Tafsir Surah Yaasin Ayat 75 – 83

Ayat 75:

لا يَستَطيعونَ نَصرَهُم وَهُم لَهُم جُندٌ مُحضَرونَ

Sahih International

They are not able to help them, and they [themselves] are for them soldiers in attendance.

Malay

Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

 

 

لَا يَسْتَطِيعُونَ

Mereka tidak mampu;

Iaitu mereka-mereka yang disembah itu. Samada Nabi, Wali atau Malaikat. Itulah entiti-entiti yang mereka puja dan beri salam pada waktu malam-malam itu.

 

نَصْرَهُمْ

untuk menolong mereka; samada Nabi, wali, malaikat atau apa sahaja sembahan selain dari Allah, tidak mampu menolong orang-orang yang menyembah, menyeru mereka dahulu semasa di dunia. Yang memuja mengharap supaya yang dipuja boleh memberi pertolongan di dunia dan akhirat, tapi mereka yang dipuja itu tidak mampu hendak memberi pertolongan kalau mereka mahu pun. Tapi yang sebenarnya, yang dipuja itu pun tidak tahu mereka dipuja. Yang mereka puja sebenarnya adalah jin sahaja. Ini telah disebut dalam ayat yang lain.

 

وَهُمْ لَهُمْ جُنْدٌ مُحْضَرُونَ

Mereka dijadikan untuk mereka sebagai tentera-tentera;

Sembahan-sembahan itu akan dibawa hadir sebagai saksi untuk memasukkan mereka ke dalam neraka.

Yang menyembah selain Allah itu ingatkan yang dipuja itu akan dapat membantu mereka, tapi yang terjadi adalah sebaliknya. Nanti di akhirat mereka yang dipuja itu akan menjadi saksi untuk mengatakan kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang memuja itu.

Yang disembah itu akan beratur dalam saf yang panjang melihat sahaja mereka yang memuja itu diseksa dalam neraka nanti. Ianya adalah untuk menambahkan kesesalan kepada mereka. Dahulu entiti-entiti itulah yang mereka sembah semasa di dunia. Tapi sekarang mereka hanya melihat sahaja. Bayangkan pedih dan sakitnya hati kita kalau orang yang kita harapkan menolong kita, tapi mereka melihat sahaja kita diwaktu kita memerlukan mereka.

Makna menyembah itu bukanlah hanya bermakna menyembah seperti orang kafir menyembah berhala itu. Kalau kita memuja, memberi salam dan menghadiahkan fatihah kepada entiti-entiti itu, itu pun sudah dikira ‘menyembah’. Kerana kita disuruh beribadat kepada Allah sahaja – seperti sembah, zikir dan puja. Tapi apabila kita melakukan perbuatan dalam bentuk ibadat kepada entiti-entiti itu, ianya dikira sebagai perbuatan sembahan juga.

will be brought: مُحْضَرُونَ


 

Ayat 76: Ayat ini adalah pujukan kepada Nabi

فَلا يَحزُنكَ قَولُهُم ۘ إِنّا نَعلَمُ ما يُسِرّونَ وَما يُعلِنونَ

Sahih International

So let not their speech grieve you. Indeed, We know what they conceal and what they declare.

Malay

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.

 

 

فَلَا يَحْزُنْكَ قَوْلُهُمْ

Maka janganlah mendukacitakan kamu perkataan-perkataan hina mereka kepada kamu;

Allah memujuk Nabi Muhammad: jangan kamu bersedih dengan kata-kata mereka itu. Allah nak pujuk hati Nabi dan para pendakwah sebab Nabi Muhammad adalah seorang yang sensitif. Dia tahu apakah yang akan terjadi kepada kaumnya kalau mereka menolak ajakan tauhid itu. Dia sayangkan kaumnya. Oleh itu dia bersedih sangat. Sebab itu Allah pujuk Nabi untuk meneruskan apa yang baginda sedang buat. Jangan hiraukan apa kata mereka. Kerana apa yang Nabi sedang buat adalah perkara yang benar.

Dalam ayat ini, Allah bercakap terus kepada Nabi Muhammad. Ini adalah sebagai menunjukkan kasih sayang Allah kepada Nabi.

 

إِنَّا نَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ

Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati mereka;

Contohnya, ada yang tak suka dengan dakwah yang kita bawa kepada mereka tapi mereka cakap dalam hati sahaja.

 

وَمَا يُعْلِنُونَ

dan apa yang mereka lantangkan dengan suara mereka;

Ini adalah jenis yang menzahirkan perasaan tidak suka mereka secara berdepan semasa jumpa dengan orang yang memberi dakwah. Ada yang cakap berdepan, ada yang cakap di belakang. Semuanya Allah tahu belaka. Tidak boleh sesiapa pun boleh menyembunyikan walau apa pun dari Allah.

Allah membiarkan sahaja perbuatan mereka menghina Nabi dan pembawa risalah itu. Mereka itu sebenarnya menambahkan dosa mereka sahaja. Semua akan dibalas di akhirat kelak. Allah nak beritahu dalam ayat ini bahawa Allah bukan tidak tahu perbuatan mereka itu. Allah catit semua sekali perbuatan mereka, samada mereka zahirkan atau tidak. Maksudnya, Allah akan balas perbuatan mereka itu.


 

Ayat 77:

أَوَلَم يَرَ الإِنسانُ أَنّا خَلَقناهُ مِن نُطفَةٍ فَإِذا هُوَ خَصيمٌ مُبينٌ

Sahih International

Does man not consider that We created him from a [mere] sperm-drop – then at once he is a clear adversary?

Malay

Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

 

 

أَوَلَمْ يَرَ الْإِنْسَانُ أَنَّا خَلَقْنَاهُ

Tidakkah seorang insan itu melihat bahawasanya Kamilah yang menciptakan dia; 

Allah lah yang menciptakan manusia.

Lihatlah bagaimana Allah menggunakan bahasa. Pada mula-mula surah ini, Allah bercakap terus kepada mereka untuk memberikan peringatatan kepada mereka. Tetapi, apabila mereka berdegil, Allah membahasakan mereka dalam pihak ketiga – هم (mereka). Tapi ini dah sampai kepada tahap, Allah tak membahasa mereka dalam pihak ketiga pun – Allah hanya sebut ‘manusia’ sahaja. Itu menunjukkan Allah dah murka dah.

Kalau dilihat asbabun nuzul ayat ini, ianya ditujukan kepada pemuka-pemuka Quraish yang menentang Nabi Muhammad. Tapi dalam zaman sekarang, ianya digunakan untuk mereka yang mempunyai sifat seperti mereka.

 

مِنْ نُطْفَةٍ

daripada sperma;

Manusia dijadikan bukan dari air mani, tapi dari sperma yang satu dari banyak-banyak sperma yang ada dalam air mani itu. Bayangkan Allah telah menjadikan manusia dari sesuatu yang hina iaitu air mani. Kalau air mani itu jatuh menitik ke bumi, ayam tak patuk, itik pun tak sudu. Tapi Allah telah menjadikan dari air mani itu manusia yang bersifat sempurna. Mempunyai rupa yang elok dan Allah telah memberikan akal kepada mereka. Tapi ingatlah bahawa kecantikan tubuh badan dan kepandaian akal fikiran itu berasal dari air mani sahaja.

 

فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُبِينٌ

Maka mereka tiba-tiba bila sudah jadi manusia, mereka menjadi pembantah yang jelas;

Mereka membantah Allah dengan mengatakan yang salah tentang Allah. Antaranya, mereka kata Allah memerlukan perantaraan dalam berdoa, atau mereka berkata kalau orang yang banyak dosa, Allah tak dengar doa hamba itu; dan lain-lain lagi.

Perkataan خَصِيمٌ itu digunakan untuk merujuk kepada orang yang menentang dengan keras. Mereka sombong. Mereka melawan dengan kuat, dengan jeritan dan degil. Semua orang boleh nampak. Ini jenis yang kalau kita minta dia sabar, dia akan jerit balik kepada kita: “apa sabar sabar?!”. Yang dia menentang itu adalah kebenaran. Tapi fikirannya telah dikelabui oleh kesombongan dirinya.

Dia lupa asal kejadiannya dulu yang dijadikan dari air mani yang hina.

 


 

Ayat 78:

وَضَرَبَ لَنا مَثَلًا وَنَسِيَ خَلقَهُ ۖ قالَ مَن يُحيِي العِظامَ وَهِيَ رَميمٌ

Sahih International

And he presents for Us an example and forgets his [own] creation. He says, “Who will give life to bones while they are disintegrated?”

Malay

Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

 

 

وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا

Dan mereka membuat contoh bandingan kepada Kami;

Kisah ini terjadi semasa zaman Nabi. Mereka bawa tulang yang telah reput. Dan mereka kata bolehkan tulang-tulang itu hidup semula? Mereka ingat mereka pandai. Mereka ingat hujah mereka dah kuat. Akal fikiran mereka telah dikelabui oleh kesombongan mereka. Sampai mereka menjadi sangat bodoh sampai mengeluarkan hujah yang bodoh sekali.

 

وَنَسِيَ خَلْقَهُ

Dan dia lupa penciptaan dia dahulu;

Mereka lupa bahawa Allahlah yang menciptakan mereka mula-mula dahulu. Iaitu dari tiada kepada ada.

 

قَالَ مَنْ يُحْيِي الْعِظَامَ وَهِيَ رَمِيمٌ

Dia berkata: siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang ini yang telah hancur?

Ubay bin Khalaf (semoga Allah melaknatnya) datang kepada Nabi SAW membawa satu tulang yang hancur di tangannya. Dia membuang dan menaburkannya ke udara dan berkata: “Hai Muhammad! Apakah engkau mengira bahawa Allah akan membangkitkan ini kembali?” Nabi bersabda: “Ya, Allah Taala akan mematikanmu, kemudian Dia bangkitkan kamu, lalu Dia kumpulkan kamu ke dalam api Neraka.” Maka turunlah ayat 77 surah Yaasin.

decomposed: رَمِيمٌ


 

Ayat 79:

قُل يُحييهَا الَّذي أَنشَأَها أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلقٍ عَليمٌ

Sahih International

Say, “He will give them life who produced them the first time; and He is, of all creation, Knowing.”

Malay

Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);

 

 

قُلْ يُحْيِيهَا الَّذِي أَنْشَأَهَا أَوَّلَ مَرَّةٍ

Katakanlah: yang akan menghidupkan tulang-tulang itu ialah Tuhan yang telah menciptakannya pertama kali dahulu

Allah menggunakan perkataan أَنْشَأَ – iaitu bukan hanya menghidupkan tapi membesarkannya. Tulang yang mereka pegang itu asalnya bukan sebesar itu. Kecil sahaja. Tapi Allah menghidupkan manusia kemudian membesarkan mereka sesuai dengan tumbesaran tulang-tulang itu.

Kalau Allah boleh mengadakan tulang itu daripada tiada kepada ada, tentulah lebih mudah lagi kepada Allah untuk menghidupkannya semula.

 

وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ

Dan Dia terhadap segala penciptaanNya itu, Maha Mengetahui;

Dialah yang mengetahui kejadian kita dan apa yang kita perlukan dan segala-galanya tentang kita. Tentulah Dia tahu, sebab Dialah yang menjadikan kita dan makhluk-makhluk yang lain. Allah Maha Mengetahui tulang-tulang di seluruh pelosok dan sudut bumi, ke mana hilangnya dan di mana hancur luluhnya.

Kalau satu kilang sudah mengeluarkan satu kereta sebagai contohnya. Kilang itu tidak tahu pun ke mana kereta itu akan pergi. Tapi apabila Allah telah menciptakan makhlukNya, Dia tahu ke mana makhluk itu pergi, apa makhluk itu buat. Segala-galanya Allah tahu. Dari mula lahir, sampai mati, sampai dihidupkan kembali.

Maka, siapakah kamu wahai orang-orang kafir untuk mempersoalkan tentang apa yang Allah telah jadikan?


 

Ayat 80:

الَّذي جَعَلَ لَكُم مِنَ الشَّجَرِ الأَخضَرِ نارًا فَإِذا أَنتُم مِنهُ توقِدونَ

 
Sahih International

[It is] He who made for you from the green tree, fire, and then from it you ignite.

Malay

“Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu”.

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمْ مِنَ الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا

Dialah juga yang menjadikan untuk kamu, pokok-pokok yang hijau yang boleh mengeluarkan api;

Apabila dijemurkan pokok itu, dan setelah jadi kering, kita boleh nyalakan. Asalnya pokok itu telah hidup dari air, hingga menjadi hijau indah, berbuah dan berbunga, kemudian Allah menjadikannya kayu-kayu kering untuk menyalakan api.

Atau Allah hendak menarik perhatian kita kepada dua jenis pokok kayu yang apabila digesek bersama, akan mengeluarkan api. Iaitu pokok markh dan ‘afaar. Mereka tidak dapat menerima kehidupan akan datang daripada yang telah mati. Tapi bagaimana dengan pokok-pokok itu yang telah mati, tapi masih lagi boleh mengeluarkan api?

Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan kemudahan-kemudahan dalam dunia ini kepada kita. Siapakah yang mengajar kita bahawa dua pokok itu dapat mengeluarkan api? Tentulah Allah. Allah bukan sahaja mengajar manusia tentang ilmu syariat, tapi Allah juga memberi ilham kepada kita untuk menjalani kehidupan dalam alam ini. Allah telah mengingatkan kita tentang perkara ini dalam ayat 56:71 dan 72.

 

فَإِذَا أَنْتُمْ مِنْهُ تُوقِدُونَ

Maka kamu darinya boleh nyalakan api

Pokok adalah satu kehidupan yang menghijau. Ia memberi isyarat kepada kehidupan. Tapi dalam masa yang sama juga, ia juga boleh mengeluarkan api – isyarat kepada kematian. Kehidupan dan kematian ada dua perkara yang berdekatan sahaja. Hendaklah kita sentiasa mengingat kepada mati.


 

Ayat 81: Satu lagi dalil untuk manusia untuk mengatakan Allah berkuasa untuk menghidupkan kembali manusia selepas matinya. 

أَوَلَيسَ الَّذي خَلَقَ السَّماواتِ وَالأَرضَ بِقادِرٍ عَلىٰ أَن يَخلُقَ مِثلَهُم ۚ بَلىٰ وَهُوَ الخَلّاقُ العَليمُ

Sahih International

Is not He who created the heavens and the earth able to create the likes of them? Yes, [it is so]; and He is the Knowing Creator.

Malay

Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) – berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

 

 

أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ

Bukankah Dia Dzat yang menciptakan tujuh langit dan tujuh bumi

Kalau alam yang begini besar pun Allah boleh cipta, tentulah Allah berkemampuan untuk menghidupkan kembali manusia.

 

 بِقَادِرٍ

dengan kuasaNya

 

عَلَىٰ أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ

boleh menciptakan seperti mereka? 

Sebagaimana Dia menciptakan manusia pertama kali dahulu? Tentulah Dia berkebolehan menghidupkan kembali manusia.

 

 بَلَىٰ وَهُوَ الْخَلَّاقُ الْعَلِيمُ

Bahkan benar, dan Dialah yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui

Bukan sahaja Allah mampu untuk mengumpulkan kembali tulang belulang mereka dan menghidupkan kembali mereka, tapi yang lagi susah dari itu pun Allah mampu. Allah mampu mengembalikan balik cap jari mereka. Setiap manusia dari mula kehidupan sampai kiamat nanti, mempunyai cap jari yang berbeza. Tapi Allah mampu mengembalikannya balik.

Allah adalah الْخَلَّاقُ – Maha Pencipta. Dia telah mencipta dari dulu sampai sekarang. Samada benda yang kita tahu dan benda yang tidak tercapai oleh daya imaginasi kita.

Bukan itu sahaja, Allah juga menyebutkan sifatNya الْعَلِيمُ – Maha Mengetahui. Selepas Dia cipta kita, Dia tahu apa yang kita perlukan. Maka Dia telah memberikan apa-apa sahaja keperluan kita untuk hidup di dunia ini.


 

Ayat 82: Ini adalah salah satu cara penciptaan yang Allah gunakan.

إِنَّما أَمرُهُ إِذا أَرادَ شَيئًا أَن يَقولَ لَهُ كُن فَيَكونُ

 
Sahih International

His command is only when He intends a thing that He says to it, “Be,” and it is.

Malay

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.

 

 

إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا

Sesungguhnya apabila Allah sudah buat keputusan berkehendak sesuatu

Allah juga ada kehendak (iradah)

 

 أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ

hanya Dia perlu kata kepada benda yang Dia hendak cipta itu: Jadi!

Kalau begini mudahnya Allah hendak menjadikan sesuatu apa pun, tentulah mudah sahaja bagi Allah hendak menghidupkan semula manusia.

 

فَيَكُونُ

Maka jadilah. 

Ini bermakna, Allah hanya Dia memerintahkan sesuatu hanya dengan satu perintah, tidak perlu kepada pengulangan dan bantuan dari apa-apa pun. Juga tidak memerlukan satu proses kejadian yang susah. Senang sahaja Allah kalau hendak jadikan sesuatu, Dia hanya berkehendak sahaja.

Tapi, kena ada penjelasan sedikit tentang ayat ini. Kalau silap tafsir ayat ini, akan jadi salah faham. Apabila Dia hendak sesuatu, adakah perlu Dia berkata ‘kun’, baru terjadi benda itu? Sebenarnya, apabila Dia berkehendak/ingin sahaja, terus jadi. Tidak perlu Dia kata ‘kun’. Maknanya, tujuan ayat ini hendak memberitahu mudahnya Allah nak jadikan sesuatu. Bukanlah kalau Allah nak jadikan janin manusia, Dia kena kata ‘kun’, besar sikit, kena kata ‘kun’ dan seterusnya; tidak perlu.Kejadian itu boleh jadi dalam bentuk serta merta atau mengambil masa. Seperti Allah jadikan malaikat, dengan serta merta, tidak perlu ibu bapa. Tapi dalam penciptaan manusia, sembilan bulan baru beranak. Tidak sempurna lagi seseorang manusia masa itu. Itu baru lahir sahaja. Lepas itu baru boleh meniarap, berjalan dan sebagainya. Maknanya, itu adalah jenis penciptaan yang mengambil masa. Kerana Allah hendak menunjukkan kekuasaanNya. Kalau Dia nak jadikan manusia serta-merta pun boleh. Seperti Allah jadikan malaikat.

Malaikat itu dijadikan secara terus oleh Allah. Tidak memerlukan ibubapa untuk melahirkan mereka. Malaikat itu tidak pernah berkhidmat kepada manusia. Maka salahlah kalau ada yang kata mereka boleh meminta tolong kepada malaikat. Salah kalau ada yang kata boleh gunakan malaikat nak tahan hujan atau apa-apa sahaja. Salahlah kalau ada manusia yang kata ada malaikat yang berdamping dengan dia selain Raqib dan Atid.


 

Ayat 83: Allah simpulkan semua sekali dalam ayat ini. 

فَسُبحانَ الَّذي بِيَدِهِ مَلَكوتُ كُلِّ شَيءٍ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

So exalted is He in whose hand is the realm of all things, and to Him you will be returned.

Malay

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) – Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

 

 

فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ

Maha Suci Tuhan, Dzat yang di TanganNya sahaja kekuasaan segala sesuatu; 

Allah itu suci dan bebas dari segala sifat kekurangan dan keburukan. Dan hanya kepadaNya kembali segala urusan. Hanya hakNya menciptakan dan memerintah alam ini.

Kesimpulan dari surah Yaasin ini, kita hendaklah bertasbih dan memuji Allah diatas segala kehebatanNya dan kemurahanNya kepada kita.

Segala kerajaan adalah بِيَدِهِ (dalam tanganNya). Penggunaan perkataan بِيَدِهِ menunjukkan Dia berkuasa penuh.

Apakah yang Allah kuasai? Ianya adalah مَلَكُوتُ – ianya adalah satu perkataan yang lebih besar dari hanya مَلَكُ – kerajaan. Kalau kerajaan di dunia, manusia boleh lagi rampas dari seorang raja atau presiden itu. Tapi kalau مَلَكُوتُ Allah, tidak ada sesiapa yang boleh buat apa-apa.

Perkataan مَلَكُوتُ juga bermakna penguasaan Allah itu bukan hanya penguasaan fizikal sahaja. Sebagai contoh, seorang tuan boleh menguasai hambanya; dia boleh suruh hamba itu buat kerja dan sebagainya. Tapi dia tidak dapat mengawal perasaan hamba itu. Dia tidak boleh arahkan hamba itu untuk suka atau duka. Tapi penguasaan Allah lain – penguasaan Allah adalah menyeluruh. Dia boleh memberi kita kesihatan dan sakit. Tidak tercapai dalam pemikiran kita setakat mana penguasaan Allah taala atas kita.

Kita suka kalau dapat berkawan dengan orang yang berkuasa. Maka, siapakah yang lebih berkuasa dari Allah taala? Tidak ada. Orang-orang yang beriman dahulu seperti para sahabat merapatkan diri mereka dengan Allah. Mereka dapat rasa bagaimana Allah sentiasa memerhatikan mereka. Mereka tahu bahawa segalanya ditentukan oleh Allah. Kerana itulah mereka tidak takut apa-apa. Kalau ada masalah apa-apa, mereka akan terus melakukan solat. Mereka rasa cukup dengan ada Allah sahaja. Ada sahabat yang mengatakan: رضيت بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد صلى الله عليه وسلم رسولا ونبيا. Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Nabi Muhammad sebagai Rasul dan Nabiku.

 

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Kamu semua akan kembali kepadaNya;

Samada kamu taat kepadaNya atau tidak, kepada Dia juga kamu akan kembali. Apabila kembali kepadaNya, Dia akan membalas makhluk sesuai dengan amalan dan iman mereka.

Inilah yang amat penting untuk kita ingat. Kita semua akan kembali kepadaNya. Samada hari ini atau esok. Ianya pasti akan terjadi. Tidak ada orang yang tidak mati. Semuanya akan mati nanti akhirnya. Dan akan dihidupkan kembali untuk menerima balasan daripadaNya.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Yaasin


 

Rujukan: 

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Yaasin Ayat 75 – 83

  1. balqisy says:

    jelas… penggunaan bahasa yg mudah difahami… terima kasih byk2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s