Tafsir Surah Baqarah Ayat 104 – 123 (Penutup Kisah Yahudi)

Ayat 104: Sebelum ini kita telah banyak belajar tentang sifat golongan Yahudi. Kita sudah tahu yang Yahudi tidak akan senang melihat orang Islam maju. Kerana pada mereka kalau Islam naik, mereka pula yang akan jatuh. Maka mereka akan cuba menjatuhkan umat Islam. Mereka lakukan dengan dua cara. Pertama, mereka bercampur gaul dengan umat Islam dan cuba menjadi penasihat. Mereka lakukan begitu supaya muslim meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi sampai susah nak lawan.

Kedua, bila ada peluang dijadikan sebagai penasihat, mereka akan beri nasihat untuk menjatuhkan umat Islam. Maka kena berjaga dengan mereka. Kerana, walaupun mereka beri nasihat, nasihat mereka itu adalah untuk menjatuhkan kita sebenarnya.

Dalam ayat ini, disebut bagaimana Yahudi cuba menetapkan satu perkataan kepada umat Islam secara senyap yang boleh merosakkan akidah. Oleh itu, Allah suruh para sahabat guna perkataan lain.

Latarbelakang ayat ini: Golongan Yahudi ada juga masuk dalam majlis Nabi, dengar syarahan dan ajaran dari Nabi Muhammad, dan apabila mereka mahu Nabi beri perhatian kepada mereka, mereka kata “ra’ina”. Mereka biasa guna lafaz ini dalam majlis Nabi. Sedangkan lafaz ini boleh bawa maksud baik dan juga maksud yang buruk dalam bahasa mereka. Dari segi zahir, ia bermaksud “beri perhatian kepada kami” tapi dalam bahasa mereka, ia juga bermaksud ‘bodoh dan tolol’. Dan yang lebih teruk lagi, ia juga membawa maka ketuhanan – “engkau mengawasilahlah kami”. Sepatutnya perkataan itu sesuai untuk Allah sahaja. Apabila mereka pakai perkataan itu, para sahabat pun ikut guna juga. Sebab Nabi pun tidak tegur lafaz mereka itu kerana pada Nabi, mungkin itu adalah adat resam mereka. Jadi apabila Nabi tidak tegur, para sahabat pun ikut guna juga. Allah larang guna perkataan ini kerana ia boleh bawa makna yang boleh merosakkan akidah. Kalau kata Nabi bodoh boleh rosak akidah dan kalau kata Nabi ada sifat ketuhanan pun boleh rosak akidah. Oleh kerana itu, Allah tukar kepada perkataan lain.

Oleh itu, ini adalah ayat tentang penggunaan bahasa. Ada perkataan yang sama tapi lain maknanya dari satu tempat ke satu tempat. Ayat ini adalah satu perkataan yang digunakan yang bunyinya serupa, tapi maknanya lain. Ra’ina adalah perkataan yang menghinakan Nabi Muhammad. Kepada orang Yahudi, ia bermakna kutukan kepada Nabi. Tapi kepada sahabat, ianya bermakna: “berilah tumpuan kepada kami”. Dan dalam masa yang sama, ianya boleh menjadi makna yang terlalu menaikkan kedudukan Nabi seperti kedudukan Allah pula.

2:104

Sahih International

O you who have believed, say not [to Allah ‘s Messenger], “Ra’ina” but say, “Unthurna” and listen. And for the disbelievers is a painful punishment.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Khitab ayat ini ditujukan kepada para sahabat Nabi yang beriman. Mereka yang duduk bersama-sama dengan baginda dalam majlis baginda.

 لَا تَقُولُوا رَاعِنَا

Jangan kamu kata ‘ra’ina’;

Allah suruh para sahabat jangan guna lagi perkataan itu apabila ingin mendapatkan perhatian dari Nabi. Mereka cakap macam itu sebab mereka hendak Nabi lihat kepada mereka. Perkataan ini tidak boleh digunakan lagi kerana Yahudi menggunakan perkataan ini untuk menghina Nabi. Dan kerana Allah hendak menjaga kemuliaan Nabi, Allah telah larang para sahabat dari menggunakan perkataan itu lagi. Walaupun para sahabat tidaklah berniat untuk menghina Nabi dengan menggunakan perkataan itu. Allah hendak menutup jalan yang boleh digunakan oleh musuh-musuh Allah untu menghina Nabi.

Begitu juga, perkataan itu ada membawa maksud ketuhanan kerana ia boleh bermaksud: “Awasilah kami” yang hanya sesuai diberikan kepada Allah sahaja. Jadi, Allah nak tutup kemungkinan kedudukan Nabi dinaikkan ke tahap ketuhanan pula.

 وَقُولُوا انْظُرْنَا

Tapi katakanlah: unzurna

Gunakanlah perkataan ini – yang bermaksud: “berilah perhatian kepada kami”.

وَاسْمَعُوا

dan dengarkanlah;

Maksud perkataan tolonglah انْظُرْنَا adalah: “lihatlah kepada kami, dengarlah kami, kami hendak bertanya kepada kamu”. Dan selepas Nabi telah beri perhatian kepada mereka, dan beri pengajaran atau menjawap pertanyaan mereka, yang lebih penting adalah, mereka hendaklah mendengar dengan baik dan amalkan apa yang telah Nabi sampaikan kepada mereka.

Yang lebih penting dari minta Nabi beri perhatian kepada mereka, adalah mereka yang kena beri perhatian kepada Nabi. Kena dengar betul-betul. Kena terus dengar lagi dan lagi. Kerana mungkin persoalan yang mereka tidak faham ini akan diberikan jawapannya pada masa akan datang. Jangan datang sekali sekala sahaja. Jangan jadi macam puak Yahudi itu, mereka datang ikut suka mereka sahaja. Begitu juga kita dalam belajar agama, kena selalu datang ke kelas. Mungkin ada soalan kita tak faham, tapi kita akan dapat jawapannya kalau kita pergi ke kelas selalu.

Dalam ayat ini juga, ada isyarat untuk dengar dan patuh kepada ajaran Nabi kamu sahaja dan tidak perlu dengar ajaran lain. Terutamanya jangan lagi ambil dari ajaran Yahudi.

Maka jangan terpengaruh dengan orang Yahudi. Contohnya, mereka kata yang muslim adalah pengganas. Maka apabila kita sudah dilabel begitu, kita pun malu, sampaikan jihad pun sudah tidak diajar dalam Islam, padahal ianya adalah salah satu ajaran penting dalam agama. Tapi malangnya, masyarakat kita nak sebut jihad pun takut kerana propaganda Yahudi.

وَلِلْكَافِرِينَ

Dan kepada orang-orang yang engkar;

Iaitu mereka yang menggunakan perkataan ‘ra’ina’ itu lagi, atau setelah ditegur, masih lagi menggunakan perkataan itu.

عَذَابٌ أَلِيمٌ

kepada mereka azab yang pedih.

Kalau kamu kata yang buruk terhadap Nabi, kamu boleh jadi kafir dan azab yang pedih kepada orang kafir.


 

Ayat 105: Ini adalah ayat teguran dari Allah kepada para sahabat.

2:105

Sahih International

Neither those who disbelieve from the People of the Scripture nor the polytheists wish that any good should be sent down to you from your Lord. But Allah selects for His mercy whom He wills, and Allah is the possessor of great bounty.

Malay

Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

مَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Amat tidak suka orang-orang kafir itu; 

Dalam ayat ini, Allah menceritakan apakah perasaan orang-orang Yahudi. Apakah yang sebenarnya yang mereka sorok dalam hati mereka?

Kenapakah Allah menggunakan perkataan مَا dalam ayat ini? Perkataan مَا adalah menidakkan sesuatu. Allah menidakkan anggapan orang-orang mukmin di Madinah. Kita kena tahu serba sedikit sejarah mereka. Mereka telah lama berada di Madinah bersama dengan orang-orang Yahudi yang berada di Madinah. Mereka telah berkawan lama. Dan mereka menghormati orang-orang Yahudi itu yang telah lama mendapat kitab Taurat. Jadi mereka rasa bahawa apabila wahyu baru telah diberikan kepada Nabi Muhammad, mereka sangka tentulah mudah untuk orang-orang Yahudi menerima Nabi Muhammad. Kerana bukankah mereka telah lama beragama dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad itu adalah bersamaan dengan agama yang mereka pegang kerana sama-sama agama dari langit.

Allah menidakkan pemahaman mereka yang sebegitu. Jika mereka berfikiran begitu, mereka adalah naif. Allah nak beritahu, sebagaimana orang-orang Musyrik di Mekah dulu menentang Nabi, begitu juga sesetengah orang Yahudi di Madinah. Walaupun mungkin dulu berkawan baik, tapi dengan perubahan pandangan agama, segala-galanya boleh berubah. Macam juga kita, dulu kita sama-sama berkawan baik dengan orang. Tapi apabila kita mengambil jalan sunnah dan belajar tafsir Quran, ada orang yang sudah tak mahu kawan dengan kita dah kerana kita dah macam lain pula kepada mereka. Mereka sudah pandang serong dengan kita.

مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ

yang terdiri dari Ahli Kitab;

Golongan pertama adalah Ahli Kitab – Yahudi dan Nasara kerana mereka telah mendapat kita. Allah hendak memberitahu bahawa ahli-ahli Kitab itu tidak seperti yang diharapkan oleh para sahabat yang beriman. Apa yang orang mukmin di Madinah sangkakan itu adalah tidak benar. Kerana ada golongan orang kafir dari kalangan orang Yahudi itu tidak suka jikalau ada kebaikan yang didapati oleh orang Islam.

Bukan semua tidak suka. Sebahagian sahaja. Sebab itu Allah menggunakan perkataan ‘orang kafir dari ahli Kitab’. Perkataan kafir dalam Quran lain dari pemahaman biasa kita. Ianya bermaksud mereka yang menolak Islam setelah memahaminya. Iaitu mereka tahu bahawa Islam itu benar, tapi mereka tolak juga. Ataupun mereka juga memerangi Islam.

Seperti yang kita tahu, tidak semua orang bukan Islam yang memerangi Islam. Ada yang berbaik dengan Islam dan tidak ada berniat buruk terhadap Islam. Cuma mereka tidak masuk Islam kerana mereka belum lagi diberi hidayah. Mereka mungkin belum faham Islam. Mungkin juga mereka telah terima Islam tapi belum terbuka lagi hati mereka untuk menerima Islam. Orang yang sebegini tidak dipanggil kafir dalam Quran. Cuma dalam penggunaan biasa, kita selalunya panggil mereka ‘kafir’.

وَلَا الْمُشْرِكِينَ

dan juga dari orang-orang Musyrikin;

Ini adalah golongan kafir yang kedua – yang musyrik seperti Musyrikin Mekah. Orang Musyrik memang tak suka jika ada kebaikan diberikan kepada orang Islam. Mereka dari dulu lagi tak suka kepada Nabi Muhammad. Merekalah yang pertama menentang Nabi apabila Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul. Merekalah yang mula-mula menentang Nabi, tapi kenapa ahli kitab disebut dulu dalam ayat ini?

Ahli Kitab disebut dahulu kerana mereka lebih penting hendak diberitahu dalam situasi ini. Kerana ayat ini diturunkan semasa orang Islam berhadapan dengan orang Yahudi di Madinah. Orang Islam di Madinah memerlukan saranan yang lebih kuat untuk membangunkan mereka dari pemahaman mereka yang salah tentang kawan-kawan mereka dari orang Yahudi itu. Mereka sudah faham tentang tentangan dari orang Musyrik Mekah. Allah hendak memberi peringatan kepada orang Islam di Madinah bahawa sebagaimana orang Musyrik telah menentang Islam, begitu juga orang Yahudi di Madinah.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa akan sentiasa ada dua golongan ini yang akan menentang Islam. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati.

Apakah yang mereka tidak suka?

 أَنْ يُنَزَّلَ عَلَيْكُمْ مِنْ خَيْرٍ

bahawa didatangkan kepada kamu semua satu kebaikan apa pun;

Mereka tidak suka apabila orang Islam mendapat kebaikan. Apabila mereka tidak suka, mereka mencari berbagai-bagai jalan untuk melemahkan Islam. Antaranya mereka cuba mencari kesalahan Nabi. Mereka juga mencari-cari jalan bagaimana hendak menyebabkan orang Islam sangsi dengan Islam.

مِنْ رَبِّكُمْ

dari Tuhan kamu;

Padahal kebaikan itu dari Allah semata-mata. Mereka tak suka orang beriman dapat kebaikan dari Allah. Apa-apa sahaja kebaikan, tidak kira walau apa jenis pun. Samada kesenangan, harta atau apa-apa sahaja. Pertamanya, mereka tidak suka Nabi Muhammad yang dapat wahyu – ini yang paling utama. Kita telah belajar sebelum ini bahawa orang-orang Yahudi tidak dapat terima bahawa wahyu akhir zaman diturunkan kepada Bangsa Arab. Orang Arab Mekah yang musyrik pula, tidak dapat terima Nabi Muhammad diberikan wahyu. Pada mereka, ada lagi orang lain yang lebih layak. Kita akan belajar tentang ini dalam surah-surah yang lain.

Macam masyarakat kita juga, ada yang tidak suka kalau orang baik-baik dapat kebaikan. Kalau mereka tengok ada ustaz pakai kereta cantik sikit, mereka akan mengata. Mereka tak suka orang yang sebar agama dapat kebaikan. Sama ada orang-orang agama itu mendapat kedudukan, harta atau sebagainya.

 وَاللَّهُ يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ

Sedangkan Allah akan memberikan pengkhususan dengan RahmatNya;

Rahmat itu adalah dari Allah. Allah hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa ianya adalah hak Allah untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Bukan tempat kita untuk soalkan kepada siapakah yang Allah berikan rahmatNya itu.

مَنْ يَشَاءُ

kepada sesiapa yang Dia kehendaki;

Ikut Allah lah siapa yang Dia hendak beri kebaikan itu. Sebagai contoh, kita tahu bahawa Bilal itu adalah seorang yang miskin. Begitu juga dengan Salman al Farisi dan Suhail. Orang-orang musyrik tidak suka mereka-mereka ini dapat rahmat apa-apa dari Allah. Tapi Allah telah pilih mereka. Itu semua adalah kehendak Allah. Kita tidak dapat mempersoalkannya langsung. Siapa kita untuk persoalkan keputusan Allah?

Memang dahulu Bani Israil telah mendapat begitu banyak kebaikan dari Allah. Mereka telah diberikan dengan kelebihan demi kelebihan – antaranya begitu ramai Nabi dan Rasul dari kalangan mereka. Mereka juga telah mendapat kekayaan dan kebaikan dalam kehidupan. Tapi Allah boleh tidak memilih mereka lagi untuk memberi kebaikan. Siapakah mereka sebagai manusia hendak mempersoalkan Allah?

 وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar sekali.

Allah ada banyak rahmat yang akan diberikanNya kepada manusia lain yang dipilihNya.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang orang Yahudi marah kerana Nabi akhir zaman yang dibangkitkan bukan dari golongan mereka.
Orang Musyirikin pun marah juga kerana yang diangkat menjadi Nabi itu bukan dari orang-orang yang mereka sangka patut jadi Nabi.


 

Ayat 106: Apabila Yahudi ada peluang untuk kritik, mereka akan kritik. Terutama bab syariat. Sebab itu penting untuk kita faham dan mahir agama kita sendiri supaya mereka tidak ada peluang untuk kritik agama kita. Masalah kalau kita tidak faham agama sendiri. Sebab ramai tidak faham agama lah, yang menyebabkan syiah boleh dapat pengaruh. Apabila Syiah dakwah kepada orang-orang kita yang tidak ada asas agama, senang untuk mereka masuk Syiah kerana mereka senang ditipu.

Puak Yahudi ada dengar yang ada amalan yang telah mansukh dalam agama Islam. Yang wajib kemudian jadi sunat, dulu boleh sekarang tak boleh, yang tidak boleh, kemudian jadi boleh, dan macam-macam lagi. Ini dinamakan nasikh mansukh dan memang ada. Dalam Qur’an pun ada ayat yang telah dimansuhkan hukumnya. Tidak banyak ayat yang dimansukhkan dan ulama khilaf tentang bilangannya, malah ada yang kata tidak ada ayat yang sebenarnya dimansukhkan. Oleh itu, kita katakan dalam salah satu pendapat, hanya ada empat sahaja ayat Qur’an yang telah dimansuhkan. Ianya masih lagi dibaca tapi hukumnya telah dimansuhkan.

Jadi Yahudi telah kritik perkara ini dengan mengatakan agama apakah ini? Sekejap begitu dan sekejap begini. Dulu boleh dan sekarang tidak boleh? Mereka kata, kalau benar Islam adalah agama Tuhan, takkan macam ini? Mereka telah ambil kesempatan dalam perkara ini. Maka Allah sendiri jawap dalam ayat ini.

Oleh itu, ini adalah ayat berkenaan Nasikh dan Mansukh untuk menjawab tohmahan dari puak Yahudi yang hendak menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat Islam. Banyak ustaz-ustaz yang ajar salah tentang nasikh dan mansukh. Iaitu apabila mereka mengatakan bahawa ada ayat Quran yang telah dimansukhkan. Mereka kata ada ayat yang diturunkan kemudian dari ayat yang sebelumnya, dan ayat yang terkemudian itu mereka kata telah membatalkan ayat sebelumnya. Ada kitab tafsir yang kata ada beberapa ratus ayat Quran telah dimansukhkan. Imam Suyuti pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir Jalalain, kata ada hanya 20 sahaja ayat yang dimansukhkan. Syah Waliyullah pula kata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Maulana Husin Ali pula, pun kata hanya 4 ayat sahaja yang dimansukhkan. Dan 4 ayat itu pun walaupun dikatakan telah dimansukhkan, boleh lagi digunakan dengan beberapa syarat. Maknanya, kalau kena pada keadaan tertentu, boleh digunakan ayat itu. Maknanya, tidak ada ayat yang mansukh pun.

Contohnya, ayat tentang wasiat. Ada ayat Quran yang kata orang kafir tidak boleh menerima harta pesaka. Seorang yang asalnya kafir, apabila telah masuk Islam, dan keluarganya masih kafir. Hukum dari ayat Quran adalah, orang kafir tidak boleh menerima harta pesaka dari orang Islam walaupun keluarga sendiri. Maknanya, kalau seorang ayah telah masuk Islam dan dia mati, anaknya tidak dapat mewarisi harta pesaka ayahnya yang telah masuk Islam itu. Tetapi dari ayat yang lain, ada juga mengatakan bahawa seseorang Islam, boleh mewasiatkan sebanyak 1/3 dari hartanya kepada sesiapa yang dia hendak beri. Jadi, ada penggunaan ayat itu di tempat-tempat yang tertentu. Ada penggunaannya lagi. Contohnya, walaupun ibu bapanya masih kafir, dia boleh wasiatkan lagi. Syaratnya adalah, orang yang mati itu buat wasiat itu semasa dia hidup. Ini juga boleh digunakan untuk orang yang memberi wasiat kepada orang yang bukan ahli keluarganya. Contohnya, seseorang boleh memberi wasiat kepada anak angkatnya, sebanyak 1/3 juga. Itu adalah hadnya.

Maknanya, walaupun ada ayat yang mengatakan orang kafir tidak boleh menerima harta pesaka, tapi masih lagi boleh orang yang berwasiat kepada had 1/3 dari keseluruhan hartanya. Cuma, wasiat tidak boleh diberikan kepada penerima pesaka. Ianya hanya dibolehkan beri kepada orang yang bukan penerima pesaka. Maknanya, tidak boleh memberi wasiat kepada anak-anaknya.

Tentang harta pesaka ini banyak kesalahan yang dibuat oleh masyarakat kita. Tidak boleh seorang yang mempunyai harta memberikan wasiat supaya memberikan harta sama rata kepada anak-anaknya, kerana tidak sama bahagian yang anak-anaknya patut dapat. Kerana ada perbezaan antara penerimaan harta pesaka kepada yang lelaki dan perempuan. Tidak sama bahagian mereka. Kalau anak perempuan, harta pesaka yang dia dapat adalah separuh dari bahagian anak lelaki.

Jadi, ayat yang dikatakan telah dimansukhkan itu, masih boleh lagi dipakai jikalau kena dengan syaratnya. Bukan senang kita nak kata bahawa ayat Allah telah dimansukhkan. Ini bukan ayat-ayat biasa, tapi ianya adalah Kalam Allah. Maka ulama kena berhati-hati kalau mereka kata sesuatu ayat itu telah dimansukhkan.

2:106

Sahih International

We do not abrogate a verse or cause it to be forgotten except that We bring forth [one] better than it or similar to it. Do you not know that Allah is over all things competent?

Malay

Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ

Tidaklah dimansukh dari mana-mana ayat;

Penggunaan kata مَا digunakan sekali lagi. Penggunaan kata مَا digunakan apabila hendak menyanggah sesuatu pendapat. Ianya adalah hendak menjawap pertanyaan orang Yahudi yang mempersoalkan kenapa Kitab Taurat mereka dimansukhkan, padahal ianya juga adalah Kalam Allah juga.

 أَوْ نُنْسِهَا

atau Kami hilangkan;

Iaitu hilangkan dari hati Nabi Muhammad;

Atau Allah hilangkan dari digunakan oleh manusia. Iaitu kitab-kitab dari Kalam Allah yang telah hilang ditelan zaman.

 نَأْتِ بِخَيْرٍ مِنْهَا

Kami datangkan yang lebih baik dari ayat yang telah dimansukhkan itu;

Allah nak kata bahawa walaupun Kitab Taurat atau mana-mana kitab Kalam Allah telah dimansukhkan, tapi Allah telah mendatangkan Quran yang lebih baik dari Taurat itu. Allah telah beri hukum yang baru yang lebih baik dari sebelumnya.

Ada hukum dalam Taurat yang tidak dipakai lagi. Contohnya seperti larangan kepada mereka untuk bekerja pada hari Sabtu. Pada hari Sabtu, mereka langsung tidak boleh buat kerja apa-apa kerana hari Sabtu adalah hari untuk beribadat. Tidak ada larangan kepada kita seperti mereka itu. Yang kita ada hanyalah hari Jumaat sahaja. Itupun bukan sepanjang hari. Kita disuruh supaya pergi solat Jumaat untuk beberapa waktu sahaja. Selepas itu, boleh sambung buat kerja balik. Ini adalah lebih baik dari hukum yang telah diberikan kepada mereka dan ini adalah satu rahmat dari Allah.

 أَوْ مِثْلِهَا

atau Kami berikan yang sama;

Dari ayat ini, orang-orang Yahudi telah kritik Quran. Walaupun mereka telah ubah kitab mereka, tapi mereka kata ada juga ayat-ayat Quran yang telah dimansukhkan. Lebih-lebih lagi orang Syiah. Mereka tidak terima Quran yang kita ada sekarang. Mereka kata Quran sebenarnya ada 40 juzuk tapi telah dibuang 10 juzuk itu oleh sahabat. Padahal, Allah telah kata bahawa Dia akan jaga Quran.

Allah nak kata walaupun Kitab Taurat telah dimansukhkan, tapi masih ada lagi hukum syariat dalam Taurat yang masih kekal. Bukan semuanya dihilangkan. Contohnya, hukum Qisas ada dalam Taurat dan ada juga dalam Quran. Maka tidak patut mereka buat bising nak soal kenapa Kitab mereka dimansukhkan.

Apabila Kitab mereka telah dimansukhkan, maka hukum yang ada dalam Kitab itu tidak boleh dipakai mereka. Mereka sekarang sepatutnya menerima hukum baru yang ada dalam Quran.

Hukum-hukum itu lebih baik, maksudnya amalan mudah dan dapat pahala lebih banyak. Tapi kenapa Allah berikan hukum yang lain dahulu, kenapa tidak terus bagi hukuman yang akhirnya akan diberikan juga? Ini kerana Allah beri latihan kepada manusia dengan beri hukum yang susah dulu. Supaya ianya sudah jadi tabiat. Macam juga dalam latihan tentera. Masa latihan, gaji yang diberikan sedikit sahaja tapi tugas yang diberikan amat berat, tidak ada masa rehat langsung. Bila dah habis latihan, kerja yang diberikan kepada mereka lagi mudah dan gaji lebih mahal kalau dibandingkan dengan masa latihan dahulu. Jadi, dia sudah biasa dengan perkara yang susah. Oleh itu, kalau keadaan memerlukan dia dalam keadaan yang susah, dia sudah biasa dah. Dalam kehidupan, ini perkara biasa sahaja, jadi kenapa nak hairan? Allah maha bijaksana dalam mengurus hambaNya. Segala yang Allah buat adalah sesuai dengan manusia.

Yang tidak baiknya adalah ada kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa ayat-ayat Allah telah mansukh tapi ianya tidak mansukh. Senang-senang sahaja mereka kata ayat-ayat itu mansukh. Contohnya, ada yang kata ayat-ayat tentang perang telah dimansukhkan. Mereka telah memberi hujjah-hujjah yang batil sebagai menguatkan pandangan mereka. Yang mereka hendak kata ayat-ayat tentang perang itu telah mansukh adalah kerana mereka takut dengan propaganda orang kafir. Mereka tak mahu orang kafir kata bahawa Islam ini adalah satu agama yang keras. Jadi mereka kata arahan perang telah dimansukhkan. Padahal ianya ada lagi sampai akhir zaman.

Satu lagi contoh adalah orang Islam yang marah sangat kepada orang kafir sampai mereka kata seluruh ayat-ayat Makkiah yang mengatakan tentang kesabaran dalam Islam telah dimansukhkan. Semasa di Mekah, para sahabat telah memohon kepada Nabi supaya mereka dibenarkan untuk memerangi musyrikin Mekah. Tapi Allah telah menurunkan ayat-ayat menyuruh para sahabat bersabar kerana belum masanya untuk berperang. Puak-puak sesat yang marah sangat kepada orang kafir telah mengatakan bahawa ayat-ayat tentang kesabaran itu telah dimansukhkan – yang tinggal hanya ayat tentang memerangi mereka sahaja. Maka mereka kata tidak lain yang ada kecuali arahan perang kepada orang kafir sahaja.

Dua-dua contoh ini adalah bertolak dari dua sifat yang tidak patut dalam Islam – satu puak yang takut dengan kafir dan satu puak lagi yang marah sangat dengan orang kafir. Sampai mereka sanggup mengatakan ada surah-surah yang telah dimansukhkan untuk mencapai tujuan mereka.

 أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Tidakkah kamu tahu bahawa Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh?

Seperti yang kita tahu, Allah berkuasa penuh untuk melakukan segala kehendakNya. Kita hanya menerima sahaja. Kita tidak ada hak untuk mempersoalkan tujuan Allah. Dalam ayat ini, Allah tanya balik, tidakkah orang Yahudi dan kita juga tahu, bahawa Allah lah yang Maha Berkuasa dalam segala hal? Adakah kita tak tahu atau kita buat-buat tak tahu? Kalau Allah Maha Berkuasa, Dia boleh buat apa yang Dia hendak, bukan kita boleh persoalkan.

Jadi Allah hendak menekankan kepada Bani Israil dan Nasrani bahawa syariat agama mereka telah dimansukhkan dan mereka kena pegang syariat yang terbaru sekarang, iaitu yang diberikan kepada Nabi Muhammad. Jadi, kita sebagai hambaNya, kenalah ikut sahaja. Tak payah nak persoal.


 

Ayat 107: Allah hendak menempelak orang Yahudi dan Nasrani yang mempersoalkan tentang perbuatan Allah memansukhkan ayat-ayat dari Kitab mereka.

2:107

Sahih International

Do you not know that to Allah belongs the dominion of the heavens and the earth and [that] you have not besides Allah any protector or any helper?

Malay

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Tidakkah kamu tahu bagi Allah lah milikNya segala kerajaan tujuh langit dan tujuh bumi?;

Tidak ada makhluk lain yang boleh mengatakan sesuatu ayat itu telah mansukh atau tidak. Hanya Allah sahaja. Kerana kerajaan langit dan bumi hanya milikNya sahaja. Apabila Allah meletakkan perkataan لَهُ sebelum perkataan مُلْكُ, itu bermaksud ‘exclusivity’: bermakna *hanya* milik Allah. Allah tidak berkongsi kerajaanNya dengan sesiapa pun.

Oleh kerana Allah Maha Memiliki segala-galanya, maka terpulang kepada Allah untuk melakukan apa sahaja. Kalau Dia ada terhalang, bukan sifat Tuhan lah kalau begitu. Jadi, kalau Allah hendak memansukhkan sesuatu, itu adalah hak Allah.

 وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ

Dan tidak ada lagi bagi kamu selain dari Allah;

Kalau kamu mempersoalkan juga hak Allah untuk memansukhkan apa-apa sahaja, buat apa-apa sahaja, ada balasan untuk kamu di akhirat kelak.

مِنْ وَلِيٍّ

sebagai wali;

Dan apabila Allah beri balasan azab kepada kamu, tidak ada sesiapa yang boleh memberi perlindungan.

Wali iaitu sebagai pelindung. Ini juga merujuk kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hendak masuk Islam, tapi takut. Mereka takut mereka disakiti oleh masyarakat mereka. Mereka takut mereka disisihkan oleh masyarakat mereka. Kerana yang masuk Islam bukanlah semua sekali masyarakat mereka. Yang ada masuk adalah sedikit demi sedikit sahaja. Jadi, sementara mereka dalam jumlah yang sedikit, mereka nampak mereka akan berada dalam keadaan yang payah. Maka Allah hendak memberitahu mereka bahawa tidak ada yang dapat memberi perlindungan kepada mereka melainkan Allah. Mereka hendaklah bergantung kepada Allah sebagai pelindung. Jangan takut kepada orang lain. Allah akan melindungi mereka.

وَلِيٍّ bermaksud ‘sesiapa yang mahu memberi menolong’. Allah nak beritahu bahawa Dialah yang akan melindung mereka. Adakah sesiapa lagi yang lebih baik dalam melindungi?

وَلَا نَصِيرٍ

atau yang boleh memberi pertolongan;

Kalau Allah beri balasan azab kepada kamu yang mempersoalkan hak Allah, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu lagi.

Selain dari Allah, tidak ada lagi yang boleh menolong. Allah hendak memberitahu mereka bahawa Allah akan menolong mereka. Kalau mereka masuk Islam, Allah akan selamatkan mereka. Maksud perkataan نَصِيرٍ adalah ‘yang sentiasa menolong’. Allah akan sentiasa membantu mereka yang masuk Islam. Serahkan segalanya kepada Allah. Kena letakkan tawakal kita kepada Allah.


 

Ayat 108:

2:108

Sahih International

Or do you intend to ask your Messenger as Moses was asked before? And whoever exchanges faith for disbelief has certainly strayed from the soundness of the way.

Malay

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.

أَمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَسْأَلُوا رَسُولَكُمْ

Adakah kamu hendak tanya Rasul kamu

Ini adalah teguran Allah kepada para sahabat. Ada kalangan sahabat yang tanya soalan-soalan tentang perkara yang tidak berlaku. Hanya berkemungkinan sahaja ianya berlaku. Kalau nak kira berkemungkinan, semua benda boleh jadi kemungkinan. Kalau nak layan, jenuh nak jawap semua soalan-soalan itu. Perkara ini banyak ada dalam kitab feqah. Semua perkara diperbincangkan sampai manusia jadi pening. Soalan-soalan sebegini tidak memberi keuntungan. Jadi Allah nak beritahu kepada mereka supaya tak payah tanya.

 كَمَا سُئِلَ مُوسَىٰ مِنْ قَبْلُ

sepertimana telah ditanya Nabi Musa sebelum ini? 

Allah mengingatkan tentang perbuatan orang Yahudi kepada Nabi yang mereka sanjung dulu – Nabi Musa. Sedangkan Nabi Musa mereka telah sakiti dengan menanyakan soalan yang tidak patut. Mereka bertanya itu sebenarnya kerana mereka tak mahu nak buat seperti mana yang disuruh. Sekarang mereka mereka tanya kepada Nabi Muhammad pula.

Sahabat-sahabat Nabi juga ada tanya kepada Nabi Muhammad tentang perkara yang karut atau tidak berfaedah. Antaranya adalah mereka tanya siapakah bapa mereka yang sebenarnya. Kerana mereka tidak pasti jikalau ayah mereka adalah ayah mereka yang sebenarnya. Kerana ibu mereka telah mempunyai lebih dari satu pasangan kerana sebelum itu zaman jahiliah dan perzinaan berleluasa. Itu adalah soalan yang tidak elok. Itu adalah antara soalan yang membuang masa sahaja. Tidaklah patut soalan sebegitu ditanya kepada Nabi kerana tujuan Nabi Muhammad bukanlah untuk menjawab perkara-perkara sebegitu. Banyak lagi tugas Nabi di mukabumi ini. Dan Nabi tidak mempunyai banyak masa kerana baginda jadi Rasul selama 23 tahun sahaja dan dalam waktu yang singkat itu baginda kena menyampaikan segala maklumat tentang agama. Jadi apabila mereka bertanya soalan yang tidak patut, maka ianya hanya membuang masa Nabi sahaja.

Atau, kerana kita masih lagi dalam bahagian Surah Baqarah yang berkenaan Bani Israil, maka pertanyaan ini ditujukan kepada mereka. Kalau begitu, ayat ini adalah tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad. Allah gunakan perkataan رَسُولَكُمْ – Rasul kamu – kerana Nabi Muhammad adalah Rasul mereka sekarang. Allah nak ingatkan mereka bahawa Nabi Muhammad itu juga rasul mereka. Mereka sepatutnya telah menerima Nabi Muhammad sebagai Rasul mereka, tapi mereka yang tidak terima.

Dalam ayat sebelum ini, mereka mempersoalkan tentang Allah memansukhkan Kitab-kitab mereka dan hukum-hukum dalam agama. Kali ini mereka mempersoalkan tentang kenabian Nabi Muhammad pula. Begitu juga yang mereka telah buat kepada Nabi Musa dulu. Mereka mempersoalkan arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa. Mereka kata arahan itu dari Nabi Musa, bukan dari Allah.

Islam memang menggalakkan manusia bertanya untuk mendalami agama. Tapi soalan mereka ini bukan soalan yang hendak mendalami agama. Contohnya ada jenis soalan yang baik seperti: bagaimana cara nak bayar zakat? Itu adalah soalan yang baik. Tapi berbeza dengan soalan: kenapa kita kena bayar zakat pula? Itu soalan yang mempersoalkan kesahihan sesuatu hukum. Maka beginilah soalan yang mereka telah berikan dulu kepada Nabi Musa. Kita telah belajar bagaimana mereka bertanya dan bertanya lagi tentang arahan Allah untuk mereka menyembelih lembu betina itu. Mereka tanya untuk memperolokkan arahan yang telah diberikan kepada mereka.

 وَمَنْ يَتَبَدَّلِ الْكُفْرَ بِالْإِيمَانِ

Dan sesiapa yang ingin tukar iman kepada kufur;

Iaitu mereka yang ambil kufur, dengan tolak iman. Ingatlah kalau bertanya tapi bukan kerana nak amal, itu boleh menyebabkan jatuh kufur.

Begitu juga kalau soalan mereka adalah untuk mempersoalkan kedudukan Nabi. Mereka kena faham, mempersoalkan Rasul adalah sama juga mempersoalkan Allah. Kerana arahan yang Rasul sampaikan adalah dari Allah – bukan dari diri rasul itu. Maka sesiapa yang mempersoalkan Allah, itu adalah tindakan kufur. Itulah makna ayat ini – mereka telah menukar iman dengan kekufuran dengan bertanya soalan yang mempersoalkan Nabi Muhammad.

Zaman sekarang, banyak manusia yang mempersoalkan Nabi. Mereka kononnya terima Allah, tapi tak terima Nabi. Sebab itu ada kumpulan-kumpulan yang anti-hadis. Padahal, mereka tak belajar hadis-hadis Nabi itu. Mereka terus sangka bahawa hadis-hadis itu semua tidak boleh pakai kerana ianya adalah kata-kata manusia. Ini semua adalah bahaya. Kerana pendapat sebeginilah yang menyebabkan manusia jadi sesat. Bagaimana kita hendak menerima Quran tapi tidak menerima Hadis Nabi, padahal hadis Nabi itu memperjelaskan apa yang ada dalam Quran? Kita tidak akan faham apakah yang Allah maksudkan dalam ayat-ayatNya tanpa penjelasan dari Nabi. Dan kita tidak tahu bagaimana hendak mengamalkan suruhan dalam Quran kalau tidak ditunjukkan oleh Nabi. Dan bagaimana pula mereka boleh kata mereka terima Quran tapi tak terima Nabi, sedangkan Quran itu juga telah disampaikan melalui mulut Nabi? Ini semua terjadi kerana mereka tidak belajar Quran dan tidak belajar ilmu hadis. Padahal, dua perkara itu adalah sumber rujukan utama kepada manusia.

Tapi lihatlah bagaimana umat Islam sendiri amat jauh dari dua sumber ini. Mereka langsung tidak ambil peduli tentang ilmu tafsir Quran dan ilmu Hadis. Yang mereka belajar dan pegang dengan kuat adalah ajaran dari guru-guru mereka dan dari kitab-kitab karangan manusia.

فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ

sesungguhnya telah sesat mereka itu dari jalan yang benar;

Kerana mereka tolak Nabi, mereka telah sesat jauh dari kebenaran.


 

Ayat 109:

2:109

Sahih International

Many of the People of the Scripture wish they could turn you back to disbelief after you have believed, out of envy from themselves [even] after the truth has become clear to them. So pardon and overlook until Allah delivers His command. Indeed, Allah is over all things competent.

Malay

Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ

Tersangat ingin daripada ahli kitab itu

Allah menceritakan apakah keinginan dan rancangan golongan Yahudi itu terhadap orang Islam. Kita kena perhatikan betul-betul perkara ini dan hendaklah kita berjaga-jaga.

لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا 

kalaulah sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kufur setelah kamu beriman;

Memang mereka suka kalau kita kembali kafir. Kerana mereka tak suka Islam. Ini kesinambungan dari ayat sebelum ini tentang pertanyaan-pertanyaan mereka kepada Nabi Muhammad. Tujuan mereka tanya macam-macam kepada Nabi Muhammad itu adalah untuk orang Islam murtad dan kafir balik. Mereka hendak umat Islam jadi sangsi dengan agama Islam. Dan ini akan terjadi kepada orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri. Mereka tidak mahu belajar agama, atau mereka ada belajar tapi nak mencari benda yang memeningkan, macam belajar tarekat. Beginilah juga cara Syiah kacau orang Islam zaman sekarang. Mereka kaji hukum-hukum dalam Islam dengan niat untuk menghentam orang Islam dan agama Islam. Orang Islam yang tidak mendalami agama sendiri menjadi sasaran orang Yahudi dan puak Syiah. Mereka tahu ada orang Islam yang jahil dengan agama sendiri dan senang untuk ditipu. Mereka akan persoal tentang hukum agama kepada orang Islam sebegitu sampai mereka tidak boleh jawap. 

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah beritahu kepada kita, kenapa mereka masuk dalam kelompok orang Islam. Tujuan mereka adalah untuk menimbulkan kesangsian kepada orang Islam. Sebagai contoh, mereka akan persoalkan tentang hukum hudud. Mereka kata bagaimana hukum hudud boleh dikira sebagai hukum yang adil sampai memotong tangan orang yang mencuri? Orang yang tidak tahu apakah hukum dan kepentingan hukum itu, mungkin ada yang termakan dengan persoalan-persoalan yang mereka timbulkan.

حَسَدًا

kerana hasad dengki mereka;

Mereka nak kita jadi kafir juga macam mereka. Kenapa? Kerana hasad. Mereka tak mahu orang Islam maju. Kerana kalau muslim maju, mereka dengan sendirinya akan mundur. Bayangkan kalau Islam tersebar menyeluruh segenap dunia ini. Bukankah dalam Qur’an dan kitab-kitab Islam yang lain akan menyebut bagaimana Yahudi itu tidak boleh dipercayai? Teruklah mereka kalau macam tu. Bayangkan perkara ini disebut dalam surah bahagian surah Baqarah yang awal pula tu. Awal-awal lagi Allah sudah beritahu perangai mereka kepada pembaca Quran. Maka, mereka akan cuba sedaya upah untuk menjatuhkan Islam kerana hendak menjaga pengaruh mereka dalam dunia ini.

 مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ

dari sisi diri mereka sendiri

Perasaan hasad dengki itu ada dalam diri mereka. Sekarang Allah telah bongkar perasaan mereka itu.

مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ

selepas telah nyata bagi mereka kebenaran;

Iaitu telah nyata kebenaran Quran kepada mereka. Mereka tahu Quran itu adalah benar, tapi kerana Quran itu diturunkan kepada selain dari golongan mereka, mereka tak puas hati. Mereka tidak boleh terima; Mereka buat semua ini setelah jelas pada mereka yang mereka adalah golongan yang salah. Mereka dah tahu kebenaran, tapi tak mahu ikut kerana hasad dalam diri mereka dan kerana kedegilan mereka.

فَاعْفُوا

Walau macamana pun, jangan kamu peduli;

Allah suruh kita jangan pedulikan mereka. Biarkan sahaja apa yang mereka hendak buat. Kata yang sama digunakan oleh Allah dalam kita bersikap kepada ahli keluarga kita. Sementara belum datang perintah Allah untuk memerangi mereka.

وَاصْفَحُوا

terus kamu berbuat baik dengan mereka;

Jangan hukum. Jangan buat tindakan. Iaitu terus ajak mereka ke jalan Allah

 حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ

sehingga datang keputusan Allah;

Iaitu datang keputusan yang lain dari Allah. Iaitu perang jihad fisabilillah dengan mereka. Selagi belum dikeluarkan perintah jihad, maka kena meneruskan urusan berdakwah kepada mereka.

Bukan berterusan kita biarkan mereka. Tunggu sehingga Allah datangkan undang-undang baru dengan beri perintah jihad. Surah Baqarah ini adalah surah yang mula-mula di Madinah dan waktu itu belum boleh berperang lagi. Jadi jangan nak gaduh dengan puak-puak Yahudi itu. Oleh itu, beri masa untuk bersabar. Sampai nyata yang Yahudi itu memang jenis tak ikut kitab mereka sendiri. Memang tidak perlu tunggu lama, kerana Yahudi itu memang jenis akan nampak kesalahan mereka.

Tak bolehlah terus nak berperang dengan mereka. Di Mekah dah berbalah dengan puak Quraish. Jangan pula di Mekah berbalah dengan puak Yahudi pula. Nanti orang luar boleh kata yang Islam ini jenis berbalah sahaja. Duduk dulu setahun di Madinah. Dan buat perjanjian dengan mereka. Tapi akhirnya akan diketahui yang mereka itu mungkir janji. Maka tidaklah Islam dipersalahkan kerana waktu itu semua orang dah tahu perangai mereka.

 إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap segala sesuatu itu berkuasa sungguh.

Jangan takut yang perasaan yang dengki kepada kita itu akan memudharatkan kita. Allah yang berkuasa atas segala sesuatu. Allah akan menjaga kita dari mereka.


 

Ayat 110: Semasa di Mekah, sahabat-sahabat Nabi sentiasa meminta supaya mereka diberikan kebenaran untuk berjihad. Tapi Allah akan jawap, dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat. Tapi zakat mengeluarkan harta hanya difardhukan di Madinah. Oleh itu, zakat di Mekah adalah zakat jiwa, iaitu sahabat disuruh membersihkan jiwa dari syirik kepada Allah.

Apabila sampai di Madinah, zakat yang didirikan adalah zakat harta. Iaitu membersihkan harta dari sumber yang tidak bersih. Maka, apabila disebutkan zakat, kena tengok dimanakah ayat itu diturunkan. Hukum untuk mereka yang tidak mengeluarkan zakat, adalah hukum bunuh, harta mereka dirampas, dan anak isterinya akan diambil sebagai hamba abdi. Begitulah beratnya hukum yang dikenakan kepada mereka yang tidak mengeluarkan zakat.

2:110

Sahih International

And establish prayer and give zakah, and whatever good you put forward for yourselves – you will find it with Allah. Indeed, Allah of what you do, is Seeing.

Malay

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Dan dirikanlah solat;

Semasa di Mekah, sahabat dirikan solat berjemaah di rumah seorang sahabat yang bernama Arqam. Mereka hanya boleh solat berjemaah di situ sahaja kerana mereka tidak boleh untuk pergi ke Kaabah kerana dihalang oleh Musyrikin Mekah. Tidak pasti bagaimana mereka solat kerana belum lagi mendapat syariat solat pada waktu itu – sebelum Nabi isra’ mi’raj. Mereka mungkin solat memakai saki baki syariat Nabi Ibrahim. Memang ada lagi saki baki amalan syariat yang telah diajar oleh Nabi Ibrahim yang masih lagi ada di kalangan masyarakat Arab waktu itu. Kebanyakannya telah ditukar setelah sekian lama, tapi ada lagi yang mereka amalkan lagi.

Antara maksud dirikan solat adalah: hubungan manusia dengan Allah hendaklah didirikan.

 وَآتُوا الزَّكَاةَ

Dan keluarkanlah zakat;

Ini adalah mendirikan hubungan antara manusia. Kena seimbang antara hablu minallah dan hablu minannas.

Solat dan zakat disebut dalam ayat ini sebagai contoh yang besar. Tapi bukan dua perkara ini sahaja yang Allah suruh kita buat. Ianya mewakili segala rukum Islam yang perlu dipenuhi. Kena baca keseluruhan Quran. Jangan ambil sikit-sikit sahaja.

 وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu;

Iaitu ibadat-ibadat yang kita hantar kepada Allah. Dari segi perkataan, تُقَدِّمُوا bermaksud ‘menghantar ke hadapan’. Amalan-amalan yang kita lakukan di dunia ini adalah untuk pakai di akhirat kelak. Maka kita hantar ianya dulu ke hadapan.

تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ

tentulah kamu akan mendapat balasan pahala dari Allah;

Allah akan simpan pahala kita dan akan membalas amalan kita itu dengan kebaikan. Ianya tidak akan hilang.

 إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Allah terhadap apa yang kamu lakukan, Maha Melihat;

Allah melihat samada perbuatan kita itu adalah ikhlas atau tidak. Samada harta yang kita keluarkan itu adalah harta haram atau tidak. Atau harta itu telah bercampur antara sumber yang halal dan haram. Allah lihat semuanya.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat sebelumnya? Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana orang Yahudi itu dengki dengan kita. Kalau seseorang dengki dengan seseorang, ada kemungkinan mereka akan berbuat sesuatu untuk menjatuhkan kita, untuk memudharatkan kita dan sebagainya. Memang ada kemungkinan itu. Tapi Allah juga sudah kata bahawa Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Allah nak beritahu kepada orang Islam supaya tak payah fikir banyak pasal Yahudi. Kita kena jaga hal kita. Memang mereka ada masalah dah. Tapi kita kena jaga diri kita. Segala niat jahat mereka tidak akan terjadi tanpa kebenaran dari Allah. Dalam ayat ini, Allah ingatkan kita tentang apakah yang lagi penting dari memikirkan tentang mereka. Jangan fikirkan tentang apa yang mereka akan buat terhadap kita. Itu semua dalam perancangan Allah. Yang penting adalah kita kena beramal ibadat dan menjaga amal ibadat kita.

Mungkin ada yang kata, kalau umat Islam tak jihad dan lawan mereka waktu itu, maka lemahlah kita. Tapi Allah sudah suruh umat Islam untuk tunggu sahaja. Sama juga dengan waktu sekarang. Memang ada hukum jihad, tapi sebenarnya jihad kena ada syarat. Kena ada Khalifah. Lihatlah bagaimana sejarah peperangan Badr. Setelah tertegaknya Islam selama 15 tahun, dah ada perkara yang boleh dicontohi, barulah dikeluarkan perintah jihad kepada umat Islam waktu itu. Allah nak beritahu yang masa yang sesuai akan tiba. Sementara itu, ambil peluang untuk buat amal yang boleh mendatangkan pahala.


 

Ayat 111: Yahudi kata Islam itu sia-sia dan penganutnya tidak akan masuk syurga.

2:111

Sahih International

And they say, “None will enter Paradise except one who is a Jew or a Christian.” That is [merely] their wishful thinking, Say, “Produce your proof, if you should be truthful.”

Malay

Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.

وَقَالُوا لَنْ يَدْخُلَ الْجَنَّةَ

Dan mereka berkata: Tidak akan masuk syurga;

Kepada Ahli Kitab, Islam adalah agama yang sesat, jadi tak akan masuk syurga. Ada dalam kalangan mereka yang mengatakan orang Islam sebenarnya menyembah Tuhan Bulan. Pernah keluar dalam makalah dakwah mereka tentang Tuhan Bulan (Moon God) ini. Dan sekarang, ada kalangan mereka yang mengatakan kita menyembah syaitan. Apa-apa pun, pada mereka, orang Islam akan masuk neraka.

 

 إِلَّا مَنْ كَانَ هُودً

melainkan sesiapa yang dari agama Yahudi

 أَوْ نَصَارَىٰ

atau agama Nasrani;

Mereka kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga. Yahudi kata yahudi sahaja yang masuk syurga. Nasrani pula kata mereka sahaja yang boleh masuk syurga.

Atau ia juga boleh bermaksud mereka mengatakan yang akan masuk syurga hanyalah Yahudi atau Nasrani. Memang mereka tidak sebulu (Yahudi kata Nasrani tidak benar dan Nasrani pula kata Yahudi tidak benar) – ini kita akan belajar dalam ayat 113 nanti, tapi apabila mereka dua-dua menghadapi Islam, mereka boleh pula kata yang masuk syurga adalah samada Yahudi atau Nasrani, tapi Islam tidak akan masuk syurga.

Ini cara mereka nak melemahkan akidah orang Islam. Yahudi kata syurga itu hanya untuk Yahudi dan Nasara kata syurga itu hanya untuk Nasara. Mereka cakap begitu kerana hendak melemahkan umat Islam. Mereka beri macam-macam hujah dan dengan cara inilah, ramai umat Islam yang murtad. Mereka cakap dengan berbagai-bagai cara penipuan mereka dalam dakwah sampaikan ramai umat Islam tertipu dengan dakwah. Iaitu mereka yang tidak mendalami agama sendiri.

Tapi, ada kalangan kita tak berani nak kata bahawa orang Yahudi dan Kristian itu akan masuk neraka. Sebab kita takut kita dikatakan jumud pula. Maka, macam-macam cara kita cuba beri sebagai dalil ada kebarangkalian mereka masuk syurga juga. Padahal, kepada ahli agama mereka, senang sahaja mereka mengatakan orang Islam akan masuk neraka. Ingatlah, agama yang hanya diredhai Allah adalah agama Islam. Kalau selain dari agama Islam, tidak akan masuk syurga.

Cuma janganlah kita mengutuk atau mengejek mereka. Dalam ayat sebelum ini, kita disuruh supaya فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا dengan mereka. Iaitu untuk memaafkan mereka dan biarkan dahulu mereka. Begitulah akhlak kita yang sepatutnya dengan mereka dan dengan orang beragama lain. Jangan pandang serong dengan mereka. Mereka tidak masuk Islam itu adalah kerana dakwah belum sampai kepada mereka. Atau mereka tidak didakwah dengan cara baik. Mereka belum nampak keindahan Islam. Lebih-lebih lagi kalau mereka melihat perangai orang Islam yang buruk. Memang banyak dari kalangan kita yang berperangai buruk dan ini tidak dapat dinafikan. Kadang-kadang perangai orang Islam tidak melambangkan agama Islam yang murni. Kerana kita tidak mengamalkan agama Islam dengan sebenarnya. Kita bukan sahaja memandang serong dengan orang bukan Islam, dengan orang Islam pun kita pandang serong.

Ingatlah bahawa orang bukan Islam ada yang masuk Kristian kerana kebaikan budi yang ditunjukkan oleh mubaligh Kristian. Mereka pandai mengambil hati orang yang bukan Islam. Mereka tidak perlu membawa mesej Injil, tapi mereka membawa kebaikan budi mereka sahaja. Tapi kita tidak dapat membawa mesej Quran kepada mereka kerana telah ditutup nafsu mereka untuk terima Quran kerana perangai kita yang tidak molek.

Mereka hanya boleh memurtadkan mereka yang jahil dalam agama dan mereka yang mahukan dunia sahaja. Kerana ada manusia yang seperti semut hendak kepada gula. Oleh kerana mereka faham perangai manusia, mubaligh Kristian pun memberikan kenikmatan dunia kepada mereka. Mereka tambah dengan kata agama mereka lebih mudah untuk masuk syurga. Mereka kata boleh terus masuk syurga sebab Nabi Isa dah korbankan dirinya dibunuh di salib supaya segala dosa umat diampunkan. Oleh kerana dakyah sebegini, maka ramailah yang murtad dan masuk Kristian – duit dapat, agama pun mudah pula.

 تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ

Allah berkata: Itu adalah angan-angan kosong mereka;

Allah beritahu yang anggapan mereka itu adalah angan-angan kosong mereka sahaja. Tidak ada bukti yang mengatakan mereka tentu akan masuk syurga. Ianya adalah khayalan mereka sahaja kerana dakwaan itu tidak berasas dan tidak ada dalil.

 قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ

Kata kepada mereka: bawa mari dalil bukti kamu;

Allah suruh kita cabar mereka untuk bawa bukti yang mengatakan hanya mereka sahaja yang akan masuk syurga. Mereka tidak akan dapat beri bukti.

Dari ayat ini kita dapat tahu bahawa dalam hal agama, perlu bawa bukti dan dalil dari sumber yang boleh dipercayai. Tidak boleh memakai kata-kata manusia yang berangan-angan sahaja. Macam ada yang kata “takkan Allah tak beri pahala perbuatan amalan ibadat kita ini, walaupun Nabi tak pernah buat”. Itu juga adalah angan-angan kosong. Tidak ada langsung bukti dan dalil yang boleh dibawa. Mereka sendiri tahu bahawa sesuatu amalan bidaah itu Nabi tak buat. Tapi mereka berangan yang Tuhan akan menerima amalan itu dan memberi pahala kepada mereka.

Dalam hal agama, kena ada bukti. Jadi jangan kelam kabut kalau ada orang yang mempersoalkan tentang Quran. Allah sendiri dah cabar mereka untuk buat sesuatu yang seperti Quran. Maka jikalau mereka mencabar Quran, itu adalah cabaran bagi kita untuk mempertahankan Quran. Kita pun kena tunjukkan bukti, bukan sedap nak minta bukti dari orang lain sahaja. Untuk mengeluarkan bukti itu, kita tentu  akan lebih mengkaji tentang Quran dan akan mendapat lebih kepercayaan kepada Quran akhirnya. Yang penting, kita kena menjawap menggunakan ilmu, bukan emosi.

Ayat ini mengajar bahawa kita perlu menjawap dengan menggunakan hujjah dan dalil. Bukan dengan mengangkat suara dalam perdebatan. Kalau ada yang mengangkat suara, kita tahu bahawa mereka buat begitu kerana mereka tidak ada hujah.

 إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

sekiranya kamu benar;

Jangan cakap sahaja, kena berikan bukti kalau betul kita benar.


 

Ayat 112: Allah menjelaskan perkara yang sebenar tentang siapakah yang akan masuk syurga.

2:112

Sahih International

Yes [on the contrary], whoever submits his face in Islam to Allah while being a doer of good will have his reward with his Lord. And no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

Malay

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ

Bahkan yang sebenarnya sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah;

Yang sebetulnya, yang masuk syurga adalah mereka 100% serah diri untuk taat kepada Allah, tidak kira golongan mana dan mengharap kepada redha Allah; dan memang perkataan ‘Islam’ itu maknanya serah diri. Dan kena serah diri sepenuhnya. Sebagai contoh, katakanlah kita serah hadiah lain kepada seseorang, tapi kita kata, kita beri kain itu kepada orang itu, kecuali sehelai benang, dari kain itu.  Kalau kita buat macam itu, ianya tidak dikira sebagai beri sebab kita tak beri sepenuhnya. Maka, kita kenalah taat seluruhnya kepada Allah dengan ikut semua hukum bukan setengah-setengah.

Dalam ayat ini, Allah sebut ‘wajah’ tapi yang dikehendaki sebenarnya semua anggota.

Ada penafsir yang mengatakan bahawa أَسْلَمَ وَجْهَهُ bermaksud ‘sujud’. Bani Israil juga sebenarnya ada juga sujud dalam ibadat mereka. Tapi mereka telah meninggalkannya. Mungkin ada sedikit yang masih mengamalkannya tapi sedikit sangat. Tidak diketahui kalau ada pun.

Ia juga merujuk kepada orang merendahkan egonya. Kerana wajah itu selalunya apabila disebut ‘wajah’, ia selalunya sebagai imbalan kepada ego.

وَهُوَ مُحْسِنٌ

Dan dia dalam keadaan muhsin;

Iaitu menyerah diri dalam keadaan ikhlas. Ikhlas itu hanya Allah sahaja yang tahu. Maknanya, tiada syirik khofi (syirik yang kecil). Kadang-kadang, seseorang itu beramal tapi tidak ikhlas, kerana ada syirik dalam hatinya. Contoh syirik hati itu adalah riak, ujub – berasa pandai, berasa diri cantik, sangka ibadat dia paling banyak dan sebagainya. Atau mereka takabur dalam percakapan. Atau mereka ada perasaan hasad dengki, buruk sangka dan cemburu.

Semua itu adalah syirik yang tidak nampak dalam penglihatan kita. Itulah sebabnya ia disebut syirik khofi – iaitu syirik yang tersembunyi. Kenapa ianya dipanggil syirik? Kerana kita mengharapkan pujian manusia padahal pujian yang kita patut harapkan hanya dari Allah sahaja.

مُحْسِنٌ juga diambil dari kata ‘ihsan’. Daripada satu hadis yang dinamakan juga ‘Hadis Jibrail’, Ihsan bermaksud melalukan sesuatu ibadat itu dengan mengetahui bahawa Allah sedang melihat kita. Apabila kita sedar bahawa Allah sedang melihat kita dan perbuatan yang kita lakukan, maka ia akan menyebabkan seseorang itu sentiasa melakukan yang terbaik dalam ibadatnya. Dan ia akan menyebabkan seseorang itu tidak akan melakukan perbuatan yang salah kerana dia sedar bahawa Allah sentiasa memerhatikannya.

Perlu juga kita tambah di sini, amalan yang baik juga adalah amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad. Jikalau amalan itu adalah rekaan manusia, ianya bukanlah amalan yang ihsan, tapi amalan bidaah. Oleh itu, walaupun kalau seseorang itu ikhlas seikhlas-ikhlasnya dalam melakukan ibadat, tapi dalam masa yang sama dia melakukan ibadat yang bidaah, ianya masih tidak diterima kerana tidak cukup syarat.

فَلَهُ أَجْرُهُ

kepadanyalah pahala

Mereka yang beramal dengan ikhas dan beramal dari amalan yang soleh, akan mendapat balasan pahala.

 عِنْدَ رَبِّهِ

dari sisi Tuhannya.

Inilah kaedah Allah yang sebenarnya. Sesiapa sahaja yang beramal menepati syaratnya, akan diberi pahala dan dimasukkan ke dalam syurga. Bukannya Allah melihat dari bangsa mana seseorang itu, tapi dari amalnya.

Dari pembacaan kita diatas, ada dua syarat untuk kita mendapat pahala dari sisi Allah: pertama, amalan itu mestilah ikhlas, dan keduanya ianya adalah amalan yang diajar oleh Nabi. Bukan amalan bidaah. Kalau ianya hanya ikhlas, tapi bukan yang ihsan, ia tidak akan diterima. Dan kalau ianya adalah amalan ihsan, tapi tidak ikhlas, maka ianya juga tidak diterima. Kena memenuhi dua-dua syarat itu. Dalam hadis, Nabi ada bersabda: “Sesiapa yang mengamalkan amalan yang bukan dariku, maka ianya tertolak.”

 وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan tidaklah mereka berasa takut

Mereka tidak akan ada rasa takut; Atau bermaksud mereka tidak perlu takut pada hari akhirat kelak kerana mereka akan selamat. Dalam kata lain: tidak ada apa yang perlu ditakuti atas mereka.

Lihatlah bagaimana perubahan penggunaan ayat dalam ayat ini: Dibahagian pertama, Allah menggunakan penggunaan kata mufrad (singular): وَجْهَهُ (wajahnya), وَهُوَ (dia – seorang), فَلَهُ أَجْرُهُ (untuknya pahala – seorang juga), عِنْدَ رَبِّهِ (disisi Tuhannya – seorang juga). Tetapi di bahagian kedua, Allah berubah menggunakan kata dalam bentuk jamak (plural): عَلَيْهِمْ (atas mereka), وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (mereka tidak akan bersedih). Ini menunjukkan bahawa kadang-kadang dalam kita hendak mengamalkan ajaran agama yang sebenar, yang sunnah, kadang-kadang kita berseorangan dalam menjalankannya. Kadang-kadang kita seorang sahaja yang berdakwah mengajak manusia lain mengikuti kita. Tapi kemudiannya, Allah akan memberikan kawan kepada kita dalam perjuangan. Samada kita mendapat kawan semasa kehidupan dunia, atau jika tidak, kita akan mendapat kawan di akhirat kelak.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidaklah mereka berdukacita;

Iaitu mereka tidak akan berdukacita apabila mereka masuk syurga nanti. Walaupun keluarga mereka tidak masuk syurga, mereka tidak akan berasa dukacita. Kerana Allah akan beri mereka lupa tentang ahli keluarga mereka yang tidak dapat masuk syurga. Sebab kalau mereka ingat, mereka akan berdukacita pula. Padahal syurga bukanlah tempat untuk berdukacita. Maka, Allah akan beri mereka lupa kepada ahli keluarga mereka yang tidak masuk syurga. Bukan mereka sendiri yang lupa, tapi Allah yang menyebabkan mereka lupa.

Ia juga bermaksud, mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia yang mereka sayang ini.

Dari segi bahasa, apabila dikatakan mereka tidak akan berdukacita, bermaksud akan ada manusia yang akan berdukacita nanti di akhirat nanti. Itu adalah orang-orang yang tidak mahu mengikut arahan Allah. Yang tidak mengendahkan agama.


 

Ayat 113: Ayat ini adalah rungutan Allah tentang sifat manusia. Iaitu jenis manusia yang rasa dia sahaja yang betul dan orang lain salah.

Itulah puak yang ada kebenaran pada mereka, tapi mereka simpan sendiri dan kemudian rasa hebat. Oleh itu, kita jangan jadi macam mereka, kalau kita dah ada Qur’an, maka kena sebar kepada orang lain kerana kita memang kena suka kalau Qur’an disebarkan. Quran memang suruh kita sampaikan ajarannya kepada orang lain. Sebab itu kalau orang yang belajar Qur’an dengan betul, dia tidak duduk diam dan dia akan sebarkan.

Berlainan dengan fahaman agama yang lain. Agama lain suka kalau dipakai oleh satu kumpulan sahaja. Mereka tak kongsi dengan orang lain. Umpama ada satu kelompok yang ada satu sistem perniagaan yang bagus. Dia tidak akan kongsi dengan orang lain sebab nanti ada saingan.

2:113

Sahih International

The Jews say “The Christians have nothing [true] to stand on,” and the Christians say, “The Jews have nothing to stand on,” although they [both] recite the Scripture. Thus the polytheists speak the same as their words. But Allah will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

Malay

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

وَقَالَتِ الْيَهُودُ

Dan berkata orang-orang Yahudi:

 لَيْسَتِ النَّصَارَىٰ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang-orang Nasara itu ada asas apa-apa;

Orang Yahudi hendak mengatakan bahawa orang Nasrani tidak berada diatas jalan yang benar.

 وَقَالَتِ النَّصَارَىٰ

Dan berkata orang-orang Nasara:

Iaitu orang Kristian. Mereka pun berkata perkara yang sama juga. 

 لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang Yahudi itu ada asas apa-apa dalam agama;

Dari sini, kita boleh lihat bagaimana masing-masing mengata puak yang lain tidak betul. Masing-masing sibuk dengan orang lain. Sibuk hendak mengatakan orang lain yang salah. Sibuk hendak mencari kesalahan orang lain. Padahal, kalau kita lihat ayat sebelum ini, Allah memperkatakan tentang Muhsin: mereka yang memikirkan tentang diri sendiri. Sibuk dengan amalan sendiri untuk memastikan apa yang mereka buat adalah benar. Bukan nak sibuk dengan orang lain.

Begitulah manusia kalau mereka rasa diri mereka yang betul, mereka akan mencari kesalahan orang lain. Ayat ini menempelak orang Yahudi dan Nasrani, tapi kalau kita pun macam mereka juga – mencari-cari kesalahan orang lain, maka kita pun sama sahaja macam mereka. Maka ayat ini ditujukan kepada kita sebenarnya.

Maka, seperti yang kita telah tahu, agama Nasara dan Yahudi itu adalah agama yang sudah tidak tulen lagi. Maka penganutnya akan usaha supaya golongan dia sahaja yang baik dan golongan lain tidak. Kerana ianya adalah agama yang telah diubahsuai dan sudah tidak mengikut acuan agama yang Allah telah beri. Kerana kalau agama yang benar, mereka akan sebarkan agama itu. Kerana sudah tidak tulen lagi, akhirnya mereka jadi berpuak dan ada sifat asabiyah. Sama-sama Yahudi dan Nasara kutuk sesama sendiri, rasa diri sendiri yang hebat dan benar. Kalau sifat berpuak memang macam itu. Kerana setiap puak akan kata puaknya yang paling baik. Lalu akan ada kata mengata.

Masing-masing tuduh pihak yang lain tidak ada asas. Padahal dua-dua mengaji kitab. Sepatutnya mereka ajak mengajak, tapi sebaliknya mereka kata mengata. Jadi ini bukan sifat agama Islam. Kalau orang kita buat macam ni, bermakna orang kita juga sudah tiru sifat buruk mereka.

Bandingkan dengan para sahabat. Apabila mereka dapat sahaja Qur’an, mereka kongsi dengan orang lain termasuk Yahudi sekali. Mereka tak simpan untuk diri mereka sahaja. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan.

وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ

Padahal mereka masing-masing baca kitab;

Padahal mereka masing-masing ada Kitab Taurat, ada Kitab Injil. Dan kalau kita pula, kita ada Quran.

Yahudi kafir kerana tolak Nabi Isa dan tolak kitab Injil. Nasara pula kafir sebab angkat Nabi Isa jadi anak tuhan. Ini dua golongan yang ada kitab dan tidak sepatutnya mereka jadi begitu.

Mereka mencari-cari dalam kitab mereka untuk mencari salah orang lain. Yahudi mencari salah orang Nasrani dan orang Nasrani mencari salah Yahudi. Macam kita juga, ada yang mencari-cari dalam Quran mencari dalil untuk menyalahkan orang lain. Mencari silap orang lain. Rasa diri selamat. Maka, kalau kita begitu juga, kita pun sama macam mereka juga.

 كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Begitulah yang telah berkata orang-orang yang tidak tahu;

Ada tiga jenis golongan yang disebut dalam ayat ini: Yahudi, Nasrani dan orang yang tidak tahu. Tidak dijelaskan siapakah golongan yang tidak tahu itu. Tapi pendapat yang kuat mengatakan mereka itu adalah orang-orang yang buta huruf, iaitu Musyrikin Mekah. Kerana mereka tidak ada kitab. Mereka hanya ada ajaran turun temurun dari ajaran Nabi Ibrahim, tapi lama-lama telah hilang dari mereka kerana mereka banyak buat amalan bidaah. Mereka reka amalan-amalan baru atau ubah ajaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Allah beritahu dalam ayat ini, sama sahaja dengan orang kafir Mekah yang tidak ada kitab. Mereka pun sangka mereka benar. Mereka kata mereka lebih baik dari Yahudi dan Nasara itu. Mereka kata yang betulnya adalah Parsi sebab Parsi puja jin sebab itu golongan yang mereka sokong.

Allah menyamakan orang yang mencari-cari salah orang lain sebagai orang yang bodoh. Jadi kalau kita cari dalil dalam Quran untuk mencari kesilapan orang lain, maka kita pun dikira orang bodoh juga.

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

seperti kata-kata mereka;

Mereka pula kata puak-puak Yahudi dan Nasara pun tidak betul. Mereka kata, mereka yang betul. Sekarang, Syiah pun kata begitu juga. Syiah pun kata mereka yang betul, padahal mereka tidak sedar bahawa ajaran mereka itu adalah ajaran yang sesat.

 فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maka Allah lah yang akan buat kehakiman diantara mereka pada hari Kiamat;

Allah akan menghakimi, iaitu Allah akan beritahu siapakah yang betul antara mereka itu. Allah hendak memberitahu kita bahawa Dialah Hakim yang sebenarnya, bukan kita. Bukan tugas kita untuk mengatakan siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Allah sahaja yang boleh tentukan. Jadi tidak perlu kita nak kata orang itu salah, orang itu benar. Jangan mencari-cari dalam Quran tentang siapakah yang salah.

Tapi masalahnya, Allah hanya akan beritahu di akhirat nanti. Sudah terlambat untuk buat apa-apa dah waktu itu. Kalau kita baru tahu waktu itu yang kita adalah pihak yang salah, macam mana? 

 فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

terhadap apa yang mereka selisihkan;

Orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang masuk syurga. Iaitu mereka yang mengikut ajaran Quran dan sunnah Nabi, dan mengikut perbuatan para sahabat Nabi. Ramai yang tidak tahu maksud Ahli Sunnah wal Jamaah itu sendiri.

Ahli Sunnah: mereka yang mengikut sunnah perbuatan Nabi. Kalau bukan yang sunnah, bukan yang Nabi ajar, mereka tak buat.

wal Jamaah: Jamaah itu bermaksud kumpulan. Tapi kumpulan siapakah yang dimaksudkan? Ianya adalah jamaah atau kumpulan sahabat-sahabat Nabi. Merekalah yang telah dididik sendiri oleh Nabi. Merekalah yang tahu bagaimana perbuatan Nabi. Maka mereka lebih tahu tentang agama dari kita. Jadi, kita kena tengok apakah perbuatan mereka. Adakah mereka melakukan sesuatu amalan itu? Adakah para sahabat buat Majlis Tahlil? Adakah mereka buat Talqin kepada arwah? Adakah mereka berzikir ramai-ramai? Adakah mereka melakukan solat Hajat berjemaah? Adakah mereka mengajar untuk sedekah pahala kepada simati? Kalau tidak ada, maka itu bukanlah amalan mereka. Jadi kenapa senang hendak mengatakan diri itu dalam ASWJ jikalau mereka tidak memenuhi kriteria ASWJ? Kalau mereka bukan ahli ASWJ, maka mereka ahli kumpulan yang mana?

Maka sesiapa yang kata mereka Ahli Sunnah wal Jamaah, tapi buat bidaah, mereka sebenarnya berdusta, kerana mereka bukan ASWJ. Mereka sebenarnya dipanggil Ahli-ahli Bidaah.


 

Ayat 114: Ini adalah rungutan Allah yang ketiga. Ini adalah tentang mereka yang menghalang golongan Islam untuk menggunakan tempat ibadat untuk agama. Mereka yang dimaksudkan itu mungkin Yahudi atau musyrikin Mekah sebab dua-dua boleh pakai.

2:114

Sahih International

And who are more unjust than those who prevent the name of Allah from being mentioned in His mosques and strive toward their destruction. It is not for them to enter them except in fear. For them in this world is disgrace, and they will have in the Hereafter a great punishment.

Malay

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

وَمَنْ أَظْلَمُ

Dan siapakah yang lebih zalim,

Apabila Allah sebut: “siapakah yang lebih zalim?”, bermaksud tidak ada lagi yang lebih zalim daripada golongan yang akan disebutkan ini.

مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ

daripada orang yang melarang masjid-masjid Allah;

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah yang menghalang orang-orang Islam untuk menggunakan MasjidilHaram. Mereka telah melarang orang Islam dari datang dan berbuat umrah dan haji.

Tapi Allah menggunakan perkataan مَسَاجِدَ dalam ayat ini, yang bermaksud ‘masjid-masjid’ (plural), menunjukkan ianya bukan hanya digunakan untuk MasjidilHaram sahaja tapi masjid-masjid lain. Jadi, jikalau ada yang melarang masjid digunakan sebagai tempat yang sepatutnya ianya digunakan, mereka juga adalah orang yang zalim juga.

Ia juga boleh digunakan untuk menyebut tentang rumah-rumah ibadat ahli Kitab juga kerana tempat ibadat mereka juga sepatutnya dinamakan masjid juga – tempat sujud – kerana mereka juga sepatutnya ada ibadat sujud juga. Cuma mereka sahaja yang meninggalkannya. Jangan lupa, kita masih lagi dalam bahagian dalam surah Baqarah yang menyentuh juga perbuatan ahli-ahli Kitab terutama sekali Bani Israil. Jadi ayat ini ada juga bersangkutan dengan mereka.

Allah menggunakan perkataan مَسَاجِدَ (masjid-masjid) dalam ayat ini. Padahal masjid bukanlah sesuatu yang bernyawa. Ini bermaksud, masjid-masjid itu dihalang dari menjalankan apa yang sepatutnya dijalankan – iaitu mengingatkan manusia kembali kepada Allah.

Memang masjid-masjid kita sekarang ini ada yang memang menghalang guru-guru agama yang membawa ajaran sunnah daripada mengajar. Alasan mereka adalah ditakuti masyarakat akan berpecah belah setelah guru-guru agama sunnah itu mengajar. Padahal, apa yang hendak diajar oleh guru-guru itu adalah kebenaran.

 أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ

untuk disebut nama Allah sahaja?;

Menyebut Nama Allah bermaksud menyebut tentang tauhid. Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang melarang manusia dari masuk masjid untuk menyebut nama Allah sahaja? Iaitu mengesakan nama Allah. Iaitu mengajar tauhid. Oleh kerana ajaran tauhid telah jauh dari masyarakat sekarang, maka apabila ada guru yang mengajar tentang tauhid – hanya menyembah Allah sahaja; hanya berzikir menyebut nama Allah sahaja – bukan nama ilah-ilah yang lain, masyarakat melihat guru itu mengajar perkara yang asing. Maka akan ada orang yang tidak suka. Kerana teguran guru itu akan kena kepada mereka yang mengamalkan ajaran yang sesat – yang bukan tauhid. Jadi mereka akan berusaha supaya guru itu tidak mengajar lagi disitu. Ini memang ada terjadi. Berapa banyak guru agama yang tidak lagi dibenarkan mengajar di masjid-masjid kerana mereka mengajar tentang tauhid?

Ada mufassir yang menafsir ayat ini sebagai mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menyebut nama Allah adalah: membaca Quran. Ini pun benar juga. Kerana pernah kejadian ada yang menghalang supaya kelas tafsir dari diajar kepada masyarakat. Dengan alasan bahawa pengajaran tafsir Quran akan menyebabkan manusia berpecah belah. Kita tidak tahulah apakah yang dimaksudkan dengan tafsir Quran boleh memecah belahkan masyarakat. Mereka-mereka yang mengatakan seperti itu kena menjawap di hadapan Allah taala nanti atas halangan mereka itu. Mereka itu memang jelas termasuk dalam mereka yang dikatakan dalam ayat ini.

Ada mufassir yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Bani Israil telah dilarang dari menyebut nama Allah. Syaitan telah berjaya menghasut ahli agama mereka untuk melarang pengikut-pengikut mereka dari menyebut nama Allah. Syaitan mengatakan bahawa nama Allah itu adalah terlalu suci untuk disebut secara terang. Maka pengikut-pengikut agama mereka tidak dibenarkan menyebutnya langsung. Sampai sekarang, mereka sampai tidak tahu dengan tepat apakah nama Tuhan mereka sendiri. Sampaikan mereka terpaksa meminjam nama tuhan penduduk setempat. Begitulah yang terjadi apabila mereka di Malaysia. Telah kecoh bagaimana mereka memohon untuk menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan mereka. Padahal kita boleh tanya mereka: “Kenapa nak pakai nama Tuhan kami? Kenapa kamu tak pakai nama tuhan kamu sendiri?” Sebenarnya, mereka sendiri sudah tak tahu nama Tuhan mereka. Mereka tak tahu nak sebut macam mana nama Tuhan mereka. Kerana lama dahulu, mereka telah dihasut oleh Syaitan untuk tidak menyebut nama Tuhan. Maka, sampai sekarang, mereka sendiri tidak tahu nama Tuhan mereka.

Semua pendapat ini boleh dipakai. Kehebatan Quran adalah ianya boleh digunakan dalam banyak keadaan.

وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا

Dan dia berusaha untuk merobohkan masjid itu?

Mereka berusaha untuk merosakkan amalan-amalan dalam masjid Allah. Mereka adalah orang yang berkuasa dalam mentadbir masjid. Jadi mereka mengawal aktiviti masjid. Mereka tidak membenarkan masjid digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya dan mereka telah merosakkan aktiviti-aktiviti dalam masjid. Sampaikan pernah kejadian di Putrajaya, ahli masjid membenarkan majlis persandingan besar-besaran yang syirik itu dilakukan di dalam masjid!

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti ini,

 مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا

tidaklah ada bagi mereka itu berpeluang untuk masuk ke dalam masjid

 إِلَّا خَائِفِينَ

melainkan orang-orang yang takut sahaja;

Orang-orang yang menghalang itu sepatutnya tidak layak untuk masuk masjid Allah. Mereka sepatutnya tidak layak masuk masjid-masjid Allah melainkan dengan rasa takut kepada azab Allah. Ayat ini akan dihuraikan dengan panjang lebar lagi dalam surah Taubah.

Semasa musyrikin Mekah mengawal Kaabah dan MasjidilHaram, mereka tidak membenarkan orang-orang Islam untuk datang beribadat kepadanya. Allah nak kata dalam ayat ini bahawa akan datang di masa hadapan nanti, mereka pula yang akan datang ke MasjidilHaram dalam ketakutan. Ayat ini turun sebelum Pembukaan Mekah. Mereka menakutkan orang Islam untuk datang. Tapi Allah menjanjikan dalam ayat ini bahawa nanti keadaan akan jadi terbalik. Ini adalah salah satu ayat yang menyatakan tentang kemenangan yang akan diperolehi oleh orang Islam nanti.

Yang menarik juga adalah penggunaan kata خَائِفِينَ dalam ayat ini. Ada mufassir yang membandingkan rumah-rumah ibadat ahli Kitab sekarang. Rumah-rumah ibadat mereka kalau kita lihat sekarang adalah dalam suasana yang mengerikan. Ada patung binatang, patung makhluk yang bukan manusia atau binatang, tak tahu apakah dia. Bukankah keadaan itu menakutkan? Padahal sepatutnya rumah ibadat kenalah dalam keadaan yang menenangkan, bukan menakutkan.

 لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ

Bagi mereka di dunia ini satu kehinaan

وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan bagi mereka di akhirat kelak azab yang amat besar;


 

Ayat 115: Ini adalah kesinambungan dari ayat sebelum ini. Memanglah tempat yang paling sesuai untuk agama memang di masjid. Tapi kalau masjid yang sesuai tidak boleh dimasuki, Allah nak beritahu yang boleh guna mana-mana tempat. Duduk-duduk di mana sahaja boleh untuk beramal dan mengajar agama. –

2:115

Sahih International

And to Allah belongs the east and the west. So wherever you [might] turn, there is the Face of Allah. Indeed, Allah is all-Encompassing and Knowing.

Malay

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Milik Allah lah timur dan barat;

Maknanya, milik Allah lah semua sekali alam ini. Bukan hanya timur dan barat sahaja.

Umat Islam yang ditindas di Mekah, telah pergi meninggalkan Mekah dan Kaabah dan berhijrah ke Madinah. Tapi Allah hendak beritahu bahawa kepunyaanNya seluruh alam ini. Maka walaupun mereka telah meninggalkan Rumah Allah (Kaabah), mereka kena ingat bahawa Allah adalah Tuhan seluruh alam. Mereka masih lagi kena menyembah Allah. Dan mendirikan masjid di tempat-tempat lain juga.

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Maka dimana sahaja kamu hadap, disitulah wajah Allah;

Ada keadaan, kita tak dapat nak tentukan kiblat dengan tepat. Contohnya, kita pergi ke satu tempat yang gelap, tidak tahu dimana kiblat, maka kita pilih sahaja satu arah untuk dihadapi dalam solat, kerana di mana sahaja kita hadap, kita sebenarnya menghadap Allah.

وَجْهُ اللَّهِ wajah Allah – boleh juga ditafsirkan keredhaan Allah. Kita mencari keredhaan Allah di mana kita berada. Arah mana kita menghadap tidak penting. Yang penting adalah niat kita.

Ini adalah ayat permulaan kepada penukaran arah kiblat, kerana selepas ini akan ada ayat tentang penukaran kiblat ke Kaabah dari BaitulMaqdis. Waktu ayat ini diturunkan, umat Islam solat mengadap ke BaitulMaqdis.

 إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bahawasanya Allah taala itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

Amat luas pemilikan Allah taala.

Allah mengetahui apa niat dalam hati kita.


 

Ayat 116: Ini adalah rungutan keempat Allah atas sifat degil manusia. Sudahlah tidak mengamalkan tauhid, kemudian larang tauhid dari diamalkan dan lawan pula penyebar tauhid, sekarang mereka kata Allah ada wakil pula. Ini adalah kata-kata yang amat berat. Mereka kata Allah ada anak, kerana mereka nak seru anak Allah yang dijadikan wakil itu. ‘Anak’ dalam ayat ini maksudnya ‘wakil’ atau naib.

2:116

Sahih International

They say, “Allah has taken a son.” Exalted is He! Rather, to Him belongs whatever is in the heavens and the earth. All are devoutly obedient to Him,

Malay

Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.

وَقَالُوا

Dan mereka kata;

Yang berkata itu adalah orang Yahudi, Nasrani dan juga puak Musyrikin Mekah. Dan mereka kata itu dalam keadaan menghina Allah.

 

 اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا

Allah mengambil anak;

Lafaz ‘anak’ disini maksudnya adalah ‘anak angkat’. Maksudnya mereka bertawasul kepada sesiapa yang mereka anggap sebagai ‘anak angkat Allah’. Iaitu mereka bertawasul kepada Nabi-Nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Mereka nak kata bahawa apabila kita berdoa, nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat itu yang akan menyampaikan doa itu kepada Allah.

Yahudi kata Nabi Uzair adalah anak Allah.

Nasrani kata Nabi Isa adalah anak Allah.

Orang Musyrikin kata malaikat-malaikat adalah anak perempuan Allah.

سُبْحَانَهُ

Maha suci Allah;

Allah suci dari memiliki persamaan atau memerlukan wakil dalam penyembahan. Allah tidak layak mempunyai anak.

Perkataan سُبْحَانَ berasal dari perkataan ‘berenang’. Berenang dengan kepala di atas air, kepala tidak tenggelam ke dalam. Bermaksud kita meninggikan Allah dari kata-kata manusia yang mengatakan tentang Allah yang tidak benar. Oleh itu, apabila orang berkata yang salah tentang Allah, kita kena kata Subhanallah. Kita menidakkan kata-kata mereka itu. Maksudnya, kita kata Allah tidak begitu.

Bukankah kalau berenang, kita berseorangan sahaja? Ini isyarat bahawa kadang-kadang kita sahaja yang terima Islam yang benar. Nabi-nabi selalunya berseorangan dalam menyampaikan dakwah mereka. Macam Nabi Ibrahim, dia seorang sahaja. Seperti sahabat Nabi, selalunya mereka seorang sahaja yang Islam dalam keluarga mereka. Berapa juga orang yang lahir dalam keluarga kafir, tapi dia seorang sahaja yang masuk Islam. Kalau dalam zaman sekarang, mungkin kita seorang sahaja dalam keluarga kita yang mengamalkan Sunnah. Begitulah lumrah alam. Kadang-kadang kita berseorang sahaja mengamalkan Islam yang sunnah.

 بَلْ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Bahkan sebenarnya milikNya sahaja apa sahaja yang di tujuh langit dan tujuh bumi;

Kalau Allah ada anak, tentulah anak itu ada pula kawasan dia pula. Kalau ada anak, Allah berkongsi pula dengan anakNya. Tidak begitu. Semuanya milik Allah sahaja.

 كُلٌّ لَهُ قَانِتُونَ

Semua sekali makhluk-makhluk ini kepada Allah jua mereka tunduk patuh.

Semua makhluk tunduk kepada Allah belaka. Oleh itu, tidak ada yang jadi wakil.

Semuanya tunduk kepada Allah. Maka kenapa kita tidak tunduk hanya kepada Allah sahaja sedangkan semua yang lain tunduk patuh hanya kepada Allah? Kenapa kita tak terima ayat-ayat Allah kepada kita?

Bagaimana nak kata semua sekali patuh kepada Allah? Bagaimana pula dengan orang kafir yang tidak menurut perintah Allah? – Walaupun orang kafir tidak menurut perintah Allah, tapi tubuh badannya menurut perintah Allah. Bernafas, bergerak dan sebagainya.


 

Ayat 117: Allah terus menerangkan tentang DiriNya.

2:117

Sahih International

Originator of the heavens and the earth. When He decrees a matter, He only says to it, “Be,” and it is.

Malay

Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.

بَدِيعُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Dialah yang mencipta tujuh langit dan tujuh bumi;

بَدِيعُ itu bermaksud mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Dan mencipta dengan tidak ada contoh. Kadang-kadang kita pun ada mencipta juga. Tapi ciptaan kita dari bahan-bahan yang sudah ada. Dan kita bukannya cipta benda yang baru. Kerana kita hanya mengubah atau menambahbaik dari sesuatu yang sudah ada. Kalau kita cipta kapal terbang, kita hanya mengikut contoh burung yang Allah ciptakan. Tapi Allah mencipta alam ini dari tiada kepada ada, dan tidak ada contoh pun sebelumnya.

وَإِذَا قَضَىٰ أَمْرًا

Dan apabila Allah membuat keputusan untuk membuat sesuatu;

 فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ

maka dia hanya perlu kata ‘jadi’, maka jadilah;

Apabila Allah berkehendak nak buat, sudah jadi dah. Tidak perlu kata ‘kun’ pun. Ayat ini adalah hendak menunjukkan cepatnya iradah Allah.

Pemahaman كُنْ فَيَكُونُ sepatutnya difahami oleh orang Nasrani. Kerana Nabi Isa dijadikan begitu juga. Tanpa melalui ayah.


 

Ayat 118: Ini adalah rungutan kelima dari Allah.

2:118

Sahih International

Those who do not know say, “Why does Allah not speak to us or there come to us a sign?” Thus spoke those before them like their words. Their hearts resemble each other. We have shown clearly the signs to a people who are certain [in faith].

Malay

Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Dan berkata orang-orang yang tidak tahu: 

Iaitu yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Ayat ini tentang mereka kerana mereka tidak tahu wahyu dan tidak ada kitab.

 لَوْلَا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ

kenapakah Allah tidak berbicara langsung kepada kami?;

Mereka kata kenapakah perlu melalui Nabi Muhammad pula? Kenapa Allah tak cakap terus sahaja dengan manusia?

 أَوْ تَأْتِينَا آيَةٌ

atau Dia datang bawa satu dalil bukti?;

Iaitu mereka mahukan mukjizat. Mereka hendak bumi Mekah yang berbatu itu semua jadi tanah. Dan mereka hendak keluar air dari bukit supaya mereka boleh bercucuk tanam. Apabila manusia minta, tidaklah Allah beri. Allah tidak kena ikut kehendak makhluk. Mukjizat bukan terjadi ikut kehendak sesiapa pun, kecuali kehendak Allah.

 كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

Dan demikianlah, berkata orang-orang sebelum mereka;

Bukan mereka yang mula kata begitu. Orang-orang dulu pun sudah berkata begitu juga.

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

sepertimana kata-kata mereka;

Sama sahaja kata mereka. Kerana sepertimana Nabi-nabi memperkatakan perkara yang sama tentang tauhid, syaitan-syaitan yang menyesatkan mereka pun menggunakan was-was yang sama sahaja. Sama sahaja cara yang mereka gunakan kepada manusia yang dulu dan sekarang.

تَشَابَهَتْ قُلُوبُهُمْ

serupa sahaja hati-hati mereka;

Orang yang sesat dulu dan sesat sekarang ini, sama sahaja kata-kata mereka dan apa yang ada dalam hati mereka. Jadi, untuk kita kenal musyrikin sekarang, kita boleh lihat sama sahaja perkataan mereka dengan kata-kata orang-orang musyrikin Mekah dulu. Kita akan dapat lihat bahawa kata-kata mereka itu adalah sama sahaja. Begitu juga dengan orang-orang yang sama macam orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kita boleh lihat bahawa kata-kata mereka adalah sama sahaja.

 قَدْ بَيَّنَّا الْآيَاتِ

Sesungguhnya telah Kami jelaskan bukti dan dalil;

Sebenarnya, dalil dan bukti itu telah diberikan kepada semua manusia. Dah banyak dah mukjizat ditunjukkan kepada mereka. Tapi mereka minta macam-macam itu kerana hendak menjadikan Nabi terdiam tidak boleh menjawap mereka. Mereka minta bukannya kerana hendakkan bukti tapi kerana niat buruk mereka itu. Itu sebab mereka minta macam-macam. Tapi Nabi bukan boleh buat mukjizat ikut suka baginda. Dan bukan layak Allah nak layan kehendak mereka. Sepatutnya, kalau mereka hendakkan bukti, memang telah ada banyak diberikan kepada mereka, tetapi yang boleh terima hanyalah:

 لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

orang-orang yang yakin sahaja;

Iaitu mereka yang yakin bahawa Allah adalah Pencipta yang tiada tandingan.


 

Ayat 119: Ayat ini adalah jenis ayat Tasliah. Maknanya pujuk rayu Allah kepada Nabi dan sahabat Nabi untuk meneruskan dakwah. Allah hendak memberi ketenangan kepada mereka supaya mereka terus kuat dalam usaha dakwah mereka. Oleh kerana mereka semua telah meninggal, sekarang ianya adalah pujuk rayu kepada orang yang sebar dan pegang agama.

2:119

Sahih International

Indeed, We have sent you, [O Muhammad], with the truth as a bringer of good tidings and a warner, and you will not be asked about the companions of Hellfire.

Malay

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kamu (Muhammad);

Allah menegaskan bahawa baginda telah diutus oleh Dia sendiri.

بِالْحَقِّ

dengan kebenaran;

Nabi datang dengan agama yang benar. Allah nak beritahu kepada baginda yang agama yang baginda bawa ini adalah benar. Jangan bimbang.

بَشِيرًا

Sebagai satu berita gembira;

Untuk beri berita gembira kepada sesiapa yang mengikut pegangan tauhid dan membenarkan Nabi Muhammad.

وَنَذِيرًا

dan sebagai ancaman;

Manakala ancamam pula kepada orang yang menentang tauhid. Masih lagi nak buat tawasul dan sebagainya.

 

وَلَا تُسْأَلُ

Dan kamu tidak akan ditanya;

Jikalau kamu telah melakukan kerja memberi berita gembira dan memberi peringatan kepada manusia, kamu tidak akan ditanya lagi.

Maknanya, kita kenalah beritahu kepada manusia tentang tauhid dan ajaran agama Islam. Kalau kita simpan sendiri sahaja, tak beritahu, kita akan ditanya nanti. Kalau kita ditanya kenapa kita tidak sebarkan, apakah jawapan kita nanti di hadapan Allah? Banyak sekali ayat-ayat dalam Quran yang memberi isyarat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Allah kepada manusia.

عَنْ أَصْحَابِ الْجَحِيمِ

tentang penghuni neraka;

Kalau kita sudah sampaikan dakwah tauhid, kita tidak akan ditanya kenapa keluarga, sahabat dan jiran kita masuk neraka. Kalau tak buat lagi, pasti akan ditanya. Kalau kita buat, baru kita selamat. Maknanya, kena sebar agama. Kena beritahu kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Kalau tidak, ‘pasti’ ditanya. Ini adalah ayat yang menikam hati untuk menyebar agama kepada manusia. Kalau kita tidak buat penyebaran itu, kita akan ditanya kenapa mereka masuk neraka. Sebelum mereka masuk neraka, kita dulu kena tanya. Adakah kita sangka kita boleh masuk syurga dengan mudah? Tidak mudah. Kena juga buat kerja membenarkan Allah taala. Kita kena beritahu kepada manusia tentang Islam.

 


 

Ayat 120: Ini adalah ayat zajrun – ayat ancaman dari Allah.

2:120

Sahih International

And never will the Jews or the Christians approve of you until you follow their religion. Say, “Indeed, the guidance of Allah is the [only] guidance.” If you were to follow their desires after what has come to you of knowledge, you would have against Allah no protector or helper.

Malay

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ

Dan tidak sekali-kali akan redha orang Yahudi itu terhadap kamu;

Yahudi tidak duduk diam kerana mereka mahu agama Islam ini hancur.  Kita telah baca banyak perangai mereka dan bagaimana mereka tidak suka kalau agama Islam ini berkembang. Mereka akan guna berbagai cara untuk menjatuhkan Islam.

Tapi agama Islam telah berkembang pesat ke serata dunia kerana para sahabat telah sebarkan agama ini. Mereka telah kecewa untuk mematikan agama Islam, tapi mereka takkan putus asa. Kita pun jangan berdiam diri. Kalau mereka berjuang untuk menjatuhkan kita, maka kita pun kena terus dakwah untuk mengembangkan dakwah agama yang suci ini ke seluruh dunia.

 وَلَا النَّصَارَىٰ

dan tidak juga orang Nasara;

Bukan sahaja Yahudi yang mahu menjatuhkan Islam, tetapi golongan Nasara juga.

 حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

sehinggalah kamu ikut ajaran ugama cara mereka;

Mereka mahu juga kita ikut cara mereka. Walau tak keluar Islam pun tapi ikut cara mereka. Selagi tidak ikut, selagi itu mereka akan khianati kita. Sekarang ini, kita boleh lihat bagaimana umat Islam yang mengaku beragama Islam, tapi akidah mereka, cara hidup mereka dan amalan mereka sudah sama seperti agama Yahudi dan Nasara.

Sekarang ini, orang Hindu pun suruh ikut agama mereka. Itu pelik sekali. Bagaimanalah orang Islam boleh menganut agama Hindu? Kerana kita tidak kukuh dalam pemahaman agama kita. Sampai ada orang kita yang boleh rasa agama lain pun ada kebenaran juga.

 قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ

Katakanlah: bahawasanya hidayat Allah itulah sebenar-benar hidayat;

Allah beri peringatan dalam ayat ini: Hanya hidayah Islam sahaja yang benar. Agama dan anutan lain tidak boleh diterima sebagai hidayah.

 وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ

Dan jika sekiranya kamu mengikut hawa-hawa nafsu mereka;

Walau khitab kepada Nabi, tapi sebenarnya untuk kita kerana Nabi tidak akan mengikut hawa nafsu mereka. Kalau kita ikut nafsu mereka, maka ada amaran dari Allah dalam ini. Allah kata ‘nafsu’ kerana semua yang bukan agama Islam adalah mengikut nafsu.

Hawa nafsu yang dimaksudkan iaitu apa sahaja dalil yang dibawa yang bukan dari Quran dan sunnah. Iaitu mereka hanya pakai hujah guru. Seperti mereka kata: “takkanlah ustaz itu nak masuk neraka. Mereka dulu belajar di Mesir, Mekah lama dah. Takkan mereka salah pula.” Kalau mereka pakai hujah begitu, itu adalah hujah hawa nafsu dan hujah orang musyrik. Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad, iaitu jikalau dia mengikuti hawa nafsu orang-orang sebegitu, maka baginda adalah salah. Tapi kerana Nabi sudah tiada, ayat ini ditujukan kepada kita sekarang. Janganlah kita gunakan manusia sebagai dalil. Kerana manusia tidak semestinya betul. Kerana manusia tidak terlepas dari kesalahan. Lainlah kalau seseorang itu memberi pandangannya berdasarkan kepada ayat Quran dan juga hadis Nabi.

 

بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ

selepas datang kepada kamu ilmu Quran ini;

Ini adalah ancaman kepada kita yang dah dapat dalil, tapi kita ikut juga mereka. Maka kalau kita begitu, kita akan dapat balasan dari Allah.

مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ

Maka tidak ada lagi bagi kamu daripada Allah;

Iaitu kita tidak akan selamat daripada neraka Allah. Dari azab Allah.

 مِنْ وَلِيٍّ

satu orang pun yang boleh beri pelindung

Kalau Nabi ikut nafsu mereka pun Allah takkan tolong dia, apatah lagi kita.

 وَلَا نَصِيرٍ

dan orang yang boleh tolong;

Tidak ada sesiapa pun yang akan tolong kita bila Tuhan campak kita dalam neraka.


 

Ayat 121:

2:121

Sahih International

Those to whom We have given the Book recite it with its true recital. They [are the ones who] believe in it. And whoever disbelieves in it – it is they who are the losers.

Malay

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ

Orang-orang yang telah Kami berikan kepada mereka itu Kitab;

Iaitu kitab Taurat, Injil, Quran  dan lain-lain kitab lagi yang telah Allah turunkan kepada manusia.

Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan آتَيْنَاهُمُ: ‘yang Kami berikan kepada mereka’. Ini menunjukkan Allah masih lagi suka dengan mereka. Kerana Allah masih lagi mengaitkan NamaNya dengan pemberian kitab itu.

Tapi, ada dalam ayat-ayat yang lain, Allah gunakan perkataan: ‘yang diberikan kepada mereka Kitab’, itu menunjukkan Allah murka kepada mereka. Sampaikan Allah tak sebut perkataan ‘Kami’ dalam ayat apabila Allah murka kepada mereka. Walaupun memang Allah yang beri kitab, tapi Allah tak letak perkataan ‘Kami’.

يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ

dan mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan;

Allah memberitahu tentang golongan Ahli Kitab yang telah membaca kitab mereka dengan betul. Kalau mereka membaca kitab mereka dengan betul, maka mereka akan berjumpa dengan maklumat kedatangan Nabi akhir zaman – Nabi Muhammad.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada kita iaitu hendaklah kita belajar tafsir Quran. Inilah yang dikatakan baca dengan sebenar. Kalau disebut حَقَّ تِلَاوَتِهِ ia bermaksud baca untuk faham, amal dan untuk sebar. Bukan setakat baca sahaja tanpa memahami apa yang kita baca. Berapa ramai dalam masyarakat kita yang memang sudah cintakan Quran. Mereka membaca Quran setiap hari. Tapi mereka tidak memahami apakah yang mereka baca itu. Ini amat merugikan sekali. Kita sepatutnya kena faham tafsir Quran seperti yang difahami oleh ulama salaf dan sahabat. Sebab itu kena belajar tafsir dengan benar. Jangan salah pilih guru. Ada tafsir yang diajar oleh guru yang tak habis pun belajar tafsir. Mereka agak-agak sahaja dalam tafsiran mereka.

Apabila kita sudah cinta kepada Quran, akan timbul keinginan untuk belajar bahasa Arab supaya lebih memahami lagi Quran itu.

 أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ

mereka-mereka yang bersifat seperti itulah yang beriman dengan kitab itu;

Kebenaran Qur’an dan kedatangan Nabi Muhammad ini bukan untuk orang Arab sahaja. Ianya bukan diketahui oleh orang Arab sahaja malah ia diketahui oleh ahli kitab juga kerana berita-berita tentang Nabi akhir zaman telah ada dalam kitab mereka. Iaitu ada dalam yang asli. Mereka yang benar-benar membaca kitab mereka dengan betul, mereka akan berjumpa.

 

 وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ

dan sesiapa yang engkar;

Yang engkar adalah mereka yang tidak mahu belajar tafsir Quran. Apabila kita ajak, mereka tidak mahu belajar. Dan apabila kita berikan dalil dari Quran, mereka tidak mahu terima. Kerana mereka tidak faham. Mereka tidak faham kerana mereka tidak belajar.

فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Maka mereka yang seperti itu adalah orang yang rugi sungguh;

Rugi sungguh kerana mereka sudah ada Quran sebagai pedoman hidup, tapi mereka tidak gunakan Quran itu.

Baqarah 104-121


 

Ayat 122: Ini adalah siri ayat-ayat yang terakhir yang menceritakan kisah Yahudi dalam Surah Baqarah, supaya kita mengambil peringatan dari kisah mereka. Ianya adalah ayat penutup tentang Yahudi dan mula untuk memberitahu tentang umat Nabi Muhammad. Golongan Yahudi yang ada di Madinah itu memang datang ke Madinah kerana hendak tunggu kedatangan Nabi akhir zaman, tapi bila Nabi telah benar-benar datang, mereka pula yang lawan. Allah telah banyak memberitahu tentang mereka dan ini adalah penutup syarah yang panjang itu. Dan selepas ini akan diberitahu tentang sejarah asal pengikut Nabi Muhammad yang sebenar. Allah nak beritahu yang golongan dari bangsa Arab yang ikut ini bukanlah golongan bawahan walaupun mereka tidak ada kitab sebelum itu. Mereka itu lahir dari doa Nabi Ibrahim yang dimakbulkan. Mereka umat terpilih sebenarnya.

2:122

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor which I have bestowed upon you and that I preferred you over the worlds.

Malay

Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).

يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Wahai Bani Israil, ingatlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah beri kepada kamu;

Iaitu kamu itu adalah dari golongan rasul, nabi dan tok guru-tok guru. Mereka banyak bersaudara dan berkenalan dengan nabi-nabi dan rasul-rasul. Sebab memang banyak nabi-nabi dari golongan mereka. Mereka dari keturunan yang baik-baik. Macam kalau kita sekarang, orang kata mereka keturunan Tok Kenali, tok guru itu, tok guru ini. Tapi Bani Israil itu, mereka dari golongan nabi-nabi dan wali-wali. Kita pula sekarang sampai menyanjung keturunan ke 33 Nabi Muhammad dan sebagainya. Keturunan Sheikh Abdul Qadir Jailani lah. Golongan Habib dan sebagainya. Orang pun kerumun mereka. Terus percaya kepada mereka, sudah tidak kira lagi samada ajaran mereka itu adalah ajaran dari Sunnah ataupun tidak. Itu semua adalah dari kebodohan manusia yang jauh dari agama sahaja.

Tapi entah berapa banyak Yahudi kena azab nanti kerana kesesatan mereka. Sebab Allah bukan ambil kira keturunan. Yang penting kena tengok amalan. Kalau anak cucu Tok Kenali pun belum tentu akan selamat kalau mereka pun buat salah. Sampai ada anak cucu dia yang menyembah kubur Tok Kenali pun ada. Walaupun mungkin ada keturunan dia yang baik-baik, tapi ada juga yang buat salah. Kalau mereka buat salah, mereka akan dihumban juga ke dalam neraka. Semuanya dikira atas amalan dan perbuatan manusia. Ada yang baik dan ada yang jahat. Tidaklah kita boleh kata kalau seseorang itu keturunan Nabi Muhammad, kita terus kata dia betul sahaja. Kena tengok apakah yang diajarnya. Kalau benar, kita ikut, kalau salah kita tinggalkan. Macam golongan Habib sekarang, yang menyanyi dan mengajar ajaran tarekat itu, itu sudah jelas kesesatan mereka, maka kena ditinggalkan.

 وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ

Dan sesungguhnya Aku telah melebihkan kamu keatas penduduk sekelian alam;

Bukanlah sekelian alam sekarang, tapi pada zaman itu. Kerana perkataan فَضَّلْتُكُمْ itu dalam bentuk past tense. Bukanlah berterusan mereka dalam kelebihan itu. Kerana semenjak Nabi Isa, tidak ada lagi nabi dari Bani Israil. Mereka sekarang sudah tidak ada kelebihan dalam hal agama lagi dah.

Ayat yang lebih kurang begini telah disebutkan sebelum ini. Allah mengingatkan kepada mereka bahawa kelebihan yang mereka ada itu adalah dari kurnia Allah. Bukan mereka sendiri yang ada kelebihan. Tapi kerana Allah beri, maka mereka dapat menikmatinya sementara waktu. Janganlah mereka rasa mereka layak terima segala kebaikan kerana keturunan mereka. Kalau bukan Allah yang kurniakan, mereka tidak akan dapat apa-apa.

Dalam ayat ini, Allah hendak mengingatkan mereka tentang kelebihan-kelebihan yang telah diberikanNya kepada mereka. Allah nak beritahu mereka supaya sekarang ikutlah Nabi Muhammad, Nabi akhir zaman ini. Masih ada masa lagi untuk mereka bertaubat kalau mereka ada buat salah. Masih ada waktu lagi untuk mereka mengambil peluang untuk kembali ke pangkal jalan.


 

Ayat 123: Tapi, kalau mereka masih tidak mahu mengikut nasihat itu, maka Allah berikan takhwif ukhrawi kepada mereka untuk menakutkan mereka.

2:123

Sahih International

And fear a Day when no soul will suffice for another soul at all, and no compensation will be accepted from it, nor will any intercession benefit it, nor will they be aided.

Malay

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

وَاتَّقُوا يَوْمًا

Dan takutlah kamu pada suatu hari

Hari yang dimaksudkan adalah Hari Kiamat, Hari Akhirat, Hari Pembalasan.

لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

yang tidak akan boleh satu jiwa membantu jiwa yang lain;

Waktu itu, tidak ada sesiapa pun boleh bantu sesiapa. Anak beranak pun tidak boleh tolong. Suami isteri pun tidak boleh tolong sesama sendiri. Guru tidak boleh bantu anak murid. Kawan tidak boleh bantu kawan. Pada hari itu, semuanya bergantung kepada amalan sendiri. Jadi, kalau mereka berangan yang mereka itu dari keturunan yang mulia, dari keturunan para Nabi dan orang-orang soleh, janganlah berangan lagi kerana waktu itu tidak ada sesiapa pun boleh membantu mereka.

 وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ

dan tidak diterima dari mereka itu rasuah;

Mereka tidak boleh rasuah Allah. Allah tidak perlukan apa-apa dari kita. Adakah ada manusia yang cuba rasuah Allah? Benda apa yang mereka hendak beri kepada Allah sedangkan mereka tidak punya apa-apa lagi waktu itu? Mereka akan tawarkan orang lain untuk dimasukkan ke dalam neraka. Mereka tawar anak mereka, ibubapa mereka, kawan-kawan mereka, sesiapa sahaja – asalkan mereka tidak masuk neraka. Begitulah yang akan terjadi nanti. Ma sha Allah! Semoga kita diselamatkan nanti.

 وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ

dan tidak akan memanfaatkan bagi mereka syafaat

Tidak akan bermanfaat syafaat dari sesiapa sahaja jikalau mereka telah kufur dan rosak akidah.

Banyak salah faham manusia tentang syafaat. Umat Islam sekarang ramai yang sangka mereka akan dapat syafaat dari Nabi Muhammad. Sebab itu mereka memuja-muja baginda – dengan pujaan ‘ya Hanana’ dan macam-macam lagi. Tapi pujaan mereka itu tidak membolehkan mereka mendapat syafaat pun. Kerana bukan Nabi yang buat keputusan siapakah yang boleh diberi syafaat. Allah yang menentukan siapa yang boleh diberi syafaat – Nabi hanya menyampaikan sahaja. Kalau seseorang manusia itu telah melakukan syirik kerana mereka tidak faham apa itu syirik, maka mereka tidak akan langsung ada peluang untuk mendapat syafaat.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

dan mereka tidak dapat ditolong;

Kalau sekiranya mereka engkar daripada Tauhid, tidak ada sesiapa pun yang akan dapat menolong mereka. Golongan Yahudi sangka, mereka golongan terpilih, maka mereka ingat mereka akan diselamatkan. Allah nak beritahu dalam ayat ini, tidak sama sekali mereka akan diberi pertolongan dari mana-mana arah pun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s