Tafsir Surah Baqarah Ayat 142 – 145 (Tentang Kiblat)

Ayat 142: Alhamdulillah, kita sudah mula masuk dalam Juzuk Kedua. Kita akan berbincang berkenaan dengan kiblat. Ini adalah perkara yang penting, kerana ada yang jatuh syirik berkenaan kiblat. Kerana ada yang kata kita sembah batu hajarul aswad. Kalau kita tidak faham tentang perkara ini, ada kemungkinan kita pun boleh terkeliru dan tertipu dengan dakyah dari agama-agama lain.

Sebenarnya tidak ada apa dengan batu itu. Kalau kita sangka kita mengadap kiblat sama seperti mengadap berhala, maka kita boleh kufur. Sebab itu ada orang kafir ada yang kata kita sembah batu, dan kalau kita mengiyakan kata mereka itu, maka kita akan jatuh kafir.

Ada enam ayat Quran tentang kiblat telah diturunkan kepada kita. Allah turunkan banyak ayat berkenaan dengannya kerana ini adalah perkara besar. Kerana ianya penting, maka ianya perlu dijelaskan dengan betul. Sebab kalau tak dijelaskan, manusia akan nampak seolah-olah kita semua sembahyang mengadap batu Hajarul Aswad. Agama lain tidak ada wahyu turun atau arahan dari Tuhan untuk mereka mengadap mana-mana arah dalam ibadat mereka kecuali apa yang dikatakan oleh guru-guru mereka. Tapi lain dengan kita kerana kita mengadap kiblat Kaabah kerana ianya adalah arahan dari Allah.

Ayat ini juga adalah sebagai isyarat bahawa Nabi sudah kena pisahkan diri dari Bani Israil. Mereka telah diberi peluang untuk mengikut Nabi dan masuk Islam dan berjuang bersama-sama baginda dalam menegakkan agama Allah. Tapi mereka tidak mengambil peluang itu. Sebelum ini ada persamaan antara Bani Israil dan orang Islam kerana mereka mengadap ke kiblat yang sama. Tapi apabila ditukar nanti, bermakna telah ada pemisahan antara mereka dan kita.

Allah suruh ubah kiblat ke Mekah kerana ianya adalah kiblat asal Nabi Ibrahim. Dan Mekah pula memang pusat dunia. Oleh itu, ia amat sesuai jadi kiblat sepanjang zaman.

2:142

Sahih International

The foolish among the people will say, “What has turned them away from their qiblah, which they used to face?” Say, “To Allah belongs the east and the west. He guides whom He wills to a straight path.”

Malay

Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ

Akan berkata orang-orang yang bodoh daripada kalangan manusia;

Ayat ini turun sebelum ditukarkan lagi kiblat itu. Sebab itu dikatakan ‘akan berkata’ orang-orang yang bodoh. Sebelum mereka cakap lagi Allah dah beritahu apa yang mereka akan kata. Orang-orang bodoh yang berkata begitu adalah orang Yahudi dan orang Munafik yang berada di Madinah semasa itu.

Akan berkata golongan bodoh dari Yahudi, Munafik dan Musyrikin. Allah panggil mereka golongan ‘yang bodoh’. Mereka kata itu dalam nada mengejek: “kenapa tukar-tukar?” Mereka kata Islam adalah agama yang tidak tetap. “Agama apa ini?” mereka kata. Begitulah lebih kurang kata-kata mereka.

 

مَا وَلَّاهُمْ عَنْ قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا

“Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat mereka yang dulu hadap?”

Dulu Nabi mengadap kiblat di Baitulmaqdis dalam solat, tapi selepas itu Nabi diperintahkan Allah untuk mengadap ke Mekah. Jadi, orang-orang yang bodoh mengatakan kenapakah Nabi dan sahabat-sahabat berpindah kiblat?

Kiblat BaitulMaqdis juga adalah kiblat Yahudi. Selepas Nabi dan para sahabat berpindah ke Madinah, kiblat dalam solat waktu itu adalah ke BaitulMaqdis selama 16 atau 17 bulan sebelum ditukar ke Mekah. Sepanjang waktu itu, Nabi sentiasa berharap supaya kiblat ditukar ke Mekah. Apabila kiblat diubah dari kiblat yang digunakan juga oleh puak Yahudi, itu menunjukkan status mereka akan dijatuhkan daripada menjadi umat pilihan. Sebelum ini, mereka adalah umat pilihan, tapi tidak lagi. Ini kerana mereka tidak mengambil peluang yang ada untuk menerima Nabi Muhammad.

BaitulMaqdis adalah ibu negara kepada Bani Israil. Ibu negara adalah sesuatu yang amat penting kepada sesuatu tamadun. Mereka bangga apabila orang Islam juga mengadap kepada kiblat mereka. Tapi apabila kiblat itu diubah nanti, mereka akan marah. Sepatutnya, kalau difikirkan, mereka tidak patut rasa apa-apa, sebab kepada mereka, kita adalah agama yang sesat pun. Tapi yang jelas, mereka akan marah. Ini adalah kerana mereka sebenarnya tahu bahawa Nabi Muhammad itu adalah Rasul yang benar, cuma mereka tidak terima sahaja. Mereka jadi marah kerana apabila Nabi berpindah kepada mengadap Kaabah, yang juga bermakna umat Islam waktu itu membelakangi MasjidilAqsa kerana perubahan kiblat itu adalah 180%.

Nabi-Nabi dari kalangan Yahudi memang mengadap ke BaitulMaqdis dalam ibadat mereka, ini tidak dinafikan. Maka oleh itu, mereka kata, kalau Islam ini agama yang benar, mestinya umat Islam mengadap ke BaitulMaqdis jugalah sepertimana Nabi-nabi terdahulu. Tapi tidak begitu kehendak Allah.

Atas pertanyaan dan ejekan mereka ini, Allah jawap dengan dua cara. Satu tegas dan satu dengan penuh kesempurnaan.

 قُلْ لِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Katakanlah: milik Allahlah timur dan barat;

Allah memiliki segala-galanya. Barat Dia punya, timur Dia punya, mana-mana arah Dia juga yang punya. Maka ikut Allah lah Dia nak suruh kita mengadap ke mana-mana pun. Semua arah adalah kepunyaanNya. Yang penting adalah arahan itu, dan arah ke mana tak penting. Kerana jalan yang lurus adalah dengan ikut arahan Allah bukan arah mana. Mereka tidak faham atau buat-buat lupa tentang perkara ini.

Semasa Nabi di Mekah, Nabi juga telah mengadap BaitulMaqdis dalam solat baginda. Tapi semasa di Mekah, Nabi boleh lagi berada dalam posisi dimana baginda mengadap Kaabah dan Baitulmaqdis dalam waktu yang sama. Nabi jadikan kedudukan Kaabah dan BaitulMaqdis sejajar supaya baginda boleh hadap kedua-duanya sekali. Tapi apabila telah berhijrah ke Madinah, Nabi dan umat Islam lain tidak boleh lagi buat begitu. Nabi telah sedih disebabkan perkara itu kerana Nabi amat sayangkan Kaabah kerana ianya ada kaitan dengan Nabi Ibrahim.

Waktu ayat ini diturunkan, Mekah dan Kaabah masih lagi dalam jajahan takluk Musyrikin Mekah. Di situ masih banyak lagi berhala sembahan mereka. Apabila Allah kata bahawa kiblat akan dipindahkan ke situ, itu sebenarnya telah memberi isyarat bahawa orang Islam akan menakluki Mekah.

Islam tidak pernah melupakan Mekah dan Kaabah walaupun mereka telah berada di Madinah dan telah membina negara Islam di situ. Dari mula lagi mereka sudah tahu bahawa mereka akan kembali juga ke Mekah.

يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Allah boleh pimpin kepada sesiapa yang Dia kehendaki

إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

kepada jalan menuju kepada jalan yang lurus;

Iaitu jalan menuju kepada Allah. Iaitu jalan Quran dan Sunnah. Jalan untuk mentauhidkan Allah. Iaitu jalan yang ikut kepada perintah Allah.


Ayat 143:

2:143

Sahih International

And thus we have made you a just community that you will be witnesses over the people and the Messenger will be a witness over you. And We did not make the qiblah which you used to face except that We might make evident who would follow the Messenger from who would turn back on his heels. And indeed, it is difficult except for those whom Allah has guided. And never would Allah have caused you to lose your faith. Indeed Allah is, to the people, Kind and Merciful.

Malay

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).

وَكَذَٰلِكَ

Dengan kesempurnaan inilah,

Ini adalah jawapan ‘penuh kesempurnaan’. Lafaz كَذَٰلِكَ asalnya bermaksud perbandingan antara satu perkara dengan perkara yang lain, tapi dalam ayat ini, ianya bukan bandingan sebab tidak ada bandingan nak dibandingkan. Kalau kita nak pakai juga maksud ‘perbandingan’, akan susah nak tafsir. Maka kita kena ambil ia bermaksud kesempurnaan.

جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا

Kami jadikan kamu sebagai ‘umat pertengahan’;

Dan kesempurnaan inilah, Kami jadikan kamu umat terbaik.
Lafaz وَسَطًا maksudnya ‘yang terbaik’.

Umat Islam adalah umat terbaik dari dulu sampai sekarang; Mereka terpilih kerana mereka mengikut arahan Allah. Walaupun sebenarnya hati mereka mungkin tidak suka kerana mereka hendak mengadap ke Kaabah.

Banyak penafsiran tentang makna perkataan أُمَّةً وَسَطًا – umat pertengahan ini. Pertengahan apakah yang dimaksudkan? Umat Islam adalah duduk di tengah-tengah antara perkara yang terlampau – between two extremes. Antara kepentingan peribadi dan masyarakat. Kita tidak terlalu melebihkan diri sendiri sehingga melupakan masyarakat dan tidak juga melebihkan masyarakat sampai melupakan kepentingan diri sendiri. Kerana itulah ada ibadat dalam Islam yang melibatkan peribadi (seperti solat sunat bersendirian) dan masyarakat (seperti solat berjemaah). Dan ada ibadat yang menggabungkan kedua-duanya seperti ibadat haji – ianya adalah ibadat persendirian tapi dilakukan beramai-ramai. Kita hidup bermasyarakat, jadi tidak boleh kepentingan peribadi kita sampai menyakitkan orang lain.

Begitu juga kita adalah umat pertengahan antara intelektual dan spiritual. Kita tidak berlebihan antara keduanya. Tidak terlalu mementingkan intelektual dan tidak terlalu mementingkan spiritual – kita balanced. Itu adalah kesilapan Ahli Kitab terdahulu. Bangsa Yahudi terlalu mementingkan intelektual. Mereka adalah umat yang berilmu – tapi mereka pandai sangat sampaikan mereka hendak mengubah kitab mereka sendiri dengan sangkaan ianya lebih relevan dengan keperluan semasa. Dan Kristian pula terlalu melebihkan elemen spiritual sampaikan mereka meninggalkan ilmu – mereka buat ibadat tanpa ilmu. Mereka tidak menerima elemen sains contohnya. Mereka terima bulat-bulat penipuan-penipuan yang dilakukan oleh ahli-ahli agama mereka. Disebalik dua agama yang telah sesat itu, adanya Quran yang mengandungi kedua-dua elemen ini – intelektual dan spiritual. Oleh itu, jikalau kita hendak menjadi umat pertengahan seperti yang disebut dalam ayat ini, maka kita hendaklah belajar tafsir Quran supaya kita dapat memahami apakah yang hendak disampaikan oleh Quran.

‘Pertengahan’ juga bermaksud antara pengetahuan dan perbuatan. Jangan kita tahu ilmu sahaja, tapi kita tidak buat. Begitu juga, jangan kita buat amalan tanpa mengetahui apakah ilmu di sebaliknya dan hukumnya. Begitulah indahnya Islam ini.

 لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ

Supaya kamu akan menjadi saksi (di akhirat nanti), keatas manusia;

Supaya kamu semua jadi saksi kepada seluruh manusia di akhirat nanti bahawa para Nabi sepanjang zaman telah menyampaikan ajaran agama kepada umat mereka.

Di akhirat nanti, apabila ditanya kepada umat terdahulu adakah Nabi mereka telah menyampaikan dakwah kepada mereka, puak yang derhaka dari kalangan mereka masih juga mahu berbohong. Mereka akan kata tidak ada Nabi yang sampai kepada mereka.

Maka, Nabi-Nabi akan ditanya samada mereka telah menyampaikan. Mereka akan jawap yang mereka memang telah sampaikan, cuma umat mereka itu sahaja yang degil tidak mahu menerima. Kemudian akan ditanya kembali kepada umat mereka itu. Umat yang degil akan jawap balik yang Nabi itu telah bohong. Nabi-Nabi itu akan jawap yang dalil mereka adalah umat Nabi Muhammad, iaitu umat akhir zaman. Kaum dia akan kata, macam mana umat Nabi Muhammad boleh jadi saksi kerana umat Nabi Muhammad tidak ada masa itu? Maka umat Islam akan jawap yang mereka boleh jadi saksi kerana mereka telah diberitahu dalam Quran dan mereka telah belajar isikandung Quran itu. Dan mereka akan kata, dalam Quran telah disebut bagaimana semua Nabi dah sampaikan ajaran agama kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad kata benar saksi itu.

Orang Islam juga akan menjadi saksi kepada Nabi Muhammad bahawa baginda telah menyampaikan segala ajaran baginda kerana baginda juga termasuk dalam lingkungan para Nabi. Kita boleh berkata begitu dengan yakin kerana ajaran baginda telah sampai kepada kita. Apabila ditanya adakah telah disampaikan ajaran Nabi Muhammad, kita akan jawab “dah sampai”. Kerana ada manusia yang akan kata tidak sampai kepada mereka. Tapi kita akan jawap, bagaimana tidak sampai, sedangkan kita telah dapat ajaran itu.

Oleh itu, apakah jawapan pengikut-pengikut Tarekat dan Sufi yang memegang pendapat bahawa ada ajaran-ajaran tertentu dan kononnya yang khas yang mereka kata Nabi hanya sampaikan kepada sahabat-sahabat tertentu sahaja? Apabila mereka berkata begitu, mereka sebenarnya menuduh Nabi Muhammad tidak sampaikan semua ajaran kepada manusia. Itu adalah satu dakwaan yang teramat jahat kepada Nabi.

Dan kita juga akan menjadi saksi kepada orang-orang yang disekeliling kita. Kerana kita kenal belaka siapa yang tidak ikut setelah kita beri dakwah kepada mereka. Kita akan jadi saksi di hadapan Allah nanti. Bahawa kita dah sampaikan kepada mereka tapi mereka yang tak mahu juga ikut. Tapi kita kenalah jadi orang yang ikut sunnah dahulu dan dakwah kepada mereka. Kalau kita pun tidak dakwah kepada mereka, bagaimana pula kita nak jadi saksi?

Begitu juga, kita adalah sebagai ikutan kepada semua manusia. Semua manusia sepatutnya menjadikan kita sebagai contoh ikutan mereka. Tapi malangnya, umat Islam kebanyakannya teruk sangat akhlaknya sampaikan tidak berselera orang-orang bukan Islam untuk mengikuti kita. Mereka akan kata: kalau Islam itu baik, tentulah penganutnya pun orang yang baik-baik juga. Jadi, kita telah memburukkan nama agama Islam dengan akhlak kita yang buruk.

Cara pengamalan agama kita pun tidak betul. Bayangkan ada yang mengaku sebagai Islam tapi mencederakan diri mereka untuk memohon pengampunan seperti yang dilakukan oleh Syiah; Bayangkan juga ada orang Islam yang mengambil rasuah terang-terangan, ada yang kerjanya menipu setiap hari, ada yang selamba sahaja menyakitkan orang lain dan sebagainya lagi.

Masalahnya, jikalau kita tidak boleh menjadi ikutan kepada orang lain, maka orang-orang bukan Islam itu boleh menjadikan kita sebagai alasan kenapa mereka tidak mahu memasuki Islam. Mereka akan berhujjah di hadapan Allah nanti bahawa mereka tidak nampak keindahan Islam disebabkan oleh akhlak buruk penganut Islam. Alhamdulillah masih ramai lagi yang masuk Islam walaupun mereka telah lihat perangai buruk penganut Islam. Itu adalah kerana mereka telah mengkaji Islam yang sebenarnya dan hasilnya mereka dapat memahami bahawa yang teruk bukannya Islam, tapi ‘orang Islam’. Mereka yang tetap juga masuk Islam itu adalah orang-orang yang Allah telah berikan kepada mereka hidayah.

Dan dalam masa yang sama, memang ada orang-orang mukmin yang telah menjadi sebab kepada orang bukan Islam untuk melihat keindahan Islam. Dari orang-orang mukmin yang berperangai mulia itulah orang bukan Islam dapat melihat keindahan Islam. Bukan semua orang-orang Islam itu teruk. Soalannya, adakah kita hendak menjadi antara mereka yang teruk atau antara mereka yang mukmin?

 وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا

Dan Rasul (Nabi Muhammad) itu menjadi saksi keatas kamu;

Dan kemudian Nabi Muhammad sendiri akan jadi saksi ke atas kamu betapa benarnya penyaksian kamu itu. Sebelum ini telah disebut bagaimana umat Islam akan menjadi saksi bahawa para Nabi telah menyampaikan ajaran dakwah kepada umat mereka. Kemudian Nabi Muhammad pula akan menjadi saksi bahawa benarlah penyaksian kita itu.

Nabi Muhammad juga akan menjadi saksi keatas orang yang beriman. Iaitu mereka yang mengamalkan sunnah dan menyebar ugama. Tentulah kita suka kalau Nabi Muhammad sendiri jadi saksi ke atas kita di Mahsyar nanti. Dia akan jadi saksi mengatakan yang kita telah mengikut sunnah. Bayangkan besarnya nikmat kalau begitu. Kita akan senyap sahaja nanti di Mahsyar, Nabi yang jadi saksi keatas kita.

Guru kita pula akan jadi saksi keatas kita, gurunya menjadi saksi ke atasnya pula, sampailah kepada sahabat dan kepada Nabi Muhammad. Itulah yang dipanggil sanad. Maka, kenalah kita sebar ugama supaya ada orang yang jadi saksi kepada kita nanti. Ianya bukan satu kerja yang senang. Nak suruh manusia jangan bersanding pun dah susah dah. Jangan kata nak larang, tidak pergi pun dah susah dah – takut macam-macam orang kata kalau kita tak pergi. Padahal bersanding itu adalah amalan agama Hindu. Dan kita tahu bahawa Hindu mengamalkan syirik. Kerusi bersanding itulah yang menjadi simbolik kepada pemujaan yang dilakukan oleh penganut Hindu. Iaitu perlambangan perkahwinan Sri Rama dan Sita Devi. Ditambah pula lagi dengan ‘suap semangat’ dan renjis merenjis – itu adalah cara pemujaan agama mereka dan itu adalah perbuatan kufur kepada Allah. Dan makanan yang digunakan sebagai pemujaan itu haram dimakan. Amalan itu adalah tinggalan dari agama Hindu nenek moyang kita dulu. Sebab mereka dulu sebelum masuk Islam, beragama Hindu. Banyak yang mengamalkan amalan peninggalan agama Hindu lagi kerana sayang kepada perbuatan itu. Sampai tak boleh nak tinggal. Kalau ada yang larang, mereka pula yang kena marah. Alasan yang diberi adalah tidak sayangkan adat. Padahal adat itu bercanggah dengan agama Islam. Kalau adat itu tidak bercanggah, kita pun tidak tegur.

Satu lagi, Nabi akan menjadi saksi ke’atas’ kita, bukan ‘untuk’ kita. Ini kalau kita buat amalan yang salah – amalan bidaah dan amalan syirik. Nabi akan dipanggil nanti dan Nabi akan ditanya samada baginda telah mengajar manusia untuk berbuat amalan yang salah itu. Waktu itu, Nabi akan berkata itu tidak benar, baginda tidak pernah ajar amalan itu dan baginda tidak dapat menolong kita. Ada dalam satu riwayat, dimana pernah Nabi suruh sahabat membacakan Quran kepada baginda. Apabila sampai kepada ayat dimana baginda akan menjadi saksi keatas umatnya, baginda suruh sahabat itu berhenti membaca dan baginda tidak tahan dan terus menangis. Kerana baginda tahu bahawa baginda akan dipanggil menjadi saksi atas umatnya. Kita sangka Nabi akan tolong kita, tapi sebaliknya.

Oleh itu, jangan kita tersilap sangka seperti puak-puak ahli Kitab. Mereka sangka Nabi-nabi mereka akan menolong mereka, tapi tidak. Kalau apa yang mereka amalkan itu salah, Nabi-nabi itu tidak akan dapat menolong pengikut-pengikut mereka. Kerana sebenarnya, mereka tidak mengikut pun ajaran Nabi-nabi mereka itu tapi mereka reka amalan yang baru. Begitu jugalah dengan masyarakat kita dengan bermacam-macam amalan bidaah yang mereka amalkan. Bagaimana mereka boleh sangka yang Nabi Muhammad akan tolong mereka, bagi syafaat kepada mereka padahal amalan yang mereka lakukan itu tidak pernah Nabi ajar? Jangan kita sangka yang kalau kita agama Islam sahaja, kita akan selamat, Nabi akan bantu kita, tidak sama sekali. Bayangkan, Nabi Muhammad pernah berkata kepada anaknya, Fatimah – kalau Fatimah melakukan kesalahan, baginda pun tidak dapat menolong. Kalau anaknya sendiri baginda tidak dapat tolong, bagaimana baginda boleh nak tolong kita?

 وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنْتَ عَلَيْهَا

Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang kamu dulu mengadap kepadanya itu

Ini adalah jawapan kedua tentang kenapa kiblat mengalami pertukaran. Dulu kamu mengadap Kiblat di Mekah semasa di Mekah. Kemudian telah ditukar ke BaitulMaqdis apabila telah berhijrah ke Madinah.

 إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ

melainkan supaya Kami dapat tahu siapa yang ikut Rasul;

Allah buat penukaran kepada kiblat itu kerana nak bezakan antara hambaNya: Mana yang ikut Nabi semata atau hanya kerana Nabi solat sama dengan kiblat mereka. Kalau mereka sudah tidak lagi ikut kiblat baru itu, bermaksud dulu dia ikut Nabi kerana Nabi ikut dia sahaja. Dan apabila Nabi sudah tidak sama dengan kiblat mereka, mereka sudah tidak ikut. Maknanya, hidayat yang tidak sempurna.

Allah tak jahil, cuma Allah nak bezakan. Bukanlah Allah tidak tahu iman hambaNya sampaikan Dia nak kena buat sesuatu untuk pastikan pula – kalau ada yang kata begini, itu adalah salah sama sekali. Allah Maha Tahu hati hamba-hambaNya.

Ianya adalah ujian Allah kepada sahabat untuk memperlihatkan siapakah yang taat. Yang sanggup mengikut Nabi tanpa banyak soal. Waktu penukaran itu, banyak umat Islam yang telah goyah agama mereka. Ada yang kata adakah Allah telah salah beri alamat semasa suruh pakai kiblat yang dahulu? Dan berbagai-bagai lagi isu-isu yang timbul.

Ada yang baru masuk Islam dari agama lain. Dan penukaran kiblat itu menyebabkan mereka sangsi kepada Islam kerana nampak Islam macam tidak tetap pendirian – ini adalah kerana mereka masih jahil lagi dan tidak faham agama Islam lagi. Allah hendak melihat siapakah yang mahu ikut arahan tanpa soal.

مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ

dan siapa yang berpaling ke belakang;

Iaitu mereka yang tidak ikut Nabi, iaitu golongan munafik. Ada yang kembali kepada agama asal, iaitu kufur. Mereka meninggalkan agama Islam kerana mereka salah faham dan mereka sendiri yang tidak tetap pendirian untuk ikut apa yang Allah dan Nabi Muhammad sampaikan.

 وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً

Dan sesungguhnya yang demikian itu adalah satu perkara yang amat berat untuk dipikul;

Untuk mengikut Allah dan Rasul semata-mata adalah susah kerana ramai yang tidak mengikutnya. Contohnya, seperti hendak meninggalkan amalan bersanding semasa majlis kahwin. Atau tidak hadir dalam majlis tahlil, atau Maulid Nabi. Kerana amalan sesat itu dibuat oleh ramai manusia dalam masyarakat. Jadi kita takut masyarakat tidak dapat menerima kita. Kita takut kepada mereka yang jahil. Ini adalah salah dan mereka yang sebegini adalah lemah iman mereka.

Jadi, pengajarannya, kita kena ada semangat yang kuat untuk mengikut ajaran Nabi kita. Jangan hirau apa orang nak kata.

 إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ

melainkan ke atas orang-orang yang mendapat hidayat Allah sahaja;

Kalau Allah beri hidayah kepada mereka, mereka akan berasa ringan sedikit untuk mengikut sunnah. Walaupun berat tapi dimudahkan sedikit. Kerana mereka hanya takut kepada Allah dan bukan kepada masyarakat sekeliling yang jahil.

 وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ

Dan tidaklah Allah taala akan menyia-yiakan ‘iman’ kamu;

Allah tidak akan menyia-nyiakan ibadat-ibadat soleh yang sahabat-sahabat Nabi lakukan semasa mereka mengadap ke Baitul Maqdis. Tidaklah sia-sia amalan mereka dahulu – mereka masih dapat pahala juga dari amalan mereka dahulu.

‘Iman’ yang dimaksudkan itu adalah ‘solat’ mereka. Ini menunjukkan kebesaran ibadat Solat. Ianya hampir setaraf dengan iman sampaikan Allah gunakan perkataan ‘iman’ untuk ‘solat’ dalam ayat ini. Begitu penting solat, sampaikan kalau tengok kuat atau tidak imam seseorang, tengok apabila dia ada kesusahan untuk solat, samada dia solat atau tidak. Ada orang yang tidak ada masalah kalau dia dalam suasana senang dan tenang, tapi kalau sibuk dengan hal lain, mereka sanggup tinggalkan Solat. Oleh itu, ketahuilah yang solat itu amat penting sekali kerana ianya adalah tali hubungan kita dengan Allah. Ini alamat zahir tentang iman seseorang. Kita memang tidak tahu iman dalam hati manusia, tapi kita boleh kenali dengan zahir mereka.

Ada sahabat-sahabat yang risau solat mereka semasa mengadap ke Baitul Maqdis itu tidak sah. Ada orang Yahudi yang mengacau umat Islam dengan mengatakan bahawa kalau kiblat sudah ditukar, bermakna ibadat solat mereka semasa mengadap ke BaitulMaqdis itu tidak dikira. Allah nak memberitahu bahawa ianya diterima. Kerana semasa mereka mengadap ke BaitulMaqdis itu, mereka lakukan kerana iman mereka. Dan waktu itu mereka mengikut arahan Allah dan Nabi mereka. Mereka taat kepada Allah dan takkan Allah akan sia-siakan ketaatan mereka itu?

 إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ 

Sesungguhnya Allah taala terhadap manusia semua sekali sangat menyayangi

Bukan Allah tidak sedar tentang kepayahan yang diterima oleh umatNya yang terpaksa mengharung segala rintangan dan tohmahan. Allah sedar, tapi itu semua adalah sebagai ujian untuk kita. Kalau ianya senang, bukanlah ujian namanya. Yang diuji adalah orang yang beriman. Yang diuji adalah barang yang berharga. Contohnya, kalau orang beri kita emas, tentu kita nak uji samada ianya tulen atau tidak. Tapi kalau orang beri kita besi biasa sahaja, adakah kita hendak uji samada ianya besi atau tidak? Bermakna, yang diuji adalah benda yang bernilai. Maka ingatlah, yang Allah uji adalah orang yang beriman.

رَحِيمٌ

dan Maha Belas kasihan.

Amat tinggi sifat Raheem Allah ke atas kita.

Kesimpulan ayat ini: ada kelebihan yang diberikan kepada umat Islam dan ada tanggungjawab. Dengan kelebihan yang diberikan ada tanggungjawab yang kita kena tunaikan.


Ayat 144: Ini adalah Ayat Tasliah, ayat untuk pujuk Nabi. Nabi telah hadap ke Kaabah apabila mula kenal solat semasa di Mekah (ada pendapat lain yang mengatakan Nabi semasa di Mekah pun terus kena mengadap ke BaitulMaqdis). Tapi bila baginda dan para sahabat sudah berhijrah ke Madinah, mereka kena mengadap ke BaitulMaqdis. Tapi dalam hatinya baginda hendak sangat kembali mengadap ke Kaabah kerana itulah kiblat Nabi Ibrahim. Oleh itu baginda selalu menunggu-nunggu turunnya wahyu memberi arahan untuk mengadap ke Kaabah.

2:144

Sahih International

We have certainly seen the turning of your face, [O Muhammad], toward the heaven, and We will surely turn you to a qiblah with which you will be pleased. So turn your face toward al-Masjid al-Haram. And wherever you [believers] are, turn your faces toward it [in prayer]. Indeed, those who have been given the Scripture well know that it is the truth from their Lord. And Allah is not unaware of what they do.

Malay

Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ

Sesungguhnya Kami selalu melihat muka kamu mendongak ke langit;

Dalam masa 16 atau 17 bulan yang orang Islam disuruh untuk mengadap BaitulMaqdis di dalam solat semasa di Madinah itu, Nabi selalu mengangkat muka baginda mengadap ke langit. Tapi baginda tidak bercakap apa-apa pun. Baginda dalam keadaan mengharap supaya Allah mengubah kiblah ke Baitullah. Tapi tidak berani meminta kepada Allah. Baginda tidak tergamak kerana ianya telah disyariatkan oleh Allah. Tapi baginda sangat sayangkan Baitullah kerana ianya adalah kiblat dari zaman Nabi Ibrahim lagi. Semasa baginda di Mekah, memang kena mengadap ke BaitulMaqdis dalam solat. Tapi semasa di sana, boleh lagi baginda mengadap Kaabah dan BaitulMaqdis dalam masa yang sama. Kerana baginda boleh duduk dalam posisi mengadap kedua-duanya. Tapi di Madinah tidak boleh lagi dah. Di Madinah, baginda terpaksa membelakangkan Kaabah dalam solat baginda.

Ayat ini menunjukkan hubungan yang rapat antara Allah dan Nabi Muhammad. Macam emak kita, tengok muka kita pun dah tahu kita ada masalah. Nabi tak cakap apa-apa pun tapi Allah sudah memberikan apa yang baginda hendak. Kalau dibandingkan dengan apa yang diberikan kepada Nabi Musa, ianya diberikan selepas Nabi Musa memohon kepada Allah. Tapi dalam kes Nabi Muhammad tentang kiblat ini, Nabi tidak memohon dengan lafaznya pun, tapi Allah dah beri dah.

فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا

Maka Kami pindahkan arah kiblat kearah yang kamu redhai;

Allah sempurnakan hajat Nabi Muhammad. Dan selepas Allah sempurnakan hajat baginda, maka turunlah ayat perlaksanaan pula, iaitu ayat ini. Ayat ini turun semasa solat Asar di Masjid Qiblatain. Masjid itu adalah antara tempat elok untuk diziarahi. Dipanggil Qiblatain kerana ada dua qiblat pada masjid itu. Ada hadis berkenaan penukaran kiblat ini.

Sahabat semasa itu berpusing dalam solat untuk mengubah arah kiblat. Nabi yang ada di hadapan sebagai imam terus jadi berdiri di belakang setelah terjadi pemusingan itu. Bila turun sahaja ayat mengarahkan untuk menukar kiblat, Nabi terus berpusing dan sahabat terus ikut. Dan sahabat yang sudah solat itu, pergi ke masjid lain dan laungkan kepada orang lain yang sedang solat bahawa qiblat telah berpindah. Maka, yang dalam masjid dan sedang solat itu pun berpusing juga. Selepas berpusing itu, mereka kena bergerak dalam kadar yang jauh untuk memperbetulkan kembali saf. Ini menjadi dalil bahawa tidak salah kalau bergerak banyak dalam solat jikalau ada keperluan.

Dalam perkataan فَلَنُوَلِّيَنَّكَ itu, menunjukkan bahawa Allah mengubah kiblat itu kerana Nabi.

 فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Maka hadapkanlah wajah kamu (dalam solat) ke arah Masjidilharam;

Ini adalah ayat perintah. Agama lain kata kita menyembah batu. Jangan kita mengiyakan kata-kata mereka kerana kerana kalau kita buat begitu, kita jadi kufur sebab kita iktikad sembah batu. Padahal kita mengadap ke arah Masjidil Haram itu adalah kerana kita diperintah oleh Allah untuk mengadap ke arah itu.

Dalam hukum Feqah, mengadap kiblat adalah syarat sah solat sahaja, bukan rukun solat. Sebab itu ada waktu solat tidak hadap ke kiblat pun, macam solat waktu perang. Atau dalam musafir – kita duduk atas sampan, dan mungkin sampan itu berpusing dan kita tidak mengadap kiblat lagi – ini dibenarkan. Tapi dalam Quran banyak disebut tentang kiblat. Kenapa? Kerana hal kiblat ini perlu diperjelaskan kerana kalau ada yang salah faham, sudah nampak macam sembah selain Allah – sembah batu, sembah dinding, sembang tongkat, sembah tiang dan sebagainya. Dan memang ada orang kafir kata kita sembah dinding dan sembah batu Kaabah. Lalu apa beza dengan mereka? Mereka kata mereka hanya sembah patung kecil sahaja, sedangkan kita sembah bangunan yang lebih besar – 30 kaki tingginya Kaabah itu. Ini adalah hujah dari mereka dan kalau tak belajar, tak boleh nak jawap kata mereka.

Jadi kena beri dua jawapan kepada isu ini. Pertama, kita mengadap kiblat ini adalah kerana arahan dari Allah Tuhan kita. Ianya ada dalam Qur’an sepertimana ayat yang kita sedang baca ini dan ayat-ayat lain. Kalau Allah suruh kita mengadap ke arah yang lain pun kita akan ikut juga kerana kita taat kepada Allah. Tapi Allah suruh kita mengadap Mekah kerana ia adalah pusat. Dia juga yang jadikan bumi dan Dia telah jadikan Mekah sebagai pusat dan Dia telah tentukan ianya sebagai kiblat kita.

Kedua, kita tidak ada rasa apa-apa dengan Kaabah itu sepertimana penyembah berhala rasa terhadap berhala dan patung mereka. Mereka, semasa seru roh, wali dan dewa mereka, mereka jadikan roh itu dalam bentuk patung sebagai kiblat tawajjuh (tempat mengadap), tapi kita orang Islam tidak buat begitu. Semasa kamu mengadap kepada patung itu, kamu sembah roh yang kamu iktikad ada dalam patung itu. Kamu pun hanya memandai sahaja, padahal sebenarnya dalam kitab kamu pun tidak suruh kamu buat begitu, bukan? Sedangkan kami buat sebab Allah yang suruh. Kalau kami rasa yang Kaabah itu boleh selesai masalah, boleh buat itu dan ini, maka itu pun Syirik juga. Tapi iktikad kita, Kaabah itu tidak ada apa-apa. Seperti kata Umar kepada Hajarul Aswad semasa beliau menciumya.

عَنْ عَابِسِ بْنِ رَبِيعَةَ قَالَ رَأَيْتُ عُمَرَ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ إِنِّى لأُقَبِّلُكَ وَأَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَلَوْلاَ أَنِّى رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُقَبِّلُكَ لَمْ أُقَبِّلْكَ

“Dari ‘Abis bin Robi’ah, ia berkata, “Aku pernah melihat ‘Umar (bin Al Khottob) mencium Hajar Aswad. Lantas ‘Umar berkata, “Sesungguhnya aku menciummu dan aku tahu bahwa engkau hanyalah batu. Seandainya aku tidak melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menciummu, maka tentu aku tidak akan menciummu.” (HR. Bukhari no. 1597, 1605 dan Muslim no. 1270).

Alhamdulillah, dengan kata-kata Umar ini, kita dapat faham kedudukan Kaabah itu.

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad. Ianya dalam bentuk kebenaran yang diberikan kepada Nabi untuk mengadap ke MasjidilHaram sebab Nabi telah minta.

 وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

Dan dimana sahaja kamu berada, hadapkanlah wajahmu ke arahnya;

Ayat ini pula ditujukan kepada semua umat Islam. Ianya dalam bentuk arahan. Maknanya, bukan Nabi Muhammad sahaja yang mengadap ke MasjidilHaram. Samada kita dalam dalam musafir, atau kita berada di mana-mana, kena mengadap ke arah Masjidil Haram.

Di mana sahaja kamu berada – bermakna, bukan di Masjid Nabi sahaja kena mengadap ke MasjidilHaram. Kalau di mana-mana tempat di dunia ini pun, kena mengadap ke MasjidilHaram.

 وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ

Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberi Kitab;

Iaitu golongan ulama dari Bani Israil.

لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ

mereka sesungguhnya sudah tahu bahawasanya kiblat itu adalah benar dari Tuhan mereka;

Mereka amat tahu kerana dalam Taurat, telah tertulis bahawa Nabi akhir zaman itu akan mengadap ke arah BaitulMaqdis seketika dan kemudian akan mengadap ke Masjidilharam. Kitab Injil pun sebut begitu.

 وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang mereka lakukan;

Iaitu Allah tidak lalai tentang keengkaran mereka berkenaan arah kiblat ini. Mereka telah menutup kisah tentang kiblat ini yang ada dalam kitab mereka. Mereka menyorok ilmu. Sampaikan umat mereka tidak tahu dan menyalahkan apa yang Nabi lakukan. Padahal, kalau umat Bani Israil itu diberitahu bahawa ianya memang ada dalam kitab mereka, tentu mereka pun akan nampak kebenaran Nabi Muhammad dan agama Islam.

Makna Allah tidak lalai itu bermaksud Allah akan balas kesalahan mereka itu di akhirat kelak. Allah bukan buat tidak tahu sahaja. Allah tulis dan rekod apa yang mereka lakukan.


Ayat 145: Ini adalah ayat Zajrun. Allah memberi ancaman kepada orang Islam.

2:145

Sahih International

And if you brought to those who were given the Scripture every sign, they would not follow your qiblah. Nor will you be a follower of their qiblah. Nor would they be followers of one another’s qiblah. So if you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, indeed, you would then be among the wrongdoers.

Malay

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.

وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ

Sekiranya kamu mendatangkan kepada orang yang telah diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu

 بِكُلِّ آيَةٍ

dengan semua dalil-dalil bukti

Kalau bagi macam-macam bukti pun mereka takkan nak ikut kiblat orang Islam. Walaupun kita bagi mereka bermacam-macam hujjah pun. Mereka hanya hendak berdebat sahaja sebenarnya. Jangan kita ingat hujjah kita tak kuat dan sebab itulah mereka tak ikut. Sebenarnya, mereka takkan ikut walaupun apa kita kata. Kerana niat hati mereka bukan hendak kebenaran, tapi hendak berhujjah dan berdebat sahaja.

Begitu jugalah kalau kita berdebat dengan orang-orang Islam yang tak mahu mengikut jalan sunnah. Walau bagaimana hebat pun hujjah yang kita berikan, hati mereka tidak mahu terima.

مَا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ

mereka sekali-kali tidak akan mengikuti kiblat kamu;

Mereka tidak mahu ikut kiblat itu hanya kerana kedegilan sahaja. Kalau mereka tidak mahu ikut itu sebab mereka jahil, kita masih boleh jelaskan lagi. Tapi kalau degil, tidak ada ubat. Maka Allah tegur mereka kerana kedegilan mereka dan Allah beritahu yang mereka tidak akan ubah kerana degil.

Dalam Taurat telah disebutkan bahawa apabila datang mana-mana Nabi, mereka kena taat. Tapi mereka tidak taat kepada Nabi Isa. Dan mereka tidak mahu taat kepada Nabi Muhammad.

Kalau manusia sudah biasa mengamalkan sesuatu amalan dalam agama, mereka akan susah hendak ubah. Walaupun mereka diberikan dengan berbagai-bagai dalil. Tambahan pula kalau mereka itu kononnya orang yang tahu tentang agama. Atau mereka itu pemimpin dalam masyarakat. Mereka lagi degil hendak berubah ke arah kebenaran. Mereka masih lagi hendak pegang amalan-amalan mereka yang mereka sudah biasa buat itu. Kerana mereka takut status mereka akan jatuh. Mereka takut mereka akan dikatakan mengamalkan amalan yang salah sebelum itu.

وَمَا أَنْتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ

Dan tidaklah kamu Muhammad akan mengikuti kiblat mereka;

Kiblat Yahudi adalah BaitulMaqdis. Kristian pun di situ juga, sepatutnya tapi mereka telah mengubah kiblat mereka ke tempat lahirnya Nabi Isa, Bettlehem. Sepatutnya, sekarang apabila diarahkan oleh Allah untuk berpindah kiblat ke Mekah, mereka kena ikut.

Kita dulu mengadap ke BaitulMaqdis. Tapi sekarang mereka mengatakan yang kita hendakkan kepada Kubah tempat batu terapung tu. Padahal, bukan itu kiblat kita. Ramailah pula yang buat syirik di situ. Dengan melawat tempat itu dan minta macam-macam. Itu bukan tempat solat, tapi mereka ramai yang solat di situ.

rock_quds

Batu yang dikatakan batu terapung di Palestin di Dome of the Rock. Tidak ada apa-apa dengan batu ini.

Kita sampai bila-bila pun tidak akan mengadap kepada kiblat mereka. Allah beri larangan kepada Nabi tidak boleh ikut kiblat mereka untuk ambil hati mereka. Kerana agama bukan ambil hati orang tapi ikut Tuhan. Macam sekarang lah juga, tidaklah boleh pergi juga ke Majlis Tahlil bidaah itu kerana nak ambil hati orang ramai atau ahli keluarga kita yang buat. Bukan kerja kita nak ambil hati orang dan dalam masa yang sama menolak kehendak agama.

وَمَا بَعْضُهُمْ بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ

Dan sebahagian mereka tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain

Yahudi dan Nasara kiblat berlainan dan mereka tidak akan ikut yang lain dari kiblat mereka. Yahudi tidak akan ikut kiblat Nasara dan Nasara pun tidak akan ikut kiblat Yahudi.

Ada empat kumpulan yang disebutkan dalam ayat ini: Yahudi, Kristian, Islam dan Musyrikin Mekah. Semuanya tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Musyrikin Mekah sebelum itu pun mengadap ke Kaabah juga. Tapi dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa mereka tidak akan lama mengadap ke Kaabah. Mereka pun tidak akan ikut kiblat orang Islam.

Tidak akan dapat bersetuju empat kumpulan ini dalam hal kiblat dan hal agama.

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika kamu ikuti hawa nafsu mereka itu

Yang dimaksudkan di sini adalah mengikut mereka yang menggunakan dalil hawa nafsu mereka sahaja. Bukan menggunakan dalil yang sah dari Quran dan hadis Nabi.

 مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

sesudah datang kepada kamu dalil bukti dari Allah,

 إِنَّكَ إِذًا لَمِنَ الظَّالِمِينَ

jika buat begitu, maka kamu termasuk dari golongan yang syirik kepada Allah.

Allah beri peringatan kepada Nabi dalam ayat ini. Kalau baginda ikut mereka, baginda juga termasuk dalam golongan mereka juga. Walaupun Allah sayang kepada Nabi Muhammad, tapi kalau Nabi melakukan kesalahan, baginda juga akan dihukum.

Ayat ini juga sebagai dalil mengatakan bahawa bukan Nabi Muhammad yang menulis Quran. Ayat Quran itu dari Allah. Ayat ini adalah satu peringatan kepada baginda. Kalau baginda yang menulis Quran sendiri, takkan baginda nak tulis ayat-ayat teguran kepada baginda seperti ayat ini? Banyak lagi ayat-ayat lain yang menegur perbuatan Nabi. Kalau Nabi yang tulis Quran, tidak akan ada ayat-ayat sebegitu.

Ayat ini juga mengingatkan kepada kita bahawa Nabi Muhammad itu adalah hamba Allah juga. Kalau baginda buat salah, baginda juga akan dihukum. Supaya kita jangan jadi macam penganut Kristian yang terlalu menyanjung tinggi Nabi Isa sampaikan menaikkan taraf baginda sebagai tuhan.

Ayat ini juga mengingatkan kita supaya jangan ikut hawa nafsu orang-orang yang bukan Islam. Kalau kita ikut mereka, kita pun akan termasuk dalam golongan mereka. Mereka tolak itu kerana ikut hawa nafsu mereka maka jangan kita ikut mereka. Kalau kita ikut juga mereka setelah sampai ilmu wahyu yang jelas, maka kita akan termasuk golongan yang betul-betul zalim. Sebab kita dah tak pakai wahyu dan ikut wahyu mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya


Rujukan:

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s