Tafsir Surah Baqarah Ayat 146 – 153 (Tazkiyah)

Ayat 146:

2:146

Sahih International

Those to whom We gave the Scripture know him as they know their own sons. But indeed, a party of them conceal the truth while they know [it].

Malay

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka Kitab,

Iaitu Kitab Taurat dan Injil

 يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ

mereka mengenalinya (Nabi Muhammad dan sifatnya) sepertimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri;

Mereka boleh kenal Nabi Muhammad kerana telah ada tertera penerangan tentang Nabi Muhammad dalam kitab mereka. Dan sifat-sifat Nabi sama macam apa yang ada dalam kitab mereka. Mereka tahu yang Nabi akhir zaman itu adalah orang Arab dan akan datang ke Yathrib.

Kenapa diberikan perumpamaan anak dalam ayat ini? Kerana tentulah kita kenal anak kita sendiri kerana kita sudah biasa sangat dengan anak kita. Macam juga kita kenal sifat-sifat Imam Mahdi dan Dajjal dari kitab-kitab kita. Sebab kita selalu dengar kisah mereka disebut-sebut. Allah nak beritahu yang memang ulama-ulama Ahli Kitab itu kenal sungguh dengan Nabi Muhammad sepertimana mereka kenal anak-anak mereka. Seorang ayah tentunya kenal anak dia lebih lagi dari seorang anak kenal ayah dia. Kerana ayah tengok anak dari kecil lagi, tapi seorang anak cuma kenal ayah dia bila ayah itu sudah dewasa. Oleh kerana dia kenal anak dia dari kecil lagi, seorang ayah itu akan tahu segala tanda pada anak Begitulah ulamak Yahudi kenal Nabi Muhammad.

Ada juga yang mengatakan bahawa هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada kiblat. Iaitu Ahli Kitab itu kenal kiblat ke Kaabah itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri. Ini adalah kerana ayat-ayat sebelum ini adalah tentang kiblat.

Ada juga yang mengatakan bahawa هُ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada Quran. Iaitu Ahli Kitab itu kenal Quran itu seperti mereka kenal anak mereka sendiri kerana kebenaran yang ada di dalamnya juga sama seperti apa yang telah ada dalam kitab mereka.

Manakah yang benar? Ketiga-tiganya boleh dipakai.

 وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ

Dan sesungguhnya ada segolongan diantara mereka menyembunyikan kebenaran;

Golongan ulama mereka menyembunyikan kebenaran kepada golongan awam mereka.

Iaitu kebenaran bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasul akhir zaman.

Atau menyembunyikan yang kiblat ke Mekah itu adalah kiblat yang benar.

Atau menyembunyikan yang Quran itu adalah Kitab dari Allah juga.

 وَهُمْ يَعْلَمُونَ

sedangkan mereka tahu;

Mereka tahu kebenaran, tapi mereka kata kepada anak murid mereka bahawa Nabi akhir zaman itu mesti dari kalangan Yahudi.

Macam sekarang, guru-guru selalu kata kena ikut Quran dan Sunnah. Tapi apabila datang golongan yang membawa Sunnah, mereka kata tak boleh pula ikut golongan yang hendak ikut sunnah itu. Mereka tahu bahawa apa yang diajar oleh mereka yang mengajar berdasarkan sunnah itu adalah benar, tapi mereka masih lagi tidak mahu nak ikut.


 

Ayat 147: Allah beri penegasan dalam ayat ini.

2:147

Sahih International

The truth is from your Lord, so never be among the doubters.

Malay

Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ

Sesungguhnya kebenaran itu dari Tuhan kamu;

الْحَقُّ Kebenaran yang dimaksudkan adalah Quran. Itulah kebenaran yang kita kena ikut. Allah telah beritahu kebenaran dengan kedatangan Nabi Muhammad. Tapi ulama Ahli Kitab telah menyembunyikan kebenaran itu. Ulama Ahli Kitab juga telah menipu golongan awam mereka dengan mengatakan bahawa kiblat ke BaitulHaram itu tidak ada dalam kitab mereka. Mereka menyembunyikan ilmu itu dari masyarakat. Termasuk juga mereka telah menyembunyikan maklumat itu dari orang Arab Madinah yang telah masuk Islam. Mereka menggunakan kedudukan mereka yang telah lama menganut agama Yahudi dan Kristian untuk menipu masyarakat waktu itu. Mereka kata mereka patut yang lebih layak untuk diikuti kerana orang Arab tidak pernah diturunkan kitab oleh Allah sebelum itu. Mereka kata merekalah yang lebih pandai dalam hal agama. Oleh kerana mereka dipandang sebagai orang yang berilmu oleh masyarakat waktu itu, mereka telah menyebabkan masyarakat waktu itu ragu-ragu. Maknanya mereka telah menggunakan kedudukan mereka dengan cara yang salah.

Begitu jugalah yang terjadi dalam masyarakat kita sekarang. Ada orang-orang agama seperti ustaz-ustaz yang telah mendapat kedudukan dalam agama tapi menipu dalam hal agama. Mereka ada yang kata mereka tidak pernah mendengar larangan Allah tentang sesuatu amalan bidaah. Contohnya, mereka kata Nabi tidak pernah melarang untuk mengadakan majlis kenduri arwah. Dan oleh kerana mereka telah ada kedudukan, atau mereka telah terkenal kerana telah masuk dalam media massa dan sebagainya, masyarakat lebih memandang mereka sebagai yang ada autoriti dalam agama.

Padahal, hujjah mereka itu adalah hujjah yang batil. Kerana memang Nabi sudah melarang mengadakan kenduri pada hari kematian. Dan banyak lagi hujjah-hujjah mereka yang bukan diambil dari Quran dan Sunnah untuk membenarkan kesalahan dalam fahaman dan amalan dalam masyarakat. Mereka pakai hujjah akal sahaja atau pendapat manusia, tanpa merujuk kepada nas yang sahih. Tapi kerana mereka telah ada kedudukan, pandangan mereka telah diambil kira oleh mereka yang jahil. Ini telah menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat awam jadi keliru tentang manakah pendapat yang benar. Kebanyakan dari masyarakat tentunya akan memilih golongan agamawan yang telah terkenal, tambahan lagi amalan yang mereka lakukan itu telah sebati dalam masyarakat, jadi mereka sangka takkan salah pula?

 فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

dan janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu;

Iaitu, janganlah kamu ragu-ragu apabila kebenaran telah datang. Kedatangan Nabi Muhammad itu memang benar; kiblat ke Kaabah itu memang benar; Quran itu memang benar.

Begitu jugalah kita, janganlah kita termasuk orang yang keliru apabila nas yang sahih telah diberikan. Jangan kita termakan dengan kata-kata mereka yang hanya memberikan dalil yang batil sahaja untuk menguatkan hujjah mereka. Ingatlah bahawa pegangan pertama kita adalah Quran dan Sunnah yang sahih. Jangan kita ragu-ragu apabila telah diberikan dengan nas-nas seperti itu. Kita pun telah tahu bahawa Quran dan Sunnah itu adalah rujukan utama kita, jadi kenapa nak ragu-ragu? Kenapa nak melebihkan pandangan manusia dari apa yang Allah dan RasulNya telah sampaikan? Belajarlah agama dan carilah maklumat sebanyak mungkin dan bukalah minda untuk memikirkan manakah pandangan yang lebih kuat – kata Allah atau kata manusia?


 

Ayat 148: Hikmah mengadap kiblat adalah melatih kita untuk ikut arahan tanpa soal. Allah hendak menguji manusia siapakah yang ikut arahan. Lihatlah bagaimana Muslim yang beriman sempurna akan ikut arahan – apabila disuruh mengadap ke BaitulMaqdis, mereka ikut dan apabila disuruh mengadap ke Mekah, mereka ikut juga.

Keduanya, tidak ada rugi pun kalau ikut mana-mana arah. Yang pentingnya adalah ibadat yang dikaitkan dengannya – iaitu ibadah solat. Hadap ke mana tidak penting, yang penting adalah mengadap ke arah Kiblat.

2:148

Sahih International

For each [religious following] is a direction toward which it faces. So race to [all that is] good. Wherever you may be, Allah will bring you forth [for judgement] all together. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا

Dan bagi setiap umat, ada arah kiblat masing-masing dan ia mengadap ke arah kiblatnya;

Bagi setiap umat ada kiblat masing-masing. Umat Musa ada kiblat dia, dan Nabi Isa ada kiblat.

 

Kiblat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘tujuan hidup’. Kerana kata ayat di atas adalah sebagai satu perpatah. Dalam Allah menyebut tentang hal kiblat, Allah tiba-tiba masuk menyebut tentang perkara yang umum tentang kehidupan. Setiap orang dari kita ada tujuan hidup kita. Yang kita luangkan masa kita setiap hari ke arahnya. Mungkin ada yang hendak jadi ahli sukan yang berjaya, jadi dia akan berlatih bersungguh berhari-hari. Mungkin orang lain tujuannya adalah untuk mendapatkan rumah idamannya, jadi mereka akan memikirkan bagaimanakah mereka boleh mendapatkannya; Apakah tujuan hidup kita?

Dalam zaman sekarang, malangnya ada manusia yang langsung tidak ada tujuan dalam hidup. Mereka hanya berehat dan membuang masa sahaja. Antaranya mereka akan membuang masa di hadapan tv dan menonton apa sahaja yang ada di tv. Mereka tidak mahu berfikir dan menggunakan akal mereka untuk kebaikan. Mereka tidak melazimi majlis ilmu. Mereka tidak buat benda yang berfaedah, seperti membaca, tolong orang lain dan sebagainya. Orang Islam sekarang pun banyak macam ini sekarang. Ini amat menyedihkan sekali. Allah tegur mereka dalam ayat ini.

 

 فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maka berlumba-lumbalah kamu kepada ketaatan;

Yang penting bukannya arah kiblat itu, tapi amalannya. Maka berlumbalah pada melakukan sebanyak banyak amalan kebaikan.

Tujuan hidup kita adalah untuk mentaati Allah. Untuk sampai ke syurga akhirnya. Maka kita kena berlumba-lumba ke arahnya. Inilah perlumbaan yang mulia. Setiap orang tidak sama pencapaian mereka. Akan sampai satu masa, perlumbaan ini akan tamat iaitu apabila kita menemui maut dan apabila telah kiamat. Waktu itu, keputusan akan diberikan. Apakah pencapaian kita? Adakah kita sudah puas dengan usaha kita setakat ini?

‘Ketaatan’ yang dimaksudkan itu boleh jadi macam-macam. Secara spesifik dalam ayat ini adalah tentang mengerjakan haji dan umrah kerana kita sedang membicarakan tentang MasjidilHaram. Tapi, ianya boleh juga digunakan untuk apa-apa sahaja amalan agama dan kerja-kerja kebaikan yang kita boleh lakukan. Kita lakukan semua itu atas dasar ketaatan kepada Allah.

 

 أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا

Di mana sahaja kamu berada, Allah akan kumpul kamu semua sekali di akhirat kelak;

Allah boleh himpunkan kamu sekali gus. Jauh mana pun kamu berada, Allah akan himpun semua sekali.

Sampai satu masa, perlumbaan itu akan tamat dan Allah akan menjalankan perhitungan untuk menilai dimanakah tahap seseorang itu dalam pencapaian mereka. Yang penting waktu itu adalah kita telah banyak melakukan amalan yang baik.

 إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.


 

Ayat 149: Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad.

2:149

Sahih International

So from wherever you go out [for prayer, O Muhammad] turn your face toward al- Masjid al-Haram, and indeed, it is the truth from your Lord. And Allah is not unaware of what you do.

Malay

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ

Dan dari mana arah sahaja kamu keluar;

Arahan ini diberikan kepada Nabi Muhammad, iaitu jika dalam musafir.

 فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

hadaplah wajah kamu ke arah Masjidilharam;

Di mana sahaja berada, kena mengadap MasjidilHaram dalam solat. Ada sahabat yang sangka bahawa mereka kena mengadap MasjidilHaram apabila mereka berada di Masjid Nabi sahaja. Ayat ini Allah menekankan bahawa walau dimana sahaja berada, termasuk apabila keluar dari Madinah, pun mereka kena mengadap ke MasjidilHaram.

 وَإِنَّهُ لَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ

Dan sesungguhnya perintah itu adalah benar dari Tuhanmu;

Hukum mengadap ke kiblat semasa musafir itu benar dari Allah.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai dengan apa sahaja yang kamu lakukan.

Allah akan ambil kira segala perbuatan kita dan akan membalas segala perbuatan kita itu.

Arahan ini memang senang kepada kita sekarang kerana kita memang dari mula solat pun sudah mula mengadap ke Baitullah. Tapi bayangkan apakah yang perlu dihadapi oleh para sahabat waktu itu. Bukan semua dalam keluarga mereka menganut agama Islam. Ada ahli keluarga mereka yang beragama Yahudi dan ada yang Kristian. Jadi hati mereka sebenarnya hendakkan kalau satu keluarga mengadap kepada satu kiblat yang sama. Jadi amat payah untuk mereka untuk mengubah kiblat. Tapi mereka terpaksa juga lakukan seperti yang diarahkan oleh Allah.

Ada juga orang munafik yang mengadap juga ke BaitulMaqdis apabila tidak ada orang yang melihat. Itu sebabnya Allah kata Dia tahu apa yang mereka lakukan. Apa yang mereka lakukan itu adalah kesalahan dan mereka akan dibalas dengan kesalahan yang mereka lakukan itu.


 

Ayat 150: Ayat ini ditujukan untuk umat Islam

2:150

Sahih International

And from wherever you go out [for prayer], turn your face toward al-Masjid al-Haram. And wherever you [believers] may be, turn your faces toward it in order that the people will not have any argument against you, except for those of them who commit wrong; so fear them not but fear Me. And [it is] so I may complete My favor upon you and that you may be guided.

Malay

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ

Dan dari arah mana sahaja kamu keluar,

Walau di mana sahaja berada, walaupun bukan berada di Masjid Nabi.

 فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

hadaplah wajah kamu ke arah MasjidilHaram;

Umat Islam kena mengadap ke arah MasjidilHaram dalam solat walau di mana sahaja berada.

 وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ

Dan dimana sahaja kamu semua berada,

Arahan ini dalam bentuk jamak, iaitu diberikan kepada semua umat Islam. Maknanya, arahan mengadap kiblat ini bukanlah kepada Nabi sahaja, tapi kepada seluruh umat Islam, sepanjang zaman.

فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

hadaplah wajah kamu ke arahnya;

Jangan takut untuk menghadapkan wajahmu ke arah kiblat.

 لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ

Agar tidak lagi menjadi alasan lagi kepada manusia yang ramai-ramai itu,

Supaya ahli-ahli Kitab tidak ada alasan untuk menidakkan kiblat ke MasjidilHaram itu. Kerana ianya telah ada dalam kitab-kitab mereka sendiri yang umat Islam akan mengadap ke MasjidilHaram. Tapi kalau kita tukar kiblat kita balik ke BaitulMaqdis, maka mereka tentu akan mengejek kita. Mereka akan kata kita tidak tetap pendirian. Kalau umat Islam tidak berkiblat ke Kaabah, memang mereka yang mengaji kitab mereka akan tertanya tanya dan timbul persoalan pada mereka.

Dengan kata lain, kita telah memberikan satu hujah yang kuat kepada mereka. Maka kita kena tetap diatas kiblat yang baru ini.

 إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ

melainkan kepada orang-orang yang zalim diantara mereka;

Lafaz zalim dalam ayat ini bermakna: degil. Degil tak mahu nak ikut.

Mereka sudah tidak ada hujah untuk menidakkan kiblat ke MasjidilHaram itu. Kalau ada yang berhujjah juga, itu adalah kerana mereka itu adalah orang yang zalim. Iaitu mereka yang masih lagi hendak berhujjah walaupun mereka tidak ada hujjah yang benar. Kerana mereka hanya mahu berdebat sahaja.

Ada dua golongan: Samada yang zalim tak pakai kitab mereka dan tidak tahu kandungan kitab mereka dan hanya suka mencari salah dengan agama Islam. Atau yang tahu tapi mereka sembunyikan maklumat.

 فَلَا تَخْشَوْهُمْ

Maka janganlah kamu takut kepada mereka;

Jangan hiraukan kepada mereka. Mereka tidak mengiktiraf agama Islam. Mereka melihat Islam sebagai satu agama serpihan dari agama Yahudi dan Nasrani. Allah nak beritahu kepada kita supaya jangan hirau tentang mereka.

وَاخْشَوْنِي

Dan takutlah kamu kepada Aku sahaja.

Sebaliknya, hendaklah kita takut dan taat kepada Allah sahaja. Dalam soal agama jangan takut pada manusia tapi takut pada Allah. Jangan hirau apa kata manusia.

 وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ

agar aku sempurnakan nikmatKu keatas kamu;

Iaitu nikmat syariat ugama Islam. Dan ini adalah sebagai langkah pertama untuk mengambil kembali Kaabah yang waktu itu berada dalam tangan Musyrikin Mekah. Apabila kiblat telah ditukar kepada Kaabah, waktu itu Kaabah masih lagi dipenuhi dengan berhala-berhala. Tentulah orang Islam tidak sedap hati menghadap kepada sesuatu yang masih lagi ada berhala padanya. Maka, orang Islam bertanggungjawab untuk membersihkan Kaabah itu. Maka ianya adalah sebagai satu isyarat bahawa orang Islam akan memasuki Mekah dan membersihkan kembali Kaabah. Setiap kali mengadap kepada Kaabah dalam solat, orang Islam pada zaman Nabi itu akan teringat tentang tugas mereka untuk membersihkan Mekah dari amalan syirik.

 

 وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk.


 

Ayat 151: Ayat panduan bagi mereka yang mengajar. Kena faham dan huraikan balik kepada manusia tentang agama.

2:151

Sahih International

Just as We have sent among you a messenger from yourselves reciting to you Our verses and purifying you and teaching you the Book and wisdom and teaching you that which you did not know.

Malay

(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ

Sebagaimana Kami utuskan kepada kamu

Sepertimana Nabi diutuskan untuk menyempurnakan ajaran agama kepada kamu, begitu jugalah penukaran arah kiblat itu juga untuk menyempurnakan agama kamu. Atau, sepertimana arahan mengadap kiblat ke mekah adalah penyempurnaan nikmat kepada umat Islam, begitu juga Allah pilih Rasul akhir zaman dari kalangan kamu.

 رَسُولًا مِنْكُمْ

Rasul dari kalangan kamu juga;

Allah angkat seorang Rasul akhir zaman dari bangsa Arab. Allah memberi Rasul kepada mereka dari bangsa yang sama supaya mereka senang terima apa yang disampaikan oleh baginda. Kalau diberikan rasul dari bangsa yang lain, tentu mereka ada hujjah untuk tidak terima kerana mereka boleh kata rasul itu tidak faham apakah yang mereka lalui sebagai bangsa Arab.

Ayat-ayat ini adalah hasil dari doa Nabi Ibrahim yang kita telah belajar sebelum ini (ayat 2:129). Nabi Ibrahim telah berdoa supaya Allah memberikan rasul kepada mereka, membacakan ayat-ayat Allah, mengajar mereka kitab dan hikmah dan membersihkan mereka. Ayat yang hampir sama, tapi dalam ayat ini, Allah telah menyempurnakan susunan doa itu. Kerana semasa Nabi Ibrahim berdoa itu, anak baginda adalah Nabi Ismail – seorang yang sudah berakhlak mulia. Tapi umat-umat yang lain, belum tentu lagi. Jadi ada keperluan lain yang diperlukan oleh manusia lain.

Dalam ayat ini, Allah menyebut ‘pembersihan’ dahulu sebelum mengajar kitab dan hikmah. Ini adalah kerana Allah tahu bahawa pembersihan jiwa dari kefahaman syirik perlu dilakukan dahulu sebelum diberi pengajaran Quran dan hikmah. Ini adalah kerana kalau anak murid itu tidak dibersihkan dari fahaman syirik, mereka tidak dapat terima pengajaran Quran dan Hadis. Jiwa mereka tidak dapat terima. Bukan sahaja tak dapat terima, mereka pun tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk belajar.

 

يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا

Yang senantiasa membacakan keatas kamu ayat-ayat Kami;

Allah jelaskan kerja Rasul. Ini adalah susunan yang berbeza dari apa yang Nabi Ibrahim minta dulu.

Ayat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ayat-ayat Quran. Maknanya guru mesti baca ayat Quran kepada manusia. Begitu juga jika hendak berdakwah kepada mereka. Kita bacakan ayat-ayat Quran kepada mereka untuk ajak mereka beriman.

وَيُزَكِّيكُمْ

dan menyucikan kamu;

Kemudian baca lagi ayat-ayat Quran kepada mereka, bagi menyucikan hati mereka dari syirik. Selagi hati tidak suci dari syirik, syariat tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna. Ini dinamakan Tazkiyah.

Selepas itu, barulah ajar kitab kepada mereka – iaitu asas-asas syariat, dan hikmah sebagai cara mengerjakan amalan iaitu mengikut sunnah. ‘Hikmah’ maksudnya ‘sunnah’.

Inilah sahaja bahagian tasawuf yang ada dalam ayat ini. Makna ‘menyucikan’ itu, ada tiga perkara:

1- menyucikan manusia dari syirik kepada Allah. Ada banyak jenis syirik. Pertama, dari segi perbuatan, seperti menyembah berhala dan lain-lain makhluk. Kedua, ada yang berkenaan hati. Seperti percaya kalau burung hantu berbunyi, bermakna ada orang
nak mati. Kalau kita percaya macam itu, walaupun kita tak buat lagi sebab tidak ada burung hantu di bandar, itu sudah menunjukkan akidah kita ada masalah. Atau ada yang
minta izin kepada penunggu pokok sebelum nak kencing. Ada ulama yang kata sudah syirik kalau kata begitu dan ada yang kata hanya berdosa besar. Tapi berdosa besar itu pun dah besar dah.

2- kena beritahu manusia tentang ‘syirik khafi‘ – ‘syirik kecil’. Mengajar manusia untuk menjauhkan diri dari mempunyai sifat-sifat buruk seperti: riak, ujub, takabbur dan sebagainya. Iaitu sifat-sifat mazmumah.

3- membersihkan manusia dari sifat-sifat nifak iaitu sifat munafik. Guru kena beritahu supaya tidak ada sifat munafik dalam diri anak murid.

Dalam bahasa Quran, semua ini dinamakan tazkiyah, iaitu menyucikan jiwa manusia. Selagi ada syirik dalam hati, manusia itu bukan seorang yang beragama Islam lagi. Walaupun dia tidak pernah tinggal solat, puasa dan selalu melakukan segala perbuatan baik.

Orang tasawuf ambil berat bahagian syirik khafi dan mereka hurai dengan panjang lebar pasal syirik kecil sampai tak beritahu pasal syirik yang besar. Tertipu juga mereka dengan syaitan yang menyebabkan mereka hanya lihat satu perkara sahaja. Bukan kita nak kata tasawuf itu salah, tapi mereka tidak menceritakan tentang syirik yang sepatutnya mereka cerita juga. Padahal syirik yang besar itu lebih penting dari syirik khafi yang mereka selalu sentuh itu.

Selain dari membersihkan jiwa dari segala sifat di atas, kita juga perlu membersihkan akal kita dari perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Zaman sekarang, banyak sangat media-media yang telah direka oleh manusia untuk mengisi masa lapang kita dengan perkara yang tidak berfaedah. Kita sudah ada twitter, facebook, youtube dan sebagainya yang memenuhi akal fikiran kita dengan makluman yang tidak berfaedah dan membuang masa. Ianya juga merosakkan fikiran kita kerana di dalamnya ada berbagai-bagai tohmah dan perkara-perkara yang tidak sesuai dengan agama. Sebaliknya, kita perlu isikan masa lapang kita dengan perkara yang berfaedah supaya kita boleh memikirkan perkara yang bermanfaat tentang agama. Kalau kita memasukkan akal kita dengan perkara yang baik, tapi dalam masa yang sama kita juga memasukkan perkara yang tidak elok, itu pun tidak baik juga. Apabila otak kita telah bersih dari kekotoran, maka barulah kita dapat berfikir dengan jelas dan senang untuk ilmu agama masuk dalam akal kita.

 وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ

dan ajar kepada kamu tentang Quran;

Itulah dia tafsir Quran. Bukan hanya setakat ‘baca’ sahaja, tapi kena diajarkan tafsir Quran itu kepada manusia, kerana kalau tidak, manusia tidak akan faham apa yang hendak disampaikan.

وَالْحِكْمَةَ

dan hikmah;

Iaitu hadis Nabi.

وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

dan mengajar kamu apa yang sebelum ini kamu tidak tahu;

Banyak perkara yang kita tidak tahu tentang agama lebih-lebih lagi tentang perkara-perkara seperti tentang syurga dan neraka, tentang halal dan haram dan macam-macam lagi. Sebelum kita belajar, kita tidak tahu tentang semua itu. Dan kalau tidak diberitahu kepada kita, kita tidak akan dapat tahu kerana ianya adalah perkara-perkara ghaib yang hanya boleh diketahui melalui wahyu, samada disampaikan dalam Quran atau dari Hadis Nabi.

Perkara-perkara tentang agama itu, manusia tidak akan langsung dapat tahu kalau tidak disampaikan oleh Allah melalui NabiNya. Macam mana pandai pun otak dan akal manusia, mereka tidak akan dapat mencapainya. Kerana itulah kita perlukan ilmu yang diberikan oleh Allah. Jadi, kita kenalah berhati-hati dengan maklumat agama yang disampaikan yang tidak didasari dari wahyu. Kerana kalau bukan dari wahyu, bagaimana lagi ilmu itu boleh disampaikan kepada kita?

Baqarah 142-151


 

Ayat 152: Sebelum ini ayat tentang tugas rasul dan umat baginda. Kerana Nabi Muhammad adalah Nabi akhir zaman, maka tugas Nabi terbeban atas bahu umat baginda. Jadi ada tiga tugas yang disebut dalam ayat sebelum ini:

  1. Baca ayat Allah kepada hamba Allah untuk mengajak hamba Allah kenal Allah dan taat kepada Allah. Ini melibatkan interaksi dengan orang lain.
  2. Menyucikan hari manusia. Nabi telah ajar cara untuk melakukannya dan masing-masing kena ikhtiar sebab Nabi tidak boleh menyucikan hati orang lain. Nabi cuma boleh ajar dan beritau kelebihan melakukannya. Inilah amalan yang dinamakan ‘tazkiyah’. Ini jenis amalan berseorangan.
  3. Mengajar kitab Quran dan sunnah. Sunnah adalah cara pelaksanaan. Ini juga amalan yang kena berhubung dengan orang lain. Nabi kena ‘ajar’ dan maksud ‘ajar’ itu adalah sehingga orang itu pandai. Tapi berkenaan tazkiyah, oleh kerana kena buat sendiri, maka Nabi tidak dapat nak pastikan orang itu pandai, maka Allah terangkan lagi dalam ayat seterusnya ini.

Secara ringkas, menyucikan hati dan akhlak ada lima cabang. Apabila cukup lima cabang ini, barulah dikira hari manusia itu bersih dan jiwanya telah terdidik. Barulah boleh hati itu menerima hukum dan amalkan sunnah dengan mudah. Kalau tidak, memang payah sebab hati liar, tidak jinak. Lima cabang itu adalah:

1. Zikir kepada Allah.
2. Syukur
3. Sabar
4. Doa
5. Ta’zim

2:152

Sahih International

So remember Me; I will remember you. And be grateful to Me and do not deny Me.

Malay

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

فَاذْكُرُونِي

Maka kamu ingatlah Aku banyak-banyak;

Latihlah diri kita supaya mengingati Allah. Zikir di sini bukanlah zikir lidah biasa tapi zikir orang yang ada akidah tauhid. Apabila seseorang itu sudah ada akidah tauhid yang kemas dalam diri, barulah zikir itu memberi kesan kepada diri dia. Sebab semua ayat zikir dalam Qur’an bermaksud ‘zikir tauhid’. Kalau seseorang itu ada fahaman syirik, zikir itu tidak memberi kesan kepada dirinya. Sebab itu kita boleh tengok bagaimana ada orang yang banyak lafaz zikir dia, tapi dia ada juga akidah tauhid. Kerana zikirnya itu tidak memberi kesan kepada jiwanya.

Zikir ada jenisnya. Yang pertama adalah zikir yang diajar Nabi seperti membaca Qur’an.
Yang kedua adalah zikir yang diajar Nabi pada waktu-waktu tertentu atau tempat-tempat tertentu. Ini dinamakan ‘Zikir Masnun’. Sebagai contoh, telah diajar apakah doa yang perlu dibaca sebelum masuk tandas, keluar rumah dan sebagainya. Nabi dah ajar supaya umat setiap waktu akan ingat Allah dan dalam masa yang sama, ingat tauhid. Ini adalah latihan tazkiyah kepada Allah. Iaitu supaya apabila hamba berada dalam keadaan dan suasana yang boleh merosakkan akidah, dia diajar untuk ingat kepada Allah. Oleh itu, setiap waktu kena serah diri kita kepada Allah. Ini akan menjalinkan hubungan rapat dengan Allah. Kita lakukan zikir ini di waktu manusia lain lalai dengan Allah.
Ketiga, ada juga zikir yang tidak ditetapkan masa, ikut hamba itu bila dia nak buat. Allah akan beri ganjaran ikut betapa banyak amalan dia.

Kena jelaskan lagi tentang hal zikir ini. Inilah sahaja yang puak tasawuf banyak buat. Iaitu, mereka banyak mengajar dan menyarankan kepada anak murid mereka untuk berzikir sahaja. Maka, amalan berzikir itulah sahaja yang banyak diamalkan oleh pengikut tarekat. Sampai beribu malah berjuta kali mereka akan buat. Padahal, itu bukanlah amalan yang terbaik. Dalam hadis sahih riwayat Aisyah, beliau menyampaikan satu hadis dari Nabi Muhammad tentang perbezaan tingkatan amalan:

Baca Quran dalam solat lebih afdhal dari baca Quran luar solat.

Baca Quran diluar solat, lebih afdhal dari berzikir.

Berzikir itu lebih afdhal dari sedekah sunat.

Sedekah sunat itu lebih afdhal dari puasa sunat.

Dan puasa sunat itu dapat mencegah dari api neraka.

Bermakna perkara sunat yang kita kena selalu amalkan adalah solat sunat. Baca Quran dalam solat sepuluh kali ganda pahala dari baca Quran di luar solat. Maka tentulah pahalanya lebih banyak dari orang yang berzikir. Sebab itulah ahli sunnah mengutamakan solat sunat. Maka, eloklah kita banyakkan solat sunat. Kalau dalam perniagaan, tentu kita mahukan perniagaan yang lebih menguntungkan. Maka ambillah amalan yang lebih menguntungkan. Bukanlah kita hendak kata bahawa amalan selain darinya itu tidak dapat pahala, cuma kurang.

Imam Syafie khatam Quran sehari semalam dalam solat. Kalau dalam Ramadhan, dia khatam dua kali Quran sehari semalam. Tapi malangnya, orang kita tak banyak baca Quran, tapi banyak baca wirid. Mereka sedekah kurang, tapi puasa yang banyak.

Ayat ini digunakan sebagai dalil bagi mereka yang kata bahawa ayat ini menyuruh manusia berzikir kepada Allah beramai-ramai. Kerana mereka melihat perkataan فَاذْكُرُونِي dalam bentuk jamak (plural). Bukan itu maksud ayat ini. Itu adalah tafsiran pemahaman yang salah. Ianya hendak memberitahu bahawa semua kita kena berzikir, tapi bukanlah berzikir ramai-ramai. Berzikir beramai-ramai adalah satu perbuatan bidaah. Kita digalakkan berzikir, tapi buat sendiri-sendiri.

Huruf فَ dalam perkataan فَاذْكُرُونِي ini bersambung dari ayat sebelum itu. Ayat sebelum ini Allah telah memberikan Rasul kepada kita, mengajar kita tentang Quran dan Hikmah dan telah membersihkan kita. Bermakna, selepas kita tahu bahawa Allah telah banyak melakukan kebaikan untuk kita, maka kita sepatutnya senang untuk mengingati Allah.

Mengingati Allah bukan hanya dengan berzikir meratib sahaja. Kalau kita membaca Quran, itu pun sudah dikira mengingati Allah. Begitu juga kalau kita pergi ke majlis ilmu. Atau kita bercakap kepada manusia tentang Allah dalam percakapan kita, itu juga berzikir kepada Allah. Jangan sempitkan maksud zikir itu. Kekeliruan tentang perkara inilah yang menyebabkan banyak yang keliru sampaikan mereka melebihkan majlid zikir meratib sampaikan mereka telah melakukannya ke tahap yang bidaah.

Begitu penting untuk kita ingat kepada Allah. Sampaikan kalau kita lupa kepada Allah, Allah akan menyebabakan kita lupa kepada diri kita.

أَذْكُرْكُمْ

Maka Aku akan ingat kepada kamu;

Kalau kita ingat kepada Allah, Allah akan balas dengan ingat kepada kita. Bandingkan kalau kita ingat kepada manusia – sebanyak mana pun kita ingat kepada mereka, belum tentu mereka akan ingat kepada kita. Tapi dalam ayat ini menyebutkan bahawa Allah akan ingat kepada kita kalau kita ingat kepada Dia.

Ada ketikanya, kita sentiasa ingat kepada orang-orang yang penting, samada pemimpin atau guru agama yang kita sayang – kita ingat mereka sentiasa, tapi mereka tak ingat kepada kita langsung. Itu adalah orang-orang yang penting dan besar dari kita, tapi siapakah lagi yang lebih besar dari Allah? Tentulah lebih penting lagi kepada kita kalau Allah yang ingat kepada kita. Kalau orang yang kita sayang ingat kepada kita pun kita dah suka dah. Tambahan pula kalau Allah yang ingat kepada kita. Tentulah itu adalah satu nikmat yang amat besar.

Masa sedang berzikir itu, kita kena yakin yang Allah sedang ingat kepada kita. Inilah kelebihan utama dari perlakuan zikir kita itu. Inilah yang kita hendak dan rasa puas dengannya. Kita rasa puas sebab Allah ingat kepada kita. Apabila hubungan kita dengan Allah kuat, ianya memberi kekuatan kepada kita untuk buat kerja Allah. Jadi kena luangkan masa untuk zikir. Inilah yang banyak dilakukan oleh ulama Salafussoleh. Mereka akan meluangkan masa dalam sehari suntuk mereka untuk berzikir kepada Allah. Bukanlah mereka hanya meluangkan masa dengan mengajar dan menulis kitab sahaja, tapi mereka akan luangkan masa tertentu untuk berzikir kepada Allah. Mereka kuatkan tautan antara hati mereka dan Allah.

 وَاشْكُرُوا لِي

Maka bersyukurlah kamu;

Jadi, cabang tazkiyah yang pertama adalah berzikir kepada Allah. Yang kedua, berterima kasih kepada Allah atas segala pemberianNya. Pertama, dengan ucap lafaz syukur. Dan kedua, dengan menggunakan nikmat yang telah diberikan itu seperti kehendak Allah. Kalau kita buat begitu, Allah akan tambah nikmat itu. Nikmat yang telah diberikan itu tidak akan berkurangan. Jadi kalau mahu nikmat ditambah, maka kena syukur atas nikmat yang kita telah dapat. Kalau ada berlaku keadaan di mana ada nikmat yang berkurangan, itu adalah tanda hamba itu lupa bersyukur.

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan untuk memenuhi syarat syukur kepada Allah adalah dengan taat kepada Allah. Ini memerlukan pedoman dari Allah juga, kerana kalau Allah tidak mengajar kepada kita, kita pun takkan tahu bagaimanakah cara untuk bersyukur kepadaNya. Taat kepada Allah boleh dilakukan dengan melakukan ibadat kepadaNya dan ibadat yang paling penting untuk menunjukkan kesyukuran kita kepadaNya adalah dengan mengerjakan solat.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut, kalau kita ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepada kita. Oleh itu, salah satu perkara yang kita kena bersyukur adalah Allah ingat kepada kita. Itu pun dah satu nikmat yang besar dah.

 وَلَا تَكْفُرُونِ

Jangan kamu menjadi kufur;

Apabila ayat dalam Quran hanya menyebut ‘jangan kufur’, itu bermaksud jangan kufur nikmat Allah. Iaitu tidak menghargai segala nikmat yang Allah telah berikan kepada kita dengan tidak mensyukuriNya. Kalau kufur kepada Allah, ayat Quran akan menambah perkataan ‘denganKu’ dalam ayat itu – la takfuruu bi.

Apabila Allah menyuruh kita bersyukur dan kemudian ditambah lagi dengan perkataan jangan jadi kufur (tidak mensyukuriNya), maka itu adalah satu penekanan kepada kita supaya berterusan mensyukuri kepada Allah. Sebab kalau Quran hanya suruh bersyukur kepadaNya sahaja, mungkin itu boleh dikatakan hanya sementara sahaja atau beberapa kali sahaja. Tapi apabila sudah ada penekanan sebegini, maka ianya adalah supaya kita berterusan mensyukuri Allah.

Alhamdulillah Allah telah berikan kepada kita amalan solat untuk memenuhi tuntutan mensyukuriNya. Jadi kita kena jaga solat. Cuba untuk solat dengan khusyuk. Dan kita kena tambah dengan amalan-amalan ibadat yang lain.


 

Ayat 153: Latihan tazkiyah yang telah disebutkan adalah dengan berzikir kepada Allah dan yang kedua adalah bersyukur. Latihan tazkiyah yang ketiga adalah dengan sabar. Sabar ini adalah amalan hati. Dan sabar ini banyak peringkat dan sebab itu Allah sebut banyak kali dalam Quran supaya dapat dijelaskan semua peringkat itu. Dalam ayat ini, Allah ajar tentang sabar dalam doa. Kerana ada hubungan yang amat rapat antara sabar dan doa. Kerana sabar tanpa doa tidak akan tahan lama.

2:153

Sahih International

O you who have believed, seek help through patience and prayer. Indeed, Allah is with the patient.

Malay

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang ‘beriman sempurna’, iaitu mereka yang tidak buat syirik kepada Allah.

 اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar;

Pemahaman dari ayat ini adalah kita disuruh untuk minta bantuan kepada Allah dengan cara menahan diri dari memberitahu kepada makhluk apakah masalah yang kita hadapi.

Antara perkara yang kita kena sabar adalah sabar terhadap segala ujian untuk menempuh perjalanan berpegang dengan sunnah. Contohnya, kena sabar untuk tidak pergi ke majlis sanding. Bukan senang untuk berlawan dengan kebiasaan masyarakat kita yang telah rosak.

Tapi janganlah kita berdoa kepada Allah untuk menjadikan kita seorang yang sabar jikalau waktu itu tidak ada apa-apa cubaan untuk kita. Kerana pernah Nabi dengar seorang sahabat minta supaya Allah jadikan dia seorang yang penyabar, maka Nabi tanya dia: “Kamu hendak minta balakah?”. Sebab untuk dapatkan sabar, kena datang bala dulu, barulah boleh kita jadi sabar, bukan? Maka, dalam keadaan biasa, jangan kita minta sabar, kerana itu mengundang bala datang kepada kita. Elok-elok tidak ada kesusahan, kita minta kesusahan pula diturunkan kepada kita. Sebenarnya, kalau dah kena ujian, barulah minta sabar.

وَالصَّلَاةِ

dan bersolat.

Seperti telah disebutkan, kita disuruh untuk bersabar dari mengeluh dan menceritakan kepada orang lain masalah kita. Sebaliknya kita disuruh untuk mengadu terus kepada Allah. Dan dengan mengerjakan solat, kita memberitahu hal itu kepada Allah sahaja. Dalam solat itu, doalah kepada Allah banyak-banyak.

Solat adalah muqaddimah kepada doa. Sembahyang itu sendiri adalah doa. Nabi telah mengajar kita bagaimana doa makbul dalam tashahud. Selain dari itu, Nabi telah ajar untuk berdoa selepas buat amalan yang baik. Sebagai contoh, kita dapat tahu yang Nabi akan berdoa selepas baginda berdakwah dan mengajar kepada umat. Oleh itu, kita kena jadikan ini sebagai salah satu cara untuk berdoa. Banyak sekali dalil yang mengajar kita untuk berdoa selepas mengerjakan amal soleh. Sebagai contoh, dalam surah Fatihah sendiri:
Iyyaka na’budu – isyarat kepada amalan.
Iyyaka nastain – isyarat kepada doa. Maknanya, selepas mengerjakan amalan, barulah kita berdoa.

Ada empat amalan yang kalau manusia buat dan doa selepasnya, doa itu akan makbul –
1. Mengajak manusia kepada agama tauhid
2. Ketika mengajar
3. Ketika melakukan ibadat
4. Kerja amal secara sukarela. Macam kisah Nabi Musa yang menolong anak Nabi Syuaib dalam Qasas:24.

Dalam ayat ini, Allah ajar kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan solat. Ingatlah bahawa nasihat yang sama telah diberikan kepada Ahli Kitab sebelum ini dalam surah Baqarah ini juga dalam ayat ke 45. Sekarang nasihat yang sama diberikan kepada kita orang Islam pula. Dulu, merekalah umat terpilih – Allah kata mereka adalah umat terpilih dalam ayat ke 47. Mereka telah diberikan tanggungjawab dan mereka tidak menunaikannya atau telah meninggalkan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sekarang, kita sebagai umat Islam pula yang telah diberikan kelebihan menjadi ‘umat pertengahan’. Kita juga telah diberi tanggungjawab oleh Allah. Masa mereka telah berlalu, masa kita sekarang pula.

 إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Sesungguhnya Allah taala akan bersama orang yang bersabar.

Allah memberitahu bahawa Dia bersama orang yang bersabar. Maka, ini adalah satu motivasi yang amat tinggi kepada kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s