Tafsir Surah Baqarah Ayat 154 – 163

Ayat 154: Ayat yang menyentuh tentang jihad fi sabilillah. Kemuncak perbincangan jihad ada dalam surah Taubah. Permulaan tentang jihad itu dimulakan didalam surah Baqarah ini.

Sebelum ini Allah telah mula menyentuh bab Sabar. Oleh kerana sabar adalah perkara yang besar dan banyak peringkatnya, maka akan diterangkan dengan banyak dalam ayat-ayat seterusnya. Pertamanya, dalam ayat ini Allah terangkan sabar peringkat tertinggi.

2:154

Sahih International

And do not say about those who are killed in the way of Allah , “They are dead.” Rather, they are alive, but you perceive [it] not.

Malay

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

وَلَا تَقُولُوا

Jangan sekali-kali kamu berkata,

 لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ

kepada sesiapa yang terbunuh atau dibunuh di jalan Allah itu benar-benar mati;

Mereka hidup sebenarnya. Cara bagaimana, kita tidak tahu. Yang kita tahu, mereka itu ada yang hendak pulang ke dunia lagi kerana hendak berjihad lagi di jalan Allah.

Dalam ayat sebelum ini, dinasihatkan kepada umat Islam untuk bersabar. Antara sabar yang paling kuat diperlukan adalah apabila orang yang kita sayangi mati. Antaranya, mereka yang mati semasa berperang di jalan Allah.

Allah memberitahu kita yang mereka yang mati semasa berjihad di jalan Allah, mereka tidak mati biasa. Mereka sebenarnya hidup di alam barzakh. Ianya adalah Kehidupan Khas. Mereka terus dihantar ke syurga.

Oleh itu, sabar dalam ayat ini adalah sabar atas kematian. Lebih-lebih lagi kalau kematian itu melibatkan orang yang kita kasih. Dan sebaik-baik kasih adalah kasih seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada seorang mukmin yang lain, maka sabar padanya adalah sabar yang paling tinggi. Sahabat paling sedih apabila Nabi wafat. Begitu juga, apabila ada kematian dari kalangan sahabat, Allah mengajar mereka untuk bersabar kerana mereka amat bersedih. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

 بَلْ أَحْيَاءٌ

Bahkan mereka itu hidup

Pada waktu ayat ini diturunkan, orang-orang Islam belum lagi berperang dengan orang kafir. Belum perang Badr lagi pun. Tapi Allah sudah mengingatkan mereka bahawa kalau mereka mati, mereka akan dapat kelebihan yang amat banyak. Allah mengingatkan mereka untuk bersedia.

Tapi waktu itu, telah ada orang Islam yang mati semasa mereka berada di Mekah. Ada yang kena siksa dan mereka telah mati di tangan orang Musyrik. Itu pun dikira sebagai mati di jalan Allah.

Apabila dikatakan mereka itu hidup, bukanlah hidup mereka itu seperti yang kita faham. Kehidupan itu banyak jenis. Contohnya, bayi yang dalam perut ibu itu sudah hidup, tapi adakah hidup mereka sama dengan hidup kita? Jangan kita ingat hidupnya mereka yang mati syahid itu seperti hidup kita sekarang. Ada yang ingat bahawa wali-wali yang telah mati itu boleh hidup semula dan menolong mereka yang di dunia. Kerana salah faham tentang ayat ini, ada yang melakukan perkara yang syirik. Seperti pengikut ajaran Arqam yang masih lagi bergerak lagi sekarang – mereka mengatakan bahawa Abuya Asyaari masih hidup lagi dan boleh memberi bantuan kepada mereka. Mereka dikatakan sampai meminta pertolongan kepada beliau untuk memberikan rezeki kepada mereka.

 وَلَٰكِنْ لَا تَشْعُرُونَ

sedangkan kamu tidak tahu bahawa mereka itu hidup.

Kita tidak sedar bahawa mereka itu hidup kerana mereka telah dibawa terus ke syurga. Kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak hidup di alam barzakh.

Orang-orang yang mati syahid itu, sebelum darah mereka menitis jatuh ke tanah, dosa mereka semua sekali telah diampunkan. Dan mereka akan dimasukkan ke syurga terus. Mereka hanya keluar balik apabila telah kiamat. Mereka akan dipanggil oleh malaikat untuk keluar sekejap untuk dibacakan amalan perbuatan mereka semasa di dunia. Kemudian, mereka akan dimasukkan balik ke syurga untuk menyambung nikmat di syurga. Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan itu. Semasa dipanggil itu, mereka rasa mereka duduk di syurga sekadar waktu solat sunat subuh dua rakaat sahaja. Itu adalah solat paling ringkas yang Nabi lakukan. Maknanya, nikmat yang terlalu banyak yang mereka terima, sampaikan mereka rasa sekejap sahaja mereka nikmati. Padahal, mungkin mereka telah duduk di syurga itu selama beberapa ribu tahun. Kita pun tidak tahu.


 

Ayat 155: Ini pula adalah sabar peringkat biasa.

2:155

Sahih International

And We will surely test you with something of fear and hunger and a loss of wealth and lives and fruits, but give good tidings to the patient,

Malay

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ

Dan Kami akan menguji kamu

Pasti Allah akan beri ujian. Jangan hairan apabila ujian datang kerana ianya adalah pasti.

بِشَيْءٍ

dengan segala sesuatu;

Allah akan uji kita dengan apa sahaja cara untuk membezakan mana hamba yang ada sifat sabar dan tidak. Begitulah, macam-macam ujian akan Allah berikan kepada manusia. Sebagai contoh, ada niat sahaja nak ikut sunnah, nak dakwah kepada orang lain, akan terus diberi ujian.

Sebelum ini, Allah sebut tentang ujian kematian. Kali ini, ujian yang kurang sedikit. Tapi masih lagi banyak. Antaranya adalah seperti dibawah ini.

مِنَ الْخَوْفِ

dari jenis ketakutan;

Antaranya dengan situasi takut. Seperti pejuang agama yang diuji bertembung dengan musuh yang boleh menyebabkan kematian. Kalau sedang jihad
perang itu, mereka takut dengan musuh yang ramai.

Dalam situasi kita yang tidak berperang ini, ia boleh bermaksud takut nak beritahu kepada orang tentang tauhid ini. Takut orang kata kita gila, kata kita sesat, tak nak terima dan sebagainya. Padahal, bukan boleh menyebabkan kematian pun.

وَالْجُوعِ

dan kelaparan;

Keduanya dengan lapar. Kadang-kadang kita takut tak cukup makan. Kalau duduk kampung tempat kita tinggal, memang jarang lapar sebab makanan sentiasa ada. Tetapi kalau dalam musafir akan selalu bertemu dengan kelaparan. Lebih-lebih kepada para pejuang dan penyebar dakwah.

وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ

dan kekurangan dari harta benda;

Kalau nak berjihad kena keluar duit sendiri. Macam sahabat-sahabat dulu juga. Bukan kerajaan bagi duit untuk mereka berjihad. Mereka bukan kena cari duit untuk pergi berjihad sahaja, tapi mereka juga kena tinggalkan sedikit duit untuk anak isteri sebagai bekalan.

Apabila sudah mula pergi berjihad, nak berniaga pun dah tak boleh dah. Sebab nak kena tumpukan kepada peperangan. Ingatlah betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat dulu.

Kadang-kadang kita diuji dengan ujian infak harta. Infak harta memang dituntut dalam agama. Nak bina masjid, berdakwah, jihad, musafir, tolong orang lain dan macam-macam lagi memerlukan infak. Tentu berlaku kekurangan harta.

وَالْأَنْفُسِ

dan dari jiwa-jiwa;

Maksudnya adalah kematian. Ada sahabat yang mati terbunuh. Saudara mara ada yang mati terbunuh dan macam-macam lagi.

Boleh juga merujuk kepada mereka yang lari dari peperangan. Meninggalkan medan pertempuran.

وَالثَّمَرَاتِ

dan buah-buahan;

Ianya bermaksud penyakit. Sebagai contoh, penyakit hama kepada pokok-pokok. Mereka takut pokok yang mereka tanam itu akan sakit dan musnah apabila mereka tidak ada dalam berjihad. Madinah waktu itu adalah umat yang berasaskan pertanian. Pernah semasa Perang Tabuk, mereka diduga dengan buah-buahan yang sudah hampir boleh dituai apabila panggilan peperangan sampai. Mereka telah menerima arahan untuk perang dan ianya wajib kepada mereka kecuali orang tua, anak kecil dan wanita. Ianya amat menduga kepada mereka. Kerana kalau mereka keluar berperang, sudah tentu apabila mereka pulang nanti, buah-buahan itu sudah jadi busuk. Hanya lelaki sahaja yang boleh menuainya kerana ianya adalah kerja berat.

Boleh jadi juga ia bermaksud ‘anak-anak’ – kerana ada yang akan kehilangan anak.

Boleh jadi hasil dari pelaburan mereka. Ini adalah dugaan dari sudut ekonomi.

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang bersabar itu.

Ucapan tahniah dari Allah kepada mereka yang dapat melepasi ujian-ujian itu.


 

Ayat 156: Siapakah yang akan mendapat ucapan tahniah dari Allah? Disebut dalam ayat ini. Ini adalah ciri-ciri orang yang sabar.

2:156

Sahih International

Who, when disaster strikes them, say, “Indeed we belong to Allah , and indeed to Him we will return.”

Malay

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ

Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah cubaan,

Perkataan أَصَابَ asalnya bermakna dipanah dengan anak panah. Maknanya, memang apa-apa musibah itu memang telah ditakdirkan untuk kita dah, tidak boleh nak elak lagi.

مُصِيبَةٌ pula bermaksud kesusahan yang diberikan oleh Allah dan kena tepat kepada kita. Kita kenalah redha dengan apa yang Allah tentukan untuk kita.

 قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ

mereka berkata: Sesungguhnya kami ini sendiri adalah milik Allah

Alamat orang yang sabar adalah dia tidak merungut apabila ditimpa apa-apa musibah dan tidak keluar kata yang tak elok dari mulutnya. Ataupun ternampak rasa tidak puas hati dari rupa paras dia. Semua ini akan keluar dari orang yang tidak dilatih dengan sifat sabar

Orang sabar akan kata kita ini adalah milik Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh ambil balik. Baik nyawa, harta, kesihatan dan segalanya adalah milik Allah dan Dia boleh ambil.

Ingatlah bahawa semua yang kita ada di dunia ini sekarang bukanlah hak kita. Kalau kita faham kata-kata ini, maka senang untuk kita jadi sabar. Inilah kunci kesabaran. Kerana kebanyakan masalah dalam dunia ini akan mengalami berbagai jenis kehilangan. Kehilangan nyawa, harta benda, ahli keluarga dan kenalan kita, dan berbagai-bagai lagi. Tapi ingatlah bahawa semua itu bukan hak kita dan diri kita sendiri ini pun adalah hak Allah. Jangan kata benda yang rosak dan hilang itu bukan hak kita, diri kita sendiri ini pun bukan hak kita, tapi hak Allah!

Jadi, kalau ada musibah apa sahaja yang terjadi, inilah lafaz zikir yang kita kena sebut. Ada satu hadis dimana pernah pelita dalam bilik Nabi terpadam dan Nabi mengucapkan perkataan yang disuruh kita ucapkan ini. Aisyah kehairanan kerana yang terjadi hanya perkara kecil sahaja. Nabi menjawap bahawa apa sahaja yang mengecewakan manusia adalah musibah.

 وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

dan sesungguhnya kepada Dialah juga kami akan kembali;

Dan kita semua akan kembali kepadaNya. Kita semua akan kembali kepadaNya untuk Allah buat penilaian samada kita hamba yang sabar atau tidak.

Ujian sabar adalah dalam tiga hari pertama. Bila mula-mula kena musibah itu, kita dah kena sabar dah. Kerana selalunya apabila dah lama, manusia senang untuk sabar jadi itu tidak kira. Tapi mula-mula bila ianya terjadi yang susah untuk sabar. Dalam satu riwayat, seorang wanita mengalami kematian dalam keluarganya. Nabi nampak keadaan wanita itu dan memberi nasihat kepada wanita itu untuk bersabar. Wanita itu sedang menangis dan tidak perasan yang memberi nasihat itu adalah Nabi. Wanita itu kata bolehlah minta dia sabar sebab benda itu tidak jadi pada baginda. Ada yang nampak kejadian itu dan telah menegur wanita itu kerana cakap begitu dengan Nabi. Maka selang beberapa hari, wanita itu telah pergi kepada Nabi dan beritahu baginda yang dia sudah bersabar dah dengan apa yang terjadi. Nabi kata sabar itu kena ada semasa berlakunya perkara itu.

Selalu kita dengar apabila terdengar sahaja ada sesiapa yang mati, kita akan cakap begini. Kita bukan kata tentang simati sangat sebenarnya, tapi kita mengaku kita juga milik Allah. Ingat bahawa kita juga akan mati, cuma dia yang mati itu sahaja yang perlu dulu. Kita akan menyusul tidak lama lagi.

Dan ini sepatutnya mengingatkan kita, yang kita akhirnya akan kembali bertemu Allah juga. Oleh itu, segala masalah yang kita hadapi, tidak kira betapa besarnya, ianya tidak akan berkekalan. Kerana ia akan berakhir juga.


 

Ayat 157: Apakah balasan kepada mereka yang bersabar dengan apa yang terjadi?

2:157

Sahih International

Those are the ones upon whom are blessings from their Lord and mercy. And it is those who are the [rightly] guided.

Malay

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti itulah

Orang-orang yang sentiasa bersabar dengan apa yang terjadi dan melafazkan lafaz istirja’ apabila ditimpa oleh musibah.

عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ

yang dapat selawat dari Tuhan mereka;

Selawat disini adalah bermaksud seperti ‘syabas’ kalau kita kata kepada orang yang berjaya. Jadi selawat itu adalah dalam bentuk tahniah dari Tuhan sendiri.

Allah ucap tahniah keatas mereka kerana mereka boleh sabar. Ini adalah maksud selawat dalam ayat ini. Bahasa urdu dan farsi terjemah selawat dengan lafaz syabbas macam kita ambil dan pakai dalam bahasa kita.

Mufassirin ada mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah Allah memberi arahan khas kepada malaikat-malaikat yang ditugaskan khas untuk mendoakan kepada mereka-mereka yang sabar.

وَرَحْمَةٌ

dan akan dapat rahmat dari Allah.

Rahmat yang khas dari Allah.

وَأُولَٰئِكَ

Dan orang-orang yang bersifat seperti ini,

هُمُ الْمُهْتَدُونَ

mereka yang benar-benar termasuk orang yang dapat petunjuk.

Mereka jenis inilah yang betul-betul terpimpin.


 

Ayat 158: Cabang tazkiyah yang kelima dan terakhir adalah ta’zim. Ta’zim bermaksud membesarkan lambang kehebatan dan kebesaran Allah. Contohnya kita besarkan Baitullah, Tanah Haram, semua masjid-masjid, pusat-pusat pengajaran kerana ianya adalah tempat mengajar tentang Allah dan macam-macam tempat lagi. Begitu juga kepada pelajar-pelajar agama dan guru-guru agama. Jadi kita hormat kepada semuanya.

Jadi dalam ayat ini, antara tempat yang kita kena muliakan adalah Bukit Safa dan Bukit Marwah kerana ianya adalah Syiar Allah – tanda kebesaran dan keagungan Allah. Ianya adalah dua bukit yang menjadi lambang dan kenangan bagaimana Allah telah tolong hamba Dia yang sanggup berkorban untuk agama. Di sinilah Hajar isteri Nabi Ibrahim a.s. telah berlari antara dua bukit ini untuk mencari air untuk anaknya setelah ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim yang terpaksa meninggalkan mereka berdua di Mekah untuk mengembara menyebar agama. Hajar tidak merungut walaupun ditinggalkan di tempat yang tidak ada penghuni waktu itu. Tapi Allah tolong dia dengan memberikan air zam-zam. Jadi, Safa dan Marwah adalah salah satu dari Syiar Islam.

Jadi, ayat ini adalah berkenaan dengan Saie dan berkenaan Safa dan Marwah. Untuk faham ayat ini, kena tahu sejarah Arab Jahiliah dahulu. Dulu asalnya orang Arab tawaf dan saie pakai ihram sepertimana ajaran Nabi Ibrahim. Sama sahaja perbuatan mereka dengan kita. Buat pada sembilan Dzulhijjah juga. Kemudian ada tok guru mereka yang mula buat ajaran bidaah. Kerana orang Arab itu banyak yang miskin, baju pun tiada, maka mereka tidak mampu nak beli kain ihram untuk dipakai semasa tawaf. Tok guru itu ajar supaya mereka pakai yang ‘original’ – telanjang bogel, sebab di Padang Mahsyar nanti, semua orang akan telanjang pun. Yang menjaga mereka semasa mereka menjalankan tawaf dan saei itu adalah penghulu Mekah, iaitu tok nenek Nabi, keturunan Nabi Muhammad seperti Abdul Mutalib.

Mereka berbogel kononnya untuk tunjuk ikhlas. Lelaki dan perempuan tawaf bogel bersama-sama. Dalam ramai-ramai itu adalah yang datang berpasangan. Bila dah bertelanjang, maka ada yang telah teransang. Sambil tawaf, mereka bercadang untuk berzina dalam Kaabah, kononnya tempat yang paling molek sekali. Yang perempuan bernama Naelah dan yang lelaki bernama Asif. Pintu Kaabah itu dulu sama tinggi dengan tanah. Maka senang untuk mereka masuk. Mereka telah masuk dan dah nak hampir berzina dah. Tapi dalam mereka hendak berzina itu, Allah takdirkan mereka jadi batu. Waktu itu, berhala belum ada lagi di sekeliling Kaabah.

Semua percaya bahawa perbuatan mereka itu adalah perbuatan yang salah, maka mereka kena buang batu itu. Tapi puak bidaah hendak mempamerkan batu itu sebagai peringatan kepada orang yang datang di kemudian hari sebagai pencegahanan orangramai untuk tidak berzina. Yang ramai adalah puak bidaah, maka pendapat mereka lebih kuat. Niat mereka adalah baik juga – untuk memberi peringatan kepada orang ramai. Mereka sandarkan patung-patung itu pada Kaabah. Zaman berzaman berlalu, mereka sudah lupa kenapa batu itu ada disitu. Lama kelamaan, mereka sangka itulah Tuhan mereka. Yang seorang lelaki dan seorang lagi perempuan.

Lama kelamaan, apabila datang berhala sembahan seperti Latt, Uzza dan sebagainya, mereka telah letak patung pasangan berzina itu di dua buah bukit yang kita pun kenal sekarang – Safa dan Marwah. Jadi, apabila nak bersaie, mereka akan jamah kaki patung Asif dan Naelah itu. Macam kita sekarang, kita akan lambaikan tangan disitu. Kita buat kerana kita ikut Nabi kita ajar, tapi mereka lakukan itu sebagai pemujaan dan hormat kepada batu itu.

Jadi sahabat-sahabat Nabi telah pernah buat begitu semasa dalam Jahiliah. Tapi apabila mereka telah masuk Islam dan mereka hendak melakukan Umrah, mereka enggan untuk buat saie di Safa dan Marwah kerana mereka ingat lagi bahawa ada berhala disitu. Waktu mereka buat tawaf semasa itu, Kaabah masih lagi dikelilingi berhala. Mereka takut kalau-kalau mereka terbuat perkara yang salah. Sebab mereka tahu bahawa ada perbuatan masyarakat Arab dulu bukanlah dari agama yang sebenar tapi telah diubah setelah peredaran masa yang lama. Maka turunlah ayat ini untuk membenarkan mereka saie di Safa dan Marwah. Cuma tak boleh jamah kaki patung itu.

Kejadian ini terjadi pada tahun tujuh Hijrah, ketika para sahabat melakukan umrah yang pertama. Ketika ini Nabi tiada mengikuti mereka. Pada tahun sebelumnya, iaitu pada tahun enam Hijrah semasa Nabi pergi, mereka tidak dibenarkan untuk mengerjakan umrah oleh Puak Musyrikin. Waktu itulah terjadinya perjanjian Hudaybiah. Tahun enam Hijrah itu mereka tidak boleh mengerjakan umrah, tapi boleh datang pada tahun depannya. Jadi, pada tahun tujuh Hijrah, sahabat-sahabat sahaja yang pergi. Semasa nak pergi, mereka yang dah biasa buat umrah semasa zaman Jahiliyah dulu, mereka tahu tentang dua berhala itu. Mereka takut untuk buat saie kerana ada patung-patung itu kerana takut mereka melakukan perkara yang syirik. Begitulah sejarah ringkas. Kalau kita tidak tahu latarbelakang apa yang terjadi waktu itu, kita tidak dapat faham apakah maksud ayat ini.

2:158

Sahih International

Indeed, as-Safa and al-Marwah are among the symbols of Allah . So whoever makes Hajj to the House or performs ‘umrah – there is no blame upon him for walking between them. And whoever volunteers good – then indeed, Allah is appreciative and Knowing.

Malay

Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ

Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian dari lambang-lambang keagungan Allah;

شَعَائِرِ  adalah sesuatu yang menyebabkan timbul perasaan dalam diri kita. Contohnya kalau kita dah lama tak berjumpa sanak saudara kita dan bila kita nampak mereka, kita menangis. Ianya sesuatu yang membangkitkan perasaan kita. Tempat yang sentimental kepada kita. Kita sepatutnya ingat tentang kesusahan yang dilalui oleh Hajar dan anaknya semasa kita di sana.

 فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ

Maka sesiapa yang berhaji atau umrah kepada Baitillah

Waktu ayat ini diturunkan, umat Islam belum lagi boleh pergi buat Haji atau Umrah kerana tempat itu masih lagi di tangan musyrikin Mekah. Waktu itu, mereka sudah mengadap ke Kaabah setiap hari dalam solat mereka selepas kiblat ditukar ke Mekah. Dan sekarang Allah memberitahu mereka bahawa mereka akan dapat buat Haji dan Umrah ke sana. Mereka sudah gembira dalam hati mereka.

Maka, sekali lagi diberikan isyarat bahawa mereka akan kena perang ke sana untuk membebaskan Kaabah dari berhala-berhala syirik Arab Jahiliah.

 فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا

tidaklah berdosa baginya untuk mereka tawaf diantara keduanya;

Walaupun sebut ‘tawaf’ dalam ayat ini, tapi ia sebenarnya adalah perbuatan saie juga. Kerana saie itu juga macam perbuatan tawaf juga. Kerana ada pusing juga dari satu bukit ke satu bukit. Apabila turun ayat ini, barulah mereka hendak buat amalan Saie. Kalau tidak, mereka hanya akan buat tawaf di Kaabah sahaja. Jadi, kena cerita latar belakang sejarah dulu, baru tahu makna ayat ini.

Kenapa dalam ayat ini, Allah kata tidak salah sedangkan itu memang sudah arahan dari Dia? Ini kena tahu kisah sebelum kedatangan Islam. Ada satu pasangan lelaki dan perempuan yang hendak berzina di Kaabah. Allah telah tukarkan mereka jadi batu. Mulanya disandarkan pada Kaabah tapi kemudian telah diletakkan satu batu di Safa dan satu lagi di Marwah. Orang yang datang kemudian selepas mereka telah sangka yang syarat untuk sah haji kena sentuh dua batu itu. Sedangkan asalnya ia diletakkan di situ adalah sebagai amaran kepada manusia, yang kalau buat maksiat di Tanah Haram, boleh jadi macam itu. Orang yang datang kemudian lagi dari mereka pula kata kena puja pula batu itu. Mereka sudah mula minta hajat kepada patung itu pula.

Jadi, perkara yang dilakukan oleh mereka itu adalah perbuatan syirik. Para sahabat yang telah faham bahaya syirik takut untuk pergi ke Safa dan Marwah kerana dulu semasa mereka Jahiliyah, mereka pergi ke sana atas dasar syirik. Walaupun Allah telah syariatkan Saie di Safa dan Marwah, mereka masih enggan kerana terkenangkan perbuatan mereka dahulu. Maka kerana itulah Allah turunkan ayat ini untuk memberitahu bahawa ianya dibenarkan. Kerana penyembahan kepada baru itu datang kemudian, bukan ajaran asal.

وَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا

Dan sesiapa yang mengerjakan tawaf itu secara sukarela, itu adalah lebih baik baginya.

تَطَوَّعَ adalah melakukan sesuatu dengan sukarela. Buat sesuatu yang lebih.

 فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ

Dan Allah itu Maha Membalas kesyukuran makhluk;

Bukan Allah bersyukur kepada kita, tapi Allah akan membalas perbuatan baik makhluk. Siapa yang mahu buat lebih lagi, Allah membalas balasan setimpal dengan apa yang mereka kerjakan. Allah amat berterima kasih. Kuantiti amalan akan dibalas setimpal malah lebih lagi.

Allah akan suka dengan perbuatan amal kebaikan kita. Ini selalu yang memalukan kita. Bayangkan emak kita suruh kita telefon dia sekala sekala, dia akan suka, dia kata. Bukankah ianya adalah sesuatu yang sepatutnya kita lakukan? Sama macam ayat ini. Ianya adalah sesuatu yang sepatutnya kita lakukan, tapi Allah kata Dia akan bersyukur kepada kita.

عَلِيمٌ

Dan Maha Mengetahui:

Allah Maha Mengetahui ikhlas atau tidak ibadat hambaNya. Maha mengetahui hati hambaNya, Dia tahu sebanyak mana ada ikhlas dalam hati hamba. Kalau banyak amalan tetapi tidak ikhlas, tidak diterima amalan itu walau betapa banyak pun. Maka kalau kuantiti banyak tapi tidak ada kuantiti, tidak ada guna.

Baqarah 152-158


 

Ayat 159: Ayat ini adalah ayat Zajrun dan takhwif ukhrawi. Ianya asal diturunkan tentang perbuatan golongan Yahudi, tapi ayat ini berbentuk umum. Oleh itu, bukan ditujukan hanya kepada mereka sahaja. Dulu sahaja ianya untuk menegur golongan Yahudi kerana mereka menyembunyikan ajaran penting dalam Kitab Taurat dari masyarakat. ‘Menyembunyikan’ itu bermaksud tidak mengajarkan kepada umat. Kalau benda yang berat dan mereka rasa umat awam tak boleh terima, mereka tak beritahu.

Sebagai contoh, kalau golongan miskin melakukan zina, mereka dikenakan hukuman rejam yang ada dalam Taurat tapi kalau golongan bangsawan pula yang melakukan zina, mereka cuma dicalit hitam pada muka dan dimalukan di khalayak ramai sahaja. Apabila golongan miskin tanya kenapa pula ada dua jenis hukuman yang berbeza, akhirnya ulama Yahudi terus kata yang hukuman rejam pun tidak ada dalam Taurat. Mereka sembunyikan terus hukum yang memang jelas ada dalam Taurat.

Begitu juga kedatangan Nabi Muhammad telah jelas ada dalam kitab mereka tapi mereka sembunyikan juga. Dan banyak lagi perkara yang mereka sembunyikan.

Ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang mengajar tapi takut kepada orang jahil. Ada antara guru yang takut kepada anak murid sampai mereka tidak mengajar tauhid yang sebenar kepada manusia. Ayat ini kepada orang alim yang takut. Juga ditujukan kepada mereka yang belajar dan takut untuk menyampaikan perkara yang sebenar kepada orang lain.

2:159

Sahih International

Indeed, those who conceal what We sent down of clear proofs and guidance after We made it clear for the people in the Scripture – those are cursed by Allah and cursed by those who curse,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan

مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ

apa yang telah Kami turunkan dari keterangan yang nyata;

Yang disembunyikan oleh mereka yang takut untuk mengajar itu adalah hukum-hukum akidah dan hukum-hukum amal

وَالْهُدَىٰ

dan petunjuk

 

مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ

setelah Allah jelaskan sejelas-jelasnya kepada manusia dalam Quran itu;

Contohnya mereka takut nak cerita pasal hal pantang-pantang selepas bersalin. Mereka takut hendak kata kepada anak murid mereka bahawa amalan pantang yang diamalkan oleh orang Melayu itu adalah haram – kerana mengharamkan makanan yang Allah telah halalkan. Mereka takut kalau mereka cakap nanti, orang perempuan sudah tidak mahu datang kelas dia lagi. Takut anak murid lari. Padahal kita kena beritahu mana yang betul dan mana perbuatan yang salah. Jangan takut kepada orang yang jahil.

Asalnya ayat ini adalah ditujukan kepada Ahli Kitab yang menyembunyikan ajaran-ajaran dalam Kitab mereka. Contohnya mereka menyorok tentang kedatangan Nabi Muhammad, tentang pertukaran kiblat, tentang kebenaran yang ada dalam Quran dan sebagainya. Ini adalah kerana pada mereka, bangsa selain dari bangsa Yahudi tidak layak untuk mendapat ilmu dari langit. Sekarang ayat ini tentang manusia yang tahu apa yang ada dalam Quran tapi tidak memberitahu kepada manusia lainnya.

Kita sekarang tidak dapat nak memadamkan apa yang ada dalam Quran seperti mana yang telah dilakukan oleh Ahli-ahli Kitab dahulu kepada kitab-kitab mereka. Ini adalah kerana sekarang Quran telah dipelihara oleh Allah. Tak boleh nak tukar-tukar dah apa yang ada dalam Quran. Tapi cara kita menyembunyikan Quran adalah kita tidak mengajar atau menyebut tentang ayat-ayat yang kira rasa ‘sensitif’ kepada masyarakat. Samada masyarakat yang sudah Islam atau masyarakat yang bukan Islam. Kerana kita takut dikatakan kita jenis yang ekstrem. Atau takut dikatakan kita jenis orang yang melampau. Takut agama lain memandang kita sebagai ganas dan sebagainya. Kadang-kadang kalau kita menyebut dari ayat Quran yang mereka pandang sebagai ‘sensitif’, ada kemungkinan orang Islam sendiri akan datang berjumpa dengan kita dan mengatakan kita tidak sepatutnya menyebut tentang ayat itu. Itu juga sudah dikira menyembunyi.

Tidak ada apa yang perlu kita sorok daripada Quran ini. Ianya adalah untuk semua manusia – samada yang Islam ataupun tidak. Banyak ayat-ayat dimulakan dengan ‘Wahai manusia’ – itu menunjukkan ayat Quran ini juga untuk manusia keseluruhannya, bukan untuk orang Islam sahaja. Kalau kita faham Quran ini, kita akan tahu bahawa tidak ada perkara yang patut kita sorok dari Quran itu. Mesej yang hendak disampaikan adalah mesej sejagat, untuk semua orang. Ianya sesuai untuk setiap manusia.

أُولَٰئِكَ

Mereka-mereka yang bersifat seperti ini,

 يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ

akan mendapat laknat dari Allah;

Apakah maksud ‘laknat’: tidak akan diampun dosa dan tidak akan diberi rahmat untuk orang itu masuk syurga. Apabila tidak mengajar pun, sudah termasuk dalam perbuatan sembunyi juga. Maksudnya, ada antara kita yang dah tahu, tapi simpan sendiri, tak beritahu kepada orang lain. Padahal, kita kena beritahu, samada mereka terima atau tidak, itu bukan tugas kita. Kita hanya diarah untuk memberitahu sahaja. Kita bukan ada kuasa untuk beri hidayat.

Kadang-kadang kita takut nak beritahu kerana kita ada sesuatu yang kita hendak dari mereka. Contohnya, kita hendak mereka berkawan dengan kita. Atau mereka itu adalah orang yang memberi wang kalau kita mengajar di surau mereka – jadi kita takut kalau kita tidak dijemput lagi, kita hilang punca pendapatan. Itu semua adalah hal dunia sahaja. Jangan kita gadai hal akhirat kerana hendakkan hal dunia.

 وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ

dan akan mendapat laknat juga dari mereka yang melaknati;

Selain dari Allah, ada lagi yang akan melaknat mereka itu. Antaranya, malaikat. Ada malaikat yang Allah jadikan khas dan tugas mereka hanya untuk melaknat mereka yang menyimpan ilmu yang ada dalam Quran.

Mereka akan dilaknat oleh manusia dan yang berhak melaknat mereka. Termasuklah dari golongan jin, manusia dan malaikat akan melaknat mereka. Mereka dilaknat kerana mereka sembunyikan hukum sampai hukum yang sebenar tidak ditegakkan.

Selain dari itu, orang-orang yang mengajar tauhid yang benar pun akan melaknat mereka. Kenapa kita marah kepada mereka? Kerana mereka sudah tahu, tapi tidak memberitahu kepada masyarakat. Mereka dah belajar sunnah dah sebenarnya. Tapi kerana mereka takut untuk memberitahu, kerana mereka tidak sanggup untuk menyampaikan. Jadi, apabila ada diantara kita yang memberitahu kepada masyarakat perkara yang sebenar, masyarakat pandang serong kepada kita kerana mereka tidak mendengarnya dari orang lain. Nampak macam kita sahaja yang pandai-pandai mengatakan sesuatu itu salah, padahal orang lain tidak cakap pun ianya salah. Padahal, mereka tak cakap ianya salah sebab mereka takut nak cakap. Kita yang berani cakap pula ini yang dianggap songsang oleh masyarakat.

Selain dari itu, mereka yang tidak diberitahu itu pun akan melaknat mereka yang tidak memberitahu. Kerana mereka akan dimasukkan ke neraka nanti kerana mereka ada buat syirik kerana mereka tidak tahu yang apa yang mereka lakukan selama ini adalah syirik. Mereka akan melaknat orang-orang yang tahu tapi tidak memberitahu, kerana kalau mereka memberitahu, mungkin mereka akan ikut cakap mereka itu dan tidak masuk ke neraka disebabkan oleh kesalahan syirik yang mereka telah lakukan kerana mereka tidak tahu.


 

Ayat 160: Maka, siapakah yang selamat?

2:160

Sahih International

Except for those who repent and correct themselves and make evident [what they concealed]. Those – I will accept their repentance, and I am the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا

Melainkan kepada orang-orang yang sudah bertaubat.

Mereka yang selamat dari dilaknat itu adalah mereka yang sempat bertaubat semasa mereka hidup lagi. Kalau sudah mati, tidak sempat bertaubat, tidak ada gunanya. Mereka bertaubat dari kesalahan mereka menyembunyikan ajaran-ajaran dari wahyu.

وَأَصْلَحُوا

dan memperbaiki balik perbuatan mereka;

Dan memperbaiki amalan mereka. Tidak sembunyi dan bahkan mula mengajar. Tidak kira samada manusia boleh terima atau tidak. Mereka sudah mula mengajar balik dan memberitahu kepada manusia tentang kebenaran.

وَبَيَّنُوا

dan menjelaskan dengan sejelas-jelasnya;

Dan kena beritahu. Kerana sebelum ini mereka sembunyikan, maka sekarang mereka kena beritahu kepada manusia. Kalau dulu mereka sembunyi, tapi apabila mereka sudah bertaubat, mereka kena jelaskan kepada manusia. Kalau zaman kita, kita kena menjelaskan Quran. Kalau kita tidak menjelaskan bermakna, kita menyorok ayat-ayat Quran.

Selalunya yang disembunyi adalah tentang tauhid dan tentang syirik kepada Allah. Amalan salah yang dibuat oleh manusia itu adalah kerana mereka yang sembunyi dari pengetahuan masyarakat. Jadi, apabila yang mengajar tidak mendapat sokongan, mereka yang sanggup cerita sahajalah yang kena tohmah dengan masyarakat. Sebab nampak macam mereka sahaja yang memandai-mandai mengatakan sesuatu amalan itu syirik.

فَأُولَٰئِكَ

Maka mereka-mereka yang bersifat seperti itu,

 أَتُوبُ عَلَيْهِمْ

Aku akan terima taubat mereka;

Ayat-ayat inilah yang memberi semangat kepada kita untuk menyampaikan Quran kepada manusia. Jangan simpan apa yang ada dalam Quran. Tapi bagaimana kita hendak menyampaikan kalau kita sendiri tidak tahu tentang Quran? Bagaimana kalau kita sendiri tidak belajar tafsir? Maka, kita sendiri kena belajar dulu.

 

وَأَنَا التَّوَّابُ

dan Akulah Penerima Taubat

Allah menggunakan perkataan أَنَا dalam ayat ini. Jarang Allah membahasakan DiriNya sebegini (menggunakan kataganti diri yang pertama). Selalunya Allah akan membahasakan DiriNya dengan perkataan ‘Kami’. Allah akan menggunakan perkataan أَنَا itu jikalau Allah hendak menekankan SifatNya yang Amat Menerima Taubat, atau dalam keadaan Amat Marah.

Perkataan ‘taubat’ bermaksud ‘sentiasa’ menerima keampunan makhlukNya. Walaupun banyak kali kesalahan yang dibuat dan berkali-kali makhluk minta ampun atas kesalahan yang sama, Allah sanggup untuk menerima ampun itu dan memaafkan hambaNya yang sanggup untuk bertaubat kepadaNya.

الرَّحِيمُ

Maha Mengasihani;

Sesiapa yang telah diterima taubatnya, tidak akan diseksa di akhirat nanti. Allah akan belas kasihan kepada hamba itu. Allah tidak akan sanggup untuk azab orang yang telah diberi taubat olehNya.


 

Ayat 161: Tapi bagaimana nasib mereka yang tidak sempat bertaubat dan memperjelaskan kebenaran kepada manusia?

2:161

Sahih International

Indeed, those who disbelieve and die while they are disbelievers – upon them will be the curse of Allah and of the angels and the people, all together,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Sesungguhnya orang-orang yang masih lagi engkar;

Iaitu mereka yang tidak sebar pembongkaran syirik yang dibuat oleh manusia. ‘Kufur’ dalam ayat ini bermaksud mereka yang masih lagi tidak mahu bertaubat dari menyembunyikan apa yang ada dalam Quran. Masih lagi mereka menyembunyikan ajaran-ajaran dari Quran itu. Mereka tidak sempat bertaubat dan mereka mati kafir dalam syirik.

 وَمَاتُوا

dan mereka itu mati

Mereka mati dan tidak sempat bertaubat. Oleh itu, ingatlah jangan kita tangguh-tangguhkan taubat kita. Kerana kita tidak tahu bila kita akan mati.

 وَهُمْ كُفَّارٌ

dan mereka dalam keadaan kufur

Mereka mati itu dalam syirik; atau mereka mati itu tidak sempat beritahu kebenaran kepada manusia lain.

أُولَٰئِكَ

orang-orang yang bersifat seperti ini

عَلَيْهِمْ لَعْنَةُ اللَّهِ

keatas mereka laknat daripada Allah;

Mereka tidak diberi rahmat Allah untuk masuk syurga. Tidak ada harapan untuk mereka masuk syurga. Padahal mereka mungkin tidak buat syirik. Tapi salah mereka adalah mereka tidak beritahu kepada manusia. Mereka inilah yang dipanggil ‘syaitan bisu’. Inilah yang dipanggil Ulama su’.

Perhatikan perbezaan perkataan ‘laknat’ yang digunakan dalam ayat ini dan ayat sebelumnya. Dalam ayat sebelum ini, perkataan yang digunakan adalah يَلْعَنُهُمُ – melaknat – perkataan ini dalam bentuk katakerja (verb) – bermakna, ianya dalam bentuk sementara. Kalau mereka bertaubat, maka Allah akan menerima taubat mereka. Tapi dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah لَعْنَةُ – laknat – dalam bentuk katanama (noun) bermaksud ianya sudah tetap. Tidak boleh diubah lagi. Kerana mereka sudah mati dan mereka tidak bertaubat semasa mereka hidup dahulu. Dan mereka tidak sempat memperbetulkan kesalahan yang mereka telah lakukan. Mereka tidak ada harapan untuk mendapat taubat Allah dan sekarang. Tempat mereka adalah neraka jahannam. Mereka akan mendapat laknat sampai bila-bila.

وَالْمَلَائِكَةِ

dan laknat para malaikat

 وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

dan laknat manusia semua sekali;

Orang yang tidak diberitahu kesalahan mereka semasa mereka di dunia dulu pun akan laknat mereka yang menyimpan ilmu. Dia marah kita sebab kita ada dengan dia dulu, tapi tak beritahu kepada mereka.

Ibaratnya kita ada ubat yang mampu untuk mengubat kanser, tapi kita tak beritahu kepada orang lain. Kita simpan sendiri sahaja. Tentulah orang akan marah kita sebab kita simpan ubat itu. Apakah lagi sakit yang lebih teruk dari melakukan kesalahan dalam agama? Ianya lebih teruk dari kanser.

Ma sha Allah, apakah nanti alasan kita di akhirat nanti apabila orang-orang yang mati kafir itu berhujjah bahawa kita tidak pernah memberitahu mereka tentang Islam? Kita jiran mereka, kawan mereka, sahabat mereka, rakan sekerja mereka tapi kita tidak pernah memberitahu kepada mereka tentang kebenaran. Mereka nanti akan kata ramai orang Islam yang mereka kenal, tapi orang-orang Islam itu tidak pernah memberitahu mereka tentang agama Islam yang indah ini. Sepatutnya kita menjadi duta kepada agama Islam.

Sekarang hidayah ini perlu disampaikan kepada seluruh manusia di dunia ini. Bagaimana dengan orang-orang yang tinggal di pulau yang tidak sampai maklumat kepada mereka? Bagaimana dengan mereka? Sebenarnya tugas kita untuk menyampaikan kepada mereka. Lihatlah ayat ini yang menyebut tentang keseluruhan manusia. Tugas kita sebagai muslim untuk menyampaikan ajaran agama ini kepada manusia. Tapi sudahkah kita menjalankan tugas kita ini?


 

Ayat 162:

2:162

Sahih International

Abiding eternally therein. The punishment will not be lightened for them, nor will they be reprieved.

Malay

Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.

خَالِدِينَ فِيهَا

Kekal mereka dalam neraka

Mereka tidak ada peluang untuk masuk syurga. Mungkin kita selalu sangka bahawa orang Islam akan akhirnya masuk syurga setelah diseksa sekian lama di neraka, tapi tidak ada kesempatan itu kepada mereka yang menyembunyikan ajaran dari Quran. Ma sha Allah.

 لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ

dan tidak diringankan daripada mereka azab itu

Mungkin kepada orang lain, ada azab yang dapat diringankan. Tapi tidak diringankan sedikitpun kepada mereka yang menyembunyikan ajaran dari Quran.

وَلَا هُمْ يُنْظَرُونَ

dan mereka tidak diberi tangguh dari diseksa;

Tak boleh nak suruh malaikat yang menyeksa itu untuk beri tangguh sekejap. Kadang kalau kita dengan kawan sedang berlumba, mungkin kita boleh kata: “tunggu sekejap, aku penat dah ni”. Tapi dengan malaikat, dengan seksa itu, tidak ada tangguh lagi.


 

Ayat 163: Ini adalah pengulangan semula ayat 21. Allah ulang semula maksud/Dakwa surah Baqarah ini. Allah hendak mengingatkan yang ibadah dan doa hanya kepada Allah. Tidak boleh campur aduk.

Bezanya dalam ayat dulu, ayat 21 menafikan syirik iktikad – dari segi akidah. Dalam ayat ini, ianya menolak syirik amali (perbuatan). Ada orang yang sudah mempunyai akidah syirik tapi dia tidak lakukan lagi. Itu pun sudah salah sebenarnya. Tapi ada yang telah melakukannya. Sebagai contoh, ada yang berpantang makanan yang dihalalkan oleh Allah. Ini adalah amalan syirik dari segi amali. Ianya dilakukan kerana sudah ada akidah syirik dalam iktikadnya.

2:163

Sahih International

And your god is one God. There is no deity [worthy of worship] except Him, the Entirely Merciful, the Especially Merciful.

Malay

Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ

Dan Tuhan bagi kamu semua adalah Tuhan yang satu;

Tidak ada yang lain. Dia Maha Esa.

 لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ

Tidak ada lagi yang layak disembah, pujaan, melainkan Tuhan yang bernama Allah sahaja

Selepas Allah menceritakan tentang seksa yang akan diberikan kepada mereka yang menyembunyi ilmu dari Quran, Allah sambung dengan ayat-ayat ini. Allah hendak mengatakan bahawa hanya Dialah yang layak disembah, bukan tuhan-tuhan lain. Tapi kalau kita sebagai pemegang Quran tidak menyampaikan ajaran Quran itu, bukankah kita telah melakukan satu kesalahan yang amat besar? Itulah sebabnya Allah beri seksaan yang berat kepada mereka yang menyembunyikan Quran itu.

Orang-orang bukan Islam tidak kenal Allah kerana kita tidak menyampaikan ayat-ayat Allah kepada mereka. Siapa yang hendak sampaikan kepada mereka kalau bukan kita?

الرَّحْمَٰنُ

Yang bersifat Maha Penyayang;

Maknanya, Allah beri lagi nikmat kepada manusia walaupun mereka duduk dalam kafir.

Allah bersifat Maha Penyayang. Salah satu hasil dari sifat itu adalah Allah telah memberikan Quran kepada seluruh manusia. Tapi kalau kita tidak sampaikan, maka rahmat itu tidak disampaikan kepada seluruh makhluk. Maka kita telah melakukan satu kesalahan yang amat besar. Sebab itulah Allah marah sangat kepada mereka yang menyembunyikan ayat-ayat Quran.

الرَّحِيمُ

Dan Maha Mengasihani;

Bagi manusia yang sudah diuji iman mereka, bila mati, Allah akan memberikan nikmat yang tidak terhingga kepada mereka.

Rahman – sifat pemurah Allah yang luas yang diberikan kepada semua makhluk

Raheem – sifat pemurah dan kasih sayang Allah yang diberikan hanya kepada hambaNya yang mukmin.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s