Tafsir Surah al-Fatihah Ayat 1 – 2

Pengenalan Surah al-Fatihah:

Surah Fatihah diturunkan di Mekah dan Madinah. Riwayat mengatakan bahawa ianya diturunkan dua kali. Ianya adalah surah yang teragung dalam Quran. Keseluruhan isi kandung Quran berada dalam surah Fatihah ini. Kerana itulah ianya dinamakan Ummul Quran. Maksud/Dakwa surah Fatihah ini terdapat di dalam ayat: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.

Tiga ayat pertama surah al-Fatihah ini adalah puji-pujian kepada Allah. Ayat keempat adalah antara kita dan Allah. Dan ayat seterusnya adalah untuk kita sahaja. Ini kita dapat tahu dari satu Hadis Qudsi berkenaan surah ini yang akan kita bincangkan nanti.

Surah ini dinamakan al-Fatihah kerana ianya adalah pembukaan kitab secara tertulis. Dan dengan al-Fatihah itu dibukakan bacaan di dalam solat. Ia juga disebut Ummul Kitab, as-Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang) dan al-Qur-anul Azhim.

Ia juga disebut dipanggil dengan sebutan al-Hamdu kerana Nabi ada meriwayatkan firman Allah dalam hadis Qudsi: “Aku membahagi solat antara diriKu dan hambaKu menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah berfirman; Aku telah dipuji oleh hambaKu.”

Dan surah ini juga dipanggil ash-Solah, kerana al-Fatihah itu sebagai syarat sahnya solat. Ia juga disebut dengan nama asy-Syifa’ kerana ada diriwayatkan satu hadis: “Fatihatul kitab itu merupakan syifa’ (penyembuh) dari setiap racun.”

Ia juga disebut ar-Ruqyah kerana ada satu hadis yang meriwayatkan sahabat telah menjampi (ruqyah) seseorang yang terkena sengatan, maka Nabi bersabda: “Dari mana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu adalah ruqyah?”

Abu Hurairah pernah meriwayatkan satu hadis dari nabi: “Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca ummul Quran, maka solatnya itu tidak sempurna, tidak sempurna, tidak sempurna.”

Abu Hurairah berkata lagi: “Kami berada di belakang imam.” Dia menambah: “Bacalah al-Fatihah itu di dalam hatimu, kerana aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: “Allah berfirman: “Aku telah membahagi solat menjadi dua bahagian antara diriKu dengan hambaKu. Dan bagi hambaKu apa ia minta: Jika ia mengucapkan الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ, maka Allah berfirman: “HambaKu telah memujiKu. Dan jika ia mengucapkan: الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ, maka Allah berfirman: HambaKu telah menyanjungKu. Jika ia mengucapkan مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ, maka Allah berfirman: HambaKu telah memuliakanKu. Dan jika ia mengucapkan إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ maka Allah berfirman: “Inilah bahagian antara diriKu dan hambaKu, dan untuk hambaKu apa yang ia minta. Dan jika ia mengucapkan اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ maka Allah berfirman: “Ini untuk hambaKu dan bagi hambaKu pula apa yang ia minta.”


Ayat 1:

1:1

Kata basmallah ini adalah satu lafaz yang amat hebat. Tidak diberikan kepada agama-agama lain. Tidak diberikan kepada orang Yahudi dan tidak diberikan kepada agama Kristian.

بِسْمِ اللَّهِ

Dengan Nama Allah; apabila kita kata ‘dengan’, sepatutnya ada ayat sebelum itu. Ada ulama yang kata ayat sebelum itu adalah “aku mula membaca Quran ini adalah….” disambung: ‘dengan nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim’. Tapi yang berkata بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ini adalah Tuhan sendiri. Jadi Tuhan suruh kita baca atau Tuhan yang baca? Sebenarnya, Tuhan suruh kita baca.

Jadi, ayat yang penuh adalah: “Katakanlah, aku membaca surah ini dengan menyebut nama bagi Allah.”

Huruf بِ ‘ba’ dalam بِسْمِ itu adalah sesuatu yang menjadi perbincangan ulama. Apakah yang dimaksudkan olehnya? Huruf ‘ba’ itu mempunyai banyak kegunaan dalam bahasa Arab. Ulama mengatakan terdapat 20 makna yang boleh diambil apabila ada penggunaan ‘ba’ itu.

Perbincangan ulama mengatakan bahawa ‘ba’ dalam basmallah ini membawa dua maksud: ba’ musaahabah dan ba’ istiaanah.

Ba’ musaahabah bermaksud mendekatkan diri dengan Allah. Bermaksud kita hendak mendekatkan diri ‘dengan’ Allah supaya perbuatan yang kita buat itu mendapat keberkatan dari Allah dengan kita membaca basmallah itu. Ini kerana segala usaha tidak membuahkan hasil kalau Allah tidak mengizinkan. Hanya apabila Allah izinkan baru terjadi. Kalau Allah tak izinkan kita makan, maka kita tidak dapat nak suap makanan dalam mulut pun. Dan kita mengharapkan keberkatan dari bacaan basmallah itu sampai kepada usaha kita itu. Dengan berkat Allah, perkara yang sedikit menjadi banyak. Sebagai contoh, kalau Allah memberi berkat kepada makanan itu, walaupun ianya sedikit sahaja, tapi kita akan kenyang dengan makanan yang sedikit itu dan ianya akan memberi tenaga yang banyak kepada kita.

Ba’ istiaanah pula bermaksud kita mengharapkan pertolongan dari Allah. Semoga dengan izin dan pertolongan Allah, usaha kita itu akan berjaya. Kita sebagai manusia yang hina, memang amat mengharapkan pertolongan dari Allah. Tidak akan berjaya sesuatu usaha itu tanpa ada pertolongan dari Allah.

Dari dua makna itu, kita menzahirkan dalam diri kita bahawa Allah lah sumber barakah dan pertolongan. Dari awal-awal lagi sebelum kita mulakan usaha itu pun.

Nama dzat: Allah. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bahawa Allah adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala macam sifat. Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah sifat Pemurah Allah sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu menyentuh tentang sifat Allah memberi rezeki sahaja. Tapi, apabila kita gunakan nama Allah – ianya merangkumi semua sifat-sifat Allah itu.

Nama Allah merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain diriNya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui dari kata apa nama itu berasal. Maka diantara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar.

Nama sifat: ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Maha Penyayang). Dua-dua nama ini berasal dari kata dasar – ar-Rahmah.

الرَّحْمَٰنِ

ar-Rahman diibaratkan seperti kasih seorang bapa kepada anaknya. Ayah itu sanggup memukul anaknya jikalau anaknya nakal, contohnya jika anak itu tidak mahu pergi sekolah. Ayah itu sanggup buat macam-macam untuk mendisiplinkan anaknya itu supaya anak dia itu menjadi seperti apa yang dia cita-citakan. Seorang ayah itu sanggup melihat anaknya yang nakal masuk penjara kerana hendak mendisiplinkan anak itu.

Sifat Rahman Allah itu sanggup melihat hambaNya bersusah payah dalam ibadat. Contohnya, kita kena solat setiap waktu. Kita di Malaysia tidak ada masalah untuk mengerjakan solat bila-bila masa pun. Tapi bayangkan di negara-negara yang sejuk, mereka susah untuk mengambil wudu dan sebagainya. Bayangkan mereka berpuasa di kutub utara dalam kesejukan dan masa yang lagi panjang dari kita, kerana siang mereka panjang. Jadi nampak macam mereka terseksa dalam melakukan ibadat. Dan Allah sanggup melihat penyampai agama (pendakwah) bersusah payah dalam menyampaikan agamaNya. Sampai ada yang dicerca, diejek malah ada yang dibunuh. Mereka hanya menghadapi dugaan ini semasa di dunia. Tapi kepada mereka di akhirat kelak, lain keadaan mereka. Mereka akan dibalas dengan usaha dan kesusahan yang telah mereka alami semasa menjalankan ibadat-ibadat dan dakwah mereka kepada manusia.

Sifat Rahman Allah ini diberikan kepada seluruh makhlukNya, walaupun yang mukmin atau tidak. Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan segala nikmatNya kepada penduduk dunia. Tidak kira samada mereka kafir atau tidak.

الرَّحِيمِ

ar-Rahim diibaratkan kasih seorang emak yang tak sanggup tengok anaknya dipukul. Walaupun anak dia seorang penagih dadah. Dia tak sanggup anaknya masuk penjara. Dia sanggup buat apa sahaja supaya anaknya tidak diazab.

Kalau di dunia, sifat Rahman Allah sanggup melihat hambaNya kepayahan dalam menjaga agama, tapi apabila di akhirat nanti, Allah yang bersifat Rahim tidak sanggup nak tengok hambaNya yang Dia sayang itu mendapat siksa. Apabila Dia sudah ampun dosa, Dia tidak tanya lagi dah kesalahan dan dosa yang mereka telah lakukan. Kalau kita sebagai manusia, walaupun kita dah maafkan seseorang, kita masih lagi ada tersisa rasa terkilan kita. Kita masih ingat lagi kesalahan yang dia telah buat kepada kita. Tapi Allah tidak begitu.

Sifat Rahim ini dikatakan oleh ulama dikhususkan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada selainnya. Kalau kita bukan seorang yang mukmin, berkemungkinan kita tidak dapat merasa nikmat Rahim Allah ini.

Kalau kita lihat susunan basmallah ini, kita boleh lihat bagaimana Allah memulakan penggunaan namaNya dari bentuk umum (nama Allah) kepada bentuk yang spesifik (ar-Raheem). Basmallah bermula dengan nama Allah – yang merangkumi seluruh sifat-sifatNya. Kemudian nama ar-Rahman – iaitu sifat Pemurah Allah yang diberikan kepada seluruh makhluknya. Kemudian lebih spesifik lagi adalah nama ar-Rahim – sifat pemurah Allah yang hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Begitu hebat sekali susunan Allah ini.

Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa basmalah adalah salah satu ayat dari Surah an-Naml. Tapi mereka berbeza pendapat samada basmallah itu ayat yang berdiri sendiri pada awal setiap surah atau sebahagian dari surah itu. Ataukah ianya salah satu dari setiap surat, atau sebahagian dari surah Fatihah sahaja. Ataukah basmalah yang ditulis di awal setiap surah itu hanya sebagai pemisah antara surah semata-mata dan bukan sebahagian dari ayat. Diantara ulama yang mengatakan bahawa basmalah adalah ayat dari setiap surat adalah Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Az-Zubair, Abu Hurairah dan Ali. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat bahawa basmalah itu bukan termasuk surah Fatihah dan tidak juga surat-surat lainnya. Bagi mereka yang mengatakan bahawa basmalah bukan sebahagian dari surat Fatihah, maka mereka tidak membacanya secara jahr (kuat) di dalam solat. Tapi ada juga yang tidak membacanya di awal surah kerana ada juga hadis yang mengatakan bahawa Nabi tidak membaca basmallah di awal surah. Tapi tidaklah terjadi perbezaan pendapat kerana semua ulama telah sepakat bahawa solat orang yang membaca basmallah dengan kuat atau dengan perlahan adalah sah.

Bacaan basmallah dianjurkan untuk dibaca dalam setiap perbuatan kita. Salah satu kehebatan basmallah adalah: ianya adalah satu perkataan yang tidak lengkap. Bagaimana pula satu perkara yang tidak lengkap adalah satu kebaikan? Apakah yang dimaksudkan ianya tidak lengkap? Ayat yang lengkap sepatutnya ada subjek dan predikat. Sebagai contoh, apabila ayat berbunyi “saya mahu pergi…”, ianya tidak lengkap kerana timbul persoalan, pergi ke mana? Jadi susunan basmallah tidak lengkap. Apabila kita sebut “dengan nama Allah”, ianya seperti tergantung. Itu adalah supaya ianya boleh digunakan dalam semua keadaan. Sebagai contoh, “dengan nama Allah, aku hendak makan”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan solat ini”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan membaca Quran ini” dan sebagainya. Itulah kehebatan basmallah.

Juga, apabila kita menyebut basmallah sebelum memulakan sesuatu, ianya seperti pernyataan dari kita bahawa kita buat sesuatu itu *hanya* dengan nama Allah. Tidak ada nama tuhan yang lain. Tidak dengan nama entiti yang lain. Jadi, ada elemen ikhlas disitu, dimana kita hanya menggunakan nama Allah sahaja. Ini keluar dari syirik. Kerana kalau kita rasa perbuatan kita itu ditolong atau dibantu oleh entiti lain, itu adalah satu perbuatan yang syirik.

Oleh itu, janganlah kita menggunakan perkataan-perkataan yang lain. Jangan kita katakan, sebagai contoh, “demi rakyat, kita melakukan ini dan itu”, atau kita kata, “dengan berkat tok syeikh ini dan itu, kita berjaya sampai ke sini dan sebagainya”. Itu adalah kata-kata yang salah.

Begitu juga, kalau kita faham makna basmalah ini, kita akan sedar bahawa setiap kali kita sebut basmallah dalam kita hendak memulakan sesuatu, kita sebenarnya berdoa kepada Allah. Maka, ianya adalah satu perkara ibadat. Kerana doa adalah ibadat.

Ianya adalah juga satu bentuk zikir. Kerana kita sentiasa ingat Allah dalam kita memulakan sesuatu. Walaupun pada zahirnya, perbuatan yang kita lakukan itu bukanlah satu bentuk ibadat yang khusus. Kalau solat, memang ianya ibadah yang khusus. Tapi bagaimana dengan makan, naik kenderaan, keluar rumah dan sebagainya? Dengan menyebut basmallah, kita telah memasukkan elemen zikir dalam amalan kita itu. Dengan sentiasa menyebut basmallah, kita telah melakukan zikir kepada Allah. Kerana kita ingat kepada Allah waktu itu. Oleh itu, semasa kita menyebutkan basmallah, hendaklah kita lahirkan dalam hati kita pemahaman bahawa kita sedang menyebut nama Allah disitu.

Apabila kita sedar perkara ini, secara automatik kita akan menilai samada perbuatan yang kita hampir buat itu adakah halal atau tidak. Sebagai contoh, tidak ada orang yang memulakan menghisap rokok dengan basmalah. Tidak ada orang yang menyebut basmallah sebelum berzina. Mereka sendiri tahu bahawa perbuatan-perbuatan itu bukanlah perbuatan yang mulia atau baik, maka mereka tidak menyebut basmalah sebelum memulakannya. Maka, sepatutnya, apabila kita sudah selalu menyebut bismillah dalam setiap perbuatan kita, kita akan rasa canggung apabila tidak dapat menyebut basmallah dalam perbuatan kita yang lain. Maka, sekurang-kurangnya itu dapat menghindar kita dari melakukan perbuatan yang maksiat.

Dengan sentiasa menyebut basmallah, akan timbul perasaan yang semakin sayang kepada Allah. Kerana kita sedar bahawa dengan pertolongan Allah lah segala usaha kita akan membuahkan hasil.


Ayat 2:

1:2

Sahih International

[All] praise is [due] to Allah , Lord of the worlds –

Malay

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Allah yang suruh kita baca ayat ini sebegini. Tapi sebenarnya, seperti ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”. Ibnu Jarir mengatakan ‘Alhamdulillah’ merupakan pujian yang disampaikan Allah untuk diriNya. Di dalamnya terkandung perintah kepada hamba-hambaNya supaya mereka memujiNya. Seolah-olah Dia mengatakan “Ucapkanlah, alhamdulillah.”

Jadi, ayat ini adalah ayat dimana Allah memuji DiriNya dan menyuruh hambaNya untuk memujiNya sebegitu juga.

Selalunya kitab terjemahan akan menerjemahkan ayat ini sebagai ‘Segala puji bagi Allah’. Tapi yang kami belajar ianya diterjemahkan begini:

الْحَمْدُ لِلَّهِ

Pujian itu, samada satu atau semua sekali adalah hanya milik Allah. Sesama kita manusia pun kita ada puji memuji, kepada sultan, orang alim, ibu bapa dan sebagainya. Tapi pujian yang sebenarnya hanya pada Allah. Hanya Allah sahaja yang layak dipuji. Jadi pujian kepada yang selain Allah tidaklah sama dengan pujian kita kepada Allah. Dari huruf ا dan لْ dimaksudkan untuk melengkapi bahawa segala macam jenis dan bentuk pujian itu, hanya untuk Allah semata.

Pujian ada banyak jenis:
1. Pujian Allah kepada diriNya
2. Pujian Allah kepada makhluk. Contohnya pujian Allah kepada Nabi.
3. Pujian makhluk kepada Allah. Ini sesuatu yang biasa.
4. Pujian makhluk kepada makhluk. Sebagai contoh, kita selalunya memuji orang lain kerana mereka cantik, pandai atau sebagainya.

Semua jenis pujian itu sebenarnya pulang balik kepada Allah. Kerana Allah lah yang menyebabkan semua itu terjadi. Contohnya jikalau kita memuji seseorang itu pandai, dia tidak pandai sendiri. Pandainya dia itu mungkin kerana guru yang pandai mengajar semasa dia di sekolah dulu. Atau ibu bapanya yang memantaunya menyebabkan dia rajin belajar. Bermakna, pujian yang diterima itu bukanlah kerana dia sendiri, tapi boleh disebabkan elemen lain. Tapi apabila kita memuji Allah, tidaklah Allah itu layak dipuji atas sebab-sebab yang lain, melainkan Dia sahaja.

Dan apabila kita memuji seseorang itu pandai sebagai contoh diatas, Allah lah sebenarnya yang menjadikan dia pandai. Maka, sebenarnya kita memuji Allah pada hakikatnya. Akhirnya, pujian itu berakhir dengan Allah juga.

Marilah kita lihat keindahan bahasa yang digunakan dalam Quran ini berkenaan perkataan ini. Perkataan الْحَمْدُ bukan hanya bermaksud ‘pujian’ sahaja. Ia sebenarnya mempunyai dua maksud: ‘pujian’ dan juga ‘terima kasih’. Dua-dua makna itu terangkum dengan indahnya dalam perkataan الْحَمْدُ itu. Kalau pujian, dalam bahasa Arab, ianya adalah ‘madh‘. Dan terima kasih dalam bahasa Arab adalah ‘syukr‘. Apabila dua perkataan itu digabungkan, ianya adalah الْحَمْدُ. Dengan menggunakan satu perkataan sahaja, sudah merangkum dua makna. Itulah indahnya bahasa Arab. Sebab itulah Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Dan sebab itulah kita sepatutnya belajar bahasa Arab supaya kita faham dengan lebih mendalam lagi Quran ini.

Dua-dua maksud itu perlu diletakkan bersama kerana dengan Allah, kita memujiNya dan juga kita berterima kasih kepadaNya. Dua-dua elemen itu kena ada sekali. Tapi, kalau dengan makhluk lain, kadang-kadang kita hanya berterima kasih, tapi kita tidak memujinya. Atau kita memujinya, tapi kita tidak berterima kasih kepadanya. Sebagai contoh, kalau kita lihat satu kereta yang cantik, kita mungkin memuji kereta itu, tapi tidaklah kita berterima kasih kepadanya – kerana kereta itu bukan kereta kita pun.

Ataupun ada masanya, kita berterima kasih, tapi kita tidak memuji. Sebagai contoh, bapa Nabi Ibrahim adalah pengukir berhala. Dia telah melakukan satu perbuatan yang amat sesat malah syirik. Nabi Ibrahim berterima kasih kepadanya kerana dia adalah bapa yang membesarkannya, tapi baginda tidak memujinya kerana perbuatan bapanya itu adalah syirik. Tapi, kepada Allah, dua-dua makna itu kena ada. Tidak pernah kita hanya berterima kasih tanpa syukur atau syukur tanpa pujian kepadaNya.

Kenapakah Quran tidak menggunakan perkataan madh dan syukr itu tapi menggunakan الْحَمْدُ? Iaitu, tidak digunakan ayat: ‘segala pujian dan terima kasih kepada Allah‘. Tidak dipecahkan satu persatu? Mungkin ada yang kata kalau begitu, lebih jelas kepada orang yang tidak faham bahawa dalam alhamdu itu ada dua makna. Tidak digunakan sebegitu kerana kalau digunakan ayat itu sebegitu, bermakna ada kemungkinan kadang-kadang kita puji Allah tapi tidak berterima kasih kepadaNya. Atau kadang-kadang kita berterima kasih kepadaNya, tapi tidak memujiNya. Itu tidak mungkin terjadi kerana dua-dua elemen itu sentiasa berhak untuk Allah. Tidak akan ada waktu dimana hanya ada salah satu sahaja.

Dan penggunaan madh kalau berdiri sendiri itu tidak sesuai digunakan untuk Allah. Kerana madh juga digunakan untuk perkara yang tidak benar. Atau tidak ikhlas. Sebagai contoh, kita lihat dalam sejarah, banyak pujian telah diberikan kepada pemimpin-pemimpin. Tapi kita tahu, bahawa pujian itu tidak semestinya benar. Kadang-kadang pemimpin itu memaksa orang menulis yang baik-baik sahaja tentangnya. Atau kadang-kadang orang yang menulis itu melebih-lebihkan pujian kepada pemimpin yang berkuasa waktu itu supaya dia mendapat imbuhan atau selamat dari kejahatan pemimpin itu. Oleh itu, madh juga boleh digunakan untuk perkara yang tidak benar. Oleh itu, ianya tidak sesuai digunakan untuk Allah, kerana Allah memang layak dan berhak dipuji. Ianya adalah satu kebenaran yang hakiki. Maka, perkataan yang amat sesuai digunakan untuk Allah adalah الْحَمْدُ.

Kalau kita gunakan syukur sahaja dalam fatihah juga tidak sesuai. Kita selalunya akan berterima kasih jikalau seseorang telah melakukan satu kebaikan kepada diri kita. Contohnya, seseorang memberi kita minum. Ianya adalah satu tindakbalas dari perbuatan orang itu – dia memberi dan kita berterima kasih kepadanya. Tapi perkataan الْحَمْدُ tidak semestinya kena tunggu seseorang telah memberikan kita sesuatu. Kerana Allah telah memberikan segala-galanya kepada kita. Sebelum kita minta pun Allah sudah beri keperluan kepada kita. Sebelum kita pandai meminta pun lagi – kerana semasa kita bayi, kita tidak pandai meminta lagi, tapi Allah telah berikan segala keperluan kepada kita.

Oleh itu, kita kena ingat, bahawa perkataan الْحَمْدُ yang digunakan bermaksud – segala puji dan syukur. Allah tidak meletakkan ayat ‘pujilah Allah’. Kerana jikalau kita memberikan arahan kepada seseorang, orang itu ada dua pilihan – samada dia mengikuti arahan itu atau tidak. Bermakna, orang itu boleh tidak memuji dan berterima kasih kepada Allah. Tentulah tidak sesuai kalau kita ada pilihan untuk tidak memuji dan berterima kasih kepada Allah. Tapi itu tidak jadi masalah jikalau perkataan yang digunakan adalah الْحَمْدُ – ianya bukan dalam bentuk arahan. Kerana arahan boleh ditolak lagi. Ianya adalah satu hakikat kebenaran.

Perkataan الْحَمْدُ adalah satu katanama – noun. Bukan kata kerja – verb. Kerana jikalau ianya adalah katakerja, ianya memerlukan ‘pembuat’. Contohnya, satu perkataan itu tidak lengkap jika begini: “makan nasi”. Kita perlu meletakkan siapakah yang makan nasi itu. Jadi, ayat yang lengkap adalah “Ahmad makan nasi”. Bermakna, katakerja memerlukan pembuat kepada perbuatan itu. Tapi, perkataan الْحَمْدُ bukanlah katakerja, tapi dalam bentuk katanama. Ianya tidak memerlukan pembuat. Bermakna, pemujian kepada Allah tidak memerlukan pembuat. Jikalau tidak ada makhluk yang hendak memuji dan berterima kasih kepada Allah pun tidak mengapa, kerana Allah tetap terpuji dan tempat untuk berterima kasih. Kalaulah dalam alam ini tiada langsung makhluk yang Allah cipta, masih lagi Allah mempunyai sifat terpuji itu.

Allah berhak dan layak menerima pujian dan syukur. Kita berterima kasih kepada Allah atas segala-galanya. Semua yang dilakukanNya adalah Maha hebat. Apabila kita menjadi insan yang sentiasa memuji dan bersyukur kepada Allah, ianya akan mengubah hidup kita. Kita hendaklah berterima kasih kepada Allah dalam keadaan senang atau susah. Selalunya kita tidak ada masalah untuk memuji dan berterima kasih kepada Allah dalam senang. Tapi selalunya kita ada masalah nak berterima kasih kepada Allah dalam susah. Itu adalah masalah kita. Sebenarnya dalam keadaan susah pun kita kena mengucap الْحَمْدُ juga. Kerana itulah hubungan kita dengan Allah. Hendaklah kita memuji dan berterima kasih kepada Allah dalam setiap keadaan. Alhamdulillah ala kulli hal – segala puji dan syukur kepada Allah dalan setiap keadaanItulah permulaan untuk mengenal agama. Ulama mengatakan mula agama adalah mengenal bahawa Allah itu layak dipuji dan layak disyukuri. Yang mempunyai masalah untuk mengucapkan الْحَمْدُ adalah mereka yang tidak mempunyai agama. Sebagai contoh, orang atheist yang tidak ada agama, mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa ada satu entiti yang layak dipuji dan disyukuri. Mereka rasa bahawa tidak ada Tuhan yang menjadikan mereka, tidak ada Tuhan yang mengurus hal mereka. Mereka ingat semuanya terjadi dengan sendiri. Ini adalah satu pandangan akal yang amat bodoh sekali.

اللَّهِ

Allah mempunyai banyak nama, tapi Allah menggunakan namaNya اللَّهِ dalam ayat ini. Ayat ini adalah dalam surah al-Fatihah, pembuka kepada Quran. Surah Fatihah juga adalah pengenalan kepada Allah. Kalau ada manusia yang hendak mengenal siapakah Tuhan, kita boleh bacakan surah Fatihah ini sebagai permulaan untuk mereka mengenal Allah. Kerana beginilah Allah telah meletakkan cara untuk mengenal DiriNya. Maka, kalau begitu, hendaklah kita mengikut caraNya.

Allah mempunyai banyak nama – ar-Rahman, ar-Rahim, al-Malik, al-Mukmin dan berbagai-bagai lagi. Itu semua adalah ‘sifat-sifat Allah’. Bayangkan, kalau orang bertanya siapakah kita apabila pertama kali bertemu, apakah kita akan cakap? Tentulah kita akan memperkenalkan diri kita dengan nama kita. Kita akan jawap: “Nama saya Husna”, contohnya. Kita tidak terus kata: saya peguam. Kerana peguam itu adalah pekerjaan kita. Oleh itu, Allah tidak memperkenalkan DiriNya dengan sifat-sifatNya, tapi dengan NamaNya.

Dalam kita memuji Allah, kita tidak menggunakan sifatNya sahaja. Kerana kalau kita memujiNya dengan menyebutkan NamaNya ar-Razak, kita hanya menyentuh sifatNya yang memberi rezeki. Lalu bagaimana dengan yang lainnya? Oleh itu, apabila kita memuji Allah dengan menggunakan perkataan الْحَمْدُ لِلَّهِ, kita telah merangkumi semua sifat-sifatNya yang mulia itu. Ianya adalah satu pernyataan yang sempurna.

Ucapan alhamdulillah ini sangat bernilai. Ianya lebih bernilai dari apa-apa sahaja. Termasuk perkara yang kita dapat sampaikan kita mengucapkan alhamdulillah. Katakan kita dapat satu nikmat dari Allah – sebagai contoh, ada orang beri kita duit. Kita pun memuji dan mengucap syukur kepada Allah dengan berkata: alhamdulillah. Ucapan itu lebih bernilai dari wang yang kita dapat itu. Kerana wang itu akan habis, tapi ucapan alhamdulillah itu akan ditulis di dalam Kitab Amalan kita dan akan kekal sampai bila-bila.

Mengucapkan alhamdulillah juga adalah satu nikmat pemberian yang Allah berikan kepada kita. Yang tidak diberikan kepada semua makhlukNya. Tidak semua makhluk mengucapkan alhamdulillah. Orang kafir langsung tidak cakap alhamdulillah. Orang Islam pun, kalau mereka bukan jenis yang belajar, jenis yang halus hatinya, pun tidak mengucapkan alhamdulillah atas setiap nikmat yang mereka terima. Mungkin kadang-kadang sahaja dia mengucapkannya. Kita pun, kadang-kadang terlupa hendak mengucapkan alhamdulillah. Mungkin kerana kita terlupa, kita tidak sedar atau sebagainya. Bayangkan, Allah beri nikmat kepada semua makhlu, tapi tidak semua makhluk mengucapkan perkataan yang mulia ini.

Beza dengan kata-kata pujian lain

1. Selain dari الْحَمْدُ لِلَّهِ, kita juga pernah dengan kata-kata pujian ini digunakan dalam susunan yang lain. Sebagai contoh, ada juga digunakan perkataan sebegini: ان الحمد لله. innalhamdu lillah. Makna perkataan ini adalah: Sesungguhnya, tidak syak lagi, segala puji dan syukur itu untuk Allah. Apakah beza dengan menggunakan الْحَمْدُ لِلَّهِ? Bukankah nampak macam perkataan ان الحمد لله itu lebih kuat lagi? Kerana ada perkataan ‘inna’ itu yang bermaksud ‘sesungguhnya, tidak syak lagi’. Ianya selalu digunakan dalam Quran sebagai satu penekanan dalam bahasa. Bukankah kalau lebih kuat ianya lebih baik?

Bahasa Quran tidak begitu. Bahasa Quran menggunakan bahasa yang tepat pada waktunya dan menyampaikan apa yang hendak disampaikan kena pada tempatnya. Ada masanya kita menggunakan perkataan dan bahasa yang lain untuk menyampaikan maksud kita. Kadang-kadang kita bercakap untuk menyampaikan maklumat. Kadang-kadang pula kita bercakap untuk menyampaikan emosi kita. Sebagai contoh, apabila kita mengatakan bahawa Allah itu layak disembah kepada seseorang yang lain, kita memberi penekanan kepada orang itu. Kerana kita memberi maklumat kepadanya. Tapi kalau kita hampir dilanggar kereta, dan kita selamat, kita akan sebut الْحَمْدُ لِلَّهِ sahaja. Itu adalah penyampaian kata-kata dalam bentuk emosi. Menyatakan betapa kita bersyukur kerana kita selamat. Tidak sama kalau kita hendak menyampaikan maklumat.

Kita menggunakan penekanan dalam bentuk ‘inna’ apabila orang yang kita bercakap itu mungkin tidak tahu atau tidak yakin. Sebab itu kita tambah penekanan dalam ayat itu. Tapi, dalam surah Fatihah ini, penggunaan kata الْحَمْدُ لِلَّهِ adalah kepada manusia yang sedar tentang Allah. Mereka tidak akan menentang pernyataan itu. Itu adalah jikalau mereka tidak menentang fitrah kejadian asal mereka yang memang telah mengenal Allah dari alam roh lagi. Ini mengambil kira fitrah kejadian manusia adalah sudah mengenal Allah. Jadi, dalam surah Fatihah ini, tidak sesuai jikalau digunakan perkataan ‘inna’ itu kerana seperti kita bercakap dengan orang yang tidak terima Allah yang layak dipuji dan disyukuri.

2. Ada satu lagi penggunaan kata ini yang disusun dalam bentuk yang lain, yang kita biasa dengar. ولله الحمد. wa lillahil hamd. Maksudnya: dan kepada Allah segala puji dan kesyukuran. Kali ini menggunakan ayat-ayat yang sama tapi penggunaan susunan yang terbalik. Ini adalah normal dalam penggunaan nahu bahasa Arab. Apabila digunakan susunan yang seperti ini, ianya bermaksud *hanya* kepada Allah segala pujian. Bermakna, ada penambahan makna *hanya* dalam ayat itu. Dalam Quran dalam surah lain pun ada digunakan kata sebegini – dalam surah Jaatsiyah. Tapi maksud ayat itu adalah untuk berdebat dengan mereka yang mengamalkan syirik. Orang yang mengamalkan syirik ini, ada yang memang menyembah Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka menyembah juga benda yang lain. Macam orang kita lah juga – sembah Allah tapi dalam masa yang sama, sembah Nabi, wali dan malaikat. Maka, amatlah sesuai kalau digunakan penekanan kata ‘hanya’ itu kerana hendak menyampaikan bahawa ‘hanya’ Allah sahaja yang layak kita puji dan bersyukur. Yang lain-lain kena tolak. Tapi bukan maksud itu yang hendak disampaikan dalam surah Fatihah. Surah Fatihah adalah tempat Allah memperkenalkan DiriNya dan tidak hendak memperkatakan tentang sembahan-sembahan lain. Allah tak mahu pun nak sebut tentang sembahan-sembahan lain dalam surah Fatihah ini.

رَبِّ

Dialah pencipta, pemilik, pengurus, pentadbir segala-galanya;

Makna Rabb bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Kalau kita hanya faham setakat bermaksud ‘Tuhan’ sahaja, maka kita tidak mendapat pemahaman yang mendalam tentang maksud ‘rabb’ itu.

Antara beberapa makna yang boleh diambil dari makna ‘rabb’ itu:

  1. Maalik – Pemilik
  2. Sayyed – yang mengurus
  3. Murabbi – yang menjaga
  4. Mul’im – yang memberi pemberian
  5. Qayyim – yang menyebabkan semua itu berdiri. Kalau tanpa Allah yang menyebabkan semua perkara berdiri, maka alam ini tiada.

Semua yang diatas adalah maksud yang sekunder, makna yang utama adalah ‘Tuan’. Allah adalah ‘tuan’ kepada alam ini. Tuan yang sebenar-sebenar tuan. Lihatlah bagaimana Allah tidak hanya meletakkan namaNya – Allah – sahaja, tapi Dia telah menambah dengan menerangkan apakah hubungan antara kita dan Dia. Dia adalah Rabb dan kita adalah hambaNya.

Tahukah anda apakah ringkasan seluruh Quran itu? Ianya adalah Allah adalah Rabb dan kita adalah hambaNya. Yang selain dari itu adalah hal sekunder.

Apakah maksud ‘tuan’. Seorang yang memiliki sesuatu, boleh berbuat apa sahaja dengan barang itu. Sebagai contoh, kalau kita mempunyai satu telefon, kita boleh buat apa yang kita suka dengan telefon itu. Sebab telefon itu adalah harta kita. Kalau telefon itu sudah tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya, tentulah kita akan buang telefon itu kan? Jadi, sebagai pemilik kita, tidak bolehkah Allah berbuat sesukaNya dengan kita? Apakah akan jadi dengan kita nanti kalau kita tidak berbuat seperti apa yang dia suruh kita buat? Tidak mengikut arahanNya? Allah boleh sahaja beri azab kepada kita dan memasukkan kita ke dalam neraka. Itu adalah hakNya sebagai tuan kita.

Tapi sifat Allah sebagai tuan tidak sama dengan tuan-tuan yang lain. Kalau seorang hamba dengan tuannya, tidak semestinya hamba itu sayang kepada tuannya. Tapi kita lain pula – kita sayang dan cinta kepada Allah. Begitulah yang sepatutnya.

Hamba kepada tuan yang lain, tidak memuji tuannya itu, tapi kita sentiasa memuji Allah sebagai tuan kita. Kerana Allah tidak sama dengan tuan-tuan yang lain. Allah sentiasa memberi dan tetap memberi dan memberi.

Seorang tuan memiliki seorang hamba dengan sepenuhnya. Bukan macam pekerja kita. Kalau pekerja kita, kita hanya boleh suruh dia buat kerja dalam waktu pejabat sahaja. Dan buat kerja pun hanya dalam perkara yang dia sepatutnya buat sahaja. Kalau dia akauntan, kita tidak boleh suruh dia sapu sampah, bukan? Tapi kalau seseorang itu hamba, dia sentiasa berkhidmat dengan tuannya setiap masa, dan dalam setiap pekerjaan yang disuruh.

Masih lagi perbandingan hamba dan tuan. Seorang hamba, kalau tuannya tidak ada, mungkin dia akan mengelat dan buat benda lain – benda yang tuannya tidak suruh. Maknanya, dia sudah menyimpang. Begitu jugalah kita, kalau kita lupa kepada Allah, tidak rasa Allah melihat kita, kita akan buat perkara-perkara yang menyimpang dari agama. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa ingat kepada Allah. Ingatlah bahawa Allah sentiasa memerhati kita.

Allah berkuasa penuh ke atas kita. Kalau kita memiliki sesuatu harta, tidak semestinya kita boleh berbuat sesuka hati kita dengan harta itu. Sebagai contoh, rumah kita. Kita tidak boleh nak perbesarkan rumah kita dengan sewenangnya, kita kena dapatkan permit untuk membesarkan rumah kita. Tapi tidak dengan Allah.

Kalau kita ada harta, tidak semestinya kita menjaganya. Sebagai contoh, kalau kita ada rumah, kita tidaklah menjaganya sentiasa. Kita biarkan sahaja selalunya. Tidaklah kita duduk di rumah itu membersihkannya sentiasa. Rumah itu pun tidak memerlukan kita buat begitu. Allah bukan sahaja memiliki kita, tapi Dia juga menjaga kita sepenuhnya. Setelah Allah menciptakan segalanya, Dia juga akan akan menguruskannya. Untuk kita memahami maksud ini, katakanlah kita tangkap seekor burung dan kita letak dalam sangkar. Tentulah kita yang kena pelihara dan beri burung itu makan sebab dia dah tak boleh cari makan sendiri. Itu baru kita ‘milik’ sahaja, bukan kita cipta dia, kita sudah kena beri dia makan. Oleh kerana Allah dah cipta manusia, Dia juga yang akan beri makan kepada kita.

Bukan itu sahaja, Allah telah menjadikan dunia ini untuk kemudahan kita. Dia ciptakan gunung ganang, sungai, dan sebagainya untuk kita. Tidak terkira banyaknya nikmat yang telah Dia berikan kepada kita. Tidak pernah Dia tanya kita adakah cukup apa yang telah Dia berikan kepada kita. Kerana Dia tahu apa yang kita perlukan dalam kehidupan kita dan Dia telah berikan segalanya. Ciptaan Allah itu tidak meniru dari sesuatu ciptaan lain. Tidak sama kalau kita kata manusia mencipta. Macam kita, apabila kita hendak cipta sesuatu, kita memerlukan contoh. Penciptaan Allah tidak memerlukan contoh apa pun. Allah membuat sesuatu dari tidak ada kepada ada. Macam kita, tidak begitu. Kita kalau kita buat kereta, kita memerlukan besi, getah, aluminium dan sebagainya yang telah ada dalam alam ini.

Kita sentiasa meminta kepada Allah dengan cara berdoa atau tidak. Kita memerlukan Allah dalam segenap hal. Kalau seorang hamba dengan tuannya pun, memerlukan sesuatu keperluan dengan tuannya. Tapi kalau kita selalu meminta, tentulah tuan itu pun tidak suka. Tidak dengan Allah – malah Allah lebih suka kalau kita sentiasa meminta kepadaNya. Kerana itu menunjukkan kita mengharap kepadaNya.

Kalau Allah memberi kepada kita, tidaklah dia memerlukan balasan dari kita. Sebagai contoh, kalau seseorang memberi bantuan kepada kita, atau memberi hadiah kepada kita, sedikit sebanyak tentu ada pengharapan dia kepada kita. Sekurang-kurangnya, mungkin dia mengharap supaya kita berbaik dengannya, layan dia dengan baik dan sebagainya. Tapi tidak dengan Allah. Allah boleh beri sahaja tanpa mengharapkan apa-apa dari kita.

Dalam Allah memberi, Dia akan memberi apa yang kita perlukan. Kadang-kadang kita minta sesuatu yang tidak sesuai dengan kita, maka Allah akan berikan benda lain yang elok untuk kita. Kerana Allah amat kenal dengan kita, lebih kenal dari kita kenal diri kita sendiri. Sebelum kita minta pun Allah dah tahu apa yang kita perlukan.

Dan Dia tidak berkongsi dengan sesiapa dalam mengurus alam ini. Dia sendiri-sendiri sahaja. Tidak langsung memerlukan sesiapa jua pun. Tidak mungkin Dia mempunyai sekutu dalam urusan kerajaanNya. Hakikat ini terdapat di dalam ayat Isra'(17):111

17:111

Malay

Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!”

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ

Dan katakanlah pujian itu hanya milik Allah.

الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا

Yang tidak mungkin mengambil anak angkat; Dulu, sekarang dan akan datang, Allah tidak akan mengambil anak angkat. Maksud ‘anak angkat’ adalah sesuatu entiti yang rapat dengan Allah, maka kita sangka kalau kita minta kepada ‘anak angkat’ itu, dia akan sampaikan permintaan kita itu kepada Allah. Itu adalah satu pemahaman yang salah. Yang sebenarnya, tidak ada perantaraan dalam berdoa kepada Allah atau apa yang dinamakan ‘tawassul’ dalam berdoa kepadaNya. Inilah salah faham yang telah dilakukan oleh orang Kristian. Mereka minta tolong kepada Nabi Isa, kerana mereka kata Nabi Isa adalah ‘anak Tuhan’. Walaupun kita tidak berdoa kepada Nabi Isa macam orang Kristian, tapi kita ada juga menggunakan perantaraan yang lain. Sebagai contoh, ramai antara orang Islam yang apabila berdoa akan berkata: “Dengan berkat Nabi Muhammad”, dan berbagai-bagai lagi contoh tawasul yang mereka gunakan. Maka, kalau kita buat begitu, kita sama sahaja macam orang Kristian.

وَلَمْ يَكُنْ لَهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ

Dan tidak mungkin Allah itu ada sesiapa yang berkongsi dalam kerajaanNya; Tidaklah tatkala Dia hendak mencipta Nabi Adam, Dia tanya kepada Jibrail, “elok tak Aku nak cipta Nabi Adam?”. Dan Allah tidak pernah tanya boleh tak Dia nak buat sesuatu kepada Nabi Muhammad. Apa yang Dia hendak buat, Dia akan buat.

Dan tidaklah Allah meminta tolong kepada sesiapa untuk buat sesuatu. Contohnya, satu bahagian Allah buat, satu lagi entiti lain yang buat. Tidak sama sekali. Semuanya telah dicipta dan dibuat oleh Allah SWT.

وَلَمْ يَكُنْ لَهُ وَلِيٌّ مِنَ الذُّلِّ

Dan tidak mungkin ada bagi Allah itu penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya

Tidaklah Allah itu ada sedikit kelemahan pun sampai Dia memerlukan pertolongan dari sesiapa pun. Tidaklah sama macam kita yang memerlukan pertolongan dari orang lain dalam sesuatu pekerjaan yang kita lakukan kerana kita lemah, kita memerlukan bantuan. Allah tidak begitu.

وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا

Maka bertakbirlah dengan mengagungkan Tuhan dengan sebanyak-banyaknya.

Maka, Allahlah Maha Pencipta. Sebagai bandingan, kita selalu dengar negara ini adalah pencipta kereta Proton Saga. Tapi komponen-komponen kereta itu ada yang kita ambil dari Korea, Jepun, China dan sebagainya. Tapi Allah tidak begitu cara penciptaanNya. Bahan mentah untuk buat sesuatu itu pun Allah juga yang cipta. Semua sekali Dia yang cipta. Lepas Dia cipta makhluk, bahan makanan untuk ciptaan Dia pun Dia yang berikan. Lepas Dia beri bahan untuk melangsungkan kehidupan itu, tidaklah Dia tanya balik adakah cukup atau tidak. Sebab Dia Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh makhlukNya.

Dalam kehidupan kita ini, banyak masa yang kita gunakan adalah untuk hidup. Mungkin kita hanya mengambil masa selama sejam sahaja dalam kehidupan seharian kita untuk beribadat khusus kepada Allah. Selebihnya kita gunakan masa yang diberikan untuk menjalani kehidupan biasa. Jadi, tidaklah banyak masa kita beribadat kepada Allah. Tetapi Allah yang Maha Kaya dan Maha Pengampun, di akhir hayat kita, Dia akan hanya kira samada kita beriman atau tidak. Ada empat jenis manusia dalam dunia ini:

Golongan pertama adalah orang yang lahir dalam Islam dan kekal sampai mati dalam Islam. Dia akan masuk ke dalam syurga.

Golongan kedua, lahir dalam Islam, hidup cara Islam, tapi mati dalam kafir. Dia ahli neraka.

Golongan ketiga, lahir dalam kafir, cara hidup kafir, mati pun dalam kafir juga. Dia akan kekal dalam neraka.

Golongan keempat adalah beranak dalam kafir, hidup dalam kafir, tapi di hujung hayatnya, dia mati dalam Islam. Dia kekal hidup dalam syurga.

Ini menunjukkan Allah mengira penghujung hayat manusia itu. Adakah dia mati dalam Islam, atau dia mati dalam kafir?

Allah boleh beri hidayah kepada sesiapa yang Dia hendak. Alhamdulillah kita sudah dilahirkan dalam Islam. Tapi, pernahkah kita tanya kepada saudara muallaf kita, kenapakah mereka masuk Islam? Ada yang kata mereka masuk Islam kerana mereka tertarik dengan Islam. Dengan macam-macam cara mereka jadi tertarik. Ada yang tertarik dengan dengar azan. Ada yang tengok orang Islam solat berjemaah, dia suka dan akhirnya dia masuk Islam. Ada yang masuk kerana pergaulan baik mereka dengan orang Islam. Ada yang dengar benda yang tidak elok tentang Islam dan kerana mereka hendak tahu tentang Islam, mereka kaji Islam. Dan akhirnya mereka tahu apa itu Islam dan akhirnya mereka masuk Islam juga. Itulah yang terjadi selepas kejadian 9/11 di Amerika.

Cara hidayat yang Allah beri macam-macam jenis. Tapi ada yang datang belajar agama, tapi hidayat tidak masuk dalam hati mereka. Pergi kelas sama-sama dengan kawan-kawan yang lain, tapi dia tidak faham apa yang hendak disampaikan. Allahlah yang memberi kita kefahaman. Mereka yang menerima hidayat itu adalah orang yang hatinya ada kecondongan kepada kebenaran. Dalam hati mereka inginkan kebenaran. Walaupun mereka itu orang kafir.

—————— kembali kepada surah Fatihah———————–

الْعَالَمِينَ

Bagi sekelian alam

Bukanlah bermaksud alam ini. Tapi yang dimaksudkan adalah manusia dan jin. Kerana kalau dimaksudkan seluruh alam ini, seperti planet, bulan, matahari dan sebagainya, perkataan lain yang digunakan. Dari satu segi, memang perkataan aalamin ini termasuk dengan sekalian alam. Tapi makhluk seperti itu tidak diambil kira samada mereka akan dimasukkan dalam syurga dan neraka. Jadi yang hanya dikira adalah manusia bermula dari Nabi Adam hingga manusia yang terakhir dan jin adalah dari Iblis sampai keturunannya yang terakhir. Manusia dan jin lah yang akan dikira hisab amalan mereka dan mereka akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang mereka telah lakukan. Dan surah Fatihah ini adalah tentang hubungan antara makhlukNya yang mukallaf (yang telah diberikan dengan tanggungjawab menjaga hukum) dan Allah. Ianya tidak terkeluar dari hubungan itu. Ianya bukanlah tentang alam semesta – planet, bulan, matahari dan lain-lain. Ianya adalah tentang hambaNya. Dari generasi ke generasi. Semuanya adalah hambaNya. Semuanya mempunyai tanggungjawab yang sama. Tidak kira dia dari bangsa mana, keturunan mana, tua atau muda. Semuanya sama. Kalau kita melihat diri kita semuanya adalah sama sahaja di hadapan Allah, maka tidak ada lagi kasta, tidak ada racism, tidak ada lagi pemikiran nationalistic. Semuanya tentang Allah dan tanggungjawab kita yang sama untuk menjadi hambaNya.

Nisbah jin dengan kita adalah mereka sembilan kali ganda lagi ramai dari kita. Umur mereka panjang. Mereka akil baligh selepas umur 300 tahun, kita pula akil baligh pada umur 15 tahun. Ada satu kisah dimana seorang sahabat pergi melawat tempat peninggalan Kaum Aad. Dia masuk ke dalam satu bilik dan nampak seorang lelaki sedang sembahyang. Besar badannya, tapi sahabat itu lagi takjub dengan pakaiannya yang bersulam cantik. Lalu sahabat itu bertanya kepada jin itu. Jin itu memberitahu dia adalah salah seorang dari jin yang yang disebut dalam surah Jin. Dia adalah salah seorang yang mendengar bacaan Nabi Muhammad yang diceritakan dalam surah Jin itu. Dan pakaiannya yang dipakai itu dia pakai sewaktu dia jumpa Nabi Isa. Dia sebelum itu adalah pengikut syariat Nabi Musa. Maknanya, dia telah pernah jumpa Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Begitulah lamanya mereka hidup. Yang kita panggil toyol itu adalah anak jin sebenarnya. Apabila jin itu kafir, mereka dipanggil syaitan. Yang kita panggil Langsuir, Pontianak dan sebagainya adalah jin-jin yang telah dilempar dengan bola api oleh malaikat. Mereka dah jadi gila selepas kena lontaran bola api itu. Dan yang gila itulah yang mengusik manusia. In sha Allah nanti akan diceritakan dengan lebih lanjut tentang jin dalam surah Jin nanti.

Dari segi bahasa, ‘alam’ bermaksud ‘tanda’. Alam ini adalah sebagai tanda kepada kewujudan Allah. Takkan alam ini terjadi dengan sendirinya? Apabila kita lihat satu benda, sebagai contoh, kerusi yang cantik, tentu kita sudah tahu bahawa mesti ada pembuat kerusi itu. Takkan kerusi itu terjadi dengan sendiri? Maka, begitulah dengan alam ini. Kalau alam yang sebegini indah, takkan tidak ada yang menjadikannya? Jadi, kalau kita memikirkan dengan mendalam, maka kita akan sampai kepada satu keputusan bahawa adanya Tuhan yang menjadikan alam ini.

Allah menyebut bahawa Dia adalah Tuhan kepada ‘alam ini’. Bermakna, Allah Tuhan kepada semuanya sekali. Tidak ada separuh-separuh. Allahlah Tuhan kepada orang Islam, orang Yahudi, Buddha, atheist dan semua sekali. Walaupun mereka tidak menerima Allah sebagai Tuhan, tapi Allah tetap Tuhan mereka. Tidaklah benar ada agama yang mengatakan tuhan mereka untuk mereka sahaja. Itu tidak benar. Kalau satu entiti itu adalah tuhan, tentu dia adalah tuhan kepada semuanya sekali.

Dalam perkataan rabbil aalamiin, Allah membezakan antara ‘rabb’ dan ‘alam’. Ini bermakna, ada perbezaan antara Tuhan dan alam ini. Ini menolak pendapat yang mengatakan alam ini adalah Tuhan. Begitu juga menolak pendapat yang mengatakan bahawa makhluk boleh bergabung dengan Tuhan. Antara yang berkata begitu adalah fahaman sufi yang mengandaikan pernyatuan makhluk dengan Tuhan – mereka namakan pemahaman sesat ini dengan panggilan: wahdatul wujud. Itulah fahaman sesat yang diajar di dalam pengajaran tasawwuf. Semoga kita terselamat dari mereka.

Allahu a’lam.


Lompat ke ayat yang seterusnya:

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 001: al-Fatihah and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

12 Responses to Tafsir Surah al-Fatihah Ayat 1 – 2

  1. Bib says:

    Terima kasih atas Tafsiran surah Mohon copy bagi rujukan sendiri sangat memberi manafaat dan dapat memahami dengan lebih mendalam maknanya

  2. Pingback: Tafsir Surah Zumar Ayat 68 – 75 | Tafsirsunnah's Blog

  3. khairina says:

    Terima kasih.Mohon copy dan share🙂

  4. asiah says:

    terima kasih. mohon share

  5. Sanggoro Api says:

    kurang jelas dgn ayat ini.. boleh huraikan lebih dlm…

    Ia juga disebut dipanggil dengan sebutan al-Hamdu kerana Nabi ada meriwayatkan firman Allah dalam hadis Qudsi: “Aku membahagi solat antara diriKu dan hambaKu menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah berfirman; Aku telah dipuji oleh hambaKu.”

    Ia juga disebut ar-Ruqyah kerana ada satu hadis yang meriwayatkan sahabat telah menjampi (ruqyah) seseorang yang terkena sengatan, maka Nabi bersabda: “Dari mana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu adalah ruqyah?”

    • tafsirsunnah says:

      1. salah satu nama surah Fatihah adalah ‘al-hamdu’ kerana singkatan dari perkataan alhamdulillah.
      2. Fatihah adalah salah satu dari ayat-ayat yang boleh digunakan untuk perubatan. Jelas bagaimana ada sahabat yang menggunakan ayat ini untuk mengubat orang yang sakit. Dan Nabi telah memberi persaksian bahawa ianya adalah benar.

  6. Mohd salehuddin says:

    Alhamdulillah…tafsir yg sangat baik dan sy mohon izin utk sy ambil bahagian2 tertentu dari tafsir utk sy sebarkan kpd keluarga dan sahabat2.tk

  7. sidratulbaie says:

    Terima kasih tuan atas ilmunya, saya mohon untuk dikongsikan kepada teman saya yang lain

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s