka tinggal solat dan sebagainya lagi. Itu semua mereka akan tanggung, kalau dosa itu tidak diampunkan. Kita boleh menolong mereka yang telah mati dengan berdoa kepada Allah supaya dosa mereka diampunkan. Itulah cara yang sebetulnya. Bukanlah dengan cara buat Majlis Tahlil dan niat untuk sedekah pahala kepada si-mati. Amalan itu tidak pernah dibuat oleh Nabi dan juga para sahabat. Adakah kita rasa dengan kita sedekah pahala itu akan cukup untuk mengimbangi dosa yang telah dilakukan oleh si mati? Itu semua angan-angan sahaja.

وَالَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْ هَٰؤُلَاءِ سَيُصِيبُهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Dan orang-orang zalim mereka ini juga akan ditimpa akibat kejahatan dosa yang mereka telah lakukan.

Kalau dulu ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang buat syirik. Tapi kalau kita juga ada buat syirik kepada Allah, kita juga termasuk dalam golongan mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini. Jangan kita baca ayat ini dan fikir ianya hanya ditujukan kepada orang-orang terdahulu sahaja. Ramai orang sangka ayat-ayat Quran tidak berkata tentang mereka dan mereka tidak terkena dengan apa yang ditegur oleh Allah. Itu adalah kesalahan dan kesilapan yang amat besar. 

وَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ

Dan mereka tidak mampu melepaskan diri daripada Allah waktu itu.

Sudah terlambat bila sudah masuk neraka. Tak akan dapat keluar. Banyak ayat-ayat dalam Quran yang menceritakan bagaimana ahli-ahli neraka akan cuba untuk memohon supaya mereka dikembalikan ke dunia balik supaya mereka boleh beramal baik, tapi mereka tidak akan diberikan peluang itu.

Perkataan عْجِزِ bermaksud menyelamatkan diri dari serangan. Bayangkan serangan bom missile, dan kita ada anti-aircraft-missile untuk menyelamatkan diri dari missile itu. Tapi, dengan azab Allah, tidak boleh melepaskan diri. Orang-orang yang ada kedudukan, mereka sangka mereka boleh gunakan kedudukan mereka untuk menghilangkan masalah mereka. Tapi tidak boleh.


 

Ayat 52: Dalil Aqli. Allah gunakan pembahagian rezeki kepada makhlukNya sebagai dalil untuk kita memikirkan.

أَوَلَم يَعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ وَيَقدِرُ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآياتٍ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).

أَوَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ

Apakah tidak mereka mengetahui bahawa Allahlah yang melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, atau menyempitkan.

Ada orang yang Allah beri banyak rezeki, ada yang dapat sikit sahaja – ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada orang yang berusaha susah payah, tapi rezeki mereka kurang. Ada yang kerja tak banyak, tapi mereka dilimpah rezeki oleh Allah. Itu adalah kerana rezeki sesiapa sahaja diberikan oleh Allah, bukan dari hasil usaha manusia semata-mata. Semua rezeki ditentukan oleh Allah. Bukan dalam kawalan kita, bukan?

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya pada demikian itu berbagai-bagai bukti bagi kaum mukminin.

Bukti-bukti itu diberi kepada semua orang, tapi yang dapat faham dan terima adalah orang-orang mukmin sahaja. Iaitu orang-orang yang mahu beriman.

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 039: Az Zumar and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s