Tafsir Surah Baqarah Ayat 170 – 176 (Menyembunyikan Ilmu)

Ayat 170: Ini adalah ayat Zajrun.

2:170

Sahih International

And when it is said to them, “Follow what Allah has revealed,” they say, “Rather, we will follow that which we found our fathers doing.” Even though their fathers understood nothing, nor were they guided?

Malay

Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka

Mereka yang dimaksudkan adalah mereka yang degil.

 اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ

ikutilah sahaja wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada kamu;

Kita disuruh untuk ikut sahaja, jangan tambah-tambah. Iaitu dalam perkara akidah dan amalan ibadat dan kena ikut cara hidup sepertimana yang diajar dalam Quran dan Hadis Nabi yang sahih. Itulah sahaja amalan yang sudah pasti dapat pahala. Dah cukup dah amalan sunnah yang Allah dan Nabi ajar, tak akan habis kalau kita nak amalkan. Tidak perlu nak tambah amalan bidaah yang lain.

 قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَ

Mereka berkata: “Kami hanya ikuti apa yang kami dapati dari tok-tok guru kami sahaja”;

Yang diajar oleh Quran, mereka tak mahu nak ikut. Mereka nak ikut apa yang ustaz atau guru mereka ajar sahaja dan amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Iaitu perbuatan turun-temurun yang telah dilakukan oleh mereka yang kononnya ahli agama. Keturunan mereka dulu pun dah lama amalkan perkara yang sama. Contohnya, apabila dikatakan kepada mereka amalan Majlis Tahlil itu bidaah, mereka akan kata bahawa amalan itu sudah lama dilakukan oleh orang-orang dulu, takkan mereka salah. Kerana mereka kata sudah turun temurun ianya diamalkan. Dan mereka kata guru-guru agama dari dulu sudah mengamalkannya, takkan mereka tidak tahu tentang agama pula. Itu maknanya, mereka sayang kepada guru lebih dari sayang kepada Allah.

Perkataan أَلْفَيْ bermaksud ‘menjumpai sesuatu secara terserempak’. Perkataan yang sama digunakan untuk menceritakan penemuan binatang seperti anjing contohnya, yang mencakar-cakar tanah dan menjumpai tulang. Ianya satu penemuan yang tidak memerlukan intelek. Kalau sesuatu penemuan itu memerlukan intelek untuk mendapatinya, perkataan وجد (wajada) akan digunakan. Oleh itu, mereka hanya mengambil sahaja tanpa mereka memikirkan samada ianya benar ataupun tidak. Mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa.

Kita bersyukur yang tok nenek kita dulu sudah buat keputusan untuk masuk Islam. Sudah senang kerja kita kerana lahir-lahir sudah berada dalam keluarga Islam. Kalau mereka tidak masuk Islam dulu, entah kita agama apa sekarang – mungkin agama Hindu. Kalaulah mereka tidak masuk Islam, mereka akan tanggung dosa mereka dan dosa anak-anak cucu mereka yang tidak masuk Islam. Begitulah juga kita: kalau kita tidak mengajar amalan yang betul kepada anak cucu kita, kita pun akan tanggung dosa kesalahan yang kita lakukan, dan juga menanggung sama dosa kesalahan mereka yang dilakukan kerana kita tidak mengajar mereka tentang kebenaran. Sudahlah dosa sendiri kena tanggung, ditambah lagi dengan anak cucu yang entah berapa banyak.

Apakah mereka masih nak ikuti lagi ajaran tok tok guru mereka lagi?

 أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا

sedangkan tok nenek mereka dahulu tidak tahu apa-apa?

Masih nak ikut lagikah amalan tok nenek itu walaupun tok nenek itu dahulu tidak tahu langsung tentang akidah. Mereka ‘asal buat’ sahaja. Mereka tidak menggunakan akal untuk memikirkan apakah amal ibadat yang mereka lakukan itu dari agama atau tidak. Bermakna, tok nenek mereka dulu pun mengamalkan sesuatu amalan yang salah atau bidaah itu tanpa menggunakan intelek mereka. Mereka dulu macam itu, kita sekarang pun ramai yang buat macam itu juga.

Menggunakan akal mestilah dengan akal yang suci bersih daripada emosi. Baru boleh mendapat ilmu yang bermanfaat. Kalau akal didorong oleh nafsu dan emosi, kita tidak akan mendapat kebenaran.

وَلَا يَهْتَدُونَ

dan mereka sendiri tidak terpimpin?;

Maksudnya tok nenek mereka dahulu pun tidak mendapat hidayah dari Allah. Mereka tidak bersungguh untuk mendapatkan hidayah dari Allah.

Malangnya, ramai dari kalangan ahli agama dari kalangan kita yang tidak terpimpin juga. Sepatutnya mereka kenalah tahu tentang agama, tapi apabila kita tanya mereka dah habis belajar tafsir Quran atau hadis Nabi, mereka akan jawab bahawa tak belajar lagi pun. Cuma ambil sikit-sikit sahaja. Petik sini sikit, sana sikit. Tapi mereka berada di dalam kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Contohnya, merekalah yang berada dalam pejabat agama. Merekalah yang jadi imam solat berjemaah di masjid dan di surau-surau, mereka lah yang mengajar di surah dan masjid-masjid. Mereka menjadi rujukan masyarakat. Alangkah malangnya masyarakat sekarang yang hanya memilih agama berdasarkan kepada populariti seseorang tokoh agama itu.


Ayat 171: Sekarang Allah memberi perumpamaan mereka itu seperti binatang. Kalau kita cakap dengan mereka, mereka tak faham. Begitulah orang yang tak faham agama. Mereka boleh dengar suara sahaja tapi mereka tak faham apakah yang dikatakan.

2:171

Sahih International

The example of those who disbelieve is like that of one who shouts at what hears nothing but calls and cries cattle or sheep – deaf, dumb and blind, so they do not understand.

Malay

Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Perumpamaan orang yang kafir engkar itu,

Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang hanya mahu mengikut apa-apa amalan yang telah diamalkan oleh tok nenek mereka sahaja. Iaitu kafir degil.

 كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ

seperti orang yang melaung kepada binatang yang tidak mendengar;

Macam kucing, kalau kita panggil mereka, adakah mereka dengar? Mereka memang dengar, tapi kucing itu tidak faham apa yang kita katakan.

Bayangkan Allah menyamakan mereka dengan binatang. Ini adalah satu perumpamaan yang berat. Bukan kita yang berikan perumpaan ini tapi Allah sendiri. Jadi jangan marahlah kalau kita kata begitu juga kerana Allah sendiri yang kata begitu.

 إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً

melainkan panggilan itu sebagai laungan;

Mereka hanya dengar bunyi yang mengejutkan seperti contoh kalau kita dengar kereta berlanggar. Mereka akan perasan bunyi itu dan mereka akan menoleh untuk melihat.

Bayangkan juga pengembala lembu memanggil-manggil lembu mereka. Lembu itu tidak faham apakah yang dikatakan oleh pengembala itu. Tapi bezanya, sekurang-kurangnya lembu itu, walaupun tidak faham pengembala, lembu akhirnya akan mengikut juga pengembala itu, akhirnya ikut juga pengembala lembu untuk balik ke kandang mereka. Tapi manusia, lagi teruk, sebab mereka tidak ikut langsung. Mereka lagi teruk dari lembu itu.

دُعَاءً panggilan dalam suara yang perlahan sikit

نِدَاءً laungan yang kuat.

 صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ

Mereka jenis pekak, jenis bisu, jenis buta

Apabila tiga-tiga pancaindera ini telah tiada, bermakna mereka tidak ada cara untuk mendapatkan ilmu lagi. Mereka tidak akan mendapat hidayah lagi. Bayangkan seseorang sedang berjalan. Dia sudah buta, oleh itu dia tidak nampak jalan. Bagaimana lagi kita hendak memberikan panduan kepadanya? Kalau kita jeritkan bahawa di hadapannya ada gaung, dia pun tidak dengar sebab dia sudah pekak. Dan dia sendiri pun tidak boleh meminta pertolongan lagi kerana dia sudah bisu. Maka, ini adalah jenis orang yang tidak dapat ditolong lagi. Kerana mereka sudah tidak mampu nak faham, maka kalau kita berikan ayat-ayat Quran dan juga hujah-hujah lain, mereka tidak akan dapat terima.

فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

mereka itu tidak faham apa yang diberitahu;

Mereka macam binatang yang dengar laungan, tapi mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan kepada mereka.

Sudahlah mereka pekak dan buta dari mendapat hidayah dalam bentuk kalam Allah, mereka tidak menggunakan akal pula. Kerana hidayah Allah samada dalam bentuk KalamNya (ayat-ayat Quran dan Hadis) atau daripada alam ini (rujuk ayat 2:164). Tapi untuk mendapat hidayah dari alam ini, mereka perlu menggunakan akal. Tapi dalam ayat ini, Allah kata mereka tidak menggunakan akal mereka untuk memahami hidayah.


Ayat 172: Pengulangan tentang pemakanan.

2:172

Sahih International

O you who have believed, eat from the good things which We have provided for you and be grateful to Allah if it is [indeed] Him that you worship.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Dalam ayat berkenaan pemakanan sebelum ini, ianya ditujukan kepada semua manusia. Kali ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman sahaja.

 كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ

Makanlah dari apa yang baik-baik itu;

Allah suruh kita makan dari rezeki yang Dia telah berikan itu, yang baik-baik. Oleh itu, jangan makan yang tidak halal. Dan satu lagi, jangan mengharamkan apa-apa makanan tanpa sebab.

Ada keberkatan dalam benda yang halal. Tidak ada keberkatan pada benda yang haram. Sesuatu yang tidak baik akan berlaku kalau kita makan juga dari hasil yang haram. Mungkin kita tidak nampak dengan jelas, tapi ianya ada. Contohnya, kalau rumah yang kita duduki itu didapati dari rezeki yang haram, tidak akan ada kesenangan di dalamnya. Akan selalu terjadi pertengkaran di dalamnya. Mereka yang duduk di dalamnya tidak akan rasa selesa. Walau mewah dan besar mana sekalipun.

 مَا رَزَقْنَاكُمْ

yang Kami beri rezeki kepada kamu;

Allah nak ingatkan bahawa Dia yang memberi rezeki itu kepada kita. Jangan lupa. Maka kenalah kita bersyukur kepadaNya.

وَاشْكُرُوا لِلَّهِ

Dan bersyukurlah kalian kepada Allah

Bersyukurlah dengan rezeki halal yang Allah telah berikan kepada kita.

Kalau kita bersyukur dan rasa cukup dengan segala barang yang kita dapat dari hasil dan perkara yang halal, kita tidak akan mencari yang haram. Yang mencari yang haram itu adalah kerana mereka tidak bersyukur dengan apa yang ada, tidak rasa cukup dengan barang halal yang Allah telah berikan. Mereka masih lagi nak cari benda yang lain.

Lagi satu, syarat kita dikira bersyukur adalah: kita ucapkan syukur kepada Allah dan kedua, kita kena gunakan segala perkara halal yang Allah berikan itu dengan cara yang Allah ajar kita. Jangan salahgunakan.

 إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

sekiranya kamu kepada Allah sahaja kamu sembah. 

Mencari rezeki yang halal adalah satu ibadah juga. Ini adalah kerana kita lakukannya dalam taat kepada Allah. Banyak manusia yang buat ibadah yang khusus seperti solat, puasa dan sebagainya, tapi mereka tidak menjaga halal haram dalam urusan mencari rezeki. Kerana mereka tidak faham bahawa memakan yang halal juga adalah ibadah.

Dari ayat ini juga, kita dapat tahu bahawa kita hanya boleh taat untuk makan yang halal hanya jikalau kita hanya menyembah Allah sahaja.


Ayat 173: Ayat tentang perkara halal dan haram. Ayat ini bukan nak kata ini sahaja yang diharamkan. Ada yang keliru dengan ayat ini. Mereka kata: “ayat Quran kata ini sahaja yang haram”. Oleh itu, kita kena faham yang ayat ini cuma hendak mengatakan tentang barang yang Musyrikin Mekah kata halal. Allah nak beritahu kesilapan mereka dan menidakkan perkara-perkara yang mereka kata halal. Kena faham konteks ayat ini baru tidak salah faham.

2:173

Sahih International

He has only forbidden to you dead animals, blood, the flesh of swine, and that which has been dedicated to other than Allah. But whoever is forced [by necessity], neither desiring [it] nor transgressing [its limit], there is no sin upon him. Indeed, Allah is Forgiving and Merciful.

Malay

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ

Sesungguhnya apa yang diharamkan kepada kamu

Ada makna pada perkataan إِنَّمَا itu. Perkataan itu bermaksud Allah *hanya* mengharamkan perkara-perkara ini sahaja. Tidak banyak yang Allah haramkan. Sedikit sangat kalau dibandingkan dengan apa yang Allah telah halalkan.

Tapi sebelum kita pergi jauh, kita kena faham konteks ayat ini – Allah sebenarnya hendak membetulkan kesalahan faham Musyrikin Mekah yang mengatakan benda-benda yang disebut dalam ayat ini adalah halal. Jadi, Allah nak betulkan fahaman mereka. Dan mereka ada kata yang ada makanan lain yang haram, jadi Allah nak beritahu, yang haramnya adalah perkara-perkara yang disebut ini. Yang mereka haramkan itu tidak haram sebenarnya. Jadi, bukanlah senarai ini sahaja makanan yang haram.

 الْمَيْتَةَ

adalah dari jenis bangkai,

Bangkai adalah binatang yang mati bukan dengan sembelihan. Mungkin ada yang mati sendiri sebab sakit dan sebagainya, atau dibunuh dengan cara yang selain dari sembelihan cara Islam.

Pada Musyrikin Mekah, bangkai binatang boleh dimakan dan ianya adalah salah satu dari sumber makanan mereka. Sedangkan dalam Islam, hanya boleh dimakan binatang yang disembelih cara Islam sahaja. Maknanya, kena ada ikhtiar manusia dalam kematian binatang itu. Puak Musyrikin kata ini adalah satu pendapat yang pelik sebab hanya boleh makan makanan yang dimatikan oleh manusia, sedangkan yang Allah matikan, tak boleh makan pula. Tapi beginilah cara yang Allah kehendaki kita lakukan. Kena melalui proses yang betul sebelum boleh dimakan binatang itu.

وَالدَّمَ

dan darah,

Dalam ayat lain, ada disebut bahawa darah yang tidak dibolehkan makan adalah ‘darah yang mengalir’. Bukannya darah yang melekat pada daging dan tulang pada binatang. Oleh itu, tidak perlu nak basuh bersih sangat daging ayam atau daging binatang yang kita makan. Ada yang salah faham, sampai basuh berkali-kali daging ayam kerana nak hilangkan darah pada daging itu. Sampaikan putih langsung daging itu dan tidak ada rasa manis pada daging itu.

Jadi, darah yang dilarang adalah daging yang banyak. Darah yang mengalir adalah sumber makanan kepada mereka. Mereka akan cucuk binatang ternak mereka sampai mengeluarkan darah dan mereka akan kumpulkan darah itu dan simpan sampai darah itu pejal dan mereka akan makan. Darah yang disimpan untuk sekian waktu akan jadi pejal. Sampai sekarang pun ada lagi manusia barat yang makan darah sebegini. Musyrikin Jahiliah juga akan menggunakan darah itu sebagai sejenis kuah, dimana mereka akan menggunakan darah itu untuk dimasak sekali dengan makanan mereka.

Menggunakan darah sebagai sumber makanan adalah satu cara yang ‘ekonomi’ kepada mereka. Kerana kalau mereka ambil darah itu sikit-sikit dari binatang ternak mereka, tidaklah binatang itu mati dan mereka boleh ambil banyak kali. Apabila binatang itu sihat kembali dan ada darah balik, mereka boleh ambil lagi. Maka, marahlah mereka apabila dikatakan tidak boleh makan darah.

Sampai sekarang, ada orang yang makan darah lagi sebagai makanan. Macam orang Barat, mereka akan tadah darah dan mereka jadikan macam puding. Ini adalah salah dan kita tidak boleh makan sebegini.

وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ

dan daging babi;

Yang haram kita lakukan dengan babi itu adalah memakan dagingnya. Ayat ini menyebut ‘daging’ babi tapi ianya meliputi semua bahagian badan – kulit, tulang dan sebagainya. Babi juga adalah sumber makanan mereka dan mereka tidak dapat terima larangan memakan babi ini kerana pada mereka, ianya adalah makanan yang sedap. Takkan benda sedap pun tak boleh makan? Begitulah kata mereka. Ini adalah kerana mereka pakai akal.

Yang dilarang adalah memakai babi, bukan haram memegangnya. Ada khilafiah tentang hukum memegang babi. Ramai yang kata kalau terpegang babi, kulit babi, tulang babi dan sebagainya, kena samak. Sedangkan tidak ada hadis yang mengatakan kalau pegang babi kena samak. Yang ada itu adalah hanya qiyas dengan pegang anjing. Iaitu memang ada hadis yang mengatakan kena samak guna tanah kalau kena air liur anjing pada bekas makanan kita. Tapi tidak ada hadis yang mengatakan tentang samak kalau pegang babi. Sedangkan zaman Nabi dah ada babi dah. Dan, memang bangsa Quraish tak makan babi.

وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ

dan apa sahaja yang disembelih kepada selain dari Allah;

Ini adalah larangan seterusnya. Musyrikin Mekah ada yang sembelih binatang ternak atas nama berhala. Iaitu semasa menyembelih binatang itu, mereka menyebut nama selain Allah, seperti Nabi atau wali pujaan mereka. Mereka sembelih binatang itu untuk selain dari Allah.

Dalam ayat ini, diletakkan perkataan بِهِ dekat dengan perkataan أُهِلَّ. Ini bermaksud, menyebut nama sembahan lain selain Allah semasa menyembelih binatang itu. Tapi, ada ayat yang lebih kurang serupa dalam Maidah:3, An’am:145 dan Nahl:115 dimana perkataan بِهِ jauh dari perkataan أُهِلَّ. Ini pula adalah apabila nama Allah disebut semasa menyembelih binatang sembelihan, tetapi sebenarnya bukan kerana Allah.

Sembelih untuk wali adalah dosa besar atau rosak akidah. Ada kalangan masyarakat kita yang sembelih binatang, tapi bukan kerana Allah. Contohnya, sembelih kambing sebab nak halau hantu. Ramai yang kita dengar bomoh-bomoh yang apabila mengubat, mereka akan kata kalau nak sembuh, kena sembelih ayam lah, kambing lah dan sebagainya. Memang masa pesakit sembelih binatang itu, mereka baca bismillah. Tapi sembelihan itu tidak sah dan haram memakan daging sebegitu.

Ataupun ada yang sembelih kerana tok guru. Ada yang berniat, apabila seseorang tok guru itu datang, dia nak sembelih lembu seekor. Maknanya, dia simpan lembu itu untuk tok guru. Tak boleh niat nak sembelih kerana tok guru. Lembu itu akan jadi haram. Kalau nak sembelih kerana Nabi Muhammad  pun tidak boleh. Atau kerana kedatangan orang besar. Haram jadinya daging itu. Sama macam agama lain sembelih binatang untuk tuhan-tuhan mereka. Kalau datang seseorang itu, dan kita nak raikan dengan sembelih lembu, tidak mengapa. Cuma jangan khaskan lembu untuk seseorang.

Semua pengharaman ini nampak senang sahaja kepada kita. Kerana kita tidak makan bangkai, darah dan kita ada banyak daging lagi nak dimakan dari daging babi. Tapi bayangkan apabila ayat ini diturunkan kepada para sahabat. Mereka bukan ada supermarket zaman itu. Bukan senang untuk mendapat daging apa-apa pun. Mereka kena ternak atau berburu untuk mendapatkan daging. Jadi, apabila ayat ini diturunkan, ianya telah mengurangkan pilihan makanan kepada mereka. Kita kena ingat bahawa mereka kadang-kadang tinggal bersama dengan ahli keluarga mereka yang bukan beragama Islam. Sekarang, ada bahan makanan yang sebelum itu mereka boleh kongsi makan dengan ahli keluarga mereka yang bukan Islam, tapi tidak boleh dimakan lagi. Contohnya, jikalau binatang itu disembelih atas nama Latta atau Uzza, mereka sudah tidak boleh makan lagi dah. Atau mungkin ada binatang yang mati disebabkan panas terik dan tidak sempat disembelih – dulu mereka boleh sahaja makan tapi sekarang sudah tidak boleh.

Dan mereka dulu makan darah yang dibekukan dan darah itu ada yang dijadikan sebagai kuah. Sekarang mereka tidak boleh makan.

 فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ

Sesiapa yang terpaksa, tanpa sengaja;

Iaitu, dia terpaksa makan. Sebab tidak ada makanan lain. Contohnya seseorang itu dalam musafir dan sesat dalam hutan dan tidak ada makanan. Yang ada hanyalah makanan yang haram dimakan. Kalau dia tak makan, dia akan mati. Kalau dalam keadaan macam itu, dia dibenarkan makan apa yang diharamkan dalam ayat ini. Boleh makan, termasuk makan daging mayat manusia pun dibenarkan.

Perkataan بَاغٍ bermaksud memberontak. Kadang-kadang kita tidak benarkan seseorang buat sesuatu, tapi mereka melawan, maka mereka buat juga. Maksud ayat ini, orang itu terpaksa makan, bukan sengaja nak makan, bukan teringin nak rasa macam mana rasa daging babi.

وَلَا عَادٍ

dan tidak melampaui batas;

Walaupun sudah dibolehkan makan, tapi tidaklah boleh makan sampai kenyang. Setakat untuk hidup untuk hari itu sahaja. Tapi boleh simpan sikit sebagai bekal untuk esok kalau-kalau tidak ada makanan lain esok.

 فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

tidak ada dosa ke atasnya;

Sebagai contoh, seseorang terpaksa makan daging babi. Ataupun dia tidak tahu bahawa dia sebenarnya makan daging babi semasa dia makan itu, tidaklah ada dosa baginya..

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun

Allah akan beri pengampunan bagi orang yang terpaksa makan tanpa sengaja dan tidak makan berlebihan.

Allah amat pengampun. Perkataan غَفُورٌ itu dalam bentuk isim mubalaghah – extreme/bersangatan. Maknanya, Allah amat pengampun. Tapi tidak sentiasa mengampun. Ada beza antara dua makna itu. Kerana kalau kita tahu Allah sentiasa mengampun, kita akan ambil peluang dan buat kesalahan yang banyak. Maknanya, ada masanya Allah mengampunkan dosa kita dan ada yang tidak Dia ampunkan. Jangan kita jadi orang Kristian. Kepada mereka, semua dosa mereka telah diampunkan selepas mereka mengaku yang Nabi Isa adalah tuhan. Maka, apabila mereka rasa mereka sudah selamat, maka mereka telah dapat tiket untuk melakukan apa sahaja dosa yang mereka mahu.

رَحِيمٌ

dan Maha Pengasih.

Sentiasa mengasihani hambaNya.


Ayat 174: Ini adalah satu lagi ayat amaran dari Allah. Iaitu kepada orang yang menyembunyi ilmu kepada manusia. Mereka yang berilmu kena bacakan hukum halal haram kepada manusia sampai faham. Jangan sembunyikan dari mereka. Samada mereka nak terima atau tidak, jangan hirau, janji kita dah sampaikan.

2:174

Sahih International

Indeed, they who conceal what Allah has sent down of the Book and exchange it for a small price – they consume not into their bellies except the Fire. And Allah will not speak to them on the Day of Resurrection, nor will He purify them. And they will have a painful punishment.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang Allah telah turunkan dari Kitab;

Merujuk kepada orang agama yang menyembunyikan ilmu agama kepada pengikut mereka. Mereka tidak menceritakan kebenaran kepada masyarakat bahawa ada perbuatan masyarakat itu salah di sisi ugama. Tapi mereka tidak memberitahu, kerana mereka takut hendak beritahu. Mereka takut nak beritahu kerana takut masyarakat tidak dapat terima. Apabila masyarakat tidak dapat terima, takut masyarakat sudah tidak panggil mereka datang mengajar. Apabila mereka tidak dipanggil mengajar, mereka takut mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Atau kedudukan mereka dalam masyarakat akan jatuh.

Antaranya yang mereka tidak beritahu adalah tentang apakah makanan yang tidak boleh dimakan, juga tentang kesalahan pengharaman makan dalam amalan pantang. Sebab apa mereka takut hendak beritahu?

 وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلً

Mereka hendak mendapat upah yang sedikit;

Mereka tidak memberitahu kerana mereka takut anak murid akan lari. Nanti takut tak dapat duit lagi dari anak murid-anak murid mereka yang selalu beri imbuhan kepada mereka selepas mereka mengajar. Sekarang agama sudah menjadi satu cara untuk mencari wang. Banyak ustaz-ustaz yang mengambil upah mengajar di masjid-masjid sampai mereka boleh pakai kereta besar-besar. Mereka ramai yang hidup dengan mewah. Itu belum lagi dikira mereka mengambil upah jadi kepala tekong majlis tahlil atau solat hajat.

Kalau mereka tidak mengharap upah dalam bentuk kewangan, ada juga mereka yang mengharap kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Kerana ramai dari kalangan orang agamawan yang menjadi tempat rujukan masyarakat mereka dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Mereka telah mendapat kedudukan yang selesa dalam masyarakat.

Kita takut nanti terjadi seperti yang terjadi kepada Bani Israil. Pendita-pendita mereka menjadi rujukan orang bawahan mereka. Orang bawahan akan datang kepada mereka untuk mendapatkan fatwa tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang fatwa yang diberikan tidak seperti yang mereka ingini. Jadi, mereka akan pergi kepada pendita yang lain pula sampai mereka dapat fatwa yang mereka hendak. Jadi, pendita yang boleh beri fatwa yang mereka kehendaki itulah yang akan dapat upah.

Begitulah yang terjadi dengan agama Islam sekarang. Masyarakat mahukan pendapat agama yang kena dengan selera mereka yang telah biasa mereka lakukan. Jadi ada guru-guru agama yang tidak berani memberitahu kebenaran, takut anak-anak murid mereka akan lari kepada guru yang membenarkan apa yang mereka buat. Kalau kita beritahu Majlis Tahlil tidak boleh buat, mereka akan cari guru agama yang kata boleh buat. Banyak jenis guru agama sekarang, ada yang sampai sanggup mengatakan tidak salah malahan baik untuk mengadakan majlis Tahlil dan Solat Hajat. Asalkan mereka mendapat banyak pengikut. Apabila banyak pengikut, bermakna mereka akan dapat lagi banyak duit upah. Itu juga dikira sebagai menjual agama untuk mendapat upah yang sedikit. Kenapa dikata upah yang mereka dapat itu sedikit? Kerana banyak mana pun upah yang mereka dapat itu tidak dapat nak dibandingkan dengan hukuman yang mereka akan terima.

Selalu hujah yang mereka gunakan adalah: “ini adalah perkara khilafiah. Ada pendapat yang mengatakan boleh.” Mereka kata itu adalah perbezaan pendapat antara ulama. Ada kata boleh, dan ada yang kata tidak boleh. Ingatlah bahawa akan ada sahaja orang yang mengaku ahli agama yang akan mengatakan boleh melakukan sesuatu itu. Kalau kita hendak mencari ustaz yang mengatakan boleh buat apa-apa, kita akan berjumpa dengan ustaz yang kata boleh. Tapi adakah benar hujah mereka itu? Kita kenalah jujur dengan agama. Janganlah hanya mengikut pendapat ustaz sahaja. Kena dapatkan apakah dalil mereka. Kalau dalil yang diberikan bukan dari Quran dan Sunnah, maka tolaklah hujah mereka itu. Ada kemungkinan mereka pun tidak tahu apa yang mereka cakapkan. Janganlah kita bodoh sangat sampai kita sangka kalau seseorang itu dipanggil ‘ustaz’, dia sudah tahu semua tentang agama.

 أُولَٰئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ

Tidaklah mereka makan dalam perut-perut mereka melainkan api neraka

Apabila ustaz-ustaz, guru-guru agama menggunakan kedudukan mereka dalam masyarakat untuk memberikan pandangan agama hanya untuk memuaskan hati pengikut-pengikut mereka, Allah kata Dia akan memasukkan api neraka ke perut mereka. Maknanya, rezeki yang mereka makan hasil dari apa yang mereka ajar kepada masyarakat itu adalah api neraka sebenarnya. Mereka sangkakan yang itu adalah rezeki, tapi rupanya ianya adalah api neraka.

وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Allah taala tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari Kiamat;

Ini adalah satu penghinaan apabila Allah tidak berkata-kata dengan mereka. Allah tidak akan berkata dengan mereka kecuali dengan kata-kata yang tidak baik – dalam keadaan marah. Tidak ada kata-kata yang baik dan mesra untuk mereka-mereka ini. Kerana amat berat kesalahan yang mereka lakukan. Mereka sepatutnya orang yang banyak belajar agama, sepatutnya tahu mana yang haram dan mana yang halal, tapi mereka tak beritahu kepada masyarakat.

Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dengan lembut. Tidak macam Allah berkata dengan hambaNya yang mukmin. Allah zahirkan keredhaan Allah kepada mereka yang mukmin dengan pemberian yang lebih lagi dari syurga. Tetapi kepada mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar, Allah amat murka dengan mereka. Allah cakap kasar dan kesat dengan mereka. Macam manusia halau dan hambat anjing.

 وَلَا يُزَكِّيهِمْ

dan tidaklah Tuhan akan menyucikan mereka;

Bermakna Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa mereka. Kita sebagai manusia tentu banyak dosa yang kita lakukan. Kita mengharapkan semoga Allah akan mengampunkan segala dosa-dosa kita itu. Tapi kalau Allah kata Dia tidak akan menyucikan dosa kita, maka amat malanglah nasib kita nanti.

 وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih;

Inilah yang diberikan kepada mereka yang tak mahu cerita halal haram yang telah Allah beritahu dalam Quran. Azab yang pedih bermakna azab yang tidak akan berkurangan langsung dari mula-mula masuk neraka sampai bila-bila.


Ayat 175:

2:175

Sahih International

Those are the ones who have exchanged guidance for error and forgiveness for punishment. How patient they are in pursuit of the Fire!

Malay

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

أُولَٰئِكَ

Mereka-mereka yang bersifat seperti ini,

Iaitu mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar.

 الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِالْهُدَىٰ

adalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan menjual petunjuk

Allah kata mereka jual hidayah dengan beli neraka.

وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ

dan membeli azab dengan menjual keampunan

Mereka ambil azab dengan jual keampunan. Ini adalah sesuatu yang amat bodoh sekali.

 فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ

Maka alangkah sabarnya mereka menanggung azab neraka semasa mereka duduk dalam api neraka;

Ini adalah kata-kata ejekan dari Allah. Allah nak kata lihatlah betapa tololnya mereka. Mereka boleh sabar dalam neraka? Mereka nak sabar dalam neraka?

Walaupun mereka sabar dalam neraka, mereka akan duduk dalam neraka juga. Selama-lamanya dengan tidak ada peluang nak keluar. Kalau orang yang duduk dalam penjara dalam dunia ini, kalau mereka sabar, akhirnya mereka akan keluar juga. Ataupun mereka akhirnya akan mati juga akhirnya. Tapi kalau duduk di neraka, tidak akan keluar-keluar dan tidak akan mati-mati.

Selalunya kalau kita sabar, kita akan dibalas dengan sebab kesabaran kita itu. Tapi tidak dalam kes ini. Tidak ada ada apa-apa kebaikan yang mereka akan dapat kalau mereka bersabar selama mana pun dalam neraka. Kerana neraka bukan tempat untuk sabar. Tempat sabar adalah di dunia dulu.


Ayat 176:

2:176

Sahih International

That is [deserved by them] because Allah has sent down the Book in truth. And indeed, those who differ over the Book are in extreme dissension.

Malay

(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).

ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ نَزَّلَ الْكِتَابَ

Mereka mendapat azab itu kerana Allah telah menurunkan ayat-ayat dalam Quran

Allah marah sebab Dia turunkan wahyu untuk disebarkan, bukan untuk disimpan. Maka sesiapa yang Allah telah pilih untuk belajar wahyu, maka mereka kena sampaikan. Maka anda yang sedang membaca tulisan ini, kena sebarkan tulisan ini. Kena sampaikan kepada mereka yang masih tidak tahu.

بِالْحَقِّ

untuk menzahirkan kebenaran;

Allah berikan wahyu untuk zahirkan kebenaran. Kebenaran apa? iaitu Dia adalah Tuhan dan semua kena puja Dia. Kalau sembunyi fakta ini, Allah murka.

وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِي الْكِتَابِ

Dan sesungguhnya orang-orang yang masih lagi berselisih dalam kitab ini;

Ada yang beritahu tentang kebenaran, ada yang sembunyi kebenaran itu. Mereka berselisih itu sebab mereka yang menyembunyikan kebenaran itu ada kepentingan peribadi yang mereka hendak. Iaitu mereka hendak menjaga periuk nasi mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu kebenaran, rezeki mereka akan berkurangan. Apakah kedudukan mereka?

 

لَفِي شِقَاقٍ بَعِيدٍ

Mereka itu berada dalam persimpangan yang amat jauh dari kebenaran.

Mereka berada amat jauh dari kebenaran. Kebenaran tidak akan sampai lagi kepada mereka. Mereka akan terus berada dalam kegelapan.

baqarah 160-176

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s