Tafsir Surah Mulk Ayat 13 – 19 (Adakah kamu aman dengan Allah?)

Ayat 13: Sekarang Allah memberikan dalil. Allah sedang bercakap dengan menggunakan kataganti kedua pula. Allah hendak memberitahu tentang SifatNya yang Maha Mendengar.

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

Sahih International

And conceal your speech or publicize it; indeed, He is Knowing of that within the breasts.

Malay

Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

وَأَسِرُّوا قَوْلَكُمْ

Dan sembunyikanlah kata-kata kamu;

Iaitu kamu cakaplah dengan perlahan, dengan rahsia kepada orang lain. Kalimah سِرُّ bermaksud ‘cakap dengan perlahan’, contohnya kita berbisik kepada orang lain. Dengan harapan supaya orang lain tak dengar.

Perkataan أَسِرُّوا adalah ayat dalam bentuk perintah. Allah cabar kita dalam ayat ini. Allah cabar kita untuk cakap berbisik dengan orang lain, nak tengok Allah tahu atau tidak.

 

أَوِ اجْهَرُوا بِهِ

atau kamu zahirkan;

Perkataan جهر bermaksud bercakap dengan kuat. Iaitu jahrkan perkataan kamu. Sama sahaja bagi Allah. Cakap perlahan, berbisik, cakap dengan kuat pun, Allah dengar semuanya.

 

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang dalam lipatan hati-hati kamu;

Samada kita kata atau tidak, Allah tahu. Macam kita baca doa, ada dalam hati yang kita tak sebutkan, tapi Allah tahu.

Yang tak dikatakan dalam hati pun Allah tahu. Iaitu, ada yang kita cakap dalam hati, tapi ada yang kita tak cakap dalam hati pun. Iaitu ‘lintasan hati’. Itupun Allah tahu. Sebelum kita cakap lagi, Allah dah tahu apa yang kita hendak cakap.

Maka, Allah tahu ikhlas atau tidak dalam hati manusia. Dan Allah tahu niat sebenar kita melakukan sesuatu itu.

Orang yang mengetahui dan menjiwai ayat ini, tentunya hendak memikirkan tentang buat maksiat pun dia takut kerana dia tahu yang Allah mengetahui apa yang ada dalam hatinya. Tentu dia malu dengan Allah. Jangan kata nak buat, nak rancang untuk buat pun dah segan dah.

Dalam ayat ini Allah memuji DiriNya yang Maha Mengetahui. Dia Maha Tahu apa sahaja yang berlaku dalam alam ini. Jadi hanya Allah sahaja yang tahu perkara ghaib, hanya Allah sahaja yang tahu apa yang ada dalam hati manusia. Jadi jangan kita ada jin tahu dalam hati manusia, ada guru yang boleh baca hati kita, dan sebagainya. Itu adalah fahaman syirik. Kerana apabila Allah sahaja yang tahu, jadi kalau kita kata ada selain Allah yang tahu, maka itu adalah fahaman syirik kerana meletakkan kuasa Allah pada makhluk.


 

Ayat 14: Macam mana Allah boleh tahu apa yang ada dalam hati kita?

أَلا يَعلَمُ مَن خَلَقَ وَهُوَ اللَّطيفُ الخَبيرُ

Sahih International

Does He who created not know, while He is the Subtle, the Acquainted?

Malay

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ

Tidakkah yang menciptakan itu tahu?;

Ini adalah soalan dalam bentuk soalan yang retorik. Digunakan untuk kita memikirkan. Dah memang Dia yang menjadikan makhluk dan segala alam ini, tentulah Dia mengetahui segala-galanya. Jadi Allah juga hendak memberitahu yang Dialah yang Maha Pencipta.

Kita memang boleh fikir sendiri bagaimana ayat ini menunjukkan kekuasaan Allah. Iman bukanlah sesuatu yang hanya percaya buta-buta sahaja. Kita boleh gunakan akal fikiran kita dengan melihat kejadian kita sendiri.

Untuk faham lagi, lihat analogi ini: kalau pencipta telefon, tentulah dia tahu luar dalam tentang telefon itu, sebab dia yang cipta dan buat telefon itu, bukan? Lalu, bagaimana dengan Allah yang menjadikan kita? Tentulah Dia tahu luar dalam tentang diri kita, malah lebih lagi. Lihatlah bagaimana dengan menggunakan akal fikiran, kita boleh capai kepada tahap keimanan yang tinggi. Itulah maksudnya agama Islam ini tidak meninggalkan akal. Agama Islam ini sesuai dengan akal.

Jadi, pemahaman makna ayat ini adalah: tidakkah yang menjadikan makhluk itu mengetahui? Tapi penggunaan perkataan مَن boleh juga disandarkan kepada ‘Allah’ dan boleh juga disandarkan kepada ‘makhluk’. Oleh itu, kalau disandarkan perkataan من itu kepada makhluk, ia boleh diterjemahkan sebegini: Tidakkah Allah mengetahui ‘siapa’ yang Dia telah ciptakan?

 

وَهُوَ اللَّطِيفُ

Dialah yang Maha Lembut;

Allah Maha Halus di dalam urusan pentadbiranNya. Bukanlah bermaksud Allah itu halus pula. Maksudnya Dia Maha Mengetahui perkara yang kecil-kecil, yang halus-halus pun Dia tahu. Jangan kita sangka Allah hanya tahu tentang perkara-perkara yang besar sahaja. Yang kecil-kecil pun Allah tahu juga.

Semua sekali Allah kawal. Perjalanan darah kita, pernafasan kita – semua Allah yang kawal. Amat mendalam sekali pengetahuanNya.

 

الْخَبِيرُ

Lagi Maha Mengetahui?;

Dia Maha Mengetahui segala apa yang terjadi. Tidak ada yang dapat disembunyikan dariNya. Perkataan الْخَبِيرُ bukan sahaja bermaksud ‘mengetahui’, tapi memahami dengan mendalam. Kerana ada perkara yang kita tahu, tapi kita tak faham. Allah bukan sahaja Tahu, tapi Dia faham sekali.

Dua-dua sifat Allah ini bersesuaian dengan ayat-ayat sebelumnya. Surah ini menceritakan tentang manusia yang mengambil pengajaran (dan jadi baik) dan manusia yang salah memilih jalan (dan jadi rugi) dan kemudian allah beritahu kesan-kesan yang mereka akan hadapi dari tindakan mereka itu.

Iaitu ada dua kesan berbeza: Allah hendak memberitahu kepada kedua-dua pihak ini bahawa Allah Maha Mengetahui. Kepada golongan yang salah, Allah hendak memberitahu bahawa Dia tahu apa yang mereka kata, apa yang mereka fikirkan dan apa yang mereka lakukan. Walau sekecil mana sekalipun. Dan Allah akan balas dengan balasan yang sesuai.

Dan kepada golongan yang baik, Allah juga hendak memberitahu kepada mereka bahawa Dia mengetahui apakah amalan baik yang telah mereka lakukan. Dan Allah tidak akan mensia-siakan perbuatan baik mereka itu. Allah akan balas dengan kebaikan yang melimpah ganda.

Allah mengetahui segala-galanya. Kalau kita kerja dengan orang, mungkin ketua kita tidak tahu apakah kebaikan yang kita lakukan. Kalau dia tidak tahu, mungkin dia tidak dapat balas dengan bagi bonus atau naikkan gaji. Tapi, dengan Allah, kita jangan risau, Allah tahu semuanya dan Allah akan balas. Ini sepatutnya memberi ketenangan dan kesenangan fikiran kepada orang-orang yang beramal baik.


 

Ayat 15: Dalil Aqli. Sekarang Allah menceritakan tentang nikmat yang telah Dia berikan kepada makhlukNya.

هُوَ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ ذَلولًا فَامشوا في مَناكِبِها وَكُلوا مِن رِّزقِهِ ۖ وَإِلَيهِ النُّشورُ

Sahih International

It is He who made the earth tame for you – so walk among its slopes and eat of His provision – and to Him is the resurrection.

Malay

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezekiNya; dan kepada Allah jualah  dibangkitkan hidup semula.

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا

Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu mudah untuk dilalui;

Bumi ini mudah untuk kita berjalan dan duduki. Kalau bumi kita ini berpaya semuanya, tentulah susah kita nak berjalan padanya, kena ada kenderaan macam bot pula untuk bergerak ke sana sini. Dan tidaklah bumi itu tanahnya lembik kerana itu pun susah juga kalau nak dijalani kerana dah jadi macam lecak pula. Tapi tidak jadi begitu kerana Allah mudahkan untuk kita duduki atas bumi ini.

Allah lah yang membuatkan bumi kita ini mudah untuk dijelajahi. Allah juga tidak jadikan keseluruhan dunia ini berbukit bukau sampai susah manusia nak berjalan padanya. Dan tidaklah Allah jadikan bumi ini berbatu sahaja semuanya kerana kalau berbatu, tentu susah untuk kita. Sebab kalau ianya keras, ia akan terkesan dengan cuaca sejuk dan panas. Kalau cuaca sejuk, ianya akan jadi terlalu sejuk dan kalau cuaca panas, ia akan jadi terlalu panas sebab ia akan menyerap kesejukan dan kepanasan itu. Tapi kerana bumi itu lembut, ia tidak terkesan sangat dengan cuaca.

Allah menjadikan bumi ini mudah untuk kita. Perkataan ذَلُولًا juga bermaksud ‘mudah untuk diuruskan’. Bumi ini memang Allah telah jadikan untuk kita. Kalau Dia telah jadikan untuk kita tapi susah untuk kita usahakan, itu tidak sesuai dengan rahmat Allah. Antara kemudahannya, telah dijadikan tanah itu lembut untuk senang kita bercucuk tanam padanya. Bayangkan kalau semua bumi ini berbatu? Tentu kita hendak menanam pun susah.

Walaupun ianya lembut, tapi ianya cukup keras untuk kita membina rumah, bangunan dan berdiri padanya. Allah berikan bumi itu sudah cukup sesuai untuk kita diami.

 

فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا

Maka berjalanlah kamu ke setiap pelusuk bumi itu;

Setelah Allah jadikan bumi ini mudah untuk dilalui, Allah menggalakkan kita berjalan padanya. Bermusafir padanya dan lihatlah alam ini. Di mana sahaja kamu hendak pergi, kamu boleh pergi. Untuk cari rezeki dan kehidupan. Untuk melihat kehebatan Allah supaya kita jadi semakin terkesan dengan Allah.

Perkataan مَنَاكِبِ dari segi bahasa, bermaksud ‘bahu’. Bahu itu berada di tepi tubuh kita. Bermaksud Allah menyuruh kita berjalan di tepian bumi ini.

مَنَاكِبِ juga boleh bermaksud gunung-ganang kerana seperti juga bahu yang terbojol keluar, gunung-ganang juga begitu. Oleh itu, ia boleh bermaksud, kita juga boleh mendaki gunung-ganang itu.

 

وَكُلُوا مِنْ رِّزْقِهِ

Dan makanlah dari rezekiNya;

Allah menyuruh kita menggunakan nikmat yang Allah telah berikan kepada kita dalam dunia ini. كُلُوا bermaksud ‘makanlah’, tapi tidak semestinya hanya tentang mencari makan sahaja. Kerana رِزْقِ boleh bermaksud lebih dari itu.

Apabila Allah telah suruh kita makan, maka jangan kita mengamalkan ‘pantang’. Jangan kita memandai nak haramkan perkara yang halal. Kerana perbuatan mengamalkan pantang itu sebenarnya adalah perbuatan kufur. Kerana Allah telah halalkan makanan untuk kita makan, tapi kita pandai-pandai haramkan untuk diri kita.

Yang selalu melakukan begini adalah perempuan-perempuan yang mengandung. Itu adalah salah. Kalau tak selera makan, itu tidak mengapa. Itu bermakna Allah dah tarik nikmat makan sesuatu makanan kepada kita. Itu tidak menjadi masalah. Tapi janganlah kita haramkan benda yang kita boleh makan.

Kerana selalunya amalan pantang itu adalah dari suruhan orang-orang tua atau dari bidan-bidan yang mereka terima amalan pantang itu dari dulu lagi. Bukan berasaskan dari kajian saintifik pun, tapi hanya dari kata-kata orang-orang tua. Yang mengajar pantang itu adalah syaitan sebenarnya. Dengan mengharamkan memakan sesuatu walaupun dalam satu jangkamasa sahaja, itu sudah menidakkan kebenaran Allah yang membenarkan kita makan apa sahaja yang boleh dimakan.

Tapi ini bukanlah kita menidakkan kata-kata doktor dan pengamal perubatan yang telah menjalankan kajian dan mereka memang tahu manakah makanan yang sesuai dimakan atau tidak. Kerana mereka telah belajar dan tahu dari pengalaman mereka. Tapi bidan kampung itu ada buat kajian, kah?

Ini juga adalah dalil untuk mengatakan bahawa hukum asal sesuatu benda itu adalah halal, sehinggalah ada dalil yang mengatakan ianya haram. Ini adalah salah satu dari kaedah fiqh.

Apabila Allah menyuruh kita berjalan di mukabumi dan mencari rezeki padanya, bermakna Allah menyuruh kita berusaha untuk mencari kehidupan. Bukan bermalas-malasan menunggu hasil dari orang lain sahaja. Ingatlah kisah Saidina Umar bagaimana pernah suatu hari beliau nampak ahli ibadat hanya duduk-duduk sahaja beribadat di masjid melakukan ibadat mengharapkan pemberian orang sahaja. Umar telah memarahi dan memukul mereka kerana mereka sepatutnya berusaha mencari rezeki dahulu, barulah mereka bertawakal kepada Allah. Bukan hanya bertawakal tapi tidak berusaha sedikit pun.

Allah beri kita berjalan dan Allah beri kita makan. Ini adalah antara nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita. Tidak kira samada kita kafir atau muslim. Tapi kalau kita beriman, maka pemberitan Allah ini adalah percuma sahaja. Tapi kalau yang engkar kepada Allah, Allah akan tanya balik kepada mereka: bagaimana mereka pakai nikmat yang Allah berikan kepada mereka tapi tidak taat kepadaNya?

 

وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Dan kepadaNya jualah kamu akan kembali;

Samada kita lalai dengan ugama, atau kita menjelajah seluruh dunia untuk kenal Allah, makan untuk menyempurnakan kehidupan sahaja, apa-apa kita buat di dunia pun, kita semua akan kembali kepada Allah. Itu kita kena ingat. Kena ingat bahawa kita semua akan kembali menemui Tuhan.

Perkataan نُّشُورُ bermaksud ‘berkembang’. Kenapa digunakan perkataan itu di sini yang maksudnya adalah kita akan bertemu dengan Allah? Kerana nanti di akhirat, kita semua akan dikumpulkan dan dikembangkan mengikut kumpulan masing-masing. Ada golongan yang baik dan ada golongan yang rugi.


Ayat 16: Ini adalah satu lagi dalil dari Allah. Ayat ini adalah berupa soalan dari Allah. Ini juga adalah ayat takhwif (penakutan).

أَأَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يَخسِفَ بِكُمُ الأَرضَ فَإِذا هِيَ تَمورُ

Sahih International

Do you feel secure that He who is above the heaven would not cause the earth to swallow you and suddenly it would sway?

Malay

Adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Dia yang berada di langit itu: yang boleh menyebabkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta?

أَأَمِنْتُمْ

Adakah kamu berasa aman?;

Adakah kamu berasa sedap hati sahaja, tidak takut apa-apa? Adakah kamu rasa macam tidak ada apa-apa sahaja bukan salah atas muka bumi ini? Adakah kamu rasa selamat? Padahal Allah boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki, bila-bila masa.

Sebelum ini, Allah sudah menceritakan bagaimana bumi ini telah dijadikan untuk kita mudah untuk diami, mudah untuk kita berurusan di atasnya. Kita boleh berjalan ke mana-mana kita kehendaki. Dan memang kita boleh hidup di dunia dengan senang lenang selagi kita mengikut arahan Allah.

Tapi kepada mereka yang engkar kepada Allah, Allah berikan ancaman ini. Jangan sangka bahawa bumi yang kamu sedang diami itu boleh kekal tenang begitu sahaja. Allah boleh sahaja berikan azab kepada kita. Apakah azab itu? Nanti akan diberitahu sebentar lagi.

 

مَّنْ فِي السَّمَاءِ

dengan Yang duduk di langit itu?;

Yang dimaksudkan dengan ‘yang duduk di langit’ dalam ayat ini adalah Tuhan Allah Taala. Adakah kamu rasa aman dengan Allah? Adakah kamu tidak takut dengan Allah?

Allah berada lagi tinggi dari langit. Ini adalah satu dalil daripada Qur’an sendiri bahawa Allah berada di langit. Lalu bagaimana ada pihak yang mengatakan selain dari itu? Ada yang kata Allah ‘berada di mana-mana’. Dan ada yang kata ‘Allah wujud tidak bertempat’.

Itu semua adalah salah faham mereka dengan Allah. Padahal, Allah sendiri mengatakan bahawa Dia berada di langit. Dan Nabi Muhammad tidak mengatakan yang selain darinya. Nabi tidak pernah takwil ayat ini untuk mengatakan bahawa Allah ada di mana-mana atau Allah ‘wujud tidak bertempat’. Jadi, kalau Nabi sendiri tidak takwil keberadaan Allah, bagaimana kita sebagai umatnya boleh buat tafsiran sendiri?

 

أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ

Yang boleh membenamkan kamu dalam bumi;

Bila-bila masa sahaja Allah boleh benamkan kita ke dalam bumi; Tidakkah kita pernah terfikir bahawa Allah sedang sentiasa melihat kita? Tidakkah kita takut apabila sedang melakukan dosa? Kalau Allah taqdirkan kita terbenam ke dalam bumi kerana dosa kita, waktu itu juga, bagaimana?

Kalau kamu engkar kepada Allah, adakah kamu berasa aman dengan Allah? Senang lenang kamu tinggal di bumi Allah ini? Perkataan خسف pada dasarnya bermaksud ‘menghilangkan sesuatu’. Sebagai contoh, apabila gerhana berlaku, ia juga dipanggil ‘khusuf’ kerana bulan menghilangkan sinar matahari.

Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud bumi boleh menghilangkan kita. Ia boleh menarik kita ke dalam perutnya. Kita pun biasa lihat bagaimana tanah jerlus boleh menyedut manusia dan menghilangkan terus manusia itu. Azab yang sama juga pernah dikenakan kepada Qarun seperti yang diceritakan dalam al-Qasas:81 dimana perkataan yang digunakan adalah فَخَسَفْنَا (Maka Kami hilangkan). Kata dasar yang sama digunakan.

 

فَإِذَا هِيَ تَمُورُ

Maka tiba-tiba bumi itu digoncangkan;

Sudah kena sedut dalam bumi, disebut bumi bergoncang pula. Dan waktu itu baru kita nak menyesal. Baru nak takut dengan Allah. Tapi sudah terlambat.

Kenapa bumi digoncangkan waktu itu? Kerana hendak memasukkan mereka yang diazab ke dalamnya dengan sepenuhnya. Untuk kita faham, cuba kita letak sesuatu seperti guli dalam balang gula. Untuk memasukkan guli itu ke dalam gula itu sepenuhnya, kita kena goncangkan balang gula itu. Barulah guli itu keseluruhannya akan masuk ke dalam balang gula itu.

Begitulah tepatnya penerangan Allah berikan kepada kita. Kita boleh faham kalau kita belajar Qur’an dengan betul.

Dari bahasa yang digunakan dalam ayat ini, kita boleh nampak bahawa Allah tidak berkenan dengan mereka yang engkar kepadaNya. Kerana itu Allah berikan ancaman kepada pembaca Qur’an ini. Dan yang  mula sekali mendengar ayat-ayat ini adalah musyrikin Mekah.


 

Ayat 17: Soalan kedua dari Allah. Dari bahasa yang digunakan di awal ayat, pertanyaan ini lebih kuat dari pertanyaan sebelumnya.

أَم أَمِنتُم مَّن فِي السَّماءِ أَن يُرسِلَ عَلَيكُم حاصِبًا ۖ فَسَتَعلَمونَ كَيفَ نَذيرِ

Sahih International

Or do you feel secure that He who above the heaven would not send against you a storm of stones? Then you would know how [severe] was My warning.

Malay

Atau adakah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Yang berada di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?

أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Apakah kamu merasa aman tenteram dengan Yang duduk di langit?

Tentulah yang ada di langit itu adalah Allah taala. Allah tidak sebut NamaNya tapi kita faham Siapakah yang dimaksudkan. Ini kerana tema surah ini adalah untuk kita menggunakan akal kita.

Perkataan أَمْ dalam ayat ini bermaksud ‘atau’. Ianya untuk meneruskan hujah yang telah diberikan dalam ayat sebelumnya. Dan ini lebih keras lagi dari huruf yang digunakan sebelumnya. Kerana selalunya begitu, ada peningkatan dari yang awal. Kerana degil juga, maka ditambah kesan kemarahan dari Allah.

 

أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا

yang boleh menimpakan hujan batu ke atas kamu;

Ini seperti yang telah dikenakan kepada tentera Abrahah semasa tentera itu menyerang Kaabah. Bayangkan hujan yang biasanya air, Allah jadikan dalam bentuk batu pula, tentunya mati semua orang.

Perkataan حَاصِبًا bermaksud membaling sesuatu dengan batu. Allah memberikan contoh ini kerana ia pernah dikenakan kepada orang-orang sebelum kita. Dalam surah Qamar:34, Allah telah menceritakan bagaimana kaum Luth juga telah dihujani dengan batu. Dalam ayat itu, Allah juga menggunakan perkataan حَاصِبًا.

Selalunya hujan yang turun ke bumi adalah air yang menyejukkan dan memberikan ketenangan kepada kita. Tapi Allah boleh juga menurunkan hujan batu. Samada memang hujan itu dijadikan dari batu atau angin itu terlalu kuat seperti tornado yang mengambil batu dari tempat-tempat lain dan menurunkannya kembali kepada manusia yang engkar itu.

Tidakkah kita takut dengan ancaman Allah ini? Bagaimana langit yang selama ini kita lihat indah, selalu bawa turun hujan rahmat kepada kita, tapi Allah boleh turunkan bala darinya? Sepatutnya kita rasa takut yang amat dengan ancaman Allah ini.

Allah memberikan ancaman-ancaman yang kuat dalam surah Mulk ini. Ini adalah kerana tujuan surah ini adalah untuk membangunkan mereka yang sudah lama tidur dalam kesesatan. Kalau kita tidur nyenyak, tentu susah nak digerakkan. Tidak cukup digerakkan dengan jam yang kecil sahaja. Tapi kena pakai jam loceng yang jenis lama, yang akan menggegarkan bilik tidur kita. Begitulah perumpamaan ancaman-ancaman Allah dalam ayat ini.

Dalam ayat sebelum ini, Allah memberikan ancaman dari bumi. Kali ini dalam ayat ini, Allah menceritakan tentang azab yang Allah turunkan dari langit pula. Maknanya, dari bawah dan dari atas sekali Allah boleh kenakan azab. Waktu itu, ke mana lagi kita boleh pergi?

Allah memberikan ancaman dari bawah dahulu kerana sememangnya kita bermula dari bawah. Amalan kita pun kita buat di bumi dan kemudian baru diangkat ke langit. Maka kerana itu dalam 16 disebut bumi dahulu dan sekarang baru disebut langit pula.

 

فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimanakah ancaman azab Allah;

Kita akan tahu nanti Allah akan buat macam mana kepada orang yang engkar. Kelak mereka akan tahu bahawa ingatan dan ancaman dari Allah itu bukan main-main. Mereka mungkin tidak endah dengan ancaman itu sekarang sebab tak jadi lagi, tapi kelak mereka akan mengetahui. Waktu itu sudah terlambat kalau nak buat apa-apa dah.

Perkataan نَذِيرِ juga boleh merujuk kepada ‘pemberi peringatan’ itu sendiri, iaitu Nabi Muhammad. Pada awalnya, mereka mengejek-ngejek Nabi, tapi nanti mereka akan mengetahui bagaimana keadaan Nabi itu. Bagaimana nanti mereka akan dikalahkan oleh Nabi (di Perang Badr). Memang waktu di Mekah, musyrikin Mekah itu kuat dan mereka nampak umat Islam itu lemah. Tapi nanti keadaan akan jadi terbalik dan akhirnya nanti mereka kalah sampailah umat Islam akan dapat menakluk Mekah.

Lihatlah betapa pemurahnya Allah. Walaupun manusia telah melakukan segala macam maksiat dan syirik kepadaNya, tapi Dia tidak terus mengazab mereka. Walaupun Dia mampu untuk mengazab mereka. Mereka diberi tangguh sehingga sampai waktu yang telah ditetapkan.


 

Ayat 18: Ayat tasliah dan contoh takhwif duniawi.

وَلَقَد كَذَّبَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم فَكَيفَ كانَ نَكيرِ

Sahih International

And already had those before them denied, and how [terrible] was My reproach.

Malay

Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.

وَلَقَدْ كَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Sesungguhnya telah mendustakan juga orang-orang yang sebelum mereka;

Iaitu sebelum orang-orang Musyrikin Mekah itu mendustakan Nabi Muhammad, telah ada orang yang mendustakan Nabi dan Rasul mereka. Ini adalah kaum-kaum yang terdahulu. Mereka tidak mahu menerima ajakan tauhid dari Nabi dan mereka kata bahawa kata-kata Nabi itu adalah dusta belaka. Maka tasliah (pujukan) kepada Nabi dalam ayat ini – bukanlah baginda sahaja yang didustakan oleh umat baginda. Tapi umat-umat dahulu pun mendustakan Nabi dan Rasul mereka juga.

Sekarang ini pun, memang ada orang yang mendustakan juga ayat-ayat Allah. Dusta itu maksudnya tolak ayat Qur’an. Kalau sekarang orang engkar, dulu pun dah ada orang yang engkar. Jadi, tidak ada apa yang perlu dihairankan. Itu adalah sunnatullah – ianya akan terus berlaku. Akan ada sahaja yang menentang ajakan tauhid Allah.

Terdapat penekanan dalam perkataan لَقَدْ itu. Dalam bahasa Arab, ianya seperti mengatakan sesuatu sampai menepuk meja menunjukkan keseriusan kata-kata yang disampaikan. Dari segi sebut pun, perkataan قَدْ itu adalah kuat sekali. Huruf ق adalah satu huruf yang berat bunyinya dan huruf د pula adalah satu huruf yang ada qalqalah padanya. Jadi, gabungan dua huruf ini pun sudah menunjukkan kekuatan padanya.

 

فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Maka bagaimanakah dahsyatnya celaan;

Ini adalah celaan Allah nanti di Mahsyar. Rasalah dahsyatnya azab itu di neraka kelak.

Ataupun, maksudnya kenanglah bagaimanakah azab yang Allah akan kenakan kepada mereka yang engkar kepadaNya semasa di dunia lagi. Ada orang-orang yang telah dikenakan azab oleh Allah.

Dan kita masih boleh melihat tempat-tempat azab telah diturunkan kepada manusia sebelum kita. Seperti Laut Mati dan sebagainya. Kita tidak digalakkan untuk melawat tempat-tempat sebegitu. Kalau kita pergi pun mestilah kerana hendak mendapatkan pengajaran dan tidak boleh duduk lama di situ.

Perkataan نَكِيرِ boleh juga diertikan sebagai azab. Tapi kenapa Allah tidak gunakan perkataan ‘azab’ dalam ayat ini? Dari segi bahasa, perkataan نَكِيرِ diambil dari kata dasar yang bermaksud ‘tidak diketahui’. Kalimah munkar juga dari katadasar yang sama. Oleh itu, ia bermaksud azab yang tidak diketahui dari mana ia datang, atau bilakah ianya akan datang. Azab dari bumi yang diancam dan azab dari langit itu boleh datang kepada mereka secara tiba-tiba. Dalam mereka sedap-sedap menjalani kehidupan mereka dengan selesa, Allah boleh berikan azab itu kepada mereka secara tiba-tiba.

Kita boleh lihat penggunaan nahu yang digunakan dalam ayat-ayat ini. Kadang-kadang Allah berkata terus kepada manusia dan kadang-kadang Allah menggunakan bahasa dalam kataganti ketiga. Ini dinamakan iltifad. Apabila Allah menggunakan kataganti ketiga, itu bermaksud Allah menunjukkan ketidaksukaanNya kepada makhluk itu. Kerana mereka engkar, maka Allah pun tidak mahu bercakap dengan mereka.

Tapi lihatlah juga bagaimana rahmat Allah. Walaupun Allah murka dengan mereka, tapi Allah masih lagi mahu memberi peringatan kepada mereka. Bandingkan kalau dengan kita – kalau kita marah sangat kepada seseorang, nak bercakap dengan dia pun kita sudah tidak mahu. Pada kita, biarlah dia nak jadi apa pun. Tapi Allah tidak begitu. Lihatlah selepas ini, berapa banyak lagi peringatan yang Allah berikan kepada manusia supaya mereka kembali ke pangkal jalan.


 

Ayat 19: Dalil Aqli. Sekarang Allah hendak memberitahu tentang penciptaan pula. Allah memberi kita satu lagi contoh untuk kita lihat dan fikirkan.

أَوَلَم يَرَوا إِلَى الطَّيرِ فَوقَهُم صٰفّٰتٍ وَيَقبِضنَ ۚ ما يُمسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحمٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ بَصيرٌ

Sahih International

Do they not see the birds above them with wings outspread and [sometimes] folded in? None holds them [aloft] except the Most Merciful. Indeed He is, of all things, Seeing.

Malay

Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang terbang di atas mereka, burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ

Apakah mereka tidak lihat kepada burung yang di atas mereka;

Allah suruh kita lihat kepada burung yang sedang terbang itu. Allah menggunakan perkataan ‘lihat’. Bermakna, kita boleh melihat sendiri keajaiban yang Allah telah lakukan. Tidak perlu kita mengkaji dalam-dalam. Dengan mata sendiri kita boleh lihat.

Burung itu terbang di langit. Kebanyakan haiwan-haiwan termasuk manusia hanya dapat hidup di darat sahaja. Kita sebagai manusia memang amat terpesona dengan kebolehan untuk terbang. Kalau boleh, kita pun hendak kebolehan untuk terbang seperti burung itu. Bebas untuk kita ke mana-mana. Sebab itu, kita cipta kenderaan yang boleh terbang. Kita juga amat suka kalau boleh naik kapalterbang. Ianya adalah sesuatu yang mempersonakan. Sekarang pun, dalam rekreasi manusia, ramai yang suka perkara-perkara yang melibatkan penerbangan. Kita suka naik kapalterbang, helikopter, hang glider dan macam-macam lagi. Semua itu menunjukkan ketakjuban kita dengan penerbangan.

Maka, Allah menyuruh kita melihat ke langit dan melihat bagaimana penciptaanNya kepada kebolehan burung itu.

 

صَٰفّٰتٍ وَيَقْبِضْنَ

Kadang-kadang burung itu buka sayap dan kadang-kadang menguncupkan sayapnya;

Perkataan صَافَّاتٍ memperkatakan tentang keadaan burung yang mengembangkan sayapnya. Perkataan itu diambil dari kata dasar yang bermaksud ‘lurus’. Kalau kita dalam jemaah solat pun, perkataan ‘saf’ akan digunakan.

Dari segi nahu, perkataan صَافَّاتٍ dalam bentuk katanama (noun) dan perkataan يَقْبِضْنَ dalam bentuk katakerja (verb). Kenapa nahu yang berbeza digunakan? Ini adalah kerana apabila katanama digunakan, ianya menunjukkan perkara itu selalu dilakukan. Dan kalau dalam bentuk katakerja, ianya hanya dilakukan sekali sekala sahaja. Kalau kita lihat burung, selalunya ia akan mengembangkan sayapnya. Hanya jarang-jarang burung akan menguncupkan sayapnya. Mungkin burung itu akan menguncupkan sayapnya apabila hendak mengubah arah perjalanannya sahaja. Tapi selalunya burung akan mengembangkan sayapnya.

Begitulah tepatnya bahasa yang digunakan oleh Qur’an. Zamakhsyari kata ini adalah antara rahsia kenapa dikumpulkan sighah fi’il dan sighah isim di dalam satu ayat.

 

مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ

Tidaklah yang menghalang burung itu dari jatuh, melainkan Tuhan Rahman sahaja;

Kita mungkin belajar ilmu fizik bahawa yang menyebabkan burung itu tidak jatuh ke bumi adalah kerana binaan tubuh mereka menyebabkan angin mengangkat mereka (dipanggil drag dalam bahasa sains). Tapi sebenarnya Allah lah yang bertanggungjawab memegang burung itu di langit dan tidak menjatuhkannya.

Ilmu fizik itu Allah juga yang buat, bukan? Dan angin yang menyebabkan burung boleh terbang itu, dijadikan oleh Allah juga, bukan? Jangan kita meletakkan kebolehan sesuatu perkara itu kepada alam sahaja. Ingatlah bahawa Allah yang bertanggungjawab dalam segala perkara. Sepatutnya, pelajaran sains di sekolah bukan hanya menceritakan tentang kejadian alam ini seperti ianya terjadi sendiri sahaja. Sepatutnya silibus sekolah meletakkan bahawa segala kejadian itu adalah kerana Allah. Allahlah yang menguruskan segala perjalanan alam ini. Dari sebesar-besarnya sehingga ke sekecil-kecilnya. Patutnya selepas ajar tentang sains, beritahu yang sains ini adalah dalam qudrat Allah, bukan terjadi sendiri.

Allah menggunakan namaNya ‘ar-Rahman’ dalam ayat ini. Allah menekankan sifat KemurahanNya. Allah menggunakan nama ar-Rahman ini untuk membangkitkan perasaan terhutang budi kita kepada Allah. Atas segala rahmat yang Allah telah berikan kepada kita, adakah patut kita engkar kepadaNya? Adakah patut kita mengambil selain Allah sebagai ilah? Adakah patut kita mengambil sembahan-sembahan yang selain dari Allah? Tentu tidak patut sama sekali.

 

إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Dia Maha Melihat terhadap segala sesuatu;

Ayat ini bermaksud, dalam semua perkara, Allah sedang melihat. Allah tahu apa yang sedang terjadi dan Dialah yang menyebabkan terjadinya sesuatu itu.

Sekali lagi, digunakan struktur ayat yang lain dari kebiasaan bahasa Arab. Struktur yang normal adalah إِنَّهُ بَصِيرٌ بِكُلِّ شَيْءٍ. Tapi diubah struktur ayat itu untuk menunjukkan *hanya* Allah sahaja yang Maha Melihat segala-galanya. Tidak ada yang lain yang boleh sampai ke tahap Allah. Tidak ada sembahan-sembahan lain. Tidak ada tuhan-tuhan lain.

Sekali lagi, tema surah ini digunakan – Allah menyuruh kita untuk melihat keindahan kejadian yang telah dijadikan olehNya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Updated: 25 Oktober 2017


Rujukan:

Ustaz Rosman

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 067: Mulk. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s