Tafsir Surah Waqiah Ayat 77 – 85 (Boleh sentuh Qur’an dalam hadas)

Ayat 77: Apakah Jawabul Qosam (jawab kepada sumpah) yang Allah sebutkan dalam ayat sebelum ini? Kerana apabila kita bersumpah, ada benda penting yang kita hendak sampaikan. Maka apakah benda penting yang Allah nak sampaikan?

إِنَّهُ لَقُرءآنٌ كَريمٌ

Sahih International

Indeed, it is a noble Qur’an

Malay

Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Qur’an yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan),

 

Benda yang amat penting itu (sampai Allah bersumpah dengan bintang) adalah tentang Qur’an. Allah hendak menceritakan kedudukan Qur’an yang mulia ini. Allah hendak memperkenalkan Qur’an. Ianya adalah suatu yang amat mulia.

Ia juga sesuatu yang tetap. Allah bersumpah dengan kedudukan bintang-bintang di langit yang tetap. Maka kita kena ingat yang Qur’an ini juga tetap dalam menyampaikan kebenaran. Allah yang menetapkan kedudukan bintang itu, maka Allah juga yang menurunkan Qur’an yang mulia ini. Sebagaimana bintang-bintang itu tersusun dan sempurna, begitu jugalah Qur’an ini. Maka Allah hendak mengingatkan manusia dengan Qur’an.

Tapi ini bukan kali pertama Arab Mekah itu diperkenalkan dengan Qur’an. Nabi Muhammad dah banyak kali bacakan kepada mereka sebelum ini. Ini kerana surah ini adalah surah pertengahan zaman kenabian di Mekah, maka mereka sudah kenal pun dah dengan Qur’an. Tapi Allah hendak menyegarkan mereka dengan Qur’an. Nak ingatkan balik kepada mereka tentang Qur’an.

Maka kita pun kena segarkan pemahaman diri kita dengan Qur’an. Memang kita telah kenal lama dengan Qur’an, kecil-kecil lagi sudah pernah nampak Qur’an. Tapi bagaimanakah pemahaman kita dengan Qur’an?

Ketahuilah wahai manusia, bahawa Qur’an itu amat-mulia. Kalau ia mulia, maka hendaklah kita sanjung. Jangan buat tidak tahu sahaja. Malangnya ramai yang salah faham. Mereka sangka memuliakan Qur’an itu adalah dengan menatangnya, letak di tempat tinggi dan jenis-jenis sanjungan dan penghormatan yang lain. Ramai simpan di dalam almari dengan kemas sekali.

Itu memanglah bagus. Tapi yang lebih penting, Qur’an ini kena dipelajari. Bukan sahaja belajar membacanya tapi hendaklah belajar memahami maksudnya. Maka kerana itulah kena belajar tafsir Qur’an.

Kena luangkan masa dan bukannya sekejap untuk mempelajarinya. Kerana kalau benda penting, kita akan sanggup luangkan masa, bukan?


 

Ayat 78: Allah terangkan lagi tentang Qur’an.

في كِتٰبٍ مَّكنونٍ

Sahih International

In a Register well-protected;

Malay

Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara,

 

Kerana Qur’an itu mulia, maka ia juga disimpan di tempat yang mulia. Iaitu di Lauh Mahfuz. Kitab asal Qur’an ada di situ yang tidak boleh dicapai oleh sesiapa pun. Maka tidak ada sesiapa yang boleh menukarnya dan menghilangkannya.

Inilah tempat simpan Qur’an sebelum diturunkan ke langit dunia. Allah turunkan Qur’an ke Langit Dunia pada malam Qadr dan dari Langit Dunia, Allah turunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad yang mengambil masa 23 tahun.

Qur’an juga sesuatu yang terpelihara. Maka kalau kita menjadikan ia ‘kawan’ kita, maka ia akan memberi kebaikan untuk kita. Maka Qur’an ini bukanlah untuk dibaca sahaja, tapi hendaklah ia difahami dan diamalkan. Ianya hendaklah selalu dibaca dan dikaji-kaji sentiasa. Maka kalau kita sekarang belajar tafsir Qur’an ini, maka ini adalah kelebihan untuk kita. Tidak semua orang dapat kelebihan ini.

Kerana dengan membaca Qur’an ini Allah bercakap terus dengan kita. Dan kalau kita dapat rasa percakapan Allah ini terus kepada kita, maka kita akan rasa lain macam dengan Qur’an ini. Jadi kalau kita dapat rasa bagaimana Qur’an ini adalah perbualan kita dengan Allah, maka ini adalah sesuatu yang hebat. Ia akan menjadikan hubungan kita dengan Qur’an akan lebih rapat.

Dan perbuatan ini lebih hebat lagi kalau kita dapat rasa dalam solat kita. Maknanya, kita ada lima kali perbualan dengan Allah setiap hari. Ini adalah perhentian kita dalam perjalanan kehidupan kita. Sebagaimana ada perhentian dalam perjalanan kita yang jauh, maka dalam perjalanan kehidupan kita juga ada perhentiannya juga.


 

Ayat 79:

لّا يَمَسُّهُ إِلَّا المُطَهَّرونَ

Sahih International

None touch it except the purified.

Malay

Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang suci;

 

Makhluk yang suci itu adalah Jibrail. Suci itu maksudnya suci dari syirik dan dari hadas. Dialah yang membawa Qur’an itu dari Lauh Mahfuz ke langit pertama. Dan kemudian disampaikan kepada Nabi Muhammad.

Yang dimaksudkan dengan ‘tidak disentuh’ itu adalah kitab yang berada di langit. Adapun kitab Qur’an yang di dunia, disentuh oleh semua orang, termasuk orang Majusi yang najis dan orang munafik yang kotor.

Memang ayat ini selalu digunakan sebagai dalil bahawa orang yang dalam hadas (maksudnya tidak suci) tidak boleh sentuh Qur’an. Mereka menafsir maksud kalimah لا dalam ayat ini sebagai ‘jangan’. Tapi ini adalah pendapat yang agak lemah, walaupun memang ianya adalah pendapat dalam mazhab Syafie. Kerana itulah kebiasaan masyarakat kita tidak memegang Qur’an kalau dalam hadas.

Tapi ada lagi pendapat lain lagi yang juga kuat. Kerana kalimah المُطَهَّرونَ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah manusia ‘suci dari hadas’ tapi makhluk yang suci. Dan makhluk yang suci itu adalah para malaikat.

Manusia tidaklah sentiasa suci. Kerana kalau buang air, sudah berada dalam hadas balik. Tapi para malaikat itu sentiasa dalam keadaan suci. Mereka itu bukan sahaja tubuh kejadian mereka suci, tapi hati mereka juga suci dari perkara dan perasaan yang buruk.

Lagi satu, kalau kita lihat siyaq dan sibaaq (ayat selepas dan ayat sebelum) ayat ini pun, tidak menyokong hujah mereka itu. Kerana ayat ini hendak menolak hujah musyrikin Mekah yang mengatakan bahawa Qur’an itu telah diturunkan oleh jin atau telah diganggu oleh jin. Kalau kita baca ayat ini sahaja, mungkin boleh diterjemahkan sebagai ‘jangan pegang Qur’an kalau tidak suci’, tapi kalau kita lihat konteks ayat, tidak kena maksud itu. Kerana itu maksud yang lebih sesuai untuk kalimah لا itu bermaksud adalah ‘tidak’. Jadi terjemah yang lebih sesuai: “Tidaklah Qur’an itu disentuh melainkan oleh makhluk yang suci.”

Maka kita berpendapat tidak ada masalah kalau nak sentuh Qur’an tanpa wudhu. Dan wanita dalam haidh pun boleh sentuh mushaf Qur’an. Walaupun ada pendapat lain, tapi kita tidak pegang pendapat itu. Tapi memang elok dan molek kalau sentuh Qur’an dalam keadaan suci. Kerana kalau kita jaga perkara ini, maka ini akan mengajar kita untuk menghormati Qur’an itu, pandang tinggi Qur’an itu; sampaikan nak pegang pun kena suci.

Oleh itu, ayat ini menolak tuduhan orang kafir yang mengatakan ada gangguan dalam Qur’an. Orang kafir Quraish menuduh Qur’an itu dibawa turun oleh syaitan-syaitan, kerana itulah Allah menceritakan dalam ayat ini bahawa Qur’an itu tidak akan disentuh kecuali oleh makhluk-makhluk yang disucikan (malaikat).

Jin tidak akan dapat nak ganggu samada untuk mencuri wahyu Qur’an itu ataupun untuk menambah apa-apa ke dalamnya. Ini adalah kerana apabila wahyu Qur’an mula diturunkan, maka langit ditutup dari dinaiki oleh jin.

Allah pelihara Qur’an ini dengan hebat sekali, maka ia bukanlah sesuatu yang untuk dibuat main-main. Jangan kita pandang ringan kepadanya. Jangan kita dengar Qur’an ini dengan sambil lewa sahaja. Jangan kita buat tidak tahu (tidak mempelajarinya). Belajarlah tafsir Qur’an ini sikit-sikit. Jangan sampai mati tidak tahu tafsir Qur’an langsung. Kena ada niat untuk habiskan tafsir Qur’an 30 juzuk.


 

Ayat 80:

تَنزيلٌ مِّن رَّبِّ العالَمينَ

Sahih International

[It is] a revelation from the Lord of the worlds.

Malay

Al-Qur’an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.

 

Allahlah yang menurunkan Qur’an. Bukan seperti yang dikatakan oleh orang kafir bahawa ia merupakan sihir, perdukunan atau syair. Ia merupakan kebenaran yang tidak mengandung sebarang keraguan sedikit pun.

Dan ayat ini mengingatkan kita yang Qur’an ini dari Allah. Maka kalau dari Allah, maka kenalah beri perhatian. Allah yang jadikan kita, maka tentulah Allah tahu panduan apa yang kita perlukan. Kalau tak pakai panduan dari Allah, nak pakai panduan yang mana lagi?

Maka kena belajar tafsir Qur’an supaya dapat faham apakah yang Allah hendak kita lakukan. Dan kemudian kena selalu baca kerana ianya dari Allah. Kalau surat dari kekasih kita, tentu kita akan selalu baca, bukan? Maka adalah ada kekasih lain yang lebih hebat dari Allah?

Dan kena selalu tadabbur Qur’an ini. Ianya dari Allah yang maha bijaksana. Banyak sekali pengajaran di dalamnya yang kita tidak akan dapat faham dengan sekali baca sahaja. Maka kena selalu baca dan selalu memikirkan ayat-ayatnya. Kalau kita mengkaji Qur’an ini sepanjang hidup kita pun, kita tidak akan memahami sepenuhnya maksud Qur’an ini. Tapi kenalah kita cuba memahaminya setakat yang kita mampu.


 

Ayat 81:

أَفَبِهٰذَا الحَديثِ أَنتُم مُّدهِنونَ

Sahih International

Then is it to this statement that you are indifferent

Malay

Patutkah kamu (wahai golongan yang kufur ingkar) bersikap sambil lewa terhadap keterangan-keterangan Al-Qur’an ini?

 

أَفَبِهَٰذَا الْحَدِيثِ

Apakah dengan Qur’an ini,

Kalimah الْحَدِيثِ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Qur’an. Kalimah ح د ث antara lain bermaksud ‘kata-kata’ dan boleh merujuk kepada banyak perkara. Antaranya hadis dan juga ayat Qur’an.

Maka jangan kita salah faham pula. Golongan anti-Hadis mengatakan berdasarkan ayat ini, al-hadis adalah Qur’an sahaja. Kerana itu mereka menolak dan tidak terima hadis-hadis dari kalimah Nabi Muhammad. Tapi ini tidaklah benar sama sekali. Ini kerana ح د ث boleh merujuk kepada banyak perkara.

Maka jangan pula tolak hadis Nabi, kerana Qur’an itu wahyu dari Allah, dan hadis Nabi juga adalah wahyu dari Allah juga cuma disampaikan dalam lafaz Nabi Muhammad. Tapi tidaklah baginda sebutkan apa-apa hal agama melainkan dari Allah jua.

 

أَنْتُمْ مُّدْهِنُونَ

kamu menganggapnya remeh?;

Allah tegur manusia yang meremehkan Qur’an ini. Ramai yang memandang remeh sahaja Qur’an itu sampai mereka sangka tak payah belajar tafsir Qur’an. Mereka anggap Qur’an ini tidak penting sahaja.

Mereka biar sahaja Qur’an itu di almari. Sekali sekala sahaja buka untuk dibaca (bukan untuk tadabbur). Kerana itulah kalau kita lihat Qur’an di masjid, tidak ramai yang baca. Walaupun banyak Qur’an, tapi keadaannya elok sahaja, sebab orang tak pakai.

Begitulah hakikat masyarakat kita memang tak endahkan Qur’an. Ramai yang buat tak peduli sahaja. Sekali sekala mereka baca dan itu pun mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar tafsir. Kalau tidak belajar tafsir, bagaimana mereka nak ambil manfaat dari Qur’an?

Itu juga dikira sebagai menghina Qur’an. Jadi perhiasan rumah dan masjid sahaja. Buat almari cantik-cantik, diletakkan Qur’an untuk ditunjukkan kepada orang. Bila menikah, diberikan sebagai hantaran. Tapi adakah Qur’an itu layak jadi begitu sahaja? Kalau benda mulia tapi digunakan dengan cara yang salah, tidakkah itu menghina Qur’an?

Ada juga pendapat yang mengatakan maksud مدهن adalah berlaku lembut dengan manusia. Iaitu kita tak mahu nak sakitkan hati sesiapa, tak mahu singgung hati orang, maka kita sorok ajaran dalam Qur’an ini. Ini kerana kalau kita kita sampaikan ajaran Qur’an ini, tentu ada yang terasa kerana Qur’an menegur amalan salah mereka.

Maka ada guru-guru yang takut nak sampaikan, maka mereka tidak sampaikan perkara yang sepatutnya mereka sampaikan. Maka mereka biarkan sahaja orang awam melakukan kesalahan dalam agama kerana takut nak sampaikan. Antaranya mereka takut nak ajar tentang syirik. Mereka takut nak beritahu yang amalan tawasul yang manusia lakukan itu adalah salah.

Maka ada guru-guru yang takut nak sampaikan, maka mereka tidak sampaikan. Maka ini adalah salah sama sekali. Jangan kita sorok ajaran Qur’an ini. Kita kena sampaikan. Kalau manusia terasa, marah kepada kita, itu terpulang kepada mereka. Janji kita sudah sampaikan.


 

Ayat 82:

وَتَجعَلونَ رِزقَكُم أَنَّكُم تُكَذِّبونَ

Sahih International

And make [the thanks for] your provision that you deny [the Provider]?

Malay

Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?

 

وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ

Dan kamu jadikan rezeki;

Dengan Qur’an boleh mendapatkan rezeki. Selepas baca, kita baca doa untuk mendapatkan rezeki. Dengan baca Qur’an, Allah akan turunkan rahmat, antaranya rezeki kepada kita.

Atau, maksudnya Qur’an ini adalah rezeki yang amat besar kepada kita. Kerana ia mengandungi ajaran yang dapat menyelamatkan kehidupan kita di dunia dan akhirat. Tapi ada juga yang meninggalkannya, dan ada yang sembunyikan. Ini seperti dapat madu tapi dibalas dengan tuba. Yakni terima kasihmu ialah dengan mendustakan.

Atau, seperti kata Imam Razi, ia memang berkenaan rezeki. Orang Arab Mekah yang mendengar Qur’an ini tidak suka kepada Qur’an kerana pada mereka, kalau ianya diterima oleh semua orang maka pintu rezeki mereka akan terganggu. Ini adalah kerana mereka mendapat rezeki yang banyak dengan kedatangan orang Arab ke Mekah kerana melawat berhala-berhala mereka di Kaabah. Dan apabila Qur’an mengatakan itu adalah perbuatan syirik dan salah, ia tentu akan mengganggu ekonomi mereka. Kerana itulah mereka kena tolak juga Qur’an itu.

 

أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ

sedangkan kamu mendustakannya;

Malangnya manusia menolak, tidak mahu terima ajaran dalam Qur’an. Alangkah rugi dan bahayanya!

Sesiapa yang tolak ayat Qur’an, mereka dah murtad dah. Kadang-kadang kita membacakan ayat Qur’an sebagai hujjah, tapi ada juga orang yang tolak, tak mahu terima. Kita amat takut dengan penolakan mereka itu, mereka telah jatuh kafir. Tapi tidaklah boleh kita kata mereka kafir. Kerana Allah sahaja yang boleh menentukan kekafiran seseorang.

Kita setakat boleh kata: apa yang mereka sedang lakukan itu adalah perbuatan orang kafir. Itu sahaja kita boleh kata dan jangan kita kata lebih dari itu. Ramai dari manusia yang tolak dalil Qur’an dan kemudian mereka pakai hujjah dari guru mereka sahaja. Macam Negeri Sembilan, satu negeri tolak ayat-ayat berkenaan hukum faraid yang ada dalam Qur’an.

Kerana mereka tidak pakai Hukum Fara’id dalam Qur’an dan sebaliknya mereka pakai Adat Perpatih dalam pembahagian harta. Tidakkah ini menolak hukum Allah? Hukum Allah mereka letak tepi dan mereka pakai undang-undang lain pula. Adakah undang-undang mereka itu lebih baik dari hukum Allah?

Ayat ini juga boleh ditafsir begini: “Kamu mengganti rezeki yang Allah berikan dengan mendustakan Allah.” Sepatutnya kalian bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan, tapi kalian ganti syukur itu dengan pendustaan, iaitu mereka tolak Qur’an itu.

Atau mereka dapat rezeki dari Allah, tapi mereka kata dapat dari entiti lain. Ini seperti yang disebut dalam hadis seperti ini:

وَقَالَ ابْنُ جَرِيرٍ: حَدَّثَنِي يُونُسُ، أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ أُمَيَّةَ -أَحْسَبُهُ أَوْ غَيْرِهِ-أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا -وَمُطِرُوا-يَقُولُ: مُطِرنا بِبَعْضِ عَشَانين الْأَسَدِ. فَقَالَ: “كَذَبْتَ! بَلْ هُوَ رِزْقُ اللهِ”

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Yunus, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Ismail ibnu Umayyah menurut keyakinanku atau lainnya, bahawa Rasulullah Saw. mendengar seorang lelaki yang baru mendapat hujan di kalangan kaumnya mengatakan, “Kami diberi hujan oleh gugusan bintang Asad.” Maka Nabi Saw. bersabda menyangkalnya: Kamu dusta, bahkan hujan itu adalah rezeki dari Allah.

Macam orang kita jugalah, Allah yang beri rezeki, tapi ada yang kata kerajaan bagi rezeki, parti politik bagi rezeki, tokey bagi rezeki, orang itu dan ini beri rezeki. Ini adalah kata-kata yang amat bahaya sekali kerana ada unsur-unsur syirik di dalamnya. Hendaklah kita berhati-hati dengan apa yang kita kata.


 

Ayat 83: Allah tsabitkan QudratNya. Maka kalau kamu rasa hebat sangat, sampai tak layak ikut hukum Allah dalam Qur’an, maka Allah ada cabaran untuk kamu.

فَلَولا إِذا بَلَغَتِ الحُلقومَ

Sahih International

Then why, when the soul at death reaches the throat

Malay

Maka kenapa semasa (roh seseorang dari kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya, –

 

Ini adalah ketika seseorang itu mengalami sakaratul maut. Iaitu waktu nazak nak meninggal dunia. Waktu itu roh sudah nak keluar dan roh itu sudah sampai ke kerongkong. Ini kerana roh itu ditarik dari kepala dan ia akan naik dari bahagian kaki. Ada orang yang sakarul mautnya menakutkan.

Waktu itu manusia yang sedang hampir mati itu tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Dalam ayat lain, Allah berfirman:

{كَلا إِذَا بَلَغَتِ التَّرَاقِيَ. وَقِيلَ مَنْ رَاقٍ. وَظَنَّ أَنَّهُ الْفِرَاقُ. وَالْتَفَّتِ السَّاقُ بِالسَّاقِ. إِلَى رَبِّكَ يَوْمَئِذٍ الْمَسَاقُ}

Sekali-kali jangan. Apabila nafas (seseorang) telah (mendesak) sampai ke kerongkongan, dan dikatakan (kepadanya), “Siapakah yang dapat menyembuhkan?” Dan dia yakin bahwa sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia), dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan), kepada Tuhanmulah pada hari itu kamu digiring. (Al-Qiyamah: 26-30)


 

Ayat 84:

وَأَنتُم حينَئِذٍ تَنظُرونَ

Sahih International

And you are at that time looking on –

Malay

Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya, –

 

Iaitu merujuk kepada orang yang melawat orang nazak itu ketika dia melihat orang yang hendak mati itu. Allah bercakap kepada ahli keluarga dia yang selalunya ada di sekitar orang yang sedang nazak itu. Dia cuma boleh lihat sahaja, tidak tahu apa yang sedang dilalui oleh orang nazak itu.

Ataupun, maksudnya orang yang sedang menghadapi sakaratul maut itu sedang melihat Malaikat Maut itu sedang menarik rohnya keluar dari jasad. Dapat tengok sahaja, tak dapat nak tahan apa yang sedang dilakukan.


 

Ayat 85:

وَنَحنُ أَقرَبُ إِلَيهِ مِنكُم وَلٰكِن لّا تُبصِرونَ

Sahih International

And Our angels are nearer to him than you, but you do not see –

Malay

Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat,

 

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ

Dan Kami lebih hampir kepadanya daripada kamu; 

Allah memberitahu yang Dia sebenarnya lebih hampir kepada orang yang nazak itu, lebih hampir dari sesiapa sahaja yang berada di sebelahnya. Allah tahu apa yang sedang berlaku.

Bukanlah maksudnya Allah duduk dekat orang itu pula, tapi maksudnya Allah tahu dari segi ilmu.

Atau, Allah maksudkan para malaikat yang lebih hampir kepada orang yang hampir mati itu. Kerana para malaikat juga yang sedang mengambil nyawa orang itu. Ini seperti yang Allah maksudkan dalam ayat lain:

{وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُمْ حَفَظَةً حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لَا يُفَرِّطُونَ. ثُمَّ رُدُّوا إِلَى اللَّهِ مَوْلاهُمُ الْحَقِّ أَلا لَهُ الْحُكْمُ وَهُوَ أَسْرَعُ الْحَاسِبِينَ}

Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, dia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya. Kemudian mereka (hamba Allah) dikembalikan kepada Allah. Penguasa mereka yang sebenarnya. Ketahuilah, bahawa segala hukum (pada hari itu) kepunyaan-Nya. Dan Dialah Pembuat perhitungan yang paling cepat. (Al-An’am: 61-62)

 

وَلَٰكِنْ لَّا تُبْصِرُونَ

sedangkan kamu tidak dapat melihat;

Tapi manusia yang ada berdekatan orang yang hampir mati itu tidak nampak perkara ghaib. Oleh kerana itu manusia yang ada berdekatan tidak nampak malaikat maut yang sedang mencabut nyawa orang yang sedang nazak itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Rosman

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 056: Waqiah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s