Tafsir Surah Baqarah Ayat 177 – 182 (Qisas)

Ayat 177: Ayat ini dinamakan ‘Ayatul Birr’. Ianya berkenaan kebajikan, iaitu kebajikan secara keseluruhan. Ada dua jenis kebajikan sebenarnya – ibadah dan etika (akhlak). Ada muslim yang amat menjaga kebajikan dari segi ibadah: jaga solat, puasa, haji dan sebagainya. Tapi ada satu jenis lagi kebajikan iaitu dari segi etika: jaga hubungan dengan keluarga, sedekah kepada anak yatim dan orang miskin. Dua-dua kena ada sebenarnya tanpa ditinggalkan salah satu. Tapi ada orang Islam yang hanya mengamalkan satu bahagian sahaja. Mereka ramai yang solat tapi mereka tidak menolong orang miskin. Mereka ada tak pernah tinggal solat tapi mereka menipu orang lain dalam perniagaan mereka.

Dan ada pula yang baik dari segi etika, tidak kacau orang dan tidak buat jenayah, tapi mereka tidak jaga agama mereka: sebagai contoh, ada yang kata walaupun mereka tidak pakai tudung menutup aurat, tapi mereka kata mereka seorang yang baik.

Kedua-dua elemen kebaikan kena ada dalam agama dan akhlak. Oleh kerana itu, Allah gabungkan dua-dua elemen ini dalam ayat ini. Kebajikan itu mesti buat dua-dua elemen. Ibadah dan etika/akhlak yang baik kerana ianya serangkaian. Tidak boleh tinggalkan salah satu.

Selain dari itu, ada kalangan orang Islam yang hanya memfokuskan ibadat mereka kepada satu-satu perkara sahaja. Mereka suka buat satu perkara ibadat sahaja dan mereka hanya buat yang itu sahaja. Itu pun tidak bagus. Dalam Islam kita kena tahu manakah yang penting. Jangan kita pandang hanya kepada ibadah dalam bentuk pergerakan sahaja. Jangan kita lupa kepada apakah mesej Islam yang hendak dibawa. Sebagai contoh, ada yang terlalu menekankan apakah amalan yang dilakukan dalam ibadat haji sampai mereka terlupa apakah mesej yang hendak dibawa dalam ibadat itu. Ibadat haji adalah sebagai satu latihan tentang apakah yang akan berlaku di Padang Mahsyar nanti. Kita akan berkumpul di Padang Arafah, dibangkitkan dengan pakaian ihram.

Ada orang Islam yang hanya tahu satu-satu perkara sahaja dalam Islam, maka mereka menganggap itulah agama, sampaikan kalau ada orang lain buat lain sikit dari apa yang mereka biasa lakukan, mereka akan marah dan tak dapat terima. Pernah ada kisah bagaimana seorang lelaki yang marahkan seorang ustaz kerana ustaz itu mengajar bahawa tidak ada bacaan Qunut dalam solat subuh. Orang lelaki itu kata: “Kau jangan mengajar benda yang salah di kampung ini. Walaupun aku tak sembahyang, tapi aku hafal Qunut!” Orang itu ingat itulah agama, maka kalau ada yang tak buat Qunut dalam solat subuh, macam tidak buat solat. Begitu juga ada jenis yang jahil agama, sampaikan kalau ada imam yang tidak baca doa dengan suara yang kuat, mereka ingat sembahyang tak sempurna.

Ada orang yang menjadikan kerja mereka menyalahkan cara ibadat orang lain. Hanya kerana mereka sudah biasa dengan cara-cara tertentu. Mereka dari kecil lagi dah buat satu cara, jadi mereka lihat kalau orang lain buat cara lain, mereka itu salah. Ini adalah jenis manusia yang hendak mencari salah orang sahaja.

Bermula dari ayat ini kita akan bertemu dengan istilah Umur Muslihah dan Umur Munazimah. Bila sudah kenal Allah, maka seseorang itu akan taat kepada Allah dalam ibadat dan dalam adat. Satu taat dalam bentuk ibadat dan ini dinamakan umur muslihah. dan satu lagi adat dan ini adalah umur munazimah. Adat adalah perkara-perkara yang terjadi dalam kehidupan seharian. Ianya termasuk cara hidup dan cara berinteraksi dengan alam sejagat. Itu pun Allah dah tetapkan kepada kita supaya kehidupan kita jadi baik. Tapi untuk perkara adat jadi baik, perkara umur muslihah kena sempurna dahulu. Kalau tidak sempurna, jangan harap kehidupan kita akan jadi baik.

Dalam kita hendak dakwah orang luar kepada Islam, kita kena tunjukkan model yang baik kepada mereka. Kena hidup macam cara Nabi dan sahabat. Manusia sebelum tengok Qur’an, dia akan tengok kita yang mempelajari Qur’an. Sepatutnya cara hidup kita adalah baik sampai boleh menarik mereka masuk Islam. Begitulah yang terjadi zaman dahulu dengan Nabi dan para sahabat. Manusia melihat bagaimana cara mereka bermuamalah dan hidup bermasyarakat sampaikan mereka teringin untuk masuk Islam dan jadi seperti mereka. Kalau kehidupan kita sendiri tidak teratur, bagaimana kita nak ajak manusia lain kepada Islam? Kadang-kadang orang luar tidak teringin kepada Islam kerana tidak ada tarikan kepada mereka apabila melihat perangai kita.

Kita yang sudah faham Islam ini kena sampaikan kepada manusia lain. Untuk memperkenalkan Allah dan syariat Allah kepada mereka. Dan untuk sampaikan Islam,  dengan cara jihad dan infak. Kerana itu dalam surah Baqarah ini banyak disebut tentang dua perkara itu. Allah telah susun dengan susunan yang amat baik sekali sampai kita boleh faham kalau kita boleh belajar. Semua yang akan disebut ini penting sampaikan tidak boleh tinggalkan salah satu.

2:177

Sahih International

Righteousness is not that you turn your faces toward the east or the west, but [true] righteousness is [in] one who believes in Allah, the Last Day, the angels, the Book, and the prophets and gives wealth, in spite of love for it, to relatives, orphans, the needy, the traveler, those who ask [for help], and for freeing slaves; [and who] establishes prayer and gives zakah; [those who] fulfill their promise when they promise; and [those who] are patient in poverty and hardship and during battle. Those are the ones who have been true, and it is those who are the righteous.

Malay

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

 لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ

Tidaklah kebajikan itu hanya kamu hadapkan muka kamu ke timur atau ke barat;

Ayat ini masih lagi ada kena mengena dengan kiblat. Ayat ini juga adalah teguran kepada Puak Yahudi Nasara yang selalu membuat berbagai tuduhan kepada Islam untuk merendahkan agama Islam. Antaranya, mereka tuduh Islam ini dalam hal kiblat pun tidak tetap – sekejap ke sana dan sekejap ke sini. Allah nak beritahu dalam ayat ini, bukanlah kebaikan itu hanya memandang ke arah kiblat sahaja.

Mengadap ke arah kiblat dalam solat itu memang penting, tapi bukan itu sahaja yang kita kena jaga. Allah jawap bukan kebaikan hanya tempat hadap sahaja ke arah timur dan barat. Islam bukan itu sahaja tapi Islam adalah agama yang sempurna yang merangkumi segenap kehidupan manusia.

Dalam ayat ini, Allah hendak menerangkan apakah kebajikan itu. Kita kena tahu ada lagi perkara-perkara lain yang perlu dibuat daripada mengadap ke arah kiblat sahaja. Maknanya, bukan hanya satu cara sahaja untuk kita buat ibadah. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu kita lakukan.

 وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ

tapi kesempurnaan kebajikan itu adalah orang yang beriman dengan Allah;

Yang pertama, kenalah beriman dengan Allah. Kerana kalau orang itu kafir, dan dia mengadap ke kiblat dalam solat pun tak sah solat dia. Beriman adalah kebaikan yang paling penting.

الْبِرَّ bermaksud kebajikan atau kebaikan. Ia diambil dari perkataan بر yang bermaksud ‘tanah’. Berlawanan dengan perkataan البحر yang bermaksud ‘lautan’. Kerana Allah hendak bezakan antara lautan dan daratan. Orang Arab menggunakan kata الْبِرَّ untuk merujuk kepada kebajikan kerana hendak menekankan yang ianya adalah sesuatu yang stabil. Kalau lautan, ianya sentiasa bergelora. Jadi, Allah telah mengisyaratkan bahawa perbuatan kebajikan ini hendaklah stabil, iaitu berterusan dilakukan. Bukan untuk dilakukan sekejap-sekejap sahaja.

Dari segi bahasa, beriman dengan Allah bukanlah satu perbuatan yang tepat dikatakan sebagai ‘kebajikan’ kerana tidak ada sesuatu fizikal yang dilakukan, bukan? Oleh itu, ayat ini bermaksud, kebajikan itu dikeluarkan oleh orang yang beriman dengan Allah.

Ada tiga komponen yang penting dalam iman: Percaya kepada Allah, percaya kepada hari akhir dan percaya kepada wahyu. Quran sentiasa mengulang-ulang ketiga-tiga elemen ini. Potongan ayat di atas telah menyebut komponen yang pertama.

Ayat ini keseluruhannya menceritakan tentang melakukan kebajikan. Kenapakah manusia melakukan kebajikan itu? Kerana Allah. Kerana mengharapkan redha Allah. Tapi kadang-kadang manusia buat kebajikan bukan kerana Allah semata-mata. Lihat ayat dibawah.

وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

dan beriman kepada hari akhirat

Ini adalah komponen kedua dalam Iman: percaya kepada hari akhirat.

Ada yang buat kebajikan kerana mengharapkan redha Allah. Itulah sebab yang terbaik sekali. Tapi ada juga yang buat kebajikan kerana mereka mengharapkan syurga dan takutkan neraka. Ini juga adalah sebab yang baik. Tapi kurang sedikit dari sebab yang pertama: mengharapkan redha Allah. Sebab itu Allah menyebut sebab yang pertama dahulu. Walaupun ianya tidaklah satu sebab yang paling baik, tapi boleh kalau dimulai melakukan kebajikan dengan sebab takut neraka dan mengharapkan syurga. Kerana lama-kelamaan apabila manusia sudah semakin tinggi imannya, mereka akan sampai kepada tahap mereka melakukan sesuatu itu hanya kerana mengharapkan redha Allah. Sepertimana para sahabat melakukan sesuatu kerana mengharapkan redha Allah. Kerana itulah apabila kita menyebut nama para sahabat, kita tambah dengan perkataan ‘radhiallahu anhu’ – Allah redha kepadanya.

Jadi, kalau kita hendak buat baik, bagaimana kita tahu apakah perbuatan baik itu? Kita hanya dapat tahu dengan wahyu yang Allah diturunkan kepada kita. Bagaimana caranya? Ayat ini bersambung lagi.

وَالْمَلَائِكَةِ

dan beriman kepada malaikat

Ini adalah elemen ketiga dalam komponen iman: percaya kepada wahyu. Malaikat adalah pembawa wahyu itu kepada para Rasul.

وَالْكِتَابِ

dan beriman kepada kitab

Wahyu tentang apakah kebajikan itu kita dapat tahu dari ‘Kitab’ yang Allah turunkan melalui perantaraan malaikat. Perkataan ‘kitab’ ini ada ال، maknanya ia merujuk kepada kitab yang spesifik – Quran. Untuk mengetahui apakah kebaikan yang perlu kita lakukan, kita kena merujuk kepada Quran sahaja. Kerana kitab-kitab yang sebelum Quran belum tentu kebenaran di dalamnya.

وَالنَّبِيِّينَ

dan beriman kepada para Nabi

Nabi yang menyampaikan wahyu Allah kepada kita. Kalau mereka tidak sampaikan, kita tidak akan tahu apakah yang Allah kehendaki kita buat. Kalau ada perkara yang tidak jelas kepada kita dalam Quran, Nabi akan jelaskan. Nabi juga menambah banyak lagi perkara-perkara kebajikan yang perlu kita lakukan kerana Quran hanya menyebut perkara-perkara yang penting dan asas sahaja.

Jadi elemen wahyu ada dalam tiga perkataan dalam ayat ini: Malaikat – Quran – Rasul. Itu semua adalah asas untuk seseorang Muslim itu untuk berbuat kebajikan. Macam kalau nak bina bangunan, kenalah ada asas yang kuat. Kontraktor bangunan itu akan ambil masa yang lama untuk bina asas yang kukuh. Kena piling tiang-tiang dalam tanah. Kerana apabila ada asas yang kuat, barulah bangunan itu dapat tegak berdiri. Begitu juga, apabila sudah ada asas iman, barulah mudah untuk melakukan kebajikan.

Itu semua adalah dasar untuk melakukan kebajikan. Ayat ini telah menyebut tentang Rukun Iman. Tentulah bukan perkara ini sahaja. Tapi Allah sebut perkara-perkara ini untuk merangkumi segala Rukun Iman yang lain. Setelah itu, Allah sebut tentang amalan pula. Allah mengajar kita apakah yang perlu dilakukan dalam perkara kebajikan itu.

وَآتَى الْمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِ

dan yang infakkan hartanya daripada hasil yang dia sayangi;

Allah menyebut memberi sesuatu yang kita sayangi, sebab ada yang memang memberi sedekah, tapi dari barang yang dia memang nak buang dah. Kadang-kadang kita tengah kemas stor kita, ada barang kita tak pakai dah. Atau ada baju yang lusuh yang kita pun tak mahu nak pakai. Kita beri mana yang ada. Kadang-kadang dah rosak-rosak dah barang yang kita nak beri itu. Padahal sedekah sepatutnya barang yang ada nilai. Kalau kita beri barang yang tiada nilai, tidak boleh lagi digunakan orang, tidak ada pahala atas kita. Kita kena beri harta yang kita sayang. Itu pemberian yang paling bernilai sekali. Itulah makna عَلَىٰ حُبِّهِ, memberi sedekah walaupun dia sayang kepada harta itu.

Yang paling kurang pahala dari harta sedekah yang kita dapat adalah diberi semasa sudah nak mati. Sedekah itu memang sah dan ada pahala, tapi nilainya paling kurang. Kerana daripada tak beri, elok beri, walaupun kita sudah nak mati dah. Tetapi dalam hadis, disebut kita kena beri infak semasa kita masih sayang dan mahu kepada harta itu.

Selepas kita tahu kita perlu infakkan harta kita, kita perlu tahu kepada siapakah yang kita perlu infakkan harta itu:

 ذَوِي الْقُرْبَىٰ

kepada kaum kerabat keluarga;

Yang paling utama kita kena tolong adalah ahli keluarga kita yang terdekat. Untuk kita tahu siapa yang memerlukan, tentulah kita kena ziarah saudara-mara kita yang ada lagi. Barulah kita tahu keadaan mereka. Jarang sekarang orang kita yang buat macam itu. Kita kena mulakan balik. Harta yang utama diberi adalah kepada kaum kerabat kita sendiri. Kalau ada yang layak terima zakat adalah kerabat kita, dia akan kecil hati kalau kita tak beri hak dia.

Selepas itu, kena beri juga kepada jiran tetangga yang tinggal berdekatan dengan kita. Tapi jangan melangkau, kena cari yang dekat dengan kita dahulu. Jangan kita memberi kepada orang yang jauh, tapi yang dekat dengan kita, kita tak beri lagi.

Masalahnya, orang yang paling rapat dengan kitalah yang kita selalu berkelahi dengan mereka. Dengan pakcik dan makcik, dengan sepupu dan sebagainya, malah ramai yang berkelahi dengan adik beradik. Ada sahaja perkara yang tidak kena dengan mereka pada pandangan kita. Maka kita ramai yang bermasam muka dengan sanak saudara kita. Tak bertegur sapa, kata buruk tentang mereka kepada orang lain dan sebagainya.

Tapi lihatlah dalam ayat ini, Allah suruh kita tolong mereka, infak kepada mereka. Mereka sebenarnya lebih layak terima bantuan dari kita dahulu sebelum orang lain. Ada sebab mengapa Allah jadikan mereka saudara mara kita, bukan kita yang tentukan. Bayangkan siapakah bapa saudara Nabi? Abu Lahab. Allah yang pilih siapakah yang jadi saudara mara kita. Maka kita kena redha dengan saudara mara kita.

وَالْيَتَامَىٰ

dan kepada anak yatim

Bagaimana kita nak tolong anak-anak yatim kalau kita sendiri pun tidak kenal siapakah anak yatim dalam kawasan kita tinggal? Oleh itu, kita kena ambil tahu tentang masyarakat kita. Kenalah tanya-tanya siapakah anak-anak yatim dalam kawasan kita.

وَالْمَسَاكِينَ

dan orang-orang miskin

Kita juga kena kenal siapakah orang miskin dalam kawasan kita. Kena campur dengan masyarakat untuk tahu siapakah mereka. Kadang-kadang mereka tidak meminta-minta kerana mereka malu. Mereka juga tidak mahu menyusahkan orang lain. Jadi kita kena berusaha untuk mencari siapakah yang susah dalam kawasan kita.

وَابْنَ السَّبِيلِ

dan orang yang dalam perjalanan 

Kita juga kena beri bantuan kepada mereka yang dalam musafir. Termasuk dalam hal ini adalah mereka yang bermusafir kerana menyebarkan agama.

Sunnah dalam Islam adalah menjemput orang yang dalam perjalanan untuk tinggal dengan kita. Untuk itu, kita kenal orang kawasan kita supaya apabila ada yang kita tak kenal, maka kita tahu yang dia adalah orang luar, orang musafir. Maka sunnahnya adalah mengajak dia tinggal dengan kita. Sepatutnya kita berebut-rebut dengan orang lain untuk mengajak mereka tinggal dengan kita. Tapi kita buat yang sebaliknya. Kalau ada saudara mara sendiri pun kalau boleh kita nak mereka tinggal di hotel. Kita kena ubah perangai kita.

وَالسَّائِلِينَ

dan orang yang meminta-minta kerana terdesak;

Kita ingatkan kalau orang yang meminta mestilah Allah letak di depan, tapi tidak. Allah letak di hujung-hujung ayat. Kalau ada yang meminta, kita kena tolong seboleh mungkin. Tidak semestinya yang meminta itu tergolong dalam golongan yang fakir miskin. Mungkin masa itu dia tengah ada masalah. Sebagai contohnya, ada yang telefon kita minta bantuan secara tiba-tiba. Sebelum dia nak telefon kita tu, dia dah banyak kali fikir, susun ayat macam mana nak minta tolong dengan kita. Sebab dia malu sangat nak minta dengan kita. Kalau kita tak boleh bagi, kita kena minta maaf pula kepada dia. Jangan kita hina dia. Bukan senang untuk dia minta tolong. Itu sebabnya, dalam masyarakat kita, selalu kita tengok orang meminta sedekah di kedai makan, di lalu lalang dan sebagainya. Kalau kita boleh tolong, kita beri. Tapi kalau kita tidak boleh beri, atau tidak mahu beri, jangan kita herdik mereka dan halau mereka. Kita kena bermanis muka dengan mereka.

وَفِي الرِّقَابِ

dan orang dalam tawanan hamba abdi;

Zaman sekarang, tidak ada lagi golongan hamba abdi. Tapi ada juga pembantu rumah atau pekerja asing yang kena tipu dengan majikan mereka, sampai tak boleh nak balik negara mereka. Sampaikan ada ejen peras ugut mereka lagi. Ataupun orang yang kena tawan dan dilarikan dari tempat tinggal mereka dan dijual di negara lain. Ini masih lagi terjadi zaman sekarang. Ini juga termasuk dalam maksud ayat ini. Iaitu mereka nak bebas diri dari tawanan. Nampak mereka macam bebas, tapi tidak kerana pasport mereka orang lain pegang. Orang tak nampak pertalian ayat ini dalam keadaan zaman sekarang kalau tidak belajar.

Ada juga orang yang di’tawan’ oleh hutang yang terlalu banyak sampai mereka tidak dapat bayar. Macam pinjaman rumah, pinjaman pelajaran dan sebagainya. Itu bukanlah dalam bentuk perhambaan seperti apa yang kita faham dulu, tapi ianya masih lagi boleh diterima sebagai satu bentuk perhambaan. Mereka memerlukan bantuan kita, maka kita kena tolong mereka seboleh mungkin.

وَأَقَامَ الصَّلَاةَ

dan mendirikan sembahyang;

Sekarang Allah menyebut tentang ibadah-ibadah khusus. Berkenaan solat, seorang lelaki kena solat di masjid. Perempuan pula kena solat di rumah kerana perempuan tidak digalakkan untuk pergi ke masjid. ‘Mendirikan sembahyang’ itu termasuklah mandi junub, mandi dari haid dan nifas seperti mana yang Nabi ajar. Dan mengambil wudu sepertimana Nabi ajar.

Apakah maksud أَقَامَ? Mendirikan solat. Allah tak sebut ‘melakukan solat’ tapi Allah menyebut ‘mendirikan solat’. أَقَامَ itu seperti tiang rumah. Kalau kita bina rumah, tentu tiang rumah kita bina dulu sebelum kita buat dinding, atap dan sebagainya. Dan selepas rumah itu telah ada, kita akan letak perabot dalam rumah. Perabot dan apa sahaja dalam rumah kena disusun dengan mengambil kira tiang rumah yang sudah ada. Tidak boleh kita nak tukar tiang rumah sebab kita nak letak perabot di situ. Apabila Allah gunakan perkataan أَقَامَ, ia bermaksud perkara-perkara lain dalam kehidupan kita kena ambil kira tentang solat. Waktu solat tidak boleh diubah lagi seperti juga tiang rumah tidak boleh diubah. Perkara-perkara lain yang kena beri ruang kepada solat – bukan solat yang kena beri ruang kepada perkara lain.

Kenapa Allah menyebut tentang solat dalam ayat ini? Lihatlah tentang saranan dari Allah sebelum solat ini: memberi harta kepada sanak saudara, anak yatim, orang miskin dan sebagainya itu boleh dilakukan oleh orang yang tidak beragama pun. Contohnya, orang kafir pun boleh juga buat macam itu. Dan memang ada orang kafir yang baik pun, suka menolong orang malah lebih baik dari kebanyakan orang Islam pun. Tapi Allah tambah dalam ayat ini tentang mendirikan solat dan membayar zakat. Ini adalah ibadat-ibadat khusus. Ini adalah kerana Allah nak tekankan bahawa kena ada dua elemen: menjaga ibadat agama dan berbuat kebajikan. Tidak boleh kita jaga ibadat agama tapi tidak berbuat kebajikan. Dan tidak boleh kita kata kita ada banyak tolong orang tapi bab solat dan zakat, kita tak jaga. Dua-dua elemen kena ada.

وَآتَى الزَّكَاةَ

dan mengeluarkan zakat;

Ini adalah ayat Madinah. Jadi, ianya adalah berkenaan dengan zakat harta. Kita kena mengeluarkan 1/40 (2.5%) dari hasil pendapatan perniagaan kita. Tanah pun kita kena bayar zakat juga. Keuntungan dari penjualan tanah kena dikeluarkan zakat sebanyak 10%. Kalau kita usahakan tanah itu, tolak kos dulu baru bagi 10%. Rumah sewa pun kena zakat juga. Tanah yang disewa juga kena zakat. Orang Islam kena belajar lagi tentang zakat. Banyak lagi yang nak kena tahu. Sebab ramai yang tak tahu tentang zakat ini. Kena kira dengan baik, sebab kalau kita tak bayar zakat, seluruh harta kita jadi haram belaka. Kalau tak cermat, boleh kena azab dalam neraka.

Dan berapa banyak yang kena bayar hendaklah dikira dengan baik. Bukan boleh agak-agak dengan jumlah yang kita nak bayar itu. Sebab ada orang yang ingat mereka telah beri sedekah kepada orang lain, maka mereka kata itu sudah termasuk dalam zakat mereka. Kena kira dengan tepat, kalau nak bayar lebih tidak mengapa. Tapi bagaimana kalau sedekah yang kita beri itu tidak mencukupi? Kita ingat cukup, tapi sebenarnya tidak. Ingatlah bahawa zakat yang tidak dikeluarkan adalah harta haram. Kalau kita tak keluarkan zakat, seperti kita makan harta fakir miskin. Kerana duit itu adalah hak mereka.

Zakat adalah untuk menghalalkan harta. Zakat adalah duit yang punah dari harta yang halal. Contoh, kita suruh pekerja kita buat air untuk pelanggan, tapi dia buat air terlupa nak letak gula. Ada pelanggan yang tak minum, tapi dia bayar juga. Maknanya, kita dapat duit yang tidak sepatutnya kita dapat. Atau ada pekerja kita yang buat kiraan salah sampaikan mereka terlebih ambil dari pelanggan. Yang terlebih ambil itu adalah haram sebenarnya, tapi kita tak perasan sebab dah termasuk dengan duit-duit yang lain. Atau kita pergi kerja, tapi dalam masa kerja kita itu, kita tidak sepenuhnya bekerja seperti yang sepatutnya. Kita kerja kurang masa atau kita curi tulang. Zakat adalah untuk membersihkan pendapatan-pendapatan yang haram itu. Sebab itulah zakat tidak boleh
digunakan untuk buat masjid. Zakat itu adalah untuk digunakan manusia sahaja. Buat masjid, mesti duit sedekah, bukan duit zakat. Ini ramai yang salah buat sebab ada yang bagi duit zakat dia untuk dibina masjid. Zakat juga bukan untuk dibuat sekolah atau rumah fakir miskin. Tak boleh begitu.

Duit zakat itu kena beri kepada fakir miskin. Ikut dia nak buat apa dengan duit itu. Kalau dia nak buat rumah, ikut dialah. Cuma yang kita kena beri adalah dalam bentuk duit. Kalau dia orang yang tak baik, kita bolehlah nasihat dia supaya dia menggunakan duit itu untuk kebaikan. Dan dia pun akan dengar nasihat kita masa itu kerana kita tengah nak bagi duit kepada dia. Tapi jangan sebab dia tak sembahyang, kita tak beri zakat pada dia. Itu adalah dosa dia, bukan masalah kita. Jangan kita hanya memilih orang yang baik sahaja untuk kita beri duit zakat itu. Memang kalau orang dah miskin tu, ada yang ada masalah, macam boros, berjudi dan sebagainya.

Tapi malangnya cara kita menguruskan zakat banyak masalah sekarang. Ada yang sanggup berhutang dengan duit zakat, padahal perkara itu tidak dibenarkan. Kadang-kadang kita dengar ada duit zakat yang tidak dituntut. Mungkin orang yang jaga duit zakat itu tidak faham bahawa harta zakat itu mesti dikeluarkan dalam masa satu tahun. Harta zakat itu bukan untuk dihimpun dan dikumpul. Duit zakat itu perlu diberi, dan kalau tidak ada yang datang tuntut, mereka yang terlibat kena mencari mereka yang layak terima.

Duit cukai boleh kalau nak simpan, tapi zakat kena diberikan kepada manusia. Dan ada kita dengar bagaimana walaupun duit zakat itu memang diberi kepada orang susah, macam-macam pihak zakat nak tetapkan syarat. Padahal itu adalah hak dia untuk dia nak gunakan macam mana yang dia pakai. Itulah yang sedihnya, duit zakat banyak tapi tidak digunakan dengan yang sepatutnya. Kita sampai ada dengar kisah bagaimana orang-orang yang susah itu terpaksa pergi meminta pertolongan kepada gereja Kristian sebab mereka terdesak sangat. Dan gereja-gereja itu memang menolong mereka. Itulah sebabnya kita dengar banyak orang Melayu yang masuk Kristian kerana mereka nampak orang Kristian lagi mudah menolong orang lain dari orang Islam sendiri.

Zakat itu juga tidak boleh diberikan dalam bentuk sedikit, pecah-pecah bagi sorang sedikit. Sampai tidak bernilai apa yang mereka dapat itu. Tidak boleh beri dalam bentuk lain selain dari duit. Contohnya, ada yang beri dalam bentuk kain. Tidak boleh kita beri dalam bentuk kain, melainkan kalau kita penjual kain, baru boleh. Belanja makan pun tidak boleh. Kena beri supaya orang yang kita beri itu, dia boleh guna duit itu, ikut apa yang dia mahu gunakan dengan duit zakat itu.

وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا

Dan hendaklah kamu sempurnakan janji-janji apabila berjanji;

Sekarang Allah menyebut tentang akhlak pula. Ingatlah bahawa ini adalah ayat perintah supaya kita buat. Allah menyebut tentang orang yang sentiasa memenuhi janji mereka apabila mereka berjanji. Itulah maksud perkataan الْمُوفُونَ itu.

Sebagai contoh, kalau kita dah sign kontrak untuk buat sesuatu, itu adalah juga perjanjian kita dengan orang lain. Maka kita kena penuhi kontrak itu.

Inilah satu ungkapan yang merangkumkan Islam di dalamnya. Kerana Islam itu adalah berkenaan ‘perjanjian’. Kita ada banyak perjanjian sebenarnya. Perjanjian dengan Allah, perjanjian dengan Rasulullah dan perjanjian dengan Quran. Kita telah berjanji dan kita kena penuhi janji itu.

وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ

dan bersabar terhadap kesempitan hidup;

Ada masa kita ada masalah dengan kewangan dan kesempitan hidup. Ada masa kita bukan tidak ada duit, tapi kita merasakan hidup kita sempit kerana hidup kita tertekan dengan berbagai-bagai masalah. Kita kena bersabar dalam waktu-waktu sebegitu.

Ada pertukaran grammar dalam perkataan الصَّابِرِينَ ini. Sebelum ini, penggunaan perkataan dalam bentuk ون, tapi kali ini dalam bentuk ين pula. Ini adalah kerana ada penekanan yang hendak disampaikan di sini. Semua yang telah disebut diatas adalah penting tapi yang paling penting adalah kita kena sabar. Iaitu berterusan melakukan kebajikan itu. Kerana kalau tidak ada sabar/berterusan, perkara-perkara kebajikan yang telah disebut diatas tadi itu hanya dilakukan ikut musim sahaja. Kita buat sekejap sahaja. Sebab memang perlukan orang yang sabar untuk terus melakukan perkara kebaikan itu.

Kita perlukan kesabaran di dalam waktu yang susah dan perlukan kesabaran untuk terus melakukan kebajikan.

وَالضَّرَّاءِ

dan musibah;

Dalam kesakitan dan sebagainya. Ini tidak terjadi kepada orang miskin sahaja. Orang kaya pun boleh jatuh sakit dan ada masalah-masalah lain.

 وَحِينَ الْبَأْسِ

dan ketika musibah dalam perperangan;

Dalam peperangan, kadang-kadang rumah kena bom, makanan tiada dan macam-macam lagi. Ini hal dalam perperangan. Ini adalah saranan untuk pejuang agama. Kerana pejuang agama dan pendakwah akan sentiasa ditentang. Tahap tertinggi pertentangan itu sampai boleh sampai mati. Itulah adalah kemuncak kepada penentangan kepada pendakwah dan Allah sebut yang kemuncak sahaja. Kerana yang kena tentang cara lain itu biasa sahaja. Ramai yang kena tuduh, kena ejek dan sebagainya, itu semua adalah adalah asam garam kehidupan.

Oleh itu, telah disebut tiga perkara yang biasa manusia hadapi dan pujian kepada mereka sabar dalam tiga perkara itu.

Tidak sama antara sabar seorang dengan seorang yang lain. Tahap antara seseorang tidak sama. Mereka mungkin berada dalam barisan yang sama dalam barisan peperangan, tapi belum tentu mereka mempunyai tahap sabar yang sama.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti ini

Yang telah melakukan setiap perkara yang disebut di atas.

 الَّذِينَ صَدَقُوا

adalah orang yang betul-betul benar 

Orang yang benar dalam agama mereka. Benar dalam dakwaan mereka yang mereka beriman dan beragama. Tidaklah mereka cakap sahaja, tapi mereka lakukan juga apa yang disuruh kepada mereka.

 وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

dan mereka ini adalah sebenarnya orang yang bertaqwa;

Mereka itulah juga orang yang menjaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Jadi untuk tahu samada kita beriman sempurna ialah kita tidak syirik dan sentiasa bimbang tentang akhirat. Bimbang takut-takut kita masuk neraka dan berharap sangat untuk masuk syurga.

Di awal surah ada disebutkan tentang orang-orang bertaqwa. Maka dalam ayat ini Allah menjelaskan lagi siapakah orang yang bertaqwa itu. Inilah sifat-sifat yang kena ada pada orang yang bertaqwa.


 

Ayat 178: Kita sudah masuk bahagian kedua Surah Baqarah. Bahagian pertama sebelum ini tentang tauhid dan risalah. Bahagian kedua ini sampai akhir adalah tentang umur munazimah dan umur muslihah dan jihad dan infak. Selepas ini, dalam Surah Baqarah ada empat perkara yang dibincangkan:
1. Umur muslihah
2. Umur munazimah
3. Jihad
4. Infak.

Ayat yang kita akan baca ini adalah jenis yang dipanggil umur munazimah: iaitu cara-cara untuk mendapatkan kesempurnaan hidup diantara manusia. Ayat ini berkenaan dengan hukum Qisas dan Diyat. Bagi orang Yahudi, hanya ada Qisas sahaja dalam hukum agama mereka. Kepada Nasara, hanya ada Diyat sahaja.

Dalam ayat 177 sebelum ini, ianya tentang taqwa – taqwa itu menjaga diri dari melakukan kesalahan yang tidak disukai Allah. Dalam ayat ini, Allah mengajar bagaimana menjaga hubungan dengan masyarakat. Ianya amat penting untuk dijaga supaya tidak terjadi pembunuhan yang berleluasa dalam masyarakat. Sebenarnya, kalau manusia telah menerima ayat 177 (Ayatul Birr) itu, tidaklah perlu dijalankan hukum seperti hukum Qisas ini. Tapi Allah sudah tahu bahawa manusia ini banyak jenis.

Umur munazimah dalam Surah Baqarah ini dimulai dengan hal kehakiman. Sepatutnya umat Islam tidak bunuh sama sendiri. Tapi ada juga yang terjadi kerana ada juga yang degil dan sebagainya. Maka kena ada sistem untuk menghentikan perkara itu dari berlarutan sampai boleh menyebabkan peperangan. Maka kena ada pengadilan yang dapat memuaskan hati manusia. Dan ianya mesti adil supaya tidak berpanjangan lagi perkara itu. Kalau tidak adil, masalah akan berpanjangan kerana akan ada yang tidak puas hati dan mahu membalas dendam. Dan ada yang balas dendam lebih dari yang sepatutnya. Dari seorang sahaja yang mati, boleh sampai terjadi dua orang atau lebih akan mati apabila ada yang balas dendam. Dari berkelahi satu kampung boleh jadi satu negeri bermasalah. Kalau jadi begitu, negara kita sendiri hancur dari dalam, tak perlu orang kafir serang kita pun. Hal duit manusia boleh maafkan lagi, tapi bab nyawa manusia sanggup mati untuk mempertahankan dan membalas dendam. Maka kena undang-undang yang adil. Yang penting, hujungnya kita kena bersatu supaya kita dapat menjalankan kerja dakwah kepada orang bukan Islam.

2:178

Sahih International

O you who have believed, prescribed for you is legal retribution for those murdered – the free for the free, the slave for the slave, and the female for the female. But whoever overlooks from his brother anything, then there should be a suitable follow-up and payment to him with good conduct. This is an alleviation from your Lord and a mercy. But whoever transgresses after that will have a painful punishment.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Kita juga termasuk dalam ayat ini kerana kita adalah orang-orang yang beriman. Undang-undang ini hanya akan diterima pakai oleh mereka yang benar-benar beriman sahaja. Kerana kalau tidak beriman, mungkin mereka rasa undang-undang rekaan manusia yang lebih baik dari apa yang Allah telah tetapkan.

 كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ

difardhukan keatas kamu hukum Qisas;

Inilah undang-undang keadilan. Qisas ini termasuk dalam hukum hudud. Ianya adalah tentang bunuh balas yang sama rata. Kena ada persamaan dari segi balas bunuh.

 

فِي الْقَتْلَى

dalam kes pembunuhan;

Ayat ini menerangkan pendek sahaja, oleh itu bagaimana menjalankannya, Nabi telah jelaskan mana yang tidak jelas. Dan kita juga boleh lihat bagaimana amalan para sahabat untuk kita lebih memahaminya.

 

الْحُرُّ بِالْحُرِّ

Orang merdeka dengan merdeka;

Kalau membunuh itu seorang yang merdeka, balas bunuh dengan orang yang merdeka juga. Ia bukan bermakna, kalau dibunuh seorang yang merdeka dari satu kaum, kena cari seorang yang merdeka dari kaum yang membunuh itu juga. Kalau kita lihat dari perkataan yang digunakan, ada ال sebelum setiap perkataan itu. Ini bermaksud orang yang spesifik. Ianya adalah orang yang sama. Tidak boleh kalau seorang yang merdeka membunuh seseorang, dia suruh diambil nyawa seorang hamba pula. Kerana ini pernah terjadi semasa zaman Jahiliah dulu. Yang membunuh seorang merdeka, tapi apabila tiba masa balas bunuh, dia serahkan nyawa hamba pula. Tak pasal-pasal, hamba yang tidak bersalah itu yang kena bunuh.

وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ

Hamba dengan hamba;

Tidak boleh diganti dengan hamba yang lain. Kena diambil nyawa hamba yang membunuh juga.

وَالْأُنْثَىٰ بِالْأُنْثَىٰ

Perempuan dengan perempuan;

Kalau yang membunuh itu seorang perempuan, perempuan itu yang perlu dibunuh kembali.

Adalah penting untuk diberi pilihan kepada ahli keluarga untuk membayar balik. Kerana dengan cara itu, boleh memuaskan hati ahli keluarga. Ini adalah fitrah dalam diri manusia. Kalau tidak dibenarkan, maka akan tersimpan perasaan dendam dalam diri ahli keluarga itu. Inilah yang terjadi dalam undang-undang bukan Islam pada hari ini. Ada yang telah disahkan telah membunuh, tapi mereka tidak dibunuh, mereka hanya kena penjara sahaja. Apabila ini berlaku, tidak akan rasa aman dalam diri keluarga mereka yang dibunuh. Itu bukan keadilan.

Yang diatas adalah cara bunuh balik atau balas bunuh. Islam ada tiga cara bagaimana satu pembunuhan itu dibalas. Pertama, dengan bunuh balik. Kedua, dengan bayar diyat. Dan ketiga, dengan memberi maaf. Keputusan ada di tangan ahli keluarga.

 فَمَنْ عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ

Barangsiapa yang dapat maaf daripada keluarga waris simati apa pun;

Apabila telah disabitkan kesalahan pembunuh itu, hakim akan tanya kepada waris, apakah yang mereka hendak buat. Ada waris yang beri maaf kepada pembunuh, maknanya diberi maaf daripada diambil nyawanya. Pembunuh itu memang dah bunuh orang, tapi keluarga yang dibunuh tak pilih untuk balas bunuh tapi nak minta gantirugi ataupun dimaafkan terus. Ada maaf seratus peratus dan ada maaf yang kena bayar denda.

Lihatlah bagaimana Allah gunakan lafaz أَخِيهِ (saudaranya) kerana orang Islam adalah saudara seagama. Kerana memikirkan yang kita semua satu agamalah yang menyebabkan waris simati itu boleh beri maaf.

 

Dalam fiqh, telah ditetapkan, kalau kemalangan, terputus jari satu – lima ekor unta. Gigi sebiji pun lima ekor unta juga. Semua telah ada harga yang diletakkan oleh undang-undang Islam. Semua diceritakan dalam kitab hadis dengan detail. Maknanya, kita kena jaga-jaga jangan sampai menyebabkan kecederaan kepada orang lain. Kalau orang yang melakukan kesalahan itu tidak dapat bayar, keluarga yang kena bayar. Jadi, kita sebagai ahli keluarga kena ambil tahu keadaan saudara mara kita. Sebab kita juga bertanggungjawab atas perbuatan mereka. Tapi sekarang kita tak buat kisah apa mereka buat. Itu kerana kita tidak faham undang-undang Islam.

Kalau hamba abdi, diyat yang dikenakan adalah 50% daripada diyat orang merdeka.

فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ

maka hendaklah disusuli dengan cara makruf;

Kemaafan itu hendaklah disusuli dengan cara yang makruf. Maka wali simati itu kena susuli kemaafan itu dengan tuntutan yang makruf. Jangan maafkan tapi tuntut ganti rugi 200 juta. Mati hidup balik pun pembunuh itu tak boleh bayar. Makruf itu bermaksud tuntutan itu kena sesuai dengan pembunuh. Kena tengok samada dia boleh bayar atau tidak. Antara sebab dikenakan bayaran ganti rugi itu adalah supaya pembunuh itu menyesal dan tidak melakukannya lagi.

 وَأَدَاءٌ إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ

dan hendaklah ditunaikan pembayaran kepada penerima sebaik-baiknya;

Pembunuh itu pula kena tunaikan dengan cara ihsan. Dengan bayar dengan cara baik. Dia pun dah setuju nak bayar jadi jangan tak beri pula. Atau beri dengan cara tidak sepatutnya, dengan cara kurang ajar, bayar pakai duit 5 sen dan sebagainya.

Pembunuh itu yang kena bayar sendiri kalau dia mampu. Mungkin waris simati minta sebanyak seratus ekor unta. Dalam harga 1.5 Juta Ringgit. Iaitu bagi yang mati tersalah bunuh. Seperti kemalangan, 50 ekor dari 100 ekor unta mesti unta betina yang bunting. Kalau tak boleh bayar, kena ambil dari kalangan lelaki dari keluarga dia yang lelaki. Mula ayah, kemudian adik beradik lelaki, atuk, bapa saudara dan seterusnya. Kalau tak boleh bayar, kena masuk jel semua sekali. Kena cari duit nak bayar dari keluarga lelaki termasuk sepupu sepapat pun. Kena kutip cari sampai cukup. Asalkan lelaki, mereka akan kena bayar. Maka yang lelaki keluarga itu pun akan beringat supaya jangan jadi lagi sebab mereka kena sekali kena bayar. Mereka kena berjaga-jaga dengan ahli keluarga mereka kerana mereka tahu yang kalau ada ahli keluarga mereka buat pasal, mereka pun terbabit susah sama.

 

ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِنْ رَبِّكُمْ

Yang demikian itu adalah keringanan dari Tuhan kamu;

Makna Allah meringankan adalah diberi pilihan kedua dan ketiga untuk keluarga yang dibunuh. Mereka boleh memilih untuk mengambail diyat atau mereka boleh memaafkan terus. Kerana cara yang sepatutnya adalah dengan balas bunuh. Tapi Allah beri kelonggaran dan keringanan.

وَرَحْمَةٌ

dan sifat kesian belas dari Tuhan kamu;

Kerana hukum asalnya adalah kena bunuh balik tapi Allah dah beri jalan keluar kerana sifat RahmahNya.

 فَمَنِ اعْتَدَىٰ

Sesiapa yang melampaui batas;

Ini terjadi kalau selepas keluarga itu minta diyat, dan apabila dah dibayar diyat itu, kemudian dibunuh juga pembunuh itu. Jadi, pembunuh kedua ini tidak ada hukum diyat kepadanya. Maknanya, dia kena bunuh balas sahaja. Kerana dia telah melampaui batas.

 بَعْدَ ذَٰلِكَ

selepas keputusan itu

Selepas keputusan sudah dibuat dan semua pihak telah setuju.

 فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ

bagi mereka azab yang pedih

Sesiapa yang tidak ikut keputusan selepas itu akan mendapat azab yang pedih.


 

Ayat 179: Allah titah kepada pemerintah pula. Menjadi tanggungjawab mereka untuk menjalankan hukum Qisas. Allah beritahu yang ada kebaikan di dalamnya. Kerana kita tidak ikut saranan Allah inilah yang menyebabkan institusi negara jadi kacau bilau. Sampaikan manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh orang lain kerana undang-undang yang ringan diberikan kepada mereka.

2:179

Sahih International

And there is for you in legal retribution [saving of] life, O you [people] of understanding, that you may become righteous.

Malay

Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ

Dan untuk kamu dalam Qisas itu ada kehidupan;

Manusia akan hidup dengan aman jikalau hukum Qisas ditegakkan. Manusia boleh hidup tanpa tumpah darah. Mereka boleh hidup yang sebenar iaitu tanpa ketakutan. Tidak ada lagi pembunuhan dengan cara yang berleluasa. Tapi guru sekarang ni banyak hanya cerita tentang hukum puasa, solat, wudu dan sebagainya. Hanya berulang-ulang bahagian itu sahaja. Tidak belajar benda-benda yang baru termasuk tentang hukum-hukum Hudud ini. Tidak belajar benda yang mereka patut belajar. Anak-anak murid ingat mereka dah belajar banyak, tapi sebenarnya tidak. Sampaikan ada yang tidak tahu pun ada hukum Hudud dalam Islam. Sampaikan mereka sanggup untuk tolak hukum Hudud ini.

Yang dimaksudkan dengan hukum Qisas itu adalah ‘bunuh balas’. Itu adalah hukum utama. Bukan Diyat dan bukan Pemaafan. Kalau semua masyarakat tahu bahawa jikalau mereka membunuh orang lain, mereka akan dibunuh balik, tentu mereka takut. Kalau masyarakat sentiasa sahaja mengambil langkah menerima Diyat atau memaafkan pembunuh, maka manusia yang jahat tidak takut untuk membunuh kerana mereka tahu mereka ada peluang untuk membayar nyawa itu dengan diyat atau mereka boleh dimaafkan. Oleh itu, Allah menasihatkan kita untuk mengamalkan hukum Qisas – balas bunuh. Memang kita dinasihatkan untuk selalu memaafkan secara individu, tapi dalam hal Qisas, kita sepatutnya menjalankan hukum Qisas.

 يَا أُولِي الْأَلْبَابِ

wahai orang-orang yang berfikiran waras

Maka kamu sebagai kerajaan yang menguruskan kehidupan rakyat kena tetapkan hukum Qisas ini.

 لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Mudah-mudahan kamu dapat bertaqwa.

Supaya kamu dapat menyelamatkan diri kamu.


 

Ayat 180: Hukum umur munazimah yang kedua adalah tentang harta benda. Cuma ada sulit sedikit dengan ayat ini kerana ada ulama kata yang ayat ini adalah antara ayat yang telah dimansukhkan.

Apabila terjadi kematian, maka yang penting adalah tentang pembahagian harta pesaka dan tentang wasiat. Ini menjaga keamanan di dalam keluarga supaya tidak berbantah dalam hal harta. Oleh itu, kita boleh lihat, bagaimana perubahan fokus dalam Quran. Dalam ‘ayatul birr’, ianya tentang individu – apa yang individu kena buat. Kemudian dalam Qisas, ianya tentang menjaga kemanan negara. Oleh itu, Quran menyentuh segenap kehidupan masyarakat Islam, dari individu ke sebesar-besarnya, iaitu negara. Sekarang tentang yang pertengahan, iaitu dalam hal keluarga.

2:180

Sahih International

Prescribed for you when death approaches [any] one of you if he leaves wealth [is that he should make] a bequest for the parents and near relatives according to what is acceptable – a duty upon the righteous.

Malay

Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

كُتِبَ عَلَيْكُمْ

Ditetapkan ke atas kamu

Ianya adalah satu hukum yang telah ditetapkan kepada kita. Kena ambil tahu tentang hukum ini.

 إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

ketika telah sampai tanda-tanda kematian salah seorang dari kamu,

Iaiatu apabila dah sampai isyarat-isyarat nak mati. Bukannya ‘sudah mati’. Kalau ada terjemah apabila sudah mati, itu adalah terjemahan yang salah.

 إِنْ تَرَكَ خَيْرًا

jika dia ada meninggalkan harta,

Selalunya, seseorang itu ada sedikit sebanyak harta yang telah dikumpulkannya. Harta itu kalau tidak dibahagikan dengan sebaiknya dan ikut apa yang telah diajar oleh Allah, maka boleh menimbulkan kacau bilau dalam keluarga. Kita pun sudah tahu bagaimana hal harta benda ini boleh memecah belahkan ahli keluarga yang terdekat. Kesannya amat besar sekali.

 الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ

hendaklah dia berwasiat kepada kedua ibubapanya

Jika dia akan meninggalkan harta, dia kena pesan dan wasiat bagaimana harta itu hendak dibahagikan.

Ini terjemahan pertama ayat ini adalah seseorang yang hampir mati kena wasiat supaya harta dibahagikan ikut faraid. Dia kena ingatkan orang yang menguruskan hartanya supaya membahagikan hartanya itu ikut hukum Faraid. Jangan ikut pembahagian harta ikut Adat Perpatih, jangan beri sama rata kepada ahli keluarga dan sebagainya. Kerana undang-undang pembahagian harta telah ditetapkan, maka kena ikut.

وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ

dan kerabatnya yang terdekat dengan cara yang makruf;

Ayat ini adalah antara ayat yang dikatakan telah dimansukhkan. Kerana ada ayat lain yang kata wasiat kepada penerima pusaka sudah tiada kerana telah dimansukhkan dengan ayat yang lain. Kerana ibu bapa memang akan terima pusaka pun. Ayat ini yang mula-mula diturunkan sebelum ayat yang mengatakan penerima pusaka tidak boleh menerima wasiat.

Tapi ayat ini masih boleh digunakan jikalau wasiat itu ditujukan kepada ahli keluarga yang bukan Islam. Kerana jikalau ada antara ahli keluarga yang bukan Islam, mereka tidak berhak terima pesaka daripada orang Islam. Tapi kalau anak yang telah Islam hendak memberikan wasiat kepada ahli keluarganya yang tidak Islam, masih boleh lagi iaitu dengan cara wasiat. Maka, mansukh ayat itu adalah secara teknikal sahaja. Sekarang pun ada lagi kes macam ini. Masih banyak yang masuk Islam dari keluarga Cina atau Hindu atau agama lain. Maka mereka boleh menggunakan ayat ini untuk memberikan wasiat kepada ahli keluarga mereka.

Jadi, ini adalah tafsiran kedua bagi ayat ini. Dua tafsir ini sahaja yang ada. Tafsiran pertama tadi mengatakan kena wasiat ikut Hukum Faraid. Tafsir kedua ini mengatakan, kalau keluarga dia ada yang kafir. Tapi kena ingat yang ianya hanya boleh diwasiatkan kepada asbabul furu’ sahaja. Iaitu mereka yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka itu kalau mereka itu Muslim. Patutnya dia dapat tapi sebab tapi tak boleh terima sebab berlainan agama. Janganlah wasiat kepada orang lain pula.

Perkataan لْمَعْرُوفِ bermaksud boleh wasiat kepada ahli keluarganya yang kafir itu, tapi setakat 1/3.

Penerima pesaka tidak boleh terima wasiat. Maka, kalau ada wasiat kepada anak beranak, wasiat itu tidak sah. Kerana hukum pembahagian harta pesaka sudah ada dalam ayat Quran yang lain. Ini dinamakan Hukum Faraid. Malangnya, ada juga yang tidak ikut pembahagian harta pusaka mengikut faraid. Maka, ketahuilah bahawa adat perpatih itu adalah syirik kufur kepada Allah taala. Kerana mereka beri harta kepada waris perempuan sahaja. Adat Perpatih itu sebenarnya telah tolak beberapa ayat Quran. Tapi kerana tidak mementingkan ayat Quran, maka ramai yang tolak dengan begitu sahaja.

Kalau harta itu diberi semasa hidup tidak termasuk dalam harta pesaka. Kalau nak beri berapa banyak pun tidak mengapa. Jadi kalau nak beri kepada sesiapa yang kita kehendaki, berilah semasa kita hidup lagi. Jangan tunggu dah nak mati baru teringat nak beri. Ini dinamakan Hibah.

Tapi, eloklah kita ingat apakah yang sepatutnya kita ingatkan kepada anak-anak kita apabila kita sudah hampir mati. Ingatlah apa kata Nabi Ya’kub kepada anak-anaknya dalam ayat-ayat yang lepas. Baginda tanya kepada anak-anaknya: “apakah yang akan kamu sembah selepas aku tiada nanti?”. Itu adalah soalan yang amat baik untuk ditanya. Kerana kata-kata terakhir yang kita kata akan dipegang dan diingati oleh anak-anak lama selepas kita tidak ada. Maka kena ambil peluang itu untuk mengingatkan mereka tentang agama. Jangan nak ingat tentang harta benda sahaja.

حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Ini adalah satu ketetapan keatas orang-orang yang bertaqwa;

Ini tanggungjawab bagi orang yang takut dengan Allah.

Oleh itu, ayat ini masih lagi tentang taqwa. Perbincangan Surah Baqarah tidak lari dari perjalanan mencapai taqwa.


 

Ayat 181: Kalau tidak dijaga isu-isu harta, boleh menyebabkan perpecahan antara keluarga. Sebab itu Allah beri penekaran dalam hal ini.

Wasiat tentunya cuma boleh jalan kalau ada orang dengar wasiat yang disampaikan oleh simati itu. Selepas diberitahu tentang wasiat itu, perlaksanaan wasiat itu adalah atas budi bicara orang yang dengar. Tapi Allah dah bagitahu cara dan hukum kepada mereka yang mendengar wasiat itu. Allah memberitahu yang berdosa kalau ubahsuai wasiat itu dan dosanya ke atas orang yang ubahsuai.

2:181

Sahih International

Then whoever alters the bequest after he has heard it – the sin is only upon those who have altered it. Indeed, Allah is Hearing and Knowing.

Malay

Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ

Maka barangsiapa yang mengubah setelah dia mendengar wasiat itu;

Ayat ini tentang mereka yang mendengar wasiat itu, tetapi telah mengubah wasiat yang telah ditetapkan oleh yang memberi wasiat itu.

فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ

maka dosa itu adalah hanya kepada orang yang mengubah wasiat itu;

Hakim membuat keputusan berdasarkan apakah yang diberitahu oleh saksi. Kalau pendengar wasiat yang menipu, hakim tidak berdosa, yang berdosa adalah orang yang menipu itu.

Mereka yang mengubah wasiat itu akan dibalas kesalahan mereka itu nanti di akhirat kelak.

 إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar;

Allah mendengar segala rancangan jahat manusia.

عَلِيمٌ

dan Maha Mengetahui;

Allah mengetahui siapa yang menukar wasiat itu. Manusia dan hakim mungkin tidak tahu, tapi Allah Maha Mengetahui.


 

Ayat 182: 

2:182

Sahih International

But if one fears from the bequeather [some] error or sin and corrects that which is between them, there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

Malay

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

فَمَنْ خَافَ مِنْ مُوصٍ

Barangsiapa yang mengetahui terhadap orang yang hendak memberi wasiat itu;

Ini berkenaan orang yang memberi wasiat, iaitu orang yang sudah hampir mati itu.

جَنَفًا

tidak adil;

Mungkin orang yang memberi wasiat itu tidak adil, contohnya ada ayah yang tidak mengaku anak dia sampai dia wasiat supaya anak dia tidak dapat apa-apa dari hartanya. Ini tidak boleh kerana anak kandung memang sudah layak menerima harta pusaka dan tidak boleh dihalang dari menerimanya. Anak itu akan dapat juga bahagian faraid.

Atau mungkin pemberi wasiat itu hendak memberikan harta dengan secara tidak adil – dia hendak beri salah seorang lebih dari orang lain contohnya.

 أَوْ إِثْمًا

atau orang itu memang nak buat dosa;

Mungkin ada yang nak beri wasiat itu jahil. Jadi, dia buat wasiat atas perkara yang salah. Contohnya, dia wasiatkan sebahagian dari hartanya untuk jalan keburukan – contohnya dia wasiatkan belanja arak kepada orang lain apabila dia dah mati nanti.

 فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ

maka dia yang memperbaiki kesilapan itu diantara mereka;

Jika ada yang tahu bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau hendak berbuat dosa, maka orang itu kena cari penyelesaian demi kebaikan penerima pesaka yang sebenar.

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

maka tidak berdosalah keatasnya;

Orang yang memperbaiki wasiat itu tidaklah bersalah.

 إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya Allah taala itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih kepada makhluk.

Ingatlah bahawa Allah itu Maha Menerima Ampun dari hambaNya. Dan mereka yang telah diterima ampun mereka tidak akan diazab di akhirat kelak.

Baqarah 177-182

Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s