Tafsir Surah Baqarah Ayat 195 – 203 (Bab Haji)

Ayat 195: Kita sudah membaca ayat tentang peperangan. Peperangan memerlukan sumber kewangan yang banyak. Belanjawan setiap negara pun akan meluangkan bahagian yang banyak untuk tentera mereka. Begitu juga, Islam menganjurkan umatnya untuk mengeluarkan wang untuk menegakkan jihad fisabilillah.

Sekarang kita masuk ke bahagian kedua dalam usaha untuk menegakkan dakwah iaitu dengan infak. Sebelum ini kita sudah belajar usaha yang pertama iaitu jihad. Kedua-duanya adalah seumpama dua sayap yang diperlukan untuk menjalin kerja dakwah dan menegakkan kalimah Tauhid di dunia. Kalau sayap satu sahaja yang berfungsi, ianya tidak akan memberi hasil apa-apa pun. Burung yang satu sayapnya rosak, tidak akan dapat terbang. Maka, infak dan jihad kena bekerja seiringan.

وَأَنفِقوا في سَبيلِ اللَّهِ وَلا تُلقوا بِأَيديكُم إِلَى التَّهلُكَةِ ۛ وَأَحسِنوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Sahih International

And spend in the way of Allah and do not throw [yourselves] with your [own] hands into destruction [by refraining]. And do good; indeed, Allah loves the doers of good.

Malay

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Hendaklah kamu infak pada jalan Allah;

Iaitu dengan memberi sedekah untuk membantu pada jalan Allah. Ada tiga jenis sedekah: Pertama, Zakat – ini wajib dikeluarkan. Kedua, sedekah sunat – ini adalah sunat. Ketiga, sedekah fi sabilillah – ini juga wajib. Iaitu sedekah kepada orang yang sebar dan orang yang keluar berjihad ke jalan Allah. Orang kita kurang sangat sedekah kepada ugama. Kalau kepada orang lain atau sebab-sebab lain, banyak juga. Tapi kalau dibandingkan sedekah biasa itu dengan sedekah untuk membantu agama, amat kurang sekali. Kalau kita tanya kepada orang yang perniagaan mereka yang telah jatuh, mereka selalunya tidak bersedekah kepada jalan agama. Padahal mereka banyak sedekah ke tempat lain.

Ada dua perkara yang utama berkenaan infak ini:
Pertama, ianya adalah penyempurnaan kepada jihad kerana jihad tidak dapat dilakukan jikalau tidak ada infak. Kerana jihad memerlukan segala kelengkapan seperti kenderaan, senjata, makan minum dan sebagainya yang tentunya memerlukan sumber kewangan yang besar. Makna infaq adalah ‘belanja harta’. Tetapi yang dikehendaki kepada kita adalah untuk belanja kepada jihad fi sabilillah. Kerana manusia memang akan keluarkan duit untuk infak, beli itu dan ini tetapi selalunya ia bukanlah untuk jihad fi sabilillah. Kalau infak yang Allah suruh adalah untuk jihad fi sabilillah, Baru ada nilai di sisi Allah kerana ada hubungan dalam menegakkan agama Allah. Infak dalam ayat ini bukanlah infak untuk perang sahaja tetapi untuk jalan Allah yang lain. Tapi infak untuk perang adalah salah satu amat penting sekali.

Dan perkara kedua, Allah akan balas infak fisabilillah yang dilakukan oleh manusia. Allah akan balas nilai infak fisabilillah itu dengan 10 kali ganda sekurang-kurangnya semasa di dunia lagi dan akan dibalas di akhirat nanti dengan balasan syurga. Jadi, ada dua perkara tentang infak ini iaitu ia bukan sahaja untuk menyempurnakan tuntutan jihad tetapi ia juga boleh meningkatkan rezeki untuk kita.

Sebagaimana jihad mempunyai syarat-syaratnya begitu juga dengan infak. Untuk membolehkan kita mendapat balasan dari infak yang kita telah lakukan maka ada lapan syarat yang perlu dipenuhi yang akan disebutkan dalam ayat-ayat Qur’an selepas ini. Jadi kalau hendakkan balasan dari Allah seperti yang telah dijanjikan, maka kenalah syarat-syarat itu dipenuhi. Dari lapan syarat itu ada empat yang kena ada dan empat yang tidak boleh ada. Semuanya ada disebut di dalam ayat-ayat Qur’an. Jadi ianya adalah syarat-syarat yang besar kerana datang dari Allah sendiri.

 وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Dan jangan kamu campakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam jurang kebinasaan;

Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dengan tidak Infak. Infak itu adalah kesempurnaan dan jikalau tidak infak akan menyebabkan kebinasaan kepada diri kita.

Kita lihat banyak ayat ini ditampalkan di dinding-dinding dalam masjid. Selalunya dijadikan dalil untuk mengharamkan orang menghisap rokok. Kerana menghisap rokok itu membahayakan kesihatan dan dikira perbuatan itu menjerumuskan diri kepada kebinasaan dengan tangan sendiri. Itu adalah tafsiran yang salah. Sebab ayat ini bukan maksud begitu.

Untuk memahami ayat ini, kita kena lihat apakah asbabun nuzul ayat ini. Ada seorang lelaki yang masuk Islam lambat. Selepas Nabi tiada, baru dia masuk Islam. Semasa dia kafir, dia selalu berperang dengan Islam. Tapi selepas dia masuk Islam, dia ingin menebus kesalahannya dahulu dengan menyertai perang menentang orang kafir. Semasa menentang tentera Rom, dia lihat ramai orang Islam takut hendak lawan orang Rom. Kerana mereka nampak tentera Rom terlalu ramai. Dia kesal dengan sikap tentera Islam itu dan dia berpidato mengatakan semasa dia menentang orang Islam dahulu, dia rasa takut sangat dengan tentera Islam. Tapi sekarang, orang Islam pula takut kepada orang kafir. Jadi dia terus masuk menyerang orang Rom seorang diri dan dia terbunuh. Ada sahabat melihat kejadian itu, maka beliau membacakan ayat itu – bermaksud lelaki itu menjerumuskan dirinya kedalam kebinasaan. Tapi ada seorang sahabat Ansar yang mendengar kata sahabat itu, mengatakan ayat itu berkenaan mereka (orang Ansar). Dia kata dia lebih tahu maksud ayat itu kerana ianya adalah tentang mereka (puak Ansar). Mereka dulunya telah banyak membantu Islam semenjak dari Nabi datang ke Madinah. Tapi apabila Islam sudah semakin senang, mereka mengatakan bahawa sekarang sampailah masa untuk mereka membuat harta pula. Iaitu mereka rasa mereka tidak perlu lagi memberi derma kepada Islam. Mereka berfikir sesama mereka sahaja tanpa merujuk kepada Nabi. Padahal waktu itu Nabi masih lagi mengarahkan para sahabat untuk terus menerus melakukan jihad dan infak dan tidak pun suruh mereka berhenti. Oleh kerana ada segelintir dari para sahabat yang sudah ada fikiran yang lain dari yang sepatutnya, maka Allah telah turunkan ayat ini sebagai teguran kepada mereka. Mereka hendaklah terus infak untuk jihad fisabilillah dan jangan campakkan diri ke dalam kebinasaan dengan tidak melakukan infaq. Maka, ayat ini diturunkan kerana kata-kata mereka yang hendak berhenti dari memberi sedekah itu. Bermakna, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan adalah tidak menderma. Atau berhenti menderma di jalan Allah.

Walaubagaimanapun ayat ini berbentuk umum dan boleh digunakan untuk perkara-perkara lain juga. Tapi asal turun ayat ini adalah seperti yang disebut di atas. Oleh itu tahulah kita, jikalau tidak infak di jalan Allah seperti mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Kerana harta yang tidak diinfakkan ke jalan Allah tidak akan jadi subur dan akan disoal nanti oleh Allah ke mana kita salurkan.

Maka, jangan kita jadi bakhil dengan tidak berderma di jalan Allah. Jangan belanjakan wang di tempat lain yang tidak berfaedah. Kalau kita tidak membelanjakan wang ke jalan Allah, tapi belanja di tempat lain, maka itu menunjukkan kita lebih sayangkan dunia dari akhirat. Apabila kita lebih sayangkan dunia, maka Allah tidak lagi bersama kita. Dan itulah nanti yang menyebabkan kebinasaan kita. Itulah makna ayat ini. Kerana kita bakhil boleh menyebabkan kebinasaan kita.

وَأَحْسِنُوا

dan berbuat baiklah;

Satu syarat untuk infaq ini adalah ikhlas. Perkataan أَحْسِنُ dalam ayat ini bermaksud ikhlas. Kerana infak yang tidak ikhlas tidak akan diberi ganjaran oleh Allah. Jadi, ini adalah syarat pertama dari lapan syarat yang telah disebut sebelum ini.

Berbuat baiklah dengan sentiasa infak kepada agama. Dalam hal infak harta, hendaklah kita cemerlang. Iaitu buat dengan lebih lagi. Lebih dari yang sepatutnya. Inilah satu lagi maksud ‘ihsan’. Kalau kita sudah memasukkan elemen taqwa dan faham tentang kepentingan jihad fi sabilillah, maka kita akan senang untuk mengeluarkan harta kita di jalan Allah.

Apa yang kita keluarkan dari harta itu adalah sebahagian dari kita. Kerana harta kita adalah sebahagian dari kita. Kerana kita telah meluangkan masa yang banyak untuk mendapatkan harta itu. Bermakna, kita kena belajar untuk memberikan sebahagian dari diri kita. Jangan kita sangka yang wang itu hak kita sepenuhnya.

‘Ihsan’ dalam bentuk yang umum adalah berbuat baik secara keseluruhan. Bukan hanya dalam bentuk sedekah sahaja tapi dalam semua perkara. Allah ingatkan kita untuk berbuat baik.

 إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya Allah amat sayang kepada orang yang berbuat baik. 

Kena lihat balik makna ihsan. Daripada hadis, kita diberitahu bahawa konsep ihsan adalah kita berbuat sesuatu seperti kita melihat Allah. Kalau kita tidak dapat melihat Allah, maka tahulah bahawa Allah sedang melihat kita. Maknanya, orang yang muhsin adalah orang yang sentiasa sedar bahawa Allah sedang melihatnya. Dalam ayat sebelum ini, telah diberitahu kepada kita bahawa Allah dekat dengan kita. Maka kalau kita dapat memasukkan fahaman itu dalam diri kita, senang untuk kita infak di jalan Allah. Sebab kita tahu bahawa Allah menulis apa yang kita infakkan itu dalam kitab amalan kita.


 

Ayat 196: Sekarang kita masuk pada ayat-ayat berkenaan Haji. Ulama berpendapat bahawa Hukum Haji ini diwajibkan pada tahun ke 3 Hijrah, iaitu tahun Perang Uhud. Ianya diwajibkan dalam ayat dalam Surah Ali Imran.

وَأَتِمُّوا الحَجَّ وَالعُمرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِن أُحصِرتُم فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۖ وَلا تَحلِقوا رُءوسَكُم حَتّىٰ يَبلُغَ الهَديُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَريضًا أَو بِهِ أَذًى مِن رَأسِهِ فَفِديَةٌ مِن صِيامٍ أَو صَدَقَةٍ أَو نُسُكٍ ۚ فَإِذا أَمِنتُم فَمَن تَمَتَّعَ بِالعُمرَةِ إِلَى الحَجِّ فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۚ فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلاثَةِ أَيّامٍ فِي الحَجِّ وَسَبعَةٍ إِذا رَجَعتُم ۗ تِلكَ عَشَرَةٌ كامِلَةٌ ۗ ذٰلِكَ لِمَن لَم يَكُن أَهلُهُ حاضِرِي المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Sahih International

And complete the Hajj and ‘umrah for Allah . But if you are prevented, then [offer] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And do not shave your heads until the sacrificial animal has reached its place of slaughter. And whoever among you is ill or has an ailment of the head [making shaving necessary must offer] a ransom of fasting [three days] or charity or sacrifice. And when you are secure, then whoever performs ‘umrah [during the Hajj months] followed by Hajj [offers] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And whoever cannot find [or afford such an animal] – then a fast of three days during Hajj and of seven when you have returned [home]. Those are ten complete [days]. This is for those whose family is not in the area of al-Masjid al-Haram. And fear Allah and know that Allah is severe in penalty.

Malay

Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Dan hendaklah kamu sempurnakan haji dan umrah kerana Allah;

Apabila kita sudah keluar untuk mengerjakan Haji atau Umrah, kita kena sempurnakan. Macam kalau kita sudah solat yang empat rakaat, tidaklah boleh kita buat dua rakaat dan rasa malas nak sambung, terus kita tinggalkan – ini adalah salah. Begitulah juga dalam kita menuntut ilmu, kita kena habiskan. Jangan kita biasakan buat perkara separuh jalan – dalam hal ibadat dan dalam hal kehidupan kita, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan agama.

Ianya juga memberitahu kita bahawa mengerjakan Haji adalah salah satu dari Rukun Islam. Ianya wajib dilakukan kepada mereka yang berkemampuan untuk sampai ke sana dari segi kewangan atau fizikal.

Dan ayat ini juga mengingatkan kita bahawa Haji dan Umrah itu dijalankan ‘kerana Allah’. Bukannya kerana hendak mendapat status ‘Haji’ dan bukan kerana sebab-sebab yang lain. Ada yang pergi ke sana macam pergi bercuti sahaja. Amat rugi kalau kita menghabiskan wang beribu ringgit untuk pergi mengerjakan Umrah dan Haji, tapi sia-sia amalan itu kernaa kita buat bukan kerana Allah.

Ada pula yang tidak ambil peluang untuk melakukan ibadat, kerana malas, kerana rasa susah, sampai ada yang tidak solat berjemaah di Masjidil Haram, tapi solat di bilik sahaja. Ini amat rugi sekali. Sudah dapat peluang pergi ke sana, tapi tidak ambil peluang untuk beribadat dan mengaut pahala sebanyak mungkin.

Ramai dari kalangan kita yang pergi Haji dan Umrah, mereka akan update status dalam Facebook mereka dan ambil gambar dengan Kaabah dan masukkan dalam post mereka. Apa kena dengan mereka ini? Adakah mereka hendak memberitahu semua orang bahawa mereka sedang buat ibadat dan hendak berbangga-bangga? Ditakuti kalau kita hendak menunjuk-nunjuk, akan menyebabkan pahala buat Haji dan Umrah itu akan hilang pula kerana riak. Seeloknya kita jangan lakukan. Memang masalah umat kita sekarang, semua nak kena post dan update dalam Facebook. Kenapa susah sangat ke nak jadi orang yang simpan sahaja apa-apa yang kita buat? Kenapa nak kena bagitahu semua orang?

Ayat ini adalah tentang Ibadah Haji dan ianya adalah ayat Umur Muslihah. Ianya adalah satu ibadah yang boleh mengeratkan hubungan dengan hamba hamba seislam yang lain. Kerana Haji itu dilakukan setahun sekali dan ianya boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam yang berada di bawah satu khalifah seluruh dunia. Kerana umat Islam seluruh dunia sepatutnya di bawah seorang Khalifah sahaja, bukannya macam zaman sekarang, setiap negara ada Presiden. Haji adalah penting kerana ianya adalah perkumpulan umat Islam sedunia. Supaya semua umat Islam dari segenap ceruk dunia akan datang ke satu tempat dan dapat duduk bersama. Dapat duduk bersama dengan Khalifah, dapat solat dengan beliau dan dapat mendengar apakah pesanan beliau kepada umat sedunia.

Jadi haji ini bukan sahaja satu ibadat yang boleh memberikan pahala kepada kita tetapi ia juga boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim seluruh dunia. Jadi ada hubungan hamba dengan Allah dan hubungan hamba dengan hamba yang lain.

 فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ

Dan sekiranya kamu ditahan;

Ini adalah sekiranya kita tidak boleh masuk ke Mekah. Waktu dulu, orang Islam dihalang oleh puak Quraish. Kalau zaman sekarang, boleh jadi macam-macam – mungkin ada gangguan pada perjalanan, atau kita ditahan oleh puak musuh dan sebagainya. Jadi, apabila ada gangguan atau halangan untuk sampai ke Mekah, kena patah balik walaupun sudah berniat Ihram. Allah memberi jalan keluar dalam hal-hal sebegini. Kerana asalnya, apabila sudah berniat Haji dan ihram, kena selesaikan.

Ibn Kathir mengatakan ayat ini diturunkan pada tahun ke 6 Hijrah, pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah, iaitu sewaktu Musyrikin Mekah menghalang Nabi dan para sahabat dari menunaikan Umrah.

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

maka wajiblah kamu sembelih korban yang mudah didapati;

Walaupun sudah kena patah balik ke kampung asal, tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Untuk bebas dari pantang larang ihram, kena tahallul (cukur rambut) dan sembelih binatang korban apa yang mampu bagi kamu. Sembelih binatang korban itu adalah sebagai dam (denda). Itu kena dilakukan kalau dah berniat Haji dan sudah pakai Ihram.

Dalam ayat ini, tidak disebut dengan jelas apakah binatang yang boleh disembelih. Allah hanya kata ‘yang mudah didapati’ sahaja. Iaitu dari binatang ternak – unta, lembu, kambing atau biri-biri.

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ

Dan janganlah kamu cukur kepala kamu sehinggalah sampai binatang sembelihan itu ke tempat sembelih;

Cukur kepala atau Tahallul itu menandakan kita sudah selesai dari pantang larang ihram. Tidak boleh cukur atau gunting rambut kalau dalam ihram. Tapi kerana tidak boleh meneruskan kerja Haji atau Umrah kerana terhalang, maka dibolehkan. Tapi cukur kepala itu hanya boleh dilakukan apabila binatang sudah sampai ke tempat sembelih.

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا

Maka sesiapa di antara kamu sakit

Mungkin ada yang terpaksa mencukur rambutnya awal kerana uzur.

أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ

atau terdapat sakit di kepalanya

Contohnya, kepalanya ada kutu atau apa-apa sahaja yang menyebabkan dia kena cukur rambut (tahallul) awal dari yang sepatutnya. Sebagaimana disebut pula dalam hadits Ka’ab bin ‘Ujrah ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lalu berdekatannya, ada kutu-kutu yang jatuh dari kepalanya, maka Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya kepadanya, “Apakah kutu-kutu itu mengganggumu?” Dia menjawab, “Iya.” Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Cukurlah rambutmu kemudian sembelihlah seekor kambing atau berpuasalah selama tiga hari atau berilah makan seukuran satu faroq untuk enam orang miskin.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Jadi, ada dua sebab yang dibenarkan cukur rambut awal dari yang sepatutnya – sakit atau gangguan pada kepala.

فَفِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ

hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa,

Maka boleh cukur rambut terus dan ganti dengan bayar Fidyah. Iaitu samada puasa tiga hari,

 أَوْ صَدَقَةٍ

atau bersedekah;

Iaitu memberi makan enam orang fakir miskin. Ini diketahui dari hadis. 

 أَوْ نُسُكٍ

atau menyembelih binatang

Ataupun sembelih binatang korban – sekurang-kurangnya seekor biri-biri yang sudah cukup umur.

قَالَ قَرَأْتُ عَلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ : مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الْكَرِيمِ بْنِ مَالِكٍ الْجَزَرِيِّ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ أَنَّهُ كَانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَذَاهُ الْقَمْلُ فِي رَأْسِهِ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَحْلِقَ رَأْسَهُ وَقَالَ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ أَوْ أَطْعِمْ سِتَّةَ مَسَاكِينَ مُدَّيْنِ مُدَّيْنِ لِكُلِّ إِنْسَانٍ أَوْ انْسُكْ بِشَاةٍ أَيَّ ذَلِكَ فَعَلْتَ أَجْزَأَكَ

[[[Abdullah bin Ahmad berkata; Saya telah membacakan kepada [Abdurrahman]: [Malik] dari [Abdul Karim bin Malik Al Jazari] dari [Mujahid] dari [Abdurrahman bin Abu Laila] dari [Ka’ab bin Ujrah], bahwa ia pernah bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian rambut kepalanya terserang kutu. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruhnya untuk mencukur rambutnya. Lalu beliau bersabda: “Berpuasalah tiga hari atau berilah makan kepada enam orang miskin; dua mud untuk setiap orangnya. Atau, kamu berkurban dengan satu kambing. Mana dari kesemua itu yang kamu kerjakan, maka ia telah menggantikannya.”]]]

 فَإِذَا أَمِنْتُمْ

Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman;

Iaitu sudah boleh meneruskan buat Haji atau apabila kita pergi mengerjan haji itu, tidak ada masalah apa-apa yang menghalang kita dari mengerjakannya. Kalau tidak ada halangan, maka teruskanlah mengerjakan Haji itu. 

 فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ

maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan hingga masa Haji,

Makna تَمَتَّعَ adalah menikmati sesuatu. Sebelum Islam, orang Arab tidak melakukan Umrah dalam bulan Haji. Bulan Haji adalah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Dan bulan Rejab adalah bulan untuk buat Umrah. Orang Arab tidak membenarkan buat Umrah dalam bulan Haji. Sebab pada mereka, sudah ada waktu untuk buat Umrah iaitu bulan Rejab. Tapi Islam datang dengan membenarkan kemudahan untuk melakukan Umrah dalam bulan Haji juga. Maknanya, ia adalah kemudahan yang Allah berikan.

Ada tiga jenis Haji:

1. Tamattu’ – buat umrah dahulu, tahallul dan tinggal di Mekah dan kemudian buat Haji. Sementara tunggu waktu Haji, boleh pakai baju biasa

2. Qiran – buat Umrah bersama dengan Haji.

3. Ifrad – buat Haji dulu, kemudian buat Umrah.

Jikalau Haji Ifrad tidak ada apa tetapi jikalau mengerjakan Haji Tamattu dan Haji Qiran perlu bayar dam.

Haji Tamattu’ bermaksud bersenang lenang ataupun berseronok semasa mengerjakan Haji iaitu dimulai dengan mengerjakan umrah dahulu dan kemudian Tahallul supaya boleh keluar dari pantang larang Ihram dan tunggu masa Haji masuk. Bolehlah dia pakai baju biasa dan sebagainya. Bila sampai waktu Haji maka niat Haji pula dan kembali pakai Ihram untuk mengerjakan Haji pula. Jadi waktu antara Umrah dan Haji itu, seseorang itu boleh berseronok bersenang-senang sahaja. Maksud ‘berseronok’ itu adalah bebas daripada pantang larang Ihram.

فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

hendaklah menyembelih Dam yang mudah didapati.

Kerana kebenaran melakukan Haji Tamattu’ ini sudah memudahkan orang yang mahu melakukan ibadat umrah. Tidak perlu pergi dua kali – sekali pergi umrah dan sekali pergi haji – boleh buat dua-dua sekali pada sekali pergi ke Mekah. Oleh kerana kemudahan yang Allah telah berikan itu, Allah syaratkan untuk sembelih binatang ternak. Ianya adalah sebagai tanda syukur kepada Allah.

Sembelihan itu bolehlah mengikut kadar kemampuan seseorang dan bergantung jika barang yang hendak disembelih itu ada. Iaitu kena ada kemudahan duit dan kemudian binatang. Kerana kadang ada manusia yang mempunyai duit tapi binatang tidak ada atau binatang ada tapi duit yang tiada.

فَمَنْ لَمْ يَجِدْ

Jika kamu tidak dapati binatang ternak;

Jikalau tiada duit untuk membeli sembelihan atau jikalau sembelihan pun tiada.

فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ

hendaklah kamu berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji;

Iaitu berpuasa tiga hari itu di Mekah

 وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ

dan tujuh hari lagi apabila balik;

Iaitu apabila balik ke Malaysia. Iaitu balik ke rumah. Ini hanya kepada yang tidak tinggal di Mekah. Tidak ditetapkan bila kena buat. Ikut keselesaan kepada individu itu bila dia boleh buat puasa itu.

 تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ

Itulah dia sepuluh hari yang genap;

Kena lengkapkan puasa sebanyak sepuluh hari ini. Jangan kurang.

 ذَٰلِكَ لِمَنْ لَمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Yang demikian itu bagi mereka yang bukan ahli penduduk Mekah;

Kemudahan untuk melakukan Haji Tamattu’ itu hanya diberikan kepada orang luar dari Tanah Haram sahaja. Penghuni Tanah Haram tidak ada pilihan untuk buat Haji Tamattu’ atau Qiran, mereka kena buat Haji Ifrad. Ini adalah kerana mereka tinggal dekat dengan Kaabah dan boleh buat Umrah bila-bila masa. Tujuannya supaya mereka tidak menyesakkan Tanah Haram masa bulan Haji.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Takutlah kamu kepada Allah;

Takut kepada Allah itu adalah dengan jaga hukum yang Allah telah berikan kepada kita. Allah dah ajar dah manasik Haji, maka kenalah kita ikut. Kenalah belajar. Benda lain boleh belajar sampai masuk Universiti, takkan benda tentang agama tak boleh nak belajar dan dalami?

Dan yang mampu ikut hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja. Kerana ada yang sudah tahu, tapi kerana tidak bertaqwa, mereka tidak ikut.

Cara mengerjakan Haji

 وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

dan ketahuilah sesungguhnya azab Allah itu sangat keras;

Azab Allah sangat keras kepada mereka yang melanggar hukumNya. Jadi, kena jaga hukum Haji yang Allah telah berikan kepada kita. Kerana Allah telah tetapkan hukumnya bagaimana.

Kalau buat salah dalam Haji pun Allah dah marah, bayangkan kalau orang meletakkan berhala di Kaabah. Tentu Allah lagi murka.


 

Ayat 197: Sekarang Allah menyebut tentang larangan-larangan dalam mengerjakan Haji.

الحَجُّ أَشهُرٌ مَعلوماتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدوا فَإِنَّ خَيرَ الزّادِ التَّقوىٰ ۚ وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

Sahih International

Hajj is [during] well-known months, so whoever has made Hajj obligatory upon himself therein [by entering the state of ihram], there is [to be for him] no sexual relations and no disobedience and no disputing during Hajj. And whatever good you do – Allah knows it. And take provisions, but indeed, the best provision is fear of Allah. And fear Me, O you of understanding.

Malay

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ

Haji itu adalah beberapa bulan yang sudah ditentukan;

Bulan Haji adalah Syawal, Dzulkaedah dan sepuluh hari pertama Bulan Dzulhijjah. Sepertimana solat mempunyai waktu-waktunya, begitu juga Haji. Tidak boleh dilakukan di luar waktunya. Sekarang ini, ada pula ajaran sesat yang beri cadangan supaya bulan-bulan Haji itu dibuat pada bulan lain kononnya supaya tidak tertumpu pada satu waktu sahaja dan tidaklah sibuk sangat sampai menyebabkan kemalangan. Itu adalah cadangan yang mengarut. Kalau Haji dibuat diluar dari waktu yang telah ditetapkan, ianya tidak akan diterima.

Apabila dikatakan ada tiga bulan Haji itu, maksudnya, ihram Haji hanya boleh dimulakan dalam tiga bulan ini sahaja.

Bulan-bulan Haji itu telah ditentukan sudah lama, sebelum Nabi Muhammad dilahirkan lagi. Ini membenarkan bulan-bulan Haji yang telah diterima selama turun-temurun. Kerana ianya dari agama Nabi Ibrahim. Kedatangan Nabi Muhammad tidak mengubah bulan-bulan Haji itu.

فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ

Maka sesiapa yang sudah niat ihram menunaikan haji,

Sesiapa yang sudah niat buat ihram kena jaga tiga perkara:

فَلَا رَفَثَ

maka janganlah dia mencampuri isterinya;

Tidak boleh bersama dengan isteri mengadakan hubungan kelamin. Malah tidak boleh bercakap perkara yang boleh menaikkan nafsu pun. Tidak juga boleh buat perkara yang boleh membaca kepada hubungan kelamin seperti bercumbu, berpelukan atau bercakap-cakap tentangnya.

Ini kena jaga kerana pada musim Haji ramai perempuan yang datang dengan tidak tutup muka, datang pula dari berbagai negara yang kita tidak biasa lihat dan semua datang dengan niat untuk buat ibadat jadi tidak sesuai buat atau cakap perkara yang berkenaan jimak. Ini adalah perkara pertama yang kena jaga. Kena jaga pandangan dan hati kita. Jangan nak tengok-tengok orang lebih sangat. Nanti tengok lama sangat perempuan bangsa lain, sudah terkesan pula nanti. Jangan begitu.

 وَلَا فُسُوقَ

dan jangan buat amalan-amalan yang berdosa

Jangan langgar hukum atau menzalimi sesiapa; jangan buat perkara yang berdosa. Antaranya, jangan caci maki orang lain. Kamu datang untuk buat ibadat, maka kena jaga akhlak dan tatatertib. Datang dari jauh dan sudah habis banyak belanja, maka jangan merugikan diri sendiri dengan buat dosa.

 وَلَا جِدَالَ

dan tidak boleh bertengkar

Allah mengingatkan kerana semasa buat Haji, orang ramai sangat dan ada kemungkinan ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita. Jangan buat perkara yang boleh pecah belah umat sedangkan ibadah Haji untuk menyatukan umat.

 فِي الْحَجِّ

dalam musim haji;

Memang tidak boleh buat semua perkara itu. Kalau di luar Haji pun, ianya dilarang dan tidak elok. Tapi ianya lebih tidak elok kalau dilakukan pada waktu mengerjakan Haji kerana waktu itu adalah waktu untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah. Kalau dilakukan juga, dosanya berkali-kali ganda.

Oleh itu, kena jaga tiga perkara itu. Haji Mabrur yang selalu disebut-sebut orang adalah untuk mereka yang boleh jaga semua perkara yang telah disebut di atas. Tanda haji yang tidak Mabrur adalah tidak berubah kehidupan dia ke arah kebaikan selepas dia balik dari Haji.

Untuk dapat Haji Mabrur kena jaga hubungan baik dengan Allah dan manusia lain. Bukan senang nak jaga sebab bila dah berkumpul ramai pada satu tempat dan jumpa orang dari negara lain yang perangai tak sama dengan kita, susah nak jaga mulut dan perasaan kita. Kita dah biasa dengan orang Malaysia, orang Melayu, tapi kita tidak biasa dengan bangsa lain. Tentunya perangai mereka tidak sama. Tapi memang kena jaga sebab rugi bila habis duit berpuluh ribu tapi tidak dapat Haji Mabrur.

 وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu buat daripada perkara yang baik

Jadi untuk mudahkan kita berurusan di sana, maka dianjurkan buat kebaikan. Elok kita tolong orang lain daripada kita marah kepada orang lain. Sebab keadaan orang ramai dan keadaan tentunya tidak selesa. Maka kita tolong menolong untuk memudahkan orang lain. Sebagai contoh, kalau giliran kita untuk masuk tandas tapi kita nampak ada orang lain yang lebih memerlukan, maka kita beri peluang kepada orang lain dahulu. Apabila kita sudah set minda kita untuk menolong orang, kita akan mendapat satu perasaan yang lain macam. Kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain dan bukan lagi mencari kesalahan orang lain. Kerana kebaikan dan keburukan ada di mana-mana, tapi persoalannya, di mana fokus kita? Kalau kita fokus kepada kebaikan, kita akan dapat kebaikan dan kalau kita fokus pada keburukan, kita akan nampak keburukan.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa dalam kita yang kita kena mengambil peluang keemasan semasa mengerjakan Haji itu untuk melakukan sebanyak-banyak mungkin ibadah yang lain seperti solat, zikir, baca Quran dan kebaikan-kebaikan yang lain. Kerana bukan selalu dapat peluang untuk mengerjakan Haji itu. Mungkin kita hanya dapat melakukannya sekali seumur hidup sahaja.

 يَعْلَمْهُ اللَّهُ

nescaya Allah mengetahui

Allah mengetahui segala kebaikan yang kita lakukan dan Allah akan balas. Semoga dengan kebaikan yang kita lakukan itu, Allah akan mudahkan urusan kita semasa buat Haji itu. Allah juga mengetahui kalau ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita tapi kita tidak jadi marah. Itu pun Allah tahu juga.

Tak payah nak beritahu apa-apa kebaikan yang kita lakukan. Kerana Allah tahu. Tak payah kita nak beritahu orang lain.

وَتَزَوَّدُوا

Dan berbekallah;

Apabila kita hendak pergi mengerjakan Haji, maka kita kena siapkan bekal untuk buat Haji. Sebab kita akan bermusafir jauh maka kena siap sedia segala kelengkapan semasa dalam perjalanan dan semasa di sana. Jangan susahkan orang lain. Tak boleh tumpang makan makanan orang, tumpang tempat tinggal orang dan sebagainya. زَوَّدُ bermaksud bawa bekalan yang lebih. Bukan cukup-cukup sahaja.

Janganlah zuhud sangat sampai kata: “Allah akan cukupkan kelengkapan:, konon-konon tawakal sangat. Jangan begitu, itu adalah fahaman yang salah. Kita kena berusaha untuk melengkapkan kelengkapan kita, kemudian baru kita bertawakal kepada Allah. Itulah konsep tawakal yang sebenarnya – bersedia sedaya mungkin, kemudian baru serahkan kepada Allah.

 فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah taqwa.

Taqwa dalam ayat ini adalah menjaga diri dari meminta-minta kepada orang lain. Bukannya orang miskin tidak boleh pergi Haji cuma kena jaga jangan sampai menyusahkan orang lain.

وَاتَّقُونِ

Dan bertaqwalah kamu kepada Aku;

Taqwa dengan jaga hukum

 يَا أُولِي الْأَلْبَابِ

wahai orang-orang yang berakal waras.

Bermakna mereka yang berfikiran yang suci. Kerana sekarang sedang mengerjakan haji. Sepatutnya tidak boleh fikir tentang dunia sangat.

Ulul-Albab adalah mereka yang berfikiran waras dan mempunyai ilmu pengetahuan. Oleh itu, kita sebagai orang yang waras hendaklah sentiasa menambah ilmu pengetahuan kita di dalam hal agama. Janganlah berterusan duduk dalam kejahilan.

Ibadat Haji adalah latihan kepada Hari Kebangkitan. Mengingatkan kita bahawa kita semua akan dibangkitkan ramai-ramai satu hari nanti. Kita semua akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Arafah. Maka, kita kena sucikan fikiran kita. Ingatkan kepada peristiwa yang akan berlaku itu. Tidak sama kalau kita memikirkan sahaja dan berada dalam suasana yang boleh mengingatkan kita. Semasa buat Haji, kita akan berada bersama dengan lautan manusia. Itu baru sekumpulan manusia sahaja. Bayangkan di Mahsyar nanti, semua makhluk akan berkumpul satu tempat, dari makhluk yang mula-mula dicipta sampailah kepada makhluk yang akhir sekali mati. Memang tidak dapat dibayangkan pun, tapi cubalah.


 

Ayat 198:

لَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَبتَغوا فَضلًا مِن رَبِّكُم ۚ فَإِذا أَفَضتُم مِن عَرَفاتٍ فَاذكُرُوا اللَّهَ عِندَ المَشعَرِ الحَرامِ ۖ وَاذكُروهُ كَما هَداكُم وَإِن كُنتُم مِن قَبلِهِ لَمِنَ الضّالّينَ

Sahih International

There is no blame upon you for seeking bounty from your Lord [during Hajj]. But when you depart from ‘Arafat, remember Allah at al- Mash’ar al-Haram. And remember Him, as He has guided you, for indeed, you were before that among those astray.

Malay

Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِنْ رَبِّكُمْ

Dan tidak menjadi dosa atas kamu untuk kamu mencari kurnia dari Tuhan kamu;

Iaitu mencari kurnia rezeki dengan berniaga semasa mengerjakan Haji. Allah benarkan orang yang buat Haji untuk berniaga semasa di sana. Maklumlah peluang setahun sekali berkumpul Muslim dari seluruh dunia. Kita hendak juga beli barang barang dari negara lain. Dibenarkan bertukar jual beli untuk kebaikan. Boleh bawa barang-barang jualan untuk diniagakan di sana. Dulu pun Mekah adalah tempat perniagaan.

Kenapa Allah kata ‘tidak berdosa’? Ini adalah kerana pada Zaman Jahiliah dulu, mereka mengambil peluang musim Haji untuk membuka bazar besar-besaran, buat pertunjukan dan berniaga besar-besaran. Jadi, apabila mereka sudah masuk Islam, mereka takut dan rasa bahawa perbuatan menjalankan perniagaan waktu itu adalah berdosa kerana waktu itu sepatutnya digunakan untuk bermunajat kepada Allah. Sebab itu Allah beritahu bahawa ianya tidak berdosa.

Tetapi, walaupun dibenarkan, perlukan berjaga-jaga. Janganlah pula jadikan tujuan utama pergi Haji itu sebagai peluang untuk berniaga. Ianya berbalik kepada tujuan asal dan niat kita. Kalau niat kita adalah kerana hendak menunaikan ibadat Haji, ikhlas kerana Allah, maka bolehlah menjalankan perniagaan untuk mendapatkan sumber pendapatan untuk menjalankan ibadah Haji itu. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang ada kekurangan dalam perbelanjaan. Tapi jangan berlebih-lebih. Kena ingat tujuan asal ke situ.

 فَإِذَا أَفَضْتُمْ مِنْ عَرَفَاتٍ

Maka apabila kamu bergerak dari Arafah

Perkataan أَفَضْ dari segi bahasa bermaksud melimpah. Seperti kalau kita tuang air ke dalam cawan dan cawan itu penuh, maka air yang kita tuang itu akan melimpah keluar. Kerana orang ramai sangat di Padang Arafah waktu itu, nampak macam manusia-manusia itu melimpah dari Arafah. Juga bergerak dengan cepat kerana air pun bergerak dengan cepat. Orang akan pergi ke Arafah pada hari ke 8. Tinggal selama sehari di situ.

Arafah dari lafaz عرف yang bermaksud ‘tahu’ – arif. Ia adalah tempat untuk manusia mengenal Allah dan mendekatkan diri dengan Allah. Di sinilah mereka akan terbangkit perasaan tahu betapa kerdilnya mereka kalau dibandingkan dengan Allah. Mereka dapat tahu dengan mendalam betapa mereka memerlukan Allah. Di sinilah juga mereka dapat rasa bagaimana keadaannya nanti apabila seluruh makhluk akan dihadapkan di hadapan Allah taala dalam keadaan berbondong-bondong.

Jemaah Haji sedang wukuf di Arafah

Jemaah Haji sedang wukuf di Arafah

Salah satu dari Rukun Haji adalah Wukuf di Arafah pada 9 DzulHijjah. Dalam satu hadis Nabi pernah bersabda:

Dari Abdurrahman bin Ya’mar al-Dili, ia berkata, “Saya menyaksikan Rasulullah SAW sedang wukuf di Arafah, lalu datang sekelompok orang dari Nejed dan bertanya, ‘Ya Rasulullah! Bagaimanakah haji itu?’ Maka, Rasulullah SAW menjawab, ‘Haji itu adalah Arafah (wukuf di Arafah) maka barang siapa yang datang sebelum shalat Subuh dari malam jama’ (malam Mudzdalifah yang mengumpulkan semua jamaah haji di sana) maka sempurnalah hajinya. Hari Mina itu adalah tiga hari, barang siapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari maka tiada dosa baginya. Dan, barang siapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu) maka tidak ada dosa pula baginya.’ Kemudian beliau menyuruh seorang laki-laki berdiri di belakangnya dan menyerukan hal itu.” (HR Tirmizi, al-Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad).

Hari Arafah juga adalah satu hari utama dalam sejarah Islam. Hari Arafah adalah hari disempurnakannya Islam dan dicukupkan nikmat.

Dalam kitab hadis sahih Bukhari dan Muslim, diriwayatkan dari Umar bin Khathab ra bahwa ada seorang laki-laki Yahudi berkata kepadanya, “Wahai Amirul Mukminin, ada satu ayat dalam kitab kalian yang kalian baca, kalau ayat itu diturunkan kepada kami, orang-orang Yahudi, pasti kami menjadikan hari diturunkannya itu sebagai hari raya.“ Umar berkata, “Ayat yang mana itu?“ Dia menjawab, “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuridhai Islam itu jadi agama bagimu.“ (QS al-Maidah [5]: 3). Umar menjawab, “Kami mengetahui hari dan tempat diturunkannya ayat kepada Nabi SAW pada saat itu beliau berada di Arafah pada hari Jumat.“

 

 فَاذْكُرُوا اللَّهَ

hendaklah kamu ingat kepada Allah

Hendaklah ingat kepada Allah banyak-banyak.

 عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ

ketika kamu di Masy’ar Al-Haraam; 

Masa itu keadaan sudah menjadi payah kerana orang yang amat ramai. Maka semua kena ingat kepada Allah lebih-lebih lagi ketika di satu bukit dekat Muzdalifah. Sebab itulah diwajibkan untuk bermalam di Muzdalifah.

Masy’ar Al-Haraam itu adalah satu bukit Muzdalifah. مَشْعَرِ adalah sesuatu yang membangkitkan perasaan dalam hati kita. Kenapa disini Allah suruh ingat Dia banyak-banyak? Sebab semasa di Arafah itu, manusia ramai sangat, takut kita sibuk tengok orang lain. Waktu itu bercampur lelaki dan perempuan. Ada yang kita tak biasa tengok. Ada yang datang dari luar negara. Jadi ada yang dah tak ingat Allah, tapi sibuk tengok orang di sekeliling. Bermacam-macam perangai boleh dilihat di situ yang boleh mengasyikkan kita. Sebab ramai datang dari segala pelusuk dunia dengan berbagai ragam masing-masing. Itulah dugaan semasa berada di situ.

Dalam ibadat Haji, di sini perlu dilakukan solat Maghib dan Isyak secara jamak dalam waktu Isyak kerana Nabi telah melakukannya begitu.

 وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ

Dan ingatlah Dia sepertimana Dia telah beri hidayat kepada kamu;

Kita pergi Haji kerana Allah telah beri hidayat kepada kita masuk Islam. Inilah masanya untuk mengingati Allah banyak-banyak, mensyukuriNya dan bermunajat dengan Allah. Waktu itu walaupun kita dalam limpahan manusia yang ramai, tapi cuba berseorangan dengan Allah. Bukan nak bercakap-cakap dengan orang lain. Bercakaplah dengan Allah dalam bahasa yang kita faham.

Sebagaimana Allah telah beri hidayah kepada kamu sampai kamu boleh datang ke Mekah. Nak sampai tu pun dah doa sakan – berdoa supaya Allah mudahkan kumpul duit, selamat sampai ke sana dan macam-macam lagi. Masa kamu nak ke Mekah kamu dah doa banyak kepada Allah, maka semasa di Mekah kamu kena doa lebih banyak lagi.

Lafaz ‘Ingatlah Dia seperti yang Dia telah beri hidayah kepada kamu’ juga bermaksud, dalam segala ibadat kita, zikir kita, hendaklah mengikut cara yang Allah telah ajar. Janganlah mereka cara-cara yang baru. Ini menekankan kepentingan kita belajar sunnah dan jangan buat amalan bidaah dalam agama. Termasuk dalam perkara ini, ibadah Haji itu mestilah dijalankan sebagaimana yang diajar oleh Nabi.

 وَإِنْ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ

Dan kamu sebelum ini adalah dari golongan yang sesat.

Sebelum ini kita tidak tahu bagaimana hendak buat ibadah. Kita dulu, tidak tahu agama. Kepada para sahabat, mereka dulu syirik dan jahil agama dan sunnah. Kita pun sekarang, ada dulu yang buat amal syirik, buat amal bidaah, buat banyak salah. Tapi Allah masih beri hidayah sampai boleh buat Haji, sampai boleh kenal agama. Maka bersyukurlah.


 

Ayat 199: Ayat tentang perbaikan akidah dan cara bagaimana untuk melakukannya. Orang Quraish waktu itu berlagak sombong. Mereka kata mereka adalah penjaga Mekah yang mulia, maka mereka tak perlu berkumpul di Padang Arafah dengan orang luar lain yang ramai-ramai itu. Mereka kata mereka kena kumpul tempat lain.

ثُمَّ أَفيضوا مِن حَيثُ أَفاضَ النّاسُ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Sahih International

Then depart from the place from where [all] the people depart and ask forgiveness of Allah. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

Malay

Kemudian itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ

Dan bergeraklah dari tempat mana bergeraknya manusia;

Iaitu, bergeraklah dari Arafah. Kenapa Allah cakap macam ini? Sekarang kita tidak berasa apa sangat, sebab kita tidak tahu kisah yang terjadi dahulu. Kenapa Allah suruh buat macam ini? Kerana zaman dulu, kaum Quraish yang jaga Kaabah, mereka wuquf di Muzdalifah, tidak di Arafah. Kerana mereka kata wuquf di Arafah itu adalah bagi orang awam, bukan untuk orang Quraish. Mereka rasa mereka lain sikit dari orang lain. Mereka kata, kerana mereka penjaga Tanah Haram, maka mereka tidak patut keluar dari Tanah Haram. Ini adalah kerana Muzdalifah masih lagi dalam Tanah Haram tapi Arafah sudah keluar dari Tanah Haram.

Mereka buat bidaah sendiri. Mereka telah buat amalan sendiri, padahal mereka yang jaga Kaabah masa itu. Begitulah buruk mereka yang menambah-nambah perkara dalam agama.

وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ

dan hendaklah kamu beristighfar banyak-banyak kepada Allah;

Atas dosa-dosa lama yang telah diperbuat. Ini adalah masa yang amat sesuai untuk meminta ampun kepada Allah. Kamu dulu sangka kamu itu mulia dan kamu telah reka cara ibadah yang lain dari yang diajar oleh Nabi Ibrahim. Maka bertaubatlah atas dosa kamu itu.

Secara umum pula, walaupun kita telah melakukan sesuatu ibadah, kita masih lagi disuruh untuk meminta ampun. Kenapa pula begitu, sedangkan kita baru sahaja melakukan ibadah? Kalau kita lihat sunnah Nabi juga, selepas setiap kali solat, baginda akan istighfar tida kali.

Ini mengajar kita, walaupun kita sudah buat ibadah, tapi ibadah itu masih tidak cukup lagi. Apa yang kita lakukan tidak mungkin dapat membalas segala nikmat yang Allah telah berikan kepada kita.

Dan walaupun kita telah melakukan ibadah, tapi ada kemungkinan ada kesalahan dalam ibadah kita itu sampaikan ibadah itu tidak sempurna. Maka, kita istighfar atas kekurangan yang kita lakukan itu.

Kalau orang yang buat amal ibadah pun diajar untuk istighfar, bayangkan pula kepada mereka yang tidak melakukan ibadah langsung?

 إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Belas Kasihan.

Allah sanggup untuk menerima taubat hambaNya. Apabila Allah sudah terima taubat, Allah tidak akan azab lagi mereka yang telah diampunkan.


 

Ayat 200: Masih lagi tentang hukum Haji. Ini adalah teguran Allah tentang cara berdoa.

فَإِذا قَضَيتُم مَناسِكَكُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَذِكرِكُم آباءَكُم أَو أَشَدَّ ذِكرًا ۗ فَمِنَ النّاسِ مَن يَقولُ رَبَّنا آتِنا فِي الدُّنيا وَما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلاقٍ

Sahih International

And when you have completed your rites, remember Allah like your [previous] remembrance of your fathers or with [much] greater remembrance. And among the people is he who says, “Our Lord, give us in this world,” and he will have in the Hereafter no share.

Malay

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.

فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ

Maka apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu;

Apabila sudah melontar, sudah cukur dan sudah tawaf. Iaitu selesai sudah segala ibadat Haji dengan buat segala rukun-rukun Haji.

فَاذْكُرُوا اللَّهَ

maka sentiasalah ingat Allah;

Bermakna, dalam kita buat segala ibadat Haji itu, hendaklah ingat Allah sentiasa.

 كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ

sepertimana kamu dahulu menyebut-nyebut tok nenek kamu;

Musyrikin Mekah apabila Haji dah nak habis, mereka memuji keturunan mereka. Mereka siap buat majlis besar-besaran dimana mereka akan membacakan puisi. Mereka menceritakan tentang keturunan mereka yang pahlawan yang berani, gagah, dermawan dan sebagainya. Kerana kesukaan mengisi masa lapang mereka waktu itu adalah bercerita tentang orang-orang yang sudah berlalu. Ini tidak elok dilakukan kerana akan menyebabkan ada yang berasa hati sampaikan selepas mengerjakan ibadah Haji, terjadi perpecahan umat, sedangkan sepatutnya ibadah Haji itu untuk mengeratkan umat Islam sedunia. Tambahan pula ia adalah perbuatan yang membuang masa di tempat yang mulia.

Kita pula ada juga membanggakan puak-puak kita. Selalunya berkenaan politik lah. Sudah bercerita tentang politik pula di sana. Kita pun suka juga bersembang. Tentang macam-macam hal kehidupan, tentang filem, tentang kerja, tentang anak-anak, tentang orang itu dan ini. Kalau kita pun buat begitu juga, kita tidak mengikuti ayat ini.

Ataupun selepas habis buat ibadat Haji, terus teringat nak membeli belah di mana. Janganlah pergi ke sana untuk beriya-iya membeli belah. Sampai ada yang lewat masuk sembahyang di masjid disebabkan oleh sibuknya membeli-belah. Beli lebih kurang sahaja cukuplah. Banyak orang pergi Umrah dan Haji kerana sebab yang salah. Ada antaranya yang hendak nama mereka ada ‘Haji’ sebelum nama mereka. Atau sebab-sebab lain.

Allah suruh kita ingat tentang Allah macam kita ingat tentang benda-benda itu. Kena tinggalkan tentang dunia dan ingat kepada Allah.

 أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا

atau lebih lagi ingat kepada Allah;

Kenalah kita ingat kepada Allah lebih lagi daripada yang lain. Sembahyanglah sebaik-baik cara ingat kepada Allah.

 فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ

Maka ada diantara manusia (semasa buat haji) yang berdoa:

Peluang apabila berada di Tanah Haram adalah untuk berdoa kerana ianya adalah salah satu tempat yang makbul doa. Apatah lagi waktu itu kita sedang melakukan ibadah yang besar. Seperti yang kita selalu diingatkan, doa amat molek dilakukan selepas melakukan ibadah.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا

Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami dunia;

Allah memberitahu bahawa ada manusia yang pergi mengerjakan Haji adalah untuk keduniaan sahaja. Mereka hanya mahukan kesenangan dunia sahaja. Mereka hanya minta ‘dunia’, bukan ‘kebaikan’ di dunia pun. Zaman Jahiliah dulu, antaranya mereka minta tahun itu kesuburan tanah, hujan, anak dan sebagainya. Zaman sekarang pun ramai yang macam itu juga. Mereka minta projek dari kerajaan, rezeki yang banyak, kejayaan dalam perniagaan, anak, pasangan dan macam-macam lagi.

Allah menegur ramai yang doa begini. Sampai mereka buat sembahyang hajat di Mekah sebab hendakkan hal dunia. Ada yang pergi Umrah, sebab nak kahwin, siap pergi dengan pasangannya yang mereka belum kahwin lagi. Atau ramai yang berdoa di sana kerana hendakkan projek kerajaan. Tidak salah kita minta hal dunia, tapi kita kena banyakkan lagi minta hal akhirat. Dalam ayat ini, mereka minta hal dunia sahaja.

Memang Allah suruh kita berdoa dalam semua perkara. Sampaikan kalau tali kasut terputus pun, pernah ada hadis Nabi kata kena doa kepada Allah. Tapi kita berdoa kena ada kepentingan akhirat lebih dari dunia. Jangan lebihkan tentang akhirat. Jangan lebihkan tentang dunia. Kepentingan kita sepatutnya tentang akhirat.

 وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ

maka tidak ada bagi orang itu, bahagian di akhirat, apa-apa balasan baik pun;

Mereka tidak diberikan dengan kelebihan di akhirat kerana mereka hanya hendakkan hal dunia sahaja.


 

Ayat 201: Allah tegur cara berdoa yang salah dalam ayat sebelum ini dan mengajar cara doa yang betul di dalam ayat ini:

وَمِنهُم مَن يَقولُ رَبَّنا آتِنا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ

Sahih International

But among them is he who says, “Our Lord, give us in this world [that which is] good and in the Hereafter [that which is] good and protect us from the punishment of the Fire.”

Malay

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”.

وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ

Dan ada diantara mereka yang berdoa:

Ini adalah cara berdoa yang betul.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً

Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami di dunia ini, kebaikan;

Orang yang beriman dan mukmin, cara berdoa pun mereka pandai. Lihatlah apakah perkataan yang digunakan: dia tidak minta ‘dunia’, tapi ‘kebaikan di dunia’. Ada beza antara keduanya.

Kebaikan apakah yang paling baik sekali? Hasanah di sini adalah: Quran dan Hadis. Iaitu ilmu kefahaman Quran dan Hadis. Kerana dengan ilmu yang dua itu, akan selesai segala perkara agama kepada kita. Itulah hasanah yang terbaik. Ianya bermula dari situ. Dengan faham Quran dan Hadis, kita akan faham agama keseluruhannya. Tapi ramai yang apabila mereka doa begini, mereka ingatkan mereka meminta harta dan kesenangan dunia. Jadi kena betulkan semula niat dalam hati kita semasa berdoa, supaya kita niatkan bahawa apa yang kita hendak minta itu adalah ilmu Quran dan Hadis. Kerana ramai yang berdoa menggunakan ayat ini, tapi mereka salah faham tentang makna doa ini.

Ada lagi tafsir lain bagi maksud ayat ini: Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kebaikan dunia’? Ianya adalah perkara yang kita boleh buat dan boleh mendapat pahala yang berpanjangan walaupun kita sudah mati. Ada yang mengatakan yang ia bermaksud isteri yang solehah kerana isteri yang solehah boleh mengasuh anak mereka sampai boleh menjadi anak yang soleh yang akan mendoakan untuk mereka dan beramal dengan apa yang diajar sehingga si ayah dan si ibu akan mendapat pahala yang berpanjangan walaupun mereka sudah tiada. Isteri yang solehah pula mudah untuk diajar kefahaman agama kepada mereka sampaikan boleh memberi kebaikan yang banyak. Kerana ilmu agama yang awal hendaklah diberikan kepada anak-anak semasa di rumah lagi dan untuk itu memerlukan ibu yang solehah yang boleh membimbing anaknya itu. Sebelum mereka mendapat yang ajaran yang tidak benar di luar, ibu mereka telah menanamkan ilmu agama yang benar ke dalam jiwa mereka. Tapi kenalah ingat bahawa ibu yang solehah itu mendapat ajaran agama dari bapa yang soleh juga, maka hendaklah kita sebagai orang lelaki memberi pengajaran agama kepada keluarga kita.

Ada sahabat yang kata kebaikan dunia yang dimaksudkan adalah anak yang soleh yang dapat menyambung kerja dan perjuangan ayahnya dalam agama.

Dan boleh juga bermaksud sedekah jariah dan ilmu yang diajarkan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi ilmu tafsir Qur’an yang sepatutnya diajar kepada orang lain untuk dimanfaatkan. Kemudian ilmu diajar pula kepada orang lain dan yang mula mengajar itu pun akan mendapat pahala itu juga. Oleh itu, walaupun dia sudah mati tetapi ilmu itu boleh disambungkan kepada orang lain dan dia akan mendapat pahala yang berpanjangan.

Sedekah jariah pula adalah sedekah yang berpanjangan. Sebagai contoh, kita infak duit untuk dibuat masjid. Setiap kali masjid itu digunakan, kita akan mendapat pahala.

 وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً

dan kebaikan di akhirat;

Kebaikan yang paling baik, iaitu Syurga.

 وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

dan selamatkanlah kami dari azab api Neraka;

Kenapa kita minta diselamatkan dari api neraka sedangkan kita sudah minta syurga? Kerana tidak sama kalau minta masuk syurga sahaja. Ada orang yang masuk syurga, tapi mereka kena masuk neraka dahulu untuk membersihkan dosa-dosa mereka. Jadi, doa ini dilengkapkan dengan permintaan ketiga – diselamatkan dari api neraka. Kita berharap semoga kita tidak langsung dimasukkan ke dalam neraka walau sesaat pun. Tidaklah kita mahu lihat, dengar dan hidu bau neraka itu langsung.

Nabi tidak tinggal untuk membaca doa ini, maka kita pun kenalah selalu amalkan doa ini. Tapi janganlah kita ingat hendakkan kemewahan kesenangan di dunia sahaja. Bukan tidak boleh minta, tapi doalah selepas itu. Jangan sentiasa doa berkenaan dunia sahaja. Kerana itu adalah doa orang kafir. Mereka hanya minta berkenaan dunia sahaja. Janganlah doa kita hanya berindukkan dunia sahaja.

Kita kena ingat bahawa doa itu hanya diterima jikalau kita tidak melakukan syirik kepada Allah.

Inilah sahaja doa yang tsabit dari Nabi yang dibaca oleh baginda semasa melakukan tawaf. Tidak ada doa yang lain. Semasa kita tawaf di Kaabah, kita boleh senyap sahaja, atau kita boleh membaca doa-doa yang lain. Tapi kalau kita mahu doa yang tsabit dari Nabi, inilah doa yang baginda baca. Jadi, disunatkan untuk membaca doa ini semasa kita tawaf antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad. Atau boleh juga baca doa ini sepanjang kita tawaf.


 

Ayat 202:

أُولٰئِكَ لَهُم نَصيبٌ مِمّا كَسَبوا ۚ وَاللَّهُ سَريعُ الحِسابِ

Sahih International

Those will have a share of what they have earned, and Allah is swift in account.

Malay

Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.

أُولَٰئِكَ

Mereka-mereka yang bersifat seperti ini;

Iaitu mereka yang meminta kebaikan dunia dan akhirat. Yang minta kefahaman isi kandung Quran dan hadis. Sebab ada juga yang belajar, tapi tak faham-faham. Kadang-kadang ada yang belajar dalam kelas yang sama, tapi mendapat kefahaman yang berlainan. Kerana kefahaman itu Allah yang beri, bukan dari guru atau dari kepandaian kita sendiri. Maka hendaklah kita selalu berdoa: Rabbi zidni ilma, supaya Allah memberikan kefahaman agama kepada kita. Ada yang memang sudah hendakkan kebaikan dalam agama, tapi sesat juga. Macam kumpulan Arqam dulu, perempuan mereka dah pakai purdah dah, mereka selalu berdakwah, sistem ekonomi mereka dah hebat dah, tapi ibadat mereka tidak diterima kerana syirik kepada Allah. Abuya dah mati pun, mereka buat syirik lagi. Kerana mereka kata Abuya boleh datang menolong mereka lagi dan sebagainya.

Kerana syarat diterima ibadat dan amalan adalah, ibadat itu mesti dari yang Nabi ajar. Kena dapatkan amalan itu dari hadis yang sahih. Hadis yang dhaif pun sudah tidak boleh dipakai. Apatah lagi kalau amalan itu diambil dari pendapat guru sahaja? Lagi lah tidak boleh diterima. Itu adalah usul feqah.

Sebab tak faham lah yang menyebabkan banyak amalan bidaah dibuat. Antaranya, mereka raup muka selepas solat, buat talqin dan tahlil dan sebagainya. Semuanya kerana mengikut kata tok guru-tok guru mereka. Padahal Nabi tak ajar umat Islam buat sebegitu. Padahal dalam dua kalimah syahadah kita, kita kata kita nak ikut Nabi Muhammad. Tapi ada yang mereka-reka agama. Ini semua kerana tidak mahu belajar. Dalam Quran dikatakan bahawa neraka Jahannam itu adalah untuk orang-orang yang sombong. Sombong yang bagaimana? Sombong tak mahu belajar agama. Apabila tidak belajar, maka mereka tidak tahu tentang agama. Apabila tidak tahu, maka mereka akan berbuat kesalahan dan kesilapan yang banyak.

لَهُمْ نَصِيبٌ مِمَّا كَسَبُوا

bagi mereka ada bahagian besar dari apa yang mereka usahakan; yang dapat mereka angan-angan atau mengharap kepadanya – iaitu apabila mereka mengamalkan amalan ibadat yang dari sunnah; Inilah pengharapan yang boleh kita nak harapkan. Kalau buat perkara bidaah, jangan angan-angan atau harap boleh dapat pahala. Tapi banyak betul masyarakat kita yang berangan-angan yang amalan yang mereka buat itu tentulah Allah akan beri ganjaran kerana kononnya mereka buat dengan ikhlas. Mereka tidak faham tentang ikhlas itu. Tidak semestinya cukup dengan kita ikhlas sahaja. Amalan yang ikhlas itu mestilah amalan yang Nabi pun pernah buat juga.

 

 وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan Allah amat cepat hisabNya; perhitungan amal manusia sekejap sahaja, iaitu separuh hari sahaja. Di Mahsyar nanti di tempat yang gelap gelita, semua bangkit seperti cendawan tumbuh waktu pagi. Semuanya dibangkitkan serentak dari mereka yang mula hidup sampai yang akhir sekali mati. Tidak terbayang ramainya dibangkitkan. Tanah Mahsyar itu terlalu rata sampaikan tidak ada bonggol atau lopak. Kita akan bergerak dari tempat yang gelap ke tempat yang ada cahaya. Yang beriman akan dapat kenderaan yang istimewa. Kemudian ada juga yang dapat kenderaan, tapi bergantung kepada tahapnya. Akhir sekali ada yang jalan dengan muka. Bagaimana nak bayangkan berjalan dengan muka? Tidak menjadi masalah, kerana sekarang di dunia pun kita boleh lihat ular pun Allah beri jalan dengan badan dia.

Apabila sampai, semua makhluk duduk bersaf-saf dalam keadaan telanjang bogel. Tidak berani bertegur sapa antara satu sama lain. Semua duduk dalam keadaan senyap, hanya dengar bunyi tapak kaki para malaikat sahaja. Semua senyap menanti perbicaraan. Oleh itu, kita hendaklah berlindung diri dari azab menunggu yang lama. Kerana ada yang dapat tempat perlindungan yang istimewa.

Semua makhluk bicara berseorangan dengan Tuhan. Hanya kita dan Allah. Setiap makhluk akan baca amalan mereka sendiri. Malaikat Raqib Atid akan duduk di kiri kanan kita. Ada yang Allah akan suruh malaikat campak buku amalan orang itu. Raqid akan kata dia sebagai saksi mengatakan orang itu buat amalan itu. Tapi Allah kata Raqid tidak tahu apakah isi hati orang itu semasa melakukan amalan ibadat itu. Malaikat tidak tahu bahawa semasa melakukan ibadat itu, orang itu tidak ikhlas. Maka, sedangkan malaikat pun tidak tahu isi hati kita, bagaimana pula kita boleh kata ada guru yang tahu isi hati manusia? Itu adalah faham yang sesat. Mereka kata guru itu boleh dapat ‘ilham’. Itu adalah syirik kerana yang tahu isihati manusia, hanyalah Allah. Kalau kita dah syirik kepada Allah, ingatlah bahawa amal ibadat kita tidak diterima.

Waktu itu mulut tidak berkata-kata, tapi tubuh badan kita pula berkata-kata sebagai saksi keatas kita. Kaki, tangan, mata dan sebagainya. Kemudian kita disuruh baca sendiri amalan kita. Kalau Tuhan tanya sahaja, ‘Kenapa?’, itu sudah kena masuk neraka dah. Maka, janganlah kita buat amal ibadah yang bukan dari sumber yang sah. Kerana kita tidak akan dapat nak jawap kepada Allah kalau kita melakukan bidaah.


 

Ayat 203: Ini adalah kisah di Mina semasa buat Haji.

۞ وَاذكُرُوا اللَّهَ في أَيّامٍ مَعدوداتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ في يَومَينِ فَلا إِثمَ عَلَيهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلا إِثمَ عَلَيهِ ۚ لِمَنِ اتَّقىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم إِلَيهِ تُحشَرونَ

Sahih International

And remember Allah during [specific] numbered days. Then whoever hastens [his departure] in two days – there is no sin upon him; and whoever delays [until the third] – there is no sin upon him – for him who fears Allah. And fear Allah and know that unto Him you will be gathered.

Malay

Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ

Dan ingatlah kepada Allah pada hari-hari yang telah ditentukan bilangannya;

Iaitu pada 11, 12 & 13 Dzulhijjah – dinamakan juga Hari Tasyrik. Kenapa Allah suruh ingat kepada Dia pada waktu itu? Kerana waktu itu sedang sibuk melihat orang lain. Macam-macam jenis manusia ada di situ. Orang-orang yang tak biasa kita lihat. Sebab itu Allah suruh ingat kepadaNya. Dekatkan diri dengan Allah waktu itu. Kenalah buat perkara-perkara yang mengingatkan kepada Allah – baca Quran, zikir dan sebagainya.

 فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ

Maka sesiapa yang hendak balik segera dalam dua hari itu;

Iaitu bergerak dari Mina. Selepas melontar Jamrah Aqabah, dia hendak balik awal.

 فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

dia tidak berdosa;

Boleh kalau hendak balik awal, cuma kena bayar dam sahaja. Orang Arab selalunya buat begitu.

Jangan marah kepada mereka yang hendak balik awal.

 وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Dan sesiapa yang hendak melewatkan, juga tidak berdosa.

 لِمَنِ اتَّقَىٰ

kepada orang yang takut kepada Allah;

Takut kepada Allah itu adalah dengan jaga hukum yang telah disampaikan olehNya. Maknanya, sesiapa yang hendak tinggal selama tiga hari di sana, maka mereka hendaklah menjaga taqwa mereka. Jangan mereka tinggal lama di sana tapi kerana mereka bosan, mereka buat pula perkara-perkara yang lagha. Padahal, waktu itu perlulah digunakan untuk beribadat kepada Allah.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah

Taqwalah kepada Allah dengan jaga hukum-hukum yang Allah telah sampaikan. Ayat ini disampaikan di hujung-hujung pengajaran tentang Haji dalam surah Baqarah ini. Ini mengingatkan kita bahawa kita kena terus jaga taqwa kita kepada Allah, walaupun telah selesai menunaikan ibadah Haji. Janganlah masa buat ibadat sahaja kita sedar dan taqwa, tapi di luar ibadat, tinggalkan taqwa pula.

وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan yakinlah bahawasanya kamu akan dihimpunkan untuk bertemu denganNya;

Ingatlah bahawa, dalam kita meninggalkan Arafah itu, kita semua akan dikembalikan juga nanti ke situ. Kita semua akan dihimpunkan untuk ditanya, adakah kita gunakan harta yang telah Allah beri kepada kita untuk pergi Haji? Kerana ada yang ada harta, tapi tak pergi Haji lagi. Sibuk pergi ke tempat-tempat lain dahulu.

Ada pula yang kata tiada wang, tapi mereka sebenarnya ada tanah, tapi tak mahu nak jual tanah untuk buat belanja pergi menunaikan Haji. Ada yang harta banyak, tapi dibahagikan awal-awal lagi kepada anak-anak kerana takut anak tidak ada harta apabila mereka dah mati nanti. Apabila sudah diberi tanah kepada anak-anak, mereka sudah tiada duit untuk pergi Haji. Tapi anak-anak nanti bukannya nak berderma untuk ibu bapanya nanti. Janganlah begitu, biarlah anak-anak cari harta sendiri. Kerana nanti di hadapan Allah, kita tak boleh jawap kenapa kita tak tunaikan Haji nanti.

Perkataan حْشَرُ tidak sama dengan perkataan جمع – juga digunakan untuk bermaksud dikumpulkan. Tapi حْشَرُ digunakan dalam bahasa Arab untuk mengumpulkan binatang, seperti gembala lembu mengumpulkan lembu belaannya. Kita nanti akan dikumpulkan oleh Allah macam gembala mengumpulkan binatang ternakannya.

Dan kepada mereka yang ada duit, tapi tak sihat, mereka boleh upah orang untuk menunaikan haji untuknya. Tak perlu tunggu mati untuk anak-anak upah haji untuknya. Dan apabila seorang ayah atau ibu meninggal, sepatutnya kena gunakan sedikit duit pesaka mereka untuk mengupah orang pergi menunaikan Haji untuk ibu bapa.

Baqarah 195-203

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

7 Responses to Tafsir Surah Baqarah Ayat 195 – 203 (Bab Haji)

  1. Bib says:

    Assalamualaikum perkongsian ilmu yang sangat berguna pohon share
    Harap dapat beri no account untuk memberi sumbangan TQ

  2. SO says:

    Tafsir surah Al Baqarah ayat 210 dan seterusnya tidak dijumpai.. tlg advice..
    InsyaAllah.

  3. Raid says:

    Saya harap tafsir surah Baqarah ini dapat disambung. Saya kerap merujuk tafsir drp sini.hj

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s