Tafsir Surah Baqarah Ayat 188 – 194 (Jihad fi sabilillah)

Ayat 188: Ayat ini dipanggil jenis ayat Umur Munazimah – berkenaan hubungan manusia sesama manusia. Ayat sebelum ini, iaitu tentang Puasa dikenali sebagai ayat Umur Muslihah iaitu tentang hubungan manusia dengan Tuhan.

Ayat ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga. Yang pertama adalah Qisas dan yang kedua adalah tentang wasiat. Hal tentang wasiat diajar supaya pemilikan harta itu adalah halal. Sudahlah harta itu kita dapat bukan dari usaha sendiri, maka janganlah cara untuk mendapatkannya adalah dengan cara yang salah. Ini semua adalah supaya umat Islam tidak berpecah belah disebabkan oleh harta. Kalau kita sendiri berpecah belah lalu bagaimana kita hendak menjadi contoh tauladan kepada orang kafir yang lain. Jadi pembagian harta melalui faraid ataupun wasiat adalah jenis pemilikan harta secara percuma. Pemberian wasiat itu hanya dilakukan apabila pemberi itu telah mati. Ayat ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga, dimana usaha mencari harta itu adalah dari kita sendiri. Ianya juga ada peraturan yang Allah telah ajar kepada kita dan kita kena ikuti.

Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini diletakkan selepas ayat-ayat tentang Puasa. Sekali baca macam tak nampak apa kaitan ayat ini dengan puasa. Tapi ianya ada kaitan. Puasa adalah latihan untuk kita bertaqwa. Selepas kita telah dilatih dengan taqwa, dimanakah kita perlu mengamalkannya? Kita kena amalkan taqwa dalam kehidupan seharian kita. Antaranya dalam pekerjaan kita dan usaha kita mencari pendapatan dan rezeki. Kita kena ada taqwa dalam urusan mencari rezeki. Ini adalah ujian kepada manusia. Kerana senang untuk jadi taqwa semasa beribadat di masjid atau semasa berada dalam iktikaf. Tapi apabila berada di dunia luar, apabila ada dugaan, ada peluang untuk buat duit, susah untuk kita terus mengamalkan taqwa.

Kalau kita tidak menjadikan bulan Ramadhan itu sebagai satu latihan untuk kita bertaqwa, maka kita hanya menjadikannya sebagai satu ‘adat’ sahaja, tidak lebih dari itu. Masuk bulan syawal sahaja, kita dah macam orang tidak bertaqwa.

Kita tidak dibenarkan ‘makan’ semasa bulan Ramadhan. Memakan makanan tidaklah salah kalau bukan sedang puasa. Ianya hanya tidak dibenarkan semasa puasa sahaja. Sekarang kita akan belajar tentang ‘makan’ juga, tapi makan yang lain, iaitu memakan harta orang lain. Memakan harta orang lain dengan cara yang batil adalah tidak dibenarkan ‘sepanjang masa’, bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Samada berpuasa atau tidak, urusan mencari harta kena halal. Samada dalam bulan Ramadhan atau tidak, kita kena jaga perkara itu. Dalam semua keadaan dan dalam semua bentuk usaha mencari pendapatan.

Ada orang yang dalam hal ibadat, mereka boleh jaga, seperti solat dan puasa. Tapi dalam kehidupan mereka, susah mereka nak jaga dari melakukan kesalahan termasuk dalam usaha mencari harta. Allah ingatkan kepada manusia, bukan ibadat sahaja kena buat, tapi adat, iaitu hubungan sesama manusia juga kena jaga juga.

وَلا تَأكُلوا أَموالَكُم بَينَكُم بِالباطِلِ وَتُدلوا بِها إِلَى الحُكّامِ لِتَأكُلوا فَريقًا مِن أَموالِ النّاسِ بِالإِثمِ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And do not consume one another’s wealth unjustly or send it [in bribery] to the rulers in order that [they might aid] you [to] consume a portion of the wealth of the people in sin, while you know [it is unlawful].

Malay

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Dan jangan kamu makan harta-harta kamu diantara kamu dengan cara batil;

Iaitu dengan cara tipu, curi dan sebagainya. Jangan curi wang atau harta di pejabat. Jangan masuk lambat ke pejabat sebab pengurus kita tidak ada di pejabat. Jangan buat benda lain semasa di pejabat termasuk melihat video ugama. Itu semua memakan harta dengan cara yang batil.

Kita dilarang untuk memakan harta dengan cara yang tidak mengikut syariat. Semua cara yang tidak mengikut syari’at dipanggil cara yang bathil. Kita sepatutnya kena tahu bagaimana cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang sah. Janganlah kita buat satu sistem ekonomi kemudian baru kita tanya kepada ulama sama ada itu adalah cara yang benar atau tidak. Sebagai contoh, banyak sistem MLM sekarang ini. Selalunya mereka akan buat sistem itu dahulu, kemudian baru nak periksa samada ianya adalah sah ikut syariat Islam atau tidak. Padahal, sistem itu memang boleh buat duit. Kalau dah boleh buat duit, tapi ulama kata ianya tidak sah, bagaimana? Adakah mereka nak ikut dan tinggalkan sistem itu atau mereka akan terus melakukannya?

Apabila kita makan dari sumber pendapatan yang haram maka kita telah memakan perkara yang haram. Apabila ini berlaku maka tidak ada keberkatan kepada diri kita dan akan sentiasa ada masalah dengan diri kita. Sebagai contoh, mungkin berlaku banyak perbalahan dalam keluarga kita dan sebagainya. Walaupun banyak duit, tapi hidup tidak tenang dalam keluarga. Mungkin tidak ada lagi rasa hormat sesama ahli keluarga, tidak ada rasa keinginan untuk menderma walaupun duit banyak, mungkin kita senang kena sihir dan sebagainya. Mungkin juga akan timbul perpecahan di dalam masyarakat kita. Semua itu mungkin akan terjadi kepada kita atas balasan Allah kepada kita kerana mengamalkan cara mendapat harta yang salah. Lihatlah, walaupun hanya ada satu ayat sahaja tetapi ianya adalah perbincangan yang luas tentang bagaimana kita hendak mencari sumber pendapatan.

Bathil adalah setiap perkara yang tidak diberi keizinan oleh syariat. Jadi kena pastikan sesuatu sistem itu Islamik. Kena periksa dengan hukum feqah. Sebab itu ulama meletakkan syarat, kalau hendak berniaga, maka kena tahu hukum feqah dalam perniagaan. Jangan buat dulu baru nak belajar. Kena belajar siap-siap.

Batil adalah sesuatu yang salah, dengan cara menipu dan sebagainya. Yang tidak dengan cara yang halal. Oleh itu, jangan mendapatkan wang rezeki dengan cara yang salah dan haram. Antaranya dengan mencuri, dengan cara riba, loteri, jual barang haram, makan harta anak yatim, dengan jalan zina, rasuah dan sebagainya. Ada banyak lagi jalan-jalan salah dan haram.

Apabila kita mengambil harta dengan cara salah, bermakna kita mengambil harta orang lain. Kalau kita dalam kedudukan mereka, kita pun tak mahu orang lain ambil harta kita dengan cara salah. Maka, kita kena letakkan diri kita dalam keadaan orang itu. Kalau kita sayang harta kita, orang lain pun sayang harta mereka juga. Selalunya kita tidak kisah dengan harta orang sebab bukan harta kita. Ini kalau kita tidak meletakkan diri kita dalam keadaan mereka. Sebab itu Allah gunakan perkataan أَمْوَالَكُمْ, yang bermaksud ‘harta kamu’ – kerana Allah hendak kita melihat harta orang lain macam kita hendak harta kita dijaga juga. Hormati harta orang lain macam kita hormati harta kita juga.

Termasuk dalam perkara ini adalah kalau kita meletakkan harga yang melampau dalam kerja-kerja kita. Contohnya, kerja kita sebagai mekanik. Katakanlah kita sahaja yang tahu pasal enjin, oleh itu kita ambil peluang itu untuk meletakkan harga yang melampau. Dan tuan kereta tidak boleh buat apa kerana mereka bergantung kepada kita. Ini juga adalah salah satu contoh yang bathil.

Termasuk juga dalam hal ini adalah meletakkan klausa yang tidak patut dalam perjanjian kita dengan pekerja kita atau dengan orang lain. Itu pun termasuk juga dalam perkara bathil.

Orang yang banyak buat kesalahan ini adalah mereka yang ada pengetahuan tertentu dalam kerja mereka, yang mana orang lain terpaksa akur kepada mereka. Iaitu golongan-golongan professional dalam kerja mereka. Maka kita kena berhati-hati.

وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ

dan kamu bawa harta-harta itu kepada hakim;

Kedua, ada orang yang mengambil harta orang lain dengan cara beri rasuah kepada hakim. Supaya hakim luluskan dalam mahkamah yang harta itu milik dia. Mungkin dia telah ambil geran tanah orang lain dan ubah nama. Sebab nak rampas dengan cara kasar sudah tidak boleh kerana negara ini ada undang-undang. Jadi dia bayar semua yang terlibat – hakim, saksi, pekerja di pejabat tanah dan sebagainya. Mereka boleh buat sampai mangsa tak boleh buat apa. Walaupun dalam mahkamah, mereka dikira sebagai pemilik tanah yang sah, tapi masih haram harta itu. Kalau keputusan mahkamah dilakukan berdasarkan kepada saksi palsu, tidaklah menjadikan harta itu halal.

Atau, mereka akan menipu hakim. Hakim itu mungkin tidak tahu kedudukan perkara yang sebenar maka dia hanya boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah yang ada di hadapannya. Kalau dia tidak tahu, dia tidak berdosa kalau memberikan keputusan yang salah. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan maklumat yang di hadapan mereka sahaja. Telah disebutkan di dalam kitab Sahihain, dari Ummu Salamah, bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda:

“أَلَا إِنَّمَا أَنَا بَشَر، وَإِنَّمَا يَأْتِينِي الْخِصْمُ فَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي لَهُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ، فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنْ نَارٍ، فَلْيَحْملْهَا، أَوْ ليذَرْها”

Ingatlah, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia, dan sesungguhnya sering datang kepadaku orang-orang yang mengadukan perkaranya. Barangkali sebagian dari kalian lebih pandai dalam mengemukakan alasannya daripada lawannya, kerana itu aku memutuskan perkara untuknya. Barang siapa yang telah kuputuskan buatnya menyangkut masalah hak seorang muslim, pada hakikatnya hal itu hanyalah merupakan sepotong api neraka; kerana itu, hendaklah seseorang menyanggahnya atau meninggalkannya.

Oleh itu, walaupun hakim telah memberikan keputusan yang salah, memberikan kemenangan kepada pihak yang menipu, tidaklah menjadikan harta itu halal. Ianya tetap haram dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Ia juga bermaksud kita menggunakan wang untuk rapat dengan pemerintah atau orang yang berkuasa supaya mereka rapat dengan kita dan kita boleh gunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang bathil.

Perkataan دْلُو itu bermaksud ‘timba’. Dalam pepatah Arab, ianya meletakkan makanan dalam timba, kemudian tunggu binatang datang untuk makan makanan itu. Kemudian ditarik timba itu supaya dekat dan dekat lagi, sehingga boleh tangkap binatang itu. Maksud pepatah itu adalah menggunakan wang untuk menarik pemerintah kepada kita. Dalam dunia perniagaan sekarang, ada businessman yang memberikan wang kepada pihak yang berkuasa supaya mereka memberikan projek kerajaan kepada mereka. Ini termasuk dalam larangan pada ayat ini.

Satu lagi contoh, ada orang yang meminjam dari orang lain, tapi tidak ada bukti. Bila diminta balik, dia tidak mengaku. Oleh itu bila dibawa ke mahkamah dia akan menang kerana tidak ada bukti yang dia ada pinjam duit itu.

 لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ

untuk dapat makan sebahagian harta manusia dengan cara dosa;

Iaitu mendapat harta itu dengan cara tipu. Sebagai contoh, menggunakan wang untuk diberikan kepada orang yang berkuasa supaya mereka dapat projek. Apabila projek itu diberikan kepada mereka kerana mereka sogokkan wang itu, maka orang yang sepatutnya layak dapat telah kehilangan rezeki mereka. Itu bermakna, mereka telah makan harta orang lain dengan batil juga.

Perkataan الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa yang sengaja’.

Apabila kita makan dari harta yang haram, maka kita akan buat benda haram dan bila buat benda yang haram, kita akan masuk neraka. Maka harta haram akan menolak kita masuk neraka. Maka hal makanan kena jaga betul.

 وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu kamu menipu;

Tentulah orang yang menipu itu tahu yang dia sedang menipu. Yang tak tahunya adalah hakim yang membuat keputusan itu. Bukan sahaja orang yang menipu, tapi termasuk juga saksi-saksi palsu yang mungkin digunakan untuk mendapatkan harta itu dengan cara yang salah – mereka yang jadi saksi itu pun tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Samada mereka tahu ianya salah dalam hukum agama atau dari segi moral.

Tapi mereka tidak akan mengaku yang mereka itu telah menipu. Mereka akan kata mereka tak tahu tentang apa yang terjadi dalam syarikat mereka. Mereka hanya lakukan apa yang mereka disuruh sahaja. Atau mereka memberikan alasan-alasan lain. Allah cakap dalam ayat ini bahawa mereka sebenarnya tahu.


 

Ayat 189: Ayat ini ada sangkut paut dengan puasa juga kerana melibatkan anak bulan.

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِيَ مَواقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوابِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Sahih International

They ask you, [O Muhammad], about the new moons. Say, “They are measurements of time for the people and for Hajj.” And it is not righteousness to enter houses from the back, but righteousness is [in] one who fears Allah. And enter houses from their doors. And fear Allah that you may succeed.

Malay

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ

Mereka bertanya kamu tentang anak bulan; 

Ahillah bermaksud 12 anak bulan dan kalau Hilal hanya satu bulan saja. Apabila Anak Bulan sudah kelihatan, itu menandakan sudah masuk bulan yang baru. Apabila ayat tentang bulan Ramadhan dikeluarkan sebelum ini, soalan yang ditanya oleh para sahabat adalah tentang anak bulan. Kerana puasa Ramadhan itu dijalankan selama sebulan dan telah disebutkan dalam ayat yang lalu bahawa apabila nampak anak bulan, maka mulakan puasa. Maka mereka bertanyalah tentang anak bulan itu.

Satu lagi tafsir tentang potongan ayat ini: Orang Arab Mekah bertanya kepada Nabi Muhammad kenapa bulan tidak sembah matahari kerana bulan kecil dan matahari itu besar? Bulan itu sudahlah kecil apabila ia keluar di langit, kemudian lama-lama semakin mengecil lagi. Mereka sengaja sahaja bertanya. Benda yang tak perlu diketahui pun tetapi mereka bertanya juga.

Soalan mereka itu tidak dijawab dengan tepat oleh Allah dalam potongan ayat seterusnya kerana itu bukanlah soalan yang cerdik. Allah hanya jawab apa yang penting sahaja. Ini juga mengajar kepada kita bahawa jika ada soalan yang tidak patut maka hendaklah kita jawab dengan kebijaksanaan. Kerana adalah menjadi perkara biasa, kadang-kadang yang bertanya itu jahil dan tidak tahu cara bertanya atau tanya benda yang tak perlu. Kita hendaklah memberi jawapan yang menguntungkan kepada orang jahil yang bertanya itu. Sebab itu kalau di negara yang maju syariat, kalau bertanya kepada mufti, kena ajukan soalan dalam tulisan supaya jelas apakah yang hendak ditanya. Dan jawapan akan diberikan oleh lebih dari seorang mufti dan dalam bentuk tulisan juga supaya jelas apakah jawapannya.

 

 قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Katakanlah: anak bulan itu untuk penentuan masa kepada manusia dan mencari bulan haji;

Allah memberitahu bahawa Anak Bulan ini memberi faedah kepada manusia untuk menentukan waktu yang boleh mereka gunakan dalam kehidupan mereka seharian. Macam kita sekarang ada kelender. Dengan Anak Bulan, maka senanglah untuk mereka membuat perkiraan ataupun membuat perjanjian untuk berjumpa dan sebagainya. Contohnya mereka kata mereka akan datang hari ketiga selepas Anak Bulan Muharram keluar. Ini adalah kegunaan dalam kehidupan mereka yang tidak melibatkan ibadat. Macam kita gantung kalender di dinding, Allah gantung bulan di langit untuk manusia menentukan masa. Boleh digunakan untuk menentukan masa untuk berniaga, bermusafir dan sebagainya.

Selain dari kegunaan harian, Anak Bulan ini juga terlibat dengan perkara ibadat di mana ianya digunakan untuk menentukan bilakah musim Haji. Begitu juga ketetapan bulan Ramadhan dikira dengan datangnya anak bulan. Dalam banyak-banyak masa untuk kita jaga, Allah menyebut satu yang penting – bulan Haji. Kita mungkin sangka Allah nak sebut tentang bulan puasa, sebab baru habis tentang bulan puasa sebelum ini, tapi Allah sebut tentang Ibadah Haji pula.

Allah sebut Haji kerana ada sebab. Waktu itu masih awal lagi di Madinah. Mekah masih di tangan Musyrikin Mekah. Sahabat tertanya-tanya macam mana mereka nak pergi buat Haji kerana Musyrikin Mekah takkan benarkan mereka buat Haji. Tambahan pula Kaabah waktu itu dipenuhi dengan berhala lagi maka takkan nak tawaf keliling Kaabah yang penuh dengan berhala pula. Sebenarnya Allah sedang memberi isyarat bahawa mereka perlu memfokuskan usaha mereka untuk buat Haji. Untuk melakukan ibadah Haji, mereka perlu membersihkan Kaabah dari berhala. Dan untuk membersihkan Kaabah itu, bermaksud mereka perlu mengambil alih Mekah. Dalam ayat ini, Allah mengisyaratkan kepada para sahabat untuk bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah. Itulah misi yang telah diletakkan oleh Allah. Setiap kali mereka melihat kepada bulan, mereka akan teringat tugas mereka untuk membersihkan Kaabah. Kerana bulan mengingatkan kepada Haji seperti yang disebut dalam ayat ini, dan Haji mengingatkan tugas mereka untuk mengambilalih Mekah dan Kaabah.

 وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ ظُهُورِهَا

dan bukanlah kebaikan itu dengan cara kamu masuk rumah-rumah kamu mengikut pintu belakang;

Ini adalah adat Arab Jahiliah dulu, iaitu apabila mereka selesai menunaikan Haji, mereka akan masuk ke dalam rumah mereka melalui pintu belakang. Itu adalah rekaan amalan mereka sahaja. Kita pula, bila nak pergi haji, kena laungkan azan masa orang yang hendak pergi Haji itu turun tangga. Itu adalah rekaan syariat kerana tidak ada sunnah dari Nabi dan para sahabat. Sama sahaja orang kita macam Musyrikin Mekah. Mereka reka syariat, kita pun nak reka syariat juga, tak mahu kalah.

Oleh itu, dalam ayat ini terdapat teguran kepada orang Arab Mekah yang reka amalan sendiri. Apabila mereka keluar mengerjakan haji, mereka akan keluar dari pintu depan rumah. Tetapi apabila mereka pulang dari mengerjakan Haji, mereka akan buat pintu baru dari belakang. Kerana mereka kata semasa mereka keluar untuk mengerjakan haji, mereka waktu itu masih berdosa dan pintu itu adalah ‘pintu dosa’. Bila dah selesai Haji, mereka tak boleh masuk ikut pintu itu lagi kerana mereka sudah suci dari dosa. Maka kena masuk pintu lain dari belakang. Dan bukan mereka masuk dari pintu dapur pun, tapi mereka akan tebuk pintu baru. Sudah jadi satu kerja pula nak tebuk pintu rumah yang baru.

Allah hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa itu bukanlah shariat agama malahan ia adalah sesuatu yang menyusahkan diri sendiri sahaja. Ini juga sepatutnya sudah mengajar kita bahawa bidaah dalam ibadat tidak dibenarkan. Bukan boleh dapat pahala pun kalau melakukan bidaah, malahan akan mendapat dosa dan kemurkaan dari Allah.

Tadi tentang orang Arab Mekah, dan orang Madinah sebelum mereka masuk Islam, mereka pun ada mengamalkan perkara khurafat juga. Mereka pun menganggap Kaabah adalah sesuatu yang mulia. Kerana orang Arab memang pergi mengerjakan haji ke Kaabah kerana ada saki baki ajaran Nabi Ibrahim. Kita tahu orang Madinah pernah pergi mengerjakan Haji kerana di situlah mereka telah berjumpa Nabi Muhammad buat pertama kali. Tapi sudah ada adat-adat tambahan dalam agama mereka. Contohnya, apabila mereka telah memulakan perjalanan mengerjakan Haji ke Mekah, mereka tidak boleh pulang ke rumah langsung sehinggalah mereka habis mengerjakan ibadat itu. Tapi katakanlah mereka terpaksa juga patah balik kerana mereka tertinggal sesuatu yang penting, maka mereka akan masuk ke rumah ikut pintu belakang atau ikut tingkap. Sebab mereka kata ia adalah petanda buruk kalau masuk rumah ikut pintu depan. Ini ambil dari mana, mereka tidak dapat kenalpasti. Kerana agama telah bercampur baur dengan fahaman yang lain. Mereka sudah tidak pasti ianya datang dari mana. Tapi mereka ikut juga sebab dah lama amalkan. Macam orang kita juga lah, tak tahu sesuatu amalan tambahan itu datang dari mana, tapi mereka amalkan juga sebab dah diamalkan dari tok nenek dahulu. Mereka tak tanya pun samada ianya betul atau tidak. Samada ianya kepercayaan karut atau tidak.

Allah nak beritahu dalam ayat ini, bahawa perbuatan mereka itu bukanlah kebaikan. Kebaikan telah disenaraikan dalam ayat 177 sebelum ini dalam Ayatul Birr.

Ini terjadi kerana agama telah bercampur baur. Adat-adat lama telah bercampur dengan agama. Kita boleh tengok dalam amalan masyarakat kita juga. Kalau kenduri kahwin, kita sudah tidak tahu itu adalah majlis orang Islam, atau Hindu atau Kristian. Kerana dah bercampur semua sekali.

Dan rekaan lain, kalau pergi umrah atau haji, buat Solat Hajat dan Majlis Doa Selamat di rumah supaya perjalanan selamat pergi dan selamat kembali. Itu semua adalah perbuatan mencipta syariat sendiri. Tidak pernah disuruh dan diamalkan oleh ulama salafussoleh.

 وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ

Akan tetapi kebajikan itu adalah bagi sesiapa yang bertaqwa;

Iaitu yang mahu mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah melalui NabiNya. Iaitu mengikut betul-betul. Maka, hendaklah belajar supaya kita tahu manakah yang betul.

 وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا

Dan masuklah dari pintu-pintu masuk biasa;

Ini adalah kata-kata perpatah Arab yang bermaksud buat perkara dengan cara yang betul. Apabila dikatakan masuk ikut pintu biasa, maknanya kena buat dengan cara yang betul. Maksudnya selepas ini, kena buat amalan ibadah sebagaimana yang diajar oleh Nabi. Ikutlah cara yang betul. Lihatlah apa yang dilakukan oleh Nabi. Jangan memandai nak buat benda baru. Kalau ada amalan yang kita dah biasa buat tu, kenalah periksa balik samada ianya ada dalam Islam atau tidak. Antaranya, kita dah selalu sangat buat Majlis Tahlil untuk menyedekahkan pahala kepada orang yang dah mati. Soalan yang kita kena tanya, adakah itu ada dalam Islam atau tidak? Jawapannya, tidak ada.

 وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan.

Masih lagi disebut tentang taqwa. Banyak ayat-ayat dari surah Baqarah ini yang menyebut tentang taqwa. Jadi harap kita sudah semakin faham tentang apakah maksud taqwa itu.

Orang yang bertaqwalah yang sebenar-benar mendapat kejayaan.


 

Ayat 190: Ini ayat berkenaan Jihad fi Sabilillah. Ada dua jenis jihad. Satu adalah jihad yang angkat senjata, memerangi orang kafir. Ini termasuklah Jihad Pertahan Diri. Iaitu apabila kita diserang oleh orang kafir, maka wajib kita mempertahankan diri. Satu lagi adalah jihad mulut/lisan, iaitu tabligh (menyampaikan) tentang agama Tauhid kepada manusia supaya mereka kembali kepada Islam.

Dari segi terma, perlu kita fahami apakah maksud ‘jihad’ itu. Dari segi bahasa, ‘jihad’ itu bermaksud ‘berusaha bersungguh-sungguh’. Dan kerana itu, maksudnya adalah luas. Sebagai contoh, apabila kita bangun malam selepas tidur untuk solat, solat itu dinamakan Solat Tahajjud, kerana kita berusaha melawan nafsu tidur kita. Dakwah juga adalah satu jihad kerana kita berusaha untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia.

Sebelum Jihad Perang, kena dimulakan dengan jihad lisan dulu kepada manusia. Adakah kita berani nak jihad peperangan kalau jihad lisan pun kita tak berani lagi? Nak tegur manusia dari buat majlis bersanding pun tak berani, macam mana kita ingat kita mampu nak pergi berjuang menentang orang kafir? Yang lebih menyedihkan kalau ada Muslim yang beriya-iya hendak berjihad, tapi diri sendiri belum kemas dari segi tauhid.

Tujuan Nabi dan pendakwah adalah seperti yang disebut dalam ayat 2:151 iaitu untuk menyucikan hati manusia dari syirik kufur dan amalan bidaah yang mereka amal. Guru mesti baca dan ajar ayat Quran untuk menyucikan hati manusia. Kena beritahu apakah kesalahan yang mereka lakukan. Bila dah tahu manakah perbuatan salah yang mereka lakukan, barulah mereka hendak bertaubat dan buang perbuatan mereka yang salah. Kalau mereka tak tahu mana yang salah, macam mana mereka nak bertaubat? Selalunya, guru agama akan mengajar apa yang kena buat sahaja, tapi mereka tak ajar mana yang salah. Oleh itu, anak murid tak tahu manakah perbuatan mereka yang salah. Selain dari Quran, guru agama juga kena mengajar hikmah, iaitu hadis. Dan ajar apa yang mereka sebelum itu tidak tahu. Sebelum itu anak murid tak tahu tentang Islam, mereka hanya terima perbuatan dari nenek moyang dan apa yang diamalkan masyarakat sahaja. Jadi kena berikan ajaran yang sebenarnya kepada mereka.

Dalam 2:159, Allah memberitahu bahawa sesiapa yang takut kepada orang kafir sampai menyembunyikan hukum-hukum agama kepada orang ramai. Padahal Allah telah turunkan Quran kepada manusia dengan sejelas-jelasnya. Tapi ada yang setelah belajar, mereka tidak sampaikan kepada manusia, tapi mereka sembunyi. Mereka simpan sendiri. Mereka yang buat begitu, akan dapat laknat dari Allah dan laknat dari orang-orang yang melaknati.

Jadi, seorang guru itu mesti mengajar tauhid kepada manusia dalam pengajaran dia. Itu adalah satu kemestian kerana itu adalah perkara yang paling besar. Sebab kalau seorang muslim itu masih lagi mengamalkan syirik, amal ibadat dia Allah tidak terima lagi. Kerana syarat untuk sesuatu amalan itu diterima, mestilah seseorang itu seorang yang beriman. Kalau buat syirik, bermakna orang itu tidak beriman lagi – tidak beriman sempurna. Dan amalan yang dibuatnya itu mestilah mengikut sunnah. Maka rugilah segala solat, sedekah, puasa, umrah dan haji mereka kerana tidak diterima lagi amalan ibadah mereka itu. Kerana dalam mereka mengamalkan Islam, mereka ada lagi buat perkara-perkara syirik. Mereka buat amalan syirik itu kerana mereka tidak tahu pun amalan itu salah. Kerana tidak diberitahu oleh guru agama mereka.

Dalam 2:174, Allah juga mengutuk guru yang menyimpan pengajaran yang ada dalam Quran. Mereka tidak menerangkan kepada manusia kerana mereka hendakkan upah. Mereka takut kalau mereka menceritakan kebenaran, mereka tidak lagi mendapat upah dalam pengajaran mereka. Kerana orang tidak suka mendengar perkara sebegitu dan mereka tidak lagi dijemput untuk memberi ceramah agama lagi. Maka, apabila mereka tidak dijemput lagi beri ceramah, mereka akan hilang pendapatan mereka. Maka mereka sanggup untuk senyapkan tentang amalan salah yang diamalkan oleh masyarakat. Mereka beli kesesatan dengan jual hidayah.

Berbalik kepada ayat ini, Allah sudah masuk kepada arahan kepada umat Islam untuk memerangi orang kafir.

Jihad dan infaq bukanlah perkara yang utama tetapi ianya perlu untuk melakukan perkara yang lebih besar lagi iaitu memperkenalkan Allah kepada manusia. Iaitu dakwah untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia yang belum mengetahuinya. Kerana bukan nak kenalkan Allah sahaja kerana kalau nak kenalkan Allah sahaja kepada manusia, Musyrikin Mekah itu memang sudah mengenali Allah tetapi mereka dipanggil ‘musyrik’. Jadi kita melakukan jihad untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia sejagat.

Ada hadis sahabat bertanya apakah maksud jihad yang sebenarnya kepada Nabi. Ini adalah kerana peperangan bukanlah maksud yang utama kerana peperangan adalah perkara biasa sahaja dimana orang kafir pun berperang juga. Maka apa bezanya antara peperangan mereka dan jihad orang Islam? Manusia ada yang berperang untuk mendapatkan harta, meluaskan tanah jajahan mereka ataupun kerana marahkan orang lain dan bukanlah mereka berperang untuk memperkenalkan Allah dalam akidah tauhid. Kalau mereka pun berperang seperti mereka juga maka itu bukanlah jihad yang dikehendaki oleh Allah. Jadi sahabat bertanya apakah maksud jihad di Jalan Allah itu? Nabi menjawab:

“Barangsiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimatullah – yakni agama Allah itu menjadi tinggi-maka orang sedemikian itulah yang disebut jihad fisabilillah”. ( Muttafaqun Alaih )

Kalimah Allah itu dikira tinggi apabila ianya berada dalam hati manusia. Kalau dalam hati kita masih ada faham syirik, maka kalimah Allah telah direndahkan.

Peperangan diizinkan kepada umat Islam apabila kita ini dizalimi. Bukannya kita terus sahaja pergi berperang dan membunuh orang-orang kafir. Ramai yang beranggapan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Kita nak menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia dan kalau mereka mati sebelum mereka mendengar dakwah kita, macam mana kita dikira mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah?

Selain dari dizalimi, kita juga dibenarkan untuk memerangi orang kafir jikalau mereka menghalang kita untuk menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia. Ini berkenaan dengan pemimpin negara yang tidak membenarkan dakwah Tauhid dibenarkan dalam negara mereka. Sudahlah dia tidak kenal Allah tapi dia menghalang pula orang lain untuk kenal Allah dan Tauhid, maka mereka sebegitu tidak layak untuk hidup di dunia lagi. Kalau mereka begitu, barulah boleh kita menghantar tentera Islam ke sana untuk membebaskan rakyat negara itu. Tetapi jikalau mereka tidak menghalang, maka umat Islam tidak boleh yang mula mencetuskan peperangan.

Dari segi sejarah, peperangan hanya dibenarkan kepada umat Islam selepas hijrah ke Madinah. Semasa umat Islam di Makkah lagi para sahabat sudah meminta izin kepada Nabi untuk memerangi puak kufar tetapi tidak diizinkan. Jadi keinginan untuk berperang sudah lama ada tetapi hanya dibenarkan bila sudah berhijrah ke Madinah sahaja. Ini adalah kerana Allah mahu fahaman agama yang ada dalam diri umat Islam sudah kuat dahulu. Allah membenarkan peperangan hanya diturunkan selepas 70 ayat Qur’an diturunkan untuk melarang mereka berperang.

Jadi sekarang kita akan belajar ayat Jihad yang pertama di dalam suruh Baqarah ini.

وَقاتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقاتِلونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sahih International

Fight in the way of Allah those who fight you but do not transgress. Indeed. Allah does not like transgressors.

Malay

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Dan berperanglah kamu di jalan Allah;

Allah sebut dengan jelas bahawa Jihad yang  dikehendaki adalah jihad di jalan Allah dan bukan peperangan yang biasa. Jadi peperangan yang dibenarkan adalah peperangan untuk menegakkan tauhid di muka bumi. Bukannya perang untuk mendapatkan harta rampasan perang, meluaskan tanah jajahan, kerana marahkan negara lain atau puak kuffar atau apa-apa sahaja sebab lain.

Ini adalah ayat yang memberi arahan kepada umat Islam untuk berjihad di atas Jalan Allah. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, Allah telah beri isyarat kepada umat Islam di Madinah yang mereka akan kena pergi memerangi Musyrikin Mekah. Ayat-ayat sebelum ini adalah sebagai isyarat sahaja tapi tidak dalam bentuk arahan lagi. Dalam ayat ini baru ada arahan yang Allah berikan.

Kenapa orang Islam kena memerangi Musyrikin Mekah? Kerana Kaabah waktu itu berada dalam tangan mereka. Kaabah di dalam tawanan mereka. Umat Islam kena membebaskan Kaabah dari genggaman mereka dan membersihkan Kaabah dari unsur-unsur syirik. Selagi mereka tidak buat begitu, orang Islam tidak akan dapat hendak mengerjakan ibadah Haji; selagi tidak dibersihkan Kaabah dari unsur syirik, selagi itulah umat Islam mengadap kepada kiblat yang penuh dengan berhala.

الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ

orang-orang yang memerangi kamu; 

Allah hendak memberitahu bahawa orang-orang Musyrikin Mekahlah yang memulakan peperangan ini. Bukanlah orang Islam. Ini penting untuk dijelaskan kerana dalam sejarah dunia, dikatakan bahawa orang Islam yang memulakan perang ini. Ahli sejarah dunia mengatakan yang orang Islam di Madinah lah yang memulakan Perang Badr dan seterusnya mengambil alih Mekah dari penduduknya. Ini adalah tidak tepat kerana semua itu bermula dari sebelum Hijrah Nabi dan para sahabat ke Madinah lagi. Ingatlah bagaimana apabila Nabi Muhammad dan orang Islam menyebarkan agama Islam di Mekah, mereka telah ditindas, sampai ada yang dibunuh hanya kerana mereka cuba menyebarkan hidayah kepada manusia. Mereka terpaksa meninggalkan Mekah menuju ke Madinah supaya menjaga agama mereka.

Apabila Nabi Muhammad dan para sahabat berhijrah ke Madinah, mereka telah membina satu negara Islam. Pusat pentadbiran adalah di Masjid Nabawi. Dalam masa enam bulan, pembinaan negara Islam telah berjalan. Dalam masa yang sama, Nabi telah menghantar pengintip ke Mekah untuk melihat apakah yang dilakukan oleh puak Musyrikin. Orang Musyrik telah menjumpai pengintip Nabi dan pertelingkahan telah berlaku. Maka terbunuhlah semua sekali orang musyrik yang berada dalam rombongan perniagaan itu. Kejadian ini tidak disangka dan apabila Nabi diberitahu tentangnya, Nabi tidak suka tapi ianya telah terjadi. Maka Nabi menyuruh para sahabat untuk bersiap sedia untuk menerima tindakbalas dari kejadian ini.

Sebelum itu, puak musyrikin Mekah terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang boleh menerima kalau pengaruh Nabi Muhammad semakin besar kerana baginda pun bukan orang lain, tapi bangsa Quraish juga. Mereka tidak ada masalah kalau Nabi Muhammad memerintah di satu tempat yang jauh dari Mekah. Abu Sufyan adalah antara orang yang berada di pihak ini. Tapi ada juga yang tidak setuju. Kerana mereka melihat Nabi Muhammad adalah ajaran sesat, menentang apa yang mereka sudah biasa amalkan, maka Nabi dan orang Islam perlu diserang sebelum fahaman mereka merebak. Yang berpandangan sebegitu adalah Abu Jahal.

Kerana kejadian rombongan perniagaan yang terbunuh itu, Abu Jahal telah mendapat sokongan yang kuat dari Musyrikin Mekah. Kerana sudah ada satu sebab untuk mereka menyerang Madinah. Beliau berjaya mengumpulkan kekuatan tentera untuk bersedia menyerang orang Islam di Madinah.

Dari sejarah ringkas ini, kita kena ingat kembali bahawa peperangan ini bermula dengan orang Musyrik lah yang memulakannya dengan menindas orang Islam sampai mereka terpaksa meninggalkan Mekah. Sejarah hanya melihat orang Islam Madinah yang memulakan perang dengan menyerang rombongan dari Mekah. Tapi sebenarnya, mereka bukan berniat hendak menyerang. Mereka hendak mengintip sahaja. Tapi telah ditakdirkan, mereka telah dilihat dan pergelutan telah berlaku. Sebab itulah dalam ayat ini, Allah memberi arahan untuk berperang dengan mereka ‘yang memerangi kamu’.

Maka, dalam ayat ini, Allah memberitahu siapakah yang boleh diperangi itu iaitu mereka yang memerangi kita. Tidak boleh memerangi mereka yang tidak memerangi kita.

وَلَا تَعْتَدُوا

dan jangan kamu melampaui batas; 

Walaupun Islam membenarkan peperangan, tapi Islam telah meletakkan beberapa syarat perang, antaranya, jangan mulakan perang. Dan kalau dah berperang, jangan melampaui batas. Dalam peperangan, ada undang-undang perang, iaitu jangan siksa orang yang berperang dengan kita. Sebagai contoh, jangan lepas kita tawan musuh kita, kita kerat tangan mereka. Jangan kita ganggu orang perempuan, budak-budak dan orang tua-tua. Jangan kita berbuat khianat terhadap manusia. Jangan ganggu orang-orang yang berlindung dalam rumah ibadat mereka. Orang yang tak melawan jangan bunuh mereka. Tidak boleh bunuh seseorang di hadapan anak beranaknya. Ini semua adalah undang-undang perang yang telah diletakkan dalam Islam. Tidaklah macam zaman sekarang, ada orang yang bunuh siap letak dalam video. Yang menyedihkan, dikatakan orang yang membunuh itu adalah pejuang Islam, dimana kita pun tidak dapat pastikan samada ianya benar atau tidak. Maknanya peperangan yang dibenarkan adalah peperangan antara askar dan askar sahaja. Kecualilah jikalau perempuan itu ada dilatih untuk memerangi kita maka bolehlah kita memerangi mereka dan membunuh mereka di medan peperangan.

Ini adalah satu peringatan yang amat sukar kepada para sahabat. Sebab mereka dulu telah ditindas, diseksa sampai ada kenalan dan ahli keluarga mereka yang mati di tangan Musyrikin Mekah. Tentulah mereka ada perasaan hendak membalas dendam. Tapi Allah telah memperingatkan para sahabat supaya jangan melampau.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan sebuah hadis:

عَنْ بُرَيدة أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: “اغْزُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِالْلَّهِ، اغْزُوا وَلَا تَغُلّوا، وَلَا تَغْدروا، وَلَا تُمَثِّلُوا، وَلَا تَقْتُلُوا وَلِيدًا، وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ”.

dari Buraidah, bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Pergilah di jalan Allah dan perangilah orang yang kafir kepada Allah. Berperanglah kalian, tetapi janganlah kalian curang, jangan khianat, jangan mencincang, dan jangan membunuh anak-anak serta jangan membunuh orang-orang yang ada di dalam gereja-gerejanya. 

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampau;

Para sahabat amat menjaga arahan ini sampaikan mereka takut kalau-kalau mereka melampau batas sampaikan mereka memberi makanan yang lebih baik dari makanan mereka sendiri untuk diberikan kepada para tawanan perang dalam Perang Badr.

Hadis riwayat Abdullah bin Umar ra.: Bahwa seorang wanita didapati terbunuh dalam suatu peperangan yang diikuti Rasulullah saw. lalu beliau mengecam pembunuhan kaum wanita dan anak-anak kecil. (Shahih Muslim No.3279)

Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Bunuhlah orang-orang musyrik yang tua dan biarkanlah anak-anak muda di antara mereka.” Riwayat Abu Dawud. Hadits shahih menurut Tirmidzi.

Maka dalam ayat ini Allah memberitahu tujuan berperang yang dibenarkan dan siapakah yang dibenarkan untuk diperangi. Inilah undang-undang peperangan yang perlu kita ikuti.

Sistem peperangan ini sebenarnya diperkenalkan oleh Islam tapi pada zaman sekarang ia juga telah dipakai oleh orang kafir kerana mereka nampak bagaimana sistem inilah sistem yang adil. Tapi mungkin orang kita yang tidak belajar agama tidak tahu bahawa ianya adalah daripada Islam. Mereka mungkin sangka yang ianya adalah dari pemikiran Barat sahaja.

Jangan melampaui batas juga bermaksud jikalau mereka sudah tidak memerangi kita maka kitapun hendaklah berhenti dari memerangi mereka kerana tuntutan perang sudah tiada. Maknanya perang ini adalah keperluan darurat sahaja iaitu apabila ianya perlu. Kalau tidak perlu lagi, maka kena berhenti. Maka apabila kita sedang berperang, dan jikalau mereka mengaku untuk masuk Islam, maka kita kena hentikan memerangi mereka serta merta. Walaupun jikalau pedang kita sudah berada di tengkuk mereka. Sebagaimana yang terjadi kepada seorang sahabat. Beliau hampir hendak membunuh seorang kafir, dan tiba-tiba lelaki itu mengucap kalimah syahadah. Sahabat itu tetap membunuh lelaki itu kerana tidak mempercayainya. Sahabat itu sangka yang itu hanyalah helah lelaki itu sahaja. Apabila Nabi tahu, Nabi telah memarahi sahabat itu. Sebab kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia. Kita hanya boleh menilai dari zahir sahaja.

Hadis riwayat Usamah bin Zaid ra., ia berkata: Rasulullah saw. mengirim kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir. Dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi saw. Rasulullah saw. bertanya: Apakah ia mengucapkan: Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya? Aku menjawab: Wahai Rasulullah, ia mengucapkan itu hanya kerana takut pedang. Rasulullah saw. bersabda: Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak? Beliau terus mengulangi perkataan itu kepadaku, hingga aku berharap kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: Demi Allah, aku tidak membunuh seorang muslim, hingga dibunuh Dzul Buthain, Usamah. Seseorang berkata: Bukankah Allah telah berfirman: Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah. Saad berkata: Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah. (Shahih Muslim No.140)


 

Ayat 191: Kemudian Allah hendak memberitahu bahawa ‘perang’ dan ‘bunuh’ itu adalah dua perkara yang berlainan. Dalam perang tidak semestinya ada pembunuhan. Perang itu apabila kita datang dengan kekuatan tentera untuk memberhentikan orang yang degil tidak membenarkan dakwah Islam. Kalau mereka dah terima, tidak boleh bunuh mereka.

وَاقتُلوهُم حَيثُ ثَقِفتُموهُم وَأَخرِجوهُم مِن حَيثُ أَخرَجوكُم ۚ وَالفِتنَةُ أَشَدُّ مِنَ القَتلِ ۚ وَلا تُقاتِلوهُم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ حَتّىٰ يُقاتِلوكُم فيهِ ۖ فَإِن قاتَلوكُم فَاقتُلوهُم ۗ كَذٰلِكَ جَزاءُ الكافِرينَ

Sahih International

And kill them wherever you overtake them and expel them from wherever they have expelled you, and fitnah is worse than killing. And do not fight them at al-Masjid al- Haram until they fight you there. But if they fight you, then kill them. Such is the recompense of the disbelievers.

Malay

Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

وَاقْتُلُوهُمْ

Dan bunuhlah mereka

Kalau mereka degil juga, maka bolehlah bunuh mereka. Bunuhlah mereka sahaja di mana jumpa mereka.

حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ

dimana sahaja kamu jumpa mereka

Makna ‘dimana sahaja jumpa mereka’ adalah jumpa di medan peperangan. Bukan nak serang tak semena-mena orang kafir di dunia ini pula. Tapi apabila berjumpa mereka di medan perang, maka bunuhlah mereka dimana sahaja jumpa mereka.

Bahasa yang digunakan dalam ayat ini menghairankan sedikit. Kalau dikatakan kepada orang yang kuat, ianya lebih sesuai. Baru boleh kata: “cari mereka dan bunuh mereka”. Tapi realitinya, orang Islam sedikit sahaja waktu ayat ini diturunkan. Yang ramai adalah puak Musyrikin. Mereka yang lebih ramai dan lebih kuat dan kelengkapan perang dari tentera Islam. Nabi baru sahaja hijrah enam bulan. Para sahabat tidak ramai, banyak antara mereka tidak pernah berperang pun. Ini adalah kerana orang asal Madinah adalah jenis petani. Tentunya mereka tak biasa berperang.

Apabila diketahui bahawa tentera Musyrikin Mekah sudah dalam perjalanan, Nabi tanya kepada para sahabat sama ada mereka patut keluar berperang atau tidak? Sahabat-sahabat dari Muhajirun bangkit seperti Abu Bakr, Umar dan Uthman. Nabi nampak suka dengan reaksi mereka tapi baginda senyap sahaja tanpa berkata apa-apa. Barulah Puak Ansar tahu bahawa Nabi tidak boleh menyuruh mereka berperang, tetapi mereka yang kena menawarkan diri mereka sendiri. Maka mereka berkata bahawa mereka takkan jadi seperti Bangsa Yahudi dan Nabi Musa yang tidak mahu berperang dengan baginda. Mereka pun menawarkan diri untuk berperang bersama Nabi Muhammad. Barulah peperangan Badr dilancarkan.

وَأَخْرِجُوهُمْ

dan kamu halaulah mereka

Keluarkan mereka dari daerah mereka. Halau mereka ke hutan dan ambil alih tempat mereka. Jangan bagi mereka duduk di kawasan tempat tinggal biasa. Biar mereka susah kerana mereka terus duduk dalam kufur. Mereka tidak layak hidup dengan selesa di dunia.

 

 مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ ۚ

dari tempat mereka halau kamu dulu;

Dulu kaum Muslim kena halau dari Mekah, sekarang orang kafir Mekah pula yang kena halau dari Mekah.

Allah menyebut ayat ini dalam bentuk yang nampak puak Muslim itu kuat sampai boleh menghalau orang Musyrik dari Mekah itu kerana Allah hendak memberi semangat kepada mereka bahawa mereka akan memenangi peperangan itu. Apabila mereka baca ayat-ayat ini, orang Islam dapat tahu bahawa Allah akan membantu mereka memenangi perang itu kerana itu adalah janji Allah. Jadi, walaupun mereka waktu itu lemah, tapi akhirnya mereka akan jadi kuat dan akan berjaya. Kerana dalam ayat ini, ianya menunjukkan bagaimana mereka akan jadi kuat. Dan merekalah nanti yang akan membunuh puak-puak Musyrik itu dan akan mengeluarkan mereka dari Mekah.

Hukum Perang: Kalau mereka tak mahu masuk Islam juga selepas mereka kalah, mereka layak jadi hamba abdi. Panglima perang yang boleh buat keputusan samada hendak bunuh semua lelaki yang berperang itu atau tidak. Yang perempuan dan kanak-kanak tidak boleh dibunuh. Mereka hendaklah diambil sebagai hamba abdi. Kita boleh bunuh mereka kerana mereka duduk di dunia Allah tapi tidak mahu sembah Allah. Kerana tidak menyembah Allah dan menyembah tuhan yang lain adalah satu kesalahan yang amat besar. Mereka tidak layak hidup di dunia Allah ini. Bayangkan kalau di sesuatu negara, kita menentang raja negara itu, itu adalah kesalahan paling besar di negara itu, boleh dihukum bunuh. Sekarang, orang kafir tidak menyembah Tuhan sekelian alam, adakah itu boleh dibenarkan? Kita kena lihat situasi itu begini, baru kita boleh faham kenapa kita kena bunuh puak-puak musyrik itu.

Walau bagaimana pun, sekarang kita tidak boleh pergi bunuh orang kafir sesuka hati kita. Kerana telah ada perjanjian antara kita dan mereka untuk hidup aman. Nabi dulu pun ada juga buat perjanjian damai dengan orang-orang kafir. Kaum kafir yang duduk di Malaysia, kita telah bersetuju untuk mereka duduk di negara ini. Tidak boleh kita menyerang mereka selagi mereka duduk dengan aman di negara ini. Tidak boleh juga kita hendak menyerang puak-puak kafir di negara lain.

Tujuan jihad adalah untuk menghilangkan kesyirikan dalam hati manusia. Dan orang yang melakukan syirik kepada Allah, tidak layak untuk mereka berperang pada jalan Allah. Kerana merekalah yang sepatutnya diperangi. Ini termasuklah orang-orang yang mengamalkan ilmu kebal, pedang terbang, keris azimat dan sebagainya. Mereka pun amalkan syirik, lalu macam mana nak perangi orang kafir? Banyak dari tok nenek kita dulu mengamalkan ilmu-ilmu sebegitu dalam peperangan. Itu adalah amalan syirik, maka mereka adalah musyirikun sebenarnya. Mereka tidak layak menjadi tentera Islam. Padahal, Nabi sendiri dan sahabat-sahabat tidak ada ilmu kebal. Nabi nak berperang pun pakai baju besi. Nabi sendiri pernah cedera dalam peperangan.

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

dan ‘fitnah’ itu lebih dahsyat dari pembunuhan;

Apakah makna ‘fitnah’ dalam ayat ini? Fitnah yang dimaksudkan adalah syirik kepada Allah. Bukanlah ianya bermakna menuduh orang seperti yang kita selalu faham itu. Fitnah yang kita faham itu adalah dalam bahasa Melayu sahaja, bukan bahasa Arab. Yang dimaksudkan dengan ‘syirik itu lebih dahsyat’ adalah kerana orang yang syirik itu akan kekal duduk dalam neraka tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Kalau kita bunuh orang, orang itu mati sahaja dan mungkin dia masuk syurga. Tapi kalau orang yang mengamalkan syirik, mereka akan terus masuk neraka apabila mereka mati.

Kata الْفِتْنَةُ itu adalah keadaan dimana mempersekutukan Allah lebih mudah dari mengikuti perintahNya. Puak Musyrikin telah menjadikan Kaabah tempat sembahan berhala, memudahkan orang melakukan syirik. Jadi Allah hendak memberitahu kepada orang Islam bahawa memang membunuh itu tidak elok, tapi menyebabkan syirik tersebar lebih teruk lagi dari itu. Kalau tidak memerangi mereka, fitnah/syirik akan terus berleluasa.

وَلَا تُقَاتِلُوهُمْ عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Dan jangan kamu perangi mereka di Masjidil Haram

Jangan memerangi mereka di Tanah Haram kerana Allah telah jadikan Tanah Haram itu sebagai tempat yang aman. Jangan kita cemari tempat itu yang Allah telah muliakan.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

“إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَلَمْ يَحِلَّ لِي إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ، وَإِنَّهَا سَاعَتِي هَذِهِ، حَرَام بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، لَا يُعْضَد شَجَرُهُ، وَلَا يُخْتَلى خَلاه. فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ بِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُولُوا: إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ”

Sesungguhnya kota ini telah disucikan Allah sejak Dia menciptakan langit dan bumi, maka dia tetap suci karena disucikan Allah sampai hari kiamat dan tidak pernah dihalalkan kecuali sesaat untukku di waktu siang hari, dia tetap suci karena disucikan Allah sampai hari kiamat; pepohonannya tidak boleh ditebang, rerumputannya tidak boleh dicabut. Jika ada seseorang membolehkan kerana alasan Rasulullah SAW. pernah melakukan perang padanya, maka katakanlah oleh kalian bahwa sesungguhnya Allah hanya mengizinkan bagi Rasul-Nya dan Dia tidak mengizinkan bagi kalian.

Dalam ayat ini, Allah memberi isyarat bahawa orang Islam akan menyerang Musyrikin Mekah sampai mereka terpaksa lari kepada Kaabah. Begitulah, kalau sesuatu negara itu diserang, apabila mereka telah kalah, mereka mulanya akan lari ke ibu negara. Dan akhir sekali mereka akan berkumpul di istana Raja atau Presiden mereka. Ini menunjukkan bahawa orang musyrik akan kalah sampai mereka terpaksa buat begitu. Ini memberi semangat kepada orang Islam.

حَتَّىٰ يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ

sehinggalah mereka perangi kamu di dalamnya;

Kecuali kalau mereka yang ceroboh dahulu. Baharulah kita boleh memerangi mereka di situ. Kalau mereka masuk serang kita dalam Masjidil Haram, barulah boleh kita lawan mereka balik.

فَإِنْ قَاتَلُوكُمْ

Dan jika mereka memerangi kamu

Kalau mereka menyerah diri, tidak melawan tidak mengapa. Tapi kalau mereka menyerang kita, maka:

فَاقْتُلُوهُمْ

maka bunuhlah mereka;

Tapi kita kena ingat, dalam kita bunuh mereka itu, tidak boleh seksa mereka. Kita kena terus bunuh mereka. Kalau hukum gantung pun dah dikira seksa. Kerana apabila kita gantung seseorang, dia tidak terus mati. Sebaliknya dia akan terseksa dalam masa yang lama. Sebaik-baik hukuman bunuh adalah pancung kepala, kerana mereka akan terus mati dan tidak menyeksakan. Itu adalah cara bunuh yang paling baik sekali. Kita sangkakan bahawa itu adalah pembunuhan yang paling dahsyat sebab darah menyembur dan badan akan menggeletar selepas bercerai dengan badan, tapi itu adalah tindakbalas badan sahaja. Sebenarnya, yang kena pancung itu akan terus mati dengan cepat dan tidak merasa sakit yang berpanjangan. Kemudian, setelah dibunuh, tidak boleh dikelar mayat orang kafir yang telah dibunuh itu.

كَذَٰلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ

Demikianlah balasan bagi orang kafir; 

Begitulah balasan yang sepatutnya diberikan kepada orang kafir. Tidak boleh dibiarkan mereka berleluasa.

Begitu pun, Rasulullah mamasuki Kita Mekah dengan aman dan telah memberikan peluang untuk penduduknya untuk menyelamatkan diri. Sabda Nabi Saw. yang mengatakan:

مَنْ أَغْلَقَ بَابَهُ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِي سُفْيَانَ فَهُوَ آمِنٌ

Barang siapa yang menutup pintunya, maka dia aman; dan barang siapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram, maka dia aman; dan barang siapa yang memasuki rumah Abu Sufyan, maka dia aman.

 


 

Ayat 192:

فَإِنِ انتَهَوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ

Sahih International

And if they cease, then indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

Malay

Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu); kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

فَإِنِ انْتَهَوْا

Sekiranya mereka berhenti perang;

Jikalau mereka berhenti perang, kita pun kena berhenti juga. Ini memerlukan disiplin untuk tidak terus membunuh. Amat senang nak suruh tentera mula perang, tapi nak suruh mereka berhenti perang, itu amat susah. Sebab bila dah mula perang, dah semangat lain macam dah.

Ini juga memberi isyarat bahawa kalau mereka berhenti, bermakna mereka telah menerima Islam. Itu adalah berita gembira. Kalau mereka berhenti dari kufur dan mahu masuk Islam, maka kita kena berhenti dari memerangi mereka dan membunuh mereka. Ini akan terjadi bila mereka nampak rugi kalau berperang dengan Muslim dan akan dapat untung kalau masuk Islam.

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. 

Lihatlah betapa pemaafnya Allah – walaupun dulu mereka melakukan syirik, pernah menindas orang Islam dan pernah membunuh orang Islam, tapi kalau mereka berhenti dari menyerang dan bermusuh dengan orang Islam, Allah boleh maafkan lagi. Oleh kerana Allah pemaaf, maka orang Islam pun kena juga jadi pemaaf. Kalau orang kafir sudah berhenti, dan mahu berdamai, maka kita pun kenalah maafkan mereka.

Allah tidak kata mereka selamat lagi kerana selamat atau tidak adalah atas amalan mereka. Tapi kalau benar hambaNya taat dan mahu ikut Islam, Allah akan ampunkan segala dosa-dosa mereka dahulu. Ini adalah kerana Allah adalah Maha Pengampun.

Maksud Allah itu Rahim adalah kalau dah maafkan, Allah tidak akan azab lagi hambaNya di akhirat.


 

Ayat 193:

وَقاتِلوهُم حَتّىٰ لا تَكونَ فِتنَةٌ وَيَكونَ الدّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انتَهَوا فَلا عُدوانَ إِلّا عَلَى الظّالِمينَ

Sahih International

Fight them until there is no [more] fitnah and [until] worship is [acknowledged to be] for Allah. But if they cease, then there is to be no aggression except against the oppressors.

Malay

Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.

وَقَاتِلُوهُمْ

Dan perangilah mereka itu 

Jangan berhenti memerangi mereka. Sampai bila?

حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ

sehingga tidak ada lagi syirik;

‘Fitnah’ dalam ayat ini bermaksud syirik dan jangan kita tafsir yang lain dari itu. Kalau mereka melakukan kezaliman syirik dengan Allah, kita kena lawan tanpa henti. Sehingga tidak ada lagi syirik atas muka bumi Allah ini. Selagi syirik ada lagi, selagi itu ada arahan jihad dalam dunia ini.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan pula hadis berikut:

“أمرْتُ أنْ أقاتلَ النَّاسَ حَتَّى يَقُولُوا: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، فَإِذَا قَالُوهَا عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّهَا، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ”

Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka mengatakan tidak ada Tuhan selain Allah; apabila mereka mahu mengucapkannya, berarti mereka memelihara darah dan harta bendanya dariku, kecuali karena alasan yang hak, sedangkan perhitungan mereka (yang ada di dalam hati mereka) diserahkan kepada Allah.

Tapi kita pandang kecil sahaja amalan syirik itu. Berapa ramai orang yang mengaku Islam tapi mengamalkan syirik? Tapi kita tengok mereka macam tidak ada apa-apa salah pada mereka. Contohnya, berapa ramai orang Islam yang berdoa kepada Nabi? Mereka tidak berdoa kepada Allah, tapi kepada Nabi. Adakah Nabi boleh menjawap doa? Tentulah tidak. Hanya Allah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Maka, apabila mereka berdoa kepada Nabi, itu adalah perbuatan syirik.

وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ

dan sehingga yang hanya ada agama Allah sahaja atas mukabumi;

Sehingga hanya ada agama Islam sahaja.  الدِّينُ itu bermaksud ‘cara hidup’. Oleh itu, cara hidup yang dibenarkan ada hanyalah cara hidup yang Allah restu sahaja.

Tetapi sebelum kita serang orang kafir, kita kena tabligh dulu kepada mereka. Bukan terus serang mereka. Lihatlah bagaimana Nabi berdakwah kepada orang kafir dahulu sebelum menyerang mereka. Sebelum jihad perang, kena mulakan dengan jihad mulut dahulu. Maka hendaklah kita berdakwah dengan saudara mara kita, sahabat handai kita dan orang di sekeliling kita. Dan kemudian kita kena luaskan dakwah kita sampai kepada orang kafir. Mungkin mereka tidak terima Islam kerana belum lagi ada orang yang dakwah kepada mereka.

Orang kita zaman dahulu pun ada berperang dengan orang kafir. Tapi umat Melayu dulu mengamalkan amalan-amalan syirik dalam perang, maka mereka telah kalah. Allah telah berikan kekalahan kepada mereka. Kemudian mereka dihina selepas itu dengan dijadikan hamba dan sebagainya. Dan kita sebagai anak cucu mereka, telah dijajah selama beratus-ratus tahun. Itulah balasan Allah kepada mereka yang mengamalkan syirik.

Ingatlah bahawa kita memerlukan pertolongan Allah sahaja dalam berperang pada jalan Allah. Kita tidak boleh mengharap bantuan dari orang kafir. Kita tidak boleh menerima bantuan dari orang kafir juga. Pernah terjadi semasa zaman Nabi, ada orang musyrik nak tolong Nabi berperang pun Nabi tidak terima. Nabi hanya terima apabila dia mengucap dua kalimah syahadah.

فَإِنِ انْتَهَوْا

Sekiranya mereka berhenti dari buat syirik;

Samada mereka telah berhenti dari buat syirik atau mereka sudah berhenti berperang dengan kita, dan telah mengadakan perjanjian damai dengan kita, maka berhentilah dari memerangi mereka.

فَلَا عُدْوَانَ

maka tidak ada lagi permusuhan

Apabila sudah berada dalam satu agama, maka kita tidak ada lagi permusuhan. Atau apabila sudah ada perjanjian damai antara kita dan mereka, tidak ada lagi permusuhan.

إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ

melainkan dengan orang yang zalim;

Melainkan kalau mereka melakukan kezaliman, maka kita kena berperang dengan mereka kembali.


 

Ayat 194: Ini adalah syarat perang lagi.

الشَّهرُ الحَرامُ بِالشَّهرِ الحَرامِ وَالحُرُماتُ قِصاصٌ ۚ فَمَنِ اعتَدىٰ عَلَيكُم فَاعتَدوا عَلَيهِ بِمِثلِ مَا اعتَدىٰ عَلَيكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَعَ المُتَّقينَ

Sahih International

[Fighting in] the sacred month is for [aggression committed in] the sacred month, and for [all] violations is legal retribution. So whoever has assaulted you, then assault him in the same way that he has assaulted you. And fear Allah and know that Allah is with those who fear Him.

Malay

(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa.

 

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ

Bulan Haram itu ialah dengan Bulan Haram;

Bulan Haram dihormati dengan sebab Bulan Haram dihormati. Kena berhenti perang sepanjang Bulan Haram itu. Ada empat bulan semuanya. Ianya telah disepakati sebagai waktu rehat dari berperang. Bila ada bulan-bulan ini yang dihormati, bolehlah nak buat benda lain juga, takkan nak berperang sepanjang tahun. Akan jadi susah kehidupan manusia kalau sepanjang tahun berperang.

Jadi, tidak boleh dicabuli kehormatan bulan-bulan itu. Haram berperang pada bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Tidak boleh mulakan perang dalam bulan-bulan itu. Itu adalah perjanjian dalam masyarakat Arab, kerana bulan-bulan itu adalah bulan-bulan untuk dijalankan ibadat haji dan umrah.

 

 وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ

dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang.

Adab menjaga bulan haram ini ada batasan. Kalau bulan haram dicabuli oleh orang kafir maka boleh memerangi mereka dalam bulan haram. Kalau mereka serang kita dahulu dalam Bulan Haram, maka kita boleh lawan balas, tidaklah kita duduk diam sahaja. Ayat ini hendak memberitahu bahawa kalau mereka serang kita dalam bulan Haram, maka kita boleh balas balik menyerang mereka dalam bulan Haram kerana mereka telah memulakannya dahulu.

Selain dari bulan-bulan Haram itu, tempat-tempat suci agama mereka dan kita juga tidak boleh dicabuli. Seperti Masjidil Haram dan juga kuil-kuil mereka. Tidak boleh kita menyerang tempat ibadat mereka, kerana kalau kita buat juga, mereka akan menghina dan menyerang masjid kita pula nanti.

Tapi ayat ini hendak mengatakan kalau mereka menyerang kita di tempat suci itu, maka kita boleh menyerang balas.

فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ

Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu

Katakanlah mereka yang serang kita dahulu.

فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ

maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu;

Kalau mereka serang kita dahulu dalam Bulan Haram, maka kita dibenarkan untuk serang balas.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kepada Allah:

Taqwalah kepada Allah dengan jaga hukum-hukum yang Allah telah tetapkan. Takutlah kepada Allah. Jangan kita pula yang mulakan perang dalam Bulan Haram itu.

Walaupun kamu sedang berperang itu, kenalah sentiasa ingat kepada Allah. Ingatlah bahawa Allah sedang memerhatikan kita.

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

dan ketahuilah yang Allah bersama dengan orang-orang yang bertaqwa;

Kita kena yakin yang Allah akan sentiasa bersama dengan orang bertaqwa. Banyak kali Allah berfirman yang Allah akan tolong orang-orang yang tolong agama. Kalau kita berperang dan kita bertaqwa, maka Allah akan beri bantuan kepada kita. Tapi kalau kita sendiri tidak bertaqwa, melakukan syirik dan melakukan larangan Allah, Allah akan membiarkan sahaja kita tanpa bantuan dariNya. Kalau Allah tidak tolong kita, maka tidak ada harapan lah kepada kita lagi.

Baqarah 188-194

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

 

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s