Tafsir Surah Zumar Ayat 19 – 31 (Kulit bergetar)

Ayat 19: Bandingan kedua dan takhwif ukhrawi.

أَفَمَن حَقَّ عَلَيهِ كَلِمَةُ العَذابِ أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النّارِ

Sahih International

Then, is one who has deserved the decree of punishment [to be guided]? Then, can you save one who is in the Fire?

Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak) ! Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka?

 

أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ الْعَذَابِ

Apakah sama satu orang yang telah ditetapkan oleh Allah akan diberi azab,

Ini adalah soalan perbandingan lagi yang ditanya oleh Allah. Ini adalah stail surah ini. Ada soalan tapi tidak diberikan jawapannya kerana Allah hendak kita memikirkan jawapannya sendiri.

Adakah sama orang itu dengan orang yang dijanjikan kegembiraan dengan balasan amal mereka? Tentulah tidak. Ayat ini adalah ayat Tasliah untuk Nabi dan penyebar agama. Iaitu ayat untuk memujuk Nabi. Nabi Muhammad merasa sedih kerana ada yang tidak menerima dakwah baginda. Maka Allah memberitahu bahawa ada manusia yang telah ditaqdirkan memang akan memasuki neraka. Dan Nabi tidak dapat mengubah mereka walau bagaimana pun baginda dakwah kepada mereka. Kerana Nabi sedih kerana setelah berbagai cara baginda lakukan untuk dakwah kepada kaumnya, tapi masih ramai lagi yang tidak mahu beriman. Allah hendak memberitahu Nabi bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk memberi hidayat kepada mereka. Hidayat itu hanya datang dari Allah. Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah. Kita pun tidak dapat memberi hidayat kepada orang lain – termasuk mereka yang kita sayang. Kita hanya boleh menyampaikan dakwah sahaja.

Tapi, hendaklah kita ingat, kita tidak tahu siapakah yang akan diberi hidayat oleh Allah. Jangan kita lihat seseorang itu teruk sangat, sampai kita buat keputusan orang itu tidak akan mendapat hidayat. Oleh kerana kita tidak tahu samada dia akan mendapat hidayat atau tidak, kenalah kita terus memberi dakwah kepadanya. Kemungkinan awalnya, dia tidak mahu mendengar dan menerima dakwah kita, tapi mana tahu, lama kelamaan Allah akan buka hatinya. Hendaklah kita ingat kisah Abu Sufyan. Bagaimana bertahun-tahun dia menentang Nabi, tapi akhirnya dia telah masuk Islam.

 

أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِي النَّارِ

apakah kamu boleh menyelamatkan orang itu dari azab api neraka?

Bolehkah kita nak menyelamatkan orang itu yang telah ditaqdirkan akan masuk neraka? Tentu tak boleh, walau Nabi sekalipun tidak ada qudrat untuk mengubahnya. Apatah lagi kita, lagilah langsung tidak ada kekuatan dan usaha. Kita bukan jaga syurga dan neraka. Bukan kita yang buat keputusan samada orang itu masuk syurga atau masuk neraka. Kita cuma boleh nasihat sahaja kepadanya semasa kita hidup di dunia. Kita tak berupaya untuk beri hidayah. Nabi sendiri pun tak boleh beri hidayah. Yang hanya boleh Nabi dan kita buat adalah menyampaikan ajaran agama sebenar-benarnya.

Tapi ayat ini bukanlah untuk menghalang kita dari berdakwah kepada seseorang. Jangan pula kita buat keputusan yang orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka jadi buang masa sahaja kalau kita dakwah kepada dia. Kita kena faham yang kita tetap kena dakwah kepada semua orang. Jangan pilih-pilih. Kerana kita tidak tahu siapa yang Allah telah tetapkan masuk neraka. Ini adalah perkara ghaib yang Allah sahaja yang tahu.

Dan kalaupun orang itu sudah ditaqdirkan masuk neraka dan tidak akan beriman walau kita dakwah bagaimana pun, kita tetap dapat pahala apabila kita berdakwah kepada dia. Samada dia terima atau tidak, kita tetap dapat pahala.

Dan bukan sahaja kita akan dapat pahala, ianya akan memberi kekuatan tambahan kepada kita. Kerana setiap kali kita berdakwah, kita akan diberikan dengan pemahaman tambahan, kekuatan tambahan. Memang tidak rugi kalau berdakwah lah kalau begitu.


 

Ayat 20: Ayat Tabshir

لٰكِنِ الَّذينَ اتَّقَوا رَبَّهُم لَهُم غُرَفٌ مِن فَوقِها غُرَفٌ مَبنِيَّةٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ ۖ وَعدَ اللَّهِ ۖ لا يُخلِفُ اللَّهُ الميعادَ

Sahih International

But those who have feared their Lord – for them are chambers, above them chambers built high, beneath which rivers flow. [This is] the promise of Allah . Allah does not fail in [His] promise.

Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya.

لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ

Bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka,

Taqwa adalah jaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Untuk tahu hukum, kenalah belajar dahulu. Kena tahu apa yang Allah kehendaki dari kita. Kena belajar tafsir Quran dan kemudian belajar sunnah. Ramai yang kata mereka bertaqwa, tapi adakah mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan?

لَهُمْ غُرَفٌ مِنْ فَوْقِهَا

bagi mereka tingkatan-tingkatan di atasnya 

Allah janjikan mahligai untuk mereka yang bertaqwa. Mereka akan diberikan mahligai istana yang hebat dan tinggi bertingkat-tingkat. (Dalam riwayat ada disebut ianya setinggi 70 batu tingginya), Bertingkat-tingkat bilik-bilik itu. Semua bilik itu untuk kita.

غُرَفٌ مَبْنِيَّةٌ

tingkat-tingkat yang dibina kukuh

Tentulah kualiti mahligai pemberian Allah itu begitu hebat sekali, tidak dapat dibayangkan. Tidaklah macam istana dalam dunia ini. Betapa punya hebat pun, tentu ada kelemahan dan kekurangan.

 

تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

yang mengalir di bawahnya sungai-sungai

Sungai-sungai yang mengalir mengikut perintah penghuni syurga itu, dia boleh susun aliran air sungai itu mengikut kemahuannya. Samada dia hendak air sungai itu mengalir ikut atas turun ke bawah, keluar ke bawah dan sebagainya. Sungai itu pula berjenis-jenis. Dalam riwayat, ada disebut sungai itu ada empat jenis: sungai dari madu, dari arak, dari susu dan dari air. Teringin nak minum sahaja, sudah ada di bawah kaki kita, pakai ambil sahaja.

وَعْدَ اللَّهِ ۖ

Inilah janji Allah.

Allah telah janjikan kepada mereka yang bertaqwa untuk memberi semangat kepada manusia. Janji Allah bukan macam janji manusia. Kalau manusia berjanji, belum tentu lagi dia akan tunaikan. Ada yang tidak tertunai janji dia. Samada dia memang tidak mahu menunaikan janjinya itu, atau kalau dia mahu tunaikan, dia tidak mampu lakukan kerana qudrat bukan di tangan dia.

لَا يُخْلِفُ اللَّهُ الْمِيعَادَ

Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janji

Allah tidak akan memungkiri janjiNya, asalkan kita berpegang kepada janji kita untuk taat dan bertaqwa kepadaNya.


Ayat 21: Dalil Aqli. Allah suruh kita lihat alam ini sebagai tanda kepada QudratNya.

أَلَم تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنزَلَ مِنَ السَّماءِ ماءً فَسَلَكَهُ يَنابيعَ فِي الأَرضِ ثُمَّ يُخرِجُ بِهِ زَرعًا مُختَلِفًا أَلوانُهُ ثُمَّ يَهيجُ فَتَراهُ مُصفَرًّا ثُمَّ يَجعَلُهُ حُطامًا ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَذِكرىٰ لِأُولِي الأَلبابِ

Sahih International

Do you not see that Allah sends down rain from the sky and makes it flow as springs [and rivers] in the earth; then He produces thereby crops of varying colors; then they dry and you see them turned yellow; then He makes them [scattered] debris. Indeed in that is a reminder for those of understanding.

Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu menjadi kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai. Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan bagi orang-orang yang berakal sempurna.

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Tidakkah kamu perhati bahawa Allahlah yang menurunkan kepada kamu air hujan dari langit,

Allah suruh kita perhatikan alam ini. Dalam ayat ini, Allah suruh kita lihat dan memikirkan kepada air hujan yang turun dari langit. Dalam Quran selalu disebut tentang air hujan dari langit yang memberi isyarat kepada rezeki dari Allah. Negara kita Malaysia ini banyak hujan, jadi selalunya kita tidak mengharap sangat kepada hujan, sampaikan kadang-kadang ada yang marah pula kalau hujan turun sebab kacau program yang dia sudah rancangkan. Tapi ingatlah yang Quran ini pertama kali dibacakan kepada Arab Mekah yang tidak banyak turunnya hujan di kawasan mereka. Jadi, ianya adalah satu rahmat yang mereka pandang tinggi, tidak macam kita.

 

فَسَلَكَهُ يَنَابِيعَ فِي الْأَرْضِ

Dia memperjalankan air itu sehingga menjadi mataair di bumi 

Lihatlah bagaimana air hujan itu turun dan Allah takdirkan yang air itu merebak ke tempat lain dan berkumpul menjadi mataair. Dari mataair itulah nanti yang akan menjadi sumber kehidupan kepada tumbuh-tumbuhan di dunia ini.

 ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهُ

kemudian Dia keluarkan dari air yang satu jenis itu, berbagai jenis tanaman yang berbagai warna;

Lihatlah betapa hebatnya Allah: Dari air yang satu sahaja, boleh mengeluarkan berbagai-bagai jenis tanaman. Kalau makhluk yang buat, mestilah untuk satu pokok, sejenis air. Macam kita buat minyak untuk kereta: satu minyak untuk enjin, satu minyak untuk brek, satu minyak untuk jalankan kereta dan sebagainya. Tapi Allah hanya menggunakan satu jenis air sahaja untuk semua tumbuhan.

 

 ثُمَّ يَهِيجُ

kemudian pokok itu bergerak segar;

Pada asalnya tanah-tanah itu kering, pokok pun layu, tapi apabila mendapat air sahaja, pokok itu boleh bergerak segar.

 

 فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا

kemudian kamu lihat ia bertukar jadi kuning;

Iaitu pokok yang asalnya segar, lama-lama akan jadi kering dan berwarna kuning sebab dah reput dah.

 

 ثُمَّ يَجْعَلُهُ حُطَامًا

kemudian Dia menjadikannya hancur berkecai;

Kemudian, lama kelamaan tanaman itu akan jadi hancur. Inilah perjalanan hidup tanaman di mukabumi.

 

 إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِأُولِي الْأَلْبَابِ

Sesungguhnya pada kejadian itu adalah sebagai peringatan kepada orang yang berakal waras.

Allah suruh kita lihat supaya kita pun tahu yang kehidupan kita pun begitu juga. Mula-mula kecil, kemudian membesar dan kemudian akan jadi tua dan akhirnya mati. Peringatan itu diberikan kepada semua, tapi yang boleh terima hanyalah orang yang berakal waras sahaja. Iaitu mereka yang menggunakan akal dan memikirkan untung nasib mereka. Mereka dapat memikirkan masa hadapan dan tidak hanya lihat masa sekarang sahaja.

Peringatan yang boleh diambil lagi dari ayat ini adalah Allah lah yang menghidupkan tanaman-tanaman itu dan Allah lah juga yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia. Allah sahaja yang ada Qudrat itu dan kerana itu sembahlah Dia sahaja, jangan sembah dan buat ibadat kepada selain dariNya. Kerana selain dariNya tidak boleh buat segala perkara itu.

Apakah hubungan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Ayat sebelumnya menceritakan tentang tumbuh-tumbuhan di syurga. Di dunia ini juga ada tumbuh-tumbuhan. Tapi tumbuhan di dunia ini tidak kekal. Setelah sampai waktunya, ia akan mati. Allah hendak beritahu kita, kalau kita hendakkan sesuatu yang kekal, hendaklah dicari di syurga. Di syurga, semuanya kekal abadi. Maka, jangan berikan tumpuan kepada dunia, tapi kenalah beramal dan bersedia untuk menyediakan tempat kita di syurga.


Ayat 22: Perbandingan ketiga. Ini pula adalah tentang orang yang mudah faham agama. Kemudian ada yang tak boleh terima langsung walaupun telah diberikan berbagai dakwah kepada mereka. Manusia memang tidak sama. Allah hendak memberitahu dalam ayat ini yang ahli syurga senang terima wahyu yang disampaikan kepada mereka.

أَفَمَن شَرَحَ اللَّهُ صَدرَهُ لِلإِسلامِ فَهُوَ عَلىٰ نورٍ مِن رَبِّهِ ۚ فَوَيلٌ لِلقاسِيَةِ قُلوبُهُم مِن ذِكرِ اللَّهِ ۚ أُولٰئِكَ في ضَلالٍ مُبينٍ

Sahih International

So is one whose breast Allah has expanded to [accept] Islam and he is upon a light from his Lord [like one whose heart rejects it]? Then woe to those whose hearts are hardened against the remembrance of Allah . Those are in manifest error.

Adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ

Apakah sama satu orang yang dilapangkan dadanya oleh Allah untuk memahami Islam?

Apakah sama orang itu berbanding dengan orang yang tak dilapangkan dadanya? Tentulah tidak sama.

Orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah orang yang apabila diajar tentang agama, dia boleh faham. Dan bukan sahaja dia boleh faham, tapi dia boleh ‘terima’ apakah yang disampaikan. Allah telah lapangkan dadanya untuk ‘selesa’ dengan apa yang disampaikan. Apa-apa sahaja suruhan Allah dalam wahyu itu dia boleh amalkan dan tidak ada masalah untuk dia. Kerana ada orang yang apabila telah disampaikan ajaran dari Quran, tapi mereka tak rasa selesa. Mereka tak dapat nak terima. Mereka nak guna akal juga sampai mereka mempersoalkan wahyu pula, sedangkan wahyu itu dari Allah.

Apakah maksud لْإِسْلَامِ ? Islam adalah penyerahan kepada Allah. Maknanya terima bulat-bulat apa yang disampaikan tanpa meninggalkan satu pun. Adakah kita serahkan hati kita kepada Allah segala-galanya? Ada yang tidak terima semua. Sebagai contoh, Allah telah berikan pembahagian harta pusaka dalam Quran. Tapi ada yang tidak terima, mereka kata lebih molek kalau dibahagikan sama rata antara lelaki dan perempuan.

Ada tempat yang menyebabkan kita tidak selesa. Dan ada tempat yang menyebabkan kita rasa selesa, seperti rumah kita. Apabila kita ada di rumah kita, kita rasa lega. Kita rasa aman. Kalau duduk dalam rumah orang lain, walaupun tuanrumah itu kata ‘buatlah macam rumah sendiri’, tapi kita tidak dapat rasa ianya seperti rumah kita. Inilah perbandingan yang boleh kita gunakan. Orang-orang yang rasa selesa dengan Islam akan mudah untuk beramal seperti yang Allah suruh, seperti solat. Mereka suka untuk solat, dan ringan badan untuk solat, tidak solat dengan malas atau dengan perasaan terpaksa. Dan kalau mereka tertinggal solat, mereka akan gelabah. Itu adalah penilaian yang kita boleh lihat dan bandingkan dengan diri kita, kita jenis yang mana? Begitu juga dalam ibadat-ibadat lain.

Ayat ini memberi penjelasan kepada kita, kenapa apabila belajar tafsir Quran, ada orang yang boleh faham dan terima, tapi ada orang yang tak faham dan tak selesa untuk terima. Yang tidak dapat terima itu adalah hati mereka tidak terbuka. Cara untuk faham dan terima Quran adalah kena ada niat hendak mencari kebenaran, baru boleh senang faham. Kalau hanya masuk ke kelas pengajian hanya untuk dengar-dengar sahaja, nak tengok-tengok sahaja, seseorang itu tidak akan faham. Oleh itu, kenalah datang belajar dengan niat untuk tahu wahyu Allah dan hendak tahu kebenaran.

فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِنْ رَبِّهِ

dia berada di atas cahaya iman daripada Tuhannya.

Orang yang dibukakan hatinya akan mendapat ‘nur’ dari Allah. ‘Nur’ di dalam ayat ini bermaksud: Quran. Iaitu dia berada di atas landasan Quran yang datangnya daripada Allah. Iaitu dia belajar dan mendapat hidayah daripada Quran.

Perumpamaan ayat ini adalah: cahaya Islam masuk ke dalam dada seseorang itu. Sudahlah dadanya dikembangkan, dimasukkan cahaya pula. Cahaya itu adalah cahaya hidayah. Sepertimana kita memerlukan cahaya dalam alam ini untuk melihat, kita juga memerlukan cahaya hidayah untuk melihat kebenaran. Tapi kalau hati telah keras, cahaya itu tidak dapat masuk.

 فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maka celakalah barangsiapa yang keras hati dia dari memahami Quran Allah / berzikir kepada Allah.

Ingat kepada Allah adalah ingat kepada pengajaran dalam Quran. Celakalah orang yang tidak memahami Quran. Iaitu orang yang apabila diajak belajar tafsir Quran, dia tak mahu. Atau, bila dia belajar isi kandung Quran, dia tak faham. Dia tidak faham itu kerana hatinya keras untuk memahami Quran. Itu terjadi kerana hati dia tidak mahu mendengar isi kandung Quran.

Ataupun dia malas untuk berzikir kepada Allah. Dan ingatlah, zikir yang paling bagus adalah dengan baca Quran. Memang ada zikir yang diajar oleh Nabi, tapi baginda sendiri paling banyak berzikir dengan membaca ayat Quran. Maka, baca ayat Quran itu jauhlah lebih baik dari mengamalkan zikir-zikir yang diajar oleh guru-guru tarekat dan para Habib. Sudahlah amalan zikir mereka itu direka, ditambah pula dengan khaifiat dan khasiat yang entah datang dari mana. Itu bukannya akan dapat pahala, tapi dapat dosa.

Kita kena faham bahawa Qur’an itu adalah mukjizat. Ianya boleh membuka hati manusia yang gelap kepada cahaya terang. Ianya bukan macam kitab yang lain. Kalau semacam Qur’an pun tak boleh terima, maka itu menunjukkan yang hatinya telah keras dan tidak ada harapan lagi. Kerana mukjizat yang ada dalam dunia sekarang hanya Qur’an sahaja. Nak cari mukjizat mana lagi?

Maka celakalah dia yang tidak dapat terima wahyu Quran. Sedangkan Saidina Umar yang keras kepala pun boleh terima Quran apabila dibacakan kepadanya. Bayangkan betapa kerasnya dia, dia seorang sahaja yang berani nak bunuh Nabi. Musyrikin Mekah yang lain bising-bising tak suka kepada Nabi, Umar sahaja yang kata, elok bunuh sahaja Muhammad itu, selesai masalah. Kisah ini ada dalam sirah.

 أُولَٰئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Orang-orang itu duduk dalam sesat yang nyata.

Kerana bila dia tidak mahu belajar, dia tidak akan tahu yang mana yang dituntut untuk diikuti dan yang mana yang dilarang. Lebih-lebih lagi yang dilarang itu adalah tentang perkara syirik kepada Allah. Contohnya, kerana tidak tahu, maka dia mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan menghalalkan mana yang diharamkan. Contohnya, dalam perkara pantang memantang. Selalunya, dalam masyarakat Melayu, apabila seseorang ibu sudah bersalin, mereka akan diberikan pantang larang dalam makanan. Makanan itu ini tidak boleh dimakan. Itu sebenarnya adalah ‘mengharamkan yang telah dihalalkan oleh Allah’.

Dia tidak tahu yang perbuatan itu adalah kufur kepada Allah taala. Dan ada banyak lagi perkara tentang tauhid yang mereka tidak tahu. Mereka merasakan mereka dalam keadaan beriman, tapi sebenarnya mereka di dalam kesesatan. Mereka ingat apabila mereka telah mengucap, mereka solat, puasa, tidak berzina dan lain-lain ibadat yang mereka lakukan, mereka telah selamat. Belum tentu lagi. Kita hendaklah belajar tafsir Quran ini supaya kita boleh faham apakah kehendak Allah kepada kita dan kita boleh menurut kehendak Allah itu.


Ayat 23: Ini adalah i’adah (pengulangan) kepada dalil wahyu. Allah mengingatkan kita yang Dia lah yang turunkan Qur’an.

اللَّهُ نَزَّلَ أَحسَنَ الحَديثِ كِتابًا مُتَشابِهًا مَثانِيَ تَقشَعِرُّ مِنهُ جُلودُ الَّذينَ يَخشَونَ رَبَّهُم ثُمَّ تَلينُ جُلودُهُم وَقُلوبُهُم إِلىٰ ذِكرِ اللَّهِ ۚ ذٰلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهدي بِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَمَن يُضلِلِ اللَّهُ فَما لَهُ مِن هادٍ

Sahih International

Allah has sent down the best statement: a consistent Book wherein is reiteration. The skins shiver therefrom of those who fear their Lord; then their skins and their hearts relax at the remembrance of Allah . That is the guidance of Allah by which He guides whom He wills. And one whom Allah leaves astray – for him there is no guide.

Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ

Allahlah Dzat yang menurunkan kepada kita sebaik-baik perkataan;

Lafaz ‘sebaik-baik perkataan’ itu adalah Quran.

 كِتَابًا مُتَشَابِهًا

Sebuah kitab yang serupa kalimah-kalimatNya;

Maksudnya: sama sahaja risalah yang disampaikan di dalamnya. Sama sahaja perkara yang dibawa oleh Quran itu. Iaitu tentang akhirat, risalah kenabian, tauhid dan lain-lain. Banyak surah yang ada ayat yang serupa dalam surah-surah lain. Satu ayat memperkuatkan ayat yang lain. Ada ayat Quran yang memperjelaskan maksud ayat-ayat yang lain.

مَثَانِيَ

yang berulang-ulang;

Sudahlah perkara yang sama ada di tempat lain, dan ia berulang-ulang pula. Juga berulang-ulang pengajaran yang dibawa. Diulang-ulang pengajaran yang sama kerana ianya penting. Perkara yang sama tapi disebutkan dalam cara yang berbeza-beza. Supaya meneguhkan hati-hati manusia. Supaya kemas pemahaman kita dan tidak ada alasan lagi untuk kata kita tidak faham.

 تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ

Akan gementar kulit-kulit orang-orang yang takut dengan Tuhan mereka.

Mereka merasa gementar apabila ayat-ayat itu dibacakan kepada mereka atau apabila mereka membacanya sendiri. Mereka jadi gementera kerana mereka takut kepada Allah kerana mereka sudah kenal Allah. Mereka sudah faham siapakah Allah. Mereka dapat merasai bahawa bacaan Quran itu adalah Allah berkata-kata dengan kita. Kalau nak bayangkan, ingat tak kalau kita berjumpa orang yang kita takut? Kita akan rasa lain macam apabila berhadapan dengan orang itu. Kadang-kadang muka kita pun pucat. Itu baru dengan manusia, bagaimana pula dengan Allah?

Tapi, perasaan itu hanya akan dapat apabila kita faham apa yang kita baca selepas kita belajar tafsir. Kalau tak belajar tafsir, maka akan baca ‘kosong’ sahaja. Orang yang tidak faham apa yang mereka baca, mereka akan sibuk dengan menjaga tajwid dan lagu sahaja, tapi pengajaran yang disampaikan dalam Quran itu tidak diambil peduli. Oleh sebab itulah, sama sahaja intonasi mereka yang sebegitu semasa mereka membaca Quran. Ada orang yang mungkin tidak pandai tajwid, tidak pandai lagu bacaan Quran, tapi kerana mereka faham apa yang mereka baca, maka kita yang mendengar bacaannya pun, akan terkesan.

Kita sepatutnya sedar yang apabila kita baca Quran, sebenarnya Allah sedang mendengar apa yang kita baca itu. Jadi, kalau kita dapat sematkan dalam hati kita yang kita sedang membaca *kepada* Allah, pembacaan itu akan jadi lebih mengesankan.

Untuk kenal Allah adalah dengan belajar kitab Allah iaitu Quran. 80% daripada ayat-ayat dalam Quran adalah untuk mengenali / mentauhidkan Allah dan 20% lagi adalah untuk kenal hukum-hakam. Untuk kenal Tuhan, kitab Allahlah yang paling mudah sekali untuk kita mengenalNya. Akal kita tidak akan dapat sampai ke tahap mengenali Allah tanpa bantuan dari Allah. Kalau Allah tak beritahu dalam Quran, kita tidak akan tahu.

 ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ

Kemudian akan jadi tenang kulit-kulit mereka dan hati mereka kepada mengingati Allah.

Apabila dibacakan ayat-ayat Quran yang berbentuk nikmat dan rahmah Allah kepada mereka, mereka akan menjadi tenang pula. Masa ayat-ayat takhwif mereka jadi takut, dan semasa baca ayat-ayat tabshir, mereka jadi tenang pula. Orang yang belajar tafsir sahaja yang boleh dapat menghayati ayat-ayat Allah. Mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayat Allah.

Ayat-ayat ‘tabshir’ adalah ayat-ayat tentang syurga, ayat-ayat yang memberi harapan kepada kita, tentang sifat Allah yang pemurah, pemaaf dan sebagainya. Iaitu ayat-ayat yang mengembirakan kita dan memberi ketenangan kepada kita.

ذَٰلِكَ هُدَى اللَّهِ

Kitab suci itulah hidayah dari Allah.

Quran itulah hidayah dari Allah untuk memandu kita. Kita setiap hari akan meminta hidayah dari Allah dalam bacaan Fatihah dalam solat. Dan Allah telah beritahu yang hidayah yang kamu minta itu ada dalam Quran, maka kenalah belajar tafsir Quran.

Kita selalu ingatkan belajar tafsir Quran dalam penulisan ini kerana belajar tafsir tidak sama dengan belajar baca Quran. Baca Quran semua orang boleh buat dari kanak-kanak lagi. Tapi itu belum bermaksud kita telah melakukan kewajipan untuk belajar Quran. Kita kena belajar sampai kita faham apakah yang disampaikan dalam Quran itu.

 يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ

Allah akan memimpin dengan Quran itu sesiapa yang Dia kehendaki.

Allah akan memimpin manusia kepada kebenaran dan kepada syurga dengan Quran itu. Dengan belajar tafsir Quran 30 juzuk ini akan mendorong mereka untuk belajar 6 kitab besar hadith (kutubus sittah). Dengan belajar Quran dan kitab-kitab hadith ini, mereka sudah belajar kebanyakan daripada ugama Islam. Mereka akan faham 99% daripada ugama Islam.

Adapun orang-orang yang tak belajar tafsir Quran dan hanya belajar hadith sikit-sikit, maka mereka-mereka ini bila jadi ustaz, tazkirah dan motivasi sahaja yang mereka boleh beri. Dan akan banyak pula buat silap dalam memberi tazkirah dan penyampaian ilmu. Dan kesilapan yang dilakukan oleh anak murid mereka, mereka sendiri pun tak tahu. Sepatutnya, merekalah yang memberitahu kesilapan yang telah dilakukan oleh anak-anak murid, tapi kerana mereka tak tahu, mereka tidak dapat memberitahu kepada jemaahnya.

Jadi macam mana seorang ustaz itu hendak mengajar kalau dia sendiri pun tak belajar Quran? Tak belajar tafsir 30 juzuk dan Sunnah? Kebanyakan mereka hanya belajar Quran sikit-sikit dari pembacaan sahaja dan sikit-sikit hadith Nabi yang kebanyakannya mereka tafsir sendiri sahaja. Mereka tidak bersungguh dalam belajar agama, iaitu belajar yang mana yang mereka berkenan sahaja. Jadi mereka hanya boleh memberi tazkirah ataupun motivasi sahaja.

 

 وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ

Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada lagi kuasa lain lagi yang boleh beri hidayat kepada orang itu.

Ini adalah peringkat ‘Khatmul Qalbi’ – penutupan hati. Iaitu apabila sudah sampai kepada peringkat Allah kunci mati hati mereka dari terima hidayah. Apabila sudah sampai ke peringkat keempat ini, maka tidak ada sesiapa pun yang boleh mengembalikannya kepada kebenaran. Tidak kira samada orang itu adalah tok guru atau tok wali atau sesiapa pun mahupun apa-apa kuasa lain yang boleh memberi hidayat kepada mereka, melainkan Allah sahaja.


Ayat 24: Ini adalah bandingan ketiga yang Allah sampaikan dalam surah ini. Ia juga adalah ayat Takhwif Ukhrawi.

أَفَمَن يَتَّقي بِوَجهِهِ سوءَ العَذابِ يَومَ القِيامَةِ ۚ وَقيلَ لِلظّالِمينَ ذوقوا ما كُنتُم تَكسِبونَ

Sahih International

Then is he who will shield with his face the worst of the punishment on the Day of Resurrection [like one secure from it]? And it will be said to the wrongdoers, “Taste what you used to earn.”

Maka adakah orang yang menahan dengan mukanya akan (selaran) azab yang buruk pada hari kiamat (sama seperti orang yang terselamat)? Dan (pada saat itu) dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu: “Rasalah (balasan) apa yang kamu usahakan dahulu”.

أَفَمَنْ يَتَّقِي بِوَجْهِهِ سُوءَ الْعَذَابِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Apakah sama, satu orang yang menyanggah azab yang amat buruk dengan mukanya sendiri pada Hari Kiamat?

Adakah orang itu sama dengan orang yang terselamat? Tentulah tidak. Orang mukmin akan diselamatkan dari neraka dan dari azab. Tentulah tidak sama, dari segi fahaman dan dari segi amalan.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘menyanggah azab dengan mukanya sendiri?’ Kita kena faham keadaan mereka yang diazab. Bila mereka dimasukkan ke neraka, rantai sepanjang 40 hasta akan diikat di tangan dan leher mereka. Kemudian ditarik kepala dan kaki mereka ke belakang. Dan mereka akan dipanggang kepada api neraka. Selalunya, kalau ada orang nak pukul kita, kita akan tahan dengan tangan, bukan? Tapi ahli neraka telah diikat tangan mereka. Jadi pada masa itu, nak sanggah kepanasan itu macam mana? Dengan muka sahaja yang mampu mereka lakukan. Padahal, muka itulah yang selalunya kita akan pelihara dengan tangan kita. Tapi kali ini mereka hanya tahan dengan muka sahaja kepanasan api neraka itu. Alangkah menakutkan sekali bayangan neraka ini. Ma sha Allah, selamatkanlah kami darinya! Ameen.

 وَقِيلَ لِلظَّالِمِينَ

Dan dikatakan kepada orang yang zalim itu,

Orang-orang yang zalim itu adalah orang-orang berbuat syirik semasa di bumi. Dan yang berkata kepada mereka adalah berkemungkinan adalah malaikat penjaga neraka. Mereka waktu itu sedang diazab tubuh mereka, tapi diazab lagi perasaan mereka dengan kata-kata yang menyakitkan jiwa. Ini dinamakan ‘takzib rohani’ – azab jiwa. Kadang-kadang azab jiwa itu lebih menyakitkan dari azab fizikal. Allah sengaja tambah azab kepada mereka. Neraka, bukanlah tempat untuk belas kasihan.

 ذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْسِبُونَ

“rasalah balasan dari apa yang kamu lakukan”.

Rasalah balasan kesyirikan yang kamu lakukan di dunia dahulu. Dulu semasa di dunia, kamu degil untuk terima dakwah tauhid, kamu enggan untuk pergi belajar – ada orang ajak pergi kelas tafsir, kamu tak mahu ikut. Ada orang yang nasihat kamu tentang amalan kamu yang salah, kamu tak mahu dengar. Dan kerana itu, kamu terus melakukan amalan yang salah, amalan yang syirik, amalan yang bidaah. Maka, sekarang rasalah.

Kalau cikgu sekolah merotan anak murid dia, anak murid itu akan rasa sakit. Tapi sakit itu akan hilang selepas sehari dua. Tapi kalau semasa merotan itu, guru itu hina budak itu, kata dia ‘bodoh’, ‘anak tak guna’ dan sebagainya, tentulah ianya memberi kesan kepada anak itu. Sampai pencen budak itu akan ingat kata-kata guru disiplin itu. Memang kata-kata akan menyebabkan sakit yang berpanjangan. Begitulah kesan kepada orang yang kena azab di neraka nanti.


Ayat 25: Takhwif Ukhrawi

كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَأَتاهُمُ العَذابُ مِن حَيثُ لا يَشعُرونَ

Sahih International

Those before them denied, and punishment came upon them from where they did not perceive.

(Ingatlah! Bahawa) orang-orang yang terdahulu dari mereka telah mendustakan (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka), lalu orang-orang itu didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya.

كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Telah mendustakan tentang Quran/tauhid ini oleh orang-orang sebelum mereka.

Seperti kaum Aad, Tsamud dan banyak lagi. Allah nak beritahu kepada Nabi, sahabat dan pendakwah-pendakwah bahawa bukan sekarang sahaja orang kafir menentang ajakan tauhid yang hendak disampaikan. Dari dulu lagi dah zaman berzaman manusia mendustakan tauhid dan Rasul-rasul mereka. Jadi jangan hairan kalau ada yang menentang dan tak mahu terima. Itu adalah sunnah alam, akan ada sahaja yang akan menentang.

فَأَتَاهُمُ الْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ

Maka didatangkan azab itu dari arah yang mereka tak sedar.

Kerana mereka telah menentang tauhid, maka mereka telah dibalas dengan azab semasa mereka di dunia lagi. Bila azab itu datang, mereka tak sedar. Tahu-tahu dah mati dan sedang menerima azab. Macam kalau kita kemalangan sampai tak sedar diri, celik-celik mata, tengok kipas berpusing di hospital dah. Padahal dah tiga bulan koma macam tu.

Bila kita dalam kubur, tahu-tahu malaikat Munkar Nakir dah sampai dah nak tanya soalan kepada kita. Waktu itu, sudah terlambat untuk kita buat apa-apa. Tidak ada pengampunan lagi apabila kita sudah mati. Hendaklah kita sentiasa ingat kepada mati kerana samada kita mahu ataupun tidak, kita akan menemui mati. Dan orang-orang yang tidak mengamalkan tauhid, mereka akan didatangi oleh kematian yang mengejut. Kerana Allah telah buat keputusan yang mereka akan masuk neraka, maka mereka tidak ada peluang untuk bertaubat. Orang yang amalkan tauhid, tidak begitu, mereka akan diberi peluang untuk bertaubat dan untuk bersedia kepada kematian.


Ayat 26: Ayat Takhwif

فَأَذاقَهُمُ اللَّهُ الخِزيَ فِي الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَكبَرُ ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

Sahih International

So Allah made them taste disgrace in worldly life. But the punishment of the Hereafter is greater, if they only knew.

Maka Allah merasakan mereka kehinaan dalam kehidupan dunia (dengan berbagai bala bencana), dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat (yang disediakan untuk mereka) lebih besar lagi. Kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini, tentulah mereka tidak mendustakan Rasul).

فَأَذَاقَهُمُ اللَّهُ الْخِزْيَ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Dan diazab mereka oleh Allah dengan azab yang menghinakan dalam kehidupan di dunia.

Dalam dunia lagi mereka telah hidup dalam kehinaan. Mereka hidup dalam kesusahan, walau kaya macam mana pun. Iaitu mereka ditimpa pelbagai jenis kesusahan. Mereka kaya, tapi diazab dalam diri mereka. Kadang-kadang kita hairan lihat orang yang kaya, kita sangkakan kalau mereka dah kaya, tentulah tidak ada masalah. Tapi rupanya mereka ada masalah yang kadangkala lagi besar dari kita.

Orang-orang mukmin akan diberikan juga azab oleh Allah untuk membersihkan mereka dari dosa-dosa mereka. Oleh itu, jangan kita kata orang-orang yang kena azab itu jadi begitu kerana mereka menentang agama. Ayat yang di atas bukan berkenaan orang mukmin tapi orang-orang yang melakukan syirik kepada Allah.

وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ

akan tetapi azab di akhirat lebih besar lagi,

Tidak sama azab yang Allah kenakan di dunia ini kalau dibandingkan dengan azab yang akan diterima di akhirat kelak. Azab di akhirat akan berganda-ganda lagi teruk. Dan tidak akan ada penghujungnya. Teruknya azab itu sampaikan kita tidak membayangkannya.

لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

kalau mereka nak ambil tahu;

Kalaulah manusia tahu apakah azab yang mereka akan dapat di akhirat kelak, mereka tentunya akan jadi orang baik, akan belajar agama, akan beriman dengan setulus-tulus iman. Tapi malangnya, kita tidak tahu melainkan apabila kita sudah berada di sana.

Kalau mereka itu hendak ambil tahu, mereka akan belajar tentang agama dan belajar tafsir Quran. Kerana tidak akan dapat mengetahui makna ayat-ayat Quran ini melainkan kepada mereka yang belajar sahaja. Orang-orang yang beriman pun tidak dapat tengok balasan neraka lagi, tapi mereka telah belajar ayat-ayat Quran dan mereka mempercayainya kerana mereka telah membuka hati mereka kepada kebenaran.


 

Ayat 27: Ayat targhib (galakan) kepada belajar Quran. Juga sebagai Dalil Wahyi untuk menyampaikan Quran ini kepada manusia.

وَلَقَد ضَرَبنا لِلنّاسِ في هٰذَا القُرآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Sahih International

And We have certainly presented for the people in this Qur’an from every [kind of] example – that they might remember.

Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan daripada Quran ini kepada manusia semua sekali, dari berbagai contoh bandingan mudah-mudahan mereka mengambil peringatan.

 

Allah telah menghuraikan perkara agama terutama sekali perkara tauhid berulang-ulang kali supaya manusia dapat faham. Allah akan ulang dengan berbagai-bagai cara supaya manusia semuanya dapat faham – kerana pemahaman manusia tidak sama. Jadi ada yang dijelaskan dengan cara begini dan dalam ayat lain dijelaskan dengan cara lain pula.

 

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ

Sesungguhnya telah Kami huraikan kepada kepada semua manusia dalam Quran ini

Penjelasan agama telah dijelaskan dengan sepenuhnya dalam Quran ini. Iaitu tentang tauhid. Tentang feqah, disebut dengan umum dan dijelaskan lagi dalam sunnah dari Nabi. Tapi kalau tentang tauhid, memang telah lengkap penjelasannya dalam Quran, sampaikan tidak perlu baca kitab lain pun sudah boleh faham tauhid ini. Tapi, kenalah belajar tafsir kerana kalau baca sendiri, berkemungkinan besar, tidak akan nampak penjelasan itu.

 مِنْ كُلِّ مَثَلٍ

dengan berbagai-bagai jenis contoh bandingan

Dan Allah tidak menjelaskan dengan satu cara sahaja, tapi dengan berbagai-bagai cara supaya manusia dapat faham. Kerana kefahaman manusia berlainan. Ada yang faham dengan cara begini, dan ada yang faham dengan cara lain pula.

Dan Allah telah banyak memberikan contoh bandingan kerana pembelajaran berasaskan bandingan memang akan mudah memahamkan manusia.

  لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

mudah-mudahan mereka itu akan dapat peringatan;

Tujuan Allah buat begitu adalah supaya manusia dapat faham agama tauhid ini. Allah hendak kita faham dengan sebenarnya. Allah tidak jadikan ilmu tauhid ini sebagai ilmu rahsia yang hanya boleh difahami oleh mereka yang tertentu sahaja. Tidaklah macam ilmu mengarut dan khayalan yang diajar dalam pergerakan Tarekat itu. Mereka kata ilmu mereka adalah ilmu rahsia, sampaikan orang tertentu sahaja dapat faham – sampaikan tidak semua sahabat Nabi dapat ilmu itu. Ma sha Allah, adakah mereka sangka mereka lebih hebat dari sahabat Nabi?

Apabila Allah mengatakan ‘mudah-mudahan’, ianya bermakna pasti. Sesiapa yang belajar tafsir Quran, akan tahu manakah perbuatan yang betul dan manakah perbuatan yang salah. Dan seseorang itu tidak akan tahu tentang Quran itu melainkan orang-orang yang belajar. Sesiapa yang tidak mahu belajar tafsir Quran, akan disediakan syaitan kepada mereka sebagai teman rapat berdasarkan mafhum dari ayat Zukhruf:36. 


 

Ayat 28:

قُرآنًا عَرَبِيًّا غَيرَ ذي عِوَجٍ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Sahih International

[It is] an Arabic Qur’an, without any deviance that they might become righteous.

laitu Al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.

قُرْآنًا عَرَبِيًّا

Iaitu Quran yang berbahasa arab.

Maksud ‘Quran’ adalah sesuatu yang dibaca berkali-kali dengan banyak sekali. Inilah salah satu mukjizat Quran ini. Tidak ada kitab lain selain Quran yang dikaji dan dipelajari manusia seperti kitab Quran ini. Dan bukan sahaja dikaji, malah dihafal oleh banyak orang di seluruh dunia.

Dan sifat Quran ini adalah ianya dalam bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa yang tepat dan kaya. Dengan lafaz yang pendek, ianya boleh membawa dan menjelaskan banyak makna. Sebab itulah, kalau Quran itu dalam bahasa Melayu, agaknya kena pakai lori nak bawa satu Quran, sebab banyak sangat nak kena hurai. Allah telah pilih bahasa Arab ini sebagai bahasa untuk kitabNya yang terakhir. Ianya adalah satu bahasa yang indah yang dapat menghuraikan apakah yang dimaksudkan oleh Allah.

Apabila kita tahu bahawa bahasa Arab adalah bahasa Quran, maka ini sepatutnya memberi kita satu motivasi untuk belajar bahasa Arab supaya kita lebih memahami Quran. Kerana tidak sama kalau kita baca Quran dalam kita faham bahasa Arab dan kalau kita hanya baca terjemahan sahaja. Maka, hendaklah kita cuba belajar setakat yang boleh sahaja. Jadi, ayat ini adalah targhib kepada belajar bahasa Arab juga.

Cuma, janganlah dijadikan alasan tidak tahu bahasa Arab untuk tidak belajar tafsir Quran. Belajar tafsir kita kena lakukan terus, jangan tunggu lagi. Kita masih lagi boleh faham tentang pengajaran dalam Quran kalau diterangkan oleh guru yang sudah tahu. Banyak orang yang kononnya hendak belajar bahasa Arab dulu baru nak belajar tafsir Quran. Tapi sampai bila baru mereka boleh faham Quran? Mungkin bertahun-tahun masa yang diambil untuk belajar bahasa Arab. Bagaimana pula kalau mereka tak pandai-pandai bahasa Arab? Jadi, mereka telah menunda mempelajari ajaran dalam Quran. Dan kerana mereka tak belajar, dalam waktu itu, mereka akan melakukan kesalahan yang mereka tak tahu pun mereka dah buat salah.

غَيْرَ ذِي عِوَجٍ

yang tidak ada mengandungi kesilapan.

Tidak ada silap dalam mana-mana lafaz Quran. Tidak ada ayat yang bertentangan dengan ayat-ayat yang lain. Tidak ada juga pertentangan dengan sains dan sebagainya. Kalau ada yang jumpa pertentangan itu, ianya boleh dijelaskan. Sebagai contoh, ada yang kata Quran mengandungi kesalahan nahu bahasa Arab, tapi apabila diperjelaskan, memang tidak ada kesalahan mana-mana pun.

Ianya adalah ayat-ayat yang mudah difahami. Tidak kompleks sebenarnya. Senang sahaja untuk kita faham kalau kita mahu belajar. Bandingkan kalau kita baca buku-buku falsafah. Berpusing-pusing idea yang disampaikan dalam ilmu falsafah itu sampaikan kita pun selepas belajar tak tahu apa yang kita belajar. Padahal, Quran itu adalah mudah difahami. Ianya adalah lurus, tidak pusing-pusing. Ianya tepat untuk sampai kepada maksud yang hendak disampaikan.

Oleh kerana Quran itu mudah, apabila para filosof Greek membaca Quran, mereka tidak suka. Kerana mereka kata ianya lurus sangat. Tidak macam ilmu falsafah mereka yang berbelit-belit. Mereka nak kata yang ilmu mereka yang tinggi. Tapi yang lurus dan mudah difahami itulah yang bagus. Kalau bahasanya sudah pusing-pusing, sampai orang yang baca pun tidak tahu, apakah gunanya kalau begitu, bukan?

Kadang-kadang manusia pun kata berbelit-belit – macam ahli politik yang apabila bercakap putar belit sampai tak nampak apakah yang mereka maksudkan.

 لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Mudah-mudahan mereka mendapat taqwa; 

Dengan belajar dan memahami maksud Quran, ianya boleh menjadikan kita mendapat taqwa supaya kita jadi orang muttaqeen. Maksud ‘taqwa’ itu adalah jaga diri daripada menderhaka kepada Allah. Taqwa itu adalah menjaga hukum yang Allah telah berikan. Hendaklah kita ikut suruhanNya dan meninggalkan laranganNya dalam segenap perkara.

Maulana Hadi Zumar 9-28


Ayat 29: Sebelum ini Allah telah sebut bahawa Quran mengandungi banyak perbandingan supaya kita mudah faham apa yang hendak disampaikan. Sekarang dibawakan satu lagi contoh perbandingan – atau dipanggil analogi.

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا رَجُلًا فيهِ شُرَكاءُ مُتَشاكِسونَ وَرَجُلًا سَلَمًا لِرَجُلٍ هَل يَستَوِيانِ مَثَلًا ۚ الحَمدُ لِلَّهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

Sahih International

Allah presents an example: a slave owned by quarreling partners and another belonging exclusively to one man – are they equal in comparison? Praise be to Allah! But most of them do not know.

Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dirinya yang bertentangan tabiat dan kemahuannya; dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimilik oleh seorang tuan sahaja; adakah kedua-dua hamba itu sama keadaannya (Tentulah tidak sama). Ucaplah: “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur terhadap penjelasan soal tauhid itu) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid).

ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا

Allah membuat suatu bandingan,

Allah hendak membandingkan antara orang yang mengamalkan tauhid dan orang yang mengamalkan syirik.

رَجُلًا فِيهِ شُرَكَاءُ

satu orang lelaki yang dimiliki oleh banyak tuan.

Allah gunakan analogi yang semua manusia boleh faham. Bayangkan seorang kuli, tapi bos dia ada tiga orang.

مُتَشَاكِسُونَ

yang bertentangan kemahuan mereka.

Sudahlah ada banyak bos, dan bos-bos itu pula tidak sama kepala mereka. Macam-macam arahan diberi kepada hamba itu, satu arahan berlawanan dengan arahan yang sebelumnya. Maka orang itu akan celaru kerjanya, tak tahu yang mana satu yang dia nak ikut. Dia akan sentiasa ada masalah sahaja. Satu bos mahu pekerja buat A dan satu lagi bos mahu dia buat B pula. Tentulah tidak tenang sahaja perasaan pekerja itu.

Bandingkan keadaan ini dengan agama-agama lain yang ada banyak tuhan. Tuhan mana satu yang mereka kena ikut? Sebagai contoh, lihatlah agama Hindu yang ada banyak tuhan/dewa mereka yang berjenis-jenis perangainya. Seorang Dewa Perang, seorang lagi Dewa Keamanan dan macam-macam lagi.

Kalau seorang anak ada ibu bapa yang memberi arahan berbeza pun dah susah dah. Dia tak tahu manakah yang dia patut ikut. Dia akan rasa dia dalam salah sahaja. Nak puaskan hati emak atau hati ayah? Itu tidak bagus.

وَرَجُلًا سَلَمًا لِرَجُلٍ

dan bandingkan dengan sorang lelaki yang menyerah diri kepada seorang tuan sahaja.

Oleh kerana dia ada satu tuan sahaja, senang dia nak buat kerja. Dia hanya perlu ikut satu arahan sahaja. Dia akan sentiasa rasa aman. Begitulah juga dengan Islam. Hanya ada satu Tuhan sahaja. Hanya ada satu arahan sahaja. Kita hanya perlu ikut satu arahan sahaja. Hanya belajar satu arahan sahaja. Itulah ajaran sunnah. Inilah ajaran tauhid – hanya sembah dan seru kepada satu ilah sahaja – Allah.

 هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلًا

Adakah sama dua contoh ini?

Satu lagi soalan ditanya kepada kita. Tentulah tidak sama antara dua orang hamba itu. Maknanya patutkah kita ambil ramai ilah-ilah berbanding dengan Allah yang satu? Maka ambillah Allah sahaja sebagai ilah kita. Itulah maksudnya ayat ini.

الْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ

Segala puji milik Allah,

Allah sahaja yang memiliki sifat terpuji yang layak diberikan kepada ilah. Orang Arab sudah lama menggunakan lafaz ‘hamd’ ini untuk ilah-ilah mereka, termasuk untuk Allah sekali. Quran memperbetulkan mereka dengan memberitahu yang lafaz ‘alhamd’ ini hanya layak untuk Allah sahaja. Ini dijelaskan dalam tafsir Surah Fatihah.

بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

tapi kebanyakan mereka itu tidak faham.

Contoh yang diberikan amat mudah sebenarnya untuk difahami, tapi ramai yang tidak mahu buka hati mereka untuk faham. Sepatutnya pujian yang khusus itu untuk Allah sahaja, tapi mereka nak beri juga kepada selain Allah.

Itulah yang menyebabkan ramai yang kalau berdoa, mereka akan puji/puja Nabi, para sahabat, atau wali-wali Allah seperti Sheikh Abdul Qadir Jailani dan berbagai-bagai wali lagi. Kononnya mereka kata perbuatan itu sebagai tertib dalam berdoa. Mereka menggunakan segala wali, Nabi dan malaikat itu sebagai ‘perantaraan’ dalam berdoa mereka. Istilah yang digunakan adalah tawasul. Dan tawasul yang sebegitu adalah haram dalam Islam. Umat Islam kena faham manakah tawasul yang dibenarkan dan mana yang tidak.

Mereka tidak faham bahawa Allahlah yang mengatur semua sekali. Tapi kebanyakan manusia tidak faham. Mereka sangka perantara-perantara itu pun ada kuasa untuk menolong mereka. Mereka jauh tersilap. Ini dijelaskan dalam surah-surah yang seterusnya nanti.


Ayat 30: Musyrikin Mekah kata, apabila mereka tidak boleh halang Nabi Muhammad dari berdakwah, mereka cuma perlu tunggu Nabi Muhammad mati sahaja, tentu ajaran dia akan habis. Mereka nak kata apa yang Nabi bawa tu adalah ajaran manusia sahaja bukan Allah. Kerana kefahaman mereka sebegitu lah yang menyebabkan mereka terus sesat. Orang musyrikin Mekah kata mengenai Nabi: biarlah Muhammad hendak cakap apa pun, satu hari nanti dia akan mati. Nanti bila dia dah tiada, kita akan buat sesuatu kepada pengikut dia. Maka ini adalah jawapan dari Allah:

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَيِّتونَ

Sahih International

Indeed, you are to die, and indeed, they are to die.

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.

إِنَّكَ مَيِّتٌ

Sesungguhnya kamu (Muhammad), pasti akan mati.

Bukan mereka sahaja kata Nabi akan mati, tapi Allah pun kata Nabi Muhammad akan mati. Allah beritahu dengan jelas, yang Nabi Muhammad akan mati sebab baginda bukan tuhan, tapi manusia biasa yang tetap akan mati. Ini adalah satu lagi dalil dari banyak dalil untuk mengatakan yang Nabi Muhammad itu manusia, bukan makhluk jenis lain termasuk bukan ‘Nur’. Malangnya, ada ajaran sesat yang kata Nabi hidup lagi. Memang baginda hidup tapi hidup baginda di alam barzakh. Macam hidupnya mereka yang mati syahid, yang telah mati tapi terus menikmati nikmat di alam Barzakh. Oleh itu, ayat ini tolak pegangan sesat mereka yang mengatakan baginda masih hidup lagi dan boleh dengar permintaan manusia kepada baginda. Mereka kata yang baginda itu hidup lagi dan dapat mendengar permintaan kerana mereka nak minta dengan baginda dan menjadikan baginda sebagai perantaraan dalam doa mereka. Ini adalah fahaman sesat, malangnya dianuti oleh ramai umat Islam yang jahil.

Memang Nabi Muhammad akan mati, tapi walaupun baginda telah tiada, agama Islam tetap akan berkembang. Allah nak beritahu yang walaupun Nabi Muhammad mati, agama Islam tidak akan mati. Allah tetap akan sebar dengan Qudrat Dia. Kerana agama Islam bukannya bergantung kepada Nabi Muhammad, tapi Allah yang menentukan.

 

 وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ

dan merekapun akan mati juga.

Allah juga hendak mengingatkan Musyrikin Mekah yang mereka pun akan mati juga, bukan Nabi Muhammad sahaja yang mati. Dan apabila mati, tidaklah mati percuma dan habis begitu sahaja, tapi nanti ada kesudahan. Allah nak isyarat satu soalan kepada mereka: bila kamu dah mati nanti, apa nasib kamu nanti? Nabi tentu selamat, tapi kamu nanti macam mana?


 

Ayat 31: Kemudian Allah beritahu apakah keadaan mereka di akhirat nanti.

ثُمَّ إِنَّكُم يَومَ القِيامَةِ عِندَ رَبِّكُم تَختَصِمونَ

Sahih International

Then indeed you, on the Day of Resurrection, before your Lord, will dispute.

Dan sesungguhnya kamu pada hari kiamat esok di sisi Tuhan akan saling bertengkar.

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Kemudian kamu pada hari Kiamat nanti

Allah nak beritahu nasib dan keadaan mereka di akhirat kelak. Nasib mereka tidaklah sama dengan nasib orang-orang yang beriman.

 عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

akan berada di sisi Tuhan kamu berbalah bantah

Apakah perbantahan yang dimaksudkan itu? Pertengkaran yang akan terjadi itu adalah antara seorang tok guru yang memberi ajaran salah dengan anak murid dia. Pengikutnya akan kata: “Kami anak murid kamu dulu. Tapi kita sama-sama masuk neraka, macam mana boleh jadi macam ni? Tak bolehkah kau cari jalan keluar untuk kita semua?”

Guru mereka akan berkata: ”Kita dua sama-sama sahaja, tak boleh nak buat apa dah”. Jadi dia akan cuba minta tolong kepada malaikat penjaga neraka. Guru itu akan berkata kepada malaikat penjaga neraka: “Tidak adakah jalan keluar bagi kami? Boleh tak kau ringankan satu hari sahaja azab ini? Kalau hari-hari lain nak azab pun tidak mengapalah, cuma hari ni sahaja kau kurangkan. Tolonglah kami”.

Kata malaikat: “Kami tidak disuruh untuk kurangkan azab. Kerja kami adalah untuk azab kamu sahaja”.

Bayangkan, nak jumpa / bercakap dengan malaikat itu saja mengambil masa selama seribu tahun lamanya meminta baru malaikat itu nak menoleh. Baru nak tanya apakah yang mereka hendak. Tapi mereka sudah terlambat, tidak ada lagi apa yang dapat mereka lakukan. Jadi, mereka akan terus bertengkar sesama mereka. Barulah mereka menyesal kerana mengikut arahan guru-guru mereka yang mengajar bukan dari Quran dan sunnah.

Juga bermaksud perbantahan sesama manusia yang berterusan dari dunia sampai ke akhirat. Sehingga yang dizalimi akan mendapat haknya.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ أَيْضًا: حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ -يَعْنِي ابْنَ عَمْرٍو-عَنْ يَحْيَى بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حَاطِبٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنِ الزُّبَيْرِ بْنِ الْعَوَّامِ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ السُّورَةُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: {إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِنْدَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ} قَالَ الزُّبَيْرُ: أَيْ رَسُولَ اللَّهِ، أَيُكَرَّرُ عَلَيْنَا مَا كَانَ بَيْنَنَا فِي الدُّنْيَا مَعَ خَوَاصِّ الذُّنُوبِ؟ قَالَ: “نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَ عَلَيْكُمْ، حَتَّى يُؤدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقِّ حَقُّهُ”. قَالَ الزُّبَيْرُ: وَاللَّهِ إِنَّ الْأَمْرَ لَشَدِيدٌ

Imam Ahmad mengatakan pula, telah menceritakan kepada kami Ibnu Namir, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Amr, dari Yahya ibnu Abdur Rahman ibnu Akhtab, dari Abdullah ibnuz Zubair, dari Az Zubair ibnul Awwam r.a. yang telah mengatakan bahwa ketika diturunkan kepada Rasulullah Saw. ayat berikut yaitu firman-Nya: Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula). Kemudian sesungguhnya kamu pada hari kiamat akan berbantah-bantahan di hadapan Tuhanmu. (Az-Zumar: 30-31) Az-Zubair r.a. bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah akan diulang terhadap kita apa yang terjadi di antara sesama kita ketika di dunia disertai dengan dosa-dosa yang khususnya?” Rasulullah Saw. menjawab: Benar, sungguh akan diulang terhadap kalian (persengketaan itu) hingga Allah menunaikan kepada orang yang berhak akan haknya. Az-Zubair r.a. berkata, “Demi Allah, sesungguhnya urusannya benar-benar sangat keras.”
Imam Turmuzi meriwayatkan hadis ini melalui hadis Muhammad ibnu Amr dengan sanad yang sama. Dan ia mengatakan bahwa hadis ini sahih.

TAMAT JUZ 23

Allahu a’lam. Lompat ke ayat-ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Noumana Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 039: Az Zumar and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s