Tafsir Surah Baqarah Ayat 204 – 209 (Munafik)

Ayat 204: Ada empat golongan yang Allah hendak sebut yang dimulai dengan ayat ke-200. Ayat 200 itu adalah tentang golongan manusia yang celaka kerana hanya nampak kepentingan dunia sahaja dan tidak hiraukan pun tentang akhirat.

Golongan yang kedua adalah dalam ayat yang seterusnya iaitu ayat ke 201 dimana mereka yang beruntung akan berdoa supaya mereka diberikan kebaikan dunia dan juga akhirat sekali dan supaya diselamatkan dari neraka. Lihatlah bagaimana mereka bukan hanya minta ‘dunia’ sahaja tetapi ‘kebaikan dunia’. Begitulah orang yang beriman, cara meminta doa kepada Allah pun mereka pandai.

Golongan yang ketiga adalah mereka yang bukan sahaja tidak mahu kepada agama untuk diri mereka tapi mereka usahakan supaya orang lain pun cintakan dunia. Dan bukan dunia itu untuk mereka pun tapi untuk orang lain. Inilah orang yang paling celaka sekali bukan sahaja mereka rugi tapi merugikan orang lain sekali.

Sepatutnya kita kena menjadi golongan yang ke-empat iaitu jenis manusia yang sanggup korbankan dunia untuk agama Islam.

وَمِنَ النّاسِ مَن يُعجِبُكَ قَولُهُ فِي الحَياةِ الدُّنيا وَيُشهِدُ اللَّهَ عَلىٰ ما في قَلبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الخِصامِ

Sahih International

And of the people is he whose speech pleases you in worldly life, and he calls Allah to witness as to what is in his heart, yet he is the fiercest of opponents.

Malay

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

وَمِنَ النَّاسِ

Dan ada diantara manusia itu

Ini adalah golongan ketiga. Ini adalah sifat orang-orang munafik. Lihatlah apa yang mereka lakukan.

مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ

yang mempersonakan kamu kerana percakapannya;

Perkataan mereka tentang dunia sampai boleh memikat manusia kepada sukakan dunia hingga boleh lupa kepada akhirat. Cakap dia manis tapi hatinya busuk. Oleh itu kita kenalah berhati-hati dengan sesetengah perkataan manusia. Jangan kita terpesona dengan kata-kata mereka.

 فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan di dunia;

Mereka cerita tentang dunia macam dunia itu ada di depan dan mudah sahaja nak dapat. Dan mereka memang pandai berkata-kata dan pandai berhujah. Begitulah juga sifat orang Munafik kerana orang Munafik zaman Nabi dulu pandai memuji-muji Nabi Muhammad.

 وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ

dan dia bersaksi kepada Allah atas apa yang ada dalam hatinya;

Dia akan kata bahawa apa yang dia cakapkan itu adalah benar belaka. Dia bersumpah dengan nama Allah. Dia menggunakan nama Allah sebagai saksi yang dia ikhlas dalam apa dikatakannya. Dia buat begitu supaya orang yang mendengar di depannya itu tidak syak kepadanya. Dia nak orang percaya dengan kata-katanya tentang dunia sampai dia sanggup menggunakan nama Allah.

Ayat ini mengajar kita yang sedang belajar tafsir Quran ini untuk menjaga hati dan perbuatan kita. Jangan kita cakap perkara kebaikan di mulut kita, tapi perbuatan kita lain pula. Jangan kita jadi macam orang dalam ayat ini.

Ia juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan kata-kata manusia. Ada manusia yang pandai berkata-kata sampai kita boleh jadi terpesona. Tapi jangan terus percaya. Kita kena tengok apakah tindak tanduk dia. Kerana cakap sahaja, semua orang boleh; tapi kena lihat apakah amalan dan perbuatannya dalam kehidupan juga. Kalau berlainan dari apa yang dia kata, tahulah kita yang dia hanya pandai bercakap sahaja.

وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

padahal dia sebenarnya adalah paling kuat sekali menentang;

Iaitu paling kuat melawan Nabi; Padahal dia adalah orang yang paling kuat menentang kehidupan di akhirat dan paling kuat menentang agama.

Perkataan أَلَدُّ itu lebih berat lagi dari perkataan عَدُوٌّ yang selalu digunakan kepada Syaitan. Mereka yang berperangai begini, akan mereka-reka perkataan mereka tidak berdasarkan dalil, asalkan mereka boleh menang dan orang lain percaya kepada kata-kata mereka. Mereka tidak kisah apakah yang benar.

Lafaz الْخَصِمُ bermaksud ‘berdebat’ dan ini dibenci oleh Allah seperti sabda Nabi dalam Sahih Muslim, riwayat Aisyah:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏“‏ إِنَّ أَبْغَضَ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الأَلَدُّ الْخَصِمُ ‏”‏ ‏.‏
Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya orang yang paling dibenci Allah adalah orang yang paling keras membantah.’”

 

Ayat 205:

وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها وَيُهلِكَ الحَرثَ وَالنَّسلَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الفَسادَ

Sahih International

And when he goes away, he strives throughout the land to cause corruption therein and destroy crops and animals. And Allah does not like corruption.

Malay

Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

وَإِذَا تَوَلَّىٰ

Dan apabila dia berpaling;

  1. Iaitu apabila dia pergi dari majlis tempat dia bercakap dan mempersonakan manusia itu.
  2. Ada juga yang menafsirkan ayat ini sebagai bermaksud apabila dia berkuasa. Dia pandai cakap sampaikan dia dapat memerintah.

 سَعَىٰ فِي الْأَرْضِ

dia terus berusaha di mukabumi;

Bukan berusaha dalam kebaikan. Tapi untuk keburukan. Kerana yang dicarinya adalah kepentingan dirinya sahaja. Kerosakanlah yang akan terjadi.

لِيُفْسِدَ فِيهَا

untuk berbuat kerosakan padanya;

  1. Iaitu bermaksud kerosakan pada agama, iaitu melakukan syirik. Keluar sahaja dari majlis Nabi, terus buat syirik. Dan ia melakukan perkara yang melanggar syariat dan berbuat dosa. Hukum-hukum Allah hanya dipakai mana yang menguntungkan dirinya sahaja, mana yang dia boleh terima sahaja dan mana yang dia tidak suka, dia akan tinggalkan.
  2. Atau ia boleh juga bermaksud, apabila mereka dapat kuasa, mereka akan berbuat kerosakan di mukabumi.

 وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ

dan dia membinasakan tanaman;

  1. Oleh kerana orang itu hanya mementingkan diri sendiri, dia sudah tidak memikirkan kepentingan rakyat. Maka tanaman akan punah ranah dan tidak subur. Tanaman adalah isyarat kepada kemakmuran. Negeri itu sudah tidak makmur lagi kalau mereka memerintah.
  2. Iaitu bermaksud ‘berzina’. Mereka jenis yang suka berzina.
  3. Orang-orang munafik zaman Nabi sungguh jahat sampaikan mereka merosakkan tanaman pada sahabat yang beriman.
  4. Tafsir lain mengatakan mereka mengganggu isteri para sahabat lain.

وَالنَّسْلَ

dan merosakkan binatang ternak;

  1. Apabila mereka mementingkan dunia dan mereka merosakkan flora dan fauna negara, maka binantang ternak pun sudah tidak hidup dengan sihat lagi. Rakyat sibuk nak mendengar apa yang mereka kata sampai tidak menjaga binatang ternak mereka lagi. Hutan-hutan dan tanaman ditebas dan digondolkan sampai makanan untuk binatang sudah tidak ada lagi. Hutan sudah gondol, maka mudah erosi berlaku. Maka tanah runtuh selalu terjadi. Banjir pun selalu terjadi.
  2. Orang Munafik zaman Nabi yang merosakkan binatang ternak orang beriman.

Dalam dunia sekarang, kita boleh lihat bagaimana banyak manusia yang melakukan apa sahaja untuk mencapai keuntungan. Antaranya, pengeluar makanan ada mengeluarkan makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Mereka telah mengubah komposisi makanan itu (Genetically Modified Food) yang membahayakan kesihatan. Tapi mereka tetap melakukannya kerana ianya boleh meningkatkan keuntungan kepada mereka.

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ

Dan Allah tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan;

Berapa banyak manusia yang di depan kita, nampak baik sahaja. Cakap baik-baik sahaja, tapi di belakang kita, macam-macam dosa yang mereka buat.


 

Ayat 206: Ini adalah sambungan kepada sifat orang-orang Munafik itu.

وَإِذا قيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتهُ العِزَّةُ بِالإِثمِ ۚ فَحَسبُهُ جَهَنَّمُ ۚ وَلَبِئسَ المِهادُ

Sahih International

And when it is said to him, “Fear Allah,” pride in the sin takes hold of him. Sufficient for him is Hellfire, and how wretched is the resting place.

Malay

Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

وَإِذَا قِيلَ لَهُ

Dan apabila dikatakan kepadanya;

Iaitu apabila dia dinasihati oleh sahabat-sahabat yang lain. Iaitu apabila ada orang yang berani nak tegur dia. Kebanyakannya takut nak tegur sebab dah tahu bahawa dia adalah seorang yang ganas.

 اتَّقِ اللَّهَ

“Takutlah kamu kepada Allah.”

Inilah nasihat dari para sahabat – mengingatkan mereka kepada Allah, takutlah kepada Allah, taqwalah kepada Allah, jangan buat kerosakan lagi.

 أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ

Kesombongannya mendorong dia meneruskan buat dosa;

Apabila dinasihati, dia terus sombong, tak mahu terima. Dia pula marah kita bila kita nasihat dia.

Dia sombong sampai menyebabkan dosa. Dia sombong tidak mahu terima Allah sampaikan dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa. Dia lawan kata-kata orang yang beriman dan dia buat perkara-perkara yang berdosa.

Ini adalah satu masalah yang amat besar dalam kalangan kita. Iaitu berat atau payah nak terima nasihat. Kalau ada orang yang nasihat kepada kita, kita pula marah orang itu balik. Ada yang kata: “apa kau kisah, kubur kan lain-lain?”, atau ada yang kata: “Jangan sibuk hal aku lah, tengok diri kau sahaja…” dan seumpamanya. Ini adalah sifat yang amat buruk sekali dan ianya adalah sifat orang Munafik. Kita diajar untuk senang menerima nasihat. Kerana dengan nasihat itulah yang dapat memperbaiki keadaan diri kita. Bayangkan kalau tidak ada orang yang nasihat kepada kita, tentulah kita akan terus melakukan kesalahan dan terus di dalam kesesatan, bukan?

فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ

cukuplah Neraka Jahannam sebagai tempat tinggal

Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka disebabkan oleh kelakukan dan perbuatan mereka itu.

 وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ

ianya adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

Tidak ada tempat yang lagi buruk dari neraka. Mereka akan tinggal di sana selama-lamanya. Mereka jadi begitu kerana mereka sudah jadi sombong sampai tidak mahu menerima nasihat lagi. Itulah balasan yang akan diberikan kepada mereka. Atau kepada kita, kalau kita melakukan perkara yang sama.


 

Ayat 207: Ini adalah golongan ke-empat, iaitu mereka yang beriman.

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشري نَفسَهُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ رَءوفٌ بِالعِبادِ

Sahih International

And of the people is he who sells himself, seeking means to the approval of Allah . And Allah is kind to [His] servants.

Malay

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.

وَمِنَ النَّاسِ

Dan diantara manusia,

Golongan ke-empat ini sanggup jual diri dia untuk menjadi hamba Allah yang sebenar.

 مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ

yang menjual dirinya kerana hendak mencari redha Allah;

Ada kisah seorang sahabat yang namanya Suhayb ar-Rumi, kerana dia adalah asalnya orang Rom. Dia adalah antara orang yang awal masuk Islam. Dia seorang yang pandai memanah. Semasa dia hendak berhijrah ke Madinah, orang Musyrikin hendak menghalangnya. Dia kata dia boleh memanah mereka, maka akan ramai yang mati sebelum dia sendiri terbunuh. Atau dia kata, kalau mereka kejar dia, dia mungkin boleh melarikan diri sampai mereka tidak dapat tangkap dia dan buang masa mereka sahaja. Itulah keberanian sahabat. Musyrikin Mekah tidak mahu dia meninggalkan mereka kerana dia telah menjadi kaya. Maka Suhayb telah menawarkan mereka untuk mengambil hartanya yang disimpan di sekian-sekian tempat. Dia beritahu kepada Musyrikin Mekah, daripada mereka buang masa kejar dia, baiklah mereka pergi cari harta dia yang banyak itu dan ambillah harta itu dan tinggalkan sahaja dia hendak hijrah ke Madinah. Kerana itu, orang Musyrikin membiarkan beliau. Sebab yang mereka hendak adalah harta sebenarnya. Dan memang mereka dapat harta Suhayb yang banyak itu.

Apabila beliau sampai ke Madinah, Nabi telah memberi pujian dan tahniah kepada beliau kerana beliau telah jual dunia untuk membeli akhirat.

Kata مَرْضَاتِ اللَّهِ bermaksud hendak menggembirakan Allah.

 وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ

Dan Allah taala Amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.

Kata رَءُوفٌ itu bermaksud Allah tahu apakah yang kita lalui. Dia tahu bagaimana kita kena cemuh dan kena tohmah dalam mengamalkan sunnah ini.


 

Ayat 208: Ada tujuh dorongan atau dipanggil targhib yang perlu diberikan kepada manusia. Kita telah sebutkan empat golongan sebelum ini:

  1. Yang mementingkan dunia sahaja.
  2. Yang mahukan kebaikan dunia dan juga akhirat dan minta diselamatkan dari neraka. Ini adalah golongan yang selamat.
  3. Yang bukan sahaja tidak mahu kepada akhirat tapi mereka juga merosakkan orang lain. Ini golongan yang celaka.
  4. Mereka yang sanggup menjual diri mereka supaya mereka mendapat kebaikan di akhirat. Ini adalah golongan yang terbaik.

Dorongan yang pertama perlu diberikan kepada golongan yang pertama, iaitu orang-orang munafik. Orang-orang munafik yang sebegitu hendaklah diajak mereka untuk pergi berjihad. Semoga dengan berjihad itu, sifat munafik mereka akan hilang. Dengan adanya hukum Jihad, segala resam-resam yang buruk tidak akan ada lagi di dalam masyarakat. Amalan bidaah dan khurafat tidak akan ada lagi. Kerana, apabila jihad disyariatkan, semua umat Islam akan berjihad untuk Allah dan Rasul. Kerana cinta kepada Allah dan Rasul akan timbul apabila adanya Jihad. Setelah itu, mereka akan terus berada dalam iman.

Dan ajak juga mereka untuk infaq kepada jalan Allah. Kerana jihad dan infak boleh menghilangkan sifat munafik dalam diri manusia.

Kepada golongan yang kedua dan keempat, iaitu mereka yang sanggup untuk memberikan segalanya untuk agama, maka dibukakan kepada mereka tentang jihad. Beritahu mereka bahawa jihad adalah ‘jalan singkat’ untuk ke syurga. Dan untuk menjalankan jihad, infak perlu dijalankan.

Ayat Quran telah banyak menyebut tentang targhib Jihad dan Infak. Sekarang dorongan atau targhib ketiga ada di dalam ayat ini. Bila telah timbul perasaan cinta kepada Allah, maka hati mereka tidak akan mahu kepada benda-benda yang tidak diajar oleh Allah dan Rasul. Mereka akan sanggup untuk melakukan ketaatan kepada segala arahan Allah dan Rasul termasuklah melakukan jihad.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Sahih International

O you who have believed, enter into Islam completely [and perfectly] and do not follow the footsteps of Satan. Indeed, he is to you a clear enemy.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman,

 ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Masuklah kamu ke dalam Islam semua sekali;

Kena terima semua perkara tentang agama. Ada seorang sahabat yang asalnya seorang Yahudi telah berjumpa dengan Nabi. Dia kata dia tahu bahawa hari yang mulia di dalam Islam adalah hari Jumaat. Dia memang tidak ada masalah menghormati hari Jumaat itu. Tetapi dia masih lagi mahu menghormati hari Sabtu kerana itu adalah kebiasaan yang dilakukannya semasa dalam Yahudi.

Selain daripada dia, ada lagi sahabat-sahabat yang lain juga yang mahu mencampurkan amalan agama Islam dan juga amalan-amalan lain yang mereka telah biasa lakukan. Maka Allah beritahu dalam ayat ini kalau mereka mahu kepada agama Islam, maka mereka kena masuk sepenuhnya ke dalam agama Islam dan jangan mengikut pengaruh syaitan.

Kepada kita sekarang, kenalah terima semua sekali perkara tentang Sunnah, jangan ada tolak mana-mana ayat Quran, mana-mana Sunnah. Kena terima Islam semua sekali, jangan campur adukkan antara yang haq dan yang batil. Antara contoh mencampur adukkan adalah seperti dalam amalan tahnik (belah mulut) – memasukkan manisan ke dalam mulut bayi yang baru lahir. Tahnik itu sunnah, tapi telah dicampuradukkan dengan menggunakan cincin emas dan cincin perak yang dimasukkan ke dalam mulut bayi itu. Kononnya, budak itu akan menjadi kaya nanti. Ada juga yang menggunakan garam supaya mulut budak itu jadi masin dan boleh jadi guru. Maka, macam-macam manusia tambah.

Apabila sudah terima agama dengan lengkap dan penuh, maka tinggalkan mana-mana amalan salah, syirik dan khurafat yang pernah dilakukan dahulu.

Ingatlah bahawa agama ini telah lengkap, maka tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang bidaah. Banyak yang tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan bidaah, maka mereka rasa tidak salah kalau mereka mengamalkan amalan tambahan dalam agama. Ini adalah salah dan perbuatan yang berdosa.

Jangan pilih-pilih mana bahagian agama yang kita hendak pakai sahaja. Kena pakai semua sekali maka kena belajar semua sekali.

Kita juga kenalah mengamalkan agama dalam keseluruhan kehidupan kita. Samada dalam bentuk ibadat (hubungan dengan Allah) dan adat (hubungan dengan makhluk). Jangan pakai hukum agama dalam ibadat dengan Allah, tapi dalam kehidupan seharian, kita tidak pakai hukum-hukum yang Allah telah tetapkan. Ketahuilah bahawa agama Islam ini adalah lengkap dan meliputi segenap kehidupan kita. Kerana tidak faham perkara inilah, ada orang yang tidak tinggal sembahyang, tapi dalam perniagaan mereka, mereka menipu manusia yang lain.

 وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ

dan jangan kamu ikuti jejak langkah syaitan;

Jangan ikut bisikan syaitan kerana ada yang tergelincir dari akidah yang benar kerana termakan dengan bisikan syaitan. Kerana keinginan mereka untuk campur aduk amalan seperti yang ramai manusia lakukan itu adalah daripada bisikan syaitan. Syaitan mahu kita memasukkan amalan yang bukan daripada agama Islam.

Keduanya, ada yang meninggalkan sunnah dan melakukan bidaah kerana bisikan syaitan juga. Syaitan akan membisikkan bahawa perkara-perkara yang salah itu boleh dibuat. Mereka akan kata: “takkan guru itu nak masuk neraka”. “Takkan buat bidaah itu tak dapat pahala”. Dah macam-macam lagi bisikan-bisikan mereka untuk menyesatkan manusia.

Mereka juga akan bisikkan: “takkan selawat syifa’ boleh jadi kufur pula”. Ketahuilah bahawa Selawat Syifa’ itu boleh jadi kufur kerana ia adalah selawat yang mengandungi unsur syirik didalamnya. Mereka sangka dengan berkat Nabi Muhammad boleh menyembuhkan penyakit. Tapi ketahuilah bahawa Nabi Muhammad tidak boleh memberi berkat kepada sesiapa. Nabi Muhammad juga tidak boleh menyembuhkan sesiapa. Allah sahaja yang boleh menyembuhkan. Oleh itu, bila dikatakan Nabi Muhammad boleh menyembuhkan sakit, maka itu sudah syirik kepada Allah.

Dan tidak boleh bertawasul dengan berkat Nabi Muhammad. Jangan bersandar kepada Nabi Muhammad. Sandarlah sahaja kepada ayat Quran dan zikir kepada Allah sahaja cukuplah.

Amat bahaya sekali jejak langkah syaitan itu. Ingatlah bahawa syaitan itu pandai menipu kita. Dia tidak suruh kita tinggalkan Islam semua sekali. Dia cuma suruh tinggalkan sikit-sikit sahaja. Hasilnya, kita tidak memenuhi semua sekali arahan agama. Akhirnya, sedikit demi sedikit syaitan akan mengajak kita tinggalkan Islam keseluruhannya. Mula-mula dia akan suruh tinggalkan sikit sahaja.

 إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang jelas nyata.

Mereka adalah musuh yang nyata bagi kita. Selagi kita tak masuk neraka bersama mereka, mereka tidak akan berpuas hati.

Mereka adalah musuh yang nyata kerana mereka telah berjanji dengan Allah untuk menyesatkan anak Adam.


 

Ayat 209: Ini adalah ayat Zajrun.

فَإِن زَلَلتُم مِن بَعدِ ما جاءَتكُمُ البَيِّناتُ فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Sahih International

But if you deviate after clear proofs have come to you, then know that Allah is Exalted in Might and Wise.

Malay

Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

فَإِنْ زَلَلْتُمْ

Sekiranya kamu tergelincir juga;

Iaitu ada juga yang melakukan kesalahan atau tersilap buat. Ini adalah kerana kadang-kadang kita terikut dengan dorongan nafsu dan syaitan.

مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ

setelah datang kepada kamu dalil-dalil bukti yang jelas nyata;

Tergelincir yang dimaksudkan itu bukanlah sebab kita tidak tahu, tapi setelah diberitahu dengan segala dalil bukti itu adalah dari Allah dan Sunnah Nabi. Yang sepatutnya, kalau kita tersilap dalam sesuatu perbuatan, maka cepat-cepat kita istighfar dan minta ampun kepada Allah. Jangan tangguh-tangguh lagi.

 

 فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maka ketahuilah bahawa Allah itu Maha Gagah Perkara dan Maha Bijaksana;

Allah beritahu yang Dia Maha Gagah – maksudnya Dia boleh nak masukkan kita ke dalam neraka dengan segala azabnya. Kalau kita tergelincir maka hendaklah kita tahu bahawa Allah itu Maha Gagah Perkasa dan Dia boleh azab kita bila-bila masa sahaja, tak payah tunggu masuk neraka pun.

Maksud Allah Maha Bijaksana – terpulang kepada Dia nak masukkan kita ke dalam neraka atau tidak. Keputusan ada pada Allah. Kita patut bersyukur Allah tidak azab terus kita di atas kesalahan kita kerana Dia memberi peluang kepada kita untuk bertaubat.

Dia mungkin tidak hukum kita pada hari ini di atas kebijaksanaanNya tetapi ketahuilah bahawa Dia boleh hukum kita pada waktu yang lain. Jadi jangan kita salah faham dengan dua sifat ini. Allah tidak hukum kita sekarang sebab Dia ada sifat Hakim. Tapi kena ingat yang Allah juga ada sifat Aziz, dan Dia boleh hukum kita bila-bila masa sahaja. Maka jangan kita rasa selamat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s